Search This Blog

Monday, May 6, 2013

Kereta isteri pemantau SPR dibaling 'molotov cocktail'



MELAKA 5 Mei - Kereta milik isteri seorang pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) rosak selepas dilempar dengan bom botol "molotov cocktail" di Duyong di sini, awal hari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata dalam kejadian antara 3 dan 3.30 pagi tadi, isteri mangsa yang berumur 27 tahun tersedar daripada tidur selepas mendengar bunyi bising di luar rumah.
Mangsa yang kemudian keluar dari rumah ternampak bonet kereta jenis Perodua Myvi miliknya terbakar sebelum meminta bantuan dua lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu untuk memadamkan api tersebut.
"Polis masih menyiasat punca kejadian ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya suami mangsa tiada di rumah ketika kejadian.
Dalam kes lain, dua lelaki yang memakai baju kemeja-T berlogo sebuah parti politik dipukul sekumpulan lelaki dipercayai penyokong parti lawan, ketika melalui Lorong Pandan di sini, dalam dua kejadian malam semalam.
Beliau berkata dalam kejadian pertama pada 11.30 malam, seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun dipukul di bahagian kepala dengan kayu ketika melalui jalan itu, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana memakai topi keledar.
Katanya 15 minit kemudian, seorang pemuda berusia 21 tahun disepak di bahagian badan ketika melalui jalan sama.
Mangsa kedua juga tidak mengalami kecederaan, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130505/je_08/Kereta-isteri-pemantau-SPR-dibaling-molotov-cocktail#ixzz2SW6YBAoj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

39 terbunuh dalam pertempuran dua etnik di Nigeria



ABUJA 5 Mei - Pertempuran antara kumpulan etnik di negeri Taraba, timur Nigeria sejak Jumaat lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang.
Insiden berlaku di sebuah pekan kecil di Wukari apabila berlaku pertengkaran antara penduduk tempatan Hausa dengan pemuda Fulani yang kemudiannya bertukar menjadi pertempuran senjata api dan parang.
Jurucakap negeri Taraba, Joseph Kwaji berkata, sebanyak 32 orang turut cedera dan 40 lagi ditahan, manakala 40 rumah pula musnah akibat dibakar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130505/lu_08/39-terbunuh-dalam-pertempuran-dua-etnik-di-Nigeria#ixzz2SW4VZTxf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Akaun Twitter E! Online digodam



Paparan halaman Twitter E! Online yang menunjukkan akaun sosial laman web hiburan itu digodam oleh Tentera Elektronik Syria. - AGENSI
LOS ANGELES 5 Mei - Akaun Twitter laman web hiburan, E! Online, semalam dilaporkan digodam dan dikemas kini dengan pos palsu tentang penyanyi remaja, Justin Bieber dan pelakon, Angelina Jolie.
Mesej palsu pertama yang dipos pada kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia) itu memaparkan berita eksklusif kononnya penyanyi dari Kanada itu mendedahkan dia seorang gay.
Beberapa minit kemudian, pos baru dengan mesej 'Eksklusif: Selena Gomez memberitahu E! dia menyokong sepenuhnya Justin berhubung pengakuannya itu.'
Mesej palsu itu turut mendakwa Angelina Jolie mengaku dalam isu terbaharu E! bahawa Jordan perlu dipersalahkan berhubung situasi buruk yang dialami oleh pelarian Syria.
Aktiviti godam selama sejam itu didakwa dilakukan oleh Tentera Elektronik Syria.
Ini berikutan mesej terakhir yang dihantar menyatakan "Tentera Elektronik Syria di sini, peminat Justin Bieber, anda telah ditipu''.
E! Online kemudian menghantar pos menyatakan bahawa akaun mereka telah digodam dan beberapa maklumat palsu telah dipos. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_04/Akaun-Twitter-E-Online-digodam#ixzz2SW3LZhe3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik kilang ditahan dera pekerja



Polis Indonesia memeriksa sebuah kilang, lokasi pekerja-pekerja Indonesia dipercayai didera majikan mereka di Tangerang, Indonesia, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Mei - Polis Indonesia menahan seorang pemilik kilang dan empat mandur kerana didakwa mendera dan mengurung pekerja-pekerja mereka.
Ketua Detektif Jakarta, Shinto Silitonga berkata, pemilik kilang, Yuki Irawan dan empat mandur itu dituduh 'mendera dan menyekat kebebasan' 34 orang pekerja di kilang periuk aluminium haram di bandar Tangerang.
Polis yang mendapat maklumat bertindak menyerbu syarikat itu yang terletak di luar Jakarta pada Jumaat lalu.
Menurut Shinto, kesemua pekerja terdiri daripada lelaki, termasuk empat berumur 17 tahun, dipaksa bekerja sekurang-kurangnya 16 jam sehari dengan hanya diberi makan dua kali sehari dan tidak dibayar selama antara dua bulan dan setahun setengah.
"Mereka memberitahu kami mereka telah ditampar, disepak, ditolak, dibakar dengan puntung rokok dan dipaksa tidur di atas lantai konkrit serta tikar nipis.
"Mereka juga dikawal ketat supaya tidak melarikan diri," katanya.
Shinto berkata, kumpulan pekerja itu kini telah kembali ke kampung masing-masing.
"Keadaan mereka juga tidak terurus dengan pakaian koyak-rabak, badan dipenuhi kesan gigitan serangan dan ruam dan sesetengahnya sangat kurus, selain takut dengan orang," ujar Shinto.
Meskipun kebimbangan peningkatan kadar upah akan menyebabkan ahli perniagaan di negara ini berpindah ke negara jiran seperti Vietnam, pekerja kilang Indonesia masih menjadi antara pekerja yang menerima bayaran terendah di Asia, berbanding pekerja dari China dan India. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_02/Pemilik-kilang-ditahan-dera-pekerja#ixzz2SW2x8CaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

