Search This Blog

Sunday, May 26, 2013

Perompak pecah ATM, larikan wang RM126,000



26 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Empat lelaki melarikan wang tunai sebanyak RM126,000 selepas memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam premis sebuah bank di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini awal hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mereka dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk memecah mesin ATM sebelum melarikan wang rompakan.
 
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang pengusaha pusat tuisyen pada 11 pagi.
 
"Ketika pengusaha membuka pintu pusat tuisyennya, beliau terkejut melihat gril pintu belakang pecah.
 
"Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan pintu belakang pusat tuisyen berkenaan sebelum bertindak menebuk lubang di dinding dan masuk ke bank itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
 
Mohan Singh berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kesemua suspek berkenaan dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an.
 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. - Bernama

Mayat tanpa kepala, badan ditemui dalam semak



26 Mei 2013
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam keadaan mengerikan tanpa kepala dan badan di dalam semak berhampiran Masjid Jalan Baru, di sini hari ini.

Mayat dari paras pinggang ke bawah, berseluar jeans itu ditemui pada 12 tengah hari oleh orang awam yang menebang pokok di dalam semak berkenaan.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat itu tetapi seorang wanita warga Myanmar mendakwa mayat itu adalah anak saudaranya berdasarkan seluar jeans berwarna hitam yang dipakai mangsa.

Sarah Moghul, 44, berkata anak saudaranya berumur 28 tahun yang juga warga Myanmar dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu selepas keluar menunaikan solat Subuh di Masjid Jalan Baru.

Katanya sejak kehilangan anak saudaranya itu beliau dan suami, Hussin Mohd Rafik, 45, berusaha mencari pemuda berkenaan di merata tempat termasuk bertanyakan rakan-rakannya, bagaimanapun gagal.

"Anak saudara saya menyewa bersama rakan-rakannya di kampung ini (Jalan Baru) dan menurut mereka kali terakhir dia dilihat adalah pada 28 April lepas.

Sebelum itu, dia dilihat keluar memakai seluar jeans hitam dan berkemeja-T coklat untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Jalan Baru dan selepas itu tidak pulang.

"Saya ada menelefonnya selepas mengetahui kehilangannya tetapi tidak berjawab dan selepas itu telefon bimbitnya sudah tidak aktif. Bila saya lihat (mayat), saya syak ia anak saudara yang hilang itu berdasarkan seluar miliknya," kata Sarah.

Sarah berkata anak saudaranya itu menetap di negara ini sejak dua tahun lepas dan melakukan kerja kontrak bagi membantu keluarganya yang kini berada di kem pelarian Rohingya di Myanmar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Baharom Abu ketika ditemui di tempat kejadian berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Identiti mayat masih belum diketahui kerana tiada pengenalan diri ditemui bersamanya. Namun, ada pengecaman dibuat seorang lelaki dan mendakwa mayat itu milik anggota keluarganya," katanya. - Bernama

Isteri tahanan maut dalam lokap buat laporan polis



26 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Isteri mendiang N.Dharmendran hari ini membuat laporan polis berhubung kes kematian suaminya yang ditahan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL), Selasa lepas.
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata isteri mendiang Marry a/p Mariay Susay diiringi kira-kira 30 anggota keluarga dan kawan mendiang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 11 pagi untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
 
Beliau berkata disebabkan ramai anggota keluarga yang ingin masuk ke kawasan balai, pihaknya meningkatkan kawalan keselamatan dan mengehadkan bilangan kemasukan mereka.
 
"Tujuan pihak polis mengehadkan jumlah ahli keluarga yang masuk ke dalam balai bagi memastikan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pejabat pertanyaan memandangkan terdapat ramai pengadu lain yang berurusan di balai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Kenyataan media itu turut memaklumkan situasi sebenar yang berlaku bagi mengelakkan salah faham.

Ini berikutan dalam kejadian pagi itu, semasa kawalan masuk ke dalam balai dijalankan, seorang lelaki meluru secara tiba-tiba dan menolak anggota polis yang sedang bertugas dan pada masa sama memaki hamun anggota polis itu.
 
Lelaki itu turut menjatuhkan dirinya di atas jalan dalam kawasan balai, laluan hadapan pintu masuk ke pejabat pertanyaan kira-kira 10 hingga 15 saat sebelum bingkas bangun apabila mendengar anggota polis hendak memanggil ambulans.
 
"Tiada sebarang kekasaran dilakukan oleh pihak polis terhadap lelaki tersebut," katanya.
 
Bagaimanapun, Zainuddin berkata satu laporan polis dibuat terhadap lelaki tersebut kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
 
Kematian Dharmendran, 32, di lokap IPPKL pada Selasa lepas didapati mempunyai unsur jenayah. - Bernama

Wabak campak kembali serang Britain

Wabak campak kembali serang Britain
Seorang ibu membawa bayinya ke hospital di timur London untuk mendapatkan suntikan mencegah penyakit campak. (Gambar Kecil) Lucy Butler, 15, bersiap sedia menerima suntikan anti campak di sekolahnya di Ingleby Barwick Teesside, England. London: Lebih sedekad lalu, ibu bapa di Britain enggan memberikan suntikan campak kepada sekurang-kurangnya sejuta kanak-kanak kerana kebimbangan vaksin yang meningkatkan risiko autisme. Kini, pegawai kesihatan bertungkus lumus berusaha menghentikan wabak penyakit berjangkit yang semakin tersebar itu.

Tahun ini, Britain mencatatkan lebih 1,200 kes campak, selepas jumlah tertinggi hampir 2,000 kes tahun lalu. Negara berkenaan pernah mencatatkan cuma beberapa puluh kes saja setiap tahun. Ia kini berada di tangga kedua di Eropah, selepas Romania.
Vaksin setiap minggu


Bulan lalu, klinik vaksin kecemasan diadakan setiap minggu di Wales yang juga pusat penyebaran wabak. Usaha imunisasi juga bermula di merata tempat di negara itu, dengan pegawai menyasarkan untuk mencapai sejuta kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun.

“Ini adalah legasi ketakutan Wakefield,” kata jurucakap Kolej Diraja Paediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr David Elliman, merujuk kepada kajian yang disiarkan pada 1998 oleh Andrew Wakefield dan rakannya.

