Search This Blog

Wednesday, May 22, 2013

bersalah membunuh anak tiri

DEWI Nadia Alias dibawa keluar mahkamah selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini atas kesalahan bersalah membunuh anak tirinya, Nur Dania Qistina Nurizan yang berusia tiga tahun, dua tahun lalu.

Pendaki Bangladesh, Korea Selatan maut di Everest


 
KATHMANDU: Seorang pendaki dari Bangladesh dan seorang lagi dari Korea Selatan dilaporkan terbunuh di Gunung Everest ketika beratus-ratus pendaki lain cuba tiba di puncak tertinggi dunia itu dalam cuaca yang baik, kata pegawai pelancongan Nepal semalam.

“Kedua-dua lelaki terbabit mati ketika menuruni dari kemuncak pada Isnin,” kata seorang pegawai dengan kementerian pelancongan kepada AFP dari Everest Base Camp.
Sung Ho-Seo, 34, dari Korea Selatan cuba mendaki tanpa bekalan oksigen dan mati ketika dalam perjalanan menuruni gunung berkenaan.

Mohammed Hossain, 35 dari Bangladesh, mati dalam khemah beliau beberapa jam selepas berjaya tiba di kemuncak.

“Punca sebenar kematian tidak diketahui, tetapi ketinggian memainkan peranan,” kata pegawai terbabit, Gyanendra Shrestha sambil menambah mayat tidak dapat dibawa sehingga musim mendaki berakhir supaya ia tidak menjejaskan pendaki lain.

Kedua-duanya meninggal dunia di ‘zon maut’ kira-kira 8,000 meter, keadaan yang dianggap paling sukar dengan udara yang sedikit.

Lima lagi pendaki lain mati sepanjang musim mendaki gunung setinggi 8,848 meter ini.
Pada awal musim, Mingmar Sherpa, 47 seorang ahli pasukan elit dikenali ‘icefall doctors’ yang mewujudkan laluan mendaki juga terbunuh.

DaRita Sherpa, 47, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung awal bulan ini. Pemandu komersial, Lobsang Sherpa, 22 juga dilaporkan mati. Seorang lagi pendaki Russia, Alex Bolotov, 50 ditemui mati berhampiran Khumbu Icefall yang terkenal pada 15 Mei.

Kira-kira 300 orang menemui ajal ketika cubaan untuk tiba di kemuncak sejak enam dekad lalu. Malah mayat sebilangan di antara mereka masih lagi berada di gunung terbabit.

Mei disifatkan sebagai masa yang paling baik untuk mendaki Himalaya Nepal disebabkan cuaca yang sederhana dan kira-kira 300 tiba di kemuncak Everest setakat tahun ini. – Agensi

Bencana angin kencang paling buruk landa AS sejak 2 tahun lalu

RANAP: 91 maut, 230 cedera puting beliung landa Oklahoma

Moore (Amerika Syarikat): Sekurang-kurangnya 91 terbunuh, manakala beratus-ratus lagi cedera selepas puting beliung selebar tiga kilometer, melanda pinggir bandar raya Oklahoma, semalam.
Pusaran angin kencang itu itu juga memusnahkan kebanyakan rumah, menimbunkan kereta antara satu sama lain dan menyebabkan berpuluh-puluh pelajar terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Lori barang runcit terbabas



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Lori barang runcit terbabas
Razali (dua, kanan) bersama kelindannya melintasi lori dinaiki yang terbalik di KM405.8 Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.
Lori barang runcit terbabas
Barangan runcit bertaburan atas jalan akibat kejadian lori terbalik berpunca daripada tayar pancit.
HULU SELANGOR - “Nasib baik tidak ada kenderaan di lorong kanan, kalau tidak nyaris kami dilanggar,” kata pemandu lori, Razali Abdul Wahab, 52, yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, pagi semalam.

Razali bersama seorang kelindan terlibat dalam kejadian itu kira-kira jam 10.45 pagi semalam setelah tayar belakang lori muatan pelbagai barangan runcit pancit secara tiba-tiba.

Menurutnya, laluan selekoh dan menuruni bukit menyebabkan lori mereka terbabas dan melanggar besi pembahagi lebuh raya sebelum terbalik di lorong kanan.

“Saya memang tidak dapat kawal lori ketika itu menyebabkan ia terus terbalik.

“Tapi, Alhamdulillah kami tidak cedera. Hanya muatan barangan banyak yang rosak dan tercampak keluar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Razali, mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dan membawa barangan keluaran sebuah syarikat pengeluar produk halal ke stokis mereka di Kalumpang, di sini.

Katanya, kemalangan itu berlaku hanya lima kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim iaitu laluan keluar menuju ke Kalumpang.

Kemalangan tersebut turut menyekat lalu lintas disebabkan kerja pembersihan pelbagai jenis sos, rempah ratus, kordial, kuih-muih dan air minuman yang berselerak atas jalan.

Bagaimanapun, keadaan trafik terkawal dan kembali lancar selang setengah jam kemudian.

Beberapa pengguna dari arah Ipoh - Kuala Lumpur yang melalui kawasan kejadian turut membantu petugas lebuh raya dan tidak kurang ada yang mengambil kesempatan membawa balik barangan yang terdedah.

Penunggu KM 20.6 tagih darah?



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Penunggu KM 20.6 tagih darah?
KM 20.6 sering mengundang maut.
Penunggu KM 20.6 tagih darah?
Kedua-dua mangsa maut di KM 20.6.
Penunggu KM 20.6 tagih darah?
Kedua-dua mangsa terbunuh di tempat kejadian.
Penunggu KM 20.6 tagih darah?
Motosikal salah seorang mangsa hancur setelah dirempuh suspek.
Penunggu KM 20.6 tagih darah?
Seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Kulim.
KULIM - Fenomena kemalangan maut sering kali dikaitkan dengan kecuaian pengguna jalan raya, selain faktor jalan, namun bagaimana jika punca ia berlaku 'selain daripada' itu?

