Search This Blog

Wednesday, June 5, 2013

Samun rumah dua beradik

Samun rumah dua beradik
Som Sak menunjukkan gambar lelaki yang dicari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
TAPAH - Polis Daerah Tapah kini mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun di Taman Tapah Baru, pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengatakan dia disamun.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berusia 24 tahun bersama adik perempuannya berusia 19 tahun berada di dalam rumah di Taman Tapah Baru, Tapah.

"Mangsa didatangi tiga lelaki tidak dikenali bersama dua parang yang masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengacukan senjata berkenaan ke leher kedua-dua beradik itu.

"Suspek mengikat mangsa dengan menggunakan tali kabel dan kemudiannya menarik rantai leher mangsa sebelum memaksanya untuk menyerahkan barang-barang berharga lain," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini.

Kata beliau, suspek turut menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta dan akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM12,000.

Bagaimanapun, jelasnya, mangsa sempat melihat jenis dan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek serta memaklumkan kepada polis bagi membantu siasatan.

"Anggota polis di bilik gerakan IPD Tapah telah membuat hebahan kepada semua balai dan petugas ronda berkaitan kejadian samun itu," katanya.

Som Sak berkata, hasil daripada maklumat itu, kira-kira jam 11.10 pagi pada hari sama, pasukan peronda MPV berjaya menahan sebuah kereta suspek di kawasan plaza tol Sungkai.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kereta itu, membawa kepada menahan dua lelaki berusia 24 tahun disyaki suspek kes samun berkenaan dan turut menjumpai beberapa barang kes yang berada di dalam kenderaan tersebut sebelum dibawa ke IPD Tapah untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Ipoh itu mengaku melakukan samun bersama seorang lagi rakan subahat yang berjaya melarikan diri menggunakan kereta berlainan bersama sebahagian barangan samun," katanya.

Som Sak berkata, suspek dikenali sebagai N Nantha Kumar berusia 30 tahun berasal dari Chemor kini dicari bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Ujarnya, dua suspek tersebut masih ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Akta Jenayah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai mempunyai maklumat kejadian ini atau lain-lain kes jenayah sila hubungi Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir  atau pegawai penyiasat, Inspektor La Paula Abd Muis menerusi talian 05-4015222,”katanya.

Tauke rugi RM17,000 kedai emas dirompak, polis cedera


Tauke rugi RM17,000 kedai emas dirompak, polis cedera
Keadaan kedai emas selepas dirompak dua lelaki petang kelmarin
Tauke rugi RM17,000 kedai emas dirompak, polis cedera
Ahmad (kanan) menunjukkan pistol yang dijumpai di tandas Plaza Tol Alor Setar Utara petang kelmarin.
ALOR SETAR - Seorang pegawai polis yang sedang bercuti tetap melaksanakan tugasnya menjaga keselamatan awam dengan berusaha menghalang dua perompak yang memecah masuk sebuah kedai emas di Alor Janggus di sini petang kelmarin.

Sungguhpun begitu, beliau cedera di tangan kanan apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang perompak sebelum melarikan diri.

Ketika insiden itu, Ketua Polis Balai Senai, Johor, Inspektor Zuwairi Ramli sedang bercuti dan dalam perjalanan ke Alor Setar bersama keluarga.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ketika sampai di pekan Alor Janggus, pegawai polis itu ternampak dua lelaki keluar dari sebuah kedai emas sambil memegang satu tukul besi dan beg tangan.

“Inspektor Zuwairi mengesyaki berlaku rompakan di kedai itu segera memberhentikan keretanya untuk menangkap suspek. Secara tiba-tiba, seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan dan mengenai tangan kanannya,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Mereka kemudian melepaskan satu lagi tembakan ke udara sebelum merampas kenderaan yang dirempuh itu untuk melarikan diri. Kereta itu dijumpai semula di Taman Anggerik berdekatan sebuah pasar raya di sini, kira-kira jam 6 petang.

“Kita mendapat panggilan telefon daripada seorang pekerja di Plaza Tol Alor Setar Utara yang melihat lelaki yang mencurigakan di tandas.

"Kita menjumpai satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr, satu magazin dan sebutir peluru 9 milimeter dalam tandas itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama dengan sebutir peluru yang dijumpai.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada pistol itu ada kaitan dengan rompakan kedai emas atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Mengenai anggota polis yang terkena tembakan, Ahmad beliau berkata, Zuwairi mengalami kecederaan pada tapak tangan sebelah kanan.

“Beliau hanya cedera di tapak tangan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Pegawai polis itu ketika ini masih bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya di sini,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai emas terbabit, Thoo Ah Fatt, 55, berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku terlalu pantas dan boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Sewaktu kejadian, saya berada di ruang niaga. Tiba-tiba dua lelaki memberhentikan motosikal dan terus berlari ke arah kedai saya sambil mengacukan pistol.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya boleh lari selamatkan diri di belakang kedai. Seorang daripadanya kemudian memecahkan cermin tempat barangan kemas menggunakan tukul besi sebelum melarikan pelbagai barangan kemas,” katanya.

Menurutnya, sewaktu suspek cuba melarikan diri, seorang anggota polis yang secara kebetulan lalu di hadapan kedai emas memberhentikan kereta dan memperkenalkan diri selepas melihat tindakan suspek yang mencurigakan.

“Terkejut dengan kehadiran anggota polis itu, seorang suspek melepaskan satu das tembakan dan mengenai tangan anggota polis itu," katanya yang kerugian kira-kira RM17,000 akibat kejadian itu.

Lima pekerja kilang rentung


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2013
Lima pekerja kilang rentung
Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain turut hadir melawat kilang berkenaan.
Lima pekerja kilang rentung
Mayat seorang pekerja kilang yang rentung di bahagian belakang kilang berkenaan.
Lima pekerja kilang rentung
Mayat mangsa yang rentung dibawa keluar dari lokasi kejadian oleh anggota bomba.
PARIT BUNTAR - Lima pekerja asing dipercayai rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang memproses pakaian terpakai di Kampung Parit Haji Awi, Bagan Tiang di sini, petang semalam.

Penguasa Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Utara, Zainuddin Abdul Rahim berkata, sehingga jam 7 malam semalam, dua pekerja lelaki warga Myanmar ditemui rentung di mana seorang daripada mereka dipercayai tidur di belakang kilang.

Menurutnya, seorang lagi mangsa ditemui di hadapan premis berkenaan setelah ditimpa bumbung yang runtuh ketika cuba keluar dari pintu hadapan kilang itu.

“Sehingga kini, hanya dua mangsa berjaya dikenal pasti dan kami tidak menolak kemungkinan masih ada tiga mangsa yang belum ditemui berdasarkan maklumat diberikan pemilik kilang.

“Pihak bomba meneruskan operasi mengesan  tiga lagi mangsa yang tertimbus di dalam timbunan bumbung kilang menggunakan anjing pengesan K-9 dari Kuala Lumpur,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Zainuddin berkata, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian masih disiasat forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Jelasnya, sebanyak dua jentera dengan kekuatan 20 anggota bomba dari Balai Bomba Parit Buntar dan Balai Bomba Kuala Kurau dikerah  mengawal kebakaran.

