Search This Blog

Saturday, June 1, 2013

syria

Local Coordination Committees in Syria
The number of martyrs of Syria has risen to 28 thus far, and includes 2 children: 16 martyrs were reported in Homs; 5 in Aleppo; 3 in Damascus Suburbs; 2 in Daraa; and 1 in Idlib

HUBUNGAN jalanraya Penampang - Tambunan terputus

Foto MenarikHUBUNGAN jalanraya Penampang - Tambunan terputus apabila satu kejadian tanah runtuh berlaku dekat kampung Madsiang Penampang 21 kilometer dari sini awal pagi tadi. Keadaan ini menyebabkan orang ramai dari daerah Tambunan yang ingin menyaksikan penutupan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan Penampang tidak dapat meneruskan perjalanan mereka. 

Separuh jalan runtuh

Foto
PENDUDUK terpaksa berjalan merentasi tebing jalan yang runtuh.
Ribuan pengguna jalan raya terkandas apabila jalan utama menghubungkan Penampang ke Tambunan runtuh dalam kejadian di Kilometer 21, Kota Kinabalu-Tambunan berhampiran Kampung Timpaluon, Babagon, dekat sini, semalam.
Kejadian itu disedari penduduk kira-kira jam 4 pagi apabila mendapati bahu jalan mulai runtuh sehingga menyebabkan lebih daripada separuh jalan raya berkenaan berlubang sedalam kira-kira 20 meter.
Akibat kejadian itu, hampir semua pengguna jalan raya termasuk penduduk kawasan berkenaan terputus hubungan sama ada dalam perjalanan dari Tambunan ke Kota Kinabalu atau sebaliknya.

Menurut pemandu teksi, Vinson Sylveston, 36, kejadian itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu dan terpaksa meminta bantuan daripada rakan untuk membawa penumpangnya ke destinasi yang diminta.


“Saya sudah dimaklumkan kejadian ini pada jam 8 pagi sebelum bergerak dari Tambunan dan berharap jalan berkenaan boleh digunakan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Kasino mini pusat servis kenderaan


Maran: Di bahagian luar terpampang papan tanda Pusat Servis Kenderaan, tetapi hakikatnya sebuah premis di Jalan Chendor Baru 2, dekat sini, sebenarnya adalah kasino mini yang menyediakan pelbagai bentuk perjudian.

Kegiatan yang dipercayai bermula sejak tiga bulan lalu itu bagaimanapun berjaya dikesan polis selepas serbuan jam 5.30 petang kelmarin sekali gus merungkai persoalan sering diajukan orang ramai yang hairan melihat pintu depan premis itu tidak pernah dibuka dan pengunjung hanya masuk melalui tirai besar yang dijadikan penutup pintu utama.


Sumber polis berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan haram berkenaan.

“Polis membuat intipan setengah jam sebelum menyerbu. Dalam serbuan itu, lapan kaki judi berusia 20 hingga 25 tahun serta seorang penjaga premis itu ditahan.


“Polis turut merampas 24 komputer dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian serta wang tunai RM1,300. Siasatan awal mendapati premis terbabit mula beroperasi jam 9 pagi hingga lewat malam,” katanya.


Sumber itu berkata, kesemua barang rampasan termasuk individu ditahan dibawa ke Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.

Siasat kes cinta Internet jumpa dadah


Kajang: Lain yang dicari lain ditemui. Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Bandar Sungai Long di sini, menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, JSJK menerima maklumat awam mengenai kegiatan satu sindiket penipuan cinta Internet membabitkan warga Afrika di rumah berkenaan.


Bagaimanapun, sebaik serbuan dibuat, polis menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 876 gram yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kes itu selepas dimaklumkan JSJK sebelum mengesan suspek.


Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan rumah itu dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah berdasarkan penemuan pelbagai peralatan di dalam rumah berkenaan.


“Sehingga kini, polis masih memburu suspek yang terbabit melakukan jenayah itu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, turut ditemui di dalam rumah berkenaan adalah dua pasport milik lelaki warga negara Nigeria dan Malawi disyaki melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Balai Polis Kajang atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Nekad rempuh pokok elak maut


Alor Gajah: Tindakan nekad seorang pemandu lori muatan ikan siakap merempuh deretan pokok menyelamatkannya dari maut selepas kenderaan dipandu mengalami masalah teknikal di Kilometer 205, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Air Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu, lori 11 tan dipandu Mohd Rizal Md Yusof, 40, bersama kelindan Amir Ismail, 43, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tebing di tempat kejadian, jam 1.20 pagi.


Sumber berkata, mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Pulau Pinang untuk menghantar bekalan ikan siakap segar.

“Kemalangan dipercayai berpunca apabila brek, gear serta stereng tidak berfungsi,” katanya, di sini, semalam.


Sementara itu, Mohd Rizal mengakui tidak mempunyai pilihan selain meredah longkang kecil di kanan jalan sebelum merempuh tiga pokok di susur masuk R&R berkenaan.


“Kami bertolak dari Sedeli, Kota Tinggi, jam 9 malam dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh untuk melakukan pemeriksaan rambang pada lori sebelum meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi di R&R Air Keroh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Enam kali tetak

Foto
PENIAGA sayur warga Myanmar dibunuh di pekarangan Pasar Borong Selayang.
Kuala Lumpur: Seorang peniaga sayur warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika sedang menaiki motosikal bersama seorang rakannya dalam kejadian di pekarangan tempat letak kereta Pasar Borong Selayang Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nasir, 40-an, mati di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan manakala rakannya mengalami cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menaiki motosikal bersama rakannya dan dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya di pasar berkenaan apabila tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki.
“Hasil pemeriksaan awal polis, terdapat enam kesan tetakan di seluruh badan mangsa termasuk di tangan kanannya yang hampir putus.

“Dipercayai ketika kejadian ramai orang awam berada di kawasan parkir itu, namun sebaik saja melihat kejadian, mereka terus lari menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala rakan mangsa turut dihantar di hospital sama untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. Beliau turut meminta saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat.

Perancis haram rokok elektronik di tempat awam


Paris: Perancis akan mengharamkan penggunaan rokok elektronik di semua tempat awam dan mengawalnya sama seperti rokok biasa.

Menteri Kesihatan Perancis, Marisol Touraine berkata, rokok elektronik bukan produk biasa dan perlu diletakkan di bawah kawalan seperti rokok tembakau.


“Maksudnya, kerajaan akan pastikan ia tidak digunakan di tempat awam, penjualannya dikawal daripada pengguna kurang daripada 18 tahun dan pengeluar produk itu tidak boleh mengiklankannya,” katanya.

Pengumuman itu mencetuskan kemarahan di kalangan penjual dan pengguna alat berbateri itu.