50 pengguna lebuh raya terselamat nahas 9 kenderaan


KEADAAN sebuah kereta Honda Jazz dihempap sebuah Bas Express KKKL yang terlibat dalam kemalangan di KM 202.4 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Johor tidak jauh dari plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel
ALOR GAJAH 5 Mei - Lebih 50 pengguna lebuh raya membabitkan 47 penumpang dari dua buah bas ekspres terselamat dalam dua nahas melibatkan sembilan buah kereta di Kilometer 202.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan petang ini.
Kejadian bermula kira-kira pukul 2.45 petang selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu Rashid Mohd. Hashim, 28, menekan brek secara tiba-tiba bagi mengelak merempuh sebuah kereta di hadapannya.
Berikutan itu, belakang Perodua Myvi berkenaan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra disusuli rempuhan berturut-turut dari belakang membabitkan Proton Waja, Pesona dan Toyota Vios.
Pada masa sama, sebuah bas ekspres dipandu Buyong Andak, 50, dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama 27 penumpang gagal mengelak lalu merempuh kelima-lima buah kenderaan tersebut.
Menurut jurucakap polis, bas itu kemudian terbabas masuk ke lorong tengah dan terseret sebelum terhenti di lorong kecemasan.
"Kejadian tersebut menyebabkan kesemua penumpang menjerit ketakutan namun mereka selamat meskipun ada beberapa penumpang yang cedera ringan," katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebuah lagi bas ekspres yang dipandu Mohd. Anuar Othman, 58, dari Terminal Bandar Selatan ke Melaka Sentral cuba mengelak kemalangan di hadapan sebelum turut terbabit kemalangan.
Mohd. Anuar mendakwa, ketika berada di lorong tengah dia melihat kemalangan di hadapannya dalam jarak 100 meter membabitkan sebuah bas ekspres dan lima buah kenderaan pelbagai jenis sebelum bas dipandu hilang kawalan.
"Saya cuba kawal bas supaya tidak rempuh deretan enam kenderaan terbabit, tiba-tiba semasa saya memaut stereng bas untuk masuk ke lorong kiri bas terus berpusing dan terbalik ke sebelah kanan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Azhar Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada pukul 2.57 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, seramai 22 anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah ke tempat kejadian mendapati kesemua mangsa dari dua lokasi terbabit sudah keluar ke tebing lebuh raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130506/je_01/50-pengguna-lebuh-raya-terselamat-nahas-9-kenderaan#ixzz2SVwFN0WO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima maut nahas berasingan



Keadaan kereta yang dipandu Mohd. Arman Md. Nor selepas merempuh jip di tepi sebuah kedai makan berhampiran Simpang Tiga Tanjung Mas di Kota Bharu, semalam.
MARANG 5 Mei - Seorang warga emas maut dirempuh sebuah motosikal ketika hendak melintas jalan di kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, malam tadi.
Mangsa Taib Mohd., 68 tahun, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Rhu Rengeh di sini dipercayai hendak menyeberangi jalan berkenaan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggangi remaja yang berusia 21 setelah gagal mengawal kenderaannya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja maut setelah motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Mohd. Afiq Mohd. Johari, 18, gagal memberi laluan kepada pemandu kereta yang membelok masuk ke tempat kejadian.
Di Kemaman, seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan ketika menyertai rombongan konvoi bermotosikal di Jalan Bukit Mentok, Chukai dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam berkata kepada Bernama, kejadian pada kira-kira pukul 9.15 malam itu berlaku apabila motosikal yang ditunggangi Syed Muhammad Arif Syed Yatim Mustafa dipercayai merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
"Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat, ketika kereta jenis Toyota dari arah Bukit Mentok membelok ke kanan, motosikal yang menuju ke Bukit Mentok itu bertembung dengan kereta terbabit.
Difahamkan remaja berusia 16 tahun itu menyertai konvoi motosikal bersama rakan-rakan lain malam tadi.
Di Kota Bharu, dua pemuda tidak sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selepas terbunuh dalam kemalangan berdekatan Simpang Tiga Tanjung Mas di sini setelah menyertai perarakan sebuah parti politik pada awal pagi ini.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Wira, Mohd. Arman Md. Nor, 25, dan penumpang belakangnya, Muhammad Khairuddin Shariff Abd Rahman, 21, setelah kenderaan dinaiki mereka itu merempuh sebuah jip yang diletakkan di bahu jalan.
Tiga lagi penumpang kereta tersebut cedera ringan manakala pemilik jip berkenaan yang sedang duduk di sebuah kedai makan bersebelahan turut cedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, insiden berlaku pada pukul 4.30 pagi setelah kereta Proton Wira itu terbabas ketika cuba mengelak daripada bergesel dengan sebuah motosikal di hadapan mereka lalu merempuh jip berkenaan.
"Kedua-dua mangsa dan tiga rakan mereka sebelum itu menyertai perarakan sebuah parti politik dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chempaka kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
"Selepas melanggar jip, kereta itu merempuh sebatang pokok menyebabkan pemandunya tersepit dalam kenderaan itu.
"Dia (Mohd. Arman) mati di tempat kejadian manakala Muhammad Khairuddin, penumpang di bahagian belakang pula menghembuskan nafas terakhir sebaik sahaja tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ2)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, abang Mohd. Arman, Mohd. Azhar, 32, berkata, adiknya yang masih bujang dan bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di sini sepatutnya bertugas di barung parti di sebuah pusat pengundian pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130506/je_02/Lima-maut-nahas-berasingan#ixzz2SVvkhKRD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis Mesir tahan pemuda tembak konvoi PM



