Search This Blog

Sunday, June 9, 2013

Anjing selamatkan bayi dibuang


Anjing selamatkan bayi dibuang
Bayi malang itu dilahirkan pra matang kerana beratnya hanya empat paun tetapi berada dalam keadaan sihat. - Foto Ihsan: Bangkok Post
Anjing selamatkan bayi dibuang
Anjing itu telah membawa bungkusan beg plastik pulang ke rumahnya dan diserahkan kepada pemiliknya, Gumnerd Thongmak dan menyalak kuat untuk menarik perhatian. - Foto Ihsan: Ba
BANGKOK - Seekor anjing menyelamatkan seorang bayi daripada mati yang dibuang di tapak pembuangan sampah.

Anjing itu dinobatkan sebagai wira kerana menyelamatkan bayi perempuan yang diletakkan dalam beg plastik.

Anjing itu telah membawa bungkusan beg plastik pulang ke rumahnya dan diserahkan kepada pemiliknya, Gumnerd Thongmak dan menyalak kuat untuk menarik perhatian.

Anak saudara Gumnerd, Sudarat, 12, kemudian membuka beg plastik itu dan mendapati di dalamnya ialah seorang bayi perempuan.

Pemilik anjing tersebut kemudiannya terus menghantar bayi tersebut ke hospital.

Menurut Gumnerd, anjingnya tidak pernah membawa sebarang bungkusan pulang ke rumah sebelum ini tetapi hanya akan menyalak dengan garang jika bertemu dengan orang luar.

Menurut doktor, bayi malang itu dilahirkan pra matang kerana beratnya hanya empat paun tetapi berada dalam keadaan sihat.

Pihak berkuasa masih lagi berusaha menjejaki ibu bapa bayi berkenaan.

Rumah Saifuddin dipecah masuk

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

MACHANG - Dua penjenayah terpaksa berputih mata apabila ditahan tidak sampai 48 jam selepas memecah masuk rumah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Kampung Air Hijau, dekat sini, Khamis lalu.

Turut ditemui bersama mangsa, pelbagai barangan milik Saifuddin termasuk komputer riba, jam tangan, telefon bimbit dan kad bank.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 petang pada 6 Jun daripada pengadu yang juga merupakan kakak ipar kepada bekas Ahli Parlimen Machang itu.

Katanya, pihaknya membuat operasi tangkapan dengan segera dan berjaya menahan dua suspek pada jam 1.05 pagi semalam.

" Ketika kejadian, mangsa dan keluarga tiada di rumah dan kejadian tersebut disedari agak lewat. Suspek dipercayai pecah masuk rumah tersebut pada waktu malam. Hasil tindakan segera, dua lelaki Melayu berusia 23 dan 27 tahun yang juga penagih dadah ditahan di rumah masing-masing serta pihak polis berjaya menemui beberapa barangan milik mangsa .

"Pecah rumah ini dipercayai melibatkan dilakukan dalam kumpulan dan tiga lagi masih bebas namun identiti mereka telah dikenal pasti. Kerugian pada kejadian tersebut dianggarkan bernilai RM25,350 yang mana melibatkan pelbagai barangan dan juga wang tunai, mata wang asing," katanya kepada media di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Ketua Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lai dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Kama Azural Mohamed.

Che Malek berkata, kedua-dua mangsa mempunyai rekod jenayah lampau (pecah rumah) dan penyalahgunaan dadah dan akan ditahan reman sehingga 11 Jun ini bagi siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek yang merupakan penduduk tempatan itu dipercayai bekerja sebagai penoreh getah manakala seorang lagi tidak bekerja.

Sinar Harian difahamkan, seorang daripada suspek baru sahaja keluar penjara pada Disember lalu atas kesalahan yang sama.

Kebun diserang gajah liar

Kebun diserang gajah liar
Antara tanaman yang rosak dipercayai akibat pencerobohan gajah di kebun milik Roslin.
SUNGAI SIPUT - Seorang penduduk di Kampung Dato Sagor, di sini mengalami kerugian hampir RM800 apabila kebun pisang yang diusahakannya musnah dicerobohi gajah liar.

Roslin Nor Mustapa berkata, dia menyedari kebunnya seluas 0.2 hektar itu dirosakkan, Rabu lalu ketika mahu menjalankan kerja meracun.

“Terkejut saya bila sampai saja di kebun, saya tengok pokok pisang di kebun banyak yang musnah, saya yakin itu angkara gajah kerana najis gajah yang masih baru ada di sekitar pokok pisang yang sudah musnah itu,” katanya.

Roslin berkata, sebelum ini gangguan seumpama itu jarang berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, gajah tersebut mungkin akan merosakkan tanaman milik pekebun lain jika tiada usaha menjejak dilakukan.

“Saya harap pihak Perhilitan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini. Saya takut gajah itu akan mengganggu ketenteraman penduduk pula,” ujarnya.

Antara tanaman yang rosak dipercayai akibat pencerobohan gajah di kebun milik Roslin.

Suami isteri rugi RM35,000

Suami isteri rugi RM35,000
Yusof menunjukkan jahitan di jari tengah tangan kanan dan kirinya yang lebam selepas disamun penjenayah di rumah meraka.
KAMPUNG RAJA - Sepasang suami isteri bukan sahaja kerugian kira-kira RM35,000, malah turut cedera di tangan selepas disamun lelaki yang bersenjata tajam di rumah mereka di Jalan Nikmat, Alor Lintang, dekat sini, minggu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa, Yusof Yaacob, 72, dan isterinya, Rokiah Hussin, 66, sedang tidur dalam bilik di rumah berkenaan.

Menurut Yusof, dia menyedari kejadian itu apabila mendengar isterinya menjerit dan sebaik tersedar, dia melihat ada 'bayang-bayang' lembaga di hujung kakinya.

“Saya cuba menjerit meminta tolong tetapi penjenayah terbabit terus mencekik leher saya,” katanya yang tidak dapat melihat dengan jelas wajah dan bilangan penjenayah kerana keadaan bilik gelap.

Yusof berkata, dia bagaimanapun berjaya menendang suspek yang mencekik lehernya menyebabkan suspek melarikan diri melalui pintu dapur.

Sementara itu, Rokiah berkata, sebatang jari kanannya terpaksa menerima enam jahitan dipercayai terkena senjata suspek ketika suspek merampas rantai leher emas dan gelang tangannya.

“Saya tersedar daripada tidur apabila merasai ada tangan cuba menanggalkan dua utas gelang emas di tangan kanan dan selepas tersedar, saya dapati ada orang berhampiran saya tetapi tidak nampak mereka.

"Kemudian suspek merampas rantai leher di leher saya,” katanya yang yakin penjenayah lebih daripada seorang.

Akibat kejadian itu, mereka mengalami kerugian kira-kira RM35,000, sementara pergelangan tangan kiri lebam serta jari kanan cedera.

Rokiah berkata, suspek dipercayai memasuki rumahnya dengan mengumpil salah satu tingkap bilik anaknya sebelum masuk ke dalam bilik tidurnya yang berkunci.

Rokiah dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja, di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dilakukan untuk mengesan suspek.

Pelancong Jerman cedera dalam cubaan samun

Pelancong Jerman cedera dalam cubaan samun
(Kiri) Keadaan beg Michael yang putus akibat dikelar dalam kejadian samun berkenaan. (Kanan) Michael yang cedera setelah bergelut dalam kejadian berkenaan.
IPOH - Percutian seorang warga Jerman ke negara ini bertukar tragedi apabila cedera ketika disamun dua lelaki di sebuah lorong dekat pekan lama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Michael, 28, baru selesai menelefon rakannya, bagi memaklumkan kehadirannya di bandar raya ini sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Berdasarkan keterangan rakannya, R Ravi 31, salah seorang lelaki berkenaan cuba merentap beg Michael dengan memotong tali begnya menggunakan pisau.

Katanya, apabila menyedari situasi berkenaan Michael cuba menghalang cubaan berkenaan  hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan sesama mereka hingga mengakibatkan dirinya cedera.

“Ya, dia ada menelefon saya untuk beritahu dia ada di Ipoh. Selepas itu polis pula telefon saya untuk memberitahu dia (Michael) kini berada di hospital kerana cedera akibat cuba disamun.