Tidak seperti rokok biasa, produk elektronik itu menggunakan cecair nikotin yang berubah menjadi wap apabila disedut. Ketika ini rokok elektronik dibenarkan diguna di bar dan restoran serta tempat awam lain, berbeza daripada rokok tembakau yang diharamkan sejak lima tahun lalu. Penjual berkata, kira-kira 500,000 orang menggunakan rokok elektronik di Perancis ketika ini. Seorang daripada penjual produk itu, Darren Moon berkata, dia akan menutup kedai jika larangan itu berkuat kuasa.


“Saya mungkin akan berpindah ke tempat lain yang tidak mengharamkan penggunaannya,” katanya. - Daily Mail

Mangsa ke-3 nahas lif


Beijing: Seorang pelayan dihimpit hingga mati selepas dia menjenguk ke lubang laluan sebuah lif restoran untuk memeriksa kerosakan alat itu, lapor media semalam.

Ia adalah nahas ketiga membabitkan lif di China dalam tempoh dua minggu lalu.


Pada 28 Mei lalu seorang jururawat Wang Fang, 24, turut terbunuh disepit lif. Nahas terbaru dipercayai berlaku akibat satu daripada kabel lif berkenaan terputus. Saksi berkata, kabel lif makanan itu terhempas dan menghempap kepala Zhang Zhe, 23.

“Dia disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.


Ia kemalangan membabitkan lif ketiga di laporkan di China baru-baru ini.


Terdahulu, seorang jururawat berusia 24 tahun terputus badannya ketika cuba melangkah keluar dari lif rosak yang dinaikinya di Shenzhen pada 15 Mei lalu. Sebelum sempat dia keluar sepenuhnya, lif itu bergerak naik dan menghimpitnya di antara bahagian lantai dan siling bangunan. Kejadian kedua berlalu membabitkan seorang wanita yang menolak kereta sorong yang turut tersepit dan badan terputus dua. Saksi berkata, Zhang baru bekerja di restoran itu sejak empat hari dan dia dikenali sebagai pemuda yang berjimat-cermat membantu ibu bapanya di kampung. - Reuters

Penjara sedia bilik hubungan intim


Pontianak: Badan pemantau Ombudsman Indonesia mendedahkan, sebuah penjara di Pontianak, Kalimantan Barat melanggar undang-undang dengan menyediakan bilik khas untuk membolehkan tahanan mengadakan hubungan seks dengan pasangan masing-masing.

Timbalan ketuanya, Azlaini Agus berkata, bilik itu disewa pada harga Rp100,000 (RM31.48) satu malam.


“Kemudahan itu memang jelas bercanggah dengan peruntukan undang-undang,” katanya. Azlaini berkata, seseorang banduan tidak mempunyai kebebasan kerana ia sudah dihadkan oleh kerajaan kerana melakukan jenayah. “Penemuan salah laku di Pontianak telah dilaporkan kepada Unit Kerja Presiden Bidang Pengawasan Dan Pengendalian Pembangunan untuk tindakan susulan,” katanya. - JP

Tiga kenderaan terbakar dalam terowong


Bangkok: Tiga kenderaan terbakar dalam nahas membabitkan enam kenderaan yang menyekat sebuah terowong di Jalan Ratchadapisek awal pagi semalam, mencederakan tiga orang dan menyebabkan kesesakan jalan yang teruk.

Polis dan petugas penyelamat melaporkan mereka dihubungi selepas berlaku nahas di terowong Huay Khwang kira-kira jam 4.30 pagi. Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah trak enam roda dan trak pikap sudah terbakar sebelum api merebak ke sebuah teksi. Ketika api merebak, berlaku beberapa letupan. Petugas penyelamat mengambil masa 30 minit untuk memadamkan kebakaran. Tiga kenderaan rentung dan tiga orang cedera akibat nahas itu.


Saksi memberitahu polis, nahas berlaku ketika hujan lebat apabila trak terbabit memasuki terowong dan berlanggar dengan teksi menyekat kedua-dua laluan dalam terowong berkenaan. Kemudian sebuah trak pikap dan sebuah lagi teksi merempuh teksi pertama menyebabkan kebakaran. Nahas mengakibatkan kesesakan teruk di kawasan itu sementara polis mengambil masa tiga jam untuk mengalihkan keenam-enam kenderaan berkenaan. - Bangkok Post

Penjawat awam rasuah seks oral


Singapura: Seorang penjawat awam kanan republik ini semalam didapati bersalah menerima rasuah melalui perbuatan seks oral bersama seorang eksekutif wanita daripada pembekal pertahanan sebagai balasan terhadap kontrak perniagaan.

Hakim mahkamah daerah menolak penafian Peter Lim, bekas ketua Pasukan Pertahanan Awam Singapura bahawa tiada rasuah terbabit kerana dia dan wanita berkenaan menjalin hubungan intim.


“Saya berpuas hati kerana ada elemen rasuah dan rasa bersalah di pihak tertuduh ekoran perkaitan dengan seks oral yang diterimanya pada 2 Mei 2010 daripada Pang Chor Mui, kata hakim Hamidah Ibrahim. “Sejajar dengan itu, saya dapati pendakwa raya telah membuktikan kesnya terhadap tertuduh menjangkaui keraguan munasabah dan saya dapati dia bersalah atas pertuduhan itu,” katanya. - AFP

Pemimpin BRN dituduh tipu


Bangkok: Menteri Pertahanan Sukumpol Suwanatat melabel dua pemimpin pemisah di selatan negara ini sebagai pembohong kerana menuduh pihak berkuasa Thai menggunakan kekerasan terhadap penduduk di selatan.

“Kami tidak melakukannya. Ia satu pembohongan. Pegawai kerajaan tidak melakukan sebarang kesalahan. Kamu yang melakukannya,” katanya semalam. “Pihak berkuasa sangat berdisiplin dan mengawal keadaan. Rundingan boleh diteruskan dan kami sudah bertolak-ansur dalam banyak perkara, tetapi tidak betul membuat tuduhan sedemikian,” katanya. Dia membuat kenyataan itu sebagai reaksi terhadap klip video terbaru yang dimuat naik oleh Hassan Taib dan Adulkareem Kalib, pemimpin Barisan Revolusi Nasional (BRN) Selasa lalu yang menuduh pegawai kerajaan mencederakan penduduk tempatan di selatan.


Mengenai keganasan yang berterusan di wilayah selatan walaupun rundingan damai berlangsung antara pihak berkuasa Thai dan wakil BRN, menteri pertahanan itu berkata, penduduk tempatan meragui jika tindakan BRN ikhlas.

Sukumpol turut berkata, dia bersetuju dengan cadangan ketua tentera Prayuth Chan-ocha agar kerajaan membina pagar di sempadan Thai-Malaysia.


Prayuth mengemukakan cadangan itu ketika majlis menjamu selera bersama perdana menteri Ahad lalu. Pagar sempadan dapat menghalang anggota pemisah melarikan diri dengan mudah, selain menyekat penyeludupan dadah, tetapi perbelanjaannya mungkin mahal. Dia menegaskan bahawa kebanyakan negara mempunyai pagar sempadan. - Bangkok Post

Lelaki bakar isteri dijel enam tahun


Semarang: Mahkamah daerah Semarang, semalam menjatuhkan hukuman enam tahun penjara terhadap seorang lelaki, Teguh Irwandaru kerana membakar isterinya.