"Kami mengambil masa 45 minit untuk memadamkan api yang membakar keseluruhan kilang berkenaan,” katanya.

Setiausaha Pasukan Bomba Sukarela Bagan Tiang, Soon Yeh Thung berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 3 petang dan pihaknya mendapat panggilan telefon daripada orang awam lebih kurang jam 3.15 petang.

Menurutnya, seramai lebih 100 anggota bomba sukarela meliputi lebih 10 jentera datang memberikan bantuan kepada anggota bomba memadamkan api.

“Bagaimanapun, keadaan api yang marak ditambah tekanan air yang rendah menyukarkan usaha kami untuk mengawal kebakaran.

“Pihak bomba dengan bantuan kami berjaya memadamkan api kebakaran sepenuhnya lebih kurang jam 5.30 petang setelah lebih dua jam mengerah keringat,” katanya.

Litar pintas punca kebakaran

Sumber polis menegaskan, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, bermula di bahagian hadapan kilang sebelum merebak ke bahagian belakang kilang yang dipenuhi mesin dan baju terpakai.

Jelasnya, kilang itu dipercayai mula beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Bagaimanapun, siasatan masih lagi diteruskan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan mangsa kebakaran dan sehingga kini hanya dua mayat ditemui.

“Anggaran taksiran kerugian masih belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, saksi kejadian, Anwar Bashirun, 22, berkata, ketika itu dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya yang terletak berhadapan lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi letupan kuat  lebih lima kali dari arah kilang berkenaan.

Mendengar bunyi letupan kuat itu, Anwar segera keluar dari rumah dan mendapati bahagian hadapan kilang sudah terbakar.

“Saya segera memaklumkan kejadian berkenaan kepada jiran terdekat supaya menghubungi pihak bomba dan ke lokasi itu untuk meneliti keadaan dalam kilang.

“Bagaimanapun, saya tidak menemui kelibat pekerja di situ dan beranggapan kilang berkenaan mungkin kosong, tetapi saya terkejut apabila mengetahui terdapat pekerja rentung,” katanya.

Hadir melawat lokasi kejadian, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Dua wanita Nigeria ditahan cuba seludup 7.8 kilogram syabu bernilai RM1.48 juta


05/06/2013 4:54pm

SEPANG - Dua wanita Nigeria ditahan kerana disyaki menjadi keldai dadah menyeludup 7.8 kilogram syabu bernilai RM1.48 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Ahad lepas.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, dua suri rumah itu ditahan pada kira-kira 6.30 pagi selepas pihaknya mengesan serbuk dadah yang dimampat dan disorok dalam ruang khas beg mereka semasa ia melalui alat pengimbas.
Beliau berkata, beg milik wanita berumur 37 tahun didapati mengandungi 3.15 kilogram dadah bernilai RM598,500 manakala rakannya yang berumur 36 tahun membawa beg berisi 4.65 kilogram dadah bernilai RM883,500.
"Kedua-dua suspek didapati menaiki penerbangan sama dari Nigeria dan tiba buat pertama kalinya di negara ini. Mereka disyaki menjadi keldai dadah pihak tertentu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Chik Omar berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika disabit kesalahan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2VKWv6i97 
Hakcipta terpelihara 

38 maut bas bertembung treler di Sudan


KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 38 maut apabila sebuah bas bertembung dengan treler di Sudan, semalam yang dianggap nahas terburuk negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Polis dilaporkan mendapati punca kejadian disebabkan pemanduan yang melebihi had laju.
“Nahas yang berlaku antara sebuah bas dan treler pagi ini (semalam) di selatan Bandar El Gutaina town di negeri White Nile, 38 maut dan beberapa lagi cedera," kata polis dalam satu kenyataan.

El Gutaina terletak kira-kira 100 kilometer di selatan Khartoum.

Ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Omdurman ke El Obeid.

“Kejadian berlaku disebabkan kedua-dua kenderaan dipandu dengan kelajuan tinggi," kata Ketua Polis Trafik, Jeneral Abdurahman Hassan Abdurahman. - AFP

Pekerja restoran melecur meninggal dunia selepas empat hari dirawat


05/06/2013 2:48pm

KUALA LUMPUR - Pekerja restoran yang melecur hampir 82 peratus akibat disambar api dalam letupan gas di Jalan Bulan, Bukit Bintang, di sini Jumaat lepas meninggal dunia malam tadi selepas empat hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di laman Facebooknya, jenazah Allahyarham Mohd Fauzi Harun, 30, dibawa ke Masjid Hishamudin Batu 14 Hulu Langat pada pukul 9 pagi dan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.
Allahyarham juga merupakan bekas anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai
Jelatek dan Chow Kit.
Dalam kejadian letupan itu, Fauzi melecur teruk akibat disambar api selepas
gas petroleum cecair di bahagian dapur yang terletak di tingkat satu premis dua
tingkat restoran itu meletup. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm#ixzz2VKVupJBY 
Hakcipta terpelihara 

52 ditahan ketika asyik berjudi


05/06/2013 3:33pm

SUNGAI PETANI - Hasrat 52 kaki judi termasuk lima wanita untuk terus bermain judi belangkas terbantut apabila polis menyerbu sebuah rumah di Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil sini semalam.
Ketika serbuan dilakukan pukul 4.30 petang itu, mereka yang berusia antara 20 hingga 55 tahun itu sedang sibuk memutarkan buah dadu dengan wang pertaruhan berjumlah RM10,108.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Superintendan Shaari Yaakob berkata, pihaknya
membuat intipan awal sebelum membuat serbuan di tempat itu.
"Kegiatan judi belangkas bermula pada pukul 4 petang hingga 9.30 malam dan
mereka adalah penduduk tempatan dan polis percaya kegiatan itu diadakan sejak beberapa minggu lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2VKVWmjfe 
Hakcipta terpelihara 

Uthayakumar dipenjara 2 tahun 6 bulan


KUALA LUMPUR: Peguam, P Uthayakumar dipenjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menulis surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain. 

Buruh Indonesia maut, rakan cedera kemalangan di tapak binaan


KOTA TINGGI: Seorang buruh warga Indonesia maut manakala rakannya cedera parah selepas ditimpa besi penyokong binaan dalam kejadian di tapak pembinaan kolej pendidikan milik kerajaan negeri di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, kedua-dua mangsa sedang bekerja di kawasan pembinaan bangunan kolej terbabit sebelum besi penyokong binaan itu secara tiba-tiba runtuh dan menghempapnya. 

Pagar rumah retak, senget

Pagar rumah retak, sengetZaini berdiri di hadapan tembok pagar rumahnya yang patah dan mendap selepas kerja membina longkang hujung tahun lalu siap.
TEMERLOH - Seorang penduduk Taman Seri Semantan, di sini, mendakwa mengalami kerugian apabila pagar rumahnya runtuh akibat kerja bina longkang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) hujung tahun lalu.

Zaini Mohd Shah, 63, berkata, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) membina longkang baru di hadapan rumahnya selepas ia rosak teruk dilanda banjir pada 2007.

Bagaimanapun katanya, selepas kerja membina longkang siap, pagar rumahnya mula retak dan senget, malah keadaan semakin teruk apabila ada tiang pagar yang patah.