“Mujurlah dia (Michael), sempat pergi ke balai polis berhampiran dan dia di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di pondok polis Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Menurut Ravi lagi, ini adalah kunjungan kedua Michael ke bandar raya ini dan dia (Michael) tidak menyangka langsung kejadian sedemikian boleh berlaku kepadanya.

Berikutan kejadian berkenaan, Michael difahamkan menerima 21 jahitan dan berdasarkan kepada pemeriksaan, tulang tangan kanannya retak akibat dipukul dengan objek keras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tidak timbul selepas terjun


Tidak timbul selepas terjun
Hanisah bersama anak bongsunya, Mohd Firdaus, 5, menunjukkan gambar arwah.
TUMPAT – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Muhammad Akimi Mohamad Anuar, 14, yang koma 10 jam selepas lemas di dalam tali air berdekatan rumahnya di Kampung Palekbang di sini, meninggal dunia awal pagi kelmarin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.50 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu di sisi ibunya.

Pelajar terbabit lemas di tali air berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Palekbang, kira-kira 700 meter dari rumahnya pada Khamis lalu, ketika mandi bersama dua adik dan sepupunya.

Ibu mangsa, Hanisah Arani, 36, berkata, dia reda dengan pemergian anak sulungnya daripada empat beradik itu kerana ALLAH lebih menyayanginya.

Katanya, arwah tidak sedarkan diri selepas sepupunya menyelamatkannya dengan membawa naik ke tebing tali air.

“Saya dapat mengetahui kejadian itu pada jam 3 petang selepas anak saudara datang ke rumah memaklumkan kejadian tersebut.

“Saya terus bergegas ke tali air tersebut, arwah masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri, saya terus membawanya ke Hospital Tumpat dan kemudiannya dirujuk ke HPRZ II.

“Arwah tidak sedarkan diri hingga saat dia menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Adik mangsa, Aiman, 12, berkata, mandi di tali air tersebut adalah rutin arwah abang bersamanya, bagaimanapun tidak menyangka ia menjadi tragedi buruk.

“Saya bersama arwah dan seorang lagi abang saya, Mohd Amirul ke tali air tersebut pada jam 2.30 petang lagi.

“Kegirangan arwah abang yang membuat terjunan dengan memanjat pagar pintu air di tali air tersebut, tiba-tiba bertukar tragedi apabila dia tidak timbul.

“Tiga kali arwah abang buat terjunan, terjunan terakhir itu dia tenggelam di dalam dasar tali air itu sedalam kira-kira lima meter,” katanya yang memaklumkan arwah abangnya itu pandai berenang.

Menurutnya, menyedari kehilangan arwah abangnya itu, dia bersama sepupunya menyelam mencarinya dan menjumpainya di dasar tali air tersebut lalu mengangkatnya ke tebing dan kemudiannya meminta pertolongan.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Palekbang pada jam 11 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian lemas tersebut.

Jumpa mayat reput


Jumpa mayat reput
Keadaan mayat mangsa yang ditemui seorang pengunjung Pantai Kelanang, kelmarin.
KUALA LANGAT - Niat seorang pengunjung Pantai Kelanang yang mahu mencari kayu untuk dijadikan unggun api terbantut apabila dia menemui mayat hampir reput, kira-kira 100 meter dari tapak perkhemahan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, mayat lelaki tempatan yang ditemui kira-kira jam 5.15 petang itu lengkap berpakaian kemeja T coklat berjenama Nike dan berkain pelikat merah.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam dua hari lalu, berdasarkan keadaan mayatnya yang hampir reput.

"Terdapat lima kesan tetakan senjata tajam di kepala dan muka serta satu di hidung mangsa, selain tiga kesan lebam di paha kiri dan perut dipercayai dipukul dengan objek tumpul," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mangsa

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu disamun sebelum dibunuh berdasarkan barang peribadinya yang didapati hilang.

"Mangsa dipercayai warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG di bahu kiri dan berbangsa India," katanya.

Beliau berkata, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan bedah siasat akan dijalankan hari ini, di Hospital Banting.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.Nordin.

Kepala pecah, otak terburai selepas jatuh tingkat 18


Wanita maut jatuh tingkat 18 pangsapuri
Pangsapuri di mana mayat Leng Leng ditemui jatuh.
PUCHONG – Tragis apabila seorang wanita ditemui maut dengan keadaan kepalanya pecah dan otak terburai dipercayai terjatuh dari tingkat 18 Apartment Atmosfera, di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa, Yew Leng Leng, 23 ditemui terbaring di tingkat bawah pangsapuri berkenaan, kira-kira jam 7.40 pagi oleh seorang pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dari ruang rehat beranda, pangsapuri berkenaan.

"Mayatnya ditemui bersama serangkai kunci dipercayai kunci rumah yang didiaminya bersama teman lelaki di pangsapuri sama.

"Pemeriksaan mendapati perut mangsa pecah, terdapat luka di belakang badan selain lebam di kaki dan leher dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tinggi itu," katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai tinggal di tingkat tiga pangsapuri berkenaan sejak enam bulan lalu.

"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 pagi hingga sebelum mayat mangsa yang memakai kemeja T hitam ditemui tertiarap atas jalan.

“Tiada siapa yang melihat kejadian itu (mangsa terjatuh) sehinggalah dia ditemui terbaring di atas jalan dan sudah tidak bernyawa,” katanya.

Abd Razak berkata, sehingga kini punca kematian masih belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Polis forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan siasatan menyeluruh masih dijalankan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

‘Buang tabiat’ mandi-manda petanda ajal


‘Buang tabiat’ mandi-manda petanda ajal
Ramli memerhatikan Sharifah (tiga, kanan) menyiram air mawar di atas pusara Allahyarham Tajudin di Tanah Perkuburan Masjid Batu 38, semalam.
GUNUNG SEMANGGOL - Keterujaan mangsa runtuhan jambatan kedua Pulau Pinang, Tajudin Zainal Abidin,45, ‘membuang tabiat’  bermandi-manda bersama keluarga di Taman Belia, Pulau Pinang tidak disangka menjadi petanda beliau akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Isteri mangsa, Sharifah Ramli, berkata, seminggu sebelum kejadian berlaku, arwah menunjukkan sikap luar biasa apabila begitu teruja ingin membawa dia dan anak-anak pergi bermandi-manda di Taman Belia, Pulau Pinang.

Menurutnya, sikap arwah itu dirasakan pelik memandangkan beliau merupakan seorang pendiam dan keterujaannya hendak pergi bermandi-manda pada mula dianggapnya sebagai ‘buang tabiat’.

“Arwah bukanlah seorang yang gemar bermandi-manda dan keterujaannya mengajak kami berkelah dan bermandi-manda adalah di luar jangkaan saya.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka kenangan perkelahan bersama arwah dan keluarga rupa-rupanya kenangan manis terakhir kami bersamanya.

“Saya pasrah dengan segala ketentuan Ilahi dan kami berdoa agar roh arwah dicucuri rahmat,”katanya sewaktu ditemui media di rumah bapanya di Kampung Perlis, Bukit Merah di sini dengan nada sebak.

Dalam pada itu,  suasana hiba menyelubungi keluarga mangsa di Kampung Perlis, Batu 38 Bukit Merah di sini apabila ratusan penduduk kampung termasuk ahli keluarga mangsa dari Kubang Kerian, Kelantan hadir  memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah Allahyarham Tajudin sejak jam 12 tengah malam semalam.

Jenazah Tajudin Zainal Abidin, 45, yang ditemui mati di dalam runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang Batu Maung yang dalam pembinaan di sini, selamat  dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 39, Bukit Merah, sekitar jam 3 pagi semalam.

Sementara itu, bapa mertua mangsa, Ramli Taib 69, berkata, dia sempat beramah-mesra dengan arwah sewaktu menghantar isterinya pulang untuk mengundi pada pilihan raya umum lalu.

“Arwah sememangnya seorang menantu yang baik, namun sedikit pendiam dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak.

“Apa saja kemahuan anaknya sentiasa ditunaikan dan kami sekeluarga pasrah dengan pemergiannya,” katanya.

