Search This Blog

Monday, June 10, 2013

Empat kereta hangus dikhianat



ANGGOTA bomba memadamkan api yang memusnahkan empat buah kereta di Apartmen Rista Villa, Taman Putra Perdana dekat Puchong kelmarin.


KUALA LUMPUR - Empat buah kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan di Apartmen Rista Villa, Taman Putra Perdana dekat Puchong kelmarin terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, kebakaran pada pukul 1 pagi itu dipercayai berpunca dari sebuah kereta Perodua Viva sebelum merebak dan merosakkan pula tiga buah kenderaan lain yang terletak berhampiran kereta tersebut.
Kereta tersebut musnah sepenuhnya manakala tiga buah kereta lain iaitu Perodua Kancil, Perodua Myvi dan Nissan Almera hanya mengalami kerosakan kecil.
"Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat," kata jurucakap Bomba dan Penyelamat ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Vo22J5Lq 
Hakcipta terpelihara 

Bakar bangunan kerana kekasih curang


Beijing: Seorang lelaki dihukum mati selepas bertindak membakar bangunan untuk membalas dendam terhadap kekasihnya yang curang.

Mahkamah China membuat keputusan itu terhadap defendan berusia 25 tahun selepas tindakannya menyebabkan lapan orang terbunuh, lapor media di sini.
Lin Binwei mengaku salah membakar bangunan itu pada 23 Februari lalu kerana mahu membalas dendam terhadap seorang lelaki yang menjalin hubungan intim dengan kekasihnya, lapor agensi berita Xinhua, kelmarin.

Pegawai yang bertugas di mahkamah berkenaan di Taizhou City mengesahkan hukuman itu tetapi tidak dapat memberi butir-butir lain.

Semua hukuman mati akan dikaji semula secara automatik oleh Mahkamah Agung Rakyat.

Xinhua melaporkan, Lin juga membakar gudang lelaki berkenaan yang menjadi tempat simpanan kasut bagi perniagaan online.

Kebakaran merebak
Kebakaran itu merebak ke kediaman di atas gudang berkenaan menyebabkan lapan kematian dan seorang cedera.

Keterangan rasmi tidak memberi penjelasan sama ada pemilik perniagaan itu juga antara yang maut.

China mengharamkan pemilikan senjata api. Oleh itu, perbuatan membalas dendam biasanya menggunakan pisau, bom buatan sendiri dan membakar bangunan.

Jumaat lalu, seorang lelaki yang kecewa dengan kehidupannya bertindak membakar sebuah bas penumpang menyebabkan 47 orang terbunuh dan 34 lagi cedera di bandar Xiamen.

Ia berpunca daripada masalah yang dihadapi untuk mendapatkan bantuan polis membetulkan data rasmi usianya supaya dia layak menerima bayaran elaun sosial. - AP

Bakar kereta lupus bukti


Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
Rembau: Dua penjenayah dipercayai bertindak membakar kenderaan digunakan di sebuah ladang kelapa sawit dipercayai bagi menghilangkan bukti selepas merompak sebuah pasar mini di pekan Pedas, dekat sini, petang kelmarin.

Suspek bersenjatakan pedang samurai itu dikatakan melarikan mesin wang mengandungi RM1,000 milik pasar mini berkenaan dalam kejadian jam 6.30 petang.


Mangsa, Lee Siew Mei, 41, berkata, ketika kejadian hujan lebat dan tiada pelanggan, sebelum tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng menaiki kereta berhenti di depan kedai.

“Sejurus keluar seorang daripada lelaki itu menghampiri saya dan merampas mesin wang, manakala seorang lagi memegang pedang samurai berlegar di dalam kedai dan menghunus ke arah pekerja, D Sathiaraj, 16, yang sedang menyusun barang.


“Saya panik dan menjerit meminta tolong menyebabkan penjenayah itu menampar kedua-dua belah pipi sehingga bengkak. Saya terus mendiamkan diri dan berlari ke arah belakang kedai apabila kedua-dua penjenayah itu beredar. “Penjenayah hanya melarikan mesin wang dan sepanjang 15 tahun berniaga di sini, ini kali pertama kedai disamun,” katanya ketika ditemui di kedainya.


Katanya, dia trauma akibat kejadian itu namun lega kerana tidak mengalami kecederaan teruk, cuma bengkak pipi akibat ditampar.

Sementara itu, Sathiaraj berkata, kejadian berlaku pantas dan ketika itu dia sedang menyusun barangan di rak sebelum dikejutkan dengan jeritan majikannya.


“Saya terkejut apabila majikan menjerit meminta tolong dan mengatakan ada perompak. Apabila memalingkan muka muncul seorang lelaki bertopeng menyerbu ke arah saya dan menghunus pedang samurai ke arah muka.

“Walaupun takut tetapi saya cuba melawan dengan menampar muka penjenayah itu menyebabkan suspek berang dan menampar pula pipi saya. Bimbang jika penjenayah itu bertindak ganas, saya terus berlari ke belakang kedai untuk menyelamatkan diri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kereta jadi ‘rumah’ peniaga tenggiling


Gerik: Sepasang suami isteri menjadikan kereta Proton Waja rumah bergerak dengan tinggal dan tidur dalam kenderaan itu bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti menjual tenggiling secara haram sejak lebih sebulan lalu.

Suspek berusia 25 tahun bersama isterinya yang berusia 20 tahun didapati datang sejauh lebih 800 kilometer dari Batu Pahat, Johor ke Kuala Kangsar, Perak untuk mendapatkan bekalan haiwan itu yang kemudian dijual secara haram kepada peminat makanan eksotik.


Difahamkan, tenggiling yang dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dijual kepada peraih dan pemilik restoran dengan harga sehingga RM260 sekilogram.

Kegiatan mereka terbongkar selepas disedari tiga pegawai Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berhampiran Jalan Duku, Taman Sinaran, di sini, jam 1 pagi semalam. Komander UPP Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, pasangan itu mulanya enggan bekerjasama ketika pegawainya mahu memeriksa kereta itu, malah enggan keluar dan menutup cermin kereta selain cuba memecut lari.


“Anggota UPP dibantu lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik memaksa suspek menyerah diri dan pemeriksaan di bahagian belakang kereta menemui 16 tenggiling seberat 120 kilogram.


“Suspek mengaku membelinya daripada beberapa penjual di Kuala Kangsar dengan harga RM31,200 untuk dijual di beberapa restoran di Kota Bharu, Kelantan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sabun mandi dan serbuk pencuci pakaian turut ditemui selain pakaian dalam jumlah banyak dipercayai bekalan sepanjang menjalankan kegiatan itu.


“Mereka mengaku menjadikan kereta itu rumah sementara bagi memudahkan menjalankan urusan jual beli haiwan itu, selain meninggalkan seorang anak kecil dengan ibu di kampung untuk dijaga,” katanya.

Bot bawa 55 pelarian karam


Sydney: Pesawat, kapal dagang dan tentera laut semalam melancarkan gerakan mencari besar-besaran selepas sebuah bot yang membawa 55 pendatang asing karam. Setakat ini, 13 orang disahkan mati.

Bot berkenaan dilihat kali terakhir tidak jauh dari Pulau Krismas di Barat Australia, tetapi kemudian hilang.


Sehingga ini tidak dapat dipastikan kerakyatan penumpang.

Bagaimanapun, pelarian dari Myanmar, Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka adalah yang paling kerap tiba untuk mencari suaka politik di Australia dengan bantuan penyeludup dari Indonesia.


“Tiga belas mayat dilihat terapung dan usaha mencari yang lain masih diteruskan,” kata Menteri Dalam Negeri Australia, Jason Clare.


Usaha rumit membawa naik mayat tidak akan dilakukan sehingga ada mangsa yang terselamat ditemui. - AP

Ditembak mati kerana tidak hadir majlis hari jadi


Bangkok: Seorang pegawai tentera ditembak mati oleh abang iparnya kerana tidak menghadiri majlis sambutan hari jadinya.

