Search This Blog

Monday, June 17, 2013

Sindiket kad kebal warga asing


Sindiket kad kebal warga asing
Amiruddin menunjukkan dokumen yang dirampas.
Sindiket kad kebal warga asing
Peralatan yang dirampas pihak polis.
Sindiket kad kebal warga asing
Contoh 'kad kebal'.
Sindiket kad kebal warga asing
Warga asing yang memiliki kad kebal kononnya terlepas dengan tindakan pihak berkuasa.
SINDIKET ini berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang kononnya melakukan bancian terhadap warga asing yang mempunyai masalah berhubung dokumen perjalanan.

Motif mereka adalah memperdayakan mangsa dengan dakwaan mereka mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan program bancian atau 6P.

Sindiket berkenaan juga memperdayakan mangsa dengan janji boleh memperoleh permit atau dokumen pengenalan diri yang dipercayai kebal daripada tindakan pihak berkuasa.

Mangsa perlu membuat bayaran serendah RM1,500 hingga RM5,000 mengikut sektor perkhidmatan warga asing tersebut. Terdapat juga sindiket yang mengenakan bayaran sebanyak RM270 setahun untuk mendapatkan kad pengenalan diri yang dianggap kebal daripada tindakan pihak berkuasa.


Jangan terpedaya jaminan perlindungan

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno menasihati warga Indonesia khususnya berwaspada dan tidak tertipu dengan sindiket terbabit yang menawarkan perlindungan kepada warga asing.

“Mereka datang tanpa permit yang sah. Mereka dijanjikan pelbagai manfaat dan jaminan keselamatan.

"Setelah bayaran dilunaskan, akhirnya ia menjadi korban penipuan sindiket tersebut,” katanya.

Beliau juga berharap lebih banyak maklumat dapat disalurkan kepada pihak kedutaan, polis dan imigresen supaya dalang sindiket berkenaan dapat diberkas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin menegaskan pihak Kementerian Dalam Negeri tidak melantik atau membenarkan mana-mana pihak melakukan permohonan 6P selepas program itu tamat tahun lalu.

“Kami meminta orang ramai tampil membuat aduan jika mendapati ada syarikat atau NGO melakukan aktiviti sedemikian bagi membantu siasatan,” katanya.

Polis jalankan rondaan sejam sekali di premis ATM

PDRMKUALA LUMPUR - Berkuatkuasa hari ini, pasukan peronda polis akan menjalankan rondaan sejam sekali di premis-premis mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara sebagai langkah mencegah kejadian samun dan pecah ATM.
 
Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal akan melaporkan keadaan terkini selepas setiap rondaan kepada bilik kawalan di setiap daerah.
 
"Unit rondaan ini perlu menjalankan rondaan dengan berhenti dan melawat premis ATM dengan kekerapan satu jam sekali dalam tempoh 24 jam setiap hari di semua daerah di seluruh negara.   
 
"Kalau setiap jam ada polis yang meronda di premis ATM, mana mungkin boleh berlaku kejadian samun dan pecah ATM sebab ia perlukan masa memandangkan peralatan yang digunakan seperti gas oxy-acetylene, dan lori untuk menarik keluar mesin tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Tawan Bukit Aman di perkarangan pusat membeli-belah KLCC.

Beliau berkata unit peronda itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap sebarang insiden khususnya melibatkan kejadian pecah dan samun ATM sekiranya ia berlaku dalam tempoh rondaan mereka.

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata cadangan bagi mengasingkan laluan pejalan kaki dan motosikal sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan masih di peringkat perbincangan.
 
Beliau berkata cadangan itu perlu dibincangkan dan maklumbalas daripada orang ramai juga diperlukan.
 
"Kita sudah mendapat respon daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun untuk laksanakan perkara itu kita kena lihat keadaan sekeliling dan kesannya kepada masyarakat," katanya.
 
Ayub berkata berdasarkan statistik, jenayah membabitkan motosikal menyumbang 50 peratus daripada indeks jenayah negara dan cadangan itu dilihat mampu mengurangkan jenayah jalanan.
 
"Sebagai contoh, kejadian curi motosikal merupakan penyumbang utama indeks jenayah di negara ini.
 
"Jadi kalau kita zonkan motosikal di kawasan-kawasan tertentu mungkin jenayah yang melibatkan motosikal dapat dikawal," katanya.  - Bernama

AJK masjid cedera kemalangan

AJK masjid cedera kemalanganKereta Abdul Hamid (kiri) ketika terlibat dalam kemalangan, kelmarin.
REMBAU - Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Bongek, di sini, cedera apabila terbabit kemalangan di Kilometer 30.5 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Abdul Hamid Mohd Nor, 54, yang memandu kereta jenis Toyota Camry sedang dalam perjalanan untuk sarapan pagi di sebuah kedai makan selepas selesai membersihkan masjid.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila pemandu sebuah van tidak menyedari kereta mangsa yang ingin membelok ke kanan jalan, ketika pemandu van itu mahu memotong sebuah lori di hadapannya.

“Van itu merempuh sebelah kereta menyebabkan kereta berkenaan berpusing. Mangsa bagaimanapun hanya sakit di bahu dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, pemandu van berusia 31 tahun dan kelindannya berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bom dalam bungkusan udang

Bom dalam bungkusan udangAnggota polis sedang melakukan siasatan penemuan bom tangan yang masih aktif di Kampung Tok Ngah, Kuala Kurau. Gambar kecil: Bom tangan masih aktif ditemui Nuraida diletakkan di bawah pokok bunga raya berhampiran rumahnya.
KUALA KURAU - Hajat seorang suri rumah memasak udang diberikan bapa saudaranya terbantut setelah menemui sebutir bom tangan di dalam bungkusan berisi udang itu di Kampung Tok Ngah, di sini semalam.

Saksi kejadian, Nuraida Mat Din,42, yang terkejut dengan penemuan bom tangan itu memberitahu, bungkusan berisi udang yang disimpan sementara di rumah ibunya di Kampung Nelayan Kuala Kurau sebelum dibawa pulang ke rumahnya jam 11 pagi.

Menurutnya, setelah tiba di rumah, dia segera merendamkan udang yang ditabur ais ke dalam sebuah besen sebelum dimasak untuk makan tengahari.
“Bagaimanapun, saya terkejut menemui seketul objek aneh yang pada mulanya disangka batu ketika sedang mengupas kulit udang.

“Saya segera menunjukkan 'ketulan batu’ itu kepada suami, Rosli Abu Osman,45, yang kebetulan sedang berehat di rumah.

“Setelah diteliti objek itu, suami saya mengesyaki ‘ketulan batu’ itu menyerupai bentuk sebutir bom tangan berdasarkan corak pada luarannya dan segera meletakkan objek itu di bawah pokok bunga raya berdekatan rumah,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian di sini semalam.

Nuraida berkata, dia dan suami segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau lebih kurang jam 2 petang dan polis yang membuat siasatan mengesahkan ianya merupakan sebutir bom tangan lama yang masih aktif.
“Setelah dimaklumkan perkara itu, saya terkejut dan tidak menyangka sebutir bom tangan disimpan dan dipegang saya dengan begitu sahaja.

