Search This Blog

Monday, June 24, 2013

Lupus kereta BMW: Bekas DPP merengkok di penjara



PUTRAJAYA - Seorang bekas timbalan pendakwa raya terpaksa merengkok dalam penjara selepas rayuan akhirnya berhubung sabitan dan hukuman bagi kesalahan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri tujuh tahun lepas, ditolak Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Wira Abu Samah Nordin mengekalkan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Lukman Zainuddin, 40.  

Bagaimanapun, Abu Samah mengekalkan hukuman denda RM2,000 yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen dan mengetepikan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi
terhadap Lukman.

"Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi tiada alasan untuk mengganggu budi bicara Hakim Mahkamah Sesyen dengan menaikkan jumlah denda itu," katanya.

Abu Samah, yang bersidang bersama hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali, memerintahkan Lukman menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Lukman, yang kelihatan tenang selepas keputusan itu, dihantar ke Penjara Kajang.

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata walaupun berlaku kesilapan menaip berhubung pertuduhan pindaan yang ditawar pihak pendakwaan, ia tidak prejudis kepada Lukman, dan perayu juga tidak keliru kerana pindaan itu cuma melibatkan masa, bukannya tarikh kejadian.

Beliau berkata kesilapan menaip itu juga tidak menyebabkan berlaku ketidakadilan undang-undang terhadap Lukman.

Pada 3 Disember 2010, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 selepas Lukman didapati bersalah mengikut Seksyen 414 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Mahkamah Tinggi pada 31 Julai tahun lepas, menolak rayuan Lukman berhubung sabitan namun mengurangkan hukuman penjara 12 bulan kepada lapan bulan dan menaikkan jumlah denda daripada RM2,000 kepada RM20,000.

Lukman, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya antara 1997 dan 2002, didakwa cuba melupuskan sebuah kereta BMW 318(i)(A) bernombor pendaftaran ADT 6677 di Pangsapuri Putra Harmoni di Precinct 9, Putrajaya antara 11 malam 24 Mac 2006 dan 12.15 pagi 25 Mac 2006.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin manakala perayu oleh peguam Hanif Hassan. - Bernama

Pekerja asing punca malaria

Oleh ADHAM SHADAN

JELI - Kehadiran ramai pekerja asing dalam sektor pembalakan menjadi punca kepada berlaku wabak malaria di penempatan Orang Asli di Kampung Sungai Rual di sini bulan lalu.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jangkitan tersebut berpunca daripada pekerja asing berkenaan yang terlebih dahulu diserang malaria ekoran terdedah kepada gigitan nyamuk di dalam hutan.
Katanya, analisis yang dilakukan pasukan perubatan daripada Jabatan Kesihatan negeri mendapati, beberapa pekerja balak telah menghidap malaria sebelum ia merebak menjadi wabak menyebabkan 112 penduduk Orang Asli terpaksa dirawat di Hospital Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Pasir Mas.
"Sebelum ini tidak pernah berlaku malaria di sini dan analisis yang dilakukan oleh pegawai kesihatan Jeli mendapati jangkitan asal adalah daripada pekerja asing dalam sektor pembalakan.
"Keadaan itu menyebabkan wabak itu berjangkit kepada 112 penduduk Orang Asli sehingga terpaksa dirawat di hospital. Kes itu kini sedang dipantau oleh pasukan daripada Hospital Jeli dan pegawai daerah Jeli," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2X5Fv6Tw5 
Hakcipta terpelihara 

Padah curi motosikal di masjid



ANGGOTA polis membawa empat remaja yang diberkas selepas disyaki mencuri motosikal ke tali air Kampung Tambang, Lahar Tiang untuk pengecaman rangka kenderaan itu yang dibuang semalam.


