Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Banjir lumpur sekat laluan utama



JASIN: Lebih 30 keluarga terputus hubungan selepas timbunan pasir berlumpur yang bertakung di sebuah kolam tadahan seluas dua hektar pecah dan melimpah di Kampung Bukit Senggeh, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, tebing kawasan kolam tadahan lombong pasir berkenaan secara tiba-tiba runtuh dan melimpah hingga menimbusi laluan jalan utama penduduk yang menghubungkan lebih 30 keluarga.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Hishamudin Husin ketika dihubungi mengesahkan kejadian banjir lumpur berkenaan hingga menyebabkan laluan utama lebih 150 penduduk setempat terputus hubungan.

"Pemeriksaan polis di kawasan kejadian mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun dua keluarga yang tinggal berhampiran tempat kejadian sudah dipindahkan ke balai raya berdekatan untuk keselamatan," katanya.


Seorang penduduk, Virama Kindaya, 75, berkata, dia mulanya menyangkakan ia bunyi deruan enjin kapal terbang bagi menyedapkan hatinya meskipun detik hati mengatakan ada bencana berlaku berhampiran rumahnya.


"Saya ingatkan bunyi kapal terbang terbang rendah tetapi bunyinya agak aneh sedikit kerana terlalu kuat sebelum dua anak meninjau dan mendapati tebing lombong pasir runtuh dan jalan dipenuhi tanah lumpur.

"Sejak kerja melombong pasir diusahakan, ia tidak pernah disokong penduduk kerana memikirkan musibah yang akan dihadapi dan hari ini apa yang ditakutkan menjadi kenyataan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Polis Kedah rampas dadah bernilai RM6.3 juta




16 Mei 2013
ALOR SETAR - Polis Kedah merampas 28.8 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM6.3 juta di Km 36.1 Lebuhraya Utara-Selatan, di Kepala Batas, Jitra kelmarin.
 
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, rampasan itu adalah yang terbesar bagi polis Kedah dalam tempoh lima tahun dan dadah terbabit dipercayai hendak dibawa ke Kuala Lumpur.
 
Rampasan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah kereta dipandu seorang lelaki, yang ditahan unit polis peronda lebuh raya di Km 22 lebuh raya berkenaan, berhampiran Kampung Natoi, Jitra, pada pukul 11.30 pagi.
 
"Anggota polis memeriksa kad pengenalan dan lesen memandu suspek. Selepas diminta untuk membuka ruang penyimpanan barang kereta, suspek masuk ke dalam kereta dan melarikan diri (sejauh 14 km) sebelum memberhentikan kereta di Km 36.1 Lebuhraya Utara Selatan selepas merempuh penghadang tol," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
 
Menurutnya lelaki itu kemudian melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran dan pemeriksaan polis ke atas kereta yang ditinggalkannya menemukan dua buah beg, masing-masing mengandungi 14 ketulan dadah jenis syabu.
   
Katanya susulan kes itu, polis sedang menjejaki Lim Lek Kiea, 47, memegang kad pengenalan bernombor 660302-02-5005 dengan alamat terakhir di 297A, Padang Lembu, Gurun @ 99, Lorong Mesra 6, Taman Ria Mesra, Gurun.
 
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ishak Ali di talian 019-4742725 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-9172222 atau balai polis terdekat.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Suami isteri dipenjara 24 tahun sebabkan kematian pembantu rumah Kemboja




GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri dihukum penjara 24 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mendera pembantu rumah warga Kemboja sehingga menyebabkan kematian tahun lepas.

Pemilik kedai perkakasan, Soh Chew Tong, 44, dan isterinya Chin Chui Ling, 41, didakwa menyebabkan kematian pembantu rumah mereka, Sichan Mey, 24, di premis bernombor 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak dekat sini antara 1 Jan dan 1 April tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut pertuduhan pindaan iaitu Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 1 April 2012.

Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman itu diputuskan selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

"Selepas mendengar kes pendakwaan dan pembelaan, saya mendapati pasangan ini bersalah dan gagal dalam menyediakan serta memastikan penjagaan yang betul untuk kesihatan pembantu rumah mereka,” katanya.

Zamani turut menasihati rakyat Malaysia supaya menjaga kebajikan pembantu rumah sebaik mungkin selain menjadi masyarakat yang penyayang. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_30.htm#ixzz2TT2UBkZb
Hakcipta terpelihara

Dua lelaki ditahan kerana miliki pistol buatan sendiri




ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol buatan sendiri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Masjid Kubang Rotan, Kuala Kedah dekat sini awal hari ini.

Dalam operasi pukul 1.30 pagi itu, dua lelaki berusia 38 dan 31 tahun berkenaan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pembuatan pistol tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, pihaknya turut merampas dua butir peluru penabur serta satu sarung pistol berwarna hitam yang disembunyikan di rumah tersebut.

Kedua-dua orang suspek yang tidak bekerja itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Hukuman Lebih Berat) 1960, katanya pada sidang media di sini. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_21.htm#ixzz2TT2IdxUh
Hakcipta terpelihara

12 'China Doll' ditahan di pusat karaoke




JOHOR BAHRU - Seramai 12 wanita warga China atau lebih dikenali sebagai 'China Doll' yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke yang terletak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini malam tadi.

