Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Kepala cikgu Lijah pecah dipukul


HASNIZA HUSSAIN
30 Mei 2013
Kepala cikgu Lijah pecah dipukul
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Gambar kecil: Khalijah Abu Samah
KAJANG - Seorang pesara guru ditemui mati dipercayai dibunuh, selepas disamun dalam kejadian di rumahnya di Jalan Mewah Abu Samah, Kampung Sungai Jai, Beranang, di sini, semalam.

Mangsa, Khalijah Abu Samah, 74, ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di bahagian ruang tamu berhampiran pintu dapur rumahnya.

Mangsa yang tinggal bersendirian ditemui oleh jirannya seorang warga Indonesia, Ahmad Zaini Kasmuri, 54, kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Zaini ketika ditemui berkata, sebelum kejadian, dia yang berniaga sayur keluar rumah untuk ke pasar pada jam 7 pagi.

Menurutnya, apabila kembali semula ke rumahnya kira-kira tiga jam kemudian, dia mendapati rumah mangsa kosong.

Katanya, dia bagaimanapun melihat terdapat sebuah motosikal hitam jenis Yamaha 125Z diparkir berdekatan pagar laman rumah mangsa.

Ahmad Zaini berkata, dia kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk meletakkan barang, sebelum bergegas ke rumah mangsa untuk menjenguknya.

“Biasanya kalau saya balik setiap hari dari pasar, kakak (mangsa) akan duduk di luar rumah, tetapi hari ini (semalam) tiada.

“Saya rasa tak sedap hati dan terus pergi ke rumah kakak. Apabila saya tolak pintu dapur, nampak kakak sudah tertiarap tidak sedarkan diri di kawasan ruang tamu rumah,” katanya.

Kepala ditutupi tudung

Ahmad Zaini berkata, ketika ditemui kepala mangsa ditutup dengan tudung dan terdapat kesan darah yang banyak sehingga ke lantai.

Menurutnya, dia menarik tudung mangsa dan mendapati kepalanya pecah, selain banyak serpihan kaca bertaburan di atas lantai.

Ahmad Zaini berkata, dia sangat terkejut dan terus memaklumkan kepada jiran berdekatan tentang perkara tersebut.

“Salah seorang jiran terus buat laporan polis, manakala saya hubungi menantu mangsa memaklumkan perkara tersebut,” katanya yang sudah tiga tahun berjiran dengan mangsa.

Ketika ditanya berhubung motosikal yang dilihatnya sebelum itu, beliau berkata, motosikal itu sudah tiada ketika dia pergi ke rumah mangsa.

Menurutnya, dia berasa sedih dengan kejadian yang berlaku, kerana selama ini, dia dan isteri diamanahkan oleh tiga anak mangsa untuk menjaga dan menjenguk keadaannya kerana mereka tinggal berjauhan termasuk seorang di Arab Saudi.

“Selalu saya belikan dia barang atau makanan dan dia akan masak sendiri. Tapi tak sangka perkara sebegini menimpanya,” katanya.

Keluarga kerap datang melawat
Menantu mangsa, Zunfar Mohd Saad, 45, yang tinggal di Kajang berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas jirannya menghubungi melalui telefon kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, dia dan suami yang merupakan anak bongsu mangsa kerap datang melawat kerana mereka yang tinggal paling dekat dengan rumah mangsa.

“Kami memang selalu pesan pada jiran untuk tengok-tengokkan emak sebab dia tinggal seorang. Tapi tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Maut akibat dipukul objek tumpul

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan mangsa dibunuh antara jam 7.30 pagi ke 10 pagi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal menunjukkan terdapat dua kesan kecederaan pada kepala mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Tiada sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian ditemui dan premis juga tidak dipecah masuk.

“Keadaan rumah berselerak dipercayai digeledah suspek dan hanya barangan kemas mangsa dikenal pasti hilang. Setakat ini, kita percaya individu yang menyerang mangsa hanya seorang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peniaga wanita dakwa dicabul doktor



30 Mei 2013
IPOH - Seorang peniaga wanita mendakwa dicabul seorang doktor ketika membawa pekerjanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini.
  
Mangsa yang berusia 49 tahun itu mendakwa dalam kejadian pukul 11.30 pagi 22 Mei lepas, doktor berumur lingkungan 60-an itu mengajak beliau naik ke tingkat atas klinik untuk melihat lukisan.
  
"Selepas membuat pendaftaran nama pekerja, dia (suspek) mengajak saya melihat lukisan kerana saya tidak menghadirkan diri ke pertandingan melukis kanak-kanak yang dianjurkannya sehari sebelum kejadian.
  
Semasa berada di tingkat atas, doktor itu tiba-tiba memeluknya dari belakang dan mencabulnya, katanya pemberita di sini hari ini.
  
Peniaga itu berkata lima selepas kejadian, beliau dan suaminya berjumpa doktor terbabit di klinik itu bagi bertanyakan mengenai kejadian itu tetapi mereka dihalau dan berlaku pergaduhan.

"Suami saya mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan kanan, muka serta calar di dada akibat dicucuk dengan pen," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai.
  
Sementara itu, Ketua Polis Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
  
"Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala kertas siasatan telah lengkap dan dihantar kepada timbalan pendakwa raya," katanya. - Bernama

Polis: Kematian remaja perempuan ada unsur bunuh



30 Mei 2013
MELAKA - Polis percaya mayat remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemui di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini  semalam, adalah mangsa bunuh.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata walaupun tiada kesan kecederaan fizikal pada mayat Aimi Hamizah Mohamad, polis percaya kes itu ada unsur bunuh kerana mayat ditinggalkan di kawasan semak dan terpencil.

"Kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kita percaya mangsa telah meninggal dunia lebih 24 jam (sebelum mayatnya ditemui)," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya punca sebenar kematian gadis itu hanya akan diketahui selepas bedah siasat yang akan dijalankan esok di Hospital Besar Melaka.

Proses bedah siasat terpaksa ditangguh kerana perlu menunggu pakar dari Hospital Kuala Lumpur, katanya.

Mayat Aimi Hamizah ditemui sekumpulan remaja kampung itu yang dalam perjalanan pulang selepas bermain bola sepak di padang berhampiran lokasi kejadian kira-kira 7 malam semalam.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Ayer Molek itu dilapor hilang selepas gagal pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek, di sini Isnin lepas, setelah keluar untuk ke kelas mengaji al-Quran kira-kira pukul 7.40 malam.