KEPALA BATAS - Empat pelajar sekolah tingkatan empat sepatutnya berada di rumah untuk mengulangkaji pelajaran namun kini mereka berada di lokap selepas ditangkap apabila disyaki terlibat dengan kes curi motosikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd. Shukri Awang berkata, kesemua remaja berusia 16 tahun tersebut diberkas selepas polis menjalankan siasatan berhubung kes curi sebuah motosikal milik jemaah Masjid Lahar Tiang, Pinang Tunggal di sini ketika solat Jumaat.
Katanya, ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Kampung Paya Keladi, suspek didapati sedang meleraikan komponen motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri itu. Rumah itu terletak kira-kira 500 meter dari masjid tersebut.
"Soal siasat mendapati mereka telah terlibat dengan tujuh kes curi motosikal sejak dua bulan lalu.
"Kita turut menemui beberapa rangka motosikal yang dibuang di tali air Kampung Tambang, Lahar Tiang, Pinang Tunggal di sini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2X5FSNu00 
Hakcipta terpelihara 

25 pelajar ponteng sekolah ditahan



SEBAHAGIAN daripada pelajar yang ditahan kerana ponteng sekolah dalam operasi bersepadu di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu menahan seramai 25 pelajar dari beberapa buah sekolah yang ponteng dalam operasi bersepadu di sini semalam.
Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi itu dilakukan di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan, antaranya taman rekreasi, warung dan gerai berhampiran sekolah serta kafe siber.
Menurutnya, operasi yang dilakukan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar terlibat mengenai kesalahan ponteng sekolah.
“Sebahagian daripada 25 pelajar yang tangkap hari ini (semalam) bersekolah di sekitar daerah ini serta beberapa pelajar dari daerah lain.
“Sepanjang tahun ini, sebanyak 25 operasi telah diadakan di seluruh Kelantan yang mana seramai 50 pelajar berjaya ditahan,” katanya ketika ditemui semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2X5EexB70 
Hakcipta terpelihara 

Bikin pasport palsu



THAIVEEGAN (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian pasport palsu yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Serbang semalam.


SERDANG – Polis membongkar sindiket memalsukan pasport antarabangsa dan cop Jabatan Imigresen Malaysia setelah menahan tiga lelaki yang sebelum itu terlibat dalam kes samun seorang wanita berhampiran Plaza Tol Sungai Besi Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, suspek berusia antara 25 hingga 26 tahun tersebut ditahan selepas pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes seorang pengurus acara wanita berusia 40 tahun yang disamun pada pukul 3.30 pagi kelmarin.
Katanya, dalam kejadian itu, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa telah dihimpit sekumpulan enam motosikal dinaiki 10 remaja di plaza tol yang menghala ke Kajang tersebut.
“Mangsa yang cemas kemudian berhenti sebelum suspek menyamun barang berharga seperti beg tangan yang mengandungi wang.
“Sebahagian suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi dipandu rakan mereka manakala bakinya lari dengan menaiki motosikal,” katanya pada sidang akhbar.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2X5EHNHto 
Hakcipta terpelihara 

Mayat 'bertapa' sebelah pokok



MAYAT Lew Khuan ditemui dalam keadaan 'bertapa' di Ipoh semalam.


IPOH - Misteri bau busuk yang dihidu beberapa penduduk membongkar kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam keadaan duduk seperti sedang 'bertapa' bersebelahan sebatang pokok di Jalan Kampung Tersusun Tasek, Bercham di sini semalam.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Lew Khuan, 60, ditemui pada pukul 8.30 pagi oleh beberapa penduduk yang sedang berjoging selepas tercium bau busuk. Pokok itu terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama.
Pengerusi Rukun Tetangga (RT) kawasan Bercham, Tan Swee Kong berkata, sebaik ternampak mangsa, penduduk cuba memanggilnya tetapi tidak dijawab.
"Mereka yang pelik kemudian cuba mendekati mangsa sebelum terkejut apabila melihat lelaki itu telah mati dengan lehernya terjerut dengan seutas tali yang diikat pada dahan pokok.
"Saya juga terkejut kerana tidak pula menemui mayat mangsa ketika meronda bersama 40 anggota RT malam semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2X5DyOeg8 
Hakcipta terpelihara 

1,817 sekolah ditutup angkara jerebu kritikal



KEADAAN berjerebu menyelubungi ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR – Pembelajaran seramai 1,459,306 pelajar daripada 1,817 buah sekolah di lima buah negeri terjejas apabila semua sekolah terbabit diarah tutup ekoran krisis jerebu yang semakin kritikal melanda negara ini sejak beberapa hari lalu.
Lima negeri yang dilanda jerebu sehingga memaksa sekolah-sekolah itu ditutup ialah Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sebanyak 1,230 buah sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor diarah tutup hari ini ekoran jerebu semakin teruk melanda negeri tersebut sejak semalam.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengambil tindakan susulan.
“Keadaan jerebu yang semakin buruk pukul 5 petang ini (semalam) memaksa penutupan sekolah kerana kualiti udara yang teruk dibimbangi boleh memudaratkan kesihatan pelajar,” kata beliau dalam kenyataan akhbar di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Sementara itu, semua 211 buah sekolah di daerah Muar dan Ledang telah diarah tutup mulai hari ini sehingga diberitahu kelak ekoran pengisytiharan darurat kerana keadaan jerebu berada pada tahap kritikal.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2X5DVL8ZH 
Hakcipta terpelihara 