Sehingga kini lebih 60 kemalangan dilaporkan berlaku di Kulim di mana ia melibatkan 35 kematian.

Daripada jumlah ini, 90 peratus mangsa terdiri dari kalangan penunggang motosikal. Pelbagai cara telah dilakukan oleh polis trafik termasuk menjalankan operasi bagi mengurangkan kadar kemalangan bagaimanapun ia terus meningkat setiap hari.

Terdapat beberapa jalan utama di sini dikenal pasti sering melibatkan kemalangan maut antaranya Kilometer (KM) 20.6 Lebuh Raya Butterworth Kulim Ekspress (BKE), Jalan Sungai Seluang, lampu isyarat Taman Kuchai, Selekoh Taman Sepilai, Jalan Mahang Kulit, Jalan Batu Putih dan beberapa laluan lagi.

Anggap kawasan puaka

KM 20.6 dikatakan kawasan paling merbahaya apabila kemalangan maut melibat penunggang motosikal sering berlaku.

Difahamkan, antara faktor menyumbang kepada kemalangan itu adalah keadaan jalan terlalu gelap pada waktu malam.

Sehingga kini, lebih tujuh kematian dilaporkan di sekitar KM 20.6 dan ada penduduk di kawasan itu beranggapan ia berpuaka.

Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad berkata, terdapat beberapa tanda sekiranya penunggu lebuh raya di KM 20.6 itu 'inginkan' mangsa.

“Keadaan ini mungkin disedari oleh orang ramai dan anggota beruniform terbabit yang sering membuat rondaan di kawasan itu. Selalunya kemalangan maut ini akan berlaku sekitar jam 2 hingga 3 pagi.

"Sebelum kejadian berlaku aktiviti mat rempit kurang dan tiada tanda berlakunya perlumbaan di sekitar Pekan Kulim. Keadaan menjadi tenang, namun secara tiba-tiba kemalangan maut berlaku di kawasan itu.

"Laluan berkenaan sebelum ini merupakan kawasan hutan sebelum diterokai. Pelbagai kehidupan tinggal di kawasan itu termasuk alam ghaib dan misteri. Apabila pembangunan dijalankan, kawasan hutan mula diterokai dan kebanyakan pokok besar yang selama ini menjadi tempat persinggahan makhluk halus musnah,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM 20.6, maut.

Makhluk halus merangkak

Rosli berkata, makhluk halus itu boleh berupa manusia separuh badan dilihat merangkak di tengah jalan, selalunya selepas hujan di sebelah petang atau malam.

Katanya, makhluk itulah yang menarik kenderaan atau kaki penunggang motosikal sehingga mengakibatkan ramai penunggang maut di kawasan itu. Selain itu mangsa terlibat selalunya akan mengalami kecederaan parah.

“Makhluk yang merupakan penunggu di kawasan itu akan menjadikan darah mangsa yang terbunuh sebagai habuan mereka beramai-ramai. Itulah sebabnya mangsa yang terbunuh di kawasan itu akan kehabisan darah.

"Bukan senang untuk membuang atau menghalau penunggu yang ada di kawasan itu kerana kita telah menceroboh kawasannya,” katanya.

Masih jadi tanda tanya

Kira-kira jam 4 pagi semalam, seorang lelaki berbangsa Inggeris bertugas sebagai pengurus di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech berusia 40-an membuat laporan polis apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang.

Menurut mangsa, apabila sampai di Jalan Mahang, Kulim dia ternampak lelaki tidak berkepala melintas jalan dan kerana terlalu leka melihatkan lembaga itu, dia hilang kawalan sebelum terbabas.

Perkara sama berlaku pada seorang pekerja industri yang melalui jalan sama selepas melakukan kerja lebih masa.

Tiba di jalan terlibat, mangsa ternampak seorang wanita memakai baju kebaya, sambil mendukung anak di tepi jalan.

Sebaik sahaja melepasi lembaga itu, hendal motosikal jenis Kawasaki RR 150 ditunggangnya seperti ditarik ke tebing jalan sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan patah tangan kanan.

Walaupun kejadian aneh itu menjadi tanda tanya, tetapi kemalangan maut di sekitar kawasan terlibat masih berlaku.

Dia meminta pengguna jalan raya lebih peka apabila melalui kawasan itu.   
  
Terkini, seorang remaja berusia 19 tahun turut menjadi korban di KM 20.6 apabila motosikal ditunggangnya terbabas.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

JPKA diminta siasat lelaki nikah mangsa rogol bawah umur




21 Mei 2013
KOTA KINABALU, - Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah diminta mengkaji kemungkinan mencabar kesahihan perkahwinan seorang lelaki dengan gadis bawah umur yang didakwa dirogolnya.
  
Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad berkata kementeriannya memandang serius perkara itu apatah lagi ia melibatkan kepentingan umum khususnya dalam melindungi masa depan kanak-kanak.
  
Katanya JPKA perlu mengkaji kes itu daripada semua aspek termasuk kemungkinan mengambil atau memberi perlindungan kepada budak perempuan berumur 13 tahun itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
  
"Kita mahu jabatan kebajikan cabar perkahwinan itu...sebab kami masih mempersoalkan kesahihan perkahwinan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pembentukan Imej Diri Untuk Keharmonian Keluarga di sini, hari ini.
  
Jainab mengulas kes di Mahkamah Sesyen di sini semalam, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis bawah umur itu, yang kemudiannya memaklumkan dia telah berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.
  
