Search This Blog

Friday, June 7, 2013

Jambatan runtuh: Pasukan penyiasat bebas ditubuh



7 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Datuk Fadilah Yusof berkata punca sebenar insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang perlu segera dikenalpasti bagi mengelak berulangnya kejadian seumpamanya.

Beliau berkata sebuah pasukan penyiasat bebas terdiri kumpulan pakar akan diwujudkan untuk mengenal pasti sama ada runtuhan itu disebabkan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), kompetensi pekerja atau masalah lain.

"Kita kena kaji keseluruhan insiden untuk dijadikan rujukan jangka panjang. Kalau libatkan kelemahan daripada segi SOP maka kita kena cari jalan untuk tambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Fadilah berkata walaupun aspek keselamatan di tapak pembinaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia(DOSH), Kementerian Sumber Manusia, namun pihaknya masih perlu menjalankan siasatan memandangkan semua lebuh raya di negara ini dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah kementeriannya.

Ditanya mengenai kesan insiden tersebut kepada keseluruhan projek jambatan yang dijangka dibuka September depan, Fadilah berkata ia bergantung kepada hasil siasatan pasukan penyiasat yang ditubuhkan dan tindakan DOSH sendiri.

Semalam, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu runtuh pada kira-kira 6.40 petang. - Bernama

Kilang potong kereta musnah dijilat api



7 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Sebuah kilang memotong komponen kereta di Jalan Kuching di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku awal hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 6.23 pagi.
"Sebanyak 10 jentera bersama 63 anggota dari Balai Bomba Sentul, Balai Bomba Hartamas, Balai Bomba Jinjang, Balai Bomba Gombak Selatan, Balai Bomba Titiwangsa dan Balai Bomba Hang Tuah dihantar ke tempat kejadian.
Kebakaran itu dapat dikawal pukul 7.28 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu bangunan setinggi dua tingkat berkenaan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya menambah tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

Gelandangan terlepas tali gantung



7 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Seorang gelandangan berusia 25 tahun terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh seorang warga Myanmar, dua tahun lepas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Abdul Aziz Ibrahim.

Dalam penghakimannya, Amelia berkata kes pendakwaan bergantung terutamanya kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian iaitu di Restoran Shukran, Wisma Cahaya Suria, Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini.

Beliau berkata mahkamah tidak mengatakan dalam kes yang sesuai di mana rakaman CCTV jelas merakamkan perbuatan sesuatu kesalahan dilakukan dan identiti pelaku jelas dikenalpasti tetapi kes prima facie tidak boleh dibuktikan hanya semata-mata berdasarkan kepada rakaman CCTV.

"Mahkamah mendapati bahawa tanpa bukti rakaman CCTV itu, pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa tertuduh yang telah menyebabkan kematian si mati," kata Amelia.

Berikutan kegagalan itu, beliau berkata tidak ada keperluan bagi mahkamah mempertimbangkan sama ada perbuatan dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan kepada si mati dan sama ada kecederaan itu mencukupi dalam amalan biasa untuk menyebabkan kematian.

Amelia berkata pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan perakuan kepada bukti rakaman CCTV itu.

"Mahupun ada sebarang keterangan lisan dikemukakan daripada saksi pendakwa, juruteknik Zaidi Hanapi, untuk menunjukkan rakaman CCTV dihasilkan oleh komputer seperti dalam amalan penggunaan biasa," katanya.

Beliau berkata tanpa bukti rakaman CCTV itu, mahkamah juga tidak dapat menemui kes prima facie atas sebarang tuduhan yang lebih rendah.

Mohd Abdul Aziz, dari Kampung Tepi Laut, Menumbuk, Sabah,didakwa membunuh Bar Bar di restoran berkenaan, berdekatan Pudu Sentral pada pukul 12.40 pagi, 15 Okt, 2011.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, P. Viknesvaran manakala tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Hilmi.- Bernama

Mangsa runtuhan boleh dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini



7 Jun 2013
Penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh
Kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan sedang giat dijalankan. - Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN
GEORGETOWN - Pasukan mencari dan menyelamat dijangka dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.

"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba,Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.

"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan berkenaan.

Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja yang kelihatan.

"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan fizikalnya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini berbeza-beza.

"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya membuat laporan polis.

"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.

Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu  berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera termasuk kren seberat 300 tan.

"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya. - BERNAMA

Insiden Lahad Datu: Seorang lelaki berdepan hukuman mati



7 Jun 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
TAWAU - Seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lepas berdepan hukuman mati selepas dia didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
  
Totoh Hismullah dituduh melakukan kesalahan itu dari 9 Feb 2013 hingga 29 Mac 2013 di Kampung Simunul, Semporna, mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
  
Dia turut didakwa menurut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan boleh didenda.
  