“Saya percaya ia berpunca daripada kerja pasang longkang tahun lalu yang menyebabkan tanah di sini mendap lalu meruntuhkan tembok pagar rumah saya,” katanya sewaktu ditemui, di rumahnya, di sini, semalam.
Zaini berkata, turut menjadi mangsa ialah jiran di sebelah rumahnya yang mengalami masalah sama.

Menurutnya, dia sudah melaporkan perkara itu kepada MPT beberapa bulan lalu, namun dimaklumkan pihak MPT berdepan beberapa masalah untuk membaiki pagar rumahnya.

Bagaimanapun dia tetap berharap, pihak MPT dapat membuat siasatan, seterusnya membaiki kerosakan rumahnya yang terletak di 376 Taman Seri Semantan 3, Lorong 23, Taman Seri Semantan.
“Saya harap pihak MPT dapat baiki kerosakan ini kerana bimbang mendapan merebak semakin dalam dan besar. Jika ini berterusan lama-kelamaan rumah saya dan rumah jiran akan roboh,” katanya.

Punca kematian suami isteri masih disiasat

Punca kematian suami isteri masih disiasat
Laporan Sinar Harian semalam.

IPOH – Polis mengesahkan belum ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kes kematian sepasang suami isteri yang ditemui dalam keadaan mengerikan di kediaman mereka di Kampung Ayer Tawar, Manjung, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan punca kematian mangsa.

“Kes masih lagi disasat dan kita belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes ini,” katanya.

Dalam laporan semalam, mangsa K Ashahkumar, 36, dan isteri, V Panumathy, 38, ditemui di dalam dan luar rumah mereka dengan keadaan leher dikelar dan kepala ditetak.
Insiden kira-kira jam 1 pagi itu disedari jiran mangsa yang kemudiannya menghubungi polis untuk bantuan.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa mengakui bingung dengan punca kematian suami isteri itu.

Adik mangsa, K Nathan, 35, berkata, mendiang abangnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja sendiri sebagai pemotong rumput untuk menyara keluarga.

“Kami hairan dengan kejadian malang ini, jika benar dakwaan mereka disamun, ia sama sekali tidak masuk akal, mereka bukan dari golongan kaya,” katanya.

Bergaya dengan kereta curi

Kereta curi
Chang (kanan) bersama Lup Fee melihat kereta yang ditemui polis selepas dilarikan pagi, kelmarin.
IPOH - Seorang lelaki sempat ‘bergaya’ bersama kereta jenis Toyota Camry yang dicurinya hanya dalam tempoh kurang 12 jam selepas ditahan polis kerana terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kereta yang berlaku di Taman Rasi Jaya, Menglembu, pagi kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun itu dikesan berada bersama kenderaan tersebut ketika sekumpulan anggota polis menjalankan rondaan harian di sekitar Taman Desa Pengkalan.

Bagaimanapun, apabila suspek terbabit menyedari dia diperhatikan, dia segera melarikan diri menaiki kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya kemudian bertindak mengekori suspek dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 10 minit sehingga suspek berjaya diberkas.

“Suspek ditahan di Taman Desa Pengkalan pada jam 7 malam dan kami menemui dua parang, dua komputer, dua pasport dan empat telefon bimbit pelbagai jenis dalam kenderaan tersebut.

“Sebelum itu, kira-kira jam 8 pagi, suspek memecah masuk sebuah rumah di Taman Rasi Jaya dan melarikan beberapa barangan termasuk kereta milik mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai 10 kes rekod jenayah lampau antaranya termasuklah kes pecah rumah, pencerobohan, curi dan dadah.

“Selain itu, suspek pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amp dan meth.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang juga pemilik syarikat pengangkutan, Yee Lup Fee, 51, berkata dia menyedari rumahnya dipecah masuk selepas bangun pagi.

“Ketika itu saya tinggal bersendirian di rumah kerana isteri dan anak ke Cameron Highlands kerana mempunyai urusan.

“Saya terkejut apabila melihat pintu hadapan rumah dipecahkan manakala beberapa barangan seperti wang Thailand sejumlah 7,000 Baht (RM700), telefon bimbit, pasport dan kereta saya yang baru dibeli beberapa bulan lalu telah hilang.

“Bagaimanapun, di atas kecekapan polis, penjenayah itu telah berjaya ditahan dalam tempoh yang singkat,” katanya yang telah menetap di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu.

Lelaki cuba buat kecoh ditahan


Sahadan Jaafar
Sahadan Jaafar
MUAR – Tindakan pantas anggota polis menahan dua lelaki berjaya menghalang sesuatu yang buruk berlaku dalam kekecohan di sebuah bank di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kekecohan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai berpunca apabila salah seorang daripadanya yang berusia 37 tahun naik berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM di bank tersebut.

Menurutnya, kakitangan bank berkenaan yang khuatir akan kemungkinan perkara buruk berlaku mengarahkan suspek keluar daripada premis tersebut.

“Tetapi suspek bertindak mengambil sebatang besi yang disimpan dalam kereta miliknya yang diletakkan di luar bangunan itu.

“Suspek kemudiannya kembali semula dan meracau-racau di luar bank dengan butir percakapan yang kurang jelas sambil mengayun-ayunkan besi yang dipegangnya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sebaik sahaja melihat kereta peronda polis menghampiri bank tersebut, suspek bertindak melarikan diri  menaiki kereta itu bersama adiknya yang berusia 36 tahun menuju ke Jalan Haji  Abu, di sini.

Sahadan berkata, pasukan peronda terpaksa mengejar kenderaan suspek sejauh 100 meter sehingga mereka berjaya diberkas.

“Mereka  dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan dan berdasarkan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek berusia 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dikehendaki kerana kes dadah,” katanya.

Dua kedai pengurup wang disamun, rugi RM50,000


GEORGETOWN - Dua kedai pengurup wang di Batu Feringghi menjadi sasaran penjenayah apabila disamun dalam dua kejadian berasingan menyebabkan kerugian kira-kira RM 50,000 di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, tiga lelaki bersenjatakan pistol dan memakai topi keledar bertindak mengugut penjaga kedai berkenaan yang berusia 22 tahun sebelum mengarahkannya menyerahkan wang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, salah seorang daripada suspek bersenjatakan sepucuk pistol jenis automatik meletakkan senjatanya di atas kaunter menyebabkan mangsa ketakutan.

Ismail berkata, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan wang namun apabila mangsa cuba melawan suspek bertindak menarik picu pistol dan mengugut mahu menembak mangsa.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menuruti apa kehendak penjenayah itu dan menyerahkan wang tunai termasuk mata wang asing bernilai kira-kira RM15,000 sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menunggang dua motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, selepas melarikan wang berkenaan, kumpulan penjenayah itu kemudian dikatakan pergi ke kedai kedua yang jaraknya kira-kira 100 meter dari lokasi pertama.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati dua suspek masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan pistol melalui ruang kaunter berkaca dan salah seorang suspek pula masuk ke dalam kaunter melalui pintu yang tidak berkunci.

“Suspek kemudian mengambil wang tunai bernilai RM30,000 dan RM5,000 wang wang asing, telefon bimbit di kedai kedua yang disamun mereka.

“Namun sebelum mereka mahu melarikan diri dari kedai berkenaan suspek terlihat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai mangsa,” katanya.