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dan prihatin, kami amat terganggu dengan apa yang berlaku...kanak-kanak itu baru berusia 12 tahun 6 bulan...dia sepatutnya dilindungi tetapi dikahwinkan pula dengan lelaki yang merogolnya," katanya - Bernama

Ular sawa tengah bandar raya Kuala Terengganu



Ular sawa tengah bandar raya Kuala Terengganu
Orang ramai berusaha menangkap ular sawa yang muncul di Jalan Sultan Sulaiman.
KUALA TERENGGANU – Beberapa peniaga di Jalan Sultan Sulaiman, di sini dihantui rasa bimbang apabila ular sawa muncul di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Reptilia itu dikatakan sering muncul di jalan utama berkenaan apabila kelaparan terutama selepas waktu hujan untuk mencari makanan.

Ia dipercayai datang dari arah sebuah padang bola sepak yang dahulunya merupakan sebuah kawasan berpaya.

Lebih merisaukan peniaga dan penduduk, reptilia itu dilaporkan pernah memasuki rumah mereka.

Bagaimanapun, kebimbangan mereka berakhir apabila ular sawa sepanjang kira-kira empat meter tersebut berjaya ditangkap kira-kira jam 9.45 pagi kelmarin oleh orang ramai.

Seorang pembantu kedai, Saifullah Yusof, 22, berkata, ular sawa seberat kira-kira 40 kilogram itu ditangkap ketika sedang berlingkar di bawah sebuah kenderaan di tepi jalan utama itu.

“Saya memang sudah menjangkakan ada ular sawa lagi yang muncul selepas seekor ular sawa ditemui berada di dalam di rumah dan kedai tempat saya bekerja sebelum ini. Namun ketika itu, ular sawa berjaya menyusur keluar sebelum hilang entah ke mana.

“Kali ini, ular sawa itu muncul lagi tetapi berada di luar kediaman penduduk membolehkan ia mudah untuk ditangkap,” katanya yang turut menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya, sebelum tertangkapnya ular sawa berkenaan, penduduk dan peniaga di kawasan berdekatan bimbang reptilia itu akan bertindak agresif dengan menyerang manusia terutama kanak-kanak.

“Hari ini (semalam) seorang pemuda berusia 30-an juga tercedera apabila luka di tangan akibat dipatuk sebelum ular sawa itu berjaya ditangkap dan diikat serta diserahkan kepada sepasukan anggota bomba dan penyelamat daerah,” katanya.

Menurutnya, tertangkapnya ular sawa itu, menamatkan kebimbangan penduduk dan peniaga berdekatan kawasan itu sekali gus mereka tidak lagi dihantui dengan kemunculan reptilia yang dilindungi itu lagi.

Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Duit niaga RM45,000 hangus



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Duit niaga RM45,000 hangus
Nor Suhaida yang memeluk erat anak bongsu, Azwari, 3, bersama dua lagi anaknya, Nor Fatin dan Muhammad Fikri memandang sayu sisa wang RM45,000.
Duit niaga RM45,000 hangus
Keadaan bahagian belakang rumah kedai yang terbakar.
Duit niaga RM45,000 hangus
Nor Suhaida yang masih trauma ditenangkan jiran yang datang menziarah.
Duit niaga RM45,000 hangus
Muhammad Fikri melihat beg sekolah dan buku teks adiknya, Nor Fatin yang turut musnah.
KERTEH - “Saya terjaga dari tidur bila anak bongsu kejut dan beritahu ada api,” kata pemilik Restoran Khaida Tomyam 228, Nor Suhaida Mamat, 32.

Nor Suhaida rugi lebih RM100,000 apabila rumah sewa yang turut dijadikan asrama pekerjanya di tingkat atas Bangunan Umno Cawangan Kerteh, Kampung Telaga Papan dekat sini, musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam.

Bukan sahaja semua harta benda dalam rumah musnah, malah sebahagian besar wang tunai hasil niaga berjumlah RM45,000 yang belum dimasukkan ke dalam bank dan disimpan di dalam beg tangan turut hangus dijilat api.

Suhaida berkata, sebaik membuka mata, dia melihat api marak membakar bahagian tilam atas katil dua tingkat anaknya yang terletak bersebelahan katilnya sebelum bertindak mengejut suami yang sedang tidur.

“Waktu itu saya cuma teringat anak. Namun mujur anak saya, Nor Fatin Atasha Akhruddin, 9, dan Muhammad Fikri Amiruddin, 12, yang sepatutnya tidur di tilam atas sedang melayari internet di luar rumah kami.

“Suami bersama pekerja pula cuba padam api tapi gagal. Malah dalam kekalutan, suami jatuh dalam bilik air dan rambutnya turut terbakar,” katanya yang bersyukur kerana dia lima sekeluarga dan tujuh pekerjanya yang tinggal bersama terselamat.

Kata ibu tiga anak ini, wang tunai RM45,000 yang terbakar adalah duit hasil perniagaan restoran dan menjual ikan selama empat hari kerana dia turut berniaga di Pasar Kerteh.

“Disebabkan api marak dengan cepat, saya tidak sempat untuk mengambil beg tangan. Lepas api berjaya dipadamkan bomba, saya naik ke atas namun hanya beberapa keping sahaja wang yang tidak terbakar," katanya.

Suami mahu pindah

Sementara itu, Nor Suhaida berkata,  dia tidak menyangka kata-kata suami, Akhiruddin Ahmad, 33, yang menyatakan hasrat mahu berpindah ke rumah lain selepas mereka menutup restoran pada jam 2 pagi semalam menjadi petanda mereka sekeluarga akan ditimpa musibah itu.

“Waktu itu suami tiba-tiba beritau saya ‘Da, mari kita pindah’.  Secara tiba-tiba saja dia ajak berpindah,” katanya yang mula berniaga dan menyewa di bangunan itu sejak dua bulan lalu.

Turut musnah, semua barang kemas kira-kira RM12,000, geran tanah dan geran lori, selain pasport lima pekerjanya yang merupakan warga Thailand.