Pegawai penyiasat Leftenan Sukan Kongfu berkata, pihaknya menerima berita mengenai serangan itu awal pagi semalam.
Polis dan pasukan penyelamat yang dikerah ke tempat kejadian menemui mayat mangsa, Kolonel Saksit ‘Seh Tik’ Yaowarat, 40, anggota tenaga pengajar di sebuah kolej tentera.

Menurut saksi, Saksit tidak menghadiri majlis hari jadi abang iparnya, Nirut Rodraksa, 36. Jumaat lalu, sebaliknya menghabiskan masa dengan minum bersama kawannya.


Nirut dikatakan menghampiri Saksit dan bertanyakan alasan mengapa dia tidak hadir sebelum menembak mangsa dan melarikan diri. - BP

Pemandu lelaki pakai skirt


Stockholm: Pemandu lelaki kereta api di Sweden menemui cara baru bagi menangani larangan berseluar pendek pada musim panas dengan memakai skirt.

Pemandu laluan Roslagsbanan di utara Stockholm diperlukan memakai seluar panjang atau skirt untuk bekerja. Akibatnya, puluhan pekerja memakai skirt untuk lebih selesa ketika bekerja sepanjang musim panas apabila suhu di dalam kabin meningkat sehingga 35 darjah celsius.


Syarikat kereta api Arriva berkata, mereka tiada masalah dengan lelaki memakai skirt.

“Pada pendapat kami, pemandu perlu kelihatan sopan apabila mewakili Arriva dan pakaian sedia ada menggambarkannya.


“Jika pemandu lelaki mahu memakai skirt, biarkan saja,” kata pengurus komunikasi Arriva, Tomas Hedenius kepada akhbar tempatan, Mitt I. - Daily Mail

Bayi dalam bakul rotan


Sitiawan: Tangisan misteri dari sebuah kuil di Taman Nesa di sini, awal pagi kelmarin membawa kepada penemuan bayi lelaki yang ditinggalkan di situ.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, bayi terbabit ditemui ditinggalkan dalam bakul rotan lama di atas meja di dalam kuil berkenaan sebelum ditemui sami.


Penduduk Mohd Shafarin Abd Samad, 22, berkata, penemuan bayi lelaki itu segera dimaklumkan sami berkenaan kepada penduduk.

Menurutnya, bayi itu yang baru dilahirkan dipercayai ditinggalkan pada waktu awal pagi di kawasan sunyi.


“Kemungkinan usia bayi itu tidak lebih seminggu berikutan tali pusatnya belum tertanggal.


“Bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian. Turut diletakkan bersamanya kain lampin,” katanya yang menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan bayi itu ditemui sami yang datang ke kuil berkenaan untuk bersembahyang.


“Pemeriksaan secara fizikal dibuat ke atas bayi itu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan. “Bayi itu sudah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pihaknya juga akan memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

Lelaki hilang kereta RM100,000


Kuala Lumpur: Seorang lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas kereta Toyota Camry miliknya dilarikan empat lelaki, kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa berusia 35 tahun terbabit berhenti di bahu jalan selepas keretanya dilanggar sebuah kereta lain dari belakang, namun mangsa tidak menyangka tindakan itu sebenarnya taktik penjenayah untuk menyamunnya.


Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang sedang memandu seorang diri di Taman Perkasa, Cheras, di sini, secara tiba-tiba dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa berhenti di bahu jalan untuk melihat kerosakan dialami. Dua lelaki yang melanggar mangsa juga berhenti di belakang kereta mangsa dan turun.


“Ketika mangsa dan dua lelaki itu sedang melihat kesan perlanggaran, sebuah kereta jenis Proton Wira secara tiba-tiba berhenti bersebelahan kereta mangsa,” katanya.


Menurut sumber, dua lelaki yang menaiki kereta berkenaan turun membawa parang menyebabkan mangsa terkejut dan panik.

Katanya, bimbang dicederakan dua lelaki itu, mangsa bertindak melarikan diri dan apabila dia menoleh semula keretanya sudah dilarikan suspek.


“Mangsa yakin keempat-empat lelaki terbabit adalah rakan jenayah menyebabkan mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya lagi, mangsa mengalami kerugian lebih RM100,000 membabitkan kehilangan kereta, sebuah komputer riba, wang tunai RM20,000 dan beberapa dokumen.

Dakwa dinoda selepas kekasih mungkir janji


Kuala Lumpur: Berang selepas teman lelaki bukan saja mungkir janji untuk mengahwininya tetapi membawa pulang kekasih baru ke rumah mereka di sebuah flat di Pantai Dalam, di sini, mangsa tampil membuat laporan dirogol lelaki itu.

Difahamkan, mangsa turut mendakwa disamun teman lelakinya membabitkan kerugian hampir RM2,000 selepas diperkosa teman lelakinya itu.


Berikutan kejadian itu, sumber berkata, mangsa berusia 46 tahun itu yang tidak puas hati dengan tindakan kekasihnya membuat laporan polis, kelmarin.

Menceritakan kejadian diperkosa teman lelakinya pada Mac lalu, mangsa memberitahu teman lelaki berusia 40-an itu mengajaknya melakukan hubungan seks.


“Mangsa pada mulanya menolak ajakan itu. Namun, lelaki terbabit merayu dan berjanji mahu berkahwin dengan mangsa selepas itu.


“Mangsa diperkosa lelaki terbabit di rumah disewa mangsa. Malah, selepas melakukan perbuatan keji itu, lelaki terbabit turut mengambil wang tunai mangsa,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang pada mulanya percaya dengan janji manis teman lelakinya itu tidak membuat laporan polis mengenai tindakan keji lelaki itu.


“Bagaimanapun, selepas tiga bulan berlalu, teman lelakinya dipercayai bermain kayu tiga dengan membawa wanita lain pulang ke rumah mangsa,” katanya.

Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Kurung isteri, anak 9 jam


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Gombak: Hanya kerana tidurnya terganggu selepas anak lelakinya berusia dua tahun menangis, seorang lelaki berusia 33 tahun bertindak memukul kanak-kanak itu di kediaman mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, isterinya berusia 29 tahun turut dibelasah lelaki terbabit selepas cuba menegur tindakannya memukul anak mereka.


Wanita itu yang tidak tahan dibelasah cuba melarikan diri namun gagal apabila suspek mengunci semua pintu rumah dan menyorokkan kunci sebelum mengurung dua anak beranak itu di dalam bilik tidur.

Mangsa yang mengalami pecah di bahagian bibir selain terseliuh tangan serta lebam di seluruh badan hanya berjaya diselamatkan sembilan jam kemudian apabila menghubungi ibunya memaklumkan kejadian terbabit sebaik suaminya keluar dari kediaman mereka.


Ibu mangsa kemudian datang bersama anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam dan menyelamatkan dua beranak terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Arang untuk tindakan selanjutnya.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek yang sedang berbaring di ruang tamu rumah terdengar tangisan anak mereka tanpa henti.

“Dia yang terjaga daripada tidur terus memarahi anaknya dan menyuruh kanak-kanak itu berhenti menangis namun apabila kanak-kanak itu berterusan menangis menyebabkan dia hilang pertimbangan dan terus memukul mangsa.


“Isterinya yang terkejut dengan perbuatan lelaki terbabit menghalang dan menegur sikap panas baran suami namun suspek bagai dirasuk terus menarik rambut mangsa sebelum menamparnya beberapa kali,” katanya.

Sumber berkata, terkejut dengan tindakan suspek, mangsa merayu supaya dilepaskan dan memohon maaf namun tidak diendahkan suspek sebaliknya kepalanya di hentak ke dinding.


“Tidak cukup dengan itu mangsa dibelasah tanpa belas kasihan menyebabkan dia yang kesakitan cuba melarikan diri namun gagal apabila rambutnya ditarik sebelum dia ditolak sehingga terjatuh.


