Search This Blog

Tuesday, May 28, 2013

Bom tangan ditemui depan sebuah kelab



28 Mei 2013
BUTTERWORTH - Sebutir bom tangan ditemui di depan sebuah kelab di Jalan Raja Uda di sini hari ini.
   
Bom itu digolekkan seorang lelaki yang memakai topi keledar penuh pada 5.20 pagi.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata ketika kejadian, tiada pengunjung di kelab itu yang menyediakan pelbagai aktiviti dan kemudahan termasuk permainan snuker serta kolam renang.
   
"Menurut seorang daripada pengawal keselamatan kelab berkenaan, lelaki yang memakai topi keledar penuh itu datang ke arah mereka sebelum menggolekkan sesuatu ke arah pintu masuk kelab terbabit dan melarikan diri.
   
"Mereka cuba memeriksa benda yang digolek itu dan mendapati ia seperti bom tangan sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi.
   
Abdul Rahman berkata polis menutup kawasan sekitar kelab itu ketika Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan.
   
Bom yang dipercayai buatan sendiri itu dialih pada 8.30 pagi.
   
Beliau berkata sehubungan itu, polis kini memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
   
Polis kini sedang memeriksa kamera litar tertutup di kawasan berkenaan, katanya.
   
Abdul Rahman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1957. - Bernama

Empat individu didakwa edar 35kg dadah



28 Mei 2013
BALIK PULAU - Tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis amphetamin seberat 35kg, 14 Mei lepas.
   
Tiada pertuduhan direkodkan daripada Yeow Jin Chua, 46, Muhammad Nur Irwan Goh Abdullah, 48, Lim Pung Yin, 40, dan Eva Damanayati, 26, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhd Najib Ismail.
   
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dalam kebun di Bukit Batu Itam, di sini, pada pukul 11 malam.
   
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
   
Mahkamah menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada semua tertuduh melantik peguam.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh. - Bernama

Wanita nyaris terkena tembakan rambang


MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
28 Mei 2013
Wanita nyaris terkena tembakan rambang
Farziaty menunjukkan kesan tembakan yang terkena pada keretanya. Gambar kecil: Kesan peluru yang terkena pada bahagian hadapan keretanya.
KANGAR - Seorang wanita nyaris maut apabila keretanya terkena peluru tembakan rambang yang dilepaskan seorang anggota polis dalam insiden mengejar suspek yang dipercayai penjenayah pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Farziaty Ahmad Farid, 40, bersama bapa mertuanya yang dalam perjalanan ke pasar di Kuala Perlis nyaris terkena sebutir peluru yang mengenai sebelah kanan bahagian but keretanya.

Difahamkan, dua tembakan lagi turut mengenai pada bahagian tayar dan belakang kereta suspek yang melarikan diri dalam insiden itu.

Menceritakan detik cemas itu, Farziaty berkata, ketika kejadian, beliau melihat seorang anggota polis berpakaian biasa sedang berbual dengan seorang lelaki berbangsa Cina di bahu jalan sebelum bertindak melarikan diri dengan kereta berwarna hitam.

Menurutnya, akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan secara rambang ke arah kereta suspek.

Bagaimanapun, salah satu tembakan tersasar dan mengenai keretanya.

"Kejadian itu betul-betul berlaku di hadapan saya.

“Itu kawasan orang awam. Ramai orang di situ. Tiba-tiba salah satu tembakan itu terkena pada but hadapan kereta saya. Nasib baik kereta saya tinggi sikit. Kalau kereta yang lebih rendah rasanya memang sudah terkena pada pemandu,” katanya.

Menurutnya, sejurus peluru itu terkena keretanya, beliau memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu takut dan terkejut.

“Saya ketar sangat masa itu. Tidak boleh bawa kereta lagi. Sehinggakan orang ramai datang kepada saya bertanyakan keadaan dan suruh saya bertenang.

“Kira-kira 15 minit kemudian baru saya boleh tenangkan diri dan bawa kereta ke bahu jalan sebelum membuat laporan di balai polis Kuala Perlis dan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar,” katanya.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan sikap anggota polis berkenaan kerana gagal memikirkan keselamatan orang awam berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini bukan perkara main-main. Nasib baik terkena pada bahagian but kereta. Kalau terkena pada saya, siapa nak bertanggungjawab.

“Saya dan keluarga mahu tuntut ganti rugi dan saman akibat trauma yang dialami. Sehingga hari ini saya masih ketakutan untuk memandu kereta," katanya.

Lelaki Myanmar rampas pistol polis



28 Mei 2013
GEORGETOWN - Lelaki Myanmar yang merampas pistol anggota polis dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park di sini, awal pagi semalam, didapati waras dan tidak dipengaruhi alkohol atau dadah ketika kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 33 tahun itu kini ditahan reman empat hari dan siasatan awal mendapati dia bertindak sedemikian kerana hilang kawalan diri akibat marah.

"Lelaki yang tiada sebarang dokumen perjalanan itu bertindak mencekik anggota polis dan merampas pistol sebelum melepaskan tembakan dipercayai kerana tekanan dan hilang kawalan diri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam, lelaki terbabit memasuki balai polis berkenaan untuk membuat laporan kononnya ada orang ingin memukulnya dalam pergaduhan di  Taman Inderawasih di sini.

Suspek tiba-tiba merampas pistol jenis P99 daripada anggota di balai itu selepas terdengar perbualan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis yang diminta menyiasat dakwaan lelaki terbabit, dan memaklumkan melalui telefon tiada pergaduhan berlaku di kawasan itu.

Bagaimanapun, anggota polis terbabit berjaya melarikan diri dan lelaki itu yang hanya berkain pelikat dengan kemeja T dan berkaki ayam ditangkap dua anggota URB yang tiba di balai itu. - Bernama

Lelaki ditahan bersama barangan samun



28 Mei 2013
TUARAN - Polis menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan pecah rumah dan merampas pelbagai barangan samun bernilai RM10,000 dalam serbuan di sebuah kampung di sini, pada tengah malam Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tuaran Abdul Fuad Abdul Malek berkata hasil maklumat orang ramai polis menahan suspek yang dipercayai penagih dadah berumur 31 tahun pada 12.30 tengah malam serta menemui lima bungkus syabu seberat 0.6 gram.

"Suspek seorang penganggur yang mempunyai rekod jenayah sejak 2005, bergiat aktif sejak tahun lepas melibatkan jenayah pecah rumah di sekitar Tuaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di sini hari ini.

Abdul Fuad berkata antara barangan yang ditemui adalah komputer riba yang telah diubah suai, barangan kemas, jam tangan, pisau, resit gadaian emas, televisyen dan peralatan pecah rumah.

Beliau berkata polis sebelum ini menangkap tiga anggota kumpulan berkenaan dan masih memburu saki-baki kumpulan itu.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai terutamanya pengguna jalan raya agar tidak mengambil minuman yang memabukkan bagi mengelak kejadian tidak diingini sempena menyambut Pesta Kaamatan pada hujung minggu ini.- Bernama

Guru silat, anak parah ditetak tiga lelaki



28 Mei 2013
ALOR SETAR - Seorang guru silat dan anak lelakinya parahditetak tiga lelaki yang cuba memecah masuk stor baja berdekatan rumah mereka di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar di sini hari ini.
   
Dalam kejadian 6.10 pagi, Mohd Iqbal Abdul Rahman, 18, cedera di kepala dan jari tangan kiri manakala bapanya, Abdul Rahman Hashim, 51, ditetak pada lengan kanan dan hampir putus.
   
Menurut Mohd Iqbal, dia terlihat tiga lelaki cuba memecah masuk stor baja bapanya itu semasa keluar untuk ke tempat kerja di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit.
   
"Saya terus menghubungi bapa saya, apabila tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang. Pada masa sama bapa saya sampai dan turut ditetak," katanya semasa ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
   
Mohd Iqbal berkata selepas terkena tetakan dia berlari ke rumah kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan meminta bantuan ibunya untuk menghantar mereka ke HSB untuk mendapatkan rawatan.
   
Katanya ketiga-tiga lelaki itu kemudian melarikan diri dengan memandu dua kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Kancil.
   
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kedua-dua mangsa tidak dapat mengecam ketiga-tiga penyerang kerana keadaan agak gelap.
   
Polis sedang mengesan kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja, katanya.
   
Dalam perkembangan lain Adzaman berkata polis masih memburu empat daripada sembilan penyamun berkumpulan dikenali geng 'Yon Pendang' yang aktif melakukan jenayah samun sejak awal tahun ini di daerah Kota Setar dan Pendang.
   
Katanya lima anggota kumpulan itu berumur lingkungan 17 hingga 24 tahun ditahan empat hari lepas dalam serbuan di lokasi berbeza di sekitar bandaraya Alor Setar.
   
Menurut Adzaman kumpulan itu menyasarkan warga emas, wanita dan pejalan kaki serta mencuri pelbagai jenis kereta. - Bernama

Tidak dimaklumkan bayi mati dalam kandungan


WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mei 2013
Tidak dimaklumkan bayi mati dalam kandungan
Shanti (tengah) bersama-sama suaminya, B Gobinath (kiri) dan Sivasubramaniam pada sidang media semalam.
IPOH - Seorang kerani merasa kesal dengan sebuah klinik di sini kerana gagal memaklumkan bayinya mati dalam kandungan walaupun telah mencecah tiga minggu.

G Shanti, 26 berkata, dia sedih dengan peristiwa itu tambahan bayi berkenaan merupakan anak pertama yang ditunggu-tunggu kelahirannya.

Manurut Shanti, dia mendapatkan rawatan seperti biasa di klinik berkenaan pada 17 April lalu dan dimaklumkan kandungannya berada dalam keadaan baik.

"Sehari selepas itu saya rasa tak selesa dan terus ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. Saya dimaklumkan oleh doktor kandungan saya sudah meninggal dunia sejak tiga minggu lalu," katanya pada sidang media di Wisma DAP semalam.

Shanti memaklumkan, selepas mendapat perkhabaran itu dia dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mencuci rahim serta mengeluarkan bayi berkenaan.

Katanya, kegagalan pihak klinik terbabit memaklumkan kematian kandungan itu secara langsung membahayakan dirinya.

"Perkara itu diceritakan kepada Adun Buntong, A Sivasubramaniam dan beliau nasihatkan saya untuk buat laporan polis.

"Laporan polis telah dibuat pada 16 Mei lalu untuk meminta siasatan dibuat berkenaan perkara ini. Saya minta tindakan tegas diambil bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Shanti menambah, keluarganya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Sementara itu, Sivasubramaniam ketika ditemui berkata, pihaknya sudah mengemukakan beberapa surat rasmi kepada pihak berkaitan termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Perak untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Bomba selamatkan bayi baru lahir dalam paip kumbahan



28 Mei 2013
Bomba selamatkan bayi baru lahir dalam paip kumbahan
Keadaan bayi semasa anggota bomba dan doktor memotong batang paip kumbahan. - Foto Reuters
BEIJING - Anggota bomba China berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan yang terselit di dalam paip kumbahan.

Seorang penduduk apartmen di wilayah Zhejiang terdengar suara bayi menangis pada hari Sabtu lalu memanggil anggota bomba untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

Anggota bomba cuba menarik keluar bayi berkenaan namun gagal dan terpaksa menggergaji dan memotong paip berkenaan bagi memastikan bayi itu terus hidup.

Mereka kemudian membawa batang paip itu ke hospital bagi mengeluarkan bayi berkenaan.

Menurut akhbar tempatan, bayi itu baru berusia beberapa hari ditemui di dalam sebuah paip yang berukuran 10 sentimeter.

Rakaman dari televisyen tempatan menunjukkan doktor dan anggota bomba bertungkus lumus memotong paip bagi menyelamatkan bayi itu.

Bayi itu ketika ini berada dalam keadaan stabil dan pihak berkuasa sedang mencari ibu bapanya.

Seperti yang diketahui, China mempunyai dasar perancangan keluarga yang ketat dengan membenarkan setiap keluarga mempunyai seorang anak saja.

Bot karam: 23 hilang, 181 selamat



28 Mei 2013
Bot karam: 23 hilang, 181 selamat
Bot karam
KUCHING - Seramai 23 orang hilang manakala 181 lagi selamat apabila bot ekspres yang mereka naiki karam di Sungai Rajang berhampiran Belaga di pedalaman Sarawak hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata kesemua 181 mangsa yang selamat itu kini ditempatkan di dua rumah panjang tidak jauh daripada kawasan kejadian, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot ekspres dari pekan Belaga.
  
"Kami masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang," katanya ketika dihubungi dari sini.
  
Beliau berkata kejadian dilapor antara pukul 8.30 dan 9 pagi apabila bot ekspres 'Bakun Mas' itu mengalami masalah enjin selepas melangar serpihan kayu di sungai itu.
  
Ketika kejadian bot dengan kapasiti 67 penumpang itu sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di kawasan itu.
  
Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kapit Betek Lahang ketika dihubungi berkata polis dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa terlibat.
  
Beliau berkata ketika kejadian bot ekpress yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan ke Kapit dan Sibu selepas kira-kira 40 minit berlepas dari bandar Belaga.
  
Polis dan pasukan perubatan kini berada di tempat kejadian dan sehingga petang ini usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan, katanya.
  
Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah ketika dihubungi berkata beliau dan anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan anggota Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Bernama

Perut terburai jatuh 36 tingkat


Melaka: Suasana di tapak pembinaan projek pangsapuri di Jalan Bunga Raya di sini, gempar apabila seorang pekerja lelaki warga Indonesia ditemui mati selepas terjatuh daripada tingkat 36 di satu daripada blok bangunan berkenaan, semalam.

Lebih memilukan apabila mangsa, Suprapto, 32, dikatakan ditemui dengan perutnya terburai dan mengalami kesan retak di kepala selain kecederaan di tangan serta kakinya.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa yang berasal dari Trenggalek, Jawa Timur dan lebih dikenali sebagai ‘Panjang’ itu sedang melakukan kerja pembinaan di blok satu pangsapuri terbabit. Sumber berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang dipercayai mengangkat besi kerangka untuk pembinaan struktur lif itu bagaimanapun terjatuh dari tingkat 36 bangunan berkenaan. “Mangsa dikatakan terus terjatuh ke tanah bersama besi itu, namun tubuhnya tidak terkena pada mana-mana struktur atau komponen tingkat lain. “Mayatnya ditemui terbaring dalam keadaan terlentang dan turut dihempap besi berkenaan hingga mengalami kecederaan teruk di perut selain kepalanya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. Kata sumber itu, kejadian disedari beberapa pekerja yang turut berada di lokasi berkenaan sebelum dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


“Hasil siasatan polis mendapati kejadian itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang unsur jenayah,” katanya.


Tinjauan Harian Metro mendapati sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa manakala anggota polis menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Beberapa pekerja yang ditemui terkejut dengan kejadian itu dan pada awalnya menyangka hanya objek terjatuh sebelum dimaklumkan pihak pengurusan mengenai penemuan mayat mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ombak tinggi rumah


Oleh Muhamaad Razis Ismail, Adnan Mohamed dan Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: “Hanya zikir dan laungan azan saja yang dapat kami lakukan sepanjang tiga jam dipukul ribut ketika di tengah lautan,” kata Mazlan Mohamed, 46, tekong bot yang hilang bersama empat lelaki ketika keluar memancing di Tumpat, awal pagi Jumaat lalu.

Kelima-lima mereka diselamatkan nelayan tempatan petang kelmarin, selepas bot dinaiki kehabisan minyak dan dihanyut arus deras.


Mazlan bersama Mohd Fadzuan Suhaimi, 25, Mohd Osman Mohamad, 36, Mohd Masdi Che Hassan, 39, tiba di jeti Maritim Tok Bali, di sini, jam 10 pagi semalam dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Enam jam sebelum itu, seorang mangsa, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, dihantar ke jeti Pengkalan Kubor, Tumpat terlebih dulu berikutan dia mengalami serangan gastrik sebelum dikejarkan ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) untuk rawatan.


Menceritakan kejadian itu, Mazlan berkata, mereka bercadang pulang pada tengah hari Sabtu selepas keluar pada jam 3 pagi, Jumaat.


Namun, katanya, mereka leka kerana memperoleh hasil tangkapan ikan yang banyak sebelum bergerak ke kawasan lebih jauh.

“Kira-kira jam 1 tengah hari dalam perjalanan pulang, enjin bot yang kami naiki berhenti secara tiba-tiba kerana kehabisan minyak dan lebih memburukkan keadaan kami tidak membawa minyak tambahan.


“Saya terpaksa menurunkan sauh untuk mengelakkan bot dihanyutkan arus deras, tetapi ia dilepaskan kerana bimbang bot terbalik akibat ombak besar.

“Kami menggunakan pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan kain sebagai layar dan menahan bot nelayan lain, namun tidak berjaya,” katanya.


Manakala Mohd Firdaus pula berkata, ia pengalaman ngeri buat dirinya yang baru kali pertama merasai keseronokan keluar memancing.


Katanya, dia menahan kesakitan akibat penyakit gastrik memandangkan bekalan makanan yang dibawa sudah habis dan hanya sedikit air mineral saja yang tinggal.


“Kami terpaksa mencatu minuman itu dengan menggunakan penutup botol sebagai gelas. Makanan pula sudah habis dan saya terpaksa menahan sakit.


“Saya tidak dapat melupakan kejadian bot kami dipukul ribut dan ombak setinggi rumah dan hanya berdoa supaya diselamatkan segera,” katanya.

Bayi dalam bungkusan


Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan dijumpai dalam bungkusan plastik hitam di tepi lorong di Kampung Melayu, Ampang oleh orang ramai, Ahad lalu.

Bayi perempuan yang dijumpai jam 7.30 pagi itu dipercayai baru dilahirkan sebelum dibiarkan di situ. Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat Noor Adelin Nordin ketika di temui di pejabat Harian Metro semalam berkata, bayi itu kini di bawah jagaan Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras. “Bayi dinamakan Aneesa itu ditempatkan bersama dua bayi yang turut ditinggalkan di Hospital Ampang oleh ibu kandung mereka,” katanya. Menurutnya, dua lagi bayi perempuan dan lelaki yang diberi nama Hafizuddin dan Hafizah itu ditinggalkan selama tiga hari di hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat. “Mereka (bayi) ditinggalkan tanpa sebarang dokumen dan buat sementara waktu, bayi-bayi ini akan berada di bawah jagaan rumah kanak-kanak itu sehingga 26 Jun ini,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 03-87378007.

Pencari besi maut redah jalan gelap


Jempol: Tindakan dua sahabat yang juga pencari besi buruk menunggang motosikal tanpa lampu belakang mengundang padah apabila mereka maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 9.10 malam apabila kedua-dua mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Keratong menuju ke Bahau dan turut membawa muatan besi buruk.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa meredah laluan gelap menuju ke Bahau dengan motosikal mereka tiada lampu belakang.

Beliau berkata, berikutan itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah sama tidak menyedari kehadiran motosikal mangsa lalu merempuhnya dari arah belakang.


“Rempuhan itu menyebabkan pembonceng motosikal, Mohd Finizam Abd Samad, 27, tercampak ke dalam longkang dan maut di tempat kejadian, manakala penunggang yang belum diketahui identiti tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol kira-kira jam 3.30 pagi semalam.


“Daripada siasatan awal, polis mendapati kedua-dua mangsa adalah anak peneroka di FELDA Serting Hilir dekat sini. Namun, seorang daripada mereka iaitu penunggang motosikal tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kita masih menyiasat kes berkenaan supaya ahli keluarga mangsa dapat datang ke hospital untuk menuntut jenazah,” katanya.

Hamzah berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu sudah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rumah dirempuh kali kedua


Gelang Patah: “Ini kali kedua rumah saya dirempuh kenderaan, kali pertama berlaku dua tahun lalu namun kami bersyukur kerana tidak cedera,” kata Rusliah Jaafar, 66, selepas rumahnya di Kampung Ulu Pulai, di sini, dirempuh sebuah lori membawa peralatan kilang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, bahagian dapur rumah dihuni Rusliah sekeluarga retak.


Menceritakan detik mencemaskan itu, warga emas berkenaan berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk membeli barangan keperluan.

“Belum sempat habis membeli barangan keperluan harian, saya menerima panggilan daripada cucu memberitahu rumah kami dirempuh lori.


“Bimbang dengan kejadian, saya pulang bagi melihat sendiri keadaan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


Menurutnya, sebelum ini, rumahnya pernah dirempuh sebuah kereta menyebabkan dinding bilik rosak.

“Mungkin rumah kami terletak di selekoh menyebabkan kejadian itu berlaku.


“Bukan itu saja, beberapa kejadian kenderaan terbabas kerap berlaku menyebabkan beberapa pokok serta pasu bunga di sekitar rumah rosak,” katanya.

Rusliah berkata, dia sekeluarga kini bimbang bahagian dapur rumahnya roboh selepas lori yang merempuh dinding rumahnya dialihkan.


Ini kerana bahagian berkenaan mengalami keretakan teruk.


Cucunya, Nur Syahirah Atiqah Mohamad, 18, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan tidur.


“Saya terkejut daripada tidur akibat dentuman itu, saya bangun dan mendapati dapur rumah nenek dilanggar lori.


“Pemandu lori itu cedera ringan. Saya dan dua bapa saudara yang berada di rumah ketika kejadian bagaimanapun tidak cedera,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed mengesahkan kejadian terbabit.


“Ia masih dalam siasatan,” katanya.

Hutang RM500,000 tandatangan ditiru



Kuala Lumpur: Seorang penarik kereta menanggung hutang bernilai RM500,000 selepas individu lain memalsukan tandatangan dan dokumen peribadinya untuk membuat pinjaman bank.

Selain itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Faizal, 30, turut menanggung risiko untuk diisytiharkan muflis apabila individu yang menggunakan identitinya gagal untuk melunaskan bayaran dengan bank sejak setahun lalu.


Menceritakan kembali kejadian yang menimpanya, Faizal berkata, dia hanya mendapat tahu namanya disalahgunakan selepas dia berniat untuk membuat pinjaman membeli kereta minggu lalu.

Katanya, dia mendapati seorang lelaki bernama Kamal membuat pinjaman untuk membina restoran di Rawang dan kegiatan itu diketahui pegawai bank yang membantu menguruskan pinjaman berkenaan.


“Selepas memeriksa dengan penyewa restoran, saya mendapati restoran berkenaan milik seorang lelaki berusia 40-an dan saya pasti ia adalah lelaki yang memalsukan tandatangan dan dokumen peribadi saya.


“Saya juga percaya pihak bank terbabit dalam penipuan ini berikutan memberi kebenaran dan kelulusan kepada seorang lelaki yang jauh berbeza daripada fizikal saya,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menghubungi lelaki berkenaan melalui penyewa restoran itu, namun gagal malah dia sudah memberi amaran kepada lelaki itu untuk membuat bayaran ansuran kepada bank.


“Sehingga kini dia gagal untuk membuat bayaran. Saya pula terpaksa membayar ansuran kepada bank.

“Bagi mendapat keadilan, saya membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kereta terbang sebelum terbalik

Kuantan: “Memang macam dalam filem apabila saya melihat sebuah kereta secara tiba-tiba berpusing dan terbalik melanggar laluan pejalan kaki.
“Saya terus berlari untuk melihat keadaan pemandu dan membantunya keluar kerana bimbang kalau-kalau keretanya terbakar,” kata pengawal keselamatan, Mohd Norakmal Abdullah, 48, saksi kejadian sebuah kereta terbalik di Jalan Tun Ismail 1, di sini, semalam.

Foto
KERETA dipandu mangsa yang terbalik di Jalan Tun Ismail 1, semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, seorang pekerja kilang, Cheryl Lee, 39, nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbalik ketika membelok ke jalan berkenaan.
Mohd Norakmal berkata, ketika kejadian dia sedang menjalankan tugasnya di sebuah premis syarikat telekomunikasi sebelum mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta jenis Perodua Kembara ‘terbang’ sebelum terbalik.

Dia yang baru sebulan bekerja di premis berkenaan berkata, dia sempat bertanya keadaan pemandu wanita berkenaan dan sebaik mangsa memberi tindak balas, dia terus menarik pintu kereta bagi mengeluarkan mangsa.

“Mujur pemandu itu tidak mengalami kecederaan serius namun saya menasihatkannya untuk membuat pemeriksaan di hospital kerana bimbang berlaku kecederaan dalaman,” katanya.

Sementara itu, Cheryl berkata, dia tidak dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku sebaliknya hanya tersedar apabila keretanya sudah terbalik.

Katanya, dia yang memandu secara bersendirian dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya, di sini, selepas menghantar rakannya di Terminal Makmur.
“Sebaik membelok ke jalan ini (Jalan Tun Ismail 1) kereta saya bagaikan hilang kawalan dan selepas itu saya sudah tidak ingat apa-apa lagi..sedar-sedar saja kereta saya sudah terbalik,” katanya.

Budak 14 tahun penggal empat anggota keluarga


Johannesburg: Polis Afrika Selatan menangkap seorang budak lelaki selepas dia memenggal empat anggota keluarganya.

Bagaimanapun, dua orang adiknya berjaya melarikan diri dan meminta pertolongan.


Jurucakap polis, Lungelo Dlamini berkata, budak berusia 14 tahun itu ditangkap sejurus selepas memenggal ibu, nenek, adik lelaki dan adik perempuan yang masih bayi Jumaat lalu.

“Dia dikatakan mengguna kapak dan melakukan kekejaman berkenaan ketika mereka tidur,” katanya ketika ditemui media, semalam.


Dua adiknya yang berusia lapan dan sembilan tahun melarikan diri ketika pembunuhan yang berlaku pada jam 1 pagi itu (waktu tempatan) di Etwatwa, timur Johannesburg.


“Mereka memberitahu jiran mengenai kejadian itu. Abangnya ketika itu sudah melarikan diri,” kata Dlamini.

Polis berjaya mengesan budak lelaki itu pada tengah hari.


Mayat Ibunya yang berusia 42 tahun ditemui di pondok tempat keluarga itu menetap sementara mayat adiknya berusia tiga bulan ditemui di padang berhampiran.

Neneknya, 58 dan adik lelakinya, tujuh, mati di hospital.


Polis masih mencari senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan budak berkenaan dihadapkan ke mahkamah hari ini.


Afrika Selatan mempunyai kadar pembunuhan tertinggi di luar zon peperangan.


Menurut statistik rasmi negara berkenaan, hampir 16,000 orang mati dibunuh antara tahun 2011 dan 2012. - AP

Kepala putus


Shenzhen: Seorang wanita di daerah Luohu di Shenzhen putus kepala selepas dia teperangkap pada pintu lif yang mengheretnya turun sehingga sekurang-kurangnya tiga tingkat.

Mangsa dikatakan terlalu asyik dengan telefon bimbitnya hingga tidak menyedari lif itu rosak.


