Search This Blog

Thursday, June 6, 2013

Kecurian kabel berleluasa


Kecurian kabel berleluasa
Chong Siang (kiri) dan Chiak Fong menunjukkan kabel elektirik yang dipasang TNB telah dicuri segelintir remaja yang tidak bertanggungjawab, di Perumahan Taman Tas Ria.
KUANTAN - Kontraktor perumahan Taman Tas Ria, dekat sini, bimbang kegiatan kecurian kabel akan terus berleluasa di kawasan tersebut jika tidak dibendung sekali gus melewatkan proses penyerahan kunci kepada pembeli menjelang akhir Jun ini.

Kontraktor, Kong Chiak Fong, 37, berkata, kebimbangan semakin ketara memandangkan akibat perbuatan curi kabel dan khianat, syarikatnya menanggung kerugian berlipat kali ganda.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Tenaga Nasional Berhad Kuantan (TNB) tidak mengenakan bayaran namun jika pemasangan semula dilakukan bayaran tambahan akan ditanggung sendiri kontraktor.

“Sebelum ini sekumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab ini hanya giat mencuri besi-besi, mesin dan kelengkapan binaan sahaja di kawasan ini.

“Namun apabila perumahan ini sudah hampir siap, mereka mula beralih kepada mencuri kabel elektrik yang boleh dijual untuk mendapat keuntungan dengan cara mudah.

“Kami mula sedar kehilangan kabel ini berlaku pada pagi ini (semalam) ketika kerja-kerja pembinaan di sambung semula dan setelah dikenal pasti kira-kira tujuh buah rumah sudah direntap wayar kabel daripada baki 23 buah lagi,” katanya ketika lawatan Adun Teruntum, Sim Chong Siang, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, sehingga tempoh enam bulan pembinaannya laporan polis telah dilakukan sebanyak enam kali namun tiada perkembangan positif.
“Namun sehingga kini, tidak nampak sebarang perubahan dan tangkapan yang dibuat terhadap remaja-remaja tersebut.

“Sekiranya perkara ini masih berlaku dalam tempoh terdekat ini, pembinaan akan tertangguh lagi dan tempoh untuk menyiapkannya perlu ditambah lagi.

“Dengan itu, saya mohon agar pihak polis sentiasa membuat rondaan di kawasan ini dan saya cuba juga untuk mendapatkan khidmat SRS dalam usaha membantu pihak polis memantau keadaan di sini,” katanya.

Sementara itu, Chong Siang berkata, pihaknya akan membantu kontraktor terbabit menemui polis yang menjaga kawasan ini agar disegerakan rondaan dan tindakan terhadap laporan polis yang telah dilakukan sebelum ini.
“Bagi saya kejadian seperti ini tidak boleh diabaikan dan sebagai Adun seharusnya ada masa untuk menyelesaikan masalah seumpama ini,” katanya.

Chong Siang (kiri) dan Chiak Fong menunjukkan kabel elektirik yang dipasang TNB telah dicuri segelintir remaja yang tidak bertanggungjawab, di Perumahan Taman Tas Ria, dekat sini, semalam.

Nyaris maut waktu tidur


Nyaris maut waktu tidur
Siti Normah (kiri) dan Sofri (kanan) menunjukkan bumbung hadapan rumahnya yang rosak akibat dihempap sebatang pokok rambutan.
PONTIAN - Lima beranak nyaris maut selepas kediaman mereka di Kampung Simpang Kiri Permas, dekat sini, dihempap pokok rambutan yang tumbang akibat ditiup angin kencang, awal pagi semalam.

Mangsa, Siti Normah Muin, 43, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, dia bersama suami, Zakaria Kasim, 45, dan anak mereka sedang lena tidur di ruang tamu rumah.

“Mujur saya terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi tiupan angin yang cukup menggerunkan.

“Tidak lama selepas itu, bunyi ranting-ranting pokok mula gugur kedengaran dan tidak lama kemudian pokok rambutan sudah menghempap bahagian depan rumah,” katanya.

Sejurus kejadian itu Siti Normah berkata, dia juga sempat mengejutkan anak-anak dan adiknya, Sofri Faizal Muin yang tidur di dalam bilik supaya segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu hanya ALLAH saja yang tahu perasaan kami semua, kami sempat keluar dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) datang membantu memotong dan membersihkan pokok rambutan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Adun Kukup, Suhaimi Yusof berkata, pihaknya akan memberi bantuan zink bagi meringankan beban keluarga terbabit selain cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya diberitahu bahawa mangsa telah memohon mendapatkan bantuan rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) sebelum ini.

“Semakan akan dilakukan dan sekiranya memang mereka sudah buat permohonan, pihak berkaitan diharap dapat mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya.

Pekerja premis pengurusan mayat dibunuh



6 Jun 2013
KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di sebuah premis pengurusan mayat di Jalan Mat Kilau, dekat sini, hari ini.

Mayat Mg Pin Hling, 41, ditemui oleh seorang pekerja lain ketika dia tiba untuk bekerja pada pukul 7 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff kepada pemberita, di sini.

"Rakan setugas mangsa itu pergi ke bilik tidur mangsa dengan niat mahu mengejutkan mangsa sebelum melihat kesan darah di lantai berhampiran bilik berkenaan.

"Selepas membuka pintu bilik, rakan setugasnya itu melihat mangsa dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah," katanya.

Mohd Jasmani berkata kejadian itu dipercayai berlaku pukul 12 tengah malam tadi ketika mangsa sedang tidur.

Menurutnya polis kini memburu tiga suspek warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa berusia 19, 26 dan 28 tahun.

"Polis percayai kes itu bermotifkan dendam kerana mangsa dibunuh ketika sedang tidur, tiada berlaku sebarang kesan pergelutan," katanya.- Bernama

Tukang cat dituduh bunuh ibu kandung



6 Jun 2013
KAJANG - Seorang tukang cat bangunan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibunya dua minggu lepas.

Chai Kim Tham, 42, mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibaca kepadanya di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, tetapi tidak membuat sebarang pengakuan.  

Mahkamah menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Chai dituduh membunuh Liew Kim Thai, 59, di sebuah rumah di Kampung Baru Semenyih, Kajang di sini pada pukul 12.44 tengah malam 25 Mei, mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah manakala Chai tidak diwakili peguam.

Menurut laporan, mangsa meninggal dunia kerana dipukul selepas berlaku pertengkaran tentang penggunaan pendingin hawa, di rumah berkenaan.- Bernama

Melutut mohon dilepaskan


Melutut mohon dilepaskan
Pam di stesen minyak turut disita.
PASIR MAS – Seorang lelaki melutut dan merayu agar pihak penguat kuasa tidak menahannya, di atas kesalahan mengisi diesel melebihi had dibenarkan kerajaan, semalam.

Suspek yang juga warganegara Thailand berusia 30-an menggunakan van ‘pick up’ untuk mengisi minyak beberapa kali di stesen sama.
Bayar dulu isi kemudian

Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Sharuddin Jali berkata, pihaknya mendapati penjenayah melakukan kesalahan menerusi modus operandi bayar dulu, isi kemudian.

