Search This Blog

Saturday, May 4, 2013

3 lagi mayat pengganas ditemui



 
Kota Kinabalu: Pasukan keselamatan menemui tiga lagi mayat pengganas di Tanjung Batu dekat Lahad Datu kelmarin, menjadikan jumlahnya 59 mayat ditemui setakat ini sejak Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu.

Ketiga-tiga mayat yang reput dan lengkap berpakaian tentera pengganas selatan Filipina itu, ditemui dalam kawasan semak jam 2 petang, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata pasukan keselamatan turut menemui selaras senapang garrand, beberapa butir peluru dan dokumen berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.

“Kita percaya mereka terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan pada awal Ops Daulat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Hamza berkata, tiga mayat terbabit dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan mengikut cara Islam, sama seperti mayat lain yang dibawa keluar dari kawasan operasi.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan ada lagi mayat belum ditemui di kawasan Ops Daulat.

Setakat ini, beliau berkata, seramai 71 pengganas ditembak mati manakala yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ialah 184 orang dengan 31 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.
Hamza turut memberi jaminan keadaan keselamatan di Lahad Datu terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi esok.

Peniaga pasar raya mini parah kena tembak



 
Melaka Tengah: Seorang peniaga pasar raya mini parah ditembak dalam kejadian samun di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, berkata Lee Khong Fook, 42, baru memulakan perniagaan kira-kira jam 6.45 pagi.
"Dia kemudian didatangi seorang lelaki bertopi keledar yang meluru masuk ke kedai dan cuba merampas beg pinggang mangsa yang dipercayai mengandungi wang.

“Ketika bergelut dengan suspek, mangsa cuba melarikan diri tetapi dikejar suspek yang membawa kayu.

“Bagaimanapun, rakan suspek yang menunggu di luar dipercayai melepaskan tembakan dan terkena lengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek melarikan diri menaiki motosikal sebaik menyedari mangsa tercedera.

Salehhudin yang parah di lengan dikejarkan ke Hospital Melaka dan dilaporkan stabil.
Katanya, polis menemui dua kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter dan tiga lagi yang belum digunakan.

Dituduh kunci dua peti undi




 
Wakil calon DAP guna mangga sendiri

Kajang: Seorang wakil calon DAP bagi Parlimen Serdang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan mengunci dua peti undi menggunakan kunci sendiri selepas proses pengundian awal, Selasa lalu.
Susan Lee Pek Sim, 54, seorang perunding hartanah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Abdul Jalil Salam Mohamad.

Tiada kuasa

Mengikut pertuduhan, Pek Sim tanpa kuasa yang sepatutnya, mengunci dua peti undi yang digunakan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menggunakan mangga kunci sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dewan Markas Tentera 21, Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah), Kajang Utama, pada jam 7.15 malam, 30 April lalu.

Pek Sim didakwa mengikut Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh dihukum maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikat jamin RM2,500

Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Hazwani Omar, menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam New Sin Yew yang mewakili tertuduh, memohon jaminan tertuduh dikurangkan kepada RM1,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun ini untuk sebutan kes.

Warga kita disyaki keldai dadah ditahan Singapura


 
Kuala Lumpur: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 35 tahun dipercayai 'keldai dadah', ditahan Pusat Biro Narkotik (CNB) di Singapura selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

Turut ditahan, enam lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Suspek rakyat Malaysia ditahan Selasa lalu, dikatakan meletak beg plastik disyaki mengandungi heroin dalam pelongsor sampah di sebuah blok di daerah Yishun sebelum diambil anggota sindiket.

Sumber berkata, risikan pihak berkuasa tempatan mendapati seorang lelaki warga Singapura berusia 48 tahun dilihat di tempat kejadian menaiki sebuah kereta dan mengambil beg plastik berkenaan.

“Sebaik menyedari dirinya diperhatikan, lelaki itu cuba melarikan diri dan mencampakkan beg berkenaan bagi mengelak ditahan tetapi sempat ditangkap pegawai CNB.

Ditemui semula

“Beg yang dibuang suspek ditemui semula dan pemeriksaan mendapati ia mengandungi dadah seberat 0.23 kilogram (kg),” katanya.
Sumber berkata, lelaki warga Malaysia terbabit ditahan beberapa jam selepas penahanan pertama ketika menunggang motosikal di daerah Hougang.

“Pegawai CNB turut merampas dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.8 kg, dianggar bernilai lebih RM450,000 daripada lelaki itu.

“Susulan penahanan berkenaan, pegawai CNB menahan lima lagi suspek warga Singapura berusia dalam lingkungan 30 hingga 54 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan sama,” katanya.