Hukuman itu lebih ringan daripada saranan pendakwa raya iaitu tujuh tahun ke atas defendan yang menimbangkan membuat rayuan.


“Defendan telah melakukan keganasan fizikal kepada isterinya dan dijatuhkan hukuman enam tahun penjara, dikurangkan dengan tempoh tahanannya,” kata hakim Supriyono ketika membacakan keputusan ke atas defendan. Teguh disaman polis selepas dua anaknya membuat laporan mendakwa dia sering mengasari mereka dan ibu mereka.

Berang dengan laporan dibuat anaknya, Teguh membakar isterinya. Mangsa kini menderita kecacatan kekal dan masih menjalankan rawatan sebagai pesakit luar. - Jakarta Post

Diberkas gara-gara curi jagung

Diberkas gara-gara curi jagung
Ser Kwee bersalaman dengan Abdul Majid tanda terima kasih di atas penangkapan pencuri di kebunnya.
KLUANG - Seorang lelaki diberkas polis Kluang atas kesalahan mencuri jagung di sebuah kebun di Simpang Renggam, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya mengetahui mengenai kejadian setelah pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Bertindak atas laporan yang dibuat pihaknya telah mengadakan serbuan serta pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Ria, Simpang Renggam pada hari sama.

Merurutnya, hasil serbuan yang dijalankan itu polis berjaya memberkas seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40an di rumah berkenaan kira-kira jam 11.15 pagi.

“Turut dirampas seguni jagung, seguni keledek dan ubi kayu serta sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes kecurian.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di IPD Kluang, di sini, semalam.

Sementara itu, pekerja kebun, Lim Chin Kian, 51, berkata, hasil tanaman di kebun milik tuannya sering dicuri sekaligus terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, kejadian yang berlaku pada malam 27 Mei lalu mengakibatkan beberapa kebun sekitar turut menjadi mangsa.

“Kejadian seperti ini sudah lama berlaku tetapi tiada sebarang tangkapan dilakukan dan menyebabkan pencuri bebas.

“Tetapi malangnya pada malam itu pencuri bersama rakan-rakannya telah datang ke kebun kami untuk mencuri hasil tanaman dan telah disedari oleh pekerja di kebun berkenaan.

“Tanpa berlengah kami telah buat laporan polis tentang kejadian tersebut, tidak sampai 24 jam pencuri berjaya ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian.

Chin Kian berkata, kejadian itu berlaku dua malam berturut-turut di mana pencuri memetik jagung, keledek dan ubi kayu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis IPD Kluang kerana membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kami. Selepas pencuri ditangkap kejadian curi tidak lagi berlaku.

“Selepas ini kami semua dapat tidur dengan lena tanpa perlu risau lagi,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Sayur daerah Kluang, Lim Ser Kwee berkata, walaupun mengalami kerugian yang banyak namun, beliau berpuas hati dengan tindakan segera polis.

“Jika sesuatu kejadian berlaku mereka perlu buat laporan kerana dengan laporan tersebut masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan segera.

“Saya juga berharap agar selepas ini para pekebun perlu bekerjasama dengan pihak polis bagi melaporkan setiap kes yang berlaku, jika tidak lapor mereka (polis) tidak akan tahu.

“Saya faham ada pekebun yang takut untuk buat laporan, tetapi saya akan tolong mereka untuk membuat laporan seperti mana apa yang berlaku ini, semuanya adalah hasil usaha semua berpakat untuk buat laporan kepada polis,” katanya.

Diugut gara-gara penyewa

Diugut gara-gara penyewa
King Lam (kanan) ketika menunjukkan keadaan halaman rumahnya yang disimbah cat merah kepada Steven.
JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga empat beranak trauma selepas dua kali rumah mereka di Taman Setia Indah, di sini disimbah cat merah dipercayai oleh ah long sejak April lepas.

Eksekutif Jualan, Lim King Lam, 45, berkata, sekitar awal April, dia didatangi dua lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi mencari penyewa bilik rumahnya yang dikenali sebagai Tay Ah Seng.

Bagaimanapun menurutnya, seminggu kemudian dia menerima sekeping notis amaran dalam tulisan cina yang ditampal di pagar rumah meminta Ah Seng membayar duit yang dipinjam.

“Mereka ada tunjukkan bil elektrik rumah saya yang digunakan Ah Seng membuat pinjaman wang, tapi saya katakan Ah Seng bukan saudara saya dan tidak lagi menyewa di sini.

“Mereka tidak percaya dan terus mengganggu kami sekeluarga dengan menghantar notis amaran dan menyimbah cat merah di halaman rumah sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

King Lam berkata, Ah Seng sepanjang lebih lima tahun menyewa bilik rumahnya tidak pernah menimbulkan masalah sehinggalah mengalami tunggakan sewa selama tiga bulan sejak Disember tahun lalu dan berpindah pada Mac lalu.

Menurutnya, cat merah yang dibaling pada kali kedua, semalam lebih teruk berbanding kali pertama sehingga menambahkan lagi ketakutan dan traumanya sekeluarga.

“Kami sudah menampal notis di luar pagar rumah supaya tidak mencari Ah Seng di sini lagi selepas cubaan menghubungi dan mencari lelaki berkenaan gagal.

“Laporan polis sudah dibuat, tapi kami tetap diancam seperti ini sehingga kami semakin trauma dan takut untuk keluar rumah terutama memikirkan keselamatan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong ketika turun padang ke rumah mangsa berkata, pihaknya akan menggunakan saluran yang ada untuk mengesan Ah Seng dan mengadakan perjumpaan dengan pihak polis dalam masa terdekat.

“Kita akan mengadakan rundingan dengan pihak polis dalam masa terdekat untuk meminta mereka mengesan Ah Seng melalui syarikat telekomunikasi,” katanya.

Katanya, Ah Seng juga digesa menghubunginya segera untuk berbincang mengenai cara yang boleh dibuat untuk membantu membuat bayaran balik pinjaman berkenaan.

“Saya minta Ah Seng hubungi saya di talian 013-7700076 segera. Kita boleh bantu untuk selesaikan pinjaman ini melalui perbincangan bersama syarikat pinjaman wang berkenaan,” katanya.

Suspek direman tujuh hari

Suspek direman tujuh hari
Dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh warga emas mendapat perintah reman tujuh hari di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
IPOH - Hasil kecekapan polis, dua lelaki berjaya ditahan kerana dipercayai dapat membantu siasatan kes samun dan bunuh yang berlaku di Taman Silibin, di sini, Selasa lalu melibatkan seorang warga emas dibunuh secara kejam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an ditahan di sekitar bandar raya ini pada malam kelmarin.

