Search This Blog

Wednesday, May 29, 2013

Tinggal sehelai sepinggang



KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah rumah dan dua gudang sewaan di Pasar Jelawat, Bachok kelmarin.


BACHOK – Seorang peniaga dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM75,000 apabila sebuah rumah dan dua pintu gudang sewaan musnah dalam kebakaran di belakang Pasar Jelawat di sini malam kelmarin.
Menurut mangsa, Normayuzi Mohd. Nor, 33, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama dua anak dan ibu mertuanya, Mek Zainab Man, 76, dan hanya mengetahui kejadian itu selepas terdengar jeritan jiran mengenai kebakaran tersebut pada pukul 10.15 malam.
Katanya, tanpa jeritan jiran mengenai kebakaran yang dipercayai bermula dari gudang miliknya yang terletak sebaris dengan rumahnya itu, mungkin dia sekeluarga terperangkap dalam kebakaran itu.
“Saya terdengar jeritan jiran mengenai kebakaran tersebut dan terus meluru ke luar rumah untuk melihatnya.
“Pada ketika itu, gudang terletak berhampiran rumah saya sudah dijilat api,” katanya.
Ceritanya, melihatkan api yang semakin marak di bahagian hadapan gudang berkenaan, dia terus membawa dua orang anaknya, Mohd. Naqiuddin, 6, dan Siti Nur Hanah Adlina, 1, serta ibu mertua keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Katanya, pada waktu itu, asap dari gudang terbabit sudah memenuhi ruang dalam rumahnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2UhIUXmtF 
Hakcipta terpelihara 

Pengawal kelab nyaris maut dilontar bom tangan



ANGGOTA Unit Pemusnah Bom memeriksa bom tangan yang ditemui di hadapan sebuah kelab rekreasi di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH – Nyawa dua pengawal keselamatan sebuah kelab rekreasi di Jalan Raja Uda di sini masih panjang apabila sebutir bom tangan yang dilontar seorang lelaki tidak dikenali di hadapan pintu kelab itu awal pagi semalam tidak meletup.
Dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu, dua pengawal berkenaan sedang bertugas di situ setelah kelab itu tamat waktu operasi pada pukul 2 pagi.
Penyerang yang dipercayai menunggang sebuah motosikal dan bertopi keledar bertindak membaling sesuatu ke arah mangsa sambil berkata ‘nah, kasi lu punya bos’ sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim (gambar kecil) berkata, berdasarkan bentuknya, bom tangan itu dipercayai jenis ‘anti personal’ boleh menghasilkan letupan kuat bersama serpihan bebola besi untuk membunuh sasaran pada jarak keliling seluas 15 meter.
“Objek tersebut jatuh berdekatan kaki salah seorang daripada pengawal dan mangsa terkejut melihat objek berwarna hijau muda menyerupai sebutir bom tangan dan masih mempunyai pin serta tulisan berwarna kuning di bahagian atasnya.
“Kedua-dua mangsa bergegas menjauhkan diri daripada objek tersebut sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2UhEU7jPN 
Hakcipta terpelihara 

Suspek rempuh khemah kenduri kahwin diburu


Senguttuwan


KAMPAR – Polis sedang memburu seorang penjenayah tegar yang dipercayai merempuh sebuah khemah kenduri perkahwinan sehingga menyebabkan seorang bayi berusia 18 bulan maut dan dua saudaranya cedera.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, individu tersebut dikenal pasti sebagai C.S. Senguttuwan, 28, yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dia dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Antara kesalahan jenayah yang dilakukan suspek ialah cubaan membunuh, mencuri motosikal, memecah rumah dan khianat dengan api selain pernah dikenakan perintah sekatan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2011.
“Dia yang berasal dari Taman Gopeng, Gopeng dekat sini juga diburu polis di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang dihadirinya pada 7 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini semalam.
Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian Sengut- tuwan memandu kereta Proton Persona terbabit bersama seorang lagi suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2UhELhBHy 
Hakcipta terpelihara 

Guru silat, anak ditetak



PEMILIK stor baja, Tan Boon Heong menunjukkan tempat sejumlah kotak mengandungi baja yang dicuri tiga penjenayah di Kampung Gelam, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang guru silat dan anak lelakinya cedera parah akibat ditetak tiga penjenayah yang memecah masuk sebuah stor baja yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar di sini pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu berlaku ketika pembantu kantin, Mohd. Iqbal Abdul Rahman, 18, keluar dari rumah untuk ke tempat kerjanya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Anak Bukit di sini.
Bagaimanapun, ketika melalui kawasan stor baja tersebut, Mohd. Iqbal memberhentikan motosikalnya sebaik sahaja melihat kelibat tiga lelaki mencurigakan di hadapan stor baja berkenaan.
Ketiga-tiga suspek tersebut menaiki dua buah kereta jenis Proton Iswara warna merah dan Perodua Kancil warna perak.
Mohd. Iqbal kemudian menghubungi bapanya, Abdul Rahman Hashim, 51, untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut sebelum dia secara tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2UhEDiJKA 
Hakcipta terpelihara 

Enjin tak berfungsi punca nahas



SEBAHAGIAN ahli keluarga mangsa menunggu penumpang yang terselamat di jeti Sungai Rajang, Belaga semalam.


KUCHING – Kegagalan enjin berfungsi dengan sempurna dipercayai menjadi punca sebuah Bot Ekspres Bakun Mas karam hingga mengakibatkan 23 penumpang dikhuatiri mati lemas dalam kejadian dekat Jeram Tukok/Jeram Bungan, Sungai Rajang dekat sini semalam.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Datuk Roland Sagah berkata, siasatan awal mendapati ekoran masalah tersebut, jurumudi dikatakan gagal mengawal bot itu sebelum melanggar batu lalu karam.
“Keadaan itu menyebabkan jurumudi tidak dapat berbuat apa-apa selain membiarkan bot itu hanyut mengikut arus sungai yang agak deras.
“Akibatnya, bot itu kemudian telah melanggar batu berhampiran jeram berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2UhE4qHQa 
Hakcipta terpelihara 

Angkara bawa lebihan muatan


RAGAM penumpang yang memanjat bumbung bot ekspres sebelum berlepas dari Jeti Belaga.


