Search This Blog

Monday, May 13, 2013

Nelayan kerugian RM70,000, rumah musnah dijilat api




13 Mei 2013
DUNGUN - Seorang nelayan kerugian kira-kira RM70,000 apabila rumahnya di Jalan Nibong Stesen di sini musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
     
Azmi Awang, 43, berkata sebuah kereta Perodua Kancil bernilai RM10,000 dan dokumen penting musnah selepas rumah pusaka milik ibunya itu dijilat api dalam kejadian tengah hari tadi.
     
"Kesemua buku persekolahan anak termasuk alat pengesan ikan (GPS) milik saya yang bernilai RM5,000 turut gagal diselamatkan dan apa boleh buat itu sudah ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
     
Ketika kejadian mangsa berada di Jeti Kuala Dungun memuat pukat ke dalam botnya manakala isterinya Normala Abdillah, 38, seorang jururawat mengambil anak mereka di sekolah berhampiran.
     
Menurut Azmi dia bergegas pulang selepas dimaklumkan abangnya yang tinggal berhampiran rumahnya dan sebaik tiba dia mendapati api sedang marak.
   
Katanya buat masa ini dia bersama isteri dan tiga anak berusia 7, 12 dan 16 tahun menumpang di rumah abangnya.
     
Sementara itu Ketua Balai Bomba Dungun Norazizi Che Noh berkata pihaknya menerima panggilan pukul 12.19 tengah hari dan menghantar lapan anggota bersama dua jentera ke tempat kejadian. Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan. - Bernama

Pekerja pendawaian elektrik maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
AMPANG - Seorang pekerja pendawaian elektrik maut apabila motosikal yang dinaikinya terbabas sebelum  merempuh sebuah teksi di Jalan Ampang, berhampiran Balai Polis Trafik Ampang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Wan Mohamad Fahmi Wan Hamad, 25, yang berasal dari Ayer Lanas, Jeli, Kelantan menunggang motosikal Yamaha 125Z dari Lembah Jaya, dipercayai hilang kawalan seterusnya masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah teksi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa tercampak ke atas jalan berikutan daripada rempuhan berkenaan.

Katanya, mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suami isteri maut kemalangan



KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
13 Mei 2013
Suami isteri maut kemalangan
Kancil dinaiki mangsa remuk dalam kemalangan.
SEREMBAN - Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Sikamat - Seremban, berdekatan Bandar Warisan Puteri, di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, mangsa, Woon Ah Long, 48, sedang memandu kereta jenis Perodua Kancil sambil ditemani isterinya, Yan Yoke Leng, 46.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Seremban dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Ampangan.

“Bagaimanapun, ketika cuba membelok ke taman berkenaan, mereka telah dirempuh dengan kuat oleh sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux yang tiba dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, impak pelanggaran di bahagian kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh bomba beberapa minit kemudian.

“Akibat kemalangan tersebut, isteri pemandu Kancil itu mati di tempat kejadian, manakala suaminya pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS),” katanya.

Jurucakap polis bagaimanapun berkata, pemandu Hilux terbabit yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali kenderaan dinaiki mengalami kerosakan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penyamun tembak inspektor

Penyamun  tembak inspektor
Inspektor Zuwairi yang cedera di tangan akibat terkena tembakan selesai menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. Alor Setar: Seorang inspektor polis cedera pada tangan kanan ditembak penjenayah dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di pekan Kuala Sungai, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa, Inspektor Zuwairi Ramli, 30, dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan bertugas di Johor dikatakan cuba menahan dua penjenayah sebaik menyedari kedua-dua mereka sedang melakukan samun di premis itu.
Berada di luar tugas


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata mangsa yang ketika itu berada di luar tugas terserempak insiden mencurigakan di premis berkenaan sebelum menghampiri premis untuk meninjau keadaan.

Katanya, selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, seorang daripada suspek terus mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan yang kemudian mengenai tangan kanan mangsa.

“Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama barangan kemas yang disamun dianggarkan bernilai RM18,000 menggunakan sebuah motosikal sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Wira kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Mereka kemudian melarikan diri bersama Proton Wira berkenaan yang kemudian ditemui semula selepas ditinggalkan suspek di Taman Anggerik berhampiran Pasaraya Billion, dekat sini,” katanya yang mengesahkan pegawai berkenaan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Sepucuk pistol ditemui

Ahmad berkata, selain kereta yang dilarikan suspek, polis turut menemui sepucuk pistol automatik jenis Styer bersama satu kelopak mengandungi sebiji peluru 9 milimeter di dalam tandas di Hentian sebelah tol Alor Setar Utara di Jalan Langgar, di sini.

Katanya, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang juga pekerja di plaza tol berkenaan kira-kira jam 6.25 petang mendakwa menemui sebuah beg berisi pistol di dalam tandas di berkenaan.

"Ketika ini kita masih mengenal pasti sama ada pistol terbabit ada kaitan dengan kejadian samun di Kuala Sungai,” katanya yang mengesahkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971.

Sementara itu, pemilik kedai emas terbabit, Thoo Ah Fatt, 51, ketika ditemui berkata ketika kejadian dia ternampak seorang lelaki meluru sambil memegang tangannya yang berlumuran darah selepas terkena tembakan dipercayai dilepaskan penyamun.

Pemandu bas nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
Pemandu bas nyaris maut
Bas dipandu Perakash terhumban ke dalam longkang selepas terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Pemandu bas nyaris maut
Gambar kecil: Ka Hoo.
CHUAH - Seorang pemandu bas sebuah syarikat pelancongan nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terhumban ke dalam longkang di Kampung Chuah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi, mangsa, V Perakash memandu berseorangan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Sawah, Chuah selepas habis bertugas.

Ketika kejadian tiada saksi kerana lokasi yang agak jauh dari kediaman penduduk dan pemandu hanya dibantu 10 minit kemudian oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum menghubungi ambulans.

Penyelia bas syarikat pelancong itu, Tan Ka Hoo, 53, berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi oleh Perakash pada jam 5 pagi tadi (semalam).

“Mujur ketika kejadian, bas ini tidak membawa penumpang dan Perakash hanya cedera di kaki.

“Sejak hampir dua tahun Perakash bekerja sebagai pemandu di syarikat ini, dia belum pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun kami akan menyiasat punca kejadian ini sama ada kecuaian pemandu atau pun masalah teknikal bas," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan membuat laporan polis terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Perakash dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Dua pencuri tak sempat lolos diri



IZWAN ROZLIN
13 Mei 2013
Dua pencuri tak sempat lolos diri
Seorang daripada dua suspek yang berjaya ditahan dengan bantuan jiran mangsa.
KAJANG - Tindakan nekad dua penjenayah melarikan barangan berharga dari sebuah rumah yang dipecah masuk ketika penghuninya keluar makan tidak berhasil apabila mereka dicekup ketika cuba meloloskan diri dalam kejadian di Bandar Baru Bangi, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kegiatan suspek disedari sejurus pemilik bersama keluarganya tiba ke rumah kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pensyarah berusia 60 tahun, terkejut apabila terdengar sesuatu di belakang rumah sebelum melakukan pemeriksaan dan terserempak dua lelaki tidak dikenali sedang memanjat pagar belakang kediamannya dipercayai cuba melarikan diri.

“Jeritan mangsa didengari beberapa jiran yang kemudiannya bertindak pantas mengejar suspek yang cuba meloloskan melalui lorong belakang.

"Dua suspek itu berjaya dipintas dan terjadi pergelutan sebelum berjaya ditahan untuk diserahkan kepada polis," katanya.

Beliau berkata, barangan seperti jam tangan dan komputer riba milik mangsa yang dilarikan ditemui semula dalam longkang berhampiran.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati suspek warga Myanmar berusia 39 dan 29 tahun terbabit mengumpil pintu belakang untuk masuk ke rumah mangsa.

“Suspek hanya sempat menggeledah beberapa bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu berdasarkan kepada keadaan barangan yang berselerak.

"Suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah," katanya.

Gajah ceroboh kebun penduduk



MASTURAH SURADI
13 Mei 2013
Gajah ceroboh kebun penduduk
Amin menunjukkan kesan kerosakan yang dilakukan gajah liar di kebunnya.
KOTA TINGGI - Seorang pemilik kebun  sawit di Kampung Lukut di sini, mendakwa, terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 selepas kebunnya diceroboh dua  gajah liar dalam kejadian awal pagi  kelmarin.

Amin Sidek,43, berkata, mujur ada penduduk yang menyedari gajah berkenaan seterusnya bertindak menghalau haiwan liar itu daripada terus merosakkan tanaman.
Bagaimanapun, katanya, sebanyak  tujuh pokok sawitnya rosak dan dimakan haiwan tersebut.

“Kira-kira jam 5.30 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada penduduk  kampung yang kebetulan melihat haiwan tersebut masuk ke kebun saya.

“Menurut penduduk, mereka melihat gajah berkenaan melintas jalan raya sebelum menuju ke kebun saya. Gajah tersebut juga susah untuk beredar pada mulanya seolah-olah tidak takut langsung dengan manusia, namun setelah dihalau berulang kali barulah ia pergi.

“Saya juga amat yakin kerugian yang ditanggung pasti akan menjadi lebih besar jika tidak ada penduduk perasan  kehadiran haiwan liar tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Amin turut menzahirkan rasa bimbang sekiranya gajah berkenaan kembali ke  kebunnya dan merosakkan tanaman sawit kerana kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku.

Bapa enam cahaya mata itu berkata, kebun seluas hampir 1.2 hektar berkenaan sudah diusahakannya sejak 2010.

“Saya sekeluarga baru sahaja dapat merasa hasilnya sebanyak lapan kali sejak awal tahun lalu. Kita risau jika gajah tersebut kembali dan bertindak merosakkan lebih banyak pokok.

“Tambahan pula, kebun pusaka ini saya usahakan dengan duit modal sendiri  bersama isteri dan anak.

“Dua bulan lalu, ada juga seekor gajah ceroboh kebun saya, namun hanya sebatang pokok sahaja yang dirosakkan.

Jika keadaan ini berterusan macam mana kami hendak merasa hasil tanaman setelah bertahun berpenat lelah menanam pokok  sawit tersebut,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dengan kehadiran haiwan liar itu.

Menurutnya, jika sebelum ini gajah tersebut hanya sampai di  kawasan bukit, namun kini ia semakin  berani menghampiri kawasan penempatan penduduk,” katanya.

Amin memohon agar pihak yang berkenaan dapat  menyelesaikan masalah dihadapi itu dengan menangkap haiwan tersebut supaya ia  tidak terus berkeliaran.

Ibu bayi perempuan dicari



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
Ibu bayi perempuan dicari
Mohd Zaflen dan Asmah bersama Nur Nabiela Syahrinie.
MUAR - Sepasang suami isteri dari Jalan Lama, Parit Tiram di sini, meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan wanita dipercayai ibu kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di rumahnya, kira-kira 20 bulan lalu.

Asmah Aliasak, 30, berkata, wanita tersebut menghilangkan diri sebaik menyerahkan seorang bayi perempuan yang baru lahir kepada ibu mertuanya.

Menurutnya, sejak itu, dia bersama suami, Mohd Zaflen Mokhtar, 35, memelihara bayi berkenaan yang diberi nama Nor Nabiela Syahrinie.

“Kami ingin menjadikannya anak angkat tetapi perlu mendapatkan dokumen kelahiran Nor Nabiela Syahrinie supaya dia dapat dijaga seperti kanak-kanak lain mengikut undang-undang,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mengenali waris bayi terbabit dapat menghubungi Asmah di talian 014-2761487 atau 014-2603249.

10 rumah dilanda banjir kilat



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
13 Mei 2013
10 rumah dilanda banjir kilat
Zuraimi mengangkat peralatan bot bagi mengelak dihanyutkan banjir kilat.
ALOR PONGSU - Musim tengkujuh ditambah keadaan air laut pasang besar menyebabkan lebih sepuluh rumah dilanda banjir kilat di Parit Simpang Empat dan Parit Simpang Lima di sini sejak tiga hari lalu.

Sepuluh rumah di dua kampung itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan air naik setinggi setengah meter dan memasuki beberapa rumah yang terletak pada paras rendah.

Mangsa banjir, Jamaluddin Hassan,55, berkata, penduduk terpaksa mengharungi banjir kilat setiap kali hujan dan situasi itu menjadi kebiasaan apabila sebanyak tiga kejadian serupa terjadi pada tahun lalu sahaja.
“Masalah itu berpunca daripada saliran pintu air mengalirkan air buang sawah padi di kawasan kampung kami agak sempit

“Keadaan itu ditambah pula dengan keadaan pengaliran air keluar ke Sungai Kerian yang sangat perlahan disebabkan pembinaan ban tebatan banjir di belakang kampung kami masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Keadaan menjadi semakin parah apabila air yang turun dari Paya Kelubi, Gunung Semanggol tidak mampu dialirkan ke Sungai Kerian dengan lancar disebabkan masalah sistem perparitan yang akhirnya melimpah ke rumah kami,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Seorang petani, Zuraimi Abdul Manaf, 41, berkata, hujan lebat sejak tiga hari lalu mula mengakibatkan bahagian ruang tamu rumahnya dinaiki air sehingga dua kaki, tetapi keadaan masih terkawal sehinggalah keadaan air kini semakin surut.

“Saya terkejut apabila lihat tilam dan barangan rumah terapung di bahagian bawah rumah kami lepas bangun tidur jam 5 pagi.

“Mujurlah kenderaan, peralatan pertanian dan enjin bot tidak rosak. Jika tidak, tidak tahulah macam mana saya hendak baikinya,” katanya.

Zuraimi turut menjelaskan pihaknya bimbang keadaan banjir kilat itu menjadi semakin serius sekiranya tiada mekanisme penyelesaian segera dicapai.
“Bagaimanapun, kami sudah diberi jaminan oleh Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat bahawa keadaan akan menjadi lebih baik setelah ban tebatan banjir di belakang kampung kami siap dibina.

“Saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik pada masa hadapan demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Sham ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menegaskan lawatan ke lokasi kejadian sudah dilakukan untuk mengenal pasti punca banjir kilat.
Menurutnya, kekerapan banjir kilat yang berlaku disebabkan pembinaan ban tebatan banjir masih belum sempurna dan percaya ia selesai setelah ban itu siap dibina kelak.
“Saya minta penduduk bersabar kerana projek pembinaan ban tebatan banjir itu sedang dilaksanakan dan saya yakin segala permasalahan penduduk selesai setelah ia siap,” katanya.

Tergamam ditumbuk biras



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamam apabila secara tiba-tiba diserang birasnya sendiri sehingga cedera di muka, dalam kejadian di rumah mertuanya di Kampung Dalam, Kedai Buluh, di sini, pada 3 Mei lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 41 tahun pergi ke rumah mertuanya mencari seorang birasnya dikenali sebagai Syafiq sebelum bertindak menumbuk muka dan terus beredar dari rumah berkenaan.

“Mangsa dipercayai bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati birasnya itu sebelum ini berkaitan masalah keluarga.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa telah menyebabkan seorang lagi birasnya dikenali sebagai Badrul Hisyam iaitu suspek yang melihat kejadian itu masuk campur sebelum melepaskan tumbukan di bahagian muka mangsa,” katanya, semalam.

Sumber berkata, ekoran tumbukan yang kuat itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dipukul bertubi-tubi, namun mangsa tidak tahu siapa lagi yang memukulnya selain suspek.

Jelas sumber, mangsa yang separuh sedar gagal mengenal pasti siapa lagi yang membelasahnya dan hanya menyedari dirinya cedera selepas mendapati mukanya berlumuran darah.

“Mangsa hanya mendapatkan rawatan susulan empat hari selepas kejadian iaitu pada 7 Mei lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Susulan kejadian, mangsa mengalami patah tulang hidung dan patah tulang mata.

"Tidak berpuas hati dengan tindakan birasnya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Chendering keesokan harinya iaitu pada 8 Mei lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Wanita kurang siuman terselamat dalam nahas


WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
Wanita kurang siuman terselamat dalam nahas
KOTA BHARU - Pantang maut sebelum ajal. Apabila seorang wanita kurang siuman terselamat dalam kemalangan selepas dirempuh oleh sebuah motosikal ketika menyeberangi jalan Salor-Pasir Mas di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, penunggang motosikal, Azman Abdullah, 33, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, Azman yang menunggang bersendirian dari arah lampu isyarat Perodua Wakaf Che Yeh menghala ke Pasir Mas terlanggar pejalan kaki terbabit semasa wanita itu dipercayai melintas.

“Pejalan kaki yang merupakan wanita kurang siuman itu hanya mengalami kecederaan di kaki kirinya.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengenal pasti identitinya terbabit memandangkan  wanita itu tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya.

Azham berkata, wanita terbabit kini menerima rawatan susulan di di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Kita mengharapkan supaya jika dia mempunyai ahli keluarga boleh terus menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bahagian trafik di talian 09-7752200 atau  pegawai penyiasat Inspektor Abd Rahman di talian 013-8800863.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ditangkap ketika mencuri seguni pisang



13 Mei 2013
Kantoi ketika curi pisang
Seorang pemuda ditangkap ketika mencuri seguni pisang di Kampung Pohon Gelugor, semalam.
CHETOK – Gara-gara mahu mendapatkan wang lebih, seorang pemuda ditangkap ketika mencuri seguni pisang di Kampung Pohon Gelugor, semalam.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 43, berkata, dia bersama beberapa pemuda lain, terkejut apabila dipanggil oleh Pok Mat untuk menyiasat kehadiran seorang lelaki di dalam kebunnya.
“Mereka ternampak lelaki berkenaan sedang memikul guni manakala seorang lagi rakan subahatnya, menunggu di motosikal.

“Kami berjaya menangkap suspek namun rakannya berjaya melarikan diri. Telahan kami benar apabila mendapati guni berkenaan berisi pisang,” katanya, semalam.

Abdullah berkata, ini bukan kejadian pertama berlaku di kawasan ini, sebaliknya semua petani sudah menjadi mangsa, apabila hasil pertanian seperti pisang dan getah sering hilang.

Katanya, penduduk mengesyaki penjenayah mencuri di waktu subuh atau awal pagi, bagi mengelak daripada ditangkap.

Menurutnya, suspek yang juga penduduk tempatan, ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Lagi serangan di selatan Thailand




13 Mei 2013
Lagi serangan di selatan Thailand
Kumpulan pasukan khas melakukan serang hendap di sebuah rumah di Rueso, Narathiwat
NARATHIWAT - Seorang militan maut dalam pertempuran dengan sekumpulan pasukan khas di daerah Rueso, selatan Thailand, semalam.

Pasukan yang diketuai Sathirapong Arthan itu, melakukan serbuan di sebuah rumah dipercayai menjadi lokasi persembunyian kumpulan militan.

“Kami mendapat maklumat terdapat tujuh militan menjadikan rumah itu sebagai markas persembunyian. Ketika kehadiran kami dikesan, kumpulan terbabit melepaskan tembakan sebelum seorang daripada mereka tewas manakala bakinya melarikan diri,” katanya dipetik AP
Menurutnya, mangsa maut dikenali sebagai Yamadee Hayibaka,45, berasal dari Ban Pulamong, Yala. Yamadee merupakan antara individu paling dikehendaki selepas bersalah melanggar perintah darurat dan beliau pernah ditahan Februari 2010 namun kemudiannya dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Rios Montt didapati bersalah




12 Mei 2013
GUATEMALA CITY - Bekas pemimpin diktator Guatemala, Efrain Rios Montt dijatuhi hukuman penjara 80 tahun, selepas didapati bersalah melakukan penghapusan bangsa dan jenayah kemanusiaan ketika perang saudara selama 36 tahun di negara itu.

Dipetik Reuters, Hakim Jazmin Barrios yang mengumumkan keputusan itu berkata, tindakan bekas pemimpin tentera berusia 86 tahun itu layak diklasifikasikan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Rios Montt dikenakan hukuman 50 tahun penjara atas kesalahan melakukan penghapusan bangsa dan tambahan 30 tahun kerana melakukan jenayah kemanusiaan,” katanya.

Sejurus pengumuman itu, beratus orang yang memenuhi kamar mahkamah bertepuk tangan dan melaungkan ‘Keadilan’.

Ini adalah kes pertama bekas ketua negara di sebuah negara didapati bersalah melakukan penghapusan bangsa di negaranya sendiri.

Bagaimanapun, Rios Montt menafikan tuduhan itu dan dijangka membuat rayuan terhadap tuduhan terbabit.

Budak lelaki 6 tahun selamatkan tiga adiknya dalam kebakaran




12 Mei 2013
KOTA BAHARU - Tindakan pantas Afiq Hadi Mohd Hakimi yang hanya berumur enam tahun, berjaya menyelamatkan nyawa tiga adiknya apabila rumah papan yang didiami mereka terbakar di Kampong Tanjong Mas di sini, hari ini.
   
Dalam kebakaran kira-kira 1.30 tengah hari itu yang memusnahkan dua buah rumah, Afiq Hadi telah mendukung keluar ketiga-tiga adiknya iaitu, Alif Hazim, 5, Aufa Imtiyaz, 3, dan Aqil Imtiyaz, setahun,
   
Bagaimanapun Alif Hazim cedera ringan apabila bahu kanannya melecur semasa didukung keluar oleh abangnya.
   
Ibu kanak-kanak berkenaan, Wan Syarifah Shahrizat Wan Idris, 37, berkata ketika kejadian dia meninggalkan keempat-empat anaknya di rumah untuk mengambil anak sulungnya, Alia Insyirah, 8, di Sekolah Kebangsaan Chempaka dengan motosikal.
   
"Belum pun sampai ke sekolah, saya nampak kepulan asap hitam yang tinggi, kira-kira 100 meter dari rumah dan terus berpatah balik kerana bimbangkan keadaan anak-anak yang ditinggalkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau bersyukur kerana kesemua anak-anaknya selamat, walaupun rumah dan kereta yang diparkir di tepi rumah tidak dapat diselamatkan.
   
Pemilik sebuah lagi rumah yang turut musnah dalam kebakaran itu, Nur Aini Awang Mat, 50, berkata dia menyedari mengenai kebakaran tersebut apabila mendengar jeritan daripada jiran-jiran lalu membuka jendela untuk melihat keadaan yang berlaku dan mendapati  api sedang marak di rumah jiran sebelah.
   
Beliau, yang keluar dari rumah sehelai sepinggang, berkata rumahnya  musnah dengan sekelip mata sahaja.
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Mohd Sabri Ismail berkata pihakbomba menerima panggilan pada kira-kira 1.57 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu dan Pengkalan Chepa.
   
"Pihak bomba tiba lebih kurang lima minit kemudian dengan kekuatan 21 anggota dan api telahpun marak dengan cepat, namun pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut," katanya.
   
Beliau berkata ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, hampir 90 peratus rumah terbabit hangus dijilat api dan menurutnya punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat. - Bernama

Dicekup ketika tidur lena



MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
13 Mei 2013
Dicekup ketika tidur lena
Sebahagian penagih yang ditahan di Balai Polis Bandar Tun Razak dibawa ke IPD Rompin selepas didapati positif dadah.
ROMPIN – Dua wanita dan seorang lelaki dicekup sepasukan polis narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin yang menjalankan ‘Ops Tapis Bersepadu’ di sebuah rumah di Felda Keratong 7, Chanis, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 1 pagi itu diketuai Inspektor Hairuddin Hassan bersama polis bantuan Felda dan Rela Keratong.

Ketika serbuan itu katanya, kedua-dua wanita tersebut sedang lena tidur di dalam sebuah bilik, manakala lelaki yang dipercayai adik kepada seorang daripada wanita terbabit pula tidur di ruang tamu.

“Polis terpaksa mengetuk pintu beberapa kali sebelum dibuka lelaki berkenaan. Setelah masuk ke dalam rumah, polis menuju ke bilik dan mengejutkan kedua-dua wanita terbabit,” katanya.

Johari berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Bandar Tun Razak dan mendapati ketiga-tiganya positif dadah jenis morfin serta methamphetamine.

Dalam serbuan berasingan, Johari berkata, seorang lelaki warga asing dan seorang lelaki Orang Asli ditahan di Ladang Kelapa Sawit Felda Keratong 2 selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, lelaki warga asing itu dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, malah mereka juga didapati positif dadah jenis morfin.

Selain itu, beliau berkata, seramai lapan lelaki berusia antara 16 hingga 30 tahun ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan dijalankan di Felda Chanis.

Katanya, hasil ujian air kencing di Balai Polis Bandar Tun Razak mendapati, mereka positif dadah dan dibawa ke IPD Rompin untuk ditahan reman.

Bangladesh terus dilanda bencana industri




13 Mei 2013
Bangladesh terus dilanda bencana industri
Kilang Tung Hai yang terbakar minggu lalu dipercayai angkara khianat.
Bangladesh terus dilanda bencana industri
Kebanyakan ahli keluarga mangsa berada di lokasi kejadian berasa hiba setiap kali mangsa dikeluarkan dari sisa runtuhan.
RESHMA BEGUM
RESHMA BEGUM
BANGLADESH terus dilanda bencana industri lewat Rabu lalu, selepas lapan orang maut dalam insiden kebakaran di kilang pakaian di Dhaka dalam tempoh dua minggu.
Mangsa terkorban dalam kejadian itu termasuk pengarah urusan dan pemilik Kilang Tung Hai tersebut.
Pihak berkuasa memberitahu, punca kebakaran masih belum diketahui.

Siasatan awal mendapati, insiden berlaku di aras tiga bangunan setinggi 11 tingkat itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan penutupan 18 kilang pakaian di negara tersebut, beberapa hari selepas mereka berjanji untuk mempertimbangkan tahap keselamatan yang lebih tinggi susulan daripada perbincangan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kesemua premis tersebut hanya dibenarkan buka semula selepas mereka membuat penambahbaikan struktur dan keselamatan,” kata pegawai di Kementerian Buruh.

Kebakaran adalah masalah utama di 4,500 kilang tekstil di Bangladesh berikutan kebanyakan syarikat beroperasi di bangunan usang dengan sistem pendawaian yang tidak mengikut piawaian.

Menurut kumpulan Clean Clothes Campaign berpusat di Amsterdam, kira-kira 700 orang terbunuh dalam kebakaran kilang di Bangladesh sejak 2006.

Peruncit Barat hanya tahu mengkritik premis terlibat kerana gagal memastikan keselamatan pekerja tetapi jenama utama terus membuat pesanan dan tidak mengendahkan masalah yang dihadapi buruh di Bangladesh.

Terpaksa potong tangan
Usaha seorang pekerja kilang berhampiran Plaza Rana, Didar Hussain menyelamatkan 34 mangsa di lokasi kejadian termasuk, Aanna Akhtar.
Aanna menganggap dirinya bertuah walaupun terpaksa kehilangan pergelangan tangannya.

“Saya mula bekerja di tingkat enam di bahagian pembuatan poket seluar kira-kira tiga minggu lalu.

Kebanyakan rakan sekerja berjaya menyelamatkan diri. Saya hanya mampu menangis sebelum dibawa keluar pada hari kedua selepas insiden itu,” katanya.

Hussain yang mendengar tangisan gadis berumur awal 20-an itu cuba menenangkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa memotong tangannya yang tersepit di bawah sisa runtuhan. Ia dilakukan atas persetujuan gadis tersebut,” jelasnya.

Difahamkan, usaha itu mengambil masa selama lima jam dan mangsa kini dirawat unit rawatan rapi dan dilaporkan semakin sembuh.
Terperangkap selama 17 hari

Seorang wanita ditemui masih hidup di bawah runtuhan selepas 17 hari insiden runtuhan tersebut.
Reshma Begum memberitahu, usahanya mengetuk batang paip berjaya menarik perhatian pasukan penyelamat.

“Jeritan saya tidak didengari sesiapa. Saya hampir berputus asa,” katanya yang bekerja di tingkat dua Plaza Rana.

Reshma menyatakan dia bergantung hidup dengan memakan makanan kering selama 15 hari selepas terperangkap di bawah sisa runtuhan berhampiran surau.

Mejar Jeneral, Chowdhury Hasan Suhrawardy memaklumkan wanita itu juga terpaksa memotong rambutnya yang tersangkut dengan objek tajam.

Usaha menyelamat Reshma turut disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Dua lelaki maut, dua lagi parah ditembak di Bukit Tambun




13 Mei 2013
tembak
Polis memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat lelaki yang ditembak berhampiran lampu isyarat Bukit Tambun malam tadi. - Foto Bernama
BATU KAWAN - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, di sini malam tadi.
  
Kedua-dua lelaki itu mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dan hasil siasatan awal polis mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah.
  
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata keempat-empat lelaki itu ditembak selepas pulang daripada majlis perkahwinan saudara mereka di sebuah dewan kira-kira 150 meter dari tempat kejadian.
  
"Mereka yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux datang dari Melaka. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 10.30 malam, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan mereka dan melepaskan beberapa das tembakan dari arah kiri ke kanan," katanya.
  
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, di sini awal pagi ini, Abdul Rahim berkata mereka yang ditembak itu berusia antara 28 dan 60 tahun.

"Dua lelaki yang mati itu berusia 28 dan 40 tahun manakala dua yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya.
  
Abdul Rahim berkata polis menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian dan percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik.
  
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan perniagaan.
  
"Saya meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Wang untuk bayar ambulans Azizan dicuri



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
GEORGETOWN - Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kehilangan wang tunai RM3,000 termasuk sebuah telefon bimbit, Rabu lalu, ketika sibuk menguruskan Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi berkata, wang itu dikeluarkan bagi membuat pembayaran perkhidmatan ambulans untuk membawa Azizan ke klinik pakar di Bukit Minyak.

“Beg saya dicuri ketika bersolat Zohor di surau hospital, barangan lain yang hilang termasuk iPad, pendrive, charger, buku cek, dan barang peribadi. Namun bersyukur kerana ada pihak memulangkan kembali beg itu, kecuali wang dan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, ketika selesai solat Zohor,  beg itu disandarkan di tiang belakang saf kerana mahu menunaikan solat jamak dan qasar.

“Sebaik selesai solat, saya terkejut beg sudah tiada. Saya memaklumkan kepada rakan, Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya,” katanya yang turut mencari beg itu hingga ke dalam tong sampah.

Muhammad Sanusi berkata, kehilangan itu menyebabkan beliau tidak dapat mengemas kini status kesihatan Azizan sehingga keesokannya, menyebabkan mengambil keputusan ke pejabat Maxis untuk mengambil kad sim baru.

“Saya turut ulas kehilangan itu dalam Facebook dan tak sangka, doa saya dan rakan-rakan termakbul apabila beg itu dipulangkan oleh seorang wanita di Balai Polis Lebuh Keramat,” katanya.

Menurutnya, difahamkan, beg itu dicuri seorang pemuda penagih dadah, yang dipelihara ibu tirinya, namun Muhammad Sanusi tidak berhasrat membuat laporan polis kerana beg sudah dikembalikan.

9 tukang urut rakyat asing ditahan




13 Mei 2013
MELAKA - Seramai 58 rakyat asing termasuk sembilan tukang urut ditahan Jabatan Imigresen Melaka dalam operasi penguatkuasaan di dua daerah di negeri ini.
 
Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan pertama pada 3 petang semalam, sembilan wanita tukang urut rakyat Indonesia ditahan bersama 14 lelaki pelbagai kewarganegaraan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Munshi Abdullah, Melaka Tengah, di sini.
 
"Siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai turut menjalankan kegiatan pelacuran yang menyasarkan pelanggan warga asing dengan bayaran serendah RM40," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata dalam serbuan itu, pemilik premis yang merupakan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 37 dan 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
 
Kamalludin berkata, dalam satu lagi serbuan pada 1.30 pagi tadi, pihaknya menahan 35 rakyat asing di sebuah rumah kongsi dan rumah kedai di Bandar Jasin Bestari, Jasin.
 
Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 43 tahun termasuk dari Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Bangladesh itu ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan selain masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta tamat tempoh, katanya. - Bernama

Rumah jiran meletup



Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: “Saya pada mulanya terbau asap dan ingatkan ada orang membakar sampah di bawah pangsapuri, namun berasa ada sesuatu tidak kena selepas itu apabila terdengar bunyi gas bocor dari rumah sebelah,” kata Nurfatin Ahmad, 22, seorang daripada mangsa kebakaran di Pangsapuri Sri Melaka, Taman Tenaga, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang ketika itu bersama rakannya yang juga anak pemilik rumah keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum terkejut apabila terdengar letupan dari dapur rumah jiran mereka.


“Malah, seorang wanita warga emas bersama anaknya yang tinggal dalam rumah itu turut keluar dari rumah mereka yang mula terbakar.

“Kami yang panik berlari ke bawah sambil menjerit meminta pertolongan dan terkejut apabila melihat api mula marak serta merebak ke rumah rakan saya dan kediaman berhampiran,” katanya.


Nurfatin berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah.


“Buat sementara waktu ini kami tinggal di dewan pangsapuri ini kerana rumah kami musnah teruk dan tidak boleh diduduki,” katanya.


NURFATIN (kanan) mencari barang yang masih boleh digunakan dalam rumahnya yang terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, empat unit pangsapuri empat tingkat itu musnah namun tiada kemalangan jiwa.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Mohd Ghazali Johari berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.07 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya tiba di tempat kejadian pada jam 5.14 petang dengan kekuatan lima jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Pudu dan tiga jentera daripada Jalan Hang Tuah.


“Kami berjaya mengawal api daripada terus merebak 10 minit kemudian dan api dapat dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.


“Kami juga difahamkan, seorang pemilik rumah iaitu wanita warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kesesakan nafas selepas kejadian itu,” katanya selepas tamat operasi memadamkan api kebakaran, semalam.


Mohd Ghazali berkata, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan

Pandu lawan arus bawa padah



REMBAU: Tindakan 'gila' seorang lelaki, Lee Yoke Seng, 44, yang memandu melawan arus membawa padah apabila maut selepas kereta Proton Saga FLX yang dipandunya merempuh kenderaan lain dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 228 (arah selatan) Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, Lee yang berasal dari Puchong Utama, Selangor maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Difahamkan kemalangan membabitkan empat kenderaan dan menyebabkan kesesakan teruk sejauh lebih dua kilometer.

Balu pengasas Al-Arqam ditahan JAIS



SEPANG: Balu pengasas Al-Arqam, Hatijah Aam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebentar tadi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hatijah yang lebih dikenali sebagai Ummu Jah tiba di KLIA dari Jeddah menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) kira-kira jam 11.30 tengahari.
Difahamkan, sejurus tiba di KLIA, Ummu Jah ditahan penguatkuasa JAIS dan dibawa terus ke JAIS Shah Alam untuk disoal siasat.

Turut kelihatan kira-kira 20 orang dipercayai bekas pengikut Al-Arqam berkumpul di bahagian ketibaan antarabangsa KLIA menanti kepulangan Ummu Jah.

Jangan cabar undang-undang menerusi provokasi - KPN



YAN: Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mencabar undang-undang menerusi pelbagai provokasi yang sengaja mahu membangkitkan perasaan marah di kalangan rakyat hanya kerana pihak tertentu tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya tidak mahu keadaan huru-hara berlaku, sebaliknya akan memastikan suasana yang aman bagi membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri beroperasi mengikut amalan demokrasi berpandukan sistem perundangan negara.
Beliau berkata polis tidak mahu sistem pentadbiran negara diserang disebabkan ada pihak yang cuba menentang perlembagaan negara menerusi perhimpunan provokasi yang dibuat pihak tertentu.

"Tiap-tiap hari saya berbincang pasal keselamatan negara dan kami ada pelan tindakan serta tahu apa yang hendak buat.

"Saya ingatkan dan saya tahu nak buat apa menerusi bidang kuasa yang ada pada polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan haram yang dianjurkan pakatan pembangkang di Stadium Kelana Jaya, Selangor 8 Mei lepas yang bersifat provokasi.

Beliau berkata perhimpunan yang diadakan mestilah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 yang diwujudkan mengikut kehendak rakyat dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang mencetuskan keadaan huru-hara.
"Kita baru sahaja selesai proses pemilihan demokrasi dan rakyat telah buat pilihan. Saya ingatkan orang ramai jangan cuba nak cabar undang-undang kerana polis sentiasa memantau," katanya.

Sementara itu, mengenai kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim 26 April lepas, Ismail berkata beliau amat berpuas hati dengan kemajuan siasatan yang dijalankan oleh pihaknya.

Beliau berkata kes itu serius kerana cubaan pihak tertentu untuk menakutkan penjawat awam.

Terdahulu, Ismail merasmikan IPD Yan bernilai RM60 juta, yang dibina pada awal 2010 dan mula beroperasi akhir tahun lepas. - BERNAMA

Ibu tunggal antara empat ditahan edar dadah



2013/05/13 - 15:14:28 PM Cetak Emel Kawan
Tweet
KUANTAN: Seorang ibu tunggal adalah antara empat individu yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini kerana dipercayai mengedar dadah dan keseluruhan sejumlah 199.4 gram heroin bernilai RM39,880 turut dirampas daripada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superitendan Yap Toon Khuan, berkata pada Sabtu lalu, seorang buruh berusia 22 tahun ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Bukit Setongkol kira-kira jam 12.30 tengah malam.
"Hasil pemeriksaan ke atasnya, polis menemui 15.4 gram heroin bernilai RM3,080 di dalam plastik yang dimasukkan ke dalam mulut suspek selain ganja seberat 0.3 gram dan syabu seberat 0.5 gram di dalam poket bajunya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek yang berasal dari Kajang, Selangor didapati positif ganja dan aktif mengedar di sekitar Kuantan.

Namun ganja dan syabu yang ditemui padanya hanya untuk kegunaannya sendiri.

Yap berkata, dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun turut ditahan di sebuah rumah di Bukit Setongkol pada jam 1.30 pagi pada hari yang sama.

Polis menemui heroin seberat 124 gram bernilai RM24,800 di dalam sebuah bilik tidur rumah berkenaan.
"Kedua-dua suspek yang berkerja sebagai buruh dan berasal dari Perak itu juga mengakui mendapat bekalan dadah terbabit dari Kuala Lumpur," katanya.

Dalam serbuan kira-kira 3 petang semalam pula, seorang ibu tunggal berumur 41 tahun diberkas di tepi jalan dekat kawasan perindustrian Semambu.

Yap berkata, hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 60 gram bernilai RM12,000 di dalam sebuah beg di tangannya.

"Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut didapati positif dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

- BERNAMA

Maut dihujani peluru




KERETA Alza Thangaraja yang hilang kawalan sebaik terkena tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kuchai, Lunas malam kelmarin.


KULIM – Seorang pembantu kedai besi buruk dan barangan lusuh maut akibat terkena lapan das tembakan ketika berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Taman Kuchai, Lunas di sini malam kelmarin.
Mayat mangsa K. Thangaraja (gambar kecil), 31, ditemui dalam keadaan tersembam di stereng kereta dengan kesan tembakan di muka dan lengan.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam itu, Thangaraja memandu kereta bersendirian sebelum diserang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, semasa kejadian mangsa dipercayai dari rumahnya di Taman Perak di sini dan dalam perjalanan menuju ke arah Lebuh Raya Butterworth-Kulim dekat Sungai Seluang.
Menurut beliau, ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, dua lelaki menunggang sebuah motosikal menghampiri kereta Perodua Alza dipandu mangsa.
“Salah seorang lelaki itu terus melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa dan beberapa das tembakan terkena di muka dan lengan mangsa.
“Mangsa yang cuba melarikan diri tidak dapat mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas ke kiri jalan iaitu kira-kira 70 meter dari lokasi dia ditembak,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2TA4k0Xbq 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket seludup minuman keras tumpas di Pulau Pinang



BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan minuman keras apabila merampas pelbagai jenis minuman keras dalam botol dan tin bernilai RM366,586 termasuk cukai di sebuah rumah kedai di kawasan Bukit Mertajam, Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya, berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu premis berkenaan pada jam 4.35 petang dan menemui 42,144 tin dan 6,264 botol minuman keras.
"Dipercayai sindiket itu menjadikan rumah kedai berkenaan sebagai tempat menyimpan minuman keras yang diseludup sebelum diedarkan kepada pihak tertentu.

"Kita masih siasat minuman keras bernilai RM84,683 yang melibatkan nilai cukai sebanyak RM281,902 itu untuk pasaran tempatan atau dieksport semula negara lain," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya juga berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang berusia lewat 20-an dan dipercayai pekerja di premis itu.

Zulkifli berkata, pasukannya juga merampas sebuah mesin yang digunakan untuk memadam label 'Malaysian Duty Not Paid (MDNP)' dan mencetak semula tarikh luput pada tin minuman keras.

"Mereka (sindiket) memadamkan label MDNP bagi mengelak dikesan pihak kastam yang minuman keras terbabit belum dibayar cukai, selain itu tindakan sindiket itu juga berbahaya kerana telah menukar tarikh luput dan ia akan memberi kesan kepada pengguna," katanya.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan pasukan kastam sedang mengesan anggota kumpulan sindiket terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang belum lulus kastam atau barang larangan.

- BERNAM

Dua lelaki cedera parah ditembak geng samseng




ANGGOTA polis memeriksa lokasi dua lelaki ditembak di Taman Mulia, Cheras malam kelmarin.


KUALA LUMPUR – Dua pemuda cedera parah akibat ditembak oleh sekumpulan lelaki yang juga dipercayai anggota sebuah kumpulan kongsi gelap di Jalan Budiman 9, Taman Mulia dekat Cheras di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Tamil Selvam terkena tembakan di rusuk kiri manakala N. Saravanan cedera di dada namun kedua-dua mangsa yang berusia 29 tahun itu dilaporkan stabil.
Sebelum kejadian, berlaku pergaduhan dan perang mulut antara dua mangsa dan kumpulan samseng tersebut di sebuah kedai kopi yang terletak di Jalan Budiman 19.
Jarak antara kedai kopi dengan lokasi kedua-dua mangsa ditembak ialah kira-kira 600 meter.
Pada mulanya, kedua-dua mangsa dikatakan pergi ke kedai kopi tersebut untuk menggertak kumpulan suspek itu bagaimanapun mereka terpaksa beredar selepas ternampak salah seorang ahli kumpulan berkenaan mengeluarkan sepucuk pistol.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, tiga lelaki daripada kumpulan suspek itu mengejar motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa sambil melepaskan dua das tembakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2TA4QrUvz 
Hakcipta terpelihara 

Sembilan tukang urut antara 58 rakyat asing ditahan Imigresen



13/05/2013 3:01pm

MELAKA - Seramai 58 rakyat asing termasuk sembilan tukang urut ditahan Jabatan Imigresen Melaka dalam operasi penguatkuasaan di dua daerah di negeri ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan pertama pada 3 petang semalam, sembilan wanita tukang urut rakyat Indonesia ditahan bersama 14 lelaki pelbagai kewarganegaraan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Munshi Abdullah, Melaka Tengah di sini.
"Siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai turut menjalankan kegiatan pelacuran yang menyasarkan pelanggan warga asing dengan bayaran serendah RM40," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu pemilik premis yang merupakan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 37 dan 42 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kamalludin berkata, dalam satu lagi serbuan pada 1.30 pagi tadi, pihaknya menahan 35 rakyat asing di sebuah rumah kongsi dan rumah kedai di Bandar Jasin Bestari, Jasin.
"Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 43 tahun termasuk dari Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Bangladesh itu ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan selain masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta tamat tempoh," katanya. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2TA4JRxiI 
Hakcipta terpelihara