JOHOR BHARU - Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 22 pendatang asing tanpa izin rakyat Indonesia selepas menahan mereka di perairan Teluk Ramunia, dekat Kota Tinggi, semalam.
 
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Mustapa Kamal Abas berkata kesemua mereka termasuk seorang tekong dan dua pembantu bot ditahan kira-kira pukul 10.55 malam selepas anggota penguatkuasa yang melakukan rondaan di perairan itu terserempak mereka.
 
Beliau berkata empat anggota APMM ternampak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari perairan negara jiran memasuki perairan negara ini ketika sedang membuat rondaan itu.
 
"Anggota APMM itu kemudian cuba menghampiri bot gentian kaca itu sebelum pemandu bot terbabit bertindak memecut laju menuju ke pantai Kampung Teluk Ramunia apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
 
Mustapa Kamal berkata anggota APMM kemudian mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya memintas dan menahan bot itu.
 
Beliau berkata pemeriksaan kemudian menemui 21 lelaki dan seorang wanita rakyat Indonesia, tekong berserta dua pembantunya di dalam bot itu.
 
Katanya kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Batam, Indonesia dan mereka kini ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). - Bernama