“Suspek yang tidak mempedulikan isterinya yang cedera dan berdarah di bibir terus mengunci pintu rumah dan mengurung mereka di dalam bilik tidur,” katanya.


Menurutnya, selepas membelasah mangsa, suspek kembali menyambung tidurnya sebelum dia keluar rumah beberapa jam selepas itu dan membenarkan mangsa keluar dari bilik namun dilarang keluar dari rumah.


“Si isteri yang bimbang dengan kejadian itu menghubungi ibunya memaklumkan kejadian terbabit. Ibunya yang terkejut terus bergegas memaklumkan kejadian itu kepada polis dan datang ke rumah mangsa untuk menyelamatkannya,” katanya.

Seorang tak cukup


Sabak Bernam: Ketiadaan ibunya kerana bekerja digunakan seorang lelaki berusia 20-an untuk mengajak dua remaja perempuan untuk memadu kasih di rumahnya di Kampung Sungai Leman, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun itu berasal dari daerah berdekatan tiba di rumah lelaki terbabit yang menunggu mereka berdua sebaik ibunya keluar bekerja.


Namun, hasrat mereka untuk memadu asmara terbantut apabila rumah berkenaan diserbu sepasukan anggota Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam dan penduduk kampung kira-kira jam 6 petang.

Menurut sumber, laporan kepada pejabat agama dibuat selepas penduduk kampung curiga dengan kehadiran dua remaja perempuan itu di rumah lelaki terbabit sejak pagi sebelum serbuan dibuat.


Bagaimanapun, menjelang petang, tidak kelihatan tanda remaja perempuan terbabit akan beredar dari rumah itu menyebabkan penduduk kampung sepakat membuat laporan kepada Pejabat Agama Islam Daerah untuk tindakan selanjutnya.


“Ibu lelaki terbabit tiada di rumah kerana keluar bekerja dan kesempatan itu digunakan anaknya membawa remaja perempuan untuk memadu kasih.

“Serbuan dijalankan kerana remaja terbabit masih tidak keluar dari rumah berkenaan walaupun hari sudah menjelang petang. Penduduk juga bimbang gejala sosial seperti ini akan berleluasa jika dibiarkan,” katanya. Sumber itu berkata, sewaktu ditahan, remaja terbabit menafikan mereka melakukan perbuatan sumbang dalam rumah berkenaan namun pemeriksaan menemui kesan ciuman di beberapa bahagian badan mereka.


Katanya, lelaki terbabit mendakwa remaja perempuan itu hanya rakannya dan datang ke rumah untuk berbual kosong.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk diambil keterangan namun difahamkan semuanya sudah dibebaskan selepas diikat jamin keluarga terdekat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki dan dua remaja perempuan terbabit.


Namun katanya, siasatan diserahkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Sabak Bernam kerana kes berkenaan menjurus kepada kesalahan syariah.

Lapan pemilik kerugian

Foto
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Kuala Lumpur: Lapan gerai menjual pelbagai barangan yang terletak bersebelahan sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini musnah dijilat api, semalam.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah malam sebelum mengarahkan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdiri daripada BBP Titiwangsa, BBP Sentul, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika jentera pertama dari BBP Titiwangsa tiba di tempat kejadian, kebakaran sudah merebak ke gerai lain sebelum usaha memadamkan api giat dijalankan.
“Seramai 44 anggota terbabit dalam operasi memadam api dan berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 1.45 pagi,” katanya.
Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadamkan dalam masa satu jam 25 minit.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kebanyakan gerai sudah ditutup ketika itu,” katanya.

Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat punca serta jumlah kerugian.

Setahun ditipu bekas suami


Minneapolis: Seorang janda di Minnesota mendapat tahu lelaki yang dikenali dan berkomunikasi dengannya di Internet selama setahun sebenarnya ialah bekas suaminya.

Selepas menyedari situasi sebenar, wanita berkenaan memfailkan saman kerana mengintipnya.
Brian Matthew Cornelius, 36, didakwa mereka “nama samaran di Internet” sebelum berkomunikasi dengan bekas isterinya.

Sepanjang tempoh berhubung di Internet, bekas isterinya mendedahkan banyak maklumat intim mengenai diri sendiri, termasuk perasaannya terhadap bekas suaminya itu.


Sebuah akhbar tempatan melaporkan, Cornelius memantau kediaman bekas isterinya melalui webcam.


Dia turut meyakinkan wanita itu agar ‘tidak muncul di mahkamah.’ untuk menghadiri perbicaraan menuntut supaya dia tidak diganggu bekas suaminya.
Kerana tidak hadir, kes itu digugurkan.

Akhirnya, wanita berkenaan dapat mengagak bahawa ‘Aaron Carpenter’ sebenarnya Brian Cornelius, bekas suaminya.

Menurut laporan, Cornelius muncul di tempat sama di mana wanita itu memberitahu ‘Carpenter’ dia akan berada di sana.

Lelaki ‘Carpenter’ itu juga bercakap mengenai perkara yang sama yang hanya bekas suaminya tahu.

Apabila disergah bekas isterinya Cornelius akhirnya mengaku menggunakan imej di Internet untuk dipadankan dengan profilnya.

Kedua-duanya berkahwin selama 11 tahun dan mempunyai dua anak.

Cornelius berdepan dua pertuduhan salah laku pengintipan. Dia akan dibicarakan bulan depan. - Daily Mail

4 kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman terbakar

4 kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman terbakarAnggota bomba berusaha memadamkan api sebelum merebak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam. Kuala Lumpur: Empat kedai sederet di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, musnah dalam kebakaran tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, pihak bomba dan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran berikutan tekanan air rendah di kawasan berkenaan.
Laluan ditutup


Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu berikutan laluan masuk ke lokasi kejadian terpaksa ditutup bagi memudahkan pihak bomba memadam kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Deraman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 12.16 tengah malam dan tiba di lokasi kebakaran lima minit kemudian.

Katanya, tujuh jentera dari empat balai dikerahkan ke tempat kejadian selain disertai bomba sukarela dari Bukit Bintang.

“Ketika tiba di tempat kejadian api marak dan anggota bertugas mengambil sedikit masa untuk mengawal keadaan berikutan tekanan air rendah.
Api cepat marak

“Api marak berikutan struktur kedai berasaskan kayu dan papan namun dapat dikawal dalam masa setengah jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang peniaga jamu Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ardy, 25, berkata, ketika kejadian premis perniagaannya sudah ditutup.

“Saya dimaklumkan oleh seorang rakan yang bekerja di restoran berhampiran mengenai kejadian dan terus bergegas ke kedai untuk cuba menyelamatkan barangan.
“Namun tiada apa yang sempat diselamatkan kerana api sudah marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Banjir separas buku lali

Foto
Hujan lebat sejak tiga jam menyebabkan beberapa jalan utama serta kawasan perumahan di sekitar bandar Alor Setar dinaiki air.
Alor Setar: Hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 6 petang tadi menjejaskan kira-kira 300 penduduk di dua taman perumahan di Jalan Telok Wanjah, di sini.
Difahamkan, kejadian banjir kilat di dua kawasan perumahan sehingga ke paras buku lali itu menyebabkan penduduk mengalihkan barangan rumah dan perabot ke tempat lebih tinggi. 
Penduduk Taman Ambar, Cheng Sak Wang, 63, berkata dia terkejut apabila melihat ruang tamu rumah teresnya ditenggelami air kira-kira 15 sentimeter (cm).

"Rumah saya dilanda banjir kilat..walaupun ia bukan banjir besar namun ia memberi masalah buat saya ketika mahu membersihkan rumah.


"Saya berharap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan dengan memastikan aliran air, longkang dan sungai bebas dari tersumbat, " katanya.

Sementara itu, jurucakap dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan berhubung air naik di jalan di Taman Rakyat, di sini. Jurucakap itu, berkata pihaknya sudah membuat rondaan di sekitar kawasan terjejas sebagai persediaan awal banjir.

