Putrajaya: Keputusan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) berhubung kes kematian dua tahanan lokap, baru-baru ini akan diumumkan kepada orang ramai.
Pengerusi SIAP Datuk Heliliah Mohd Yusof berkata, bagi menyempurnakan tugas itu, enam anggota pasukan petugas dan dua perunding dilantik menyiasat punca kematian tahanan terbabit.
“Namun tiada had masa diperuntukkan bagi menyiasat kes itu kerana ia mungkin mengambil masa yang panjang untuk menegakkan kebenaran.
“Kita akan menyiasat dari semua sudut, seperti siapa yang mengeluarkan arahan bagi penahanan tahanan, keadaan lokap yang menempatkan tahanan dan saksi di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Pasukan petugas itu ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian N Dharmendran, 32, pada 21 Mei di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan R Jamesh, 40, di IPK Pulau Pinang, 26 Mei lalu.
Katanya, pasukan petugas yang ditubuhkan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) itu bertujuan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa mengendalikan dua tahanan terbabit.
“Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, siasatan seterusnya untuk menentu dan mengenal pasti bagaimana ia terjadi, apakah peraturan, kaedah, Prosedur Operasi Standard (SOP) atau mekanisme yang mendorong salah laku itu serta individu bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
“Langkah seterusnya ialah mengesyorkan penambahbaikan atau penggubalan semua peraturan, kaedah, SOP atau mekanisme bagi memastikan salah laku itu tidak berulang,” katanya. Heliliah berkata, selain beliau sebagai penyelia, pasukan petugas turut terdiri daripada Pesuruhjaya SIAP Datuk Seri Robert Jacob Ridu, Pengarah Bahagian Operasi SIAP Ahmad Razif Mohd Sidek, Pengarah Bahagian Dasar, Penyelidikan dan Inovasi SIAP Foo Hui Yi, Penasihat Undang-Undang SIAP Eda Mazuin Abdul Rahman dan Pegawai Penyiasat SIAP Mohd Nadzri Ibrahim.
Selain itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Jamil Johari dan bekas Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dilantik perunding bagi membantu pasukan petugas sepanjang siasatan berlangsung.
Sementara itu, mengulas kematian warga Jepun di lokap polis di Subang Jaya Sabtu lalu, Heliliah berkata, kes itu tidak termasuk dalam siasatan petugas khas SIAP.
“Pihak kami tidak akan campur tangan dalam isu berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk menyelesaikannya,” katanya.