Mayat anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang di atas sekeping papan lapis di tapak pembuangan sampah tersebut, empat kilometer dari rumahnya.

Sementara itu, ayah mangsa Mohamad Sahak, 58, berkata anak bongsunya itu keluar dari rumah selepas berbuka puasa pada Isnin lepas, untuk ke kelas mengaji al-Quran yang tidak jauh dari rumah mereka.

Bagaimanapun, Mohamad berkata anaknya tidak pulang ke rumah seperti biasa pada pukul 9 malam, menyebabkan beliau mencari Aimi Hamizah di rumah guru kelas al-Quran berkenaan.

"Saya dimaklumkan guru mengajinya bahawa Hamizah datang untuk mengaji tapi pulang selepas dimaklumkan kelas tersebut dibatalkan," kata pekerja kilang lebur besi di Merlimau, Jasin itu.

Beliau dan anak lelakinya, Abu Sufian, 17 serta jiran dan rakan mereka bertindak mencari Aimi Hamizah namun gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua.

Kira-kira pukul 7 malam semalam, polis datang ke rumah meminta kami membuat pengecaman terhadap mayat seorang remaja perempuan yang ditemui di kampung bersebelahan, katanya.

Menurut Mohamad, pengecaman itu dilakukan isterinya Maimunah Ismail, 44, dan anak lelaki mereka.

"Kami terkejut namun reda dan berharap polis dapat menahan siapa yang melakukan perbuatan ini dengan segera. Saya hendak tahu siapa yang tergamak melakukan  perbuatan kejam ini," katanya.- Bernama

2 penumpang bot yang disangka hilang sihat, selamat kata keluarga



30 Mei 2013
KAPIT - Dua lelaki yang disenaraikan sebagai antara penumpang yang hilang selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, kira-kira 155km dari sini Selasa lepas, sebenarnya masih hidup dan telahpun pulang ke rumah panjang mereka, menurut seorang anggota keluarga.

Connie Menai memberitahu pemberita di sini hari ini bapa saudaranya, Akong Empam, 50, dan sepupu, Hendry Linggi, 35, yang disenaraikan sebagai hilang ekoran insiden itu kini berehat di rumah panjang mereka, Rumah Panjang Berundang, Nanga Ensawi, kira-kira dua jam perjalanan dengan bot menghulu sungai dari sini.

"Selepas mendengar nama mereka disebut menerusi siaran radio malam tadi sebagai antara penumpang yang hilang, saya datang ke sini bersama-sama suami untuk membuat laporan polis bagi memperjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis di sini hari ini.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu memberitahunya mereka melompat dari bot ekspres 'Kawan Mas' yang semakin karam sebelum dihanyutkan arus deras sehingga kira-kira satu kilometer sebelum krew sebuah tongkang ternampak mereka lalu menghulurkan bantuan.

"Kira-kira tengah hari Selasa lepas baru mereka sampai di rumah panjang... letih, basah dan hanya memakai seluar dalam," katanya.

Sementara itu, abang ipar Tujok, Philip Doren, berkata mereka berdua terjun bersama-sama dari bot ekspres yang sedang karam itu dan berenang ke tebing sungai.
  
Philip yang juga rakan sekerja Tujok bersama-sama 17 lagi pekerja sebuah kem pembalakan di Bakun menaiki bot ekspres Kawan Mas itu yang karam di Jeram Tukok dan Jeram Bungan di Sungai Rajang antara 8.30 pagi dan 9 pagi Selasa lepas.
  
"Kami sedang duduk di bumbung bot apabila tiba-tiba saya dapat merasakan bot itu membelok tajam dan kemudian kedengaran bunyi kuat dari belakang bot yang mula menjadi senget. Kami semua terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Belaga.
  
Mayat Tujok dibawa ke klinik di sini untuk autopsi. Anggota keluarganya bercadang membawa mayatnya pulang ke rumah panjangnya, Rumah Seking di Nanga Merit, Kapit hari ini. - Bernama

Bot karam: Operasi kesan mangsa hilang disambung pagi ini



30 Mei 2013
BELAGA - Gerakan mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres yang karam di Tanjung Giam Bungan, Sungai Rajang dekat sini, diteruskan pagi ini bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga, Liwan Lagang berkata operasi yang bermula 7 pagi itu menumpukan kepada usaha menarik dan mengangkat bot berkenaan bagi memudahkan gerakan mencari mangsa yang mungkin terperangkap.
"Hari ini kita akan gunakan tongkang yang lebih besar untuk menaikkan dan menarik bot ekspres yang tenggelam itu. Semalam kita gagal mungkin kerana tongkang sedikit kecil dan tidak mempunyai kekuatan mencukupi," katanya kepada Bernama.
Polis Sarawak semalam mengesahkan 192 mangsa selamat dan 11 masih hilang. - Bernama

Tragedi bot karam, mayat pertama ditemui



30 Mei 2013
KAPIT - Mayat seorang lelaki berumur 44 tahun yang disenaraikan sebagai antara penumpang bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam Selasa lepas, ditemui pagi ini.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata mayat Tujok Lah dijumpai penduduk rumah panjang Uma Tebok, Long Buyun, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata mayat akan dibawa ke Bazar Belaga.
Bakar turut mengingatkan pengguna sungai dan penduduk di sepanjang pinggir Sungai Rajang supaya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan air dari empangan hidroelektrik Bakun akan dilepaskan untuk menaikkan paras sungai.
Langkah itu, katanya, perlu untuk memudahkan kerja mengangkat bangkai bot ekspres itu dan memeriksa sama ada terdapat mayat yang terperangkap.
"Peningkatan jumlah air akan turut menjadikan arus semakin deras dan saya menasihati pengguna serta dan penduduk berhampiran sungai di kawasan ini supaya lebih berhati-hati," katanya.
Sementara itu Bernama difahamkan operasi bot ekspres antara Kapit dan Belaga dihentikan sementara berikutan tragedi itu.
Bot ekspres Kawan Mas dikatakan membawa lebih 200 penumpang dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit apabila terlanggar batu lalu karam di Jeram Tukok-Jeram Bungan, di Sungai Rajang, antara 8.30 pagi dan 9 pagi Selasa. - Bernama

Tanggal seluar selamatkan diri



30 Mei 2013
Tanggal seluar selamatkan diri
Orang ramai yang berkumpul di tebing sungai melihat bot ekspres Kawan Mas yang karam di Sungai Rajang berhampiran Belaga di pedalaman Sarawak, pagi kelmarin.
BELAGA - Emerita Benggau terpaksa menanggalkan seluar dan melepaskan semua barangan lain demi untuk menyelamatkan diri apabila bot ekspres yang dinaiki untuk pulang ke kampung menyambut Hari Gawai karam di Sungai Rajang semalam.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas seluar yang dipakainya itu menyukarkan pergerakannya untuk menyelamatkan diri.