12 kumpulan tolak teori

Kajian menyatakan kaitan antara austisme dan vaksin gabungan ketika kanak-kanak untuk campak, beguk dan rubella atau MMR. Beberapa kajian saintifik gagal menemui kaitan itu, teori berkenaan ditolak oleh sekurang-kurangnya 12 kumpulan perubatan terbesar United Kingdom dan kertas kajian akhirnya ditarik balik oleh jurnal yang menyiarkannya.
Namun, kadar imunisasi MMR masih merosot di seluruh United Kingdom kerana ibu bapa yang bimbang tidak membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin itu daripada kadar lebih 90 peratus kepada 54 peratus.

Hampir 15 tahun kemudian, khabar angin mengenai MMR masih mempunyai kesan.
Kini, ada sekumpulan kanak-kanak lebih besar yang tidak pernah mendapat suntikan imunisasi membentuk kolam jangkitan besar, kata Elliman.

Majoriti mereka yang jatuh sakit di United Kingdom - termasuk sebilangan besar kanak-kanak dan remaja - tidak pernah mendapat vaksin. Hampir 20 daripada lebih 100 kanak-kanak yang sakit teruk dimasukkan ke hospital dan 15 menderita komplikasi termasuk radang paru-paru dan meningitis. - AP

17 maut silinder gas meletup dalam bas


 
Islamabad: Sekurang-kurangnya 16 kanak-kanak dan seorang guru mati terbakar di timur Pakistan kelmarin apabila sebuah silinder gas rosak meletup di dalam bas yang membawa mereka ke sekolah, kata polis.

Pegawai polis tempatan, Mohammed Rasheed, berkata tujuh kanak-kanak juga cedera dalam letupan di pinggir bandar Gujrat, 200 kilometer ke tenggara Islamabad.
“Ini adalah satu insiden yang amat menyedihkan. Berdasarkan maklumat kami, sekurang-kurangnya 17 mati terbakar,” katanya.

“Bas sekolah terbabit terbakar selepas satu letupan. Kami membawa semua mangsa ke sebuah hospital berhampiran.”

Sekolah persendirian

Bas sekolah berkenaan membawa 24 kanak-kanak berusia antara lima dan 15 tahun sedang di dalam perjalanan ke sebuah sekolah persendirian ketika kemalangan berlaku.

“Kebakaran berlaku ketika mereka hanya beberapa kilometer dari sekolah,” katanya.
Letupan dikatakan berpunca daripada satu percikan apabila pemandu menukar suis kenderaan dua kuasa itu daripada gas kepada petrol.

Seorang pegawai polis lain, Abid Khan berkata, pemandu berkenaan dipercayai melarikan diri selepas kemalangan yang turut meragut nyawa seorang guru perempuan.

Lima kritikal

Lima daripada kanak-kanak yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal, kata pihak berkuasa hospital.

Kemalangan berlaku selepas serangan dipercayai dilakukan militan mengorbankan sembilan orang dalam kejadian di dua tempat berbeza di barat laut Pakistan pada Jumaat.

Dalam kejadian serangan itu, suspek militan bersenjata berat menyerang satu konvoi polis di Mattani, 20 kilometer ke selatan bandaraya utama Peshawar, menyebabkan enam anggota polis terbunuh dan mencederakan tujuh yang lain, kata pegawai kanan polis, Shafiullah Khan.

Dalam serangan kedua kelmarin, seorang pengebom bunuh diri berjalan ke sebuah kenderaan dimiliki pemimpin agama Afghanistan di Peshawar dan meletupkan bom, membunuh tiga orang, kata pegawai polis, Riaz Ali Shah. - Agensi

Peniaga terkejut jumpa bom dalam kereta


 
Kuala Langat: Seorang peniaga terkejut apabila menemui sebutir bom di tempat duduk penumpang keretanya yang diletak di hadapan rumah di Taman Delima, Banting, dekat sini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, mangsa berusia 40-an itu segera membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata 10 anggota polis termasuk Unit Pemusnah Bom dikerah ke lokasi bagi melupuskan bom berkenaan.

“Ia bom buatan sendiri dan antara bahan digunakan ialah belerang, PVC, telefon bimbit dan pembesar suara.

Bom sudah dilupus

“Bom berkenaan sudah dilupuskan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Mangsa dikatakan mengesyaki kejadian berpunca daripada perselisihan faham selepas membuka premis kedua perniagaan minuman keras tanpa persetujuan rakan kongsi.

Sumber berkata, mangsa pernah menerima ugutan bunuh daripada rakan kongsinya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya.

“Mangsa tidak menghiraukannya kerana menganggap ia cuma ancaman biasa hinggalah menemui bom dalam kenderaannya,” katanya.

Pemandu cedera kereta hilang kawalan

Pemandu cedera kereta hilang kawalan
Kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Taiping-Selama, arah Kamunting ke Selama, semalam. Kamunting: Kelekaan melihat babi hutan yang mati dirempuh menyebabkan seorang pemandu cedera ringan apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam berhampiran Kem Tahanan Perlindungan Kamunting di Jalan Taiping-Selama itu, mangsa dipercayai melihat kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua ViVa yang melanggar seekor babi hutan di laluan sama.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata mangsa yang dalam perjalanan dari Selama ke Taiping, tidak menyedari keretanya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Persona.


“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta remuk manakala mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu.

“Pemandu Proton Persona itu tidak mengalami kecederaan. Mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kilang kayu terbakar


 
Kajang: Sebuah kilang kayu yang hampir dua bulan tidak beroperasi, musnah dalam kebakaran di Batu 11, Jalan Cheras di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada individu dikesan berada dalam premis yang dipercayai beroperasi secara haram sejak dua tahun lalu.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang, Mishan Benu, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.35 sebelum mengerahkan dua jentera ke lokasi.

“Kebakaran dikawal sepenuhnya kira-kira jam 9.30 pagi. Keadaan kilang yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya sambil menambah kilang itu berhenti beroperasi sejak dua bulan lalu selepas dipercayai berdepan masalah perniagaan.

Koma dirempuh mat rempit



 
 
Foto
Sebahagian daripada motosikal yang ditahan ketika operasi membanteras samseng jalan raya di Jalan Pasir Putih dekat Ipoh, semalam.

Foto
Sebahagian daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi di Jalan Pasir Putih dekat Ipoh, semalam.