Difahamkan, keseluruhan dadah adalah seberat 2.1 kg dan dianggar bernilai RM550,000.

RM100,000 hilang dalam tiga minit

RM100,000 hilang dalam   tiga minit
Anggota forensik memeriksa sekitar kedai emas dalam kejadian rompakan di Jalan Othman, Petaling Jaya. - Foto Mior Azfar Mior Kamarulbaid

 Petaling Jaya: Seorang pemilik kedai emas kerugian lebih RM100,000 dalam tempoh tiga minit selepas disamun empat penjenayah di premisnya di Jalan Othman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, empat lelaki bertopi keledar berpenutup muka, dilihat memasuki kedai emas yang baru sejam dibuka itu selepas melepaskan satu das tembakan amaran.
Enam pekerja dan seorang pelanggan yang berada dalam kedai berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana dua daripada empat penjenayah dilihat bersenjatakan pistol.


Penjenayah terbabit memecahkan cermin kaunter menggunakan dua tukul besi dan kapak sebelum mengaut barang kemas dipamerkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi berkata, rompakan berlaku dalam tempoh tiga minit sebelum suspek melarikan diri menaiki dua motosikal.

“Lokasi kejadian sudah diperiksa pasukan forensik dan kita menemui beberapa bukti termasuk dua tukul besi dan sebilah kapak yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin pameran.

“Semua pekerja dan pelanggan di premis itu tidak dicederakan manakala polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, pengurus restoran berhampiran kedai emas terbabit, Ajimir Mustafa, 40, berkata beliau berada di kaunter ketika terdengar bunyi tembakan.

“Saya dan beberapa pekerja serta pelanggan lari ke belakang kedai untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Korban bangunan runtuh Bangladesh kini 500 orang

Korban bangunan runtuh Bangladesh kini 500 orang
Seorang wanita memeriksa mayat mangsa bangunan runtuh di pinggir Dhaka, untuk mencari anggota keluarganya yang masih hilang semalam.

 DHAKA: Lebih 500 mayat ditemui dari sebuah bangunan kilang pakaian yang runtuh di sini minggu lalu, kata pihak berkuasa semalam selepas menahan seorang jurutera yang memberi amaran bangunan itu tidak selamat namun turut dituduh membantu pemilik menambah tiga lagi tingkat secara haram kepada struktur bangunan itu.

Abdur Razzak Khan bekerja sebagai perunding di Rana Plaza apabila pemiliknya membuat tambahan struktur secara haram kepada bangunan lima tingkat miliknya, kata pegawai polis Ohiduzzaman. Khan ditahan kelmarin atas tuduhan cuai.
Pemilik Rana Plaza, Mohammed Sohel Rana memanggil Khan memeriksa bangunan itu selepas ia merekah pada 23 April lalu, lapor media tempatan.


Malam itu, Khan muncul dalam sebuah stesen televisyen swasta mengatakan selepas pemeriksaan, dia memberitahu Rana untuk mengosongkan bangunan kerana ia tidak selamat diduduki.

Khan, seorang bekas jurutera di Universiti Jahangirnagar berhampiran Savar, berkata dia menarik perhatian jurutera kerajaan supaya bangunan itu diperiksa lebih lanjut.

Polis mengarahkan bangunan itu dikosongkan, namun saksi mengatakan Rana memberitahu pekerja yang berkumpul di luar pagi berikutnya bahawa bangunan itu selamat dan pengurus kilang pakaian memberitahu pekerja untuk masuk ke dalam. Bangunan itu bagaimanapun runtuh beberapa jam kemudian.

Datuk Bandar perbandaran Savar yang dipilih, Mohammad Refatullah juga digantung tugas kerana dakwaan cuai dalam meluluskan reka bentuk dan pelan bangunan runtuh itu, kata Abu Alam, seorang pegawai atasan dalam kementerian kerajaan tempatan.
Alam berkata satu siasatan rasmi mendapati datuk bandar itu tidak mengendahkan peraturan dalam meluluskan reka bentuk dan pelan.

Datuk bandar itu adalah daripada parti pembangkang utama Bangladesh, Parti Nasionalis (BNP) dan pembangkang BNP mengkritik penggantungan itu sebagai bermotif politik. -AP 

Lombong emas Darfur runtuh



 
Khartoum: Media Sudan memetik seorang pegawai di Darfur Utara sebagai berkata bahawa sebuah lombong emas runtuh di wilayah itu dengan 60 pelombong dikhuatiri terperangkap.

Cubaan untuk menghubungi pegawai terbabit kelmarin bagi mengesahkan kejadian di kawasan terpencil di Saraf Umra gagal.