“Kedua-dua suspek terbabit telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pagi tadi (semalam) untuk mendapatkan perintah reman.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya ketika dihubungi, semalam.

Chang Keorng berkata, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa tidak mengenali satu sama lain namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengumpul bukti bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Selasa lalu, akhbar tempatan melaporkan A Sampuranam, 75 maut dan dipercayai menjadi mangsa samun dan bunuh ketika bersendirian di rumahnya.

Dalam kejadian jam 3 petang Selasa lalu, semasa pulang dari kerja, cucu perempuan mangsa, M Darshini, 21 menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dipercayai disamun serta dipukul suspek yang menceroboh rumah terbabit.

Pemeriksaan polis pada badan mangsa turut menemui kesan cedera di kepala dan leher dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan laporan diterima mengesahkan mangsa maut akibat dipukul menggunakan objek keras.

Tertuduh mengamuk gambar dirakam

Tertuduh mengamuk gambar dirakam
Mahendran mendekati jurugambar sambil menengkingnya manakala beberapa wartawan hanya memerhatikannya.
GEORGETOWN - Keadaan agak kecoh apabila seorang tertuduh ‘naik angin’ melihat gambarnya dirakam oleh jurugambar dan wartawan di luar mahkamah sesyen di sini semalam

S Mahendran Sivalingam, 23, didakwa melakukan seks luar tabii ke atas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, kelihatan menengking sebelum menghempaskan topi keledar yang dipakainya di hadapan seorang jurugambar kerana berang.

Selepas selesai perbicaraan semalam, lelaki itu cuba mengelak wajahnya dirakam jurugambar di luar mahkamah dengan memakai topi keledar bercermin gelap, cermin mata gelap dan jaket.

Sejurus keluar menggunakan pintu laluan peguam dan timbalan pendakwa raya, dia berhenti di penjuru luar mahkamah itu seketika apabila diekori beberapa jurugambar dan wartawan. Pada awalnya, lelaki itu cuma menutup muka menggunakan jaket yang dipakai.

Secara tiba-tibanya, keadaan menjadi tegang apabila dia mula menengking ke arah jurugambar akhbar The Star, Zainudin Ahad,  sambil berkata, ‘tidak cukup lagikah (gambar) kamu ambil', 'mahu apa lagi, berapa lagi gambar u all mahu ambil'.

Dengan nada marah, dia terus mendekati Zainudin sambil mendesaknya agar terus mengambil gambarnya kerana marah dengan tindakan jurugambar itu.

Lelaki itu turut membuka jaket dan topi keledar yang dipakai ketika menghampiri jurugambar itu sambil menjerit 'ambillah lagi gambar sampai awak puas hati'.

Selain itu, tertuduh menggertak lima wartawan termasuk wartawan Sinar Harian yang berada tidak jauh dari situ kerana tidak puas hati.

Tertuduh kemudian ditenangkan bapanya yang berada tidak jauh dari situ sebelum membawanya turun.

Sementara itu, pada hari kedua perbicaraannya semalam, ibu mangsa yang menjadi saksi kedua pihak pendakwaan memberitahu mahkamah tujuan beliau datang ke mahkamah (kelmarin) adalah untuk membela nasib anak sulung perempuannya yang  diliwat oleh rakan suaminya itu.

Ibu kepada mangsa yang kini berusia empat tahun itu, berkata beliau dan kedua anaknya mengenali tertuduh hampir setahun menerusi suaminya.

“Tertuduh pernah singgah ke rumah saya sebanyak tiga kali sebelum kejadian itu berlaku. Anak perempuan mengenali Mahendran dengan panggilan ‘mamu’.

“Pada awal pagi kejadian itu, kira-kira jam 6 pagi Mahendran menumpang rumah saya dengan alasan bapanya tidak membuka pintu rumah kerana lewat balik ke rumah.

“Tetapi, kami memberi kebenaran kepada Mahendran dengan syarat dia tidur di ruang tamu,” katanya, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Saksi itu berkata kira-kira jam 12 tengah hari, beliau dan suaminya keluar untuk membeli makanan untuk anak mereka.

“Kira-kira 10 minit kemudian, kami sudah sampai  di luar rumah, terdengar kedua-dua anak menangis teresak-esak bukan menangis seperti biasa," katanya.

“Kami panggil Mahendran beberapa kali dan beberapa minit kemudian barulah lelaki itu menyahut ‘oh’ dan membuka pintu. Masa itu, kelihatan Mahendran mendukung anak perempuan saya (mangsa) d
 Menurutnya, sebaik anak perempuan melihat bapanya, dia lari dan memeluk kaki bapanya dan memberitahu takut sambil menunjukkan jarinya ke arah Mahendran.

“Masa itu, suami mendukung anak saya ke bilik untuk memeriksa. Dia kata lampin pakai buang anaknya tidak kemas. Satu daripada gam napkin itu tidak melekat. Pada awal, dia (tertuduh) kata tidak ada apa-apa.

“Buat kali kedua, saya membuat pemeriksaan dan mendapati kesan koyakan dan darah di bahagian dubur anak saya. Saya ada tanya Mahendran apa yang dilakukan ke atas anak saya, tetapi dia duduk atas meja kaca tanpa berkata apa-apa pun,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu, berkata ketika itu, suaminya dalam separuh sedar lalu memukul tertuduh menggunakan tangan.

“Masa itu, saya lari keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran untuk menghubungi polis,” katanya dengan nada sebak ketika menceritakan semula peristiwa hitam yang menimpa anaknya itu.

Mahendran yang didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii  ke atas mangsa berusia tiga tahun, di rumah mangsa di Bayan Lepas, antara jam 12.50 tengah hari hingga 1.20 petang, 4 Ogos tahun lalu.

Zulhazmi kemudian menetapkan kes itu sambung bicara pada 20 dan 21 Ogos ini.

'Mak cik hanya fikir mati'


NOR AINNA HAMZAH
1 Jun 2013
'Mak cik hanya fikir mati'
Cheah menunjukkan laluan masuk empat penyamun ke dalam rumahnya di Kampung Baru Ulu Yoh, awal pagi semalam.
'Mak cik hanya fikir mati'
Cheah menunjukkan tempat penyamun berdiri berhampiran tempat tidurnya dan bertindak mencekiknya, awal pagi semalam.
TAMPIN – "Mak cik hanya fikir mati sahaja setelah dicekik dan dilempar ke bawah katil oleh penyamun," luah warga emas yang menjadi mangsa penyamun di rumahnya di Kampung Ulu Yoh, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Cheah Baba, 70, yang tinggal berseorangan tidak sempat mempertahankan diri akibat mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat berwarna hitam.

Menurutnya, pada malam kejadian dia terdengar bunyi bising di belakang dapur, namun tidak berdaya meninjau berikutan dia baru sahaja menjalani pembedahan membuang tulang punggung sebulan lalu.