Pesawat bawa 46 penumpang buat pendaratan cemas di timur Indonesia


KUPANG (Indonesia): Sebuah pesawat yang membawa 46 penumpang membuat pendaratan cemas di lapangan terbang timur Indonesia hari ini, lapor seorang pegawai lapangan terbang.

Beliau berkata, berikutan itu beberapa penumpang dilaporkan cedera namun tidak membawa sebarang kematian.
Pesawat Merpati buatan China itu dikendalikan oleh Merpati Nusantara Airlines. Ia mendarat di Lapangan Terbang El Tari di timur Nusa Tenggara, di sini.

Saksi berkata, sekurang-kurangnya lapan orang cedera dan dikejarkan ke hospital berhampiran. Kini, lapangan terbang itu ditutup sementara sehingga pesawat berkenaan dikeluarkan dari landasan. - AP 

Pelajar Tingkatan Empat dirogol

 
Segamat: Seorang pelajar Tingkatan Empat bukan saja dirogol oleh lelaki yang baru dikenalinya, malah turut ditertawakan oleh rakan baiknya apabila mengadu nasib malang menimpanya pada 3 Jun lalu.

Bagaimanapun, laporan mengenai kejadian itu hanya dibuat kelmarin selepas remaja berkenaan menceritakan kejadian itu kepada saudaranya yang kemudian memaklumkan kepada ibu mangsa.
Ajak bersiar-siar
Mangsa menceritakan kejadian dirogol oleh kenalan rakannya itu tetapi dia ditertawakan menyebabkan gadis itu tertekan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam 3 Jun lalu, mangsa yang tinggal di Batu Pahat, dikatakan pergi ke rumah rakan sekampungnya.

Sumber berkata, ketika berbual di rumah itu mereka didatangi seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga kenalan rakannya sebelum pemuda itu mengajak mangsa bersiar-siar dengan motosikalnya.

“Mangsa dikatakan bersetuju mengikut pemuda terbabit bersiar-siar di sekitar kampung berkenaan sebelum lelaki itu berhenti di sebuah ladang sawit dan merogolnya.

“Bagi mengelak mangsa menjerit meminta bantuan, suspek dikatakan bertindak menyumbat mulut mangsa menggunakan baju,” katanya.
Sumber berkata, suspek kemudian menghantar pelajar itu ke rumah rakannya itu dan mengugut jangan menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

Mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada rakannya itu tetapi dia ditertawakan menyebabkan gadis itu tertekan.

Selepas mengetahui kejadian menimpa anaknya itu, ibu mangsa membuat laporan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Segamat untuk menjalani pemeriksaan.

Katanya, polis sudah menahan suspek tidak lama selepas laporan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Bakar kereta diguna dalam rompakan


Rembau: Dua lelaki bertindak membakar kereta yang dipercayai digunakan mereka ketika merompak sebuah pasar mini di Pedas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suspek yang bersenjatakan pedang samurai melarikan mesin wang mengandungi RM1,000 milik pasar mini berkenaan.
Pemilik pasar mini, Lee Siew Mei, 41, berkata ketika kejadian hujan lebat dan tiada pelanggan sebelum tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng menaiki sebuah kereta berhenti di depan kedai.

Rampas mesin wang

Katanya, seorang daripada mereka menghampirinya dan merampas mesin wang, manakala seorang lagi memegang pedang samurai berlegar di dalam kedai dan menghunus senjata itu ke arah seorang pekerja.

“Saya panik dan menjerit meminta tolong menyebabkan penjenayah itu menampar pipi sehingga bengkak,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.
Katanya, dua jam selepas kejadian, sebuah kereta PROTON Wira yang dipercayai digunakan penjenayah itu, dijumpai terbakar di ladang kelapa sawit Ulu Kanchong, 10 kilometer dari tempat kejadian.

Eksklusif: Tiga ditahan, Datuk diburu


Sindiket Dadah Antarabangsa: Rakyat kita disyaki dalang edar pil khayal di Indonesia

Kuala Lumpur: Polis narkotik Indonesia melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai didalangi rakyat Malaysia termasuk seorang bergelar Datuk dalam serbuan di Jalan Ubud, Daan Mogot, Jakarta Barat.

Asmara jadi rogol jika mungkir janji kahwin


New Delhi: Perbuatan menjalin hubungan seks dengan seorang wanita adalah rogol jika lelaki yang berjanji untuk berkahwin dengan wanita itu tidak mengotakan janji, kata hakim mahkamah tinggi di sini.

“Menjalin hubungan seks dengan wanita tanpa kerelaan atau keizinannya juga ditakrif sebagai rogol. Jika kebenaran diberi, ia masih rogol jika ia berdasarkan janji palsu,” kata hakim R V Easwar.
Mahkamah membuat keputusan itu ketika menolak ikat jamin kepada Abhishek Jain selepas defendan dituduh isteri menjalin hubungan seks sebelum kahwin selepas dia berjanji akan mengahwininya.

Dalam aduannya, wanita itu mendedahkan Abhishek hanya berkahwin dengannya selepas dia membuat aduan kepada polis.

Mangsa dera selepas kahwin

“Sebaik saja berkahwin, defendan selalu mendera plaintif dengan niat wanita itu akan meninggalkannya tetapi dia terpaksa mohon ikat jamin selepas wanita itu membuat aduan,” kata mahkamah.

Wanita itu membuat aduan pada Februari 2013 di balai polis Rani Bagh dengan menuduh defendan merogolnya selepas berbohong akan mengahwininya.
Bagaimanapun, defendan dan plaintif kemudian berkahwin pada 4 Mac lalu dengan dokumen perkahwinan dilakukan oleh Pendaftar Perkahwinan di Ghaziabad, lapor akhbar Indian Express. - AGENSI

Lima motosikal terbakar dipercayai akibat khianat

Lima motosikal  terbakar dipercayai akibat khianatSuresh (kanan) bersama isterinya, Ngo Lee Lee (kiri) melihat motosikalnya yang musnah dibakar dipercayai perbuatan khianat di Larkin Idaman, Johor Bahru, semalam. - Foto Nur Aisyah Mazalan Penduduk sangka pangsapuri dijilat api

Johor Bahru: Lima motosikal musnah terbakar dipercayai perbuatan khianat, dalam kejadian di tingkat bawah Pangsapuri Larkin Idaman, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu hanya disedari penduduk apabila penggera kebakaran berbunyi sebelum mereka keluar menyelamatkan diri kerana menyangka pangsapuri berkenaan terbakar.


Mangsa, S Suresh, 33, berkata kejadian itu menyebabkan dua motosikal miliknya bernilai kira-kira RM7,000 musnah, manakala tiga lagi motosikal milik penduduk pangsapuri berkenaan turut terbakar.

“Saya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan bunyi penggera kebakaran. Saya bergegas keluar rumah sebelum melihat kepulan asap di tingkat bawah.

“Saya terus menghubungi bomba dan membantu mengejutkan jiran sebelum kami bergegas keluar menyelamatkan diri kerana bimbang kebakaran merebak,” katanya.

Suresh berkata, dia kemudian melihat beberapa motosikal di tingkat bawah pangsapuri itu terbakar dan pada masa sama, seorang penduduk cuba memadamkan api.
Katanya, ketika itu barulah dia menyedari dua motosikal miliknya serta tiga motosikal lain turut musnah.

Punca masih disiasat

Beliau berkata, seorang saksi memaklumkan bahawa pada awalnya, hanya sebuah motosikal terbakar sebelum api merebak ke empat lagi motosikal.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Larkin berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.

Restoran terbakar kali kedua, rugi RM150,000


Restoran terbakar kali kedua, rugi RM150,000
Zakaria melihat kawasan restoran tempatnya bekerja terbakar semalam.
KOTA BHARU - Bukan sekali malah dua kali restoran D’Mina, yang dikenali dengan masakan panas di  Jalan Pengkalan Chepa terbakar tahun ini.