Pendakwaan dilakukan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di hadapan Hakim P.Ravinthran yang bersidang di Penjara Tawau.
  
Dengan pertuduhan terbaru hari ini, jumlah individu yang dihadapkan ke mahkamah berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu kini menjadi 31 orang termasuk seorang anggota polis, KPL Hassan Ali Basri.
  
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding hari ini, Abdul Gani berkata kesemua tertuduh telahpun melantik peguam masing-masing kecuali seorang tertuduh yang akan diwakili peguam yang bakal dilantik mahkamah tidak lama lagi.
  
Abdul Gani berkata pihak pendakwaan juga mendapat persetujuan daripada mahkamah supaya kesemua kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada prosiding seterusnya termasuk sesi perbicaraan.
  
"Saya dah mengemukakan proposal (permohonan) secara bertulis kepada CJSS (Hakim Besar Sabah dan Sarawak) untuk semua kes ini dipindahkan ke Kota Kinabalu dan proposal saya sudahpun dipersetujui," katanya.
  
Katanya kesemua kes itu, kecuali kes KPL Hassan yang tarikh perbicaraannya sudah ditetapkan, akan disebut semula di Kota Kinabalu pada 27 Jun ini manakala perbicaraan KPL Hassan juga di Kota Kinabalu, akan bermula pada 24 Jun.
  
Sementara itu, James Tsai, peguam yang dilantik Kerajaan Filipina untuk mewakili rakyat negara itu yang berdepan tuduhan dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, berkata setakat ini mereka mewakili 24 tertuduh.
  
Tsai berkata permohonan Datuk N.Sivananthan untuk menyertai pasukan peguamnya yang bakal mewakili kesemua 24 tertuduh itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 12 Jun ini.
  
Katanya tertuduh yang belum diwakili peguam pula akan diwakili peguam yang dilantik mahkamah.
  
Antara peguam yang dilantik mahkamah dan hadir bagi mewakili anak guam masing-masing dalam prosiding hari ini ialah Syarulnizam Salleh, YS Lo Yun Sin dan Zakaria Ahmad dengan diketuai Ram Singh. Mereka mewakili Basad H Manuel.   

Ronny Cham pula mewakili Ismail Yasin manakala Abdul Gani Zelika mewakili Abd Hadi Mawan dan Atik Hussin Abu Bakar.   

Turut hadir ialah Peguam Rowiena Rasid yang mewakili tertuduh, Pabblo Alie. Rowiena dilantik keluarga Pabblo. - Bernama

Pengurusan risiko penting elak jambatan runtuh



7 Jun 2013
GEORGETOWN - Pengurusan risiko sesuatu projek perlu turut diteliti untuk mencegah kejadian seperti penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh   semalam.

Ini kerana runtuhan itu melibatkan risiko nyawa pengguna jalan raya di kawasan perindustrian Bayan Lepas iaitu sebuah laluan yang sibuk dengan ribuan   orang berulang  alik ke tempat kerja.

Kenapa laluan jalan raya itu tidak ditutup atau dilencongkan ke kawasan yang jauh dari tapak binaan dan kenapa orang awam yang harus mengambil risiko melalui  jalan di  bawah tapak konkrit jambatan itu dibina?

Pakar Kejuteraan dan Dekan Pusat Pengajian Kejuteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Ahmad Farhan Ahmad Sadullah  berkata setiap projek pembinaan seharusnya mengambil kira dan mengkaji secara mendalam pengurusan risiko yang melibatkan orang  awam, risiko pekerja dan  projek.

Katanya, terdapat tiga perkara utama  yang harus diteliti secara mendalam ketika melaksanakan sesuatu projek pembinaan iaitu aspek teknikal, aspek persekitaran dan  aspek pengurusan risiko.

"Dalam kejadian runtuhan di jambatan kedua itu, ia mungkin boleh dilihat dari aspek kelemahan pengurusan risiko tetapi saya tidak boleh mengulas lanjut selagi siasatan  belum bermula," kata Prof Ahmad Farhan.

Walau apa sekalipun punca runtuhan itu, perkara yang penting ialah keselamatan nyawa orang awam perlu diutamakan dan sebarang projek pembinaan tidak seharusnya  mengundang risiko yang  boleh meragut nyawa orang yang tiada kaitan dengan kerja-kerja pembinaan itu.

Pada kejadian malam tadi, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba dan menghempap sebuah kenderaan dan mangsa dalam kereta itu masih belum boleh dikeluarkan.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pasukan itu terpaksa menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

Setakat ini polis mengesahkan seorang wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, cedera akibat terkena serpihan runtuhan pada bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni yang sedang memandu, sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter, dari tempat kejadian.

Dua pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39, turut cedera dan dimasukkan ke Hospital Pulau  Pinang.

Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd Datuk Dr Ismail Mohamad Taib berkata kejadian runtuhan itu di luar jangkaan syarikat kerana projek itu telah melalui tiga fasa dan tidak pernah mengalami sebarang  masalah.

"Kerja pembinaan dihentikan sejak malam tadi dan saya tidak dapat memberitahu bila kerja akan bersambung kerana itu terpulang kepada pihak berkuasa," katanya.      

Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) Pulau Pinang berkata fokus utama siasatan jabatannya ialah menyiasat kerja struktur asas pembinaan tanjakan konkrit dan penyambung susur keluar itu jambatan itu di kawasan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Pengarahnya Mohd Anuar Embi berkata runtuhan itu boleh disebabkan oleh kelemahan dalam kerja-kerja struktur asas dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan.- Bernama

Jambatan runtuh: Polis sahkan temui satu mayat


Polis sah temui satu mayat di bawah timbunan runtuhan
Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Polis mengesahkan seorang mayat lelaki ditemui dalam keadaan terlangkup pada papan pemuka di dalam sebuah kereta jenis kelisa dalam runtuhan jalan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu sebentar tadi.

Pengesahan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Menurutnya, polis sedang menunggu waris mangsa ke lokasi kejadian untuk mengecam mayat mangsa berikutan keluarganya ada membuat laporan polis berhubung mangsa tidak pulang ke rumahnya sejak petang semalam.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang  (HPP) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pasukan penyelamat sedang memasang empat jek hidraulik untuk membuka ruang runtuhan bagi membolehkan mayat mangsa dikeluarkan.
"Jek hidraulik dipasang bagi memudahkan usaha mengeluarkan mayat mangsa kerana keretanya masih terhalang dengan sisa-sisa runtuhan konkrit dan besi.
Sebanyak empat jek hidraulik dipasang dan setiap satu mampu menampung sehingga 200 tan," katanya kepada pemberita.
Mohd Shoki berkata operasi mengeluarkan mayat agak lambat kerana memerlukan alatan dan mesin yang sesuai sambil menegaskan kerja mencari dan menyelamat dibuat mengikut prosedur.
"Setakat ini memang kita jumpa mayat seorang lelaki sahaja tetapi kita pasang jek hidraulik berkenaan bagi memudahkan kita menjalankan usaha mencari jika ada mangsa lain dalam runtuhan itu.
"Kepada soalan mengapa ia lambat (keluarkan mangsa), jawapannya ialah kerana kita menggunakan mesin dan jentera khas untuk keluarkan mangsa," katanya.

Pemilik kereta terperangkap runtuhan dikenal pasti



7 Jun 2013
GEORGETOWN - Polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap di dalam runtuhan akibat dihempap oleh tanjakan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung di sini sebagai Rohaizad Md Sofar.
Jurucakap polis berkata bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan sama ada Rohaizad, 43, yang beralamat di Sungai Dua, Gelugor di sini, adalah mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan itu.
"Kita meminta kerjasama semua pihak yang mengenali pemilik kenderaan itu untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti mangsa," katanya.
Mangsa bebagaimanapun lum dapat dikeluarkan lagi dari kereta itu dan kerja mengalih sisa tanjakan konkrit yang telah dipotong itu sedang giat dijalankan.
Semalam, runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung itu menghempap sebuah kereta dan seorang mangsa dipercayai terperangkap di dalam runtuhan itu.
Dalam kejadian itu, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba dan menghempap sebuah kenderaan.
Tiga orang iaitu dua pekerja asing dan seorang wanita tempatan cedera dalam kejadian itu.
Sementara itu, kerja mengangkat sisa runtuhan tanjakan konkrit yang dipotong sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat di kawasan kejadian.
Jurucakap bomba berkata runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalih dan mengangkut dilakukan.
Katanya setelah runtuhan tanjakan itu dialih, barulah bomba dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta akibat dihempap tanjakan konkrit itu.
Beliau berkata lebih 300 anggota pasukan yang terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu. - Bernama

Tanjak konkrit runtuh mungkin berpunca kegagalan struktur asas



7 Jun 2013
Jambatan runtuh: 4 dipercayai maut
Suasana sekitar lokasi kejadian di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang.
GEORGETOWN - Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menumpukan pada kegagalan kerja struktur asas yangdipercayai menjadi punca keruntuhan tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang semalam.
Pengarah Dosh Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata faktor utama kejadian itu mungkin akibat kegagalan kerja struktur asas.
"Saya tidak menolak kemungkinan lain tetapi siasatan awal kami adalah pada kerja-kerja asas struktur binaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak kejadian runtuhan di sini hari ini.
Katanya beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kurang penyelengaraan atau pemasangan struktur asas yang tidak betul.
"Semua ini perlu dilakukan mengikut amalan kejuruteraan yang baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Beliau berkata siasatan mungkin boleh berlarutan sehingga dua bulan bergantung kepada keadaannya yang rumit.
Semalam, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang  yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini runtuh pada kira-kira 6.40 petang.
Runtuhan itu membabitkan tanjakan konkrit dan besi penyambung di Pakej 3A iaitu di susur keluar dari jambatan itu ke lebuh raya di bahagian pulau.
Tiga orang cedera dalam kejadian itu, iaitu dua pekerja binaan Slamat, 36, dari Indonesia dan Tin Maung Iwin, 39, dari Myanmar dan wanita tempatan Thilasheni Rajendran, 24. - Bernama

