Search This Blog

Saturday, June 22, 2013

Tangan tersepit mesin pencetak



Tangan tersepit mesin pencetak
Tangan pekerja penyelenggara kilang tersepit di mesin pencetak.
AMPANG - Pergelangan tangan kanan seorang pekerja penyelenggara kilang parah, selepas termasuk ke dalam mesin pencetak yang sedang dikendalikannya dalam kejadian di sebuah kilang pencetakan di Kampung Tasek Permai, di sini, pagi semalam.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa Bahrin Haron, 34, berasal dari Kuala Lumpur itu, sedang menarik kertas yang tersepit ke dalam mesin berkenaan, sebelum tangan kanannya tiba-tiba terperosok ke dalam mesin terbabit menyebabkan ia tersepit.

Mangsa yang meraung kesakitan sejurus tangannya tersepit itu disedari rakan sekerjanya, sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang.

Sepasukan anggota bomba yang diketuai, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Ahmad Mohd Sarif bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Noor Ahmad berkata, operasi mengeluarkan tangan mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit.

Mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Penganggur ditahan miliki dadah RM408,200


Penganggur ditahan miliki dadah RM408,200
Toon Khuan (tengah) menunjukkan dadah dirampas dalam serbuan di Jengka 4, kelmarin.
KUANTAN - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis ketika berada dalam kereta di hadapan sebuah rumah di Jengka 4, dekat Maran, awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, dalam serbuan jam 1.20 pagi itu, suspek berusia 36 tahun cuba lari sebelum bergelut dengan polis.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 5.5 gram bernilai RM5,500 di tepi pintu pemandu dan heroin seberat 2.042 kilogram di dalam but kereta bernilai RM408,200,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis percaya dadah itu diperoleh dari negeri jiran untuk diedarkan di sekitar Jengka dan Maran.

“Suspek sudah berkahwin dan ada seorang anak itu mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan pada 2000 hingga 2003 kerana terlibat aktiviti dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Mekanik curi sarang burung walit


Mekanik curi sarang burung walit
Tertuduh (kanan) terpaksa memilih hukuman penjara kerana tidak mampu membayar denda selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah rumah dan curi sarang burung walit.
KUANTAN - Seorang mekanik dihukum penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan pecah rumah dan mencuri sarang burung walit milik dua pengusaha di Indera Mahkota di sini antara April hingga 16 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Izani Zaharudin, 32 dari Kampung Sungai Belat, Jalan Kuantan-Pekan dekat sini, dihukum penjara tujuh bulan bermula dari tarikh hukuman, semalam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak berusia empat bulan memilih untuk dipenjarakan memandangkan dia tidak mampu untuk membayar denda.

Justeru dia merayu di hadapan Majistret Jesseca Daimis dan Noor Zaihan Mohamed Ali agar hukuman penjara ke atasnya diringankan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk rumah sarang burung milik seorang pengusaha di Bandar Indera Mahkota di sini sebelum mencuri 150 sarang burung walit seberat 2 kilogram bernilai RM2,500.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9.30 pagi, 26 April hingga 12 tengah hari, 28 April lalu.

Susulan itu, tertuduh ditahan polis 20 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun kerana perbuatannya memecah masuk premis sarang burung itu jelas atas niat untuk mencuri.

Sementara itu dalam mahkamah berasingan, dia didakwa melakukan perbuatan sama apabila memecah masuk dan mencuri sarang burung walit milik pengusaha lain juga di sekitar Indera Mahkota.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 7 petang, 16 Jun lalu dan kegiatannya terbongkar selepas terserempak dengan pekerja ketika keluar dari rumah sarang burung terbabit.

Susulan pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah sarang burung yang cuba dicuri.

Tertuduh yang sudah tiga kali menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah sejak 2005 hingga 2008 kemudiannya dihukum penjara tujuh bulan bagi kesalahan pecah rumah itu.

Cubaan bakar pejabat MCA


Cubaan bakar pejabat MCA
Bekas plastik yang ditemui di hadapan pintu pejabat parti itu semalam.
Cubaan bakar pejabat MCA
Kesan terbakar di bahagian hadapan pintu besar akibat kejadian itu.
BANDAR BENTONG – Pejabat MCA Negeri di Jalan Tan Sri Chan Siang Sun, dekat sini, menjadi mangsa khianat berikutan penemuan satu bekas plastik terbakar yang mengandungi sumbu kain berisi minyak dipercayai petrol, pagi semalam.

Perkara itu mengejutkan semua pihak kerana kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di daerah ini.

Setiausaha Kerja MCA Negeri, Gan Hong Wui berkata, ketika bersiap untuk ke pejabat kira-kira jam 7.40 pagi, beliau menerima panggilan telefon daripada tukang sapu mengatakan bahagian hadapan pintu pejabat terbakar.