KAHERAH 6 Mei - Polis Mesir menahan seorang pemuda yang melepaskan tembakan ke arah konvoi yang dinaiki oleh Perdana Menteri Hisham Kandil bersama empat temannya di sini, semalam.
Hishan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden yang disifatkan pihak berkuasa sebagai tidak bermotifkan politik itu.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, pemuda itu dalam perjalanan untuk menyelesaikan satu persengketaan ketika bertembung dengan konvoi Hisham dan dipaksa menjauhi konvoi itu oleh pengawal peribadi sehingga menyebabkannya berang dan melepaskan dua das tembakan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_05/Polis-Mesir-tahan-pemuda-tembak-konvoi-PM#ixzz2SVv34GmD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 maut penunjuk perasaan tempur polis Bangladesh



DHAKA 6 Mei - Sekurang-kurangnya 28 orang maut apabila polis Bangladesh bertempur dengan berpuluh ribu pengikut pergerakan Islam di sini, kata polis dan pegawai perubatan hari ini.
Jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman berkata, polis menggunakan bom tangan bunyi, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan sekurang-kurangnya 70,000 orang yang berkhemah di daerah komersial di sini bagi menggesa pelaksanaan undang-undang menghukum mereka yang menghina Islam.
"Kami terpaksa mengambil tindakan tersebut selepas mereka terus berkumpul secara haram di Motijheel.
"Mereka turut menyerang kami dengan batu-bata, batang besi dan batang kayu,’’ katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_06/28-maut-penunjuk-perasaan-tempur-polis-Bangladesh#ixzz2SVtzs8Mq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terima SMS palsu berkaitan video seks



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2013
KUALA DUNGUN – Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dungun awal pagi kelmarin oleh sekumpulan ahli Umno berikutan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima berkaitan pengedaran video seks melibatkan pemimpin parti pembangkang.

Pesanan ringkas yang dihantar ke beberapa telefon bimbit milik ahli Umno menyebut bahawa cakera video seks didakwa mirip pemimpin Pas Datuk Mustafa Ali itu boleh didapati di Pejabat Penyelaras Umno Dun Sura dan Pejabat Parlimen Umno.

Siasatan awal oleh ahli Umno terlibat mendapati, maklumat itu tidak benar dan ia disyaki satu tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana tidak harmoni menjelang pilihan raya umum.

Pengarah Strategi Pilihan Raya Umno Bahagian Dungun, Abdul Razak Ismail berkata, khidmat pesanan ringkas itu boleh menimbulkan persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat, sedangkan dakwaan terbabit sama sekali tidak benar.

Peguam syarie Aidil Zafuan maut



NUR SHARIEZA ISMAIL
5 Mei 2013
Peguam syarie Aidil Zafuan maut
Mohd Aidil Zafuan (kiri) bersama mangsa, Noor Ariff Delia Ramli pada 25 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban.
Peguam syarie Aidil Zafuan maut
Motosikal mangsa remuk akibat perlanggaran di tempat kejadian.
Peguam syarie Aidil Zafuan maut
Orang ramai berkerumun di tempat kejadian selepas kemalangan yang menimpa mangsa.
SENAWANG – “Hajat arwah untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama saya tidak kesampaian kerana dia memang teringin untuk berbuat demikian.
Sebelum ini, arwah selalu bercerita tentang motosikal dengan saya dan kami saling bertukar minat dan pandangan,” demikian kata pemain bola sepak kebangsaan,

Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 26, yang masih lagi terkejut dengan kemalangan yang menimpa peguam syarienya, malam kelmarin.

Mangsa, Noor Ariff Delia Ramli, 36, yang menunggang sendirian motosikal jenis Kawasaki Versys 650 mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di persimpangan Jalan Persiaran Senawang 1.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Senawang menuju ke Plaza Tol Senawang untuk ke Seremban 2. Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, dia gagal mengawal motosikalnya apabila lori tangki tersebut secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan.

Mohd Aidil Zafuan berkata, sebelum dimaklumkan oleh abangnya kira-kira jam 11 malam, dia dalam perjalanan balik dari Johor Bahru ke Seremban untuk mengundi di Sikamat hari ini.