“Suspek meletakkan wang sebanyak RM150 di kaunter stesen minyak dan mengisi maksimum 20 liter.
“Mereka akan kembali semula ke stesen minyak sama dan mengisi semula minyak beberapa kali sehari,” katanya.

Beliau berkata, ini menyebabkan mereka mempunyai resit pembelian yang banyak, namun kelihatan tidak melakukan sebarang kesalahan kerana mengisi had maksimum yang dibenarkan kerajaan.
Sharuddin percaya, taktik ini dilakukan bagi mengaburi kesalahan dilakukan dan mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

“Lelaki warga Thailand ini ditahan reman dan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala kenderaan yang dipandu akan disita.

“Sekiranya sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan kompaun maksimum RM15,000, namun bergantung kepada keputusan mahkamah kelak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada wujud kes rasuah, pakatan atau ugutan di antara suspek dengan pihak stesen minyak.

Lima ditahan termasuk wanita

Sharuddin berkata, sepanjang bulan Mei lalu, pihaknya berjaya menahan lima suspek warga Thailand termasuk seorang wanita.

Menurutnya, mereka didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen yang sama kerana menyeludup bahan api petrol dan diesel sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas.

“Eksibit berupa empat motosikal disita manakala sebuah Toyota Hilux dikembalikan, namun deposit jualan dilucutkan hak.

“Kesemua suspek dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 seorang,” katanya.

Seludup minyak dan gandum

Pada 26 Mei lalu, dalam operasi berasingan, satu tindakan kes dibuat melibatkan kes penyeludupan gandum di Rantau Panjang.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah seksyen yang sama, kerana membawa barang kawalan dalam kuantiti yang banyak, dipercayai untuk tujuan penyeludupan.

“Suspek didenda sebanyak RM5,000 manakala van ‘pick up’ Mitsubishi Triton dikembalikan, sementara hasil jualan dilucutkan hak.

“Jumlah keseluruhan denda yang dikenakan kesemua tertuduh pada bulan Mei sahaja, mencecah sehingga RM34,000,” katanya.

Tonto salur maklumat awal

Sharuddin turut mengulas, kegagalan operasi terdahulu berkemungkinan disebabkan kegiatan risikan oleh tonto.

Bagi menguatkan lagi aspek penguatkuasaan, beliau berkata KPDNKK mendapat kerjasama baik daripada Kerajaan Thailand.

“Hasilnya, sehingga April tahun ini, sebanyak 52 kes dikesan berbanding 371 kes tahun lalu,” katanya.

Hasil pemerhatian katanya, KPDNKK mendapati kebanyakan masyarakat membawa barang kawalan dalam kuantiti yang sedikit.

Namun, pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dan tidak teragak-agak untuk menahan pelaku yang didapati melakukan kesalahan.

Maut di tapak pembinaan


Maut di tapak pembinaan
Lokasi tapak pembinaan tempat dua buruh binaan dihempap papan acuan konkrit menyebabkan salah seorang dari mereka meninggal dunia.
KULAIJAYA – Perjalanan enam buruh binaan untuk makan tengah hari bertukar tragedi  apabila salah seorang daripadanya maut dihempap papan acuan konkrit di tapak pembinaan sebuah kolej di Jalan Kulai-Kota Tinggi, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, buruh binaan warga Indonesia itu meninggal dunia, manakala rakannya cedera parah pada bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hang Seng berkata, sebelum kejadian jam 12.20 tengah hari itu, enam buruh berkenaan membuka papan acuan konkrit pada tingkat atas bangunan yang dipasang sejak sebulan lalu.

“Sebaik sahaja selesai membuka papan acuan konkrit itu, kesemua mereka turun ke tingkat bawah bangunan menggunakan tangga untuk berehat.

“Bagaimanapun, papan acuan konkrit yang dibuka secara tiba-tiba terjatuh ke bawah dan menghempap dua daripada buruh berkenaan ketika mereka sedang berjalan menuju ke kantin,” katanya kepads Sinar Harian  ketika dihubungi, di sini semalam.

Hang Seng berkata, kejadian itu menyebabkan salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Musa, 30-an, meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi buruh dikenali sebagai Buradi mengalami cedera parah.

“Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Herman, 40, berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati dua rakannya dihempap papan acuan konkrit berkenaan.

“Ketika itu sebahagian daripada kami sedang berhenti untuk rehat makan tengah hari.

"Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat.

“Kami segera ke tempat kejadian dan ada yang cuba membantu mangsa yang terhempap papan acuan konkrit berkenaan,” katanya.

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai sebagai kematian mengejut.

Ampaian jadi penyelamat


Ampaian jadi penyelamat
Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha menyelamatkan wanita itu.
BENTONG – Penduduk di perumahan Taman Gemilang gempar apabila seorang wanita warga asing dikatakan cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima blok Fajar Dua dekat sini petang semalam.

Wanita berusia 26 tahun itu dikatakan cuba untuk terjun dari tingkat lima blok itu kira-kira jam 2.00 petang semalam namun dia tersangkut di ampaian sebuah rumah di tingkat empat.

Kemudian dia duduk di koridor rumah tingkat empat itu tanpa menghiraukan penduduk yang memintanya agar turun. Namun kecekapan pasukan keselamatan terdiri dari polis dan bomba berjaya memujuk  wanita itu.

Pegawai Operasi Bomba, Zulkepli Johari berkata, pihaknya dengan kekuatan empat orang anggota dengan bantuan polis menjalankan operasi menyelamat selepas menerima panggilan telefon.

Katanya, operasi mengambil masa lebih kurang satu jam untuk menyelamatkan mangsa dari terjun dan wanita itu berjaya diselamatkan kira-kira jam 5.30 petang.

“Kesukaran berlaku apabila kedua-dua rumah di tingkat empat berhampiran mangsa tidak berpenghuni menyebabkan kami terpaksa turun dari tingkat lima ke koridor tingkat empat,” katanya.

Wanita itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bentong untuk siasatan lanjut.

Dua kereta sama pendaftaran


Plate sama
Anggota trafik membawa kenderaan curi (kiri) ke balai polis untuk siasatan lanjut.
KULIM - Tiga anggota Trafik yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah menemui kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di belakang bangunan di kawasan Perindustrian
Taman Manggis kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya membuat semakan terhadap nombor pendaftaran kereta terlibat dan mendapati pemilik kenderaan itu tinggal di Kulim.

Menurutnya, namun dari siasatan dijalankan, pemiliknya terkejut dan menyatakan keretanya berada di rumah.

"Curiga dengan kenyataan dibuat pemilik, polis membuat pemeriksaan terhadap kereta itu semula dan mengarahkan pemilik kereta membawa kereta dimilikinya ke Balai Trafik Kulim untuk membuat laporan.

“Polis membuat pemeriksaan terhadap kereta itu dan mendapati ia tidak berkunci dan dari semakan nombor enjin dan casis mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 24 April 2013," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, kereta itu kemudiannya ditunda ke Balai Trafik Kulim sebelum memaklumkan penemuan kereta itu kepada Balai Polis Sungai Nibong serta pemilik asalnya.

