Search This Blog

Thursday, June 20, 2013

Padah 'kejar' kapal terbang

Foto
ANGGOTA polis dan bomba menjalankan siasatan.


Foto
MANGSA yang tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba.
Kota Kinabalu: Tindakan empat pelancong Hong Kong mengingkari arahan pengawal landasan kereta api supaya tidak menyeberangi laluan ketika sebuah kereta api melintas menerima padah apabila kenderaan dinaiki diseret hampir 10 meter hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut.

Dalam kejadian jam 5.45 petang di Jalan Lintas berhampiran Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) semalam, seorang lelaki berusia 50-an maut, manakala tiga ahli keluarganya cedera ringan apabila kenderaan berkenaan diseret sebelum berpusing beberapa kali lalu merempuh sebuah Perodua Myvi berhampiran.

Semua mangsa dikeluarkan sepasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, tiga penumpang Myvi termasuk bayi berusia satu tahun tidak cedera dan 200 penumpang kereta api dari stesen Tanjung Aru ke Beaufort juga selamat.




Menurut pengawal landasan dikenali sebagai Ag Zarin, 30, ketika kejadian dia melihat sebuah Hyundai Accent memandu laju ke arah KKIA.

Janda rela dalam paksa



Kuala Lumpur: Nyata ia pengorbanan besar yang dibuat seorang janda apabila rela dirinya ditiduri semata-mata bagi memastikan bekas suaminya dibebaskan sekumpulan penculik.

Wanita yang juga seorang peniaga berusia 41 tahun itu dilaporkan berbuat demikian selepas gagal menyediakan wang tebusan RM10,000 yang diminta lima penjenayah terbabit.


Sumber polis berkata, bekas suami wanita itu yang berusia lewat 40-an diculik pada 10 Jun lalu selepas dia didakwa menipu lima lelaki terbabit berkaitan penjualan permit warga asing. “Natijahnya, bekas isteri lelaki itu diganggu kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan wang tebusan RM10,000 bagi membebaskannya,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit didatangi lima lelaki berusia lewat 20-an ketika sibuk berniaga di Bukit Jalil, di sini, jam 4 petang, 10 Jun lalu.


“Kumpulan terbabit turut membawa bekas suaminya bersama sebelum mendakwa tidak berpuas hati dengan lelaki itu kerana dikatakan menipu mereka,” katanya.


Sumber itu berkata, bekas suami wanita itu kemudian dibawa semula bersama kumpulan penculik terbabit menaiki Proton Waja berwarna biru.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokan harinya, wanita itu dihubungi seorang lelaki dan meminta RM10,000 sebagai wang tebusan jika mahu bekas suaminya dibebaskan.


“Mangsa memberitahu dia hanya memiliki RM1,100 dan suspek yang menghubunginya berkata dia setuju menerima jumlah berkenaan, namun untuk ‘mencukupkan’ jumlah RM10,000 yang dituntut, mangsa perlu menyerahkan tubuhnya.

“Suspek memberitahu, persetujuan mangsa mengadakan hubungan seks bukan saja sebagai sebahagian bayaran wang tebusan, tapi juga bayaran bagi melunaskan hutang bekas suaminya itu,” katanya.


Menurutnya, wanita terbabit kemudian diarahkan bertemu di sebuah pasar di Jalan Klang Lama dan diberi amaran agar merahsiakan perkara itu jika tidak mahu bekas suaminya itu ditembak hingga mati.


Sumber itu berkata, bersimpati dengan nasib bekas suaminya wanita itu mengikut arahan diberikan dengan pergi bersendirian ke lokasi diarahkan.


“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, mangsa menemui lima lelaki sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pantai Dalam dan dipertemukan dengan bekas suaminya yang dijadikan tahanan.


“Mangsa dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang daripada ahli kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan RM1,100 sebagaimana dijanjikan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berakhir di situ kerana mangsa masih diganggu dan diugut biarpun sudah menyerahkan sejumlah wang dan tubuhnya kepada penjenayah terbabit.


“Ini kerana mangsa dihubungi semula kumpulan terbabit kira-kira jam 3 pagi, 12 Jun lalu sebelum diarahkan membayar sejumlah lagi wang atau keluarga dan bekas suaminya akan dibunuh jika dia gagal berbuat demikian.


“Tidak tahan dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari sama,” katanya.


Sumber itu berkata, bekas suami mangsa sudah dibebaskan kumpulan penjenayah terbabit.

Kereta terjunam kerana tertekan pedal minyak



JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kedai buku di Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda di sini, tergamam apabila Proton Saga FLX warna emas dipandunya terjunam dari tempat letak kereta setinggi satu meter,di sini, semalam.

Mangsa, Zanariah Abu Bakar, 35, yang baru selesai menghantar dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun ke sebuah tadika swasta di sini, bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Zanariah yang ditemui berkata, dia bekerja di kawasan berhampiran sejak 2009 dan menggunakan tempat letak kereta itu sejak dua bulan lalu selepas membeli kereta berkenaan.

"Saya tidak sangka tersalah tekan pedal minyak ketika meletak kereta dalam kotak menyebabkannya terus ke depan lalu terjunam menyebabkan kerosakan enjin.


"Sebenarnya hari ini saya mahu menghantar kereta ke pusat servis untuk kali kedua selepas singgah sebentar di pejabat, namun tidak menyangka tersilap menekan pedal minyak.


"Rasa terkejut dan tergamam selepas terjunam bersama kereta ke jalan raya, namun apakah daya ia sudah berlaku dan bersyukur kerana umur masih panjang," katanya.

Menurutnya, dia hanya sakit tengkuk dan bahu serta terkilan kerana kereta yang baru dibeli sejak dua bulan lalu mengalami kerosakan teruk.

Katanya, dia bernasib baik kerana tiada kereta melalui jalan di bahagian bawah kerana jika tidak boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Dia mengakui kejadian itu disebabkan kecuaiannya tetapi berharap pihak berkuasa memasang penghadang atau tembok setinggi setengah meter bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Sebelum ini ada beberapa kenderaan lain hampir terjunam apabila meletakkan kereta di kawasan berhampiran.

"Saya berpendapat lebih selamat sekiranya kawasan itu mempunyai penghadang besi atau tembok kerana dapat menghalang kereta daripada terjunam," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu dan memberitahu ia akibat kecuaian.

Kampung Datu lenyap

Foto
KAMPUNG Datu Lama hanya tinggal nama.

Foto
KIRA-KIRA 100 rumah terbakar di Kampung Datu Lama, semalam.

Sibu: “Sebaik tiba di rumah, saya lihat penduduk berlari sambil menjerit api... api... api dan ada juga yang menangis,” kata Mohamad Nur Hafiz Majidi, 28, ketika menceritakan kebakaran membabitkan hampir 100 rumah di Kampung Datu Lama, di tepi Sungai Rajang di sini, semalam.

Kebakaran yang berlaku sekitar 3.45 petang itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk kampung tradisi berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan berharga berikutan api marak dengan cepat selain kedudukan rumah terlalu rapat.

Foto
PEMANDANGAN dari udara kebakaran yang berlaku di Kampung Datu Lama.


Menurutnya, api dipercayai bermula dari sebuah rumah tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah bersebelahan.



“Rumah tidak berbumbung itu sudah lama ditinggalkan pemiliknya. Kebakaran bermula dari rumah itu, mungkin disebabkan cuaca terlalu panas sebelum merebak rumah lain.


“Ketika kejadian, kebanyakan penduduk keluar bekerja dan kepulangan mereka dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Hilir ketika dihubungi di sini, semalam.

Kedai perabot, bengkel kereta hangus


Kuala Lumpur: Sebuah kedai perabot dan bengkel kereta musnah dalam kebakaran di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh tiba di tempat kejadian jam jam 1.24 pagi sebaik menerima maklumat kebakaran itu.


Menurutnya, kebakaran dipadam keseluruhannya jam 1.57 pagi dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan sebanyak lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Seputeh, Bukit Jalil, Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dan Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) terbabit dalam tugas memadam kebakaran berkenaan.


“Jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Kelab malam ejen pelacuran


Petaling Jaya: Hanya dengan bayaran serendah RM120, pelanggan sebuah kelab malam boleh mendapatkan perkhidmatan seks pelayan pelanggan (GRO) yang disediakan pusat hiburan berkenaan.

Premis yang beroperasi di Dataran Mentari, di sini, dikesan turut membenarkan GRO mereka dibawa keluar selepas ditempah dengan bayaran antara RM120 dan RM300.


Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu tidak bertahan lama apabila diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, malam kelmarin.

Dalam serbuan diketuai Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam bersama tiga pegawai dan 12 anggota pada jam 11.45 malam itu, seramai 38 GRO warga asing yang asyik melayan pelanggan ditahan. Sebahagian daripada wanita berusia 21 hingga 35 tahun terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang, namun gagal dan ditahan sepasukan polis .


Shahrul berkata, hasil pemeriksaan mendapati 22 daripada wanita berkenaan adalah warga Thailand, 13 Vietnam, dua Filipina dan seorang China.


“Semakan mendapati semua wanita warga asing berkenaan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai menyalahgunakannya bekerja sebagai GRO,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di pusat hiburan berkenaan juga menemui beberapa kalungan bunga yang setiap satunya bernilai serendah RM20 disyaki digunakan sebagai tip pelanggan kepada wanita GRO berkenaan.


“Pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan seks daripada wanita warga asing dengan membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mengadakan hubungan itu di luar premis dengan kadar bayaran serendah RM120 atau RM300 untuk semalaman.

“Pemilik premis berusia 48 tahun juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk diambil keterangan dan pemeriksaan mendapati premis terbabit mempunyai lesen,” katanya.


Semua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya.

Restu maksiat



Alor Gajah: Sepasang suami isteri bagaikan merestui anak gadisnya melakukan maksiat apabila tergamak membiarkan wanita itu tidur bersama kekasihnya di rumah mereka di Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Kegiatan itu terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu rumah pasangan suami isteri berusia 49 dan 46 tahun itu sebelum menemui anak gadis mereka berusia 20 tahun bersekediaman dengan kekasihnya berusia 26 tahun, pada jam 1.10 pagi.


Ketika kejadian, bukan saja pasangan suami isteri berkenaan berada di rumah itu, malah anak gadisnya berusia 19 tahun serta nenek kepada pasangan wanita itu yang berusia 78 turut berada di rumah berkenaan.

Lebih menyedihkan ibu bapa suspek seolah-olah tidak terkejut dengan kehadiran lelaki bukan mahram itu bermalam bersama anaknya, malah langsung tidak menunjukkan reaksi marah.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM Rahimin Bani berkata, berdasarkan aduan, penguat kuasa bergegas ke rumah itu dan selepas mengetuk serta memberi salam, pintu dibuka anak gadis pemilik rumah berusia 19 tahun.


Katanya, pemeriksaan lanjut menemui seorang warga emas yang uzur berada di ruang tamu dan pemeriksaan lanjut menemui pasangan suami isteri tidur di dalam sebuah bilik.

“Apabila diperiksa sebuah lagi bilik ia dibuka seorang gadis dan ketika ditanya siapa berada di dalamnya dia menyatakan tiada sesiapa, dan pemeriksaan kemudian menemui seorang lelaki yang tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.


“Pegawai JAIM turut melakukan soal tanya terhadap ibu bapa gadis berkenaan dan mereka mengakui mengenali lelaki terbabit, bagaimanapun memberi alasan tidak mengetahui kehadiran kekasih anaknya itu,” katanya.

Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, malah mereka mengakui beberapa kali tidur sebilik di rumah berkenaan walaupun ibu bapa kepada gadis itu mengetahuinya.


Katanya, lelaki terbabit memberi alasan menumpang tidur di rumah teman wanitanya selepas menghadapi krisis dengan keluarganya.


“Dia sampai di rumah berkenaan sejak petang dan keluarga wanita itu mengetahui kehadiran lelaki terbabit, malah siasatan mendapati mereka juga mengakui pernah terlanjur di rumah itu,” katanya yang turut menjelaskan pasangan itu mengenali hampir tiga tahun.


Beliau berkata, pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.


“Jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Bengkel musnah dalam kebakaran


Kuching: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelak api daripada sebuah bengkel yang sedang terbakar daripada merebak ke kilang menyimpan gas bersebelahan dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan RM1 juta di Jalan Dermaga, Bintawa di sini, semalam.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu memusnahkan lima kereta, empat treler, dua lori balak, sebuah trak penunda dan empat go-kart selain meranapkan pejabat yang menempatkan alat ganti kenderaan.


Menurut pekerja bengkel dikenali sebagai Lee, 43, sebelum kejadian dia berada di rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian dan menerima panggilan daripada majikan memaklumkan bengkel terbakar.

“Tanpa membuang masa, saya bergegas ke bengkel dan sebaik tiba mendapati hampir keseluruhan premis terbakar. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kebanyakan pekerja keluar makan tengah hari ketika itu.


“Saya dan pekerja lain hanya mampu melihat api memusnahkan semua yang ada dalam premis sebelum anggota bomba tiba tidak lama kemudian,” katanya. ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.35 tengah hari dan mengerahkan tiga jentera bersama 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Batu Lintang dan Petra Jaya ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sebahagian premis itu sudah terbakar dan ketangkasan anggotanya menghalang api merebak ke kilang penyimpanan gas di sebelah premis itu.


“Api marak dengan cepat berikutan terdapat bahan mudah terbakar dipercayai petrol dan diesel dalam bengkel,” katanya.

Abang rekrut adik edar dadah dicekup


Seremban: Seorang lelaki sanggup ‘merekrut’ adik kandungnya sebagai tokan dadah secara kecil-kecil, namun aktiviti haram itu digagalkan apabila mereka dicekup polis di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Gadut, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan diketuai Inspektor Mohd Rosdi Ismail, kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menahan dua beradik itu, masing-masing berusia 17 dan 28 tahun.


Ketua JSJN Negeri Sembilan Superintendan Baharom Othman berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai membawa adik lelakinya itu untuk menurunkan ‘ilmu’ mengedar dadah.

“Serbuan dilakukan hasil risikan polis mengenai kewujudan markas penagih dadah di ladang itu.


“Dalam serbuan pertama, kita menahan dua pengedar berusia 28 dan 31 tahun bersama 75 paket plastik berisi disyaki dadah jenis heroin seberat 108 gram (g),” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, adik suspek pula ditahan beberapa meter berhampiran abangnya dan pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif heroin. “Sebaik menyedari ‘port’ itu diserbu, dua pengedar itu cuba melarikan diri sejauh 50 meter, tetapi berjaya ditahan dan bertindak mencampakkan bungkusan dadah berkenaan ke atas tanah.


“Seterusnya, kami juga menahan enam lelaki dipercayai pelanggan berusia 28 hingga 47 tahun dipercayai menjadikan markas itu untuk mendapatkan barang terlarang berkenaan,” katanya. Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu pernah dicekup beberapa kali sebelum ini, tetapi tidak serik. “Dua suspek yang memiliki dadah disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tujuh lagi, termasuk remaja itu disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pengedaran dadah menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan atau hubungi talian 06-7619999,” katanya.

4 lelaki Bangladesh pecah masuk rumah pelajar


Kuala Lumpur: Enam pelajar sebuah kolej berdepan detik mencemaskan apabila rumah sewa mereka di Jalan Genting Klang, di sini, dipecah masuk empat lelaki warga Bangladesh bersenjatakan pisau pemotong daging, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, semua mereka turut dipukul selain diugut akan dicederakan sebelum kumpulan penjenayah itu melarikan komputer riba, telefon, barang kemas dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM36,000.


Menurut sumber, ketika kejadian, semua mangsa berusia awal 20-an itu sedang bersarapan di ruang tamu rumah berkenaan.

“Semua mangsa terkejut apabila empat lelaki bersenjatakan pisau itu meluru masuk ke rumah mereka selepas mengumpil jeriji pintu hadapan.


“Dua daripada enam mangsa dilaporkan dipukul empat penjenayah itu sebelum barangan berharga milik mereka seperti telefon bimbit, komputer riba, wang tunai dan barang kemas dilarikan,” katanya memberitahu, semua mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius.


Sumber itu berkata, biarpun dapat melihat wajah empat suspek terbabit tetapi semua mangsa gagal membuat pengecaman kerana terlalu panik.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Setapak di sini.


Katanya, sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kumpulan penjenayah itu memecahkan pintu hadapan rumah mangsa.

“Polis juga berjaya mengesan dua cap jari dipercayai milik penjenayah yang ditemui di beberapa barangan yang ditinggalkan kumpulan penjenayah itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Rampas heroin bernilai RM21,110


Kuala Lumpur: Tiga beradik antara yang ditahan dalam dua tangkapan berasingan selepas didapati memiliki dadah jenis heroin bernilai RM21,110 di Jalan Cheras dan Off Jalan Chan Sow Lin, di sini, Isnin dan Selasa lalu.

Dalam tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah rumah di Lorong Ikan Emas di Jalan Cheras dan menahan lima individu berusia antara 17 dan 54 tahun termasuk dua wanita serta turut merampas heroin seberat kira-kira 282 gram bernilai RM18,810.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, tiga daripada lima ditahan itu adik-beradik. Dua daripada mereka juga didapati positif dadah.

“Kami menahan seorang lelaki di kawasan itu sebaik saja menerima maklumat orang awam sebelum dibawa ke sebuah rumah di kawasan sama dan menahan empat lagi suspek termasuk dua wanita.


“Hasil pemeriksaan menemui satu kotak mengandungi 170 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 277 gram, semua ditahan direman sehingga 24 Jun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, semalam.


Dalam tangkapan kedua, Mohan berkata, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan di sebuah kedai barangan lusuh di Off Jalan Chan Sow Lin kerana didapati memiliki 20 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis di premis itu dan turut menahan lima lagi lelaki termasuk seorang warga Myanmar berusia antara 42 hingga 55 tahun kerana disyaki memiliki dadah jenis sama,” katanya.

Remaja dalang geng samun

Kuala Lumpur: Kejadian samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam di daerah Brickfields dikesan dilakukan kumpulan remaja bersenjatakan parang.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Az Lee Abdullah berkata, berdasarkan siasatan dan beberapa siri tangkapan mendapati suspek menyamun kedai serbaneka pada tengah malam atau awal pagi yang ditahan adalah remaja lelaki berusia 19 tahun ke bawah.