5 terkorban, berpuluh hilang akibat hujan monsun


COLOMBO 9 Jun - Sekurang-kurangnya lima terkorban dan berpuluh lagi hilang selepas hujan monsun dan angin kuat melanda Sri Lanka hari ini serta mengakibatkan kerosakan kepada bangunan di pulau tropika itu.
Jurucakap polis, Buddhika Siriwardena berkata, lima orang disahkan maut, empat di laut dan seorang lagi di daratan manakala berpuluh nelayan dikhuatiri hilang.
"Tentera laut dan udara telah digerakkan mencari puluhan nelayan yang dilaporkan hilang akibat laut bergelora," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_04/5-terkorban-berpuluh-hilang-akibat-hujan-monsun#ixzz2VfxrTxNb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lokasi warga Myanmar digempur


Pegawai Imigresen memeriksa dokumen pengenalan diri milik warga Myanmar dalam operasi secara besar-besaran di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Jun - Kebanjiran pekerja warga Myanmar yang banyak menimbulkan kes gaduh dan bunuh di sekitar ibu negara kebelakangan ini menyebabkan polis dan Imigresen menggempur lokasi tumpuan rakyat terbabit malam tadi dan awal pagi ini.
Dalam operasi melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Cheras itu, beberapa kawasan medan selera di dua daerah terbabit diserbu bermula pukul 9 hingga 12 tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, dalam operasi itu, pihaknya telah menahan seramai 54 warga Myanmar.
"Kami melakukan serbuan di medan-medan selera di sekitar Brickfields dan Cheras memandangkan terdapat laporan orang awam memaklumkan warga terbabit banyak bekerja di lokasi berkenaan sebagai tukang masak dan pembantu kedai.
"Dalam operasi itu, seramai 298 warga terbabit diperiksa dan dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang untuk proses dokumentasi. Daripada jumlah itu, 54 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuklah tidak mempunyai dokumen," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam operasi Imigresen pula, seramai 21 daripada 102 warga Myanmar yang diperiksa di Pasar Borong Selayang di sini, ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen sah, salah guna permit kerja dan menetap lebih masa.
Bagaimanapun dalam operasi bermula pukul 3 pagi itu, beratus-ratus warga terbabit yang dipercayai menjadi pembantu kedai di pasar tersebut bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran trak pihak berkuasa.
Malah mereka sanggup membahayakan nyawa dengan melarikan diri ke arah jalan raya sebelum menyusup ke arah semak dan kawasan lombong berdekatan.
Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, daripada jumlah yang ditahan, enam warga asing didapati memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) palsu selain tidak memiliki dokumen yang sah.
Katanya, selain warga Myanmar, Imigresen turut menahan 10 warga Indonesia, warga India (4) dan masing-masing seorang warga Kemboja dan Thailand.
"Kesemua warga Myanmar terbabit ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c), 15 (1)(c), 56 (1)(l) AI 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya yang memberitahu, seramai 128 anggota penguatkuasanya dari Kuala Lumpur dan Putrajaya terlibat dalam operasi itu.
Polis sebelum ini mengambil langkah awal bagi membendung beberapa kes bunuh warga Myanmar baru-baru ini berulang dengan melancarkan siri operasi tangkapan besar-besaran dan membuat pemeriksaan secara menyeluruh sejak Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, sebanyak tujuh laporan polis berkaitan kes pergaduhan melibatkan warga Myanmar diterima sejak 30 Mei lalu.
Berikutan itu, polis juga sudah menahan kira-kira 400 warga Myanmar di sekitar Pasar Borong Selayang untuk tujuan penyimpanan data dan maklumat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130609/je_07/Lokasi-warga-Myanmar-digempur#ixzz2VftKjuYB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahli keluarga sendiri serah tahanan lolos kepada polis


PASIR PUTEH 8 Jun - Seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri ketika diberi rawatan di Hospital Tengku Anis di sini awal pagi kelmarin, dibawa menyerah diri oleh ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, suspek, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusoff, 32, berasal dari Kampung Gelam dekat sini menyerah diri pada pukul 9.45 malam.
"Pihak polis merakamkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai dan anggota keluarga suspek, Zulkiflee Mohamed, 48, yang membawa lelaki itu menyerah diri. Polis menahan suspek untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Zainuddin seorang buruh kontrak dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah ditahan pada 1 Jun lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan berhubung kes mencuri motosikal di daerah ini.
Dia bagaimanapun bertindak meloloskan diri menerusi tingkap tandas Hospital Tengku Anis (HTA) selepas membuat helah untuk membuang air besar kira-kira pukul 4.45 pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130609/je_03/Ahli-keluarga-sendiri-serah-tahanan-lolos-kepada-polis#ixzz2VfrpXYQ3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua penyokong DAP dakwa diancam ADUN Teratai?


Jenice Lee (kiri) bersama Lee Chee Yin (kanan) serta Yong Siew Chin menunjukkan gambar Tiew Weng Keng dan laporan polis ketika sidang akhbar berkaitan isu penyalahgunaan kuasa di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Jun - Dua penyokong DAP mendakwa mereka diugut saman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng setelah mendedahkan laporan audit Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun 2010 bahawa wujudnya penyalahgunaan kuasa.
Lee Chee Yin dan isterinya, Yong Siew Chin berkata, tujuan mereka mendedahkan laporan audit berkenaan dalam satu sidang akhbar pada 1 Mei lalu adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada DAP berhubung perkara tersebut.
Laporan tersebut menyatakan Way Keng yang pada ketika itu merupakan Ahli Majlis MBPJ melalui satu mesyuarat jawatankuasa kecil telah meluluskan penukaran firma peguam sedia ada kepada firma peguam yang dimiliki Lip Eng.
Sebelum penukaran firma, kadar bayaran perkhidmatan ditetapkan adalah RM15,000, namun setelah berlaku pertukaran, bayaran dikenakan adalah RM55,000 melebihi had syiling jadual bayaran MBPJ iaitu RM40,000.
"Kami sebagai penyokong DAP hanya bertanya adakah betul mereka melakukan perbuatan berkenaan, itu sahaja, kami tidak menuduh mereka melakukan apa-apa kesalahan.
"Mereka berdua pada ketika itu merupakan calon DAP pada PRU-13, jadi sebagai penyokong, kami berhak untuk tahu perkara sebenar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama bekas ADUN Teratai, Jenice Lee.
Tambah Chee Yin, rentetan daripada pendedahan itu, dia dan isterinya menerima ugutan daripada Lip Eng supaya memohon maaf atau bakal menerima tindakan mahkamah.
Jelasnya, pada 4 Jun lalu, dia didatangi oleh Way Keng bersama tiga yang lain di premis perniagaannya di Ampang.
"Kedatangan mereka untuk mengesahkan pembabitan kami dalam sidang akhbar tersebut dan mengugut akan melakukan tindakan mahkamah.
"Way Keng memberi amaran kepada saya dan isteri, jika kami enggan memohon maaf dan mengadakan satu sidang akhbar untuk membersihkan nama dia dan Lim (Lip Eng), kami akan mendapat surat peguam," katanya lagi.
Sehubungan itu jelas Chee Yin, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pandan Indah pada 5 Jun lalu berkenaan perkara tersebut.
"Kami tidak pernah buat apa-apa kesalahan, kami hanya minta penjelasan terhadap sesuatu perkara yang telah dilakukan oleh dua wakil rakyat DAP, itu sahaja," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130609/po_04/Dua-penyokong-DAP-dakwa-diancam-ADUN-Teratai#ixzz2Vfs7ieVg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat gerai di Chow Kit musnah terbakar


KUALA LUMPUR 9 Jun - Empat buah gerai makanan di Chow Kit di sini,
hangus dalam satu kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.14 malam itu, seramai 44 pegawai dan
anggota dengan tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat
Titiwangsa, Sentul, Setapak, Hang Tuah termasuk satu jentera dari
bahagian Forensik digegaskan ke lokasi.
Menurut jurucakap bomba, jentera pertama telah tiba lima minit
kemudian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang
awam.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya
dikawal dan dipadam sepenuhnya dalam tempoh sejam 30 minit.
"Punca kebakaran dan kos kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini. - Utusan