"Tetapi apabila bunyi bunyi itu berlarutan, mak cik mula membuka mata dan belum sempat bangun, seorang penyamun tidak memakai topeng terus mencekik leher selain meminta mak cik menyerahkan duit.

"Disebabkan tidak berpuas hati dengan reaksi mak cik yang hanya mendiamkan diri, penyamun berkenaan yang turut memiliki parang terus melemparkan mak cik ke bawah katil," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Cheah berkata, hanya seorang penyamun sahaja yang bertindak kasar kepadanya, sementara seorang lagi menggeledah salah sebuah bilik manakala dua lagi berada di dapur.

"Namun mak cik lega apabila kira-kira sejam kemudian penyamun berkenaan beredar sebelum salah seorang anak mak cik yang tinggal berdekatan menghubungi adik beradik lain untuk memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

"Mak cik hairan apa yang dicari penyamun kerana tiada apa di dalam rumah ini memandangkan mak cik tidak bekerja dan tidak memiliki barangan berharga," katanya

Menurutnya,  susulan kejadian itu, dia kini trauma dan takut untuk tidur di rumahnya pada sebelah malam.

"Mak cik akan tidur di rumah anak yang tinggal berdekatan.

"Penyamun berkenaan menemui wang tunai RM250 di katil mak cik yang berada di ruang tamu selain turut melarikan sebentuk cincin emas bernilai RM400," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes sedang disiasat.

Peniaga roti canai maut, kereta masuk parit


MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
1 Jun 2013
Peniaga roti canai maut, kereta masuk parit
Keadaan Proton Wira dipandu mangsa terhumban ke parit di selekoh Jalan Parit 5, Sungai Panjang.
Peniaga roti canai maut, kereta masuk parit
Orang ramai mengusung mayat Asiah yang dipercayai lemas selepas kenderaan yang dipandunya masuk ke dalam parit.
SABAK BERNAM - Seorang peniaga roti canai terbunuh manakala seorang adik lelaki bersama isterinya cedera ringan selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit di selekoh Jalan Parit 5, Sungai Panjang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Asiah Mohd Rasyidi, 54, meninggal dunia dipercayai lemas apabila menghadapi kesukaran untuk keluar selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa tidak dapat keluar menyelamatkan diri ekoran kenderaan yang dipandunya terpelosok jatuh mengereng di sebelah tempat duduk pemandu.

“Bomba dan Penyelamat Sungai Besar yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira 15 minit selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, adik lelaki mangsa, Nazaruddin Mohd Rashidi, 34 dan isteri, yang hanya dikenali sebagai Iza, 24 terselamat apabila berjaya keluar daripada kenderaan itu dengan memecahkan tingkap di sebelah tempat duduk penumpang.

Beliau berkata, kedua-dua mereka terselamat menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, sementara mangsa yang meninggal dunia pula dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Jenazah Asiah akan dikebumikan di tanah perkuburan Parit 16 Sungai Panjang, dan Allahyarham meninggalkan  suami, Mohd Zaini Yusof Shabuddin, 54 dan 10  anak.

Sementara itu, Anak Allahyarham, Mohd Sani Mohd Zaini, 23 berkata, ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda melainkan melihat sikap pelik ibunya yang sering tergesa-gesa sejak beberapa hari lalu.

Mohd Sani anak ketujuh 10 beradik berkata, dia merasai kehilangan ibunya itu, apatah lagi sering membantu Asiah berniaga roti canai di gerai  mereka di Parit 16 Sungai Panjang.

“Sebelum kemalangan itu, ibu dan kedua adiknya menyelesaikan urusan sewaan bendang di rumah keluarga mereka dan selepas itu bergegas ke  Sungai Besar untuk membeli barangan keperluan berniaga roti canai keesokan hari,” katanya.

Penjenayah bermaharajalela


NURUL ZAILA MOHD TAHIR
1 Jun 2013
Penjenayah bermaharajalela'
Penjenayah dipercayai masuk melalui bumbung berdasarkan siling yang berlubang.
Penjenayah bermaharajalela'
Ahmad Sukri menunjukkan pintu yang dipecahkan angkara perbuatan penjenayah di salah sebuah kediaman di di kawasan perumahan Tok Sira.
KUANTAN – Walaupun kawasan perumahan Tok Sira, di sini ada menyediakan kemudahan rondaan pada waktu malam ia tidak memberi sebarang kesan kepada penjenayah kerana terdapat rumah di situ yang dicerobohi.

Seorang pengawal keselamatan, Ahmad Sukri Sugumaran Abdullah, 63 berkata, dia ditugaskan untuk menjaga beberapa buah rumah di kawasan itu tetapi penjenayah cukup licik menjalankan kegiatan dan menceroboh salah sebuah rumah.

Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini ia pernah menjadi sasaran perompak.

“Semalam saya datang kira-kira jam 6.30 petang untuk menjalankan tugas tetapi terkejut kerana didapati pintu rumah tidak berkunci.

“Apabila masuk didapati rumah berselerak dan setelah diperiksa terdapat beberapa barang berharga seperti telefon bimbit milik tuan rumah sudah hilang," katanya.

Katanya, dia diamanahkan untuk menjaga rumah tersebut kerana pemiliknya bekerja di tempat lain.

“Ini bukan kali pertama sebelum ini  rumah sama pernah dicerobohi dan dipercayai perompak masuk melalui bumbung.

“Penjenayah masuk melalui bumbung menyebabkan bumbung rumah berlubang dan mereka seolah-olah tidak takut dengan pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kata Ahmad Sukri Sugumaran, anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ada menjalankan rondaan tetapi seolah-olah tidak berkesan.

Dia bimbang dengan keadaan itu dan khuatir penjenayah akan bertindak lebih bertindak agresif.
“Saya juga berharap pihak berkuasa  mengambil tindakan lebih drastik supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya sudah buat laporan polis dengan harap kawasan ini lebih selamat dan penjenayah berjaya ditangkap,” katanya.

Tragedi kampung Kemboja


NIK MUHD RAFFIQ ABD GHANI
1 Jun 2013
Tragedi kampung Kemboja
Anggota bomba berusaha memadamkan api di lokasi kebakaran.
Tragedi kampung Kemboja
Sebahagian daripada peralatan rumah mangsa kebakaran yang sempat diselamatkan.
DUNGUN – “Biarpun api sedang marak, saya memberanikan diri meredah asap tebal untuk naik ke atas bagi menyelamatkan dokumen penting sehingga menyebabkan bahu saya melecur terkena percikan api,” kata Ahmad Adam, 55, salah seorang mangsa yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran, dekat sini, pagi semalam.

Kebakaran kira-kira jam 10.15 pagi di sebuah perkampungan penduduk berketurunan Kemboja itu juga turut memusnahkan empat lagi rumah penduduk yang berada sederet dengan rumahnya yang ranap sama sekali itu.