Disangka abang, remaja dipukul 5 lelaki



7 Jun 2013
KUANTAN - Seorang remaja lelaki parah dibelasah lima lelaki di sebuah kedai makan di Teluk Chempedak, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kejadian berlaku kira-kira 2 pagi selepas mangsa berumur 18 tahun itu dan abangnya berumur 22 tahun dan seorang rakan perempuan selesai makan.

Ketika itu abang mangsa pergi ke tandas manakala rakan perempuan itu mengambil barang di kereta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku AmpuanDipercayai sasaran kumpulan lelaki itu adalah abang mangsa dan remaja itu disangka sasaran kerana mempunyai  fesyen rambut yang sama dengan abangnya, katanya dan menurutnya bagaimanapun motif kejadian sedang disiasat Afzan (HTAA)...kelima-lima suspek berhenti membelasah mangsa selepas menyedari mangsa bukan sasaran mereka," katanya.

Mohd Jasmani berkata polis sedang mengesan lima suspek terbabit. - Bernama

Jambatan runtuh: 2 pekerja asing stabil

jambatan runtuhPasukan Pertahanan Awam memeriksa runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung hari ini. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Dua pekerja asing yang terlibat dalam kejadian runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung dekat sini semalam masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Warganegara Myanmar Tin Maung Lwin, 39, dan warganegara Indonesia Slamat, 36, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan kecederaan mereka dilaporkan tidak serius.
Tin, yang cedera pada bahagian paha kanan, berkata ketika kejadian dia sedang melakukan kerja pembinaan di atas jambatan itu.
"Ketika itu saya sedang menuang simen sebelum runtuhan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di hospital hari ini.
Selamat, pula tidak boleh bercakap kerana mulutnya bengkak dan mengalami kecederaan bahagian muka dan dada.
Dalam kejadian 6.40 petang semalam, tiga orang cedera termasuk seorang wanita tempatan Thilasheni Rajendran, 24, akibat runtuhan itu di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Seorang lagi lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemui mati di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa kerana terperangkap di dalam runtuhan berkenaan. - Bernama

Culik tauke sebelum samun


Culik tauke sebelum samun
Anggota polis membuat siasatan di kedai pengurup wang berkenaan.
Culik tauke sebelum samun
Motosikal pengurus kedai yang ditinggalkan di tepi jalan.
JEMPOL - Lapan penjenayah bertopeng dan bersenjatakan melakukan modus operandi unik untuk menyamun kedai pengurup wang di pekan Bahau, apabila menculik pengurus dan pekerja di dua waktu berbeza, sebelum membawa mereka ke kedai terbabit.

Kejadian berlaku kira-kira 8.45 pagi kelmarin, pengurus kedai berusia 27 tahun itu pada mulanya menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari Taman T Juara, di sini untuk ke pergi kedainya seperti biasa.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, dalam perjalanan, motosikal mangsa dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Camry putih dinaiki lima lelaki bertopeng sehingga mangsa terjatuh.

“Kemudian dua suspek keluar daripada kereta dan menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan itu. Seorang daripada mereka menghunuskan parang pada leher mangsa, lalu mereka bergerak ke kedai pengurup wang tempat mangsa bekerja,” katanya.

Menurutnya, setiba di kedai tersebut, mangsa diminta keluar sementara seorang daripada suspek mengacukan pisau kecil di belakang dan mengarahkan mangsa membuka kedai berkenaan.

“Mangsa terus dipaksa membuka peti besi berisi wang pelbagai negara berjumlah kira-kira RM50,000 dan RM40,000 lagi merupakan wang ringgit Malaysia.
“Mangsa yang takut melihat suspek begitu gigih menyamun bertindak melawan, sebelum berlaku pergelutan dan akhirnya suspek mengeluarkan parang yang disembunyikan dalam seluarnya, seterusnya menghentak kepala mangsa menggunakan belakang parang, tersebut lalu pengsan," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam masa sama, dua lagi penjenayah daripada kumpulan sama menunggu seorang pekerja kedai di rumah pengurus terbabit keluar rumah untuk menculiknya.