Menurutnya, beliau bergegas ke pejabat dan sampai kira-kira jam 7.50 pagi serta mendapati terdapat kesan terbakar di pintu besar bahagian hadapan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat penemuan botol plastik dipercayai mengandungi minyak petrol dan sumbu kain. Saya sedar tindakan ini mungkin satu perbuatan khianat untuk membakar pejabat MCA, lalu membuat laporan polis bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Hong Wui berkata, pihaknya berharap pihak yang melakukan perbuatan itu dapat ditahan secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, sejurus selepas menerima laporan, pihaknya menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan hitam akibat terbakar di bahagian pintu hadapan pejabat itu, namun tidak menjejaskan keseluruhan bangunan.

“Kami akan buka kertas siasatan bagi mengesan pihak bertanggungjawab yang melakukan tindakan ini.

“Dalam masa sama, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Pencuri masuk pejabat imam


Pencuri masuk pejabat imam
Zakaria menunjukkan kesan cungkil di tingkap kaca, pejabatnya.
PASIR MAS – Imam Masjid Kasar terkejut apabila mendapati 10 sampul surat berisi wang sumbangan orang ramai berselerakan di dalam pejabatnya, petang kelmarin.

Imam tua masjid, Zakaria Sulaiman berkata, dia tidak menyedari kaca tingkap di pejabatnya berada di lantai, kerana ditutupi langsir.

Menurutnya, pencuri dipercayai mencungkil tingkap, sebelum mencuri kutipan derma, bernilai RM100.

Katanya, itu adalah wang hasil sumbangan orang ramai dan sepatutnya disampaikan kepada pihak Masjid Mukim Banggol Setol Pasir Mas.

“Setiap sampul berisi RM10 manakala 13 sampul lagi kosong kerana kutipan derma masih belum mencukupi.

“Mujurlah pencuri tidak menyelongkar almari kerana terdapat wang zakat tersimpan di situ,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pencuri tidak pula berminat mengambil kampit beras meskipun ia diletakkan berdekatan pintu.

Zakaria berkata, kejadian ini memberi pengajaran kepadanya agar tidak meletakkan barangan berharga mahupun wang kutipan derma di dalam masjid.

Kes pecah masuk ke dalam pejabat masjid katanya, merupakan kejadian pertama, namun kecurian wang di tabung masjid sering dilaporkan hilang.

“Kami akan mengetatkan lagi keselamatan di pejabat dengan termasuklah memasang gerigi besi tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada yang prihatin bolehlah menyampaikan sumbangan menerusi akaun Bank Islam, 03027010006346.

Mahsuri, pulanglah...

Mahsuri Es Amira Abdul HalimChe Abidah menunjukkan gambar Mahsuri dan salinan laporan polis di Kampung Aur Gading, semalam.
KUALA LIPIS - Seorang ibu, Che Abidah Che Man, 53, berharap anaknya, Mahsuri Es Amira Abdul Halim, 20, yang menghilangkan diri lebih sebulan lalu, dapat pulang semula ke pangkuan keluarga.

Che Abidah yang tinggal di Kampung Aur Gading, di sini, berkata, Mahsuri yang juga penuntut tahun akhir di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuantan, dipercayai lari mengikut teman lelakinya.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga tidak mengenali lelaki tersebut.

“Sebelum lari dari rumah, perhubungan kami baik dan tiada sebarang masalah. Mahsuri juga tidak pernah berselisih faham dengan kami.

“Mahsuri yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik amat rapat dengan kami. Namun, kami tidak pernah tahu atau mengenali teman lelakinya selama ini,” katanya, di sini, semalam.

Che Abidah berkata, berita kehilangan Mahsuri hanya diketahui apabila anak lelakinya, Mohd Nazri, 22, mahu menghantar barangan kepada anaknya itu, namun terkejut apabila rakan bilik memaklumkan anaknya tiada.

“Mohd Nazri pergi ke tempat Mahsuri belajar pada 20 Mei lalu, namun rakan sebilik mengatakan Mahsuri tiada sejak 3 Mei lalu.

“Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuantan bagi memaklumkan kehilangan Mahsuri,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari juga dilakukan termasuk di sekitar Kuantan dan Kuala Lumpur, tetapi tidak menemui sebarang hasil.

“Kami sekeluarga buntu, malah kesihatan saya kini tidak menentu kerana asyik terkenangkan Mahsuri.

“Saya merayu orang ramai yang ternampak atau mengetahui di mana Mahsuri berada, dapat menghubungi kami di talian 014-2331854 atau 011- 2949336,” katanya.

Lelaki dakwa anak dicucuh api rokok


Kamaruddin Mohd Zakaria
Kamaruddin Mohd Zakaria
BESUT - Seorang bapa mendakwa anak perempuannya yang berumur 9 tahun cedera di tangan dipercayai didera oleh suami bekas isterinya dalam kejadian di Batu Tumbuh dekat sini minggu lalu.

Lelaki berusia 30 tahun dari Kampung Gong Guchil, Jertih itu membuat dakwaan demikian apabila mendapati ada kesan luka dan melecur kecil pada tangan anaknya dipercayai dicucuh dengan api rokok.

Lelaki itu mendakwa bekas isterinya datang menjemput anaknya pada 14 Jun lalu untuk dibawa ke rumah wanita itu di Batu Tumbuh.

Ketika dia menyerahkan anaknya kepada bekas isteri dalam keadaan baik namun pada malam Ahad lalu, selepas mangsa dihantar balik oleh adik bekas isterinya, lelaki tersebut mendapati ada kesan melecur di bahagian lengan kanan mangsa.

