Search This Blog

Friday, May 17, 2013

Dakwaan rasis: Penganjur wacana dipanggil beri keterangan



SHUKRI Ishak (tengah) ditemani dua rakannya berjalan keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas memberi keterangan kepada pihak polis di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR 17 Mei - Setiausaha Agung Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Shukri Ishak hari ini memberi keterangan selama sejam kepada pihak polis berhubung dakwaan kenyataan rasis dalam program 'Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' pada Ahad lalu.
Beliau memberi keterangan tersebut kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini mulai pukul 9.00 pagi ini.
Keterangan itu bagi membantu siasatan laporan dibuat oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap kenyataan dibuat bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah pada program berkenaan.
Pada sidang akhbar selepas itu, Shukri memberitahu, beliau memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat itu untuk melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
"Saya tidak pasti dan tidak mendengar sebarang ucapan berbentuk rasis oleh ahli panel termasuk Mohd. Noor semasa program berlangsung.
"Secara keseluruhannya program adalah berbentuk konstruktif mengikut peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, PAUiTM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menganjurkan program bual bicara berkenaan dengan menampilkan tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Anggota Himpunan Keilmuan Muslim (Hakim) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Noor sebagai ahli panel.
Tambah Shukri, wacana itu dianjurkan bagi membincangkan perpaduan ummah antara masyarakat majmuk di negara ini dan laporan berhubung program berkenaan akan dihantar kepada kedua-dua belah pihak baik parti kerajaan mahu pun pihak pembangkang.
"Lebih baik kita membincangkan sebarang permasalahan dan menyuarakan pendapat di dalam dewan daripada melakukan demonstrasi jalanan.
"Perbincangan ini juga termasuk perihal trend tidak sihat pengundi sekarang yang dilihat memilih parti mengikut kaum mereka sahaja. Di manakah perpaduan sekiranya ini berlaku?," katanya lagi.
Jelas Shukri, selain beliau, beberapa peserta daripada 680 orang yang menyertai program tersebut turut akan dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
"Jika benar program ini untuk mengeluarkan hasutan perkauman, untuk apa kami sebagai badan bebas menyediakan laporan lengkap hasil perbincangan program ini termasuk untuk diserahkan kepada pihak parti lain.
"Laporan ini termasuk dengan pandangan dan pendapat yang disuarakan peserta bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum dan sebagai panduan dalam menjaga kepentingan politik untuk survival (kelangsungan) ummah dalam negara ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130517/je_06/Dakwaan-rasis-Penganjur-wacana-dipanggil-beri-keterangan#ixzz2TXZSLwmx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

TNB nasihat orang awam berhati-hati pihak menyamar sebagai pekerja TNB



17/05/2013 3:40pm

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang menyamar sebagai anggota kerja atau kontraktor TNB.
Menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini, anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna adalah diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat iaitu baju-T berwarna merah dengan logo TNB.
Katanya, baju-T berkenaan akan dipakai dengan jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja tersebut.
"Anggota kerja yang perlu memeriksa meter hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa iaitu kad pengenalan diri pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja beserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja.
"Pemeriksaan hanya akan dibuat setakat lokasi meter dipasang sahaja yang mana ia terletak di luar rumah dan tidak dibenarkan membuat pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB,” kata kenyataan itu di sini hari ini. - KOSMO


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz2TXXngHcS 
Hakcipta terpelihara 

Tiga pengarah, bekas pengarah Genneva bebas



KUALA LUMPUR 16 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB), daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian terhadap tiga pengarah syarikat itu iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.
Keputusan tersebut dibuat setelah beliau mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
''GSB tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.
''Keterangan pembelaan dan bukti yang dikemukakan menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaanya sememangnya wujud dan bukan rekaan semata-mata,'' ujar Rozana.
Kata beliau, pihak pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli balik atau buy back guarantee (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.
Namun katanya, mahkamah berpendapat, diskaun atau rebat dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.
Menurut beliau, GSB juga melalui BBG memberi pilihan kepada pelanggannya sama ada untuk menjual balik emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.
Rozana berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan GSB menjalankan aktiviti jual beli emas seperti yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Kata beliau, mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.
Katanya, transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam mahupun daripada hasil aktiviti haram.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama.
Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa memohon penggantungan pelaksanaan keputusan itu agar aset syarikat tersebut kekal dibekukan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
Wong bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan keputusan itu adalah penting dan BNM patut mempertimbangkan semula pembekuan aset tersebut bagi membolehkan para pelabur mendapatkan kembali pelaburan mereka.
Rozana kemudian memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan permohonan pengantungan secara rasmi hari ini supaya beliau boleh mendengar permohonan itu esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130517/ma_02/Tiga-pengarah-bekas-pengarah-Genneva-bebas#ixzz2TXXNjxGz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 lelaki serang penjaja ketika kempen diambil keterangan



PULAU PINANG 17 Mei - Polis sudah mengambil keterangan tiga lelaki yang bertindak memukul seorang penjaja semasa kempen pilihan raya umum ke-13 dalam satu kejadian di Jalan Perak pada 16 April lepas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata keterangan diambil sebaik ketiga-tiga suspek menyerah diri di Balai Polis Jelutong empat hari lepas.
Rahim memberitahu, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan antara 20-an dan 30-an itu kini dibebaskan atas jaminan polis.
"Kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang diserang semasa tempoh kempen pilihan raya umum lepas adalah palsu.
"Tangkapan sudah dibuat terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes ini," katanya kepada pemberita selepas upacara pemakaian pangkat Koperal ke Sarjan bagi Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Dalam kejadian 16 April lepas itu, Teoh Hock Choon, 53, dipukul sekumpulan lelaki selepas dia didakwa menurunkan bendera 1Malaysia di hadapan rumahnya di Jalan Perak.
Teoh menerima lebih daripada 100 jahitan dan berada dalam keadaan koma selama beberapa hari.
Menurutnya lagi, kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar kepada pendakwa raya dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semalam, Guan Eng dalam satu sidang akhbar menggesa polis supaya mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
Beliau mendakwa tiada tindakan diambil oleh polis walaupun suspek sudah dikenal pasti. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130517/je_07/3-lelaki-serang-penjaja-ketika-kempen-diambil-keterangan#ixzz2TXWZm1ua
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis buru empat suspek samun kedai telefon



Gambar seorang suspek samun yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup di sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.
KUALA LUMPUR 16 Mei - Polis memburu empat suspek termasuk seorang yang sudah dikenal pasti identitinya kerana dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Laut di sini pada 6 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, identiti suspek tersebut dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu semasa kejadian.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, dua suspek bersenjatakan parang menyerang pemilik kedai itu sementara dua lagi rakan mereka menunggu di luar kedai.
"Suspek meminta pemilik kedai itu menyerahkan wang serta barang berharga namun berlaku pergelutan antara mereka hingga menyebabkan pemilik kedai itu ditetak di kepala.
"Suspek kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM30,000 serta beberapa telefon bimbit dengan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM35,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, kedua-dua suspek itu melarikan diri bersama dua lagi rakan mereka dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125, masing-masing berwarna hitam dan biru.
Sementara itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat (IO), Inspektor Mohd. Hasrul Nizam di talian 019-297 8103 atau 03-2600 2222.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130517/je_05/Polis-buru-empat-suspek-samun-kedai-telefon#ixzz2TXbFzQ8U
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ditembak lelaki berkain pelikat



Azmi Ismail yang cedera ditembak di bahagian belakang dan paha menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/rosni masri.
BACHOK 16 Mei - Seorang tukang rumah cedera ditembak oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai kain pelikat ketika bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemayan, Tawang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Azmi Ismail, 37, dari Kampung Pantai Senok cedera di belakang pinggang dan paha kanan selepas terkena dua das tembakan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurut beliau, suspek melepaskan dua das tembakan, masing-masing mengenai bahagian belakang dan paha kanan mangsa.
"Ketika kejadian mangsa sedang bersarapan di kedai kopi berkenaan dan tiba-tiba muncul seorang suspek berbaju hitam dan berkain pelekat menaiki motosikal jenis Yamaha LC melepaskan tembakan dan mengenai mangsa," katanya di sini hari ini.
Saksi kejadian yang merupakan pemilik kedai berkenaan, Idayu Mustapa, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama empat pelanggan berada di warung.
"Tiada siapa menyangka lelaki itu melepaskan tembakan kerana bunyi itu tidak begitu kuat malah kami ingat lelaki itu menggunakan pistol mainan.
"Mangsa sendiri malah sempat bertanya kepada dua pelanggan adakah suspek melepaskan tembakan. Namun setelah mangsa memeriksa belakang badan baru dia sedar dia ditembak," kata Idayu.
Idayu memberitahu, salah seorang pelanggan bergegas menghubungi ambulans manakala seorang lagi memberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
"Saya tak sangka dia akan menembak kerana suspek berpakaian seperti baru balik dari masjid iaitu memakai kain pelekat dan baju Melayu.
"Sebelum menembak, dia ada berkata 'mu ni agah terlajak' (kamu ini berlagak sangat) dan melepaskan dua das tembakan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130517/je_02/Ditembak-lelaki-berkain-pelikat#ixzz2TXXR2WfR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengawal kena saman tumbuk polis



Kuala Terengganu: Seorang pengawal keselamatan yang berang selepas disaman kerana melanggar lampu isyarat merah menumbuk kepala seorang polis hingga cedera, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa bersama rakan setugas sedang membuat rondaan cegah jenayah bermotosikal di kawasan pentadbiran Balai Polis, Chabang Tiga, di sini, sebelum terserempak dengan suspek di lampu isyarat Jalan Simpang Tok Ku, Chabang Tiga.
Sumber berkata, suspek yang menunggang motosikal tidak berhenti ketika lampu isyarat merah. Mangsa mengejarnya dan ditahan di tempat letak motosikal di belakang sebuah pasar raya di Jalan Sultan Mohamed, di sini.

Maki hamun polis

Ketika mangsa mengeluarkan surat saman, suspek yang berusia 37 tahun dan masih bujang itu memaki hamun polis terbabit dan menumbuknya di kepala hingga cedera, katanya.

Suspek dari Kampung Chempaka itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan anggota polis itu sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan lanjut.

Pemuda mati dikelar



17/05/2013 3:50pm

SEREMBAN - Seorang pemuda ditemui mati dipercayai akibat dikelar di leher dalam satu kejadian di sebuah pusat karaoke di bangunan Terminal 2, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu sebentar tadi berkata, mayat Mohd. Hairulnizam Hanafiah, 23, ditemui orang awam kira-kira pukul 3 pagi di tempat kejadian.
"Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan mengesan suspek lain yang berkaitan dalam kes ini. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,'' katanya. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2TXXqRnpC 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris maut kena tembak di warung



Bachok: Seorang tukang rumah nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki dalam kejadian di warung kopi di Kampung Gong Batu, Pantai Kemayan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu mangsa, Azmi Ismail, 38, parah selepas terkena dua das tembakan di kaki kiri dan pinggang.
Mangsa bersarapan di warung berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki bermotosikal dan bertopi keledar yang secara tiba-tiba memarahinya.

Saksi, Idayu Mustapha, 30, yang juga pemilik warung berkata, ketika kejadian ada lima orang, termasuk mangsa yang sedang bersarapan di warungnya.

Saya terdengar lelaki itu memarahi mangsa dengan memberitahu dia (mangsa) bersikap kurang ajar, katanya.

Lari selepas disergah

Saksi itu berkata, suspek kemudian melepaskan dua das tembakan, namun mengenai bahagian pinggang dan paha kanan mangsa.
Katanya, sejurus melepaskan tembakan, suspek yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan melarikan diri setelah disergah seorang pelanggan.

Mangsa seperti tidak menyedari dirinya ditembak kemudian bertanya kepada pelanggan di warung sama ada dia ditembak kerana bunyi pistol yang digunakan amat perlahan, sebelum melihat pinggangnya berdarah dan dia kemudiannya pengsan, katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Mangsa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

2 mayat reput dalam lubang



Oleh Abdul Rahman Adam
Miri: Tanda tanya mengenai kegagalan dua pekerja tapak binaan warga Indonesia hadir bekerja sejak enam hari lalu, terjawab apabila mayat mereka ditemui ditanam sedalam 1.5 meter di tapak pembinaan di Permyjaya di sini, semalam.

Mayat reput kedua-dua lelaki dipercayai bersaudara itu yang belum dikenal pasti identiti, ditemui selepas sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dibuat seorang penyelia di tapak projek itu kira-kira jam 8.30 pagi.



Dengan bantuan anjing pengesan dan jengkaut, polis berjaya mengeluarkan mayat kedua-dua lelaki terbabit yang ditanam berhampiran longkang yang sedang dalam pembinaan di tapak projek berkenaan.



Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengesan dan mengeluarkan mayat sudah reput dan hampir berkecai itu.

Foto
JENGKAUT digunakan untuk mengeluarkan mayat dua bersaudara yang dibunuh.


Foto
POLIS mengeluarkan mayat dua lelaki Indonesia yang ditanam di sebuah tapak pembinaan di Permyjaya, Miri.
Katanya, khidmat anjing pengesan terpaksa digunakan bagi mengesan lokasi sebenar mayat itu ditanam sebelum mengorek menggunakan jengkaut berikutan lubang turut ditutup dengan simen.

Mati kebuluran

Foto
PASANGAN suami isteri dibawa keluar mahkamah, semalam.
Georgetown: Sepasang suami isteri dihukum 24 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, semalam, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian pembantu rumah akibat kebuluran, pada April tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Zamani Abdul Rahim yang membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan peguam Naizatul Zamrina Karizaman mewakili kedua-dua tertuduh dan hujah Timbalan Pendakwa Raya Tan Guat Cheng.
Zamani berkata, sebagai majikan kepada mangsa berasal dari Kemboja yang datang mencari nafkah di negara ini, kedua-dua tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan seperti makan minum, perubatan serta barangan asas mangsa sepanjang berada di bawah jagaan mereka.

“Bagaimanapun, tertuduh bertindak sebaliknya apabila membiarkan mangsa yang asalnya mempunyai ketinggian 148 sentimeter dan berat badan 44 kilogram (kg) susut mendadak sehingga menjadi 26.1kg dalam tempoh tujuh bulan,” katanya.


Tertuduh, Soh Chew Tong, 44, dan isteri, Chin Chui Ling, 42, diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh mereka ditahan, pada 1 April lalu.

‘Dia bedil sapo?’

Foto
ANGGOTA polis menyiasat di tempat kejadian.
Bachok: “Dia bedil (tembak) sapo (siapa) tu, ke bedil aku?,” kata tukang rumah sebelum rebah dan mengerang kesakitan akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki dipercayai dikenalinya ketika bersarapan di warung makan di Kampung Gong Batu, Kemayan, Tawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Azmi Ismail, 37, parah terkena tembakan di pinggang kanan dan di belakang paha kanan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Mangsa dari Pantai Senok di sini, ditembak seorang lelaki memakai baju Melayu, berkain pelikat dan bertopi keledar yang menunggang motosikal Yamaha LC.

Saksi kejadian yang juga pemilik warung berkenaan, Idayu Mustafa, 30, berkata sebelum kejadian, dia sibuk melayan empat pelanggan termasuk mangsa yang bersarapan di warungnya.


Katanya, sejurus meminta minuman, mangsa didekati seorang lelaki memakai kain pelikat, baju Melayu dan bertopi keledar yang datang ke warung menunggang dengan motosikal jenis Yamaha LC.

Rayu peluang nikmati hidup

Foto
AMRAN dibawa dari mahkamah.
Kota Bharu: Seorang perogol bersiri hanya menundukkan wajahnya apabila dihukum penjara 16 tahun lagi serta enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol pelajar kolej, dua tahun lalu.
Hakim Yusuff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Amran Che Jaafar, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berasingan dengan hukuman penjara 49 tahun dan 27 sebatan bagi pelbagai kesalahan jenayah lain yang sedang dijalaninya.

Amran didakwa merogol pelajar kolej berusia 20 tahun itu di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di sini pada jam 8.45 pagi, 23 Februari 2011.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bayar tunai

Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek.
Kuala Lumpur: Pecutan maut. Itu larian 100 meter (m) terakhir seorang lelaki sebelum dia rebah dan menemui ajal di hadapan sebuah rumah di Jalan 12C/6, Setapak Indah, di sini, selepas meninggalkan Perodua Alza yang dicurinya tidak jauh dari situ, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, lelaki berusia lewat 30-an terbabit dilaporkan melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan di hadapan sebuah Taska di Taman Melati, namun terpaksa meninggalkan kenderaan itu di Setapak Indah selepas menyedari seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berada di dalamnya.
Menurut sumber, lelaki itu berbuat demikian kerana dia panik selepas mendengar tangisan kanak-kanak yang berada dalam MPV itu sebelum meninggalkan kenderaan berkenaan kira-kira 1.3 kilometer (km) dari lokasi ia dicuri.

“Lelaki terbabit tidak mengapa-apakan kanak-kanak itu, sebaliknya mengambil beg tangan ibu mangsa dalam kenderaan itu sebelum berlari meninggalkannya dan masuk ke kawasan perumahan berhampiran dipercayai bagi meloloskan diri.


“Namun, lelaki terbabit tiba-tiba rebah kira-kira 100m daripada kenderaan itu,” katanya.

Menyorok dalam almari

17 Mei 2013
Menyorok dalam almari
Anggota ops menemui wanita yang bersembunyi di dalam almari televisyen.
Menyorok dalam almari
Antara wanita yang diperiksa.
JOHOR BAHRU - Seramai 15 wanita yang bekerja di sebuah pusat nyanyian dan karaoke di sini, diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Sayang, semalam.

Hasilnya, 12 wanita warga China berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dalam serbuan jam 12.05 pagi itu.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Khairulanuar Abu Bakar berkata, anggota operasi terpaksa menunggu selama 10 minit di luar premis sebelum masuk dan memperkenalkan diri.
“Operasi ini bertindak atas aduan awam. Setibanya di lokasi, anggota memperkenalkan diri kepada penjaga premis berusia 48 tahun dan melakukan pemeriksaan.

“Pada mula, hanya ada pelanggan lelaki di dalam premis dan tiada seorang wanita ditemui. Bagaimanapun, selepas digeledah, anggota operasi menemui wanita menyorok di kaunter, almari televisyen, belakang pintu dan ada bersembunyi di bawah sinki,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Khairulanuar berkata, sembilan daripada 12 wanita warga China yang ditahan didapati melakukan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala selebihnya Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Anggota ops turut merampas pelbagai barangan milik wanita yang ditahan. Kesemuanya dibawa ke pejabat dan ditahan untuk siasatan lanjut jabatan.

“Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Pemeriksaan tamat sekitar jam 12.30 malam,” katanya.

Diragut ejen turap jalan

17 Mei 2013
Diragut ejen turap jalan
Md Isa menunjukkan jalan yang didakwa akan diturap.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas cedera apabila rantai lehernya diragut seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen turap jalan di Kampung Melaka Pindah, Durian Tunggal, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Hainah Katan, 68, berada di beranda rumahnya bersama suami, Md Isa Abdul Hadi, 70, sebelum didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.

Md Isa berkata, ketika itu, dia yang sedang bersiap untuk ke tanah perkuburan berdekatan ditegur lelaki terbabit yang berhenti di hadapan rumahnya.

“Lelaki itu datang dengan menunggang sebuah motosikal jenis Honda berwarna gelap dan beritahu kedatangannya untuk memberi khidmat turap jalan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa saya terus pergi sambil berpesan kepada isteri supaya masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu sehingga saya pulang semula dari kubur,” katanya.

Katanya, kira-kira jam 10 pagi, dia pulang ke rumah dan lihat lelaki itu masih ada di hadapan rumahnya.

“Selepas itu, lelaki berkenaan mengadu kehausan dan bertanya di mana dia boleh beli air sebelum isteri bangun untuk ke paip berdekatan.

“Ketika isteri berjalan menuju ke paip untuk basuh kaki, lelaki itu terus menunggang motosikalnya dan merentap rantai leher isteri dari arah belakang,” katanya.

Menurutnya, selepas terdengar jeritan isterinya, dia cuba mengejar lelaki berkenaan namun tidak berjaya menahannya.

Dalam pada itu, Md Isa berkata, dua hari sebelum kejadian, lelaki terbabit ada datang ke rumahnya sambil membawa perkakasan mengukur selain beberapa helaian dokumen didakwa untuk urusan berkenaan.

“Lelaki itu mendakwa kerja-kerja itu dibuat atas kemenangan dalam PRU13 sebelum dia menunjukkan helaian kertas kerja-kerja turap yang akan dibuat itu.

"Malah lelaki itu menunjukkan kemesraan seolah-olah sudah lama mengenali kami hingga memeluk saya dan berborak hampir tiga jam di kawasan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tukang sapu didakwa cabul



17 Mei 2013
AYER KEROH - Seorang tukang sapu sampah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul kehormatan anak saudaranya berusia enam tahun, Ahad lalu.

Abd Aziz Ahmad, 42, dari Cheng bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa ke atasnya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan cara meraba-raba peha, menyingkap baju dan meraba peha kiri dengan niat mencabul kehormatan.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini kira-kira 1.50 petang pada 12 Mei lalu dam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M Rebecca ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh merupakan seorang duda merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara dua anak dan bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan yang kecil.

Ida Rahayu kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Jun depan bagi lantikan peguam.

Geng pecah rumah tumpas

17 Mei 2013
Geng pecah rumah tumpas
Manoharan (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya (kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah Marang, Asisten Superintendan Mo
MARANG - Taktik licik ahli kumpulan Geng Pecah Rumah Payong menggunakan kereta yang disewa sebagai ‘rumah’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila dua daripada mereka ditangkap, di tepi jalan kawasan Bukit Payong, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kedua-dua suspek yang berusia 23 tahun dan 25 tahun itu ditangkap polis semasa sedang tidur di dalam ‘rumah’ berkenaan, iaitu sebuah kereta Perodua Kancil, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Dengan tertangkapnya dua suspek itu, polis berjaya mengesan seorang lagi ahli kumpulan mereka dan berjaya ditahan pada keesokan harinya iaitu di Bukit Payong, di sini.

“Selain itu, penahanan ketiga-tiga suspek juga berjaya menahan empat individu yang dipercayai turut bersubahat dalam aktiviti jenayah mereka, sama ada membeli ataupun melupuskan barang hasil jenayah pecah rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini, semalam.

Manoharan berkata, semua suspek dipercayai ahli kumpulan terbabit bergiat aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah Marang dan Kuala Terengganu sejak awal tahun lagi.

“Dengan tumpasnya ahli kumpulan geng ini, sekali gus berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah iaitu 11 kes di daerah Marang dan dua kes lagi di daerah Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun kami percaya masih banyak lagi jenayah pecah rumah yang melibatkan kumpulan ini dan semuanya masih disiasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi digunakan kumpulan terbabit ialah menyasarkan kediaman yang mudah dipecah masuk, sebelum mengumpil pintu utama dan mengambil barang yang mudah alih sahaja.

“Kumpulan ini menyasarkan kediaman mudah masuk terutama yang tidak berpenghuni dan tidak dilengkapi kemudahan alat keselamatan.

“Semasa berjaya memecah masuk kediaman, barang yang mudah alih dan mudah dibawa sahaja yang disasarkan antaranya komputer, barang kemas dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Manoharan berkata, bagi memudahkan pergerakan aktiviti dan mengaburi mata pihak berkuasa, kumpulan terbabit menjadikan kereta yang disewa sebagai ‘rumah’ mereka.

“Mereka tidak ada rumah dan menjadikan kereta disewa itu sebagai rumah, di situlah mereka bergerak, dijadikan tempat makan dan minum serta dijadikan tempat tidur, di mana-mana lokasi yang mereka rasa selamat,” katanya.

Sementara itu, Manoharan menggesa orang awam yang memiliki barang curi dipercayai dibeli daripada ahli kumpulan terbabit supaya menyerahkannya ke IPD Marang dengan segera

Suami, isteri dipenjara

17 Mei 2013
Suami, isteri dipenjara
Chew Tong (kanan) dan Chui Ling (kiri) ketika dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Sepasang suami isteri terpaksa meringkuk dalam penjara selama 24 bulan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati mereka bersalah membiarkan pembantu rumah mati kebuluran tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas pasangan berkenaan, Soh Chew Tong, 44, dan isterinya, Chin Chui Ling, 42.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu hingga menyebabkan kematian Mey Sichan, 24, seorang warga Kemboja di sebuah premis menjual barangan logam di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak, antara 1 Januari hingga 1 April tahun lalu.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata, kes itu mencemarkan imej Malaysia menyebabkan Kemboja mahu menghentikan penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Menurutnya, sebagai majikan kepada pembantu rumah yang datang untuk mencari nafkah di negara ini, kedua-dua tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan seperti menyediakan makan, minum dan barangan asas serta membiayai kos perubatan mangsa selama masih di bawah jagaan mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia, semua orang harus hidup berkasih sayang dan tidak menyeksa dan mendera orang lain.

“Saya juga mempunyai pembantu rumah dan jika mereka tidak sesuai, saya akan hantar mereka balik, apa perlu rotan dan dera,” katanya.

Mengikut faktar kes, Mey bekerja sebagai pembantu rumah pasangan tersebut di rumah kedai itu sejak September 2011 dan didapati mati di bilik stor di tingkat dua rumah kedai itu pada 1 April tahun lalu.

Zamani berkata, bukti yang ditunjukkan kepada mahkamah menunjukkan Mey dipaksa dan dinafikan untuk makan dalam satu tempoh panjang.

“Secara keseluruhannya, si mati tidak menerima makanan yang mencukupi dan mengalami kecederaan dari semasa ke semasa yang memburukkan lagi ulser perutnya sehingga membawa kepada peritonitis akut dan yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu didapati  membiarkan mangsa yang mempunyai ketinggian 148 sentimeter mengalami kebuluran sehingga berat badannya jatuh mendadak daripada 44 kilogram kepada 26.1 kilogram dalam masa tujuh bulan.

Menurutnya, indeks jisim tubuh (BMI) mangsa ketika bedah siasat adalah sangat rendah iaitu 11.9, jauh lebih rendah daripada tahap minimum untuk mereka yang dikategorikan sebagai sangat kurus selain mendapati mangsa mempunyai 29 kecederaan termasuk kesan cakaran dan lebam berpanjangan dipercayai akibat objek tumpul yang panjang seperti rotan atau getah paip.

Pasangan tersebut pada awalnya di dakwa di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh akan tetapi pertuduhan ditukar kepada membunuh tanpa niat.

Pasangan yang mempunyai tiga anak itu diwakili peguam, Naizatul Zamrina Karizaman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng.

Kedai runcit musnah terbakar

17 Mei 2013
Kedai runcit musnah terbakar
Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran kedai runcit milik Mahayudin, malam kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai runcit terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila kedai runcit miliknya, hangus dalam kebakaran malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, pemilik kedai berkenaan Mahayudin Yusof, 57, dan isterinya, Royagah Ismail, 47, yang tinggal berdekatan kedai terbabit tiada di rumah.

Anak pemilik kedai itu, Mohamad Amirul Hakim Mahayuddin, 20, berkata, sebelum insiden itu, dia terdengar seperti orang bergaduh di hadapan kedainya.

“Saya bersama dua adik saya dan sepupu tidak keluar dari rumah memandangkan ketika tu waktu maghrib dan hanya mengunci pintu dan duduk diam dalam rumah apabila mendengar pertengkaran itu.

“Tidak sampai 10 minit kemudian, saya dengar bunyi bising di luar rumah dan orang ramai menjerit ternampak api bermula dari kedai runcit yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah,” katanya.

Menurut Amirul melihatkan keadaan itu dia terus memanggil adik-adiknya serta sepupu di dalam rumah dan menutup semua suis lampu sebelum keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Fakri Mazlan berkata, tiga jentera dengan 22 anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kira0kira jam 7.50 malam dan api dapat dikawal dari terus merebak.

Perogol bersiri dihukum lagi


17 Mei 2013
Perogol bersiri dihukum lagi
Tertuduh dikawal ketat pihak berkuasa untuk dibawa ke penjara Pengkalan Chepa, semalam.
KOTA BHARU - Seorang perogol bersiri yang pernah mengemparkan negara, dihukum lagi apabila dia dikenakan penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

 Hukuman diputuskan Hakim Mohd Yusuff Yunus selepas Amran Che Jaafar, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

 Dia didapati bersalah merogol seorang penuntut kolej berusia 20 tahun di sebuah rumah di Jalan Maktab Perguruan, simpang tiga Pengkalan Chepa di sini, pada jam 8.45 pagi, 23 Februari 2011.

 Terdahulu, Amran yang tidak diwakili peguam memohon dikurangkan hukuman kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

 “Saya sudah dikenakan hukuman penjara 46 tahun dan 27 sebatan. Dengan umur sekarang saya akan tinggal lebih lama dalam penjara. Saya mohon diberi pelung untuk berubah dan menikmati hidup di luar,” katanya.

 Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam.

 “Tertuduh ialah banduan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah seksual. Saya mohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai,” katanya.

 Amran ketika dihukum hanya mampu menundukkan kepala. Dia diarah menjalani hukuman itu secara berasingan daripada yang sebelumnya. Penjara yang dikenakan terhadap Amran setakat ini berjumlah 62 tahun dan 33 sebatan.

 Amran mempunyai beberapa kes yang masih dalam perbicaraan.

'Adik rentung bersama kereta kesayangan'

17 Mei 2013
'Adik rentung bersama kereta kesayangan'
Abdul Manan (tiga, kanan) berkongsi duka Ariah menceritakan kenangan bersama anak bongsunya itu sebelum kejadian.
KUANTAN - “Tak sangka sayang adik pada kereta Gen 2 itu sehingga dia turut terkorban dan rentung bersama,” kata Ariah Jono,50, ibu mangsa kemalangan Jalan Pintasan, dekat Indera Mahkota kelmarin Nurul Fadhillah Aripin,21.

Nurul Fadhillah yang merupakan pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) yang dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kubang Buaya dikatakan gagal mengawal kereta yang dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok.

“Saya reda adik pergi dahulu. Dia yang merupakan penyeri keluarga ini memandangkan dia anak bongsu dari tujuh beradik.

“Selama ini, apa sahaja kemahuan dia saya turuti dan sebelum hari kejadian dia teringin makan sate. Tidak sangka pula, itu adalah permintaan terakhir yang saya boleh tunaikan,” katanya.

Ariah berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya anak bongsunya itu sudah meninggal dunia, bagaimanapun dia dan suami harus menerima hakikat itu dengan reda.

“Adik sangat sayang kereta itu dan segala barang yang disayanginya diletakkan di dalam kereta tersebut.. hinggakan tidak ada tempat untuk orang lain tumpang di tempat duduk belakang.

“Memang saya sedih sangat.. semua barang kesayangan adik turut terbakar dalam kereta itu dan tiada apa yang boleh kami pandang untuk mengubat rindu pada dia,” kata Ariah yang tinggal di Felda Panching Timur di sini.

Dalam kejadian jam 5 pagi tersebut, Nurul Fadhillah dikatakan memandu bersendirian untuk menumpang tidur di rumah kakaknya.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok hingga tumbang.

Akibat perlanggaran itu kereta Gen 2 yang dipandu terbakar.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut simpati dengan kejadian yang menimpa Nurul Fadhillah ini.

“Saya harap agar keluarga arwah sabar dan reda dengan kejadian semoga arwah dicucuri rahmat,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.