“Polis sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan bagi mencegah berlaku samun. Namun, orang ramai perlu bekerjasama dalam membanteras jenayah.
“Jenayah berlaku apabila ada peluang. Kebiasaannya suspek yang mahu melakukan jenayah seperti pecah masuk, ragut dan samun menyasarkan orang awam yang berjalan seorang diri di kawasan gelap,” katanya selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah di stesen minyak Shell Kuchai Entrepreneurs Park, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam turut menjadi sasaran penjenayah malah, usaha polis menangani jenayah terbabit dengan melakukan pemeriksaan berjaya menahan suspek yang rata-ratanya terdiri daripada remaja.
Foto
NSTPMUHAMMAD Az menampal pelekat ‘Bersama Cegah Jenayah’.

Dah bayar tempat tiada...



Kuala Lumpur: Harapan seorang bapa melihat anak lelakinya menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang automatif di Subang Jaya, dekat sini, berkecai selepas anaknya itu gagal mendaftar masuk ke institusi berkenaan walaupun yuran pendaftaran sudah dibayar.

Azizul Rahman Shaik Yusoff, 50, berkata, pada 6 April lalu, anaknya yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Subang Jaya.


Menurutnya, dia juga membuat pembayaran pendahuluan RM450 di Kompleks Belia dan Sukan Jawi, Pulau Pinang ketika wakil kolej terbabit datang ke kompleks itu untuk mempromosikan kolej berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika itu anak saya sedang menjalani latihan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Bukit Mertajam tidak dapat mendaftar pada semester yang pertama dan terpaksa membuat penangguhan.


“Malah, pihak kolej juga bersetuju dan meminta kami datang pada Isnin lalu untuk mendaftar di kolej itu untuk memulakan sesi pembelajaran,” katanya.


Azizul berkata, dia sekeluarga yang berasal dari Pulau Pinang kemudian datang ke kolej berkenaan pada tarikh ditetapkan dan membuat baki bayaran sebanyak RM1,050.

“Namun apa yang mengejutkan, pihak kolej memberitahu penempatan di kolej itu sudah penuh dan memberitahu anak saya boleh belajar di cawangan kolej berkenaan di Bukit Mertajam.


“Saya bersetuju dengan cadangan mereka sebelum pulang. Malah, sebelum itu, terdapat 11 keluarga turut mengalami nasib sama dan anak mereka juga diberitahu supaya mendaftar di cawangan kolej berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keesokan harinya, dia menghubungi kolej itu di Bukit Mertajam, namun menerima berita mengejutkan apabila diberitahu pihak mereka tidak mengambil sesi kemasukan baru kerana penempatan sudah penuh.


“Terkejut dengan perkara itu, saya pergi semula ke kolej berkenaan untuk mendapat kepastian namun menerima jawapan mengecewakan.


“Malah, mereka sekali lagi menunda kemasukan anaknya saya iaitu pada 1 Ogos nanti. Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu dan meminta mereka memulangkan semula wang pendaftaran,” katanya.


Katanya, lebih mengecewakan, dia hanya menerima pulangan wang sebanyak RM1,050 manakala RM450 yang dibayar sebelum itu tidak dipulangkan pihak kolej yang mendakwa jika dia menolak tawaran belajar di kolej mereka wang itu tidak akan dikembalikan semula.


“Saya juga bimbang jika mereka menyalahgunakan borang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sudah siap diisi.


“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku saya juga membuat laporan polis di Balai Polis USJ 18, kelmarin,” katanya.


Dia juga berharap Kementerian Pendidikan mengambil serius perkara ini supaya tidak ramai lagi yang menjadi mangsa.

Guru rugi RM46,400 ditipu ‘pegawai’ Bank Negara


Sabak Bernam: Seorang guru berusia 34 tahun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM46,400 apabila ditipu seorang individu yang mengaku ‘pegawai’ dari Bank Negara kerana mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit, 14 Jun lalu.

Seperti kes yang dilaporkan media sebelum ini, mangsa juga dihubungi ‘pegawai’ bank berkenaan yang menyatakan dia perlu membayar tunggakan kad kredit berjumlah RM4,630 sekiranya tidak mahu akaun banknya dibekukan.


Tanpa berfikir panjang selain bimbang akaunnya benar-benar dibekukan, mangsa kemudian mengeluarkan semua wang simpanan miliknya di dua bank berjumlah RM42,000.

Suspek yang dipercayai sudah berpengalaman menjalankan penipuan menggunakan modus operandi sama hanya memberi arahan melalui telefon dan meminta mangsa mendepositkan wang simpanannya ke dalam sebuah akaun sementara.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, sebelum memasukkan wangnya ke dalam satu akaun, mangsa dihubungi seorang wanita dan lelaki yang kedua-duanya mengaku daripada sebuah bank terkemuka.


Menurutnya, wanita dan lelaki terbabit mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran kad kredit dengan bank berkenaan sebelum mangsa dihubungi seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai ‘pegawai’ daripada Jabatan Siasatan Pusat Pengurusan Kad Palsu Bank Negara Malaysia.

“Mangsa pada mulanya curiga selepas didakwa mempunyai tunggakan bayaran kad kredit kerana mangsa tidak pernah memohon kad kredit,” katanya.

Janda rela dalam paksa



Kuala Lumpur: Nyata ia pengorbanan besar yang dibuat seorang janda apabila rela dirinya ditiduri semata-mata bagi memastikan bekas suaminya dibebaskan sekumpulan penculik.

Wanita yang juga seorang peniaga berusia 41 tahun itu dilaporkan berbuat demikian selepas gagal menyediakan wang tebusan RM10,000 yang diminta lima penjenayah terbabit.


Sumber polis berkata, bekas suami wanita itu yang berusia lewat 40-an diculik pada 10 Jun lalu selepas dia didakwa menipu lima lelaki terbabit berkaitan penjualan permit warga asing. “Natijahnya, bekas isteri lelaki itu diganggu kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan wang tebusan RM10,000 bagi membebaskannya,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit didatangi lima lelaki berusia lewat 20-an ketika sibuk berniaga di Bukit Jalil, di sini, jam 4 petang, 10 Jun lalu.


“Kumpulan terbabit turut membawa bekas suaminya bersama sebelum mendakwa tidak berpuas hati dengan lelaki itu kerana dikatakan menipu mereka,” katanya.


Sumber itu berkata, bekas suami wanita itu kemudian dibawa semula bersama kumpulan penculik terbabit menaiki Proton Waja berwarna biru.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokan harinya, wanita itu dihubungi seorang lelaki dan meminta RM10,000 sebagai wang tebusan jika mahu bekas suaminya dibebaskan.


“Mangsa memberitahu dia hanya memiliki RM1,100 dan suspek yang menghubunginya berkata dia setuju menerima jumlah berkenaan, namun untuk ‘mencukupkan’ jumlah RM10,000 yang dituntut, mangsa perlu menyerahkan tubuhnya.

“Suspek memberitahu, persetujuan mangsa mengadakan hubungan seks bukan saja sebagai sebahagian bayaran wang tebusan, tapi juga bayaran bagi melunaskan hutang bekas suaminya itu,” katanya.


Menurutnya, wanita terbabit kemudian diarahkan bertemu di sebuah pasar di Jalan Klang Lama dan diberi amaran agar merahsiakan perkara itu jika tidak mahu bekas suaminya itu ditembak hingga mati.


Sumber itu berkata, bersimpati dengan nasib bekas suaminya wanita itu mengikut arahan diberikan dengan pergi bersendirian ke lokasi diarahkan.


“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, mangsa menemui lima lelaki sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pantai Dalam dan dipertemukan dengan bekas suaminya yang dijadikan tahanan.


“Mangsa dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang daripada ahli kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan RM1,100 sebagaimana dijanjikan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berakhir di situ kerana mangsa masih diganggu dan diugut biarpun sudah menyerahkan sejumlah wang dan tubuhnya kepada penjenayah terbabit.


“Ini kerana mangsa dihubungi semula kumpulan terbabit kira-kira jam 3 pagi, 12 Jun lalu sebelum diarahkan membayar sejumlah lagi wang atau keluarga dan bekas suaminya akan dibunuh jika dia gagal berbuat demikian.


“Tidak tahan dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari sama,” katanya.


Sumber itu berkata, bekas suami mangsa sudah dibebaskan kumpulan penjenayah terbabit.

‘Saya simpati mangsa maut’


Taiping: “Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu, tetapi bersimpati dengan dua individu yang maut itu,” kata Johari Zakaria, 23, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dengan sebuah kereta, di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian di Kilometer 13.9, Jalan Taiping - Kuala Sepetang itu meragut nyawa seorang penunggang dan pembonceng motosikal dikenali Harvinder Singh, 28, dari Larut Tin dan Radzizah Mohd Yusoff, 55, dari Taman Kaya, Simpang.


Johari yang ditemui ketika mendapat rawatan di Hospital Taiping semalam berkata, dia tidak dapat mengingati dengan jelas kejadian itu, namun terkejut apabila motosikal ditunggang dirempuh oleh kereta berkenaan dari belakang.

Menurutnya, dia hanya menyedari ditimpa kemalangan selepas mendapati diri di wad hospital dengan keadaan kaki patah serta cedera di beberapa bahagian badan.


