Search This Blog

Monday, May 27, 2013

Pemandu lori nyaris lemas


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2013
Pemandu lori nyaris lemas
Pasukan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
BALING - Seorang pemandu lori nyaris lemas setelah lori yang dipandunya terhumban ke dalam sungai di Jalan Sungai Petani-Baling berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Mangsa, Muhamad Rahmat Kamaruddin, 33, dari Kampung Bukit Gajah, Bentong, Pahang tersepit di tempat pemandu dengan keadaan kepalanya di dalam air.

Namun begitu, mangsa bernasib baik setelah penduduk kampung sempat mengalihkan kepalanya bagi mengelakkan dia lemas.

Bagaimanapun, mangsa masih tidak dapat dikeluarkan berikutan kedua kakinya tersepit di pintu dan stereng lorinya itu.

Sehubungan itu, pasukan bomba dan pertahanan awam dikerahkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan kesakitan.

Muhamad Rahmat berkata, dia bersyukur dengan tindakan pantas penduduk yang sempat membantu mengalihkan kepalanya dalam air.

“Saya cuba untuk keluar, tapi tak boleh, saya hanya mampu berserah kepada Tuhan. Alhamdulillah, tak lama kemudian, orang kampung datang. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan jadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian itu.

Sempat beri nama untuk bayi


AMRAN ALI
27 Mei 2013
Sempat beri nama untuk bayi
Jenazah Allahyarham Mohamad Haslin dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Melaka untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Kampung Pinang.
Sempat beri nama untuk bayi
Aieda Sdzuliana
Sempat beri nama untuk bayi
Mohamad Haslin
AYER KEROH - Seorang kontraktor, Mohamad Haslin Zakariah, 36, sempat memberikan nama untuk bayi yang sedang dikandung isterinya sebelum menemui ajal selepas terbabit kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama di sini, awal pagi semalam.

Menurut isterinya, Aieda Sdzuliana Samsudin, 31, arwah suaminya juga ada berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik sehingga dewasa agar memperoleh kejayaan.

Aieda Sdzuliana berkata, lebih memilukan apabila detik hitam itu berlaku ketika suaminya baru pertama kali menyertai konvoi bersama rakan-rakannya dengan menaiki motosikal jenis Scrambler yang baru dibelinya lebih seminggu lalu.   

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 malam itu, motosikal ditunggang Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Pinang, Batang Tiga,  berkenaan bergesel dengan sebuah kenderaan lain hingga menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan teruk di badan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1.35 pagi.

Menurut Aieda yang sedang hamil enam bulan, ketika kejadian dia berada di kampung halamannya di Sungai Rambai, Jasin.

“Saya dan anak perempuan yang berusia tiga tahun pulang ke kampung kira-kira jam 9.30 malam. Ketika dalam perjalanan, saya sempat menghubungi dia meminta supaya menyimpan lauk kenduri kahwin yang lupa dibawa ke dalam peti ais.

“Pada waktu itu, dia sedang menguruskan kedai runcit kami di sekitar Kampung Pinang dan memberitahu mahu menutup premis lebih awal berbanding biasa,” katanya sebak ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Dia berkata, kira-kira jam 2.30 pagi semalam, luluh hatinya apabila dimaklumkan ahli keluarga mengenai kemalangan menimpa suaminya itu yang ternyata tidak sempat menyambut kelahiran cahaya mata ketiga mereka.

“Arwah sememangnya sudah memberi nama untuk bayi kami ini iaitu Mohamad Asyraf (lelaki) dan Ayra Hafni (perempuan). Dia juga pernah meminta saya supaya meneruskan perniagaan kedai runcit dan membesarkan semua anak kami.

“Selain itu, dia yang memangku jawatan Ketua Pemuda selama hampir 15 tahun sejak kebelakangan ini dilihat begitu gembira kerana memperoleh projek pembinaan rumah dan turut membeli motosikal baru,” katanya.

Aieda berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan jenazah suaminya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu dikebumikan di Kampung Pinang.

Sementara itu, rakan mangsa, Rezam Jalil, 37, pula berkata, konvoi itu disertai seramai 15 penunggang motosikal dan mangsa dipercayai berada paling depan.

“Saya ketika itu berada paling belakang dan terkejut apabila mendapati mangsa sudah terjatuh daripada motosikalnya dipercayai akibat bergesel dengan kenderaan lain yang dilihat tiada di tempat kejadian.

“Mangsa yang baru menyertai konvoi tidak menunjukkan perubahan pelik namun dia pernah menyatakan hasrat untuk menubuhkan NGO bermotosikal di Tangga Batu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Rumah dibaling 2 botol kaca


NURUL MAZWANA HAMDAN
27 Mei 2013
Rumah dibaling 2 botol kaca
Keadaan botol yang telah pecah dipercayai telah dibaling oleh seorang lelaki.
Rumah dibaling 2 botol kaca
Leong Lai
Rumah dibaling 2 botol kaca
Kesan kebakaran yang berlaku di bahagian tempat letak kereta.
TAIPING – Seorang mekanik terkejut apabila rumahnya di Taman Tekkah Aulong, di sini, dibaling dengan dua botol kaca menyebabkan berlaku kebakaran.

Tan Leong Lai, 50, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam dan ketika itu dia tidak berada di rumah.

Menurutnya, dia keluar untuk membawa salah seorang anaknya dan hanya tinggal isteri dan anak perempuan sahaja di rumah.

“Namun kami sekeluarga bernasib baik kerana isteri saya menyedari kejadian itu dan terus bertindak memadamkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Leong Lai berkata, ketika pulang ke rumah isterinya memaklumkan yang dia terdengar bunyi dua botol kaca pecah serta terlihat seorang lelaki memakai topi keledar beredar dari rumah mereka sekali dan cahaya api di bahagian hadapan rumah mereka.