Kilang kasut runtuh, 2 maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2013
Kilang kasut runtuh, 2 maut
Keadaan siling runtuh di dalam kilang akibat gagal menampuh berat peralatan besi di tingkat atas dekat kampung Kai Roung, Kemboja
PHNOM PENH - Satu lagi insiden runtuhan bangunan yang  kali ini melibatkan sebuah kilang kasut berjenama dan mengorbankan dua pekerja serta tujuh orang cedera di selatan Phnom Penh, Kemboja, semalam.

Jurucakap polis, Khem Pannara berkata, seramai 50 pekerja dilaporkan berada di dalam premis apabila beberapa lapisan silingnya roboh dan menghempap mangsa.

Katanya, runtuhan berpunca daripada peralatan besi berat yang disimpan di tingkat atas.

"Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan dua mayat  di bawah runtuhan siling," katanya.

Ketua Kesatuan Pekerja Kilang, Chea Muny berkata, kilang pengeluar kasut sneaker Asics bagi pasaran sukan Jepun yang mula beroperasi tahun lalu itu, dimiliki warga Taiwan.

Kemboja adalah salah sebuah negara pengeluar pakaian terbesar dunia dengan memperoleh pendapatan lebih AS$4 bilion (RM12 bilion) hasil eksport ke AS dan Eropah pada 2012.  - AP

‘Port’ penagih kena serbu



WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mei 2013
‘Port’ penagih kena serbu
Sebahagian daripada 15 lelaki yang ditahan dalam kawasan semak yang dijadikan ‘port’ dadah ditahan di IPD Pasir Puteh semalam.
PASIR PUTEH - Seorang lelaki berusia 52 tahun dan mempunyai satu cucu antara 15 yang ditahan polis dalam serbuan di kawasan semak di Kampung Lembah, Semerak dekat sini, lagi semalam.

Lelaki yang bekerja sebagai nelayan itu dikatakan mengambil dadah sejak berusia 18 tahun lagi dan mengakui sukar meninggalkan tabiat buruk itu.

Dia ditangkap bersama 14 lagi lelaki dalam sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang diketuai Inspektor Eddy Yusman Abu Bakar menerusi Ops Tapis secara bersepadu dari jam 9 hingga 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Mohd Kamal Zainal berkata, kawasan semak tersebut memang dalam pemantauan pihak polis kerana pernah diserbu sebelum ini.

“Polis melakukan intipan selamat beberapa hari berdasarkan maklumat orang ramai, kita membuat serbuan selepas meyakini kawasan semak itu masih dijadikan ‘port’ penagih dadah.

“Kesemua lelaki berusia dari 19 hingga 52 tahun itu merupakan penagih tegar dan berulang yang kebanyakannya dari kawasan setempat,” katanya pada sidang media semalam.

 Beliau berkata, hasil serbuan itu, pihak polis merampas tiga botol plastik berisi serbuk putih dipercayai `opiate’ atau heroin dan beberapa straw berisi pil merah jambu dipercayai pil kuda yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2,500 daripada beberapa lelaki terbabit.

“Pemeriksaan ujian air kencing turut mendapati, kesemua mereka positif dadah jenis Opiate dan pil kuda. Tiga kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 (A) (1), empat kes Seksyen 12 (2) dan 15 kes mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Kamal meminta orang ramai terus menghubungi balai polis atau Rakan Cop sekiranya terserempak dengan sebarang kegiatan jenayah di kawasan mereka supaya tindakan segera boleh diambil.

Buruh tidak sedar ditembak

17 Mei 2013
Buruh tidak sedar ditembak
Anggota polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
BACHOK – Seorang buruh tidak menyedari dia adalah mangsa tembak walaupun dua das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia sedang menikmati sarapan di sebuah warung di Kampung Gong Batu, berdekatan Pantai Kemayang kira- kira jam 8 pagi semalam.

Mangsa, Azmi Ismail, 38, hanya menyedari dirinya ditembak selepas mendapati darah mengalir di anggota badannya dan terus rebah sebelum dihantar ke hospital.

Pemilik warung tersebut, Idayu Mustafa,30, berkata, ketika kejadian, suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dan berkeliaran di sekitar warungnya sebelum berhenti melepaskan tembakan.

“Ketika itu ada empat pelanggan di warung saya termasuk mangsa. Kami tak sangka dia datang untuk tembak orang sebab pakaiannya hanya berkain batik dan baju kemeja. Sebelum lepaskan tembakan, suspek ada kata pada mangsa, ‘mu ni meto telajok’.

“Lepas tu seorang pelanggan menyergah suspek dan dia terus larikan diri. Ketika itu kami masih bertanya sama sendiri adakah suspek benar- benar tembak guna pistol sebenar sebab mangsa masih tak perasan dia yang ditembak. Lepas dia tengok darah pada tangannya, barulah dia kata rupanya dia yang ditembak dan terus rebah,” katanya kepada pemberita dekat sini semalam.

Idayu berkata, mangsa yang cedera pada lutut dan bahagian kanan belakang badannya dibawa ke hospital selepas seorang penduduk menghubungi ambulan.

Katanya, mangsa yang tinggal di Kampung Pantai Senak singgah ke warungnya hampir setiap hari untuk bersarapan.

“Saya tak tahu dia bermusuh dengan siapa tetapi sepanjang dia datang bersarapan di sini, gayanya tak nampak macam jenis orang yang kasar atau kurang ajar.

“Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Lepas mangsa rebah, saya terus bawa anak kecil yang berusia setahun lebih ke rumah kakak kerana bimbang suspek berpatah semula ke warung. Bila saya datang semula ke warung, orang ramai dah penuh kerumuni mangsa,” katanya.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan, Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan dalam keadaan stabil.

“Kes berkenaan akan disiasat  di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh. Siasatan masih diteruskan bagi memberkas suspek,” katanya.

Ini adalah kes tembakan kedua di daerah Bachok tahun ini dan semalam genap tiga bulan selepas kes pertama yang berlaku di Kampung Kemasin pada 15 Februari lalu.

Dalam kes 15 Februari lalu, seorang  lelaki, Sauti  Muda, 57, tidak sempat menghabiskan sarapannya apabila ditembak dua lelaki bermotosikal di sebuah warung.

Mangsa yang ditembak dan ditetak mati di tempat kejadian.