“Saya tidak menolak kemungkinan bom tangan itu termasuk dalam pukat yang digunakan bapa saudaranya untuk menangkap udang dan kewujudannya tidak disedari beliau disebabkan ianya tersembunyi di dalam timbunan udang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan laporan penemuan bom berkenaan yang dikenal pasti masih aktif.

“Unit pemusnah bom dihantar untuk meletupkan bom itu dalam kawasan perimeter selamat atau membawa bom berkenaan ke satu lokasi di daerah ini untuk dimusnahkan,” katanya.

Maut terbabas dalam longkang



16 Jun 2013


KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Km68.5, Jalan Kea Farm-Tringkap, dekat Cameron Highlands, awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Junaidi Zahidun, 24, yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menghala ke Tringkap dari Brinchang, sebelum motosikal ditungganginya hilang kawalan.

“Mangsa terjatuh ke dalam longkang sebelum kepalanya terhantuk pada batang besi paip dan mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala,” katanya ketika dihubungi. – Bernama

Terima hakikat suami maut dihempap



SELEPAS menunggu hampir sehari, isteri mangsa pasrah dan menerima hakikat bahawa suaminya tidak lagi akan bernyawa di bawah runtuhan konkrit rod penebat kilat dari Menara Umno, Khamis lalu.

Isteri  mangsa, Lee Chai Song berkata, dia kini sedia untuk menerima kenyataan bahawa suaminya Lim Chin Aik, 44, sudah mati berikutan penemuan serpihan kereta milik lelaki itu di dalam kawah yang terbentuk akibat hempap konkrit rod penebat kilat yang jatuh.

Menurutnya, beliau sekeluarga kini hanya berharap, dalam operasi mencari dan menyelamat ini, agar badan Chin Aik ditemui untuk keluarga melakukan upacara terakhir bagi mangsa.

Wanita itu dalam nada sebak berkata demikian kepada media ketika menunggu bersama-sama keluarga mangsa sejak pagi semalam.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat dengan mengorek lubang di kawasan serpihan  kereta mangsa ditemui.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika melawat keluarga mangsa dan melawat tempat kejadian berkata, jurutera-jurutera yang bertugas di lokasi kejadian memaklumkan kepada beliau bahawa memasang ‘sheet piles’  untuk menutup lubang-lubang paip yang bocor terdapat di dalam kawah itu bagi mengelakkan air terus bertakung di kawasan pencarian mangsa.

“Menurut jurutera, kerja-kerja mencari menjadi sukar sebab tanah yang lembut  kerana takungan air dan apabila dikorek tanah menjadi mendap lagi.

“Dengan pemasangan kepingan besi ini ia akan menstabilkan struktur  tanah dan juga bangunan sekeliling selamat. Selain itu, ia juga  menyenangkan kerja-kerja mengorek dan mencari mangsa.

Justeru itu, beliau juga meminta JKP Sdn Bhd menjalankan siasatan terperinci mengenai punca rod penebat kilat runtuh dari Menara Umno, Khamis lalu.

Selain mangsa, dua lagi dilaporkan mati dalam kejadian ribut di 21 kawasan di Pulau Pinang.

Salah seorang, kelindan lori yang juga warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut akibat cedera parah di kepala dan seorang lagi ditimpa dahan pokok di satu lokasi lain.

Orang ramai berjaya tangkap peragut aktif

Amiruddin Jamaluddin
Amiruddin Jamaluddin

AMPANG - Seorang lelaki dipercayai peragut yang aktif melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang, Kajang dan Sentul diberkas di pasar malam Taman Muda, Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Orang ramai menangkap peragut yang berusia 25 tahun itu, kira-kira jam 12 tengah malam, sebelum diserahkan kepada polis.

Suspek dipercayai salah seorang ahli kumpulan samun dan juga dikehendaki berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis menjumpai sebuah telefon bimbit, sim kad, kad pengenalan (dilaporkan hilang di Wangsa Maju) dan pelbagai kad bank di dalam dua beg galas milik suspek.

"Suspek menggunakan sebuah motosikal Yahama 125Z warna biru dengan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Cheras dan menjumpai 44 beg tangan, 38 dompet pelbagai jenama, 35 buah telefon bimbit, 35 pemacu pena USB, 28 sim kad, sebuah komputer riba dan sebuah kamera.

"Kami turut menjumpai semula gari milik seorang anggota wanita yang diragut bersama beg galas anggota tersebut, sebelum ini. Kami percaya dapat menyelesaikan kira-kira 10 kes ragut dipercayai membabitkan suspek itu," katanya.

Rombongan kilang bertukar tragedi



GOPENG - Hasrat sekumpulan pekerja sebuah syarikat tekstil untuk bercuti di Pulau Langkawi terbantut apabila bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dalam satu kemalangan awal pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kilometer 301.0 Lebuhraya Utara-Selatan Tapah-Gopeng (arah utara).

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, bas yang membawa 28 penumpang termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan tujuh tahun itu dalam perjalanan dari Nilai 3 ke Kuala Kedah sebelum menuju ke Pulau Langkawi.

Difahamkan bas tersebut melanggar bahagian belakang lori dan mengakibatkan pasangan suami isteri yang merupakan pengurus syarikat terbabit termasuk dua anak mereka mengalami kecederaan serius dalam kemalangan tersebut.

Manakala beberapa pekerja lain turut mengalami kecederaan ringan dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapat rawatan lanjut.

Terkejut ternampak objek tergantung


Nordin
Nordin
Terkejut ternampak objek tergantung
Keadaan wanita warganegara India ditemui tergantung di bilik air di Jalan Toman, Taman Sri Putra.
BANTING - “Mangsa tidak pernah menceritakan hal keluarga malah kami jarang berbual walaupun menyewa bilik yang sama sejak dua bulan yang lalu,” demikian luahan rakan sebilik mangsa, apabila melihat seorang wanita warga negara India yang ditemui tergantung dalam bilik air di tingkat dua sebuah premis di Jalan Toman, Taman Sri Putra, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, ketika rakan mangsa dalam lingkungan umur 30-an baru sahaja bangun tidur lalu ke bilik air terkejut apabila ternampak objek tergantung di hadapannya.

Dia yang baru mengenali mangsa tidak sangka objek yang tergantung itu adalah rakan yang baru dikenalinya sejak dua bulan lalu.

Katanya, mangsa seorang yang pendiam malah tidak pernah menceritakan dia kerja di mana tetapi hanya memaklumkan dia tidak mempunyai keluarga di sini dan meminta kebenaran untuk menyewa bilik bersama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa, N Sanguntha yang ditemui lengkap berbaju T berwarna biru dan berkain hitam berusia 39 tahun itu ditemui rakan sebilik kira-kira jam 5.30 pagi.

“Rakan yang juga penyewa bilik itu ke bilik air dan ternampak mangsa sudah tergantung menghadap dinding.

“Hasil siasatan mendapati mangsa tergantung menggunakan tali wayar di sebuah bilik sewa di tingkat atas sebuah restoran,” katanya.

Nordin berkata, tiada unsur jenayah dikenal pasti berdasarkan siasatan lanjut dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Bagaimanapun katanya, mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat esok (hari ini).