"Saya meminta orang ramai membuat laporan kepada mana-mana balai polis sekiranya ada berjumpa dengan sebarang kenderaan atau kejadian jenayah kepada polis.

"Dengan cara ini, pemeriksaan dapat dijalankan dan kita boleh mengesahkan status kenderaan itu dicuri atau sebaliknya,” katanya.

Rakan niaga pembelit


Rakan niaga pembelit
Amal Hayati menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen palsu yang ditandatanganinya sebagai pemegang syer.
BATU PAHAT - Akibat terlalu mempercayai rakan niaga,  seorang usahawan kerugian hampir RM150,000 dan terpaksa bermula semula dari bawah sedangkan  rakan niaganya itu kini boleh dianggap  peniaga berjaya di Bandar Baru Ayer Hitam, di sini.

Amal Hayati Majid (bukan nama sebenar), 30, berkata, dalam masa dua tahun menjalankan perniagaan bersama rakan niaganya itu, satu sen keuntungan syarikat tidak pernah dijamahnya dengan alasan belum ada untung dan perlu mengutamakan gaji pekerja.

Menurutnya, seperti dipukau, dia menurut kehendak rakan niaga itu dengan mengeluarkan modal untuk produk yang mereka hasilkan iaitu makanan sejuk beku selain memberikan ilmu dan peralatan dimilikinya.

Jelasnya, dia mengusahakan makanan sejuk beku sendirian sejak 2005 dan rakan niaga itu mempelawanya menjadi rakan kongsi atas dasar untuk membesarkan lagi perniagaan pada 2011.

“Saya tidak sangka perkenalan dengannya adalah detik hitam kerana ditipu secara halus tanpa disedari. Namun, setelah setahun setengah menjadi rakan niaganya, saya mula mengesyaki sesuatu.

“Sebagai pemegang syer ketiga syarikat berkenaan, saya berhak mengetahui perkembangan syarikat, tetapi setiap kali saya bertanya perkara berkenaan syarikat, dia seolah-olah mengelak kecuali menjelaskan berkaitan bahagian pemasaran,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Amal Hayati berkata, rakan niaga itu juga berjaya memperdayakannya menandatangani beberapa dokumen palsu tanpa diketahui, sebagai perjanjian.

Menurutnya, sebagai persetujuan menjadi pemegang syer, dia telah menandatangani perjanjian tersebut yang disediakan sebuah syarikat konsultan berdaftar.

Tambahnya, bagaimanapun, sejak 2011 hingga sekarang, dia tidak menerima sebarang bayaran, gaji atau pulangan modal.

“Curiga dengan situasi yang berlaku, saya membuat pemeriksaan semula terhadap dokumen perjanjian dan status syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat berkenaan didaftar atas nama individu sekaligus bukan berstatus Sdn. Bhd. seperti yang tertera dalam perjanjian,” katanya.

Amal Hayati berkata, pemeriksaan lanjut yang dibuat juga mendapati semua dokumen perjanjian yang ditandatangani adalah palsu dan hanya berperanan untuk mengaburi matanya sebagai pemegang syer.

Dakwanya, selain tidak mendapat bayaran daripada syarikat itu, dia juga terpaksa membayar hutang syarikat dengan sebuah bank kerana ditipu sebagai pemegang syer.

Susulan kejadian itu, Amal Hayati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi tindakan selanjutnya.

Mahkamah lanjut ikat jamin


KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen hari ini melanjutkan ikat jamin pengurus restoran yang dituduh merogol dan kemudian mengahwini mangsanya yang di bawah umur.

Hakim Ummu Khatom Abd Samad berkata ikat jamin itu dilanjutkan sehingga kes diselesaikan.
Peguam Kanan Persekutuan Jamil Ariffin berkata tertuduh dibebaskan dengan ikan jamin RM8,000 yang berakhir hari ini.

Ummu Khatom berkata perbicaraan kes itu akan dijalankan pada 1 hingga 4 Julai dan menetapkan 20 Jun untuk pengurusan kes.


Riduan Masmud, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas.


Pada 21 Mei lepas, Mahkamah diberitahu bahawa Riduan telah mengahwini gadis bawah umur itu.

Loretto J Padua mewakili tertuduh yang hadir dengan isteri pertamanya sementara mangsa tidak hadir.

Peguam Datuk Mariati Robert menjadi pemerhati bagi Persatuan Undang-undang Sabah. - Bernama

Letak pistol dalam pam tandas


Alor Setar: Tanda tanya kelibat mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penemuan sepucuk pistol automatik jenis Styr dalam sebuah beg yang diletakkan di dalam pam tandas Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, bersama satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup, kelmarin.

Kejadian pada jam 6.25 petang itu disedari seorang pekerja tol berkenaan apabila melihat seorang lelaki memasuki tandas terbabit sebelum bergegas keluar tidak lama kemudian.


Difahamkan, pekerja berkenaan yang curiga bertindak memeriksa sebelum menemui beg mengandungi sepucuk pistol ditinggalkan di dalam tandas, lalu membuat laporan polis.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk memeriksa beg serta pistol itu.


“Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada senjata api itu digunakan dalam kes rompakan kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai (kelmarin) yang turut mencederakan seorang pegawai polis yang kebetulan melalui lokasi kejadian.


“Berdasarkan siasatan awal, kelongsong peluru dijumpai di lokasi rompakan berkenaan adalah peluru 9mm dan sepadan dengan pistol ditemui di dalam tandas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Posmen hantar surat disamun


Kuantan: Seorang posmen yang dalam perjalanan menghantar surat terpaksa berdepan saat mendebarkan apabila leher dan kepalanya diacu sebilah pedang samurai dan sepucuk pistol oleh dua penyamun di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, dekat si sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 24 tahun itu tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyerahkan wang tunai RM500 yang ada dalam dompetnya kepada kedua-dua lelaki terbabit.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Aziz Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dan sedang dalam perjalanan hendak menghantar surat, dipintas dua suspek terbabit yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

Menurutnya, mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan sebelum dihampiri dua lelaki itu yang keluar daripada kenderaan sambil masing-masing memegang sebilah pedang dan sepucuk pistol.

Bahana tong gas meletup


Kajang: “Sayu hati saya melihat rakaman video terakhir arwah bersama isteri dan empat anaknya sebelum datang ke Kuala Lumpur (KL) untuk bekerja di restoran itu,” kata Mariam Harun, 46, ibu saudara Mohd Fauzi Harun, 33, yang meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa akibat melecur 88 peratus terkena letupan gas.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari Jumaat lalu itu, mangsa yang juga bekas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat naik ke tingkat dua restoran tempatnya bekerja di hadapan Plaza Low Yat, di sini, untuk memeriksa kebocoran gas yang dimaklumkan pekerja lain sebelum itu apabila tiba-tiba tong yang hendak diperiksa meletup dan terbakar.