Serbuan pada kira-kira pukul 12 tengah malam itu dan berakhir setengah jam kemudian dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Imigresen, Muhammad Acil, sembilan daripada mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sementara bakinya telah melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Berikutan itu, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan untuk siasatan lanjut. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2TT1rKvbv
Hakcipta terpelihara

Maut terjatuh dari tingkat 10



GEORGETOWN: Seorang guru tuisyen maut dipercayai terjatuh dari Tingkat 10, Pangsapuri Kristal Height Island Glades di Jalan Masjid Negeri di sini pagi tadi.

Guru wanita tersebut Lim Boey Kim, 43, mengalami kecederaan di seluruh badan dalam kejadian 6.43 pagi itu.
"Difahamkan ibu mangsa baharu meninggal dunia juga awal pagi ini dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengalami tekanan perasaan kerana hal itu," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng.

Beliau berkata polis tidak mengesyaki sebarang pelakuan jenayah dan mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut. - Bernama

kereta bertembung dengan lori membawa balak

Foto MenarikKUALA LIPIS: Abdul Ghani Saamah, 59 yang baru pulang dari mengerjakan umrah maut selepas keretanya bertembung dengan lori membawa balak di kilometer 54, Jalan Lipis-Merapoh. FOTO: Shahrulnizam Mohamad

Kereta Penolong Editor Bernama dilarikan




16 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Pencuri memecah masuk rumah seorang pegawai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum melarikan sebuah kereta milik keluarganya dalam kejadian awal pagi tadi di Alam Damai, Cheras, di sini.

Penolong Editor Bernama Harlina Samson berkata dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, beliau terjaga daripada tidur di tingkat atas rumah teres dua tingkatnya, apabila  terdengar bunyi bising di ruang tamu.

"Saya kejutkan anak lelaki saya dan turun ke bawah tetapi saya dapati pintu rumah tertutup dan naik semula ke bilik tidur. Tiba-tiba sistem penggera kereta suami saya  berbunyi seketika sebelum ia dilarikan penjenayah," katanya ketika dihubungi.

Harlina berkata kereta Proton Saga FLX milik suaminya itu diletakkan di tepi jalan berhadapan rumahnya. Suaminya tiada di rumah ketika kejadian.

Hasil pemeriksaan, beliau mendapati pencuri berkenaan telah memecah masuk rumahnya melalui pintu depan sebelum mengambil kunci kereta dan kunci rumah yang diletakkan di ruang dapur.

Harlina, yang bersyukur dia dan anak lelakinya tidak diapa-apakan, berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Alam Damai berhubung kejadian itu - Bernama

Rasuah: Dua penguat kuasa KPDNKK didenda



SHAH ALAM 16 Mei - Dua penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masing-masing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan rasuah, tahun lalu.
Hakim M. Bakri Abd. Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Azlin Kamarudin, 30, dan Alias Deraman, 34, yang melakukan kesalahan itu di tandas awam tingkat bawah, Pasaraya Aeon (Jaya Jusco), Bandar Mahkota Cheras dekat sini kira-kira pukul 4.20 petang, 1 Oktober 2012.
Mohd. Azlin didakwa menerima suapan wang tunai RM800 tanpa sebarang balasan daripada pemilik kedai permainan dan cakera padat cetak rompak, Chun Kin Wai, 27, yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas-tugas rasminya.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Alias pula didakwa di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun serupa iaitu bersubahat dengan Mohd. Azlin untuk menerima rasuah tersebut.
Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Azah Kasran manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Suria Putra Taulan dan Muhammad Faiz Fadzil.
Terdahulu dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Muhammad Faiz memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan kedua-dua anak guamnya yang kini sedang digantung tugas telah insaf.
Nor Azah bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada masyarakat memandangkan kedua-dua tertuduh merupakan kakitangan kerajaan yang sepatutnya menegakkan undang-undang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130517/ma_05/Rasuah-Dua-penguat-kuasa-KPDNKK-didenda#ixzz2TXYrlMWW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga keluarga nyaris maut ditimpa runtuhan tebing bukit



Roslan Eusoff (dua dari kiri) menunjukkan kawasan yang terjejas akibat runtuhan tanah di Kampung Ayer Keroh, Bukit Senggeh, Selandar dekat Jasin, Melaka, semalam.
JASIN 16 Mei - Tiga buah keluarga nyaris maut selepas tebing sebuah bukit berhampiran tapak projek mengorek pasir di Kampung Ayer Keroh, Bukit Senggeh, Selandar dekat sini tiba-tiba runtuh dan hampir menimpa rumah mereka.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi ini, sisa tanah runtuh bersama lumpur turut menyebabkan jalan utama penduduk berhampiran untuk keluar ke pekan Selandar tidak dapat dilalui.
Menurut Pegawai Daerah Jasin, Roslan Eusoff, kejadian dipercayai berlaku akibat tekanan air yang tinggi ekoran kerja-kerja mengorek pasir berdekatan bukit tersebut.
"Tebing di bukit berkenaan tidak mampu bertahan akibat terpaksa menampung air yang banyak hingga menyebabkan berlaku tanah runtuh, kira-kira 10 meter dari tiga buah rumah itu.
"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan berlaku. Tiga keluarga terlibat akan dipindahkan ke penempatan sementara di Balai Raya Bukit Senggeh Barat untuk keselamatan," katanya ketika ditemui
di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurut Roslan, kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah di situ sedang dilakukan bagi membolehkan jalan terlibat dapat digunakan penduduk semula.
Beliau memberitahu, pihaknya juga menunggu hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Geologi mengenai tahap keselamatan dan struktur tanah di situ.
"Jika struktur tanah tidak selamat, 15 buah keluarga yang tinggal berhampiran tempat kejadian mungkin akan diarah meninggalkan rumah masing-masing," ujar beliau.
Penduduk, Jamalludin Sher Mohamad, 52, berkata, runtuhan yang berlaku itu menyebabkan tanah pertanian miliknya yang berkeluasan 1.4 hektar terjejas teruk dan diselaputi lumpur.
Katanya, sebelum ini penduduk telah membuat aduan berhubung aktiviti mengorek pasir yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko tanah runtuh.
"Saya berharap masalah runtuhan itu mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berkenaan untuk kebaikan semua pihak dan diselesaikan secepat mungkin," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130517/dn_29/Tiga-keluarga-nyaris-maut-ditimpa-runtuhan-tebing-bukit#ixzz2TXYL7OOK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar rentung kereta terbakar



