Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

Tiga maut, dua parah nahas kereta dan lori



HULU SELANGOR 20 Mei - Tiga orang maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7.9, Jalan Hamzah di Kuala Kubu Bahru di sini hari ini.
Nahas berlaku pukul 10.50 pagi apabila sebuah kereta Honda Civic terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori.
Mereka yang maut ialah pemandu Civic, Muhammad Hilal Mohd. Isa, 19; penumpang sebelahnya, Omar Hamzah Zulkifli, 19, dan penumpang belakang, Muhammad Addin Firdaus Rashidi, 19.
Dua yang parah ialah pemandu lori, N. Sivasalagaram, 34, dan seorang lagi penumpang belakang Civic, Mohamad Nazren Kamisan, 27. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130520/je_08/Tiga-maut-dua-parah-nahas-kereta-dan-lori#ixzz2Tw6VOKwY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Judi: Enam ditahan, 63 komputer dirampas



IPOH 20 Mei - Polis melancarkan operasi besar-besaran membanteras kegiatan perjudian dengan merampas 63 unit komputer yang digunakan bagi tujuan tersebut di sekitar Taman Cempaka di sini Jumaat lalu.
Dalam operasi selama empat jam bermula pukul 10 malam itu, enam lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun yang merupakan penjaga premis tersebut turut ditahan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Sum Chang Keong berkata, dalam serbuan pertama, sebanyak 15 unit komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas serta seorang lelaki ditahan.
“Selepas itu kita berjaya merampas masing-masing 12, 13, 16 dan 12 unit komputer menerusi empat serbuan yang dilakukan di kawasan sekitar.
“Polis turut menahan lima lelaki di premis yang diserbu. Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan pakar perjudian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130520/je_09/Judi-Enam-ditahan-63-komputer-dirampas#ixzz2Tw6LNl4S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kes bunuh Cinang: 2 suspek bebas, suspek baharu ditahan



Nur Amyliana
Nu
KLANG 20 Mei - Polis membebaskan dua suspek kes rogol dan bunuh Nur Amyliana Shuhada Mohd. Noor, 11, semalam selepas laporan awal ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mereka didapati tidak sepadan dengan sampel yang diambil pada mayat kanak-kanak malang itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, kedua-dua suspek berusia 19 tahun dan 24 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun beliau berkata, polis telah menahan seorang lagi suspek yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan kes rogol dan bunuh itu pada Jumaat lalu.
"Suspek ketiga merupakan seorang pemandu van kilang berusia 24 tahun.
"Dia ditahan di Klang dan kita telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya sehingga 27 Mei ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pada 8 Mei lalu, mayat Nur Amyliana Shuhada atau lebih mesra dipanggil Cinang ditemui mati di tempat letak kenderaan Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi pada pukul 10.30 malam.
Beberapa jam selepas penemuan itu, polis menahan dua suspek lelaki yang merupakan pekerja kilang bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama seminggu dan tempoh reman tersebut dilanjutkan tujuh hari sehingga hari ini. Polis turut mengambil keterangan lebih 20 individu berhubung kes tersebut.
Menurut Mohamad, pihaknya sedang menunggu laporan penuh ujian DNA 23 individu yang diambil bagi membantu siasatan kes tersebut termasuk milik dua suspek yang telah dibebaskan dan suspek yang baru ditahan.
"Kita juga sedang berusaha mendapatkan bukti bagi menyelesaikan kes ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130521/je_06/Kes-bunuh-Cinang-2-suspek-bebas-suspek-baharu-ditahan#ixzz2Tw5MxwRS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga penjenayah gagal pecahkan mesin ATM



IPOH 20 Mei - Tiga penjenayah yang menggunakan tukul besi untuk memecahkan mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank di Chemor di sini awal pagi ini, hampa setelah mereka gagal melarikan wang dari mesin tersebut.
Meskipun berjaya membuka pintu bahagian bawah mesin ATM setelah mematahkan pemegangnya, penjenayah itu 'mati akal' apabila tidak dapat mencapai kotak wang dalam mesin berkenaan.
Cubaan mereka menarik kotak besi mesin tersebut menggunakan tali yang diikat pada kenderaan yang dipandu salah seorang suspek dari luar premis itu juga gagal.
Setelah gagal mengambil wang berkenaan walaupun mencuba beberapa kali, suspek akhirnya beredar dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Sum Chang Keong berkata, kejadian hanya disedari oleh kakitangan bank berkenaan kira-kira pukul 8 pagi yang kemudian membuat laporan polis.
"Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di tempat kejadian, tiga suspek itu memakai topeng dan baju lengan panjang untuk mengelak daripada identiti mereka dikesan.
"Rakaman itu juga menunjukkan hanya dua suspek berada berdekatan mesin ATM. Salah seorang daripada mereka memegang tukul besi manakala suspek ketiga dipercayai berada di luar premis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian dilihat cuba menarik kotak besi mesin ATM itu dengan mengggunakan kenderaan tetapi gagal.
Namun katanya, polis tidak dapat mengenal pasti jenis kenderaan yang digunakan suspek kerana visual CCTV berkenaan tidak begitu jelas.
"Polis akan meneliti rakaman CCTV di bank itu bagi mengesan suspek. Tiada kerugian dialami oleh bank kerana suspek terlibat gagal mengambil wang yang berada di dalam mesin berkenaan.
"Kes ini pertama kali berlaku di kawasan ini. Buat masa ini kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130521/je_05/Tiga-penjenayah-gagal-pecahkan-mesin-ATM#ixzz2Tw5Bql8O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Geng ragut, curi motosikal tumpas



JOHOR BAHRU 20 Mei - Polis menumpaskan satu kumpulan ragut dan curi motosikal dengan tertangkapnya lapan lelaki di dua lokasi di Kampung Dato' Suleiman Menteri dan Kampung Bendahara di sini pada 9 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal di Kampung Dato' Suleiman Menteri kerana berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan terhadap lelaki berkenaan, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bendahara dan menahan tujuh lelaki serta merampas tiga buah motosikal dan beberapa peket dipercayai mengandungi pelbagai jenis dadah.
"Polis turut menjumpai satu peket lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dan dua peket pil Eramin 5 dalam rumah yang diserbu itu.
"Semakan yang dibuat ke atas motosikal terbabit mendapati salah sebuah daripadanya dilaporkan hilang sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, seorang suspek akan dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, seorang lagi di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3) akta yang sama manakala seorang lagi kerana mengubah nombor casis dan enjin motosikal.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan reman sehingga Khamis ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130521/je_04/Geng-ragut-curi-motosikal-tumpas#ixzz2Tw50QKvl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Misi buru penembak ganas



PULAU PINANG 20 Mei - Polis negeri ini menubuhkan satu pasukan khas dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membanteras kes jenayah membabitkan senjata api yang semakin menjadi-jadi di negeri ini.
Pasukan khas tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.
Hasil penubuhan pasukan berkenaan, beberapa suspek yang terlibat dalam jenayah berkenaan telah dikenal pasti berdasarkan petunjuk baharu dalam beberapa kes tembak baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 12 kes tembak dicatatkan di negeri ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes melibatkan tembak mati, lima kes mangsa cedera dan sembilan lagi penggunaan senjata api.
"Saya ingin ingatkan agar jangan cabar polis. Ini bukan bandar koboi yang boleh buat sesuka hati malah pihak polis amat serius dalam hal ini.
"Kita sudah kenal pasti penjenayah terbabit dan tindakan segera akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat berikutan tindakan mereka menimbulkan kegusaran kepada orang awam," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahim, pihaknya membuat permohonan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang supaya menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan panas bagi membendung jenayah.
"Kerajaan negeri pun telah meluluskan permintaan kita. Kita masih menunggu laporan daripada ketua polis daerah masing-masing untuk menamakan lokasi bagi menempatkan CCTV itu," ujarnya.
Menurutnya, di sekitar Georgetown terdapat 28 CCTV dan permohonan terbaru adalah untuk kawasan di Seberang Perai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130521/je_02/Misi-buru-penembak-ganas#ixzz2Tw4Ua3nS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketua guru disiplin bebas tuduhan cabul 11 pelajar