Mangsa langgar lari meninggal


Mangsa langgar lari meninggal
Ilustrasi: Sinar Harian/Aima Hashim
Mangsa langgar lari meninggal
Nur Bashan
PUCHONG – Setelah bertarung nyawa hampir 11 hari ketika mendapat rawatan di hospital, pejalan kaki yang dirempuh sebuah kenderaan di Pekan Seri Kembangan 3 Jun lalu akhirnya menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa Nur Bashan Nur Mohamad, 36 dikatakan melintas jalan di pekan sibuk itu menuju ke laluan bertentangan.

Malangnya ketika melintas laluan itu, mangsa warga Myanmar yang memegang kad pelarian UNHCR dipercayai dirempuh sebuah kenderaan yang datang dari arah Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan.

Menurutnya, mangsa dikatakan dirempuh sebuah kenderaan menyebabkannya tercampak dan jatuh ke atas jalan sebelum dibantu oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Kata Abd Razak, jenis kenderaan yang melanggar mangsa belum dapat dipastikan dan pemandunya masih tidak membuat laporan polis selepas kejadian berlaku.

“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.16 pagi oleh doktor pakar Wad Kecemasan Hospital Serdang kerana kecederaan parah di kepala selepas 11 hari mendapat rawatan.

“Polis mohon saksi kejadian tampil memberi maklumat,” katanya.

Katanya, kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci giat dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 0169055595 untuk membantu siasatan.

Operasi dihenti selepas jumpa mayat

Operasi dihenti selepas jumpa mayatLubang sedalam tujuh meter digali di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.
GEORGETOWN - Berdasarkan penemuan serpihan kereta jenis Honda City milik peniaga nasi ekonomi, Lim Chin Aik, 44, operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga kini.

Orang ramai juga mula membanjiri kawasan sekitar lokasi kejadian  dari petang kelmarin sehingga kini bagi melihat kerja-kerja mengorek di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, bagi mencari Chin Aik.

Kerja menggali dijalankan bomba, pekerja kontraktor dan polis itu bermula jam 8 pagi dan akan diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pasukan mencari dan menyelamat menjalankan kerja sejak petang Sabtu dan berhenti pada jam 6 pagi Ahad sebelum disambung semula kemudiannya.

Beliau berkata, 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Azmi berkata, setakat ini pasukan mencari dan menyelamat menjumpai beberapa serpihan kereta seperti tayar dan papan pemuka.

Isteri mangsa, Lee Chai Song, 48, bersama dua anak dan ahli keluarga lain berada di lokasi kejadian sejak petang semalam dengan harapan mangsa yang tertimbus di dalam kawah itu bukan suaminya.

Chin Aik kemungkinan mangsa kedua terbunuh selepas rod penebat kilat terjatuh dari Menara Umno Pulau Pinang akibat ribut Khamis lalu.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan mencari dan menyelamat telah mengorek lubang sedalam tujuh meter di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

Bagaimanapun, kerja-kerja mencari mangsa menjadi sukar berikutan struktur tanah mendap selain kawasan dilimpahi air kerana paip bawah tanah pecah akibat runtuhan berkenaan.

Turut sama berada di tempat kejadian ialah anggota keluarga mangsa  bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat di kawasan runtuhan itu.

Chai Song, 48, dan tiga anak mereka iaitu dua lelaki, Lim Chia Yiang, 20, Lim Chia Oon, 18, serta anak perempuan mereka Lim Hui Jiun, 13, berada di situ sejak jam 7 pagi.

Kedua-dua ibu bapa mangsa, Lim Tian Chor, 73, dan Ang Kim Looi, 70, dan adik perempuan, Lim Lye Suan, 40, juga berada di tempat kejadian.

Dalam pada itu adik perempuan mangsa, Lye Suan berkata, mereka sekeluarga sudah berusaha mencari abangnya itu di semua lokasi yang beliau selalu pergi termasuk menerusi laman sosial Facebook selepas menyedari kehilangan Lim.

“Saya menyedari abang hilang selepas anak perempuannya (Hui Jiun) balik dari sekolah dengan gurunya dan kami terus mencari abang sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Malam kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik Chin Aik.

Beliau berkata, penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan mangsa sejak hari kejadian iaitu pada Khamis lalu.

Mayat Mohd Ikhwan ditemui

Mayat Mohd Ikhwan ditemuiMayat Mohd Ikhwan ditemui terdampar di pantai berbatu oleh nelayan yang memancing di kawasan sekitar Teluk Datai.
LANGKAWI - Seorang murid yang dikhuatiri lemas sejak dua hari lalu akhirnya ditemui setelah mayatnya dijumpai oleh sekumpulan nelayan dari kawasan Kubang Badak yang memancing sekitar kawasan pantai berbatu di Teluk Datai, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Mohd Ikhwan Mahadir, 8, murid Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad telah hanyut hampir lapan kilometer dari lokasinya dikatakan dibawa arus selepas cuba menyeberangi Sungai Rebang untuk mandi di pantai Pasir Hitam.

Bapa saudaranya, Mohd Ridzuan Fatalin, 35, berkata, keluarganya menerima panggilan sekitar jam 9.30 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Pasukan Bomba,  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) turut bersama bagi menguruskan mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Langkawi.

“Tok imam ada cakap supaya kami semua keluar cari mangsa di kawasan sini, tak sangka arus bawa dia sampai ke sini. Apa pun syukur pada ALLAH SWT mayatnya telah ditemui dan kami akan menyegerakan semua urusan bagi arwah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

“Saya wakil pihak keluarga ucap terima kasih pada semua terlibat usaha cari mangsa hingga ditemui, kami reda dan pasrah kehilangan arwah,” katanya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan Mohd Ikhwan bersama dua rakannya bercadang mandi di pantai berdekatan dan semasa perjalanan ke sana, mangsa telah dibawa arus deras ke laut dan usaha mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan.

Sebelum ini juga Sinar Harian juga melaporkan berkenaan majlis berkhatan beramai-ramai yang dijalankan di Klinik Kesihatan Ayer Hangat dimana adik Mohd Ikhwan turut menyertai program berkhatan yang dianjurkan pihak sekolahnya.

Tragedi lemas nyaris berulang

Tragedi lemas nyaris berulangBot nelayan yang karam di perairan Dungun ditunda ke Kuala Dungun untuk diperbaiki.
KUALA DUNGUN – Tiga lagi nelayan tempatan nyaris menjadi korban pantai apabila bot mereka naiki karam di kawasan lima batu nautika, dekat perairan Dungun, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku apabila bot berukuran kira-kira 15 meter dinaiki tiga nelayan dimasuki air akibat kebocoran pada bahagian enjin.

Menceritakan kejadian yang hampir meragut nyawa tiga rakan itu, nelayan terbabit, Rostam Muda, 42, berkata, bot mereka karam ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Katanya, mereka menyedari kejadian itu selepas kelajuan bot semakin perlahan sebelum membuat pemeriksaan pada bahagian enjin.

“Apabila pergi ke bahagian enjin, saya terkejut apabila ruang enjin dimasuki air.

"Saya cuba mengeluarkan air menggunakan gayung tapi gagal sebab air masuk terlalu cepat sehingga memenuhi ruang enjin,” kata Rostam.