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
16 Mei 2013
Pelajar rentung kereta terbakar
Keadaan kereta mangsa yang 'melekat' pada pokok hangus terbakar.
Pelajar rentung kereta terbakar
Ahli keluarga gagal mengawal perasaan melihat kemalangan yang meragut nyawa mangsa, awal pagi semalam.
KUANTAN - Seorang pelajar tahun akhir Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) tidak sempat menamatkan pengajiannya apabila terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Kompleks Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati, Nurul Fadhillah Arifin, 21 dari Felda Panching Timur dekat sini yang tersepit dalam kereta jenis Proton Gen-2 dipandunya itu ditemui rentung selepas kenderaan itu terbakar.

Dalam kejadian  jam 5.15 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh dua batang pokok hingga tumbang.

Akibat kejadian, kereta mangsa yang remuk 'melekat' pada pokok lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke pelabuhan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan langgar dua batang pokok di tengah pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbakar manakala mangsa yang tersepit rentung dalam kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mungkin gagal mengawal keretanya akibat permukaan jalan yang licin memandangkan ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Jasmani berkata, mayat mangsa yang rentung dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa, Nor Haini Ahmad yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa dijangka akan menamatkan pengajiannya tahun ini.

Menurutnya, akibat tragedi itu, harapan keluarga untuk meraikan kejayaan mangsa tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam kemalangan itu.

“Saya terkejut selepas dimaklumkan berhubung kejadian,” katanya.

Nor Haini berkata, dia sukar untuk membayangkan detik-detik yang terpaksa dilalui gadis itu.

“Saya tidak pasti dia hendak ke mana awal pagi tadi kerana setahu saya dia tinggal bersama keluarga di Felda Panching Timur.

“Tapi menurut adiknya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah menuju ke rumah kakaknya di Kubang Buaya di sini,” katanya.

Suspek berbuih mulut di mahkamah



16 Mei 2013
Suspek berbuih mulut di mahkamah
Tertuduh diberi bantuan kecemasan oleh pembantu perubatan, semalam.
KOTA BHARU - Persidangan Mahkamah Majistret di sini, semalam terpaksa berhenti seketika selepas seorang tertuduh tiba-tiba terbaring dalam keadaan mulut berbuih.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari, 10 minit selepas Ahmad Amidi Abdullah, 39, dibawa ke mahkamah untuk proses dakwaan menagih dadah.

Ahmad Amidi tiba-tiba terbaring dan tidak dapat bangun walaupun dikejutkan beberapa kali oleh polis yang bertugas.

Dia yang menggigil dalam keadaan mulut berbuih itu bagaimanapun terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans 15 minit kemudian.

Proses mendakwa Ahmad Amidi akhirnya dijalankan di hospital pada jam 3 petang, semalam.

Dia dituduh memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pada jam 10 pagi, 9 Mei lalu.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Norida Mohd Husain.

Tertuduh mengaku dan hukuman akan diputuskan hari ini.

Penduduk hilang meter air


16 Mei 2013
Penduduk hilang meter air
Suk Lin (dua, kiri) bersama jirannya menunjukkan kepada Thye Yih meter air miliknya yang telah dicuri.
TAIPING – Seorang suri rumah, Yu Suk Lin, 30-an meluahkan rasa bimbang apabila meter air miliknya bersama dua lagi jirannya hilang dalam satu kejadian di sini.

Beliau yang tinggal di Aulong Tekkah Jaya 3, berkata, pada semalam ketika keluar rumah untuk ke pasar kira-kira jam 7 pagi, meter berkenaan masih ada.

Menurutnya, kejadian itu dalam sekelip mata perkara dan dia mendapati kehilangan meter itu setelah pulang dari pasar pada jam 8.30 pagi.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara itu boleh berlaku dan nasib yang sama turut berlaku pada dua lagi jiran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Suk Lin berkata, jika keadaan seumpama ini berterusan ia mungkin boleh menyebabkan kesusahan kepada orang lain.

“Saya sendiri tidak dapat mengenal pasti mereka yang melakukan perkara seumpama ini kerana masa tidak sampai dua jam meter air itu boleh dicuri,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini perbuatan seumpama ini tidak pernah berlaku di situ, namun selepas apa yang berlaku dia mula berhati-hati.

“Saya berpesan kepada jiran-jiran supaya perlu berhati-hati dan kita bimbang mereka yang terlibat boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, pemantauan dan tindakan lanjut perlu diambil untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, Adun Aulong, Leow Thye Yih berkata, penduduk yang kehilangan meter air perlu membuat laporan polis.

“Apabila pihak polis telah mendapat laporan, kita amat berharap mereka dapat menjalankan rondaan di kawasan ini agar kejadian sama tidak berulang.