Kawasan itu, selatan ibu kota wilayah Darfur Utara, menyaksikan keganasan puak awal tahun ini berhubung hak melombong. AP

Bunuh anak aibkan keluarga



Di depan kira-kira 300 penduduk kampung, seorang lelaki menembak kepala, perut dan pinggang anak perempuannya dalam pelaksanaan hukuman mati awam disaksikan pemimpin agama setempat di Afghanistan.

Hanya dikenali sebagai Halima, wanita berusia antara 18 dan 20 tahun serta ibu kepada dua anak itu dibunuh kerana mengaibkan keluarganya selepas dia menjalin hubungan dengan lelaki lain. Insiden itu juga membuktikan bagaimana Afghanistan masih bergelut untuk melindungi wanita lebih 11 tahun selepas kerajaan Taliban digulingkan. Polis di wilayah Badghis, barat laut Afghanistan berkata, Halima dituduh mengikut seorang sepupu lelaki ketika suaminya berada di Iran.


Untuk mengatasi kemelut itu, bapa Halima mendapatkan nasihat daripada ulama disokong Taliban.


Ketua Polis Wilayah Badghis, Sharafuddin Sharaf berkata, pengunjung masjid dan penduduk kampung mula mengejek bapa Halima disebabkan insiden itu. “Seorang ulama tempatan yang mengendalikan sebuah sekolah agama memberitahu, Halima mesti dihukum mati di khalayak ramai.


“Justeru, lelaki terbabit membunuh Halima dengan tiga das tembakan seperti diarahkan pemimpin agama,” katanya.


Menurut Sharafuddin, polis pergi ke kampung itu dua hari kemudian tetapi gagal membuat sebarang tangkapan kerana keluarga terbabit sudah melarikan diri. Sementara itu, Amnesty International berkata, insiden 22 April lalu di Kampung Kookchaheel itu adalah bukti jelas menunjukkan sejauh mana kawalan polis ke atas kebanyakan kawasan di Afghanistan. Penyelidiknya, Horia Mosadiq berkata, keganasan ke atas wanita terus menjadi penyakit di Afghanistan.

“Pelakunya sering terlepas daripada tindakan,” katanya.

Tewaskan beruang seorang diri


NR
Percutian hujung minggu satu keluarga untuk memerhati burung di Semenanjung Kenai hampir berakhir dengan tragedi apabila seekor beruang perang tiba-tiba menyerang mereka, semalam.

Terdesak untuk menyelamatkan keluarganya, seorang ahli biologi hidupan liar dan penduduk Alaska, Toby Burke terpaksa menghadapi beruang itu hanya dengan tangan kosong.


Burke bernasib baik kerana hanya calar-calar pada badan sebelum anggota keselamatan tiba tidak lama kemudian untuk menembak mati haiwan liar berkenaan. Sebelum itu, Burke, 48, yang bertugas sebagai juruteknik biologi di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kenai keluar bersama isteri, Laura, serta tiga anak mereka, Grace, 11; Damien, 8; dan Camille, 7 bulan, menuju Pantai Sungai Kasilof.


Dalam suhu sejuk -1 darjah Celsius, mereka leka cuba mengesan burung di udara ketika seekor beruang tiba-tiba muncul kira-kira 400 meter dari mereka.


Kata Burke, beruang itu kelihatan bermasalah dan berdasarkan pengalamannya, dia nampak haiwan berkenaan tidak begitu sihat.


Katanya, dia tidak begitu bimbang pada peringkat awal dan mereka terus memerhatikan burung.

“Tidak lama kemudian, kami tidak melihat beruang itu dan kami meneruskan perjalanan.


“Hanya beberapa detik kemudian, kami nampak beruang itu mula berlari ke arah kami dari jarak kira-kira 15 meter,” katanya. Dalam usaha menakutkan haiwan itu, mereka menggerak-gerakkan tangan masing-masing, selain membuat bising tetapi sebaliknya ia semakin deras berlari. Menyedari keadaan genting itu, Burke mengarahkan Laura dan anak-anaknya berdiri di belakangnya. Kata Lisa, ketika beruang itu berdepan dengan suaminya, Damien cuba lari tetapi Burke melarang.

“Burke menyuruh kami tidak berpecah,” katanya. Burke kemudian mencapai apa saja yang termampu sebagai senjata - dan tangannya hanya dapat memegang teropong burung yang disambung kepada tripod.


Kata Burke, dia menghalakan teropong ke mulut beruang berkenaan bagi menghalaunya, tetapi gagal.


“Saya kemudian menggunakan kaki tripod yang tajam untuk mencucuk muka haiwan itu tetapi gagal menakutkannya, sebaliknya dia menampar alat itu menyebabkan ia terlepas dari tangan,” katanya.