Juragan bot terbabit, Kamaruddin Muda, 39, berkata, sebaik menyedari bot mereka makin tenggelam, dia bersama Rostam serta seorang lagi awak-awak, Mohamed Noor, 48, terus memakai jaket keselamatan.

“Dalam keadaan cemas itu, saya menukar haluan bot menuju ke sebuah bot gentian kaca nelayan yang sedang berlabuh tidak jauh dari situ.

“Sebaik bot hampir tenggelam, kami terus terjun ke laut lalu berenang ke arah bot berkenaan, nasib baik jeritan kami meminta bantuan didengari, jika tidak kami pasti tidak pulang lagi," kata Kamaruddin.

Tiga mangsa yang nyaris lemas itu kemudiannya diselamatkan nelayan lain sebelum dibawa pulang ke kuala.

Kejadian terbabit menyebabkan pemilik bot, Nor Azman Mohamad Nor, 44, yang difahamkan berpengkalan di pengkalan bot Sungai Buaya itu kerugian kira-kira RM20,000 ekoran kerosakan dialami.

Nahas ragut nyawa 3 penuntut


Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Info grafik kemalangan maut.
Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Keadaan kereta yang remuk dalam kemalangan di KM14.5 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam menuju Kuala Lumpur, semalam.
Nahas ragut nyawa 3 penuntut
Ameer Asyraf, Nurul Maizura, Adam
SHAH ALAM - Penuntut tunggal yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga rakannya masih bagaikan masih tidak tahu apa sebenarnya berlaku, selepas tragedi itu.
   
“Nasib kawan-kawan lain tidak diketahui. Mereka dalam perjalanan ke hospital,” kata Nurfarina Mokhtar ketika menghubungi rakannya, Nadiea Syahira Che Azhar, selepas kereta Perodua Viva dinaiki bersama tiga kawannya hilang kawalan dan terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari I City, Shah Alam.

Penuntut yang maut dikenali sebagai pemandu, penumpang Adam Ab Rahman, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali.

Nurfarina cedera ringan. Kesemua mangsa berusia 18 tahun itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Nadiea Syahira, 18, berkata, ketika kejadian itu, Nurfarina tidur di tempat duduk sebelah pemandu dan tersedar apabila terdengar dentuman kuat.

“Nurfarina menangis apabila menghubungi saya kira-kira jam 6 pagi. Dia cedera di muka, keadaannya stabil dan masih trauma,” katanya.

Nurfarina merupakan penuntut Teaching English Second Language) di Pusat Asasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Rakan baik Ameer Asyraf, Amirul Aiman Roslan, 18, berkata, dia mengenali Ameer sejak tingkatan satu lagi di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).

“Tidak sangka ketika kami menyambung pengajian di UiTM, kami tinggal sebilik,” katanya.

Amirul berkata, arwah selalu berkata kepadanya, dia bosan tinggal di kolej itu kerana tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat di dalam bilik memandangkan arwah sangat aktif dalam bidang sukan.

“Sekiranya dia bosan, dia akan ikut ke mana rakannya pergi walaupun rakannya hanya mahu mengeluarkan duit di mesin pengeluaran duit (ATM),” katanya.

Sepupu Ameer Asyraf, Mohd Redzuan Mansor, 31, pula berkata, dia terkejut dengan kejadian menimpa sepupunya itu kerana tidak sangka nenek Ameer Asyraf baru meninggal dunia, Isnin lalu, akibat sakit tua, kini sepupunya pula maut kemalangan.

“Ameer seorang yang periang dan aktif dalam ragbi. Dia pernah mewakili SDAR,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kereta dinaiki empat sekawan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta itu remuk dan dipercayai pemandu dan seorang perempuan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar. Seorang lelaki ditemui maut dalam kereta, manakala seorang lagi selamat,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera ringan dirawat di hospital sama.

Sehubungan itu, Ruslan meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi bantu siasatan atau menghubungi Balai Polis Trafik Shah Alam di talian 03-55202222.

Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup


Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup
Keadaan asrama Maahad Tahfiz Al-Barakah yang musnah.
Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup
Anuar menunjukkan almari Aiman yang tidak terjejas dalam kebakaran.
Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup
Anuar
TIKAM BATU – Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.
Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah

Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.
“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmid

Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.

“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Tidak jejas ambilan pelajar
Menurut Anuar, tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan semangatnya dan tenaga pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar Islam dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.
“Kita baru sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini menunjukkan respons positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi) sebenarnya tidak menjejaskan pengambilan pelajar,” katanya.
Berhubung soal keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di samping menyediakan kelengkapan dan meningkatkan ilmu berhubung keselamatan selain menyediakan prasarana yang layak.
“Setakat ini, pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses pengurusan, terutamanya melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,” katanya.
Menurut Anuar, kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan dipindahkan ke blok bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat penginapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang bersimpati, menyumbang dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula maahad tahfiz itu.

Padah maksiat isteri orang

Padah maksiat isteri orangMangsa dan wanita berkenaan dibawa ke Balai Polis Jertih sebelum diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah.
BESUT - Angkara mencintai isteri orang, seorang lelaki terpaksa bermalam dua malam di hospital akibat cedera dibelasah penduduk kampung apabila perbuatan terkutuk mereka dilihat suami wanita itu sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala apabila dipukul penduduk kampung.

Difahamkan, dalam kejadian di sebuah kampung di kawasan Jabi yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Renek di sini, lelaki terbabit dibelasah ketika berada di dalam rumah sewa wanita itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam, wanita itu dikatakan telah pergi menghantar suaminya yang berusia 23 tahun bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di kawasan Jertih.

Apabila pulang ke rumah, wanita itu dikatakan menghubungi buah hatinya dan mangsa datang ke rumah tersebut kerana telah membuat temu janji sebelum itu.

Difahamkan sejam kemudian, suami wanita itu menghubungi isterinya, namun tidak ada jawapan menyebabkan dia mengesyaki sesuatu lantas pulang ke rumah bersama rakannya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Apabila tiba di rumah, dia dapati sebuah kereta Perodua Myvi berada di hadapan rumahnya sebelum dia mengintip melalui lubang rumah dan mendapati isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan kurang sopan.

Si suami kemudian masuk ke dalam rumah bersama penduduk kampung, menyebabkan berlaku pergelutan antara lelaki tersebut dan penduduk kampung.

Suami wanita itu yang bekerja sendiri kemudian menghubungi penguat kuasa syariah pejabat agama daerah sebelum pasangan itu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak berusia setahun lebih, tetapi ketika kejadian anak mereka berada dalam jagaan ibu bapa wanita berkenaan di Kampung Guntung, Setiu.

Menurutnya sumber, mangsa mengaku ketika kejadian dia baru selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan dan mereka berkenalan sejak awal tahun lagi.

Lelaki itu juga mendakwa kononnya dia tidak tahu wanita itu berstatus isteri orang kerana wanita terbabit memberitahu dia belum bersuami menyebabkan dia menjalin hubungan dengan suri rumah itu.