“Saya dan penumpang lain menyedari air mulai masuk melalui pintu belakang bot dan kami bertindak memecahkan cermin keselamatan bot untuk keluar selamatkan diri. Saya terpaksa tanggal seluar dan melepaskan beg untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu tidak mudah kerana cermin keselamatan yang sempit dan keadaan kelam-kabut dan sesak dengan penumpang.

“Selepas keluar dari tingkap keselamatan bot, badan saya kejang, tetapi terpaksa kuatkan hati berenang ke kawasan berbatu di tengah sungai untuk menunggu diselamatkan,” katanya.

Rumah panjang itu adalah antara dua dari rumah panjang yang diguna untuk menempatkan mangsa bot karam yang selamat. Sebuah lagi ialah Rumah Panjang Uma Tanjong.

Emerita, 27, yang menaiki bot dari Kem Pembalakan di Bakun untuk pulang ke kampungnya di Rumah Panjang Benggau Nanga Sut Balleh, Kapit, hilang semua dokumen peribadi.

“Saya balik nak sambut Hari Gawai, dah jadi begini, rasa seronok nak sambut dah hilang,” katanya.

Bagi Sultan Usar, 40, suasana ketika itu kelam-kabut dengan penumpang berusaha selamatkan diri tanpa bantuan petugas bot ekspres itu.

“Keadaan ketika itu ‘bersepah’, masing-masing cuba selamatkan diri, saya sendiri yang sudah berjaya keluar dari bot hampir lemas kembali selepas kaki tersangkut dan bot ekpres itu yang tenggelam ‘menarik’ saya,” katanya.

Sultan yang bekerja di kem pembalakan di Bakun dan menaiki bot ekspres menuju ke kampungnya di Rumah Panjang Undi Sg Bena, Kapit bersyukur terselamat dan masih dapat sambut Hari Gawai.

“Sangat bersyukur kerana saya dan 13 rakan sekerja dari kem yang sama menaiki bot ekspres itu terselamat, namun sedikit kecewa kerana pengendali bot langsung tidak beri arahan selamatkan diri, sebaliknya sibuk menyelamatkan enjin bot,” katanya.

Terpaksa, tiada pilihan selain jalan darat yang terlalu jauh untuk pulang ke kampung, menyebabkan Philip Duren, 41, menaiki bos ekspres itu walaupun terpaksa duduk di atas bumbung.

“Saya beli tiket berharga RM50, sama harga seperti penumpang duduk dalam bot ekspres, tetapi sebab nak balik sambut Hari Gawai saya naik juga walaupun terpaksa duduk atas bumbung,” katanya.

Philip berkata, dalam kejadian itu, dia bersama anak, Rosek Philip, dalam perjalanan dari Kem Pembalakan Sy Sin Yang Lakin B, Bakun menuju ke kampungnya di Nanga Merit, Kapit untuk bercuti 10 hari sempena Hari Gawai.

“Sudah lima tahun saya bekerja di Kem Pembalakan Sin Yang, sejak dari Lakin A hingga sekarang ke Lakin B, tiap kali balik ke kampung untuk sambut Hari Gawai atau Hari Krismas, kena duduk atas bumbung...ini dah jadi perkara biasa, sebab itu saya tidak kisah kali ini untuk duduk atas bumbung,” katanya. - Bernama

Bumbung rumah rosak dipukul ribut


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Bumbung rumah rosak dipukul ribut
Bahagian bumbung rumah Md Yasin di Felda Bukit Damar yang rosak akibat ribut malam kelmarin.
TEMERLOH – Empat rumah peneroka Felda Bukit Damar mengalami kerosakan kecil akibat kejadian ribut yang berlaku tengah malam kelmarin.

Salah seorang mangsa, Md Yasin Abdul Rashid, 57, berkata, kejadian berlaku serentak dengan hujan lebat kira-kira jam 11 malam ketika dia bersama keluarga sedang menonton televisyen.

“Cuaca tiba-tiba sahaja berubah dengan ribut petir dan hujan lebat kira-kira sejam, masa itu angin kuat  hingga menyebabkan paku pada atap rumah tercabut.

“Keadaan makin teruk apabila air hujan masuk ke dalam rumah dan kami terpaksa tadah pula dengan beberapa bekas plastik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Md Yasin berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Hasmah Awang, 58, serta dua anak berada dalam rumah dan mujur tidak berlaku kejadian yang lebih teruk.

“Pagi ini (semalam) saya periksa terdapat tiga rumah lain di kawasan sekitar rumah saya yang turut rosak akibat ribut.

“Saya sudah buat laporan polis dan juga kepada pengurusan Felda mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Md Yasin berkata, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM4,000 dan berharap ada bantuan daripada kerajaan.

Pencuri tak sempat nikmati hasil habuan


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Pencuri tak sempat nikmati hasil habuan
ZAMRI
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tidak sempat menikmati hasil curinya selepas dibelasah orang awam yang menyedari perbuatannya dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Wakaf Mempelam, di sini, petang kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek berusia 20-an cuba melarikan wang milik seorang pekerja di stesen minyak berkenaan yang sedang menunaikan solat di bilik rehat disediakan di situ.

“Suspek datang bersendirian dengan hanya berjalan kaki telah masuk ke bilik rehat di stesen minyak berkenaan dan berpura-pura mahu menunaikan solat.

“Selepas yakin tiada yang memerhatikannya, dia mengambil wang mangsa di dalam dompet kira-kira RM100 ketika mangsa sedang bersolat," katanya, semalam.

Sumber berkata, perbuatan suspek disedari rakan mangsa yang kebetulan masuk ke dalam bilik rehat berkenaan.

“Rakan mangsa menjerit meminta bantuan rakan setugas lain dan orang awam yang berada di lokasi kejadian untuk menangkap suspek.

"Suspek berjaya ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sebelum dibelasah," katanya.