9 mayat dipercayai pencari suaka ditemui terapung


PERTH 8 Jun - Pihak berkuasa Australia hari ini menemui sembilan mayat dipercayai pencari suaka politik berhampiran sebuah kapal karam dan melakukan operasi mencari mangsa terselamat daripada kemalangan terbaharu yang membabitkan cubaan pendatang asing memasuki negara ini.
Bot yang sarat dengan penumpang sering menuju ke Pulau Krismas di wilayah Lautan Hindi Australia sama ada dari Indonesia atau Sri Lanka.
Pihak Berkuasa Maritim Australia mengesan kapal yang sedang karam malam tadi dan mereka sedang menyelaras usaha mencari dan menyelamat, kata Perkhidmatan Perlindungan Kastam dan Sempadan dalam satu kenyataan.
Pesawat dan kapal mencari mengesan kedudukan kira-kira sembilan mayat itu kira-kira 120 kilometer dari barat laut Pulau Krismas. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130608/lu_12/9-mayat-dipercayai-pencari-suaka-ditemui-terapung#ixzz2Vfm9Ke3I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi pelajar mangsa rogol berkumpulan di India


NEW DELHI 9 Jun - Seorang pelajar kolej berusia 20 tahun menjadi mangsa rogol berkumpulan terbaharu dan dibunuh di timur India, semalam sekali gus menyaksikan ratusan orang mengadakan tunjuk perasaan di jalan-jalan bagi membantah kejadian itu, kata polis hari ini.
Tiga lelaki telah ditahan berkaitan serangan itu yang berlaku di Barasat di pinggir bandar Kolkata, semalam.
Mangsa dirogol di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan dan mayatnya ditemui dengan kesan luka berhampiran sebuah terusan, lapor stesen CNN-IBN.
"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol berkumpulan dan bunuh dengan suspek ditahan tidak lama selepas jenayah itu," kata jurucakap polis ketika dihubungi. - DPA

Kasanova budak pantai

Foto
BUDAK pantai digemari pelancong asing
jika mempunyai kelebihan berbicara.
Georgetown: Kejinya seorang kasanova budak pantai apabila tergamak menggunakan kepetahan berbicara untuk mencairkan hati tiga generasi sekeluarga (nenek, anak dan cucu) yang berkunjung ke pantai Batu Ferringhi, di sini, sebelum diperangkap hingga ke ranjang.
Bekas budak pantai itu yang dikenali sebagai Mat, 30-an, pada mulanya berjaya memikat seorang pelancong wanita dari Australia berusia 50-an sehingga menjadi teman tidurnya sebelum meniduri anak perempuan wanita itu berusia 30-an.
Tidak cukup itu, Mat juga meniduri cucu wanita berkenaan berusia 17 tahun yang juga anak kepada anak perempuannya.

Bangga dengan dosa hitam meniduri tiga generasi pelancong wanita daripada satu keluarga itu, Mat menceritakan pengalamannya kepada beberapa rakan rapatnya yang juga budak pantai.


Menceritakan perkara itu, rakan Mat yang hanya mahu dikenali sebagai Azis berkata, kepandaian berkata-kata menyebabkan ramai pelanggan mudah mesra dengan lelaki itu, terutama pelancong wanita.

‘Rezeki’ anak dalam kereta

Foto
EFFENDI (kanan) memujuk Laldin yang baru
tersedar dari pengsan di HPP, semalam.
Georgetown: “Pada mulanya saya tak percaya mayat yang dilihat dalam runtuhan itu abang saya. Keadaannya teruk dan menyayat hati, namun selepas melihat kad pengenalan yang diambil dari poket seluarnya, hati saya luluh sebelum tiba-tiba pengsan selepas mendapati dia abang saya,” kata Laldin Zainal Abidin, 39, adik kepada Tajuddin, 45, yang maut dalam kejadian runtuhan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang, petang Khamis lalu.
Laldin yang juga adik bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ketika mahu membuat pengecaman mayat, hatinya berdebar-debar, namun reda dengan apa yang akan berlaku.
Katanya, ketika dibawa masuk ke dalam runtuhan itu mayat abangnya yang dipanggil ‘Abang Ti’ rapat dengan papan pemuka kereta Kelisa yang sudah remuk.

“Sukar saya gambarkan keadaan abang Ti ketika itu. Mayatnya teruk dan menyayat hati dan lebih menyedihkan, saya turut menemui makanan yang dibeli untuk anaknya di dalam kereta,” katanya ditemui selepas tersedar dari pengsan dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) awal pagi semalam.


Menurutnya, sebelum kejadian, dia bersama kakak ipar, Shariffah Ramli, 40, membuat laporan di Balai Polis Batu Maung selepas arwah tidak pulang sejak petang Khamis lalu, selain terdengar berita polis meminta waris keluarga yang hilang membuat laporan.

Kalau sudah ajal...

Foto
KEADAAN motosikal yang dirempuh lori, kelmarin.
Butterworth: “Mulanya saya bersyukur kerana semua ahli keluarga sepupu dalam rumah yang dirempuh lori terselamat, tapi terkejut sebaik diberitahu bahawa seorang penunggang motosikal maut dan kebetulan mangsa itu sepupu saya,” kata Norfiza Ramli, 45.
Norfiza berkata demikian selepas kemalangan yang mengorbankan sepupunya, Asmadi Darus, 48, di susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Dua, di sini, malam kelmarin.
Kemalangan itu dikatakan pelik kerana mangsa yang menunggang motosikal Modenas Karisma berhenti di lampu trafik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Lokan, tidak jauh dari tempat kejadian.

Sebuah lori membawa muatan sayur-sayuran dari arah Kepala Batas melalui susur keluar lebuh raya berkenaan dikatakan tidak berhenti dipercayai kerana menghadapi masalah brek lalu melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh mangsa yang berada antara dua kereta.


Tidak cukup dengan itu, lori berkenaan turut terbabas sebelum merempuh dapur rumah didiami keluarga Normah Zakaria, 53, menyebabkan pemandu dan kelindannya cedera akibat tersepit, tetapi semua ahli keluarga Normah terselamat.

Hasrat kahwin berkecai

Foto
MAZANAH sebak melihat jenazah mangsa.
Alor Gajah: “Beberapa minit sebelum kejadian, saya sempat menghubungi tunang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar sebelum ia terhenti secara tiba-tiba.”
Begitu kata Muhaimin Omar, 23, tunang kepada Noor Izzati Rusli, 21, yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, dekat sini, malam kelmarin.
Kemalangan itu sekali gus mengakibatkan impian pasangan berkenaan untuk melangsungkan perkahwinan Mac depan tidak kesampaian.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 malam, Noor Izzati yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seri Aman, Masjid Tanah maut apabila Proton Saga BLM dipandu hilang kawalan sehingga merempuh pili bomba dan tiang elektrik sebelum terbalik.


Muhaimin berkata, dia yang menyangkakan SMS itu terhenti kerana Noor Izzati tertidur, terkejut selepas dihubungi seorang ahli keluarga mangsa memaklumkan kejadian itu.

‘Topeng’ si ibu ayam

Foto
Zila (kanan) memberi arahan kepada Ani sebelum
 mengurut pelanggan di dalam bilik hotel.
Kuala Lumpur: Spanya berlesen, manakala pelanggan pula kebanyakannya wanita yang mahu mendapatkan khidmat urut selepas bersalin, menghilangkan sakit dan sengal badan atau bagi meredakan stres selepas penat bekerja.
Kalau ada pun pelanggan lelaki, kebanyakannya ditemani isteri atau saudara perempuan masing-masing bagi mengelak pandangan buruk masyarakat ketika berurut.
Imej ‘bersih’ spa milik wanita dikenali sebagai Zila yang berusia lewat 30-an ini menyebabkan premisnya di Kajang, dekat sini, sering dikunjungi pelanggan pelbagai peringkat umur.

Bagaimanapun, tanpa disedari kebanyakan pelanggan tetapnya, Zila turut menjadi orang tengah dengan menawarkan khidmat urutan berahi dan seks kepada lelaki.


Tawaran ‘urut istimewa’ itu biasanya dibuat kepada lelaki yang berada di ruang tamu spanya kerana menunggu isteri atau teman wanita mereka berurut.

Penunggang motosikal maut dirempuh lori



8 Jun 2013
BUTTERWORTH - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan sebuah lori, kereta dan motosikal ditunggang mangsa di Kampung Teluk berhampiran susur masuk ke Butterworth, Sungai Dua di sini semalam.