“Selain itu, bagi penduduk yang mengalami masalah kehilangan meter air, mereka juga perlu untuk memohon pemasangan meter baru,” katanya.

Rumah bekas ketua cawangan dikhianat



16 Mei 2013
Rumah bekas ketua cawangan dikhianat
Kogilavani dan suami menunjukkan kenderaan yang terkena cat.
SKUDAI – Rumah bekas Ketua Cawangan DAP Taman Nesa, S Kogilavani menjadi mangsa khianat apabila disimbah cat dalam kejadian awal pagi semalam.

Dia bersama suaminya yang juga bekas Setiausaha Publisiti Kecil DAP Taman Nesa, A K Murugan menetap di Taman Skudai, di sini sejak 14 tahun dikejutkan dengan bunyi penggera kenderaan pada jam 1.50 pagi.

Kogilavani berkata, perbuatan khianat itu adalah pengalaman pertamanya dan mengesyaki dilakukan dua atau tiga individu yang disifatkan cubaan memberi amaran atau menakut-nakutkan dirinya.

“Saya sedang tidur dan terdengar bunyi penggera kereta. Saya lihat rumah dan kenderaan saya disimbah cat putih menerusi tingkap kerana khuatir untuk keluar.

“Selepas setengah jam, saya terdengar bunyi motor lalu tepi rumah yang berlegar-legar,” katanya yang ditemui di rumahnya.

Akibat kejadian itu, dia kerugian kira-kira RM3,000 untuk kos membaiki kenderaan.

“Selama tinggal di sini, saya tidak mempunyai musuh dan tidak pernah berhutang dengan sesiapa.

“Saya mahu perkara ini disiasat dan mereka yang mengugut ini dibawa ke pengadilan,” katanya.

Jelasnya, suspek melontarkan cat yang diisi dalam plastik lut sinar sebanyak tiga beg dan dilontar yang terkena rumah dan keretanya.

Susulan kejadian itu, Kogilavani dan suami membuat laporan polis.

Penyelia gudang curi 39 bundel gula



16 Mei 2013
Penyelia gudang curi 39 bundel gula
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dikenakan denda, semalam.
KOTA BHARU - Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi. Itu situasi yang berlaku apabila seorang penyelia mencuri barangan milik syarikatnya sendiri.

Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila dia ditahan dan didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Huszarni Hussin, 30, dari Jalan Bayam di sini, mengaku pada tuduhan pilihan mencuri 39 bundel gula pasir CSR bernilai RM1,076.40 yang berada dalam bilik majikannya di gudang sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa, 29 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang pelanggan membuat bayaran ke atas air minuman di pasar raya itu di Kubang Kerian terhadap barang yang diambil di gudang di Pengkalan Chepa.

Pelanggan tersebut bagaimanapun tidak membuat bayaran ke atas gula yang diambil dan siasatan mendapati pelanggan itu berpakat dengan tertuduh untuk melakukan jenayah itu kerana tertuduh sendiri dilihat menguruskan pengeluaran gula tersebut ke atas lori.

Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal jelas denda.

Laung takbir sekuat hati



16 Mei 2013
Laung takbir sekuat hati
Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, awal pagi semalam.
Laung takbir sekuat hati
Kereta mangsa dipercayai terbabas, berpusing dan terbalik di dalam semak susulan mengelak lembu di kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, awal pagi semalam.
REMBAU – "Saya hanya mampu menjerit Allahuakhbar sekuat hati saat kereta berpusing sebanyak dua kali dan terbabas sejauh lebih 30 meter ke dalam semak gara-gara mengelak dari melanggar lembu,". Luah mangsa kemalangan, Muhamad Nur Faez Zainal, 29, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai jurutera bunyi di Hard Rock Cafe Melaka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampangan, Seremban.

Menurutnya, setelah habis bekerja pada 12.45 malam, dia sememangnya tidak sabar pulang ke rumah lebih-lebih lagi isteri, Tengku Mariam Marissa Tengku Salehudin, 28, dan anak-anaknya sudah menunggu bagi menyambut hari lahirnya hari ini (semalam).

"Terselamat daripada kemalangan ini adalah hadian terbaik buat saya di hari lahir ini.

"Selepas kemalangan saya berusaha keluar sendiri dari dalam kereta yang terbalik melalui cermin hadapan sebelah pemandu sebelum penduduk menghulurkan bantuan kepada saya," katanya.

Muhamad Nur Faez berkata, laluan berkenaan sememangnya menjadi laluan hariannya sejak dia mula dipindahkan bekerja ke Hard Rock Cafe Melaka yang beroperasi sejak awal tahun ini.

"Malam ini hati saya memang sudah berada di rumah bersama keluarga kerana hari ini (semalam) merupakan hari lahir saya. Jadi apabila habis waktu bekerja saya terus bergegas pulang," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor lembu lalu terbabas ke kiri jalan sebelum kenderaan jenis Proton Saga FL yang dipandu mangsa terbalik.

"Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kemalangan 5 kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Kemalangan 5 kenderaan
Kereta dipandu mangsa remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain.
Kemalangan 5 kenderaan
Keadaan kereta Heeza yang remuk.
ALOR  GAJAH - Seorang kakitangan syarikat swasta tergamam seketika apabila menyaksikan keretanya remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain dalam satu kejadian kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 213.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, mangsa, Heeza Izwaf Mohd Hasnan, 37, memandu kereta BMW dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru cuba mengelak sebuah treler yang hilang kawalan sebelum berlakunya kemalangan.