Berikutan kejadian itu, suspek mengalami kecederaan ringan di tangan dan badan.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg sandang suspek menjumpai beberapa wang kertas RM50 dipercayai wang palsu dan suspek mendakwa wang itu dijumpai di tempat pembuangan sampah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana men-curi dalam bangunan.

Pekerja kilang maut langgar lembu



30 Mei 2013
KUANTAN - Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Sungai Ular di sini, malam semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa, Wan Mohamad Hisham Wan Mohd Mazuki, 21, dari Taman Perumahan Chengal Lempong Baru, Balok meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam nahas 8.55 malam itu, mangsa yang dari arah Kemaman menghala ke Kuantan, tidak menyedari kehadiran seekor lembu yang dipercayai sedang melintas jalan sebelum mangsa merempuhnya, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata akibat rempuhan itu mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan.

Mayat mangsa katanya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Buruh ditahan bersama heroin bernilai RM836,850



30 Mei 2013
KUANTAN - Polis memberkas seorang pengedar dadah bersama dadah jenis heroin seberat 4,184.25 gram bernilai kira-kira RM836,850 di Jalan Sungai Lembing, Taman Kampung Perdana di sini, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata ketika ditahan pada pukul 1.30 pagi, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam sebuah kereta di tepi lorong sebuah rumah di jalan terbabit.

Katanya dadah untuk kegunaan 83,685 penagih itu ditemui disorok di bawah tempat duduk bahagian pemandu kereta Perodua Viva berkenaan.

"Dalam serbuan itu suspek pada mulanya enggan bekerjasama dengan polis dan bertindak agresif apabila diarahkan membuka pintu kereta.

"Polis terpaksa mengetuk cermin hadapan kereta berkenaan dan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis sebelum dia ditahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Jamaluddin berkata polis juga merampas kereta tersebut dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia.

"Kita percaya suspek aktif mengedar dadah di sini sejak awal tahun ini dengan mendapatkan bekalan dadah dari negeri jiran," katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. - Bernama

Suspek kedua kes samun dan suntik pemandu lori barangan lusuh ditahan



30 Mei 2013
KUALA TERENGANU - Polis menahan suspek kedua kes samun dan menyuntik pemandu lori dengan dadah sebelum melarikan lori yang membawa barangan lusuh di Felda Cherul Kemaman 20 Mei lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Gong Kenak Jerteh, Besut.
  
"Ketika serbuan suspek berada seorang diri di kediaman itu. Kami turut menemui semula lori dengan muatan besi buruk dan surat khabar lama," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan dan berasal dari Besut itu kini direman untuk siasatan lanjut.
  
Dalam kejadian pada 10.30 pagi 20 Mei lepas, dua lelaki menahan pemandu lori yang berusia 29 tahun dan menyuntiknya dengan dadah dipercayai morfin sehingga khayal sebelum melarikan lori yang membawa muatan besi buruk dan surat khabar lama itu.

Suspek turut menyamun beberapa barangan berharga milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan dan diselamatkan oleh pemandu lori lain.  

Ekoran kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan suspek utama kes berkenaan Ahad lepas.
  
Lelaki itu ditahan di rumahnya di Felda Cherul 2, pada pukul 5.30 petang dan siasatan awal mendapati suspek utama itu turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah. - Bernama

Tempurung kepala retak


NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
30 Mei 2013
Tempurung kepala retak
Liang Chuan dihantar ke HPSF untuk mendapatkan rawatan selepas parah ditimpa kelapa sawit.
LEDANG - Seorang lelaki cedera parah pada wajah dan kepala apabila kelapa sawit seberat 20 kilogram (kg) yang sedang dipetiknya terjatuh menimpa mukanya dalam kejadian di Parit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu, turut menyebabkan hidung Teo Liang Chuan, 43, patah, manakala tempurung kepalanya dilaporkan retak dan mangsa kini dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian malang itu, disaksikan isteri mangsa berusia 40an yang berada selang tiga pokok dari tempat Liang Chuan memetik kelapa sawit.

Difahamkan, Liang Chuan mengambil alih tugas memetik buah itu yang di kebun milik rakannya selepas salah seorang daripada pekerjanya berhenti beberapa bulan lalu.

Bapa mangsa, yang mahu dikenali Teo, 60an, berkata, pada hari kejadian, anaknya ke kebun berkenaan ditemani isteri dan seorang pekerjanya warga Indonesia.

“Sebaik kelapa sawit yang berada pada ketinggian 15 kaki itu jatuh menimpa Liang Chuan, dia terus rebah di atas tanah lalu pengsan.

“Menantu yang terkejut dengan insiden itu segera mendapatkan suaminya yang terbaring dengan keadaan muka berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, menantunya kemudian menghubungi adik Liang Chuan untuk mendapatkan pertolongan bagi menghantarnya ke HPSF segera berikutan darah pada muka suaminya tidak henti keluar.

Ujarnya, mujur kejadian itu disedari menantu dan jarak di antara tempat kejadian dengan hospital berdekatan serta mudah untuk menghantarnya mendapatkan rawatan dengan pantas.

“Ini adalah kejadian buruk pertama kali menimpa anak saya yang sudah berpengalaman lebih 10 tahun memetik kelapa sawit,” katanya.

Teo berkata,  walaupun kecederaan yang dialami Liang Chuan agak teruk, dia berharap anaknya dapat diselamatkan dan pulih seperti sedia kala.

Tanah runtuh sebabkan kesesakan teruk di Ranau



30 Mei 2013
KOTA KINABALU - Kejadian tanah runtuh membabitkan Jalan Merakau, Ranau, dekat sini malam semalam, mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk melebihi jarak 20 kilometer, bermula dari pekan Ranau hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Ranau DSP Abdul Rahman Kasim berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 8 dan 11 malam tadi membabitkan bahagian jalan yang dalam pembinaan.
  
Pihak berkuasa sedang membina pembentung di kawasan kejadian dan hujan lebat selama lebih tiga jam yang melanda daerah ini menyebabkan berlaku aliran air yang deras dari Gunung Kinabalu dan menghanyutkan jalan itu, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
  
Menurutnya kesesakan lalu lintas itu dijangka berterusan kerana musim cuti sekolah dan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut pesta Kaamatan. - Bernama

Kastam Sabah tumpas cubaan seludup dadah melalui KKIA



29 Mei 2013
KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 2.25 kilogram dianggar bernilai RM500,000 yang dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pengarah Kastam Negeri Sabah Datuk Janathan Kandok berkata pemeriksaan oleh pegawai kastam di KKIA pada 27 Mei lepas berjaya mengesan dan merampas dadah itu.