Dalam kejadian pada 11.16 malam itu, Asmadi Darus, 48, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat dirempuh lori dari arah depan.

Ketika kejadian, Asmadi, yang tinggal di Sungai Dua, dalam perjalanan pulang dari Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaannya berikutan masalah brek ketika melalui kawasan itu.

"Lori itu dari arah Sungai Dua dan dalam perjalanan menghantar barangan ke Butterworth dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan.

"Asmadi terpelanting ke bahu jalan, manakala lori berkenaan merempuh pula sebuah kereta Honda Civic dari arah belakang sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar dinding dapur sebuah rumah di kawasan itu," katanya.

Abdul Rahman berkata kejadian itu menggemparkan pemilik rumah berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 50-an, yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama enam anggota keluarga lain.

Beliau berkata bahagian dapur rumah itu mengalami kerosakan kecil manakala semua anggota keluarga Din tidak cedera.

Abdul Rahman berkata kemalangan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya selama hampir sejam namun tindakan pantas polis mengawal lalu lintas ketika kerja menyelamat dilakukan anggota bomba berjaya mengawal keadaan.

"Pemandu lori dan kelindannya yang merupakan orang tempatan mengalami kecederaan parah selepas tersepit di bahagian kepala lori yang remuk manakala pemandu kereta Honda Civic hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan secara berbahaya. - Bernama

Bayi ditemui di hadapan kuil


Bayi ditemui di hadapan kuil
Bayi malang lengkap berpakaian yang ditemui di sebuah kuil, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SITI SAFA MOHD NOR
SITIAWAN – Penduduk Taman Nesa, di sini dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kuil pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, bayi lelaki yang baru berusia seminggu itu ditinggalkan di kuil berkenaan dalam keadaan lengkap berpakaian.

Kehadiran bayi itu disedari seorang sami yang kebetulan datang ke kuil itu untuk menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Jaafar Baba berkata, pemeriksaan secara fizikal ke atas bayi berkenaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dikesan.

Bagaimanapun katanya, bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita akan maklumkan kes ini kepadan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengawasan.

“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan individu terlibat termasuk ibu bapa bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Shafarin Abd Samad, 22, berkata, bayi berkenaan dimasukkan dalam sebuah bakul rotan lama yang dialas menggunakan kain lampin dan diletakkan di atas meja yang terdapat di kuil itu.

“Sebaik sami itu maklumkan kepada penduduk ada bayi, kami datang untuk melihat bayi itu.

"Bayi itu nampak macam sihat sahaja, mungkin masih baru sebab tali pusat belum tanggal,” katanya.

Lelaki saman pakar bedah plastik


Tulsa: Seorang lelaki Oklahoma yang menjalani lebih 20 prosedur hidung menyaman pakar bedah plastik yang membedahnya, mendakwa doktor itu menyebabkan dia tidak lagi mempunyai hidung.

Vishal Thakkar memutuskan untuk menjalani pembedahan hidung pada 2006 dan mendapatkan khidmat Dr Lawrence Angelo Cuzalina, pakar bedah plastik yang diiktiraf.
Thakkar mendakwa, dia menghadapi kesukaran bernafas selepas pembedahan pertama, menyebabkan dia kembali untuk satu lagi pembedahan sebelum menjalani pembedahan seterusnya hingga yang ke-21.

Ketika satu daripada pembedahan itu Thakkar berkata, Cuzalina memotong hidungnya.


“Dia memberitahu saya terdapat jangkitan di situ dan memandangkan saya di meja pembedahan dan tidak sedarkan diri, dia terpaksa membuat keputusan.


Dalam kes saman yang difailkan di mahkamah daerah Tulsa terhadap Pusat Pembedahan Kosmetik Oklahoma dan Seni Bedah Tulsa, Thakkar mendakwa Cuzalina cuba menakut-nakutkan dan mengugutnya selepas menyedari kesilapan yang dilakukannya.

Dia kini menuntut kerugian atas kesilapan perubatan, fitnah, tekanan emosi, konspirasi dan penipuan.

Thakkar kini tidak bekerja kerana kesakitan. Dia telah menjalani dua pembedahan pemulihan di hidungnya di lokasi lain sejak memutuskan hubungan dengan Cuzalina.

Dia terpaksa memakai topeng apabila berada di khalayak ramai. - AP

Didakwa 329 pertuduhan


Columbus: Seorang lelaki yang dituduh mengurung tiga wanita di kediamannya di Cleveland selama sedekad dan menjadi bapa kepada kanak-kanak bersama eorang daripada mereka didakwa dengan 329 pertuduhan, termasuk pembunuhan, penculikan dan rogol.

Juri membacakan dakwaan itu kelmarin terhadap Ariel Castro, bekas pemandu bas sekolah yang dipecat musim luruh lalu.
Castro, 52, dituduh menculik Amanda Berry, Gina DeJesus dan Michelle Knight serta menawan mereka bersama kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anaknya dengan Amanda.

Juri mendakwa, Castro dengan dua pertuduhan bunuh yang berat berkaitan satu perbuatan, mengatakan dia dengan sengaja menyebabkan pengguguran secara haram kehamilan seorang daripada wanita berkenaan.


Castro turut didakwa dengan 139 pertuduhan rogol, 177 pertuduhan menculik, tujuh tuduhan seksual secara kasar, tiga tuduhan serangan feloni dan satu tuduhan memiliki peralatan jenayah.

Lima penjenayah dibunuh


Manila: Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan jenayah Filipina terbunuh dengan dua daripada mereka dipenggal.

Polis yang percaya kejadian itu serangan balas dendam berkata, 10 lelaki bersenjata memakai baju bersarung kepala masuk ke sebuah bangsal tempat anggota kumpulan itu tinggal di bandar Bugallon.
Mereka menembak dua daripada lelaki berkenaan sebelum memenggal kedua-duanya dan menembak mati tiga yang lain.

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang mempunyai kaitan dengan semua mangsa menyaksikan serangan itu tidak diapa-apakan.


“Mangsa disyaki terbabit dengan kegiatan haram seperti merompak dan mencuri lembu,” katanya.


Manongdo berkata, polis masih menyiasat kemungkinan pembunuhan itu dilakukan keluarga mangsa mereka.

Antara yang terbunuh dalam kejadian semalam ialah bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara April lalu. - AFP

Tanam pembunuh hidup-hidup sebelah mangsa


La Paz: Penduduk sebuah kampung di kawasan pergunungan di selatan Bolivia mengebumikan seorang lelaki hidup-hidup di dalam kubur seorang wanita yang dirogol dan dibunuhnya.

Santos Ramos, 17, dituduh membunuh mangsa, Leandra Arias Janco, 35, Ahad lalu.
Lebih 200 penduduk kampung menangkap Ramos dan mengebumikannya hidup-hidup di sebelah mayat mangsa.


Menurut jurucakap polis, pihaknya gagal menghalang perbuatan itu selepas penduduk turut menghalang mereka memasuki kampung berkenaan.
Seorang wartawan tempatan yang enggan dikenali berkata, Ramos diikat ketika mangsanya dikebumikan.
Dia kemudian dicampak ke dalam kubur sebelum penduduk memasukkan keranda berisi mayat Leandra dan menimbusnya.

Eksekutif maut terjun tingkat lima apartmen terbakar


Bangkok: Seorang eksekutif kanan syarikat bahan binaan mati selepas terjun dari tingkat lima bangunan apartmen di bandar raya ini ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran pagi semalam.

Kejadian itu turut mencederakan tujuh yang lain.
Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran yang bermula di tingkat tiga bangunan lapan tingkat Apartmen Bangkok Success di Chatuchak dan memindahkan semua mangsa lain dengan selamat.

Julairat Boonsom, 49, Pengarah Urusan syarikat Rom Pho Products mati di tempat kejadian selepas terjun menerusi tingkap apabila kebakaran berlaku di bangunan itu.


Dia sebelum itu bermalam di kediaman temannya, Praditha Worachart, penyewa di situ kerana mereka bercadang ke tempat kerja bersama-sama.


“Saya mendengar seseorang menjerit Api!. Saya beritahunya kita patut melarikan diri,” kata Pradhita.

Menurutnya, apabila membuka pintu bilik, mereka dapati asap tebal menyelubungi rumah.

Kerana panik dan keliru, Pradhita memberitahu Julairat memutuskan untuk terjun menerusi tingkap.

“Dia sangat disukai rakan sekerja dan pekerja bawahannya. Semua orang terkejut,” katanya. - Bangkok Post

Mayat bersusun dalam bas terbakar


Beijing: Satu kebakaran memusnahkan sebuah bas dan menyebabkan 47 penumpang terbunuh sementara berpuluh-puluh yang lain cedera ketika waktu puncak di bandar pelabuhan di tenggara China.

Media kerajaan melaporkan, polis percaya kejadian di jalan raya bertingkat di Xiamen itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Seorang pegawai bomba tempatan berkata, petugas kecemasan menemui mayat bersusun dalam bas yang rentung itu.

Agensi berita rasmi Xinhua semalam berkata, selain 47 yang maut, 34 lagi masih dirawat.


Polis berkata, kebakaran itu kelihatannya sudah dirancang, bukannya kemalangan, lapor Xinhua.


Antara petunjuknya ialah polis menemui kesan minyak petrol pada rangka bas walaupun kenderaan itu menggunakan bahan api diesel dan tangki minyak serta tayarnya kekal tidak terjejas.

“Ia kes jenayah yang serius,” kata Kementerian Keselamatan Awam dan agensi polis kebangsaan dalam laman webnya.

China menyaksikan pengeboman dan kebakaran bas serta bangunan awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadangkala angkara orang yang cuba menyelesaikan isu peribadi dan juga mereka yang memberontak kerana isu politik. - AP

Pembunuh gila!

Foto
MAYAT lelaki yang dipercayai suspek penyerang terbujur di kaki lima Kolej Santa Monica selepas ditembak mati polis.
Santa Monica (California): Seorang lelaki berpakaian serba hitam menembak mati sekurang-kurangnya empat orang dalam satu siri tembakan di bandar tepi pantai ini semalam sebelum polis membunuhnya di luar perpustakaan sebuah kolej komuniti.
Polis berkata, sekurang-kurangnya lima lagi cedera dengan seorang parah dalam kejadian itu.
Lelaki itu memulakan serangan dengan membunuh bapa dan adiknya sebelum melakukan pembunuhan rambang di Santa Monica, beberapa kilometer dari acara yang dihadiri Presiden barack Obama.

Seorang saksi berkata, lelaki berkulit putih dan berusia antara 25 dan 30 tahun membawa tali pinggang penuh dengan peluru dan senapang separuh automatik.


Kejadian di Santa Monica itu tidak ada kaitan dengan kunjungan Obama.

Pembunuhan itu adalah kejadian terbaru dalam beberapa siri pembunuhan beramai-ramai berprofil tinggi sejak tahun lalu, termasuk serangan pada Disember di Connecticut yang membunuh 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di sebuah sekolah rendah dan kejadian Julai tahun lalu di panggung wayang di pinggir Denver yang meragut 12 nyawa.

Ketua Polis Santa Monica, Jacqueline Seabrooks berkata, tembakan itu bermula di timur dekat kampus kolej sejurus sebelum tengah hari apabila polis menerima beberapa laporan mengenai rumah terbakar, rampasan kereta dan tembakan di kawasan itu.

Mayat dua orang ditemui di tempat kejadian kebakaran dan dua lagi ditemui di dua lagi lokasi antara rumah yang terbakar dan kolej, kata polis.

Tiga wanita yang ditembak, seorang ditemui dalam keretanya di luar rumah yang terbakar itu dikejarkan ke hospital. Seorang daripada mereka dikatakan tenat.

Penduduk, Janet Carter memberitahu media dia terdengar lima hingga tujuh das tembakan dari arah kediaman itu, disusuli dua lagi tembakan.

Janet berkata, dia keluar dan melihat seorang wanita ditembak di tempat duduk pemandu.

Polis berbalas-balas tembakan dengan lelaki bersenjata itu di luar kolej dan mengejarnya hingga di luar perpustakaan, tempat dia ditembak dan mati. - Reuters

Penemuan ngeri bantut aktiviti perkhemahan


Banting: Hasrat sebuah keluarga untuk melakukan aktiviti perkhemahan terbantut berikutan penemuan mayat di kawasan berdekatan tapak khemah mereka di Pantai Kelanang, di sini, petang kelmarin.

Menurut sumber, kumpulan keluarga itu yang mencari kayu api di kawasan semak berdekatan kira-kira 40 meter dari kawasan pantai, terkejut melihat sekujur tubuh berbaju T berwarna coklat dan berkain pelekat di kawasan semak itu.


Ketua Polis Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam jam 5.15 petang sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika ditemui, mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan terlentang lengkap berbaju bersama kain pelekat, dipercayai warga tempatan berdasarkan bekas suntikan pelalian di bahu kirinya.


Nordin berkata, pihaknya tidak menjumpai dokumen peribadi berhampiran mangsa, namun tidak menolak punca kematian adalah dibunuh berdasarkan kesan tetakan pada wajah dan lebam pada tubuh mangsa.


“Kita percaya mangsa dibunuh kerana ada lima kesan tetakan di kepala mangsa, lima di muka dan satu di hidung, dipercayai akibat senjata tajam, manakala tiga kesan lebam dipukul dengan senjata tumpul iaitu dua di paha kiri dan satu di perut.

“Kita mengesyaki dia dibunuh di kawasan berdekatan sebelum dibuang di kawasan semak berikutan penemuan kayu dan serpihan pasu yang ada kesan darah, kira-kira 20 meter dari kawasan mangsa ditemui,” katanya.


Nordin berkata, berdasarkan keadaan mayat, polis yakin mangsa meninggal dunia kira-kira dua hari lalu sebelum mayatnya ditemui orang awam.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.


Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Anuar Hamin di talian 013-2918584.

28 warga emas cemas rumah kebajikan terbakar


Klang: Seramai 28 warga emas yang bersiap sedia untuk menonton berita jam 8 malam dikejutkan dengan kepulan asap dari kawasan belakang Pusat Kebajikan Warga Emas di Jalan Solok Tamarind, Southern Park, di sini, malam kelmarin.

Penyelia pusat itu N Yogeswaran berkata, kejadian disedari ibunya Nanthan Yogarani, 61, sebelum dia mengarahkan semua penghuni berusia antara 45 hingga 85 tahun menyelamatkan diri.


Yogeswaran berkata, dia cuba memadamkan api daripada marak menggunakan tiga pemadam api, namun gagal akibat keadaan cuaca yang berangin sebelum mengambil keputusan menyelamatkan semua penghuni rumah itu.

Katanya, majoriti penghuni iaitu orang kelainan upaya (OKU), pesakit strok dan kurang berkemampuan dikeluarkan dengan bantuan jiran di kawasan berdekatan.


“Selepas ibu memaklumkan terlihat kepulan asap di belakang, saya berlari ke tempat pemadam api untuk cuba mengawal api daripada terus merebak. Bagaimanapun, api cepat marak dan kami dibantu jiran tetangga untuk membawa keluar penghuni,” katanya.


Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja A Romzi Ab berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.24 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 40 minit sebelum padam sepenuhnya jam 11.30 malam.


“Seramai 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian bersama sembilan jentera membabitkan tiga tangki air dan enam ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Kota Raja.

“Kami masih menyiasat punca kebakaran, namun tidak menolak ia berpunca daripada pendawaian elektrik yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya.


Romzi berkata, anggaran kerugian adalah RM300,000 dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemandu maut van bertembung bas


Dungun: Seorang tukang rumah maut selepas van dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di satu simpang tiga di Kilometer 14, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Ismail Idris, 66, yang memandu berseorangan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, di sini, akibat cedera parah di kepala.


Ketika kejadian, dia dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di pusat bandar ini manakala bas terbabit membawa 25 peserta ke satu majlis penanaman pokok karas di Kampung Pasir Raja, di sini.

Anak mangsa, Zaini Ismail, 25, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah mereka di Felda Kerteh 6, dekat sini, sebelum dihubungi seorang rakan yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.


“Saya bergegas ke tempat kejadian dan sebaik sampai, orang ramai sudah mengeluarkan ayah yang tersepit di tempat duduk pemandu.