“Saya bersyukur tidak mengalami kecederaan serius, namun kecederaan dialami mungkin mengambil masa lama untuk sembuh.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama doktor serta jururawat hospital yang merawat kecederaan dialami,” katanya yang kini bertugas sebagai pembantu makmal di Maktab Rendah Sains Mara (Mara) Taiping.

Sementara itu, Harian Metro dimaklumkan bahawa seorang lagi mangsa, Mohd Zaini Abdullah, 58, yang turut cedera dalam kejadian itu masih tidak sedarkan diri dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama. Mohd Zaini yang juga suami kepada Radzizah cedera parah di kaki dan beberapa bahagian badan.


Manakala, seorang lagi mangsa, Mohd Ismail Md Ramli, 22, dari Kampung Larut Tin yang membonceng motosikal bersama Harvinder sudah dibenarkan pulang petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat lanjut kejadian itu.


Menurutnya, polis menyeru orang awam yang melihat kejadian itu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.


“Pemandu kereta berkenaan yang sebelum ini dirawat di Hospital Taiping terpaksa dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh petang semalam (kelmarin) untuk mendapat rawatan lanjut. “Dia (pemandu) turut ditahan semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Razif Haron di talian 05-8291222 untuk membantu siasatan.

Tercampak bawah treler


Kuala Lumpur: Malang tidak berbau apabila seorang penunggang motosikal digilis sebuah treler di Kilometer 31, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Bandar Tasik Selatan ke Pandan Indah, di sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi berhampiran Taman Kencana, Ampang itu berlaku apabila motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kenderaan yang kemudian melarikan diri.


Menurut sumber polis trafik, mangsa Zakaria Jusoh, 51, berasal dari Jitra, Kedah yang menunggang motosikal bersendirian tercampak ke bawah treler yang sedang bergerak sebelum digilis selepas dipercayai bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama.


“Mangsa terjatuh dari motosikalnya dan tercampak ke bawah treler di antara tayar hadapan dan belakang di laluan tengah jalan berkenaan.


“Pemandu treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari Semenyih ke Selayang itu tidak sempat mengelak lalu menggilis badan mangsa,” katanya.


Mangsa yang cedera parah di bahagian badan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, kejadian berlaku di laluan susur bertingkat yang menuruni bukit menyebabkan laluan berkenaan sesak teruk lebih 10 kilometer.


“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala keterangan pemandu treler pula sudah direkodkan,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain meminta saksi kejadian tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Bidikan pengawal peribadi



Klang: Hasrat lima lelaki warga asing menyamun RM50,000 daripada seorang pengurus sebuah kilang berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati ditembak dalam kejadian di Jalan Kapar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek yang juga warga asing berusia 25 tahun maut selepas satu daripada dua das tembakan dilepaskan pengawal peribadi pengurus berkenaan tepat mengenai belakang kepala.


Sebelum kejadian, pengurus berkenaan berusia 40-an itu baru selesai mengeluarkan wang dari sebuah bank di Bandar Baru Klang yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Namun, sebaik keluar dari bank, pengawal peribadi yang juga bekas anggota keselamatan berusia 40 tahun itu menyedari Proton Waja yang mereka naiki diekori sebuah lagi kereta jenis sama dan sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.


Sebaik tiba di satu selekoh di hadapan sebuah bank, kereta mangsa dihalang dua kereta dan suspek meluru keluar sebelum cuba memecahkan cermin penumpang sebelah kiri dipercayai menggunakan batu.


Terkejut dengan tindakan itu, pengawal peribadi terbabit yang menggunakan pistol jenis Glock terus keluar dan melepaskan satu das tembakan namun tersasar sebelum melepaskan satu lagi tembakan yang tepat mengenai belakang kepala suspek.

Tindakan pengawal terbabit menyebabkan rakan suspek terkejut dan terus memecut kereta tanpa sempat mendapat ‘habuan’ namun pengawal berkenaan mengejar kereta berkenaan dan melepaskan tiga das lagi tembakan.


Namun tidak diketahui sama ada tembakan dilepaskan terkena kereta suspek. Pengawal peribadi itu bersama mangsa membuat laporan polis di sebuah balai polis Shah Alam untuk memaklumkan kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, polis menemui pasport suspek yang menunjukkan suspek mempunyai rekod keluar masuk ke negara ini.


Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan batu untuk memecahkan cermin kereta mangsa namun dia tidak sempat melarikan wang kerana rebah selepas ditembak pengawal peribadi mangsa.


“Suspek tidak dapat melarikan wang yang dibawa pengurus berkenaan dan wang dikeluarkan itu dipercayai mahu digunakan untuk membeli barangan keperluan kilangnya.


“Suspek mati di tempat kejadian kerana terkena tembakan di bahagian belakang kepala dan polis tidak menemui sebarang senjata pada suspek.


“Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian dan usaha memburu baki suspek giat dijalankan,” katanya kepada Harian Metro, sewaktu ditemui di tempat kejadian, semalam.


Mohamad Shukor berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba melakukan rompakan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1961.


Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Depoh senjata Moscow meletup



Moscow: Lebih 6,000 orang dipindahkan selepas beberapa siri letupan berlaku di depoh senjata Russia, kata kakitangan kerajaan semalam.

Letupan itu turut menyebabkan banyak tingkap kaca pecah serta menyebabkan kebakaran. Letupan itu bermula malam kelmarin dan berterusan beberapa jam ketika anggota keselamatan melakukan operasi memusnahkan peluru lama di depoh terletak berhampiran bandar Chapayevsk di wilayah Samara, 1,000 kilometer di tenggara Moscow.


Rakaman televisyen menunjukkan asap berkepul-kepul di udara dan api marak kelihatan di depoh berkenaan.

Seorang wakil stesen televisyen Rossiya 24 berkata, letupan itu berlaku selang beberapa minit antara satu sama lain. Jurucakap pasukan penyelamat berkata, hampir 6,500 penduduk Nagorny diarah berpindah ke kawasan sejauh lima kilometer dari depoh berkenaan.


Presiden Vladimir Putin pula mengarahkan setiap penduduk yang terbabit diberi 10,000 ruble (RM977) sebagai bantuan awal. Jawatankuasa Siasatan Wilayah berkata, depoh itu menyimpan kira-kira 18 juta peluru lama. - AFP

Tembak suami depan 9 anak



Manila: Seorang wanita hamil yang cemburu menembak mati suaminya di depan sembilan anak mereka di bandar Lapu-Lapu, Cebu di tengah Filipina, lapor media, semalam.

Samuel Sollano, 47, maut akibat kecederaan dialami selepas ditembak isterinya, Aida, 41, di depan anak mereka yang ketakutan.


Aida kini ditahan di penjara berdepan dengan tuduhan membunuh.

Akhbar tabloid People’s Journal yang memetik laporan polis berkata, Aida berang terhadap Sollano apabila mendapat tahu suaminya mempunyai beberapa kad sim yang digunakan untuk berkomunikasi dengan wanita yang mempunyai hubungan sulit dengannya.


Pada malam 17 Jun lalu, ketika keluarga itu berkumpul untuk makan malam, Aida bersemuka dengan suaminya yang menafikan berlaku curang.


Keadaan itu menyebabkan pergaduhan besar mendorong Aida mendapatkan pistol dan menembak suaminya. - AFP

Hidup dengan ular, anjing


Chicago: Seorang wanita yang cacat otak dan anak perempuannya dipaksa hidup di tingkat bawah tanah di Ohio dengan beberapa ekor ular serta anjing pitbull dan dilayan seperti hamba lebih dua tahun, kata pendakwa raya di Amerika Syarikat semalam.

Kes itu terbongkar selepas wanita berkenaan ditangkap mencuri gula-gula dan memberitahu polis, dia lebih suka ke penjara daripada pulang ke rumah kerana teman sebiliknya “kejam terhadapnya”.


Tiga daripada penyeksanya ditahan atas dakwaan penyeludupan manusia selepas soal siasat yang panjang.

“Kita sekali lagi diingatkan bahawa perhambaan zaman moden masih wujud di sekeliling kita,” kata Steven Dettelbach, pendakwa raya di daerah utara Ohio. “Mangsa dalam kes ini terpaksa menghadapi keganasan, ancaman, keadaan kehidupan separa manusia dan perbuatan ngeri lain.” Dakwaan itu dibuat sebulan selepas tiga wanita muda yang dikurung selama sedekad ditemui di sebuah kediaman di Cleveland, kira-kira 110 kilometer di utara bandar kecil tempat wanita cacat itu diperhambakan.


Wanita yang tidak dinamakan itu dipaksa tinggal dengan diancam berulang kali bahawa anak perempuannya yang kini berusia lima atau enam tahun akan dicederakan atau diambil daripadanya jika dia tidak melakukan seperti mana disuruh. Wanita itu dan anak perempuannya pada awalnya dipaksa tidur di atas lantai simen di bilik bawah tanah yang berkunci yang turut menempatkan iguana yang bebas.


Mereka dilaporkan berulang kali dibelasah, diancam dengan anjing pitbul serta ular dan dipantau melalui alat pemantuan bayi bagi memastikan mangsa tidak membuka ikatan tali yang mengikat tangan anak perempuannya atau mencuri sedikit makanan serta air untuk kanak-kanak itu.

Dalam tiga kejadian, wanita itu dicederakan dengan teruk agar dia dapat memperoleh ubat penahan sakit untuk teman sebiliknya: Jordie Callahan, 26 dan Jessica Hunt, 31.