“Isteri dan anak perempuan saya segera ambil air untuk memadamkan kebakaran yang berlaku di bahagian tempat letak kereta,” katanya.

Dalam pada itu Leong Lai memaklumkan bahawa dia mengesyaki kejadian tersebut dilakukan oleh Ah Long, namun selama ini dia tidak pernah berhutang dengan kumpulan itu.

“Kumpulan itu mungkin tersalah rumah dan sebenarnya mencari orang lain, namun kerana nasib tidak baik, saya yang kena.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Aulong berhubung kejadian itu agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Jatuh ketika ambil bendera


SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
27 Mei 2013
Jatuh ketika ambil bendera
Pemain JDT, Ahmad Tharmimi bersama wakil PBNJ dan pasukan Johor Darul Takzim menghulurkan bantuan kepada ibu mangsa.
Jatuh ketika ambil bendera
Ibu mangsa ditenangkan oleh ahli keluarga yang hadir melawat di HSA.
JOHOR BAHRU - Keghairahan seorang pemuda menyaksikan perlawanan bola sepak Separuh Akhir Pertama Piala FA 2013 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Pahang, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin, berakhir dengan tragedi.

Kejadian berlaku selepas tamat perlawanan apabila Rosdhi Rosiman, 29, tiba-tiba terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ke luar stadium.

Difahamkan, mangsa anak kelima dari lapan beradik itu cuba mengambil bendera Johor yang diikat pada tiang besi selepas tamat menyaksikan perlawanan.

Adik mangsa, Roshanajid, 28, berkata, dia menyedari kejadian malang menimpa abangnya apabila terdengar kekecohan penonton.

“Kami duduk di kerusi penonton pada barisan paling belakang iaitu paling tinggi berbanding penonton lain. Selepas tamat perlawanan, abang cuba ambil bendera yang dibawanya dari rumah.

“Tiba-tiba, saya dengar penonton lain kecoh dan terkejut apabila mendapati abang sudah terjatuh ke luar stadium,” katanya kepada pemberita, semalam.

Roshanajid berkata, abangnya merupakan penyokong setia Harimau Selatan, namun tidak sangka rancangan mereka menyaksikan perlawanan bersama saudara dan 11 rakan akhirnya bertukar menjadi tragedi.

“Abang saya memang tidak pernah ketinggalan menyaksikan setiap perlawanan pasukan JDT. Dia akan bawa sendiri bendera pasukan negeri dari rumah sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Saya tak sangka mangsa yang terjatuh ke luar stadium itu abang saya sendiri,” katanya.

Dalam keadaan terkejut itu, dia segera bergegas turun ke luar stadium untuk meninjau keadaan Rosdhi, namun mendapati abangnya sudah tidak sedarkan diri.

Abangnya segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

“Saya lihat abang sudah tidak sedarkan diri, tetapi tidak berlaku pendarahan luaran walaupun dia jatuh dari tempat yang agak tinggi.

“Abang kini sedang mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala, abdomen dan tulang pagi tadi (semalam),” katanya.

Ibu masih terkejut

Ibu Rosdhi masih terkejut apabila menerima perkhabaran mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Dara Mahilah, 50, turut terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keadaan kritikal anaknya.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan mengenai keadaan Rosdhi oleh anak sulungnya sekitar jam 12.30 tengah malam dan diberitahu hanya cedera ringan.

“Mereka tipu makcik...Mereka cakap dia luka ringan. Tadi, makcik masuk ke dalam wad (ICU) dan bisik supaya kuatkan semangat.

“Makcik rasa sangat hiba tengok dia tersentak ketika makcik cium dahinya. Dia macam sedar makcik datang,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sempat bertemu Rosdhi ketika anaknya itu datang menjenguknya, Jumaat lalu.

“Roshdi anak yang sangat baik...pada hari itu, dia cakap teringin nak jumpa makcik dan ada berikan duit RM20 sambil cium tangan makcik.

“Dia hanya balik sekejap saja dan singgah selepas pulang dari kerja. Biasanya dia tak macam tu,” katanya.

Dara berkata, sebelum menerima berita malang itu, dia kerap termenung dan berasa resah seolah-olah bakal berlaku kejadian tidak diingini.

Keresahannya  terjawab dan apa yang dirasai itu ternyata membawai petanda buruk kepada Rosdhi.

“Semalam (Sabtu) makcik ada juga tunggu dia datang, tapi dia tak datang. Makcik tidak sangka dia boleh jatuh teruk macam ni,” katanya.

Tiada unsur Jenayah

Polis menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah berhubung kes Roshdi yang cedera terjatuh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, siasatan awal menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan dan mangsa kini masih koma.

“Ketika kejadian mangsa lengkap berpakaian jersi Johor Darul Takzim (JDT) dan masih sedar ketika di bawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab penyokong Johor Fan Club, Mardiana Baduri bersama tiga pemain Johor Darul Takzim iaitu Kapten pasukan, Kamarul Afiq Kamarudin, Ahmad Tharmimi Saiban dan Mohd Tuah Iskandar Jamaluddin sempat meluangkan masa melawat mangsa bersama keluarga di hospital.

Bayi usia 4 hari meninggal


SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
27 Mei 2013
Bayi usia 4 hari meninggal
Seng Chye bersama Nie Ching menunjukkan laporan kesihatan kembar keduanya yang disediakan pihak hospital.
KULAIJAYA – Penantian sepasang suami isteri menyambut kelahiran cahaya mata kembar bertukar hiba apabila salah seorang bayi mereka meninggal dunia selepas empat hari dilahirkan di salah sebuah hospital kerajaan di negeri ini.