Mangsa lain yang terlibat adalah Mohd Yusof, 52, Amin Kasim, 49, Rashid Ibrahim, 44 serta Jamil Abdullah, 53.

Heret cucu keluar rumah

Menurut Ahmad, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah bersama dua cucunya, Haris Iskandar Zulkifli, 11, dan Mohd Al Basir, 5, sebelum nampak api tiba-tiba muncul dari siling rumah.

Ahmad berkata, dia cuba memadam api tersebut dengan menggunakan penyapu namun situasi makin cemas sebaik terpandang api sudah marak membakar ruang dapur rumahnya.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Ahmad sempat mengheret cucunya keluar rumah untuk menyelamatkan diri sebelum teringat dokumen penting tertinggal di bahagian tingkat atas rumah.

“Dalam keadaan api sedang marak itu, saya memberanikan diri meredah asap untuk naik semula ke tingkat atas sebelum berjaya melarikan dokumen penting.

“Walaupun rumah saya hangus, tetapi saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya yang melecur di bahagian bahu terkena percikan api ketika cuba menyelamatkan diri.

Tunai RM8,000, barang kemas RM21,000 hangus

Seorang lagi mangsa, Jamil Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terhidu asap lalu terkejut apabila mendapati rumah jiran sebelahnya terbakar.

Katanya, sebaik dia keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku, api sudah menyambar dinding rumahnya menyebabkan dia segera mengarahkan isteri serta dua anaknya menyelamatkan diri.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen sahaja, tunai RM8,000 serta barang kemas isteri bernilai kira-kira RM21,000 gagal diselamatkan,” kata Jamil.

Peristiwa terburuk

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Zulkhairul Mohd Razilah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam di bilik kawalan jam 10.20 pagi, pihak bomba bersama tiga jentera masing-masing dua dari Balai Penyelamat Kuala Dungun dan sebuah dari Balai Paka bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihak bomba berhadapan sedikit kesukaran untuk memadamkan api berikutan kedudukan rumah yang terletak agak berdekatan antara satu sama lain selain jarak punca air yang terletak agak jauh dari lokasi kebakaran.

Api bagaimanapun berjaya dipadamkan beberapa jam kemudian.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan tafsiran awal pemilik rumah terbabit, kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM800,000 termasuk bangunan, peralatan serta tunai yang musnah dalam tragedi terburuk di perkampungan terbabit sejak ia mula dibuka lebih 30 tahun lalu itu.

Lelaki ditemui lemas


MOHD ZAILANI ABDUL RAHMAN
1 Jun 2013
Lelaki ditemui lemas
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang keluar berkelah bersama seorang rakannya di Empangan Bukit Kwong, Lubok Stol, di sini semalam ditemui lemas kira-kira tiga meter dari permukaan oleh pasukan penyelam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa, Dzulkifli Mat Zain, 34, dipercayai keluar berkelah menaiki sebuah bot bersama-sama rakannya, bagaimana pun bot berkenaan dikatakan terbalik dan mangsa gagal diselamatkan.

Pemangku Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang dan bergegas ke lokasi bersama lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II,Azmi Ibrahim.

Menurutnya, pasukan itu turut dibantu unit Skuba Bomba dari Pengkalan Kubor dan Kota Bharu untuk usaha mencari dan menyelamat mangsa.

“Anggota Skuba Berjaya menemui mayat mangsa pada kedalaman tiga meter dari permukaan air dan mangsa sudah pun meninggal dunia.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Zaimi berkata, rakan yang bersama mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dipercayai boleh berenang dan kemudiannya memaklumkan kejadian menimpa mereka.   

caption

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Polis Ipoh tahan dua suspek kes bunuh warga emas



31 Mei 2013
IPOH - Polis menahan dua suspek disyaki membunuh seorang wanita warga emas dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Silibin di sini, Selasa lepas.
  
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sekitar bandar raya Ipoh pada tengah malam dan awal pagi ini.
  
"Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
  
Dalam kejadian itu, A.Sampuranam, 75, ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan leher di rumahnya dipercayai selepas disamun.
  
Mayat mangsa ditemui di ruang dapur rumah teres itu oleh anak perempuannya yang baru daripada makan tengah hari pada pukul 4 petang pada hari kejadian. - Bernama

Kanak-kanak perempuan antara 40 ditahan Imigresen Melaka



31 Mei 2013
MELAKA - Seorang kanak-kanak adalah antara 40 warga asing yang ditahan Imigresen Melaka dalam operasi di dua kawasan perumahan dan kedai makan di Melaka Tengah yang bermula petang semalam hingga awal hari ini.
  
Pengarah Imigresen Melaka Kamaluddin Ismail berkata kanak-kanak perempuan Myanmar itu ditahan bersama 18 lagi rakyat negara tersebut termasuk seorang wanita, lapan lelaki dan tiga wanita Indonesia, enam lelaki dan dua wanita Kemboja serta dua lelaki India.
   
Mereka yang berusia antara empat dan 48 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di kedai makan di Dataran Pahlawan, Melaka Raya, Jalan Temenggung serta dua rumah di Cheng Setia dan di Paya Rumput antara 6 petang semalam sehingga 3 pagi tadi.
  
"Semasa serbuan di rumah teres dua tingkat di Cheng Setia, seramai lima lelaki dan seorang perempuan warga Kemboja didapati bersembunyi di siling rumah.
  
"Seorang daripada mereka cedera di tangan akibat jatuh daripada siling ketika serbuan dijalankan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan didapati tinggal lebih masa di negara ini.
  
"Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun bekerja sebagai tukang jahit baju dan  seorang pegawai kita juga cedera di tangan apabila terkena siling yang jatuh," katanya.
  
Kamalluddin berkata 52 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan mereka yang ditahan melakukan kesalahan tinggal lebih masa, menyalah guna pas serta masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit atau pas sah selain menggunakan pasport individu lain. - Bernama

Kanak-kanak dilapor hilang, ditemui lemas



31 Mei 2013
KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika melintasi Sungai Babagon, Penampang dekat sini, empat hari lepas ditemui lemas hari ini.
  
Mayat Jerome Jeremy Maratin, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di jeti Cyber City di Sungai Sodomon, Kepayan pada 1.05 tengah hari, iaitu kira-kira 18 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
  
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.  

"Mangsa dilaporkan dihanyutkan air sungai deras dan operasi mencari dijalankan sejak Rabu lalu," katanya di sini.
  
Laporan kehilangan mangsa dibuat di balai Bomba dan Penyelamat Penampang sebelum gerakan mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan kerjasama JPAM dan anggota polis.
  
Pada Selasa lepas, mangsa dilaporkan tergelincir ketika melintasi Sungai Babagon bersama dua rakannya pada kira-kira 4.30 petang. Rakan mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri. - Bernama

Lelaki melecur 82 peratus disambar api akibat letupan gas



31 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja restoran melecur hampir 82 peratus akibat disambar api selepas gas di dapur tempat kerjanya meletup di Jalan Bulan, Bukit Bintang hari ini.
  
