Search This Blog

Tuesday, May 7, 2013

Russia risau krisis Syria merebak



Moscow: Russia semalam berkata, negara itu bimbang terhadap kemungkinan yang semakin meningkat bagi berlakunya campur tangan asing di Syria ekoran laporan Israel menyerang negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Russia Alexander Lukashevich berkata, Russia sangat bimbang dengan kecenderungan ditunjukkan di seluruh dunia untuk melakukan campur tangan bersenjata di Syria.


“Kebimbangan ini antara lain berpunca daripada laporan media mengenai dakwaan penggunaan senjata kimia dalam konflik yang setakat ini mengorbankan lebih 70,000 orang sejak dua tahun lalu,” katanya. Sejak sekian lama Russia adalah sekutu Syria dan menjadi pembekal senjata untuk Damsyik.


Moscow juga sentiasa melindungi Presiden Bashar al-Assad daripada tindakan antarabangsa dengan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Lukashevich berkata, Russia turut menganalisis “laporan serangan udara Israel pada 3 dan 5 Mei di beberapa lokasi di pinggir Damsyik yang menyebabkan kebimbangan khusus.” Katanya, peningkatan ketara konfrontasi bersenjata di Syria berisiko untuk mencipta kawasan ketegangan tambahan di Syria, Lubnan.


“Ia juga mungkin menyebabkan ketidakstabilan persekitaran yang secara relatifnya tenang di sempadan Lubnan - Israel,” katanya. Menurut Lukashevich, sebarang tindakan mengatarabangsakan konflik dalaman yang sangat berbahaya dan merosakkan mesti dihalang. Justeru, katanya, Russia menggesa usaha bersungguh-sungguh bagi memperbaiki keadaan di Syria melalui cara aman perlu dilakukan.

Kerajaan Presiden Bashar al-Assad mengutuk serangan udara Israel sebagai “pengisytiharan perang” dari Israel dan mengancam bertindak balas terhadap negara rejim Zionis itu.- Reuters

Suami datuk bandar dibunuh



Lemery (Filipina): Suami kepada seorang datuk bandar ditembak mati dan empat lagi cedera dibom dalam insiden keganasan yang berasingan dikaitkan dengan pilihan raya pertengahan penggal di Filipina minggu depan, kata polis semalam.

Serangan itu berlaku ketika polis meningkatkan tahap berjaga-jaga ekoran bimbang lebih banyak keganasan tercetus sebelum hari undian pada 13 Mei depan. Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati John Apura dalam satu serang hendap ketika dia berkempen untuk isterinya di Pulau Panay di tengah negara itu, kata Ketua Polis pulau itu, Cif Superintendan Agrimero Cruz dalam satu kenyataan. Menurutnya, seorang pembantu turut terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan itu.


Isteri Apura, Ligaya bertanding dalam pilihan raya di bandar Lemery di Panay dan memberitahu polis mereka ada menerima ancaman bunuh.


“Ia serangan bermotifkan politik kerana suami saya ada menerima ancaman bunuh sebelum itu,” katanya yang akan bertanding di bawah gabungan pembangkang.


Dia juga berkata, lelaki bersenjata turut mengancam penyokong politiknya walaupun tidak mengenal pasti siapa dalang di sebalik keganasan itu.


Dalam satu lagi insiden, sebutir bom dilontar ke arah kediaman datuk bandar bandar Lamitan, Roderick Furigay di pulau selatan Basilan lewat malam kelmarin dan mencederakan empat orang, kata Ketua Polis Lamitan, Cif Inspektor Almer Ismael. Furigay sedang bertemu penyokongnya ketika kejadian berlaku. Furigay yang juga anggota parti gabungan Presiden Benigno Aquino bagaimanapun, tidak cedera.

Rakyat Filipina akan menghadapi pilihan raya minggu depan bagi mengundi lebih 18,000 jawatan daripada datuk bandar hingga kepada anggota Parlimen. Persengketaan politik adalah perkara biasa terutama di kawasan luar bandar. - AFP

142kg ganja dalam bas penumpang



Bandar raya Quezon: Polis semalam merampas 142 kilogram ganja bernilai lebih 700,000 pesos (RM 50,972) selepas dadah itu ditemui ekoran nahas di stesen bas di Edsa, di sini.