Jurucakap polis berkata, kejadian turut membabitkan tiga kereta lain iaitu dua buah Toyota Camry dan sebuah Proton Gen-2 yang gagal mengelak kereta dipandu mangsa yang melintang di lorong tengah.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa masuk ke lorong tengah bagi mengelak kabus tebal tanpa menyedari sebuah treler berada di lorong paling kiri seolah-olah hilang kawalan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang terkejut selepas menyedari sebuah treler di hadapannya hilang kawalan cuba mengelak, namun bahagian kiri keretanya terkena bucu kanan belakang lori terbabit.

"Kereta mangsa kemudiannya berpusing dan terhenti dalam kedudukan melintang di lorong tengah, namun mangsa sempat keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri melintas ke pengadang kiri jalan.

“Mangsa yang cuba mendapatkan bantuan kecemasan walaupun tergamam seketika apabila menyaksikan keretanya remuk teruk dirempuh tiga kenderaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara Heeza berkata, dia bersyukur terselamat dari maut namun terkejut menyaksikan bagaimana tiga kenderaan lain dari arah sama merempuh keretanya satu persatu hingga remuk.

Jurucakap paramedik berkata, kesemua mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulan manakala pemandu kenderaan lain yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peragut tersilap langkah kena cekup



16 Mei 2013
KUANTAN - Seorang peragut tumpas apabila berjaya dicekup orang awam yang  menyedari jeritan mangsa dalam satu kejadian di Jalan Pak Sako, Temerloh, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek berusia 30 tahun dari Kuala Krau, Temerloh berjaya ditahan kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan), Superintendan Mohd Haris Daud berkata, gadis  berusia 19 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu sedang berjalan bersama seorang rakan.

Menurutnya, tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopi keledar dari arah belakang lalu meragut dompet mengandungi wang tunai RM120 yang berada di tangan kanan mangsa.

“Selepas mendapat habuannya, suspek terus melarikan diri bagaimana pun cubaan itu gagal apabila tiga lelaki yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejarnya.

“Suspek dikejar sejauh kira-kira 300 meter sebelum berjaya ditahan berhampiran sebuah tandas awam di situ,” katanya di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, susulan penahan suspek itu, mangsa berjaya mendapatkan kembali dompetnya.

“Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek tidak bersendirian menjalankan kegiatan itu kerana mungkin ada rakannya turun terlibat.

“Kita percaya mungkin salah seorang daripada mereka menunggu di atas motosikal di kawasan berdekatan dan mereka akan lari selepas meragut mangsa.

“Dalam kejadian ini, suspek tersilap langkah apabila terjerat di tangan orang awam dan rakannya mungkin melarikan diri,” katanya.

Mohd Haris berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengesan suspek lain jika ada.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Acu golok terhadap bekas suami kepada isteri



16 Mei 2013
Acu golok terhadap bekas suami kepada isteri
Tertuduh keluar dari mahkamah sebelum membayar jamin, semalam.
KOTA BHARU - Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin atas tuduhan mengugut bekas suami kepada isterinya dengan golok, tahun lalu.

Tuduhan terhadap Raja Kechek Raja Omar, 52, dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Abd Malek Harun, 53, dengan mengacu sebilah golok ke arah pengadu dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang boleh mecederakan dan kematian kepadanya.

Kesalahan didakwa berlaku pada jam 10 malam, 28 Oktober.. Kes bapa pada empat anak itu bersambung 12 Jun depan.

Lebih 100 terperangkap bangunan runtuh di Rwanda



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Lebih 100 terperangkap bangunan runtuh di Rwanda
Orang awam membantu menyelamatkan mangsa di kawasan runtuhan di Kigali, Nyagatare.
KIGALI - Sekurang-kurangnya 100 orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan empat tingkat yang masih dalam pembinaan, di daerah Nyagatare timur Rwanda, semalam.

Kejadian berlaku lewat petang itu mengakibatkan bangunan dan kereta di kawasan berhampiran turut mengalami kerosakan teruk manakala puluhan ambulans dilihat berada di lokasi kejadian.

Menteri Pengurusan Bencana Rwanda, Seraphine Mukantabana berkata, jumlah tersebut bagaimanapun masih belum disahkan dan lebih 50 anggota penyelamat  telah memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Kami belum menerima angka korban sebenar. Semua unit perubatan, bomba dan polis sedang giat mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan secepat mungkin,” katanya dalam laporan AFP.

Sementara itu, jurucakap polis, Theos Badege berkata, tiga orang disahkan terbunuh, manakala 21 yang lain cedera.

“Mangsa korban merupakan pekerja binaan manakala mangsa cedera adalah orang awam yang kebetulan berada berhampiran di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, punca runtuhan masih belum dikenal pasti.

Empat maut, 10 terperangkap lombong runtuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Empat maut, 10 terperangkap lombong runtuh
Anggota penyelamat mencari mangsa di lombong Grasberg, Timika.
TIMIKA - Sekurang-kurangnya empat mayat ditemui manakala lebih 10 pekerja masih terperangkap di bawah runtuhan terowong lombong tembaga di timur Indonesia.

Jurucakap polis, Gede Sumerta Jaya berkata, seramai 27 pekerja dikeluarkan daripada kawasan runtuhan lombong Grasberg milik McMoRan Copper & Gold Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat di daerah Mitika, timur Papua.