“Sebelum sampai Seremban, saya berniat untuk keluar di Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Senawang, tetapi saya keluar di Plaza Tol Port Dickson.

“Kalau tidak, saya tentu sempat ke tempat kejadian, saya memang terasa ralat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di luar pekarangan bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) awal pagi, semalam.

Mohd Aidil Zafuan berkata, dia baru sahaja berhubung dengan arwah  berkaitan perkembangan kes perceraiannya dengan pelakon, Rita Rudaini.

“Itu kali terakhir saya berhubung dengan arwah dan selama ini arwah banyak membantu saya sekiranya saya menghadapi masalah. Arwah memang seorang yang periang dan ‘relax’ dan saya senang dengan keperibadiannya itu,” katanya yang telah mengenali Noor Ariff lebih empat tahun.

Ketika ditanya siapa yang akan mengambil alih tugas arwah dalam kes perceraiannya itu, katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan diambil. “Tengok macam mana dulu dan saya juga akan minta pandangan daripada pihak-pihak berkaitan yang boleh membantu saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Hamidi Izwan Ahmad Soffian, 37, berkata, petang sebelum kejadian, dia baru sahaja berjumpa arwah dan minum bersamanya di Ampangan.

“Arwah macam biasa seperti yang saya kenal dia sebelum ini. Tidak ada sebarang perubahan ketara pada dirinya. Cuma kebelakangan ini saya perasan status laman sosialnya banyak menceritakan tentang kematian dan nasihat berkaitan agama," katanya.

Allahyarham Noor Ariff meninggalkan isteri, Roslinda Ismail, 37, dan dua anak termasuk yang berusia setahun.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, daripada hasil siasatan, mangsa tidak sempat membrek motosikalnya di lokasi kejadian apabila lori tangki yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan untuk masuk ke satu kawasan kilang di situ.

“Selepas merempuh, mangsa kemudiannya melanggar sisi kiri kenderaan berat tersebut sebelum tercampak sejauh beberapa meter. “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Konvoi bawa padah



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Mei 2013
Konvoi bawa padah
Motosikal yang ditunggangi Syed Mohamad Arif rosak di bahagian depan.
CHUKAI - Keghairahan berkonvoi dengan bermotosikal beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepada parti, bertukar menjadi tragedi apabila seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 malam di Jalan Bukit Mentok-Kampung Tempurung dekat Pasaraya Mini Sunway itu, Syed Mohamad Arif Syed Yatim Mustafa cedera parah di kepala.

Mangsa yang dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman bertarung nyawa selama lebih sejam sebelum meninggal dunia kira-kira jam 10.53 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, semasa kejadian, Syed Mohamad Arif yang berasal dari Banggol Kiri, Chukai menghala dari arah persimpangan lampu isyarat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai ke Bukit Mentok dengan menaiki motosikal jenis Yahama RXZ secara berkumpulan.

“Kemalangan berlaku apabila MPV yang dinaiki tiga lelaki Cina dari arah Bukit Mentok menghala ke SMK Chukai membelok ke kanan untuk masuk ke simpang dan ketika itu motosikal melanggar kereta berkenaan.

“Akibatnya Syed Mohamad Arif tercampak ke atas jalan dan topi keledar yang dipakainya tercabut menyebabkannya cedera teruk di kepala,” katanya.

Pemandu MPV berumur 22 tahun yang berasal dari Taman Samudera, Binjai, Air Putih dan dua temannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah Syed Mohamad Arif dituntut ahli keluarga kira-kira jam 11.30 malam untuk dikebumikan.

60 nyaris maut nahas lebuh raya



NORIZZAH BAHARUDIN
6 Mei 2013
kemalangan
Keadaan bas dalam kemalangan kedua di Kilometer 202.4.
kemalangan
Keadaan bas dalam kemalangan kedua di Kilometer 202.4.
ALOR GAJAH - Lebih 60 pengguna lebuh raya nyaris maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan membabitkan 11 kereta dan dua bas ekspres di Kilometer 202.3, Lebuhraya Plus arah selatan, semalam.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2.45 petang di Kilometer 202.3, sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama 27 penumpang hilang kawalan sebelum merempuh lima kereta.
Difahamkan, bas ekspres berkenaan hilang kawalan berikutan jalan licin dalam cuaca hujan selepas cuba mengelak kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi.

Akibat kejadian, bahagian belakang Perodua Myvi berkenaan dirempuh sebuah Naza Citra disusuli rempuhan berturut-turut dari belakang membabitkan Proton Waja, Pesona dan Toyota Vios.

Menurut sumber, kejadian membabitkan lima kereta itu menyebabkan bas ekspres berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong tengah dan terseret sebelum terhenti di lorong kecemasan.

“Bas berkenaan hilang kawalan kerana mengelak dari terus merempuh belakang sebuah kereta di hadapan mengakibatkan bas terbabas dan berpusing di tengah lebuh raya sebelum berhenti di lorong kecemasan.

“Kejadian menyebabkan kesemua penumpang menjerit ketakutan, namun mereka selamat meskipun ada beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Penumpang bas, Zulkarnain Abd Rahman, 20, berkata, dia yang duduk hadapan terkejut apabila bas dinaiki di lorong kanan secara tiba-tiba menekan brek mengejut sebelum hilang kawalan masuk ke lorong kiri.

