Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Chen Cha Cha, 35, dan anak lelakinya, Chuah Zheng Zhang, 7, serta Mohd Affendi Halim, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sebelum ini, isteri tidak pernah membawa anak kami ke tempat kerja kecuali hari ini (kelmarin) selepas Zheng Zhang berkeras mahu mengikutnya ke tempat kerjanya.
“Isteri saya tiada pilihan dan terpaksa membawanya bersama dengan meninggalkan dua lagi anak perempuan kami berusia 11 dan sembilan tahun di rumah," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.
Poh Hwa hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan adik iparnya kira-kira jam 8.45 malam dan menyangka isterinya cuma terbabit dalam kemalangan biasa.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau terkejut apabila diberitahu isteri dan anak bongsunya meninggal dunia dalam kemalangan itu.
Sementara itu, abang Mohd Affendi, Mohd Faizul Halim, 21, berkata adiknya baru selesai makan malam di rumahnya di Kampung Guar Nangka di sini, sebelum kembali ke tempat kerja di Kilang Gula FELDA Chuping.
“Kebiasaannya adik saya bekerja syif malam tetapi pada hari kejadian dia bekerja syif petang dari jam 3 hingga 11 malam," katanya.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata, Mohd Affendi menunggang dari arah Guar Nangka menghala ke Bukit Keteri manakala Cha Cha dan anaknya datang dari arah bertentangan.
Difahamkan, seorang daripada mangsa cuba memintas sebuah treler tanpa menyedari kehadiran motosikal dari depan.
Katanya, pertembungan menyebabkan kedua-dua motosikal remuk di tengah-tengah jalan berdekatan Kampung Chelom, di sini.
"Topi keledar dipakai Cha Cha dan Mohd Affendi hancur manakala kanak-kanak terbabit tidak memakai topi keledar," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.