Api berjaya dikawal sebelum merebak

Dalam perkembangan sama, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Pegawai Bomba Kanan II Alias Latif berkata, ketika tiba di lokasi kejadian api sedang marak di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.10 petang dengan kekuatan enam anggota dan dua jentera.

“Pihak kami menerima panggilan kira-kira jam 1.52 petang dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian. Kami bertindak pantas memadamkan api jadi ia tidak sempat merebak ke Pejabat Umno Pekan Kerteh bersebelahannya,” katanya sambil memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan.

Kedai alat binaan musnah



SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
22 Mei 2013
Kedai alat binaan musnah
Anggota bomba ketika bertungkus-lumus memadamkan api.
MELAKA - Sebuah kedai di Jalan Berkat 2, Malim Jaya di sini, mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta apabila premis berkenaan musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bilik yang didiami seorang pekerja warga Myanmar apabila api dari kedai dua tingkat itu merebak ke unit premis bersebelahan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kedai yang menjual perkakasan binaan itu sudah ditutup selain tiada penghuni di dalam bilik pekerja asing berkenaan.

Pemilik kedai itu, Chuah Kim Guan, 55, berkata, dia menyedari penggera di kedai itu berbunyi apabila telefon bimbitnya berdering namun berasa pelik apabila deringan itu berbunyi sebanyak enam kali.

“Deringan itu berbunyi sebanyak enam kali selang dua hingga tiga minit menyebabkan saya dan isteri yang berada di rumah di Klebang berasa pelik kerana jika sebelum ini hanya berdering sekali sahaja.

“Kami berdua terus bergegas ke kedai yang kini diusahakan anak Chuah Neo Kwee, 29, bersama isteri. Namun apabila sampai, saya lihat kedai sudah terbakar dan bomba pun sudah sampai,” katanya.

Neo Kwee berkata, dia mendapat tahu apabila seorang rakan menghubungi kira-kira jam 12 tengah malam memaklumkan kejadian menyebabkan dia yang sedang minum bersama seorang rakan lain di Malim Permai terus ke kedai.

“Saya yang buka kedai jam 9 pagi kebiasaannya menutup kedai kira-kira jam 6 dan sebelum pulang kedai yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu ini dalam keadaan baik.

“Walaupun agak terkejut namun saya bersyukur kerana kebakaran ini tidak membabitkan mana-mana nyawa yang terkorban,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Adli Abd Rahman berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal api di dalam kedai yang turut menjual cecair mudah terbakar itu.

“Sebanyak lima jentera dengan kekuatan anggota seramai 37 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Tangga Batu dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 12.04 tengah malam.

“Kami yang tiba 11 minit kemudian mendapati api sudah marak di bahagian bawah dalam premis dua tingkat ini namun berjaya mengawal api jam 1.10 pagi sebelum padam sepenuhnya jam 3 pagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ahmad Adli berkata, anggotanya turut terpaksa memecahkan pintu hadapan untuk mematikan kabel elektrik selain terdapat letupan berlaku ketika kerja-kerja pemadaman api di kedai berkenaan.

“Tiada anggota yang cedera semasa kerja pemadaman yang dilakukan terhadap bangunan premis yang terbakar 90 peratus termasuk sebuah bilik di tingkat atas premis bersebelahan dan barangan hardware yang musnah keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami pemilik premis masih dalam siasatan pihaknya.

Kedai makan jadi port berjudi



GEORGETOWN – Berselindung di sebalik sebuah premis makanan untuk berjudi tidak berjaya mengaburi mata pihak polis apabila 21 lelaki dan 2 wanita berjaya ditahan selepas ‘port’ mereka diserbu petang semalam.

Dalam Ops Dadu yang dijalankan kira-kira jam 4 petang itu, kesemua mereka ditahan ketika leka berjudi di sebuah premis makanan di Tingkat Kenari, Sungai Ara, Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin berkata, polis terpaksa memecah masuk premis berkenaan menerusi pintu belakang bagi mengaburi mata sekumpulan tonto yang berkeliaran di pintu hadapan.

Menurutnya kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 40-an.

“Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang daripada orang ramai. Dalam operasi itu kita turut menahan seorang tauke judi yang berusia dalam lingkungan 40-an.

“Siasatan mendapati, kegiatan tersebut sebelum ini aktif pada waktu malam namun telah bertukar bagi mengelak dihidu pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hatta berkata, dalam serbuan berkenaan polis turut merampas satu bekas mengandungi tiga dadu, satu cip bernilai RM100, dua cip biru, tiga cip coklat, sebuah meja panjang berserta wang tunai RM1,032.

Warga China didenda RM10,000



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
22 Mei 2013
Warga China didenda RM10,000
Liangying dibawa ke lokap selepas dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atas kesalahan mengedar dan menjual DVD cetak rompak.
IPOH – Seorang wanita warga China didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan menjual dan memiliki 150 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak.

Bagaimanapun, dia akan dikenakan penjara 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab memutuskan demikian setelah Huang Liangying, 44, berasal dari Fujian, China mengaku melakukan perbuatan itu di pasar pagi Dataran Niaga, Jalan Cempaka Sari di sini kira-kira jam 9.45 pagi pada 15 Mei lalu.

Tuduhan pertama, Liangying didakwa mengikut Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18(5) akta yang sama kerana kesalahan memiliki enam keping DVD filem yang gagal mempamerkan sijil perakuan ‘B’.

Bagi tuduhan itu, Nur Melati Diana menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan terhadap tertuduh.

Liangying juga turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 atas tuduhan mengedar dan menjual sebanyak 150 keping DVD filem-filem yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau 10 bulan penjara.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Kavitha manakala tertuduh diwakili oleh peguamnya, Serala Sittan.