Difahamkan, Fauzi pernah berkhidmat di Balai Bomba Chow Kit lebih 10 tahun sebelum berhenti kerja dan bekerja pula di sebuah pasar raya. Mangsa juga hanya sempat bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan di restoran berkenaan empat hari sebelum kejadian itu.

Fauzi yang tinggal bersama Mariam dan neneknya sejak lebih 30 tahun lalu di Batu 13 3/4 Hulu Langat, di sini, disahkan meninggal dunia jam 9 malam kelmarin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Beliau berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anak saudaranya itu petang Jumaat lalu oleh isteri arwah yang terlebih dulu menerima panggilan daripada pihak hospital.


Mariam melihat keadaan Fauzi dan menyifatkan keadaannya sangat menyayat hati apabila hampir keseluruhan tubuh termasuk mukanya melecur teruk.

“Menurut rakan sekerja arwah, sebelum kejadian, pihak pembekal tong gas menghantar enam tong di restoran itu. Namun, pekerja mengesan ada kebocoran pada salah satu tong itu dan memaklumkan kepada pengurus restoran.


“Mangsa meluru naik untuk memeriksa kebocoran gas berkenaan. Namun, secara tiba-tiba berlaku letupan sebelum pekerja dan pelanggan restoran melihat mangsa berlari turun dalam keadaan badannya sudah hitam kerana melecur,” katanya ketika ditemui semalam.

31 Pati dicekup di Felda Chuping

Foto
PADANG BESAR: Seramai 31 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Myammar, India dan Bangladesh dicekup Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping, kira-kira jam 3.30 pagi tadi di belakang sebuah kandang kuda di Felda Chuping, di sini.
Kesemua mereka yang berusia dua hingga 60 tahun itu terdiri daripada enam lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki India. 
Selain itu kumpulan berkenaan juga terdiri daripada 16 lelaki, seorang kanak-kanak perempuan dan tujuh perempuan warga Myammar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Peneroka maut kereta bertembung van


KUANTAN: Seorang peneroka maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya bertembung dengan sebuah van di Km 42 Jalan Maran-Bandar Jengka-Jerantut dekat Maran semalam.

Zainuddin Ahmad, 61, dari Felda Jengka 6, Bandar Jengka meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam nahas 7 pagi itu mangsa dipercayai dari arah Maran menuju ke bandar Jengka.

"Di tempat kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan van terbabit.


"Peneroka itu meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan sementara pemandu van, Ali Awang, 58, dan anaknya, Ahmad Azul Naziem, 11, hanya cedera ringan," katanya di sini hari ini.


Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Bomoh import ‘pujuk’ sungai

Foto
BOMOH Siam yang diterbangkan dari Thailand melakukan persiapan bagi upacara memujuk semangat sungai.
Belaga: Operasi mengapungkan bangkai bot ekspres Kawan Mas yang karam di Tanjung Giam, Bungan di sini, yang masuk hari kesembilan semalam, turut menggunakan khidmat tiga sami Buddha yang diterbangkan dari Thailand untuk memujuk semangat sungai.
Ketiga-tiga sami berkenaan tiba ke lokasi kejadian Isnin lalu bersama ‘wang neraka’ bernilai 3 juta bagi melakukan upacara spritual sebagai alternatif melancarkan usaha mengapungkan bot ekspres yang karam pada 28 Mei lalu itu.
Khidmat sami Phra Maha Songsak, 69, Phra Maha Lamphua, 44, dan Phra Maha Precha, 41, dari, Bangkok, Thailand itu yang juga bomoh hujan juga digunakan untuk membuat upacara bagi membolehkan paras air surut agar memudahkan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa Roslin Jati, 34, dan Maurice Ajan, 22, yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu.

Upacara bermula pada jam 11 pagi yang diketuai Songsak itu bertujuan meminta bantuan Tuhan Sungai dan Bukit untuk membantu memudahkan bot malang itu diapungkan.


Dalam pada itu, paras air surut sejak malam kelmarin berikutan empangan Bakun ditutup selain tiada hujan di Belaga membolehkan operasi mengesan kedudukan bot untuk memasang pelampung.

Rintihan bawah treler

Foto
BASIKAL Muhammad Shafiq terperosok ke bawah
lori treler sebaik dirempuh, semalam.
Foto
MUHAMMAD Shafiq diberi bantuan kecemasan.
Kuala Terengganu: “Pemandu lori treler itu membunyikan hon, tetapi arwah yang terjatuh di tengah jalan tidak sempat bangun sebelum dirempuh kenderaan berat itu,” kata Che Ku Mohd Nazmie Che Ku Romli, 19, rakan kepada Muhammad Shafiq Imran Syahril, 15, yang maut dalam kemalangan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian di atas sebuah jambatan jam 9 pagi, arwah yang juga pelumba pelapis Persatuan Lumba Basikal Kuala Terengganu dan Che Ku Mohd Nazmie bersama 43 rakan pelatih lain sedang berkayuh ke Lebuhraya Pantai Timur II untuk ke Bukit Besi, Dungun sebagai sebahagian latihan menghadapi satu kejohanan di Perlis pada 19 Jun ini.

Kejadian itu turut menyebabkan Che Ku Mohd Nazmie dan seorang lagi rakan arwah, Ahmad Fikri Ahmad Fazli, 17, mengalami kecederaan ringan di bahu dan tangan.

Che Ku Mohd Nazmie berkata, kejadian berlaku apabila seorang daripada pelumba di hadapan memperlahankan basikalnya kerana terdapat lubang di jalan sebelum dia yang mengekori rapat tidak sempat mengelak daripada bergesel dengan pelumba terbabit.



“Tayar kami bergesel dan saya terjatuh ke sebelah kanan jalan. Beberapa rakan di belakang saya termasuk arwah cuba mengelak daripada melanggar antara satu sama lain, tetapi gagal memandangkan jarak kami yang terlalu hampir.

Lelaki ditemui mati dalam gaung

pix_topright NILAI: Seorang lelaki ditemui mati berhampiran sebuah kereta yang terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di Batu 8, Jalan Seremban-Mantin, di sini, hari ini.

Mangsa, Au Fook Sang, 54, ditemui dalam keadaan mereput di dalam tali air di hutan berkenaan oleh seorang pencari buluh, kira-kira jam 9 pagi tadi. 
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal mendapati, kereta Honda Insight dipandu mangsa daripada arah Mantin menuju Seremban dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung. 

"Malah, kita menemui lelaki itu dalam jarak 24 meter daripada kereta dipercayai cuba merangkak keluar bagi mendapatkan bantuan.


"Pemerhatian awal mendapati, mangsa berkemungkinan sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu berdasarkan keadaan mayat yang busuk dan hampir reput itu," katanya.


Menurutnya, lelaki ini pernah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 20 Mei lalu apabila tidak pulang ke rumah di Taman Chip Aik, di sini.