“Saya sempat mengajar ayah mengucap sebelum orang ramai membawanya ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, ayah disahkan meninggal dunia jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui menuntut jenazah bapanya di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian terbabit.

‘Dia kata akan bunuh saya’


Petaling Jaya: Bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya melalui panggilan telefon, semalam.

Dia membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, jam 10 pagi.


Menurutnya, ugutan dilakukan lelaki tidak dikenali melalui panggilan telefon, jam 10.10 malam kelmarin.

“Saya tampil membuat laporan polis kerana bimbang nyawa dan keselamatan ahli keluarga terancam,” katanya ketika ditemui, semalam.


Diminta wartawan menjelaskan ugutan itu, Tunku Abdul Aziz menyifatkan kata-kata lelaki terbabit sebagai sangat berani.


“Dia kata dia akan bunuh saya,” katanya.

Menurutnya, ugutan itu berkemungkinan berpunca daripada tindakannya memberi komentar mengenai beberapa isu dan perkembangan di negara ini.


“Lelaki itu membuat ugutan mungkin untuk membuatkan saya berhenti memberi komen mengenai beberapa isu penting negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah membawa hukuman denda dan penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Nampak kelibat baju merah


Dungun: “Saya tidak putus-putus berdoa supaya Allah menimbulkan anak dan beberapa minit kemudian, saya ternampak kelibat baju merah dipakainya sebelum terjun semula ke laut untuk mendapatkannya,” kata Zubir Nordin, 47, bapa kepada Nurul Nabilah Zubir, 8, yang lemas ketika mandi di Pantai Sura Hujung, berhampiran Tasik Universiti Teknologi Mara Kampus Dungun, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, dia bersama isteri, Norizah Sulaiman, 41, dan enam anak, termasuk arwah, yang menetap di Kampung Sura Tengah, di sini, tiba di pantai pada jam 7.30 pagi untuk berkelah.


“Saya tinggalkan isteri dan anak di pantai kerana mahu membeli sarapan pagi untuk mereka dan sebelum pergi, saya berpesan supaya jangan mandi sehingga saya pulang,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, untuk menuntut jenazah anaknya, semalam.

Bagaimanapun, katanya, arwah bersama lima adik-beradiknya, Mohd Syahir, 12, Mohd Faiz, 11, Mohd Basir, 10, Mohd Yusri, 6, dan Nurul Munirah, 4, tidak menunggu dia pulang daripada membeli sarapan, sebaliknya turun ke laut untuk mandi lebih awal.


Menurutnya, ketika mereka mandi, arwah lemas dan isterinya yang ketika itu berada di tepi pantai segera mengharungi air untuk cuba menyelamatkan arwah.


“Isteri sempat mengarahkan lima anak lain naik ke tepi pantai manakala dia mengharungi air untuk cuba menyelamatkan arwah yang semakin hanyut sebelum dia sendiri hampir lemas.

“Dalam keadaan cemas itu, saya tiba di pantai dan terkejut mendengar lima anak saya menjerit manakala isteri terkapai-kapai meminta bantuan di laut.


“Saya terjun ke laut dan berjaya menarik isteri ke darat tetapi ketika itu, arwah sudah tenggelam sebelum saya naik ke tebing lebih tinggi untuk menjejaknya,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, dia ternampak kelibat baju merah dipakai arwah sebelum terjun semula ke laut.


“Saya mendapatkan arwah dan pantas menaikkannya ke darat sebelum memberikan bantuan pernafasan, namun arwah ketika itu tidak bernyawa lagi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, polis yang menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada jam 7.50 pagi bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dungun.


Katanya, sebaik tiba jam 8 pagi, mangsa sudah dibawa naik oleh bapanya dan disahkan meninggal dunia.

Empat anjing pengesan cari mangsa


Georgetown: Kerja mencari mangsa semalam turut dibantu empat anjing pengesan Unit K-9 di lokasi runtuhan struktur konkrit Jambatan Pulau Pinang Kedua di Batu Maung, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis bersama pasukan bomba dan penyelamat meneruskan usaha kerja mencari mangsa walaupun tiada laporan kehilangan individu dibuat.


“Kita meneruskan operasi mencari berdasarkan faktor kawasan ini mempunyai ramai pekerja warga asing termasuk di kawasan kilang.

“Setakat ini, tiada lagi laporan kehilangan mana-mana individu yang membabitkan rakyat tempatan, kecuali ahli keluarga mangsa yang mayatnya dikeluarkan dari runtuhan semalam (kelmarin),” katanya.


Menurutnya, unit anjing K-9 juga terpaksa digunakan berikutan ada beberapa laporan yang mengatakan ternampak dua motosikal turut terperangkap dalam runtuhan itu.

‘Mandi-manda kenangan terakhir’


Bagan Serai: “Saya tak dapat lupa kenangan mandi-manda bersama arwah di Taman Perbandaran Pulau Pinang minggu lalu. Bagaikan mimpi apabila dia (Tajuddin Zainal Abidin) tiba-tiba maut dihempap runtuhan jambatan kedua Pulau Pinang petang Khamis lalu,” kata isteri mangsa, Sharifah Ramli, 40.

Mayat mangsa ditemui pasukan bomba dan penyelamat di dalam kereta dipandunya yang ditimpa struktur konkrit jambatan seberat lebih 280 tan, jam 12.27 tengah hari kelmarin, Mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan hanya berjaya dikeluarkan jam 8.45 malam sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.


Jenazah mangsa berusia 45 tahun kemudian dibawa pulang ke Kampung Perlis, Batu 38, Bukit Merah, di sini, untuk dikebumikan jam 3 pagi semalam.

Sharifah berkata, kehilangan suaminya menyedihkan berikutan ia berlaku mendadak dan tragis.


“Sebelum kejadian, arwah suami teruja membawa saya dan anak mandi Taman Perbandaran Pulau Pinang. Kami sempat menghabiskan masa bersama dan anak gembira ketika itu.


“Walaupun arwah pendiam, saya tak sangka sikapnya yang ceria ketika membawa kami mandi-manda petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, dia mulanya sukar percaya suaminya terbabit dalam tragedi itu sebaik dimaklumkan pihak berkuasa.


“Saya meminta seorang adik ke lokasi kejadian untuk memeriksa kereta yang tersepit di bawah runtuhan itu dan hati saya luluh apabila dimaklumkan adik bahawa kereta itu milik suami,” katanya.

Arwah maut akibat sesak nafas, cedera teruk pada badan


Georgetown: Punca kematian mangsa dalam runtuhan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang Khamis lalu disebabkan sesak nafas.

Pakar Patologi, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Bhupinder Singh berkata, bedah siasat turut mendapati Tajuddin Zainal Abidin, 45, cedera teruk pada beberapa bahagian anggota badan.


“Bedah siasat bermula dari jam 10 malam hingga 11.40 malam mendapati mangsa mengalami sesak nafas selain cedera teruk pada beberapa anggota badan. Mangsa meninggal dunia serta-merta sejurus kejadian.

“Pemeriksaan juga mendapati mangsa terperosok di bahagian pemandu, menyebabkan tulang rusuknya patah selain kedua-dua kakinya patah,” katanya ditemui di HPP tengah malam semalam.


Dalam kejadian itu, konkrit sepanjang 50 meter seberat 280 tan menghempap kenderaan dinaiki mangsa. Pihak berkuasa mengambil masa lebih 24 jam untuk mengeluarkan mayat mangsa jam 8.45 malam kelmarin.


Usaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit menghadapi sedikit kesulitan berikutan timbunan konkrit dan besi masih berada di tempat kejadian. Empat jek hidraulik digunakan untuk memecahkan konkrit yang menghempap kereta mangsa.

Pihak berkuasa kini meneruskan usaha mengesan jika ada mangsa masih tertimbus dalam runtuhan konkrit berkenaan. Berdasarkan laporan awal, saksi mendakwa terlihat beberapa kenderaan terperangkap dalam runtuhan itu.

‘Nasib baik hari tu saya bercuti’


Georgetown: “Setiap hari, inilah laluan saya pergi dan pulang dari kerja, tapi semalam (Khamis) saya bercuti. Jika tidak, saya tak tahu nasib saya bagaimana,” kata Azira Mohammad, 29, dari Bukit Gambir, dekat sini.