"Dadah yang telah disorok di bahagian sulit beg yang telah diubah suai berjaya dikesan selepas pihak kastam membuat pemeriksaan ke atas beg seorang wanita yang berumur sekitar 40-an," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai membawa dadah itu dari India melalui penerbangan ke Changi, Singapura sebelum ke KKIA Terminal 1 dengan pesawat Silk Air SQ 5092.

"Wanita itu berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa swasta serta telah berkahwin dengan seorang lelaki warga Nigeria".

"Suspek masih ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan akan digantung sampai mati," katanya.

Janathan berkata ini merupakan tangkapan ketiga oleh pihak kastam sepanjang tahun ini.
Pada Mac lepas, kastam di Lapangan Terbang Sandakan merampas methamphetamine dan syabu yang dianggar bernilai RM1 juta dan ketamin di Lapangan Terbang Tawau bernilai RM500,000.

"Kita percaya penyeludup ini berkahwin dengan wanita tempatan sebagai keldai dadah, dan menggunakan lapangan terbang tempatan sebagai tempat untuk transit memandangkan pemeriksaan ketat pihak kastam KLIA pada ketika ini" katanya.- Bernama

Warga emas nekad terjun sungai


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Warga emas nekad terjun sungai
KOK LIANG
TELUK INTAN - Seorang warga emas yang dikatakan tidak sanggup menanggung derita barah payudara mengambil keputusan terjun ke Sungai Bidor di sini, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ng Ah Loke, 73, berasal dari Padang Tembak, nekad terjun ke Sungai Bidor sebagai cubaan membunuh diri.

Mangsa meminta bantuan seorang jiran untuk membawanya ke jeti berhampiran dengan Sungai Bidor.

Ketika sampai di jeti berkenaan yang berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, warga emas  itu meluahkan perasaan berkenaan penyakitnya yang dihadapi sejak enam tahun lalu.

Difahamkan, wanita itu juga mengatakan tidak sanggup untuk menanggung penyakit itu dan menjadi beban kepada anaknya kerana terpaksa menanggung kos rawatannya.

Sinar Harian dimaklumkan, setelah meluahkan perasaan, mangsa turut meninggalkan pesan kepada jirannya untuk memaklumkan dia ada meninggalkan surat wasiat untuk kedua-dua orang anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang sebelum terjun ke Sungai Bidor.

Jiran mangsa turut cuba menyelamatkan warga emas  itu namun tidak berjaya dan memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu telah menubuhkan pasukan mencari mangsa bersama-sama anggota  Balai Bomba dan Penyelamat, petang kelmarin.

Menurutnya, pasukan  menyelamat mencari mangsa sehingga 8 malam kelmarin  sebelum menangguhkan operasi kerana keadaan semakin gelap.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pagi tadi (semalam) sebelum anggota penyelamat berjaya menemukan mayat wanita warga emas itu.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 8.30 pagi tadi (semalam) tidak jauh daripada lokasi warga emas itu terjun ke  Sungai Bidor petang semalam (kelmarin),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut dan telah dituntut oleh keluarga untuk tujuan pengebumian, tengah hari semalam.

“Kes yang melibatkan warga emas terjun ke Sungai Bidor diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

'Ada kes peneroka maut dipijak'


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
SUNGAI SIPUT – Gangguan gajah di kawasan Felda Lasah, di sini bukan perkara asing kerana sekitar tahun 70-an  pernah ada kes peneroka mati akibat dipijak.

Osman Yaacob, 63, berkata, ia berlaku ketika lokasi berkenaan mula-mula diteroka yang mana ketika itu penduduk keluar awal pagi untuk menoreh.

Menurutnya, ketika itu, hampir semua penduduk keluar sesudah subuh dan kehadiran haiwan liar seperti gajah kurang disedari kerana keadaan laluan yang gelap.

“Waktu itu arwah naik basikal, dia tak sedar sebenarnya laluan itu ada gajah, arwah terlanggar kaki gajah itu lalu jatuh, mungkin masing-masing terperanjat, gajah tu pun bertindak ganas dan memijaknya,” katanya.

Osman yang merupakan generasi kedua peneroka di felda berkenaan memaklumkan kawasan itu mula diteroka pada 1968.

Dia yang memiliki kebun getah seluas 3.2 hektar mengakui, penduduk di kawasan itu sudah terlalu biasa dengan kehadiran gajah.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh itu, hanya satu kematian yang diketahui sementara lain hanya melibatkan kecederaan seperti pengsan dan patah kaki akibat mahu melarikan diri setelah terserempak dengan haiwan itu.

“Bukan setakat gajah, beruang dan harimau pun ada, itu adatlah sebab ini kawasan hutan, sekarang tak ada sangat, cuma gajah sahaja yang masih kelihatan,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Abdul Razak Mat Rejab, 71, berkata, sekitar tahun 80-an, penduduk di kawasan itu paling kerap menerima kehadiran gajah. Hinggakan ada ketikanya, haiwan itumenjadikan tepi rumah sebagai laluan.

“Dulu kita tak ada jalan yang elok, jadi gajah suka lalu tepi rumah. Kadang-kadang berlanggar dengan dinding papan rumah kita.

“Tapi Alhamdulillah, tak ada berlaku benda-benda berisiko,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, Perhilitan Perak berjaya menangkap lapan ekor gajah dalam tempoh empat hari yang merupakan tangkapan terbesar pernah direkodkan.

Pemuda ditahan ketika sedang curi pisang


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Pemuda ditahan ketika sedang curi pisang
Pisau pemotong sayur yang digunakan suspek untuk pisang tanduk dalam sebuah kebun di Parit Bunga, Jumaat lalu.
LEDANG - Gara-gara terdesak mahu mendapatkan wang, seorang pemuda mencuri pisang tanduk di sebuah kebun di Parit Bunga, Sungai Mati dekat sini, Jumaat lalu.

Malangnya tindakan lelaki itu disedari pemilik kebun berkenaan selepas mendapati pisang di beberapa pokok hilang.

Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pengadu menghubungi polis yang kemudiannya memberkas suspek yang sedang leka mencuri buah berkenaan.