“Dalam keadaan panik, saya terpaksa berpaut pada tempat pemegang kerusi mengelak dari terus melayang dalam bas kerana bimbang bas akan terbalik selepas mengelak dan dengar seretan bunyi brek bas,” katanya.

Sementara itu, pemandu bas ekspres dalam kemalangan kedua, Mohd Anuar Othman, 58, dari arah Terminal Bandar Selatan ke Melaka Sentral mendakwa cuba mengelak beberapa kenderaan di hadapan.

Katanya, selepas bas menyenget ke kanan, dia terpaksa merempuh dua kenderaan manakala sebuah kereta di lorong kiri terus merempuh belakang bas yang terbalik.

“Selepas bas terhenti, saya minta penumpang keluar dari bas dengan menyusur tingkap yang pecah di sebelah kanan dan mendapati semua penumpang dalam keadaan selamat. Saya minta mereka lari ke bahu jalan.

“Mujur pemandu tiga kenderaan yang dihempap dengan bas berjaya keluar dengan sendiri dan mengalami kecederaan ringan manakala seorang pemandu kereta yang parah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK2 Azhar Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada jam 2.57 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Masjid Qadiani dibakar



Tasikmalaya: Sebuah masjid milik pengikut Qadiani di sini musnah selepas dibakar kumpulan tak dikenali, semalam.

Seorang penduduk, Asep Rahmat, 45, berkata, dia melihat berpuluh-puluh orang berkumpul di luar masjid berkenaan sebelum bangunan itu terbakar.


“Mereka tiba dengan motor dan kemudian melontar batu ke arah masjid itu,” katanya.


Menurutnya, selain masjid itu, beberapa rumah penduduk di sekitar turut rosak. - Republika

Ranbir ditahan, didenda



Mumbai: Pelakon Bollywood terkenal, Ranbir Kapoor ditahan seketika di Lapangan Antarabangsa Chhatrapati Shivaji International Airport di sini semalam kerana tidak mengisytiharkan barang mewah yang dibawanya.

Seorang pegawai berkata, Ranbir tiba dengan pesawat British Airways dari London didapati berjalan menerusi lorong hijau yang tidak memerlukannya membuat sebarang pengisytiharan.


Bagaimanapun, dia dipintas serta-merta oleh pegawai kastam dan didapati membawa barang berjenama serta aksesori peribadi bernilai kira-kira Rs100,000 (RM5,800) yang tidak diisytiharkannya.

Barangan itu termasuk pakaian, minyak wangi dan kasut.


Pelakon itu ditahan kira-kira setengah jam, disoal dan dan diarah membayar denda berjumlah Rs60,000 sebelum dibebaskan.

Lindsay akui ambil kokain beberapa kali



California: Lindsay Lohan (gambar) malam semalam berkata, dia mengambil kokain sebanyak empat atau lima kali.

Aktres Mean Girls itu turut mengakui dia menghisap ganja dan menikmati ecstasy tetapi menafikan pernah mengambil heroin atau LSD.


Lindsay, 26, sudah keluar masuk penjara lima kali. Dia sudah menjalani tempoh percubaan sejak 2007 apabila pertama kali ditangkap memandu dalam keadaan mabuk. Lindsay berkata mengenai kokain: “Semua orang merasakan saya mengambil kokain banyak kali.

“Tetapi saya hanya mengambilnya empat atau lima kali sepanjang hidup. Dan saya ditangkap dua kali.


“Itulah kebenarannya. Saya tidak pernah mengambil heroin, tidak pernah menyuntik diri dengan apa pun, tidak pernah mengambil LSD. Semua benda itu menakutkan saya.


“Yang jelas saya ada menghisap ganja. Dan ecstasy - saya lebih sukakannya berbanding dadah lain.” katanya.

YB gay Britain nafi merogol



London: Seorang ahli politik kanan Parti Konservatif Britain yang ditangkap kerana disyaki merogol dan melakukan serangan seks berkata, dakwaan ke atasnya palsu semata-mata.

Timbalan Speaker Parlimen Nigel Evans, 55, ditangkap kelmarin.

Dia disoal siasat berhubung kesalahan seks yang didakwa berlaku antara Julai 2009 dan Mac 2013.

Evans bagaimanapun dibebaskan semalam selepas diikat jamin.


Evans yang menjadi anggota Parlimen selama dua dekad ialah antara tokoh politik gay terkenal negara itu.


Katanya, tuduhan ke atasnya dibuat oleh ‘dua orang yang kenal baik antara satu sama lain’ yang dianggapnya sebagai rakan sehingga Jumaat lalu.

“Tuduhan itu palsu semata-mata dan saya tidak faham mengapa mereka melakukannya, lebih-lebih lagi kami bersahabat,” katanya kepada wartawan semalam.

Evans berkata, dia tidak merancang untuk meletak jawatannya sebagai timbalan speaker. - AP

Pengadil ditumbuk mati



Murray (Utah): Seorang pengadil bola sepak liga rekreasi yang cedera parah dan koma selepas ditumbuk seorang pemain remaja mati awal semalam.

Ricardo Portilli, 46, meninggal dunia di hospital tempat dia dirawat berikutan diserang ketika perlawanan bola sepak hujung minggu lalu, kata jurucakap polis, Justin Hoyal.

Polis mendakwa pemain berusia 17 tahun itu menumbuk Portillo selepas dia melayangkan kad kuning kepada pemain itu kerana bermain kasar.

“Suspek berada dekat dengan Portillo dan menumbuk mukanya ekoran tindakan pengadil itu,” katanya dalam sidang akhbar.


Remaja itu diletakkan dalam tahanan juvana atas tuduhan melakukan serangan berat. - AP

Mahgribi dicengkam skandal daging anjing



Rabat: Pihak berkuasa Maghribi melancarkan siasatan berhubung perdagangan daging anjing secara haram selepas 37 bangkai haiwan itu ditemui di dalam van seorang tukang sembelih.

Polis menemui bangkai berkenaan selepas menahannya di tengah Casablanca kerana kesalahan trafik. Pemandu itu memberitahu polis, dia bercadang menjual bangkai itu di restoran di kawasan kediaman penduduk miskin bandar itu, tempat daging anjing berkenaan biasanya dibuat sosej.


Memelihara anjing dan memakan dagingnya menjadi isu kontroversi di Maghribi, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sejak beberapa tahun lalu. Seorang pemilik restoran dipenjara enam tahun pada 2009 selepas didapati bersalah menyajikan daging anjing yang didakwanya daging lembu.

Cedera dibelasah lima lelaki


Alor Gajah: Dua petugas lelaki sebuah parti politik cedera dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai daripada parti lawan di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 37 dan 20 tahun diserang menggunakan topi keledar, kerusi kayu dan besi pengunci motosikal oleh lima lelaki di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau Panjang kira-kira jam 3.45 petang.


Sumber berkata, ketika kejadian lelaki berusia 20 tahun yang berada di dalam bilik PDM berkenaan didatangi lima lelaki yang mengejeknya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Kumpulan lelaki itu kemudian menyerbu masuk ke dalam bilik dan terus menyerang mangsa menggunakan topi keledar dan mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri terjatuh.


“Mangsa terus dibelasah dan turut diserang menggunakan kerusi selain dipijak kumpulan lelaki terbabit walaupun merayu dilepaskan,” katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, rakan mangsa yang berusia 37 tahun itu sebaik menyedari kejadian datang untuk membantu namun dia turut dilibas menggunakan besi pengunci motosikal menyebabkannya cedera di belakang badan.

Katanya, keadaan menjadi bertambah kecoh dan lima lelaki itu melarikan diri ke arah bilik gerakan sebuah parti terletak kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.


Mangsa kemudian mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Alor Gajah dan membuat laporan polis tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bertindak atas kejadian itu, dua lelaki ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


“Dua lelaki terbabit dipercayai penyokong sebuah parti ditahan beberapa jam selepas kejadian manakala kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Ajal lintas jalan pergi surau



Marang: Hasrat seorang warga emas mengundi buat kali ke-10 tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar motosikal di Kilometer 12.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, Taib Mohd, 70, dari Kampung Rhu Renggeh di sini, yang dalam perjalanan ke surau untuk solat Isyak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Kejadian berlaku ketika Taib yang melintas jalan apabila dilanggar motosikal Yamaha 125Z dipercayai ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun.

Anak mangsa Abdul Aziz, 42, berkata, menjadi rutin harian arwah ke surau yang terletak 500 meter dari rumah dengan berjalan kaki untuk solat Maghrib dan Isyak.


Katanya, dia difahamkan sebelum kemalangan itu, arwah minum di warung berhampiran tempat kejadian dan bergegas ke surau berkenaan apabila hampir tiba waktu solat.


“Ketika kemalangan, saya berada di rumah sebelum seorang jiran datang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

“Saya ingatkan arwah hanya kemalangan biasa, tetapi sebaik sampai di tempat kejadian, saya dapati dia sudah meninggal dunia.


“Difahamkan arwah masih bernyawa selepas dilanggar dan beberapa orang yang melihat kejadian itu sempat mengajarnya mengucap,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, tetapi ada menyatakan hasrat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 semalam.


Dalam kejadian berasingan, seorang remaja, Wan Mohd Afiq Wan Mohd Johariman, 18, maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, di sini, kelmarin.


Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dari Kampung Padang Pak Wan Rawai, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan kemalangan itu dan berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

Helah upah kupas bawang



Raub: Seorang wanita sanggup mempergunakan anak gadisnya sendiri untuk menjalankan kegiatan penipuan, tetapi malang kerana kedua-dua mereka diberkas polis kerana menipu empat warga emas mengakibatkan kerugian RM6,000 di Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun, diberkas sepasukan anggota polis ketika berada dalam kereta Perodua Alza yang disewa di Kuala Lumpur.


Sebelum kejadian, wanita terbabit ke Kuala Lumpur bersama anaknya dan menyewa kenderaan di sebuah syarikat agensi kereta sewa lalu memandunya ke Bentong.


Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, di Bentong, wanita itu dikatakan menyamar sebagai ejen mencari pekerja sambilan dan membuat tawaran pekerjaan kepada seorang suri rumah berusia 40 tahun yang ditemui di bandar Bentong.


Menurutnya, siasatan mendapati ketika berbincang mengenai pekerjaan ditawarkan, wanita terbabit menawarkan gaji RM8 sehari untuk mengupas sekilogram bawang dan RM450 sebulan untuk mengasingkan sekilogram ikan bilis.


Katanya, mangsa yang berminat bekerja secara sambilan, dibawa suspek untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Bentong.

“Ketika mangsa melakukan pemeriksaan, suspek mengambil kesempatan melarikan beg wanita itu dan memecut kenderaan sewanya menghala ke Raub.


“Tiba di Raub, wanita terbabit bersama anaknya ke Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, sebelum berhenti di depan sebuah rumah didiami seorang wanita warga emas berusia 60 tahun,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit dikatakan menggunakan taktik sama untuk menipu mangsa sehingga meyakinkan warga emas berkenaan yang kemudian mengajak dua lagi rakannya, juga warga emas berusia 70-an untuk bekerja sambilan.


Katanya, terbabit membawa semua mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di bandar ini dan sekali lagi mengambil kesempatan melarikan diri bersama beg mangsanya ketika semua mangsa melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik berkenaan.


Menurutnya, tiga warga emas terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran dan melalui pengecaman nombor pendaftaran kereta dipandu suspek, polis menahannya pada jam 5.25 petang ketika sedang meronda di bandar ini sebelum dibawa ke Balai Polis Raub.


“Suspek turut mengaku menipu seorang suri rumah di Bentong dan mendakwa anak gadisnya hanya duduk di dalam kenderaan ketika dia menipu semua mangsa,” katanya.


Menurutnya, wanita terbabit yang mempunyai enam rekod jenayah, diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan kes penipuan pertama dilakukannya di bandar itu.


Katanya, bagi kes di Raub, wanita itu akan ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ular ‘temani’ solat Isyak

Foto
ULAR yang menjadi makmum solat Isyak sebelum dilepaskan.
Bagan serai: “Saya hanya berserah kepada Allah SWT tidak dipatuk ular berbisa itu dan dapat menyempurnakan solat secepat mungkin,” kata Md Yassin Saari, 53, apabila seekor ular muncul ketika dia menunaikan solat Isyak di rumahnya, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, dia menunaikan solat bersendirian di bilik utama di rumahnya di Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, sebelum terkejut dengan kehadiran ular itu .

“Ketika itu, saya sedang tahayat akhir dan tiba-tiba perasan kehadiran ular itu yang tiba-tiba berada di sebelah kiri saya. “Saya yang ketakutan menyempurnakan solat tergesa-gesa kerana bimbang ular itu masuk dalam kain saya,” katanya.
Md Yasin berkata, selepas selesai mengerjakan solat, dia bersama anaknya berusaha menghalau ular berbisa itu keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan mereka.

“Saya tidak tergerak hati membunuhnya kerana percaya ada hikmah di sebalik kehadirannya di sisi saya ketika menunaikan solat.

“Selepas mengusir ular itu keluar dari rumah, saya mengambil keputusan melepaskan dan membiarkannya menyusuri hutan berdekatan rumah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

“Tuhan melindungi saya daripada dicederakan ular itu. Ini semua kuasa Allah,” katanya.

Lelaki telan dadah mati dalam pesawat



RIYADH: Sebuah pesawat penumpang Qatar melakukan pendaratan cemas di Arab Saudi selepas seorang lelaki Tanzania jatuh sakit sebelum meninggal dunia akibat menelan dadah di dalam tubuhnya, lapor sebuah akhbar Arab Saudi semalam.

Pesawat Qatar Airways sedang dalam perjalanan dari Brazil ke Doha apabila juruterbang menghubungi lapangan terbang di ibu negara Arab Saudi dan meminta kebenaran untuk mendarat pada malam Selasa.
Juruterbang berkenaan berkata beliau membuat pendaratan cemas selepas seorang penumpang sakit serius dan memerlukan rawatan segera di hospital, lapor harian Sabq.

“Selepas mendarat, pemeriksaan mendapati bahawa penumpang mati 50 minit sebelum itu. Beberapa kapsul dadah ditemui tersembunyi di dalam pakaiannya dan di tandas,” katanya.

Difahamkan penumpang terbabit menelan dadah dalam perutnya dan ke bilik air untuk mengeluarkannya. Dipercayai beberapa kapsul dadah lain masih berada dalam perutnya ketika dia meninggal dunia. – AGENSI

Gadis tunggang motosikal baharu maut




ORANG ramai melihat mayat Siti Khadija yang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan treler membawa muatan bawang di Melaka kelmarin.