Kali pertama pada Mac tahun ini dan kemudiannya semalam sehingga menyebabkan kerugian hampir RM150,000.

Seorang pekerja restoran terbabit Zakaria Hussin 18, berkata, kejadian terbaru, berlaku kira-kira jam 4.30 pagi semalam ketika dia bersama rakan sedang berbual di ruang tamu rumah yang dikhaskan kepada pekerja hanya lebih kurang 20 meter dari restoran itu.

“Saya nampak api dari kawasan dapur dan terus bergegas keluar mendapatkan alat pemadam api bersama beberapa rakan untuk memadam kebakaran.

“Api begitu marak, menyebabkan kami gagal mengawal api dari terus merebak ke bahagian lain dalam kedai dan salah seorang rakan yang berniaga di kawasan berhampiran terus menelefon bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Fakri Mazlan berkata, empat jentera iaitu tiga dari Balai Bomba Kota Bharu dan sebuah dari Pengkalan Chepa dihantar ke tempat kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 4.57 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.05 pagi.

“Namun disebabkan angin kencang dan lapisan atap rumbia, menyebabkan api marak ke bahagian lain kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Dua perompak berputih mata


Dua perompak berputih mata
Kedai emas yang menjadi sasaran rompakan semalam. Gambar kecil: Suspek yang mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan yang dilepaskan polis, semalam.
KOTA BHARU - Dua perompak bersenjatakan pisau dan pistol terpaksa berputih mata selepas cubaan menyamun sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini pagi semalam gagal.

Akibat tindakan mereka itu, salah seorang daripadanya terkena dua das tembakan yang dilepaskan polis di bahagian kaki dan mati di tempat kejadian manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Menurut saksi kejadian, Zulkifli Mohktar, 46, dia yang berada di dalam kedai emas berkenaan ternampak dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan menaiki kereta waja berwarna hitam turun dari kereta kemudian memakai topi keledar

“Melihatkan keadaan itu, saya terus keluar dari kedai terbabit untuk melihat di luar kedai dan semasa melakukan tinjauan, saya diacu pisau oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dengan tujuan menakutkan saya yang kebetulan datang bersama isteri dan anak.

“Saya pun terus menolak anak ke bawah tempat duduk bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku dan meniarap di atas lantai,” katanya kepada pemberita di sini.

Zulkifli berkata, selang beberapa minit kemudian, beberapa anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu datang dan mengacukan pistol ke arah dua lelaki itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Zulkifli berkata, dua penjenayah berkenaan kemudian cuba melarikan diri dan polis melepaskan dua das tembakan bagi menakutkan mereka dan terkena ke arah kaki salah seorang suspek yang bersenjatakan pisau manakala lelaki yang membawa pistol berjaya melarikan diri.

Menurutnya, suspek yang ditembak kemudiannya rebah 15 meter dari kawasan kejadian,  selepas cuba melarikan diri dan mati di tempat kejadian lebih kurang 20 minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian dan setakat ini pihaknya sedang memburu seorang lagi penjenayah yang melarikan diri.

“Gerakan mengesan mangsa yang bersenjatakan pistol kini giat dijalankan setakat ini dan kes disiasat di bawah seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971,” katanya.

Buruh dipenjara 10 bulan


Buruh dipenjara 10 bulan
Mohd Nasrul dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dipenjara 10 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana mencuri.

Mohd Nasrul Ali, 23, dari Kampung Baru, Seberang Takir, di sini, mengaku bersalah melakukan jenayah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut memerintahkan Mohd Nasrul dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mohd Nasrul didakwa mencuri sebuah beg galas yang mengandungi sebuah telefon bimbit, wang tunai RM80 dan wang tunai Arab Saudi Riyal 150, milik isteri Kamarudin Chik, 59, pada 11 April lalu, kira-kira jam 5.30 petang di rumah mangsa di Kampung Teluk Ketapang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming, manakala Mohd Nasrul tidak diwakili peguam bela.

Lemah lihat mayat anak


Lemah lihat mayat anak
Rosita bersama anak-anaknya dan anak saudara melihat gambar Muhammad Hisyamuddin. Gambar kecil: Muhammad Hisyamuddin
HULU TERENGGANU - “Walaupun lemah, namun saya gagahkan diri berjalan dengan linangan air mata sejauh kira-kira 200 meter menuju ke lokasi kemalangan kerana jalan sesak.

Hanya ALLAH SWT tahu perasaan sebaik melihat dia terbaring kaku,” luah Rosita Ibrahim, 41.

Rosita ialah ibu kepada seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gong Badak, Muhammad Hisyamuddin Zulkifli, 20, yang maut dalam kemalangan, kira-kira
jam 6.10 petang kelmarin di Kilometer 6 Jalan Kuala Berang-Sekayu.

Kejadian di Kampung Bukit Biah itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki Muhammad Hisyamuddin dari arah Sekayu menghala ke Kuala Berang dikatakan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum berlanggar dengan van dipandu Khadijah Sheikh Maatok, 46.

Menurut Rosita, anak kedua daripada enam beradik itu keluar dari rumah untuk mandi di Air Terjun Sekayu bersama rakan kira-kira jam 3 petang hari kejadian dan tidak menyangka anaknya itu pulang dengan keadaan yang cukup berbeza.

“Dia meminta izin ke Sekayu bersama rakan-rakannya termasuk bertanyakan pada saya di mana tuala dia. Anak saya pulang ke rumah Khamis lalu, kerana cuti hujung minggu dan sepatutnya kembali ke ILP malam tadi (malam semalam).

“Namun, ALLAH SWT Maha Berkuasa. Saya mendapat panggilan telefon daripada salah seorang anak yang lain memaklumkan Muhammad Hisyamuddin terlibat dalam kemalangan dan terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, disebabkan jalan sesak, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki dan sempat bertanyakan pada orang awam tentang keadaan penunggang motosikal.

"Luluh jiwa saya apabila diberitahu penunggang meninggal dunia.

“Sukar untuk percaya melihat tubuh terbaring itu adalah anak saya, apatah lagi baru beberapa jam sebelum ini dia masih bercakap dan bergerak,” katanya.

Ayah mangsa, Zulkifli Salleh, 49, berkata, anaknya yang mesra dipanggil Abang Ngah itu tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi bermurah hati belanja makan 10 rakannya di Kuala Berang pada pagi hari kejadian.

“Dia seorang yang pendiam dan baik. Sepatutnya, minggu ini adalah minggu terakhir dia belajar di ILP dalam kursus berkaitan elektrik bagi peringkat sijil dan akan bekerja dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Buluh kira-kira jam 12 tengah malam tadi (semalam),” katanya.

Remaja mengaku pernah terlanjur


Remaja mengaku pernah terlanjur
Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Kulim sebelum diserahkan kepada PADK.
KULIM - Polis menahan tiga pelajar lelaki dan seorang perempuan, berusia di antara 16 hingga 17 di dalam pondok rehat di Taman Tasek Kulim kira-kira jam 3 pagi semalam.

Ketika ditahan ke semua terlibat berada dalam keadaan gelap manakala pelajar perempuan berkenan dilihat sedang baring di paha teman lelakinya.

Menurut pelajar perempuan terlibat, dia bersekolah di Selama Perak dan datang bersama tiga rakan lain ke Kulim untuk bersiar-siar.

Dari siasatan dijalankan, pelajar perempuan itu mengaku pernah terlanjur bersama kekasihnya itu beberapa kali.

“Ibu saya sudah tahu perkara itu kerana sebelum ini kami pernah ditangkapnya.

"Kami juga merancang untuk berkahwin sebaik sahaja tamat persekolahan nanti. Bagaimanapun teman lelaki saya harus mencari pekerjaan terlebih dahulu.