Dalam keadaan tiada apa-apa di tangan, Burke terpaksa berdepan dengan beruang dan menumbuk muka haiwan itu dengan tangan kanan selepas tangan kirinya ditekan. Selepas bergelut beberapa ketika, beruang itu melarikan diri.

Kejutan isteri dodoi anak


“Ketika asyik menjaga dan mendodoikan anak tidur, saya dikejutkan dengan bunyi tembakan dilepaskan seseorang dari tingkat bawah premis didiami kami sekeluarga.

“Sejurus turun, saya mendapati suami cedera di lengan akibat ditembak penyamun,” kata Yap Siew Hui, 32, isteri kepada seorang pemilik kedai runcit yang cedera ditembak penjenayah dalam cubaan samun di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir, semalam.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, Lee Khong Fook, 42, bersendirian di premis perniagaan berkenaan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar jam 6.45 pagi. Seorang daripada suspek meluru masuk ke dalam kedai yang baru dibuka itu dan cuba merampas beg pinggang dipakai mangsa sehingga berlaku pergelutan.

Melihat suspek mahu melarikan diri, mangsa yang memegang sebatang kayu cuba mengejar, namun seorang daripada penjenayah itu melepaskan tembakan yang mengena lengan kanannya.


Bapa kepada seorang anak itu dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.


Menurut Yap, ketika kejadian, dia dan anak perempuannya berusia tiga tahun berada di tingkat atas premis dua tingkat berkenaan.

“Dia (suami) turun membuka kedai runcit kami kira-kira jam 5 pagi. Pada waktu itu saya memberitahunya akan menyusul kemudian kerana mahu menjaga anak terlebih dulu,” katanya, semalam.


Turut berada di tempat kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman.

Yap berkata, kejadian itu kali pertama menimpa mereka sekeluarga sejak berniaga di kawasan berkenaan empat tahun lalu.


Sementara itu, Salehhudin berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan.


“Polis juga menemui dua kelongsong peluru bersaiz sembilan milimeter dan tiga lagi peluru yang masih belum digunakan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan iaitu samun dan mendatangkan kecederaan serta Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Seorang kawal keluarga, tiga lagi geledah rumah


Temerloh: Seorang ahli perniagaan yang sedang berehat bersama keluarga di rumah di Taman Bahagia Court dekat sini, menempuh detik cemas apabila didatangi empat tetamu tidak diundang yang bersenjatakan parang dan kuku kambing sebelum mereka disamun mengakibatkan kerugian RM43,000, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun bersama keluarganya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan empat penyamun terbabit melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletak tidak jauh dari rumah mangsa.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, sebelum kejadian empat penyamun terbabit berhenti di depan rumah mangsa sebelum menceroboh masuk.


Menurutnya, ketika berada dalam rumah mangsa, empat suspek terbabit mengacukan parang dan kuku kambing sambil mengarahkan mangsa bersama ahli keluarganya supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan.


Katanya, seorang daripada suspek mengawal semua mangsa manakala tiga lagi rakan suspek terbabit dipercayai menggeledah dalam rumah sebelum merampas pelbagai jenis barang kemas milik isteri mangsa.


“Sebaik saja merampas semua barang kemas itu, empat suspek bergegas melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletak tidak jauh dari rumah mangsa.

“Mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Temerloh jam 6 petang, kelmarin,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari kehadiran suspek yang menaiki kereta sebelum mereka menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa.

Aziz berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.


“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Lari dengar tembakan


“Saya dengar bunyi tembakan sangat kuat menyebabkan saya, rakan sekerja dan pelanggan melarikan diri ke belakang restoran,” kata Ajimir Mustafa, 40.

Beliau yang juga saksi kejadian turut memberitahu kejadian rompakan kedai emas yang terletak bersebelahan restorannya di Jalan Othman, di sini, berlaku kira-kira jam 9.40 pagi semalam.


“Ketika kejadian itu, saya sedang berdiri di kaunter restoran. Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan. Saya lihat rakan sekerja dan pelanggan bertempiaran lari ke belakang restoran.


“Saya takut dan lari ke belakang juga kerana yakin itu bunyi tembakan. Saya bagaimanapun tidak nampak perompak itu,” katanya ketika ditemui semalam.


Difahamkan, kejadian rompakan itu menyebabkan pemilik premis berkenaan mengalami kerugian lebih RM100,000.


Selain itu, seorang penjaga premis yang enggan dikenali berkata, dia ada ternampak empat lelaki menaiki dua motosikal sebelum masuk ke dalam kedai emas berkenaan.

“Dua lelaki bersenjata pistol dan masing-masing seorang membawa penukul dan kapak. Salah seorang daripada lelaki itu menembak cermin pameran barang kemas manakala lelaki lain memecahkan cermin itu menggunakan penukul besi dan kapak,” katanya.