Ipoh: Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang menyertai operasi bersepadu bersama polis trafik, koma akibat dirempuh motosikal ditunggang samseng jalan raya di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, Teong Yoon Meng, 44, dirempuh ketika cuba membantu polis menahan penunggang yang mahu melarikan diri di Jalan Pasir Putih, berdekatan Balai Polis Pasir Putih.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata mangsa yang berasal dari Menglembu, parah di kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Jalani pembedahan

“Anggota RELA itu terpaksa menjalani pembedahan di kepala dan belum sedarkan diri.

“Penunggang motosikal berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian.

“Pemilik motosikal sudah dikenal pasti dan giat dikesan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada sidang media di Pejabat Trafik Daerah Ipoh di sini, semalam.
Chang Keong yang turut melawat mangsa di HRPB berkata, kejadian itu adalah yang paling serius sepanjang operasi trafik di daerah ini, tahun ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang turut disertai anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula jam 11 malam kelmarin hingga jam 5 pagi semalam, turut menahan 22 kereta dan 63 motosikal.

Pemandu kereta ditahan

“Kita menahan semua pemandu kereta berkenaan tetapi hanya 50 penunggang ditahan kerana selebihnya melarikan diri dengan meninggalkan motosikal.

“Pemandu yang berusia antara 15 hingga 30 tahun dibebaskan selepas 159 saman dikeluarkan, merangkumi kesalahan mengubah suai enjin dan ekzos, tiada lesen, kenderaan, tidak mempunyai cukai jalan dan insurans serta melanggar lampu isyarat merah,” katanya.

Pengedar akhbar terbunuh dalam kemalangan di Ipoh


 
IPOH: Seorang pengedar akhbar terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Lahat di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 3.15 pagi itu, A S Rajentren, 52, mati di tempat kejadian.
Pemandu kereta, Foong Soon Hong, 34, turut terbunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, mengesahkan kejadian itu. 

Peluk erat ketika tidur


Peluk erat ketika tidur
Abdul Halim (kanan) reda dengan pemergian insan tersayang selepas lebih 20 tahun hidup sebagai suami isteri. Gambar kecil : Robiah.
DUNGUN – “Ketika sedang tidur, dia tiba-tiba menghampiri saya lalu memeluk erat, rupa-rupanya itu pelukan terakhir arwah sebelum pergi buat selama-lamanya,” kata Sarjan Mejar Abdul Halim Zakaria yang kehilangan isteri, Robiah Awang, 50, selepas ditemui rebah dalam bilik air sebelum disahkan meninggal dunia.

Abdul Halim berkata, dia sebelum itu pergi menunaikan solat Jenazah seorang penduduk yang meninggal dunia dan pulang ke rumah.

Katanya, akibat keletihan, dia masuk ke bilik tidur untuk melelapkan mata.

Bagaimanapun, ketika tidur dalam keadaan separuh sedar, dia tiba-tiba dihampiri isterinya lalu terus memeluknya dengan erat sebelum arwah keluar semula dari bilik.

Halim berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa perkara sehinggalah dia terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 petang.

Kata Abdul Halim, sebaik dia bangun daripada tidur, dia terdengar bunyi air paip menitik dalam bilik air dan menyangka isterinya itu sedang mandi.

Namun, selepas hampir satu jam isterinya masih belum keluar.

“Saya syak ada sesuatu tidak kena sehinggalah saya memecahkan pintu bilik air.

“Sebaik berjaya membukanya, saya lihat dia sudah rebah dalam keadaan tidak bermaya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya membawa isterinya ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurutnya yang juga Ketua Polis Balai Ketengah Jaya, arwah sebelum ini kurang sihat dan dimasukkan ke Hospital Dungun selama dua hari pada 5 Mei lalu.

Katanya, keadaan kesihatan arwah bagaimanapun bertambah baik sejak keluar wad dan arwah difahamkan sempat mengambil anak bongsunya di asrama Sekolah Menengah Imtiaz petang kelmarin, untuk dibawa pulang ke rumah di Kuarters Balai Polis Ketengah Jaya.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, terima kasih juga kepada semua pihak yang banyak membantu menguruskan jenazah arwah," katanya.

Jenazah dibawa pulang ke kampung Abdul Halim dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berdekatan Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian, Kelantan.

Polis kenal pasti suspek bunuh peraih ikan


KOTA BHARU – Suspek kes tembak seorang peraih ikan yang baru selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Nurul Anuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Putih malam Khamis lalu telah dikenal pasti.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd. Rahim, memberitahu, pihaknya kini sedang giat berusaha mengesannya.
“Polis telah mengenal pasti suspek kejadian ini dan saya berharap semua bersabar,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Kosmo! Ahad semalam.
Sebelum ini, Jalaluddin di dalam kenyataannya memberitahu, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian yang menimpa mangsa ada kaitan dengan unsur balas dendam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2UOvGDUP6 
Hakcipta terpelihara 

Empat kaki pancing hilang di laut


NUR SYAKIRAH bersama dua anaknya menunjukkan gambar suaminya, Mohd. Osman ketika ditemui di Tumpat, Kelantan semalam.


TUMPAT – Empat kaki pancing dilaporkan hilang di laut selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, dua daripada mereka merupakan adik-beradik bersama sepupu dan seorang rakan mereka.
Menurutnya, mereka ialah Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dan adiknya, Mohd. Firdaus, 18, berasal dari Kampung Dalam Rhu, sepupu mereka, Mohd. Osman Mohamad, 36, dari Kampung Morak dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Kutan dekat sini.
Jelasnya, mereka berlepas pada pukul 2 pagi Jumaat lalu dari jeti Kampung Dalam Rhu di sini dengan menaiki bot yang diperbuat daripada fiber.
“Sehingga kini mereka masih gagal ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubur dan Maritim Malaysia (APMM),” katanya ketika dihubungi.
Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubur, Asisten Superintendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, gerakan mencari mangsa dijalankan sejak pukul 8.30 pagi semalam di perairan negeri ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2UOuxey5R 
Hakcipta terpelihara 

16 murid mati dalam kebakaran van sekolah



SEKUMPULAN lelaki berdiri berhampiran sebuah van sekolah yang terbakar dan meragut nyawa 16 orang murid dan seorang guru di Gujerat, Pakistan semalam.