Ismail berkata, penjenayah berkenaan mengarahkan seorang penjaga kedai itu menutup CCTV berkenaan namun dia yang tidak menuruti arahan itu menerima padah apabila dipukul oleh salah orang suspek menggunakan pistol.

Bimbang perbuatan mereka itu disedari orang ramai, kumpulan penjenayah itu melarikan diri.

Ismail berkata, pihaknya kini giat memburu ketiga-tiga suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPDTL di talian 04-2181822.

'Nasib baik tak ada kereta'


'Nasib baik tak ada kereta'
Jalan menghala ke Baling dan Kupang sesak akibat kejadian berkenaan.
BALING - “Nasib baik tak ada kereta, kalau tidak, tak tahulah apa nak jadi,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran dalam kejadian pokok tumbang kira-kira jam 3.20 petang di Kampung Tok Harun di sini kelmarin.

Mazlina Md Isa, 33, yang tinggal beberapa meter dari tempat kejadian berkata, dia terkejut setelah melihat pokok setinggi 10 meter itu tumbang di bahu jalan.

Menurutnya, kejadian itu disedari oleh anaknya, Mohd Haikal Abdul Razak, 11, yang sedang bermain bersama adiknya di hadapan rumah.

“Saya terkejut apabila Haikal memaklumkan terdapat pokok tumbang di bahu jalan. Saya bergegas keluar ke rumah dan melihat pokok itu telah pun tumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat kejadian itu, jalan menghala ke Baling dan Kupang sesak hampir dua kilometer sementara menunggu kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pokok tumbang itu berjaya dialihkan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Jabatan Pertahanan Awam Baling (JPAM).

Mazlina berkata, pihaknya pernah membuat laporan mengenai pokok itu yang hampir tumbang, namun, tidak mendapat respons yang positif.

“Sekarang, pokok ini dah pun tumbang, nasib baik tiada yang cedera.

"Justeru, pihak berkenaan perlu mengambil serius setiap aduan penduduk. Aduan ini untuk kepentingan orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes pokok tumbang di daerah ini dan terdapat sebuah kenderaan yang dihempap pokok dalam kejadian itu. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan setakat ini.

Dicekup dalam kabinet dapur


Dicekup dalam kabinet dapur
Barang yang dirampas daripada dalang Yahaya yang dicekup.
SUBANG JAYA – Dalang utama kes pecah rumah di SS17 yang dapat meloloskan diri daripada ditangkap polis, 6 April lalu, berjaya dicekup di rumah sewanya selepas hampir dua bulan bersembunyi.
Suspek menyembunyikan diri dalam kabinet dapur bagi mengelakkan dia diberkas ketika serbuan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat berhubung satu kes pecah rumah dilakukan tiga penjenayah di sebuah rumah dua tingkat di SS17, awal April lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dua lelaki berusia 32 tahun diberkas di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu bapa kepada seorang suspek meloloskan diri menaiki sebuah kereta Volkswagen Golf.

Berikutan tangkapan dua suspek terbabit, katanya, ketua geng berkenaan berusia 53 tahun itu berjaya diberkas di sebuah rumah di PJS 1/52, Taman Petaling Utama, 30 Mei lalu.

"Hasil siasatan, suspek membawa polis ke kawasan parkir dan menunjukkan sebuah kereta Toyota Vios bernombor pendaftaran palsu yang pernah dilaporkan hilang di Brickfield.

"Polis menemui tiga komputer riba, sebuah tablet jenama Samsung dan i-Pad dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dilakukan suspek sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, pemeriksaan selanjutnya menemukan polis dengan lapan peket plastik lut sinar berisi serbuk kristal seberat 21.85 gram disyaki syabu dan satu plastik disyaki mengandungi ketamin seberat 3.45 gram.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Kejayaan ini adalah hasil tindakan segera awam yang memberi maklumat," katanya.

Padah tinggal lebih masa


Padah tinggal lebih masa
Seorang wanita menangis apabila ditahan anggota imigresen di Sri Andalas, Klang, kelmarin.
KLANG - “Tolong tuan. Jangan tangkap saya tuan. Kesianlah saya dan anak saya tuan,” rintih seorang wanita yang ditahan dalam operasi yang dibuat oleh Jabatan Imigresen Selangor di sebuah rumah kedai di Sri Andalas, di sini, kelmarin.

Pada mulanya, anggota imigresen mengetuk rumah wanita itu dan meminta penghuni rumah berkenaan supaya mereka memberikan kerjasama kepada imigresen membuat pemeriksaan.

Tetapi malangnya, setelah mengetuk pintu rumah berkenaan selama  10 minit, penghuni rumah itu tidak mengendahkan permintaan menyebabkan pihak imigresen tidak mempunyai pilihan selain memecahkan pintu rumah tersebut.

Selepas memecahkan pintu rumah itu, anggota imigresen  menemui wanita itu di sebuah ruang tamu yang tidak berlampu dan apabila ditanya mengapa dia tidak membuka pintu rumahnya, wanita  itu hanya terdiam sahaja sambil mendukung anaknya.

Menurut wanita Indonesia yang berumur 23 tahun itu, dia tinggal di rumah itu bersama suaminya dan dia sudah tinggal di Malaysia kira-kira dua tahun.

Katanya, sebelum ini, dia bekerja di sebuah kilang dan berhenti kerja kira-kira tiga bulan yang lalu kerana dia mahu menjaga anaknya yang bakal menjangkau setahun Julai ini.

Wanita itu akhirnya ditahan oleh anggota imigresen atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.
Kelmarin, anggota Jabatan Imigresen Selangor membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah urut, dua buah kedai makan dan beberapa buah rumah kedai di sekitar Sri Andalas.
Menurut Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil, pihaknya menerima aduan mengenai kebanjiran warga asing di kawasan Sri Andalas daripada orang awam dan risikan anggotanya selama 10 hari.

Dalam operasi itu, katanya, pihaknya berjaya menahan 45 warga asing iaitu 39 warga Indonesia dan enam warga Thailand.

Gadai nyawa elak ditahan


Gadai nyawa elak ditahan
Kamaluddin menyoal siasat warga asing yang ditahan.
Gadai nyawa elak ditahan
Seorang lelaki warga Nigeria yang bersembunyi atas siling rumah.
AYER KEROH - Kerana mahu mengelak diri dari ditahan Jabatan Imigresen, seorang lelaki warga Nigeria sanggup gadai nyawa dengan turun menggelongsor menerusi saluran paip air dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Taman Pelangi, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi itu, seramai tiga lelaki warga Nigeria dan seorang wanita Filipina ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Kamaluddin Ismail berkata, anggotanya terpaksa memecah pintu untuk masuk sebelum mendapati dua lelaki Nigeria berada dalam tandas.

“Seorang lagi bersembunyi atas siling rumah dan seorang wanita Filipina bersembunyi belakang bilik.

“Manakala, seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri dengan turun menggelongsor menerusi saluran paip daripada tingkat lima,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi bermula kira-kira 10 malam dan berakhir empat jam kemudian di sekitar Taman Kota Laksamana dan Taman Pelangi itu, pihaknya memeriksa 30 warga asing.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 11 ditahan termasuk dua wanita tempatan berusia 28 dan 39 tahun kerana disyaki memberi perlindungan kepada warga asing.

