Pasir Puteh: “Pilu melihat keadaan mangsa, ada yang menyebut ‘sakit, sakit’ dan ada meminta air untuk diminum,” kata saksi kemalangan maut membabitkan dua sahabat selepas Proton Perdana V6 dinaiki mereka bertembung dengan van di Kilometer 49, Jalan Kota Bharu-Terengganu berhampiran Kampung Wakaf Raja, Bukit Yong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, pemandu kereta, Fadzhilhafizie Zakaria, 26, dari Kampung Pak Wong, Jerteh, Terengganu dan Tuan Mohd Rizuan Zakaria dari Kampung Telok, Jerteh, disahkan meninggal dunia pada jam 3 dan 4 pagi di Hospital Jerteh (HJ) dan Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, akibat cedera parah di kepala serta badan.
Dua rakan sekampung mereka, Abd Aziz Rapuzali, 23 dan Mohd Faisal Firdaus Haron, 20, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian manakala pemandu van, Lee Sui Hong, 62, turut dirawat di hospital sama akibat patah kedua-dua kaki.
Saksi dikenali sebagai Ismail, 54, berkata, dia dan rakan sedang berbual di beranda rumahnya kira-kira 50 meter dari lokasi nahas apabila terdengar dentuman kuat.
Katanya, dia menyangka penunggang motosikal dilanggar kereta lalu bergegas ke jalan besar dan mendapati sebuah van berlanggar dengan Perdana V6 itu di depan rumahnya.
“Empat lelaki yang menaiki kereta itu dalam keadaan lemah dan berlumuran darah manakala kereta mereka remuk teruk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sebelum kejadian, kereta dinaiki empat pemuda itu dipercayai dalam perjalanan ke Jerteh dari Kota Bharu manakala van terbabit dari Dungun, Terengganu ke Kota Bharu.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di satu selekoh, van dipandu Lee dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Fadzhilhafizie.
“Fadzhilhafizie disahkan meninggal dunia di HJ pada jam 3 pagi disusuli Tuan Mohd Rizuan pada jam 4 pagi di HTA, manakala dua rakan sekampung mereka yang cedera parah, Abd Aziz dan Mohd Faisal dihantar ke HTA sebelum dirujuk ke HUSM untuk rawatan lanjut.
“Jenazah Fadzhilhafizie dan Tuan Mohd Rizuan dituntut oleh keluarga masing-masing sebaik selesai dibedah siasat dan sehubungan itu, kita meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan yang akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.