Dia kemudiannya bertanyakan mangsa apa yang berlaku dan anaknya mendakwa bapa tirinya (suami wanita terbabit) telah mencucuh lengannya dengan api rokok.

Mangsa dikatakan telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, suspek belum ditangkap dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Maut tersepit dalam kereta


Maut tersepit dalam kereta
Bomba dan Penyelamat memeriksa kenderaan mangsa.
Maut tersepit dalam kereta
Kereta yang dipandu mangsa remuk akibat nahas, semalam.
PASIR MAS – Seorang maut, sementara lima yang lain cedera ringan apabila dua kereta bertembung di Kilometer 13, Lebuh raya Pasir Mas, Rantau Panjang, pagi semalam.

Mangsa maut dikenali sebagai Norhisham Md Salleh, 23, pemandu kereta Satria yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh 20 minit dan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mendapatkan rawatan.

Ketika kejadian, kereta Proton Inspira dipandu seorang lelaki dikatakan dalam perjalanan dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang sementara kereta Satria dari arah bertentangan.

Pertembungan itu menyebabkan tayar hadapan kedua- dua kereta tercabut.

Mangsa terlibat kemalangan, Haris Hirman Shafudin,42, pemandu Inspira, isterinya, Noriah Shafei, 40, serta dua anak perempuannya, Nor Kistina Aisyah Haris Hirman,10, dan Nor Kistina Amisya Haris Hirman, 5, kesemua mangsa cedera ringan.

Sementara penumpang kereta Satria, Mohd Khalil Mohd Zain, 24, turut cedera. Haris Hirman berkata, ketika kejadian, dia yang berasal
dari Kampung Kukang, Kota Bharu dalam perjalanan ke Rantau Panjang bersama isteri serta dua anak perempuannya.

Dia mendakwa, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Satria dipandu seorang lelaki meluru ke arah kenderaan dipandunya menyebabkan dia gagal mengelak.

“Saya dapat melihat kereta Satria meluru ke arah kereta yang saya pandu, tetapi gagal mengelak kerana jarak ketika itu telah dekat.

“Kami bernasib baik, kerana ‘airbag’ (beg udara) berfungsi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, bomba bersama dua jentera dari Pasir Mas dan Rantau Panjang bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pagi semalam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati hanya seorang yang tersepit dan mangsa berdepan kecederaan parah iaitu kecederaan dalaman dan patah paha kanan dan dibawa ke hospital," katanya

Budak 5 tahun selamatkan bapa lumpuh


Budak 5 tahun selamat bapa lumpuh
Faiq dipangku ibunya.
Budak 5 tahun selamat bapa lumpuh
ROMY
Budak 5 tahun selamat bapa lumpuh
Keadaan rumah Romy yang hangus terbakar, Rabu lalu.
KEPONG - “Sungguh tidak sangka anak saya yang masih kecil dapat menjadi penyelamat.”

Demikian menurut seorang bapa kurang upaya (OKU), Romy Zainuddin, 38, setelah diselamatkan anaknya, Muhammad Faiq Nubhan Romy Zainudidin, 5, selepas rumah kediaman mereka di Flat Beringin terbakar, Rabu lalu.

Menurutnya, ketika kejadian itu Faiq sedang leka bermain di ruang tamu sebelum menyedari kewujudan api dari bilik hadapan kira-kira pada jam 3.30 petang.

“Saya berada di dalam tandas manakala kakaknya sedang tidur di dalam bilik dan hanya dia sahaja yang menyedari kewujudan api itu,” katanya.

Romy berkata, anak bongsunya itu kemudian berlari mengetuk pintu bilik air bagi memaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas mengejutkan kakaknya.

"Faiq turut mengambil baju serta kain untuk menutup badan saya memandangkan saya tidak lagi berkemampuan untuk membuat apa-apa disebabkan kecacatan kaki yang dialami sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian isterinya, Nuril As Zainudin, tiada di rumah kerana keluar mengajar di sekolah.

Dalam pada itu, Romy turut bersyukur memandangkan jiran di kawasan tersebut turut membantu memadamkan kebakaran.

"Hasil bantuan penduduk setempat, api berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh 45 minit.

"Ketika bomba sampai, api sudah berjaya dipadamkan penduduk,” katanya.

Hasil siasatan awal bomba menurutnya, kejadian itu berpunca daripada puntung rokok yang menyebabkan tilam di bilik berkenaan terbakar.

“Sebelum saya ke tandas, memang tiada sebarang api dan saya syak ia mungkin dari tingkat atas,” katanya.

Menurutnya, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 selain dokumen penting tidak dapat diselamatkan.

"Buat masa ini, saya dan keluarga akan menetap di dewan awam flat sementara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu menyelesaikan kesulitan yang dialami," katanya.

Sementara itu, orang awam yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB mangsa bernombor 14014020813229 (Nuril As Zainudin).

Kualiti udara Muar sangat berbahaya




MUAR - Kualiti udara di daerah Muar kini berada pada tahap sangat berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 453 pada pukul 4 petang hari ini.

Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata kualiti udara di daerah itu mencatat kemerosotan sejak awal pagi dengan bacaan IPU 276 pada 7 pagi, 312 (8 pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari).

"Keadaan jerebu di Muar semakin buruk hari ini. Bagi mencegah dan memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, Bilik Gerakan Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) akan merangka pelan tindakan dan melakukan pemantauan melibatkan lapan agensi kerajaan di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Muar, berkata agensi yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), pejabat tanah, polis, pejabat pendidikan daerah, bomba, pejabat kesihatan, pejabat pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata MPM akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka termasuk tapak pelupusan, pembuangan sampah, tapak pembinaan, tepi jalan dan taman-taman perumahan sebelum memaklumkan kepada bomba untuk tujuan pemadaman.

Katanya pejabat tanah pula akan mengarahkan kuari dan lombong untuk menghadkan aktiviti bagi mengurangkan kesan jerebu manakala polis meronda bagi memantau kegiatan pembakaran terbuka.

"Pejabat Pendidikan Daerah pula memberi nasihat mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah apabila sekolah dibuka semula selain mengenal pasti sekolah- sekolah yang perlu dibekal dengan penutup hidung dan mulut," katanya.

Menurutnya bomba juga akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka serta menghantar laporan setiap dua jam jika berlaku pembakaran terbuka manakala pejabat kesihatan daerah perlu menasihati orang ramai mengenai langkah penjagaan kesihatan.

Pejabat pertanian daerah akan memantau kawasan pertanian bagi mencegah petani atau pekebun melakukan pembakaran terbuka manakala JPJ memantau kenderaan yang mengeluarkan asap hitam.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam Sekitar ketika dihubungi berkata bacaan IPU di Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Larkin Lama tidak banyak berubah setakat pukul 4 petang.

Jurucakap itu berkata IPU di Pasir Gudang mencatatkan bacaan 190, Kota Tinggi (192) manakala Larkin Lama (170), yang kesemuanya pada paras tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md Jais Sarday berkata keputusan untuk membuka semula sekolah pada Isnin ini di beberapa daerah yang ditutup berikutan masalah jerebu akan diketahui esok.

Beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Johor untuk memantau keadaan petang esok sebelum menentukan sama ada sesi persekolahan dapat dijalankan.

"Jabatan Pendidikan Johor akan menggunakan budi bicara mereka dalam membuat keputusan terbaik dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara dalam menjamin keselamatan pelajar," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian program Kenali Asean 2013, di sini, hari ini.

Sebanyak 211 sekolah di Muar dan Pasir Gudang mula ditutup sejak dua hari lepas ekoran peningkatan bacaan IPU,  diikuti sekolah-sekolah di Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang,  semalam. - Bernama

Awang Hitam cabar Imigresen

Awang Hitam cabar ImigresenAnggota Imigresen Selangor memeriksa dokumen warga Indonesia di sebuah rumah kongsi di Rinching, Sepang, semalam.
SHAH ALAM - “Kami tak mahu buka pintu. Kalau kamu nak, pecahkanlah pintu rumah kami dahulu.”

Demikian cabar dua warga asing kepada pihak penguat kuasa Jabatan imigresen Selangor yang mahu memeriksa dokumen mereka dalam serbuan di Subang Ville Ehsan, Petaling Jaya, semalam.

Tindakan itu memaksa anggota bertugas mengambil keputusan untuk memecahkan pintu rumah tersebut selepas mereka enggan membukanya.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati salah seorang daripada mereka menggunakan dokumen milik rakannya manakala seorang lagi memiliki dokumen lengkap.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, pihaknya sudah membuat Ops 6P di tiga lokasi di Bandar Baru Klang, Bandar Sunway dan Rinching, Sepang.

Othman berkata, dalam operasi itu juga pihaknya memeriksa 48 orang dan menahan 21 warga asing berusia 20 hingga 44 tahun terdiri daripada 16 warga Indonesia, dua lelaki Pakistan, dua lelaki India dan seorang warga Nigeria.

Menurutnya, semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tinggal lebih masa.

2 maut dalam kemalangan kereta, lori




SETIU - Dua lelaki maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori di Km 86 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di sini malam tadi.
 
Kemalangan pada 8.40 malam itu menyebabkan Mohd Zuhairi Mohd Kedri, 30, dari Felda Chalok Barat Setiu dan Muhammad Hazizul Haris, 19, dari Kampung Gong Tiong Kampung Raja, mati di tempat kejadian.
 
Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu cedera ringan, kata Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamed.
 
Beliau berkata berdasarkan laporan awal, lori yang dalam perjalanan ke Besut itu dikatakan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua lelaki itu.
 
"Kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta yang remuk itu," katanya kepada Bernama di sini.  - Bernama

Bekas guru agama dipenjara 20 tahun



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara seorang bekas guru agama dan seorang sukarelawan yang menyebabkan kematian seorang penghuni Rumah Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) lima tahun lepas, daripada 15 tahun kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan  Mohammed Azizi Mohd Vello, 30, dan Mohd Shuhaidi Mohamad, 31, terhadap sabitan dan hukuman 15 tahun penjara ke atas mereka yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 29 Feb tahun lepas.

Nurchaya turut menolak permohonan peguam Abdul Halem Mohamad Husin yang mewakili Mohammed Azizi dan Mohd Shuhaidi agar pelaksanaan hukuman ke atas kedua-dua anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya beliau memerintahkan Mohammed Azizi menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen pada 29 Feb tahun lepas manakala hukuman penjara ke atas Mohd Shuhaidi diarahkan berkuatkuasa hari ini berikutan tertuduh berada dalam jaminan.

Pada 29 Feb tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas kedua-dua tertuduh selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23, di Perkid yang beralamat di No: 9, Jalan Sentosa, Batu 14, Hulu Langat, kira-kira pukul 11 pagi, 26 Jun 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Mengikut keterangan kes, mangsa yang pengsan selepas kejadian itu telah dikejarkan ke Hospital Ampang tetapi disahkan meninggal dunia dan punca kematiannya adalah akibat hentakan senjata tumpul di kepala.

Doktor turut mengesahkan terdapat 70 luka pada badan, kepala, muka, paha dan kaki mangsa.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mohammed Azizi, sukarelawan di Perkid, sebuah badan bukan kerajaan yang menumpukan kepada isu seperti murtad di kalangan orang Melayu Islam, dadah dan akhlak, menyertai rumah kebajikan itu pada awal 2007 untuk menerima rawatan dan sebaik pulih menawarkan diri sebagai sukarelawan di pusat itu.

Mohd Shuhaidi yang juga ketua operasi Perkid Hulu Langat pula menyertai rumah kebajikan itu pada 2004.

Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum hadir bagi pihak responden sementara peguam M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa. - Bernama

Pemuda maut, motosikal bertembung kereta



MELAKA - Status akaun laman sosial seorang pemuda mengenai siapa jodohnya menjadi catatan terakhir Mohd Khairul Zulkifli yang maut dalam nahas di Jalan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam semalam.

Mohd Khairul, 27, mengemas kini status akaun Facebooknya "Sapelh jodoh aku agknya yea...Hehehe..' (Siapalah jodoh aku agaknya ya...) pada sebelah pagi menemui ajal pukul 8 malam selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.

Ibunya, Jamaliah Ali, 50, berkata anak sulung dari lima beradik itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kota Fesyen, MITC keluar ke tempat kerja kira-kira 7 pagi dan lazimnya akan tiba di rumah antara 6 petang hingga 8 malam, namun sehingga 8.30 malam tadi Mohd Khairul tidak pulang.

Katanya beliau kemudian dimaklumkan mengenai kejadian oleh pihak polis dan rakan anaknya. "Saya sering meminta arwah mencari jodoh namun arwah hanya ketawa.

Tapi pagi semalam dia ada letak dalam Facebook persoalan jodoh dan tak sangka pula dia akan perhi meninggalkan kami malam tadi," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, DSP Muhammmad Koey Abdullah berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang datang dari arah bulatan MITC menghala persimpangan Seri Negeri berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Satria dipandu seorang wanita berusia 43 tahun yang menuju ke arah Taman Tasek Utama, katanya ketika dihubungi.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

2 beradik edar dadah RM720,000 ditahan

2 beradik edar dadah RM720,000 ditahan
Thaiveegan (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas.
SHAH ALAM - Sepasang adik-beradik lelaki yang sedang mengedar dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM720,000 dicekup polis dalam serbuan yang dibuat di tepi jalan Semenyih, Kajang, kelmarin.

Sebelum serbuan dilakukan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menjalankan intipan, sebelum mengekori kedua-dua suspek yang menaiki motosikal ke kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, ketika ditahan kira- kira jam 12 tengah hari, berlaku pergelutan kerana kedua-dua suspek berusia 32 dan 29 tahun itu cuba melawan untuk meloloskan diri. Beliau berkata, polis bagaimanapun dapat menahan kedua-dua suspek dan pemeriksaan dalam beg sandang hitam yang dijumpai bersama mereka menemui 30 peket plastik besar berisi dadah heroin seberat 13.6 kilogram.

"Satu peket plastik besar itu mengandungi sebanyak 465 gram (g) dadah heroin dan boleh dijadikan dalam bentuk lebih kecil iaitu kira-kira 300 peket dengan kandungan 2g bagi setiap satu.

"Kita percaya suspek jual dadah terbabit bukan sahaja di sekitar Semenyih tetapi juga untuk pasaran di daerah lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Thaiveegan berkata, siasatan awal menunjukkan pasangan adik-beradik itu mula menjalankan kegiatan terbabit  sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih di bawah pemerhatian orang sekatan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek yang didapati positif dadah itu turut dikesan memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Apartmen runtuh ketika nyenyak tidur

Apartmen runtuh ketika nyenyak tidurKerja-kerja menyelamat giat dilakukan di pinggir Mumbai.
MUMBAI - Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah apartmen runtuh di pinggir Mumbai, India, semalam.

Pesuruhjaya polis, Raghuvanshi berkata, kejadian itu berlaku ketika penghuni apartmen berkenaan sedang nyenyak tidur.