BELAGA – Semangat berkobar-kobar 204 penumpang Bot Ekspres Bakun Mas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Gawai pada Sabtu ini berakhir dengan tragedi apabila 23 daripadanya dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam semalam.
Kejadian berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan, Sungai Rajang dekat sini pukul 9 pagi itu berlaku apabila jurumudi dikatakan gagal mengawal bot lalu melanggar batu sebelum ia terbalik dan karam.
Nahas paling buruk di Sungai Rajang itu terjadi kira-kira sejam selepas bot itu meninggalkan Jeti Belaga di sini.
Bot itu dikatakan menuju ke Kapit dari Bakun sebelum berangkat ke Sibu yang mengambil masa lapan jam perjalanan dengan membawa lebihan penumpang yang rata-ratanya tidak memakai jaket keselamatan.
Difahamkan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) hanya membenarkan mana-mana bot ekspres membawa 74 penumpang sahaja pada satu-satu masa.
Sehingga pukul 6 petang semalam, seramai 181 penumpang yang kebanyakan masyarakat Iban dan Orang Ulu dapat diselamatkan manakala 23 lagi gagal dikesan.
Polis juga masih belum menemui sebarang mayat.
Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Bakar Sebau berkata, siasatan awal mendapati bot yang membawa lebihan penumpang tersebut karam selepas melanggar batu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2UhC8hON1 
Hakcipta terpelihara 

Kediaman Menteri Luar Bangladesh diserang


DHAKA 28 Mei - Beberapa butir bom buatan sendiri diletupkan di luar kediaman Menteri Luar Bangladesh di sini hari, dipercayai sebagai bantahan terhadap proses mengekstradisi seorang bekas politik pembangkang dari Britain yang dikehendaki atas tuduhan menipu.
Tiada kematian dilaporkan dalam serangan tersebut kerana Menteri Luar, Dipu Moni menakala suami dan dua anaknya yang berada di dalam rumah ketika kejadian juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suspek kes penipuan tersebut, Tarique Rahman yang tinggal di London sejak 2008, dituduh terlibat dalam penggubahan wang haram semasa pemerintahan ibunya, Khaleda Zia yang memegang jawatan Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006.
Kerajaan Bangladesh bawah pimpinan Sheikh Hasina ketika ini meminta bantuan Interpol mengekstradisi Tarique ke Bangladesh untuk tindakan seterusnya. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130528/lu_11/Kediaman-Menteri-Luar-Bangladesh-diserang#ixzz2UexidMeR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis Aceh kaki judi kena sebat


 
Hukuman di Masjid Besar Sabang di hadapan beratus pemerhati

Banda Aceh: Seorang pegawai polis disebat di khalayak ramai di Aceh semalam kerana melanggar undang-undang syariah, menjadikannya penguat kuasa undang-undang pertama menerima hukuman itu.

Ketua unit jenayah umum di Pejabat Peguam Sabang, Darwin, memberitahu Jakarta Globe bahawa Brig Irwanuddin disebat enam kali kerana berjudi di daerah Aceh Basar.
Dia adalah anggota polis pertama dihukum kerana melanggar “kanun” sejak wilayah itu melaksanakan undang-undang syariah di sesetengah daerah.

Hukuman sebat ke atas Irwanuddin dilakukan di Masjid Besar Sabang di hadapan beratus pemerhati dari semua wilayah.

Jalani hukuman

Darwin berkata, pejabatnya pada mulanya bercadang melakukan hukuman sama ke atas dua lagi orang awam namun mereka berjaya melarikan diri sebelum sempat ditahan pihak berkuasa.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa hukuman yang sepatutnya dilaksanakan Khamis lalu, digagalkan oleh sekumpulan anggota polis diketuai seorang pegawai yang enggan mengenalkan dirinya, hanya pangkat beliau sebagai pesuruhjaya polis kelihatan.
“Hari ini (Selasa), kami memutuskan untuk menyebat anggota polis terbabit selepas ia dibatalkan Khamis lalu. Penyelia Irwanuddin bersetuju dia perlu menjalani hukuman dan dia dibawa kepada kami,” katanya.

Seorang saksi, yang enggan dikenali berkata Khamis lalu bahawa polis menarik seorang daripada tiga lelaki yang sepatutnya disebat yang juga seorang pegawai polis.

Ulangi dakwaan

Saksi berkata, pegawai dari pejabat pendakwa raya dan polis syariah atau Wilayatul Hisbah, tidak melakukan apa-apa untuk menahan polis terbabit yang didengar mengulangi dakwaan bahawa hukuman syariah tidak boleh dilaksanakan ke atas pegawai polis.

Penguatkuasaan undang-undang syariah di Aceh sekian lama dikritik sebagai sewenang-wenangnya dengan penduduk dan aktivis hak asasi manusia mengadu pihak berkuasa awam yang mana kesalahannya dihukum dengan sebatan sering kali terlepas. - AGENSI

Penggodam curi pelan ibu pejabat perisikan Australia

Penggodam curi pelan ibu pejabat perisikan Australia
Bangunan baru ibu pejabat perisikan Australia di Canberra yang hampir siap pembinaannya. Pelayan komputer China juga curi maklumat sulit Jabatan Hal Ehwal Asing

Canberra: Penggodam China dilaporkan mencuri pelan induk bagi ibu pejabat baru perisikan Australia bernilai lebih A$600 juta (RM1.76 bilion) ketika serangan siber ke atas sasaran perniagaan dan tentera di kalangan sekutu rapat Amerika Syarikat semakin meningkat, kata satu laporan berita Australia.

Penggodam juga mencuri maklumat sulit dari Jabatan Hal Ehwal Asing dan Perdagangan, yang menempatkan agensi perisikan luar negara, Perkhidmatan Perisikan Rahsia Australia, kata stesen televisyen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) lewat kelmarin.
Laporan ABC yang tidak menamakan sumber, berkata penggodam China menyasarkan syarikat berpusat di Australia lebih agresif berbanding difikirkan termasuk pengeluar keluli Bluescope Steel serta pengeluar komunikasi awam dan tentera Codan Ltd.


‘Kesilapan keselamatan’

Parti berpengaruh Greens semalam berkata laporan godaman adalah satu ‘kesilapan keselamatan’ dan menggesa satu inkuiri, namun kerajaan enggan mengesahkan pelanggaran keselamatan itu.

Menteri Luar Bob Carr berkata laporan tidak akan merosakkan hubungan Canberra dengan rakan dagang terbesarnya, China.

Kerjasama dengan China
“Kami memiliki ruang kerjasama yang luas dengan China. Saya enggan mengulas sama ada China melakukan apa yang didakwa atau tidak,” kata Carr kepada media semalam.

Serangan menerusi komputer syarikat pemaju pembinaan mendedahkan bukan hanya pelan bangunan, namun lokasi komunikasi dan rangkaian komputer, kata ABC.

Penganalisis keselamatan Australia Des Ball memberitahu ABC bahawa maklumat berhubung ibu pejabat perisikan belum dibina terdedah kepada serangan siber akan datang.

REUTERS

4 suspek culik, seksa buruh diburu

4 suspek culik, seksa buruh diburu
Manoharan (kiri) dan Pemangku Supritendan, Rotzarn Rashid menunjukkan foto suspek kes culik pada sidang media di IPK Terengganu. Kuala Terengganu: Polis giat mengesan empat suspek termasuk dua beradik yang dipercayai terbabit menculik, menyeksa dan menembak seorang buruh menggunakan senapang angin hingga cedera di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, Dungun, 16 Mei lalu.