"Pekerja kedai berusi 44 tahun itu tinggal bersama pengurus kedai tersebut, Sebaik saja keluar daripada pintu rumah, dua lelaki bertopeng menolak mangsa sehingga tersungkur,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menutup muka mangsa dan menyeretnya masuk ke dalam sebuah kereta jenis Toyota putih, di dalamnya seorang lagi suspek bertopeng menunggu.

Tukiman berkata, tidak lama selepas itu, mangsa dicampak keluar dari kereta kira-kira 10 meter dari kedai tersebut.

"Pekerja yang dibebaskan itu bergegas ke dalam kedai dan mendapati majikannya pengsan, lalu meminta bantuan daripada seorang penjual surat khabar berhampiran untuk dibawa ke Hospital Jempol," katanya.

Rugi RM5,000 dapur hangus


Rugi RM5,000 dapur hangus
Kak Sah mengutip barang dapur yang masih boleh diselamatkan.
PASIR MAS – Teruja kerana mahu ke Mundok Rantau Panjang, seorang peniaga kuih di Kampung Binjal Manis kerugian hampir RM5,000 apabila ruang dapurnya hangus dalam kebakaran, semalam.

Kejadian pada jam 10 pagi ini berlaku apabila, mangsa, Fatimah Daud, 62, terlupa untuk menutup api selepas memasak gula melaka.

“Kebiasaannya saya akan solat Dhuha, namun entah kenapa selepas diajak oleh anak saudara, saya terus bersetuju dan terlupa kerja yang dilakukan sebelum ini.

“Setibanya di Mundok, pihak berkuasa tidak membenarkan kami menyeberang, lalu pulang dan tidak singgah ke mana-mana,” katanya, semalam.

Fatimah yang juga dikenali Kak Sah berkata, ketika dalam perjalanan pulang, dia dihubungi anak saudara lelakinya.

Ketika itu katanya, dia teringat dapur gas yang tidak ditutup dan terus berdoa agar kebakaran tidak terlalu besar.

“Saya terus mengalunkan azan, membaca ayat al-Quran dan berdoa agar pihak bomba dapat menyelamatkan rumah saya.

“Semua yang berlaku memberi pengajaran kepada saya agar tidak cuai terutama sekali ketika memasak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Ruslan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera, kekuatan tujuh anggota.

“Hasil siasatan mendapati punca kebakaran adalah disebabkan kecuaian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Aktiviti jual ketum lumpuh


Aktiviti jual ketum lumpuh
Anggota polis menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas.
BALING - Dua lelaki yang giat menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum di sekitar daerah ini ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 155 bungkus air ketum dan satu periuk besar berisi daun ketum yang siap direbus dirampas dalam operasi pencegahan jenayah itu.

Lelaki berumur 20-an dan 50-an itu ditahan di dua tempat berasingan apabila seorang dari mereka ditahan di sebuah kebun manakala seorang lagi ditahan di dalam rumah di sebuah kampung di sini.

Kedua-dua suspek dipercayai giat menjual air ketum kepada penduduk di kawsan sekitar terutama kepada yang tinggal berhampiran kawasan kampung mereka.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, tangkapan kedua-dua lelaki terbabit berjaya melumpuhkan aktiviti penjualan air ketum di kawasan kampung berkenaan.

“Kita percaya masih ada yang melakukan aktiviti ini dan kita akan memastikan mereka yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Daud berkata, pihaknya menjalankan intipan selama beberapa hari selain hasil maklumat awam mengenai kegiatan lelaki terbabit.

“Sehubungan itu, satu serbuan dilakukan dan kedua-dua mereka ditahan. Seorang suspek cuba melarikan diri tetapi tindakannya itu berjaya dipatahkan oleh anggota polis,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit turut positif dadah dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi yang diketuai oleh Inspektor Mohamad Helmi Abdul Hamid itu disertai seramai tujuh anggota dari Cawangan Narkotik IPD Baling.

'Mu tengok-tengok, nak apa'


'Mu tengok-tengok, nak apa'
Mohd Lukman Nurhakim atau dikenali ‘Kemel’ mengaku bersalah telah menakutkan secara jenayah.
KUALA TERENGGANU - Tidak selesa apabila kerjanya yang sedang memotong rumput di tepi jalan diperhatikan rakan yang kebetulan melewati kawasan itu, seorang lelaki tergamak hendak memukul mangsa menggunakan penyodok.

Mohd Lukman Nurhakim Hamzah, 29, juga telah melanggar mangsa dengan keretanya, beberapa minit selepas itu.

Mangsa ketika itu sedang menunggang motosikal.

Majistret Noradila Ab Latiff menetapkan 9 Jun sebagai tarikh jatuh hukum sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan di Mahkamah Majistret.

Terdahulu, tertuduh yang dikenali sebagai ‘Kemel’ itu mengaku bersalah telah menakutkan secara jenayah iaitu dengan menggunakan sebatang penyodok dan melanggar motosikal mangsa, Supratman Yahya, 41, dengan keretanya.