Selamat tinggal cinta

Foto
MAYAT lelaki yang menggantung dirinya dimasukkan
 ke dalam van jenazah di Hospital Kuala Kangsar.
Kuala Kangsar: Kecewa kerana ditinggalkan teman wanita, seorang lelaki dipercayai mengambil keputusan menamatkan riwayatnya dengan menggantung diri dalam bilik tidurnya di Batu 26, Kampung Ketior, di sini semalam.
Sumber polis berkata, mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui tergantung oleh ibunya jam 8.30 pagi, sebelum mendapatkan bantuan ahli keluarga dan menghubungi polis.
“Ibu mangsa yang berasa curiga sebaik anaknya tidak keluar dari bilik tidur pada pagi itu tergerak menjenguk mangsa di bilik. “Sebaik melangkah masuk ke dalam bilik ibunya terkejut apabila mendapati mangsa tergantung di dalam bilik berkenaan.

“Dia kemudian mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga lain sebelum melaporkan kepada polis,” katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Rupanya kasino mini!


Foto
RUMAH perjudian mirip tempat ibadah yang
 diserbu polis, semalam.
Foto
SEORANG lelaki cuba cabut.
Sungai Petani: Tanda tanya mengenai sebuah rumah mirip tempat ibadat yang menjadi tumpuan segelintir individu sejak beberapa bulan lalu terjawab apabila lokasi terbabit sebenarnya dijadikan ‘kasino mini’ dan menjadi kegilaan kaki judi untuk mencuba nasib.

Bagaimanapun, rahsia lokasi itu yang terletak di Jalan Kuala Ketil, di sini, akhirnya terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Kedah menyerbu lokasi terbabit pada jam 4 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis menahan 52 individu berusia antara 20 hingga 40-an dan merampas wang tunai lebih RM10,000 yang dipercayai hasil pertaruhan kaki judi di pusat terbabit.

Difahamkan, lokasi itu mendapat sambutan hangat berikutan kedudukan strategik kerana tersorok daripada laluan utama selain terlindung di sebalik sebuah bangunan lain di hadapannya, manakala laluan ke pusat terbabit jarang digunakan orang ramai.



Pegawai Turus D7 IPK Kedah Asisten Superintendan Shaari Yaakob berkata, ketika serbuan dilakukan, semua kaki judi terbabit sedang asyik melakukan taruhan di meja masing-masing sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis yang menyerbu lokasi itu.

Banjir Straubing, Jerman

Foto MenarikBEBERAPA bangunan di kawasan perumahan ditenggelami air akibat Sungai Danube yang melimpah di Straubing, Jerman. Lebih banyak kawasan dilanda banjir dan setakat ini 15 orang maut. FOTO EPA

Gempa bumi lemah landa Borneo


06/06/2013 12:30pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter berlaku di Borneo pada pukul 3.23 di sini pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Gempa bumi itu berpusat di 31 km Barat Laut dari Tarakan, Indonesia dan 118 km Barat Daya dari Tawau, Sabah.
Gegaran tersebut turut dirasai di Tawau.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan itu, kerja-kerja pemantauan masih giat dijalankan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi tersebut.
Menurut jurucakap JBPM Tawau, pihaknya menerima beberapa panggilan daripada orang awam lebih kurang pukul 3.30 pagi berhubung kejadian itu.
"Setakat ini tiada sebarang kejadian yang melibatkan apa-apa kemusnahan," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz2VQwSSEyR 
Hakcipta terpelihara 

Remaja mengaku bersalah ugut adik


06/06/2013 2:43pm

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki berusia 21 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen disini hari ini kerana mengunggut adik perempuannya berusia 11 tahun dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian dengan sebilah pisau.
Tertuduh, Mohamad Faizul Syahmin Adnan, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Yusoff Yunus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Yusoff menetapkan 25 Jun untuk sebut semula kes bagi menentukan hukuman dan menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm#ixzz2VQwLGk80 
Hakcipta terpelihara 

Pasangan suami isteri curi dalam surau tumpas


06/06/2013 3:21pm

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri yang menjadikan surau sebagai tempat mencuri barangan berharga milik jemaah yang bersolat tumpas apabila mereka diberkas di sebuah rumah di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya semalam.
Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, polis menemui pelbagai barang yang telah dicuri di surau seperti beg tangan, telefon bimbit, kad kredit, kad pengenalan, kad Touch `n Go dan kad mesin pengeluaran wang automatik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita membuat laporan kehilangan beg tangannya di surau sebuah pusat beli-belah di Bukit Raja, Klang pada 11 Mei lalu.
Kedua-dua mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah kini direman sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm#ixzz2VQwBA35M 
Hakcipta terpelihara 

Suri rumah hamil lima bulan nyaris maut diragut


06/06/2013 3:39pm

TEMERLOH - Seorang suri rumah yang hamil lima bulan nyaris maut selepas cuba diragut seorang lelaki berdekatan sebuah pasar raya dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada 11.20 pagi itu, mangsa yang berasal dari Felda Pasoh, Negeri Sembilan mengalami pendarahan setelah terjatuh ke atas jalan raya apabila beg tangannya cuba diragut suspek yang datang dari arah belakang dengan sebuah motosikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Aziz Salleh, suspek berumur 24 tahun itu yang gagal meragut beg tangan wanita itu cuba pula meragut rantai leher yang dipakai mangsa namun gagal.
"Suspek kemudian menolak mangsa hingga jatuh ke jalan raya tetapi kemudian bergelut dengan suami mangsa dan orang ramai yang datang untuk menolong mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis daerah Temerloh di sini hari ini.
Aziz berkata, wanita itu yang mengalami kecederaan dibawa oleh suaminya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan, manakala suspek yang turut cedera dalam pergelutan itu ditahan polis selepas mendapat rawatan di hospital yang sama.
"Mangsa dan kandungannya selamat manakala suspek kita akan tahan selama seminggu untuk siasatan lanjut. Suspek bakal dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan akibat menyebabkan kecederaan kepada mangsa ketika meragut,” katanya. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2VQw6JX19 
Hakcipta terpelihara 

Peneroka maut selepas kereta dipandu bertembung dengan van


06/06/2013 3:48pm

KUANTAN - Seorang peneroka terbunuh selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya bertembung dengan sebuah van di Kilometer 42, Jalan Maran Bandar Jengka-Jerantut dekat Maran semalam.
Mangsa, Zainuddin Ahmad, 61, beralamat di Felda Jengka 6, Bandar Jengka meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, ketika kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Maran menuju ke Bandar Jengka.
“Sampai di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Iswara itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya di sini semalam.
Mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2VQw1YGHN 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki hilang ditemui maut dalam gaung


06/06/2013 4:07pm

NILAI - Misteri kehilangan seorang lelaki, Au Fook Sang, 54, sejak dua minggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam gaung di Batu 8, Jalan Seremban-Mantin hari ini.
Mangsa, Fook Sang, dipercayai terbabit dalam satu kemalangan ditemui seorang penduduk kebutulan mencari buluh dikawasan tersebut.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang belum berkahwin dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 20 Mei lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Jenis Honda Insight dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Seremban sebelum kenderaannya terbabas dan terhumban ke dalam gaung berkenaan. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2VQvPeW3F 
Hakcipta terpelihara 

Penjenayah berjaya larikan mesin ATM


06/06/2013 4:17pm

JOHOR BAHRU - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik berjaya dilarikan sekumpulan penjenayah di sebuah bank dekat Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika pengawal keselamatan yang bertugas di bank ber kenaan tidak berada di tempat kejadian.
Katanya, kejadian disedari oleh orang awam yang kemudian bertindak menghubungi polis melalui talian kecemasan 999.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Ke seksaan. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_15.htm#ixzz2VQuzNvRF 
Hakcipta terpelihara 

25 ditahan di Turki

25 ditahan di Turki
Penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa protes di Ankara, Selasa lalu.
ANKARA - Sekurang-kurangnya 25 di bandar barat Izmir ditahan pihak berkuasa kerana mengajak orang ramai menyertai protes antikerajaan menerusi mesej yang dihantar di Twitter, menurut agensi berita Anatolia, semalam.