Bapa kepada bayi terbabit, Gan Seng Chye, 47, berkata, anak lelaki kembarnya itu berjaya dilahirkan dengan selamat meskipun isterinya, Chee Lai Keen, 32, melahirkan bayi mereka lebih awal iaitu ketika kandungan berusia 35 minggu.

Bagaimanapun, katanya, pihak hospital didakwa melakukan kecuaian sekali gus dipercayai menjadi penyebab kematian seorang daripada anak kembarnya yang ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kedua-dua bayi saya dilahirkan dengan berat kira-kira 2.5 kilogram dan mereka terpaksa diletakkan di ICU kerana dilahirkan pada usia kandungan pra-matang, namun kesihatan kedua-duanya stabil.

“Tetapi, saya terkejut apabila salah seorang bayi saya dipindahkan ke ICU lain pada 16 Mei tanpa pengetahuan saya dan hanya dimaklumkan apabila saya mendapati salah seorang bayi tiada di tempatnya,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Seng Chye mendakwa, beliau terkilan dengan situasi yang berlaku malah mendapati tahap kebersihan di bilik ICU tempat anaknya dirawat tidak dititikberatkan pengurusan hospital terbabit sehingga boleh menyebabkan risiko jangkitan kuman.

“Saya dimaklumkan anak saya terpaksa dipindahkan kerana terdapat jangkitan pada darah dan kesukaran bernafas.

“Tetapi, selepas dipindahkan ke ICU baru, saya dapati kakitangan dan individu yang masuk ke bilik berkenaan tidak mengamalkan kebersihan yang sepatutnya.

“Adakah ia satu tindakan wajar untuk masuk ke bilik ICU tanpa perlu mencuci tangan sedangkan pesakit yang berada di situ termasuk bayi saya boleh terdedah kepada risiko jangkitan kuman,” katanya.

Beliau berkata, dia terpaksa memindahkan kembar keduanya ke hospital swasta selepas kematian kembar pertamanya bagi mengelakkan situasi sama berlaku.

“Sehingga kini saya masih belum menerima laporan kematian anak. Bayi kedua saya dibenarkan pulang dalam masa yang singkat kerana keadaan kesihatannya yang normal.

“Saya berharap pihak hospital lebih bertanggungjawab terutamanya dalam soal kebersihan agar perkara sama tidak berlaku kepada keluarga lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yaakub berkata, pihaknya telah menerima makluman berkaitan kes itu dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh jawatankuasa bebas bagi mengenal pasti punca kematian bayi itu.

Kereta rempuh motosikal


ROSDALILAH ZAHARI
27 Mei 2013
Kereta rempuh motosikal
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Lahat, awal pagi semalam.
Kereta rempuh motosikal
Soon Hong
Kereta rempuh motosikal
Rajentren
IPOH - Seorang juruteknik tidak dapat menahan sebak mengenangkan bapanya yang maut ketika menghantar surat khabar selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Jalan Lahat, awal pagi semalam.

Mangsa, S A S Rajentren, 52, bekerja sebagai pengedar surat khabar maut setelah motosikal dinaikinya dirempuh kereta yang dipandu seorang lagi mangsa, Foon Soon Hong, 43 dari Taman Berlian, Mengelembu.

Ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), anak kedua mangsa, R Povanaswaran, 28 berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian pada kira-kira jam 4 pagi oleh seorang rakan yang berkebetulan melalui  tempat kejadian.

Menurutnya, paling menghibakan adalah ibunya tiada dalam negara pada ketika ini kerana melawat saudara mereka di India yang hanya dimaklumkan berkenaan kejadian tanpa mengetahui suaminya telah meninggal dunia.

"Semasa kejadian, saya bekerja syif pagi dan bila dapat berita itu, saya segera ke tempat kejadian untuk pastikan sama ada benar atau tidak mangsa kemalangan itu bapa saya.

"Bapa saya selalu keluar dari rumah pada jam 3 pagi untuk edar surat khabar di sekitar Taman Canning sebelum pulang ke rumah empat jam kemudian. Saya tak sangka pertemuan malam tadi (kelmarin) menjadi pertemuan terakhir antara bapa saya dan kami tiga beradik," katanya kepada Sinar Harian.

Povanaswaran turut memaklumkan dia tinggal bersama mangsa, ibunya, G Bamathiywaty, 40 serta dua adik perempuannya di Taman Kledang Suria, Mengelembu.

Tambah Povanaswaran, selepas mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa suaminya, Bamathiywaty memaklumkan akan mengambil penerbangan paling awal untuk pulang ke Malaysia dan dijangka tiba petang ini.

"Saya tak sampai hati nak cerita perkara sebenar kepada ibu. biar dia pulang dulu," katanya.

Sementara, waris mendiang Soon Hong memaklumkan, mangsa merupakan seorang peniaga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.

Katanya, mereka sekeluarga tidak tahu menahu bagaimana kemalangan itu berlaku dan difahamkan kereta yang dipandu bukan milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, dalam kejadian pada jam 3.15 pagi semalam, kereta dipandu Soon Hong menghala dari arah Ipoh ke Pekan Falim dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta terbabit melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang penumpang kereta yang cedera dibawa je HRPB untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Orang Asli antara lima ditahan curi motosikal


27 Mei 2013
Orang Asli antara lima ditahan curi motosikal
Jamalani (kanan) memeriksa enam buah motosikal curi yang berjaya dirampas di IPD Gerik, kelmarin.
GERIK - Orang Asli dan pelajar sekolah antara lima yang ditahan kerana terbabit dalam jenayah curi motosikal malah turut melakukan kegiatan lumba haram pada musim cuti sekolah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Jamalani Mohd Isa berkata, polis memberkas kesemua suspek di beberapa kampung selepas menerima aduan daripada pemilik motosikal terbabit.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan kejayaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik merampas enam motosikal di rumah suspek dengan bantuan pemilik dan orang awam, kelmarin.