“Sehingga kini, seramai 10 kematian dicatatkan dengan lima dewasa dan lima kanak-kanak dan sembilan mengalami kecederaan. Kami percaya ramai yang masih terperangkap,” katanya.

Menurutnya, anggota penyelamat terpaksa menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa di bawah runtuhan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan laporan awal mendapati kejadian itu tiada unsur khianat," katanya.

Sementara itu, menurut saksi, kejadian itu berlaku kira-kira jam (6 pagi waktu tempatan).

"Ketika itu, saya sedang melintas di kawasan ini, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat dan bangunan ini runtuh dengan pantas," katanya kepada AP.

Banjir: Penduduk Central Calgary dipindahkan


Foto ihsan AP
Foto ihsan AP
CALGARY - Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk Calgary berpindah ke pusat pemindahan akibat banjir besar melanda wilayah itu.

Hujan lebat mengakibatkan banjir di seluruh bandar terbesar Alberta dan tanah runtuh di kawasan lain.

Kedua-dua sungai yang mengalir melalui Calgary, Bow dan Elbow turut berada di paras bahaya.

Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan dengan segera dan melawat kawasan yang dilanda banjir.

“Banjir kali ini merupakan sesuatu yang luar biasa,” kata Harper.

Setakat ini, kira-kira 75,000 penduduk di situ sudah diarahkan keluar dari rumah mereka.

Sekurang-kurangnya 350 tentera dihantar ke zon banjir bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas.

Dua pemandu lori mati tersepit


Kuala Lumpur: Dua pemandu lori maut selepas tersepit di bahagian tempat duduk kenderaan mereka dalam dua kejadian berasingan di Sungai Besi dan Selayang, malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama, seorang pemandu lori kontena maut selepas kontena yang dibawanya menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa yang sedang memandu tersepit di tempat duduk.


Menurut Bilik Gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, mangsa dikenali sebagai Azman Zainal, 28, dikatakan ingin membuat pusingan U di salah satu persimpangan lampu isyarat di Taman Perindustrian Selayang, di sini.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan jam 8.41 malam dan mengambil masa lebih kurang sejam termasuk meminta bantuan dua kren bagi mengangkat kontena lori berkenaan.


“Mayat mangsa agak sukar dikeluarkan kerana tersepit di tempat duduk pemandu selain dihempap kontena yang terbalik di atas bahagian kepala lori,” katanya.


Sementara itu, dalam kejadian kedua di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan, seorang pemandu treler berusia 60-an maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa dikatakan baru selesai bertugas dan ingin meletakkan kenderaan itu di tepi sebuah tembok berhampiran jalan berkenaan.


“Ketika mengundur, mangsa mengeluarkan kepalanya untuk melihat sisi belakang kenderaan berkenaan agar ia diletakkan di tempat yang betul.

“Bagaimanapun, ketika itu, tayar treler itu tergelincir menyebabkan kenderaan itu bergerak sendiri dan terhimpit di tembok berkenaan menyebabkan kepala mangsa dan separuh badannya tersepit,” katanya.


Difahamkan, mangsa sudah meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat tiba. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Kereta melambung



Kuala Berang: “Saya tidak berani membuka pintu kereta Perodua Kancil itu selepas melihat mangsa di dalamnya parah,” kata Abdullah Osman, 51, saksi kejadian kemalangan maut di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Kampung Batu 23, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Ibrahim Mohd Taib, 54, yang juga penggiat seni teater di negeri ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas kereta dipandunya bertembung Proton Gen 2 yang terbabas hingga memasuki laluannya.


Menurut Abdullah, ketika kejadian, dia menghala ke pekan Kuala Berang dan melihat Proton Gen 2 terbabit yang berada di hadapannya cuba memotong sebuah kereta melalui laluan tepi sebelah kiri jalan.

“Namun, kereta berkenaan tidak berjaya memotong kerana ada motosikal di sebelah kiri jalan menyebabkan pemandunya mengelak ke kanan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah Kuala Berang ke Ajil.


“Akibat rempuhan kuat itu, Perodua Kancil terbabit melambung dan tersangkut di atas besi penghadang jalan,” katanya. ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, melihat keadaan pemandu kereta Perodua Kancil itu yang parah, dia serta pengguna jalan raya lain tidak berani mengeluarkannya kerana bimbang kecederaan dialami mangsa menjadi lebih teruk.

“Kami mengambil keputusan menunggu anggota keselamatan tiba di tempat kejadian untuk tindakan selanjutnya.


“Ketika itu, arwah sudah tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dari kenderaannya oleh anggota bomba yang tiba di situ kira-kira lima minit kemudian,” katanya.

Sepupu isteri mangsa Mohd Yusof Mustapha, 39, berkata, arwah yang menetap di Perumahan Awam Kos Rendah Tok Randok, Ajil, dekat sini, menceburi bidang teater sejak remaja. “Kali terakhir saya menemui arwah yang popular dengan gelaran Ibrahim Ulu dua hari lalu ketika membincangkan aktiviti teater. Ketika itu, arwah seperti biasa bergurau dengan saya dan kenalan lain.


“Arwah juga pengasas kumpulan kebudayaan dikenali sebagai Kumpulan Ke Ulu dan antara teater arahannya Wok Mok Nok Balik, Balik Lah Wok dan Orang Ulu Hatinya Sumbing.


“Malah, teater arahannya Orang Ulu Hatinya Luka Lagi memenangi tempat ketiga dalam Festival Teater Malaysia 2006,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Rampas pistol pengawal peribadi


Kapar: Pistol Glock yang digunakan pengawal peribadi untuk menembak seorang lelaki warga asing yang cuba menyamun wang RM50,000 daripada pengurusnya dirampas polis untuk siasatan lanjut.

Sumber berkata, ia dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dijalankan dan siasatan mendapati pengawal peribadi berusia 40 tahun itu mempunyai lesen sah untuk menggunakan senjata api.


Menurutnya, pengawal peribadi itu masih boleh menyimpan lesennya dan pistol berkenaan hanya akan diserahkan semula selepas polis melengkapkan siasatan.

“Pistol dan peluru yang masih ada dalam kelopak sudah dirampas, tetapi lesen masih dipegang pengawal peribadi berkenaan. Siasatan mendapati beliau juga mempunyai kelayakan sah untuk menggunakan pistol,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, polis juga sudah memanggil pengawal peribadi untuk diambil keterangan.


Mohamad Shukor berkata, polis juga akan memanggil saksi awam yang menyaksikan kejadian itu untuk mengumpulkan keterangan dan membantu siasatan.

Suri rumah disamun ketika buang tilam


Alor Gajah: Seorang suri rumah bukan saja kerugian RM12,000 malah cedera pada anggota badan selepas bergelut dengan empat lelaki bersenjata dalam kejadian samun di Durian Tunggal di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Nuraini Saidi, 51, yang sedang membuang tilam buruk diserang kumpulan lelaki bermotosikal bersenjatakan tiga bilah parang.


Sumber berkata, suspek menetak mangsa di pinggang dan paha kiri sebelum merentap barang kemas yang dipakai wanita terbabit.

“Penjenayah itu bertindak ganas merentap rantai berkenaan hingga putus dan tercampak atas jalan sebelum suspek kemudian menarik gelang tangan mangsa.


“Panik dengan keadaan itu, mangsa bertindak melawan dan bergelut dengan penjenayah terbabit sebelum seorang daripada mereka melibas parang dan terkena peha mangsa,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, seorang jiran yang kebetulan berada di lokasi kejadian menyedari kejadian itu dan bertindak membunyikan hon kenderaan, namun seorang daripada suspek menuju ke arah kereta itu lalu menetak cermin depan. “Penjenayah berkenaan yang menunggang motosikal Honda EX5 memecut laju menghala keluar taman perumahan berkenaan dan meninggalkan mangsa terbaring di atas jalan.

“Dalam keadaan berdarah di kaki dan badan, mangsa pulang dalam kesakitan sambil memanggil suaminya Mohd Ridzuan Tee Abdullah, 37, keluar dari rumah mereka,” katanya.


Kata sumber itu, suami mangsa bertindak mengejar penjenayah terbabit sejauh kira-kira 1,500 meter dengan menaiki kereta sambil menjerit meminta bantuan.

“Tindakannya membunyikan hon ketika mengejar empat penjenayah itu tidak diendahkan,” katanya yang memaklumkan mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan membuat laporan polis di Balai Polis Durian Tunggal.

Duit lebur diperdaya CEO


Kuala Lumpur: Impian empat individu untuk memiliki sebuah kedai serbaneka 24 jam berkecai bersama wang pelaburan RM131,000 yang didakwa sudah dibayar kepada sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan pembukaan premis itu di Wangsa Maju, lebih setahun lalu.
Mereka mendakwa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit lesap bersama wang itu sebagai pendahuluan pelaburan perniagaan francais bernilai RM1.17 juta.

Pegawai aplikasi teknologi maklumat Azhari Nordin, 47, berkata, dia tertarik dengan konsep perniagaan kedai serbaneka 24 jam melalui sistem francais itu selepas terbaca mengenainya di sebuah akhbar pada Disember 2011.
“Kami turut dijanjikan mendapat barangan 1Malaysia, Koperasi 1Malaysia selain modal permulaan yang rendah mengikut pakej ditawarkan iaitu bermula dengan RM15,000, RM30,000 atau RM35,000,” katanya, semalam.

Lebih meyakinkannya apabila melihat jenama kedai itu sudah mempunyai beberapa cawangan selain didakwa mendapat kerjasama melalui skim pembiayaan francais Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta beberapa agensi lain.

“Pada Disember 2011, saya bertemu dengan CEO syarikat terbabit yang dilantik pemilik kedai serbaneka terbabit menjadi pihak ketiga untuk menguruskan urusan pembayaran membuka kedai yang difrancaiskan itu.
Foto
MANGSA penipuan kedai serbaneka menunjukkan laporan yang dibuat.
“Kemudian pada 1 Januari 2012, saya membuat bayaran deposit pertama kepadanya berjumlah RM13,000, iaitu lima peratus daripada pakej kedai RM260,000 dan tambahan lagi RM17,250 tiga minggu kemudian.