“Serbuan di beberapa buah rumah di Taman Pelangi, kita menahan dua wanita tempatan kerana tinggal sebilik dengan pasangan masing-masing, lelaki warga Nigeria. Kebanyakan warga Nigeria yang ditahan dipercayai menyalahgunakan pas pelajar dan ada di kalangan mereka menggunakan pasport palsu,” katanya di sini semalam.

Kamaluddin berkata, operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Salmah Omar dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Mohd Yusof Hashim.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk mengenalpasti warga asing yang menyalahgunakan pas pelajar di negara ini.

“Macam kes ini, kebanyakan mereka mengaku pelajar sebuah pusat bahasa di Kuala Lumpur tetapi sebenarnya tidak, malah mereka menetap di Melaka.

“Siasatan turut mendapati ada di kalangan mereka yang sudah menetap di negeri ini sejak lebih setahun lalu,” katanya.

3 keluarga hilang tempat tinggal

3 keluarga hilang tempat tinggal
Anggota bomba sedang memeriksa kawasan kebakaran di Padang Jawa, semalam.
PADANG JAWA – Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila sebuah rumah di Lorong Berangan 2, di sini, terbakar sebelum merebak ke dua lagi kediaman bersebelahan, kira-kira jam 1.50 petang, semalam.

Dalam kejadian itu, tiga rumah papan didiami 12 mangsa, termasuk sebuah kereta Honda Prelude dan motosikal turut musnah.

Bagaimanapun, dua televisyen, dua mesin jahit dan sebuah peti sejuk berjaya diselamatkan hasil bantuan orang ramai.

Mangsa, Mohd Rashid Sahuti, 28, berkata, dia tidak menyangka kereta miliknya yang baru ditemui polis setelah dicuri dua bulan lalu menjadi punca keluarganya hilang tempat tinggal.

“Peralatan kimpalan yang saya gunakan untuk memasang ekzos ketika itu tidak dimatikan menyebabkan percikannya menyambar tangki minyak yang mungkin bocor.

"Saya cuba turunkan brek tangan untuk tolak kereta jauh dari rumah, tapi malangnya tangan dan muka disambar api," katanya.

Menurutnya yang menyewa di situ sejak lima tahun lalu, pada masa sama, minyak dari tangki mengalir ke ke lantai dan menyebabkan api menyambar dinding rumah.

“Melihatkan keadaan yang semakin teruk, saya terus menjerit memanggil jiran keluar rumah menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan.

“Kejadian berlaku pantas dan tiada apa yang dapat saya selamatkan, mujurlah anak dan isteri saya tiada di rumah,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu menyebabkan badan Mohd Rashid melecur hampir 20 peratus dan dia dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Durin Azmi Salamon, 25, berkata, semua persiapan menanti kehadiran anak pertama bulan depan hangus.

"Ketika itu, saya tidur di bilik dan sebelum terbangun apabila mendengar orang menjerit beritahu ada kebakaran.

"Saya lihat, ruang tamu sedang terbakar dan terus menyelamatkan diri tanpa sempat bawa apa-apa. Namun saya bersyukur, isteri yang sarat hamil berada di tempat kerja," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd Khairi Daud berkata, panggilan mengenai kebakaran itu diterima kira-kira jam 1.55 petang dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Anggerik bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi mendapati tiga rumah terbabit terbakar dan bomba berusaha memadamkan api bagi daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh lima minit dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Mohd Khari berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kerja kimpalan dilakukan seorang penghuni rumah ke atas sebuah kereta Honda Prelude.

"Kereta terbabit tiba-tiba terbakar sebelum api menyambar dinding rumah sebelum merebak ke kediaman lain," katanya.

Kejadian terbabit mendapat perhatian Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, yang menziarahi keluarga mangsa.

Rodziah berkata, selain bantuan peribadi, agensi bertanggungjawab akan menjalankan tugas masing-masing bagi menyalurkan bantuan yang sewajarnya diterima mangsa.

"Pada masa sama, kita alu-alukan orang ramai untuk sama-sama membantu dan bergotong-royong membina semula penempatan ini," katanya.

Senapang angin dirampas


Senapang angin dirampas
NoorZainy menunjukkan selaras senapang angin yang dirampas dalam sidang media di Kampung Raja, semalam.
KAMPUNG RAJA – Sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Hutan Nangka, Jertih, dekat sini, selepas menerima maklumat penyalahgunaan dadah menemui selaras senapang angin buatan sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor berkata, rampasan tersebut menjadikan sebanyak dua laras senapang angin buatan sendiri dirampas sejak awal Januari lalu sehingga semalam.

Menurutnya, rampasan kedua dilakukan dalam serbuan jam 12 tengah hari kelmarin, di rumah berkenaan dan seorang suspek berusia 34 tahun ditahan.

“Senapang angin tanpa peluru itu dirampas di tepi kerusi berhampiran tempat suspek duduk di rumahnya.

“Polis turut menemui sebiji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine di rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah semalam.

Katanya suspek seorang petani yang turut didapati positif dadah ditahan reman untuk membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, polis sedang mengesan seorang lelaki bernama Mohd Hasrul Nawi, 25, atau dikenali Mat Yo dari Jalan Kubang Bemban, di sini, bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki ditetak dan disamun oleh lelaki sekampungnya.

NoorZainy berkata, Mohd Hasrul perlu ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan pula, dua suspek yang memecah masuk sebuah bengkel di Kampung Alor Lintah, malam kelmarin ditangkap orang ramai bersama anggota polis.

Suspek berusia 27 dan 33 tahun itu ditangkap orang ramai termasuk pemilik bengkel kenderaan itu selepas disyaki mencuri.

“Orang ramai telah menahan salah seorang suspek sedang mengangkut tangki air kenderaan dan rakannya berada di dalam bengkel selepas suspek cuba melarikan diri melalui pintu depan,” katanya.

Kedua-dua suspek didapati positif dadah dan suspek berusia 27 tahun didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi motosikal.

Hutan simpan kekal diceroboh


Hutan simpan kekal diceroboh
Papan tanda amaran di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong.
Hutan simpan kekal diceroboh
Pembinaan bangunan dua tingkat dipercayai madrasah pondok agama di Hutan Simpan Kekal Gunung Stong Tengah, dekat Dabong, Kuala Krai.
Hutan simpan kekal diceroboh
Deretan rumah papan dibina di penempatan pondok agama di Hutan Simpan Kekal Gunung Stong Tengah, dekat Dabong, Kuala Krai.
KUALA KRAI - Kerajaan negeri dan pihak berkuasa terbabit diminta membuat penjelasan berhubung aktiviti penerokaan dan pencerobohan di kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Stong Tengah, dekat Dabong, di sini.

Seorang penduduk enggan dikenali berkata, tindakan menceroboh dan membangunkan kawasan rizab itu dengan sebuah penempatan perlu dipandang serius pihak berkenaan.

Katanya, penerokaan dikhuatiri melibatkan aktiviti penebangan pokok balak dalam hutan simpan memandangkan rumah di penempatan itu dibina menggunakan kayu sepenuhnya.

“Penduduk mahu penjelasan kerana penerokaan sama ada untuk tanaman, penempatan atau tebang balak sepatutnya tidak dibenarkan di kawasan ini sebab melibatkan hutan simpan kekal.