Ketulan ganja kering yang dibungkus ke dalam enam kotak besar itu dialamatkan kepada Dolores Pakay dan Renato Peralta, kata Ketua Sektor Trafik kamuning balai polis bandar raya Quezon, Inspektor Manuel Laderas.
Menurutnya, dadah itu ditemui kira-kira jam 9 pagi selepas satu daripada kotak berkenaan jatuh terburai ketika dipunggah dari bas Victory Liner yang baru tiba dari bandar raya tabuk di wilayah Kalinga.

“Beberapa daun kering jatuh dari kotak berkenaan menyebabkan kakitangan terminal bas curiga. Mereka kemudian menemui ketulan daun ganja ketika membuka kotak berkenaan,” katanya kepada media sambil menambah barangan itu tidak dibawa ke metro Manila oleh bas penumpang. - Philippines Inquirer

Kastam rampas sumbu badak RM1 juta



Hanoi: Lebih tujuh kilogram sumbu badak dirampas oleh pegawai kastam di Vietnam, lapor media kerajaan semalam berikutan tekanan dihadapi negara komunis itu bagi membendung permintaannya yang semakin meningkat.

Dua sumbu itu dipercayai datang dari Afrika dan dianggarkan bernilai AS$365,000 (RM1.08 juta) ditemui disembunyikan dalam bagasi penumpang yang tiba di bandar raya Ho Chi Minh dalam penerbangan dari Doha kelmarin, lapor akhbar Phap Luat.


Penumpang Vietnam itu sudah ditahan untuk siasatan, kata laporan itu tanpa mendedahkan sama ada lelaki terbabit sudah ditahan secara rasmi. Pemburuan haram badak sumbu kian meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini bagi memenuhi permintaan sumbunya di beberapa negara Asia terutama Vietnam di mana, harganya amat tinggi ekoran khasiatnya dari segi perubatan. Penjualan sumbu badak adalah haram, tetapi harganya untuk 100 gram mencecah hingga $5,000 (RM 14,887) di pasaran gelap di Veitnam, di mana masyarakatnya percaya ia dapat menyembuhkan pelbagai penyakit daripada kanser hingga kepada pening kepala. Pada Persidangan Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) Mac lalu, Hanoi diminta membangun pangkalan data bagi menjejaki sindiket penyeludupan sumbu badak dan mengurangkan permintaan tempatan terhadap bahan itu. - AFP

Pengantin baru, 4 pengiring hangus



San Francisco: Seorang wanita dan empat pengiring perkahwinannya rentung dalam satu nahas mengerikan apabila limosin yang disewa mereka terbakar dalam perjalanan ke sebuah parti di California untuk meraikan perkahwinannya, lapor media Amerika Syarikat semalam.

“Pemandu limosin dan empat wanita lain bagaimanapun sempat keluar dan menyelamatkan diri dari kenderaan yang terbakar itu, tetapi pengantin perempuan dan empat rakannya yang lain rentung dalam kebakaran tersebut, kata laporan berita.


“Kami belum mengenal pasti punca yang menyebabkan nahas itu berlaku,” kata Pegawai Peronda Lebuhraya California James Evans kepada The San Francisco Chronicle. “Ia bukan rempuhan trafik, kami tahu mengenai itu, tetapi masih menjalankan siasatan,” katanya.


The Chronicle melaporkan wanita terbabit yang ingin pergi ke parti meraikan perkahwinannya baru berkahwin dan merancang untuk kembali ke negara asalnya di Filipina bagi satu lagi majlis bulan depan.


Tetapi atas sebab yang tidak diketahui, kenderaan yang dalam perjalanan menuju ke parti di Foster City itu terbakar di Jambatan San Mateo di selatan San Francisco.


Semua wanita yang maut berusia 30-an dan 40-an, termasuk pengantin baru, Neriza Fojas, 31, dari Fresno, menurut Chronicle memetik kenyataan kakak mangsa.- AFP

Pesawat terhempas dalam pertunjukan udara



Madrid: Sebuah pesawat jet bersejarah terhempas di landasan dan meletup dalam satu pertunjukan udara di barat daya ibu negara Sepanyol kelmarin, menyebabkan juruterbangnya cedera parah sebelum meninggal dunia di hospital, kata pihak berkuasa.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Sepanyol, berkata, juruterbang Ladislao Tejedor Romero, 35, seorang juruterbang jet yang berpengalaman dan pembantu kepada Menteri Pertahanan, Pedro Morenes maut akibat kecederaan di unit kebakaran Hospital Getafe. Kira-kira 3,00 orang berada di padang terbang Cuatro Vientos menyaksikan pertunjukan akrobatik udara dan pesawat vintaj apabila pesawat itu, satu daripada pesawat jet buatan Sepanyol yang pertama terhempas mengakibatkan kepulan bola api dan asap tebal hitam di udara.