Suspek dikehendaki ialah Zukipeli Samsuddin, 29; dan adiknya, Mohd Rozi Samsuddin, 25; yang berasal dari Kampung Alor Mak, Dungun, manakala dua rakan mereka, Mohd Imran Mustafa, 24, dari Rumah Awam Kos Rendah, Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut; dan Mohd Irwan Kathir Sultan, 23, dari Kampung Alor Mak Bah, Dungun.
Suspek bersembunyi


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata semua suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi selepas kejadian.

Beliau berkata, pihaknya yakin suspek masih berada di daerah itu dan giat diburu.

“Suspek dipercayai menggunakan senjata seperti badik, parang, pisau rambo dan senapang angin ke atas mangsa berusia 27 tahun.

“Kita meminta orang ramai, ahli keluarga atau rakan suspek memberi maklumat bagi membantu kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, semalam.
Manoharan berkata, mangsa yang awalnya dihantar ke Hospital Dungun, dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut termasuk mengeluarkan bebola dipercayai peluru senapang angin sebelum dibenarkan pulang, Jumaat lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 365 KK kerana menculik atau melarikan orang dengan tujuan mendatangkan cedera parah.

Budak hiperaktif lemas


 
Pasir Puteh: Seorang kanak-kanak hiperaktif berusia tiga tahun ditemui lemas di Sungai Semerak, Jalan Limbongan (Belakang Forest) di sini, selepas bapanya tertidur ketika mengasuh.

Danish Izz Haikal Azmi ditemui terapung di sungai berkenaan, kira-kira 15 meter dari rumahnya dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin.
Bapa mangsa, Azmi Zainon, 32, dikatakan tertidur dan sebaik terjaga, melihat pintu hadapan rumah terbuka dan Danish tiada di dalam rumah.

Beliau kemudian terdengar laungan pemilik rumah sewanya, Ismail Daud, 53, yang memaklumkan Danish dilihat terapung di sungai.

Ismail ketika ditemui pemberita berkata, Azmi terjun ke sungai bagi menyelamatkan anaknya.

Katanya, ibu mangsa, Nor Paezah Razali, 23, tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar membeli barangan di bandar.

"Anak sulung Azmi, Nor Fasha Alya yang berusia enam tahun datang ke rumah bertanya sama ada saya melihat Danish.
“Saya terpandang ke arah sungai dan melihat ada sesuatu terapung kira-kira 10 meter dari rumah saya,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Aman, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kejadian itu dan ia diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Dua sahabat rentung kereta rempuh lori


 
Sri Aman: Dua sahabat rentung selepas Toyota Vios dinaiki merempuh belakang lori yang berhenti di bahu jalan dalam nahas di Kilometer 12, Jalan Sri Aman-Kuching di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan pemandu kereta, Thomas Lebi, 37, dan Sean Dantee Warren, 19, maut di tempat kejadian selepas kenderaan dinaiki terbakar sejurus merempuh belakang lori.
Gagal selamat mangsa

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad, berkata pelanggaran menyebabkan kereta mangsa terbakar, manakala orang ramai yang melihat kejadian tidak dapat membantu mengeluarkan mangsa.

“Ketika kejadian, pemandu lori dilaporkan menunggu mekanik dan terkejut apabila terdengar dentuman kuat.

“Dia turun untuk memeriksa apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati ada kenderaan terbakar di belakang lorinya,” katanya ketika dihubungi.

Mat Jusoh berkata, kedua-dua mangsa tersepit di tempat pemandu menyebabkan mereka gagal diselamatkan.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa.

“Pemandu lori menghubungi talian kecemasan dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat,” katanya.

Cubaan larikan ATM gagal

Cubaan larikan ATM gagal
Cubaan merompak mesin ATM sebuah bank di Kampung Baru, Subang, semalam. Kuala Lumpur: Cubaan sekumpulan perompak yang melarikan mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan sebuah lori gagal selepas kenderaan terbabit dipercayai mengalami kerosakan dalam kejadian di Kampung Baru, Subang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, suspek hanya mampu menarik mesin ATM itu dengan menggunakan kabel kira-kira 15 meter sebelum meninggalkannya, malah wang dalam mesin ATM berkenaan turut gagal dilarikan.
Mesin ATM berada di luar


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang, berkata kejadian itu disedari seorang lelaki yang ke di bank berkenaan untuk memasukkan sejumlah wang sebelum mendapati satu mesin ATM berada di luar selain pintu kaca bank terbabit turut pecah.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati mesin ATM terbabit ditarik keluar kira-kira 15 meter dan pemeriksaan turut mendapati wang masih berada dalam mesin ATM berkenaan.

“Hasil rondaan pihak polis di sekitar lokasi menemui sebuah lori ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 500 meter dari bank terbabit dipercayai kenderaan yang digunakan untuk menarik mesin ATM itu.

Kabel turut ditemui
“Turut ditemui kabel yang diikat di belakang lori berkenaan dan bahagian kunci kenderaan juga sudah dirosakkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Junaidi berkata, beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam bank berkenaan turut dirosakkan perompak bagi mengelak pergerakan mereka diketahui polis.

“Bagaimanapun, dua CCTV yang berada di luar bank berkenaan berfungsi dan polis sedang meneliti CCTV berkenaan. Kita percaya kegiatan itu didalangi lebih tiga individu dan siasatan lanjut giat dilakukan,” katanya.

Kapal nelayan Jepun terbakar, 18 anak kapal selamat


 
LIMA: Sebuah kapal nelayan Jepun terbakar berdekatan pantai bandar pelabuhan Peru, El Callao dan semua 18 anak kapalnya terselamat, kata Tentera Laut Peru hari ini.

"Kebakaran dilaporkan awal pagi kelmarin di atas bot nelayan Jepun, Kenyo Maru-58 dan semakin berkurangan semalam," kata jurucakap tentera, Fernando Valeriano.
"Kesemua 18 anak kapal terselamat. Mereka dalam keadaan baik hasil tindakan pantas bot peronda kami yang bergegas memberi bantuan," katanya.

Bot itu ditunda ke kawasan yang lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat kebocoran toksid tetapi setakat ini tiada laporan tumpahan bahan itu. - AFP 

Bot karam: Operasi kesan 23 mangsa yang masih hilang disambung pagi ini


 
BELAGA: Gerakan mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat sini, diteruskan pagi ini bagi mengesan 23 mangsa yang masih hilang.

Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Bakar Sabau, berkata operasi yang bermula jam 7 pagi tadi itu dilakukan oleh polis dengan kerjasama pasukan bomba dan penyelamat.
"Kita tumpukan di kawasan kemalangan iaitu di Jeram Tukok/Jeram Bungan. Pagi ini seramai 19 anggota polis dari Belaga, Kapit, Bintulu termasuk polis marin dan lima anggota bomba terlibat dalam operasi," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Bakar berkata, anggota tambahan dari Unit Latihan Polis Kuching dijangka tiba tengah hari ini bagi membantu operasi itu.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, bot ekspres yang dipercayai membawa penumpang berlebihan karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.