"Keluarga kami juga sudah tahu hubungan kami ini dan mereka mendesak supaya kami dinikahkan dengan seberapa segera. Bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan kerana kami masih bersekolah. Sekiranya kami sudah bekerja, sudah pasti sekarang ini kami sudah pun menjadi suami isteri,” katanya.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan sebelum diserahkan kepada Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) untuk tindakan lanjut.

Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa PADK, Azmi Rejab berkata, dari kenyataan diambil keluarga pelajar perempuan mendapati dia sering keluar bersama teman-teman dan enggan mendengar nasihat keluarga.

“Saya berpendapat sekiranya ada dalam kalangan remaja perempuan bawah umur terutama pelajar sekolah terlibat dalam perhubungan sosial sehingga menjejaskan maruah mereka, saya cadangkan supaya mereka dinikahkan dari terus melakukan zina.

"Ibu bapa boleh membuat permohonan di Mahkamah Syariah untuk menikahkan anak perempuan mereka. Dengan cara ini saja mereka berada di laluan yang betul dan belajar erti tanggungjawab,” katanya.

5 kali banjir dalam seminggu


5 kali banjir dalam seminggu
Kamarudin (kiri) menunjukkan keadaan air yang tidak mampu mengalir dengan baik akibat pembetung kecil di tepi jalan berhampiran Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Chembong.
REMBAU – Seorang penduduk di Kampung Chembong Kecil, dekat sini kesal apabila rumahnya dinaiki air sebanyak lima kali dalam masa seminggu susulan ketiadaan saliran longkang yang sempurna.

Abdul Rahman Yunus, 52, berkata, dia sudah menetap di situ sejak 1981 lagi dan masalah ketiadaan sistem saliran sempurna sehingga rumahnya dibanjiri air memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, dia tidak pernah menyampaikan aduan secara rasmi, namun sudah menyuarakan masalah berkenaan kepada wakil rakyat setempat yang ada berkunjung ke rumahnya dalam sesi lawatan kerja dan kempen pilihan raya umum lalu.

“Malah, saya juga dimaklumkan yang masalah saya ini membabitkan kos tinggi.

"Jika hujan lebat berlarutan selama dua jam pasti halaman rumah dinaiki air. Mujur saya sudah membuat tembok di hadapan rumah bagi mengelak air melimpah ke dalam rumah," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia berharap agar agensi berkaitan dapat mengambil langkah tepat dan proaktif dalam mengatasi masalah ini memandangkan pada 2010 mereka sudah pun meninjau masalahnya itu.

Bagi Kamarudin Ibrahim, 24, pula berkata, selain masalah yang dihadapi Abdul Rahman, masalah sistem pembetungan yang dilihat sudah tidak mampu menampung aliran air di tepi jalan di Perkampungan Orang Asli Ulu Chembong juga perlu diberi perhatian.

"Air tidak mampu mengalir dengan baik dan saya bimbang jalan dari Sepri ke Taman Rembau Utama makin mendap serta mengundang bahaya kepada orang awam dan pengguna," katanya.

Sementara itu, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, dia sedia maklum mengenai masalah berkenaan dan sudah pun melawat kawasan berkenaan malam kelmarin.

“Oleh itu, pihak saya akan mengemukakan permohonan kepada pejabat daerah bagi tujuan pembinaan longkang yang bersesuaian di kawasan berkenaan untuk dialirkan ke sungai berhampiran," katanya.

Bot terkandas, TLDM selamatkan 7 lelaki



9 Jun 2013
SANDAKAN - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan tujuh lelaki selepas bot mereka naiki mengalami kerosakan di perairan berhampiran Sungai Kinabatangan semalam.

Pegawai Memerintah Kapal KD Sri Tiga, Left Komander Mohd Edie Mohd Khalil berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, bot tersebut dalam perjalanan ke Lahad Datu dari Sandakan.

Katanya, tiba di tempat kejadian, enjin utama bot tersebut mengalami kerosakan lalu gagal berfungsi menyebabkan bot itu terkandas di situ.

"Selepas menerima panggilan kecemasan daripada mereka, dalam masa lebih kurang dua jam, anggota TLDM kapal KD Sri Tiga telah sampai di tempat kejadian dan memberi bantuan menyelamat tujuh lelaki termasuk juragan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya kesemua lelaki berkenaan adalah warganegara Malaysia dan mereka dalam keadaan baik.

Mohd Edie berkata bot berkenaan ditunda ke pangkalan TLDM KD Sri Sandakan.

Salah seorang mangsa, Abdul Suhaidi Abdul Wahab, 47, berkata mereka mengalami keadaan cemas selepas enjin bot tidak dapat berfungsi semula, ditambah dengan cuaca buruk dan keadaan air laut yang berombak.

"Kami segera menghubungi TLDM untuk mendapatkan bantuan dan bersyukur mereka dapat dihubungi," katanya. - Bernama

Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan


Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan
Keadaan kereta dipandu Noridah remuk teruk sehingga barang hantaran dalam kenderaan itu turut rosak.
Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan
Proton Saga FLX remuk depan dan belakang.
Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan
Kenderaan ini turut terperosok bawah pacuan empat roda.
Bakal pengantin terbabit kemalangan libatkan 7 kenderaan
Toyota Innova yang remuk bahagian hadapan.
ALOR GAJAH - Seorang bakal pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 215.8 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang kelmarin, Noridah Anin, 25, seorang kakitangan swasta berkata, dia yang memandu kereta jenis Proton Saga gagal mengelak sebuah motosikal Honda Wave yang terbabas selepas bergesel dengan sebuah van.

Motosikal yang ditunggang seorang pemuda berusia lingkungan 20-an itu juga tercampak ke lorong tengah.

Selepas itu, datang sebuah lori yang turut gagal mengelak lalu merempuh motosikal terbabit dan terseret sejauh 15 meter sebelum muncul sebuah Proton Waja yang cuba mengelak hingga berlaku enam pelanggaran lain.

"Proton Waja yang brek mengejut menyebabkan kereta dipandu saya hilang kawalan lalu merempuh kereta itu sebelum kereta saya pula dirempuh sebuah bas ekspres.

"Ketika itu saya membawa barang hantaran yang sebahagiannya rosak akibat kemalangan ini. Mujur saya hanya luka ringan," katanya yang dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh, Selangor ke Tangkak, Johor.

Kemalangan itu juga turut melibatkan rempuhan daripada Perodua Myvi, kereta pacuan empat roda, Proton Saga FLX dan sebuah Toyota Innova.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terlibat dalam rempuhan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Khalili Md Yunos, 32, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Cheng, Melaka untuk menguruskan dokumen kenderaan baru syarikat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Muar, Johor.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang lelaki terbabit bergesel dengan sebuah van dari lorong kecemasan ke lorong kiri.

"Disebabkan jarak lori dan motosikal berkenaan terlalu dekat, saya gagal mengelak dan merempuh motosikal terbabit," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Penari remaja mati di depan rakan dalam kelas



9 Jun 2013
Kloe Richardson
Kloe Richardson - Foto Ihsan: dailymail.co.uk
DUNDEE - Seorang penari remaja berusia 15 tahun yang mengidap penyakit jantung meninggal dunia selepas jatuh pengsan di dalam kelas tarian.

Kloe Richardson, jatuh pengsan di dalam sebuah dewan di hadapan rakan-rakannya yang lain dan mereka sedaya upaya menyelamatkan nyawanya.

Bagaimanapun, remaja perempuan itu disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Anak saya pergi ke kelas tarian seperti biasa dan tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan mengatakan dia jatuh pengsan.

"Saya fikir mungkin pengsan biasa saja tetapi ketika suami saya tiba di sana, beberapa rakannya cuba memberi bantuan dengan melakukan CPR kepada Cloe,” kata ibunya.

Ibunya turut berkata anaknya seorang yang berbakat dan merupakan pelajar cemerlang di Arbroath Academy.