Dua jururawat Arab Saudi dijangkiti virus seperti SARS



RIYADH 16 Mei - Arab Saudi mengesan enam kes terbaharu jangkitan coronavirus yang boleh membawa maut, meningkatkan jumlah mereka dijangkiti virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu kepada 30 orang.
Dua jangkitan terbaharu diumumkan semalam, sehari selepas Kementerian Kesihatan menyatakan empat kes dikesan di wilayah timur negara itu.
Kementerian itu dalam laman webnya berkata, dua jangkitan terbaharu tersebut membabitkan jururawat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130516/lu_10/Dua-jururawat-Arab-Saudi-dijangkiti-virus-seperti-SARS#ixzz2TVfRyYg8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja asing gaduh perkara biasa



Miri: Pergaduhan membabitkan pekerja asing warga Indonesia di tapak pembinaan di Permyjaya, lokasi di mana dua mayat lelaki ditemui ditanam berhampiran longkang sedang dibina semalam, disifatkan sebagai perkara biasa.

Seorang pekerja binaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nabau, 20-an, berkata, dia ada terdengar kes pergaduhan membabitkan warga Indonesia di tapak pembinaan berkenaan beberapa hari lalu.


Bagaimanapun katanya, dia hanya menganggap ia perkara biasa berikutan warga Indonesia terbabit memang sering bergaduh sesama sendiri sekali gus tidak menyangka pergaduhan membawa kepada kematian.

“Cuma saya pelik apabila ternampak sekumpulan pekerja Indonesia mengemas barangan serta pakaian masing-masing dan meninggalkan rumah pekerja mereka beberapa hari lalu,” katanya ditemui di tempat kejadian.


Nabau berkata, kes pergaduhan membabitkan pekerja Indonesia di tapak binaan itu sering terjadi dan terbaru April lalu, sehingga menyebabkan mangsa luka parah akibat ditikam dengan senjata tajam.


“Saya tidak pasti sekiranya pergaduhan ini mempunyai unsur dendam atau sebab lain kerana kebanyakan pekerja terbabit memang tidak sehaluan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit berkata, polis masih mengenal pasti motif pergaduhan yang bertukar menjadi kes pembunuhan itu.


Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi polis akan cuba mengesan sekumpulan pekerja Indonesia yang menghilangkan diri sejak beberapa hari lalu itu.

Isteri hilang!



Oleh Aininulniza Mohd Yusof
Kangar: Seorang bapa kebimbangan apabila anak perempuannya yang kemurungan akibat kemalangan jalan raya gagal dikesan sehingga kini selepas keluar bekerja di Klinik Kesihatan Kangar, sejak 13 Mei lalu.

Wanita itu, Anita Aris, 34, yang bertugas sebagai pembantu kesihatan dikatakan keluar awal dari tempat kerja pada jam 10.30 pagi selepas mengadu tidak sihat kepada ketuanya sebelum menghilangkan diri tanpa dikesan.


Bapanya, Aris Abdullah, 68, dari Kampung Behor Toi, Kuala Perlis, di sini, hanya menyedari kehilangan anak perempuannya ketika datang untuk menjemput Anita jam 5.30 petang pada hari sama.

Menurutnya, selepas menunggu agak lama di luar, Anita masih tidak muncul menyebabkan dia masuk ke dalam klinik, namun terkejut dimaklumkan rakan Anita anaknya sudah pulang.


“Saya cuba mencarinya di kawasan wad, namun hampa mendapati dia tiada menyebabkan saya buntu kerana sudah mencari di tempat lain termasuk bertanya kepada rakan dan saudara mara,” katanya.


Aris berkata, Anita yang mempunyai empat anak berusia tiga hingga 14 tahun sebelum ini pernah mengalami kemalangan jalan raya menyebabkannya kadang-kadang bersikap murung dan bercakap seorang diri.

Menurutnya, anaknya itu kini tinggal dengannya bersama keempat-empat anaknya kerana mengalami masalah keluarga, tetapi tidak pula menunjukkan sebarang perubahan jika mengalami tekanan.


“Saya risau dengan keselamatan diri Anita kerana dirinya tidak sihat tambahan pula anak ketiga dan keempatnya, Mohd Aswad Haikal Armansyam Hadi, 4, dan Mohd Faris Haziq, 3, sering mencari ibu mereka terutama apabila mahu tidur disebabkan hubungan begitu rapat.

“Anita tidak pernah menghilangkan diri seperti ini menyebabkan kami sekeluarga bimbang jika dipergunakan individu tidak bertanggungjawab,” katanya yang turut membuat laporan kehilangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar pada 14 Mei lalu.


Katanya, dia berharap orang ramai yang mengenali atau menemui Anita menghubunginya di talian 019-6995739 atau balai polis berhampiran.

3 aksi ala koboi rompak restoran



Manjung: Kejadian jenayah membabitkan penggunaan senjata api semakin menggila apabila satu lagi kejadian rompak berlaku membabitkan tiga perompak bersenjatakan pistol di sebuah restoran makanan laut di Taman Medan Acheh, Sitiawan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi, ketiga-tiga penjenayah lengkap bersenjata api didakwa beraksi ala koboi apabila melepaskan tembakan liar bagi menakutkan tujuh pelanggan dan pemilik premis berkenaan.


Kejadian tembakan terbaru itu adalah kes ketiga dalam tempoh tiga hari selepas tiga lelaki cedera ditembak penjenayah di Kuala Kurau dan Bagan Serai, Isnin lalu. Sumber polis berkata, kejadian rompakan bermula apabila seorang daripada suspek menyamar sebagai pelanggan sebelum berpura-pura membeli rokok di kaunter restoran berkenaan.

Menurutnya, suspek sengaja mengeluarkan not kertas RM50 sebelum menghulurkannya kepada pemilik premis di kaunter pembayaran itu.


“Suspek kemudian mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mengacukannya ke arah mangsa sebelum mengarahkan pemilik kedai menyerahkan semua wang jualan yang disimpan,” katanya.


“Pada masa sama, dua lagi rakan suspek yang turut memiliki pistol menyerbu masuk ke dalam premis sebelum mengacukan senjata api itu ke arah pelanggan restoran itu,” katanya.

Difahamkan, seorang daripada suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam premis berkenaan.


Suspek yang memperolehi wang rompakan RM20,000 melarikan diri menaiki kereta Kia Spectra. sambil turut membawa peralatan komputer digunakan untuk menyimpan rakaman CCTV.

“Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan memburu kumpulan penjenayah berbahaya yang bertubuh gempal dan pendek itu.


“Usaha pantas polis berhasil apabila lima lelaki dan seorang wanita dapat diberkas awal pagi semalam selepas didapati menghuni sebuah hotel murah, di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Perak Shukri Dahlan mengesahkan menerima laporan kes rompakan bersenjata itu dan siasatan masih dijalankan dan enggan mengulas lanjut.