Menurutnya, dia menggunakan laluan itu setiap hari iaitu pagi dan petang dari rumahnya di Bukit Gambir ke tempat kerja di Batu Maung.


“Saya terkejut kerana laluan ini saya gunakan setiap hari selepas habis kerja jam 7 malam. Saya bersyukur kerana semalam (Khamis) tidak bekerja, namun sedih kerana kejadian ini mengorbankan nyawa,” katanya ditemui di lokasi kejadian kelmarin.

Azira berkata, sejurus mengetahui berita kejadian itu dia bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kawasan itu dipenuhi orang ramai selain runtuhan besar.


Sementara itu, Azlan Hassan, 25, dari Sungai Nibong dekat sini, berkata, laluan itu berbahaya dan dia berhati-hati setiap kali melaluinya.


“Ketika memandu, saya perlu berhati-hati kerana laluan ini masih dalam pembinaan dan saya terkejut dengan kejadian ini... memang dahsyat,” katanya.

Sementara itu, sejak kejadian jam 7 malam Khamis lalu, kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai selain kira-kira 350 anggota pasukan bantuan kecemasan bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat.


Konkrit batu yang keras dan besar menyukarkan usaha mencari dan menyelamat dilakukan. Tiga kren digunakan, termasuk empat jek hidraulik yang boleh menampung berat sehingga 200 tan.

Dalam kejadian itu, rakyat tempatan, R Thilasheni, 24, cedera akibat terkena serpihan runtuhan pada bahagian tangan manakala rakannya, G Gajashaantini, 24, yang berada dalam kereta ketika kejadian tidak cedera.


Sementara itu, dua pekerja asing yang bekerja di tapak binaan itu ketika kejadian iaitu Slamat, 36, dari Indonesia dan Tin Maung Iwin, 39, dari Myanmar cedera dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dengan keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.


Mayat mangsa, Tajuddin Zainal Abidin, 45, yang ditemui dalam keadaan mukanya tersembam pada papan pemuka kereta Perodua Kelisa dipandunya, berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8.45 malam kelmarin, selepas lebih 20 jam usaha dilakukan.

Polis pandang serius jenayah babit ‘beach boy’


Georgetown: Polis memandang serius kes jenayah dan salah laku membabitkan budak pantai atau ‘beach boy’ di sekitar kawasan Pantai Batu Ferringhi, di sini, selain mengambil pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kes jenayah membabitkan salah laku budak pantai adalah rendah, namun siasatan tetap dilakukan jika ada laporan polis dibuat oleh pelancong, sama ada tempatan atau asing.


Beliau berkata, antara salah laku dilaporkan ialah kes pergaduhan membabitkan budak pantai dengan pelancong asing, terutama dari Asia Barat, selain pelancong tempatan serta kes penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis sentiasa memantau aktiviti budak pantai melalui rondaan dan pemeriksaan secara berperingkat-peringkat dalam menangani kes jenayah serta meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat.


“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah atau melakukan apa juga kes jenayah dan tindakan tegas akan diambil.


“Begitupun, kita tidak mahu menuding jari atau memandang rendah kepada mana-mana budak pantai sehingga masyarakat meletakkan budak pantai pada satu persepsi negatif dan buruk kerana tidak semua terjebak dengan jenayah, malah ada yang bebas dan bersih daripada salah laku jenayah,” katanya ketika ditemui.

Justeru, Gan meminta orang ramai, termasuk operator, memberi maklumat supaya kes jenayah bukan saja membabitkan budak pantai tetapi juga orang lain dapat ditangani segera.

Tak tahan derita diabetes


Teluk Intan: Tidak tahan azab derita akibat penyakit kencing manis ditanggung, seorang lelaki bertindak nekad mengelar pergelangan tangan, leher dan perutnya sendiri menggunakan pisau, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun mencederakan dirinya sendiri di rumah didiami di Jalan Hoo Seik Hong, di sini.


Difahamkan, mangsa berdepan penyakit kencing manis yang menyebabkan dia mengalami kesakitan melampau pada kedua-dua kaki sejak 20 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, lelaki terbabit yang juga pesara swasta melakukan perbuatan mengerikan itu ketika isteri dan ahli keluarga lain tiada di rumah.


Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai menggunakan pisau diperoleh di dapur untuk mengelar pergelangan tangan dan leher hingga cedera parah.

Padah angau isteri orang


Klang: Gara-gara bermain cinta dengan isteri orang yang juga warga Indonesia, seorang pekerja di tanah perkuburan berusia 48 tahun parah ditetak dengan parang oleh tiga lelaki di stor sebuah kawasan perkuburan di Meru, di sini, Rabu lalu.

Kejadian berlaku selepas suami wanita itu yang juga warga tempatan mengajak dua lelaki lain menyerang mangsa selepas mengetahui isterinya cuba dipikat lelaki berkenaan sejak beberapa minggu lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berehat dalam stor di situ bersama tiga wanita yang juga rakan sekerjanya dan terkejut apabila pintu bilik stor yang ditutup rapat dipecahkan kumpulan lelaki berkenaan.

“Sebaik membuka pintu, mangsa terus diserang dan ditetak bertubi-tubi oleh suspek yang naik minyak. Mangsa cuba mempertahankan diri namun gagal, menyebabkan dia melarikan diri kerana khuatir nyawanya terus diancam.


“Suasana di lokasi ketika itu gelap dan dikatakan mangsa serta rakannya tidak dapat mengecam wajah suspek, namun memaklumkan suspek menaiki kereta Proton berwarna merah yang diletakkan tidak jauh dari stor itu,” katanya.


Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa patah kedua-dua tangan serta kaki serta parah di kepala dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh, di mana keadaannya dilaporkan stabil.

Difahamkan, sejak dilamun angau dengan wanita seberang itu, mangsa yang tinggal di Meru dikatakan sudah dua bulan tidak menjenguk isteri dan keluarganya, malah sejak tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital dekat sini, tiada siapa menjenguknya.


Jani berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu ada kaitan dengan dendam terhadap mangsa yang disyaki menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita Indonesia yang memegang status isteri.

“Wanita itu dipercayai isteri seorang daripada suspek yang menyerang mangsa dan polis masih mencari wanita berkenaan bagi membantu siasatan selain mengambil keterangan semua saksi untuk tujuan itu,” katanya.

Saya hanya ingat mati


Kota Bharu: “Saya hanya ingat mati ketika itu sebelum mencedok air yang melimpah dalam bot sebelum ia tenggelam,” kata nelayan, Mamat Yusuf, 57, yang terselamat dalam kejadian bot karam di Pantai Kemayan, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu berlaku apabila bot dinaiki Mamat dikatakan mengalami kebocoran akibat terlebih muatan kerana membawa 60 tong berisi ikan gelama yang beratnya mencecah 3,000 kilogram (kg).


Menurut Mamat, sebaik tenggelam, dia sempat berpaut pada bot selama sejam sebelum diselamatkan oleh nelayan lain, Mohd Faizal Abdul Fatah, 28.

Katanya, ia kejadian pertama dan menakutkan buat dirinya yang menjadi nelayan sejak usia muda.


“Saya sebelum ini biasa pulang bersendirian menaiki bot untuk menghantar hasil tangkapan ke darat sementara rakan lain meneruskan kerja memukat ikan.


“Namun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus turun ke laut mencari rezeki kerana ia menjadi pekerjaan saya sejak dulu,” katanya.

Manakala Mohd Faizal pula berkata, dia secara kebetulan melihat kejadian itu apabila bersama dua adiknya dalam perjalanan untuk menangkap ikan di kawasan sekitar.


Katanya, dia terkejut apabila melihat tiga tong ikan terapung di kawasan terbabit.

“Kami berpatah balik dan cuba mengambil tong berkenaan sebelum menyedari limpahan minyak memenuhi permukaan kawasan berkenaan dan syak ada bot karam.


“Ketika sampai 1.5 batu daripada Pantai Kemayan, saya melihat seorang lelaki melambai-lambai ke arah kami sebanyak tiga kali.


“Apabila tiba, kami dapati dia semakin lemah selain tidak berpakaian dan membawanya ke Pengakalan Kemasin pada jam 1.30 petang,” katanya yang turut disertai dua adik, Mohd Fadli, 25, dan Mohd Firdaus, 10.