Katanya lagi, Kloe selalu bermain biola dalam orkestra sekola.

“Dia juga anak yang sentiasa tersenyum, selalu menyanyi dan menari,” ujar ibunya lagi.

Maut akibat kencing tikus


KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan sebuah universiti di sini, meninggal dunia pagi semalam, dipercayai akibat virus kencing tikus atau leptospirosis setelah menghidap demam teruk sejak tiga hari lalu.

Lelaki berusia 40-an itu, berasal dari Mengabang Telipot difahamkan sebelum ini menyertai aktiviti laut, di sini.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, lelaki terbabit meninggal dunia kira-kira jam 8.45 pagi, semalam.

Menurutnya, mangsa sebelum ini tidak sihat sejak beberapa hari lalu, namun kesihatannya semakin merosot dan mengalami demam teruk sejak tiga hari lalu.

“Dia dimasukkan ke hospital pada pagi Jumaat setelah mengalami batuk berdarah dan dimasukkan ke Unit Rawaran Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Bagaimanapun tidak sampai 24 jam, dia meninggal dunia.

“Berdasarkan simptom  dialaminya, kita syak dia menghidap leptospirosis. Namun,  kita masih menjalankan siasatan klinikal sebelum boleh mengesahkan sama ada dia meninggal dunia sebab virus tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit juga mengalami sesak nafas yang teruk dan organ dalamannya gagal berfungsi.

Bagi tujuan itu katanya, Jabatan Kesihatan negeri telah mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Katanya, siasatan itu melibatkan pergerakan lelaki terbabit dalam tempoh terdekat dan jika perlu, tempat berisiko dikunjunginya.

“Kita perlu tunggu laporan menyeluruh dan ia bergantung kepada laporan klinikal serta pergerakan mangsa dalam tempoh tertentu,” katanya.

Jual shisha akan kekal haram


Jual shisha akan kekal haram
Ab Rahaman (dua, kiri) merasmikan program Jom Berjalan 10,000 Langkah dan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri di Dataran Sungai Melaka, semalam.
MELAKA - Kerajaan kekal mengharamkan penjualan shisha di negeri ini bagi mengelak gejala penagihan terutama di kalangan remaja.

Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, untuk itu kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi gerakan membanteras penyediaan shisha di tempat awam.

Katanya, pendirian tegas yang ditetapkan itu adalah selari dengan pengisytiharan ‘Melaka Bebas Asap Rokok’ bermula 11 April 2011 bagi melindungi orang awam daripada ancaman pendedahan asap basi.

“Kita tetap tidak membenarkan mana-mana restoran dan kedai makan di seluruh negeri ini menyediakan shisha bagi menarik ramai pelanggan terutama golongan muda.

“Laporan Agensi Antitembakau Perancis (OFT) menerusi penyelidikan sebuah makmal kebangsaannya sebelum ini mengesahkan shisha turut melepaskan gas karbon monoksida yang sama banyak dengan menghisap sebanyak 52 batang rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jom Berjalan 10,000 Langkah dan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri di sini, semalam.

Pada program itu, lebih 1,000 pengunjung termasuk pelancong asing turut menyertai acara Jom Berjalan 10,000 Langkah melalui persisir Sungai Melaka.

Menurut Ab Rahaman, sambutan Hari Tanpa Tembakau dengan tema ‘Bukalah mata, jangan jadi mangsa’ itu mengajak masyarakat untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pengaruh syarikat rokok.

Beliau berkata, walaupun terdapat rungutan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menjalankan operasi merampas peralatan itu, usaha membanteras terus dilaksanakan.

Katanya, pengharaman penggunaan shisha sebelum ini sudah diputuskan kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco pada Julai 2009.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan memberi amaran keras kepada pengusaha restoran yang tetap berdegil dan tidak teragak-agak merampas semua peralatan shisha.

“Ini kerana shisha boleh disalah guna dalam tempoh jangka masa panjang dengan meletakkan campuran dadah atau bahan lain yang boleh memabukkan dan memudaratkan kesihatan,” katanya.

Sehingga kini belum ada undang-undang khusus mengenai shisha dan pengusaha shisha yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun RM500 mengikut kesalahan di bawah Seksyen 46 (1) Akta 133 Parit dan Jalan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana perniagaan menghalang kaki lima.

Menghisap shisha juga dikatakan lebih berbahaya daripada menghisap sebanyak 102 batang rokok sementara asap yang dihasilkan menjadi antara sumber utama pencemaran udara di kawasan tertutup seperti restoran dan kafe.

Lori terbabas rempuh rumah


Lori terbabas rempuh rumah
Lori membawa muatan barang dan kotak terbabas lalu merempuh rumah yang terletak bersebelahan lampu isyarat.
SUNGAI DUA - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan lori di persimpangan lampu isyarat Sungai Dua kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu, Asmadi Darus, 48, yang menunggang sendirian dari arah Sungai Dua menuju ke Sungai Lokan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian lain.

Insiden yang melibatkan ketiga-tiga kenderaan terbabit menyebabkan lori yang membawa muatan barangan itu kemudiannya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah rumah di tepi jalan.

Pegawai Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 10.03 malam.

“Kaki pemandu lori, P Chalia, 40, tersepit selepas lori itu melanggar bahagian dapur rumah penduduk dan kami berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dalam masa yang singkat.

“Kesemua ahli keluarga yang sedang berada di dalam rumah tersebut terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kedua-duanya yang berketurunan Siam dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan,” katanya.

Sebanyak dua jentera digunakan dan 15 anggota yang ditugaskan dalam operasi menyelamat dan mayat dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.

Warga asing redah belukar elak dicekup

Redah belukar elak dicekup
Pegawai Imigresen memeriksa dokumen perjalanan warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Selayang, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Suasana Pasar Borong Selayang yang biasanya riuh-rendah dengan urusan jual beli, bertukar kecoh apabila peniaga warga asing lari lintang pukang mengelakkan diri ditahan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Ada dalam kalangan mereka sanggup meredah belukar dan melintas jalan raya tanpa mengendahkan kenderaan yang lalu-lalang.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Cawangan Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata, seramai 102 diperiksa dan 39 warga asing ditahan setelah didapati tiada dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, enam daripada warga asing berkenaan didapati memalsukan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) hasil daripada tapisan dibuat pegawai UNHCR.

“39 yang ditahan, termasuk 21 warga Mnyanmar, India (4), Indonesia (10) dan masing-masing seorang warga Thailand serta kemboja.

"Semua yang ditahan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya yang mengetuai serbuan tersebut.

Operasi bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 3 hingga 7 pagi itu bertujuan membanteras pendatang tanpa izin yang semakin berleluasa.

Seramai 128 penguat kuasa melibatkan 75 anggota Imigresen WPKL dan Putrajaya, serta 54 anggota DBKL terbabit dalam operasi itu.

James menambah, operasi membanteras warga asing tanpa izin sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Perkara ini sentiasa diambil serius dan penguatkuasaan bersepadu akan dibuat bagi menangani isu ini secara menyeluruh," katanya.

MDS tangkap haiwan liar, terbiar

MDS tangkap haiwan liar, terbiar
Jaini (kiri) dalam operasi menangkap anjing liar di sekitar Segamat.
SEGAMAT - Majlis Daerah Segamat (MDS) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan operasi menangkap anjing liar dan haiwan ternakan yang terbiar di sini, semalam.

Pembantu Penguatkuasa Unit Operasi MDS, Jaini Kardi berkata, berdasarkan aduan masyarakat setempat, pihaknya mendapati gangguan anjing liar ketara di daerah ini terutamanya di kawasan taman dan kampung baru.

“MDS selepas ini akan menangkap semua anjing liar yang didapati tiada penjaga juga anjing berlesen yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Anjing liar yang ditangkap akan disimpan dalam seminggu. Tetapi, jika ada yang berminat, mereka boleh mengambil haiwan tersebut dengan syarat ia hendaklah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Menurutnya, setiap rumah teres dan pangsa hanya dibenarkan membela seekor anjing manakala rumah banglo dibenarkan dua anjing berserta permohonan lesen sah dan setakat ini hanya ada satu rumah yang mempunyai 15 anjing.

