Search This Blog

Wednesday, June 19, 2013

Pelatih PLKN lahir bayi lelaki di tandas kem



MUAR - Seorang pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Jementah, Segamat melahirkan seorang bayi lelaki dalam tandas kem tersebut hari ini.
 
Pengurusan kem tersebut yang menyedari remaja berkenaan melahirkan bayi dalam tandas pada kira-kira pukul 3 pagi segera mengejarkan ibu berusia 18 tahun itu bersama bayi seberat 2.7 kilogram ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
 
Bagaimanapun, bayi lelaki tersebut meninggal dunia tidak lama selepas itu, manakala keadaan ibu muda terbabit dalam yang sedang dirawat tidak membimbangkan.
 
Pengarah hospital Dr Selahudeen Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada menerima seorang pesakit remaja bersama bayi lelaki.
 
"Kita akan menjalankan bedah siasat ke atas bayi itu esok untuk mengenalpasti punca kematiannya," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.  - Bernama

Lebih 600 tinggal sehelai sepinggang

Lebih 600 tinggal sehelai sepinggangKebakaran yang berlaku di Kampung Datuk merupakan antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak. - Foto Bernama
SIBU - Lebih 600 orang tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 buah rumah di Kampung Datuk, antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak, di sini musnah dalam kebakaran besar hari ini.
 
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Jaafar berkata kebakaran itu berlaku pada kira-kira pukul 4 petang dan 47 anggota dari dua balai di sini dan Kanowit berjaya mengawal kebakaran lima jam kemudian.
 
"Sehingga kini kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa dan kita akan meneruskan siasatan berkenaan punca kebakaran ini," katanya semasa dihubungi Bernama.
 
Sementara itu Penghulu Kampung Datuk, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira 600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu.  - Bernama

Dakwa cedera ditolak suami

Oleh WAZIHA WAHID


NONISWARA (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pelakon Noniswara Baharuddin mendakwa pernah cedera sehingga berdarah akibat ditolak oleh suaminya, Datuk Rosman Ridzwan (gambar) di atas jalan raya ketika memujuk ahli perniagaan itu pulang ke rumah.
Ekoran kejadian itu, Noniswara membuat laporan polis bagi melindungi dirinya.
Noniswara, 44, berkata demikian di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam semasa disoal peguam syarie, Datuk Amli Embong ketika perbicaraan permohonan cerai taklik terhadap Rosman, 56.
Artis itu selaku plaintif membuat permohonan tersebut memberi keterangan secara sebelah pihak selepas Rosman tidak pernah memberi kerjasama terhadap permohonan cerai yang difailkan olehnya sebelum ini.
Permohonan cerai taklik itu difailkan pada 9 Mei lalu mengikut Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2WcDt8m00 
Hakcipta terpelihara 

Penyamun diberkas sembunyi di rumah teres

Oleh RIZAM ZAKARIYA


SALAH seorang suspek diberkas ketika bersembunyi di bahagian bumbung rumah teres dua tingkat.


NIBONG TEBAL – Tiga penjenayah yang menyamun dua buah premis dalam tempoh 16 jam diberkas ketika cuba bersembunyi di dalam sebuah rumah teres di Taman Impian Jaya, Bukit Mertajam di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 4.10 petang itu, dua suspek ditahan di ruang tamu manakala suspek ketiga diberkas ketika bersembunyi di bahagian bumbung rumah teres dua tingkat tersebut.
Ketika kejadian, rumah itu mempunyai penghuni, namun tidak diapa-apakan oleh suspek yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, sejam sebelum ditahan, kumpulan suspek itu termasuk seorang lagi rakan mereka yang masih bebas, menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di pekan Sungai Bakap.
“Ahli Skim Rondaan Sukarela mengesan sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat suspek dan mengejar sejauh 20 kilometer sehingga ke kawasan taman perumahan di Bukit Mertajam.
“Sebaik tiba di kawasan itu, keempat-empat suspek meninggalkan kereta di tempat letak kereta sebuah flat dan masuk ke dalam sebuah rumah teres untuk bersembunyi,” katanya di sini semalam.
Jarak flat tersebut dengan tempat persembunyian kira-kira 200 meter.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2WcDj53pK 
Hakcipta terpelihara 

Dalang pintas cek dicekup

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

RAHIM menunjukkan cara-cara suspek mengikis nombor pada cek yang dicuri pada sidang akhbar di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Kegiatan licik empat lelaki yang memintas dan memalsukan cek bernilai lebih RM1 juta sejak dua tahun lalu terbongkar apabila dua daripadanya diberkas di sebuah bilik hotel di Jalan Macalister di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek berusia 30 dan 35 tahun tersebut diberkas pada pukul 11 pagi selepas membuat intipan sejak beberapa bulan lalu. Salah seorang merupakan ketua sindiket manakala rakannya seorang kontraktor.
Katanya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas 329 keping cek bernilai RM534,409, wang RM400, 11 keping kad kredit milik individu lain dan 12 keping kad bank dan komputer.
“Modus operandi sindiket ialah mencuri surat atau kiriman di dalam peti surat pejabat syarikat tertentu yang mengandungi cek, kad kredit atau kad bank.
“Cek-cek itu kemudian akan dipinda dengan cara mengikis nombor-nombor di permukaan cek menggunakan pisau atau pita pelekat sebelum ditulis semula dengan nombor akaun baharu yang dimiliki oleh rakan subahat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2WcDbBFiP 
Hakcipta terpelihara 