Menurut laporan Press TV, kelmarin, timbalan perdana menteri, Bulent Arinc  memohon maaf mewakili pihak berkuasa atas tindakan kekerasan yang dikenakan ke atas penunjuk perasaan dalam protes sejak enam hari lalu.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu ditolak dan penunjuk perasaan terus membanjiri jalan dan Dataran Taksim di Istanbul sambil melaungkan slogan mengutuk Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan.

Sejak Jumaat lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan mengadakan protes di seluruh negara dan insiden itu juga telah meragut dua nyawa manakala lebih 2,800 cedera.

Difahamkan, tindakan kekerasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Turki 

Rumah terbakar angkara khianat

Rumah terbakar angkara khianatMortopo menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.
SABAK BERNAM - “Dia ingat saya ada di dalam (rumah), kalau tak, sudah tentu saya mati rentung,” kata mangsa kebakaran yang hanya mahu dikenali sebagai Mortopo (bukan nama sebenar), 38, apabila mendakwa menjadi sasaran bunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mortopo berkata, kebakaran yang berlaku di rumah pusaka peninggalan arwah ibunya di Batu 23, Sungai Nibong Sekinchan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat oleh pihak tidak dikenali yang ingin menuntut rumah dan tanah di kawasan itu.

Menurutnya, rumah itu sebelum ini pernah ditampal salinan laporan polis dan notis peguam yang mengarahkan kediaman dan hartanah itu dikosongkan dalam tempoh tujuh hari kerana pihak terbabit mendakwa telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pihak ketiga.

“Rumah ini dibina arwah datuk saya pada 1920-an dan telah diwarisi arwah ibu sebelum diwasiatkan kepada  saya supaya menjaga rumah pusaka ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mortopo yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Sungai Besar berkata, rumah itu menjadi tempat persinggahannya untuk berehat, selain menjadi tempat keluarganya bercuti pada hujung minggu.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati rumah dan tanahnya itu pernah diiklankan di sebuah laman web bagi tujuan sewa beli rumah dan jual tanah pada harga RM600,000.

“Bagaimanapun, iklan yang disiarkan di laman itu sudah tiada, sekarang yang menjadi persoalannya atas sebab apa pihak terbabit cuba menjualnya, sedangkan rumah dan tanah ini kepunyaan saya,” katanya.

Mortopo berkata, dia pernah menuntut supaya pihak terbabit membayar pampasan sebanyak RM100,000 sekiranya masih mahukan hartanah terbabit bagi membolehkan dia membina rumah sendiri.

“Dia kata tak boleh beri RM100,000, tetapi hanya mahu bayar RM3,000 kepada saya. Dalam keadaan sekarang ini, mana ada rumah dan tanah berharga begitu rendah, sedangkan rumah dan tanah ini adalah hasil keringat arwah datuk saya yang mengusahakannya,” katanya.

Menurutnya, dia merancang untuk terus menetap di rumah itu dalam tahun ini selepas isterinya yang kini hamil tiga bulan melahirkan anak.

Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila rumah berkenaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.

Mortopo berkata, sebelum kebakaran berlaku, seorang jiran ternampak kelibat dua lelaki pada malam kejadian yang lalu di jalan masuk ke rumahnya.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini, minta pihak berkuasa menyiasatnya jika terdapat unsur jenayah dan perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui rumahnya terbakar pada awal pagi selepas seorang kakaknya dari Perlis menghubungi isterinya.

Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM180, 000 selepas beberapa barangan berharga hangus dijilat api.

Antara yang musnah, sebuah motosikal jenis Yamaha NSX, komputer, barangan perabot dan elektrik, peralatan perkahwinan serta pinggan mangkuk katering.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Zulkifli Abd Mayas berkata,  pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.45 pagi.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu melibatkan dua jentera bomba dari Sekinchan dan Sungai Besar, namun operasi berdepan kesukaran apabila tiada punca air di kawasan terbabit.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 30 minit dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Maut motosikal langgar pokok

Maut motosikal langgar pokok
Orang ramai menunggu kenderaan untuk membawa mayat mangsa ke HPP untuk dibedah siasat.
GEORGETOWN - Seorang pekerja kedai perabot maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Masjid Negeri, awal pagi kelmarin.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa difahamkan baru selesai bekerja lebih masa di sebuah kedai perabot di Datuk Keramat di sini.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam keadaan keletihan dan mengantuk namun tetap menunggang motosikalnya untuk pulang ke rumahnya di Relau.

“Difahamkan mangsa menunggang motosikalnya dalam keadaan laju kerana kepenatan dan ingin cepat sampai ke rumah. Namun, akibat terlalu letih, mangsa dikatakan terlelap sebelum terbabas dan melanggar sebuah pokok di tepi jalan.

“Kejadian berlaku pada jam 3 pagi dan mangsa yang berusia 39 tahun meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala,” katanya.

Difahamkan, mangsa baru membeli motosikalnya itu dua minggu lalu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Korek tanah jumpa bom


Korek tanah jumpa bom
Bom lama yang dipercayai peninggalan zaman Jepun yang ditemui, semalam.
Korek tanah jumpa bom
Anggota polis sedang meninjau kawasan ICT tempat di mana sebutir bom lama dipercayai peninggalan zaman Jepun yang ditemui, semalam.
IPOH - Sebutir bom lama dipercayai daripada peninggalan zaman Jepun ditemui di Terminal Kargo Ipoh (ICT), semalam kurang sebulan penemuan dua butir bom di lokasi yang sama pada 10 Mei lalu.

Bom itu ditemui seorang kontraktor yang sedang melakukan kerja mengorek tanah di kawasan tersebut lebih kurang jam 8.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pekerja terbabit menemui sebutir bom lama yang berkarat (artillery shell) dan fiusnya telah rosak.

“Hasil siasatan awal mendapati bom terbabit adalah dari model lama yang berukuran sepanjang 36 sentimeter dan lilitan sebesar 32 sentimeter.

“Bagaimanapun, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah memusnahkan bom di kawasan kuari di Menglembu tepat jam 12 tengah hari tadi (semalam),” katanya ketika ditemui semalam.

Salah seorang petugas ICT yang enggan dikenali memberitahu, bom dijumpai oleh pekerja selepas tanah dikawasan terbabit mula terhakis akibat hujan lebat.

