2,000 pasport dirampas
Antara warga asing yang ditahan, kelmarin.
KAJANG - Hasil laporan yang diterima, Jabatan Imigresen Putrajaya melakukan serbuan di pejabat pertubuhan terbabit, kelmarin.

Sebanyak 2,000 pasport milik warga asing termasuk dari Bangladesh dan Indonesia dirampas.

Ketua Unit Tindakan Jabatan Imigresen Putrajaya, Abdul Malik Bujang berkata, hasil pemeriksaan, pertubuhan yang menguruskan 6P dan kad oren itu didapati bersalah kerana beroperasi tanpa keizinan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Program 6P untuk pendatang asing sudah ditamatkan sejak tahun 2011, jadi tindakan pertubuhan itu melakukan urusan permohonan 6P adalah salah dan nama pertubuhan ini akan disenarai hitam,” katanya.

Menurutnya, pertubuhan yang menggunakan nama sebuah pertubuhan Islam sebelum ini memang diberi kebenaran untuk menguruskan program 6P.

“Modus operandi mereka ialah mengenakan bayaran sehingga RM5200 untuk setiap permohonan permit kerja.

"Sepatutnya setiap permohonan seperti ini perlu dibuat melalui pejabat Imigresen sahaja.

“Sekarang ini pendaftaran pemutihan sudah selesai, jabatan hanya melakukan penguatkuasaan 6P, jadi mana-mana syarikat atau pertubuhan tidak boleh menjalankan urusan permohonan 6P,” katanya.

Jelas Abdul Malik, pihak juga masih menyiasat pembabitan pertubuhan itu dengan sindiket pemalsuan susulan penemuan pelekat permit kerja palsu di premis berkenaan.

Dalam serbuan itu juga, seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemilik premis bersama enam pendatang asing warga Indonesia dan Bangladesh ditahan.

Selain itu, beberapa peralatan pejabat termasuk komputer turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966.