Mereka turut mencukur kepalanya dengan gaya mohawk dan menulis perkataan “sundal”, “jalang” dan kata-kata hinaan lain di muka dan dadanya dengan pen dakwat kekal pada suatu ketika.

Kanak-kanak perempuan itu sering diikat dan dikunci dalam bilik dan tidak dibenarkan keluar ke bilik air hingga ibunya selesai melakukan kerja rumah.


Dia memberitahu polis, dia biasanya perlu menunggu hingga jam 8 malam barulah diizinkan untuk memberikan makanan kepada anak perempuannya.


Apabila dia mengadu bahawa anaknya tidak makan sepanjang hari, Callahan mendapatkan sepiring makanan dan memberikannya kepada anjing untuk menyakitkan hatinya. - AFP

2,428 rokok elektronik dirampas


Singapura: Rokok elektronik diharamkan di republik ini, tetapi ia tidak menghalang lebih ramai perokok mencubanya, malah berani menggunakannya di khalayak ramai.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) merampas 2,428 unit produk tanpa asap itu. Ini lebih banyak berbanding 1,464 yang disita tahun lalu. Pada 2009, hanya 10 dirampas.


Pengguna tempatan mampu membeli e-rokok dari laman web luar negara atau ketika mengunjungi negara yang membenarkan penjualan produk itu.

Mereka menggelar diri “vapers” - merujuk kepada wap lapisan nikotin yang menjadi tanda peralatan itu. Sesetengah mereka mendapatkannya daripada pembekal pasaran haram tempatan.


Seorang daripada penjual utama di Singapura berkata, terdapat permintaan dan bekalan baru setiap minggu.


Tiub menggunakan bateri itu mewujudkan wap daripada cecair nikotin yang panas yang kemudian dihidu. Diperbuat di China pada 2004, ia boleh dicaj semula dan digunakan berulang kali.

Satu bekas biasanya mempunyai nikotin mencukupi untuk tahan selama beberapa hari bergantung kepada tabiat perokok. Penjualan di seluruh dunia kian meningkat, disokong kepercayaan bahawa alat itu lebih sihat berbanding rokok biasa dan dapat membantu perokok berhenti merokok. - Straits Times

2 sami arah budak buat seks dicekup


Bangkok: Polis Thai semalam berkata, mereka menahan dua sami kerana mengarahkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melakukan seks dengan penyelia kuil dalam skandal terbaru menggegarkan penganut Buddha negara itu.

Pasangan terbabit yang menafikan tuduhan itu boleh dihukum penjara 15 tahun jika sabit kesalahan, kata pegawai kanan polis Kolonel Wirachon Bunthawi kepada media dari bandar raya di utara Chiang Mai.


“Kami menunggu waran tangkap untuk menahan penyelia itu,” katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa dan seorang pemandu, dua sami berusia 20 dan 23 tahun itu dituduh membawa remaja terbabit bertemu penyelia berkenaan di sebuah kuil di Chiang Dao, di Chiang Mai beberapa kali sejak Februari lalu.


Kes itu berlaku selepas kontroversi baru-baru ini di negara yang didominasi penganut Buddha itu dengan rakaman dimuat turun di YouTube memaparkan tiga sami terbang dengan jet peribadi, memakai fon telinga dan kaca mata hitam serta membawa beg berjenama. - AFP

Penyamun pulang RM1 kepada mangsa


Phuket: Seorang perompak melarikan wang tunai 2,200 baht (RM225) dari sebuah kedai serbaguna di sini kelmarin, tetapi beberapa minit kemudian memulangkan syiling 10 baht (RM1) sebelum melarikan diri buat kali kedua.

Dua kerani di kedai serbaguna Family Mart, Wanna Ketkaew, 28, dan Fontip Rakrit, 25, di daerah Thalang memberitahu polis, perompak itu memakai baju hujan merah jambu, seluar pendek, topi keledar dan topeng untuk menutup mukanya.


Lelaki itu meletak motosikalnya dan berlari masuk ke dalam kedai ketika hujan lebat, kata Wanna. Dia mendekati mereka sebelum mengancam dengan pisau dan merampas 2,200 baht lalu melarikan diri.

Beberapa minit kemudian ketika kedua-dua kerani itu sibuk berbincang, perompak sama kembali memulangkan syiling 10 baht di kaunter sebelum menghilangkan diri. - Bangkok Post

Urus syarikat dari penjara



Jakarta: Bekas bendahari Parti Demokratik yang juga tahanan rasuah, Muhammad Nazaruddin menjadi tumpuan sekali lagi dan kali ini didakwa menjalankan empayar perniagaannya dari sel penjara.

Laporan media menyatakan Nazaruddin menubuhkan 28 syarikat pelbagai bidang tahun lalu ketika menjalani hukuman tujuh tahun penjara di pusat tahanan Cipinang di Jakarta Timur.


Nazaruddin dipenjara pada 2012 kerana menjadi dalang skim rasuah pembinaan kampung atlit untuk Sukan SEA di Palembang, Sumatera Selatan.

Mingguan Tempo melaporkan Nazaruddin bukan saja menubuhkan syarikat baru, malah menjalankan operasi melalui sel penjara dengan mengendalikan mesyuarat dan memberi arahan kepada orang bawahan termasuk membuat perjanjian haram dengan anggota Dewan Perwakilan dan pegawai kerajaan.


Bagaimanapun, sukar untuk Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyiasat amalan rasuah Nazaruddin kerana dia bukan lagi penjawat awam, kata jurucakap KPK Johan Budi semalam.


Berdasarkan Undang-Undang Rasuah 2001, KPK hanya dibenarkan menyiasat tuduhan rasuah penjawat awam sebelum menyiasat pihak persendirian yang disyaki mempunyai kaitan dengan penjawat awam itu. Johan berkata, KPK memerlukan masa yang panjang untuk menyiasat kegiatan Nazaruddin. “Bagaimana seseorang dapat membuktikan dia menjalankan perniagaan dari balik tirai besi penjara? “Juga penting diingat bahawa menjalankan perniagaan dari penjara bukan satu jenayah,” katanya. Johan berkata, antara tindakan boleh dilakukan KPK ialah meneruskan siasatan terhadap pengggubahan wang haram Nazaruddin melalui pemantauan asetnya. - Jakarta Post

653 hilang tempat tinggal

653 hilang tempat tinggal
Keadaan rumah semasa (kiri) dan selepas hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Hilir serta Kampung Datu Lama, Sibu, semalam. 100 rumah di dua kampung hangus

Sibu: Seramai 653 penduduk daripada 107 keluarga hilang tempat tinggal selepas 100 rumah hangus dalam kebakaran di Kampung Hilir dan Kampung Datu Lama di sini, semalam.

Dalam kebakaran bermula jam 3.45 petang itu, kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api merebak dengan pantas. Keadaan bertambah buruk kerana tiupan angin yang kuat dan cuaca kering.
Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 7 malam selepas 45 anggota bomba bersama penduduk bertungkus lumus memadam kebakaran.


Setakat ini, belum ada laporan kecederaan, manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad, berkata empat jentera bersama anggota dari tiga balai bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.02 petang.

Ia membabitkan anggota berkenaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral, Sungei Merah dan Kanowit.

“Kami belum boleh memberi jumlah sebenar rumah yang terbakar kerana kedudukan rumah di dua perkampungan itu.
100 rumah hangus

“Angka yang saya boleh katakan ketika ini sekitar 80 hingga 100 rumah hangus,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nor Hisham berkata, pasukan forensik bomba dalam proses mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian.

Katanya, kedudukan rumah yang hampir antara satu sama lain menyukarkan anggotanya memadamkan api, selain rumah penduduk kampung diperbuat daripada kayu.

Sementara itu, saksi, Mohamad Nur Hafiz Majidi, 28, berkata keadaan menjadi kelam kabut kerana penghuni berusaha menyelamatkan harta benda masing-masing.

“Saya percaya api berpunca dari sebuah rumah kosong sejak tujuh tahun lalu sebelum merebak ke rumah bersebelahan. Satu demi satu rumah penduduk saya lihat disambar api,” katanya.

Kesan geng tipu di Facebook

Kesan geng tipu di Facebook
Salah satu laman di Facebook yang menawarkan khidmat seks dan pengiring sosial. Kuala Lumpur: Bukit Aman mengesan kegiatan sindiket penipuan menerusi tujuh laman sosial Facebook dan blog yang menawarkan khidmat seks dan pengiring sosial untuk bercuti ke luar negara.

Laman berkenaan menyiarkan pelbagai gambar aksi lucah gadis muda dalam keadaan mengiurkan serta mempamerkan gambar kumpulan gadis tempatan yang dirakam dan disiarkan menerusi Facebook serta blog terbabit.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata kebanyakan gambar yang dipaparkan dipercayai gadis muda dari Sabah.


Katanya, antara khidmat yang ditawarkan termasuk sebagai pengiring sosial golongan kenamaan yang mahu bercuti ke luar negara.

“Selain itu, terdapat juga blog yang menawarkan pengiring sosial kepada pelancong asing yang mahu berkunjung ke negara ini.