Katanya, kejadian itu disedari awal pagi namun dia hanya dimaklumkan oleh pihak pengurusan di kawasan berkenaan pada jam 9.30 pagi.

“Hakisan tanah di tapak pembinaan itu adalah sebab bom tersebut mudah dikesan tambahan hujan lebat pagi semalam (kelmarin).

“Penemuan bom itu kerap berlaku sejak kerja mengorek tanah dijalankan beberapa bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi ICT, Kamarul Omar berkata, beliau dimaklumkan mengenai penemuan bom itu lebih kurang jam 9.20 pagi.

Menurutnya, hanya satu bom sahaja ditemui namun segala operasi penyelenggaraan terpaksa dihentikan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

“Berikutan itu, bagi memastikan keselamatan semua pekerja terjamin, kami terpaksa memberhentikan kerja-kerja di tapak pembinaan sementara menunggu kebenaran dari pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, kejadian penemuan bom ini bukan pertama kali berlaku, malah ia turut dijumpai pada awal Mei lalu melibatkan dua butir bom aktif di lokasi yang sama.

Hasrat warga emas terbantut

Hasrat warga emas terbantutPengunjung yang ditahan dibawa menaiki trak polis untuk siasatan lanjut.
SUNGAI PETANI – Seorang warga emas terpaksa dipapah ketika serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, petang kelmarin.

Hasrat warga emas berkenaan untuk berjudi terbantut apabila premis yang dikunjunginya dekat Pekan Lama, Sungai Petani itu diserbu polis dalam Ops Dadu pada jam 4.30 petang kelmarin.

Dalam serbuan terbabit, seramai 52 individu berusia antara 20 hingga 55 tahun yang leka membaling dadu di premis berkenaan ditahan polis.

Turut ditemui wang taruhan sebanyak RM10,108, cip ala kasino, kertas pertaruhan, kanvas dan buah dadu hitam bergambar bunga, udang, ikan dan belangkas.

Pegawai Turus D7 IPK Kedah, Asisten Superintendan Shaari Yaakob berkata, serbuan dibuat selepas beberapa kali intipan dilakukan.

“Turut ditahan lima wanita yang turut berada di premis berkenaan,” katanya.

Difahamkan, kegiatan perjudian dimulakan pada sebelah petang dan berakhir pada waktu malam dan kebanyakan pengunjung adalah penduduk tempatan.
Menurutnya, polis percaya kegiatan berkenaan dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Ketika serbuan, ada pengunjung yang cuba melarikan diri, bagaimanapun, tindakan polis yang mengepung lokasi kejadian berjaya menahan 52 individu terbabit.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 kepada pemilik premis atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7 (2) akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

Padah gagal pamer lesen


Padah gagal pamer lesen
Anggota penguat kuasa MPS melakukan sitaan.
SELAYANG - Gagal mempamerkan lesen perniagaan ketika diminta penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyebabkan sebuah pusat kafe siber di Selayang Point, disini, disita.

Difahamkan, pekerja kafe siber terbabit hanya menunjukkan lesen perniagaan tersebut hanya selepas sitaan dilakukan penguat kuasa MPS selesai. Pada masa sama, sebuah lagi premis yang menjalankan perniagaan haram berunsur perjudian turut disita dalam operasi itu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPS, Lans Kop (B) Azmi Ismail berkata, sebanyak empat pusat siber dikenal pasti di kawasan berkenaan dan hasil operasi yang dijalankan mendapati hanya sebuah premis mempunyai lesen perniagaan manakala satu lagi telah ditutup sejak Mac lalu.

Menurutnya, dua pusat kafe siber yang dikenakan tindakan sita itu dipercayai menyediakan khidmat permainan video berunsur perjudian berdasarkan kepada tawaran hadiah RM10,000 yang ditampal pada dinding premis.
“Sebanyak 90 set komputer daripada dua premis terbabit disita kerana gagal mempamerkan lesen dan menjalan perniagaan haram.
“Permit perlu dilekatkan di luar premis dan sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 3, Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MPS) 2007 iaitu denda sekurang-kurangnya RM1,000,” katanya.

Azmi berkata, sepanjang penggal pertama dianggarkan kira-kira 133 buah pusat siber diperiksa dan 98 daripadanya menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

“Kita meminta pemilik premis menjalankan permohonan terlebih dahulu kepada MPS sebelum membuka perniagaan sebagai kawalan memastikan ia tidak melanggar peraturan.
“Pemilik yang dikompaun dan tidak menjelaskan bayaran akan disenarai hitam sehingga denda dijelaskan dan boleh membuat permohonan baru,” katanya.

Difahamkan, dalam operasi berasingan, sebanyak enam lagi premis pusat siber haram sekitar Bandar Country Homes dikenakan tindakan sama dengan jumlah sitaan 115 komputer.

Wang kutipan AIM RM41,000 disamun


6 Jun 2013
KUALA BESUT – Tiga individu bertopeng menyamun dan melarikan wang tunai berjumlah RM41,000 daripada kakitangan wanita Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Besut berhampiran pusat pungutan AIM di Kampung Alor Peroi, di sini.

Difahamkan dalam kejadian jam 1 petang kelmarin, suspek yang memakai topeng bersenjatakan pedang menyamun Pembantu Amanah Ikhtiar berusia 25 tahun itu sebaik mangsa selesai memungut wang di pusat pungutan terakhir.

Kejadian berlaku apabila mangsa masuk ke dalam keretanya yang diletak di kawasan pusat pungutan di hadapan surau kampung tersebut.

Ketika mangsa berada dalam keretanya, tiga lelaki bertopeng itu memecahkan cermin kereta belakang mangsa dipercayai menggunakan pedang.

Suspek kemudian mengambil beg milik mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

Seorang lagi suspek bertindak mengarahkan mangsa yang duduk di tempat pemandu membuka pintu dipercayai untuk mengambil beg tangan mangsa di kerusi penumpang depan.

Mangsa yang ketakutan tidak membuka pintu menyebabkan suspek menetak cermin sebelah kiri penumpang untuk mengambil beg tersebut namun gagal berbuat demikian.

Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta Pesona berwarna perak menggunakan nombor pendaftaran negeri jiran yang dipandu seorang lelaki.

Barang yang disamun ialah beg galas berisi wang tunai kutipan pinjaman AIM yang dikutip di empat lokasi di kawasan Kuala Besut, seunit kipas angin, pakaian milik mangsa dan beberapa dokumen lain.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Najjah, Jertih dikatakan dalam keadaan trauma dan sedang bercuti selepas kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut.

Sinar Harian difahamkan, minggu lepas satu kejadian sama membabitkan agensi sama berlaku di kawasan Pasir Putih, Kelantan melibatkan kerugian anggaran RM20,000.

Sementara itu, ketua cawangannya, Che Ismail Che Awang berkata, kejadian tersebut yang pertama berlaku di daerah ini dan kes tersebut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Berikutan kejadian, kita mengeluarkan beberapa arahan tertentu tentang langkah keselamatan perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Pelanggan AIM atau lebih dikenali sebagai Sahabat Amanah juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika membawa wang.