LAHORE, Pakistan - Seramai 16 orang murid dan seorang guru berusia antara lima hingga 15 tahun terbunuh apabila van yang mereka naiki terbakar di sini semalam.
Tujuh lagi kanak-kanak cedera dalam insiden yang memusnahkan sepenuhnya kenderaan terbabit.
Bas itu dikatakan membawa 24 orang kanak-kanak ke sebuah sekolah swasta di Gujerat, kira-kira 112 kilometer dari Lahore sebelum ia terbakar.
"Bas itu terbakar ketika hanya beberapa kilometer untuk sampai ke destinasinya," kata ketua polis tempatan, Dar Ali Khattak
Kebakaran dikatakan berlaku akibat percikan api apabila pemandunya menukar penggunaan gas kepada petrol.
Seorang lagi pegawai polis, Abid Khan memberitahu pemandu bas itu kemudian melarikan diri. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2UOSuAGDs 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris ditelan ular sawa hidup-hidup



KELVIN Katoka sedang dirawat di Hospital Besar Kitwe, Zambia selepas terselamat daripada ditelan ular sawa baru-baru ini.


LUSAKA, Zambia - Seorang pemandu trak yang terpaksa bertarung nyawa daripada ditelan seekor ular sawa menyatakan bahawa dia sangat bertuah kerana masih hidup.
Kelvin Katoka, 25, diserang oleh reptilia itu ketika dia sedang mengendalikan sebuah mesin pengorek dalam semak di sebuah lombong tembaga di sini.
"Dengan pantas, ular sawa itu sudah melilit badan dan merebahkan saya ke tanah. Kemudian saya baru teringat mempunyai sebilah pisau kecil di dalam poket. Saya menikam badannya dan ia mengendurkan sedikit lilitan. Tetapi saya sudah pun sangat lemah," cerita Katoka yang telah dimasukkan ke Hopital Besar Kitwe sejak sebulan lalu.
Reptilia itu kemudian kembali melilit dan mula menyemburkan air liurnya ke seluruh muka Katoka kerana sudah bersedia untuk menelannya bulat-bulat.
Katoka muntah darah dan mulai pengsan. Mujurlah dua orang rakan sekerja datang memberikan bantuan. Mereka membunuh ular sawa berkenaan dan membawanya ke hospital.
Ular sawa batu merupakan ular paling besar di Afrika dan boleh membesar sehingga tujuh meter panjang. Ular tersebut memang dikenali kerana mampu menelan antelop, gnu, malah buaya namun, serangan ke atas manusia jarang berlaku. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UOArokoc 
Hakcipta terpelihara 

5 suspek ditahan palsukan dokumen pengenalan


KENINGAU 25 Mei - Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita dan lelaki rakyat Filipina kerana disyaki terlibat dalam sindiket membuat kad pengenalan palsu di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 11.15 pagi pada Isnin lalu, polis merampas sebuah komputer riba dan pencetak yang digunakan untuk membuat dokumen palsu.
Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Robert Salisip, polis turut menjumpai sekeping surat dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam simpanan salah seorang suspek.
"Siasatan awal mendapati kesemua mereka berasal dari luar daerah ini iaitu Labuan, Kinabatangan dan Semporna," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_06/5-suspek-ditahan-palsukan-dokumen-pengenalan#ixzz2UMCwvDk0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas barangan subsidi


TAWAU 25 Mei - Pasukan Polis Marin merampas barangan subsidi bernilai RM4,971 yang cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam dua serbuan di perairan Tawau di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah bagaimanapun berkata, tiada suspek ditahan dalam serbuan melibatkan dua buah feri penumpang itu.
"Serbuan pertama ke atas feri penumpang yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia pada pukul 4 petang menemukan 550 kilogram gula, 390 kilogram tepung gandum, 130 peket tepung jagung dan enam peket tepung pulut.
"Manakala serbuan kedua pada pukul 4.30 petang polis merampas 550 kilogram gula, 180 peket minyak masak dan 30 botol minuman keras," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_07/Polis-rampas-barangan-subsidi#ixzz2UMCqAloG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota Rela koma dirempuh mat rempit


IPOH 25 Mei - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) parah akibat dirempuh sebuah motosikal ditunggang mat rempit yang cuba mengelak sekatan jalan raya berhampiran Balai Polis Pasir Putih di Jalan Pasir Putih di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, Teong Yoon Meng, 44, berasal dari Menglembu mengalami kecederaan di kepala akibat rempuhan tersebut. Dia dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menyertai operasi bersepadu membanteras samseng jalanan bersama pasukan polis, Polis Sukarelawan Simpanan (PVR), Rela dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Semasa Yoon Meng bersama beberapa anggota lain cuba menahan sebuah motosikal, penunggangnya tidak berhenti sebaliknya terus merempuh mangsa menyebabkan anggota Rela itu terjatuh dan tidak sedarkan diri.
"Suspek bagaimanapun sempat melarikan serta meninggalkan motosikal ditunggangnya," katanya dalam sidang akhbar di sini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_08/Anggota-Rela-koma-dirempuh-mat-rempit#ixzz2UMChNfPm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penyamun teksi mati dibelasah


JOHOR BAHRU 25 Mei - Seorang penjenayah yang disyaki menyamun seorang pemandu teksi pada Isnin lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam kerana mengalami kecederaan teruk di kepala akibat dibelasah oleh orang ramai.
Penjenayah terbabit dipercayai bersama dua rakannya dikatakan bersenjata pisau menyamun seorang pemandu teksi berhampiran pasar raya Tesco Plentong di sini pada pukul 11.30 malam.
Dalam kejadian itu, pemandu teksi itu cedera di leher dan kerugian wang tunai RM350 selain telefon bimbit dan beberapa dokumen penting miliknya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, tidak lama selepas kejadian itu mangsa bersama beberapa rakannya terserempak dengan dua daripada suspek tidak jauh dari kawasan tersebut.
"Mereka kemudian mengejar suspek dan berjaya menangkap kedua-dua mereka. Berlaku pergelutan antara mereka dan suspek mengalami kecederaan.
"Kedua-dua suspek itu dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk ditahan sebelum dibawa ke HSA untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_09/Penyamun-teksi-mati-dibelasah#ixzz2UMCbCiTY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis kenal pasti suspek kes tembak