“Suspek berusia 27 tahun itu berasal dari Serom 3, Sungai Mati, dan tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan jam 11.50 pagi.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran lapan inci yang digunakan suspek untuk memetik pisang tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine tetapi tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511  kanun keseksaan.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan suspek dipercayai terbabit kes pecah rumah di Taman Tangkak Jaya di sini, dalam tempoh kurang 12 jam di Bukit Baru, Melaka, 25 Mei lalu.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Tangkak itu, ditahan di Bukit Baru, semasa menaiki kereta kira-kira jam  1 pagi selepas mangsa, wanita yang juga warga emas berusia 66 tahun membuat laporan polis pukul 1.35 petang 24 Mei lalu.

“Penahanan suspek berusia 27 tahun ini hasil intipan polis dan mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang dari Johor Bahru pada 24 Mei lalu,” katanya.

Harun berkata, mangsa sebelum ini meninggalkan kediamannya dari 5 hingga 24 Mei lalu, dan berada di rumah saudaranya di Johor Bahru.

Jelasnya, apabila pulang, dia mendapati rumahnya dipecah masuk sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

“Warga emas itu kehilangan antaranya rantai leher emas dan beberapa mata wang asing. Kerugian dianggarkan kira-kira RM4,500,” katanya.

Mayat nenek berlumuran darah di lantai


NOOR’AINON MOHAMED YUSOF 
30 Mei 2013
Mayat nenek berlumuran darah di lantai
Sampuranam
IPOH – Seorang cucu yang baru pulang bercuti terkejut apabila nenek kesayangannya ditemui terbaring berlumuran darah di bahagian dapur rumahnya, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

M Darshini, 21, yang panik melihat mayat A Sampuranam, 75, bertindak menghubungi polis sebelum memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga lain.

Menantu mangsa, R Raman, 51, yang tinggal di Taiping bergegas ke rumah keluarga itu selepas dimaklumkan dengan kejadian tersebut.

“Kali terakhir saya bertemu mangsa sebulan yang lalu dan difahamkan ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri selepas anak dan cucunya keluar bekerja.

“Saya terkejut apabila diberitahu kejadian yang menimpa mangsa kerana dia memang tidak banyak cakap tetapi rajin bekerja,” katanya yang turut memberitahu mangsa mengalami masalah kesihatan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa ditemui terbaring di lantai dapur kediamnnya dengan kesan cedera di kepala dan leher.

Menurutnya, pihaknya tidak menemui sebarang kerosakan atau punca pintu rumah mangsa dipecah masuk.

“Ketika kejadian mangsa seorang diri dirumah dan dipercayai disamun sebelum dibunuh oleh suspek. Dua pembesar suara dipercayai hilang dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan laporan bedah siasat forensik mendapati mangsa cedera akibat terkena hentakan objek keras,” katanya yang masih tidak mempunyai anggaran sebenar kerugian dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

Pengusaha kedai nyaris maut


ZAIRUL AFIZA HAMZAH 
30 Mei 2013
Pengusaha kedai nyaris maut
Ketika kejadian, mangsa sedang duduk berehat di kerusi dekat luar kedai bersama isterinya kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Pengusaha kedai nyaris maut
Zakaria menunjukkan bahagian tangan yang ditembak suspek ke arah mangsa ketika cuba merompak di kedai makan milik mangsa.
JERANTUT - Polis giat mencari seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu kes rompakan bersenjata api di sebuah kedai makan di Batu 1 Jalan Jerantut-Benta, di sini, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, seorang pemilik kedai ditembak di bahagian lengan kirinya oleh suspek dipercayai lelaki Melayu.

Menurutnya, mangsa, 50-an, bersama isterinya sedang berkemas untuk menutup kedai mereka setelah siap urus niaga sementara seorang pembantu mereka berada di bahagian belakang kedai.

“Ketika mangsa duduk di kerusi di bahagian luar kedai bersama isterinya, seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Nouvo dan memakai topi keledar mendekatinya dan meminta wang.

“Bagaimanapun mangsa enggan memberikan wang menyebabkan suspek bertindak menyelak tudung yang dipakai isteri mangsa untuk meragut barang kemas namun wanita itu tidak memakai rantai leher,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini.

Akibat berang dengan pasangan suami isteri itu katanya, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan dan terkena lengan kiri mangsa hingga menembusi bahagian rusuk kirinya.

Menurutnya, suspek kemudiannya melarikan diri ke arah bandar dan orang awam di kawasan berhampiran tempat kejadian segera menghubungi polis.

“Kita percaya kejadian ini bermotifkan rompakan dan dipercayai dilakukan orang tempatan.

“Suspek bagaimanapun menyamar warga Indonesia melalui loghat percakapan ketika meminta wang namun bertukar kepada loghat tempatan apabila gagal mendapatkan wang tersebut,” katanya.

Zakaria berkata, polis segera membuat sekatan jalan raya dan menggeledah beberapa kawasan sekitar bandar ini untuk menjejaki suspek namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Ini kejadian pertama rompakan bersenjata di Jerantut dan kita belum dapat kenal pasti jenis pistol dan peluru yang digunakan suspek,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi IPD Jerantut, 09-2662222 untuk membantu siasatan.

Zakaria menyarankan pengusaha restoran, kedai makan serta premis perniagaan yang menjalankan urus niaga hingga lewat malam agar berhati-hati dan segera menghubungi polis sekiranya terdapat perkara mencurigakan.

Mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.

Temui ajal ketika melintas jalan


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Temui ajal ketika melintas jalan
Mayat mangsa dibawa ke HTJS untuk bedah siasat.
Temui ajal ketika melintas jalan
Sak Ku
SEREMBAN –  Seorang warga emas menemui ajal ketika sedang melintas jalan raya selepas dilanggar sebuah kereta di persimpangan jalan Taman Rasah Jaya dan Taman Bukit Nuri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Siow Sak Ku, 76, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang berjalan berseorangan dipercayai sedang melintas jalan berkenaan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan menuju ke Rasah Jaya namun sejurus tiba di lokasi terbabit dia tidak nampak mangsa sedang melintas jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter dan maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Menurut jurucakap polis lagi, pemandu dan penumpang kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Pemandu kereta terbabit telah pun membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Wanita diserang ‘penunggu’ almari


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013
Wanita diserang ‘penunggu’ almari
Anggota JPAM Kerian menunjukkan ular tedung yang ditangkap di rumah mangsa.
SELINSING - Seorang suri rumah terkejut apabila diserang dan nyaris dipatuk ular tedung yang melingkar di dalam almari di bilik utama rumahnya di Kampung Tebuk Haji Dollah, di sini, ketika mahu menyusun pakaian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa hanya dikenali Rosmah, 30, baru selesai melipat pakaian dan membuka almari baju untuk menyusun pakaian berlipat, namun terkejut setelah dia terpandang objek berwarna kelabu terkeluar sedikit dari almari itu.