Sasar lelaki

“Modus operandi sindiket itu menyasar lelaki yang malu berkunjung ke ‘rumah seks’ sebaliknya boleh mendapatkan perkhidmatan yang sama menerusi laman sosial,” katanya kepada BH, semalam.
Abdul Jalil berkata, biasanya sindiket pelacuran di negara ini tidak menggunakan internet mempromosi kegiatan mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu katanya, pihaknya percaya laman sosial berkenaan didalangi sindiket penipuan.

Wartawan BH cuba mendapatkan perkhidmatan pengiring sosial menerusi salah satu Facebook itu dan mendapati laman terbabit menggunakan taktik menuntut wang deposit RM150 yang perlu dimasukkan menerusi satu nombor akaun bank.

Bagaimanapun selepas wang dimasukkan, tiada sebarang maklum balas selanjutnya daripada sindiket berkenaan.

Jual wanita Syria

Selain itu katanya, pihaknya juga menerima maklumat berhubung kegiatan menjual wanita Syria dijadikan isteri kepada rakyat Malaysia disebarkan menerusi Facebook.

Katanya, pihaknya percaya kegiatan terbabit didalangi sindiket penipuan, tetapi akan menjalankan siasatan jika terdapat maklumat berkaitan pemerdagangan manusia menerusi laman sosial berkenaan.

Wartawan BH berjaya menghubungi seorang lelaki dikenali ustaz Azizul yang dipercayai orang perantara bagi mendapatkan wanita Syria berkenaan.

Lelaki itu kemudian menuntut deposit RM150 sebagai pendahuluan namun selepas beberapa soalan diajukan, beliau terus mematikan talian.

Kegiatan menjual wanita Syria dengan harga serendah RM800 itu mula tersebar menerusi Facebook sejak kelmarin, dipercayai daripada pelajar Malaysia di Mesir.

120 korban banjir India

120  korban banjir India
Pemandangan dari udara menunjukkan bandar Kedarnath yang ditenggelami banjir. Dehradun: Helikopter tentera digunakan untuk menggugurkan makanan kepada beribu-ribu mangsa yang terkandas dalam banjir kilat berikutan musim hujan monsun yang membunuh sekurang-kurangnya 120 penduduk di utara India, kata pihak berkuasa.

Uttarakhand dan Himachal Pradesh menyaksikan hujan lebat sekurang-kurangnya tiga kali lebih daripada biasa sejak minggu lalu berikutan musim monsun melanda lebih awal daripada yang dijadualkan.
Beribu-ribu rumah dihanyutkan banjir kilat dan pihak berkuasa menggunakan helikopter untuk memindahkan penduduk dan menggugurkan bekalan makanan asas.


Kuil Hindu tenggelam

“Sekurang-kurangnya 110 penduduk mati. Kerajaan negeri dan tentera cuba menyelamatkan beribu-ribu pelancong yang terkandas berhampiran lembah yang tenggelam dan kawasan suci Hindu,” kata Menteri Bantuan Bencana Uttarakhand, Jaspal Arya.

Arya berkata, sebahagian kuil Hindu dihanyutkan kelmarin dan kira-kira 10,000 penganut Hindu yang mengunjunginya terperangkap.

“Kuil Kedarnath tenggelam di dalam banjir dan lumpur. Kami berharap ia tidak akan runtuh,” kata Arya.
Pihak berkuasa membatalkan lawatan ke tempat suci itu, bimbang hujan berterusan dan banjir kilat di negeri terbabit yang biasanya dirujuk sebagai ‘Tanah Tuhan’ kerana ia memiliki banyak kuil Hindu dan kawasan agama berkenaan.

Bina 40 kem bantuan 

Pihak berkuasa di Uttarakhand, negeri paling teruk terjejas berkata, kira-kira 200 kereta, dua jengkaut dan sebuah helikopter yang dipakir dihanyutkan banjir.

Hujan lebat bermula sejak Sabtu lalu dan pihak berkuasa berkata, 40 kem bantuan dibina untuk menyediakan makanan dan air minuman kepada penduduk tempatan dan pelancong.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 250 penduduk diselamatkan helikopter tentera udara dari pelbagai kawasan di negeri itu dan kebanyakan mereka dipindahkan ke kem bantuan. - AFP

Wanita terencat akal dijadikan hamba

Wanita terencat akal dijadikan hamba
Pembantu Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Eric Smith (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas tiga suspek (gambar kecil) ditahan kerana mengurung secara salah dan penyeludupan manusia di Ohio Amerika Syarikat. Chicago: Seorang wanita terencat akal dan anak perempuannya dibiarkan hidup di bilik bawah tanah di Ohio bersama ular dan anjing pitbull dengan mendapat layanan seperti hamba selama lebih dua tahun, kata pendakwa Amerika Syarikat.

Kes itu mendapat perhatian selepas wanita terbabit ditangkap kerana mencuri sekeping gula-gula dan beliau memaklumkan kepada polis lebih rela untuk dipenjarakan daripada pulang ke rumah hidup bersama teman serumahnya.
Tiga suspek Jordie Callahan, 26, Jessica Hunt, 31 dan Daniel Brown 33, yang mengurung wanita terbabit ditahan atas dakwaan penyeludupan manusia selepas satu siasatan pihak berkuasa.


Perhambaan moden

“Kita sekali lagi diingatkan mengenai perhambaan moden yang masih wujud di sekeliling kita,” kata Peguam Amerika Syarikat bagi daerah utara Ohio, Steven Dettelbach.

“Mangsa dalam kes ini mengalami keganasan, ancaman, keadaan hidup tidak seperti manusia dan perbuatan ngeri lain.”

Tuduhan dibuat kira-kira sebulan selepas wanita muda terbabit yang dikurung lebih sedekad ditemui di sebuah rumah di Cleveland, kira-kira 110 kilometer ke utara sebuah bandar kecil di mana wanita kurang upaya itu didakwa menjadi hamba.
Ancam dicederakan

Wanita yang tidak didedahkan nama itu terpaksa menerima ancaman bahawa anak perempuannya yang kini berusia lima atau enam tahun akan dicederakan atau dipisahkan darinya jika tidak melakukan apa yang disuruh, kata pendakwa.

Malah kedua-dua mereka terpaksa tidur di atas lantai simen di bilik bawah tanah yang sentiasa berkunci yang turut menempatkan seekor iguana yang sering berkeliaran.

Mereka juga sering kali dipukul, diancam dengan anjing dan ular serta sentiasa dipantau untuk memastikan wanita terbabit tidak membuka ikatan tangan anak perempuannya atau mendapatkan makanan atau air untuk anak perempuannya itu.

Mereka turut membotakkan kepalanya ala mohawk dan menulis kata-kata seperti ‘pelacur’ atau perkataan hinaan lain di muka dan dadanya menggunakan pen dakwat kekal, kata kertas tuduhan.

Sering kena ikat

Budak perempuan terbabit pula sering kali diikat dan dikunci di sebuah bilik dan tidak dibenarkan menggunakan bilik air sehingga ibunya selesai semua kerja rumah.

Antara senarai tugas yang terpaksa dilakukan termasuk menjaga binatang kurungan termasuk seekor ular berbisa, ular sawa bola dan ular sawa Burma.

Ibu terbabit juga dipaksa menyerahkan kad manfaat kerajaannya dan jarang sekali diberikan wang.

Malah mangsa memberitahu polis beliau biasanya terpaksa menunggu sehingga jam 8 malam untuk memberikan sebarang makanan kepada anak perempuannya itu. - AFP

Bintang bola Perancis tak tahu pelacur bawah umur


 
Paris: Sebuah mahkamah di Perancis diberitahu semalam, seorang daripada dua bintang bola sepak Perancis yang dituduh meniduri pelacur remaja mendakwa tidak mengetahui dia masih di bawah umur.

Pada perbicaraan awal itu peguam kepada pemain Bayern Munich, Franck Ribery, 30, Carlo-Alberto Bruso berkata, pelacur terbabit Zahia Dehar tidak kelihatan seperti remaja bawah umur kerana penampilannya menunjukkan dia seorang wanita dewasa.
Ribery dan bintang Real Madrid Karim Benzema, 25, berdepan hukuman tiga tahun penjara jika didapati bersalah atas dakwaan meniduri Dehar antara 2008 dan 2009, ketika dia berusia 16 atau 17 tahun.

Menyamar kelihatan dewasa

“Tiada satu pun mengenai Dehar yang menunjukkan dia masih di bawah umur. Solekan dan penampilan dengan gaya rambut serta pakaiannya, jelas menunjukkan dia menyamar supaya kelihatan dewasa,” kata Bruso.

Beliau juga berkata peraturan mengenai hubungan seks amat tidak tepat untuk mendakwa kedua-dua pemain bola terbabit.

Benzema menafikan melakukan hubungan seks dengan Dehar yang membuat laporan mengenainya ketika polis membuat siasatan rangkaian pelacuran di Paris.
Dehar kini menjadi selebriti di Perancis, muncul di dalam beberapa rancangan realiti televisyen dan sudah memulakan perniagaan pakaian dalamnya sendiri.

Dokumen mahkamah mendakwa Ribery membayar Dehar £600 (RM2,961) untuk mengadakan hubungan seks di sebuah hotel pada 2009, manakala Benzema disyaki membayarnya £400 (RM1,974) untuk tujuan sama pada 2008.

