Search This Blog

Friday, May 10, 2013

Dua lelaki mengaku tidak bersalah merusuh pada PRU13



10 Mei 2013
PRU13
KLANG - Dua lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan terlibat dalam satu rusuhan di Jalan Mesra, Pandamaran Pelabuhan Klang pada hari pengundian pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.
  
Lim Siong Kuan, 32, dan Yap Kwee Heng, 36, bersama beberapa orang lagi yang masih bebas, didakwa terlibat dalam rusuhan dan memiliki topi keledar serta besi yang digunakan sebagai senjata untuk memecahkan cermin sebuah bas syarikat City Liner Sdn Bhd pada pukul 4.30 petang, 5 Mei lepas.
  
Lim dan Yap dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
  
Yap juga didakwa melakukan khianat pada tempat dan waktu yang sama iaitu memecahkan cermin bas City Liner itu yang mengakibatkan kerugian RM5,000.
  
Pertuduhan dibuat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
  
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Noor meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan bagi Yap dan RM5,000 bagi Lim.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka, yang diwakili peguam R.Ramesh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan itu bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan mahkamah boleh mengarahkan mereka melaporkan diri di balai polis berdekatan dalam tempoh tertentu.
  
Beliau berkata Yap yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak bekerja sebagai juruteknik penyaman udara dengan pendapatan bulanan RM3,000 manakala Lim juga telah berkahwin dan mempunyai tiga anak merupakan seorang peniaga peralatan sembahyang dengan pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000.
  
Ramesh memohon jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dan tertuduh telah memberikan kerjasama kepada polis dalam sisatan.
  
Bagaimanapun, Farah Wahida berkata jaminan terlalu rendah tidak dapat menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.
  
Majistret Maslina Mohamed kemudian menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan ke atas Yap mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan RM2,000 bagi setiap tertuduh untuk kes menurut Seksyen 148 kanun yang sama selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu.
  
Beliau juga menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 19 Jun ini. - Bernama

'Mak jangan pergi dulu, biar Cinang pergi dulu'


NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
10 Mei 2013
'Mak jangan pergi dulu, biar Cinang pergi dulu'
Acha (kiri) gagal menahan rasa sedih apabila mengenangkan kejadian yang menimpa anak kesayangannya.
KLANG – “Mak jangan pergi dulu, biar Cinang pergi dulu.”

Demikian kata-kata terakhir Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, atau nama manjanya Cinang,  kepada ibunya, Acha Kusain, 31.

Menurut Acha, anak ketiga daripada tujuh beradik itu mengungkapkan kata-kata tersebut dua hari lalu.

“Saya tidak menyangka ia membawa maksud Cinang akan pergi buat selama-lamanya.  Ya... Cinang pergi dulu sebelum saya,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, semalam.

Cinang ditemui mati dipercayai dirogol sebelum dibunuh di sebuah padang di Jalan Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, kelmarin.

Mayat kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan padang berkenaan, kira-kira jam 10.30 malam. Mangsa ditemui terbaring berhampiran tempat parkir bas kilang di sini.

Sebelum itu, mangsa keluar rumahnya di Lorong Batu Nilam 1E, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Cinang tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana pintu rumah terkunci dan kakak keduanya yang berada di dalam rumah tidak mempunyai kunci pendua.

Kanak-kanak itu terpaksa berada di luar rumah sementara menunggu kakak sulungnya pulang dari kerja di Kuala Lumpur.

Pada awalnya keluarga berkenaan menyangkakan Cinang keluar bermain namun semuanya meleset selepas gagal dikesan.

Gerakan mencari dilakukan serta merta oleh ahli keluarga dan jiran namun mereka dikejutkan dengan penemuan mayat mangsa.

Menurut Acha, Cinang  anak yang baik, peramah dan sentiasa mendengar kata.

Katanya, dia bersama suami, Mohd Noor Mustafa, 31, sentiasa menitik beratkan soal keselamatan anak-anak. Ini berikutan keluarga tersebut baru dua bulan tinggal di situ selepas berpindah dari Kuantan, Pahang.
“Jika Cinang pergi ke kedai, pasti ada peneman. Pagar rumah pula sentiasa berkunci.

“Ini kerana saya takut kejadian culik berlaku terhadap anak-anak saya. Bagaimanapun, ia tetap berlaku,” katanya.

Sekali lagi ibu kepada kanak-kanak malang itu gagal menahan perasaan sedih. Air mata terus mengalir.

Rakan dan anak sulung pasangan itu mententeramkan Acha yang sentiasa duduk di lantai bilik mayat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas mendapat laporan berhubung penemuan mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan pada anggota badan. Bagaimanapun terdapat kesan pendarahan pada kemaluan mangsa,” katanya, semalam.

Mohamad berkata, siasatan polis mempercayai mangsa dibunuh ditempat lain sebelum ditinggalkan di lokasi berkenaan.

“Kita juga menemui penyodok tanah di kawasan berhampiran. Jarak rumah dengan lokasi mayatnya ditemui hanya 200 meter,” katanya.

Beliau berkata, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun kira-kira jam 6 pagi, di kawawan berhampiran, semalam, untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk bantu siasatan.

Penarik kereta maut terkena tiga das tembakan



10 Mei 2013
ALOR SETAR - Seorang penarik kereta maut akibat terkena tiga das tembakan berhampiran rumahnya di rumah pangsa Taman Setia Jaya di sini malam tadi.
Mayat M. Nagenthiran, 30, ditemui kira-kira 15 meter dari kawasan rumah pangsa itu pada pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Kota Setar, DSP V. Savaranan yang dihubungi mengesahkan pembunuhan tersebut dan berkata seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Satu tembakan dikesan di bahagian kepada dan dua lagi di bahagian belakang Nagenthiran," katanya.
Savaranan berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.
Isteri mangsa G. Parameswary, 29, berkata ketika kejadian dia dan dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun sedang tidur dan tidak menyedari kejadian itu sehingga diberitahu oleh pihak polis.
"Sebaik diberitahu, saya terus keluar dan mendapati mayat suami saya terbaring berlumuran darah di koridor rumah pangsa tersebut," katanya yang baharu berpindah ke situ enam bulan lepas.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata dia ternampak dan terdengar pertengkaran antara beberapa lelaki berhampiran rumah pangsa itu.
"Tiba-tiba satu bunyi letupan kuat seperti tembakan pistol kedengaran.
Bimbangkan keselamatan diri saya, saya duduk dalam rumah dan kemudian menghubungi polis," katanya. - Bernama

Maut dihempap pokok tua



ROSDALILAH ZAHARI
9 Mei 2013
Pokok tumbang yang meragut nyawa Yit Ming.
Pokok tumbang yang meragut nyawa Yit Ming.
Yit Ming
Mayat Yit Ming yang maut akibat dihempap pokok tumbang.
IPOH - Seorang pemandu jentera berat maut selepas motosikal ditungganginya dihempap sebatang pokok besar yang berusia lebih 20 tahun dalam kejadian yang berlaku di Lorong 10, Kampung Bercham, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa, Tan Yit Ming, 48, yang sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut serta merta selepas ditimpa pokok dipercayai tumbang akibat angin kencang.

Penduduk yang dikenali sebagai Leong, 35, berkata, insiden tersebut berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan berkenaan.

“Sewaktu kejadian, saya sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di luar rumah.

“Selepas itu, saya segera keluar untuk melihat apa yang berlaku dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang lelaki dihempap sebatang pokok tumbang di atas jalan berhampiran rumah saya.

“Berikutan itu, saya segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Isteri  mangsa, Gao Yu Li, 35, seorang warga China yang bekerja di sebuah pusat kecantikan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari premis tempat dia bekerja.

Yu Li yang mengandung empat bulan tidak dapat menahan sedih dan hampir pengsan sebaik melihat mayat suaminya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.07 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian dan operasi membersihkan pokok itu selesai setengah jam  kemudian.

'Kami cemas dikepung banjir'


RIDAUDDIN DAUD
10 Mei 2013
'Kami cemas dikepung banjir'
Anggota bomba dan penduduk menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap setelah kediamannya ditenggelami banjir.
'Kami cemas dikepung banjir'
Penduduk bekerjasama mengangkat motosikal ditenggelami air dalam kejadian banjir di Kampung Piandang, Siputeh.
TRONOH - “Saya cuma harap anak saya selamat.” Itu saja yang berada dalam fikiran Rosetam Muhamed, 52, apabila kediamannya ditenggelami air dalam kejadian banjir di Kampung Piandang, Siputeh, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, keadaan paras air naik terlalu pantas menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri dan terperangkap di dalam rumah.

“Kami naik atas meja (selamatkan diri), tapi meja itu pun hanyut, paras air memang tinggi, saya pun ketika itu, air naik sampai paras hidung.

“Banjir kali ini datang mengejut, masa saya sibuk alihkan kereta, air dah banyak masuk dalam rumah,” katanya.

Rosetam bersyukur apabila mereka sekeluarga berjaya diselamatkan anggota bomba setelah terpaksa bertahan hampir 30 minit. .

Seorang lagi mangsa, Mohd Saad Che Ani, 35, berkata, banjir kali ini adalah terburuk pernah direkodkan sejak berpuluh tahun lalu.

“Saya lahir di sini, membesar pun di sini, inilah banjir paling teruk pernah saya kena. Habis semua barang rumah rosak, kereta saya pun tenggelam.

“Ketika kejadian, saya kerja jadi tak sempat nak selamatkan apa-apa.

Barang-barang sekolah anak pun habis musnah,” katanya.

Sementara itu, Haliza Lazim, 38, melahirkan kekecewaan kerana tiada pihak tampil untuk membaiki ‘culvert’ yang dikatakan menjadi punca berlakunya banjir.

Tambahnya, tahun ini sahaja sudah lima kali rumahnya ditenggelami air.

“Sepanjang tiga tahun saya duduk sini, ini banjir paling teruk. Habis semua barang dalam rumah rosak.

“Sini kerap sangat banjir.

Mula-mula dulu banjir pada Januari, Mac, April dan sekarang, Mei saja sudah dua hari banjir berturut-turut,” katanya.

Kejadian yang berlaku seawal jam 6.30 petang tersebut menyebabkan rutin harian lebih 30 penduduk terjejas.

Paras air naik mendadak sejak jam 7.30 malam pula menyebabkan 18 orang terperangkap di kediaman masing-masing.

Jamin tindakan segera Pegawai Daerah Kinta, Datuk Jamry Sury yang ditemui ketika melawat mangsa banjir, memberi jaminan pihak berkaitan akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, beliau mengenal pasti punca berlakunya banjir di kampung tersebut dan beberapa pihak seperti Jabataan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu bekerjasama menyelesaikan perkara itu.

“Saya kenal pasti tiga masalah utama yang menjadi punca banjir.

Pertama, saluran air (culvert) kecil tidak mampu tampung air yang banyak, kedua, sungai-sungai di sini tidak diurus dengan sempurna.

“Yang ketiga, ini kawasan lembah, jadi senang nak kena banjir. Saya akan arahkan semua agensi terlibat untuk turun melawat kawasan ini dan ambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta peruntukan bagi membina jambatan dan ‘culvert’ lebih besar supaya sungai dapat mengalir dengan lancar.

Katanya, bantuan keperluan seperti pakaian, makanan dan kelengkapan sekolah juga akan disalurkan dengan segera.

“Ini termasuklah bantuan baik pulih rumah yang rosak, dari segi perabot dan barang-barang rumah, yang mana boleh bantu kita akan bantu,” katanya.

JPS cadang dalamkan sungai Jurutera Daerah Kinta/Batang Padang, Ir Baharuddin Abdullah berkata, JPS bercadang untuk memperbesar dan mendalamkan sungai supaya lebih banyak air boleh bertakung serta mengalir.

“Kita juga akan bina benteng lebih tinggi di tepi sungai. Saya lihat hujan yang terlalu lebat menyebabkan air sungai melimpah lalu berlakunya banjir di sini.

“JPS akan cuba bantu selesaikan masalah ini. Saya harap JKR pun akan bantu kami dengan membina culvert yang lebih besar dan mungkin bina jambatan merentasi sungai,” katanya.

2 direman larikan peti undi


10 Mei 2013
2 direman larikan peti undi
Laporan Sinar Harian pada 7 Mei berhubung kejadian tersebut.
TUMPAT – Dua lelaki di tahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan peti undi, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Zaharudin Rasip berkata, tempoh tahanan lelaki terbabit akan berakhir pada 12 Mei ini selepas permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, di Mahkamah Majistret Tumpat.

“Lelaki terbabit berusia 66 tahun dan 30 tahun mempunyai pertalian ayah dan anak,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kelancaran perjalanan undi di Kelantan dicemari tindakan sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan peti undi ketika perjalanan ke pusat penjumlahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

Bagaimanapun, dengan ketangkasan anggota polis, peti undi berkenaan berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab dalam insiden pada jam 11.30 malam itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rombongan peti undi yang dikawal ketat anggota keselamatan terbabit diserang kumpulan berkenaan tidak jauh dari lokasi yang dituju.

Katanya lagi, serangan itu menyebabkan ketua tempat mengundi dan seorang anggota polis masing-masing berusia 30 tahun mengalami kecederaan.

“Mereka datang menyerang kereta dengan menggunakan objek keras. Mereka bertindak agresif dengan memanjat ke atas bumbung kereta dan memecahkan cermin serta merampas kunci.

“Tindakan cekap anggota polis bagaimanapun berjaya menyelamatkan undi-undi terbabit sebelum berkejar dan menyerahkannya ke pusat penjumlahan di MRSM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Kes disiasat mengikut Seksyen 341, 427 dan 323 Kanun Keseksaan kerana khianat dan menghalang dengan salah.

Perabot baru, kereta rentung


10 Mei 2013
Perabot baru, kereta rentung
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, awal pagi semalam.
MASJID TANAH - Bukan saja set perabot yang baru dibeli, malah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan halaman rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Paya Mengkuang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, pemilik rumah berkenaan tiada di situ kerana bermalam di sebuah lagi rumah milik mereka di Tengkera.

Pemilik rumah, Chin Ke Yu, 66, berkata, rumah mempunyai empat bilik itu merupakan rumah persinggahan dan hanya bermalam di situ sesekali bersama keluarga.

Menurutnya, dia keluar dari rumah itu kira-kira 6 petang dan sudah memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Saya sekeluarga biasanya akan balik pada hujung minggu dan berkumpul di sini. Malah, perabot dalam rumah juga baru sahaja digantikan empat hari lalu," katanya.

Ke Yu berkata, dia dan isterinya, Tee Ah Suan, 62, memang terkejut dan tidak percaya rumahnya itu musnah sama sekali.

“Saya terkejut ketika menerima panggilan dari jiran memberitahu rumah saya terbakar. Padahal saya sudah pastikan keadaan rumah selamat dan menutup semua suis memandangkan tiada siapa di sini,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami lebih RM100,000.

Sementara itu, jiran mangsa, Teoh Kim Ho, 41, berkata, ketika kejadian, dia masih belum tidur dan sedang membaca surat khabar di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

“Saya dengar letupan berulang kali sebelum menjengah dari tingkap bilik dan terpandang api dan asap tebal keluar dari arah bahagian stor rumah.

"Saya lihat api mula marak dan bunyi letupan semakin menjadi-jadi, lalu saya terus hubungi bomba," katanya,

Menurutnya, dia juga panik apabila melihat api marak menyambar dan menyambar kenderaan Toyota Estima yang diletakkan di tepi rumah, lalu terus menghubungi jirannya itu.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Mohd Nor Ismail berkata, seramai 11 anggota dan pegawai membabitkan dua jentera dari Balai Bomba Masjid Tanah dan Balai Bomba Alor Gajah bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Tindakan awal dilakukan sekumpulan anggota bomba sukarela Paya Mengkuang dan bomba menggunakan tiga saluran hos sumber air dari jentera untuk operasi memadam.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh kurang sepuluh minit dan keseluruhan api dapat dipadamkan kira-kira 30 minit kemudian berikutan ruang dalam rumah yang besar,” katanya.

Mohd Nor berkata, punca kejadian dan anggaran sebenar kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan, namun  tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan.

Banjir landa dua kampung


9 Mei 2013
Banjir landa dua kampung
Penduduk Kampung Piandang, Siputeh resah kediaman mereka dilanda banjir empat kali tahun ini.
IPOH - Beberapa penduduk di Kampung Piandang, Siputeh di Tronoh dan Kampung Changkat Tin, Kampar terjejas selepas dilanda banjir kilat, kelmarin.

Penduduk berkata, kejadian tersebut kerap berlaku setiap kali hujan lebat akibat dan mendakwa kegagalan pihak berwajib mengatasi masalah perparitan sempit dan tidak sempurna sebagai punca.

Di Kampung Piandang, penduduk, Menurut seorang penduduk, Che Nah Alang Mat Kasim, 79, saluran air yang sempit merupakan punca utama banjir kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Baru saja Selasa lepas rumah saya banjir. Minggu ni banjir lagi, selang seminggu saja.

“Banyak perabot rumah rosak, almari pun dah ‘lekang’. Bila hujan lebat lebih setengah jam saja, mesti banjir,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, banjir dipercayai berpunca dari aliran Sungai Bangkong yang tidak mengalir dengan lancar dan tersekat di laluan berhampiran rumah penduduk lalu menyebabkan air bertakaung di kawasan tersebut.
Di Changkat Tin, penduduk gusar kerana kediaman mereka kerap ditenggelami air setiap kali hujan lebat.

Saha Hisham Ismail, 45, berkata, rumahnya sudah banyak kali dimasuki air, namun sehingga kini masalah terbabit masih belum selesai walaupun laporan telah dibuat.

“Air bertakung di kawasan rumah saya sebab tiada pengaliran air di sini. Saya ada juga buat aduan sebelum ini tapi masih lagi tiada tindakan.

“Saya dapat tahu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada terima laporan kami dan mereka akan cuba selesaikan masalah kami,” katanya.
Sementara itu, JPS, Mior Zainal Mior Sharif ketika dihubungi menegaskan, banjir di kampung itu berpunca dari ‘culvert’ sempit dan rumput panjang yang menghalang pengaliran air dengan lancar.

“Culvert (pembetung) itu tidak boleh menampung terlalu banyak air. Jadi, air yang bertakung meneybabkan kawasan berhampiran situ banjir.

“Kita ada terima cadangan dari penduduk untuk besarkan culvert dan melakukan pembersihan setahun sekali. Kita boleh pertimbangkan tetapi mereka perlu hantar surat kepada pihak kami,” katanya.

Bumbung runtuh ditimpa pokok



SITI SAFA MOHD NOR
10 Mei 2013
Bumbung runtuh ditimpa pokok
Saerah melihat sebahagian bumbung dapur rumahnya yang ditimpa pokok nangka akibat hujan lebat bersama angin kuat.
PARIT - “Jantung makcik ibarat mahu luruh apabila mendengar bunyi  dentuman kuat dari belakang rumah. Rupa-rupanya sebatang pokok nangka tumbang menimpa sebahagian bumbung dapur rumah makcik,” demikian kata Saerah Mohd Pilus, 68.

Saerah berkata, ketika kejadian hujan lebat bersama angin kuat kira-kira melanda kawasan rumahnya di Kampung Raja, kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

"Makcik yang berada di bahagian hadapan rumah berasa takut apabila melihat pokok nangka itu tumbang dan mengenai bahagian rumah namun bernasib baik tidak cedera,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Dalam kejadian hujan dan angin kuat itu juga mengakibatkan empat  rumah penduduk dimasuki air.

Seorang penduduk, Rosidah Isa, 52, berkata, hujan yang bermula pada jam 4  petang hingga 7 malam itu mengakibatkan rumahnya dimasuki air.

Katanya, air mula memasuki rumah sehingga paras betis dan itu adalah kejadian kali kedua selepas banjir yang pertama dahulu pada Februari lalu.

“Jika hujan lebat melebihi tiga jam sahaja rumah saya akan dimasuki air kemungkinan kerana terletak di kawasan agak rendah.

"Saya terpaksa memohon cuti kerana perlu membersihkan rumah yang dipenuhi air lumpur malah banyak barangan rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Raja Isa Ahmad berkata, kampung berkenaan adalah antara kawasan yang sering dilanda banjir apabila hujan lebat berterusan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana saluran perparitan yang ada agak sempit dan air tidak boleh mengalir laju ke parit buang.

"Ini adalah kejadian kedua selepas banjir pada Februari lalu di mana ketika kejadian penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

“Tetapi kali ini tidak berlaku banjir besar yang memerlukan penduduk untuk berpindah dan kita harap keadaan ini akan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Penarik kereta bergaduh mati kena tiga das tembakan



NAGENTHIRAN terbaring berlumuran darah selepas terkena tiga das tembakan selepas bergaduh di koridor Flat Taman Setia Jaya, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang penarik kereta maut terkena tiga das tembakan dalam satu pergaduhan berhampiran rumahnya di tingkat lima Flat Taman Setia Jaya di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam, M. Nagenthiran, 30, ditemui mati terbaring di koridor flat itu yang jaraknya hanya kira-kira 15 meter dari rumahnya.
Mayat mangsa yang terkena satu tembakan di kepala dan dua tembakan di belakang badan ditemui oleh seorang penghuni di flat itu yang kemudian memaklumkan kepada polis.
Isteri Nagenthiran, G. Parameswary, 29, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama dua orang anak mereka yang berumur tiga dan lima tahun dan tidak mendengar bunyi bising di luar rumah.
“Saya hanya tahu tentang kejadian selepas seorang anggota polis datang ke rumah dan memberitahu suami saya telah mati,” katanya ketika ditemui di flat itu semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2SvWeZyGt 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket curi lori tumpas



10 Mei 2013
Sindiket curi lori tumpas
Sebahagian komponen lori curi yang dileraikan di sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Rima, Lahat, kelmarin.
IPOH – Pasukan polis berjaya menumpaskan sindiket curi lori dengan memberkas lapan suspek termasuk dua warga Nepal dan Myanmar di sebuah bengkel Pusat Perindustrian Rima, Lahat di sini, kelmarin.

Kegiatan itu dikesan selepas polis menerima maklumat mengenai lori terbabit kurang 24 jam selepas pemiliknya membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah, Melaka.

Bertindak atas laporan pasukan dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri melakukan intipan dan berjaya mengesan bengkel yang digunakan untuk melerai badan dan komponen lori kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketika ditahan, kesemua suspek sedang meleraikan komponen lori.

“Dalam serbuan itu kami mendapati terdapat aktiviti memotong lori oleh pekerja bengkel. Turut ditemui dua lori 10 tan yang dipercayai dicuri di Alor Gajah sebelum di bawa ke bengkel berkenaan.

“Dua warga Nepal, dua warga Myanmar serta empat warga tempatan dipercayai pekerja bengkel terbabit turut diberkas manakala seorang lelaki warga tempatan dipercayai dalang sindiket turut ditahan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, polis merampas beberapa lotri yang masih belum dileraikan serta didaftarkan di Alor gajah.

“Polis percaya dapat merungkaikan sindiket curi, melupus dan menjual alat ganti kenderaan yang ada kaitan dengan laporan kehilangan tiga lori di Alor Gajah April lalu.

“Difahamkan bengkel itu dijadikan gudang simpanan yang dicuri sekitar Melaka, Selangor dan Pulau Pinang. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan usaha mengesan ahli sindiket masih dijalankan,” katanya.

Pencuri milo diberkas



10 Mei 2013
KUALA PEGANG - Dua beradik yang bertindak mencuri dua kotak milo di sebuah kedai runcit di asam jawa, Parit Panjang 3 Mei lalu akhirnya diberkas kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Kedua mereka ditahan berdekatan Masjid Ketemba oleh polis yang melakukan rondaan di kawasan itu.

Difahamkan, kedua suspek sedang dicari polis berikutan wajah mereka berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu.

Kedua mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan itu akhirnya berjaya ditahan oleh polis dengan bantuan penduduk kampung.

Tiada sebarang pergelutan berlaku dilaporkan.

Kedua mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis Baling untuk tindakan lanjut.

Kereta dilapor hilang ditemui tepi lebuh raya



10 Mei 2013
Kereta dilapor hilang ditemui tepi lebuh raya
Kereta ini ditemui di tepi Jalan Lebuh Raya Kulim-Grik.
BALING - Sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang hilang sejak 6 Mei lalu ditemui semula di tepi Jalan Lebuh Raya Kulim- Grik kira-kira jam 7.30 petang, kelmarin.

Kereta terbabit dilaporkan hilang di sebuah homestay di Sungai Petani ketika pemiliknya sedang berada di dalam homestay tersebut.

Difahamkan, pemilik kereta terbabit berasal dari Felda Kahang, Johor dan berada di Sungai Petani atas urusan kerja.

Ketika kejadian, mangsa yang berumur 20-an itu berada di ruang dapur sebelum menyedari kereta termasuk dua telefon bimbitnya hilang.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Ria Jaya, Sungai Petani.

Menurut mangsa, kejadian itu kemungkinan dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang sedang menganjurkan majlis berhampiran homestay itu.

Katanya lagi, kumpulan terbabit berada dalam keadaan mencurigakan.

Sehubungan itu, polis telah  melancarkan gerakan mencari dan akhirnya kereta miliknya itu berjaya ditemui tersadai di tepi jalan dengan keadaan cermin kanan pecah.

Menurut maklumat awam, kereta itu telah dua hari berada di kawasan itu, tetapi kebanyakan penduduk tidak mengetahui bahawa kenderaan terbabit merupakan kereta curi.

Kereta tersebut telah dibawa ke Balai Polis Tawar untuk siasatan seterusnya akan diserahkan semula kepada pemiliknya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

Tak sempat lihat arwah nenek



10 Mei 2013
Tak sempat lihat arwah nenek
Asri (kiri) turut mengangkat mayat adiknya untuk dibawa ke HT, dekat sini, pagi semalam.
REMBAU – Hajat seorang cucu untuk menziarahi jenazah arwah neneknya, Jamilah Tahir, 83, di Kampung Ayer Gelogor, Gemencheh, berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati di atas jalan raya di kilometer 32, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Syamir Baba, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai terbabas di selekoh Kampung Lada, dekat sini sebelum disedari orang awam dan abangnya, Muhammad Asri Baba, 31, yang turut dalam perjalanan ke Gemencheh menaiki kereta.

Ibu mangsa, Noridah Othman, 58, berkata, dia berasa sangat terperanjat selepas dimaklumkan kejadian berkenaan lebih-lebih lagi jenazah nenek mangsa baru sahaja tiba di rumahnya di Kampung Ayer Gelugor setelah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban tengah malam kelmarin.

“Sepatutnya arwah menaiki kereta bersama kakaknya, Fadilah Baba, 32, yang dalam perjalanan daripada Port Dickson, namun arwah bertegas mahu pergi terlebih dahulu selepas selesai mengemaskan pinggan mangkuk untuk dibawa ke Gemencheh oleh abangnya.

“Makcik dan suami (Baba Sabar, 62) sudah tiba di Gemencheh jam 1.30 pagi, namun arwah yang bekerja sebagai pemandu van Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bertolak dari Kajang dan singgah di rumah (Rembau) untuk mengambil pinggan mangkuk bagi kenduri arwah di Gemencheh,” katanya.

Mangsa akan dikebumikan bersebelahan dengan jenazah arwah neneknya di Tanah Perkuburan Ayer Gelugor, Gemencheh, petang semalam.

Turut kelihatan di Bilik Mayat HT ialah Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa yang merupakan saudara kepada arwah.

Noridah berkata, arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak berkongsi cerita, namun arwah sangat rajin dan pada setiap minggu arwah akan pulang ke rumah untuk membantu membersihkan rumah.

“Bagaimanapun, sejak dua minggu kebelakangan ini, sudah terdetik perasaan tidak sedap hati makcik apabila arwah mengelak untuk dicium kedua-dua belah pipinya tidak seperti kebiasaannya apabila kami bersalam ketika ingin pulang ke Kajang, Selangor.

“Jika tidak, arwah pasti akan meminta makcik menciumnya tetapi tidak buat dua minggu ini," katanya.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai terbabas sendiri dan disahkan maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan dalaman.

Janda mengaku curi lembu betina



10 Mei 2013
Janda mengaku curi lembu betina
Che Wan Norsharinawati dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang janda enam anak begitu selamba mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu betina di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Susulan pengakuan bersalahnya itu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Che Wan Norsharinawati Che Wan Abdullah, 30, dari Kampung Paya Balai, Dungun.

Che Wan Norsharinawati mengaku bersalah bersama-sama dengan tiga lagi rakan lelakinya iaitu Saadon Atan 49; Zamri Ismail @ Yunus, 46; dan Azhari Bidin, 32, mencuri dua ekor lembu betina di kandang lembu di belakang rumah di Jalan Pusara, di sini, antara jam 6 petang pada 23 Januari sehingga jam 4 pagi pada 24 Januari lalu.

Berikutan itu, Che Wan Norsharinawati didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Che Wan Norsharinawati tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, pada 27 Januari lalu rakannya, Azhari Bidin dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas turut mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan, manakala dua lagi rakan mereka mengaku tidak bersalah.

Padah miliki harta curi


Padah miliki harta curi
Nik Fairoz Amri dipenjara dua tahun selepas didapati bersalah mencuri sebuah motosikal dan memiliki harta curi.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dipenjara dua tahun selepas didapati bersalah atas dua dakwaan iaitu mencuri sebuah motosikal dan memiliki harta curi iaitu sebuah kamera oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Nik Fairoz Amri Nik Soh, 27, dari Kampung Batu 7, Kuala Berang, didapati bersalah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.

Nik Fairuz Amri didakwa kerana mencuri harta milik Dahalan Ismail, 49, di hadapan rumah mangsa di Kampung Bukit Sepang, Tepoh, di sini, pada 30 Mei 2011, antara jam 11 pagi hingga 2 petang.

Bagi kesalahan itu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula tarikh sabitan.

Manakala, bagi pertuduhan memiliki harta curi, Nik Fairoz Amri didapati bersalah menyimpan harta curi iaitu seunit kamera jenis Nikon Digital D40, milik Lew I Ling, 30, di
Kampung Bukit Kubang Jambu, Jalan Kelantan, di sini.
Dia didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Untuk kesalahan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan memerintahkan semua hukuman berjalan serentak pada tarikh sabitan.

Maut rempuh lori



Maut rempuh lori
Bahagian bucu kanan belakang lori yang dilanggar Jeevananthan.
KUALA LIPIS - Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer Tujuh, Jalan Lipis–Merapoh, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, Jeevananthan Subramaniam, 19, berasal dari Ladang Selbone maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah leher akibat rempuhan kuat.

Ketua Polis Daerah (IPD) Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju Padang Tengku.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang seorang diri melanggar bucu kanan lori tersebut.

“Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 mungkin tidak perasan ada lori rosak yang diletakkan di bahu jalan kerana kawasan itu sememangnya gelap.
“Kami dapati ada tanda amaran segi tiga diletak beberapa meter di belakang lori tetapi tidak jelas kerana segitiga itu terjatuh. Pemandu lori terbabit tiada di lokasi sewaktu kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak menasihatkan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan supaya meletakkan isyarat atau tanda yang jelas sekiranya berlaku kerosakan supaya disedari pengguna jalan lain.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Lipis, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 0139300428 untuk membantu siasatan.

Dua beradik lelaki nyaris maut



10 Mei 2013
Dua beradik lelaki nyaris maut
(Dari kiri) Alias, Azli, Mohd Faizul dan Anuar di tapak rumah mereka yang musnah pada kebakaran di Kampung Laloh, Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Dua beradik lelaki nyaris maut apabila rumah pusaka didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Laloh, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi berlaku ketika dua beradik terbabit, Alias Jusoh, 42, dan adiknya, Azli, 29, sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah berkenaan.

Kebakaran menyebabkan rumah papan berusia lebih 40 tahun itu musnah dan mangsa yang gagal menyelamatkan harta benda dalam kejadian itu dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Azli berkata, dia tersedar dari tidur apabila terasa bahang panas dari bahagian dapur sebelum bangun dan melihat api sedang marak di salah sebuah bilik di rumah itu.

“Bila rasa panas, saya bangun tidur dan tengok api sedang menyala dalam bilik yang tak digunakan bersebelahan dapur. Saya kejutkan Alias dan kami terus berlari keluar tanpa sempat selamatkan apa-apa,” katanya, semalam.

Azli berkata, dia dan Alias tinggal di rumah itu bersama dua lagi adik lelaki mereka, Mohd Faizul, 22, dan Anuar, 21, namun ketika kejadian mereka berdua tiada di rumah.

“Mereka (Mohd Faizul dan Anuar) tidak ada di rumah masa kejadian kejadian sebab semalam mereka tidur di rumah emak,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Apabila ditanya perancangan susulan kejadian, Azli berkata, buat sementara waktu, mereka berempat akan tinggal di sebuah khemah yang didirikan penduduk bersebelahan tapak rumah terbakar.

“Saya harap ada pihak dapat membantu kami membina semula rumah kerana kami berempat hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tak menentu,” katanya.

Sementara itu, calon Pas yang baru memenangi kerusi Dun Manek Urai pada Pilihan Raya Umum ke-13, Ahad lalu, Mohd Fauzi Abdullah paling awal sampai di tempat kejadian bagi menghulurkan bantuan segera.

Pegawai Daerah Olak Jeram, Mamat Salleh dan Penghulu Mukim Laloh, Zamri Hassan turut melawat dan mendapatkan maklumat mangsa yang hilang dokumen penting termasuk MyKad untuk tindakan susulan.

Hutan paya bakau jadi port lepas gian dadah



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Mei 2013
Hutan paya bakau jadi port lepas gian dadah
Tiga penagih yang ditahan di port dadah dalam hutan paya bakau, dekat Sungai Buaya dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.
SUNGAI BUAYA – Rahsia sekumpulan pemuda sering keluar masuk ke dalam hutan paya bakau dekat sini, sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk akhirnya terbongkar apabila lokasi terbabit diserbu pihak berkuasa, petang semalam.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah selepas maklumat orang awam memaklumkan lokasi berkenaan dipercayai dijadikan sarang penagih.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa penagih sedang khayal selepas mengambil dadah cuba meloloskan diri melalui celah pokok nipah dalam hutan paya.

Tiga penagih terbabit bagaimanapun berjaya ditahan dan seorang daripadanya mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Difahamkan, suspek melarikan diri daripada wad semata-mata untuk melepaskan gian di lokasi berkenaan.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah methapethamine.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan berkenaan.

Nyaris tinggal sehelai sepinggang



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Mei 2013
Anggota polis turut hadir di tempat kejadian.
Anggota polis turut hadir di tempat kejadian.
BALING - “Saya nampak lori bomba tepi jalan, tapi tak sangka depa pi rumah saya,” kata Amran Kamarudin, 33, pemilik rumah yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Binjul Luar, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Amran berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang niaga di Sungai Petani.

Menurutnya, dia ternampak sebuah trak bomba di persimpangan jalan ke rumahnya, tetapi tidak menyangka kediamannya terlibat dalam kebakaran.

“Saya terkejut tengok ramai orang di kawasan rumah.
Masa itu, memang tak tau lagi rumah sedang terbakar.

"Bila saya sampai depan rumah, barulah jiran maklumkan rumah saya yang terbakar,” katanya.

Bagaimanapun kebakaran itu hanya melibatkan bahagian dapur rumahnya apabila pasukan bomba termasuk orang kampung sempat mengawal api.

Katanya, dia bersyukur dengan keprihatinan jiran-jirannya yang tekad memecah masuk ke dalam rumah untuk mengawal kebakaran tersebut.

“Kalau tiada siapa tengok, mungkin kebakaran ini lagi besar. Mujurlah bomba cepat, kalau tidak, sehelai sepingganglah saya,” katanya.

Saksi kejadian yang juga jiran kepada Amran, Jefri Abu, 37, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarganya sedang menonton televisyen di rumahnya.

Menurutnya, dia terhidu bau asap dan terkejut melihat bahagian dapur jirannya itu sedang terbakar.

“Saya tak fikir panjang, saya terpaksa pecahkan pintu rumah untuk kawal kebakaran itu. Ramai juga yang datang tolong. Bila bomba sampai, barulah kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Amran berkata, kebakaran itu berkemungkinan disebabkan dapur gas tidak ditutup kerana seorang daripada anaknya sedang merebus ubi kayu sebelum mereka keluar ke Sungai Petani.

18 terperangkap arus deras berjaya selamat



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Mei 2013
IPOH – Seramai 18 mangsa banjir yang terperangkap akibat arus deras berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Batu Gajah di Kampung Piandang, Jalan Siputeh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, empat warga emas di bawa ke Hospital Batu Gajah akibat pelbagai masalah kesihatan setelah panik paras air naik mendadak.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Halid Md Zin berkata, sebaik menerima laporan pada jam 6.33 petang, sebuah jentera, bot dan kenderaan utiliti bersama 13 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 41 mangsa telah ditempatkan di pusat penempatan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Piandang yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Hujan lebat selama dua jam menyebabkan air dari sungai naik mendadak ditambah arus deras menyebabkan 18 penduduk terperangkap.

“Kita keluarkan mereka dengan menggunakan sebuah bot dibantu oleh tiga anggota Bomba dan Penyelamat Parit serta pihak polis untuk dihantar ke pusat penempatan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Halid berkata, anggaran kemusnahan belum dapat dipastikan berikutan rumah yang dinaiki air adalah berhampiran dengan sungai Bakong.

“Operasi diteruskan sehingga semua mangsa berjaya dipindahkan dan tamat pada jam 10.22 malam,” katanya.

Isteri maut digilis, suami kritikal



HASNIZA HUSSAIN
10 Mei 2013
Isteri maut digilis, suami kritikal
Mayat mangsa (terbaring) yang terlibat dalam nahas jalan raya di Jalan Matang Pagar, Sungai Buloh, semalam dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
SHAH ALAM - Seorang wanita maut digilis, manakala suaminya dilaporkan kritikal selepas terbabit kemalangan di Jalan Matang Pagar menghala ke Matang Pagar, Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pasangan suami isteri terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Bukit Rahman Putra menghala ke Matang Pagar.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergesel dengan sebuah lori yang tiba-tiba menukar laluan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal pasangan suami isteri terbabit terjatuh, sebelum mangsa wanita, M A Kamala Devi, 49, tercampak ke bawah lori.

"Kamala Devi maut di lokasi kejadian selepas perutnya digilis.

"Suaminya, V Raja berusia 53 tahun yang tercampak atas jalan raya mengalami kecederaan parah di kepala serta pecah buah pinggang," katanya.

Junaidi berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, manakala suaminya juga turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurutnya, pemandu lori yang merempuh kedua-dua mangsa itu bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Lesap lari, terkejut nampak polis



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2013
Lesap lari, terkejut nampak polis
Ahmad (kanan) ketika berada di rumah suspek.
KULIM - Tiga remaja lelaki lari bertempiaran apabila ternampak polis dan ahli Pertubuhan Prihatin Kebajikan Masyarakat (PPKM) yang ketika itu membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan Taman Seri Kulim kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Ahli PPKM, Ahmad Jusoh berkata, dia lihat ketiga-tiga suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
"Sebelum ini kami mendapat laporan sebuah motosikal dilaporkan hilang. Dari pemeriksaan dijalankan terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan satu Honda EX5 yang diletakkan di hadapan rumah suspek dalam keadaan kunci masih berada di suis motosikal.

"Ahli PPKM kemudiannya membuat intipan melalui tingkap di bilik hadapan dan ternampak dua motosikal jenis Yamaha tanpa nombor pendaftaran” katanya.