“Kesemua mangsa diselamatkan mengalami luka dan patah tulang. Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat dilakukan penuh waspada bagi mengelakkan runtuhan berlaku kerana bentuk muka bumi kawasan lombong mudah jerlus,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian seramai 40 pekerja sedang melakukan kerja-kerja penggalian dan pengeboman di kawasan itu.

Sementara itu, di Jakarta, seorang individu ditembak mati anggota polis selepas melakukan serangan dengan membaling bom buatan sendiri di bandar Chanthaburi, wilayah barat Jawa.

Jurucakap pegawai polis, Boy Rafli Amar berkata, ketika kejadian, lelaki itu melemparkan bom berkenaan ke arah dua anggota polis yang sedang bertugas bagaimana pun bom berkenaan tidak meletup.

“Lelaki itu dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas yang sedang diburu,” katanya. - Jakarta Post

Kastam rampas 9,000kg rokok



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Kastam rampas 9,000kg rokok
Ramli (dua, kiri) menunjukkan sebahagian rokok putih dan rokok keretek yang berjaya dirampas semasa tangkapan di R&R Ayer Keroh.
BATU PAHAT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Daerah Batu Pahat berjaya mematahkan usaha menyeludup rokok dengan menggunakan taktik ‘lori bonded’ yang menjadi trend kes penyeludupan masa kini.

Kes tersebut berjaya dihidu 11 Mei lalu, kira-kira jam 12.15 tengah hari susulan penahanan lori 12 tan yang dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun. Pengarah JKDM Negeri, Datuk Ramli Johari berkata, lori berkenaan diekori anggota penguatkuasa sehingga ke kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Ayer Keroh, arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Hasil penahanan itu pihaknya berjaya menemui rokok putih dan dan rokok keretek sebanyak 5.76 juta batang dengan anggaran berat 9,000 kilogram yang bernilai RM516,680 dan cukai RM2.92 juta.

“Barangan yang dirampas ini merupakan barang larangan import di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan memerlukan lesen import JKDM di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedarinya terlibat dalam mengangkut barang larangan dengan niat untuk mengelak daripada apa-apa larangan yang terpakai bagi barang-barang itu.

“Lelaki berkenaan kini ditahan reman selama 10 hari bermula Ahad lalu sehingga 22 Mei ini untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Daerah Batu Pahat, semalam.

Menurut Ramli, jika disabitkan kesalahan, lelaki terbabit boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, dia berterima kasih dengan maklumat yang diberikan dan menyeru orang ramai sama-sama memerangi jenayah penyeludupan.

Dalam pada itu Ramli berkata, sepanjang Januari hingga Mei 2013, penguatkuasaan JKDM Batu Pahat telah berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan rokok dan bir dengan nilai dagangan mencecah jutaan ringgit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penyeludupan mereka boleh menghubungi JKDM daerah atau hubungi talian bebas tol kami 1800 88 8855.

“JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya.

Lori sarat kertas terbalik



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Lori sarat kertas terbalik
Keadaan lori yang terbalik di Jalan Bukit Awi sehingga nyaris meragut nyawa pemandu.
KULIM - Seorang pemandu nyaris maut apabila lori 10 tan yang sarat dengan muatan kertas dipandunya terbalik, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, lori terlibat datang dari arah Junjung  menuju ke Jalan Bukit Awi.

Menurutnya, sebaik tiba di persimpangan Jalan Bukit Awi, lori terlibat hilang kawalan sebelum berbalik.

Akibat kemalangan itu anggota trafik terpaksa menjaga lalu lintas bagi membolehkan pekerja lori lain memindahkan barang, membersihkan jalan dan mengangkat lori terlibat.

“Lori itu dipercayai dipandu laju sebelum terbalik, bagaimanapun tidak berlaku sebarang kecederaan dilaporkan. Saya menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya tidak memandu secara melulu terutama ketika mengambil selekoh.

"Kecuaian pemandu terlibat boleh mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain dan diri mereka sendiri,” katanya.

Koperal cedera dirempuh dengan sengaja



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
K Manoharan
K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera apabila dirempuh salah seorang daripada kumpulan ‘kaki samseng’ semasa sedang menjalankan tugas di Kampung Bukit Putera, Setiu, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, 40-an, bersama rakan setugasnya yang berpangkat lans koperal, 48, dari Unit Peronda MPV, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bagaimanapun, semasa tiba di kawasan hutan berhampiran, dua anggota itu telah terserempak dengan sekumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus menyedari kehadiran kereta peronda polis, kumpulan lelaki itu terus melarikan diri masuk ke dalam hutan berhampiran sebelum anggota kami mengambil keputusan meneruskan rondaan menghala ke Kampung Telaga Papan, di sini.

“Namun, setibanya berhampiran Ladang Tabung Haji, mereka dapati terdapat dua buah motosikal yang dipercayai daripada kumpulan tadi telah mengekori dari belakang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, melihatkan gelagat dua lelaki itu yang sengaja ‘mempersendakan’ kehadiran polis, anggota tersebut memberhentikan kenderaan sebelum mangsa keluar menghampiri mereka.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada lelaki itu memecut motosikal ditunggangnya lalu dengan sengaja merempuh mangsa sebelum bertindak cuba melarikan diri.

“Tetapi, suspek gagal berbuat demikian selepas rebah apabila gagal mengawal motosikal itu, manakala seorang lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Jelas Manoharan, akibat rempuhan yang kuat itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala, tangan serta kaki.

“Mangsa yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Setiu telah pun dibenarkan pulang,” katanya.

Menurut Manoharan, siasatan awal mendapati suspek, 30, dari Kampung Telaga Papan, Setiu itu merupakan salah seorang ahli kumpulan ‘kaki samseng’ yang dipercayai bergiat aktif dalam pelbagai jenayah di sekitar daerah Setiu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Tak sempat bawa barang curi



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2013
Tak sempat bawa barang curi
Sebahagian barang di rumah berkenaan yang dicuri tertuduh.
BALING - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Baling kerana menceroboh masuk sebuah bengkel kereta di Jalan Weng dan mencuri beberapa barangan di sebuah rumah di Kampung Banggol Saga, Baling pada 22 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Rizal Rozemi, 26, dari Kampung Tanjung Nering dituduh menceroboh masuk di sebuah bengkel kereta dengan niat untuk mencuri pada jam lebih kurang 12 tengah hari.

Namun, tindakannya disedari oleh pemilik bengkel berkenaan seterusnya bertindak melarikan diri. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Rizal dituduh menceroboh masuk di sebuah rumah di Kampung Banggol Saga pada jam lebih kurang 12.35 tengah hari iaitu selepas dia gagal mencuri barangan di dalam bengkel tersebut.

Antara barang yang tidak sempat dicurinya di rumah berkenaan ialah beberapa peralatan bertukang, segulung wayar, empat bilah pisau, lampu suluh dan juga wang RM150. Pertuduhan itu mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Rizal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkapan manakala bagi pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan. Kedua pertuduhan itu dijalankan secara berasingan.

Muhamad Rizal mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Mohd Shaiful Akma Mohd Razi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan mengenai lelaki terbabit yang ditahan polis dengan kerjasama Persatuan Prihatin dan Keselamatan Sukarela (PPKS) Baling di sebuah premis membasuh kereta di Kampung Charuk Bemban.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan dua tahun pengawasan selepas didapati bersalah memiliki 0.22 gram heroin dan 0.01 gram monoacetymorphine.

Mohd Khairul Daud, 24, dari Kampung Guar Reban melakukan kesalahan itu pada 6 Februari 2013 jam lebih kurang 4.30 petang di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut.

Hukuman dijatuhi mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tergamam dengar hukuman



RUBIAH OMAR
16 Mei 2013
Tergamam dengar hukuman
Mohd Sapran dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamam seketika apabila mendengar hukuman 18 tahun penjara dan 15 sebatan dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah mengedar dadah, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Sapran Mohamed, 31, dari Gua Musang, Kelantan, dijatuhi hukuman berkenaan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.35 gram (berat bersih).

Dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu di kawasan tempat letak kereta Rumah Rehat Pejabat Daerah Setiu, pada 29 April 2011, kira-kira jam 10.45 malam.

Dengan itu, Mohd Sapran didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarina Awang di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Kedai barang lusuh kena saman



16 Mei 2013
Kedai barang lusuh kena saman
Pegawai Penyiasat, Sarjan Ngadeni Tukiran menunjukkan wayar aluminium dipercayai dicuri dirampas daripada kedai menjual barangan lusuh di Batu 8 ½, Jalan Maharajalela.
TELUK INTAN - Bukan sekali tetapi sudah tiga kali sebuah kedai membeli dan menjual barang lusuh haram di Batu 8 ½, Jalan Maharajalela diperiksa dan dikenakan saman pihak polis apabila menjumpai barangan logam dari syarikat utiliti dipercayai dicuri namun ia masih tetap beroperasi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, dalam pemeriksaan Ops Lusuh yang dijalankan oleh anggotanya ke atas premis tersebut, tengah hari kelmarin, pihaknya menjumpai barangan yang dipercayai dicuri telah dijual kepada pemilik kedai.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa premis telah beroperasi kira-kira tiga tahun tanpa lesen,  ada menjual dan membeli barangan besi yang dipercayai dicuri di kawasan berhampiran.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, pihaknya berjaya menemui barangan tembaga  dan besi yang dipercayai dicuri  sebelum dijual kepada pemilik premis tersebut disorokkan di tempat tersembunyi daripada dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Katanya, pemilik premis tersebut tidak mempunyai lesen untuk menjual barangan lusuh dan pernah diberikan amaran serta disaman oleh pihaknya.

“Namun , pemilik kedai lusuh itu masih degil walaupun pernah dikenakan amaran dan saman daripada pihak kami dengan meneruskan urusan perniagaan membeli dan menjual  barangan dipercayai dicuri di daerah ini termasuk daerah berhampiran.

“Pihak kami menjumpai 10 guni  wayar aluminium yang masih bersalut dengan getah dan enam guni wayar jenis yang telah dipotong dalam saiz  lebih kecil membawa jumlah kepada 320 batang serta 66 batang tembaga,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, semalam.

Mohd Zaki berkata, selain itu, pihaknya turut merampas buku rekod jual beli daripada premis tersebut bagi membantu siasatan polis dan jumlah rampasan dianggarkan RM20,000.

Menurutnya, pemilik premis berusia 43 tahun,  turut ditahan reman selama lima hari  dan barangan yang dipercayai dicuri turut dibawa ke IPD Hilir Perak bagi  membantu siasatan pihak polis.

Katanya, Ops Lusuh yang dijalankan oleh pihaknya  akan sentiasa beroperasi berterusan dari satu ke satu masa bagi mengekang kejadian curi kabel  berlaku di daerah ini serta kawasan lain.