Kedua-dua pemain bola sepak terbabit dan Dehar tidak hadir di mahkamah.
Perbicaraan ditangguhkan hingga Januari, bagi membolehkan undang-undang pelacuran bawah umur dinilai semula. - Agensi

Mati tersembam dalam baldi

Mati tersembam dalam baldi
Mayat Mohd Hafizi dihantar ke Hospital Pasir Mas bagi urusan bedah siasat. Rantau Panjang: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mencangkung dengan mukanya tersembam di dalam baldi di tandas di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Hafizi Aziz, 26, ditemui lengkap berpakaian dan dipercayai meninggal dunia lebih empat jam sebelum mayat itu ditemui.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, berkata kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan stesen minyak berkenaan yang curiga melihat pintu tandas berkenaan berkunci selama tujuh jam sejak jam 10 malam kelmarin.


“Pihak kami dimaklumkan berhubung kejadian jam 6.55 pagi oleh seorang anggota RELA yang bertugas di premis berkenaan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, anggota polis terpaksa memecahkan pintu tandas itu sebelum menjumpai mayat dalam keadaan mukanya tersembam di dalam baldi,” katanya di sini, semalam.

Hidung berdarah

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa selain hanya terdapat kesan darah keluar dari hidungnya dan dipercayai meninggal dunia lebih empat jam sebelum dijumpai.
Katanya, berdasarkan keterangan keluarganya, mangsa dipercayai keluar dari rumah jam 7.30 malam kelmarin dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Dua pegawai SPRM maut

Dua pegawai SPRM maut
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2.4, Jalan Tun Mustapha, Labuan, semalam. Herman (kiri) dan Mohd Hafeez maut di tempat kejadian. Labuan: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbunuh apabila kenderaan mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Tun Mustapha, berhampiran Pasar Peladang di sini, kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.25 malam itu, Penolong Penguasa SPRM, Herman Ahad, 33, dan Penolong Penguasa SPRM, Mohd Hafeez Bauzi, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.
Herman berasal dari Kampung Kilan di sini, manakala Mohd Hafeez dari Kampung Sungai Karang, Darat, Kuantan, Pahang, masing-masing bertugas di Unit Siasatan dan Unit Keselamatan SPRM.


Khairul Muhaimin Khairul Amin, 2, dari Kampung Lajau di sini, pula yang parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Nukleus Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata kereta Toyota GT dipandu Herman yang dalam perjalanan ke pusat bandar merempuh PERODUA Kancil dinaiki kanak-kanak itu bersama ibu saudaranya, Nuratiqah Tamin, 20 dan Norsalbindra Salleh, 22.

Wanita itu dan Norsalbindra yang juga tunangnya, hanya cedera ringan.

Terbabas rempuh pokok
Siasatan awal mendapati Toyota GT merempuh PERODUA Kancil yang berada di lorong kanan sebelum kedua-dua kereta berkenaan terbabas.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang lampu dan merempuh pokok sebelum terbalik,” katanya.

Mayat kedua-dua pegawai SPRM itu dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Mohd Hafeez diterbangkan ke ibu negara petang semalam sebelum dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan.

Sementara itu, isteri Herman, Siti Azila Ag Emran, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Papar, Sabah, ketika ditemui di hospital, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya, tengah malam kelmarin.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah Isnin lalu ketika menghantarnya ke Menumbok, Sipitang untuk menaiki feri ke Labuan.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika kali terakhir bercakap dengannya menerusi telefon, petang semalam (kelmarin),” katanya yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

Maut kereta dirempuh kereta api

Maut kereta dirempuh  kereta api
Keadaan kereta Hyundai yang remuk dirempuh kereta api dan Myvi yang turut terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, semalam. Kota Kinabalu: Seorang pelancong Hong Kong maut, dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh kereta api di persimpangan Jalan Lintas, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 5.30 petang itu, Hyundai Accent dinaiki keluarga berkenaan berpusing selepas dirempuh sebelum melanggar PERODUA Myvi dinaiki tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia setahun.
Mangsa yang cedera ialah pemandu Hyundai Accent, Lok Wing Tak Eddie, 50, dan isterinya berusia 30-an serta ibu mentuanya.


Bagaimanapun, kedua-dua wanita itu belum dikenal pasti. Seorang lagi penumpang kereta berkenaan, iaitu bapa mentua Eddie, tidak cedera.

Semua warga Hong Kong itu dalam perjalanan ke KKIA dengan menaiki kereta sewa untuk pulang ke negara mereka dengan penerbangan jam 8 malam tadi.

Penumpang Myvi serta kira-kira 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari stesen Tanjung Aru ke Beaufort juga dilaporkan tidak cedera.

Besi penghadang tak berfungsi
Difahamkan, ketika kejadian besi penghadang untuk menutup laluan kereta api tidak berfungsi, tetapi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menempatkan pengawal landasan untuk memastikan semua kenderaan berhenti setiap kali kereta api melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

“Kami masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Kanun Keseksaan, Akta Kereta Api Sabah dan Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang meninjau lokasi kejadian, berkata kakitangan JKNS sudah mengambil tindakan sepatutnya dengan menahan kenderaan mangsa supaya berhenti.

“Tetapi mereka teruskan juga perjalanan. Kita akan mengambil tindakan segera dengan menggantikan besi penghalang yang tidak berfungsi secepat mungkin,” katanya.

'Amah waras ketika dera bayi'

'Amah waras ketika dera bayi'Yuliana ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam. Kuantan: Laporan pemeriksaan mental dikeluarkan Hospital Permai, Johor, mendapati pembantu rumah warga Indonesia, Yuliana dalam keadaan waras ketika mendera bayi majikannya, Februari lalu.

Keputusan laporan yang disediakan Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Dr Badi'ah Yahya itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya, di sini, semalam.
Berdasarkan laporan hospital itu, beliau berkata, pemerhatian rapi 24 jam dan pemeriksaan mental berkala sepanjang Yuliana, 23, berada di hospital mendapati pembantu rumah itu tidak menunjukkan tanda atau gejala penyakit jiwa yang teruk.


Katanya, berdasarkan pandangan Dr Badi’ah, pembantu rumah itu ketika kejadian dalam keadaan siuman dan tahu perbuatannya menyalahi undang-undang.

“Yuliana juga layak dibicarakan dan memberi pengakuan di mahkamah bagi tujuan pembelaan diri,” katanya.

Persoal kesahihan laporan

Peguam T Vijayandran yang dilantik Kedutaan Indonesia mewakili Yuliana bagaimanapun mempersoalkan kesahihan laporan pemeriksaan terbabit berikutan ia disediakan seorang pakar perunding dan bukan Pengarah hospital terbabit, Dr Abdul Kadir Abu Bakar.
“Seksyen 343 Kanun Tatacara Jenayah, menyatakan sebarang laporan perubatan perlu dibuat pengarah sesebuah hospital,” katanya.

Beliau kemudian memohon satu tarikh baru untuk sebutan semula kes bagi membolehkannya membincangkan keputusan laporan berkenaan dengan pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Mariana kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Yuliana dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada 19 Februari lalu selepas mengaku salah menghempas, melambung dan menganiaya seorang bayi lelaki berusia empat bulan.

Suami isteri kena 15 tahun

Suami isteri kena 15 tahun
Mohd Shukur (kanan) ketika hadir di Mahkamah Seksyen Johor Bahru, semalam. Johor Bahru: Sepasang suami isteri didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap dua pertuduhan mendera seorang pembantu rumah warga negara Indonesia, September tahun lalu.

Mohd Shukur Suradi, 29, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan manakala isterinya, Daeng Norul Asyikin Bachok, 28, turut dikenakan hukuman penjara 15 tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, ahli perniagaan itu bersama pasangannya, seorang guru masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun. Bagaimanapun kedua-dua hukuman dijalankan secara serentak bermula daripada tarikh sabitan.


Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman terbabit selepas mahkamah bersetuju bahawa perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam berdasarkan keterangan saksi dan bukti termasuk gambar mangsa yang didera dan ditunjukkan ketika prosiding.

Mahkamah hairan

“Tertuduh adalah orang berpelajaran, malah tertuduh kedua bekerja sebagai guru. Justeru, mahkamah hairan kerana masih ada orang tergamak melakukan perbuatan terbabit. Malah, ia turut mengingatkan saya kepada kes Nirmala Bonat yang turut didera sebelum ini,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah Marsini, 22, dengan beberapa alat iaitu sebilah pisau, kayu golf, penyangkut baju dan tali pinggang turut, selain air panas, minyak masak, senduk serta sudu panas.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu antara Julai hingga 23 September tahun lalu di sebuah rumah beralamat Nombor 7, Jalan Utama 5, Taman D'Utama, Perling.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa dengan sengaja memperdagangkan manusia bagi maksud eksploitasi dengan cara bekerja sebagai pembantu rumah di lokasi dan tarikh sama.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

4 askar AS dibunuh sejam selepas rundingan


KABUL - Seramai empat askar Amerika Syarikat (AS) dibunuh, sejam selepas AS mengumumkan rundingan langsung dengan Taliban.

Menurut pegawai rasmi AS, askar tersebut terbunuh kerana serangan rambang oleh pemberontak di Pangkalan Bagram.

Syarat perbincangan yang akan bermula Khamis ini di Doha, Qatar adalah supaya Taliban meninggalkan keganasan.

Sebelum berita serangan itu, Presiden AS, Barack Obama berkata, pengumuman rundingan itu adalah satu langkah ke pertama ke arah pendamaian.