“Serbuan dijalankan ke rumah suspek dan melalui soal siasat mereka mengaku melakukan kegiatan mencuri untuk beraksi dalam perlumbaan haram sempena cuti sekolah.

“Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 17 tahun itu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 kerana dipercayai sesuai untuk berlumba,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamalani berkata, suspek Orang Asli berusia 21 tahun ditahan ketika sedang berehat di atas motosikal curi di depan rumahnya di Perkampungan Orang Asli, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Dala.

“Pada mulanya, Orang Asli terbabit mendakwa motosikal itu adalah miliknya. Selepas didesak baru suspek mengaku ia dicuri di Kampung Bersia,” katanya.

Tambahnya, kes itu adalah kes pertama membabitkan Orang Asli dan semua suspek ditahan reman di IPD Gerik untuk membantu siasatan.

Diacu pisau pemotong daging


MOHD AZLIM ZAINURY
27 Mei 2013
Diacu pisau pemotong daging
Nurul Hidayah (kanan) dan rakannya, Siti Norhasmida Yusof melakonkan semula detik cemas ketika disamun, malam semalam.
MARANG – Seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM2,700 dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit berdekatan sebuah bank di Pekan Bukit Payung, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, suspek yang memakai topi keledar itu mengacukan senjata tajam ke arah perut seorang juruwang wanita yang ketika itu berada di kaunter pembayaran kedai runcit tersebut.

Nurul Hidayah Nordin, 22, berkata, lelaki yang turut menggalas sebuah beg sandang itu menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Menurutnya, suspek tidak mematikan enjin motosikalnya, yang diletakkan di hadapan kedai runcit tersebut.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa. Lagaknya bersahaja ketika mahu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sandang yang diletakkan di atas kaunter pembayaran.

“Saya terkejut dan panik apabila dia mengeluarkan pisau pemotong daging sebelum mengacukan senjata berkenaan ke arah perut saya kerana pada awalnya saya fikir dia mahu mengeluarkan dokumen untuk difotostat," katanya.

Nurul Hidayah berkata, lelaki terbabit mengarahkannya menyerahkan semua wang dalam peti simpanan.

Menurutnya, bimbang keselamatan dirinya, dia akur dengan menyerahkan semua hasil jualan perniagaan berjumlah RM2,700.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan kedai.

"Ketika kejadian, ada lagi dua rakan turut bekerja tetapi mereka berada di tingkat atas," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, polis kini giat menjalankan gerakan memburu lelaki terbabit dan meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian 09-6182222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

'Saya yakin mereka masih hidup'


ROHANA ISMAIL
27 Mei 2013
'Saya yakin mereka masih hidup'
Norlida menunjukkan gambar suaminya, Mazlan Mohamad yang hilang di laut selepas keluar mencandat sotong.
'Saya yakin mereka masih hidup'
Wan Burhanudin (kanan) memaklumkan perkembangan terbaru keluarga pemancing yang hilang di laut di Jeti Kampung Dalam Rhu.
TUMPAT – “Saya yakin adik dan abang saya masih hidup…..semalam saya bermimpi adik meminta saya tambahkan kredit telefonnya,” kata Nurfazuani Suhaimi, 24, kakak kepada Mohd Firdaus, 18 yang hilang di laut sejak tiga hari lalu.

Nurfazuani berkata, mimpi itu memberi petunjuk bahawa adik dan abangnya, Mohd Fadzuan, 25 masih hidup dan tidak menolak kemungkinan bot mereka memasuki perairan Thailand selepas hilang di laut ketika keluar mencandat sotong.

“Bila saya sedar dari mimpi jam 3.30 pagi, saya terus tambah kredit RM5 kepada telefon adik saya itu.

“Saya terus menghubunginya tetapi panggilan itu dijawab oleh operator Thailand,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Dalam Rhu, semalam.

Menurutnya, dia terus memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perkembangan terbaru itu untuk menjejaki adik dan abangnya yang hilang di laut.

Semalam dilaporkan empat pemancing hilang di laut ialah Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, dari Kampung Dalam Rhu, sepupu mereka, Mohd Osman Mohamad, 36  dari Kampung Morak dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka dikesan turut bersama kumpulan pemancing yang hilang tersebut dikenali Mazlan Mohamad, 44, dari Kampung Wakaf Che Yeh.

Mereka menaiki bot fiber mencandat sotong di perairan ini dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu  kira-kira jam 2 pagi, Jumaat lalu.

Sementara itu, isteri Mazlan, Norlida Abdul Aziz, 46, berkata dia membuat laporan polis pada petang Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat selepas dua hari suaminya tidak pulang dari mencandat sotong.

“Biasanya setiap kali suami saya keluar memancing di laut, dia akan balik hari, tetapi kali ini tidak. “Apabila dua hari dia tidak pulang saya terus membuat laporan polis, lebih merisaukan saya apabila telefonnya tidak dapat dihubungi selepas tiga jam dia keluar memancing,” katanya.

Kehilangan lima pemancing tersebut turut merisaukan abang Mohd Masdi, Che Ibrahim Che Hassan, 42, kerana sudah tiga hari mereka berada di tengah laut tanpa sebarang berita.

Che Ibrahim berkata, Mohd Masdi memang kaki pancing kerana setiap minggu dia akan turun ke laut memancing.

“Saya mendapat tahu adik saya hilang di laut selepas isterinya, Rohayu Ishak menelefon memberitahu Mohd Masdi tidak pulang selepas keluar memancing di laut. “Saya terus datang ke rumah keluarga Mohd Fadzuan di sini bertanya khabar dan mereka juga dalam keadaan risau kerana tidak dapat menghubungi mereka,” katanya.