Ketika operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 9.30 malam tadi, polis mengesahkan 181 penumpang terselamat dan 23 masih hilang.

Menurut polis, bot berkenaan hanya berkapasiti 67 penumpang. - BERNAMA

Maut terkena bilah kipas bot


MOHD TAHA YAACOB
28 Mei 2013
Maut terkena bilah kipas bot
Mayat Madaline dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
BESUT - Kegembiraan sekumpulan pelancong asing berenang menikmati keindahan terumbu karang berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dan seorang lagi cedera parah terkena bilah kipas bot di Pulau Perhentian Kecil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, Madaline Jeyne, 25, warga Britain, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan Pulau Perhentian, sebelum dihantar ke Hospital Besut.

Rakannya, Simon James Rogers, 22, dari Australia, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakannya sedang melakukan snorkeling di kawasan D Lagoon.

"Kemudian datang sebuah bot pelancong menuju ke jeti berhampiran.

"Pemandu bot warga tempatan berusia 23 tahun itu dikatakan tidak nampak mangsa sedang menyelam, menyebabkan dia melalui kawasan mangsa dan terlanggar mereka," katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah, terutama di bahagian pinggang ke bawah. Pergelangan kaki kanannya hampir putus.

“Simon cedera parah di perut dan kedua kaki.

"Kedua-dua mangsa diselamatkan oleh pemandu bot yang melanggar mereka," katanya.

Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa mandi di luar kawasan selamat yang dikhaskan untuk aktiviti menyelam atau snorkeling.

"Mangsa juga tidak memakai jaket keselamatan. Mayat Madaline dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat, manakala Simon dirujuk ke Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, Kelantan,” katanya.

Madaline datang ke Malaysia pada 4 April lalu. Teman lelakinya, dikenali sebagai Ross, yang bersamanya di Pulau Perhentian, tetapi tidak berada di tempat kejadian, kelihatan sedih ketika ditemui di Hospital Besut.

Rempuh bayi: Penjenayah ada 13 rekod lampau


ROSDALILAH ZAHARI
28 Mei 2013
KAMPAR - Seorang 'penjenayah tegar' yang mempunyai 13 rekod jenayah kini dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam kejadian rempuhan khemah di majlis perkahwinan sehingga mengakibatkan kematian bayi 18 bulan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, suspek yang dikenali C S Senguttuwan,28, dari Taman Gopeng dipercayai pemandu kereta jenis Proton Persona yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, suspek terbabit dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah sejak 2006 lagi.

"Antara kes rekod jenayah lampau yang membabitkan suspek terbabit termasuklah cubaan bunuh, ugutan jenayah, curi motosikal dan narkotik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, pagi tadi.

Sabtu lalu, kegembiraan satu majlis perkahwinan yang diadakan di Kampung Kopisan, Gopeng, dekat sini, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang bayi lelaki, T Thamilarasan, 18 bulan maut dirempuh sebuah kereta dinaiki empat individu tidak dikenali yang dikejar anggota peronda polis.

Lelaki ditahan bersama barangan samun



28 Mei 2013
TUARAN - Polis menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan pecah rumah dan merampas pelbagai barangan samun bernilai RM10,000 dalam serbuan di sebuah kampung di sini, pada tengah malam Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tuaran Abdul Fuad Abdul Malek berkata hasil maklumat orang ramai polis menahan suspek yang dipercayai penagih dadah berumur 31 tahun pada 12.30 tengah malam serta menemui lima bungkus syabu seberat 0.6 gram.

"Suspek seorang penganggur yang mempunyai rekod jenayah sejak 2005, bergiat aktif sejak tahun lepas melibatkan jenayah pecah rumah di sekitar Tuaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di sini hari ini.

Abdul Fuad berkata antara barangan yang ditemui adalah komputer riba yang telah diubah suai, barangan kemas, jam tangan, pisau, resit gadaian emas, televisyen dan peralatan pecah rumah.

Beliau berkata polis sebelum ini menangkap tiga anggota kumpulan berkenaan dan masih memburu saki-baki kumpulan itu.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai terutamanya pengguna jalan raya agar tidak mengambil minuman yang memabukkan bagi mengelak kejadian tidak diingini sempena menyambut Pesta Kaamatan pada hujung minggu ini.- Bernama

Lelaki cedera parah ditetak sekumpulan lelaki



28 Mei 2013
GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang baru pulang dari majlis pengkebumian bapa saudaranya cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Batu Gantung, di sini hari ini.
   
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, mangsa G.Suresh, 23, dan adiknya Mukuntan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ladang Hong Seng, di sini.
   
"Mangsa membonceng motosikal yang ditunggang adiknya...dan tidak jauh dari kawasan perkuburan berkenaan mereka menyedari diekori dua buah motosikal.
   
"Dua buah motosikal yang dinaiki empat lelaki terbabit menghampiri mangsa dan terus menyerang menggunakan parang dan pisau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Katanya Mukuntan berjaya melarikan diri manakala abangnya cedera parah akibat diserang kumpulan lelaki berkenaan.
   
Ismail berkata empat lelaki terbabit melarikan diri dan  meninggalkan Suresh di tepi jalan sebelum mangsa dibantu orang awam.
   
"Suresh ditetak di beberapa bahagian badan termasuk kepala. Keadaannya kritikal dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang," katanya.
   
Beliau berkata usaha mengesan empat lelaki berkenaan sedang giat dijalankan. - Bernama

Bot ekspres karam dipercayai terlebih muatan



28 Mei 2013
Datuk Acryl Sani Abdullah Sani
Datuk Acryl Sani Abdullah Sani
KUCHING - Berdasarkan siasatan awal, polis percaya bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga pagi ini terlebih muatan dengan dinaiki lebih 200 penumpang, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
  
Beliau berkata penumpang yang menaiki bot ekspres itu dengan muatan jauh melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu 67 penumpang duduk dibuat berdasarkan cerita mangsa yang terselamat dalam insiden itu.
  
"Identiti mereka yang hilang masih samar kerana belum ada jumlah rasmi penumpang memandangkan pengusaha bot ekspres itu dipercayai tidak menyimpan  senarai penumpang," katanya kepada Bernama.
  
Setakat ini laporan tidak rasmi menyebut 21 orang masih hilang manakala 181 orang lagi berjaya berenang menyelamatkan diri apabila bot ekspres itu terhempas ke batu kira-kira 40 minit selepas meninggalkan pekan Belaga.
  