Dua maut kereta terbabas



KAMPUNG GAJAH - Dua beranak meninggal dunia dalam kemalangan di kilometer 26.5 jalan Bota Kanan- Teluk Intan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad fakri Che Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang, melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic.

Menurutnya, mengikut maklumat awal yang diterima, kereta berkenaan terbabas ke bahu jalan lalu jatuh ke dalam parit.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa iaitu seorang ibu dan anak berusia tiga bulan maut di tempat kejadian,” katanya

Lori bergerak sendiri rempuh surau



Lori bergerak sendiri rempuh surau
Penduduk menunjukkan keadaan tembok pagar surau yang roboh dirempuh lori tanpa pemandu.
PASIR GUDANG – Sebuah lori yang diletakkan di kawasan Flat Jalan Balau Taman Rinting, di sini, semalam dikatakan bergerak sendiri tanpa pemandu secara mengundur dan merempuh sebuah surau berhampiran.

Setiausaha Surau Al-Asya’irah, Abdul Aziz A Ghani berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi, semalam itu merupakan insiden ketiga selepas kejadian lori bergerak tanpa pemandu sebelum ini merempuh kereta yang berada di lot parkir.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan tembok pagar surau runtuh apabila sebahagian lori merempuh masuk ke bahagian hadapan surau berkenaan.

“Kita bernasib baik kerana ketika kejadian belum ada jemaah yang masuk ke dalam surau berkenaan kerana perkara itu hanya disedari oleh bilal yang ke surau untuk persiapan solat Subuh.

“Ini kejadian ketiga selepas dua insiden sama sebelum ini merempuh kereta sehingga rosak teruk, tapi Alhamdulillah tidak mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengadakan perbincangan bersama pemandu lori dan bas yang meletakkan kenderaan berat di kawasan flat berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu hanya diselesaikan sementara apabila kenderaan berat itu kembali diletakkan di kawasan flat berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk.

“Kita minta kerjasama pemandu kenderaan berat supaya boleh bertimbang rasa dan turut memikirkan keselamatan orang lain dengan meletakkan kenderaan berat di kawasan yang disediakan.

“Kita juga mengharapkan pihak bertanggungjawab bertindak lebih tegas dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan perkara ini sebelum berlakunya insiden yang lebih buruk,” katanya.

Peniaga maut ditikam



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
MUAR - Seorang peniaga otak-otak mati dengan tujuh kesan tikaman di leher, dada dan pinggang selepas diserang sekumpulan lelaki, berdekatan rumahnya di Jalan Lama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa Koh Ser Sup, 47, difahamkan baru keluar selepas menziarah ibunya sebelum dia yang menungang motosikal diserang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, dalam keadaan cedera parah itu mangsa masih gagah bangun dan berjalan 20 meter sebelum rebah di hadapan sebuah kedai,  kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Mangsa berjalan dalam keadaan berlumuran darah. Dia kemudian dibantu orang awam dan bapanya, Koh Swee Pheng, 60an sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 6.45 petang.

“Bagaimanapun apabila sampai di bilik kecemasan hospital kira-kira jam 7 malam, mangsa didapati sudah tidak bernyawa lagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar di sini, semalam.

Katanya, mangsa dipercayai ditikam dengan dua senjata tajam di bahagian kiri dan kanan, pinggang serta punca utama kematian adalah lehernya ditusuk sehingga menyebabkan mangsa lemas dan sukar untuk bernafas.

Sahadan berkata, pihaknya tidak menemui sebarang senjata atau objek tajam di tempat kejadian dan yakin peralatan untuk membunuh itu sudah dilarikan suspek.
Menurutnya, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, buat masa ini tiada tangkapan dibuat dan memohon  orang ramai menghubungi  Asisten Superintendan Jalal Abdul Rashid di talian 013-4574777 untuk membantu siasatan.

Pekerja swasta nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Pekerja swasta nyaris maut
Anggota JPAM daerah Kerian memberi rawatan segera ke atas mangsa kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Jalan Siakap, pagi kelmarin.
BAGAN SERAI - Seorang pekerja swasta nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terjunam ke dalam parit di hadapan Hotel Kelisa, Jalan Siakap, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.56 pagi itu, motosikal yang dipandu mangsa, Zainal Abu Bakar, 36, rosak teruk selepas bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum terjunam ke dalam sungai.

Beliau yang ketika itu dalam perjalanan ke Bagan Serai selepas minum di kedai mamak berdekatan, terpaksa membrek secara mengejut apabila sebuah kereta jenis Proton Wira itu memotong dari arah bertentangan dan masuk ke laluan kenderaannya.

Tindakan Zainal membrek secara mengejut menyebabkan motosikal hilang kawalan, terpelanting ke laluan bersebelahan, merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam parit.

Ahmad bagaimanapun berjaya merangkak keluar daripada parit dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan kiri.

“Ketika motosikal saya terbabas dan terjunam ke dalam sungai, saya menyangka ajal saya sudah sampai.

“Tetapi nasib saya baik kerana pada masa itu momentum pelanggaran tidak begitu kuat dan saya dapat merangkak keluar dari parit dan diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Kerian," katanya sewaktu ditemui media di sini.

Jumpa lelaki berlumuran darah



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Jumpa lelaki berlumuran darah
Tilam milik mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam kejadian awal pagi semalam. Gambar kecil: Kok San (mangsa)
HILIR PERAK - Seorang pekerja restoran tidak menyangka bunyi bising pada awal pagi dari sebuah bilik sewa membolehkan dia menjumpai seorang lelaki dalam kesakitan serta berlumuran darah.

Pekerja restoran yang hanya mahu dikenali Ali berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama rakannya di bilik sewa bersebelahan sebelum terdengar bunyi  bising, semalam.