Ismazi @ Megat Ismazi Ismail (kiri) dilepas dan dibebaskan daripada
 tuduhan mencabul kehormatan pelajar sekolah menengah
 oleh Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 20 Mei - Selepas dua tahun menghadapi pertuduhan mencabul 11 pelajar perempuan, seorang ketua guru disiplin akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan tersebut.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Ayuni dalam keputusannya berkata, pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang berada di tempat kejadian iaitu pengawas sekolah berketurunan India yang boleh menceritakan situasi sebenar pada waktu kejadian.
Menurut beliau, terdapat percanggahan antara keterangan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin pada hari kejadian dan pengakuan bertulis pengawas tersebut.
Dalam pengakuan bertulisnya, pengawas itu menyatakan, tertuduh ada meminta izin daripada kesemua pelajar untuk memegang leher bagi memeriksa denyutan nadi sebelum merotan pelajar tersebut dan kesemua pelajar itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang tertuduh semasa pemeriksaan nadi dijalankan.
Menurut majistret itu lagi, mahkamah berpendapat, sekiranya tertuduh ingin berbuat perkara tidak baik, dia tidak meminta kebenaran selain jumlah pelajar yang ramai berada di dalam bilik disiplin ketika kejadian.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan kesemua saksi yang menyatakan, tiada seorang pun daripada 11 pelajar itu menjerit, meronta atau menangis apabila tertuduh kononnya meletakkan tangan ke atas dada mereka seperti yang didakwa mereka.
''Jika ada pelajar yang tidak senang dengan perbuatan tertuduh, mereka semua berpeluang melarikan diri, keluar dari bilik disiplin yang tidak berkunci itu dan boleh terus melaporkan kepada pengetua atau mana-mana guru tetapi perkara itu tidak dilakukan.
''Ini kerana sekiranya perbuatan cabul itu benar-benar berlaku, perbuatan itu sesuatu yang serius dan tindakan segera boleh diambil terhadap tertuduh oleh pihak sekolah,'' katanya.
Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun di dalam bilik guru disiplin di sekolah menengah tersebut antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi, 25 Februari 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sepanjang perbicaraan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, sebanyak 23 saksi dipanggil memberikan keterangan di peringkat pendakwaan.
Ismazi ketika ditemui pihak media melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan menyatakan, dia hanya menjalankan tugas sebagai guru disiplin pada hari kejadian demi mendidik pelajar sekolah itu.
Ismazi yang berkhidmat sebagai guru selama 23 tahun kesal kerana banyak tohmahan dan penghinaan diterima daripada masyarakat serta laporan akhbar sesetengah media yang berat sebelah dan cuba menimbulkan isu perkauman.
Dia yang digantung tugas semenjak kes itu dibawa ke mahkamah berharap ibu bapa memberikan sokongan dan kerjasama kepada guru dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak menjadikan sekolah tempat menghangatkan isu.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Ismazi berkata, pihaknya akan memikirkan tindakan lanjut mengenai laporan palsu terutama pembabitan sesetengah ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130521/ma_01/Ketua-guru-disiplin-bebas-tuduhan-cabul-11-pelajar#ixzz2Tw3ik9Nd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mekanik ditahan miliki 5 senapang angin



MUAR 21 Mei - Seorang mekanik ditahan selepas polis menemui lima laras senapang angin dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Kelat Darat, Jalan Batu Pahat-Muar dekat sini tengah malam tadi.
Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 300 biji bebola besi serta 14 biji timah yang digunakan sebagai peluru.
“Suspek berusia 35 tahun, sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak. Lelaki ini hanya mekanik di bengkel dia bekerja.
“Serbuan dilakukan oleh Jabatan Narkotik IPD Muar tetapi polis tidak menemui sebarang dadah di rumahnya. Bagaimanapun, ujian air kencing lelaki berkenaan disahkan positif dadah jenis ganja," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130521/dn_35/Mekanik-ditahan-miliki-5-senapang-angin#ixzz2Tw3OvYG9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki benci gay tembak mati seorang lelaki homoseksual



NEW YORK 19 Mei - Seorang lelaki yang dipercayai membenci golongan gay, menembak mati seorang lelaki yang merupakan seorang homoseksual dalam satu kejadian di sebuah kawasan perumahan gay, di sini awal pagi semalam.
Jurucakap polis, Raymond Kelly berkata, mangsa yang dikenali sebagai Marc Carson, 32, meninggal dunia di sebuah hospital berhampiran selepas cedera parah akibat ditembak di bahagian muka.
"Kira-kira 15 minit sebelum tembakan dilepaskan, suspek dilihat membuang air kecil di luar sebuah restoran dan kemudian memasuki restoran itu sambil bertanyakan kepada seorang pelayan bar sama ada dia akan menghubungi polis.
"Selepas itu, suspek keluar dari restoran itu menuju ke kawasan perumahan Greenwich Valley dan terserempak dengan mangsa serta pasangannya yang juga seorang gay," katanya sambil menyifatkan kejadian itu sebagai perlakuan jenayah berasaskan kebencian.
Suspek yang dikenali sebagai Elliot Morales, 33, kemudian bertanyakan soalan kepada pasangan tersebut sama ada mereka adalah gay dan ingin mati, selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasangan gay itu.
Suspek kemudian mengeluarkan pistol lalu menembak seorang daripada pasangan gay itu.
Suspek cuba melarikan diri selepas kejadian itu, namun berjaya ditahan polis yang berada di kawasan berhampiran.
Suspek sebelum ini pernah ditahan polis atas kesalahan cuba membunuh pada 1998. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130520/lu_04/Lelaki-benci-gay-tembak-mati-seorang-lelaki-homoseksual#ixzz2Tw205ham
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa culik guna Google Maps cari semula keluarga



BEIJING 19 Mei - Seorang lelaki di China yang menggunakan perkhidmatan Google Maps berjaya menemui semula keluarganya selepas lebih 20 tahun terpisah.
Luo Gang yang dilahirkan di sebuah pekan kecil di wilayah Sichuan terpisah dengan keluarganya selepas dia diculik ketika berusia lima tahun semasa dalam perjalanan ke tadika.
Gang, 23, yang kini tinggal bersama keluarga angkatnya di wilayah Fujian selepas diculik, kira-kira 1,500 kilometer dari kampung asalnya, berjaya kembali ke tempat kelahirannya selepas menggunakan peta satelit untuk mengenal pasti kampungnya.
Gang berkata, meskipun keluarga angkatnya menyayanginya, dia dihantui dengan memori zaman kanak-kanaknya ketika berada di kampung halamannya.
"Setiap hari sebelum tidur, saya akan paksa diri mengingati semula kehidupan di rumah lama saya supaya saya tidak melupakannya," katanya.
Selepas memutuskan untuk mencari kampung halamannya, dia mengepos lakaran peta kampungnya berdasarkan apa yang diingatinya di laman web untuk mencari kanak-kanak hilang.
Dia kemudiannya dihubungi oleh seorang pengguna yang memaklumkan sepasang suami isteri dari pekan kecil di bandar Guangan, wilayah Sichuan, telah kehilangan anak lelaki pada masa sama Gang hilang.
Melalui gambar di dalam talian yang dilihatnya, kawasan itu tidak asing baginya dan rasa syaknya disahkan ketika dia mencari lokasi itu di Google Maps.
Selepas dia memfokus kawasan yang dikenali sebagai Yaojiaba itu dalam imej satelit, dia melihat dua jambatan yang masih jelas dalam ingatannya.
Akhirnya pertemuan diaturkan dan dia menemui keluarganya semula. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130520/lu_03/Mangsa-culik-guna-Google-Maps-cari-semula-keluarga#ixzz2Tw1JUllb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AS dilanda ribut, seorang terbunuh



OKLAHOMA 20 Mei - Ribut yang membawa puting beliung, hujan lebat dan hujan batu sebesar bola besbol melanda kawasan utara di tengah Amerika Syarikat (AS), menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh.
Sehingga pukul 9.30 malam tadi waktu AS tengah, lebih berpuluh-puluh puting beliung dikesan di beberapa kawasan di Iowa, Oklahoma, Kansas dan Illinois, menurut Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA).
Hujan batu sebesar bola besbol pula dilaporkan melanda Georgia hingga Minnesota, tambah NOAA.
Fox News melaporkan seorang terbunuh di Shawnee, Oklahoma akibat bencana alam tersebut dengan beberapa daerah di negeri itu turut bergelap.
Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan, Jerry Lojka berkata, Gabenor Oklahoma, Mary Fallin mengisytiharkan 16 daerah di negeri itu sebagai kawasan bencana.
Pakar kaji cuaca sebelum ini telah memberi amaran ribut dijangka melanda wilayah itu dengan membawa puting beliung yang berpotensi menyebabkan kemusnahan.
Cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga hari ini. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130521/lu_03/AS-dilanda-ribut-seorang-terbunuh#ixzz2TvkZm7st
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua maut dalam letupan bom kereta di Rusia



MAKHACHKALA, Russia 20 Mei - Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 20 lagi cedera dalam kejadian dua letupan bom kereta di ibu wilayah Dagestan di sini hari ini.
Pasukan penyiasat Rusia berkata, letupan pertama berlaku di depan sebuah mahkamah sebelum disusuli letupan kedua selang 15 minit apabila pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.
Berpuluh-puluh kereta dilaporkan rosak teruk akibat kedua-dua letupan berkenaan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130521/lu_08/Dua-maut-dalam-letupan-bom-kereta-di-Rusia#ixzz2Tvk10DGC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rusia gagalkan plot pengganas serang Moscow