Beliau berkata anggota polis, yang terdiri daripada pasukan mencari dan menyelamat, masih berada di tempat kejadian dan sebarang maklumat tepat atau  pengesahan berhubung jumlah sebenar mangsa hanya dapat diketahui dalam beberapa jam lagi. - Bernama

Guru silat ditetak penyamun


NURUL HIDAYAH HAMID
29 Mei 2013
Guru silat ditetak penyamun
Lakaran kejadian dua beranak diserang tiga penjenayah bersenjatakan parang.
Guru silat ditetak penyamun
Penduduk kampung menunjukkan lokasi mangsa ditetak di Kampung Gelam.
Guru silat ditetak penyamun
Keluarga mangsa sedang menunggu di wad kecemasan HSB.
ALOR SETAR - Seorang guru silat hampir putus tangan kanannya akibat ditetak ketika cuba menyelamatkan anaknya yang diserang tiga penyamun di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, awal pagi semalam.
 
Abdul Rahman Hashim, 51,  cedera parah manakala anaknya, Mohd Iqbal, 18, cedera ringan di tangan kiri dan kepala dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu.

Sebelum itu, Mohd Iqbal yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Anak Bukit terserempak dengan tiga lelaki yang dipercayai telah memecah masuk stor baja kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Pemuda itu segera menghubungi ayahnya namun sebelum sempat ayahnya sampai, Mohd Iqbal diserang.

Sepupu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, ketika kejadian penjenayah terbabit mungkin baru memecah masuk stor berkenaan.

“Semasa ayahnya datang selamatkan Iqbal, mereka bergelut. Penjenayah itu menyerang menggunakan senjata tajam, dipercayai parang,” katanya.

Katanya, Abdul Rahman yang cedera di tangan kanan dan kiri jatuh ke dalam tali air berdekatan lokasi kejadian, manakala Iqbal sempat melarikan diri ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian kepada ibunya.

Tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri, manakala kedua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kini, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Wan berkata, Iqbal tidak mengenali ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana keadaan persekitaran pada ketika itu agak gelap.

Mereka melarikan diri menaiki dua kereta dan mempunyai tiga parang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, berkata, kedua-dua mangsa tiba di hospital kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, Abdul Rahman cedera di kedua belah tangan, pergelangan tangan kanannya hampir putus dan salur darah cedera teruk, manakala bahagian kirinya mengalami luka di tiga bahagian, termasuk tapak tangan dan anaknya cedera di jari dan kepala.

“Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin supaya tangan kanan Abdul Rahman dapat diselamatkan.

“Buat masa ini, mereka hanya boleh dilawat keluarga dan sahabat terdekat kerana mereka kemungkinan masih trauma,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6.45 pagi semalam.

“Siasatan masih diteruskan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja,” katanya kepada media di pejabatnya di sini.

Kedai makan Azraai Khor diceroboh


NURUL FATIHAH SULAINI
29 Mei 2013
Kedai makan Azraai Khor diceroboh
Rohani memeriksa keadaan kedainya
ALOR SETAR - Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah antara tiga pemilik kedai di Bazar Wakaf Rakyat, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) di Jalan Tun Razak di sini, yang dipecah masuk penyamun, awal pagi semalam.

Isteri Azraai, Rohani Ibrahim, 53, berkata, dia dihubungi pekerja jam 7.30 pagi semalam memintanya supaya segera datang ke kedai sewaktu dalam perjalanan menghantar anak ke tempat kerja.

Apabila tiba, Rohani mendapati pintu hadapan kedainya diumpil dari luar manakala kunci mangga dipotong.

"Tidak tahu pukul berapa kedai kami dipecah masuk. Malam kelmarin saya tutup kedai jam 10.30 malam," katanya.

Menurutnya, itulah kejadian pertama dialami sejak dia mula berniaga di situ.

Ditanya nilai kerugian, Rohani berkata, itu belum dapat dipastikan, namun pemeriksaan awal mendapati bekas berisi syiling lebih kurang RM40 hilang.

“Saya harap Maik akan ambil inisiatif pasang jeriji besi di bahagian hadapan kedai dan timbang cadangan sedia pengawal keselamatan,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian itu, tiga daripada empat lot kedai jual capati, tomyam dan kedai makanan berasaskan produk industri kecil dan sederhana (IKS) Peladang Mart dimasuki pencuri  jam 4 pagi.

Seorang pemilik kedai, Husim Zakaria, 50, berkata, sewaktu anaknya melalui kawasan berkenaan sekitar jam 2 pagi, belum ada sebarang kecurian yang berlaku dan kedai dalam keadaan biasa.

“Namun pagi tadi, saya dimaklumkan kedai dimasuki pencuri. Ini kejadian kedua selepas awal tahun lalu.

“Setakat ini jumlah kerugian belum dapat dipastikan, namun pencuri cuba cari wang tunai kerana keadaan meja digeledah berselerakan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai capati, Mirza Shahid Mohd Yusof, 89, berkata, dia mengetahui kejadian itu  jam 8.40 pagi.

“Saya tidak mengesyaki sesiapa, namun percaya perbuatan itu dilakukan oleh orang tempatan kerana mereka tahu waktu bila kedai tidak beroperasi dan kecurian dilakukan sebelum jemaah datang ke surau di belakang kedai untuk menunaikan solat Subuh,” katanya.

23 dikhuatiri mati lemas


Belaga: Seramai 23 penumpang bot ekspres Kawan Mas dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Tanjong Giam Bungan, di sini, manakala 181 penumpang lain disahkan selamat.

Bot ekspres yang membawa 200 penumpang itu dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit karam jam 9 pagi selepas terlanggar batu di satu selekoh berhampiran Tanjong Giam menghala Sungai Belaga sebelum terbalik dan karam.


Ketua Polis Daerah Belaga Bakar Sebau berkata, bot berkenaan membawa pekerja kontrak dari Bakun, Murum dan Sungai Asap pulang ke Belaga dan Kapit untuk menyambut Hari Gawai.

“Bot yang sarat dengan penumpang itu berhenti menurunkan penumpang di Jeti Belaga dan meneruskan perjalanan ke Kapit.


“Kira-kira sejam perjalanan, bot yang dinaiki mereka terlanggar batu sebaik tiba di selekoh dan terbalik,” katanya ketika dihubungi.


Bakar berkata, kapasiti bot berkenaan hanya 74 penumpang, tetapi muatan berlebihan menyebabkannya tidak stabil dan mudah terbalik.

LSS dakwa pemandu


Kuching: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mendakwa pemandu bot ekspres yang terbabit dalam nahas di Tanjong Giam Bungan, dekat Belaga, pagi semalam, sekiranya terbukti beliau membawa penumpang melebihi muatan dibenarkan.

Kontroler LSS William Jinep berkata, mengikut Ordinan Lembaga Sungai Sarawak, sabit kesalahan pemandu berkenaan boleh dipenjara dua tahun dan denda RM5,000.


“Kami sudah menerima laporan awal dan difahamkan bot itu membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan. Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut kandungan laporan itu,” katanya ketika dihubungi.

