10 bulan anak dilarikan
Rasyidah (kiri) bersama Long Peng (tiga, kiri) menunjukkan gambar Syazmil.
10 bulan anak dilarikan
Rasyidah menunjukkan gambar Syazmil dan sijil kelahiran anaknya yang dikatakan dilarikan keluarga bekas suaminya sejak 10 bulan lalu.
TELUK INTAN - Seorang ibu muda terpaksa memendam rasa rindu pada anak tunggal yang dikatakan dilarikan keluarga bekas suami sejak 10 bulan lalu.

Lebih membimbangkan buat Rasyidah Radzi, 24, apabila  keluarga bekas suaminya yang bukan beragama Islam membawa pergi anaknya, Syazmil Daniel Thever Alif  Ramadhan, 2.

Menurutnya, perkara itu berllaku apabila, dia terpisah dengan anaknya sejak 9 Mac tahun lalu yang tinggal bersama bekas suaminya, Alif Ramadhan  Devar, 37, di Sungai Buloh, Selangor.

"Saya dan bekas suami tinggal berasingan sejak 9 Mac tahun lalu  kerana berdepan dengan masalah rumah tangga dan dalam proses penceraian.

"Bagaimanapun, bekas suami meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh Selangor pada 16 Julai tahun lalu," katanya ketika ditemui di pejabat DAP Parlimen Teluk Intan, di sini semalam.

Rasyidah yang tinggal di Batu 3 ½ , Kampung Batak Rabit di sini berkata, dia mencuba mengambil anaknya daripada keluarga bekas suaminya yang bukan beragama Islam namun  gagal.

Dia mendakwa, anaknya didakwa disembunyikan oleh keluarga bekas  suami malahan  mereka tidak memberi peluang kepadanya melihat anak walaupun sekali.

“Oleh itu, saya telah membuat laporan sebanyak dua kali di Polis Teluk Intan pada 12 Ogos dan 14 Disember tahun lalu berkaitan dengan kes ini.

"Bagaimanapun, kes itu bukan kes jenayah tetapi kes sivil di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam  Perak (Jaipk),” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kisah Rayidah kehilangan anaknya yang dibawa pergi  oleh keluarga bekas suaminya, pada tahun lalu.

Rasyidah berkata, atas nasihat polis, dia membawa kes itu kepada Mahkamah Tinggi Syariah Perak  di hadapan Hakim Abd Rahman Thobroni Mohd Mansor pada 20 Disember tahun lalu.

Katanya, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh  memerintahkan anaknya dipulangkan kepadanya dan memerintahkan mana-mana pihak berkuasa termasuk polis untuk membantunya mencari Syazmil namun gagal.

Rasyidah  turut bimbang  dengan  akidah Syazmil sebagai seorang anak beragama Islam kerana masih dalam jagaan keluarga bukan Islam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Long Peng berkata, pihaknya akan cuba membantu Rasyidah  untuk mendapatkan semula anaknya daripada keluarga bekas suaminya.

Selain itu, pihaknya akan meminta polis memberikan kerjasama dalam kes tersebut.

“Saya juga mengarahkan kepada pembantu saya untuk berjumpa dengan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bagi berbincang berkenaan kes Rasyidah,” katanya.