Noradila membenarkan dia diikat jamin RM3,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu tarikh 9 Jun depan untuk menentukan nasibnya yang akan disebut di Mahkamah Majistret Setiu.

Kejadian berlaku apabila mangsa menunggang motosikal telah berselisih ‘Kemel’ di tepi jalan sedang memotong rumput.

Dalam perjalanan menghala balik, ‘Kemel’ yang tidak suka diperhatikan mangsa akibat dendam lama, telah naik angin dan mengeluarkan kata-kata ‘mu tengok-tengok, nak apa?’ sebelum bertindak mengambil penyodok hendak memukul mangsa.

Mangsa bernasib baik kerana rakan-rakan yang kebetulan berada dilokasi kejadian berjaya meleraikan tindakan itu.

Beberapa minit kemudian, ‘Kemel’ mengekori mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan sebuah kereta sebelum melanggar mangsa dari belakang.

Mangsa yang jatuh ke dalam cerun luka di badan dan menerima rawatan susulan di Hospital Setiu.

Buruh ditemui tergantung


Buruh ditemui tergantung
Mayat Alfian dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Melaka.
KLEBANG - Seorang buruh binaan ditemui mati tergantung dalam sebuah rumah berkembar yang masih dalam pembinaan di Taman Limbongan Indah, Limbongan, di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Alfian, 37, ditemui dalam keadaan tergantung menggunakan kabel wayar elektrik diikat pada bumbung oleh seorang pekerja pembinaan di situ, kira-kira 10.25 pagi.

Menurut sumber,  buruh binaan di tapak itu ditemui tergantung di tingkat atas rumah berkembar tiga tingkat berkenaan oleh pekerja lain ketika mahu memulakan kerja.

“Selain tergantung menggunakan kabel wayar elektrik diikat di bumbung, tangga juga dijumpai disandarkan pada dinding berhampi-ran mayat mangsa.

“Terkejut melihat keadaan itu, rakan sekerjanya kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak penyelia tapak pembinaan sebelum memaklumkannya kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Muhammad Koey Abdullah berkata, ketika ditemui mangsa berpakaian kemeja dan berkain sarung.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan tiada kesan pergelutan di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Arwah anak tinggalkan sesuatu untuk ibu


Arwah anak tinggalkan sesuatu untuk ibu
Saonah (depan, tengah) menerima cek pampasan daripada wakil Prudential.
SEREMBAN – Seorang ibu tidak menyangka anaknya tinggalkan sesuatu buat keluarga selepas meninggal dunia akibat sakit jantung ketika memandu ke tempat kerja, 25 Mac lalu.

Saonah Ahmad Juri, 55, terkejut apabila menerima pampasan insurans sebanyak RM36,429 hasil caruman anaknya, Allahyarham Noranizah Salim, 25, yang sememangnya tidak diketahui keluarga sebelum ini.

Jumlah termasuk khairat kematian berjumlah RM2,000 diterima daripada syarikat Prudential di Ibu Pejabat Prudential di Terminal 2, di sini.

Sainah tidak mampu menahan kesedihan setelah menerima wang pampasan tersebut, malah tidak menyangka anak bongsunya itu memiliki insurans hayat.

“Saya tidak sangka ketika hayat, arwah memiliki insurans berkenaan. Sebak hati saya untuk menerima wang pampasan ini.

“Bagaimanapun, kami bercadang menggunakan wang pampasan ini dengan sebaik-baiknya termasuk melaksanakan upah haji bagi pihaknya serta bersedekah dan kenduri,” katanya.

Saonah berkata, arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan ahli keluarga tidak menyangka Noranizah pergi dulu meninggalkan adik-beradik serta ahli keluarga yang lain.

“Kami sekeluarga amat terasa kehilangan arwah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Allahyarham Noranizah yang merupakan seorang Guru Tadika Kemas dari Felda Bukit Rokan Barat, Jempol meninggal dunia pada 25 Mac lalu, tidak jauh dari kediaman mereka.

Putus jari kaki akibat ditetak


Putus jari kaki akibat ditetak
Senjata yang diguna suspek dalam kejadian berkenaan.
MUAR - Seorang pekerja kafe siber di Jalan Bakri, dekat sini, nyaris maut apabila ditetak hingga putus ibu jari kaki kanan selepas diserang tiga lelaki bertopeng dalam kejadian pergaduhan 28 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tiga penjenayah itu bersenjatakan dua besi buku lima dan dua pucuk pistol tiruan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 17 tahun tidak bersekolah bersama dua lagi rakannya berusia 15 dan 20 tahun diserang secara mengejut di hadapan kafe siber itu kira-kira jam 1.45 pagi.