KOTA BHARU 25 Mei - Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang peniaga ikan yang ditembak selepas menunaikan solat isyak di pekarangan Masjid Nurul Anuar, Mukim Dalam Rhu di Pasir Puteh dekat sini malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh polis.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci mengenai kes pembunuhan kejam itu.
"Suspek sudah dikenal pasti, sabar. Motif pembunuhan pun sedang disiasat," katanya melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) kepada pemberita hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_10/Polis-kenal-pasti-suspek-kes-tembak#ixzz2UMCUv2AD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nyaris maut dirempuh lori langgar lampu isyarat


BAGAN SERAI 25 Mei - Seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan dipandunya remuk teruk selepas dirempuh sebuah lori yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 109.5, Jalan Ipoh-Butterworth di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Khaidir Mohd. Noor, 54, dalam perjalanan dari Kuala Kurau menghala ke Taiping apabila dirempuh oleh lori tersebut di sebuah persimpangan lampu isyarat di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, pemandu lori itu dikatakan melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar bahagian hadapan kereta mangsa.
"Pemandu lori difahamkan bertindak memecut kenderaannya sejurus lampu isyarat berwarna merah bertukar hijau, bagaimanapun lampu isyarat itu sebenarnya menunjukkan arah ke kiri menghala ke Jalan Siakap.
"Akibatnya kereta dipandu mangsa yang sedang bergerak dirempuh di bahagian hadapan oleh lori itu. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Bagan Serai," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130525/je_11/Nyaris-maut-dirempuh-lori-langgar-lampu-isyarat#ixzz2UMCMtdnz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perisikan Britain digesa jelaskan hubungan dengan suspek pembunuhan


LONDON 25 Mei - Perkhidmatan Perisikan Britain (M15) hari ini digesa menjelaskan hubungan mereka dengan suspek pembunuhan kejam seorang askar di London, Rabu lalu, ekoran terdapat dakwaan yang menyatakan agensi itu cuba merekrut seorang daripada suspek.
Michael Adebolajo, 28, dan Michael Adebowale, 22, yang masih dikawal ketat di hospital selepas ditembak polis dalam kejadian di timur London itu, dikenali oleh M15 tetapi dinilai tidak membawa ancaman yang boleh membawa maut.
Dakwaan itu dibuat oleh seorang rakan kepada Adebolajo yang membuat pendedahan tersebut kepada televisyen BBC kelmarin sehingga menyebabkannya ditahan. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130525/lu_07/Perisikan-Britain-digesa-jelaskan-hubungan-dengan-suspek-pembunuhan#ixzz2UMBFzDXS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Islam Britain ketakutan


Beberapa anggota polis berkawal di sebuah persimpangan jalan berikutan ancaman serangan ke atas masyarakat Islam selepas anggota tentera Lee Rigby dibunuh di Woolwich, tenggara London, kelmarin. - REUTERS
LONDON 24 Mei - Penduduk Islam di Britain kini hidup dalam ketakutan selepas berpuluh-puluh insiden anti-Islam dilaporkan berlaku di negara ini selepas pembunuhan kejam seorang anggota tentera oleh suspek pelampau Islam di sini, kelmarin.
Talian bantuan The Tell Mama yang merekodkan jenayah dan insiden anti-Islam, mencatatkan 38 kejadian sejak malam Rabu lalu, termasuk serangan ke atas tiga masjid dengan banyak lagi insiden berlaku, semalam.
Polis Metropolitan turut menempatkan 1,200 anggota di jalan-jalan raya sekitar London semalam dan lebih banyak rondaan dibuat di masjid serta di tapak keagamaan selepas kumpulan berhaluan kanan bertindak balas atas insiden tersebut.
Penyelaras talian The Tell Mama, Fiyaz Mughal berkata, perkhidmatan itu biasanya hanya menerima purata tiga atau empat insiden dalam sehari, tetapi selepas insiden itu, peningkatan mendadak telah berlaku.
Antara insiden itu termasuklah penahan seorang lelaki berumur 43 tahun di Braintree, Essex, semalam selepas disyaki cuba membakar sebuah masjid dan membawa pisau.
Seorang lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki merosakkan sebuah masjid di Gillingham, Kent.
Terdapat juga tujuh kejadian penganut Islam dimaki, termasuk diludah dan diancam ketika berada di tempat awam, selain lima masjid turut diancam.
Dalam insiden pembunuhan kejam di Woolwich, tenggara London itu kelmarin, dua lelaki didakwa bertindak mengelar dan memenggal kepala anggota tentera, Lee Rigby, di tepi jalan di bandar raya itu pada siang hari.
Suspek turut mengarahkan orang ramai yang lalu di kawasan kejadian untuk mengambil gambar dan merakam pembunuhan mengerikan itu.
Polis yang dipanggil ke tempat kejadian kemudian bertindak menembak dan mencederakan kedua-dua suspek sebelum menahan mereka dan kedua-dua suspek kini sedang dirawat di hospital berasingan yang dikawal ketat.
Sementara itu, pihak berkuasa Britain hari ini menahan seorang lagi lelaki dan wanita yang kedua-duanya berumur 29 tahun kerana disyaki terlibat dalam konspirasi pembunuhan kejam itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130525/lu_02/Penduduk-Islam-Britain-ketakutan#ixzz2UMB9M0KO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 cedera dalam insiden bom berani mati di Rusia


MOSCOW 25 Mei - Sekurang-kurangnya 12 orang cedera dan dua daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas seorang pengebom berani mati wanita meletupkan dirinya di wilayah Dagestan, hari ini.
Jurucakap polis, Fatina Ubaidatova berkata, wanita itu meletupkan dirinya berhampiran bangunan Kementerian Dalam Negeri di bandar Makhachkala.
"Lima daripada 12 yang cedera itu merupakan anggota polis dan pengebom itu mati di tempat kejadian," katanya.
Letupan itu merupakan insiden kedua dalam minggu ini selepas empat terbunuh, manakala 40 cedera dalam satu lagi letupan di bandar yang sama pada Isnin lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130525/lu_10/12-cedera-dalam-insiden-bom-berani-mati-di-Rusia#ixzz2UMAqglEu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