Polis mengesahkan bot ‘Kawan Mas’ yang mempunyai kapasiti 74 penumpang itu, sarat dengan 204 penumpang ketika kejadian dan sehingga malam tadi 23 penumpang dilaporkan masih hilang dan 181 terselamat.

Kedai Azraai Khor kena ceroboh


Alor Setar: Kedai makan milik jurulatih pasukan bola sepak Perak Azraai Khor Abdullah antara tiga kedai di Bazar Wakaf Rakyat Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di Jalan Tun Razak dekat Alor Semadom, dipecah masuk penjenayah, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila kumpulan penjenayah terbabit memecah masuk dengan mengumpil pintu ‘roller shutter’ dipercayai mahu mencari barang berharga termasuk wang.


Isteri kepada Azraai Khor, Rohani Ibrahim, 53, yang menguruskan perniagaan premis menjual soto dan tomyam, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke tempat kerja jam 8 pagi.

Katanya, tukang masaknya menghubungi memaklumkan kedai mereka dipecah masuk berikutan terdapat kesan umpil pada pintu ‘roller shutter’.


“Ketika itu saya mula mengesyaki beberapa individu yang berkelakuan pelik datang ke kedai pada petang sebelum kejadian berlaku.


“Walaupun kedai dimasuki pencuri, namun tiada barang berharga yang hilang, melainkan wang syiling berjumlah kira-kira RM30 termasuk satu karton minuman ringan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, dia sudah berniaga kira-kira setahun lalu dan kejadian pecah masuk itu yang pertama berlaku ke atasnya.


Katanya, dia juga sudah menghubungi pihak pengurusan bazar berkenaan iaitu MAIK supaya dapat mengambil langkah keselamatan membabitkan peniaga di situ bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Saya harap MAIK dapat meningkatkan aspek keselamatan kerana kejadian sama pernah berlaku di gerai lain. Saya juga minta supaya kerosakan pada pintu ini dapat dibaiki segera kerana bimbang ia dimasuki semula pencuri yang masih lagi bebas,” katanya.


Selain kedai milik Azraai yang dipecah masuk, seorang lagi mangsa, Mirza Shahid Muhamad Yusof, 49, berkata kejadian itu yang kedua berlaku selepas menamatkan operasi pada jam 11 malam kelmarin.


Menurutnya, kali terakhir kedainya hampir dipecah masuk adalah pada Mac lalu tetapi cubaan terbabit tidak berjaya.


“Bagaimanapun, saya percaya kegiatan ini berlaku sekitar jam 4 hingga 5 pagi kerana ada anak muda yang melepak berhampiran kedai mendakwa tidak melihat sebarang kejadian pelik berlaku sehingga jam 3 pagi.


“Malah, saya yakin kejadian ini dilakukan penduduk tempatan kerana mengetahui waktu operasi kedai di sini, selain ditutup pada hari Jumaat,” katanya.


Menurutnya, selain pintu kedai diumpil, siling kedainya juga mengalami kerosakan dipercayai perbuatan pencuri terbabit yang cuba masuk ke dalam kedai melalui siling.


Katanya, dia masih belum mengenal pasti jumlah kerugian yang ditanggung, tambahan pula tiada wang yang ditinggalkan dalam kedai menjual capati dan roti Arab itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan sedang dilakukan.

Berdua dalam bilik


Kuala Lumpur: Walaupun terdapat lima individu lain di dalam sebuah apartmen di mana pelakon terkenal Shahrizal Jaszle, 25, ditahan, namun dia dan pasangannya hanya ditemui di dalam sebuah bilik di premis berkenaan dalam serbuan di Taman Sri Subang, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Mei lalu.

Pemeriksaan mendapati hanya pelakon terbabit bersama pasangannya di dalam bilik berkenaan dan soal siasat mendapati mereka bukan pasangan mahram selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membuktikan mereka pasangan yang sah. Jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata, walaupun terdapat individu lain di dalam apartmen berkenaan, namun tindakan pelakon terbabit yang hanya berdua-duaan bersama seorang wanita yang bukan mahram boleh dikategorikan sebagai khalwat.


“Setakat ini pelakon terbabit dan pasangan yang ditahan itu sudah diambil keterangan dan proses melengkapkan siasatan masih dijalankan JAIS.

“Kami (JAIS) bercadang untuk mendakwa pelakon berkenaan dan pasangannya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada 12 November depan namun ia terserah kepada pihak pendakwaan untuk menentukan keputusan bila tarikh pendakwaan akan dijalankan,” katanya.

Guru silat parah ditetak



Alor Setar: Tindakan berani seorang guru silat dan anak lelakinya bergelut dengan sekumpulan penyamun yang memecah masuk sebuah stor barangan pertanian di hadapan rumah mereka mengundang padah apabila kedua-duanya parah seluruh badan akibat ditetak menggunakan parang, semalam.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, apabila dua beranak itu cuba melawan kumpulan tiga lelaki yang memasuki stor milik seorang peniaga yang menyewa tanah milik penduduk kampung berkenaan.


Difahamkan, Mohd Iqbal Abdul Rahman, 18, menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit, di sini sebelum ternampak pintu stor itu erkenaan terbuka lalu menghubungi bapanya, Abdul Rahman Hashim, 51, untuk memaklumkan kejadian.

Mohd Iqbal berhenti di depan stor pertanian itu untuk melihat apa yang berlaku dan tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bapanya muncul bagi memberi bantuan, tetapi turut menerima nasib sama kerana berlaku pergelutan.


Saksi Jamaludin Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk membuka gerai makan di hadapan rumahnya yang hanya terletak 80 meter dari tempat kejadian.


Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi riuh-rendah di tepi jalan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka penduduk berhampiran bergurau sesama mereka.

“Pada masa sama, saya ternampak kereta Perodua Kancil dipandu laju dengan keadaan but belakangnya terbuka luas dan ketika itu saya mengesyaki sesuatu mencurigakan.


“Hati saya terdetik untuk melihat apa yang berlaku kerana keadaan ketika itu masih gelap. “Tidak lama kemudian, saya terdengar suara Mohd Iqbal meminta tolong dan memberitahu dia serta bapanya ditetak sekumpulan penjenayah.

“Saya membawanya yang berlumuran darah di muka, kepala dan tangan ke rumah mereka selain mencari bapanya yang sudah pulang lebih awal untuk mencuci darah di tangan,” katanya.


Katanya, dia mendapati Abdul Rahman tidak bermaya, malah mangsa memberitahu pening dan hampir pitam akibat kehilangan banyak darah.


Menurutnya, mereka mengejutkan isteri mangsa Halijah Mohd Nor, 40-an untuk membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).


Keadaan dua beranak itu kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di HSB.


Jiran mangsa Husin Mat, 53, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kampung berkenaan kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kegiatan jenayah.


Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan Abdul Rahman yang juga anak saudaranya ditetak penyamun menyebabkan dia bergegas untuk melihat keadaannya, tetapi dua beranak itu sudah dihantar ke HSB akibat kecederaan serius.


“Saya rasa mungkin niat suspek hendak membunuh dua beranak apabila terus mengambil parang dan menetak mereka kerana bimbang dicam, tetapi syukurlah mereka selamat,” katanya.


Sementara itu, pemilik stor Tan Boong Heong, 35, berkata, dia hanya menyedari kejadian pada jam 6.30 pagi selepas dihubungi penduduk kampung.


Katanya, dia kerugian RM10,000 apabila puluhan botol vitamin padi hilang dan ini kali pertama berlaku sejak 15 tahun membuka stor di situ.


“Saya tak sangka niat baik dua beranak itu mengundang padah hingga menyebabkan mereka ditetak penyamun yang tidak mempunyai perasaan,” katanya.

Bersalin atas jalan



Serdang: Menyayat hati apabila seorang wanita terpaksa melahirkan bayi lelakinya di atas jalan di lorong belakang sebuah bank di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, berseorangan.

Ketika kejadian dia terasa hendak bersalin dan bertindak nekad melahirkan anaknya di belakang premis terbabit, kelmarin.


Bagaimanapun wanita berusia 23 tahun itu tidak bernasib baik apabila kandungannya songsang menyebabkan dia mengalami kesukaran hendak bersalin dan terpaksa bertarung nyawa hampir sejam untuk melahirkan kandungannya tanpa bantuan sesiapa.

Lebih menyedihkan, bayi lelakinya juga gagal diselamatkan apabila kakinya yang terkeluar terlebih dahulu menyebabkan bayi itu kelemasan sebelum meninggal dunia sebaik ibunya selamat bersalin.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, wanita terbabit yang masih belum berkahwin menaiki motosikal berseorangan jam 10.40 malam kelmarin sebelum tiba-tiba dia rasa sakit hendak bersalin.


“Panik dengan situasi itu, mangsa memberhentikan motosikalnya di lorong belakang sebuah bank dan bertindak berani cuba melahirkan anaknya.

“Mangsa yang tidak tahu kandungannya songsang bagaimanapun mengalami kesukaran untuk bersalin, namun selepas berhempas pulas akhirnya dia berjaya melahirkan bayinya itu.


“Bayinya gagal diselamatkan akibat lemas,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang berlumuran darah dan tidak bermaya hanya tersandar di tepi dinding premis terbabit sebelum kebetulan seorang lelaki yang melalui kawasan itu menyedari kejadian terbabit.


“Lelaki itu yang menyangka mangsa ingin membuang bayi terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum unit peronda polis (MPV) tiba di tempat kejadian mendapati wanita terbabit sebenarnya baru lepas bersalin.


“Polis kemudian membawa mangsa dan bayi yang sudah tidak bernyawa itu ke Hospital Serdang,” katanya.


Sumber itu berkata, ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan kejadian itu juga terkejut dengan berita diterima mereka kerana tidak mengetahui anak mereka mengandung.


“Difahamkan wanita terbabit sebelum ini tidak pernah berkawan dengan lelaki kerana dia sering membawa pulang rakan perempuan dipercayai ‘teman wanitanya’ kerana sikapnya yang seperti lelaki,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.

Penyamun suruh diam


Sabak Bernam: “Shhh...diam! (sambil menunjukkan isyarat jari di mulut),” itu arahan penyamun kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun selepas menyedari kanak-kanak itu terjaga ketika cuba melarikan diri dalam kejadian pecah rumah di Sungai Air Tawar di sini, Sabtu lalu.

Kejadian jam 5 pagi itu disedari tuan rumah yang juga bapa kanak-kanak itu selepas terdengar bunyi pelik di dalam rumahnya dan terkejut sejurus melihat kelibat seorang lelaki berdiri di hadapannya.


Sumber berkata, walaupun lelaki itu berada di hadapannya, mangsa yang berusia 41 tahun itu hanya mampu berdiam diri kerana khuatir lelaki terbabit mencederakannya. Katanya, susuk tubuh lelaki berkenaan seperti seorang perempuan sewaktu melarikan diri.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM50,000 apabila dua beg berisi barang kemas dan wang tunai RM1,600 dilarikan suspek yang berjaya meloloskan diri melalui pintu belakang rumah,” katanya.


“Mangsa berada di ruang tamu ketika lelaki itu sedang melarikan diri sambil membawa dua beg,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Padah kontraktor nak jimat bil air

Foto
PEKERJA SYABAS memotong paip haram.
Kuala Lumpur: Tindakan kontraktor sebuah projek pembinaan di Sri Keladi, Bukit Jalil, di sini ‘menjimatkan’ perbelanjaannya dengan melakukan penyambungan air haram memakan diri apabila tapak berkenaan diserbu, semalam.
Berikutan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menuntut ganti rugi RM98,179 daripada kontraktor kerana menggunakan bekalan air terawat secara tidak sah sejak dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Bahagian Projek dan Air Tanpa Hasil SYABAS Yusof Badawi berkata, perbuatan tidak tanggungjawab itu berjaya dikesan menerusi pemeriksaan dan risikan pegawai penguat kuasa syarikat berkenaan. “Siasatan mendapati pihak kontraktor menggunakan paip getah sepanjang 50 meter yang disambungkan secara haram ke paip utama untuk mendapatkan bekalan air.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada meter air ditemui di sekitar lokasi berkenaan dan hasil semakan menunjukkan tapak pembinaan ini tidak pernah mempunyai akaun dengan SYABAS,” katanya.

Beliau berkata, bekalan itu dipercayai digunakan kontraktor untuk kerja pembinaan seperti membancuh simen dan mencuci kenderaan yang keluar masuk tapak itu.

“Sehubungan itu, SYABAS sudah mengeluarkan notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan kepada kontraktor untuk menuntut ganti rugi manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi tindakan pendakwaan,” katanya.

Katanya, pihak yang didapati bersalah mengambil air terawat secara haram boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Tiga pendaki Dhaulagiri maut


Nepal: Seorang pendaki wanita Jepun berusia 67 tahun dan seorang lelaki Sepanyol berumur 50 tahun bersama-sama jurupandu warga tempatan terbunuh di Gunung Dhaulagiri.

Chizuko Kono, Juanjo Garra serta Dawa mati Jumaat lalu ketika mendaki puncak ketujuh tertinggi dunia itu, kata penganjur.


Garra tergelincir dan patah pergelangan kaki di lereng gunung berkenaan sementara penganjur tidak dapat memastikan apa yang berlaku pada Kono dan jurupandunya.

Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 21 pendaki yang dalam ekspedisi mendaki Dhaulagiri. Mereka disahkan terbunuh oleh penganjur ekspedisi semalam.