Katanya, selepas mendengar bunyi bising, dia terus mengejutkan rakannya sebelum menuju ke arah bunyi itu.

“Saya terkejut melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah lalu menghubungi ambulans dengan segera,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Lim berkata, mangsa bekerja dengannya sejak setahun lalu sebagai buruh binaan di kawasan tersebut.

Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa mangsa kira-kira jam 5 petang kelmarin ketika lelaki itu meminta bantuannya untuk ke Klinik Kesihatan Langkap.

"Mangsa mengalami ketumbuhan dan bengkak di  paha kiri berhampiran kemaluan dan mahu memeriksa keadaan dirinya.

 “Saya tidak menyangka itu merupakan pertolongan dan pertemuan terakhir antara saya dengan dia,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa  dikenali sebagai Leong Kok San, 56, dari Jalan Pasar, Langkap dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dijumpai dalam keadaan mengiring ke kanan di atas tilam dalam ruang bilik tidurnya dengan hanya memakai baju tanpa seluar.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis mendapati kesan tompokan darah di kawasan bilik mandi selain pada tilam.

"Kami turut mendapati mangsa mengalami bengkak berhampiran kemaluannya dan didapati pecah menyebabkan lelaki tersebut mengalami pendarahan  yang teruk," katanya.

Beliau berkata, tiada luka lain ditemui pada badan mangsa  dan mayatnya  dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang senjata ditambah manakala keadaan rumahnya tidak berselerak dan tiada kesan ceroboh masuk ke dalam premis tersebut.

“Mangsa turut mempunyai tiga rekod  lampau berkaitan dengan dadah dan kami masih menyiasat kejadian itu sama ada mempunyai unsur jenayah atau bunuh diri. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya

Maut kelar tangan sendiri



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Maut kelar tangan sendiri
Anggota polis membuat pemeriksaan di tempat mayat mangsa warga India ini ditemui jatuh dari kediamannya.
GEORGETOWN - Seorang lelaki warga India ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan sebuah pangsapuri di Lorong Semarak Api 2, Bandar Baru Ayer Itam di sini malam kelmarin.

Mayat lelaki berusia 41 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di koridor pangsapuri berkenaan.

Pemeriksaan polis mendapati, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki selain kedua-dua tangannya hampir putus dipercayai dikelarnya sendiri sebelum beliau dikatakan terjatuh.

Menurut sumber, mangsa dipercayai mengelar tangannya sendiri menggunakan pisau memotong sayur sebelum bertindak nekad berdiri di bahagian koridor tempat menyidai baju rumahnya.

Pemeriksaan polis di rumahnya mendapati terdapat kesan darah di bahagian dapur dan ruang tamu rumah mangsa dan polis turut menemui pisau yang digunakannya untuk mengelar kedua-dua belah tangannya di atas singki.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai penjual tiket loteri itu tinggal bersama rakannya di rumah berkenaan. Bagaimanapun ketika kejadian rakan mangsa tiada di rumah.

Menurut rakannya, mangsa dikatakan tertekan akibat berselisih faham dengan isterinya yang kini berada di India selepas berbual melalui telefon beberapa hari lalu.

Katanya, selepas berbual dengan isterinya, mangsa kelihatan murung dan tertekan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Ming ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kong Meng berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

Bunuh majikan sendiri



SYAMILAH ZULKIFLI & NOR AINNA HAMZAH
22 Mei 2013
Bunuh majikan sendiri
Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian. Gambar kecil: Fazli
Bunuh majikan sendiri
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk bedah siasat.
Bunuh majikan sendiri
Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan ke atas mayat mangsa yang dijumpai ditanam di luar pagar rumah pekerjanya.
SEREMBAN –  Seorang lelaki warga Pakistan tergamak membunuh dan menanam majikan di luar pagar rumahnya sendiri sebelum membuat laporan polis kononnya majikannya hilang sejak 5 April lalu.

Bagaimanapun polis yang curiga dengan laporan dibuat lelaki telah menahannya kelmarin untuk siasatan lanjut dan akhirnya membawa penemuan mayat seorang lelaki dipercayai majikannya yang juga warga Pakistan, Fazli Subhan, 48, di Kampung Lenggong Hulu di Kota, Rembau di sini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, pada 10 April lalu pihaknya telah menerima laporan daripada suspek di Balai Polis, Kota, yang mendakwa majikannya hilang sejak lima hari lalu.

“Suspek yang berusia 31 tahun memberitahu majikannya yang mempunyai sebuah kedai perabot di Chembong hilang dan pada peringkat awal kita mengklasifikasikan sebagai kes hilang.

“Namun, selepas menyemak semula laporan dibuat, kita mula curiga lalu menahan suspek kira-kira jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) dan hasil soal siasat membawa penemuan satu mayat yang tertanam di luar pagar rumah suspek di Kampung Lenggong Hulu di Kota,” katanya pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan mayat berkenaan yang ditanam di dalam lubang sedalam setengah meter sudah hampir reput.

Osman berkata, hasil pemeriksaan polis telah menemui dompet mangsa yang di dalamnya terdapat pasport, lesen memandu dan kad ATM tertulis nama majikan suspek.

“Namun identiti sebenar mayat tersebut masih belum dapat dikenal pasti, tetapi kita percaya ia merupakan majikan suspek yang dilaporkan hilang.

“Berdasarkan tarikh laporan polis dibuat suspek dan keadaan mayat yang sudah hampir reput, kita percaya ia sudah ditanam lebih sebulan,” katanya.

Osman berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai masuk dan menjalankan perniagaan kedai perabot di negara ini sejak 2004.