MELAKA – Kegembiraan seorang remaja perempuan bergaya dengan motosikal yang baru dibeli tidak berpanjangan apabila dia maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Katil-Duyong di sini kelmarin.
Kejadian pukul 8.50 malam itu dikatakan berlaku apabila motosikal jenis Honda Dash ditunggang Siti Khadija Mazlan, 19, bergesel dengan sebuah treler membawa muatan bawang.
Difahamkan, sebelum kejadian gadis tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Duyong.
Jurucakap polis berkata, selepas bergesel, mangsa telah terjatuh sebelum digilis tayar belakang treler berkenaan.
“Mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2SUjmiSN3 
Hakcipta terpelihara 

Kereta isteri pemantau kena bom botol



Melaka: Kereta milik isteri seorang pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) rosak selepas dilempar dengan bom botol 'molotov cocktail' di Duyong di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye, berkata dalam kejadian antara 3 dan 3.30 pagi itu, isteri mangsa yang berumur 27 tahun tersedar daripada tidur selepas mendengar bunyi bising di luar rumah.
Mangsa yang kemudian keluar dari rumah ternampak bonet kereta jenis Perodua Myvi miliknya terbakar sebelum meminta bantuan dua lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu untuk memadamkan api itu.

“Polis masih menyiasat punca kejadian ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya suami mangsa tiada di rumah ketika kejadian.

Penunggang motosikal dipukul

Dalam kes lain, dua lelaki yang memakai baju kemeja-T berlogo sebuah parti politik dipukul sekumpulan lelaki dipercayai penyokong parti lawan, ketika melalui Lorong Pandan di sini, dalam dua kejadian malam kelmarin.
Beliau berkata dalam kejadian pertama pada 11.30 malam, seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun dipukul di bahagian kepala dengan kayu ketika melalui jalan itu, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana memakai topi keledar.

Katanya 15 minit kemudian, seorang pemuda berusia 21 tahun disepak di bahagian badan ketika melalui jalan sama.

Beliau berkata, mangsa kedua juga tidak mengalami kecederaan. - Bernama

Tiga maut kemalangan berasingan



MARANG - Seorang warga emas maut dirempuh sebuah motosikal ketika hendak melintas jalan di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini kelmarin.
Mangsa Taib Mohd., 68, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di kepala dan badan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Rhu Rengeh di sini dipercayai hendak menyeberangi jalan berkenaan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggang remaja yang berusia 21.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Mohd. Afiq Mohd. Johari, 18, gagal memberi laluan kepada pemandu kereta yang membelok masuk ke tempat kejadian.
Akibat pertembungan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Pak Wan Rawai, di sini, meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2SUh1NS4r 
Hakcipta terpelihara 

Penumpang panik bas terbalik



SERAMAI 20 penumpang sebuah bas ekspres panik selepas kenderaan itu terbalik dalam nahas di Ayer Keroh, Melaka semalam.


ALOR GAJAH - Seramai 20 penumpang sebuah bas panik apabila kenderaan itu terbalik selepas terlibat dalam kemalangan yang melibatkan dua buah bas ekspres dan sembilan kereta di Kilometer 202.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan semalam.
Difahamkan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka ketika kejadian pukul 2.45 petang itu berlaku.
Pemandu bas itu, Mohd. Anuar Othman, 58, berkata, sebelum kejadian dia cuba mengelak deretan enam buah kenderaan termasuk sebuah bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan sebelum itu.
"Saya memaut stereng ke kiri menyebabkan bas berpusing dan terbalik ke kanan sebelum menghempap pula dua buah kenderaan.
"Dua buah kereta kemudian merempuh belakang bas. Saya sempat menjerit kepada penumpang supaya tidak panik dan pegang kuat-kuat tempat duduk," katanya ketika ditemui.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2SUgNqJQO 
Hakcipta terpelihara 

Angka kematian kilang runtuh cecah 610 orang



PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang sudah reput daripada runtuhan bangunan kilang pakaian di Savar, dekat Dhaka, Bangladesh kelmarin.


DHAKA - Angka kematian kejadian bangunan runtuh di sini disahkan meningkat kepada 610 orang semalam, selepas puluhan mayat berjaya dikeluarkan daripada timbunan konkrit kilang sembilan tingkat itu, kata pasukan tentera.
Bangunan Rana Plaza yang menempatkan lima kilang pakaian itu runtuh pada 24 April lalu menyebabkan lebih 3,000 pekerja terperangkap, bagaimanapun 2,437 yang lain terselamat.
Sumber rasmi memberitahu, sejumlah mayat yang dikeluarkan hilang beberapa anggota badan dan reput, sekali gus menyukarkan lagi proses pengecaman.
"Kami mengenal pasti sebahagian daripada mangsa melalui telefon bimbit yang ditemui di dalam poket atau kad pekerja mereka," kata Timbalan Pentadbir daerah Dhaka, Zillur Rahman Chowdhury yang turut menjangkakan lebih banyak mayat ditemui tidak lama lagi.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati gegaran kuat empat generator gergasi di tingkat atas menjadi punca runtuhan bangunan tersebut.
Seorang jurutera, Masood Rezam memberitahu, pihaknya telah mereka bentuk struktur bangunan tersebut untuk dijadikan pusat beli-belah dan pejabat, bukannya kilang.
Sehingga kini, polis telah menahan 12 orang termasuk pemilik plaza dan empat pemilik kilang pakaian yang memaksa pekerja mereka bekerja pada 24 April lalu, walaupun sudah menyedari ada keretakan pada struktur bangunan beberapa hari sebelum insiden itu berlaku.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2SUW0EOPV 
Hakcipta terpelihara