Menurutnya, dia berharap adiknya bersama empat lagi rakannya ditemui dalam keadaan selamat oleh anggota penyelamat.

Sementara itu, APMM menumpukan usaha mencari lima pemancing yang dilaporkan hilang tiga hari lalu sehingga lebih 100 batu nautika persegi dari Kuala Takbai, Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Besar, di Kota Bharu.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Kelantan, Kepten Maritim, Wan Burhanudin Yusof berkata, usaha mencari juga ditumpukan di tukun Shaari iaitu 25 batu nautika dari Tumpat merupakan lokasi tumpuan pemancing mencandat sotong.

“Bagaimanapun pemancing yang dilaporkan hilang tidak ditemui di kawasan tersebut walau pun usaha mencari turut dilakukan 10 batu nautika sekitar tukun tersebut.

“Malah nelayan yang turun ke laut tidak terserempak dengan bot yang dinaiki pemancing tersebut di sekitar kawasan itu,” katanya pada sidang media di Jeti Kampung Dalm Rhu, di sini, semalam.

Wan Burhanudin berkata, operasi mencari lima pemancing tersebut diteruskan apabila APPM meminta bantuan Polis Marin Diraja Thailand dikhuatiri mangsa memasuki perairan Thailand.

“Operasi mencari diteruskan dengan bantuan sebuah bot Polis Marin Diraja Thailand, sebuah bot Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, tiga bot APMM dan sebuah pesawat udara (bombardier).

“Operasi mencari pemancing yang hilang juga turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Saiful Apek bela diri 15 Julai



27 Mei 2013
Saiful Apek bela diri 15 Julai
Saiful Apek keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya di Petaling Jaya hari ini selepas mahkamah menetapkan pada 15 dan 18 Julai ini bagi prosiding bela diri - Foto Bernama
PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak Saiful Apek dan tiga pekerjanya yang berhadapan pertuduhan penyalahgunaan dadah akan membela diri di Mahkamah Majistret di sini bermula 18 Julai ini.

Majistret K B Elena Hong Tze Lan turut menetapkan 18 Julai untuk prosiding sama setelah pihak pendakwaan memaklumkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan rayuan pendakwaan supaya kesemua tertuduh membela diri.

Saiful Apek, 44, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Bazlinda Bahrin, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah bagi prosiding itu dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan keempat-empat tertuduh membela diri terhadap pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada Jun tahun lepas. - Bernama

Polis tumpas geng samun kereta



27 Mei 2013
SHAH ALAM - Polis Selangor berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah menggunakan taktik langgar dan samun kenderaan mangsa dengan menahan tujuh lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Petaling Jaya pada Rabu dan Khamis lepas.
 
Kesemua suspek, yang berusia dalam lingkungan 20 dan 38 tahun, diberkas di  Desa Mentari dan Ara Damansara oleh sebuah pasukan khas polis berikutan  kejadian samun trak pikap Toyota Hilux dilaporkan di kawasan Damansara pada 6.30 pagi, Rabu lepas.
 
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata dalam insiden samun itu, empat suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam telah bertindak melanggar belakang trak pikap itu yang dipandu seorang lelaki.
 
"Ketika mangsa keluar dari keretanya untuk melihat kerosakan kesan dari perlanggaran tadi, kumpulan suspek ini telah mengancam mangsa dengan membaling tin minuman kepada mangsa sebelum melarikan kereta miliknya (mangsa)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
 
Bertindak daripada laporan mangsa, polis menjejaki dan menahan empat suspek di kawasan Desa Mentari pada 10.30 malam hari yang sama dan hasil soal siasat ke atas mereka, tiga lagi suspek ditahan di Ara Damansara kira-kira 2 pagi.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek itu membawa kepada penemuan empat kenderaan yang dipercayai hasil samun yang ditempatkan di kawasan parkir awam di lokasi suspek diberkas iaitu Toyota Hilux, Nissan Teana, Proton Waja dan Proton Putra.
 
Polis turut merampas sebuah Proton Waja yang digunakan suspek ketika melakukan samun terhadap pemilik kenderaan Toyota Hilux selain merampas beberapa peralatan termasuk buku lima, sarung tangan dan sebilah parang.
 
"Siasatan awal turut mendapati kesemua suspek ini mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, samun dan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka direman hingga 30 Mei ini untuk siasatan lanjut," katanya.
 
Mengulas penemuan dua mayat di Seksyen 26 di sini, Thaiveegan berkata sehingga kini polis telah menahan 17 lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
 
Semalam, polis menemui dua mayat dipercayai dua sahabat warga Indonesia yang dikenali sebagai Dofi, 21, dan Saiful, 19, yang dilaporkan hilang oleh keluarga mereka di Seri Kembangan, 1 Mei lalu.
 
Kedua-dua mayat itu ditemui kira-kira 3.15 petang dengan keadaan reput di bawah pokok pisang berhampiran Sungai Klang.
 
"Polis masih menunggu laporan forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Warga emas maut dilanggar bas



27 Mei 2013
KUANTAN - Seorang warga emas maut akibat dirempuh sebuas bas pesiaran ketika melintasi jalan di km 12 Jalan Lipis-Jerantut dekat Kuala Lipis awal hari ini.
 
Abdul Wahab Mat Akhir, 68, yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Sibar, Kuala Lipis mati di tempat kejadian.
 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata di sini hari ini, nahas berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Jerantut menuju Kuala Lipis pada jam 10.45 pagi.
 
"Mangsa yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan dipercayai dirempuh bas terbabit selepas melepasi sebuah selekoh di situ.
 