“Suspek telah ditahan reman hari ini (semalam) manakala isterinya seorang rakyat tempatan berusia 65 tahun yang dikahwininya sejak tiga tahun lalu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut ditemui adalah barang kes iaitu sebilah cangkul di rumah suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu di Rembau, hajat mangsa hendak membeli gerudi bagi kelengkapan kedai perabotnya di Taman Koperasi KSNS, di sini, tidak kesampaian apabila dia ditemui mati.

Rakan baik Fazli, Miataj Kishnar, 61, berkata, dia sempat bertemu mangsa pada waktu tengah hari apabila dia datang ke kedai miliknya mengajak membeli gerudi.

“Tapi waktu itu saya agak penat jadi saya beritahu dia kita beli esok saja. Tapi esoknya dia langsung tidak menghubungi saya.

“Sehari selepas itu saya cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit, namun taliannya tidak dapat dihubungi,” katanya.

Miataj berkata, risau dengan panggilan tidak berjawab, dia kemudian bergegas ke ke kedai mangsa namun dimaklumkan pekerjanya yang dia tiada di situ.

“Saya yang mulai berasa tidak sedap hati memaklumkan berita berkenaan kepada anak mangsa di Pakistan serta turut mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.

Maut ditikam, lastik punca gaduh



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Maut ditikam, lastik punca gaduh
Lokasi dimana mangsa ditikam sekunpulan warga asing kira-kira jam 6.30 petang,kelmarin. Mangsa difahamkan maut akibat mengalami pendarahan yang teruk selepas ditikam.
SABAK BERNAM - Seorang lelaki maut dipercayai dipukul serta ditikam sekumpulan lelaki warga Myanmar dalam kejadian di Bagan Sungai Besar, di sini kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Mohd Shukri Sulaiman, 33, maut akibat ditikam di bahagian perut dan dada.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah namun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk,” katanya.

Noor Mushar menjelaskan, pergaduhan berlaku disebabkan perselisihan faham melibatkan dadah antara kumpulan warga asing berkenaan dengan mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai ke lokasi kejadian untuk membeli dadah sebelum berlaku pergaduhan antara dua pihak terbabit.

“Disebabkan perselisihan faham itu, kumpulan warga asing tersebut bertindak melastik mangsa dengan batu.

“Akibat berang diperlakukan sedemikian, mangsa kemudiannya beredar seketika untuk meminta pertolongan daripada rakannya dan seterusnya datang semula ke tempat kejadian,” katanya.

Sejurus itu beliau berkata, berlaku pergaduhan antara dua kumpulan terbabit menyebabkan mangsa ditikam suspek.

Tiga suspek berjaya ditahan berhampiran Kampung Baru Nelayan, di sini.

Difahamkan, mangsa mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mencuri motosikal.

Dakwa dirogol kenalan bapa



ADILA SHARINNI WAHID
22 Mei 2013
Dakwa dirogol kenalan bapa
Suspek (dua kanan) dikawal anggota polis ketika mengambil reman di mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 15 tahun hidup dalam keadaan terseksa apabila didakwa menjadi mangsa nafsu kenalan bapanya sendiri, sejak setahun lalu.

Remaja berkenaan pertama kali dirogol lelaki dikenali Pak Mat itu ketika suspek membawanya pulang ke rumah di Kampung Gaung Mulong di sini, awal 2012.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek seorang buruh berusia 58 tahun membawa mangsa pulang ke rumah dan merogolnya.

Katanya, sejak kejadian itu, mangsa kerap kali dirogol suspek di lokasi sama.

“Laporan awal doktor mendapati mangsa kini mengandung 15 minggu. Susulan itu, polis menahan suspek di rumahnya pada jam 2.30 pagi tadi (semalam),” katanya semalam.

Sementara itu, di Mahkamah Kota Bharu semalam, suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan selanjutnya.

“Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Rozita Md Saad berkuat kuasa hari ini (semalam) sehingga 28 Mei ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga positif dadah jenis morfin,” katanya.

Jalan sakaratul maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mei 2013
Jalan sakaratul maut
Nahas dua kereta di Bukit Yong yang meragut nyawa ibu dan anak dalam pelukan pada Jun 2008.
Jalan sakaratul maut
Keadaan kereta yang terbabas dan terperosok di bawah lori balak dalam kejadian pada April 2009.
Jalan sakaratul maut
Kemalangan membabitkan van dan kereta yang meragut dua nyawa di Wakaf Raja, Jumaat lalu.
Jalan sakaratul maut
Enjin terpelanting keluar selepas kereta merempuh pokok kelapa dalam nahas yang meragut nyawa pemandunya pada September 2008.
PASIR PUTEH - Jumaat lalu (17 Mei), dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 49 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja dekat sini.

Kemalangan berlaku apabila kereta mereka bertembung van dari arah bertentangan yang terbabas dan memasuki lorong mereka.

Masyarakat sekitar lali dengan kes seperti itu kerana ia antara banyak kes kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 48 (simpang Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja) hingga ke Kilometer 52 (selekoh sempadan Bukit Yong) Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Tiada jawapan pasti

Tiada siapa dapat menjawab kekerapan nahas ngeri meragut nyawa pada jarak empat kilometer itu.

Malah, jalan itu seperti ‘ketagih’ mangsa dan tidak membiarkan tahun berlalu tanpa percikan darah.

Mungkin bagi kemalangan sekitar Kilometer 48 dan 51 terjadi akibat selekoh yang mengelirukan terutama bagi pengguna tidak arif laluan tersebut.

Namun, nahas Jumaat lalu berlaku di jalan lurus, satu kilometer dari selekoh Wakaf Raja.

Begitu juga bagi nahas 6 September 2009 yang meragut nyawa dua beranak dan pemandu selepas kereta mereka digilis bas, tidak berlaku di selekoh, ia berlaku di Kilometer 50.