Menurutnya, ketika hendak melihat objek itu dengan lebih dekat, tiba-tiba dia terdengar bunyi seakan mendengus dari arah dalam almari itu.

“Pada mulanya, saya sangka ia kayu dan cuba menggerakkannya dengan kayu sebelum mendapati objek itu lembik dan bergerak tetapi senyap. Saya keluar sebentar sebelum masuk semula selepas beberapa minit kerana tak sedap hati.

“Saya terperanjat dan menjerit sekuat hati kerana benda itu rupa-rupanya ular tedung sepanjang kira-kira tiga meter lebih yang cuba bertindak menyerang saya setelah pintu almari dibuka sepenuhnya.

“Mujur saya sempat menutup semula dan segera menjerit memanggil suami yang ketika itu berada di luar untuk mendapat bantuan,” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Suami mangsa, Mohd Zaki, 33, berkata, sejurus mendengar jeritan isterinya, dia bergegas masuk ke dalam bilik untuk melihat perkara yang berlaku.

“Selepas dimaklumkan isteri terdapat ular tedung selar menjadi penunggu di dalam almari bilik kami, saya segera menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Dengan pantas sekumpulan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian tiba di rumah saya lebih kurang 20 minit kemudian untuk menangkap ular itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi dan Latihan JPAM Kerian, B Sugumaran berkata, sepasukan skuad operasi menangkap ular diketuai Abdul Sani mengambil masa lebih 20 minit untuk menangkap ular berkenaan kerana ia sangat agresif.

“Panjang haiwan berbisa itu lebih tiga meter dan berat lebih kurang tiga kilogram,” katanya.

Layan pelanggan dalam semak


SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
30 Mei 2013
Layan pelanggan dalam semak
Rina ketika disoal siasat oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.
SUNGAI PETANI - Seorang wanita berusia awal 30-an bersama pasangannya ditemui dalam keadaan separuh bogel ketika serbuan dilakukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam kawasan semak berhampiran Pekan Lama, Sungai Petani baru-baru ini.

Wanita tersebut, dikenali sebagai Rina (bukan nama sebenar) dipercayai telah lama dan berpengalaman sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) selain aktif terjebak dengan perbuatan itu.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, hasil maklumat orang awam, sepasukan tujuh anggota bersiap sedia melakukan serbuan kira-kira jam 7 malam melalui lorong tikus sehinggalah sampai ke lokasi kejadian.

Menurutnya, wanita itu bersama pasangannya leka berseronok sehingga tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang datang ke lokasi kejadian sebelum serbuan dilakukan.

“Semasa serbuan kami dapati, di kawasan berkenaan (dalam semak) berlaku kegiatan maksiat dan tidak bermoral antara seorang wanita bersama pasangannya.

“Antara alasan yang diberikan wanita itu ialah dia terpaksa melakukan perbuatan terkutuk tersebut bagi menyara tiga orang anak yang masih kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas disoal siasat, wanita itu mengaku turut melayan nafsu pelanggan yang terdiri dari pelbagai bangsa serta warga asing yang ingin mendapatkan perkhidmatannya.

“Turut ditemui semasa serbuan dalam semak berkenaanialah tilam dan kondom yang dipercayai digunakan oleh GRO untuk melayani pelanggan,”katanya.

Menurut Zaiferi, lokasi berkenaan juga merupakan lokasi panas yang kerap dijadikan ‘port’ maksiat serta diketahui umum bagi mereka yang menjalankan perkhidmatan tersebut.

Katanya, pihaknya menasihati mana-mana individu yang beragama Islam supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk mahupun melanggar syariat Islam selain balik ke pangkal jalan sekiranya tersilap langkah.

Individu yang dipercayai bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun.

Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah


30 Mei 2013
 MELAKA - Misteri kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak pulang ke rumah selepas keluar mengaji dua hari lalu terjawab apabila dia ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, lewat petang semalam.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Molek di sini, ditemui dalam keadaan terlentang di atas papan lapis berhampiran padang oleh sekumpulan remaja lelaki yang baru sahaja pulang dari bermain bola sepak kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, ibu bapa mangsa membuat laporan polis  di Balai Polis Tiang Dua kelmarin selepas anak mereka tidak pulang ke rumah Isnin lalu.

“ Pihak keluarga telahpun mengesahkan mangsa adalah anak mereka berdasarkan pakaian mangsa yang  sama sebelum keluar rumah,” katanya.

Bayi yang dibuang selamat.

Foto MenarikGAMBAR daripada rakaman video menunjukkan bayi baru lahir yang diselamatkan anggota bomba selepas dibuang dan tersumbat dalam paip kumbahan di sebuah hospital di Jinhua, China. Seorang wanita, 22, yang memberitahu pihak bekuasa tentang bayi ini mengaku dia ibunya. Bagaimanapun, dia enggan tampil ke depan kerana tidak mampu menyara bayi itu. FOTO AP

Amaran geng lawan



Kapar: Kemunculan kain rentang yang memaparkan logo tertentu sekitar Pekan Meru sejak semalam dipercayai mempunyai hubung kait dengan kematian seorang lelaki juga ahli kumpulan kongsi gelap yang terbunuh akibat ditembak di sebuah restoran di Jalan Meru, awal pagi Isnin lalu.

Kain rentang yang dilekat ahli kumpulan kongsi gelap disertai mangsa dipercayai sebagai ‘amaran’ awal kepada kumpulan lawan bahawa mereka akan membalas dendam dan menuntut bela atas kematian rakan mereka.


Kemunculan kain rentang itu mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru selain menimbulkan kerisauan kejadian sama akan berulang.

Tinjauan Harian Metro semalam bagaimanapun tidak menemui kain rentang yang dimaksudkan kerana difahamkan pihak polis yang dimaklumkan perkara itu oleh orang awam mengambil tindakan drastik menurunkan kain rentang itu dengan kadar segera.


Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan kewujudan kain rentang itu daripada orang ramai yang melalui kawasan Meru.