UGUT TERJUN


GARA-GARA tidak diberikan rokok, seorang wanita mengugut untuk terjun dari balkoni di tingkat lima sebuah hospital di Zhongshan di wilayah Guangdong, semalam.
Wanita yang dikenali sebagai Jia Li Pan, 24, itu dilaporkan mengunjungi hospital tersebut bagi menghadiri sesi kaunseling kerana tertekan akibat kehilangan kerja.
Ketika menunggu sesinya bermula, Li Pan meminta rokok daripada pesakit lain, namun permintaannya tidak dihiraukan, menyebabkan dia mengamuk dan terus memanjat balkoni yang terletak di luar bilik menunggu itu.
Perbuatannya mencemaskan orang ramai yang berada di situ dan pasukan polis dihubungi bagi memujuknya. Li Pan akhirnya berjaya dipujuk selepas polis memberinya rokok dan dia dibawa turun untuk rawatan.
n AKSI Jia Li Pan yang mengugut untuk terjun dari balkoni di tingkat lima sebuah hospital selepas tidak diberi rokok, namun berjaya diselamatkan seorang anggota polis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130526/lu_04/UGUT-TERJUN#ixzz2UMAVud7o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Laman web rasmi Arab Saudi digodam


RIYADH 26 Mei - Beberapa laman web rasmi Arab Saudi dilaporkan digodam oleh kumpulan penggodam dengan paparan bendera Alegeria, semalam.
Stesen penyiaran berita Al-Ekhbariya melaporkan, laman web Kementerian Penerangan antara laman web yang digodam.
Laman web berita Al-Ekhbariya berserta laman web sukan Al-Riyadiyah, Channel One dan Quran Radio turut menjadi mangsa penggodam.
Bagaimanapun, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130526/lu_01/Laman-web-rasmi-Arab-Saudi-digodam#ixzz2UMACF0r8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Merangkak keluar dari rumah


26 Mei 2013
Merangkak keluar dari rumah
Keadaan kawasan perumahan setinggan yang dihempap pokok dalam kejadian ribut kelmarin
KUALA LUMPUR - Berpantang maut sebelum ajal. Itu ungkapan sesuai digambarkan apabila empat keluarga perumahan setinggan di Pekan Sungai Besi, di sini, sempat menyelamatkan diri daripada dihempap pokok yang memusnahkan kediaman mereka.

Seorang mangsa, Norhayati Mauti, 47, berkata, dalam kejadian ribut petang kelmarin, dia sedang tidur dan hanya terjaga sebaik sahaja terdengar bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, dentuman itu terhasil daripada pokok yang menghempap bahagian ruang tamu rumahnya sekali gus memusnahkan sebahagian daripada kediaman yang dihuni sejak lebih 30 tahun itu.

“Saya terkejut kerana bunyinya amat kuat. Ketika itu hanya saya dan suami berada di rumah. Sebaik terjaga, saya berlari keluar tanpa sempat membawa keluar apa-apa barang.

“Ada jiran yang sedang berada di rumah ketika pokok tumbang, dia terpaksa merangkak keluar dari celah bahagian rumahnya yang terjejas,” katanya ketika ditemui di Dewan Umno Cawangan Sungai Besi, di sini, semalam.

Norhayati adalah salah satu daripada empat keluarga yang ditempatkan sementara di dewan tersebut setelah kediaman mereka musnah dalam bencana alam tersebut.

Dia kerugian sekurang-kurangnya RM15,000 akibat kejadian itu dan berharap dapat membina semula rumahnya kerana turut menjalankan perniagaan di situ sebagai punca pendapatan.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Mohamad Zaki Che Mat, 53, berkata, ketika kejadian dia baru pulang ke rumah dan terdengar bunyi bising zink diterbangkan ribut.

Katanya, dia merasa tidak sedap hati lantas menyuruh ahli keluarganya keluar dari rumah.

“Saya masuk untuk mandi sekejap, tidak sampai 10 minit ahli keluarga saya keluar, pokok itu tumbang dan menghempap rumah.

“Jika ahli keluarga saya tidak keluar, sudah tentu mereka turut sama dihempap kerana bahagian yang terjejas adalah tempat di mana mereka berkumpul. Bersyukur sangat.” katanya yang kerugian sekurang-kurangnya RM20,000 akibat kemusnahan kediaman, barangan elektrik dan perabot.

Tinjauan Sinar Harian ke tapak tersebut mendapati kerja pembersihan sedang dijalankan dengan memotong bahagian pokok.

Terdapat kedai yang terpaksa ditutup berikutan risiko runtuh kerana batang pokok masih berada di bahagian atas bumbung.

Pengawal keselamatan sekolah disamun


25 Mei 2013
Pengawal keselamatan sekolah disamun
Sebuah laci yang diselongkar penjenayah.
RAWANG - Dua lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini disamun lapan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian jam 2 pagi baru-baru ini.

Sumber polis berkata, lelaki warga tempatan itu diserang dalam pondok pengawal sekolah berkenaan sebelum diikat pada bahagian tangan dan kaki hampir dua jam.

Menurut sumber, penjenayah mengambil masa hampir dua jam untuk menceroboh kawasan berkenaan dan melarikan beberapa barangan berharga termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan komputer riba.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun barangan miliknya seperti dompet dan telefon bimbit turut dilarikan suspek.

“Kerugian pihak sekolah juga dianggar bernilai lebih RM10,000,” katanya. Kedua-dua mangsa tiba ke balai polis sekitar jam 4.30 pagi selepas menjadi tawanan suspek.

Kantoi curi tiga peket kopi


26 Mei 2013
Kantoi curi tiga peket kopi
Suspek menjadi perhatian orang ramai selepas diikat pada sebatang tiang elektrik.
Kantoi curi tiga peket kopi
Na menunjukkan rak menempatkan peket kopi yang dicuri suspek di kedai runcitnya.
JERTIH - Seorang lelaki yang kantoi selepas cuba mencuri tiga bungkus kopi menerima akibatnya apabila bukan sahaja terpaksa menahan sakit dibelasah orang ramai tetapi turut menanggung malu kerana diikat pada sebatang tiang elektrik.

Lelaki berusia 46 tahun dari Kampung Air Tawar, dekat Kampung Raja itu diikat di tepi jalan Kuala Besut –Jertih dekat Kampung Dengir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek ditangkap penduduk kampung selepas perbuatannya di sebuah kedai runcit depan Masjid Kampung Dengir disedari pemilik kedai terbabit.

Pemilik kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Na, 23, berkata, dia yang ketika itu seorang diri di dalam kedai ternampak suspek memasukkan bungkusan berkenaan ke dalam seluar dalamnya.

Menurutnya, menyedari perbuatan suspek, dia keluar memberitahu beberapa lelaki yang kebetulan berada di kedai berhampiran.

“Selepas mengambil barangan curi itu, dia datang ke kaunter untuk membayar sebatang aiskrim berharga 50 sen dan ketika itu saya bertanya kepadanya apa yang dia curi, namun dia tidak mengaku,” katanya.

Menurutnya, sejurus kemudian penduduk kampung keluar beramai-ramai dan menangkap suspek.

"Bimbang suspek meloloskan diri, penduduk kampung terpaksa mengikatnya pada sebatang tiang elektrik sebelum menyerahkannya kepada polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan suspek ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada polis.

"Barang yang dicurinya dirampas dan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphertamine (pil kuda).

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Empat pemancing hilang di laut sejak Jumaat lalu


26 Mei 2013
Empat pemancing hilang di laut sejak Jumaat lalu
Nor Syakirah bersama dua anaknya menanti dengan sabar kepulangan suaminya, Mohd Osman.
Empat pemancing hilang di laut sejak Jumaat lalu
Mohd Osman, Mohd Firdaus, Mohd Fadwan
Empat pemancing hilang di laut sejak Jumaat lalu
Bot fiber seperti ini yang dinaiki tiga sepupu dan rakannya yang dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memancing.
TUMPAT – “Sebelum suami turun memancing, dia ada berpesan kepada saya bahawa dia akan pulang pada jam 3 petang pada hari Jumaat kerana perlu menghadiri kenduri,” kata Nor Syakirah Mustapa, 30, isteri kepada Mohd Osman Mohamad, 36, salah seorang pemancing yang hilang di laut sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun katanya, hatinya mula gelisah apabila lewat petang suaminya tidak muncul, lalu dia cuba menelefon menghubunginya.

“Saya terus menghubungi suami, tetapi hampa kerana telefon bimbitnya berada di luar kawasan.

“Beberapa kali saya cuba menghubungi, tetapi gagal dan situasi ini amat meresahkan saya khuatir sesuatu yang buruk menimpa suami saya itu,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Dalam Rhu, di sini.

Mohd Osman antara empat pemancing yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di laut sejak Jumaat lalu.

Selain Mohd Osman, mereka yang hilang ialah dua sepupunya yang juga pasangan adik beradik Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18 serta pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39.

Dalam keadaan cemas itu, Nor Syakirah terus menghubungi keluarga sepupunya bertanya khabar kerana Mohd Osman turun ke laut bersama dua sepupunya, Mohd Fadzuan dan Mohd Firdaus.

Katanya, keluarga sepupunya juga tidak dapat menghubungi mereka lalu  satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada jam 12 malam berhubung kehilangan mereka itu.

“Saya berharap suami saya dapat dijumpai dengan selamat, kepulangannya dinantikan kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai dua anak, Nur Fatin Afifah, 8 dan Nur Fatin Afina, dua bulan.

Tiga sepupu dan rakannya dilaporkan hilang selepas keluar memancing di laut sejak Jumaat lalu.

Mereka dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu menaiki bot jenis fiber kira-kira jam 2 pagi.

Empat kaki pancing tersebut yang dilaporkan hilang itu ialah Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, sepupu mereka, Mohd Osman Mohamad, 36 dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39.

Sementara itu, abang Mohd Fadzuan, Mohd Fadzli, 27 berkata, dia tidak menyangka kegembiraan mereka bertiga turun ke laut untuk mencandat sotong  menjadi satu penantian yang menyeksakan untuknya sekeluarga.

“Saya amat risau keselamatan mereka, khuatir bekalan makanan yang dibawanya tidak mencukupi.

“Hari ini sudah masuk hari kedua kehilangan mereka, tetapi mereka masih belum dapat dijejaki lagi.

“Saya berharap pihak Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dapat menemui mereka dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, mereka dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu menaiki bot jenis fiber kira-kira jam 2 pagi.

“Sehingga kini empat pemancing tersebut gagal ditemui, operasi mencari dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Mohd Fadzuan dan Mohd Firdaus berasal dari Kampung Dalam Rhu, Mohd Osman dari Kampung Morak manakala Mohd Masdi dari Kampung Kutan, di sini.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, gerakan mencari mangsa yang dilaporkan hilang dilakukan sejak jam 8.30 pagi hari ini (semalam) di perairan negeri ini.

“Operasi mencari diteruskan sekitar 12 batu nautika dari Kuala Besar bersama dua bot APPM dan satu bot PPM.

“Sehingga tengah hari ini (semalam) empat lelaki tersebut masih belum ditemui,” katanya.

Himpunan Suara Rakyat 505 : Perkembangan di padang timur Amcorp Mall


NIZAM ZAIN, JAMILAH HAMZAH, MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
25 Mei 2013
505
Pelbagai reaksi peserta himpunan. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
505
Pelbagai reaksi peserta himpunan. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
505
Sebahagian peserta himpunan sudah memenuhi padang berhadapan Amcorp Mall. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
505
Degil.... Masih ada peserta himpunan yang membawa anak kecil dalam himpunan malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
BERIKUT perkembangan Himpunan Suara Rakyat 505 yang berlangsung di padang timur Amcorp Mall, Petaling Jaya:

6.00 petang : Jalan ke tapak himpunan mula ditutup. Peserta himpunan mula memenuhi padang berhadapan Amcorp Mall

6.05 petang : Polis trafik membuat beberapa sekatan jalan menuju ke lokasi himpunan

6.15 petang : Kelihatan pihak polis sedang mengawal lalu lintas. Kawasan di sekitar lokasi himpunan dipenuhi dengan gerai menjual pakaian dan makanan

6.30 petang : Keadaan lalu lintas masih terkawal

6.45 petang : Pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani turut berucap. Sementara itu, peserta himpunan mula meletakkan kenderaan masing-masing di susur masuk lokasi himpunan

7.00 petang : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mula menyampaikan ucapan di pentas utama himpunan. Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut menyampaikan ucapan dan membuat persembahan

7.15 malam : Setakat ni tidak ada sebarang provokasi dilakukan oleh peserta himpunan. Keadaan terkawal

7.30 malam : Kelihatan sudah ada peserta himpunan melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman 2012 apabila segelintir ibu bapa membawa kanak-kanak ke lokasi himpunan.

7.50 malam : Keadaan lalu lintas menuju ke lokasi mulai sesak.

8.15 malam : Ketika ini sekitar Petaling Jaya mulai hujan namun peserta dan penyokong himpunan tetap tidak berganjak.

8.30 malam : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin sedang berucap selepas solat maghrib.

8:45 malam : Jumlah peserta ke perhimpunan semakin bertambah. Turut kelihatan golongan orang kurang upaya (OKU) juga mengambil bahagian tanpa menghiraukan keselamatan mereka dan tiada kemudahan disediakan penganjur untuk golongan ini.

8.50 malam :  Polis trafik dan pasukan FRU tidak lagi kelihatan berlegar ataupun mengawal lalu lintas di sekitar Amcorp Mall.

8.55 malam : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sedang berucap.

9.00 malam : Pemimpin DAP, Ronie Liu memberi ucapan.

9.10 malam : Keadaan di stesen LRT Taman Jaya mulai lengang.

9.15 malam : Giliran Dayang Ku Intan memberi ucapan.

9.16 malam : Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh memberi ucapan aluannya.

9.20 malam : Ketika ini, hujan lebat di lokasi himpunan namun peserta tetap tidak berganjak.

9.40 malam :  Ucapan daripada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

10.15 malam :  Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga mengambil tempat untuk memberi ucapan.

10.42 malam : Ucapan daripada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

10.45 malam : Terdapat segelintir peserta beransur pulang walaupun himpunan masih berlangsung.

11.30 malam : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan ucapan.

Bas meletup 16 kanak-kanak rentung



26 Mei 2013
Bas meletup 16 kanak-kanak rentung
Sebahagian mayat kanak-kanak dikeluarkan dari kawasan kemalangan di Islamabad.
ISLAMABAD  - Sekurang-kurangnya 16 kanak-kanak termasuk seorang guru rentung apabila satu tabung gas dalam bas sekolah tiba-tiba meletup di timur Pakistan.

Pegawai polis Mohammed Rasheed berkata, tujuh kanak-kanak yang lain turut cedera dalam kejadian di pinggir bandar Gujerat.

“Kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah. Bas berkenaan dipercayai terbakar sebelum meletup,” katanya menurut laporan AFP.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila pemandu menukar penggunaan bahan api bas tersebut daripada gas ke minyak.

Sementara itu, ketua kumpulan militan Lashkar-e-Jhangvi dibebaskan dari penjara Punjabi, Lahore, kelmarin.

Malik Mohammad Ishaq dibebaskan selepas menjalani tempoh tahanan sejak Februari lalu.

Kumpulan Lashkar-e-Jhangvi sebelum ini diharamkan oleh kerajaan Pakistan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa siri keganasan dengan mendapat sokongan daripada kuasa luar.

Bertembung lepas tengok kemalangan


26 Mei 2013
Bertembung lepas tengok kemalangan
Proton Saga dan Proton Persona mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan kedua.
TAIPING – Kelekaan melihat keadaan kereta yang terbabit dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Kilometer (KM) 8.1 Jalan Taiping-Selama, berhampiran Kem Tahanan Perlindungan Kamunting membawa kepada berlakunya satu kemalangan lain yang melibatkan tiga kenderaan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kemalangan kedua berlaku kira-kira jam 10 malam di KM 8.0 jalan yang sama.

Menurut Yusuf, kemalangan pertama membabitkan sebuah kereta yang melanggar seekor babi hutan manakala kemalangan kedua telah membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga, Proton Persona dan Proton Waja.

"Selepas kemalangan pertama, difahamkan pemandu Proton Saga dari arah Selama ke Taiping melihat kemalangan pertama menyebabkan dia hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kejadian tersebut menyebabkan Proton Saga berkenaan bertembung dengan Proton Persona dari arah Kamunting ke Selama, manakala Proton Waja terbabit gagal mengelak lalu melanggar belakang Proton Persona," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Yusuf, kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan kepada ketiga-tiga kereta dan hanya pemandu Proton Saga mengalami kecederaan.

"Pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan," katanya.

Bakal pengantin maut kemalangan


26 Mei 2013
Bakal pengantin maut kemalangan
Hantaran perkahwinan yang hampir siap disediakan Nurul Aini
Nurul Aini
Nurul Aini
SUNGAI PETANI - Hasrat seorang jurulatih silat yang ingin melangsungkan perkahwinan pada 6 Jun depan, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di simpang tiga berdekatan Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, di sini, kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Mangsa, Nurul Aini Norman, 27, yang bekerja di sebuah kedai bunga dan cenderahati dalam perjalanan pulang ke rumahnya di taman itu selepas selesai mengajar silat.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang datang dari Flat Paya Nahu ingin membelok ke kanan apabila sampai di simpang berkenaan, bagaimanapun motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah depan.

“Akibatnya, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Ibunya, Sariah Sakat, berkata, segala persiapan perkahwinan termasuk hantaran hampir siap disediakan Nurul Aini sendiri.

“Dia buat sikit-sikit setiap hari selepas pulang dari kerja dan ada juga tempahan daripada kawan-kawan yang minta dia siapkan barang hantaran mereka tetapi tak sangka berlaku kejadian yang menimpa dirinya” katanya.

Menurutnya, Nurul Aini adalah anak sulung dari lima beradik dan dia merupakan anak tunggal perempuan.

Katanya, anaknya sangat aktif dalam pertubuhan silat dan kerap keluar untuk melatih ahli kerana minat dalam aktiviti itu.

“Arwah tidak pernah bawa motosikal laju-laju dan cukup berhemah ketika di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Syafiq, 25, berkata, sebaik sahaja dimaklumkan, dia terus ke lokasi kejadian tetapi pasukan perubatan sahkan kakaknya sudah pun meninggal dunia.

Selain aktif mengajar silat, mangsa juga pernah melatih kanak-kanak mengaji al-Quran dan persembahan kompang terutama untuk menyambut pengantin.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani di Amanjaya.