Katanya, ketika kejadian, ramai orang yang melalui jalan utama berhadapan premis berkenaan menyedari kejadian itu namun tidak sempat berbuat apa-apa berikutan kejadian itu terlalu pantas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi membabitkan kejadian rompakan di sebuah kedai emas.


“Sepasukan polis dan forensik ke lokasi kejadian melakukan pemeriksaan. Siasatan mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menaiki dua motosikal melakukan rompakan berkenaan. Polis temui dua penukul besi dan kapak ditinggalkan suspek.


“Mereka melepaskan satu das tembakan dan memecahkan kaca tempat pameran barang kemas menggunakan penukul besi dan kapak. Rompakan itu berlaku dalam tempoh tiga minit,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Jari kaki putus


“Saya terdengar bunyi dentuman kuat di luar kaunter. Ketika itu, saya ternampak sebuah kontena betul-betul di hadapan saya pada jarak 15 meter sebelum mendengar pemandunya meraung kesakitan,” kata Nor Farah Affiza Othman.

Nor Farah Affiza, 27, jurutol di Plaza Tol Hutan Kampung, di sini, berkata, ketika kejadian lori kontena yang dipandu mangsa yang dikenali sebagai Noorhisham, 31, cuba mengelak daripada merempuh beberapa kenderaan lain yang ketika itu menunggu giliran membayar tol pada jam 3.05 petang, semalam.


Akibatnya, lori kontena itu merempuh benteng penghadang di plaza tol berkenaan menyebabkan kaki mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu dan satu jari kaki kanannya putus.


Nor Farah Affiza berkata, dia bersyukur terselamat berikutan lori kontena itu merempuh penghadang berkenaan.


“Ini kejadian kedua berlaku akibat kemalangan membabitkan lori merempuh plaza tol ini sepanjang saya bekerja di sini selepas kejadian pertama tahun lalu apabila lori merempuh penghadang itu.


“Sampai sekarang saya masih terkejut dan trauma kerana menyaksikan sendiri kemalangan di depan mata walaupun baru masuk syif petang jam 2 petang tadi (semalam),” katanya.

Saksi kejadian, Zul Roshidi Ismail, 48, berkata, ketika kejadian dia membayar tol dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkannya berhenti di tepi jalan untuk melihat apa yang berlaku.


Katanya, dia naik di sebelah tempat duduk penumpang depan lori kontena berkenaan sambil meminta pemandunya yang mengerang kesakitan supaya bersabar.

“Dia sempat memberitahu brek lori kontena yang dipandunya itu tidak berfungsi dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada melanggar kenderaan lain di plaza tol ini lalu terpaksa merempuh penghadang di plaza tol itu.


“Mangsa menyatakan datang dari selatan menghala ke Bandar Darulaman, Jitra menghantar barang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.


Difahamkan, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan pada kaki.


Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Alor Setar Wan Jamaludin Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.15 petang berhubung kemalangan itu dan mendapati mangsa masih tersepit di tempat duduk pemandu.


Beliau berkata, lima anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang masih sedarkan diri sebelum dihantar ke HSB untuk rawatan.

Semua rentung


Balai raya milik penduduk Kampung Pasir Tuntung, dekat sini musnah dalam satu kebakaran dipercayai akibat litar pintas kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKkP) kampung berkenaan, Hajiman Ibrahim, 5, berkata, kejadian disedarinya selepas dia melihat api besar ketika melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik melihat api, dia meminta pertolongan penduduk kampung untuk membantu memadamkan kebakaran selain menghubungi bomba.
“Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor tiba beberapa minit kemudian dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa 10 minit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10 malam dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

“Ketika tiba pasukan berkenaan melihat api sedang marak di bahagian belakang balai raya, namun api dapat dikawal dalam tempoh tidak sampai 10 minit,” katanya.
Kebakaran mengakibatkan semua peralatan pejabat musnah kerana api mudah marak berikutan balai raya itu diperbuat daripada kayu.

Mohd Taib berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian tidak mempunyai sebarang unsur khianat, sebaliknya dipercayai berlaku akibat litar pintas.
“Bagaimanapun, pasukan keselamatan diterajui pasukan bomba masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu belum dapat dipastikan,” katanya.

Van melekat lori


Saya cuba mengelak, tetapi gagal kerana terlalu hampir menyebabkan berlaku pelanggaran,” kata pemandu van, Zamri Sharif, 48, ketika ditemui di tempat kejadian di Kilometer 38 Jalan Seremban Tampin, dekat Pekan Kota jam 6.30 petang kelmarin.