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari tadi, mangsa yang dikenali sebagai Fauzi berumur lingkungan 30-an, melecur teruk di seluruh badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
  
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat letupan gas petroleum cair (LPG) di bahagian dapur yang terletak di tingkat satu premis dua tingkat itu," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, hari ini.
  
Beliau berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur jabatan itu menerima panggilan pada pukul 12.50 tengah hari dan menghantar dua jentera serta 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah ke tempat kejadian.
  
Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh lapan minit dan api dapat dipadamkan setengah jam kemudian. Jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Sementara itu, seorang pekerja restoran yang dikenali sebagai Faizan, 26, ketika ditemui Bernama di tempat kejadian, berkata semasa kejadian, beliau sedang melayan pelanggan sebelum terhidu bau gas yang sangat kuat.
  
"Secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan kesemua pelanggan terus keluar dari premis dan majikan saya telah meminta Fauzi meninjau keadaan di dapur," katanya.
  
Faizan berkata tidak lama kemudian terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum cermin tingkap di dapur pecah dan letupan tersebut telah mengenai Fauzi. - Bernama

Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran



31 Mei 2013
DUNGUN - Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah separuh kekal dua tingkat di Kampung Che Lijah di sini, hangus dalam kebakaran hari ini.
  
Kejadian yang berlaku pukul 10.15 pagi itu memusnahkan rumah Ahmad Adam, 55; Rashid Ibrahim, 44; Jamil Abdullah, 53; Mohd Yusof, 52; dan Amin Kasim, 49.
  
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Zulkhairul Mohd Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.20 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
  
Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Paka digegaskan ke tempat kejadian dan operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan bomba sukarela Ketengah Jaya, Jabatan Pertahanan Awam selain anggota kawasan Rukun Tetangga, katanya kepada Bernama, di sini.
  
Menurutnya kebakaran dipercayai berpunca dari rumah milik Ahmad sebelum merebak ke rumah berdekatan.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau sedang menonton televisyen bersama dua cucunya Haris Iskandar Zuklfifli, 11, dan Mohd Al Basir Zulkifli, 5, sebelum mendapati api muncul dari siling rumah.
  
Beliau kemudian mengarahkan dua cucunya itu keluar menyelamatkan diri.
  
"Saya lihat api membakar atap dan merebak ke dinding dan saya mengambil penyapu memadam api terbabit namun tidak berjaya dan tidak menyangka api sudah marak membakar ruang dapur dan telah merebak membakar rumah jiran bersebelahan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
  
Beliau kemudian bergegas keluar dari rumah itu apabila mendapati api semakin marak namun naik semula ke rumah bagi mengambil dokumen penting sehingga menyebabkan beliau terkena api dan mengalami lecur pada bahu.
  
Sementara itu jirannya Jamil Abdullah, 53, berkata ketika kejadian beliau terhidu bau hangit lantas keluar dari rumah dan mendapati rumah jirannya terbakar.
  
Beliau bersama isteri dan tiga anak mereka kemudian lari menyelamatkan diri apabila mendapati api itu telah merebak membakar dinding rumahnya.
  
"Saya hanya sempat mengambil beberapa  dokumen penting serta gagal menyelamatkan harga benda memandangkan api begitu marak membakar disusuli angin yang amat kuat," katanya yang menganggar kerugian hampir RM30,000. - Bernama

Dadah: Warga Maghribi ke tali gantung, dua warga Jerman bebas



31 Mei 2013
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang jurujual kereta warga Maghribi dan membebaskan dua warga Jerman atas tuduhan mengedar dadah jenis methampetamine seberat 6.6kg, tahun lepas.
  
Warga Maghribi itu, Mohammed Seddiki, 27, dituduh bersama dua warga Jerman Najim Sayed, 27, dan Yossuf Ezam, 26, melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.45 pagi, 1 Jan 2012.
  
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
  
Dadah itu ditemui dalam beg pakaian Mohammed.
  
Kedua-dua warga Jerman itu dilepas dan dibebaskan setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
  
Mereka tiba di KLIA dengan penerbangan dari Jerman dan telah singgah di Istanbul dan Gaziantep, Turki sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
  
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abdul Hadi daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia manakala peguam T. Suresh mewakili Mohammed, Karpal Singh mewakili Najim dan Yossuf diwakili Datuk N. Sivananthan. - Bernama

PDRM terus pantau aktiviti di laman sosial



1 Jun 2013
Mohd Bakri Zinin
Mohd Bakri Zinin
GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menggunakannya untuk melanggar perundangan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh setiap aktiviti sama ada ia berunsur jenayah atau hasutan, dan sekiranya ada bukti yang  kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran.

"Kita tidak akan bagi amaran lagi kerana sudah banyak amaran yang diberi malah selama ini juga, kita sudah tunjuk tindakan tegas, tidak perlu lagi menghuraikan satu persatu apa yang perlu kita buat.

"Jika mereka jelas buat salah, kita akan terus laksanakan apa yang wajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Ketua Polis Pulau Pinang Datuk  Abdul Rahim Hanafi iaitu Mohd Akram Abd Rahim dan pasangannya, Shakira Mirza di kediaman rasmi Ketua Polis Negeri di Jalan Brown di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas artikel sebuah akhbar tempatan berhubung tentera siber DAP, Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan serta memanipulasi fakta, termasuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP Shen Yee Aun dalam satu wawancara dengan portal berita Mynewshub yang dimuat naik ke laman YouTube.

Sementara itu, berhubung perkembangan penubuhan jawatankuasa bertindak oleh PDRM bagi mengendalikan kes kematian tahanan di lokap, Mohd Bakri berkata jawatankuasa terbabit akan dipengerusikan Ketua Polis Negara untuk memastikan serta melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

"Kita akan memperketat perlaksanaan tugas dan tanggungjawab berkaitan lokap di mana kita kena tengok balik apa-apa yang ada dalam SOP bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan mengikut keadaan semasa.

"Jika dari aspek kelemahan dalam SOP sedia ada, saya tidak boleh memaklumkannya sekarang kerana penilaian masih dibuat bagi mencari kaedah terbaik penambahbaikan," katanya. - Bernama

Pemandu foklif warga Myanmar maut dihempap kontena



1 Jun 2013
PELABUHAN KLANG - Seorang lelaki warga Myanmar yang sedang mengangkut barangan dengan foklif maut dihempap kontena dibawa sebuah kren dalam kejadian di kawasan perindustrian Pelabuhan Barat di sini, awal pagi tadi.
  
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan berkata ketika kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun sedang menyiapkan kerja memunggah di sebuah stor penyimpanan kontena bersama seorang pemandu kren warga Bangladesh pada kira-kira 4.20 pagi.
  