Menurutnya, polis mengambil tindakan segera dengan mengarahkan anggota bertugas untuk membuat rondaan sekitar daerah ini selain menurunkan kain rentang berkenaan.

“Kami faham kerisauan orang ramai dengan wujudnya kain rentang itu. Jadi tindakan menurunkan sudah dibuat di kawasan Meru dan sekitarnya. Namun, jika ada sesiapa yang melihat kain rentang yang mempunyai logo atau lambang tertentu diminta menghubungi polis.


“Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan huru-hara dan suasana tegang agar menghentikan tindakan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan majlis sambutan hari lahir seorang lelaki dipercayai ahli satu kumpulan gengster bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditembak anggota kumpulan lain di sebuah restoran.


Bukan itu saja, seorang lagi anggota kongsi gelap yang diserang kini koma akibat ditetak dengan parang menyebabkan telinga kanannya hampir putus selain cedera di muka.


Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun yang terbunuh itu bersama 20 rakannya berada di premis berkenaan untuk menyambut hari lahir seorang ahli kumpulan mereka.

9 penyokong cedera

Foto Menarik
SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mencemar duli turun ke trek bagi memantau sendiri keadaan penyokong yang begitu ramai menyaksikan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim, di Stadium Darul Makmur.
Johor Bahru: Kelab Penyokong Johor (JFC) mendakwa sembilan penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) termasuk tiga kanak-kanak cedera seperti luka serta benjol akibat dibaling dengan objek keras di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang, malam kelmarin.

Jurucakap JFC berkata, dua lagi penyokong sesak nafas namun semua yang cedera itu disahkan stabil selepas dirawat di pusat perubatan berhampiran.


“Kami kecewa dengan kejadian yang berlaku membabitkan penyokong JDT yang hadir untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara JDT dan Pahang di Stadium Darul Makmur.

“Kami juga kesal kerana kenderaan bernombor pendaftaran Johor dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya, semalam.

Penyokong panik

Foto Menarik
PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis bekerja keras menghalang penyokong yang menyerbu masuk ke padang sejurus perlawanan separuh akhir antara Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan dengan tarikh baru akan diumumkan kemudian. FOTO Luqman Hakim Zubir

Johor Bahru: “Keadaan di dalam stadium umpama medan perang apabila botol air, kayu, malah batu-bata berterbangan ke arah penonton.

“Saya bersama ahli keluarga panik, kami berlari ke arah tempat duduk penyokong sejurus diarah anggota keselamatan,” kata penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Ismail A Majid, 46, menceritakan detik cemas yang berlaku di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam kelmarin.


Ismail bersama isteri serta tiga anak mereka hadir untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara JDT bertemu Pahang dengan menaiki bas diuruskan Kelab Penyokong Johor (JFC).

Menurut Ismail, rombongan dari Johor tiba di stadium berkenaan pada jam 4 petang selepas berlepas dari Larkin kira-kira jam 10.30 pagi.


Katanya, pada mulanya keadaan dalam stadium hanya bising dengan sorakan penyokong dan mereka kemudian diarah turun ke trek balapan padang berikutan tempat duduk penyokong sudah penuh.


“Bagaimanapun, selepas anggota keselamatan mengarahkan kedua-dua penyokong yang berada di balapan berpindah ke tempat lain, keadaan menjadi kecoh dan kami mula dibaling dengan pelbagai objek.

“Keadaan itu menyebabkan saya panik kerana tidak menyangka perkara ini akan berlaku, pada masa sama, saya dibaling dengan objek keras pada pinggang.


“Saya juga dapati ramai rakan menjadi sasaran balingan pelbagai objek, malah saya menyaksikan kepala seorang wanita berdarah akibat terkena balingan, kanak-kanak turut terkena balingan botol,” katanya yang ditemui di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pagi semalam.

Rombongan kira-kira 4,000 penyokong pasukan JDT yang menaiki bas serta kenderaan persendirian tiba di Johor pada jam 7.45 pagi.


Sementara itu, seorang kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Papa, 35, dari Taman Cempaka berkata, dia turut cedera dalam insiden terbabit.


“Kami dihujani pelbagai objek seperti batu. Saya cuba mengelak namun turut terkena batu bata pada bahu menyebabkan kulit bahagian itu koyak serta berdarah.


“Perlawanan ini sepatutnya berlangsung dengan meriah, bagaimanapun ia bertukar kepada kenangan pahit,” katanya yang turut cedera ringan di kaki.

Tiada senarai lengkap



Petra Jaya: Jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam bot ekspres karam berhampiran Tanjong Giam Bungan, Belaga, pagi kelmarin sukar dipastikan kerana pengusaha bot tidak mempunyai senarai lengkap nama penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keadaan itu menyukarkan polis mengenal pasti jumlah sebenar dan identiti mangsa dan setakat ini, polis bergantung kepada maklumat diperolehi hasil temu bual dengan keluarga serta penumpang terselamat.


Katanya, setakat ini, temu bual ke atas pihak terbabit mendapati jumlah terkini mangsa yang terselamat adalah 179 penumpang, manakala 11 lagi masih hilang.

“Namun, kita tidak menolak kemungkinan angka yang hilang mungkin lebih daripada itu. Sehingga pagi ini (semalam), angka yang polis peroleh adalah 179 selamat, manakala 11 lagi hilang,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan 100 anggota polis, bomba, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Residen Kapit.


Turut serta, 11 bot penyelamat dan 18 penyelam yang memberi tumpuan di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan ke hulu sungai dari Sibu.

“Kami belum dapat mengesahkan sama ada penumpang yang hilang itu terperangkap dalam bot ekspres yang tenggelam atau dihanyutkan arus deras ke hulu.


“Kami juga meminta pengurusan Empangan Hidro Bakun mengurangkan jumlah pelepasan air bagi memperlahankan arus di kawasan terbabit,” katanya.

Acryl berkata, polis mengumpul maklumat mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan untuk menyiasat punca sebenar kejadian yang mengakibatkan kematian itu.


Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, bot ekspres malang itu mengalami kerosakan enjin sebelum terlanggar batu dan karam.


Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mengeluarkan senarai nama 11 penumpang yang masih hilang berusia antara 20 hingga 40-an.


Mereka terdiri daripada Anuar Margaret, Akong Empam, Hendry Linggi, Mejerin Bantan, Ricky Sunus, Robert Angih, Roslin Jati, Simon Patrick, Tommy Ubing, Welson Lat dan Wesly Belaja Nelson.


Orang ramai atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.