"Akibat rempuhan itu, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
 
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat. - Bernama

Anak Lajim Ukin didakwa guna dokumen palsu



27 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas timbalan menteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu Pahat, Johor.
 
Mohd Nizam Lajim, 31, didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012, yang bertajuk "Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg. Semberong, Batu Pahat, Johor Secara Tender Terhad" yang diperakukan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
 
Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn Bhd, Prestasi Reka Sdn Bhd, Satria Mara Sdn Bhd, Sanjung Sempurna Sdn Bhd, Pertama Makmur Sdn Bhd, Mansashi Sdn Bhd, H & A Construction Sdn Bhd, Nisa Consolidated Sdn Bhd, Bina-Mas Construction Sdn Bhd dan Landscape Sdn Bhd.
 
Anak kepada bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Berjaya Starbucks Coffee, Lot No G40, The Mall, No 100, Jalan Putra dekat sini pada 3.40 petang, 8 Ogos 2012.
 
Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mamat@Yusof daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes itu berprofil tinggi selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
 
Peguam Datuk K. Kumarendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana anak guamnya itu memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak kesnya disiasat pada Ogos tahun lepas.
 
Beliau turut memaklumkan anak guamnya itu datang secara sukarela ke mahkamah pada hari ini.
 
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
 
Mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk pengurusan kes.  - Bernama

Pesakit mental terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri



27 Mei 2013
GEORGETOWN - Seorang pesakit mental maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Pangsapuri Taman Lone Pine, Farlim awal hari ini.
 
Mayat Tan Swee Lian, 56, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di koridor tingkat dua blok pangsapuri itu.
 
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata kejadian dilapor pada pukul 1 pagi dan wanita berkenaan dikatakan tinggal seorang diri di rumah itu kerana anak lelakinya keluar bekerja.
 
Wanita itu mempunyai masalah gangguan mental dan baru keluar dari wad Psikiatrik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 22 Mei lepas, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Gan berkata mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama

Benang mop dalam tomyam


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2013
Benang mop dalam tomyam
Benda asing ditemui Khairul dalam tomyam dibelinya.
SHAH ALAM – “Saya dah makan separuh ingatkan daun limau purut, tapi bila tekan lembut rupa-rupanya tali mop dalam tomyam,” demikianlah reaksi seorang penggemar tomyam setelah menemui tali mop dalam hidangan makan malamnya.

Pelanggan, Khairul Anuar Mulim, 28, berkata, dia kesal  tahap kebersihan dan ketidakpekaan pengusaha makanan terhadap makanan disajikan kepada pelanggan mereka.

Menceritakan semula insiden ‘geli’ dialaminya Khairul Anuar berkata, selepas penemuan itu isterinya hilang selera makan dan asyik muntah mengenangkan tali mop dalam tomyam yang dimakannya malam kelmarin.

“Pulang dari kerja petang kelmarin, saya bungkuskan tomyam untuk saya manakala kuew teow ladna untuk isteri untuk makan malam kami berdua.

“Sedang menikmati saya nampak macam tali dalam tomyam saya pada mulanya saya fikirkan urat daun limau purut tetapi bila saya tekan (perah) ia seperti bulu rupanya tali mop lantai,” katanya yang juga seorang penjawat awam kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang kemudiannya, memasukkan semula baki tomyam berkenaan ke dalam plastik lalu dibawanya pergi ke kedai itu semula untuk mendapatkan penjelasan.

“Setibanya di kaunter pembayaran saya buka plastik berkenaan dan mengambil sudu kemudian menunjukkan kepada penjaga kaunter. Saya minta dia teka, katanya ini macam tali mop lantai.

“Saya minta ganti rugi sebagai denda kerana mereka cuai bagaimanapun pengusaha dan tukang masak hanya menjanjikan tom yam diganti dengan yang baru, tetapi saya tolak...saya minta RM100,” katanya.

Namun pengusaha kedai berkenaan tidak melayan kehendaknya dan menyatakan kesediaannya untuk diambil sebarang tindakan undang-undang.

Misteri kehilangan terungkai


AHMAD ISMADI ISMAIL & MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
27 Mei 2013
Misteri kehilangan terungkai
Rangka yang ditemui dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Misteri kehilangan terungkai
Rangka mangsa yang ditemui semalam.
SHAH ALAM - Misteri kehilangan dua sahabat sejak sebulan lalu terungkai selepas penyebaran beberapa keping gambar di percayai mayat kedua-dua mangsa, di sebuah laman sosial Facebook didaftarkan atas nama Ridan Pendewa Titisannnya Sakera.

Susulan penyebaran gambar tersebut, dua individu ditahan dipercayai ada kaitan dengan kehilangan dua mangsa yang dikenali sebagai Dofi, 21, dan Saiful, 19, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli barang di pusat membeli belah di Seri Kembangan pada 1 Mei lalu.

Hasil soal siasat ke atas seorang daripada suspek kemudiannya membawa kepada penemuan dua rangka manusia dalam semak di tepi Sungai Klang, berhampiran kawasan perindustrian di Seksyen 26, di sini, petang semalam.

Sepupu Dofi, Hamsani, 46, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa bersama rakan baiknya, Saiful, pergi ke pusat membeli belah tersebut dengan menaiki sebuah teksi.

"Kedua-dua mereka bagaimanapun gagal dihubungi setelah tempoh 24 jam, sebelum bapa Dofi, terima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali meminta duit sebanyak RM5,000.

"Bapa Dofi hanya memasukkan duit berjumlah RM 2,500 melalui satu akaun bank yang diberi, sebelum dia dimaklumkan kedua-dua mangsa sudah dibebaskan dan dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki teksi," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menyebabkan bapa Dofi membuat satu lagi laporan polis berhubung perkara itu.
Ketika ditanya bagaimana dia mengetahui berhubung Facebook terbabit, Hamsani berkata, dia mengetahui melalui bapa saudaranya.