"Pada masa sama kita meminta orang ramai terutama Sahabat Amanah peka dengan keadaan sekeliling terutama jika mendapati ada orang tidak dikenali berhampiran kawasan pungutan pinjaman (balai pungutan)," katanya semalam.

'ALLAH ringankan beban arwah'

'ALLAH ringankan beban arwah'
Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. Gambar kecil: Zainab.
JENGKA 6 - "Arwah selalu mengadu tak tahan sakit akibat penyakit buah pinggangnya, selain semput, tetapi tak sangka pula dia pergi meninggalkan kami kerana kemalangan," kata Zainab Din, 57, isteri kepada Zainuddin Ahmad, 60, yang maut dalam nahas di Kilometer 41.2 Jalan Maran ke Bandar Jengka, jam 7 pagi semalam.

Zainab berkata, dia reda dengan pemergian suaminya itu dan menganggap ALLAH SWT mahu meringankan beban arwah supaya tidak terus menanggung sakit yang dideritainya itu sejak sekian lama.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan rutin mencuci buah pinggang.

“Arwah keluar selepas solat Subuh. Dalam pukul 7.50 pagi, ada orang beritahu makcik, arwah terlibat dalam kemalangan.

“Memang biasa arwah pergi seorang diri ke hospital kerana mencuci buah pinggang dalam tiga kali seminggu, tidak sangka pula kali ini merupakan kali terakhir dia ke sana,” katanya.
 Zainuddin yang merupakan peneroka Felda tanah rancangan ini meninggalkan seorang balu dan sembilan anak.

Jenazahnya dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 6, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa difahamkan dalam perjalanan ke bandar Jengka dari Felda Jengka 6.

“Kereta Iswara yang dipandu mangsa terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah van.

 “Mangsa meninggal di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di bahagian dada, manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan. Seorang kanak-kanak yang merupakan penumpang van terbabit mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Leher diacu parang


Leher diacu parang
Esah menunjukkan salinan laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Berang berkaitan kejadian samun menimpa dirinya di Kampung Bukit Acheh, malam kelmarin.
KUALA BERANG - “Walaupun ketika itu badan terasa sakit-sakit kerana dicekik, ditendang serta diseret ketika bergelut, namun saya gagahkan diri menyelamatkan beg silang yang digalas.

Namun, kudrat saya tidak mampu melawan lelaki bertopeng itu,” kata Esah Musa, 51.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di rumah sewanya di Kampung Bukit Acheh malam kelmarin, pembeli dan penjual barang lusuh ini mengakui biarpun di acu parang, namun perasaannya ketika itu hanyalah untuk memastikan duitnya selamat.

Menurutnya, kejadian sekelip mata itu menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000 termasuk wang tunai dan rakan baiknya berusia 42 tahun yang ketika itu berada dalam kereta turut tergamam tanpa sempat berbuat apa-apa.

“Sebelum kejadian, makcik sedang membuka kunci mangga pintu rumah untuk menyalakan lampu setelah pulang dari Kuala Terengganu. Namun, secara tiba-tiba datang sebuah kereta meluru laju ke arah rumah dan sepantas kilat seorang lelaki mengacu parang di leher makcik.

“Malah, lelaki itu juga turut menyuruh makcik menyerahkan duit dan barang kemas yang ada serta  mengugut membunuh makcik sekiranya tidak berbuat demikian. Bagaimanapun, makcik enggan kerana duit yang ada itu ingin digunakan bagi pelbagai urusan termasuk bayar bil," katanya.

Menurut Esah, dia enggan berbuat demikian dan berlaku pergelutan sehingga dia tersembam.

“Makcik cuba bangun untuk selamatkan diri, namun dia menendang bahagian lipatan lutut sebelah kiri menyebabkan makcik sekali lagi terjatuh.

“Ketika itu berlaku aksi tarik menarik beg silang yang digalas hingga makcik terseret. Namun, kudrat makcik tidak berdaya melawan, beg tersebut terlepas ke tangan penjenayah dan dia kemudiannya terus larikan diri dengan rakannya yang telah menanti di dalam kereta,” katanya.

Tak sempat guna duit

Tambah Esah, rumah sewa itu kebiasaannya hanya menjadi lokasi untuk dia berurusan perkara berkaitan jual beli barangan lusuh dan dia tidak menyangka episod duka berlaku pada dirinya setelah hampir lima tahun mencari rezeki dalam perniagaan itu.

“Saya tidak tinggal di rumah ini dan pulang pada malam itu kerana ada seseorang telah menghubungi saya sekitar jam 8 malam mengatakan dia ingin menghantar besi. Ketika itu saya berada di Kuala Terengganu selepas selesai menghantar besi ke kawasan perindustrian Chendering.

“Malah, dia menghubungi saya beberapa kali mengatakan ingin berurusan pada malam itu juga walaupun saya telah beritahu agar berbuat demikian pada keesokan harinya. Tidak mahu hampakan dia, saya akur dan pulang ke rumah sewa tersebut.

“Tidak sangka, saya disamun. Saya sedih dan terkilan kerana duit hasil jualan barangan lusuh yang diperoleh petang hari kejadian tidak sempat digunakan sedangkan wang itu ingin digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk pembayaran bil,” ujarnya.

Dokumen peribadi turut dilarikan penjenayah

Ibu tunggal ini juga menaruh harapan agar pihak berkaitan dapat memudahkan cara baginya membuat permohonan semula kad pengenalan serta kad bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ayahnya, Musa Mamat, 74, yang turut dilarikan penjenayah bersama beg.

“Selain pelbagai dokumen peribadi milik sendiri, dalam beg galas tersebut turut mempunyai kad pengenalan milik ayah. Saya telah pun ke pejabat JKM bagi mendapatkan semula kad bantuan JKM untuk ayah tetapi perlu membuat permohonan kad pengenalan terlebih dahulu.

“Hal ini sedikit rumit kerana ayah saya kini berada di Manir dan terlantar sakit selain terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu. Keadaan ini pastinya menyukarkan pergerakan apatah lagi tiub sentiasa berada dalam hidungnya.

“Sehubungan itu, diharapkan pihak boleh memudahkan cara kerana bulanan RM200 diterima ayah mungkin tidak dapat diambil jika tiada kad pengenalan sedangkan duit itu digunakan bagi membeli lampin pakai buang untuk kegunaan ayah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Hulu Terengganu, Mohd Fadzli Ismail ketika dihubungi memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan surat permohonan pengecualian bayaran kehilangan kad pengenalan untuk diserahkan Esah sewaktu berurusan membuat kad pengenalan baru ayahnya.

“Anaknya (Esah) telah hadir ke JKM bagi mendapatkan semula kad bantuan bulanan ayahnya tetapi berdasarkan prosedur dia perlu membuat permohonan kad pengenalan baru terlebih dahulu.

“Permohonan semula kad bantuan JKM masih boleh dilakukan walaupun menggunakan kad pengenalan sementara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.