“Salah seorang suspek yang berusia 29 tahun sebelum itu bergelut dengan mangsa sebelum menetak sehingga putus ibu jari kaki mangsa berusia 17 tahun itu.

“Cubaan menyambung ibu jari kaki mangsa tidak berjaya kerana dilakukan enam jam selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Katanya, hasil daripada maklumat dan risikan, pihaknya telah berjaya menahan suspek berusia 29 tahun  di sebuah rumah di Bakri, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.

Katanya, turut dirampas semua senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kita sedang menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan untuk mengenal pasti motif serangan.

“Suspek direman sehingga Isnin ini, melalui ujian air kencing didapati dia bebas dadah juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Sahadan berkata, bagi kes menetak ibu jari disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan suspek boleh dipenjara 20 tahun.

“Manakala kesalahan memiliki senjata buku lima disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Bahaya yang boleh dipenjara selama tiga tahun.

“Sementara kesalahan memiliki senjata api tiruan pula disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan tidak kurang tiga sebatan,” katanya.

Jururawat rugi RM1,700


MUAR - Seorang jururawat sebuah hospital di daerah ini rugi RM1,700 selepas terpedaya dengan iklan jualan murah telefon bimbit jenis Iphone 5 dalam sebuah laman web di internet, Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran harga telefon itu yang jauh lebih murah berbanding harga asal, tanpa berfikir panjang telah memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang lelaki.

“Sebelum memasukkan wang itu, mangsa berusia 24 tahun ada menghubungi suspek dan dimaklumkan akan menerima telefon tersebut pada keesokan harinya.
“Malangnya, telefon itu masih tidak diterimanya seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Sahadan berkata, wanita itu berasa ditipu apabila usahanya untuk menghubungi suspek gagal, lalu membuat laporan di balai polis berhampiran.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan nama yang beralamat di Kuala Lumpur dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identitinya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu yang boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

20 rumah mangsa ribut


SKUDAI – Hujan lebat berserta angin kencang lewat petang kelmarin menyebabkan 20 buah rumah di beberapa kawasan perumahan mengalami kerosakan akibat bumbung diterbangkan.
Antara lokasi penduduk  yang terjejas ialah di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Taman Damai Jaya dan Flat Lima Kedai.

Menurut salah seorang mangsa, Liew Lai Cheong yang telah lebih 20 tahun menyewa di tingkat empat Flat Taman Ungku Tun Aminah, ia adalah kejadian kedua buatnya yang melibatkan kerugian RM5,000.

“Ketika kejadian saya seorang saja di rumah, saya dengar bunyi angin kuat dan saya jangka hanya tempias masuk. Apabila saya masuk bilik, lantai seperti banjir, perabot bilik tidur di kedua-dua bilik rosak.

“Saya tidak berdaya nak selamatkan apa-apa barang termasuk komputer anak lelaki saya. Saya telefon suami supaya pulang,” katanya yang tinggal tiga beranak di situ.

Jelasnya, kejadian yang hampir sama turut berlaku pada tahun 2004, yang merosakkan peralatan elektrik dan ruang tamunya kira-kira 9 tahun lalu.

Manakala bagi suri rumah, Wong Choy Yen, 48, terkejut melihat tingkap ketika hujan lebat jam 4 petang itu yang menerbangkan bumbung flat sekaligus menghempap kenderaan yang diletakkan di situ.

“Saya nampak bumbung melayang depan mata dan jatuh ke atas dua kenderaan. Ada bunyi kaca pecah yang kuat.

“Ketika itu saya berasa amat takut, saya tenteramkan anak-anak di rumah, sebaik saja reda saya lihat kenderaan jiran saya musnah.
“Saya serik, dan bercadang untuk berpindah ke kawasan lain, kerana kawasan ini kerap dilanda ribut,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti mangsa terlibat dan mendaftarkan nama mangsa untuk mendapatkan wang ihsan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami sarankan penghuni yang terlibat membuat laporan polis bagi tindakan bantuan.

“Bagi kawasan yang ada persatuan penduduk, semua kerosakan akan dibaiki menerusi duit bulanan yang dibayar dan kita harap pembaikan bumbung ini akan diselesaikan dalam tempoh dua hari,” katanya.

Penyamun acu pistol di kepala


Penyamun acu pistol di kepala
Mangsa dikatakan meletakkan kenderaannya di kawasan ini sebelum didatangi empat individu yang melakukan samun.
IPOH – Suasana tenang di sebuah restoran di Jalan Jalan Bijih Timah, Pekan Lama, di sini, semalam bertukar cemas apabila didatangi empat individu yang bertindak mengacukan pistol kepada salah seorang pelanggan restoran berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua daripada empat lelaki berkenaan dikatakan menyerbu restoran itu sebelum mendekati seorang lelaki sedang minum yang dipercayai pemborong emas.