MOSCOW 21 Mei - Pihak keselamatan Rusia hari ini menggagalkan satu plot untuk melancarkan serangan pengganas di sini hari ini.
Jawatankuasa Anti-Keganasan Kebangsaan dalam kenyataannya berkata, dua perancang berjaya dibunuh dan seorang lagi ditahan oleh pihak berkuasa Rusia dalam serbuan yang dilakukan di kawasan penempatan di pinggir Moscow.
“Tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menghalang rancangan pengganas untuk melancarkan serangan di ibu negara ini," jelas kenyataan tersebut.
Ketiga-tiga suspek terbabit merupakan rakyat tempatan dan dipercayai mendapat latihan ketenteraan di wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan dan Pakistan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130521/lu_09/Rusia-gagalkan-plot-pengganas-serang-Moscow#ixzz2Tvjil9v8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Krew keracunan makanan, Pesawat terpaksa mendarat di Paris



PARIS 21 Mei - Sebuah pesawat penumpang dalam penerbangan dari Zurich ke Philadelphia melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang Charles de Gaulle di sini selepas empat krew pesawat tersebut jatuh sakit.
Pegawai lapangan terbang melaporkan, keempat-empat krew tersebut dibawa ke pusat perubatan dan didapati mengalami keracunan makanan.
Bagaimanapun tiada penumpang yang cedera semasa insiden itu berlaku. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130521/lu_10/Krew-keracunan-makanan-Pesawat-terpaksa-mendarat-di-Paris#ixzz2TvjQXeRF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

51 terbunuh puting beliung landa Oklahoma City

51 terbunuh puting beliung landa Oklahoma City: "WASHINGTON 21 Mei - Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh selepas satu puting beliung kuat membadai pinggir bandar Oklahoma City, semalam dengan memusnahkan rumah penduduk dan dua buah sekolah.

Jabatan perubatan negeri dalam kenyataan terbaharu berkata, jumlah kematian penduduk meningkat dengan mendadak ketika pasukan kecemasan mencari mangsa daripada runtuhan rumah dan sekolah rendah di Moore, Oklahoma.

Lebih 140 penduduk dirawat hospital termasuk 70 kanak-kanak dengan ada di antaranya dalam keadaan kritikal. - AFP"

'via Blog this'

Penduduk terkejut



Baling: Penduduk sekitar pusat rekreasi Lata Bayu, dekat sini, mengakui terkejut apabila kematian seorang lelaki akibat jangkitan virus ‘leptospirosis’ atau kencing tikus dikatakan mempunyai kaitan dengan kawasan tumpuan pelancong itu.

Rata-rata mereka hairan kerana penduduk setempat sejak sekian lama mendapatkan bekalan air daripada Lata Bayu, namun tiada yang dijangkiti virus berkenaan.


Rokiah Man, 70, sejak lebih 10 tahun berniaga di situ berkata, kunjungan orang ramai untuk berkelah tidak pernah berkurangan.

Katanya, setiap hari pengunjung datang berkelah bersama keluarga dan itu tidak termasuk penduduk tempatan sememangnya dianggap pengunjung tetap untuk mandi di pusat peranginan itu.


“Saya hairan apabila berlaku kes ini berlaku di Lata Bayu. Jika betul, saya rasa penduduk tempatan yang meninggal dunia terlebih dulu, kerana mereka guna bekalan air di situ setiap hari,” katanya.

Mat Colombia kecundang



Butterworth: Tiga ‘Mat Colombia’ yang menjalankan kegiatan pecah rumah di negeri ini sejak beberapa bulan lalu, berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Jalan Jetty Lama, dekat sini, semalam.

Sebelum itu, kelibat tiga lelaki terbabit dikesan menaiki kereta Honda Civic hitam dalam keadaan mencurigakan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat sini.


Berikutan itu, sepasukan anggota D9 Seberang Prai Utara diketuai Inspektor Mohd Yusof Ibrahim bersama anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), cuba menahan kereta berkenaan.

Bagaimanapun, suspek dapat menghidu kehadiran polis lalu memecut dan memasuki Jalan Bagan Luar sebelum membelok ke Jalan Jetty Lama untuk menyembunyikan diri.


Namun, tindakan pantas anggota polis berjaya menahan kereta itu yang dinaiki tiga lelaki warga Colombia.


Menurut sumber, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala pemeriksaan dalam kereta pula membawa kepada penemuan sejumlah mata wang asing dan peralatan pecah rumah.

“Turut ditemui, barang kemas seperti rantai, subang, cincin serta telefon bimbit dan kunci kereta hasil pecah rumah. Kereta dinaiki suspek menggunakan plet palsu dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah,” katanya.

Belasahan cemburu



Petaling Jaya: Angkara cemburu buta, seorang wanita bukan saja dibelasah teman lelakinya, malah turut dikurung dalam rumah disewanya di Damansara Damai, di sini, sebelum diselamatkan rakan dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan bertengkar dengan kekasihnya itu kerana lelaki terbabit tidak suka mangsa berkawan dengan orang lain kira-kira jam 4 pagi.


Menurut sumber, lelaki terbabit tanpa belas kasihan memukul dan menyepak mangsa walaupun wanita berkenaan merayu berkali-kali supaya tidak diperlakukan sedemikian.

“Selepas dibelasah mangsa kemudian ditinggalkan sendirian manakala lelaki terbabit keluar, namun sempat mengunci pintu rumah sewa mangsa dan tidak membenarkannya keluar.


“Bagaimanapun, mangsa dapat menghubungi rakannya menerusi SMS dan meminta bantuan untuk keluar dari rumah.


“Rakan mangsa tiba di rumah sewa itu kira-kira jam 5 petang dan membantu mengeluarkan mangsa sebelum mangsa bersembunyi di rumah jiran,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, teman lelaki mangsa mengetahui mangsa bersembunyi di rumah jiran dan datang ke rumah itu untuk mengambil mangsa.


“Mangsa sekali lagi dikurung dalam rumah sewanya dan dibelasah, malah kali ini lebih teruk apabila turut dipijak dan disebat menggunakan tali pinggang.

“Perbuatan lelaki terbabit turut disaksikan rakan mangsa, namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana lelaki terbabit mengunci pintu rumah,” katanya.


Sumber berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan sebelum mangsa berjaya diselamatkan kira-kira jam 8 malam.


“Mangsa mendakwa sudah mengenali teman lelakinya itu sejak setahun lalu dan dalam tempoh itu, dia mengaku empat kali dipukul lelaki terbabit.


“Kali ini mangsa teruk dibelasah dan akibat tidak tahan lagi menanggung kesakitan, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara kerana bimbang teman lelakinya mengulang perbuatan sama,” katanya.

Suami mangsa bunuh dicekup polis



Kuala Lumpur: Suami mangsa bunuh Nur Hidayah A Ghani, 29, yang berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di sekitar Sungai Besi, di sini, selepas dia dipercayai memijak kepala Nur Hidayah sehingga mati dalam kejadian di rumah mereka, Sabtu lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki terbabit akan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Semalam, Harian Metro melaporkan polis bertindak menahan seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita Nur Hidayah A Ghani, 29, yang dipercayai didera hingga mati oleh suaminya sendiri.


Lelaki terbabit ditahan ketika berada di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol Kinrara, kira-kira jam 5 petang selepas selesai saja majlis pengebumian mangsa.


Ditanya mengenai pembabitan lelaki itu dengan kes pembunuhan berkenaan, Ku berkata, lelaki terbabit adalah orang yang bersama suspek utama iaitu suami mangsa ketika menghantar arwah ke hospital.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan Nur Hidayah didera kejam oleh suaminya hingga mati termasuk dipijak di muka dan dicucuh dengan puntung rokok.


Mangsa yang mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 10 tahun dikatakan berkahwin dengan suspek sejak 11 tahun lalu.

Kakak mangsa, Ummi Kalsom berkata, adiknya menerima nasib malang selepas melahirkan anak sulung yang kini berusia 10 tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU).


“Keadaan anak sulung mereka bukan penyebab arwah dibelasah, namun tabiat suaminya yang ketagih dadah dan arak selain panas baran menyebabkan adik saya seringkali menjadi mangsa tanpa mengira waktu.


“Arwah sering melarikan diri ke rumah keluarga di Kampung Muhibah, Jalan Puchong, namun suaminya pandai memujuk sebelum membawanya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Penyamun putih mata



Ipoh: Tiga penyamun ‘berputih mata’ apabila cubaan mereka melarikan wang dari sebuah mesin deposit tunai (CDM) tidak berjaya apabila gagal mengumpil mesin berkenaan dalam kejadian di sebuah bank di Chemor di sini, awal pagi semalam.

Kejadian itu disedari seorang pekerja bank berkenaan ketika melakukan pemeriksaan di ruang kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di bank itu kira-kira jam 8 pagi semalam.


Dalam kejadian itu, perompak berkenaan sudah berjaya mengumpil pintu lapisan luar mesin itu, namun gagal membuka peti yang menempatkan wang.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati suspek dikatakan cuba mengumpil peti mesin berkenaan dengan penukul berikutan wujud kesan umpil.


Beliau berkata, pihaknya sudah meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bank itu dan mendapati tiga suspek terbabit dalam cubaan rompakan itu.


“Rakaman berkenaan menunjukkan dua suspek bertopeng dan berpakaian serba hitam memasuki premis, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta di luar bank berkenaan,” katanya.

‘Penunggu’ kaki gunung




Alor Gajah: Empat murid tahun empat sebuah sekolah rendah di sekitar Pulau Sebang di sini, mengalami trauma selepas mendakwa ‘dilarikan’ lebih enam jam oleh seorang remaja perempuan yang menyamar guru ke sebuah tapak perkelahan di Tampin, Negeri Sembilan, Khamis lalu.

Difahamkan, semua mangsa menerima pelawaan remaja berusia 18 tahun itu dengan berjalan kaki lebih 10 kilometer menuju ke kawasan pergunungan berkenaan, kira-kira jam 1.45 tengah hari.


Pada pagi kejadian, suspek dikatakan masuk dalam kelas mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai guru dari ibu negara dan mahu mengadakan lawatan ke gunung terbabit tanpa disedari pengawal keselamatan bertugas.


Mangsa masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 10 tahun itu dipercayai hanya menuruti suspek dengan berjalan kaki menuju ke kaki gunung berkenaan.


Seorang daripada mangsa, Muhammad Nuaim Nuqman Mohd Zam mendakwa, sebelum pergi, dia menemui ibunya, Sasriza Ishak, 32, meminta kebenaran menyertai ‘rombongan’ dinyatakan remaja perempuan itu.


“Kami berempat berjalan kaki ke arah sebuah gunung di pekan Tampin tanpa membawa sebarang bekalan makanan dan singgah di sebuah taman rekreasi sebelum kembali meneruskan perjalanan.

“Setibanya di kaki gunung itu kira-kira jam 4 petang, kami sempat mandi di sebuah kolam dan melakukan aktiviti memanjat gunung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dakwanya, ketika itu remaja berkenaan dilihat hanya berdiri sambil memerhati pergerakan mereka dari jauh.

“Apabila melihat suasana petang itu semakin gelap, kami menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah dan memulakan perjalanan dengan berjalan kaki lalu berpecah haluan.


“Kira-kira jam 8 malam, setibanya di sebuah stesen minyak di pekan Tampin, ibu dan bapa (Mohd Zam Rusli, 32) terus membawa saya pulang,” katanya.


Bagi Sasriza, dia mengizinkan anak sulungnya itu pergi namun memintanya supaya pulang ke rumah sebelum jam 5 petang.


“Namun, saya mendapati dia (anak) masih tidak pulang ke rumah dan mula mengesyaki sesuatu berlaku.


Saya kemudian minta suami mencarinya sambil cuba menghubungi keluarga rakan.


“Saya turut menghubungi guru besar sekolah dan terkejut apabila mengetahui tiga lagi pelajar turut mengikut remaja perempuan terbabit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan.

Banglo dipecah barang kemas RM300,000 lesap



Kuala Lumpur: Sebuah kediaman mewah milik seorang ahli perniagaan dipercayai dipecah masuk sekumpulan perompak dalam kejadian di SS3, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Difahamkan, kejadian pecah masuk itu menyebabkan mangsa kerugian hampir RM300,000.

Menurut sumber, kejadian itu hanya disedari ahli perniagaan berkenaan yang berusia 60-an sebaik mendapati dalam banglonya berselerak sebaik pulang, jam 10 malam.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari kediamannya itu dipecah masuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah peti besi yang mengandungi barang kemas bernilai hampir RM300,000 bersama wang tunai hilang.


“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kumpulan perompak terbabit memasuki banglo berkenaan dengan mengumpil jeriji tingkap bahagian belakang kediaman itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Geng samun, bunuh tumpas




Ipoh: Sekumpulan perompak yang terbabit dalam beberapa kes samun bersenjata api dan bunuh di Perak sejak sebulan lalu berjaya ditumpaskan apabila tujuh ahli kumpulan itu diberkas pada 15 Mei lalu.

Semua suspek iaitu masing-masing enam lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 21 hingga 38 tahun dicekup tiga jam selepas melakukan rompakan bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Kampung Acheh, Sitiawan pada hari rompakan itu.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, kumpulan berkenaan dikesan melakukan rompakan di restoran berkenaan selain menyamun pemilik restoran berusia 49 tahun dan tujuh pelanggan yang menjamu selera.

Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, menjejaki suspek di sebuah hotel di Pantai Remis, Manjung jam 4.30 pagi.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, selain menahan semua suspek, pihaknya merampas kembali wang tunai RM20,000, pelbagai telefon bimbit dan kereta Kia Sephia milik pengusaha restoran itu.


“Kami merampas tiga jam tangan, dua kamera digital, barang kemas, dokumen peribadi mangsa dan kereta Honda City milik suspek,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, polis merampas dua senjata api iaitu Stayer Manniicher Austria dengan satu kelopak dan sepucuk Revolver Ruger Speed-Six .33 Special serta 130 butir peluru jenis .33 dan 9 mm.

Mohd Shukri berkata, siasatan awal mendapati, tiga daripada tujuh suspek berusia 25, 31 dan 38 tahun itu mempunyai rekod lampau iaitu terbabit dalam kes tembak, bunuh, perintah tahanan terhad dan dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit ialah individu sama yang terbabit dalam dua kes samun dan melepaskan tembakan yang dilaporkan di Bagan Serai dan Kuala Kurau, Taiping, pada 13 Mei lalu sehingga mengakibatkan tiga mangsa cedera terkena tembakan.

“Semua suspek kini direman sehingga esok (hari ini) dan polis membuka tiga kertas siasatan berkaitan tangkapan dan rampasan yang dibuat.

“Siasatan yang dijalankan merangkumi Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman mati kerana kesalahan melepaskan tembakan ketika samun, Seksyen 8 akta sama yang boleh dihukum 14 tahun penjara dan enam sebatan kerana memiliki senjata api secara haram serta Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya kerana memiliki peluru tanpa permit,” katanya.

Seorang dijangka keluar wad



Alor Setar: Seorang daripada enam sekeluarga yang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, sejak Sabtu lalu, kerana disyaki terkena jangkitan kencing tikus (virus leptospirosis), dijangka dibenarkan keluar dari hospital berkenaan hari ini jika pesakit itu menunjukkan perkembangan positif berterusan.

Pesakit itu, Siti Zubaidah Redzuan, 22, dijangka diberi kebenaran keluar dari hospital, namun semua itu bergantung kepada tahap kesihatannya.


“Demam dan sakit kepala semakin berkurangan dan doktor memaklumkan jika berterusan menunjukkan perkembangan positif, saya boleh keluar hospital, namun rawatan susulan masih diteruskan setakat ini.

“Keadaan adik saya yang sebelum ini sakit kepala kritikal beransur pulih dan mampu berjalan seperti biasa. Saya harap semua anggota keluarga pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” katanya, semalam.


Semalam, akhbar ini melaporkan selain Siti Zubaidah, lima orang ahli keluarganya termasuk abang dan adiknya dikejarkan ke HSAH, Sabtu lalu, berikutan mengalami simptom virus leptospirosis termasuk demam berpanjangan, pening kepala, muntah dan sakit sendi.


Bagaimanapun, abangnya, Abu Hanifah, 23, meninggal dunia pada hari sama dikejarkan ke hospital selepas demam berpanjangan lebih seminggu termasuk mengalami pendarahan di mata, telinga dan hidung serta organ hatinya gagal berfungsi. Mereka sekeluarga mengalami demam berpanjangan selepas berkelah di air terjun Lata Bayu, Baling pada 4 Mei lalu.

Difahamkan, sampel darah mereka dihantar ke makmal Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kelmarin dan dijangka diketahui dalam masa enam hari lagi.


Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, tiga kematian dicatatkan daripada jumlah keseluruhan 82 kes akibat jangkitan virus berkenaan di negeri ini.

Katanya, kes yang membabitkan kematian lazimnya disebabkan pesakit lambat mendapatkan rawatan khusus di hospital selain beranggapan ia demam biasa.


“Kami mempunyai antibiotik yang boleh merawat virus berkenaan, namun pesakit perlu dirawat segera bagi mengelakkan virus terbabit merebak.


“Kegagalan mendapatkan bantuan cepat mengakibatkan kematian dan ini biasanya berlaku. Orang awam perlu prihatin berhubung tahap kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan jika mempunyai simptom virus itu,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kes terbaru kencing tikus yang mengakibatkan kematian seorang lelaki, Abu Hanifah yang meninggal dunia disyaki terkena virus leptospirosis.


Bagi statistik tahun 2012, sebanyak 267 kes membabitkan virus leptospirosis dilaporkan dengan enam kematian dicatatkan.


Dr Ismail berkata, kebanyakan kes yang dicatat di negeri ini berlaku di pusat perkelahan yang mempunyai air terjun dan membabitkan remaja dengan nisbah lelaki serta wanita adalah 4 nisbah 1.


Menurutnya, sikap pengunjung pusat perkelahan yang gemar meninggalkan sisa makanan mereka di situ mampu mengundang kedatangan tikus di kawasan itu sekali gus boleh menyebabkan tersebarnya virus berkenaan.


“Kebiasaannya, jika tikus kencing di tempat yang kering, kuman dari air kencing itu akan mati, namun jika haiwan berkenaan membuang air kumuhan di kawasan berair seperti di air terjun, kuman itu akan merebak.


“Dan jika virus terbabit terkena bahagian tubuh yang terluka, ia boleh mengakibatkan jangkitan sekali gus merebak dalam tubuh badan pesakit,” katanya.

20 kali telefon tak berjawab




Kuala Terengganu: “Lebih 20 kali saya telefon anak tetapi tidak berjawab, sedangkan sebelum ini dia tidak pernah tidak menjawab panggilan menyebabkan saya mengesyaki rasakan ada benda pelik berlaku,” kata Zakiah Mahmud, 60, ibu Hasbullah Abdul Ghani, 26, yang maut dalam kemalangan berhampiran susur Ukay Perdana di Jalan Lingkaran Tengah II, Ampang kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Turut meninggal dunia dalam kemalangan itu isteri Hasbullah, Nurul Intan Shahida, 22, dan dua sepupunya, Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22.


Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Satria dari Bukit Antarabangsa menghala ke Kuala Lumpur mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit dan merempuh kereta Perodua Viva dinaiki keempat-empat mangsa.

Zakiah berkata, dia menelefon anak bongsu daripada dua beradik itu kira-kira jam 5.30 petang kelmarin untuk bertanya lokasi mereka namun tidak dijawab, malah usaha menghubungi menantu, Nurul Intan dan dua anak saudara, Tengku Ahmad Faiz dan Asma, 22, juga gagal.


Katanya, kira-kira jam 8 malam, seorang wanita menghubunginya menggunakan telefon anaknya memberitahu supaya beristighfar serta meminta dia datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengetahui keadaan Hasbullah yang terbabit dalam kemalangan.


“Selepas mendapat panggilan itu, saya menelefon anak sulung, Norizawati yang bekerja di Kuala Lumpur, memintanya ke HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Mengikut cerita Norizawati, keadaan arwah dan isterinya sangat menyedihkan serta cedera di beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Losong Datuk Amar, di sini, semalam.


Menurut suri rumah itu, arwah anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori baru setahun berkahwin dengan Nurul Intan yang bekerja sebagai pembantu jualan sebuah pasar raya di sini.

Katanya, mereka ke Kuala Lumpur Khamis lalu dan sepatutnya pulang ke Terengganu, kelmarin.


“Hasbullah suka bergurau tetapi sejak seminggu lalu, dia pendiam. Ketika hendak ke Kuala Lumpur baru-baru ini, dia hanya memandang muka saya serta tidak bersalam seperti kebiasaannya apabila meninggalkan rumah.


“Nurul yang baru sebulan hamil, juga pendiam dan tidak bersalam dengan saya ketika hendak ke Kuala Lumpur,” katanya.


Sementara itu, Sobah Mahmud, 57, ibu kepada Tengku Ahmad Faiz berkata, anaknya yang mengusahakan pusat mencuci kenderaan di Jalan Kamaruddin di sini, periang dan mesra dengan anak saudaranya selain aktif dengan aktiviti luar antaranya menjadi Naib Presiden Kelab Savvy Terengganu.


Katanya, dia hanya mengetahui anak keenam daripada tujuh beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas berasa tidak sedap hati melihat berita kemalangan maut di televisyen sebelum dimaklumkan anaknya, Tengku Bahrizal Izani, 40, yang tinggal di Ukay Perdana, Ampang.


“Biasanya arwah sentiasa bersalam dengan saya setiap hari hendak keluar rumah, tetapi Khamis minggu lalu, dia tidak bersalam dengan saya,” katanya.


Jenazah empat mangsa terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, malam tadi.

Kebetulan cerita pasal adik ketika kejadian




Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga terkejut sebaik mendapat berita kematian Asma kerana kebetulan ketika kejadian itu ibu saya menceritakan perangai kami adik beradik semasa kecil termasuk perangai Asma sebelum tiba-tiba bapa menghubungi memaklumkan adik saya itu terbabit kemalangan dan meninggal dunia,” kata Hind Ismail, 24, kakak kepada Asma Ismail, 22, salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Ukay Perdana, Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu bermula apabila sebuah kereta Proton Satria dari Bukit Antarabangsa menghala Kuala Lumpur mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta merempuh sebuah Perodua Viva dinaiki empat orang.


Mangsa yang terbunuh ialah pemandu Perodua Viva, Hasbullah Abdul Ghani, 26; isterinya, Nurul Intan Syahida, 22, serta dua sepupu Nurul Intan iaitu Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22. Semua mangsa yang berasal dari Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Semua mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke rumah abang Tengku Faiz di Ukay Perdana yang terletak berhampiran lokasi kemalangan.


Hind berkata, dia dan adik-beradik lain ketika itu sedang berbual dengan ibu di kediaman mereka di Rawang, dekat sini, mengenai kisah ketika mereka masih kecil termasuk sikap Asma sebelum tiba-tiba bapa menghubungi memaklumkan adiknya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.


“Saya ketika itu tergamam dan beberapa kali pengsan kerana terkejut dengan berita itu tambahan hubungan kami amat rapat walaupun tinggal berjauhan kerana adik saya masih menuntut di Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPTL) di Terengganu.

“Walaupun kami berjauhan namun setiap malam saya dan adik akan berbual melalui telefon bimbit dan arwah seorang yang ceria serta periang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.


Menurutnya, adiknya itu juga akan menamatkan pengajiannya dalam jurusan pengurusan perniagaan pada bulan depan malah dijangka bertunang pada hujung tahun ini.

“Adik saya merancang ingin bertunang dengan teman lelakinya yang akan pulang dari China dalam masa terdekat kerana bekerja di sana namun kini hasratnya itu tidak kesampaian.


“Sebelum kejadian itu, dia ada melawat anak saudara abang kami yang baru lahir mengalami demam kuning dan menerima rawatan di Hospital Ampang. Mereka kemudian dalam perjalanan ke rumah abang Tengku Ahmad Faiz di Ukay Perdana untuk makan malam namun mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya.


Ibunya, Hanim Samsudin, 43, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya ketika sambutan Hari Ibu 16 Mei lalu.

Anggota PGA maut digilis



Bagan Serai: Seorang anggota Polis Gerakan Am (PGA) berpangkat sarjan maut apabila terbabit kemalangan di Kilometer 199.7, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 6 pagi itu berlaku apabila motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa, Mohd Dali Saad, 55, hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah motosikal Yamaha Lagenda dinaiki penunggang lain di laluan sama.


Akibat perlanggaran itu, mangsa yang bertugas di Markas Briged Utara, Hulu Kinta, tercampak di laluan tengah lebuh raya sebelum dirempuh dan digilis beberapa kenderaan lain yang melalui laluan sama.

Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian sama menyebabkan penunggang motosikal Yamaha Lagenda patah tangan, manakala tiga penumpang sebuah kereta Toyota Vios cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam parit di tepi lebuh raya ketika mengelak daripada merempuh mangsa.


“Kami difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Jalan Baharu, Alor Pongsu menuju ke Kem PGA Hulu Kinta sebelum terbabit kemalangan itu.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar sejurus selepas kemalangan, namun bedah siasat tidak dilakukan atas permintaan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Mat Fauzi berkata, arwah Mohd Dali kini bertugas sebagai jurulatih unit perintahan di markas berkenaan.

Pengawal PLKN ditahan



Melaka: Seorang pengawal keselamatan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putera Puteri, Alor Gajah, dekat sini, ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan lebih 200 telefon bimbit milik pelatih kem itu, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, suasana gempar apabila semua alat komunikasi disimpan dalam sebuah kabinet di pejabat kem itu didapati dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab.


Menyedari keadaan itu, pihak pengurusan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Ketua Polis negeri Datuk Chuah Ghee Lye berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya memberkas seorang pengawal keselamatan berusia 40 tahun yang bertugas di kem itu, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati nilai kerugian kehilangan semua telefon bimbit terbabit dianggarkan kira-kira RM57,000.


“Pengawal keselamatan itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.


Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk bangunan,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semua pelatih perlu menyerahkan telefon bimbit mereka kepada jurulatih kem itu untuk disimpan pada Isnin sebelum ia diserahkan semula pada Sabtu.


Pengawal keselamatan yang ditahan dipercayai individu sama melaporkan kejadian itu dan ditahan polis kerana berkelakuan mencurigakan.

Perompak loghat utara




Nilai: “Perompak itu cuba berkomunikasi menggunakan loghat utara seolah-olah berlagak orang tempatan, namun saya tahu mereka ialah warga asing,” kata adik ipar kepada pegawai tertinggi polis di Bukit Aman selepas kediamannya di Mantin, di sini, dipecah masuk lima perompak bersenjatakan parang menyebabkan kerugian lebih RM50,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kontraktor dan isterinya berusia 51 tahun yang juga adik kelima kepada pegawai itu bersama dua anak berusia 17 dan 22 tahun turut diacu dengan parang sebelum diikat menggunakan dawai. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohd, 56, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri tidur sebelum tiba-tiba anak lelakinya mengetuk pintu bilik tidur.


“Sebaik membuka pintu bilik, saya terkejut seorang daripada perompak itu bertindak mengacukan parang dan meminta saya diam.

“Perompak itu mengikat kedua-dua tangan saya dan meminta wang serta pelbagai barangan berharga manakala isteri hanya duduk diam di atas katil dalam keadaan menggigil,” katanya.


Menurutnya, penjenayah itu mengambil masa lebih satu jam menggeledah rumah mereka sebelum melarikan diri dengan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit, komputer riba, sejumlah wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM50,000.


“Seorang daripada mereka memegang penyapu dan mengawasi kami manakala empat yang lain sibuk menggeledah. “Perompak itu hanya mengeluarkan tiga perkataan iaitu ‘steady’, ‘cool’ dan diam,” katanya yang bersyukur keluarganya tidak dicederakan dalam kejadian itu. Sumber polis berkata, ketika kejadian pasangan itu tidur sebelum pintu bilik mereka diketuk.

Katanya, apabila mangsa membuka pintu, lima lelaki bertopeng menyerbu masuk dan terus mengacukan parang di kepala suami wanita itu.


“Hasil siasatan awal, kami mendapati, suspek memotong pagar dan jeriji besi tingkap di belakang rumah untuk masuk ke dalam kediaman mangsa.

“Sebaik memasuki rumah, suspek kemudian mengikat tangan pasangan itu sebelum mengurung empat beranak berkenaan dalam sebuah bilik,” katanya di sini, semalam. Katanya, semua suspek dipercayai warga asing menggeledah rumah mangsa lebih sejam sebelum melarikan diri menggunakan kereta diparkir di luar rumah.


“Selepas semua suspek melarikan diri mangsa kemudian dapat membuka ikatan sebelum menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya.


Kata sumber lagi, semua mangsa tidak diapa-apakan oleh penjenayah berkenaan tetapi masih trauma dengan kejadian itu.


“Buat masa ini kami sedang mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kes itu namun enggan mengulas lanjut.

Tubuh berkecai terjun pangsapuri




Georgetown: Kecewa selepas dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya, seorang wanita warga Indonesia terjun dari tingkat 37 sebuah pangsapuri di Persiaran Gurney di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, tubuh mangsa yang identitinya hanya dikenali sebagai Lyny, 39, berkecai akibat impak kuat terjatuh berhampiran kolam renang pangsapuri terbabit.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati mangsa datang ke negeri ini untuk menemani ibunya yang mahu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

“Selain itu, siasatan lanjut juga mendapati mangsa sebelum itu bergaduh dengan teman lelakinya dan dia yang kemungkinan kecewa, terjun dari tingkat 37 pangsapuri terbabit.


“Difahamkan, mangsa tinggal di sebuah hotel bersama ibunya, namun kita masih menyiasat bagaimana dia masuk ke pangsapuri terbabit,” katanya.


Menurutnya, siasatan lanjut juga turut menemui baldi dan juga selipar bersebelahan tingkap berhampiran lif di tingkat 37 dan semakan buku daftar pelawat juga tidak menunjukkan rekod mangsa masuk ke kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Medan, Indonesia dan sudah beberapa hari berada di negeri ini untuk menemani ibunya mendapatkan rawatan.


“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Pemandu van pekerja ditahan polis




Kuala Lumpur: Seorang lagi lelaki dipercayai suspek yang turut terbabit dalam kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang ditemui di tempat letak bas pekerja, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di Klang, 8 Mei lalu, ditahan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit di kawasan perumahan berkenaan bagi membantu siasatan.


Katanya, suspek berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pemandu van pekerja itu ditahan hasil soal siasat yang dilakukan terhadap ahli keluarga, penduduk sekitar dan dua lelaki tempatan yang ditahan sejurus selepas kejadian dilaporkan berlaku.

“Setakat ini, polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai sampel DNA mangsa yang dijangka diperoleh semalam, namun belum menerimanya.


“Kami juga sudah membebaskan dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun yang ditahan sebaik mayat mangsa ditemui dengan jaminan polis selepas soal siasat dan tempoh tahanan reman terhadap mereka selesai,” katanya.


Mohamad berkata, mengenai desas-desus mengenai bapa tiri mangsa mempunyai kaitan dengan kejadian itu, beliau menafikan kenyataan itu dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Katanya, beliau meminta orang ramai agar menghormati perasaan keluarga mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.


Harian Metro 10 Mei lalu melaporkan mangsa Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11 tahun ditemui dalam keadaan terlentang dengan mulutnya berbuih di kawasan tempat meletak kereta.

Amuk ugut bunuh ipar




Kuala Lumpur: Hanya kerana dituduh merosakkan kasut abang iparnya, seorang wanita bukan sahaja dibelasah, malah diacukan pistol dan diugut bunuh lelaki terbabit yang mengamuk di rumah mereka di Wangsa Maju, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki berusia 30-an itu yang ingin keluar terkejut apabila melihat kasutnya rosak seperti dipotong dengan peralatan tajam.


Menurut sumber, lelaki berkenaan yang juga pengawal peribadi memanggil mangsa berusia 20-an dan bertanya sama ada adik iparnya itu merosakkan kasutnya.

“Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikannya dan memberitahu tidak tahu-menahu kejadian itu.


“Namun lelaki itu tidak berpuas hati dan menuduh mangsa sengaja mencari masalah menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit,” katanya.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang naik berang kemudian memukul mangsa.

“Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengambil pistol sebelum mengacu dan mengugut menembak mangsa.


“Terkejut dengan situasi itu, mangsa yang menggigil ketakutan merayu supaya dilepaskan dan berulang kali menyatakan tidak merosakkan kasut lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, mujur ahli keluarga lain yang terdengar kekecohan itu meleraikan pergaduhan terbabit sebelum lelaki terbabit beredar.


Mangsa yang lebam di badan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Dusun durian dadah

Foto
ABDUL Rahim (tengah) menunjukkan peralatan
 menghasilkan syabu yang dirampas.
Georgetown: Kegiatan satu sindiket menjadikan rumah dalam dusun durian sebagai lokasi memproses dadah akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu rumah berkenaan di kawasan Batu Itam, Balik Pulau, di sini, Selasa lalu.
Difahamkan, sindiket itu cuba mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa kononnya mereka mengusahakan dusun durian, namun mereka menjalankan aktiviti dengan membina makmal mini memproses dadah syabu.
Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis merampas pelbagai peralatan dan dadah nilainya dianggarkan mencecah RM1.2 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, serbuan berkenaan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam dengan siasatan mendapati sindiket berkenaan baru lima bulan menjalankan aktiviti itu.


“Siasatan awal mendapati kumpulan sindiket terbabit baru lima bulan menjalankan aktiviti itu dan mereka baru mencuba menghasilkan syabu.

“Kita percaya syabu dihasilkan itu untuk pasaran tempatan untuk diedarkan di negeri ini dan juga kawasan utara,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Menurutnya, polis menyita tiga kereta milik suspek, dua motosikal dan wang tunai dalam akaun RM186,000.

“Semua suspek berusia 26 hingga 48 tahun itu kini ditahan reman hingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 6.2 kilogram serbuk disyaki dadah jenis ecstasy, enam liter minyak Meth, 39 gram dadah disyaki syabu serta beberapa peralatan digunakan untuk memproses dadah berkenaan serta bahan kimia lain.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat aktiviti mencurigakan dan bau yang tidak disenangi di kawasan mereka supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Cubaan seludup dadah ke Arab Saudi gagal



Jeddah: Badan Pentadbiran Awam Pengawalan Dadah (GADC) Arab Saudi berjaya menggagalkan penyeludupan lebih enam juta pil dadah ke negara ini semalam.

Jurucakap GADC berkata, pihaknya bertindak ekoran maklumat terdapat cubaan untuk menyeludup pil dadah ke Arab Saudi menggunakan beberapa trak yang memasuki negara itu sebagai persinggahan sebelum menuju ke destinasi lain.
GADC di Riyadh mewujudkan pasukan khas untuk memantau kumpulan trak terbabit dan berjaya mengesan sebuah trak di bandar raya itu.

Penguatkuasa GADC kemudian menyerbu trak berkenaan dan merampas pil terbabit yang dicampur dengan bijirin jagung dan kacang kuda.


Terdapat 6.24 juta pil amphetamine disembunyikan dalam trak berkenaan. Dua rakyat tempatan, tiga warga Syria dan seorang dari Jordan turut ditahan. - Saudi Gazette

Video lelaki tampar rakan sepejabat cetus kemarahan



Singapura: Satu rakaman video sensasi yang menunjukkan seorang pekerja pejabat ditampar berulang kali oleh rakan sekerjanya yang lebih tua sudah dibuang dari YouTube, di mana ia dimuat naik kali pertama Jumaat lalu.

Video yang dirakam oleh kakitangan pelatih di sebuah syarikat tempatan itu mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna Internet.


Dalam video itu, seorang kakitangan lelaki tua dilihat memukul kepala seorang pekerja lain. Seorang rakan sekerja memujuknya agar bertenang tetapi dia terus menampar muka pemuda itu sebanyak tiga kali.

Mangsa hanya mendiamkan diri sepanjang diperlakukan demikian.


Sesetengah pengguna Internet yang skeptikal menyatakan tidak wajar untuk seseorang hanya mendiamkan diri ketika diserang.


Walau bagaimanapun, ramai yang terkejut dengan betapa kuatnya tamparan itu. - AsiaOne

Wanita rugi RM19,000 ditipu ‘pegawai kedutaan AS’



Bangkok: Seorang wanita di Samut Prakan memberitahu polis dia diperdaya oleh seseorang yang ditemuinya di Facebook dan mendakwa dirinya lelaki dari Australia.

Dia ditipu kerana menyerahkan 190,000 baht (RM19,223) selepas lelaki terbabit berjanji untuk berkahwin dengannya.
Nawaporn Chaiaumporn, 35, kakitangan pejabat di Samut Prakan memfailkan aduan itu di Divisyen Pengawalan Jenayah (CSD) semalam.

Nawaporn berkata, pada 14 Mei lalu, seorang rakan sekerja memintanya berhubung dengan orang asing di Facebook dalam bahasa Inggeris. Lelaki terbabit memperkenalkan dirinya di profil Facebook sebagai warga Australia bernama Frank Franklin.


Polis diberitahu bahawa lelaki itu menghantar foto kepada mangsa dan mendakwa bekerja sebagai pegawai di kedutaan Amerika Syarikat (AS). Dia juga mengatakan tertarik dengan mangsa dan ingin berkahwin dengannya.


“Franklin” berkata, dia akan memberi AS$300,000 (RM904,208) dan barangan berharga lain termasuk telefon pintar serta rantai emas kepada mangsa.

Dua hari kemudian, Nawaporn menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa memperkenalkan dirinya sebagai Tidawan Kongchan yang dirinya sebagai pekerja di syarikat penghantaran. Dia memberitahunya bahawa ada bungkusan dialamatkan kepada Nawaporn dari negara lain. - Bangkok Post

Remaja minta diselamatkan dari rumah pelacuran melalui Facebook



Bangkok: Polis semalam mendakwa mereka dalam usaha mendapatkan waran tangkap ke atas ibu saudara remaja perempuan berusia 17 tahun yang diselamatkan dari rumah pelacuran di Seoul selepas mangsa memuat naik mesej meminta tolong di laman Facebook miliknya.

Divisyen Anti Penyeludupan Manusia memohon waran tangkap daripada mahkamah jenayah untuk menahan Piengjai Phuplado, 43, ibu saudara kepada remaja yang terjebak dalam sindiket pemerdagangan orang di Korea Selatan, kata pegawai polis, Kolonel Chusak Apaisak.
Menurutnya, polis yakin mereka mempunyai bukti bagi menyokong permohonan waran tangkap itu.

Piengjai dipercayai berada di Korea Selatan menjalankan rumah urut Thai di sana.

- Bangkok Post

Amerika diserang puting beliung


Foto Menarik
DUA lelaki cuba mencari mangsa yang terperangkap di dalam kereta di Oklahoma City, Amerika Syarikat. Sekurangnya 51 orang maut akibat puting beliung selebar 1.6 kilometer dengan kelajuan sehingga 320 kilometer sejam yang melanda Oklahoma City. Ia juga memusnahkan kawasan perumahan serta sekolah rendah selain mengakibatkan beberapa kebakaran. FOTO AP
Washington: Sistem ribut yang berkuasa kelmarin mengeluarkan amaran di seluruh negeri midwest di Amerika Syarikat, mengesan kehadiran puting beliung di Kansas, Oklahoma dan Iowa, memusnahkan kediaman dan membunuh sekurang-kurangnya seorang, lapor media AS.

Awan hitam puting beliung dilaporkan kelihatan di dan dekat bandar termasuk Edmond dan Shawnee di Oklahoma.


Di Shawnee, puting beliung melanda sekumpulan rumah mudah alih, lapor televisyen CBS. Dilaporkan sekurang-kurangnya seorang maut di Shawnee, kata televisyen Fox.

Pihak berkuasa meletakkan beberapa daerah di Kansas, Nebraska, Iowa, Oklahoma, Minnesota, Wisconsin, Illinois dan Missouri dalam keadaan berjaga-jaga dengan amaran puting beliung sepanjang hari. Di Kansas, puting beliung dikesan dekat Lapangan Terbang Wichita dan di Iowa ia melanda barat Des Moines, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.


Khamis lalu, 10 puting beliung melanda Texas membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan puluhan yang lain apabila ia memusnahkan kediaman dan tiang elektrik. - AP

Kilang bahan letupan meletup: 5 maut, 20 hilang



Beijing: Satu letupan kuat semalam melanda kilang bahan letupan di timur China, membunuh lima orang dan menyebabkan 20 lagi hilang, lapor media kerajaan.

Tugas menyelamat diteruskan di tempat kejadian dalam letupan waktu pagi di bandar Caofan di wilayah Shandong itu, lapor agensi berita Xinhua. Laman web syarikat itu berkata, kilang yang dioperasikan kumpulan Baoli itu menghasilkan 10,000 tan bahan letupan industri setiap tahun.
Sejumlah 34 orang berada dalam kilang itu ketika kejadian dan hanya 14 daripada mereka ditemui setakat ini, termasuk mereka yang maut, lapor Xinhua. Punca letupan dan keadaan sembilan yang terselamat tidak diketahui.

Jurucakap kerajaan di bandar Zhangqiu berkata, jumlah penuh mereka yang terkorban dan cedera masih dikumpul dan akan dikeluarkan. - AP

Nahas belon udara: 2 warga Brazil mati



Ankara: Sebuah belon udara panas berlanggar dengan sebuah lagi belon lain di udara di kawasan pembentukan batu gunung berapi di Turki dan terhempas ke bawah semalam, membunuh dua pelancong Brazil dan mencederakan 23 lagi yang berada di atasnya, kata pihak berkuasa.

Nahas itu berlaku di atas wilayah tengah Cappadocia apabila belon yang sedang naik berlanggar dengan bakul rotan belon lain yang berada di atasnya, menyebabkan fabrik belon terbabit koyak sebelum ia jatuh ke bawah.
Nahas itu yang kedua menyebabkan kematian di Cappadocia sejak ia mula beroperasi sedekad lalu - menimbulkan persoalan mengenai keselamatan belon udara dan agensi penerbangan awam Turki berkata, pihaknya telah melancarkan soal siasat terhadap nahas itu.

Berikutan pelancongan sedemikian menjadi bertambah popular, timbul soalan sama ada terlalu banyak belon yang dilancarkan pada masa yang sama di Cappadocia.


Pada 2009, seorang pelancong Britain terbunuh dan sembilan lagi cedera apabila dua belon turut berlanggar.


Penumpang yang berada di dalam belon yang terhempas kebanyakannya dari Brazil, Argentina dan Sepanyol, menurut gabenor wilayah Nevsehir, Abdurrahman Savas. Ramai yang patah tulang dan dirawat di hospital sekitar Nevsehir.

Seorang pelancong Kanada yang menetap di Amerika yang menyaksikan nahas itu dari belon lain berkata, kemalangan berlaku kira-kira 45 minit selepas sebanyak 100 belon berlepas pada kunjungan awal pagi.

“Kami mendengar perbualan di radio dan kami tahu sesuatu sudah berlaku. Terdapat transmisi kecemasan: “Lepaskan payung terjun kamu! Lepaskan payung terjun kamu!,” kata Ross yang belon dinaiki berada kira-kira 200 meter dari belon yang terhempas.

“Ia mungkin berada 300 meter di udara dan ia terjunam dengan laju ke bumi,” katanya dalam wawancara melalui telefon.

“Terdapat koyakan besar di fabrik belon itu, mungkin 10 hingga 15 meter panjang,” katanya. - AP

Pesara maut dibaham, dipijak keldai



Magyarszecsod (Hungary): Seorang pesara jatuh selepas diheret dari skuternya sebelum dibaham hingga mati oleh sepasang keldai.

Sandor Horvath, 65, digigit dan dipijak begitu teruk oleh haiwan berkenaan sehingga kelihatan seolah-olah mayatnya dirobek oleh sekumpulan serigala.
Mangsa dikejar dan serang ketika dalam perjalanan untuk melawat rakannya di Magyarszecsod, Hungary.

Rakannya kemudian menemui mayat mangsa dan memaklumkan kepada polis dengan menyangka sahabatnya itu diserang oleh anjing liar.


Bagaimanapun, hasil bedah siasat menunjukkan Horvath menjadi mangsa serangan keldai.


Polis yang mengumpulkan bukti berkata, haiwan itu mengejar pesara terbabit, mengheretnya dari skuter yang ditunggangnya sebelum membunuhnya.

Anak mangsa, Csikos Darda berkata: “Saya menyedari keldai berkenaan semakin agresif dan meminta bapa bertindak sesuatu.

“Bagaimanapun, dia kata, keldai berkenaan tidak akan mengganggunya.”
Seorang veterinar memberitahu akhbar tempatan: “Keldai biasanya tidak agresif terhadap manusia.

“Mereka mungkin bertindak demikian kerana menyangka mangsa menceroboh wilayah mereka,” katanya.

Haiwan berkenaan kemudian ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Seorang jurucakap polis berkata: “Kita tidak boleh membiarkan mereka berkeliaran untuk membunuh orang. Membunuh mereka adalah cara terbaik untuk semua orang.” - AP

Disamun selepas keluar tandas




Petaling Jaya: Seorang penyamun sanggup menunggu seorang ahli perniagaan selesai membuang air kecil di tandas sebuah stesen minyak di SS2, di sini, sebelum mengacu parang dan melarikan wang hasil perniagaan mangsa berjumlah RM23,000, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam itu, mangsa berusia 32 tahun dalam perjalanan ke kedai menjual beg tangan wanita diusahakan bersama abangnya di Bandar Sunway sebelum singgah di stesen minyak berkenaan untuk membuang air kecil.
Menurut sumber, mangsa ke tandas dengan membawa sekali duit berkenaan yang disimpan dalam beg sandang kerana bimbang meninggalkannya di dalam kereta.

Warga India maut jatuh bangunan



GEORGETOWN: Seorang penjual tiket loteri warga India ditemui mati tertiarap di tepi longkang Flat Desa Delima, Bayan Baru selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan bangunan itu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mayat S Arumugam, 41, ditemui dengan kesan kelar di pergelangan tangan kirinya.
Polis turut menemui sebilah pisau berlumuran darah di sinki dapur dan beberapa tompokan darah di ruang tamu kediaman Arumugam di tingkat sembilan flat itu.

"Ketika kejadian dia tinggal seorang diri dan tiada kesan pencerobohan di rumahnya serta sebarang unsur perlakuan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa," katanya kepada pemberita.


Beliau berkata berdasarkan keterangan rakan serumahnya, lelaki terbabit kelihatan murung dan tertekan sejak beberapa hari lepas kerana dipercayai berselisih faham menerusi perbualan telefon dengan isterinya yang tinggal di India.


Gan berkata Arumugam masuk ke negara ini secara sah dan polis turut menemui kad rawatan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan beberapa jenis ubat penyakit diabetes kepunyaan Arumugam.

Katanya kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat. - Bernama

Bom tepi pantai

Foto
BOM yang dijumpai peniaga dihadapan kedainya.
Port Dickson: Tiga bom lama ditemui dalam kejadian berasingan di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, dengan kejadian terbaru kira-kira 7.30 pagi semalam apabila seorang peniaga menemuinya di kawasan berpasir di hadapan kedainya.
Peniaga, Yap Kooi Kiong, 43, berkata, dia tidak jadi membuka kedai dan terus meminta rakan menghubungi Balai Polis Telok Kemang memaklumkan penemuan bom itu.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bom yang ditemui di pantai ini akan dimusnahkan di sini oleh Unit Pemusnah Bom dan arahan menutup kedai serta menjauhi kawasan pantai akan dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

Yap berkata, dia percaya akan ada lagi penemuan bom lama memandangkan kawasan ini baru siap ditambak kira-kira sebulan lalu.


“Ada kemungkinan semasa proses tambak menggunakan pasir di sini, bom berkenaan turut disedut sama oleh kapal korek pasir dan dibawa ke sini (Telok Kemang) untuk proses tambak,” katanya.

Maut rempuh lori turun bahan kempen

Foto
JENAZAH mangsa di tempat kejadian.
Shah Alam: Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap anak lelaki yang gemar menonton filem bercorak hiburan kepada drama berunsur keinsafan, Tanah Kubur yang disiarkan Astro menjadi petanda anak sulungnya itu pergi selama-lamanya.
Muhamad Azrin Ibrahim, 20, terbunuh selepas motosikal dinaiki merempuh lori empat tan jam 4.30 petang di Persiaran Bestari, Seksyen 7, dekat sini, kelmarin.
Mangsa tidak menyedari lori yang melakukan kerja pembersihan menurunkan bendera parti politik di kawasan itu sejurus sebuah kereta di depannya membelok ke kanan ketika memotong lori itu.

Ibu mangsa, Zurita Md Noh, 42, berkata, dia mula menyedari perubahan sikap anaknya itu sejak dua minggu lalu kerana arwah yang sebelum ini gemar bercakap bertukar pendiam.


“Seperti bapanya, arwah juga seorang anggota RELA dan sememangnya tegas dan dianggap garang oleh tiga adiknya, tetapi sejak dua minggu lalu, dia tidak banyak bercakap atau menegur adik-beradiknya.

Sorok bawah tanah

Foto
ANTARA wanita warga asing dan bapa ayam yang ditahan.
Johor Bahru: Cubaan seorang bapa ayam menyembunyikan empat wanita disyaki terbabit dengan kegiatan persundalan di dalam bilik rahsia bawah tanah di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Trus, di sini, tidak berjaya apabila lokasi sulit itu dikesan pihak berkuasa, semalam.
Dalam operasi itu, 12 wanita warga Indonesia berusia antara 23 dan 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan, jam 1.05 pagi.
Ketua Operasi Penolong Pengarah Imigresen Masri Adul berkata, serbuan itu kali kedua dilakukan pihaknya selepas kali pertama, awal bulan ini.

Menurutnya, pada serbuan kali pertama, pihaknya turut menahan beberapa wanita warga asing dipercayai terbabit dalam kegiatan persundalan.


“Apa yang dikesalkan, pengusaha premis itu tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa kerana siasatan berhubung serbuan pertama belum selesai.

Bertempiaran lari masuk semak

Foto
WARGA Myanmar yang ditahan dikawal anggota imigresen.
Kepala Batas: Berlagak dan selalu bercakap besar adalah antara sikap buruk sering ditunjukkan buruh binaan yang mendakwa mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di satu kawasan tapak pembinaan di Bertam.
Seorang peniaga mendedahkan terdapat sekumpulan pemegang kad pelarian dari Myanmar itu mendakwa pihak berkuasa di Malaysia tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka.
Dakwa mereka, pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk bertindak kerana kumpulan itu mempunyai kad UNHCR yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membolehkan mereka tinggal di negara ini.

Kumpulan itu turut mendakwa mereka bebas melakukan apa saja dan tiada siapa boleh mengganggu sebab ‘kebal’ kerana mempunyai kad pelarian berkenaan.


Bagaimanapun beberapa warga Myanmar, termasuk seorang wanita yang didakwa selalu berlagak kerana memiliki kad pelarian itu bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran 30 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang di tapak pembinaan terbabit jam 12 tengah hari semalam.