Darurat diisytihar di Muar, Ledang

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA, ROSLI HASSAN dan MAZLINA ABDUL MAJID

KEADAAN jerubu teruk yang menyelubungi bandar dan daerah Muar semalam memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di daerah itu.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta-merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua- dua kawasan itu melebihi tahap kecemasan pada pukul 7 pagi semalam.
Darurat jerebu yang akan berlangsung sehingga ke suatu masa yang akan ditentukan itu dibuat selepas bacaan IPU pada pukul 7 pagi dan 11 pagi di kedua-dua daerah tersebut melebihi paras kecemasan 500 iaitu masing-masing pada bacaan 746 dan 690.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam berkata, pengisytiharan Darurat Bencana Jerebu itu tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.
"Saya mengisytiharkan keadaan Darurat Jerebu bagi seluruh kawasan daerah Muar dan Ledang mulai dari tarikh pengisytiharan ini hingga suatu masa pengisytiharan ini ditarik balik," kata Najib dalam kenyataan berkenaan.
Najib memberitahu, semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu peringkat Persekutuan, negeri dan daerah mesti mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam terpelihara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2X5DGd9BM 
Hakcipta terpelihara 

Bakal jemaah haji maut ditimpa dinding runtuh





KHARTOUM - Seramai 12 orang bakal haji Sudan terbunuh semalam apabila sekeping dinding konkrit runtuh dan menimpa mereka.

Sewaktu kejadian, lebih daripada 4,000 orang berkumpul di luar pejabat kerajaan di bandar Gedaref, tenggara Khartoum, lapor Sudan TV.

Menurut saksi, mangsa yang terdiri daripada empat orang wanita dan lapan orang lelaki itu sedang beratur untuk menghantar borang permohonan menunaikan haji.

"Keadaan sangat sesak dan kesemua mereka cuba masuk ke dalam untuk membuat permohonan.

"Rempuhan itu menyebabkan dinding runtuh. Empat orang daripada mereka mati di tempat kejadian," kata seorang mangsa yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Tambahnya, sebahagian daripada penduduk menjerit kemarahan di pejabat kerajaan itu. Mereka menyalahkan pegawai kerajaan terbabit kerana menyuruh orang ramai masuk ke dalam tempat yang sempit.

Punca kejadian masih belum diketahui. - AP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2X5BKKU8F
Hakcipta terpelihara 

Pertunjukan udara bertukar tragedi



API yang marak memusnahkan sebuah pesawat sebaik sahaja ia terhempas ketika mengambil bahagian dalam acara Vectren Air Show di Dayton, Ohio kelmarin.


DAYTON, Ohio - Sebuah pesawat yang mengambil bahagian dalam acara Vectren Air Show kelmarin terhempas dan meletup.
Dalam insiden itu, seorang juruterbang dan seorang pelagak ngeri terkorban.
Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Dayton, Linda Hughes dan Pegawai Lebuh Raya Negeri Ohio, Leftenan Anne Ralston mengesahkan kejadian tersebut.
Kejadian malang itu berlaku sekitar pukul 12.45 petang waktu tempatan. Tiada penonton dilaporkan cedera dan acara itu dibatalkan sebaik sahaja kemalangan berlaku.
Satu klip video menunjukkan pesawat tersebut berpusing ketika pelagak ngeri, Jane Wicker duduk di atas sayapnya. Ia kemudian gagal dikawal dan terhempas di atas padang dan terbakar.
"Secara tiba-tiba saya dengar orang ramai menjerit dan nampak bebola api," kata seorang penonton, Stan Thayer.
Pertunjukan udara yang disifatkan sebagai antara yang tertua di Amerika Syarikat itu biasanya mampu menarik kira-kira 70,000 penonton setiap kali dianjurkan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2X5AXJU8x 
Hakcipta terpelihara