MELAKA - Kereta milik isteri seorang pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) rosak selepas dilempar dengan bom botol 'molotov cocktail' di Duyong di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata dalam kejadian antara 3 dan 3.30 pagi tadi, isteri mangsa yang berumur 27 tahun tersedar daripada tidur selepas mendengar bunyi bising di luar rumah.

Mangsa yang kemudian keluar dari rumah ternampak bonet kereta jenis Perodua Myvi miliknya terbakar sebelum meminta bantuan dua lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu untuk memadamkan api tersebut.

"Polis masih menyiasat punca kejadian ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya suami mangsa tiada di rumah ketika kejadian.
 
Dalam kes lain, dua lelaki yang memakai baju kemeja-T berlogo sebuah parti politik dipukul sekumpulan lelaki dipercayai penyokong parti lawan, ketika melalui Lorong Pandan di sini, dalam dua kejadian malam semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pertama pada 11.30 malam, seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun dipukul di bahagian kepala dengan kayu ketika melalui jalan itu, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana memakai topi keledar.

Katanya 15 minit kemudian, seorang pemuda berusia 21 tahun disepak di bahagian badan ketika melalui jalan sama.

Mangsa kedua juga tidak mengalami kecederaan, katanya. - Bernama