Hijrah untuk edar dadah



ROSDALILAH ZAHARI
16 Mei 2013
Hijrah untuk edar dadah
Paramasivam (dua kanan) bersama Roslan (dua kiri) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas pada serbuan yang dilakukan malam kelmarin.
IPOH - Memilih pengedaran dadah sebagai kerjaya sampingan untuk mendapatkan pendapatan tambahan, seorang penjaga kuda sanggup berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh semata-mata untuk menjalankan kegiatannya itu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 27 tahun yang berasal dari Taman Segambut, Kuala Lumpur itu berakhir apabila dia dicekup sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam memaklumkan, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Cheh, Tanjung Rambutan di sini, dalam satu serbuan pada jam 11 malam.

Menurut beliau, suspek dipercayai sedang berehat dalam sebuah bilik dalam rumah berkenaan semasa serbuan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita menemui 16 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 42 gram.

"Semua dadah yang dianggar bernilai lebih RM1,200 disembunyikan dalam beg pinggang milik suspek dan dipercayai mahu dijual kepada penagih dadah, terutama di sekitar Tanjung Rambutan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua JSJN, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid.

Dalam perkembangan sama, Parasivam memaklumkan, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Baretta Model 21A bersama satu kelopak peluru kosong.

"Tiada peluru ditemui dalam kelopak peluru itu dan suspek kemudiannya diarah menjalani ujian air kencing. Suspek didapati positif mengambil dadah jenis syabu.

"Suspek pernah didakwa di mahkamah sebelum ini atas jenayah berkaitan dadah pada 2011 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan sebelum dibebaskan pada Julai tahun lalu," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 20 Mei bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960.

3 kes penyamaran dilaporkan


3 kes penyamaran dilaporkan
Mohamad Fakri
SERI ISKANDAR - Pelbagai cara dilakukan penjenayah untuk mencapai tujuan mereka termasuk melakukan penyamaran sebagai kakitangan agensi tertentu bagi menyembunyikan niat jahat mereka.

Terbaru, sebanyak tiga kes samun dilaporkan di kawasan Bota melibatkan kes penyamaran.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, modus operandi mereka menyamar sebagai Pegawai Tenaga Nasional berhad (TNB) dan menyasarkan rumah-rumah warga emas yang tinggal berseorangan untuk dijadikan mangsa.

Menurutnya, penjenayah berkenaan memasuki rumah mangsa dan berpura-pura memeriksa perkakasan elektrik, meter elektrik dan sebagainya di rumah mangsa.

“Kegiatan mereka ini sekitar jam 11.00 tengah hari hingga 12.30 tengah hari dan dilaporkan penjenayah menggunakan kereta jenis proton saga berwarna hijau dengan plat pendaftaran PEL 8794.

“Apabila mangsa telah terpedaya penjenayah berkenaan akan menyamun barangan berharga milik mangsa,” katanya.

Katanya, sehingga kini sebanyak tiga laporan polis telah diterima yang berlaku di Kampung Selat pada 17 April lalu, Batu 14 ¼ Kampung Padang (23 April) dan yang terbaru di Batu 26 Jalan Tronoh pada (9 Mei).

“Kesemua mangsa terlibat adalah golongan wanita warga emas dan mereka kehilangan barangan kemas masing-masing bernilai RM1,200, RM5,300 serta RM1,500.

“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dalam kes ini,” katanya.

Katanya, pihak polis juga turut meminta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung, Penghulu, Rela, Ketua-ketua kampung dan penduduk sekitar Bota serta Perak Tengah amnya untuk menghebahkan perkara itu kepada penduduk.

“Saya juga ingin menasihatkan penduduk supaya tidak mudah percaya kepada mereka yang tidak dikenali kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai niat jahat tersebut.

“Pastikan barangan berharga disimpan dengan rapi dan jika timbul sebarang keraguan atau syak terhadap mereka yang tidak dikenali, boleh menghubungi bilik kawalan polis daerah 05-371322 dengan segera,” katanya.

Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt


New York: Angelina Jolie berkata, dia akan berkahwin dengan pasangannya, Brad Pitt dengan lebih cepat selepas menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.

Semalam, Angelina, 37, memuji Pitt kerana bersikap “penyayang dan sentiasa menyokong” keputusannya.


Sumber berkata, Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt dan anak-anak mereka pula mendesak agar ia dilangsungkan dalam masa terdekat.

“Pitt dan Angelina sering ditanya anak-anak, bilakah mereka akan berkahwin,” katanya.


Sumber itu berkata, disebabkan Pitt kesibukan kerana terbabit dalam penghasilan filem baru, World War Z, rancangan perkahwinan itu tidak dapat dilangsungkan setakat ini.


Namun, katanya, Angelina yakin ia akan berlangsung tidak lama lagi. Pasangan popular itu bertunang pada 2011 apabila Pitt melamar Angelina dengan cincin berlian bernilai RM1.5 juta.

Pada November tahun lalu pula, aktor itu mengesahkan mereka akan dikahwinkan “tidak lama lagi.” Bercakap kepada media sempena tayangan filem Killing Them Softly di New York, Pitt, 48, mengakui dia semakin tertekan akibat diasak anak-anaknya.


“Kini memang masa yang sesuai dan saya gembira dengan kemungkinan itu,” katanya. Sumber berkata Angelina mahu perkahwinan mereka dilangsungkan di Perancis tetapi berita terbaru membayangkan, mungkin tempat lain akan menjadi pilihan.

“Pitt dan Angelina mahu ia dijalankan secara tertutup,” katanya ketika ditemui. - Daily Mail