Menurut laporan awal, kejadian berlaku di Menara Changhong di Jalan Woodcrest Hill.

Rakaman video yang tersebar di Internet menunjukkan wanita berkenaan, seorang jururawat bernama Wang, 24, sibuk melayan telefon bimbitnya apabila tragedi berlaku.


Saksi berkata, lif itu turun dari tingkat 22 bersama-sama empat penumpang dan berhenti di satu tingkat, dimasuki beberapa penumpang lain. Ia kemudian turun lagi tetapi terhenti antara tingkat dua dan tiga kerana rosak.


Jururawat itu yang asyik dengan telefonnya tidak menyedari keadaan sekeliling, keluar dari lif dan terperangkap pada pintunya apabila tertutup.

Lif itu kemudian bergerak lagi selama kira-kira 20 saat, turun ke tingkat satu, mengheret Wang bersama-samanya.


Kepala Wang putus dan tubuhnya terputus dua. - Agensi

Isteri mati dipijak gajah, suami parah dirodok


Ayutthaya: Hujung gading seekor gajah dipotong selepas haiwan itu memijak seorang wanita dan menyerang suami mangsa di Muang, kelmarin.

Seorang jururawat di Hospital Muang, Orn-uma Leksathan, melawat wilayah Ayutthaya bersama suaminya, Narongsak, apabila insiden itu berlaku.


Saksi berkata, Orn-uma cuba memberi makan seekor gajah yang dipelihara di Pusat Penjagaan Gajah Lae Paniad.

Bagaimanapun, kata saksi, gajah itu menangkap mangsa dengan belalainya dan membawa wanita itu ke tiang yang menjadi penambat haiwan berkenaan.


“Mangsa kemudian dipijak-pijak gajah itu,” katanya. Ketika Narongsak cuba menyelamatkan Orn-uma, gajah berkenaan menggunakan gadingnya menyerang paha kanan lelaki terbabit sebelum melontarnya ke udara. Orn-uma dan suaminya dikejarkan ke Hospital Ayutthaya tetapi wanita itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang serius. Jurucakap hospital berkata, Narongsak juga cedera parah. Pemilik pusat penjagaan gajah, Thongrian Meephan berkata, gajah jantan itu berusia 27 tahun dan mempunyai berat kira-kira tiga tan. - AP

Ibu kurung anak sejak 11 tahun lalu



MUXIANG memberikan makanan kepada anak lelakinya yang dikurung di rumahnya di Kampung Lijiachong, Ruichang pada 24 Mei lalu.- AFP


RUICHANG, China - Seorang lelaki yang menghidap sakit mental, Wu Yuanhong dikurung dalam sebuah kurungan sejak 11 tahun lalu di rumah ibunya di Kampung Lijiachong di sini.
Menurut laporan media, Yuanhong dikurung selepas dia didakwa memukul seorang kanak-kanak berusia 13 tahun sehingga mati.
Kaki lelaki berusia 42 tahun itu turut dirantai semasa dia berada di dalam kurungan tersebut.
Ibu Yuanhong, Wang Muxiang membina kurungan itu selepas dia melarikan diri dan berjalan di sekitar kampungnya sehingga menakutkan penduduk tempatan.
Beberapa anggota keluarganya yang lain turut menangis semasa dia dikurung.
Yuanhong pernah melarikan diri tetapi dia berjaya ditangkap semula dan dimasukkan ke dalam sebuah kurungan baharu.
"Anak saya mungkin gila dan memukul seseorang sehingga mati. Namun, dia masih lagi anak saya.
"Membina sebuah kurungan dengan tangan saya sendiri dan mengurungnya merupakan satu keputusan yang pahit untuk ditelan," kata ibunya itu.
Muxiang memberi makan tiga kali sehari kepada anaknya.
Dia juga meletakkan pakaian di dalam kurungan itu.
"Setiap kali saya memberikannya makan, saya akan duduk di tepi kurungan dan menangis.
"Kini, air mata saya telah kering," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UXzFQ7mj 
Hakcipta terpelihara