Dua selekoh bahaya

Selekoh berhampiran sempadan Kelantan Terengganu di Bukit Yong menjadi saksi kemalangan ngeri dan menyayat hati pada 15 Jun 2008, di mana seorang ibu dan anaknya mati dalam keadaan berpelukan dalam nahas membabitkan dua kereta.

Beberapa bulan kemudian pada 19 September 2008, di selekoh Wakaf Raja, seorang lelaki yang memandu kereta sendirian maut apabila keretanya terbabas dan merempuh pokok kelapa di Kilometer 48.

Pada 7 April 2009, seorang pemandu meninggal dunia di tempat kejadian apabila keretanya dari arah Jerteh terbabas merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum terperosok di bawah lori balak.

Pada 6 Februari 2010 pula, seorang lagi lelaki maut selepas keretanya terbabas merempuh tiang rumah sebelum tersadai di tiang elektrik tidak jauh dari selekoh Wakaf Raja.

Manakala tahun lepas, satu keluarga tergamam dan ketakutan apabila kereta dari arah Jerteh merempuh rumah mereka selepas terbabas ketika melalui selekoh, mujur ia hanya merosakkan harta benda.

Kemalangan di kedua-dua selekoh itu sepatutnya dipandang serius dan perlu mekanisme bagi mengatasi kawasan itu terus mengundang celaka.

Penyelesaian perlu

Jika di selekoh Bukit Yong, ramai beranggapan ia bahaya kerana keadaan jalan yang kerap kali ‘diganggu’ batu kuari bertaburan, namun di selekoh Wakaf Raja yang nampak selamat menjadi persoalan.

Ketepikan unsur puaka yang menjadi buah mulut penduduk setiap kali berlaku kemalangan maut di situ, jalan penyelesaian mesti dicari bagi memastikan selekoh itu lebih selamat.

Mungkin boleh dikatakan, selain keadaan jalan, faktor kemalangan banyak berpunca daripada kecuaian manusia.

Namun langkah-langkah untuk menghalang kemalangan di kawasan ini perlu juga diambil.

Tidak salah jika tanda amaran lebih besar diletak di kawasan berkenaan supaya pengguna jalan raya sedar mereka telah memasuki zon berbahaya sekali gus menidakkan gelaran ‘Jalan sakaratul maut’ itu berterusan.

Mayat wanita ditemui dalam rumahnya




21 Mei 2013
SANDAKAN - Kehilangan seorang wanita sejak tiga hari lepas terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam rumahnya di Jambatan Kampung Tinosa 2 dekat sini hari ini.
   
Mangsa dikenali sebagai Jumayah Andi Rani, 37, yang mayatnya ditemui penduduk pada pukul 8 pagi.
   
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong ketika mengesahkan kejadian itu berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
   
Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini n untuk dibedah siasat.
   
Jiran mangsa, Ita Lakase, 50, berkata mangsa mempunyai penyakit mental dan sawan tinggal seorang diri di rumah tersebut.
   
Katanya dia menyedari kehilangan mangsa apabila tidak lagi datang ke rumahnya untuk meminta makanan seperti yang dilakukannya setiap hari.
   
Berikutan itu, beliau berkata penduduk kampung kemudian memecah masuk ke dalam rumah itu dan menemui mayat mangsa. - Bernama

Pengasuh mengaku tidak bersalah cederakan bayi 7 bulan




21 Mei 2013
PETALING JAYA - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan tahun lepas.
  
Norzela Che Mod, 31, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Subang Jaya dekat sini pada pukul 4 petang, 2 Okt 2012. Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, tetapi Norzela, yang tidak diwakili peguam, meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia mempunyai banyak tanggungan terhadap keluarga.
  
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid mengenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan kes.

Di mahkamah sama, seorang peniaga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap seorang pengawal keselamatan dengan sebilah parang pada 1 Mei.
  
Norazman Abu Yaziz, 43, dituduh mencederakan tapak tangan kiri Rosalan Ajarudin, 32, di sebuah kafe siber di Jalan Permai, Taman Puchong Permai, Batu 13, Puchong, di sini pada pukul 6 pagi hari berkenaan.
  
Norazman, yang tidak diwakili peguam, dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukumn penjara hingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Ahmad Solihin memerintahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan kes. - Bernama

Rumah kedai musnah di Kemaman




21 Mei 2013
KEMAMAN - Sebahagian rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja restoran musnah dalam kebakaran di Kampung Telaga Papan, Kerteh hari ini.

Restoran yang beroperasi pada sebelah malam yang terletak di tingkat bawah hanya mengalami sedikit kebakaran sementara pejabat Umno di sebelahnya sempat diselamatkan anggota bomba dan penyelamat Kerteh dalam kejadian 1.40 petang itu.

Pemilik restoran Nor Syuhaida Mamat, 37, berkata ketika kejadian beliau bersama 11 lagi termasuk anak dan pekerjanya sedang tidur sebelum dikejutkan anak bongsunya yang berusia tiga tahun memberitahu ada api dalam bilik mereka.

Beliau berkata tersentak dengan kejadian itu, beliau lantas mengejutkan suami, anak dan para pekerjanya.

"Suami serta pekerja saya cuba memadamkan api namun tidak berjaya setelah api kian marak dan mula merebak ke ruang lain. Api merebak terlalu pantas menyebabkan kami gagal menyelamatkan barangan berharga kami," katanya.

Nor Syuhaida berkata sejumlah wang hasil perniagaannya yang belum sempat dimasukkan ke dalam bank turut hangus.

Beliau menganggarkan keseluruhan kerugiannya bernilai RM100,000.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kerteh, Alias Latif berkata ketika pihaknya yang terdiri dari sebuah jentera bersama enam anggota tiba di tempat kejadian, api sudah marak di bahagian asrama tersebut
namun pihaknya berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke pejabat Umno yang terletak bersebelahan.

Punca kebakaran belum di kenal pasti. - Bernama