Dikatakan juga, lelaki tersebut mengenali pasangannya selepas dia tersalah nombor telefon menyebabkan dia menghubungi wanita itu dan dari situ hubungan mereka terus mesra dan sudah beberapa kali bertemu di pekan
Jertih sebelum ini.

Lelaki yang cedera di bahagian muka, kaki dan anggota badan itu dirawat di Hospital Besut sebelum dibenarkan keluar semalam namun ditahan semula oleh penguatkuasa pejabat agama saerah untuk diambil keterangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada suami wanita berkenaan dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, pasangan tersebut diserahkan kepada pejabat agama daerah untuk tindakan seterusnya.

Tragedi singgah mandi


Ipoh: Keputusan dibuat lima rakan untuk singgah mandi di sebuah kawasan air terjun berhampiran perkampungan Orang Asli ketika dalam perjalanan pulang ke Cameron Highlands petang kelmarin, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian jam 5 petang berhampiran perkampungan Orang Asli Pos Slim itu, mangsa yang juga pekerja ladang sayur, Jeow Gin Cheok, 30, dari Kuala Terla, Cameron Highlands, meninggal dunia ketika menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya ini.


Difahamkan, insiden berlaku apabila mangsa bersama empat rakan lain berhenti untuk mandi-manda di air terjun berkenaan sebelum mangsa lemas.

Bagaimanapun, detik cemas itu disedari rakan mangsa yang kemudian berjaya mengeluarkan mangsa dari kawasan air terjun itu sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital dan meninggal dunia sejam kemudian.

Balik sukan mati lemas


Seremban: Kegembiraan seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Ampangan mandi bersama beberapa rakannya di kolam awam Kolam Renang Pusat Sukan Paroi, di sini, petang semalam bertukar tragedi pilu apabila dia mati lemas.

Mohd Shahrulnizam Zulkarnain, 11, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).


Difahamkan, murid terbabit bersama sekumpulan rakannya mandi di kolam milik Majlis Perbandaran Seremban (MPS) itu jam 1.30 tengah hari selepas menyertai Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi berhampiran.

Mangsa sepatutnya pulang ke rumah, diajak rakan ke kolam renang berkenaan dan kejadian berlaku pada jam 2.15 petang.


Orang ramai yang berada di situ membantu dengan menghubungi pasukan keselamatan sebelum mangsa dibawa ke HTJS.


Kakak sulung mangsa berusia awal 20-an yang enggan namanya disiarkan berkata, keluarganya diberitahu mengenai kejadian itu jam 2.30 petang dan bergegas ke HTJS.

Menurutnya, sebaik tiba di HTJS, mereka diberitahu oleh pihak hospital Mohd Shahrulnizam tidak dapat diselamatkan.


“Kehilangannya amat dirasakan kerana arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga kami,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTJS, petang semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Ampangan Ismail Mat Isa berkata, beliau terkejut apabila diberitahu orang awam bahawa seorang murid sekolah itu lemas ketika mandi di kolam renang berkenaan.


Beliau yang bergegas ke lokasi kejadian bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti murid terbabit kerana hanya diberitahu oleh rakan mangsa.


“Saya tidak menyangka kejadian ini menimpa murid sekolah saya kerana arahan sudah diberi kepada semua murid supaya pulang sebaik selesai kejohanan sukan,” katanya.


Difahamkan ia kejadian pertama membabitkan kanak-kanak lemas di kolam berkenaan. Tinjauan mendapati tidak kurang 20 kanak-kanak dan remaja bersama ibu bapa mereka berada di kolam berkenaan ketika kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan disifatkan kes itu sebagai mati mengejut.

Wanita hamil 7 bulan asyik berjudi ditahan


Miri: Kelekaan sekumpulan 13 wanita termasuk seorang yang sarat mengandung tujuh bulan berjudi daun terup membawa padah apabila dicekup pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan Piasau Utara, di sini, kelmarin.

Serbuan jam 3.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Pusat Miri diketuai Asisten Superintendan Cheng Soon Yew, sejurus mendapat maklumat awam.


Dalam operasi itu, semua suspek berusia antara 24 dan 63 tahun itu ditahan walaupun beberapa suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang.

Jurucakap polis berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang tidak berpuas hati dengan kehadiran wanita kaki judi terbabit di rumah berkenaan yang meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan.


Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota dihantar ke lokasi terbabit bagi melakukan intipan, sekali gus mengenal pasti aktiviti mereka sebelum mendapati semua mereka asyik berjudi dalam rumah berkenaan.


“Pihak polis berjaya menahan 13 suspek wanita, malah tiga hingga lima daripada mereka adalah warga emas, selain seorang daripadanya sarat mengandung tujuh bulan.

“Wang tunai dipercayai untuk pertaruhan hampir RM200 dirampas, manakala semua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut termasuk bagi menjalani ujian air kencing sama ada mereka terbabit dalam gejala dadah atau sebaliknya,” katanya.

Takut kaki dipotong


Jasin: Bimbang kaki kanannya yang membusuk akan dipotong hari ini, seorang pekerja sebuah kilang automotif dipercayai menamatkan riwayatnya dengan menggantung diri di rumahnya di Taman Pelangi, Selandar, dekat sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 39 itu ditemui tergantung di dapur rumah oleh isterinya isterinya kira-kira jam 8 pagi.


Difahamkan, kaki kanan lelaki itu yang cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya Februari lalu dan dia mengalami kemurungan selepas pihak hospital memaklumkan ia perlu dipotong.

Seorang anak mangsa yang berusia 11 tahun memaklumkan kepada ibunya selepas menyedari bapanya yang tidur di ruang tamu rumah tiada sebaik terjaga dari tidur beberapa minit sebelum mayat mangsa ditemui.


Menurut isterinya, dia yang dimaklumkan mengenai perkara itu mencari suaminya sebelum menemui mangsa tergantung di ruang dapur. “Apabila mencari di bahagian dapur, saya lihat suami sudah terkulai dalam keadaan leher terjerut kabel elektrik televisyen.


“Saya memanggil adik ipar yang tinggal berdekatan untuk membantu menurunkan suami dengan memotong wayar berkenaan,” katanya.

Katanya, suaminya dijadual menjalani pembedahan memotong kaki kanan di sebuah hospital swasta hari ini.


“Beberapa hari lalu suami ada beritahu takut kaki kanannya dipotong malah kerap mengadu sakit,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia sembilan hingga 14 tahun.

Menurutnya, kos pembedahan yang dijadualkan hari ini berjumlah RM18,000 dan mereka bercadang menyambut Hari Bapa bersama namun tidak kesampaian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mohd Hishamudin Hashim mengesahkan mayat mangsa ditemui isterinya tergantung di dapur rumah.


“Mayat dihantar ke Hospital Jasin dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Mati dalam kereta majikan


Kuala Lumpur: Seorang pemandu ditemui mati dalam kereta milik majikannya dengan kesan tikaman di rusuk dada kanan dalam kejadian di Jalan 1/77B Off Jalan Imbi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun bergaduh dengan seorang lelaki lain sebelum ditikam, namun berjaya memandu kereta Mercedes Benz E Class milik majikannya sejauh beberapa meter sebelum terhenti di tengah jalan.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Taman Len Seng, Petaling Jaya, dilihat seorang saksi sedang bergaduh dengan seorang lelaki lain berusia 50-an.

