Search This Blog

Saturday, May 25, 2013

‘Jadi bodoh’ beli azimat


Ipoh: Bertopengkan kaedah perubatan Islam, seorang bomoh menggunakan ‘kepakarannya’ untuk memperdaya seorang peguam wanita hingga kerugian lebih RM120,000 ketika menjalani rawatan penyakit misteri dan gangguan aneh dialami mangsa.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suzana, 33, bertemu bomoh berkenaan selepas tidak tahan dengan penyakit aneh selain dikatakan kerap diganggu makhluk halus.


Menurutnya, dia mengalami penyakit dan gangguan mistik itu selepas bercerai dengan suami menyebabkan tumpuannya pada kerjaya terjejas.


“Saya mulanya tidak percaya dengan benda ghaib ini, namun selepas kehidupan dan kerjaya saya terganggu, saya menemui bomoh berusia 50-an itu yang cukup dikenali ramai di bandar raya ini.


“Saya terdorong mendapatkan khidmat rawatannya kerana dia mendakwa mengamalkan kaedah perubatan secara Islam,” katanya yang kali pertama menemui bomoh terbabit pada Februari lalu.


Ketika menemui bomoh itu, kata Suzana, dia disuruh membeli empat azimat yang setiap satu berharga RM20,000 kerana didakwa mampu melindunginya dan keluarga daripada perbuatan khianat serta gangguan makhluk halus.

Awal bulan lalu, mangsa berkata, bomoh itu menawarkan pula sejenis batu cincin bernilai RM30,000.


“Dia mendakwa didatangi mimpi yang menyuruhnya memberikan batu itu kepada saya atas alasan tertentu,” katanya ketika ditemui.

Peguam itu berkata, dia seolah-olah jadi bodoh dan percaya semua kata-kata bomoh itu sebelum menyerahkan wang diminta tanpa banyak soal. Selain membeli azimat dan batu cincin daripada bomoh terbabit, dia membuat bayaran rawatan lebih RM10,000 kepada bomoh itu menjadikan nilai keseluruhan wang dibelanjakan lebih RM120,000. Bagaimanapun, Suzana mula menyedari diperdaya apabila ibu menegur tindakannya yang percaya kepada azimat dan batu cincin berkenaan.


“Ibu kata perbuatan itu syirik kerana menyekutukan Allah. Saya seperti baru tersedar kesilapan saya, apatah lagi penyakit saya masih tidak menunjukkan tanda sembuh,” katanya.


Berikutan itu, Suzana amat kesal dengan tindakan segelintir bomoh yang disifatkannya hanya memperdagangkan nama perubatan Islam sedangkan apa yang mereka lakukan jelas satu penipuan, selain bertentangan dengan syariat.


“Ini bukan kali pertama saya ditipu kerana sebelum ini saya pernah disogok dengan pelbagai produk sampingan ketika menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan Islam lain.


“Saya yakin bukan saya saja yang menjadi mangsa penipuan ini, malah ramai lagi pesakit turut mengalami kerugian sama,” katanya yang meminta pihak berkuasa melakukan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.


Ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis berikutan penipuan dan kerugian besar dialaminya, Suzana berkata, sebagai pengamal undang-undang, dia sedar tindakan itu tidak banyak membantu disebabkan kekurangan bukti.

Pengemis miliki tiga akaun RM5,000


Johor Bahru: Seorang pengemis warga emas berusia 73 tahun memiliki tiga akaun simpanan termasuk satu Amanah Saham Bumiputera (ASB) hasil tabungan melalui aktiviti mengemis dilakukannya di sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.

Jumlah di dalam ASB berkenaan dianggarkan RM5,000 dan tidak pernah dikeluarkan malah bertambah setiap minggu.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, warga emas berkenaan adalah seorang wanita dan menjadikan Terminal Bas Larkin sebagai pusat operasinya.

“Selain itu, wanita terbabit turut mempunyai dua lagi akaun termasuk satu daripadanya institusi kewangan luar negara.


“Kedua-dua akaun berkenaan juga berjumlah ribuan ringgit. Ia tidak menghairankan kerana setiap hari, pengemis boleh memperoleh hasil mencecah ratusan ringgit ditambah sikap warga kita yang dermawan,” katanya.


Warga emas berkenaan diselamatkan pada operasi membanteras gelandangan serta pengemis dijalankan JKM baru-baru ini, Menurut Manayi, wanita berkenaan juga cuba melarikan diri ketika serbuan namun gagal kerana faktor usia.

Katanya, wanita terbabit kini ditempatkan di rumah perlindungan di bawah JKM sementara menunggu proses selanjutnya.


“Kami masih mengesan waris serta keluarga wanita berkenaan. Dia sepatutnya di bawah jagaan keluarga dan bukannya bergelandangan serta mengemis.

“Walaupun wangnya banyak, kami pasti hatinya tidak tenang kerana berdasarkan siasatan awal, dia umpama disisih keluarga,” katanya.


Pada masa sama, menurut Manayi, pada operasi sama, pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pemegang taraf pemastautin tetap (PR) di lokasi sama.


“Lelaki terbabit juga mengemis dan di dalam koceknya hanya ada syiling RM2. “Siasatan mendapati lelaki terbababit tiada keluarga di negeri ini dan bergelandangan kerana tidak mampu menyara diri,” katanya.


Manayi berharap orang ramai menjaga ahli keluarga mereka khasnya ibu bapa yang sudah tua dengan baik kerana ia juga satu ibadah.


“Jika ibu bapa sanggup memelihara kita sewaktu kecil hingga kita berjaya, mengapa mereka dibuang umpama sampah apabila kita mempunyai kehidupan baik.


“Balas jasa mereka dengan memelihara mereka dengan kasih sayang dan bukannya dibuang begitu saja,” katanya.

Polis terima laporan laman sosial hina Sultan


Kuala Terengganu: Polis menerima satu laporan berhubung kewujudan sebuah laman sosial Facebook yang menghina Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dengan kata-kata kesat.

Laporan berkenaan dibuat oleh seorang Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu di Balai Polis Kuala Terengganu selepas menyedari kewujudan laman sosial kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu.


Pengadu berusia 25 tahun yang ketika itu berada di pejabatnya di bandar raya ini dikatakan melayari laman sosial berkenaan sebelum menemui satu akaun yang menggunakan nama profil ‘cucu nabi’ yang menghina baginda.

Dalam laman sosial itu, pemilik dikatakan mengeluarkan kata-kata seperti ‘Raja paling bodoh dalam dunia’ dan ia mendapat komen daripada beberapa individu lain.


Susulan kejadian itu, pengadu terus bertindak membuat laporan polis berikutan tindakan tidak bertanggungjawab yang disifatkan kurang ajar dan menghina institusi diraja selain menjejaskan ketenteraman awam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

Mati telentang dibunuh rakan


Rembau: Seorang pekerja kontrak ditemui mati dalam keadaan telentang di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dua rakannya sendiri dalam kejadian di sebuah kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berhampiran Balai Polis Rembau, pagi semalam.

Mangsa, M Selvarajah, 42, ditemui adiknya, Elvis Michael, 36, dengan kepala dan badan mangsa berlumuran darah ketika pulang ke rumah selepas selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Rembau pada jam 7.10 pagi semalam.


Menceritakan semula penemuan mayat abangnya itu, Elvis berkata, sebaik sampai rumah dia mengetuk pintu rumah beberapa kali dan dibuka dua suspek lelaki yang baru tersedar daripada tidur. Menurutnya, sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia mendapati mangsa telentang di ruang tamu dan kepalanya serta badannya dipenuhi darah.

“Saya cuba mengejutkan abang, tetapi dia tidak bernyawa lagi. Saya tanya kepada kedua-dua lelaki itu apa yang berlaku, tetapi mereka kata tak tahu dan seolah-olah terkejut. Saya tengok kepala abang luka teruk begitu juga dengan bahagian dadanya seperti disiat-siat. “Beberapa botol minuman keras juga ditemui pecah berderai di ruang tamu. Kemudian, saya terus menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Katanya, kedua-dua suspek adalah rakan sekerja abangnya dan mereka menumpang di rumah kuarters itu sejak setahun lalu.


“Petang kelmarin, abang bersiap dengan berpakaian kemas untuk pergi sembahyang di kuil. Kedua-dua suspek juga turut sama. Sampai hati mereka membunuh abang saya sedangkan kami menganggap mereka sebagai keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, pihak polis menahan dua suspek masing-masing berumur 25 dan 26 tahun itu termasuk seorang daripada suspek berkenaan adalah warga India.


“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dan kedua-dua suspek mabuk lalu berlaku pertengkaran sehingga mengakibatkan mangsa mati dibunuh. Punca pergaduhan masih dalam siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lelaki dihentak tunang cemburu terima 10 jahitan


Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 35 tahun menerima 10 jahitan di kepala selepas dihentak dengan kayu oleh tunangnya dalam kejadian di sebuah hotel di Kepong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, wanita terbabit bertindak demikian selepas mengesyaki mangsa curang terhadapnya.


Sebelum kejadian, wanita itu menghubungi mangsa dan meminta bertemu dengannya di bilik hotel di kawasan berkenaan kerana mendakwa ada perkara mustahak perlu dibincangkan.

Menurut sumber, sebaik mangsa tiba di bilik hotel berkenaan, suspek terus menyerangnya.


“Suspek yang bersenjatakan kayu dilaporkan memukul kepala mangsa lebih 10 kali. Ketika itu, mangsa hanya mampu menutup kepalanya menggunakan kedua-dua tangan.


“Mangsa yang kesakitan merayu dikasihani, namun rayuan itu tidak diendahkan. Lelaki terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila pekerja hotel itu mendengar jeritannya sebelum tampil memberikan pertolongan,” katanya.

Katanya, suspek kemudian mendakwa mangsa curang terhadapnya dan menjalin hubungan sulit dengan wanita lain biarpun tempoh perkahwinan mereka makin dekat.


“Mangsa yang cedera dibawa ke klinik berhampiran dan menerima 10 jahitan di kepala sebelum membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

‘Pembaca meter’ samun wanita


Subang Jaya: Terpedaya dengan dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), seorang wanita serta anaknya kerugian hampir RM30,000 selepas dirompak di rumah mereka di USJ 2, di sini, kelmarin.

Dua penjenayah berusia lewat 20-an itu memakai pakaian seragam TNB bagi memperdaya mangsa dan mereka yang dipercayai bergerak aktif sejak lebih enam bulan lalu sudah menyamun lebih 10 mangsa.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian terbaru jam 1.30 tengah hari kelmarin, dua lelaki terbabit menggunakan modus operandi sama ketika menyamun seorang suri rumah berusia 54 tahun dan anak lelakinya.

Menurutnya, dua suspek terbabit datang ke rumah mangsa menaiki motosikal Suzuki sebelum mendakwa mahu memeriksa meter elektrik di rumah itu. “Seorang suspek meminta kebenaran mangsa untuk masuk dalam rumahnya konon untuk memeriksa penghawa dingin manakala rakannya segera menutup pintu rumah sebelum mengeluarkan parang. “Suspek mengikat kaki dan tangan dua beranak itu sebelum mengambil barang kemas milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Yahaya berkata, hasil siasatan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek, pihaknya kini mengenal pasti identiti seorang daripada mereka dan usaha menjejaki mereka masih dilakukan.

Dua kereta, empat motor kena hempap


Kuala Lumpur: Penduduk, peniaga dan pengunjung Pekan Sungai Besi, di sini, gempar apabila ribut melanda kawasan itu, menyebabkan banyak pokok tumbang selain beberapa premis musnah, kira-kira jam 4 petang semalam.

Dalam kejadian itu, hujan lebat disusuli angin kuat yang berlaku kira-kira satu jam menyebabkan lima premis, dua kereta dan empat motosikal musnah dihempap pokok.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.45 petang memaklumkan ada pokok tumbang di Pekan Sungai Besi.

“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Tun Razak dan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian bagi memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.


“Dua kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Saga serta empat motosikal yang diletakkan di parkir rosak teruk dihempap pokok,” katanya.


Khirudin berkata, lima premis yang terletak berdekatan antara satu sama lain turut musnah dihempap pokok besar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Malah, menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi turut mengalami kerosakan akibat ribut berkenaan dan pihaknya menerima laporan mengenai tiga pokok tumbang di Kem Perdana Sungai Besi.


Selain itu, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Kampung Muhibah, di sini, menyebabkan sebuah rumah rosak di bahagian dapur rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Amarah ribut

Foto
BUMBUNG Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi turut rosak dilanda ribut.

Foto
BUMBUNG surau rosak dilanda ribut.
Kuala Lumpur: “Saya nampak lima khemah yang dipasang depan surau terbang dan menghempap bumbungnya,” kata Baharuddin Mat Ayed, 58, saksi kejadian ribut sekitar Pekan Sungai Besi, di sini petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Surau Jumaat (sementara) Ibnu Khaldun berkata, melihat khemah diterbangkan ribut itu, dia dan 10 jemaah lain di dalam surau segera menutup pintu dan tingkap surau.


“Hujan lebat bermula jam 4 petang dan selesai solat Asar, jemaah beransur pulang, hanya tinggal saya dan kira-kira 10 jemaah lain.

“Kira-kira jam 4.45 petang itu, ribut melanda dan menerbangkan lima khemah di depan surau ke atas bumbung surau,” katanya ketika ditemui semalam.


Beliau berkata, akibat kejadian itu bumbung surau dan kuarters imam yang terletak bersebelahan mengalami kerosakan teruk.


Sementara itu, Pengerusi surau berkenaan, Hamzah Abdul Wahab, 64, berkata surau berstatus sementara itu dibina sejak Februari lalu berikutan masjid baru masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap dua tahun lagi. Menurutnya, sebaik saja dimaklumkan kejadian dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas solat Asar berpatah balik ke surau.

BUMBUNG Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi turut rosak dilanda ribut.

“Sebaik tiba, saya lihat lima khemah sudah berada atas bumbung surau selain air hujan turut membasahi belakang surau akibat bumbung berkenaan ranap dihempap khemah,” katanya.


Beliau berkata, kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan lebih RM40,000 dan beberapa ahli jawatankuasa bekerjasama menurunkan semua khemah yang sudah musnah keseluruhannya.

Sementara itu, ribut yang melanda turut menyebabkan empat rumah papan dan satu bengkel yang terletak kira-kira satu kilometer daripada Surau Jumaat Ibnu Khaldun, musnah akibat dihempap pokok besar. Pemilik satu daripada rumah terbabit, Mohd Razwan Ismail, 36, menyifatkan ribut kuat itu seperti `puting beliung’ sebelum rumahnya musnah dalam sekelip mata.


“Mujur kawan saya yang ketika itu tidur dalam sebuah bilik tidak cedera akibat dihempap pokok. Dia berjaya keluar daripada celahan pokok dan almari biliknya,” katanya.

Amanda Bynes ditangkap hisap dadah


New York: Polis semalam berkata, aktres Amanda Bynes ditahan selepas dia mencampakkan alat menghisap marijuana dari tingkap.

Jurucakap polis berkata, pegawai bangunan apartmen berkenaan menghubungi polis dan mengadu Amanda menghisap marijuana membalut dadah itu di lobi. “Pegawai terbabit kemudian mengunjungi apartmen Amanda dan melihat asap tebal di situ.


“Dia kemudian melihat Amanda mencampakkan alat menghisap dadah itu melalui tingkap,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Amanda ditahan kerana bertindak berbahaya dan melulu, merosakkan bukti serta memiliki marijuana. - AP

Bakar kereta lima hari berturut-turut


Stockholm: Polis di ibu negara Sweden meningkatkan kawalan selepas kumpulan remaja sekali lagi membakar kereta dan melontar batu ke arah pihak berkuasa selama lima hari berturut-turut.

Kira-kira 30 kereta dibakar di kejiranan miskin di barat laut dan barat daya Stockholm malam kelmarin dan perusuh menyebabkan kemusnahan teruk terhadap hartanah, termasuk sekolah.


Walaupun Sweden terkenal kerana dasar persamaan hak, rusuhan itu mendedahkan jurang antara golongan majoriti yang mewah dan minoriti yang biasanya terdiri daripada golongan muda keluarga pendatang yang menganggur, kurang pendidikan dan tersisih.

“Lapan orang kebanyakan berusia awal 20-an ditahan semalam,” kata jurucakap polis, Kjell Lindgren.


Menurutnya, polis bercadang meminta bantuan anggota dari kawasan lain bagi membantu menangani rusuhan itu, menjelang perlawanan bola sepak dan perkahwinan Puteri Madeleine, pewaris ketiga takhta Sweden pada 8 Jun.


Keganasan beberapa hari kebelakangan ini bermula dengan kematian di Husby, kawasan yang menjadi pusat rusuhan, apabila seorang lelaki berusia 69 tahun ditembak polis awal bulan ini. - Reuters

Jambatan lebuh raya utama runtuh


Mount Vernon: Jambatan di lebuh raya utama menghubungkan Seattle dengan Kanada dan keseluruhan wilayah barat laut Pasifik runtuh petang semalam menyebabkan beberapa orang dan kenderaan terhumban ke dalam sungai.

Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, tiada kematian berlaku kecuali tiga orang yang diselamatkan dan dibawa ke hospital. Jambatan lebuhraya Interstate 5 empat lorong itu - berusia setengah abad - runtuh separuh jalan antara Seattle dengan Vancouver, British Columbia di Kanada, kata polis peronda Mark Francis.


Pihak berkuasa belum dapat memastikan punca keruntuhan itu yang berlaku pada hari pertama cuti hujung minggu yang sibuk tahun ini.

Jabatan Pengangkutan Washington berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada trak terlebih muatan mungkin merempuh jambatan itu. Penduduk, Dan Sligh dan isterinya berada dalam pikap mereka menuju ke lokasi perkhemahan apabila jambatan di depan mereka lesap dalam “sekelip mata”.


“Saya menekan brek dan terhumban ke dalam sungai,” katanya. - AP

Surat mayat reput

Foto
MAYAT Yap (gambar kecil) dihantar
 ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Tampin: Seorang posmen yang mahu menyerahkan surat berdaftar kepada pemiliknya terkejut apabila mendapati orang yang dicarinya itu sudah mati dalam keadaan tertiarap dengan keadaan hampir reput dan berulat di sebuah rumah di Kampung Baru, Air Kuning Selatan, Gemencheh, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian pada jam 1.30 petang itu, posmen berkenaan yang melakukan tugas rutinnya ke rumah milik Yap Kuet Kiang, 58, untuk menyerahkan surat berdaftar.
Bagaimanapun, menurutnya, setiba di lokasi itu, posmen berkenaan berasa hairan kerana beberapa keping surat yang dimasukkan dalam peti surat tidak diambil.

“Dia mendapati pintu rumah warga emas itu terbuka, tetapi tidak melihat kelibat sesiapa dalam rumah itu lalu dia membunyikan hon motosikalnya sambil memanggil mangsa, tetapi tak berjawab.


“Berikutan itu, posmen terbabit menjenguk ke dalam rumah mangsa dan terperanjat melihat mayat mangsa tertiarap di atas lantai di ruang tamu dalam keadaan hampir reput dan berulat,” katanya.

Lambaian akhir Abang Haji

Foto
KESAN tembakan lima das pada kereta mangsa.
Pasir Puteh: “Walaupun sakit, wajahnya tetap tenang dan ‘bercahaya’, malah Abang Haji sempat mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” kata Rajab Yusoff, 53.

Rajab adalah individu pertama berada di sisi rakannya, Zahari A Razak, 57, yang ditembak ketika memandu keluar dari pintu pagar masjid selepas selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Nurul Anuar (MNA) di Kampung Pachakan, Dalam Rhu, Semerak, dekat sini, kelmarin.

Foto
ANGGOTA Unit Forensik polis melakukan siasatan
 di depan pintu Masjid Nurul Anuar
tempat berlakunya pembunuhan.
Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, Zahari yang juga peraih ikan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditembak seorang lelaki menunggang motosikal dipercayai menunggu mangsa di luar pintu pagar masjid.

Mayat mangsa ditemui terkulai di tempat duduk pemandu kereta BMW dipandunya dengan satu kesan tembakan di belakang kiri badan.



Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Besut, Terengganu, petang semalam.

‘Saya pula jadi mangsa’

Foto
MANGSA bernasib baik kerana gunting
itu tidak mencederakan otaknya.
Miri: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun bertarung nyawa lebih lima jam apabila sebilah gunting tertusuk di kepalanya sedalam tiga sentimeter, akibat perbalahan antara ibu dan bapanya, awal pagi semalam.
Kejadian jam 3 pagi itu berlaku selepas cubaan ibu kanak-kanak itu menyerang bapanya menggunakan gunting tersasar, sebaliknya mengenai kepala mangsa yang ketika itu sedang tidur.
Sebelum itu, pasangan berusia 30-an itu bertengkar di rumah mereka di Jalan Tanjung Miri, di sini kerana si isteri berkenaan menuduh suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

Sumber berkata, ketika kejadian pasangan terbabit juga dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol menyebabkan masing-masing enggan beralah dan kemuncaknya wanita terbabit cuba menikam suaminya menggunakan sebilah gunting.


Menurutnya, pertengkaran yang pada mulanya berlaku di ruang tamu itu berlarutan sehingga ke bilik tidur sebelum wanita terbabit menyerang suaminya dengan gunting.

Tersilap samun polis

Foto
ANGGOTA polis memeriksa mayat suspek.
Petaling Jaya: Padah menyamun polis, seorang lelaki berusia 34 tahun ditembak mati dalam kejadian di SS21/35 Damansara Utama, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, anggota polis terbabit daripada Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) dari Balai Polis Subang baru tamat bertugas dan singgah di mesin juruwang automatik (ATM) di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek dikenali sebagai Chin Thin Choon, 43, dikatakan mengekori mangsa ke mesin ATM sebelum meletakkan pisau pemotong daging pada lehernya.

“Suspek meminta anggota berkenaan menyerahkan semua barangan berharga dan mengugut mencederakannya jika enggan.


“Anggota berkenaan menyerahkan seutas jam tangan, telefon bimbit dan wang kepada suspek sebelum dia diarahkan berbaring di atas lantai,” katanya.

Silap pilih mangsa rompak



ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang penjenayah yang mati ditembak selepas menyamun anggota polis di sebuah bank di Damansara Utama semalam.


PETALING JAYA – Seorang penjenayah tersilap sasaran apabila dia mati ditembak selepas menyamun dan cuba melarikan kereta seorang anggota polis dalam kejadian di sebuah bank di Damansara Utama di sini awal pagi semalam.
Semasa kejadian pada pukul 4 pagi itu, suspek ditembak oleh anggota polis terbabit selepas dia yang cuba menghalang tindakan penjenayah itu daripada melarikan kereta Perodua Myvi miliknya diserang suspek terbabit menggunakan pisau pemotong daging.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian mangsa yang merupakan anggota polis berpangkat Koperal di Balai Polis Kampung Baru Subang baru habis bertugas singgah di bank tersebut untuk mendepositkan wang.
“Ketika anggota polis yang berpakaian preman berada di bank itu, tiba-tiba muncul seorang lelaki memegang pisau pemotong daging mengugut untuk mencederakan anggota polis itu jika dia tidak menyerahkan barang berharga.
“Anggota polis itu terpaksa akur dan menyerahkan barang telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dan kunci kereta kepada suspek.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2UGFAMLZP 
Hakcipta terpelihara 

Kepala anak tertikam gunting ketika ibu bapa bergaduh


KANAK-KANAK yang cedera di kepala selepas tertikam dengan gunting sempat bermain telefon bimbit ketika mendapat rawatan di Hospital Miri semalam.


MIRI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi mangsa pertelingkahan ibu bapanya apabila kepala tertikam dengan gunting sedalam tiga sentimeter di rumah mereka di Jalan Tanjung, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, ibu mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an sedang bertengkar dengan suaminya akibat masalah rumah tangga sebelum dia mengambil sebilah gunting.
Bagaimanapun, cubaan wanita itu untuk menyerang suaminya berakhir dengan dia tertikam kepala anaknya sendiri yang kebetulan bermain di situ.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, tikaman tersebut menyebabkan gunting itu tertusuk sedalam tiga sentimeter di kepala mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2UGCsZOA1 
Hakcipta terpelihara 

Peraih ditembak mati lepas solat


ANGGOTA polis memeriksa kereta BMW milik Zahari yang mati ditembak di depan Masjid Nurul Anuar, Dalam Rhu di Pasir Puteh malam kelmarin.


PASIR PUTEH – Seorang peniaga ikan yang baru selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid Nurul Anuar, Dalam Rhu dekat sini malam kelmarin mati ditembak sejurus kereta dipandu mangsa keluar dari pekarangan masjid.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd. Rahim, sebelum kejadian pada pukul 9 malam, Zahari Razak, 57, dari Kampung Pachakan, Jalan Semerak yang merupakan peraih ikan di Kuala Besut, Terengganu itu, memandu kereta BMW seorang diri sebelum seorang lelaki yang menunggu di atas motosikal melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah kereta mangsa.
“Mangsa yang terkena tembakan gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kenderaan itu terbabas beberapa meter ke kawasan lapang di bahu jalan sebelum berhenti,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku sejurus selepas Zahari selesai menunaikan solat Isyak dan meninggalkan masjid itu untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari masjid itu.
“Pada pukul 8.50 malam, setelah selesai solat Isyak, mangsa terus masuk ke dalam kenderaan dan memandu meninggalkan kawasan masjid.
“Namun sejurus selepas kenderaan mangsa dipandu melepasi pintu pagar gerbang masjid, kereta mangsa telah ditembak sebanyak lima das oleh seorang suspek yang berada di atas motosikal dan dipercayai menunggu mangsa meninggalkan masjid,” kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2UFzgo6y6 
Hakcipta terpelihara 

Jambatan di Washington runtuh



SEBAHAGIAN jambatan lebuh raya Interstate 5 yang runtuh ke dalam Sungai Skagit di negeri Washington kelmarin.- Agensi


OLYMPIA - Sebahagian jambatan empat lorong merentasi sebatang sungai di pedalaman utara bandar raya Seattle, Amerika Syarikat (AS) runtuh kelmarin, menyebabkan sejumlah kenderaan dan orang ramai terhumban ke dalam air, kata pihak berkuasa.
Jurucakap polis negeri Washington, Mark Francis berkata, jambatan di lebuh raya Interstate 5 yang merentasi Sungai Skagit di antara bandar Mount Vernon dan Burlington yang terletak 90 kilometer ke utara Seattle itu runtuh sekitar pukul 7 petang (waktu AS).
"Saya diberitahu terdapat kenderaan dan orang ramai yang terjatuh ke dalam sungai. Setakat ini saya belum pasti jika ada kecederaan berlaku," katanya.
Akhbar Seattle Times melaporkan bahawa tiga orang telah diselamatkan dari dalam sungai tersebut.
Kata Francis, punca kejadian masih disiasat tetapi menurutnya, jambatan tersebut runtuh semasa hujan lebat.
Menurut Pangkalan Data Jambatan Kebangsaan AS, jambatan berkenaan dibina pada 1955 dan menjadi laluan utama kenderaan yang berulang-alik antara Seattle dan Vancouver di Kanada.
Nahas itu berlaku hampir enam tahun selepas sebuah lagi jambatan runtuh di Minnesota, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung tahap keselamatan infrastruktur di AS.
Pada Ogos 2007, kira-kira 305 meter bahagian jambatan I-35W di Minneapolis runtuh ke dalam sungai Mississippi ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.
Sejumlah kenderaan terhumban ke dalam sungai dengan menyebabkan 13 orang terbunuh, manakala 145 yang lain cedera. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2UFwnWmPk 
Hakcipta terpelihara 

Sami simbah minyak tanah, bakar diri





KANDY - Seorang sami bertindak membakar diri kerana membantah penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu di Sri Lanka.
Insiden itu merupakan yang pertama membabitkan sami Buddha di negara tersebut.
Polis berkata, sami tersebut, Bowatte Indaratane menyimbah minyak tanah dan membakar dirinya dekat sebuah kuil di sini semasa sambutan Hari Wesak.
"Beberapa anggota polis berhampiran bertindak memadamkan api dan membawa sami itu ke hospital," kata jurucakap polis, Buddhika Siriwardena.
"Sebelum membakar diri, sami itu memberitahu, tindakan tersebut bagi memprotes penyembelihan lembu dan kambing," tambahnya.
Menurut polis, sami tersebut kini berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital Sri Lanka.
Memakan daging adalah menjadi kebiasaan penduduk Sri Lanka, walaupun agama Buddha melarang penganutnya membunuh haiwan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UFwRP3yp 
Hakcipta terpelihara