“Garra terjatuh dan patah pergelangan kaki menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Kerana hari sudah lewat petang, usaha menyelamat tidak mungkin dilakukan. Jurupandunya, Keshab Gurung berada bersama-samanya pada malam itu. Helikopter cuba menyelamatnya keesokannya tetapi kedudukan mereka terlalu tinggi,” kata penganjur, Tika Gurung Kono pula terbunuh di kedudukan kira-kira 7,000 meter bersama-sama jurupandunya. Gurung yang membantu Garra untuk sampai ke kemuncak gunung berkenaan kini dirawat di sebuah hospital di Kathmandu sementara pendaki lain selamat.


Dhaulagiri yang setinggi 8,167 meter dan sering dilanda salji runtuh mencatatkan kadar kematian yang tinggi di kalangan pendaki.

Kediaman anak Muhammad Hatta dipecah masuk


Jakarta: Kediaman Gemala Hatta, anak perempuan bekas Naib Presiden Muhammad Hatta di Ciputat, selatan Tangerang dipecah masuk Jumaat lalu.

Gemala berkata, perompak melarikan barang kemas, wang tunai, sijil pemilikan kereta dan tanah serta jam tangan mewah bernilai AS$6,585 (RM20,029). Polis yang menerima laporan keesokan hari berkata, mereka masih memburu perompak itu.


Jurucakap polis Jakarta, Komisioner Rikwanto berkata, rompakan itu berlaku ketika kediaman terbabit kosong. “Gemala dan pembantu rumahnya mengunjungi rakan di Jakarta Barat ketika insiden itu berlaku. Sebaik tiba di rumah, dia mendapati semua barangan berharganya hilang,” katanya. - AP

Anak hiperaktif mati


Foto
ANGGOTA polis menyiasat kes kemalangan
di FELDA Panching Utara, pagi semalam.

Foto
DANISH Izz Haikal
Pasir Puteh: “Saya sangka ia lampin pakai buang yang hanyut dibawa arus sungai, tetapi terkejut apabila melihat anak penyewa rumah terapung di sungai,” kata Ismail Daud, 53, selepas melihat mayat kanak-kanak berusia tiga tahun mati terapung di Sungai Semerak, Jalan Limbongan, petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, kanak-kanak hiperaktif, Danish Izz Haikal ditemui terapung 15 meter dari rumahnya yang terletak berhampiran sungai terbabit.

Mangsa dikatakan jatuh tergelincir ke dalam sungai itu ketika bermain bersendirian di sekitar kawasan berkenaan.

Sebelum kejadian, ibu mangsa, Nor Paezah Razali, 23, keluar ke bandar membeli barang manakala bapanya, Azmi Zainun, 32, sedang tidur di ruang tamu rumah.



Menurut Ismail, dia yang tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa hanya dikejutkan mengenai kejadian itu sebaik anak sulung pasangan berkenaan, Nor Fasha Alya, 6, datang ke rumahnya untuk bertanyakan mengenai Danish Izz Haikal.

Ketukan penyelamat

Foto
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Pasar Jelawat, semalam.
Bachok: Tindakan pantas penduduk berjaya menyelamatkan empat beranak termasuk seorang warga emas daripada rentung dalam kebakaran sebuah rumah dan dua stor di Pasar Jelawat, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.23 malam itu berlaku ketika mangsa, Nor Mayuzi Mohd Nor, 33, bersama ibu mentua, Mik Zainab Man, 77 dan dua anak, Mohd Naqiuddin Mat Nasir, 6, dan Siti Norharah Adlina Mat Nasir, 1, sedang menonton televisyen.
Menurut Nor Mayuzi, pintu rumahnya tiba-tiba diketuk penduduk memaklumkan ada api di stor hadapan rumahnya.

Katanya, mereka yang panik terus meninggalkan rumah tanpa menyelamatkan apa-apa sebelum menghubungi suaminya, Mat Nasir Salleh, 50, yang pulang dan mengalih kenderaan mereka.


“Kami sedang menonton televisyen ketika itu dan secara tiba-tiba ada penduduk mengetuk pintu. Nasib baik penduduk prihatin datang memaklumkan ada percikan api di bahagian stor.

Syukur dalam sebak

Foto
ANGGOTA polis menyiasat kes kemalangan di FELDA Panching Utara, pagi semalam.
Kuantan: “Hati siapa tidak sebak melihat cucu dipelihara sejak kecil cedera parah. Ngeri melihat betis kanannya terbelah, manakala kepalanya berlumuran darah.
“Namun saya bersyukur kerana nyawanya masih panjang,” kata Umasharah Hashim, 62, nenek Mohd Zarif Mohd Zamri, 16, yang parah selepas motosikal dinaiki bersama rakan dirempuh sebuah kereta Proton Iswara Aeroback ketika mahu memasuki simpang FELDA Panching Utara, jam 11.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, rakan baik Mohd Zarif yang dikenali sebagai Mohd Akmal Aizuddin, 15, dari FELDA Panching Utara, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Lebih menyedihkan, Mohd Akmal yang membonceng motosikal, meninggal dunia hanya kira-kira 10 meter dari rumahnya dan kemalangan berlaku ketika Mohd Zarif mahu menghantar rakan baiknya itu pulang sebelum kedua-duanya merancang untuk keluar memancing.


Umasharah berkata, Mohd Zarif yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu memaklumkan hasratnya untuk keluar memancing bersama Mohd Akmal dan dia memberikan kebenaran memandangkan kedua-duanya sudah biasa keluar bersama dan tidak pernah menipunya sebelum ini

Muat 74, bawa 200



Belaga: “Saya terdengar bunyi kuat dan bot yang dinaiki bergegar. Ketika itu saya terdengar jeritan penumpang yang mengarahkan supaya terjun menyelamatkan diri,” kata Jok Ngau, 30, mangsa bot ekspres Kawan Mas karam berhampiran Tanjong Giam Bungan, di Sungai Belaga sini, semalam.

Menurutnya, bot ekspres yang dinaiki itu baru sejam berlepas dari jeti Belaga dan terbalik sebaik tiba di satu selekoh.

“Bot berlepas dari Bakun jam 7 pagi dan ketika itu, semua penumpang berebut untuk menaiki bot berkenaan kerana tidak mahu menunggu perkhidmatan seterusnya.

“Walaupun tempat dalam bot sudah penuh, penumpang berdegil dan sanggup duduk di tepi serta atas bot. Kami berhenti untuk menurunkan penumpang di Belaga dan meneruskan perjalanan ke Kapit,” katanya.

Foto
SUASANA di tempat kejadian bot ekspres yang karam di Belaga.

Foto
MANGSA yang selamat berenang ke tebing sungai.

Katanya, lebih 200 penumpang yang rata-ratanya pekerja kontrak di Sungai Asap, Bakun dan Murum ingin pulang ke kampung untuk menyambut Hari Gawai hujung minggu ini.