“Mangsa kemudian dilihat masuk dalam kereta sebelum suspek menikamnya dengan senjata tajam dipercayai pisau sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kilang perabot dimamah api


Kajang: Sebuah kilang membuat perabot hampir musnah dalam kebakaran di Taman Impian Ehsan, di sini, lewat malam kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.02 malam sebelum mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Bangi dan BBP Kajang ke lokasi kejadian. Katanya, menurut laporan awal, kebakaran bermula dari bahagian belakang kilang itu sebelum merebak dan memusnahkan bahagian dalam kilang berkenaan membabitkan keluasan 900 meter persegi. “Ketika jentera pertama tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian, kebakaran sudah merebak ke bahagian dalam kilang sebelum usaha memadamkan kebakaran giat dijalankan. “Seramai 18 anggota terbabit dalam operasi memadam api dan kebakaran berjaya dikawal dua jam kemudian,” katanya. Menurut Mohd Sani, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan ketika kejadian kilang itu kosong dan tiada pekerja bekerja.


Katanya, setakat ini, punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

2 lemas di lombong tinggal

Foto
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa lemas.
Kajang: Dua sahabat baik lemas manakala dua lagi rakan mereka sempat menyelamatkan diri selepas bot dinaiki untuk memancing di sebuah lombong tinggal di Taman Seri Melor, Seksyen 7, di sini, terbalik, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mayat mangsa, Ng Goon Kit, 26, ditemui tersangkut pada pukat lama di dalam lombong berkenaan jam 8 pagi manakala mayat seorang lagi, Chia Kok Leong, 32, ditemui empat jam selepas itu oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Deputi Superintendan Mohd Yusof Ismail berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama dua rakannya yang terselamat pergi ke lombong tinggal itu untuk memancing.
“Mereka menggunakan sampan PVC sebelum tiba-tiba ia terbalik sebaik tiba di tengah lombong menyebabkan dua daripada mangsa tenggelam manakala dua lagi berjaya berenang ke tebing.

“Mangsa pertama ditemui jam 8 pagi manakala mangsa kedua pada jam 12.30 tengah hari, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Keempat-empat lelaki terbabit berkawan rapat dan sering memancing bersama di lombong berkenaan.

Menurut sumber, Ng bekerja sebagai penarik kereta manakala Chia bekerja sebagai mekanik di bengkel sama.

Korban tertinggi


Jitra: Penunggang motosikal muda berusia antara 16 dan 30 tahun menjadi penyumbang kepada lebih 40 peratus kematian daripada 6,917 kes kemalangan maut di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, kadar kematian golongan muda itu amat membimbangkan kerana jumlah kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal adalah antara tertinggi berbanding kenderaan lain.


Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal terutama golongan muda.

“Kita sentiasa mengalu-alukan usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama mengadakan kempen keselamatan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama membabitkan penunggang motosikal.


“Antaranya termasuk kerjasama dengan Kelab Riders United buat kali kelima apabila bersama-sama menyertai kempen kesedaran keselamatan jalan raya di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Taman Tasik Darulaman, di sini, kelmarin.


Kempen mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 500 penunggang motosikal dalam kalangan generasi muda menyertai konvoi dan kempen sehari itu.

Abdul Aziz berkata, usaha yang diambil bersama Riders United itu wajar dicontohi dan langkah terbaik kerana turut mendedahkan kepada penunggang motosikal mengenai cara menunggang yang betul dan selamat oleh jurulatih polis trafik.


Katanya, walaupun banyak kempen diadakan bertujuan mendidik penunggang motosikal lebih berhemah dan menghormati undang-undang jalan raya, jika masih terdapat mereka yang melakukan kesalahan maka tindakan tetap diambil.

“Kita mendidik mereka supaya menghormati undang-undang, namun jika terus berdegil melakukan kesalahan jalan raya, tindakan saman tetap akan diambil ke atas mereka.


“Malah, kita juga tidak mahu golongan muda terutama remaja berasa anggota trafik adalah musuh sebaliknya mahu menjadi ‘kawan’,” katanya.

Gempur gelanggang sabung


Alor Setar: Misteri kewujudan reban ayam dalam sebuah kebun kelapa sawit berhampiran Kampung Telaga Mas, Pokok Sena, dekat sini, akhirnya terjawab selepas lokasi itu sebenarnya dijadikan tempat perjudian sabung ayam.

Malah, lokasi tersembunyi itu tidak bertahan lama selepas serbuan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dilakukan sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Inspektor Noor Azman Adnan.


Difahamkan, lokasi itu sememangnya menjadi kegilaan kaki judi untuk bersabung ayam memandangkan kedudukannya agak strategik kerana terletak di tengah-tengah kebun kelapa sawit dan menyukarkan pihak berkuasa untuk menghidu kegiatan mereka.

Selain itu, lokasi perjudian sabung ayam terbabit yang terletak kira-kira dua kilometer daripada laluan utama membolehkan kaki judi berkenaan berselindung daripada diketahui penduduk berhampiran.


Dalam serbuan itu, Noor Azman berkata, polis berjaya menahan seramai 15 individu dipercayai kaki judi sabung ayam berusia antara 20 hingga 50-an termasuk merampas beberapa peralatan perjudian termasuk ayam sabungan berkenaan.


“Ketika serbuan dilakukan, hampir kesemua kaki judi terbabit sedang asyik melakukan taruhan terhadap ayam sabung kepunyaan masing-masing.

“Selepas menyedari kehadiran pihak polis, ada di antara kaki judi terbabit cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran tempat perjudian itu, namun gagal berikutan lokasi berkenaan sudah dikepung,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Noor Azman berkata, serbuan terhadap lokasi itu susulan maklumat daripada orang awam dan juga risikan yang dilakukan oleh anggotanya sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Kota Setar untuk merekodkan keterangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau denda.


Katanya, pihak polis akan meningkatkan operasi Ops Dadu dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan perjudian di negeri ini dan berharap kerjasama daripada orang awam dapat diteruskan.

Remaja tetak bapa hingga putus kepala

Foto
PENDUDUK Desa Rang enggan membenarkan polis
 menyoal siasat remaja yang membunuh bapanya.
Port Moresby: Seorang remaja perempuan menetak kepala bapanya hingga putus dengan pisau memburu selepas lelaki terbabit memperkosanya di kediaman mereka di kawasan tanah tinggi di Papua New Guinea.
Kejadian itu mendorong penduduk di desa itu membentuk rangkaian perlindungan bagi remaja berusia 18 tahun berkenaan serta enggan menyerahkan mangsa kepada polis kerana percaya bapanya yang jahat itu memang patut mati. Pemimpin gereja tempatan, Paderi Lucas Kumi dari Desa Rang di Western Highlands berkata, masyarakat enggan membenarkan remaja itu disiasat pihak berkuasa. Menurutnya, penduduk dan pemimpin di kawasan itu pergi melihat mayat tanpa kepala bapa mangsa selepas remaja terbabit melaporkan kejadian kepada mereka dan menjelaskan alasan dia membunuh bapanya.