"Setelah kami melihat gambar yang terdapat dalam Facebook itu, bapa Dofi mengecam pakaian, kasut dan tali pinggang yang dipakai oleh anaknya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan rangka manusia di kawasan terbabit, semalam.

Beliau berkata, penemuan rangka kedua-dua mangsa ditemui kira-kira jam 3.15 petang semalam, selepas suspek pertama ditahan ketika menunjukkan  lokasi kejadian kepada polis.

"Siasatan awal dapati kes pembunuhan ini ada kaitan dengan kes kehilangan di Kotaraya, Kuala Lumpur, awal bulan ini."

"Susulan penemuan rangka itu, kita tahan seorang lagi suspek di sekitar kawasan Serdang, hari ini (semalam), kesemua yang ditahan itu warga Indonesia. Difahamkan suspek merupakan ahli kumpulan 'Sakera'," katanya.

Menurutnya, kedua-dua rangka manusia itu dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua sahabat maut selepas pulang dari Festival Belia



27 Mei 2013
KUANTAN - Kegembiraan lima sahabat dalam konvoi lima motosikal yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Belia Putrajaya 2013 bertukar tragedi apabila dua daripadanya terbunuh selepas motosikal mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 98, Jalan Lipis-Merapoh, sempadan Gua Musang, Kelantan, malam semalam.
 
Dalam kejadian 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Jailani Abdul Rashid, 32, yang bekerja di Jabatan Penilaian, Kota Baharu, Kelantan disahkan meninggal dunia pada 11.20 malam tadi, manakala Mazuwi Muhammad, 31, bekerja di sebuah bank di Wakaf Chiku, Kelantan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah malam.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua sahabat terbabit meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) selepas mengalami kecederaan dalaman serta kepala.
 
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 26 tahun, yang membawa muatan pelbagai jenis barangan, dalam perjalanan menghala ke Shah Alam, Selangor dari Kota Bharu mendakwa terpaksa mengelak sebuah kereta di depannya sejurus menuruni bukit.
 
Bagaimanapun, disebabkan permukaan jalan licin kerana hujan lebat menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berhenti melintang di tengah jalan.

"Pada masa sama, lima sahabat terbabit yang datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan berat itu menyebabkan kelima-lima mangsa tercampak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Menurutnya, bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa iaitu Halini Mohd Nor, 29, masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai, Kelantan akibat parah di kepala, manakala Ahmad Razak Darus, 26, dan Rafizi Ramli, 31, mengalami kecederaan ringan namun masih mendapat rawatan di HGM. - Bernama

Penjaja dirempuh jatuh jejambat



HASSAN terkorban selepas dirempuh dan terhumban dari jejambat Lebuh Raya NPE, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang penjaja pasar terbunuh selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di sebuah jejambat di Kilometer 8.4, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) di sini sebelum mangsa kemudian terhumban pula ke Jalan Klang Lama dari atas jejambat tersebut.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa Hassan Mohd. Jani, 66, mati di tempat kejadian kerana dia bukan saja cedera akibat dirempuh kereta tersebut tetapi turut terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.
Motosikal mangsa tidak jatuh dari jejambat itu.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke Bandar Sunway dan berada di laluan motosikal.
Bagaimanapun, tiba di lokasi kejadian motosikal jenis skuter ditunggangi mangsa dirempuh kereta jenis Nissan itu yang sebelum itu bergerak ke lorong kiri di atas jejambat tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2UUrh6EJ6 
Hakcipta terpelihara 

Mimpi adik minta kad prabayar RM5


TUMPAT - Seorang saudara kepada dua beradik yang hilang bersama tiga yang lain mendakwa dia mengalami bermimpi buruk didatangi adiknya yang memaklumkan mereka dilanda kesusahan.
Nurfazuani Suhaimi, 24, adik kepada Mohd. Fadzuan, 25, dan abang kepada Mohd. Firdaus, 18, yang hilang berkata, dalam mimpi itu, adiknya Mohd. Firdaus muncul dan menyatakan mereka sedang berdepan dengan satu masalah besar.
Katanya, Mohd. Firdaus dalam mimpi tersebut kemudian meminta supaya dia menambah nilai kad prabayar pada telefon bimbitnya sebanyak RM5 bagi memudahkan mereka berhubung.
"Saya kemudian terus tersedar pada pukul 3.30 pagi tadi (semalam) dan cuba menghubungi adik saya itu namun panggilan saya dialihkan ke peti simpanan suara.
"Kebetulan saya yang berniaga kad tambah nilai terus menambah nilai RM5 untuk kad prabayar adik saya dan cuba menghubunginya sekali lagi dan panggilan tersebut kemudian dipindahkan pula kepada peti simpanan suara yang dikendalikan operator bercakap bahasa Thailand," katanya.
Cerita Nurfazuani lagi, berikutan itu dia meminta bantuan pihak marin Thailand yang berpangkalan di Takbai dekat Pengkalan Kubur untuk membuat panggilan ke nombor telefon bimbit adiknya itu menggunakan talian telefon negara jiran.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2UUo07NBh 
Hakcipta terpelihara 

Maut ketika tunggang motosikal baharu


MELAKA - Seorang peniaga kedai runcit maut selepas motosikal yang baru dibelinya kira-kira seminggu lalu terlibat dalam kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam, apabila mangsa, Mohamad Haslin Zakariah, 36, menunggang motosikal jenis Scrambler ketika keluar bersiar-siar dengan beberapa rakannya.
Salah seorang rakan mangsa, Rezam Jalil, 37, berkata, ketika kejadian, seramai 15 pemilik motosikal Scrambler menunggang secara berkumpulan dan mangsa dipercayai berada di hadapan.
"Saya berada di kedudukan paling belakang dan terkejut apabila mendapati arwah terbabas dan terjatuh dari motosikalnya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, mangsa yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Pinang, Batang Tiga di sini pernah berhasrat menubuhkan sebuah kelab bermotosikal di kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2UUnijLX6 
Hakcipta terpelihara 

ATM dikopak, BSN rugi RM126,000



BEBERAPA anggota polis memeriksa mesin ATM bank yang dikopak penjenayah di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras semalam.