Pesawat HA-200 Saeta itu dibina pada 1950-an sebagai jet latihan canggih oleh Hispano Aviacion, kata jurucakap kementerian Alfredo florenza. Ia kemudian ditingkat kemampuan untuk menyerang.


Florenza berkata, punca nahas itu belum diketahui.

Penduduk tak mahu pengebom Boston dikembumi di Cambridge



New York: Penduduk bandar raya Cambridge, Massachusetts tidak mahu suspek pengeboman maraton Boston Tamerlan Tsarnaev dikebumikan di bandar raya itu.

Tsarnaev, 26, dan adik lelakinya Dzhokhar, 19, yang kini dirawat di hospital dan berdepan tuduhan keganasan didakwa melakukan pengeboman 15 April lalu pada maraton Boston yang membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 260 yang lain.


Walaupun dia kelahiran etnik Chechen di bekas Soviet Union, Tamerlan menghabiskan dekad terakhir hidupnya di Cambridge, Massachusetts. Pengurus bandar raya Cambridge, Robert Healy mengeluarkan kenyataan kelmarin mengatakan bahawa dia tidak mahu Tamerlan dikebumikan di kawasan pentadbirannya.


“Usaha rumit dan kesukaran penduduk di bandar raya Cambridge untuk kembali menjalani kehidupan aman akan terjejas dengan kekacauan, bantahan dan kehadiran media secara meluas ketika upacara pengebumiannya,” kata kenyataan Healy.


Dia kemudian memetik undang-undang negeri yang mengatakan bahawa tugas pengurus bandar raya ialah menjadi penjaga utama keamanan di bandar raya itu.


“Saya sudah menentukan ini bukan bentuk ‘keamanan di bandar raya ini’ iaitu untuk menjalankan tugas pengebumian di kawasan perkuburan Cambridge untuk jenazah Tamerlan Tsarnaev,” tulisnya. - AFP

Salah pelan punca runtuh




6 Mei 2013
Bangunan Plaza Rana
Bangunan Plaza Rana sebenarnya dibina mengikut reka bentuk sebuah kompleks membeli-belah.
DHAKA - Sebuah kilang pakaian lapan tingkat di Savar, pinggir Dhaka, Bangladesh yang runtuh bulan lalu, mengakibatkan lebih 580 orang terbunuh dilaporkan dibina mengikut reka bentuk pusat membeli-belah dan bukannya kilang.

Ketua arkitek dan profesor universiti tempatan, Masood Reza berkata, pelan asal Plaza Rana pada 2004 membabitkan binaan bangunan enam tingkat adalah tidak sesuai untuk menempatkan muatan besar serta jentera berat seperti mesin tekstil.

Berdasarkan rakaman video yang ditontonnya, Reza berkata, beliau dapat merasakan kesakitan dan azab ditanggung mangsa ketika runtuhan itu, laporan dipetik daripada AFP.

"Saya melihat mangsa-mangsa yang masih hidup menangis dan merayu pertolongan selepas parah dihempap runtuhan bangunan," katanya.
Beliau menambah, pemilik bangunan Sohel Rana yang kini berhadapan pertuduhan mengakibatkan kematian ratusan pekerja kilang selain melanggar undang-undang pembinaan bangunan itu harus menerima hukuman berat.

12 pekerja pembersih periuk api diculik




7 Mei 2013
DAKAR - Sekumpulan lelaki bersenjata menculik 12 pekerja tempatan sebuah syarikat pembersih periuk api Afrika Selatan di kawasan bergolak di Casamance, Senegal menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Insiden penculikan itu dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa sedang dalam perjalanan ke selatan Senegal untuk memeriksa kawasan periuk api yang sudah dibersihkan, Jumaat lalu.

Jurucakap tentera, Abou Thiam mengesahkan kejadian tersebut yang didakwa didalangi gerakan pemisah, Tentera Demokratik Casamance (MFDC), dipetik dari laporan Reuters.

Perompak disimbah air cili




7 Mei 2013
SYDNEY - Seorang pekerja bertindak menyimbah air cili ke arah seorang lelaki selepas cuba merompak wang di dalam mesin juruwang di sebuah restoran di Fleet, Sydney, Australia.

Polis New South Wales, Ralp Deans berkata, sebelum kejadian itu, lelaki berkenaan telah membuat beberapa pesanan makanan dan minuman.

Menurutnya, selepas selesai menikmati hidangan, lelaki itu dipercayai bertengkar dengan seorang pelayan ketika ingin membuat pembayaran.

“Lelaki itu kemudiannya meluru ke arah ruang kaunter dan cuba untuk membuka mesin juruwang sambil berlaku aksi tolak menolak,” katanya dipetik dari laporan AFP.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan dihalang oleh seorang lagi pekerja di restoran hingga menyebabkan beliau bertindak menyimbah air cili ke muka lelaki berkenaan.

Rumah calon BN nyaris terbakar dibaling botol arak, alat suar



MELAKA 7 Mei - Rumah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Ronald Gan Yong Hoe di Taman Pangkalan Jaya, Bukit Katil di sini nyaris terbakar selepas dibaling dua botol arak bersumbu dan alat suar kecemasan awal pagi ini.
Ronald berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, beliau sedang tidur di bilik di tingkat atas sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di luar rumah. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130507/je_05/Rumah-calon-BN-nyaris-terbakar-dibaling-botol-arak-alat-suar#ixzz2ScDnNb27
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat lelaki terikat dijumpai terapung



IPOH 6 Mei - Seorang lelaki warga emas terkejut apabila menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung di sebuah lombong terbiar di kawasan perindustrian Bemban, Batu Gajah dekat sini semalam.
Mayat K. Murugan, 37, ditemui pada pukul 5 petang oleh warga emas tersebut ketika sedang menghalau lembu ternakannya balik ke kandang, tidak jauh dari lombong berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketika ditemui, mayat lelaki berkenaan timbul di permukaan air dengan kaki dan tangan terikat manakala sebahagian badan masih tenggelam.
Katanya, mangsa yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju diikat menggunakan dawai dan mempunyai tatu di beberapa anggota badan.
"Setelah mayat diangkat ke atas tebing, kita dapati badan mayat itu telah diikat dengan bongkah besi yang dijadikan sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat.
"Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kesan pukulan di kepala dan mangsa telah mati kira-kira lima hari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan di tempat kejadian juga menemukan beberapa ikatan dawai berukuran 50 meter dan satu pelekat hitam dipercayai lebihan dawai untuk mengikat mayat mangsa.
"Penemuan mayat ini menjawab persoalan mengenai kehilangan seorang lelaki dari Bidor yang dilaporkan keluar dari rumah kira-kira pukul 11.30 malam, 1 Mei lalu.
"Melalui pengecaman oleh ahli keluarga pengadu, didapati mayat tersebut adalah Murugan berdasarkan tanda tatu pada badannya," ujarnya.
Shaharon Anuar berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pukulan objek tajam ekoran penemuan tiga kesan di belakang kepala dan dahi.
"Sesiapa yang mengenali si mati atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Supritendan Ajit Singh di talian 05-3629222," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130507/je_02/Mayat-lelaki-terikat-dijumpai-terapung#ixzz2ScDeaIez
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan kereta tertimbus tanah runtuh di Bukit Nanas



KUALA LUMPUR 7 Mei - Lapan buah kereta milik orang awam tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di tempat letak kereta berhampiran Bukit Nanas, di sini petang ini.
Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu berlaku akibat hujan lebat yang berlarutan di ibu negara, petang tadi. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130507/je_06/Lapan-kereta-tertimbus-tanah-runtuh-di-Bukit-Nanas#ixzz2ScD7qfc6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang maut, rakan parah kereta langgar pokok



ANGGOTA Bomba memadam kebakaran sebuah kereta Nissan Fairlady yang terbakar setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUCHING 6 Mei - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila kereta sport dinaiki mereka jenis Nissan Fairlady hilang kawalan sebelum terlanggar sebatang pokok dan terbakar di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Jee Chen Soon, 32, yang duduk di kerusi penumpang maut serta-merta manakala pemandu, Bong Chan Lung, 30 cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Chan Lung yang kini kritikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS).
Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu laju Chan Lung dari Jejambat Batu Tiga menuju ke pusat bandar gagal dikawal lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.
Rempuhan kuat tersebut menyebabkan kenderaan mangsa berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke dalam parit dan terbakar.
Orang ramai yang melihat kejadian itu sempat menarik kedua-dua mangsa keluar sebelum kereta terbabit musnah dijilat api.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi memberitahu, punca sebenar kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130507/je_01/Seorang-maut-rakan-parah-kereta-langgar-pokok#ixzz2ScCvvoYG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 maut bantahan hina Islam



DHAKA 6 Mei - Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh apabila polis Bangladesh bertempur dengan berpuluh-puluh ribu pengikut pergerakan Islam di sini, kata polis dan pegawai perubatan, hari ini.
Jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman berkata, polis menggunakan bom tangan, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan sekurang-kurangnya 70,000 orang yang berkhemah di daerah Motijheel, untuk mendesak pelaksanaan undang-undang bagi menghukum mereka yang menghina Islam.
"Kami terpaksa mengambil tindakan tersebut selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel.
"Penunjuk perasaan menyerang kami dengan batu-bata, besi dan kayu,'' katanya.
Seorang pegawai polis di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Mozammel Haq berkata, 11 mayat dibawa ke hospital tersebut termasuk mangsa yang terkena tembakan dan seorang anggota polis yang dipenggal kepalanya oleh penunjuk perasaan.
Sebanyak 11 mayat lagi dibawa ke tiga hospital lain termasuk hospital al- Baraka dan hospital Islami Bank yang terletak dekat kawasan kejadian.
Pegawai hospital berkata, beratus-ratus orang turut cedera dalam kejadian tersebut.
Pertempuran bermula petang semalam dan berterusan sehingga awal pagi ini.
Penunjuk perasaan bertindak menyekat jalan raya sambil melaungkan Allahu Akhbar dan 'Semua Ateis dihukum gantung'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130507/lu_03/28-maut-bantahan-hina-Islam#ixzz2ScAyRPac
© Utusan Melayu (M) Bhd 

15 terbunuh, 40 cedera letupan bom di Pakistan



ISLAMABAD 6 Mei - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala lebih 40 cedera dalam satu letupan bom pada satu perhimpunan sebuah parti agama di wilayah puak barat laut Pakistan hari ini.
Serangan itu menjadikan pertemuan parti Jamiat Ulema-e-Islam Fazal (JUI-F) di kawasan Sewak di Kurram, satu daripada tujuh daerah yang menjadi lokasi kegiatan militan, Jalil Jan yang aktif sebagai sasaran, kata seorang pemimpin JUI-F kepada sebuah stesen televisyen tempatan.
Ketua pentadbiran daerah, Riaz Khan Mehsud berkata, bahan letupan itu diletakkan di dalam sebuah dewan, tempat perhimpunan parti itu berlangsung. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_11/15-terbunuh-40-cedera-letupan-bom-di-Pakistan#ixzz2ScAXbBeO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anjing untuk dijadikan hidangan dirampas



BANGKOK 6 Mei - Sebanyak 1,300 ekor anjing yang bersesak-sesak dalam kurungan dirampas dalam tempoh kurang seminggu di timur laut sempadan Thailand hari ini.
Anjing-anjing itu dipercayai diseludup untuk dijadikan hidangan di seberang laut, kata pihak berkuasa.
Sebanyak 300 ekor anjing ditemui hari ini di wilayah Bueng Kan, kata polis tempatan, manakala pihak berkuasa di wilayah Sakon Nakhon berkata, sebanyak 400 ekor anjing ditemui semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_09/Anjing-untuk-dijadikan-hidangan-dirampas#ixzz2ScAQXZt4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Helikopter bawa 9 penumpang terhempas di selatan Siberia



MOSCOW 6 Mei - Sebuah helikopter Rusia membawa sembilan orang penumpang termasuk pegawai-pegawai kanan perkhidmatan menyelamat terhempas di wilayah Irkutsk di selatan Siberia, kata seorang pegawai, hari ini.
"Pasukan penyelamat telah tiba di lokasi kejadian dan menurunkan penumpang bersebelahan bangkai helikopter," kata timbalan menteri kecemasan wilayah, Valentin Nelyubov kepada agensi berita RIA Novosti.
Katanya, hanya sembilan penumpang berada di dalam helikopter dan bukannya 10 seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.
Helikopter itu katanya membawa sebanyak 1.9 tan bahan letupan bagi memecahkan blok ais di sebatang sungai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_10/Helikopter-bawa-9-penumpang-terhempas-di-selatan-Siberia#ixzz2ScAFUj8t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat lama terhempas, juruterbang maut



Orang ramai menyaksikan kebakaran besar apabila sebuah pesawat lama terhempas ke atas sebuah hangar semasa pertujukan udara di lapangan terbang Cuatro Vientos, Madrid, Sepanyol, kelmarin. - Agensi
MADRID 6 Mei - Seorang juruterbang terbunuh, selepas sebuah pesawat lama yang dipandunya terhempas ke atas sebuah hangar sebelum meletup ketika mengadakan pertunjukan udara di barat daya bandar raya ini, semalam.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Sepanyol, Alfredo Florenza berkata, juruterbang terbabit, Ladislao Tejedor Romero, 35, meninggal dunia di hospital Getafe selepas mengalami luka parah.
Katanya, kejadian berlaku di lapangan terbang Cuatro Vientos disaksikan kira-kira 3,000 penonton apabila Romero yang juga pembantu Menteri Pertahanan, Pedro Morenes menerbangkan pesawat HA-200 Saeta dan terhempas, menyebabkan berlaku letupan besar.
"Punca kejadian masih disiasat," katanya.
Pesawat itu merupakan antara pesawat pertama menggunakan enjin kipas yang dihasilkan oleh syarikat Sepanyol, Hispano Aviacion sebagai pesawat latihan yang canggih pada era 50-an sebelum diubah suai menjadi pesawat penyerang.
Televisyen tempatan, RTVE turut merakamkan imej kepulan asap tebal yang menjulang tinggi dari kawasan hangar.
Saksi insiden itu berkata, pesawat berkenaan menjunam laju sebelum terhempas.
Pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA berkata, tiada mangsa lain terbunuh atau cedera dalam tragedi tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130507/lu_05/Pesawat-lama-terhempas-juruterbang-maut#ixzz2Sc9ta7N6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas 52 tan ganja mampat



MADRID 6 Mei - Polis Sepanyol merampas sebanyak 52 tan ganja mampat, satu rekod bagi negara Eropah serta menahan tiga suspek bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan dadah, kata polis, hari ini.
Polis dalam satu kenyataan berkata, dadah itu ditemui di sebuah gudang industri di selatan bandar Cordoba dan disimpan di dalam 1,700 bungkusan dengan setiap satu seberat 30 kilogram.
"Rampasan ini merupakan yang terbesar pernah dilakukan di Sepanyol dan juga satu rekod di Eropah selepas polis menemui 36 tan ganja mampat di dalam sebuah kapal yang menggunakan bendera Panama di pelabuhan Marin di barat laut Sepanyol pada 1996," kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, tiga tangkapan itu dibuat di Seville dan Huelva di wilayah selatan Andalusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_12/Polis-rampas-52-tan-ganja-mampat#ixzz2Sc9eNnke
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 terbunuh dalam protes berdarah di Dhaka




PERUSUH menutup sebatang jalan utama di Dhaka semalam sambil menuntut satu undang-undang antimenghina agama yang baru diwujudkan.


DHAKA - Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh apabila pasukan polis Bangladesh bertempur dengan ratusan ribu penganut Islam dari kumpulan Hefajat-e-Islam di sini semalam.
Jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman memberitahu, polis menggunakan bom tangan bunyi, meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan kira-kira 200,000 orang perusuh yang berkumpul di kawasan komersial utama bandar ini.
Mereka menuntut supaya satu undang-undang antimenghina agama yang baru diwujudkan. Namun, kerajaan menolak desakan itu dan menyatakan bahawa Bangladesh ditadbir oleh undang-undang sekular liberal.
"Kami terpaksa berbuat sesuatu kerana mereka terus bertindak ganas dan berkumpul di Motijheel. Mereka juga menyerang kami dengan batu, batang besi dan buluh. Perusuh bagaimanapun bersurai pada pagi semalam," kata Rahman.
Inspektor polis, Mozammel Haq di Hospital Kolej Perubatan Dhaka memberitahu, sebanyak 11 mayat dibawa ke sana. Ada antara mayat itu terkena tembakan dan seorang polis ditetak di kepala dengan parang. Pegawai hospital juga menyatakan, beratus-ratus yang lain cedera.
Perusuh bertindak menutup lebuh raya sambil menyatakan penganut ajaran Atheis mesti digantung. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2SYLLxx49 
Hakcipta terpelihara