Kumi memberitahu akhbar Post Courier, bapa mangsa berusia pertengahan 40-an merogol anak perempuannya ketika mereka tinggal berdua di rumah selepas isteri dan dua lagi anaknya melawat saudara mereka pada malam kejadian. “Bapa mangsa memasuki biliknya pada tengah malam dan merogolnya berulang kali. “Bapanya mahu merogol mangsa sekali lagi pada waktu pagi dan ketika itu mangsa mengambil pisau memburu dan menetak kepala bapanya,” kata Paderi Kumi. “Kami semua bersetuju remaja itu bebas untuk tinggal di sini kerana bapanya memang patut mati. “Mangsa melakukan pembunuhan kerana dia trauma dan tidak suka perbuatan jahat bapanya. Sebab itu kami setuju dia diberi perlindungan,” katanya.
Menurutnya, remaja itu diletakkan dalam rangkaian perlindungan dan dia disembunyikan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, mayat bapa mangsa juga tidak akan dikebumikan mengikut adat. - Daily Mail

Mayat budak terapung


Langkawi: Mayat kanak-kanak lelaki ditemui terapung di perairan Pantai Teluk Datai, dekat sini, semalam, 42 jam selepas terjatuh dalam muara Sungai Tok Puteri di Kampung Pasir Hitam, Jumaat lalu.

Mangsa, Mohd Ikhwan Mahathir, 8, yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, di sini, ditemui sekumpulan nelayan yang memancing ikan di kawasan berkenaan jam 9.30 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.


Dalam kejadian jam 3.30 petang, Mohd Ikhwan pergi ke kawasan itu bersama dua rakannya dan cuba menyeberang sungai terbabit bagaimanapun terjatuh lalu dihanyut arus deras berikutan air pasang.

Bagaimanapun, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri, tetapi mereka lewat memberitahu kejadian itu kepada penduduk kampung menyebabkan usaha mencari dan menyelamat hanya bermula jam 10 malam.

Koperal nafi terima rasuah RM12,000


Sungai Petani: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap dua pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM12,000 daripada seorang lelaki pada tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Hazali Ismail, 47, yang bertugas di Balai Polis Bedong membuat pengakuan terbabit selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.


Mengikut kertas pertuduhan, Hazali didakwa meminta suatu suapan berjumlah RM7,000 daripada Ramlee Ismail untuk membebaskan lelaki itu bersama lima pekerjanya warga Myanmar daripada tahanan polis kerana memperdagang manusia kira-kira jam 1 pagi pada 26 Mei 2012.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.


Bagi tuduhan kedua, Hazali didakwa memperoleh suapan RM5,000 daripada Ramlee untuk membebaskan lelaki itu bersama lima pekerjanya warga Myanmar daripada tahanan polis kerana disyaki melakukan kesalahan memperdagang orang kira-kira jam 2 pagi pada tarikh sama.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharudeen.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

‘Jika marah usah sampai bunuh dia’


Kota Tinggi: “Kalau marah sekali pun janganlah sampai sanggup membunuh. Sampainya hati orang itu melakukan ke atas anak saya sebegitu rupa,” kata ibu kepada mangsa bunuh, Jannah Md Jak, 50-an, semalam.

Jannah ketika ditemui di rumahnya di FELDA Bukit Easter berkata, hatinya hancur apabila diberitahu anaknya, Mohd Nor Azfar Noh, 27, meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan dan sejak diberitahu petang kelmarin hingga semalam, dia hilang selera makan memikirkan nasib anaknya itu.


Sementara itu, adik mangsa, Mohd Iflan Noh, 25, berkata, abangnya sentiasa menjadi contoh baik kepada mereka.

Menurutnya, mangsa baru 11 bulan bekerja di Lahad Datu, Sabah dan sebelum ini tidak pernah menceritakan sebarang masalahnya.

Hanya sempat bertuala


Kluang: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan dan teman wanitanya berusia 19 tahun hanya sempat memakai tuala apabila pintu bilik sebuah hotel bajet di Simpang Renggam diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam serbuan pada jam 1 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun yang sudah beristeri dan mempunyai dua anak, terkejut apabila biliknya diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Kluang dan JAJ Batu Pahat.


Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang Mohd Khalil Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan, pasangan terbabit hanya bertuala manakala wanita berusia 19 tahun itu di dalam tandas.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguat kuasa terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet itu. “Ketika pintu bilik dibuka, kami menemui seorang lelaki memakai tuala, manakala pasangannya hanya berkemban dalam tandas.


“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan sah dan menyatakan baru berkenalan.


“Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama lelaki terbabit kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan kepada kerjayanya sebagai penjawat awam,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara mencurigakan.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan mereka berdua boleh di denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Simpang Renggam bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi membantu siasatan.


“Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. “JAJ akan terus mengadakan serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas daripada maksiat,” katanya.


Menurutnya, dalam operasi semalam, mereka bekerjasama dengan JAJ Batu Pahat bagi memastikan hotel bajet bebas maksiat.


Katanya, kerjasama itu akan dilakukan dengan lebih kerap.

Bersekedudukan sampai dapat anak


Alor Gajah: Seorang wanita menggunakan kesempatan ketiadaan suaminya yang dipenjarakan bersekedudukan dengan seorang lelaki hingga melahirkan anak tidak sah taraf di Durian Tunggal, di sini.

Wanita berusia 39 tahun itu dipercayai menjalin hubungan terlarang dengan pasangannya yang 10 tahun lebih muda sejak beberapa tahun lalu hingga dia melahirkan anak lelaki yang kini berusia dua tahun.


Kegiatan pasangan itu terbongkar selepas kediaman diduduki mereka di sebuah pangsapuri diserbu pegawai syarak bersama anggota polis selepas mendapat maklumat.

Sumber berkata, pegawai syarak memberi salam di dalam rumah yang berkeadaan gelap sebelum kedengaran suara dari dalam rumah bertanyakan sesuatu sebelum senyap.


“Pegawai syarak kemudian memaklumkan tujuan kehadirannya ke rumah itu dan terpaksa menunggu selama kira-kira 30 minit sebelum pintu dibuka seorang wanita berkemban.


“Wanita itu kelihatan terpinga-pinga sebelum membenarkan pemeriksaan dilakukan di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam sebuah bilik mendapati keadaan tersusun kemas manakala pemeriksaan di sebuah lagi bilik menemui enam orang termasuk kanak-kanak sedang nyenyak tidur termasuk seorang lelaki dan wanita itu mendakwa lelaki itu adalah anak saudaranya.


“Siasatan lanjut bagaimanapun mendapati dakwaan wanita berkenaan adalah alasan semata-mata bagi mengelak diberkas. Pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai tangkapan berkenaan.

Malang penghantar rokok


Butterworth: Malang buat seorang pemandu van apabila dia bukan saja disamun malah turut cedera di rusuk kiri akibat dikelar ketika rompakan itu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.23 tengah hari itu, mangsa yang berusia 53 tahun sedang memunggah kotak rokok untuk dihantar ke sebuah kedai kopi berhampiran Pasar Tingkat Bagan Baru sebelum didatangi seorang lelaki berusia 20-an.