“Setelah beberapa minggu berlalu, saya menghubunginya semula untuk bertanyakan status kedai, tetapi pelbagai alasan diberikan sehinggalah pada September tahun lalu saya minta wang deposit dikembalikan, tetapi sehingga ke hari ini, dia lesap bersama keseluruhan wang RM30,250.
Mangsa lain, Shaiful Nizam Saad, 36, berkata, dia kerugian RM35,250 selepas menjelaskan deposit pakej membuka kedai serbaneka bernilai RM325,000 pada Disember 2012.

“CEO lelaki berusia lingkungan 40-an itu memberitahu mendapat tawaran PNB, tetapi apabila menghubungi PNB mereka dimaklumkan tidak pernah berurusan dengan syarikat terbabit.

“Pelbagai alasan diberikan sehingga kini saya gagal mendapatkan semula wang yang dibayar,” katanya.

Peniaga Mohamed Zuhri Sharif, 29, dan kontraktor Zulkifli Mohd Sahar, 24, yang turut menjadi mangsa masing-masing membabitkan pelaburan berjumlah RM30,250 dan RM35,250 menggesa pihak berkuasa menyiasat kewujudan syarikat terbabit.

“Kami yakin, lelaki terbabit hanya mahu menggunakan peluang ini untuk menipu mangsa, malah semasa membuat laporan polis, kami diberitahu terdapat 35 lagi individu lain menerima nasib seperti kami yang mungkin dilakukan individu sama,” katanya.

Tukang urut dicabul ‘pelanggan’ sebelum disamun



Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki dicabul sebelum disamun seorang lelaki yang hanya beberapa jam dikenali di Wangsa Delima, di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia 18 tahun kerugian kira-kira RM5,000 selepas wang tunai RM3,000, komputer riba dan telefon bimbit disamun lelaki berusia 30 tahun itu.


Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang menjalankan khidmat urut sambilan diminta datang ke sebuah hotel oleh lelaki itu untuk mengurutnya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hanafi, 18, berkata, lelaki itu mendakwa mengambil nombor telefonnya di sebuah kedai dan memintanya datang ke hotel untuk mengurut.


“Saya yang menjalankan khidmat urut sambilan menganggap lelaki itu sebagai pelanggan dan menurut arahannya untuk ke hotel. Saya mengurut di bahagian badan sebelum dipaksa membuat urutan di kemaluan.


“Saya menolak permintaan lelaki itu, namun dipaksa sebelum dipukul. Takut diperlakukan dengan lebih kejam, saya mengikut arahannya sebelum dicabul,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selesai mengurut, lelaki itu mempelawa untuk menghantarnya pulang ke Sri Kembangan dengan kereta.


Katanya, ketika dalam perjalanan, dia diugut lelaki itu yang akan menyebarkan video rakaman aksi mereka dan meminta wang tunai RM3,000 sekiranya tidak mahu video berkenaan tersebar.

“Saya yang takut dengan ugutan itu kerana akan memburukkan nama sebagai pelajar terus menyerahkan wang tunai yang diminta,” katanya yang sebelum itu mengeluarkan wang simpanannya di bank mesin juruwang automatik (ATM) di Wangsa Maju.


Menurutnya, lelaki itu turut merampas telefon bimbit dan komputer riba miliknya sebelum meninggalkannya di tepi jalan.


Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

2 pencipta senjata sinar-X didakwa


Albany (New York): Pihak berkuasa Amerika Syarikat menuduh dua lelaki memasang sebuah senjata sinar-X mudah alih untuk digunakan secara sulit terhadap musuh Israel.

Gleondon Scott Cradwford, 49, dan Eric J Feight, 54, dituduh bersekongkol memberi bantuan kepada pengganas Yahudi dengan membekalkan senjata itu.


Penyiasat berkata, Crawford menghubungi pertubuhan Yahudi tahun lalu untuk mendapatkan pembiayaan membina teknologi yang boleh digunakan untuk memusnah dan merebakkan dos radiasi yang boleh membawa maut terhadap musuh Israel.


Dia dan Feight memasang peralatan mudah alih itu yang boleh dikawal dari jarak jauh. Bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan.


“Crawford secara khusus mengenalpasti orang Islam sebagai sasaran,” kata penyiasat Geoffrey Kent dalam afidavit mahkamah.


Menurutnya,Crawford turut pergi ke Carolina Utara mendapatkan wang bagi senjata itu daripada seorang anggota kanan Ku Klux Klan yang memaklumkannya kepada FBI.

Crawford mendakwa dia menganggotai kumpulan itu.


Kesan radiasi itu akan kelihatan beberapa hari kemudian, kata pihak berkuasa, Siasatan FBI dan agensi polis di Albany bermula pada April 2012 selepas pihak berkuasa menerima maklumat Crawford menghubung pertubuhan Yahudi.

Crawford, mekanik jurutera General Electric (GE) mengenali Freight, kontraktor GE yang mempunyai kemahiran mekanikal dan kejuruteraan menerusi kerja.


Feight mereka, membuat dan menguji kawalan jauh itu dan merancang mengendalikan sistem sinar-X itu yang dipasang pada sebuah trak.