Bagai hendak pergi berperang

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI


MOHD. NASIR menunjukkan peluru dan senjata tiruan yang dibeli seorang remaja pada sidang akhbar di Ipoh semalam.


IPOH – Umur baru 15 tahun tetapi lagak seolah-olah hendak pergi berperang apabila membeli ‘mainan’ berupa senapang jenis M16, dua laras Air Rifle MP5, pistol jenis Glock dan Colt .45 automatik tiruan di internet bernilai lebih RM2,000.
Bagaimanapun, hobi janggal pelajar tingkatan tiga itu mengumpul ‘mainan’ tersebut mengundang padah apabila dia diberkas di rumahnya di sekitar bandar ini oleh sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Ipoh pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Dia kemudian dibebaskan selepas keterangannya diambil dengan jaminan mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967.
Mengulas lanjut, Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd. Nasir Said berkata, pelajar itu diberkas selepas pihaknya mendapati sesuatu yang mencurigakan ketika mengimbas satu bungkusan di Unit Kastam Pos, Pejabat Pos Besar Ipoh Sabtu lalu.
Katanya, kesemua senjata seperti M16, Air Rifle MP5, pistol jenis Glock dan Colt 45 automatik itu berkualiti tinggi dan hampir menyerupai yang tulen selain mampu mendatangkan kecederaan parah jika terkena tembakan yang dilepaskan.
“Siasatan awal percaya remaja itu membeli sendiri senjata-senjata tiruan terbabit melalui sebuah laman web syarikat di luar negara untuk dijadikan ‘mainan’.
“Kita masih menyiasat dari mana remaja itu mendapatkan wang untuk membeli senjata tiruan tersebut. Remaja itu membeli senjata berkenaan dengan cara memindahkan wang ke akaun laman web syarikat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, MP5 yang dirampas menggunakan peluru tembaga manakala yang lain disertakan dengan kelongsong peluru getah. Nilai rampasan dianggarkan RM2,043.90 dan dutinya pula sebanyak RM878.88.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2WcDSSLMV 
Hakcipta terpelihara 

Didakwa tendang isteri sampai mati


CHIN HUA yang dituduh membunuh isterinya didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Tindakan kejam seorang suami menendang perut isterinya yang sedang hamil empat bulan sehingga wanita itu mati menyebabkan dia diheret ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua dakwaan termasuk membunuh mangsa.
Terdahulu tertuduh, Yiew Chin Hua, 33, yang bekerja sebagai jurutera didakwa atas pertuduhan pertama iaitu membunuh Vivian Biding Camarota (gambar kecil), 32, yang dikahwininya sejak lapan tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Nombor 77, Jalan Indah 24/10, Taman Bukit Indah, Nusajaya, pada pukul 12 tengah malam hingga pukul 2.30 pagi, 1 Jun lalu.
Dakwaan terhadap Chin Hua dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berasal dari Kukup, Pontian memahami pertuduhan namun tiada pengakuan direkodkan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2WcDALntc 
Hakcipta terpelihara 

Kastam rampas 213 tapak kaki beruang


GAMBAR menunjukkan tapak kaki beruang yang dirampas oleh kastam di Manzhouli, China kelmarin.


MANZHOULI - Pasukan kastam di wilayah autonomi Inner Mongolia, China merampas sejumlah 213 tapak kaki beruang yang diseludup oleh dua lelaki warga Rusia di sini kelmarin.
Seorang pegawai kastam tempatan, Sun Rongxin berkata, tapak kaki beruang itu disembunyikan di dalam sebuah van yang dinaiki suspek di wilayah tersebut pada 22 Mei lalu.
Menurutnya, rampasan itu merupakan yang terbesar pernah dilakukan anggota kastam Inner Mongolia setakat ini.
Tambah Rongxin, kedua-dua suspek kini ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat bagi mengetahui lokasi penghantaran tapak kaki beruang berkenaan.
Jelasnya, tapak kaki beruang itu disembunyikan di dalam roda dan tayar ganti van tersebut.
Siasatan lanjut mendapati, tapak kaki beruang tersebut berasal daripada spesies beruang coklat yang dilindungi di China.
Pasukan kastam berkata, sekilogram tapak kaki beruang di Rusia berharga AS$63 (RM198).
Bagaimanapun harga tapak kaki beruang di China naik 10 kali ganda. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Wc9UKqSD 
Hakcipta terpelihara