Tinggal dadah RM6.3 juta



Oleh Muhammad Saufi Hassan
Alor Setar: Seorang lelaki nekad meninggalkan Proton Wira mengandungi dadah jenis syabu seberat 28.8 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM6.3 juta di Kilometer (KM) 36.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Jitra, di sini, sebelum menghilangkan diri di kawasan kampung berhampiran, Selasa lalu.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, suspek berusia 47 tahun bertindak demikian selepas menyedari kenderaan dinaiki dikejar Unit Peronda Polis lebuh raya.


Sebelum itu, kereta suspek ditahan unit terbabit untuk pemeriksaan di KM 22 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampung Asun, dekat sini, selepas lelaki terbabit dilihat mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki terbabit ditahan anggota trafik dan memeriksa kad pengenalan serta lesen memandunya sebelum diarahkan membuka but belakang kereta itu bagi menjalankan pemeriksaan terperinci.


“Ketika anggota polis ingin memeriksa ruang penyimpanan terbabit, suspek memecut keretanya sebelum unit peronda cuba mengekori kenderaan itu.


“Lelaki itu merempuh penghadang plaza tol sebelum menghentikan keretanya di KM36.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Jitra dan melarikan diri ke kawasan kampung berdekatan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di kereta itu menemui dua beg mengandungi 28 ketul bungkusan dibalut dengan kertas berwarna keperangan dipercayai dadah jenis syabu dan kelihatan seperti bungkusan ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Kedah Superintendan Abd Razak Md Zin.

Abdul Ghafar berkata, operasi memburu suspek beralamat terakhir di Padang Lembu dan Taman Ria Mesra, Gurun berkenaan masih diteruskan terutama di kawasan kampung berhampiran termasuk pintu sempadan.


Beliau berkata, setakat ini, polis memeriksa kedua-dua alamat berkenaan, namun suspek tiada di lokasi dan dipercayai menyembunyikan diri di kawasan berhampiran.


“Berdasarkan siasatan awal, suspek mendirikan rumah tangga dengan wanita negara jiran dan mempunyai tiga anak. Hasil pemeriksaan rekod jenayah lampau, lelaki ini tiada kesalahan berkaitan dadah, namun mempunyai satu kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


“Berikutan itu, polis ingin mengesan lelaki dikenali Lim Lek Kiea untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ishak Ali di talian 019-4742725 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di talian 04-9172222.

Mangsa samun patah bahu, tulang belakang



Georgetown: Seorang pengurus jualan wanita patah bahu kanan dan tulang belakang serta kerugian lebih RM4,000 apabila disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang merentap beg silang dipakainya dalam kejadian di Jalan Ranggon, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun berjalan kaki seorang diri sebelum dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal yang menarik beg silang serta menolak wanita itu sehingga jatuh.


Jurucakap polis berkata, mangsa patah bahu kanan dan cedera pada tulang belakang badan selepas terjatuh akibat ditolak dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana kejadian berlaku pantas dan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.


“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan,” katanya.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang gadis berusia 17 tahun menerima lapan jahitan di badan serta cedera pada lengan kiri dan kanan selepas ditolak hingga jatuh oleh tujuh lelaki ketika keluar dari pusat hiburan di Jalan Hutton, di sini, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 1 pagi ketika mangsa baru saja keluar dari pusat hiburan itu sebelum dihampiri tujuh lelaki yang kemudian menolaknya hingga jatuh.

Dicekup ketika tidur



Oleh Mohd Nasif Badruddin
Marang: Hanya bermodalkan pengumpil tayar motosikal dan pemutar skru untuk membuka pintu serta tingkap, tiga ahli kumpulan pecah rumah mengaut puluhan ribu ringgit menjual barangan dicuri dengan harga murah.

Bagaimanapun, kelicikan kumpulan terbabit yang aktif melakukan kegiatan itu di dua daerah di negeri ini tumpas apabila dua daripada mereka dicekup polis ketika tidur dalam kereta Perodua Kancil di tepi jalan Bukit Payong di sini, kira-kira jam 12 malam pada 11 Mei lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dengan tertangkapnya dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun berasal dari Bukit Payong itu, polis yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah di Marang dan dua di Kuala Terengganu sejak Januari lalu.

Beliau berkata, mereka biasanya mengumpil pintu atau tingkap rumah menggunakan pengumpil tayar motosikal dan pemutar skru untuk memecah masuk rumah yang tiada penghuni.


Menurutnya, suspek juga mengambil barangan berharga yang mudah dilarikan seperti telefon bimbit dan komputer riba.


“Dua suspek berkenaan sudah dikenal pasti mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah malah ketika ditahan, kita turut menemui beberapa pil kuda dan kedua-duanya positif dadah.

“Susulan tertangkapnya dua suspek itu, polis menahan lima lagi lelaki berusia 20 hingga 34 tahun pada 12 hingga 15 Mei lalu bagi membantu siasatan.


“Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai ahli kumpulan pecah rumah payong manakala empat lagi pembeli barangan curi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, semalam.

Suami bekerja, isteri diperkosa jiran



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang tinggal berjiran dengan rakan sekerjanya di Jalan Jelatek, di sini, sanggup bertindak kejam dengan menyelinap masuk ke rumah rakannya itu sebelum merogol isterinya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari Isnin lalu itu, isteri rakan lelaki berkenaan yang berusia 30 tahun tinggal berseorangan di rumah manakala suaminya yang juga penjawat awam berada di tempat kerja.


Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa menerima panggilan daripada jirannya itu yang berpura-pura menawarkan peluang kerja sambilan.

Katanya, mangsa yang juga suri rumah menanyakan jenis pekerjaan ditawarkan sebelum lelaki itu menjawab kerjanya adalah mudah iaitu menemaninya sebelum meminta mangsa datang ke rumahnya.


“Mangsa yang marah dengan jawapan lelaki berkenaan meletakkan telefon dan meneruskan membuat kerja rumah. Namun, lelaki berkenaan dikatakan menggunakan kesempatan mangsa berseorangan di rumah menyelinap masuk,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan kehadiran lelaki terbabit di rumahnya menolak lelaki itu keluar malangnya tidak berdaya dan akhirnya dirogol.

Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mengugut merogolnya lagi sekiranya memaklumkan kejadian berkenaan kepada suaminya.


“Mangsa cuba mendiamkan diri pada hari kejadian bagaimanapun akibat takut, dia memaklumkan kejadian itu kepada suaminya sebelum pasangan berkenaan tampil untuk membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, kelmarin,” katanya.