Pegawai AS berkata, pertukaran tahanan adalah satu tajuk untuk perbincangan dengan Taliban tetapi minggu pertama akan difokuskan terhadap memahami agenda kedua-dua pihak.

Sementara itu, Presiden Afghan, Hamid Karzai berkata, kerajaannya juga menghantar delegasi ke Qatar untuk berunding dengan Taliban.

Sebelum ini, AS mengumumkan tentang rundingan itu dan Taliban memberitahu media bahawa mereka mahu memperbaiki hubungan dengan dunia.

2 pegawai SPRM, seorang bayi maut kemalangan



LABUAN - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan seorang bayi lelaki berusia dua tahun terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Tun Mustapha, berdekatan Kampung Jawa di sini, semalam.
   
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata dalam kemalangan pukul 11.40 malam itu, kereta jenis Toyota yang dinaiki oleh dua pegawai SPRM itu terbabas lalu bertembung dengan kereta Kancil sebelum merempuh tiang lampu.
   
Beliau berkata kereta Kancil tersebut dipandu seorang lelaki dan tunangnya serta bayi tersebut adalah anak saudara kepada lelaki berkenaan.
 
Adzhar berkata pemandu kereta Kancil dan tunangnya dimasukkan ke hospital di sini manakala tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
   
Beliau berkata anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan.
   
Bagaimanapun, identiti mangsa tidak diberikan.  - Bernama

Puluhan maut banjir teruk di India

Puluhan maut banjir teruk di IndiaArus deras air sungai Alaknanda turut memusnahkan bangunan di kawasan tebing di bandar Govindghat, Uttrakhand. Foto:Reuters
UTTARAKHAND - Angka kematian akibat banjir di utara India meningkat kepada 65 sekali gus memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Banjir turut meragut sekurang-kurangnya 25 orang di Himachal Pradesh, Haryana dan Uttar Pradesh.

Menurut pegawai, hujan monsun itu menyebabkan banyak kediaman, jalan raya, jambatan dan ladang mengalami kerosakan teruk.

"Helikopter tentera telah dihantar ke Haryana bagi menyelamatkan penduduk negara itu yang terkandas di kawasan pedalaman," katanya dipetik laporan AFP

Musim tengkujuh dijangka berpanjangan bermula Jun hingga Oktober di beberapa kawasan rendah seluruh negara serta ancaman banjir. 

Niat rompak berakhir tragedi

Niat rompak berakhir tragedi
Impian sekumpulan perompak warga asing melarikan wang tunai RM50,000 kecundang apabila salah seorang daripada mereka mati ditembak.
KLANG - Hajat sekumpulan warga asing mahu melarikan wang tunai berjumlah RM50,000 yang baru sahaja dikeluarkan mangsa dari sebuah bank di Bandar Baru Klang tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka mati ditembak di Jalan Kapar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua kereta milik suspek telah menghalang kereta mangsa di hadapan lampu isyarat sebelum seorang daripada mereka keluar dan bertindak memecahkan cermin penumpang untuk melarikan wang.

Usaha tersebut sia-sia apabila mangsa yang turut ditemani pengawal peribadinya keluar dan melepaskan dua das tembakan yang satu daripadanya mengenai suspek lalu jatuh tertiarap ditepi jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, suspek seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun dikenalpasti setelah pihak polis menemui dokumen perjalanan bersamanya.

"Suspek lima lelaki warga asing yang menaiki dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dipercayai mengekori kenderaan mangsa sejauh enam kilometer sebelum mengambil tindakan menyerang.

"Hasil siasatan yang dilakukan oleh unit forensik mendapati satu tembakan telah mengenai belakang kepala suspek dan mengakibatkan suspek mati ditempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setelah menyedari rakan mereka ditembak, empat lagi suspek terus memecut kereta melarikan diri menuju ke arah Bulatan Seratus.

"Sejurus kejadian, mangsa yang merupakan pengurus sebuah kilang telah hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam untuk membuat laporan.

"Suspek akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Pelajar mungkin pekak ditampar guru


Pelajar mungkin pekak ditampar guru
Norlaila menunjukkan laporan polis dibuat mengenai kejadian menimpa anaknya, Mohd Jazman.
MARANG - Seorang pelajar sebuah sekolah di sini, berkemungkinan pekak selepas ditampar guru Isnin lalu.
Mohd Jazman Jailani, 15, mendakwa ditampar guru lelaki itu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dituduh memancitkan tayar kereta seorang guru perempuan, bersama beberapa murid lain.

Kejadian itu berlaku apabila guru lelaki terbabit mengarahkan dia dan seorang lagi rakannya ke bilik guru untuk disoal siasat berhubung kejadian tersebut.

“Apabila tiba di bilik guru, cikgu itu bertanya mengenai tayar kereta cikgu (perempuan) yang pancit minggu lalu. Saya menafikan saya terlibat.

“Dia tidak percaya dan menampar pipi kiri saya dengan kuat. Telinga saya rasa berdengung sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Jazman berkata, dia tidak segera memberitahu ibunya mengenai tindakan guru itu.

Ibunya, Norlaila Jusoh, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak keempat daripada tujuh beradik itu bangun tidur kira-kira jam 5 petang hari tersebut dan mengadu sakit telinga.

“Saya membawa anak ke Klinik Kesihatan Gong Balai, di sini, sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya,” katanya.

Keluarga Mohd Jazman membuat aduan di Balai Polis Merchang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.

Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak


Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Kesan digigit bekas suami
Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Mangsa menunjukkan kecederaan yang dialami.
Bekas isteri dakwa kena gigit, dipijak
Mangsa (kiri) menceritakan kejadian malang itu kepada Noor Hanim dan Sze Han.
PUCHONG - “Saya meronta-ronta minta bekas suami berhenti memukul tetapi dia mencekik, memijak perut dan menendang saya berkali-kali tanpa belas kasihan,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zee.

Perbalahan yang didakwa mangsa bermula dengan pertengkaran mulut berakhir tiga jam selepas itu apabila dia berjaya melarikan diri ke pos pengawal keselamatan di kediaman dihuninya di Bandar Kinrara, di sini.

Kejadian pada Ahad lalu katanya, bermula apabila bekas suami yang tinggal berasingan sejak dua bulan lalu tiba-tiba muncul di depan pintu pagar rumahnya.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, bekas suaminya bertanya sama ada dia mahu merujuk semula sekiranya mahkamah mendapati talak dilafaz sebelum ini tidak sah.

Zee, yang bekerja sebagai pereka dalaman sambilan berkata, keengganan dia menuruti kehendak bekas suaminya itu menyebabkan lelaki itu tiba-tiba naik angin dan meludah mukanya beberapa kali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu dakwanya terus menarik dan mengheret dia masuk ke dalam rumah sebelum memukulnya berkali-kali.

Sambil memaki hamun dengan menuduh dia perempuan sundal dan pelacur murahan, Zee mendakwa bekas suaminya itu menendangnya.

Dakwanya dia percaya lelaki itu menyerangnya di bawah pengaruh alkohol dan mungkin terjebak
dengan dadah.

“Ketika bergelut itu, dia baling bekas abu rokok namun nasib baik ia tidak mengenai kepala saya. Kejadian disaksikan pembantu rumah dan anak lelaki saya yang berusia lima tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembantunya tidak berani menolong kerana diugut lelaki itu dan akibat tidak mampu menahan sakit dicekik, dia kemudian bertindak mencakar muka bekas suaminya itu.

Berang dengan tindakan itu, lelaki itu katanya menggigit bahunya dan terus membelasah tubuh badannya sehingga bengkak dan lebam.

Insiden berlaku hampir tiga jam itu, katanya, tanpa mendapat bantuan sesiapa sehinggalah dia mempunyai kekuatan melarikan diri ke pos pengawal untuk menghubungi pihak polis.

“Bekas suami itu tinggal di rumah adiknya tidak jauh dari rumah yang saya sewa, selepas kejadian dia terus mengugut menggunakan SMS, dengan mengatakan tengok malam nanti apa akan jadi, saya rasa takut sangat untuk keluar rumah sekarang.

“Ketika membuat laporan polis awal pagi Isnin lalu, dia tanpa rasa takut dan segan menendang dan meludah ke muka saya meski ada anggota polis di situ,” katanya.

Zee berkata, dia berkahwin dengan bekas suaminya berusia 43 tahun itu pada 2006 selepas berkenalan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun mereka berdua mula tinggal berasingan selepas bekas suaminya melafazkan talak tiga, dua bulan lalu.

Katanya, bekas suaminya memeluk agama Islam pada tahun yang sama namun mula menunjukkan belang dan sikap panas baran dua tahun selepas perkahwinan.

Ketika mengandung anak tunggalnya, Zee berkata, dia pernah ditendang hanya kerana melakukan kesalahan kecil malah dakwanya sepanjang perkahwinan dia sudah lebih 20 kali dibelasah suaminya.

Jelasnya, beberapa hari lalu bekas suaminya menghantar SMS berbunyi, ‘aku akan mati di depan mahkamah Khamis ini (hari ini) kerana enggan rujuk semula'.

“Esok (hari ini) kes kami akan disebut di mahkamah syariah disebabkan itu dia cuba mengugut dan menghantar SMS sedemikian,” katanya yang mengadukan kejadian kepada Adun Kinrara, Ng Sze Han dan Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.