![]() |
Individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan. |
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai masih berada di negeri ini dan diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu pihak berkuasa.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, jenis peluru digunakan dalam kejadian tembak di kedai kopi itu menyamai peluru yang digunakan dalam kes tembak mati di Kampung Kemasin, daerah sama, sebelum itu.
![]() |
Mazlan melihat kesan luka mangsa akibat kejadian tembak itu, di HRPZ II semalam. |
“Dengan penemuan ini, kami percaya lelaki sama berkemungkinan terlibat dengan kejadian terdahulu. Pun begitu, siasatan masih dijalankan dan ada kemungkinan juga jenis peluru itu hanya secara kebetulan, sama.
“Jadi, saya mohon kepada orang ramai yang mengetahui tentang lelaki itu supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis selain lelaki itu sendiri diminta menyerah diri,” katanya selepas melawat mangsa, Azmi Ismail, 38, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, tengah hari, semalam.
Menurutnya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan pihaknya masih giat menjalankan operasi bagi mengesan pelaku dalam dua kes berkenaan.
“Polis memandang serius kes ini kerana melibatkan nyawa orang awam. Motif kejadian masih belum diketahui kerana mangsa sendiri tidak tahu sebab dia ditembak. Kami juga percaya mungkin penembak ini tersalah sasaran atau silap orang,” katanya.
Sebelum ini, Azmi cedera di pinggang dan paha kanan selepas terkena dua das tembakan dilepaskan seorang lelaki menaiki motosikal. Dia hanya menyedari ditembak selepas melihat darah keluar dari badannya sebelum dikejarkan ke hospital.
Manakala, pada 15 Februari lalu, seorang bekas anggota tentera, Sauti Muda, 57, maut ditembak dan ditetak dengan pedang oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika mangsa sedang bersarapan bersama isteri di sebuah kedai makan, berhampiran rumahnya di Kampung Kemasin.