Jelasnya, setiap kesalahan boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 seekor anjing dan haiwan yang tidak dituntut oleh pemiliknya akan dilupuskan pihak veterinar.

“Pemohon lesen anjing perlu mendapatkan rawatan kesihatan haiwan tersebut terlebih dahulu daripada pihak veterinar sebelum berjumpa pegawai MDS bagi proses memohon lesen dan pembelian fatil yang diwajibkan bagi anjing berlesen,” katanya.

Sementara itu, pihak MDS juga melakukan operasi terhadap haiwan ternakan yang masuk ke kawasan taman dan kebanyakannya adalah lembu.

Jaini berkata, situasi itu juga menjadi masalah kepada MDS kerana haiwan tersebut berada di tempat tidak sepatutnya.

“Kami menerima aduan ramai penduduk yang kurang senang melihat lembu berkeliaran di kawasan taman, tempat mereka beriadah dan berekreasi.

“Persekitaran kawasan awam menjadi kotor dengan najis lembu dan rumput yang ditanam juga rosak kerana menjadi tempat tidur haiwan tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihak MDS akan menangkap lembu berkenaan dan menyimpannya di dalam stor MDS serta pemilik akan dikenakan denda sebanyak RM250 bagi setiap ekor haiwan tersebut.

Tambahnya, jika tidak dituntut, MDS akan melelong lembu berkenaan.

“Kebiasaannya, pemilik akan menuntut haiwan berkenaan kerana harga lembu yang mahal. Selain itu, pihak kami akan mengenakan kos makan untuk lembu tersebut yang berada di dalam stor MDS,” katanya.

Kedai makan kena kencing


KOTA TINGGI - Angkara khianat, seorang peniaga kedai makanan di Jalan Johor, di sini, mendakwa bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian, malah berdepan pelbagai kejadian pelik dipercayai perbuatan pihak yang dengki terhadapnya.

Mangsa, Marzidah Josoh, 47, berkata, kejadian tersebut berlaku sejak pertengahan tahun lepas dan didakwa ia berselang setiap bulan sehingga kini.

Menurutnya, dalam tempoh itu sudah beberapa kali dia menjumpai kesan air kencing selain botol minuman yang berisi seperti abu di kedainya setelah 13 tahun berniaga di kawasan tersebut.

“Pernah juga suatu hari ketika hendak membuka kedai sekitar jam 4 pagi, saya terkejut apabila menjumpai bangkai ular dan kucing di hadapan pintu dapur kedai. Peralatan dapur yang sebelum ini biasa diletakkan di luar kedai juga mula hilang.

“Bukan itu sahaja, tiga bulan lepas kerusi dan lubang mangga pintu kedai saya habis dibubuh gam menyebabkan ia tidak boleh dibuka sehingga memaksa kami memecahkan mangga tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Marzidah berkata, sejak pelbagai kejadian aneh itu, dia turut merasai kunjungan pelanggan ke kedainya semakin berkurangan.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga, dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Hasrat berkahwin tak kesampaian

Hasrat berkahwin tak kesampaian
Bapa mangsa, Rusli Abd Majid, 51, dan ibu mangsa, Mazanah Ahmad, 51, tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian anak mereka. Gambar kecil: Noor Izati
ALOR GAJAH - Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinannya pada Mac tahun hadapan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa, Noor Izati Rusli, 21, memandu Proton Saga BLM dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Seri Aman, Masjid Tanah selepas keluar makan bersama rakan.

Sumber berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Rembia baru menghantar rakannya itu di Kelemak, di sini sebelum kereta dipandu mangsa hilang kawalan.

Menurutnya, kereta yang dipandu terbabas merempuh pili bomba di kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik sehingga patah.

"Orang awam yang berada di tempat kejadian segera menghubungi anggota penyelamat sebelum anggota bomba tiba beberapa minit kemudian bagi mengeluarkan mangsa," katanya.

Tunang mangsa, Muhaimin Omar, 23, berkata, malam sebelum kejadian dia ada menghubungi arwah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum perbualan mereka terhenti tiba-tiba.

"Saya menyangka arwah tertidur sebelum menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga memaklumkan kemalangan yang menimpa arwah.

"Saya tidak tahu arwah keluar makan bersama rakannya. Sepanjang malam kami berborak melalui SMS mengenai jodoh dan perkahwinan namun tak sangka begini pengakhirannya," katanya.

Manakala Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nor Ismail mengesahkan menerima panggilan awam kira-kira 11.47 malam.

Menurutnya, lima pegawai dan anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan.

"Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa cedera parah di kepala dan masih berada dalam kereta yang terbalik.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia di tempat kejadian ketika anggota kami mengeluarkannya dari dalam kereta kurang dari lima minit,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan dipandu seorang gadis terbabas ketika melalui satu selekoh. 

“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Maritim Malaysia gagalkan penyeludupan PATI


JOHOR BAHRU 9 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dengan menggunakan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Gemok, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Operasi Maritim Malaysia Daerah Maritim Tanjung, Komander Mustafa Kamal Abas berkata, bot yang dinaiki kesemua PATI berusia antara 19 hingga 55 tahun itu dikesan anggotanya di perairan tersebut pada pukul 7.45 pagi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130609/je_09/Maritim-Malaysia-gagalkan-penyeludupan-PATI#ixzz2VlSs96g4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 mati, puluhan hilang tragedi bot karam


SYDNEY 9 Jun - Sebanyak 13 orang disahkan maut dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas sebuah bot yang dipercayai menyeludup manusia karam di luar perairan Pulau Krismas, Australia, menurut pihak berkuasa hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Jason Clare berkata, pemantauan dari udara di tempat kejadian yang dipenuhi dengan sisa kayu serta jaket keselamatan telah menemui 13 mayat setakat ini.
Menurutnya, usaha besar-besaran untuk mencari mangsa yang dihilang telah dijalankan dengan melibatkan 15 kapal serta 10 pesawat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_14/13-mati-puluhan-hilang-tragedi-bot-karam#ixzz2VlSelE8O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 PATI Indonesia ditahan


JOHOR BAHRU 9 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dengan menggunakan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Gemok, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Operasi Maritim Malaysia Daerah Maritim Tanjung, Komander Mustafa Kamal Abas berkata, bot yang dinaiki kesemua PATI berusia antara 19 dan 55 tahun itu dikesan anggotanya di perairan tersebut pada pukul 7.45 pagi.
Beliau berkata, ketika kejadian, anggota tersebut sedang mengawasi aktiviti memancing anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di perairan Tanjung Sedili.
"Mengikut laporan, ketika bot kita cuba menghampiri, dengan tiba-tiba bot yang mencurigakan itu berhenti serta-merta seperti tiada orang yang mengendalikannya.
"Namun apabila kita periksa bot tersebut terdapat 10 PATI lelaki warga Indonesia sedang berhimpit-himpit antara satu sama lain di dalam bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mustafa Kamal , siasatan awal mendapati mereka dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini tanpa melalui pangkalan yang diwartakan.
"Kesemua mereka kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)
"Kita turut merampas sebuah bot pancung itu yang berukuran 16 meter panjang dan tiga buah enjin jenis Yamaha 200 kuasa kuda," ujarnya.
Mustapa Kamal berkata, pihaknya telah mempertingkatkan rondaan bagi membanteras kegiatan membawa keluar atau masuk PATI ke negara ini di samping membanteras aktiviti-aktiviti jenayah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tersebut supaya menyalurkan maklumat melalui talian 24 jam iaitu 07-8916590.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130610/je_02/10-PATI-Indonesia-ditahan#ixzz2VlRLloCJ
© Utusan Melayu (M) Bhd