“Melihat usia pokok pisang ditanam di kawasan penempatan itu, saya percaya aktiviti penerokaan hutan simpan kekal ini sudah berlaku sejak dua tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dibina berhampiran sungai, mini hidro

Penduduk itu berkata, penerokaan di kawasan itu dikhuatiri boleh menjejaskan alam sekitar kerana penempatan berkenaan dibina berhampiran sungai.

Katanya, deretan rumah kayu di penempatan itu juga dibina berdekatan loji elektrik Mini Hidro Kenerong, kira-kira dua kilometer dari Jalan Jeli-Gua Musang.

“Kami bimbang Hutan Simpan Kekal Gunung Stong Tengah terancam dan lama-kelamaan musnah kerana tidak diurus dan diberi perhatian oleh pihak berkuasa mahu pun kerajaan negeri,” katanya.

Justeru katanya, pihak terbabit digesa mengambil peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekal dan memelihara kawasan itu sebagai kawasan hutan simpan kekal.

“Jika dibiarkan dan tidak ada tindakan diambil ke atas penceroboh, kami bimbang selepas ini ada pihak lain pula datang teroka kawasan hutan simpan ini.

“Kami mahu kerajaan negeri pandang serius dan pantau secara menyeluruh perbuatan menceroboh hutan simpan bagi memastikan aktiviti haram ini tidak berterusan atau pun berulang,” katanya.

Penerokaan untuk pembangunan pondok agama

Sementara itu, maklumat lanjut telah mendedahkan penerokaan kawasan hutan simpan itu dipercayai dibuat secara haram kerana tidak ada kelulusan diberikan pihak berkuasa terbabit.

Kawasan itu dikatakan diteroka untuk dibangunkan dengan sebuah pondok agama lengkap dengan kediaman pelajar dikenali Madrasah Al-Aulad Sungai Kenerong, Kampung Stong.

Projek dianggarkan bernilai RM200,000 termasuk bagi pembinaan madrasah pondok dan kediaman yang boleh menempatkan 40 pelajar itu mula dilaksanakan pada Oktober, 2011.

Difahamkan, satu jamuan makan besar-besaran pernah diadakan sebelum ini bagi mengumpul sumbangan untuk pembangunan pondok agama itu dan turut dihadiri pemimpin serta ketua masyarakat setempat.

Sebuah papan tanda besar memohon derma untuk projek pondok agama itu turut dapat dilihat dipasang di simpang jalan Jeli-Gua Musang berhampiran Masjid Jelawang, Dabong.

Rumah kongsi warga Indonesia musnah terbakar



4 Jun 2013
KUANTAN - Sebuah rumah kongsi yang dihuni 18 lelaki warga Indonesia di sebuah tapak projek perumahan, di Jalan Taman Rimba, Mentakab, musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
 
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
 
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian.
 
"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian," katanya.
 
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kebakaran dipercayai berpunca di bahagian dapur rumah kongsi itu.
 
"Jumlah kerugian masih disiasat," katanya. - Bernama

Mat despatch disamun 2 lelaki bersenjatakan pistol, pedang samurai



4 Jun 2013
KUANTAN - Seorang penghantar surat kerugian wang tunai RM500 apabila disamun dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan sebilah pedang samurai di sini.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 4.50 petang tadi, Mohd Shahril Mohd Sehu, 24, disamun suspek di Jalan Pintas Kuantan selepas diarah menghentikan motosikal, dan seorang daripada mereka mengacu sepucuk pistol manakala rakannya meletakkan pedang samurai di leher mangsa.
 
"Selepas menyamun mangsa, seorang daripada suspek bertindak membuang kunci motosikal mangsa ke atas jalan raya dan terus melarikan diri," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Beliau berkata polis kini memburu suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Samun: Geng Bob tumpas

Samun: Geng Bob tumpas
Antara kereta disamun Geng Bob yang berjaya ditemui semula.
PETALING JAYA - Polis Selangor menumpaskan kumpulan samun kenderaan yang dikenali sebagai 'Geng Bob' dengan menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sekitar kawasan Petaling Jaya, 26 Mei lalu.

Kesemua suspek, yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 36 tahun, diberkas di Taman Seri Manja, Sungai Way berikutan kejadian samun kereta Mercedes Benz dan Toyota Hilux yang dilaporkan hilang di kawasan Petaling Jaya.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, polis menjejaki dan menahan enam suspek di kawasan Taman Sri Manja dan penahanan suspek itu membawa kepada penemuan tujuh kenderaan yang dipercayai hasil samun yang ditempatkan di kawasan parkir awam di lokasi suspek diberkas.

Antara kenderaan tersebut adalah Mercedes Benz, Toyota Hilux, Nissan Sentra, Suzuki Swift, Honda Accord, Honda CRV dan Toyota Wish.

Katanya, anggaran kerugian bernilai hampir RM1.2 juta.

"Polis turut merampas beberapa peralatan termasuk sarung tangan, kunci kereta, sebilah parang dan pedang.

“Siasatan awal turut mendapati seorang daripada suspek yang dipercayai ketua kumpulan ini mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, samun dan penyalahgunaan dadah,” katanya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

Menurutnya, kumpulan ini aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar Petaling Jaya dan beroperasi di Negeri Sembilan sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua mereka direman hingga 6 Jun ini untuk siasatan lanjut.

'Dia risau sebelum pergi'

'Dia risau sebelum pergi'
Isteri mangsa ditenangkan keluarga.
SUNGAI PETANI - Pegawai Media Sosial kepada Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Kedah, Meor Johari Meor Ahmad, 39, yang maut dalam nahas di Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River, pagi semalam risau meninggalkan isteri dan anak-anak sebelum melangkah keluar dari rumah.

Isteri mangsa, Azmah Mat Isa, 37, berkata, suaminya bertolak dari rumah mereka di Sungai Petani jam 10.30 malam kelmarin untuk menemani rakan sekerja atas urusan perlu diselesaikan.

Menurutnya, sebelum bertolak, mangsa menyatakan kerisauan memandangkan setiap hari menghantar dan menjemputnya pulang.

“Dia pula berkali-kali cium saya sebelum pergi, macam tak mahu tinggalkan.

“Rupa-rupanya dia nak pergi terus meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Mereka dikurniakan enam anak berusia empat bulan hingga 14 tahun.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain memaklumkan, pihaknya terkejut menerima berita terbabit awal pagi, semalam.

“Dia berkhidmat dengan saya lebih kurang lima tahun dan banyak menyokong penglibatan saya dalam bidang politik. Dengan ketiadaan beliau, saya berasakan satu kehilangan besar,” katanya.

Pegawai Exco Kedah maut

Pegawai Exco Kedah maut
Othman (kiri) melihat keadaan kenderaan mangsa yang terlibat kemalangan maut, awal pagi kelmarin.
SLIM - Seorang pegawai kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 371.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, awal pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Meor Johari Meor Ahmad, 39, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Toyota Harrier dipandu mangsa terbabas.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, mangsa bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ridzuan Hashim, 34, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum mangsa tercampak keluar dari kenderaan di tengah jalan.