Mangsa membawa barang runcit iaitu cili boh dalam perjalanan dari Seremban ke Alor Gajah dan sebaik tiba di tempat kejadian van dipandunya melanggar belakang sebuah lori pikap.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu tidak cedera.

Zamri berkata, dia bersyukur kerana tidak membawa sesiapa jika tidak mungkin penumpang di sebelahnya parah memandangkan bahagian depan tempat penumpang remuk teruk akibat berlanggar lori pikap berkenaan.

“Selalunya anak lelaki, Nor Zahid, 15, menemani saya mengambil barang di Seremban jika cuti sekolah. Jika dia ada hari ini (petang kelmarin) mungkin cedera. Mujur hanya saya seorang,” katanya.
Pemandu lori pikap, K Murugan, 39, berkata, dia sudah memberi isyarat sebelum berhenti masuk ke simpang Astana Raja, tetapi tiba-tiba dia mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang dan cermin lori yang dipandu habis pecah bertaburan di atas badan dan kakinya.

“Saya terkejut dan melihat sebuah van melekat di belakang lori. Apabila turun memeriksa, bahagian depan van remuk teruk namun pemandu tidak cedera. Saya pandu semula lori ke tepi jalan dan menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila van yang dipandu Zamri melanggar bahagian belakang sebuah lori pikap.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu tidak cedera dan kes ini disiasat mengikut Peraturan 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kenderaan Zamri remuk teruk selepas melanggar belakang lori pikap di kilometer 38 Jalan Seremban Tampin dekat Pekan Kota, kelmarin.

Pelajar ugut bawa ‘samseng’ dari luar


Kajang: Dua pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini layak digelar ‘samseng junior’ apabila dikesan memeras ugut pelajar lain bagi mendapatkan wang perlindungan sejak beberapa bulan lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu dilapor menggunakan sebatang besi bagi menakutkan pelajar lain, selain mengugut akan membawa samseng dari luar bagi memukul mangsa sekiranya tidak memberikan wang kepada mereka.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 11 pagi kelmarin, kegiatan dua ‘samseng’ terbabit terbongkar apabila seorang pelajar tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang selepas mendakwa sering dibuli dan dipukul kumpulan itu.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Balik rumah maut nahas


Kuantan: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu yang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama rakannya dari sekolah terbunuh selepas motosikal ditunggang dirempuh lori di Jalan Kampung FELDA Kurma-Sebertak, dekat Bera, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, Nurfatin Farahana Sharif, 13, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Rakan mangsa yang membonceng dan belum dikenalpasti identiti berusia 17 tahun turut parah di badan serta patah paha kanan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari simpang tanpa melihat kiri dan kanan, sebaliknya terus membelok ke jalan besar menghala Triang sebelum dirempuh sebuah lori pasir yang datang dari arah bertentangan.

Kereta tenggelam dalam lumpur


“Saya terkejut apabila mendapati banjir lumpur menenggelamkan kereta saya sebaik bangun tidur awal pagi tadi (semalam),” kata Zulkefli Abdul Hamid, 29, yang terperanjat apabila mendapati ruang hadapan rumahnya di Taman Peru Perdana, di sini, dipenuhi lumpur.
Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi itu menyebabkan lebih 20 rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami lumpur setebal lebih 0.3 meter.

Menurutnya, kejadian seumpama itu kali keempat melanda kawasan perumahannya sejak mula diduduki, lebih setahun lalu.
“Saya langsung tidak menyangka banjir lumpur itu akan berulang berikutan hujan lewat malam kelmarin tidak terlalu lebat dan hanya berlaku dalam satu jam.

“Namun, tanggapan saya meleset apabila rumah ditenggelami banjir lumpur sebaik membuka pintu hadapan untuk keluar bekerja jam 7 pagi, semalam,” katanya.

Kejutan Maghrib

Foto
KOTA BHARU: Seorang kontraktor menerima 'kejutan Maghrib' apabila ditembak tiga das oleh seorang lelaki yang dikenalinya di depan rumahnya di Kampung Pulau Melaka, di sini, jam 7.30 malam tadi.
Mangsa, Mohd Nasir Zakaria, 53, yang juga seorang kontraktor ditembak selepas membuka pintu ketika dipanggil suspek supaya keluar.
Suspek yang menembak mangsa melarikan diri, manakala mangsa dibawa ke hospital menaiki kereta dipandu anaknya bersama isterinya, Zahmahnu Che Abdullah, 39.

Mangsa cedera di paha dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Mangsa tembak di Kg Pulau Melaka, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kes berkenaan bermotifkan dendam.

