Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Bapa bawa anak mencuri



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Bapa bawa anak mencuri
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki yang mendukung anak melarikan dua TV dari sebuah kedai elektrik di Temerloh Mall Jumaat lalu.
TEMERLOH – Dua lelaki yang melarikan dua televisyen (TV) jenama Toshiba 40 inci dari sebuah kedai elektrik di sini pasti tidak senang duduk jika tahu tingkah laku mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Kejadian berlaku di Temerloh Mall hanya disedari penyelia dan pengurus kedai terbabit kira-kira 10 minit sejurus dua suspek terbabit melarikan TV tersebut.

Berdasarkan maklumat daripada pengurus premis terbabit yang dikenali sebagai Wong, dua lelaki datang ke premisnya kira-kira jam 11.50 pagi, Jumaat lalu dan seorang daripada mereka mendukung anak.

Menurutnya, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura berminat hendak membeli mesin hampagas dipercayai sebagai usaha mengalih perhatian pekerja.

“Manakala lelaki yang mendukung anak mundar-mandir dengan membawa sebuah troli kosong sebelum mengambil dua TV jenama Toshiba 40 inci yang diletakkan di hadapan kedai.

“Namun tindakan lelaki terbabit ketika melarikan dua TV bernilai RM1,500 setiap satu itu tidak disedari pekerja," katanya.

Berikutan itu, Wong membuat laporan polis pada hari sama.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika premis terbabit membuat promosi jualan dan meletakkan empat TV di hadapan kedai, masing-masing dua TV 32 inci dan 40 inci.

Dua TV 40 inci itu diletakkan di bawah secara bertindih dengan dua TV 32 inci berjenama sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan berdasarkan rakaman CCTV tersebut.

Warga emas didenda, tumbuk ketua pusat mengundi




14 Mei 2013
SIBU - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM2,000 atau tiga bulan penjara terhadap seorang lelaki warga emas kerana menumbuk seorang ketua pusat mengundi dan membuat laporan polis palsu.
      
Malcolm Maing, 65, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu di hadapan hakim Zubaidah Sharkawi.
      
Dia melakukan kesalahan itu pada 7.45 pagi 5 Mei ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
      
Pesara kerajaan dari Rh. Ranggau di Sungai Assan itu didakwa mengikut Seksyen 329 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 182 akta yang sama kerana membuat laporan palsu kepada polis.
      
Pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Mohd Fazirul Mohd Fisol memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian, Maing mendengar orang ramai berkata Petrus Amping, Ketua Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Assan, meminta pemilih di situ supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN).
      
Maing kemudian bersemuka dengan Petrus untuk memintanya memberi penjelasan tentang perkara itu.
    
Mohd Fazirul berkata, Petrus menyatakan Maing merempuh serta menyikunya di bahagian abdomen dan apabila dia (Petrus) menolak lelaki itu, dia ditumbuk pula di pipi kanan.
      
Pegawai itu berkata, Petrus tidak mengambil kisah tentang kejadian itu dan meneruskan tugasnya sebagai ketua pusat mengundi.
      
Bagaimanapun, katanya, Petrus terkejut apabila mendapat tahu Maing membuat laporan yang bertentangan dengan kejadian sebenar di Balai Polis Jalan Ulu Lanang.
      
Tujuh saksi, termasuk dua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lima anggota polis yang bertugas di SK Nanga Assan, memberi keterangan yang menyokong keterangan Petrus tentang kejadian itu. - Bernama

Lelaki terlepas tali gantung



ADILA SHARINNI WAHID
14 Mei 2013
Lelaki terlepas tali gantung
Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU -Seorang lelaki warga Thailand menangis selepas dihukum penjara enam tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana miliki dadah, tahun lalu.
Hukuman diputuskan Hakim Datuk Azman Abdullah terhadap Abdulloh Wachi, 20, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa pada pertuduhan pindaan pertama memiliki 15.56 gram heroin di sebuah rumah di Kampung Parit Air Banggol Kulim, Rantau Panjang, 13 Julai.

Bagi tuduhan itu, dia dikenakan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan.

Sementara, pada tuduhan kedua pada masa, tarikh dan lokasi sama, Abdulloh dihukum tiga tahun penjara dan tiga sebatan setelah mengaku memiliki 591 pil mengandungi 8.67 gram dadah metamphetamine.

Azman dalam keputusannya mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan dan menasihatkannya supaya mengambil iktibar agar tidak terlibat dengan kesalahan sama pada masa depan.

“Kamu bernasib kerana dikurangkan hukuman daripada tuduhan asal mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati.

“Saya percaya penglibatan kamu pada usia muda kerana terpengaruh mahu untung cepat, namun ia tidak berbaloi dengan apa yang kamu lalui sekarang,” katanya.

Sejurus hukuman diputuskan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob menarik balik tuduhan ke atas kekasih Abdulloh, berusia 16 tahun yang dituduh bersamanya mengedar dadah berkenaan. Tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Shukri Muhamed.

Dadah dijumpai dalam dua bungkusan surat khabar Thailand di dalam almari di rumah milik ibu kekasih Abdulloh pada jam 7.05 pagi. Serbuan dijalankan anggota Pasukan Gerakan AM, Kem Galing Kuantan.

'ALLAH selamatkan kami'



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
'ALLAH selamatkan kami'
Kertas yang digunakan untuk mencucuh api masih lagi bersisa
'ALLAH selamatkan kami'
Sekiranya api terus marak, kemungkinan ia akan menyambar suis utama restoran Bidah dan memburukkan lagi keadaan.
'ALLAH selamatkan kami'
Bidah (kiri) bersama jirannya, Norasiah (tengah) dan Sufiah (kanan) bersyukur masih terselamat dalam kejadian khianat terbabit
JENGKA - 'ALLAH selamatkan kami'. Itu perkataan yang mampu diucapkan seorang pemilik restoran apabila restoran miliknya di penempatan Matau, di sini, nyaris terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat, kelmarin.

Bidah Ibrahim, 61, berkata, jika tidak kerana kuasa ALLAH SWT, kemungkinan bukan sahaja restorannya hangus, malah lima rumah berdekatan juga menerima nasib sama.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu semasa datang untuk membuka operasi restorannya kira-kira jam 7 pagi.

"Saya tengok ada kesan terbakar di pintu kedai dekat dengan plak utama.  Kalau suis utama ini terbakar, sudah tentu api marak dan merebak ke rumah jiran. Nasib baik api itu padam
sebelum sempat menyambar plak utama,” katanya.

Bidah berkata, dia percaya individu yang cuba membakar restorannya menyasarkan untuk membakar suis utama terbabit dengan mencurahkan minyak diesel di kawasan sekitar.

“Ada orang yang lalu di hadapan restoran ini beritahu saya ada ternampak api, tapi dia ingat itu api bakar sampah sebab jiran saya ini memang selalu bakar sampah awal pagi.

“Apa pun saya bersyukur kerana api terpadam sendiri, jika tidak saya tidak tahu bagaimana nasib jiran-jiran kerana suis utama ini bersambung dengan rumah mereka. Mungkin akan menyebabkan litar pintas," katanya.

Tidak bermusuh

Bidah berkata, dia tidak dapat mengesyaki siapa yang melakukan perbuatan itu kerana selama 41 tahun tinggal di situ, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
"Sama juga dengan anak saya yang membuka restoran ini bulan puasa tahun lalu.  Kami sekeluarga tidak pernah bergaduh dengan sesiapa pun selama ini.  Jadi saya tidak tahu kenapa ada orang mahu khianat restoran kami,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia sekeluarga membuat solat hajat supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya tidak hanya memikirkan keselamatan kami, tetapi juga jiran tetangga. Mereka yang buat itu tidak fikirkah berapa ramai nyawa akan terkorban jika kebakaran ini berlaku?” katanya.

Jiran terkilan

Sementara itu, jiran yang duduk bersebelahan restoran Bidah, Norasiah Mohd Idris, 39, tidak dapat menahan sebak apabila memikirkan nasib yang akan menimpa mereka sekeluarga jika kebakaran itu berlaku.
Menurutnya, kemungkinan dia dan empat ahli keluarganya tidak dapat menyelamatkan diri.

“Bilik kami anak beranak tidur berada di depan. Bila saya fikir kejadian ini, saya jadi sebak teringatkan anak sulung yang berada di Kuala Lumpur mungkin akan jadi yatim piatu,” katanya.

Seorang lagi jiran, Sufiah Mamat, 53, berkata, dia tidak dapat membayangkan jika kebakaran itu berlaku kerana perlu menyelamatkan ayahnya yang lumpuh.

“Ayah saya lumpuh memerlukan dua orang untuk mengangkatnya. Kalau kebakaran itu berlaku, takkan saya tinggal ayah saya macam itu sahaja?

“Orang yang melakukan perbuatan khianat ini tidak memikirkan nyawa orang lain. Dia hendak bunuh kami agaknya. Sederet ini sahaja sudah ada enam keluarga bersama 30 penghuni. Ini melibatkan nyawa orang ramai,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, selain bau minyak diesel yang masih kuat, kesan terbakar juga menyebabkan cermin pintu restoran Bidah retak. Selain itu, kertas yang digunakan untuk mencucuh api juga masih bersisa.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan polis kini sedang melakukan siasatan.

Dadah: 3 lelaki, seorang wanita ditahan



NURUL ZAILA MOHD TAHIR
14 Mei 2013
Dadah: 3 lelaki, seorang wanita ditahan
Toon Khuan ketika sidang media di IPK Pahang, semalam.
KUANTAN - Tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah ditahan dalam tiga operasi berasingan yang dilakukan di sekitar Kuantan, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang, Superitendan Yap Toon Khuan berkata, dalam serbuan pertama di Bukit Setongkol, seorang lelaki berusia 22 tahun cuba menyembunyikan peket dadah di dalam mulut tetapi berjaya dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, susulan penangkapan itu, dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun turut ditahan di kawasan berkenaan.

“Tiga jenis dadah dijumpai bersama suspek pertama iaitu 0.3 gram ganja, 0.5 gram syabu dan heroin seberat 15.4 gram yang bernilai kira-kira RM3,080.

“Suspek dipercayai melakukan pengedaran dadah dan turut mengambilnya untuk kegunaan sendiri berdasarkan hasil ujian air kencing yang didapati positif dadah.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap dua lagi suspek mendapati tiada bahan terlarang ditemui tetapi didapati ia disembunyikan di dalam beg pakaian di dalam bilik iaitu dua peket plastik lutsinar besar dan 20 peket plastik lutsinar kecil yang setiap satunya berisi serbuk ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 124 gram.

“Hasil siasatan bekalan dadah bernilai kira-kira RM24,800 itu dibawa masuk dari ibu negara untuk diedarkan di sekitar Kuantan.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut bermula pada tarikh penahanan iaitu 10 Mei 2013,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Semambu, dadah jenis Heroin seberat 60 gram dengan anggaran nilai RM12,000 turut dirampas daripada seorang wanita berusia 41 tahun.

“Pada 11 Mei 2013 iaitu pada jam 3 petang satu serbuan dilakukan di Kawasan Perindustrian Semambu berjaya menangkap seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Ketika dihampiri, suspek dilihat memegang objek bewarna merah sebelum cuba membuang tetapi sempat dirampas.

“Hasil pemeriksaan objek tersebut adalah satu beg bewarna merah mengandungi satu peket plastik lutsinar berzip disyaki dadah jenis heroin.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja sebagai peniaga kain itu positif dadah.

“Kesemua kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan keempat-empat suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,”
katanya.

Pengurus lombong bijih maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Pengurus lombong bijih maut
Allahyarham Zakaria menjadi kebanggaan penduduk setempat kerana kejayaan beliau dalam industri perlombongan di Luit
MARAN - Seorang pengurus sebuah syarikat lombong bijih besi di Ulu Luit, dekat sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas dipercayai terjatuh dari motosikal ditunggang, kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa,  Zakaria Mat Din, 58,  dikatakan kelur dari rumah sendirian dengan menunggang motosikal ke pekan Sri Jaya untuk minum pagi bersama rakan lain.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang dan kurang daripada 200 meter sebelum sampai ke rumah, anak tempatan Luit itu dipercayai terjatuh daripada motosikal ditungganginya.

“Seorang penduduk yang secara kebetulan melalui laluan Maran-Kuantan menjumpai mangsa terbaring dalam semak sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada anak mangsa.

“Mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan dengan luka kecil  kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Maran, namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan akibat serangan jantung dan pihak polis menolak sebarang unsur jenayah,” katanya.

Allahyarham merupakan usahawan disegani dan menjadi kebanggaan penduduk setempat apabila berjaya menerokai operasi perlombongan bijih besi di Luit sejak Disember 2010, melibatkan kawasan seluas 40 hektar.

Operasi lombong itu secara puratanya mengeluarkan sebanyak 2,000 tan hasil sehari yang dihantar ke gudang simpanan di kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan menggunakan 40 lori sebelum dieksport ke China.

Ia sekali gus menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk terutama golongan muda untuk mencari rezeki dan berbakti di tempat sendiri.

Juru kimpal berdepan gantung



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Juru kimpal berdepan gantung
Fauzi (kiri) keluar dari mahkamah selepas dituduh mengedar heroin, minggu lalu.
KOTA BHARU - Seorang juru kimpal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar anggaran 20 gram heroin, minggu lalu.

Fauzi Md Sukri, 38, dari Pasir Hor di sini, didakwa mengedar dadah berkenaan di hadapan stesen minyak di Tunjong di sini, pada jam 5 petang, 3 Mei lalu.

Tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Fauzi didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan bagaimanapun ditangguhkan untuk sebutan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan pada 25 Julai depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Bongkah batu besar tiba-tiba jatuh atas laluan



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Bongkah batu besar tiba-tiba jatuh atas laluan
Bongkah batu yang didakwa jatuh secara tiba-tiba mencetuskan cemas dalam kalangan pengguna.
RAUB – Bongkah batu besar tiba-tiba jatuh daripada lereng bukit mencetuskan suasana cemas pemandu kenderaan yang melalui kawasan Jalan Gap – Tras, ketika hujan berserta angin kuat, kira-kira jam 3 petang, baru-baru.
Pengguna, Adli Adzamin Hussin, 40-an, berkata, kejadian bongkah batu besar jatuh itu berlaku di depan matanya sendiri ketika dia dalam perjalanan ke Bandar Raub.

"Saya memandu lori dan tiba-tiba bongkah batu besar jatuh kira-kira 50 meter di hadapan saya.

"Memang saya cemas pada masa itu kerana bimbang akan jatuh lagi beberapa batu besar yang boleh mengancam keselamatan," katanya.

Menurutnya, dia bertindak memberhentikan lori dipandu seketika bagi memastikan keadaan jalan di lereng bukit itu selamat sebelum meneruskan perjalanan.

"Apabila keadaan benar-benar selamat dan yakin tiada lagi bongkah batu yang jatuh barulah saya terus perjalanan.

"Namun, kelmarin ketika melalui jalan sama untuk urusan kerja, bongkah batu besar itu masih kelihatan dan keadaan itu boleh membahayakan pengguna terutama waktu malam kerana pandangan yang terhad," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengguna laluan terutama yang mahu ke Bukit Fraser perlu lebih berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kerana dikhuatiri bongkah batu yang boleh jatuh tiba-tiba.

“Bagi individu biasa menggunakan jalan di sini, pasti mengetahui keadaan lereng bukit yang tinggi dan sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk kejadian bongkah batu besar jatuh seperti ini.

“Selain mengharapkan perhatian dan tindakan pihak berkuasa tempatan, pemandu juga perlu berhati-hati untuk mengelak sebarang kecelakaan termasuk yang berpunca daripada bencana alam semula jadi,” katanya.

Bayar RM30 dapat gadis seksi



NUR FARHANA ABDUL MANAN
14 Mei 2013
Bayar RM30 dapat gadis seksi
Gadis warga Vietnam yang ditahan ketika Ops Noda, malam Sabtu lalu.
PUCHONG – Berhibur ditemani gadis genit berpakaian seksi. Itu antara pakej ditawarkan pengusaha pusat hiburan di jalan Bandar 19, Pusat Bandar Puchong di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Pengunjung dikatakan bukan sahaja boleh menikmati minuman keras namun turut ditawarkan seorang gadis muda berpakaian seksi dengan bayaran RM30.

Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Roslin Mohd Isa berkata, bertindak atas maklumat awam, premis terbabit diserbu dalam Ops Noda malam Sabtu lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu seorang penjaga premis ditahan bersama 29 gadis warga Vietnam berusia lingkungan 20-an.

"Pengusaha didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menggaji pekerja asing tanpa permit.

“Semua gadis dicekup pula didapati tidak mempunyai permit bekerja di negara ini secara sah,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha menawarkan layanan gadis muda itu bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke premisnya.

Menurutnya, gadis itu akan menjadi teman sosial pelanggan sehingga premis menamatkan operasi.

“Bayaran dikenakan untuk khidmat itu dan pelanggan juga biasanya akan memberikan tip ekstra kepada gadis yang menjadi teman mereka berhibur.

“Malah jika suka sama suka, pelanggan yang mahukan layanan lebih akan membawa gadis itu pulang untuk khidmat tambahan,” katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Lans Koperal mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Lans Koperal mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan
Tertuduh (dua, kanan) keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah, semalam
KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang peniaga dengan cara melepaskan tembakan, tiga tahun lalu.
Anggota cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada Sallehudin Daud, 28, dengan melepaskan tembakan dari sepucuk senjata jenis P99 tanpa alasan yang sah.

Nazree Rahim, 40, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 3.30 pagi, di kedai cuci kereta miliki mangsa di Jalan Kebun Sultan di sini, 20 September.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Majistret Nik Habri Muhamad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000.

Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya jaminannya dikurangkan kerana sejak kejadian itu dia ditahan kerja dan hanya berniaga di pasar malam bersama isteri serta masih menyara tujuh anak yang bersekolah.

Dakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes bersambung  13 Jun depan.

Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan



SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
14 Mei 2013
Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Lee Ying En
Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Sing Loong dan isterinya Yan Hua menunjukkan imbasan X-tray dan laporan polis berhubung dengan kejadian malang yang meragut nyawa bayi perempuan mereka.
KUANTAN- Sepasang suami isteri dari Taman Jaya, Kampung Jawa di sini tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sebuah hospital kerajaan sehingga menyebabkan bayi perempuan mereka meninggal Ahad lalu.
Lee Sing Loong, 40, dan isterinya, Lu Yan Hua, 37, mendakwa kecuaian pihak hospital merawat bayi mereka  Lee Ying En, 14 bulan yang pada mulanya disahkan demam dan batuk biasa sedangkan sudah sebulan mereka mendapatkan rawatan di hospital itu.
Menurutnya, walaupun pelbagai ujian telah dilakukan ke atas anaknya itu, pihak hospital masih mengatakan anak mereka demam biasa.

Sing Loong yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kali pertama anak keduanya itu dimasukkan ke wad hospital berkenaan selama seminggu bermula 3 April lalu.
"Balik ke rumah dia demam semula sebelum dia dimasukkan semula ke wad pada 16 hingga 22 April dan 28 hingga 30 April dengan pelbagai ujian dilakukan termasuk pemeriksaan x-ray, darah dan air tulang belakang, namun saya hanya dimaklumkan dia demam biasa.

"Saya tidak sedap hati lalu membawa anak saya ini ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan pakar dan doktor di sana mengesahkan sebahagian paru-paru anak ada jangkitan kuman,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, dia segera membawa anaknya kembali mendapatkan rawatan lanjut di hospital kerajaan akibat kekangan kewangan untuk meneruskan rawatan di hospital swasta dan bayi berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Sejak ditempatkan di ICU pada Khamis lalu suhu badannya tidak pernah turun iaitu 39 darjah celcius dan akhirnya dia meninggal pada pukul 7.22 petang semalam (Ahad).
"Saya kecewa kerana jururawat dan doktor tidak profesional dan saya juga percaya masalah ini berpunca kerana isteri yang menjaga anak tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa
Melayu kerana berasal dari Shenzen, China.

"Isteri beritahu setiap kali dia panggil jururawat mereka tidak menghiraukannya kerana mungkin tidak faham apa yang diperkatakannya,” jelasnya sambil memberitahu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada jam 11.31 malam, semalam.

Tambahnya, dia mahukan penjelasan daripada pihak berkenaan kerana mereka tidak memaklumkan sebarang penyakit yang serius melainkan demam biasa sedangkan laporan hospital swasta sebaliknya.

Nasib Sing Loong mendapat perhatian daripada Adun Teruntum Sim Chon Siang dan beliau turut kesal jika kejadian ini berlaku disebabkan oleh kecuaian pihak hospital.

Sementara itu juga, beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan hospital berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku serta berharap agar ia tidak terjadi kepada orang lain.

Kontraktor stadium didenda RM10,000



RUBIAH OMAR
14 Mei 2013
Kontraktor stadium didenda RM10,000
Abdul Rahim didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja di Stadium Mizan Zainal Abidin tanpa daftar
KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor binaan dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung ‘west stand’ di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, tanpa lesen.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris turut memerintahkan Abdul Rahim Osman, 52, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda.

Kesemua hukuman itu diputuskan selepas pemilik Syarikat Tetuan RHM Sevices itu mengaku bersalah menjalankan kerja-kerja membuka semula struktur bumbung ‘west stand’ dan lain-lain kerja berkaitan dengan stadium itu tanpa berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan CIDB Malaysia.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah subseksyen 25 (1), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29, akta yang sama itu pada 5 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Abdul Rahim selaku sub kontraktor dalam kerja-kerja berkenaan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa CIDB Malaysia, Abdul Razak Husin manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Abdul Rahim mendakwa tidak tahu bahawa dia sebagai sub kontraktor yang dilantik perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

“Saya ingatkan kontraktor utama sahaja perlu berdaftar dengan CIDB Malaysia, jadi disebabkan itu saya tidak berbuat demikian. Saya merayu mahkamah memberi hukuman paling minimum,” rayunya.

Sementara itu, kontraktor utama iaitu Prisma Keris Sdn Bhd telah dikenakan tindakan tatatertib pada 11 April lalu iaitu di bawah peraturan 15 (4) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kontraktor 1995.

Kontraktor berkenaan dilarang menjalankan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan kecuali dengan arahan CIDB Malaysia dan satu notis boleh dikeluarkan terhadap kontraktor yang menghendaki untuk tidak memulakan atau meneruskan kerja-kerja pembinaan tersebut sekiranya ada.

Selain itu, Perakuan Pendaftaran kontraktor ditarik balik sehingga tamat tempoh Pendaftaran iaitu pada 25 Julai ini.

Kontraktor itu hanya dibenarkan menyiapkan kerja-kerja membuka semula baki struktur bumbung ‘west stand’ dan lain-lain kerja berkaitan seperti mana yang dikehendaki di dalam surat award.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, yang dalam proses baik pulih runtuh.

Semasa kejadian, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium berkenaan dan dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.

Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengaku berkemungkinan punca kejadian daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja-kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.

Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Terkejut remaja serah bayi 3 pagi



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Roszita
Roszita (kanan) melakonkan semula detik seorang remaja perempuan menyerahkan bayi kepadanya di muka pintu rumah di Kampung Meraga Beris, Kijal, jam 3 pagi.
Roszita
Roszita bersama bayi misteri yang masih belum diketahui identiti.
Roszita
Di rumah Roszita inilah seorang remaja perempuan datang memberi salam dan mengetuk pintu sebelum meninggalkan bayinya tanpa sebarang nota dan dokumen.
KIJAL – “Kak, tolong jaga ‘baby’ saya,” kata seorang gadis berusia lingkungan18 tahun sambil menghulur bayi perempuan kepada Roszita Mat Yasin, 27, selepas mengetuk pintu rumah pembantu kedai makan itu di Kampung Meraga Beris, di sini, kira-kira jam 3 pagi.

Roszita berkata, dia yang masih separuh sedar kerana baru terkejut dari tidur segera menyambut sekujur tubuh kecil seberat 2.8 kilogram itu yang lengkap berpakaian, tetapi masih terdapat tompokan darah dan lendir kering pada bahagian kepala bayi itu.

“Namun tak dan (sempat) saya tanya apa-apa, remaja perempuan itu terus tinggalkan saya terpinga-pinga di muka pintu. Dia segera masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang menunggu di depan rumah dan saya nampak kelibat seorang
lelaki dalam kereta tu.

“Kereta itu kemudian meluncur laju menuju ke arah Chukai, tapi saya tak cam warna dan nombor plat (pendaftaran) kereta itu sebab gelap dan saya masih mamai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ketika kejadian tiga minggu lalu itu, Roszita tinggal berdua bersama anak tunggalnya, Muhammad Amirul Shah Muhamad Jamri, 9, kerana suaminya, Muhamad Jamri Abd Kadir, 42, bekerja di kilang papan tidak jauh dari rumah mereka.

Namun, ketika nyenyak tidur, Roszita terdengar pintu rumahnya diketuk sambil mendengar orang memberi salam.

“Saya tidak rasa takut ketika membuka pintu kerana sangka yang mengetuk itu adik-beradik saya yang tinggal sebelah menyebelah, kerana mereka biasa juga ketuk pintu awal pagi. Dia berikan bayi itu sehelai sepinggang tanpa nota atau sebarang dokumen,” katanya.


Badan bayi berbau busuk 

Menurutnya yang bekerja di kedai makan ibunya, walau dalam cahaya samar-samar, dia nampak jelas muka gadis memakai tudung, baju T dan berkain batik itu, tetapi keadaan bayi misteri itu agak menyedihkan kerana badannya berbau busuk.

Ketika diserahkan, bayi misteri itu dipercayai berusia dua minggu berdasarkan keadaan tali pusat telah tertanggal.

Begitu pun, Roszita tidak segera melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa kerana menyangka remaja perempuan itu akan datang kembali mengambil bayi itu di rumahnya.

“Selepas dua hari berlalu remaja itu masih tidak muncul, jadi saya bersama suami merujuk kes itu di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada hari sama.

“Pihak polis kemudiannya mengarahkan saya membawa bayi itu ke Hospital Kemaman dan ditahan di wad selama tiga hari kerana bayi ini tidak mendapat suntikan sebagaimana bayi lain ketika dilahirkan,” katanya.

Beri susu badan Roszita berkata, walaupun kemunculan bayi itu sangat misteri dan menjadi tanda tanya buatnya sekeluarga tetapi perasaan sayang seperti anak sendiri wujud dalam dirinya selepas selepas seminggu menjaga bayi itu.

“Saya dapatkan suntikan untuk memberi susu badan kepada bayi ini dan ia diselang seli dengan susu botol,” katanya yang kebetulan menginginkan lagi zuriat kerana sukar hamil disebabkan masalah buah pinggang dihidapi ketika kecil.

Urusan pendaftaran kelahiran diuruskan JKM dan bayi tersebut dinamakan Nur Aishah Humaira yang mana nama itu diberikan oleh anak tunggal Roszita sendiri.


Minta waris tampil 

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Kanak-kanak Pejabat JKM Daerah Kemaman, Salmi Abdullah meminta waris bayi itu tampil bagi  merungkai misteri kerana identiti bayi itu belum diketahui.

“Setakat ini, kita tidak tahu bangsa bayi ini dan apa-apa maklumat lain mengenainya jadi waris diharap dapat menghubungi JKM menerusi talian 09-8581686 atau terus datang ke Pejabat JKM Daerah Kemaman,” katanya.

Katanya, berdasarkan perintah sementara oleh mahkamah, bayi kini di bawah pengawasan Pejabat JKM Daerah Kemaman.

13 GRO kena cekup



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
13 GRO kena cekup
Sebahagian daripada 13 GRO yang ditahan dalam serbuan di Taman Usahawan, Kepong, semalam.
KUALA LUMPUR - Cubaan 13 pelayan pelanggan (GRO) warga China bersembunyi bawah katil bagi mengelak dicekup tidak berjaya, apabila sepasukan anggota polis menyerbu sebuah pusat refleksologi di Taman Usahawan, Kepong, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.35 petang itu, turut ditahan adalah penjaga premis berusia 50 tahun.

Pegawai Unit Maksiat Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Inspektor Mohammad Mohd Jais berkata, serbuan dibuat selepas risikan mendapati pemilik premis menyalahgunakan lesen perniagaan dan menawarkan khidmat seks.

Beliau berkata, pemeriksaan menunjukkan 10 daripada wanita terbabit mempunyai pas lawatan sosial, manakala tiga lagi tiada dokumen sah untuk berada di negara ini.

“Siasatan menunjukkan harga perkhidmatan urutan yang dikenakan kepada pelanggan adalah RM30, manakala urutan batin bermula dari RM30 ke atas.

“Bagi perkhidmatan seks harga dikenakan mencecah sehingga RM100 dan perkhidmatan ini hanya ditawarkan kepada pelanggan tetap serta yang dikenali,” katanya.

Difahamkan, premis terbabit sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan mempunyai lesen sah untuk menjalankan perniagaan refleksologi.

Semua GRO berusia antara 20 dan 40 tahun serta penjaga premis dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Lori terbalik, pemandu nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Lori terbalik, pemandu nyaris maut
Keadaan lori muatan atap yang terbalik.
ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori muatan atap nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, Kilometer 211.7 arah Selatan, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lori dipandu, K Vinod, 30-an, hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan meletup.

Akibat kemalangan itu, lebih 500 atap genting yang hendak dibawa ke Johor Bharu bertaburan di lorong tengah lebuhraya, namun tidak membabitkan kenderaan lain.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian lori yang membawa muatan 592 keping atap genting itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu.

"Ketika itu, pemandu lori itu merasakan satu gegaran di bahagian belakang sebelum memperlahankan kenderaannya.

“Namun lori dipandu itu terhuyung-hayang ke kiri dan kanan lebuhraya sebelum berpusing lalu terbalik,” katanya.

Sementara itu, Vinod berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian laluan di lebuhraya itu agak lengang.

“Saya sempat memperlahankan kenderaan ketika terasa lori seolah-olah bergegar di bahagian belakang.

“Dalam keadaan panik saya cuba mengawalnya agar tidak melanggar pengadang tengah lebuhraya sebelum lori terbalik," katanya yang mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin dihubungi Sinar Harian mengesahkan kemalangan itu.

2 pekerja kilang dipijak sebelum kena samun



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mei 2013
Keadaan pipi Arasu yang cedera dalam kejadian itu.
Keadaan pipi Arasu yang cedera dalam kejadian itu.
Arasu
Arasu melakonkan semula bagaimana dia diikat dan ditendang sebelum dipijak penjenayah.
ALOR GAJAH - Dua pekerja lelaki sebuah kilang besi buruk panik selepas diikat, ditendang dan dipijak lima penjenayah dalam kejadian samun di sekitar Pulau Sebang, dekat sini, pagi kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, A Tirunavukarasu, 36, bersama rakannya yang berusia 62 tahun sedang tidur sebelum pintu kabin ditendang.

Arasu berkata, dia terus terjaga sebaik terdengar bunyi pintu ditendang sebelum membukanya dan muncul seorang lelaki lalu mencengkam leher dan menendangnya sehingga jatuh.

“Dengan nada keras, lelaki itu mengarahkan saya supaya jangan bising dan minta meniarap di atas lantai sebelum kedua-dua tangan diikat menggunakan wayar kabel.

“Saya merayu supaya tak diapa-apakan, namun mereka tidak peduli dan terus hentak kepala saya dengan kakinya beberapa kali sehingga kulit pipi saya terkoyak,” katanya.

Menurutnya, rakannya yang tidur berhampiran turut diikat menggunakan kain dan kepala dipijak.

“Ketika itu, saya nampak dua lelaki masuk ke dalam kabin di mana salah seorang daripada mereka membawa parang dan memakai sarung muka hitam sebelum terdengar suara seorang wanita.

“Wanita terbabit bercakap sesuatu di bahagian luar pintu hadapan manakala seorang daripada mereka berkawal di bahagian pintu belakang," katanya.

Arasu berkata, selepas itu, salah seorang daripada lelaki terbabit mengugut untuk mencederakannya jika tidak memberitahu di mana wang disimpan.

“Dua lelaki yang baru masuk tadi menggeledah laci sebelum merampas wang tunai hasil jualan milik majikan berjumlah RM2,300,” katanya.

Menurutnya, mereka yang tidak berpuas hati dengan hasil curian naik berang lalu menterbalikkan sebuah almari sebelum merampas sebuah beg pakaian.

“Salah seorang daripada mereka mengambil wang tunai RM230 dalam beg pakaian itu yang mengandungi pasport dan dokumen penting lain sebelum beredar,” katanya.

Katanya, selepas mereka beredar, rakannya berjaya melepaskan diri sebelum menghubungi majikan untuk memaklumkan kejadian itu.

“Selepas itu, majikan membawa saya ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka turut ke lokasi kejadian bagi menjejaki suspek.

“Mangsa yang cedera di mata dan muka menerima empat jahitan di pipi manakala rakannya tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati suspek meletakkan kenderaan tidak jauh dari lokasi kejadian dan dipercayai masuk melalui pintu belakang.

"Lima suspek termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Hotel bajet port lempias nafsu warga asing



AMRAN ALI
14 Mei 2013
pekerja warga asing
Sebahagian pekerja warga asing yang ditahan di Jabatan Imigresen negeri, Ayer Keroh, semalam.
Kamalludin
Kamalludin menunjukkan kondom yang ditemui dalam serbuan berkenaan sebagai bahan bukti di mahkamah.
AYER KEROH - Sebekas kondom sudah dipakai ditemui sementara 25 orang ditahan kebanyakannya warga asing dalam satu serbuan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri di sebuah hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah, petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat orang awam yang mendakwa lokasi berkenaan dijadikan tempat melampiaskan nafsu pekerja asing terutama pada hujung minggu.

Katanya, sepasukan 15 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen diketuai Ketua Operasi negeri, S Shantee telah bertindak menyerbu premis terbabit bermula jam 3 hingga 4 petang.

“Ketika serbuan, premis tersebut dipenuhi pekerja asing dari pelbagai negara yang sedang menunggu giliran untuk dilayan sementara beberapa warga asing yang dipercayai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang melayan pelanggan masing-masing di beberapa bilik hotel.

“Ketika operasi, pegawai kami turut dirempuh sehingga hampir terjatuh kerana mereka bertempias lari bagi mengelak diri dari ditahan.

“Bagaimanapun, kami berjaya menahan sembilan dipercayai GRO dan 14 pelanggan membabitkan kesemuanya warga asing serta dua warga tempatan yang disyaki sebagai pekerja hotel terbabit atas kesalahan pelbagai akta imigresen,” katanya dalam satu sidang media di Jabatan Imigresen di sini, semalam.

Kamalludin turut mendakwa, premis berkenaan menjalankan kegiatan urutan badan sambil menawarkan perkhidmatan ‘extra’ kepada pelanggan yang terdiri dari pekerja asing di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melakukan serbuan di dua lokasi berlainan di bandar Jasin membabitkan beberapa rumah kedai dan rumah kongsi.

“Secara keseluruhan operasi, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 70 pekerja warga asing pelbagai negara dan telah menahan 60 orang termasuk 10 wanita yang berumur antara 18 hingga 43 tahun.

“Selain dari Indonesia, mereka yang ditahan termasuk dari Bangladesh, Pakistan, India, Myanmar, Sri Lanka dan Nepal,” katanya.

Kamalludin berkata, sebahagian yang ditahan menyalahi Peraturan 39b, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit.

“Dua warga tempatan yang ditahan di bawah Seksyen 56(10(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/1963 kerana memberi perlindungan tanpa kebenaran dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara, denda dan juga sebatan,” katanya.

Kereta mewah dicuri, diseludup ke Sabah




14 Mei 2013
KOTA KINABALU - Sejumlah 41 kereta mewah bernilai RM4juta yang dicuri dari Brunei dan diseludup ke Sabah pada 2011 akan dihantar semula ke negara jiran itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata, semua kereta  yang sudah dijual di Sabah itu akan dihantar ke Brunei selepas siasatan kes berkenaan selesai dan pemilik kenderaan dikenal pasti.
       
"Mereka telah membuat tuntutan kepada pihak insurans di Brunei dan pihak polis dari sana telah datang ke sini untuk menerima kereta berkenaan bagi pihak mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kepayan, hari ini.
       
Kok Liang berkata, selepas menerima maklumat dan permintaan polis Brunei, pihaknya melancarkan operasi selama 3 bulan sejak Oktober 2011 dan menahan enam rakyat tempatan dan seorang warga Brunei.
       
Beliau berkata penahanan itu membawa kepada penemuan kereta curi berkenaan dan kes itu mengambil tempoh masa yang lama untuk diselesaikan kerana memerlukan penelitian.
       
"Mereka (suspek) juga didapati telah berjaya memalsukan cukai jalan kereta berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli di negeri ini," katanya.
       
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Brunei, Senior Asisten Kominsioner, Pengiran Wahab Pengiran Omar berkata, semua kereta akan dibawa dan dikumpul di Tempurung (Brunei) sebelum diserah kepada pihak yang terbabit.
       
Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah mendapat agihan 16 jentera FRT, lima kenderaan utiliti dan dua jentera Pasukan Bomba Sukarela(PBS) dari ibu pejabat Putrajaya yang bernilai RM1.7 juta.
       
Pengarahnya, Tuan Nordin Pauzi berkata, jentera itu merupakan antara yang terbaik di dunia kerana menjadi pilihan negara maju dan negara yang lebih terkedepan berkaitan kebombaan.

"Ia menggunakan teknologi automotif dan casis dari Scania, yang berasal dari negara Sweden, keupayaan enjin 9000cc dengan 310 kuasa kuda, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lengkap seperti brek angin sepenuhnya dengan system ABS, sistem transmisi dwifungsi iaitu gear boleh dikendali sama ada secara automatik ataupun secara manual," katanya.- Bernama

Sebat, penjara bantu murtad



Arab Saudi hukum dua lelaki tolong wanita keluar agama, lari ke luar negara

Riyadh: Sebuah mahkamah Arab Saudi menghukum rotan dan penjara ke atas dua lelaki kerana membantu seorang wanita keluar agama.

Hukuman juga mengambil kira perbuatan mereka membantu wanita berkenaan lari ke luar negara, lapor akhbar Saudi Gazette di sini semalam.
Seorang daripada lelaki terbabit adalah warga Lubnan yang dihukum penjara enam tahun dan 300 kali sebatan kerana membantu wanita berkenaan murtad.

Seorang lagi adalah lelaki tempatan yang dipenjara dua tahun dan 200 kali sebatan kerana membantu wanita itu lari ke negara luar.

Cabar keputusan hakim

Dua lelaki itu sudah mencabar keputusan hakim selain mengemukakan rayuan, lapor akhbar bahasa Inggeris berkenaan.

Undang-undang Arab Saudi mengharamkan penganut agama Islam daripada keluar agama atau disebut murtad.
Turut diharamkan termasuk kegiatan berdakwah untuk agama lain. Hakim membuat keputusan berdasarkan undang-undang Syariah.

Keluarga buat aduan

Kes itu mula mendapat perhatian tahun lalu selepas keluarga wanita terbabit membuat aduan bahawa dia terpengaruh dengan dua lelaki itu yang juga rakannya dalam sebuah syarikat insurans.

Mereka percaya, dua lelaki terbabit membantunya keluar dari Arab Saudi menggunakan dokumen pengenalan palsu.

Wanita itu diberi suaka di Sweden tahun lalu. Namanya tidak disiarkan, kata akhbar itu lagi. - REUTERS

Perarakan berdarah cemar Hari Ibu

Perarakan berdarah cemar Hari IbuOrang ramai membantu seorang mangsa tembakan ketika perarakan Hari Ibu di New Orleans. 19 cedera di New Orleasn, tiga lelaki diburu disyaki lepas tembakan

Washington: Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk dua kanak-kanak cedera ditembak ketika perarakan Hari Ibu yang berlangsung di New Orleans kelmarin.

Menurut polis, mereka kini memburu tiga suspek yang dilihat melarikan diri selepas melepaskan tembakan dan seorang daripada mereka dikatakan berusia antara 18 dan 22 tahun.
Seramai 10 lelaki, tujuh wanita, seorang budak perempuan dan seorang budak lelaki masing-masing berusia 10 tahun terkena tembakan dalam kejadian pada 1.45 petang, ketika perarakan masuk di North Villere Street, kata jurucakap polis, Garry Flot.


Dua mangsa menjalani pembedahan, kata Flot. Kanak-kanak terbabit juga dilaporkan dalam keadaan baik tetapi tidak dapat dipastikan sama ada semua mangsa adalah peserta perarakan atau penonton.

Tiga suspek lepas tembakan

Pesuruhjaya polis, Ronal Serpas memberitahu pemberita: “Dua atau tiga orang mula melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan tidak diketahui mengapa,” kata Serpas sambil menambah semuanya berlaku dalam masa beberapa saat.

Serpas berkata, seorang saksi memaklumkan mendengar dua bunyi tembakan berbeza. Datuk bandar, Mitch Landrieu menyifatkan tembakan itu sebagai satu bentuk keganasan yang berlaku di New Orleans.

“Ia budaya ganas yang melanda bandaraya itu sejak sekian lama dalam tempoh yang lama,” kata Landrieu pada sidang media di luar Hospital Universiti, lokasi tiga mangsa dirawat.

Beberapa gambar selepas kejadian disiarkan akhbar Times-Picayune menunjukkan seorang lelaki tertiarap berlumuran darah dibantu dua orang awam.

Mangsa berlumuran darah

Gambar lain menunjukkan seorang lelaki berseluar pendek duduk di jalanan dengan betisnya berdarah dan ditutup dengan kain.

Pasukan kecemasan membawa 11 mangsa ke Hospital Awam LSU di New Orleasn, kata jurucakap hospital, Marvin McGraw.

Keganasan di New Orleans disifatkan berada di tahap melebihi purata kebangsaan mengikut kajian FBI. Satu kajian pendapat penduduk pada 2010 mengesahkan bahawa jenayah adalah kebimbangan utama mereka.

Pada Februari lalu, empat orang cedera dalam satu kejadian tembakan di luar kelab malam di French Quarter ketika orang ramai berhimpun untuk sambutan Mardi Gras. - REUTERS