Othman berkata, mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut dan pihaknya masih menyiasat kejadian kemalangan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Bintang Bollywood mati tergantung

JIA Khan
JIA Khan

MUMBAI - Seorang bintang baru Bollywood, ditemui mati tergantung di kediamannya di sini, kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Chhering Dorje berkata, Nafisa Khan atau Jia Khan, 25, disahkan membunuh diri.

Anak kelahiran Britain itu menempa nama dalam industri Bollywood pada 2007 bersama pelakon terkenal Amitabh Bachchan menerusi filem Nishahb.

Dia juga pernah digandingkan bersama Aamir Khan dalam filem Ghajini  sebelum beraksi dalam Housefull pada 2010.  - Al-Jazeera

140 ditahan terlibat demonstrasi



5 Jun 2013
RALEIGH - Sekurang-kurangnya 140 ditahan semasa demonstrasi mingguan terbaru yang berlangsung di North Carolina semasa perhimpunan Agung Republikan.

Polis menganggarkan kira-kira 1,000 orang menghadiri perhimpunan petang kelmarin di belakang bangunan mahkamah.

Beratus-ratus kemudian memasuki bangunan itu dan menurut polis lagi, mereka yang ditahan semalam membawa kepada jumlah yang ditangkap meningkat kepada 300 sejak berlakunya demonstrasi itu April lalu.

Persatuan kebangsaan bagi ‘Advancement of Colored People’ menerajui demonstrasi itu membatah pemotongan untuk program berbentuk sosial, perubahan dalam undang-undang pengundian dan isu lain yang diperjuangkan GOP.

Keluarga mangsa lancar protes

Keluarga mangsa lancar protes
Xiuya bertindak menyekat laluan jalan utama di hadapan pusat penyembelihan ayam dan itik Baoyuan pada hari kedua insiden kebakaran yang mengorbankan kira-kira 120 orang.
DAHUI - Lebih 100 ahli keluarga mangsa kebakaran pusat penyembelihan ayam dan itik Baoyuan di timur laut China, mengadakan protes, semalam di luar premis berkenaan menuntut keadilan ke atas kematian kira-kira 120 orang, kelmarin.

Kumpulan penunjuk perasaan bertindak menyekat jalan utama dan berlaku pertengkaran dengan anggota keselamatan kerana tidak berpuas hati dengan kemudahan laluan kecemasan di premis itu.

Lapor akhbar Xinhua, seorang penunjuk perasaan menggesa pihak pengurusan bertanggungjawab di atas kematian anak perempuannya dalam kebakaran tersebut.

"Ia berlaku selepas waktu bekerja tetapi mengapa pihak pengurusan masih mengunci pintu utama. Kami mahu penjelasan dan pihak syarikat perlu bertanggungjawab," kata penunjuk perasaan, Yang Xiuya.

Kebakaran terburuk dalam tempoh 12 tahun itu dilaporkan berlaku awal pagi sewaktu lebih 300 orang sedang bekerja dalam pusat penyembelihan berkenaan.  - Reuters

Ugut bapa guna golok minta RM50


Permaisuri: Seorang lelaki berusia 25 tahun memberontak sehingga sanggup mengugut mencederakan ibu bapanya dengan golok, selepas mereka tidak memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang RM50.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu itu, suspek dikatakan memberontak dengan alasan keluarga tidak mengambil berat dirinya dan cuba mengugut ibu bapanya dengan senjata tajam untuk mendapatkan wang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, berkata mangsa dikatakan sedang tidur sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran suspek yang meminta wang RM50 dalam keadaan marah.

Beliau berkata, bapa suspek yang bekerja sendiri bagaimanapun enggan melayan kehendak anaknya itu, menyebabkan suspek berang dan bertindak agresif.

“Mangsa tidak mahu memberi wang kepada suspek kerana bimbang anaknya itu membeli dadah. Akibatnya, suspek naik angin lalu mengacukan sebilah golok ke arah bapanya untuk menakutkan mangsa.

“Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, mangsa terpaksa akur memberikan wang kepada suspek,” katanya.

Difahamkan, suspek yang juga anak sulung daripada dua beradik tinggal di rumah itu bersama ibu bapanya, sementara adik suspek sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

Dua ditangkap selepas 20 minit merompak


Tapah: Tindakan bijak dua beradik mengingati nombor pendaftaran dan jenis kereta dinaiki tiga perompak yang menyamun rumah mereka berjaya membantu polis menahan dua daripada mereka, kira-kira 20 minit selepas kejadian.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jumaat lalu, tiga lelaki bersenjatakan dua parang memecah masuk sebuah rumah di Taman Tapah Baru di sini sebelum mengikat dua beradik perempuan berusia 24 dan 17 tahun menggunakan kabel plastik dan menutup mulut mereka dengan pita perekat.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata suspek kemudian melarikan barang berharga seperti rantai emas, wang tunai, telefon bimbit dan jam tangan menaiki kereta Perodua Viva berwarna perak dengan nombor pendaftaran Perak.

Katanya, mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudian menghubungi polis jam 10.40 pagi dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah membuat hebahan mengenai kejadian itu ke semua balai polis pada jam 10.45 pagi.

“Pada jam 11.10 pagi, sepasukan anggota ronda mengesan kereta suspek di kawasan Plaza Tol Sungkai dan menahan dua lelaki. Kami sedang mengesan seorang lagi rakannya yang melarikan diri menaiki kenderaan lain,” katanya pada sidang media di IPD Tapah di sini, semalam.

Polis mengesan N Nantha Kumar, 30, dengan alamat terakhir di Nombor 20, Lorong Ciku, Chemor, Perak, yang dipercayai lari bersama hasil rompakan.

Dalam kes berasingan di Ipoh, hasrat seorang lelaki berusia 31 tahun untuk menyamun sebuah rumah termasuk melarikan sebuah kereta jenis Toyota Camry di Taman Rasi Jaya, Menglembu, tidak kesampaian apabila ditahan sepasukan anggota polis.

Nenek ‘suami’ muda dicekup


Jitra: Helah seorang nenek muda berusia 46 tahun kononnya sudah bernikah dengan lelaki berusia 24 tahun, terbongkar apabila mereka yang dipercayai beberapa bulan hidup seperti suami isteri didapati tiada sebarang pertalian sah.

Difahamkan, tembelang wanita itu yang berasal dari Pida dekat Kodiang, pecah selepas kediaman milik keluarga pasangannya di Kampung Permatang Bongor, Ayer Hitam di sini, diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), malam kelmarin.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dakwaan pasangan itu bahawa mereka sudah berkahwin di selatan Thailand, sebenarnya palsu sebelum kedua-duanya ditahan atas tuduhan khalwat.

Tiada sebarang pertalian

Sumber PADKP ketika ditemui berkata, pasangan itu ditahan selepas disahkan tiada sebarang pertalian sebagai suami isteri tetapi dipercayai sudah beberapa bulan tinggal sebumbung.

Mengulas serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, katanya, sebaik pintu rumah berkenaan diketuk, kediaman terbabit dikesan gelap tetapi pintu tidak berkunci sebelum anggota PADKP masuk dan mengetuk pintu salah sebuah bilik di dalamnya.

Terjaga dari tidur
“Sebaik pintu bilik itu diketuk, seorang lelaki hanya berseluar pendek tanpa baju membuka pintu sebelum pemeriksaan kemudian menemui seorang wanita yang hanya berkemban dalam bilik sama dipercayai baru terjaga dari tidur.