Tiga ancaman bom


‘Awas Bom’ itu nota pada tiga kotak yang diletakkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menakutkan orang ramai dalam tiga kejadian berasingan di Kepong, Seri Kembangan dan Kinrara, semalam.
Tiga kotak berkenaan yang dipercayai mengandungi bahan letupan itu dipercayai diletakkan di lokasi berkenaan bertujuan menakutkan orang ramai di samping menimbulkan huru-hara menjelang Pilihan Raya ke - 13 (PRU-13) esok.

Dalam kejadian pertama di Jalan Jinjang Utama, Kepong jam 7.30 pagi, seorang lelaki menemui kotak dipercayai mengandungi bahan letupan itu yang diletakkan di tiang bilik gerakan sebuah parti politik sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 8.30 pagi sebelum menghantar satu pasukan unit pemusnah bom ke lokasi berkenaan.

Peniaga itik panggang cemas gerai diletak bom



KUALA LUMPUR 3 Mei - Seorang peniaga itik panggang di tepi jalan besar Seri Kembangan, Serdang dekat sini, cemas setelah menemukan satu kotak berisi bom di gerainya hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, bom buatan sendiri yang disimpan dalam kotak topi keledar itu dijumpai oleh peniaga terbabit semasa membuka gerainya pagi ini.
“Lelaki berusia 40-an itu terkejut melihat ada satu kotak topi keledar mengandungi nota berbunyi ‘ada bom’ ditulis di atasnya.
“Dia yang cemas segera mengalihkan kotak bom itu ke satu tiang berhampiran gerainya dan menghubungi polis," katanya ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, polis yang menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 11.45 pagi telah menghantar pegawai bersama anggota dari Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk menjalankan siasatan.
Abd. Razak berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengawal keselamatan orang ramai semasa bom itu diletupkan.
Katanya, bom tersebut berjaya diletupkan tanpa mengakibatkan kemusnahan harta-benda dan mencederakan orang awam.
“Siasatan awal polis mempercaya bahan letupan buatan sendiri itu dibuat oleh individu yang bukan pakar dalam bidang pembuatan bom,’’ katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130504/je_01/Peniaga-itik-panggang-cemas-gerai-diletak-bom#ixzz2SHW70IXd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 maut akibat tanah runtuh di timur Myanmar



YANGON 3 Mei - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, termasuk beberapa pelombong emas, dalam kejadian tanah runtuh yang berpunca akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu di timur Myanmar, hari ini.
Pegawai agensi pengurusan bencana, Kyaw San Win berkata, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk tiba di dua kampung yang mengalami bencana itu berdekatan pekan Kalaw, selatan negeri Shan.
“Seramai 16 orang disahkan maut setakat ini, dan jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130503/lu_12/16-maut-akibat-tanah-runtuh-di-timur-Myanmar#ixzz2SHUAZI4G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendakwa raya mati ditembak



Polis Pakistan memeriksa kenderaan yang dinaiki oleh Pendakwa Raya Chaudhry Zulfiqar selepas diserang oleh lelaki bersenjata di Islamabad, semalam. - AFP
ISLAMABAD 3 Mei - Pendakwa Raya Pakistan yang mengendalikan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dan serangan Mumbai di India pada 2008 ditembak mati, di sini hari ini ketika dalam perjalanan menuju ke mahkamah.
Chaudhry Zulfiqar ditembak beberapa das selepas lelaki bersenjata memintas kenderaan yang dipandunya tidak lama selepas beliau meninggalkan rumahnya, di satu kawasan perumahan yang sibuk di ibu negara ini.
Pengawal peribadinya turut cedera, manakala seorang wanita yang berada berhampiran kawasan itu turut terbunuh dalam serangan yang berlaku menjelang pilihan raya umum pada 11 Mei ini.
Beliau pernah menerima ancaman bunuh pada tahun lalu dan diberikan kawalan keselamatan tambahan oleh kerajaan.
''Ketika kejadian, Chaudhry sedang memandu keretanya. Beliau hilang kawalan selepas serangan itu mengakibatkan kenderaannya merempuh seorang wanita yang berada di bahu jalan.
''Beliau terus dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya,'' kata jurucakap polis, Mohammad Yousuf.
Penyerang itu kemudian meninggalkan tempat kejadian dengan sebuah motosikal, manakala kereta Toyota Corolla Chaudhry rosak teruk akibat serangan tersebut.
Chaudhry Zulfiqar difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke mahkamah antikeganasan bagi menghadiri perbicaraan kes Bhutto di Rawalpindi.
Masih tidak jelas siapakah yang bertanggungjawab dalam insiden itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130504/lu_05/Pendakwa-raya-mati-ditembak#ixzz2SHU0zDTd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat pengangkut minyak AS terhempas di Kyrgyzstan