Lelaki yang datang dari arah belakang itu kemudian mengacukan senjata dipercayai pistol ke arah mangsa tetapi berjaya ditepis.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek datang dan mengelar rusuk kiri hingga menyebabkannya rebah.


Rakan mangsa yang berada di sebuah kedai kopi di kawasan itu yang mendengar jeritannya bergegas melihat apa yang terjadi dan terkejut mendapati mangsa sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah.


Difahamkan, kedua-dua suspek sempat melarikan beberapa kotak rokok dibawa mangsa dianggarkan bernilai RM900 dan melarikan diri sejurus kemudian menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Shukri Awang berkata, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan kecil.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

“Dua suspek berusia lingkungan 20-an dan hasil semakan terhadap nombor pendaftaran kereta mereka mendapati ia palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki kedua-duanya,” katanya.

Saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Hairol Azura Abdul Aziz di 012-6258849.

Tinggal 3 anak untuk bersama lelaki Nepal


Kluang: Alasan kesunyian dan terpesona dengan layanan rakan sekerja warga Nepal menyebabkan seorang janda beranak tiga sanggup meninggalkan tiga anaknya di rumah untuk melakukan maksiat dengan teman lelakinya itu di sebuah hotel bajet di Simpang Renggam, di sini, semalam.

Janda berusia 30 tahun yang baru setahun bercerai dengan suaminya dikatakan bercinta dengan teman lelakinya yang juga rakan sekerja di pekan berkenaan sejak beberapa bulan lalu sebelum mengambil keputusan bermalam bersama di hotel bajet berkenaan.


Difahamkan, janda itu mengaku sanggup bernikah dengan teman lelakinya itu jika warga asing berkenaan memeluk Islam selepas mereka ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Kluang bersama JAJ Batu Pahat dalam Ops Maksiat, pada jam 2 pagi semalam.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang Mohd Khalil Mohd Noor berkata, pasangan terbabit ditahan dalam keadaan mencurigakan apabila berada berdua-duaan di dalam bilik hotel itu.


Menurutnya, ketika serbuan lelaki terbabit hanya berseluar jean manakala wanita itu pula memakai blaus.


“Ketika soal siasat dijalankan wanita terbabit menyatakan kesanggupannya bernikah dengan teman lelakinya, namun segalanya terpulang kepada lelaki itu sama ada mahu memeluk Islam atau tidak.

“Selain itu, wanita berkenaan mengatakan dia hidup kesunyian dan tertekan membesarkan tiga anak menyebabkan dia bermalam bersama teman lelakinya itu,” katanya.


Mohd Khalil berkata, wanita terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

“Lelaki warga Nepal dilepaskan selepas pemeriksaan namun diminta hadir ke pejabat kami Isnin ini (hari ini) untuk membantu siasatan,” katanya.

Polis Turki bertindak lebih tegas


Istanbul: Polis antirusuhan Turki semalam menyembur gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang berdegil di Taman Taksim.

Ia dilakukan selepas pihak berkuasa mengusir kumpulan aktivis dari Taman Gezi.
Langkah itu menggambarkan tindakan tegas kerajaan menghalang cubaan menyemarakkan semula bantahan yang menggegarkan negara itu.

Jentolak membersihkan Taman Gezi yang dihuni penunjuk perasaan selama dua minggu dan polis menutup lokasi terbabit bagi mengelak ia dihampiri penunjuk perasaan yang cuba meneruskan bantahan mereka.


Penunjuk perasaan membuat penghadang dan asap gas pemedih mata menyelubungi jalan raya di Istanbul selepas polis rusuhan Turki mengusir kumpulan yang berikrar untuk terus menetap di Taman Gezi walaupun selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memberi amaran supaya beredar.


Di Ankara, polis menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang cuba mengadakan upacara memperingati aktivis yang maut dalam kekacauan paling buruk pernah dihadapi kerajaan Recep. - AP

Keluar 15,000 cakera padat porno sehari


Sharjah: Jabatan Siasatan Jenayah Sharjah menangkap tiga warga Asia atas tuduhan menerbit, mempromosi dan menjual filem lucah dan kandungan berunsur pornografi.

Tertuduh yang menggunakan teknologi komputer menghasilkan cakera padat porno dalam jumlah yang besar dan kemudian mempromosi serta menjualnya di beberapa kawasan di Sharjah dengan menyasarkan golongan belum berkahwin.


Polis yang bertindak selepas dimaklumkan mengenai kegiatan berkenaan menjejaki seorang suspek di kediamannya di sebuah kawasan perindustrian.

Serbuan kemudian dilakukan dan polis menemui komputer, cakera padat, mesin pencetak serta salinan untuk menyalin dan menghasilkan filem porno.


Siasatan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh menghasilkan sebanyak 15,000 salinan filem porno sehari.


Mereka mengaku melakukan perbuatan itu dan kes sudah dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut. - AFP

Anggota polis tidak mengaku minta rasuah


Sungai Petani: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000, Mei tahun lalu.

Tertuduh, Kpl Hazali Ismail, 47, bertugas di Balai Polis Bedong, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, Hazali dituduh meminta suapan RM7,000 daripada Ramlee Ismail untuk membebaskan lelaki itu bersama lima pekerja warga Myanmar selepas Ramlee disyaki melakukan kesalahan memperdagangkan orang pada kira-kira jam 1 pagi, 26 Mei 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, jika sabit kesalahan.

Ikat jamin RM10,000

Bagi pertuduhan kedua, Hazali didakwa memperoleh suapan berjumlah RM5,000 daripada Ramlee untuk membebaskan lelaki itu bersama lima pekerja warga Myanmar selepas Ramlee disyaki melakukan kesalahan memperdagangkan orang kira-kira jam 2 pagi, 26 Mei 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Bedong, Kuala Muda.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan 20 Ogos depan bagi sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili Rahmatullah Baharudeen.

Tiga rakan maut kereta terbabas

Tiga rakan maut kereta terbabasShah Alam: Tiga rakan maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu, Adam Ab Rahman serta penumpang belakang, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali manakala Nurfarina Mokhtar yang berada di bahagian penumpang depan hanya cedera ringan.
Kesemua mangsa berumur 18 tahun, dengan tiga daripadanya adalah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan seorang Universiti Putra Malaysia (UPM).


Mangsa tercampak 

Adam adalah pelajar Diploma Sains Sukan UiTM Kampus Jengka, Pahang, berasal dari Muar, Johor manakala Ameer (Asasi Perakaunan UiTM Shah Alam) dan Nurul (Asasi Sains Pertanian UPM), masing-masing berasal dari Jasin, Melaka serta Labuan, Sabah.

Nurfarina adalah pelajar Asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), UiTM Shah Alam dan berasal dari Kelantan.

Difahamkan kereta yang dipandu Adam berpusing dan melanggar pembahagi jalan sebanyak dua kali menyebabkan ada mangsa terperosok di bawah kereta dan tercampak ke lorong lebuh raya bertentangan.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam menerima panggilan pada jam 5.19 pagi dan dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Berdasarkan keterangan seorang mangsa yang terselamat, mereka baru pulang dari I-City di Seksyen 7 dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke HTAR untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian manakala mangsa yang cedera kini ditempatkan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya.