Search This Blog

Friday, May 24, 2013

Seorang pemilik kedai maut selepas ditembak

NARATHIWAT - Seorang pemilik kedai maut selepas ditembak dari jarak dekat di daerah Sungai Padi, Narathiwat, selatan Thailand.

Pegawai polis Supawat Jikiri berkata, seorang individu menembak mangsa selepas berpura-pura membeli barang di kedai mangsa.

Sementara itu,menurut laporan Bangkok Post, lebih daripada lapan juta penduduk di 14 wilayah selatan termasuk Koh Samui dan Phuket bergelap lebih tiga jam.

Pegawai Lembaga Janakuasa Elektrik, Thatri Rewcharoen berkata, kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal.

WHO desak keterbukaan informasi



24 Mei 2013
Virus korona
Virus korona ini juga menunjukkan simptom seperti jangkitan Sars. Foto: AP
PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) mendesak negara-negara yang memiliki kemungkinan serangan virus korona dikenali sebagai NCoV untuk bertukar informasi.

Langkah ini dibuat setelah Arab Saudi mengatakan perkembangan diagnosisnya tertangguh berikutan adanya hak paten NCoV oleh makmal komersial.

Sebanyak 22 orang dilaporkan maut dan 44 kes disahkan positif NCoV di seluruh dunia sejak 2012, demikian menurut WHO.

NCoV merupakan virus dalam kelompok sama dengan virus yang menyebabkan penyakit sindrom pernafasan akut, Sars.

Penyebaran penyakit Sars pada 2003 menewaskan 770 orang.

Namun menurut WHO, NCoV dan Sars memiliki ciri-ciri yang berbeza di antara satu sama lain.

Virus ini pertama kali dikesan di Arab Saudi, iaitu negara yang dilaporkan mempunyai kes terbanyak.

Timbalan Menteri Kesihatan Arab Saudi, Zaid Memish mengungkapkan kerisauan tersebut dalam Pertemuan Kesihatan Dunia di Geneva.

"Kami berjuang untuk dapat melakukan diagnosis kerana virus tersebut telah dipatenkan oleh para ilmuan dan tidak boleh digunakan untuk dikaji oleh ilmuan lain.

"Saya fikir perkembangan yang tertangguh ini dipengaruhi oleh paten virus," katanya.

Pemburu Mafia diancam surat ugutan bunuh



24 Mei 2013
ROM - Pendakwaraya yang juga pemburu Mafia, Ilda Boccassini menerima ancaman bunuh menerusi kiriman surat berisi dua butir peluru.

Boccassini juga yang menuntut agar hukuman penjara enam tahun dikenakan kepada bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

"Pada akhir-akhir ini, Boccassini sering mendapat pelbagai bentuk ancaman berupa kiriman surat dan kelmarin adalah salah satu yang paling serius," kata pendakwaraya Milan, Edmondo Bruti Liberati dalam satu kenyataan, semalam.

Namun beliau menegaskan pejabat pendakwaraya akan tetap meneruskan  tugasnya tanpa perubahan.

Skandal penari

Selain menuntut hukuman enam tahun penjara, Boccassini juga meminta agar Berlusconi dilarang untuk meneruskan karier politiknya.

Pada Februari 2011, Berlusconi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur dan menyalahgunakan kuasa untuk membantu gadis itu.

Ketua pendakwa raya, Edmondo Bruti Liberati dan beberapa hakim di Milan telah menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan Berlusconi membayar sejumlah wang untuk mengadakan hubungan seks dengan penari kelab malam, Ruby dan kemudian diketahui bernama Karima El Mahroug, yang ketika itu masih di bawah umur.

Pertuduhan itu termasuklah penyalahgunaan kuasa sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk meminta polis Milan membebaskan penari rakyat Magribi itu selepas dia ditahan kerana mencuri pada Mei 2010.

Berlusconi mengakui membuat panggilan telefon tersebut tetapi mengatakan panggilan itu dibuat sebagai bantuan untuk bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Berlusconi percaya Mahroug merupakan cucu bekas Presiden Mesir tersebut.

Baik Mahroug dan Berlusconi telah membantah tuduhan tersebut.

Keputusan penghakiman kedua-duanya dijangkakan akan diumumkan pada 24 Jun datang.

Tersalah langkah, penyamun maut ditembak koperal


24 Mei 2013

Anggota forensik polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.
PETALING JAYA - Hajat seorang penyamun melarikan sebuah kereta Perodua Myvi berakhir selepas suspek mati ditembak pemiliknya yang merupakan seorang anggota polis berpangkat koperal.

Dalam kejadian sebelum jam 4 pagi tadi di hadapan Bank CIMB Damansara Utama itu, suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging meminta anggota polis itu menyerahkan telefon bimbit, wang tunai dan kunci kereta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang memakai topi keledar terlebih dahulu meletakkan parang dileher anggota polis berkenaan yang ketika itu mahu mendepositkan wang ke dalam mesin.

Menurut beliau, bimbang dicederakan mangsa yang ketika itu berpakaian biasa menyerahkan barangan berharga seperti yang diminta oleh suspek.

“Anggota polis terbabit cuba menghalang suspek melarikan keretanya dengan memperkenal diri sebagai anggota polis, namun suspek meluru mahu menyerangnya dengan pisau menyebabkan mangsa melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai tepat pada bahagian badan dan kepalanya,” katanya.

Menurutnya siasatan lanjut mendapat lelaki berusia 43 tahun itu mempunyai rekod pernah ditahan polis beberapa kali kerana terkibat dalam kes pecah rumah, dadah dan curi kereta.

Jelas Arjunaidi, manakala mangsa berusia 34 tahun yang bertugas di Balai Polis Kampung Baru Subang itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun.

Mayat kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

FBI tembak mati suspek bom Boston


24 Mei 2013

Todas hev
ORLANDO - Seorang suspek serangan bom di kejohanan maraton Boston, Amerika Syarikat pertengahan April lalu, dilaporkan terbunuh selepas ditembak pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ketika disoal siasat, kelmarin.

Menurut pegawai, insiden berlaku apabila suspek, Ibragim Todashev, 27, bertindak ganas sewaktu pegawai FBI menyoalnya membabitkan serangan pengeboman di Boston pada 15 April lalu.

"Kami terpaksa menembak suspek selepas dia bertindak agresif dengan cuba mencederakan pegawai kami sewaktu sesi siasatan," kata pegawai FBI dalam laporan Al-Jazeera.

Sementara itu, rakan suspek, Khusn Taramiv memberitahu, Todashev adalah salah seorang individu yang mengenali suspek pengebom utama, Tamerlan Tsarnaev kerana kedua-duanya adalah pejuang seni mempertahankan diri tetapi menolak terlibat dengan insiden di Boston.

Peraih ikan ditembak depan masjid


24 Mei 2013
KOTA BHARU - Seorang tauke peraih ikan Kuala Besut, Terengganu maut selepas terkena satu daripada lima das tembakan dilepaskan penjenayah dalam kejadian di Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 9.25 malam di hadapan Masjid Nurul Anuar sejurus mangsa, Zahari A Razak, 57, selesai menunaikan solat Isyak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa dari Kampung Pachakan, Jalan Semerak, ditembak seorang lelaki bermotosikal yang menunggu di luar pagar.

“Mangsa ke masjid untuk solat Maghrib pada jam 7 petang sebelum keluar bersama tiga jemaah untuk minum di kedai berhampiran dan masuk semula bagi menunaikan  olat Isyak. Selesai solat Isyak, dia yang memandu kereta jenis BMW 525i berwarna kelabu miliknya untuk pulang ke rumah.

“Sejurus melepasi pintu gerbang, lima das tembakan dilepaskan menyebabkan kereta dinaikinya bergerak perlahan dan berhenti apabila tayar terbenam di kawasan rumput bersebelahan masjid. Suspek pula memecut motosikal ke simpang Pasir Puteh-Kuala Besut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati tiga kesan tembakan ditemui pada cermin serta masing-masing satu pada pintu dan bawah pintu penumpang hadapan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. Pemeriksaan forensik mendapati satu kesan tembakan kena pada belakang sebelah kiri tubuh mangsa.

"Suspek seorang lelaki bersenjata pistol belum dikenal pasti dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tiga lelaki ditahan, cubaan pecah rumah gagal


24 Mei 2013
MUAR - Cubaan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah di bandar ini gagal apabila perbuatan mereka disedari jiran mangsa, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, suspek yang masing-masing  berusia lingkungan 30an itu berjaya ditahan di Jalan Daud di sini,  tidak lama selepas melarikan diri daripada  pasukan polis yang meronda kawasan berhampiran.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pengadu melihat orang tidak dikenali sedang cuba mengumpil pintu pagar rumah jirannya.

“Pengadu diberitahu ibunya yang curiga dengan  gerak geri seorang lelaki yang berada di depan pintu  pagar rumah berkenaan.
“Dia kemudian meninjau dari tingkap biliknya dan melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu pagar rumah jirannya, manakala sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merah berada tidak jauh dari  mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semasa polis tiba suspek telah melarikan diri dan meninggalkan peralatan memotong dawai di longkang berhampiran.

Jelasnya, pihaknya meneruskan rondaan di kawasan berhampiran dan menemui kereta tersebut di jalan belakang rumah mangsa dan mereka berjaya ditahan ketika cuba memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

“Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek kira-kira empat jam kemudian pada hari sama kerana dipercayai bersubahat dengan kejadian tersebut,” katanya.

Sahadan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 30an itu tiada sebarang rekod jenayah lampau namun polis tidak menolak kemungkinan mereka terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Muar sebelum ini.

“Ujian air kencing tiga suspek berkenaan positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.

Geng samun rekrut remaja bawah umur


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mei 2013
Rekrut remaja bawah umur
Mat Fauzi (tengah) menunjukkan parang yang digunakan geng samun untuk mencederakan mangsa dan peralatan lain yang dicuri.
BAGAN SERAI - Remaja bawah umur yang masih bersekolah dikenal pasti antara sasaran geng samun untuk direkrut bagi menyertai kumpulan itu menjalankan aktiviti jenayah sebagai cara senang mendapatkan wang.

Terbaru, polis daerah Kerian menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun susulan disyaki menjalankan aktiviti samun berkumpulan bersenjata bersama tiga lelaki lain dan seorang perempuan di sebuah rumah kongsi, Batu 8, di sini dalam kejadian 15 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 hingga 4 pagi, salah seorang mangsa terdengar bunyi bising dan suara orang menyuruh pintu belakang rumah itu dibuka.

Menurutnya, mangsa seorang perempuan berusia 24 tahun membuka pintu terbabit sebelum terkejut mendapati enam lelaki bersenjatakan parang terus menyerbu masuk ke dalam rumah itu.

“Melihat keadaan suspek memakai topeng dan bersenjata, beberapa pekerja buruh di dalam rumah itu melarikan diri dan meninggalkan mangsa wanita, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Indonesia.

“Kesemua suspek bertindak ganas dengan memukul dan mencederakan dua lelaki tempatan sehingga mengalami lebam dan bengkak, manakala seorang lelaki pekerja Indonesia ditetak suspek di kepala dan bahu dengan menggunakan parang sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini semalam.

Mat Fauzi berkata, kesemua suspek turut bertindak mengurung mangsa di dalam bilik air sebelum bertindak merampas sebuah kereta jenis Perodua Kancil, sepasang subang, lima rantai emas, tiga telefon bimbit, dua pemain DVD, sebuah konsul permainan Playstation, sebuah iPad, wang tunai RM2,200 dan sebuah enjin pam air jenama Honda.

Menurutnya, polis menganggarkan jumlah kerugian ditanggung mangsa sebanyak RM6,000 termasuk nilai barang elektrik hilang, telefon bimbit dan wang tunai.

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan 15 tahun hingga 25 tahun dikenal pasti mangsa menggunakan pintu belakang rumah untuk tujuan keluar masuk,” katanya.

Mat Fauzi berkata, polis menjalankan siasatan ke atas kes itu dan hasilnya kereta dicuri geng samun itu ditemui semula di Jalan Jeti, Bagan Serai pada jam 1.30 pagi hari kejadian dengan nombor pendaftaran masih ada.

“Susulan itu, pada 16 Mei, polis menangkap seorang suspek lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai ketua geng berkenaan di Jalan Selama, di sini.

“Siasatan ke atas suspek berkenaan membawa tiga lagi tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang perempuan termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang tidak bersekolah di sekitar Bagan Serai pada 18 Mei,” katanya.

Berikutan itu, polis masih memburu dua lagi suspek kes sudah dikenal pasti, termasuk seorang lagi pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini bagi membantu siasatan polis berkenaan kes samun berkenaan.

“Siasatan polis turut mendapati suspek pertama ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkenaan kes berkaitan dan dipercayai merekrut anggota baru termasuk pelajar sekolah bagi tujuan samun.

“Pada masa sama, polis turut menggesa dua suspek kes terbabit yang masih bebas hadir ke IPD Kerian untuk membantu polis menyelesaikan siasatan kes itu,” katanya.

Penjenayah ‘pintar’ tak serik


Bagan Serai: Walaupun dianggap pintar dan memiliki ijazah jurusan undang-undang luar negara, seorang lelaki dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kes samun pejabat pos di Gunung Semanggol, di sini bersenjatakan pistol tiruan.

Suspek yang berusia 46 tahun itu didakwa menggunakan alasan merompak wang kutipan pejabat pos itu sebanyak RM660 untuk membiayai pengajian anaknya di sebuah universiti tempatan.


Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, polis menahan suspek di sebuah rumah sewa di Taman Selinsing Melati, Semanggol, di sini, pada jam 1.30 pagi Isnin lalu.

Katanya, suspek menjadi buruan polis selepas petugas wanita pejabat pos itu membuat laporan bahawa suspek berpura-pura mahu berurusan sebelum mengacukan sepucuk pistol dan melarikan wang tunai berkenaan pada kira-kira jam 9.45 pagi, 6 Mac lalu.


“Berdasarkan aduan, polis membuat siasatan dan hasilnya suspek berjaya ditahan bersama pistol palsu yang digunakan ketika melakukan rompakan.


“Dalam soal siasat suspek mengaku melakukan samun itu menggunakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan sejumlah wang tunai daripada mangsa dengan alasan kesempitan wang untuk membiayai pengajian anaknya di universiti tempatan.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati pada 2003, suspek turut terbabit dalam kes samun di Johor dan sudah menerima hukuman,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Mat Fauzi berkata, suspek mengaku pernah melakukan kes rompakan sama di Teluk Emas, Melaka, tahun lalu.

“Apa yang memeranjatkan kami, selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, suspek adalah seorang graduan luar negara dan mempunyai ijazah dalam jurusan undang-undang,” katanya.


Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun atau denda atau sebatan.

Terhumban dalam parit


Bagan Serai: “Saya sangka akan mati sejurus motosikal yang saya tunggang terbabas ke dalam parit,” kata seorang mangsa kemalangan, Zainal Abu Bakar, 36, yang terselamat apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Siakap, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.56 pagi itu, mangsa terselamat apabila merangkak keluar dari parit berkenaan sebelum diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kerian.


Difahamkan, kemalangan berlaku sejurus motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan kereta Proton Wira menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terbabas.

“Saya terpaksa menekan brek secara mengejut sebaaik kereta Proton Wira memotong secara melulu dari arah bertentangan dan masuk ke laluan saya.


“Tindakan saya menghentikan motosikal secara mengejut itu menyebabkan motosikal saya hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan. Saya kemudian terhumban ke dalam parit berkenaan,” katanya yang hanya mengalami kecederaan ringan di kepala dan tangan kiri.


Sementara itu, Pegawai bahagian Operasi dan Latihan JPAM Kerian B Sugumaran berkata, dia tidak percaya apabila mendapati mangsa terselamat tanpa mengalami kecederaan serius berikutan motosikal ditunggang mangsa rosak teruk.

“Dia dihantar ke Klinik Kesihatan Bagan Serai untuk rawatan lanjut dengan menggunakan ambulans JPAM,” katanya.

Lompat selamat nyawa



Rembau: Tindakan nekad seorang pemandu teksi melompat keluar dari kenderaannya berjaya menyelamatkan dirinya daripada maut selepas teksi yang dipandu melanggar belakang lori, lalu berpusing sebelum dirempuh dua lagi kenderaan dalam kejadian di Kilometer 242, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Wong Thean Teck, 61, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghantar penumpang di Melaka.


Bagaimanapun, pemandu teksi itu tidak dapat ditemu bual berikutan trauma dengan kejadian itu.

Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu, Yap Chee Hock, 52, berkata, dia dalam perjalanan menghantar barangan runcit dari Johor Bahru ke Butterworth, Pulau Pinang, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dari arah belakang lorinya.


“Saya terus memberhentikan lori di lorong kecemasan dan mendapati sebuah teksi melanggar belakang kenderaan saya. Beberapa saat selepas itu, saya mendengar bunyi dentuman lagi dan melihat dua kereta sudah melanggar teksi yang berada di lorong tengah.


“Saya ingat ada orang dalam teksi itu dan pastinya mangsa parah tetapi apabila didekati teksi itu kosong. Rupa-rupanya pemandu teksi sudah melompat keluar. Kalau tidak, mungkin pemandu teksi itu cedera parah sebab teksinya remuk teruk. Saya mendapati pemandu teksi hanya luka ringan di kepala dan tangan akibat terkena serpihan kaca,” katanya.

Pemandu kereta Proton Persona, Herman Bakar,42 berkata, ketika kejadian dia yang memandu di lorong tengah tiba tiba ternampak sebuah teksi menyebabkan dia gagal mengelak lalu merempuh bahagian depan teksi berkenaan.


“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah hanya bengkak di kepala dan lengan akibat terhantuk. Ketika itu, saya sempat menjerit Allahuakbar dan keadaan begitu mencemaskan, namun saya kawal semula stereng dan berhenti di lorong kecemasan,” katanya.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu teksi dari arah Ayer Keroh ke Senawang dipercayai mengekori rapat lori lalu melanggar belakang lori dan berpusing. “Pada masa sama, datang sebuah kereta jenis Proton Persona melanggar teksi sebelum dituruti sebuah kenderaan jenis Nissan X-trail turut merempuh teksi itu.


“Pemandu teksi hanya mengalami kecederaan ringan manakala tiga pemandu lain tidak mengalami kecederaan serius. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mati ubah laluan mengejut


Kuantan: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta ketika mengubah laluan secara mengejut di Kilometer 81, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, dekat Bentong, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa, Chan Ah Kow, 72, yang tinggal di Taman Seraya, dekat Triang, Bera, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berseorangan menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ibu negara dari Lanchang, Temerloh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa mengubah laluan secara mengejut dari kiri ke kanan jalan tanpa menyedari sebuah kereta datang dari belakang.


Katanya, berikutan itu, pemandu kereta terbabit berusia 30 tahun tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal mangsa.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong (HB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang juruteknik terbunuh selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah kereta Nissan Teana di Jalan Teluk Chempedak-Teluk Sisek, di sini, malam kelmarin.


Menurutnya, mangsa, Ainol Shamsul Azrin Jamaludin, 23, dari Taman Bahagia Permai, dekat Temerloh, yang parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Along mohon maaf

Foto
ALONG terbabit (kiri) berjabat tangan dengan
Liew (kanan) sambil diperhatikan Chong.

Kuala Lumpur: Seorang ceti haram atau along meminta maaf atas gangguan dilakukan pihaknya kepada keluarga peminjam selepas kesukaran dialami keluarga terbabit disiarkan di akhbar.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Micheal Chong berkata, selepas pihaknya membuat sidang media mengenai masalah seorang lelaki mahu dikenali sebagai Liew yang diganggu along berikutan anaknya gagal menjelaskan hutang along, dia didatangi along terbabit, kelmarin.


Menurutnya, along itu mendakwa dia dan konco-konconya tidak berniat mengganggu Liew serta keluarga, tetapi anak Liew yang menyuruh mereka meminta wang daripada lelaki itu.

“Sejurus kisah Liew disiarkan, pengurus sebuah syarikat pinjaman wang berlesen itu menghubungi saya dan meminta maaf sambil menerangkan situasi pihaknya.


“Mereka datang berjumpa saya (kelmarin) dan memberitahu mereka terpaksa menunggu di hadapan rumah Liew kerana mendapat maklumat anaknya berada di situ,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Menurutnya, along terbabit mendakwa mereka melakukan perbuatan berkenaan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengutip hutang daripada peminjam. “Mereka memberitahu saya mereka diarahkan majikan untuk mengutip hutang anaknya selepas dia (anak) cuba mengelak daripada membayar beberapa kali. “Malah, mereka mengaku bersalah dan memohon maaf kepada Liew kerana mengugut keluarganya,” katanya. Kelmarin, Harian Metro melaporkan seorang lelaki membiarkan keluarganya menanggung derita apabila diugut along selepas pinjamannya meningkat RM110,000 termasuk faedah dan kos lain. Dalam kejadian 19 Mei lalu, anak Liew yang sudah menghilangkan diri sejak empat tahun lalu pulang dan memberitahu dia sudah membuat pinjaman along dan mengadu tidak mampu membayar balik hutangnya kepada along berkenaan.

Askar Britain mati ditetak



London: Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam mengadakan mesyuarat tergempar bersama ketua perisikan negara itu selepas dua individu Muslim menetak seorang anggota tentera hingga mati dengan pisau pemotong daging di jalan raya di selatan London.

Rakaman video oleh seorang pejalan kaki hanya beberapa minit selepas pembunuhan kelmarin menunjukkan seorang lelaki dengan tangan berlumuran darah melaungkan slogan Islam dan berikrar untuk membalas dendam terhadap Britain kerana pembabitannya dalam perang di negara Islam.
“Kami bersumpah dengan nama Allah, kami tidak akan berhenti menentang kamu.

“Satu-satunya sebab kami lakukan ini ialah kerana orang Islam mati setiap hari,” kata lelaki berkulit hitam berusia lingkungan 20-an atau 30-an, memakai jaket dan jeans serta bertutur dalam loghat tempatan, menjerit dalam siaran rakaman yang diperoleh saluran berita ITV Britain.


“Askar Britain ini ialah bukti pembalasan setimpal kami,” katanya.


Serangan itu, hanya sebulan selepas serangan bom maraton Boston dan yang pertama membabitkan kumpulan Islam di London sejak serangan berani mati pada Julai 2005, mengembalikan kebimbangan serangan ‘lone wolves’ yang mungkin tiada kaitan dengan al-Qaeda.

Pembunuh itu dengan berlumuran darah menggesa rakyat Britain menggulingkan kerajaan atau berdepan risiko anak mereka menghadapi nasib sama seperti askar yang dibunuhnya.

Polis menembak dua suspek itu ketika cuba memberkas mereka dan suspek yang cedera berjaya ditahan.

Tiada maklumat dikeluarkan mengenai identiti suspek, tetapi dua sumber yang ada kaitan dengan siasatan memberitahu media, pihak berkuasa mengesahkan mereka rakyat Britain keturunan Nigeria.

“Saya meminta maaf kerana kaum wanita terpaksa menyaksikan ini, tetapi di tempat kami wanita juga perlu menyaksikan perkara sama.

“Kamu semua tidak akan selamat. Gulingkan kerajaan kamu. Mereka tidak peduli mengenai kamu,” kata lelaki itu dalam video berkenaan sebelum melintas jalan dan bercakap dengan seorang lagi penyerang.

Sementara itu, Cameron mempengerusikan mesyuarat tergempar keselamatan kebangsaan bersama ketua agensi perisikan Britain dan pegawai tinggi selepas memendekkan lawatannya ke Perancis untuk pulang ke London berikutan kejadian itu.

Persoalan utama ialah sama ada dua lelaki itu bertindak sendirian atau anggota kumpulan yang lebih besar. - Reuters

Pondan curi RM30,500 tukar jantina


Chon Buri: Seorang pondan ditahan sejurus sebelum menjalani pembedahan menukar jantina semalam kerana didakwa mencuri 300,000 baht (RM30,500) daripada seorang lelaki Kuwait bagi membayar pembedahan itu.

Sumit Manupan, 20, bersiap untuk menjalani pembedahan jantina di Hat Yai apabila polis memberkasnya. Polis turut merampas 50,000 baht (RM5,069) daripadanya.
Sumit mengakui bertemu warga Kuwait, Duhaiman Alanlati, 56, di Pattaya pada 15 Mei lalu. Mereka kemudian melakukan seks di sebuah hotel, menurut polis.

Sumit berkata dia mencuri wang Duhaiman ketika lelaki itu tidur. Dia dan rakannya kemudian melarikan diri ke Bangkok sebelum ke Songkhla. - Bangkok Post

Kekasih curang disangka hantu



Hobart: Gara-gara percaya rumahnya berhantu, seorang lelaki memasang kamera tersembunyi di dapur untuk merakamkan aktiviti paranormal itu.

Dan tindakan itu akhirnya memang merakamkan aktiviti luar biasa di rumah berkenaan - apabila kamera itu merakamkan hubungan seks di antara anak lelaki dan kekasih lelaki terbabit.


Ketika lelaki itu mempertikaikan tindakan kekasihnya, wanita terbabit - berusia 28 tahun - mendakwa ia bukan hubungan asmara seperti disangka, sebaliknya sekadar pelukan kasih sayang dengan remaja berkenaan.

Namun, apabila lelaki itu menyoal anaknya yang berusia 16 tahun, remaja itu mengakui dia pernah berasmara dengan kekasih bapanya beberapa kali sebelum itu. Polis kemudian dihubungi untuk menangkap wanita terbabit. - The Sun

Budak maut dihempap lelaki terjun untuk bunuh diri


Seoul: Seorang budak berusia tujuh tahun meninggal dunia serta-merta selepas dihempap seorang lelaki yang melompat untuk membunuh diri, lapor media semalam.

Menurut stesen televisyen SBS TV, seorang lelaki terjun berusia 40 tahun dari rumahnya di tingkat 10 sebuah apartmen di Busan petang kelmarin.


Bagaimanapun, dia jatuh di atas anak perempuan jirannya yang baru keluar dari tingkat bawah bangunan berkenaan bersama bapanya.


Lelaki terbabit - hanya dikenali sebagai Jang - mati serta-merta, manakala budak perempuan itu dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.


Jurucakap polis berkata, Jang memang dirawat kerana masalah mental dan kemurungan sejak sekian lama. - AFP

Sapu sampah petanda ajal

Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa.
Rembau: Dua sahabat maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 18, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pedas, di sini, tengah malam, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Mohamad Shafif Abdul Jalil, 20, berasal dari Kampung Baru Penajis, Chengkau, dan rakannya, Mohd Khairul Azmir Mohd Zin, 21, dari Taman Pedas Perdana, di sini, yang menaiki motosikal Honda EX-5, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala pemandu kereta Proton Gen.2 cedera ringan.
Bapa Mohamad Shafif, Abdul Jalil Repal, 55, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu yang juga pemandu lori dan ketika kejadian arwah dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Taman Seremban Jaya.

Abdul Jalil berkata, sebelum kejadian, mereka anak-beranak berborak di kedai jahit miliknya di Kampung Astana Raja, di sini, sebelum arwah meminta diri untuk pulang jam 12 tengah malam.


“Dalam perbualan itu, anak saya berhasrat membeli kereta dan memohon persetujuan saya. Namun, saya melarang kerana usianya masih muda dan menasihati supaya menyimpan wang terlebih dulu memandangkan arwah baru setahun bekerja,” katanya.

‘Wajahnya berseri’

Foto
AHLI keluarga bersyukur selepas mendengar
keputusan kes pembunuhan Kamaruddin.
Kuantan: “Baru-baru ini, ibu, Zainab Ahmad, 76, pernah bermimpi Kamal (panggilan untuk Kamaruddin) turun dari helikopter untuk pulang ke rumah dengan wajah berseri-seri.
“Hari ini (semalam), kami bersyukur dan menerima keputusan dengan hati tenang apabila pembunuhnya dihukum mati oleh Mahkamah,” kata Zaidah Shamsuddin, 54, kakak kepada Kamaruddin, pemandu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Zaidah berkata, selepas mendapat tahu mengenai keputusan itu, mereka sekeluarga memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kes pembunuhan berprofil tinggi itu akhirnya selesai dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

“Selepas sekian lama memendam derita dan kesedihan apabila adik kandung diperlakukan sedemikian (dibunuh), hari ini (semalam) kami rasa kemenangan berpihak kepada yang benar.


“Mungkin mimpi ibu petunjuk awal mengenai keputusan ini dan Kamal serta individu terbabit sebenarnya menjadi mangsa kekejaman mereka yang tidak berperikemanusiaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini, semalam.

‘Lakonan’ tak menjadi



Foto
ROZIMIN menutup mukanya dengan jaket
 selepas didakwa atas tuduhan berkhalwat.
Foto
NOR Hamiza (kiri) tidak mengaku
bersalah atas tuduhan berkhalwat.
Georgetown: Lakonan Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang yang menukar baju dan menutup mukanya dengan jaket sambil diiringi rakannya tidak menjadi, apabila ia dapat dikesan petugas media yang menunggu untuk mengambil gambarnya di Mahkamah Rendah Syariah Balik Pulau, di sini, semalam.

Ketika itu, beliau dikesan menggantikan orang lain dengan menukar kemeja oren dipakainya sebelum itu dengan seorang lelaki lain dipercayai rakannya yang diiringi sambil ditutup wajah dengan jaket dan menaiki kereta meninggalkan pekarangan mahkamah.


Bagaimanapun, taktik itu tidak menjadi apabila petugas media dapat mengesan beliau yang sudah menukar baju dan masih berada di mahkamah untuk menjelaskan wang jaminan.

Terdahulu, tertuduh Rozimin Ahamed Kamil, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah bilik hotel di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas, Isnin lalu.



Pasangannya, Nor Hamiza Ahmad, 35, seorang kakitangan Tabung Haji Pulau Pinang juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Mohamed Zaidi Abdullah, yang kemudian menetapkan 27 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Helikopter polis terhempas ketika kejar penculik, 5 terbunuh


CARACAS 23 Mei - Sebuah helikopter polis Venezuela terhempas di sini semalam ketika sedang mengejar sebuah kereta penculik, menyebabkan kesemua lima krew pesawat itu terbunuh.
Ketua Polis Venezuela, Luis Karabi berkata, helikopter berkenaan terhempas disebabkan cuaca buruk.
Bagaimanapun katanya, pasukan polis yang menaiki kereta peronda berjaya menembak mati seorang penculik dan menahan seorang lagi suspek.
"Kedua-dua tebusan yang bekerja sebagai jurutera berjaya dibebaskan," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_02/Helikopter-polis-terhempas-ketika-kejar-penculik-5-terbunuh#ixzz2UAK4rn3I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasukan Khas Bukit Aman siasat kematian tahanan


KUALA LUMPUR 23 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas yang diketuai Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya memberi jaminan kepada keluarga mangsa dan orang ramai bahawa polis akan mengendalikan siasatan kes itu secara telus.
"Polis akan mengendalikan siasatan ini secara telus dan tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota polis sekiranya mereka terlibat dalam kes ini.
"Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak membuat andaian dan spekulasi berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 21 Mei lalu, N. Dharmendran, 32, yang ditahan bersama tiga lagi rakannya di lokap IPK Kuala Lumpur mengadu sesak nafas. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans tetapi disahkan meninggal dunia setibanya di hospital.
Bedah siasat yang dijalankan semalam oleh pegawai perubatan mendapati terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian tahanan tersebut.
Menurut Mohmad, kes itu diklasifikasikan sebagai mati semasa dalam tahanan polis dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130524/je_03/Pasukan-Khas-Bukit-Aman-siasat-kematian-tahanan#ixzz2UAJMD6pD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis edar gambar suspek warga Myanmar bunuh rakan


SHAH ALAM 23 Mei - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang suspek lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan di sebuah bangunan pejabat kosong di Jalan Kota Raja, Hicom Town Centre di Seksyen 27 di sini Oktober lalu.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, suspek, Muang Thang Liang (gambar), 29, dicari bagi membantu siasatan kes pembunuhan rakan senegaranya yang ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.
Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa, Santhartun, 32, dikatakan baru tiba dari Ipoh, Perak untuk bertemu suspek yang menyewa di bangunan berkenaan. Ketika itu, suspek baru pulang dari kelab malam dalam keadaan mabuk.
"Mangsa dan suspek kemudian dikatakan bertengkar sehingga berlarutan ke bahagian tingkat bawah premis berkenaan sebelum suspek naik semula untuk mengambil pisau pemotong sayur lalu bertindak menikam perut mangsa.
"Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Effandi Main di talian 03-55202222 atau 013-3414887," ujar kenyataan tersebut di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130524/je_05/Polis-edar-gambar-suspek-warga-Myanmar-bunuh-rakan#ixzz2UAJC4WCd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar 15 tahun maut terjun bangunan sekolah


KUANTAN 23 Mei - Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan maut selepas bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira di sini hari.
Mangsa, Syamil Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 11.50 pagi kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.
"Sebelum kejadian, kira-kira pukul 11.30 pagi, pelajar berkenaan berjalan bersama rakan sekelasnya untuk menuju dewan sekolah. Dia bagaimanapun tiba-tiba berlari lalu terjun dari bangunan itu walaupun cuba dihalang beberapa rakannya," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jasmani, mangsa ditemui terjatuh dalam keadaan tertiarap di atas rumput di hadapan tandas perempuan di Blok A sekolah tersebut.
Tambah beliau, bedah siasat HTAA mendapati pelajar tersebut mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan.
Dalam pada itu, keluarga remaja berkenaan serta pihak sekolah semasa ditemui di HTAA enggan bertemu pemberita kerana masih terkejut dan sedih.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130524/je_04/Pelajar-15-tahun-maut-terjun-bangunan-sekolah#ixzz2UAJ0CtCy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 lelaki ditahan dalam rusuhan anti-Islam di London


LONDON 23 Mei - Polis Britain semalam menahan dua lelaki dalam usaha untuk mengelak berlakunya rusuhan anti-Islam ekoran pembunuhan kejam seorang lelaki yang dipercayai tentera oleh pelampau Islam.
Seorang lelaki berumur 43 tahun ditahan di Braintree, timur London selepas dilaporkan berjalan ke sebuah masjid dengan membawa pisau sejurus selepas berita pembunuhan itu tersebar.
Seorang lagi lelaki ditahan di Gillingham, tenggara England atas tuduhan merosakkan sebuah masjid, menurut jurucakap polis Kent.
Menurut saksi, dalam insiden pembunuhan kejam di Woolwich, tenggara London itu, semalam, dua orang lelaki telah menyembelih dan memenggal kepala seorang lelaki di tepi jalan raya di bandar raya itu pada siang hari.
Polis yang dipanggil ke tempat kejadian kemudiannya bertindak menembak dan mencederakan kedua-dua suspek sebelum menahannya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130523/lu_07/2-lelaki-ditahan-dalam-rusuhan-anti-Islam-di-London#ixzz2UAHKQxFf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesakit mental tikam pelajar


BEIJING 22 Mei - Seorang lelaki pesakit mental menikam enam pelajar sekolah rendah dan seorang dewasa di selatan wilayah Guangdong, semalam.
Seorang jurucakap kerajaan tempatan berkata, kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan suspek yang dikenali sebagai Liao berusia 32 tahun telah diberkas.
Kejadian yang berlaku di pinggir bandar Maoming itu terjadi selepas sesi persekolahan baru sahaja tamat.
Siri serangan dan pembunuhan pelajar sekolah di China sering berlaku sejak kebelakangan ini yang kebanyakanya melibatkan pesakit mental.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130523/lu_01/Pesakit-mental-tikam-pelajar#ixzz2UAGx9pqq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengarah Urusan IMF disiasat

Christine Lagarde
PARIS 23 Mei - Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, hari ini disoal siasat oleh pendakwa raya Perancis di mahkamah di sini bagi menentukan sama ada wujud kes penyelewengan berhubung pembayaran kerajaan kepada seorang hartawan ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan Perancis.
Mahkamah Keadilan Republik yang menyiasat kes salah laku melibatkan menteri-menteri, ingin mendapatkan penjelasan penglibatan Lagarde berhubung pembayaran 400 juta euro (RM1.60 bilion) pada 2007 kepada Bernard Tapie yang dipenjarakan kerana mengatur perlawanan bola sepak ketika menjadi Presiden sebuah kelab bola sepak Perancis, Olympique de Marseille.
Pendakwa raya cuba membuktikan Tapie menerima layanan khas sebagai balasan menyokong bekas Presiden, Nicolas Sarkozy pada pilihan raya Presiden Perancis 2007 dan Lagarde sebagai Menteri Kewangan ketika itu disyaki turut bersubahat dalam menyeleweng dana awam.
Jika Lagarde, 57, didakwa, ia menjadikan beliau Pengarah Urusan IMF kedua dikenakan tuduhan jenayah selepas Dominique Strauss-Kahn yang meletakkan jawatan dalam IMF ekoran dakwaan serangan seksual terhadap pembantu hotel New York. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_07/Pengarah-Urusan-IMF-disiasat#ixzz2UAFjjmUa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Satelit Ecuador berlanggar serpihan roket Rusia


QUITO 23 Mei - Sebuah satelit kecil Ecuador dilapor berlanggar dengan serpihan roket Rusia semalam, namun tahap kerosakan satelit tersebut masih belum diketahui.
Agensi angkasa Ecuador EXA melaporkan, satelit Pegaso masih kekal di orbit meskipun telah berlanggar dengan serpihan roket S14 yang dilancarkan ke angkasa hampir tiga dekad lalu.
Jelas agensi tersebut, pelanggaran terbabit berlaku kira-kira 1,500 kilometer di ruang angkasa timur Madagascar pada pukul 5.38 pagi waktu tempatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_01/Satelit-Ecuador-berlanggar-serpihan-roket-Rusia#ixzz2UAEmLaO3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar maut terjatuh dari bangunan sekolah



BEBERAPA ahli keluarga sedih ketika menunggu jenazah Syamil di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan semalam.


KUANTAN – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut selepas dia didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera di sini semalam.
Pelajar tersebut, Syamil Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, pelajar terbabit berjalan bersama beberapa rakannya di luar kelas mereka yang terletak di tingkat tiga dan menuju ke dewan sekolah di tingkat bawah.
Mohd. Jasmani memberitahu, mangsa terjatuh dalam keadaan tertiarap di atas kawasan rumput di hadapan tandas perempuan di Blok A sekolah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2UAD5mDDg 
Hakcipta terpelihara 

Muidin diarah bela diri dituduh bunuh Dirang



MUIDIN dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh Dirang di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintah seorang buruh membela diri berhubung tuduhan membunuh Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Muidin Maidin, 26.
Muidin didakwa membunuh Dirang di ladang kelapa sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di sini antara pukul 11.30 pagi 1 Mac 2012 sehingga 12 pagi 2 Mac 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Ketika membacakan penghakimannya, Abdul Halim berkata, terdapat empat asas yang mendorong keputusan tersebut iaitu penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) tertuduh dalam sampel yang diambil daripada kemaluan dan dubur mangsa, persamaan sampel tanah yang diambil daripada motosikal suspek dengan sampel tanah di lokasi mayat mangsa ditemui, cebisan kain terbakar di leher jasad mangsa yang berpadanan dengan kain milik tertuduh serta perlakuan tertuduh yang menunjukkan tempat kejadian yang relevan dengan episod pembunuhan mangsa.
“Setelah mendengar keterangan 35 saksi yang hadir serta daripada 131 exhibit yang dikemukakan sepanjang prosiding, saya putuskan di akhir pendakwaan, pihak pendakwa berjaya mewujudkan satu kes prima facie terhadap tertuduh.
“Daripada keempat-empat asas tersebut, asas pertama iaitu DNA tertuduh yang terdapat dalam sampel yang diambil daripada kemaluan dan dubur mangsa merupakan asas yang paling penting. Oleh itu, saya arahkan tertuduh membela diri,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2UACtlq73 
Hakcipta terpelihara 

Kematian empat mangsa terbela


ERNI


SHAH ALAM – Erni Dekritawati Yuliana Buhari melahirkan rasa syukur selepas mendengar mahkamah memutuskan tertuduh dalam kes pembunuhan ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya dijatuhi hukuman gantung sampai mati semalam.
Ahli perniagaan berusia 28 tahun itu berkata, selepas menunggu hampir tiga tahun, dia dan lima adiknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas empat orang termasuk bekas peguam N. Pathmanabhan kerana didapati bersalah membunuh ibunya pada bulan Ogos 2010.
“Perasaan amat bersyukur dan lega ini tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Saya juga amat berterima kasih kepada mahkamah, pihak keselamatan, media dan semua warga Malaysia yang menyokong kami selama ini,” kata anak sulung Sosilawati itu ketika ditemui di luar mahkamah selepas selesai prosiding kes tersebut.
Dalam pada itu, ketika ditanya kenapa beliau tidak berada di dalam kamar mahkamah untuk mendengar keputusan kes tersebut, beliau yang mesra dipanggil Rita memberitahu dirinya tiada kekuatan untuk berada di dalam mahkamah.
Oleh itu, katanya, sepanjang penghakiman itu dibuat, Rita hanya duduk di dalam kenderaan Toyota Alphard yang diletakkan di luar mahkamah sementara menunggu suaminya, Kamarulazlan Mohamad Hanafiah, 33, masuk ke kamar mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2UACetwbL 
Hakcipta terpelihara 

Pathmanabhan dihukum gantung



PATHMANABHAN (berkaca mata, paling kanan), Matan (kiri) dan Thilaiyalagan (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting pada malam 30 Ogos 2010.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes yang dihadapi kesemua tertuduh.
Selain Pathmanabhan, 44, tiga tertuduh lain ialah T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.
Kempat-empat tertuduh itu didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos 2010. Hukuman gantung adalah mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh tenang ketika mendengar keputusan itu. Pihak pembela memberitahu mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Pelaksanaan hukuman gantung ke atas semua tertuduh ditangguh sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, Hakim Akhtar dalam penghakimannya berkata, penafian tertuduh pertama yang mendakwa tidak bertemu Sosilawati pada 30 Ogos 2010 berlawanan dengan keterangan anak mangsa, Erni Dekritawati Yuliana Buhari yang memberitahu ibunya ke Banting untuk berjumpa peguam berkenaan bagi menyelesaikan urusan berhubung dua keping cek.
“Begitu juga dengan keterangan isteri Ahmad Kamil dan isteri Noorhisham yang tidak dicabar ketika mereka memberi keterangan bahawa suami masing-masing mengikut Sosilawati untuk menjadi penasihat kepada wanita itu ketika bertemu Pathmanabhan.
“Perkara tersebut turut terbukti dengan rekod panggilan mangsa-mangsa sepanjang perjalanan mereka menuju ke Banting,” kata beliau dalam penghakiman yang dibaca hampir sejam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2UACTsvEr 
Hakcipta terpelihara