PETALING JAYA 20 Jun — Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian William Yau Zheng Zhong, 6, yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Januari lalu dikategorikan sebagai nahas kerana mangsa didapati secara tidak langsung terjatuh ke dalam longkang berhampiran Jalan Putra Mahkota Heights, Subang.
Keputusan itu dibuat oleh Koroner Mohd. Hezri Shaharil yang mendengar inkues bagi menyiasat punca sebenar kematian kanak-kanak itu sejak 11 Mac lalu yang melibatkan 21 saksi.
Beliau memberitahu, ekoran kejadian itu, mangsa dipercayai mengalami kecederaan serius di tengkorak yang kemudiannya mengakibatkan kematian.
Mahkamah juga menolak penglibatan mana-mana pihak secara jenayah termasuk ibu bapa mendiang.
"Namun begitu, mahkamah ini tidak menolak sebarang unsur kecuaian yang membawa kepada bencana kematian mangsa," katanya.
William ditemui mati selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya di sini.
Lapan hari selepas hilang, mayat kanak-kanak lelaki itu yang lengkap berpakaian ditemui terapung di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang dan laporan awal Jabatan Kimia mengesahkan mayat itu adalah William.
Prosiding inkues itu dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.
Mohd. Hezri berkata, mahkamah mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan lama termasuk di dahi kanan dan tulang rusuk kanan mendiang.
"Bagaimanapun laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan itu sahaja tidak memungkinkan mangsa mati," katanya.
Berdasarkan keterangan saksi-saksi termasuk pakar perubatan forensik, beliau turut menolak kemungkinan mangsa didera kerana tiada laporan mengaitkan pola kecederaan berulang dan berperingkat di tubuh mendiang.
Beliau memberitahu, sepanjang prosiding, terdapat dua longkang yang difokuskan sebagai tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Meskipun salah satu daripada longkang itu terletak berhampiran kenderaan yang ditinggalkan oleh bapa mangsa, mahkamah berpendapat terdapat keraguan kerana keadaan longkang tersebut yang mempunyai penutup bergerigi besi.
"Pernyataan saksi-saksi juga bercanggah di mana ada yang menyatakan penutup besi itu terbuka ketika kejadian dan ada pula yang menyatakan ia tertutup.
"Selain itu ada keterangan yang menyatakan dasar longkang itu kering dan paling ketara ketiadaan arus yang memungkinkan mendiang terjatuh dan dihanyutkan dari longkang ini dalam masa singkat," katanya.
Menurutnya, teori yang menyatakan mangsa terjatuh ke dalam longkang yang terletak kira-kira 70 hingga 100 meter dari tempat kenderaan bapa mangsa diletakkan tidak dapat dinafikan kerana keluasan longkang tersebut yang lebar dan terbuka di bahagian sisi selain permukaan sekeliling adalah keras, diperbuat daripada konkrit.
Mohd. Hezri berkata, berdasarkan faktor kematangan mangsa yang baru berusia enam tahun, mahkamah tidak menolak kemungkinan mendiang telah keluar dari kenderaan dan secara tidak langsung menghampiri kawasan longkang tersebut sebelum tergelincir dan kepalanya terhentak pada permukaan keras longkang itu.
Ibu bapa mangsa, Yau Kook Kang, 33, dan Goh Ying Ying, 26, yang turut hadir di mahkamah enggan ditemuramah berhubung keputusan tersebut semasa ditemui pemberita.
Sementara itu, peguam pemerhati keluarga mangsa, Goh Kim Lian berkata, keluarga William berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130621/ma_01/William-mati-akibat-terjatuh-tidak-sengaja#ixzz2WnlATG6U
© Utusan Melayu (M) Bhd