“Ketika disoal siasat, pasangan itu pada mulanya cuba menipu dengan mengaku sudah bernikah di negara jiran. Namun apabila diminta mengemukakan dokumen pernikahan sebagai bukti, mereka gagal berbuat demikian sebelum ditahan atas dakwaan kesalahan bersekedudukan sehingga menimbulkan syak,” katanya.

Sumber itu berkata, pasangan terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tujuan laporan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

“Ketika ini, kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

“Lelaki terbabit yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini, kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kubang Pasu, selepas dipercayai terbabit pengambilan dadah,” katanya.

Tauke bengkel kena tembak

Tauke bengkel kena tembak
Anggota unit forensik membuat siasatan selepas mangsa maut ditembak lelaki bertopeng di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Simpang, semalam. Taiping: Seorang pemilik bengkel kereta maut, manakala rakannya cedera ditembak lelaki bertopeng di sebuah restoran yang dipenuhi pelanggan di Taman Kota Jaya, Simpang dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 36 tahun sedang bersarapan apabila dua lelaki menaiki motosikal tiba di situ sebelum seorang daripadanya memasuki restoran berkenaan dan melepaskan tiga das tembakan dari jarak dekat yang mengenai leher mereka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Polis, Yusuf Mohd Diah, berkata seorang mangsa terbabit, K Govintaraju meninggal dunia di Hospital Taiping, manakala rakannya, S A Manivannan yang bekerja di sebuah kilang tayar, masih dirawat di hospital sama.


“Kejadian berlaku apabila salah seorang lelaki bermotosikal itu masuk ke dalam restoran berkenaan dan menuju ke arah kaunter, lantas berpusing dan mengeluarkan pistol dari bahagian pinggangnya sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa yang sedang bersarapan di meja berhampiran.

Suspek melarikan diri

“Tembakan itu mengenai tepat di leher Govintaraju, manakala rakannya kena sipi bahagian leher.

“Penjenayah terbabit melarikan diri dengan membonceng motosikal ditunggang rakannya yang menunggu tidak jauh dari tempat kejadian, sebelum memecut ke arah lokasi tidak dapat dipastikan,” katanya, di sini, semalam.
Ketika kejadian, Yusuf berkata, ada kira-kira lapan orang lain sedang bersarapan dalam restoran berkenaan dan kedua-dua mangsa dihantar oleh rakan mereka ke Hospital Taiping dengan menaiki kereta.

Siasat motif kejadian

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, polis kini memburu dua penjenayah terbabit serta berharap orang awam yang ada maklumat mengenai kejadian itu dan suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8080222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Maut digilis tayar traktor


Kuala Berang: Seorang buruh ladang warga Indonesia maut digilis tayar gerabak traktor yang dinaikinya apabila terjatuh daripada kenderaan itu, tengah hari kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Jeneris, Hulu Terengganu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim, berkata mangsa dikenali sebagai Mus, berusia 30-an, menumpang traktor berkenaan sebelum terjatuh lalu digilis tayar gerabak yang sarat muatan sawit.

Mangsa tumpang traktor

Katanya, ketika kejadian mangsa bersama seorang lagi rakannya menumpang traktor berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun, berasal dari Bukit Payung, Marang.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tengkawang dekat sini dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia setiba di pusat kesihatan itu.

"Bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya sambil menambah jenazah mangsa sudah diserahkan kepada majikannya untuk urusan penghantaran pulang ke Indonesia.

10,000 penduduk Jerman terjejas bah

 10,000 penduduk   Jerman terjejas bah

Pemandangan dari udara menunjukkan stadium di Gera, timur Jerman, dilimpahi air. Perkhidmatan perkapalan di Sungai Rhine terhenti akibat paras air terlalu tinggi


Prague: Kawasan pinggir kota Prague ditenggelami air semalam selepas banjir yang melanda Eropah mengorbankan 11 orang dilaporkan mula menghala ke Jerman dengan 10,000 penduduk diarah meninggalkan rumah masing-masing.

Kebanyakan bahagian selatan dan utara ibu negara Republik Czech itu ditenggelami air termasuk di zoo dan trek lumba kuda dalam kejadian banjir terburuk dalam tempoh sedekad yang diikuti hujan lebat selama beberapa hari.
Bagaimanapun penghadang besi yang dibina di sepanjang tebing sungai Vlata berjaya melindungi pusat bandaraya bersejarah itu.


Jabatan kaji cuaca berkata hujan yang semakin berkurangan membantu mengurangkan paras air di seluruh negara,tetapi sebahagian Jerman, Slovakia dan Hungary akan terus dilanda hujan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Di Jerman, 10,000 penduduk dipindahkan dari rumah masing-masing di kawasan rendah di Saxony dan beribu-ribu lagi di kawasan Bavaria.

Sekurang-kurangnya 11 kematian dilaporkan berlaku di seluruh Republik Czech, Austria, Poland dan Jerman dengan dua daripadanya dilaporkan di bandar selatan Jerman, Guenzburg di Danube. Kebanyakan sungai di wilayah itu sudah melimpahi tebing.

Perkhidmatan kapal terhenti
Paras air yang tinggi juga menghentikan perkhidmatan perkapalan di Rhine, di selatan Jerman sehingga sekurang-kurangnya pagi Khamis, kata sebuah agensi tempatan.

Perkhidmatan perkapalan terhenti sepanjang hujung minggu di bahagian selatan sungai berikutan hujan yang menyebabkan paras air meningkat secara mendadak. Sungai masih lagi ditutup kepada laluan perkapalan selatan Koblenz pada Selasa, kata pihak berkuasa navigasi di Baden-Wuerttemberg.

Banjir di Eropah juga menyebabkan kejatuhan pasaran saham Munich Re dan Hannover Re kira-kira 2.5 peratus pada Isnin dengan pasaran menjangkakan tuntutan besar kerugian daripada pemilik hartanah sebaik saja air surut.

Pihak berkuasa berkata paras air di Vlata mungkin meningkat kepada paras paling tinggi hari ini di Prague tetapi beribu-ribu orang dipindahkan daripada bandar dan kawasan bandar hilir.

Kilang kimia, Spolana di Neratovice utara Prague berkata mereka memindahkan barangan berbahaya ke tempat selamat dan menutup semua pengeluaran.

Penduduk Terezin, sebuah bandar di utara Prague yang terkenal dengan tugu peringatan kem era Nazir juga dipindahkan pada lewat Isnin dan Usti nad Labem, bandaraya utama di utara Republik Czech kemungkinan mencatatkan tahap air paling tinggi.

Volkswagen tutup kilang

Pembuat kereta Volkswagen juga dilaporkan menutup sementara kilang mereka di Zwickau, di negeri timur Jerman, Saxony disebabkan banjir yang menghalang pekerja untuk ke tempat kerja. Sebahagian besar sistem pengangkutan bawah tanah Prague juga masih ditutup semalam, dan pihak berkuasa berkata ia mungkin akan dibuka semula beberapa hari lagi.

Kira-kira 60 batang jalan juga masih ditutup kepada lalu lintas dan landasan tram juga masih ditutup. - REUTERS