CHERAS - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa di sini semalam kehilangan kira-kira RM126,000 apabila bank dan mesin ATM itu diceroboh penjenayah.
Kejadian yang dipercayai berlaku antara waktu lewat malam hingga awal pagi itu hanya disedari pada pukul 11 pagi apabila seorang pemilik pusat tuisyen di bangunan itu ternampak satu lubang pada dinding ketika mahu naik ke pejabatnya yang terletak di tingkat satu atas cawangan bank berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, kumpulan penjenayah dipercayai melibatkan empat orang masuk menerusi pintu belakang bangunan tiga tingkat itu.
"Kumpulan suspek itu kemudian bertindak memecahkan dinding yang terdapat di laluan tangga menggunakan tukul besi bagi membolehkan bank tersebut dimasuki.
"Sebaik masuk ke dalam bank tersebut, penjenayah itu menggunakan gas Oxy-Acetylene untuk memecahkan mesin ATM dari dalam bank," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2UUjdPa4S 
Hakcipta terpelihara 

Bayi maut di rumah pengantin



BEBERAPA ahli keluarga menunjukkan kecederaan tangan kanan yang dialami Tharminthiven setelah dirempuh sebuah kereta disyaki dinaiki penjenayah di Kampung Kopisan, Gopeng kelmarin.


IPOH - Kegembiraan pasangan suami isteri meraikan perkahwinan seorang ahli keluarga mereka berakhir dengan kedukaan apabila bayi lelaki tunggal mereka maut selepas sebuah khemah dan meja di rumah keluarga pengantin itu dirempuh sebuah kereta penjenayah yang sedang melarikan diri daripada dikejar polis di Kampung Kopisan, Gopeng dekat sini malam kelmarin.
Bayi yang terbunuh dalam kejadian mengejut pada pukul 11 malam itu ialah T. Thamilarasan yang baru berusia 18 bulan.
Mangsa maut akibat mengalami kecederaan teruk di kepala. Ibu saudara bayi itu, S. Neela, 58, dan sepupunya, S. Tharminthiven, 2, pula masing-masing mengalami kecederaan di kaki dan tangan.
Semasa kejadian, terdapat kira-kira 10 orang ahli keluarga pasangan pengantin itu sedang berehat sambil berbual di bawah khemah yang menempatkan beberapa buah meja setelah penat melayan tetamu pada hari tersebut.
Mengimbas kejadian itu, bapa bayi malang itu, T. Thenarasu, 24, berkata, ketika itu dia dan isterinya, S. Salini, 18, sedang duduk bersama Neela yang memangku anaknya yang tidur manakala Tharminthiven bermain di sebuah meja paling hujung di dalam khemah yang dipasang di depan rumah saudaranya yang baru melangsungkan perkahwinan.
"Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona yang dipandu laju terbabas merempuh meja tempat kami duduk.
"Rempuhan itu menyebabkan kami semua tercampak termasuk Neela yang memangku anak saya dan Tharminthiven," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2UUjPKYMk 
Hakcipta terpelihara 

Cucu ke mahkamah didakwa bunuh nenek


SHAHRIMAN di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang lelaki berhadapan hukuman mati selepas dia dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam di atas dakwaan menyebabkan kematian seorang warga emas yang juga neneknya sendiri dalam kejadian pada 11 Mei lepas.
Tertuduh, Shahriman Mohd. Shaidi, 35, kelihatan sugul dan terpinga-pinga ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Isa Mohamed.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, Shahriman telah melakukan pembunuhan iaitu dengan menyebabkan kematian neneknya, Che Minah Hassan, 84, pada pukul 7.15 pagi di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, Tumpat.
Ekoran perbuatan itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu memperuntukkan hukuman mati.
Mohd. Isa menetapkan 1 Julai sebagai sebutan semula kes sementara menunggu keputusan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusoff.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2UUiekCLa 
Hakcipta terpelihara 

Mayat pemuda Myanmar ditemui dalam semak


BUKIT MERTAJAM 26 Mei - Misteri kehilangan seorang lelaki selepas keluar dari rumah sejak 28 April lalu terjawab apabila mayatnya ditemui hampir reput dalam semak di Kampung Jalan Baharu di sini hari ini.
Mayat lelaki warga Myanmar itu, Osman Anwar, 28, disahkan oleh ibu saudaranya, Sarah Moghul, 44.
Polis bagaimanapun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat pemuda itu.
Menurut Sarah, anak saudaranya itu ditemui mati di kawasan semak oleh orang awam yang mahu memotong kayu pada pukul 12 tengah hari ini.
Katanya, anak saudaranya itu bekerja kontrak dan tinggal menyewa rumah dengan rakan-rakannya sejak datang bekerja di negara ini dua tahun lalu.
"Dia memakai baju T warna ungu dan seluar jean warna coklat semasa keluar dari rumah untuk menunaikan solat subuh di sebuah masjid berhampiran sejak 28 April lalu.
"Selepas itu, rakan-rakan serumahnya memberitahu dia tidak pulang ke rumah sehinggalah mayatnya ditemui hari ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130526/je_10/Mayat-pemuda-Myanmar-ditemui-dalam-semak#ixzz2US8AWSTf
© Utusan Melayu (M) Bhd