Sumber memaklumkan, kumpulan lelaki berkenaan mengacukan pistol ke kepala mangsa dan meminta mangsa menyerahkan kunci kereta yang diletakkan di hadapan restoran itu.

Mangsa yang enggan menyerahkan kunci berkenaan terpaksa akur apabila penjenayah berkenaan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan bahagian belakang pistol.

“Suspek kemudiannya bertindak membuka bonet kereta mangsa dan membawa lari beg yang berisi wang tunai dan barang kemas.

“Dua daripada mereka dipercayai datang ke restoran berkenaan menggunakan motosikal, namun melarikan diri menggunakan kereta berikutan penemuan motosikal di Kampung Palong,” katanya.

Siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran motosikal mendapati, ianya nombor pendaftaran palsu, kerugian dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan penemuan motosikal berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali memaklumkan, dua lelaki mengeluarkan tiga beg yang dipercayai terdapat sejumlah emas sebelum melarikan diri bersama dua lagi penjenayah yang menunggu di luar.

“Pada masa itu saya sedang sibuk dan terkejut secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke kedai dan menyerang seorang pelanggan saya.

“Salah seorang daripadanya mengeluarkan pistol dan mengacu kepada mangsa hingga mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari,” katanya.
Saksi kejadian, N Sitiavani, 32, berkata, insiden itu nyata mengejutkan ramai orang termasuk dirinya yang baru sahaja berniaga di restoran berkenaan empat hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang sibuk menyediakan makanan kepada pelanggan dan keadaan menjadi cemas apabila orang ramai menjerit setelah melihat lelaki itu mengeluarkan pistol.

“Saya terperanjat apabila orang ramai bertempiaran lari dan ketika saya menoleh saya nampak penjenayah sedang mengacukan pistol ke kepala mangsa dan saya juga bertindak melarikan diri selepas panik dengan situasi berkenaan.

“Saya hanya mampu melihat dari jauh, rompakan itu dilakukan dalam tempoh tak sampai lima minit sebelum keempat-empat penjenayah berkenaan melarikan diri bersama beg berisi barang kemas,” katanya lagi.

Maut ketika ambil madu


Maut ketika ambil madu
Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Labis sebelum dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat.
LABIS - Seorang pemungut madu lebah maut apabila terjatuh dari pokok di kawasan hutan Hulu Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Amran Kangkong, 28, maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah terjatuh pada ketinggian 50 kaki dari pokok yang dipanjatnya dalam kejadian jam 11 malam.

Mangsa yang tinggal di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh difahamkan bertolak ke hutan tersebut bersama 14 rakannya pada jam 11 pagi dan berhenti rehat seketika pada jam 6 petang.

Menurut rakan mangsa, Hamzah Silam, 32, selepas berehat, dia dan rakan-rakannya yang lain meneruskan perjalanan jam 9 malam sebelum sampai ke lokasi yang dituju.

“Bila sampai saja ke pokok tersebut, kami terus panjat dan arwah adalah orang yang ketiga memanjat pokok itu yang menempatkan 27 sarang lebah.

“Kami memanjat melalui kayu yang telah dipaku pada pokok besar itu dan kami akan menggunakan rotan ketika memanjat,” katanya.

Katanya, ketika berada pada ketinggian 50 kaki dari tanah, rotan yang mengikat kayu pada pokok tersebut putus dan menyebabkan kayu yang menjadi tempat memijak arwah patah mengakibatkannya terjatuh serta merta.

“Akibat terkejut dengan kejadian itu, kami semua terus turun dari pokok. Tiga orang daripada kami keluar dapatkan bantuan sementara yang lain usung mayat arwah untuk dibawa keluar,” katanya.

Hamzah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, tambahan pula keadaan sekitar yang gelap menyebabkannya tidak nampak dengan jelas peristiwa yang berlaku.

“Apa yang pasti rotan dan kayu yang menjadi tempat arwah berpaut telah patah. Saya dan rakan-rakan ambil masa hampir enam jam untuk mengeluarkannya.

“Selepas ini mungkin kami akan berhenti sementara melakukan pekerjaan ini kerana masing-masing sedih dan trauma,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Noraini, 36, berkata, dia terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengan adiknya kerana tinggal di Muar.

“Kali terakhir saya berjumpanya dua minggu lalu ketika pulang ke kampung dan ketika itu tidak ada sebarang perubahan ditunjuknya.

“Cuma ketika itu dia sangat mesra dengan anak-anak saya dan anak saudaranya yang lain kerana sebelum ini arwah biasa-biasa saja dengan mereka,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat setelah laporan dibuat di Balai Polis Labis.

Usaha membawa keluar mangsa mengambil masa enam jam berjalan kaki berikutan tiada kenderaan yang boleh masuk ke kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian.