Search This Blog

Friday, May 31, 2013

Tiga dijel 28 tahun, sebatan rogol ibu 7 anak


Y.K. Gajehindran, J.T.Malvin dan P. Aravinthiran dibawa keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah merogol seorang ibu kepada tujuh anak di Mahkamah Sesyen Klang, semalam.
KLANG 30 Mei - Seorang ibu tujuh anak dirogol di dalam semak, dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dan kemaluannya ditusuk dengan kayu ketika dalam perjalanan menuju ke kilang tempatnya mencari rezeki, tiga tahun lalu.
Hari ini, tiga lelaki yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu menerima balasan apabila dihukum penjara 28 tahun dan sebatan antara 14 dan 20 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Ahmad Fairuz Mohd. Puzi menjatuhkan hukuman itu terhadap eksekutif akaun, Y.K. Gajehindran, 26; penghantar surat, J.T. Malvin Isaac, 24; dan pelajar kolej, P. Aravinthiran, 22, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan itu.
Menurut hakim tersebut, mahkamah mendapati kesemua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan kerana pembelaan mereka bersifat penafian semata-mata.
Beliau berkata, tertuduh keempat kes itu telah mengaku bersalah pada 2010 bagi tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa dan selepas itu dijadikan saksi pendakwaan.
''Keterangan daripada tertuduh keempat selari dengan keterangan mangsa dan mahkamah tiada alasan untuk tidak mempercayai keterangan mereka,'' ujar Ahmad Fairuz.
Bagi tuduhan merogol mangsa yang berusia 38 tahun itu, ketiga-tiga mereka dipenjara 28 tahun dan sebatan lima kali setiap seorang.
Gajehindran dan Aravinthiran yang didakwa memaksa mangsa melakukan seks luar tabii dipenjara 18 tahun dan sebatan 14 kali manakala Malvin dipenjara 10 tahun dan sebatan dua kali bagi tuduhan cuba melakukan perbuatan sama.
Malvin juga dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali atas kesalahan memasukkan sebatang kayu ke dalam kemaluan mangsa sehingga wanita itu terpaksa menerima 10 jahitan.
Kesemua lelaki terbabit turut dihukum penjara 15 tahun dan sebatan lima kali bagi tuduhan mendatangkan cedera parah kepada mangsa menggunakan ranting kayu.
Kesemua kesalahan itu dilakukan mereka di kawasan semak berdekatan Jalan Kebun Nenas 2H/KS7, Bandar Putera Klang di Klang pada pukul 6.45 pagi, 11 Februari 2010.
Mereka turut dihukum penjara tujuh tahun bagi kesalahan menculik dan melarikan wanita itu pada waktu sama di ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di sini.
Kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Secara keseluruhan, mereka dipenjara 28 tahun sementara bagi hukuman sebatan, Gajehindran dan Aravinthiran, masing-masing disebat 14 kali dan Malvin 20 kali.
Ahmad Fairuz turut tidak membenarkan permohonan peguam bela V. Ramavelu yang mewakili kesemua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana tiada keadaan istimewa dalam kes itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan Siti Noorbaya Jamil.
Mangsa yang hadir ke mahkamah bagi membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) berkata, selepas kejadian ngeri itu, dia tidak keluar dari rumahnya selama setahun setengah kerana mengalami trauma yang teruk.
''Saya malu untuk keluar dari rumah, bibir saya terkoyak kerana dibelasah, saya terpaksa minum menggunakan straw selama dua minggu dan mengalami kesukaran untuk makan.
''Apa dosa saya pada mereka sehingga mereka sanggup memperlakukan saya seperti binatang?'' katanya sambil menangis.
Mangsa juga mendakwa mengalami masalah untuk melakukan hubungan intim dengan suaminya.
Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu, mangsa ternampak kereta dengan bonet terbuka dan seorang lelaki berdiri di sebelah kereta seperti sedang membaikinya.
Lelaki terbabit kemudian berlari ke arah mangsa lalu mengheretnya masuk ke dalam kereta yang ada tiga lelaki lain di dalamnya.
Kesemua lelaki tersebut mengoyak pakaiannya, memaksa dia melakukan seks luar tabii dan merampas beg tangannya.
Selepas itu, dua daripada lelaki itu pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang milik mangsa manakala dua lagi mengawalnya.
Mangsa kemudian dibawa ke dalam semak dan dipaksa melakukan seks luar tabii serta kemaluannya ditusuk dengan kayu sebelum ditinggalkan di situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130531/ma_03/Tiga-dijel-28-tahun-sebatan-rogol-ibu-7-anak#ixzz2VCwP2CIl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat China marah kerana gadis digari gara-gara tumpahkan air



29 Mei 2013
BEIJING - Dua pegawai China digantung tugas gara-gara menggari seorang gadis 13 tahun yang tidak sengaja menumpahkan air minuman ke atas sebuah kereta kerajaan.

Dua pegawai itu yang merupakan Setiausaha Parti Komunis dan seorang pegawai polis dilaporkan menggari gadis itu membawanya keluar untuk dijadikan tontonan awam.

Menurut media tempatan, pegawai yang dikenali sebagai Yuan Zehong dan Chen Song itu telah digantung dari bertugas kerana terlibat dengan perlakuan tidak masuk akal itu dan mereka kini berada dalam siasatan.

Kejadian itu turut menyebabkan kegemparan di media sosial dan ramai yang marah atas tindakan tidak wajar anggota polis itu.

Pegawai-pegawai itu dituduh melakukan tindakan yang tidak masuk akal.

Lima kes baru virus korona



30 Mei 2013
RIYADH - Kementerian Kesihatan Arab Saudi, kelmarin mengumumkan lima kes baru jangkitan virus berbahaya seperti Sars di timur negara itu.

Pengumuman tersebut dibuat selepas mangsa pertama warga Perancis yang dijangkiti virus NCov-EMC dilaporkan meninggal dunia pada hari sama.

Menurut kementerian tersebut kepada AFP, kebanyakan mangsa berumur antara 73 tahun dan 85 tahun serta turut diserang penyakit kronik.

Sehingga kini, lebih 30 kes telah disahkan termasuk 18 kematian di negara itu.

Chile, Argentina arah pindah


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2013
SANTIAGO - Pihak berkuasa Chile dan Argentina mengeluarkan amaran merah serta arahan pemindahan mandatori kira-kira 25 kilometer (km) di sekitar gunung berapi Copahue, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Andres Chadwick berkata, gunung berapi Copahue terletak kira-kira 500km di selatan Santiago antara wilayah Bio Bio, Chile dan Argentina, semakin aktif sejak minggu lalu apabila memuntahkan asap tebal.

Pihak berkuasa mengesahkan kira-kira 2,240 penduduk Chile bakal dipindahkan menurut laporan Reuters.

Sementara itu, di wilayah Neuquen, Argentina, pihak berkuasa mengisytiharkan amaran bahaya selain mengarahkan pemindahan kira-kira 900 orang di kawasan pelancongan Caviahue-Copahue. 

Anggota polis disebat kerana berjudi



30 Mei 2013
BANDA ACEH - Seorang anggota polis di wilayah Aceh dihukum sebat enam kali di khalayak umum di kawasan masjid di daerah Sabang, kelmarin atas kesalahan berjudi.

Pendakwa raya Darwin berkata pada laporan AP, hukuman ke atas Sarjan Irwanuddin itu adalah yang pertama dikenakan ke atas pihak berkuasa.

Irwanuddin telah didakwa melanggar undang-undang Syariah yang dilaksanakan di wilayah tersebut.

Lagi keganasan etnik



30 Mei 2013
Lagi keganasan etnik
Sebuah masjid yang hampir musnah akibat serangan pelampau Buddha di Myanmar, Mac lalu.
YANGON - Pelampau Buddha sekali lagi mencetuskan kekacauan di timur laut Myanmar dalam insiden keganasan etnik terbaru menyasarkan orang Islam di negara itu.

Kira-kira 150 pelampau bertindak membakar masjid, rumah anak yatim dan beberapa lot kedai di bandar Lashio, malam kelmarin pada laporan AFP.

Susulan kejadian itu, kerajaan menggesa orang ramai supaya bertenang berikutan keadaan kembali terkawal selepas perintah berkurung dikenakan sepanjang malam di bandar tersebut.

Menurut polis, serangan itu tercetus selepas seorang wanita tempatan diserang dan beberapa bahagian tubuhnya melecur, namun keadaannya tidak begitu serius.

Dalam perkembangan lain, kumpulan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) melaporkan sekatan yang dikenakan kerajaan telah menyebabkan puluhan ribu penduduk Islam

Rohingya gagal mendapat perkhidmatan asas dan kesihatan yang sepatutnya.

"Keadaan itu telah menjejaskan kesihatan banyak penduduk Rohingya dan ada yang terpaksa menanggung sakit tanpa diberikan sebarang rawatan," kata Penyelaras MSF, Ronald Kremer.