"Siasatan awal mendapati kren yang membawa kontena itu tiba-tiba membrek secara mengejut menyebabkan kontena berkenaan berayun dan jatuh menghempap foklif dipandu mangsa yang secara kebetulan berada di depannya.
  
"Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain manakala pemandu kren terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.
  
Ahmad Zaidi juga berkata bomba, yang dikejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 4.30 pagi, mengalami kesukaran mengangkat kontena kerana ia melebihi had berat yang mampu ditampung jentera pasukan itu.
  
"Pihak bomba terpaksa menggunakan kren daripada pihak swasta untuk mengangkat kontena itu sebelum besi foklif yang menghempap mangsa dapat dipotong," katanya.
  
Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi yang menghempap mangsa sebelum mayat lelaki itu dapat dikeluarkan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.- Bernama

Bot karam: Soon kemudi perahu 3 jam harap dapat temui isteri



1 Jun 2013
John Soon
John Soon, 39, (tiga, kanan) suami kepada Roslin Jati yang hilang dalam tragedi bot karam menerima sumbangan wang tunai daripada wakil petugas media, Zulazhar Sheblee (tengah).
BELAGA - John Soon Hock Chiong mengemudi perahu bersendirian menempuh perjalanan tiga jam dari Nanga Metah Merit, Kapit, menuju lokasi kejadian bot ekspres karam di Giam Bungan untuk mendapatkan perkhabaran tentang isterinya, Roslin Jati, yang masih belum ditemui.
  
Sejak tragedi itu berlaku Selasa lepas, Soon menanti di tempat kejadian namun pulang ke kampungnya semalam dan tiba semula pada 1 tengah hari ini menunggu perkembangan terbaru operasi mencari dan menyelamat isterinya dan dua lagi mangsa.
  
Biarpun masih bersedih, Soon, 39, tidak menolak kemungkinan ada hikmah di sebalik kejadian itu.
  
"Saya masih bersedih dengan kehilangan isteri, tapi saya ada terpikir juga, kalau tangan isteri tidak terlepas, mungkin kami bertiga masih hilang," katanya ketika ditemui di Pekan Belaga hari ini.
  
Ketika kejadian, Soon menaiki bot itu bersama Roslin, 34, yang mengandung lima bulan dan anak lelaki mereka, Jacky Soo, 5, dari Kem Pembalakan Sin Yang Lakin B, Bakun untuk pulang ke kampung sempena cuti Gawai.

Semasa bot mulai karam, Soon yang berusaha keluar dari bot, terlepas tangan isterinya, namun berjaya menyelamatkan diri bersama anak lelaki.
  
Bapa tiga anak itu berkata sambutan Gawai hari ini juga tidak bermakna kepada beliau sekeluarga.
  
"Macam mana saya nak sambut Gawai, isteri masih dalam 'air'. Anak pun masih tak henti-henti menangis sejak kejadian itu," katanya.
  
Soon juga melahirkan perasaan kesal duduk di dalam bot kerana kebiasaannya mereka duduk di atas bumbung bot.
  
"Kalau kami duduk atas bumbung, mungkin perkara ini tidak berlaku.
  
"'Bungan' (hantu) di lokasi kejadian dah banyak ambil nyawa, tapi tak sangka keluarga saya pula yang kena kali ini," katanya mengakhiri perbualan tanpa menjamah sedikit pun nasi, mengakui masih tidak mempunyai selera.

Sementara itu, 10 petugas media dari Bernama, Kosmo, The Star, Berita Harian, TV3 dan Astro Awani menyampaikan sumbangan berjumlah RM200 kepada Soon untuk meringankan beban yang ditanggung.
  
Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa diteruskan hari ini, namun setakat 3 petang masih tiada perkembangan positif.
  
Usaha mengangkat dan mengapungkan bot ekspres pula ditangguhkan hari ini sementara menunggu kren tiba selepas usaha menggunakan tongkang berkuasa tinggi gagal.
  
Setakat ini, seramai 204 mangsa disahkan selamat, manakala satu mayat sudah dijumpai. - Bernama

Warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher



1 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher di Jalan 8/3A, Pusat Bandar Utara Selayang di sini malam semalam.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata mayat ditemui di lorong belakang sebuah kedai memproses ayam oleh rakan senegara mangsa pada 10.15 malam sebelum melaporkannya kepada polis.
  
"Pengadu berkata dia ternampak sekumpulan lelaki tidak dikenali dipercayai warga Myanmar menyuluh lampu ke arah kepala si mati.
  
"Lelaki itu kemudian terus ke Balai Polis Seri Murni, Selayang untuk memaklumkan kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.  
  
Menurut Othman, terdapat kesan kelar sepanjang 12 sentimeter di leher mangsa yang berbaju kemeja-T putih dan berseluar jeans biru. Polis menemui satu sarung pisau berwarna hitam berhampiran tempat kejadian.  
  
Identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
  
Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Panik lihat mangsa sesak nafas


NORDIANA JOHARI
1 Jun 2013
Panik lihat mangsa sesak nafas
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat mangsa, semalam.
MELAKA – Pelajar tingkatan lima yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, di sini dipercayai meninggalkan mangsa yang sesak nafas selepas gagal memberi bantuan kecemasan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, pelajar lelaki berusia 17 tahun itu yang juga rakan kepada mangsa, Aimi Hamizah, 14, dipercayai panik apabila melihat mangsa diserang sesak nafas ketika kedua-duanya berada di kawasan kejadian, berhampiran sebuah kawasan lapang tempat remaja bermain bola sepak.

Menurutnya, disebabkan panik, suspek dipercayai meninggalkan mangsa begitu saja, biarpun sebelum itu berusaha memberikan bantuan pernafasan.

"Suspek turut meletakkan beg dan telefon bimbit mangsa di surau berdekatan kampung berkenaan pada kejadian yang berlaku antara jam 9 dan 10 malam itu," katanya.

Menurutnya, setakat ini, polis belum mengetahui punca sebenar kematian disebabkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan busuk.

“Tiada kesan langsung mangsa cedera di mana-mana anggota badan, manakala barang kemas masih dipakai mangsa ketika ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.

Beliau berkata, suspek yang juga belajar di sekolah sama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dan suspek berkawan rapat dan pergi ke kawasan kejadian secara sukarela berdasarkan tiada kesan kecederaan di tubuh mangsa," katanya.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan bagi mengetahui punca kematian selain mengharapkan orang awam yang nampak ketika kejadian tampil membantu.

Gunajaran berkata, polis akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dan setakat ini siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 7 malam Rabu lalu, Aimi Hamizah ditemui mati di semak yang turut dijadikan kawasan pembuangan sampah selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Mangsa ditemui dalam keadaan telentang atas papan lapis dengan berpakaian baju kurung merah jambu dan tudung di sisi oleh sekumpulan remaja lelaki yang sedang pulang bermain bola di kawasan lapang berhampiran.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Surau Taman Ayer Molek, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Minyak, di sini selepas solat Asar, semalam.