MOSCOW 4 Mei - Sebuah pesawat tangki minyak milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dilapor terhempas di Kyrgyzstan sebaik-baik sahaja berlepas dari sebuah pangkalan tentera d negara tersebut.
Kenyataan Pentagon melaporkan, pesawat KC-135 disahkan terhempas di sempadan Kazakhstan, namun punca kejadian masih belum diketahui.
Jelas Pentagon, jumlah krew yang menaiki pesawat itu tidak dapat disahkan dan nasib mereka juga masih belum diketahui. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130504/lu_01/Pesawat-pengangkut-minyak-AS-terhempas-di-Kyrgyzstan#ixzz2SHTcUFm1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki bakar diri meninggal dunia



04/05/2013 12:57am

SOFIA - Seorang lelaki warga Bulgaria, Ventsislav Koza rev, 47, yang membakar diri sendiri awal minggu lalu meninggal dunia semalam.
Dia yang membakar diri sendiri menggunakan minyak petrol di selatan bandar Smolyan pada Rabu lalu disahkan mati akibat daripada kecederaan yang dialaminya, kata pihak hospital.
Dia sebelum ini dilaporkan mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya.
Kematian Kozarev menjadikan jumlah keseluruhan ke pada enam orang yang turut membakar diri sebagai tanda protes terhadap pemerintah yang gagal mengatasi masalah kemiskinan dan rasuah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm#ixzz2SHSwZrs8 
Hakcipta terpelihara 

Generator punca kilang pakaian di Bangladesh runtuh



04/05/2013 12:47am

DHAKA - Pasukan penyiasat yang menyiasat tragedi kilang pakaian di Bangladesh yang mengorbankan 500 nyawa semalam menyatakan empat generator besar yang diletakkan di tingkat atas bangunan itu menjadi punca utama ia runtuh.
“Kedudukan keempat-empat generator tersebut didapati menyalahi peraturan yang ditetapkan,” kata pegawai kanan Kementerian Perumahan, Uddin Khandaker yang mengetuai siasatan tersebut kepada agensi berita AFP.
“Apabila generator ini dihidupkan kembali selepas bekalan elektrik terputus ia menyebabkan getaran dan ditambah dengan getaran ribuan mesin jahit, ia menjadi punca runtuhan,” katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_05.htm#ixzz2SHSfQiXN 
Hakcipta terpelihara 

Polis temui tiga kotak misteri



BARANG-barang di dalam kotak yang ditemui di Seri Kembangan.


KUALA LUMPUR -Tiga buah kotak yang dikhuatiri mengandungi bahan letupan ditemui di tiga lokasi semalam iaitu dua masing-masing di luar bilik gerakan DAP di Jinjang Utara dan bilik gerakan di Vista Lavinda di Puchong manakala sebuah lagi kotak ditemui di sebuah gerai makan di Seri Kembangan.
Kotak mencurigakan di Jinjang Utara, Kepong ditemui pada pukul 8 pagi, kotak kedua di kedai makan di Seri Kembangan ditemui pada pukul 11 pagi dan kotak ketiga di Apartmen Vista Lavinda di Persiaran Kinrara ditemui pada pukul 5 petang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kotak yang ditemui di Jinjang Utara mendapati kotak tersebut diisi dengan sebuah tin, wayar dan satu objek hitam yang mempunyai tulisan 'bom'.
"Unit pemusnah bom masih memeriksa tin, wayar dan objek hitam itu benar bom atau sebaliknya," kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.
Menurut beliau, polis percaya pihak yang meletakkan kotak di luar bilik gerakan DAP itu bertujuan untuk mengganggu ketenteraman awam menjelang hari pengundian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2SHSMvQuO 
Hakcipta terpelihara 

Lima beranak tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar




ORANG ramai melihat rumah Mohd. Hazrul yang sedang terbakar dalam kejadian di Lorong 11, Taman Jumbo, Petagas, Putatan, Sabah kelmarin.


PUTATAN - Keseronokan lima sekeluarga yang sedang menikmati makan malam terbantut apabila rumah yang mereka diami sejak 11 tahun lalu terbakar dalam kejadian di Lorong 11, Taman Jumbo, Petagas dekat sini pada pukul 8.30 malam kelmarin.
Kejadian itu dipercayai berlaku akibat litar pintas sebuah kotak suis di rumah dua tingkat tersebut.
Salah seorang mangsa, Mohd. Hazrul Hairi Jabir, 25, memberitahu, ketika sedang makan, dia dan empat ahli keluarganya terdengar bunyi barang jatuh di tingkat atas.
"Saya kemudian naik untuk periksa apa yang berlaku. Saya tercium bau hangus sebelum terkejut apabila mendapati salah satu bilik telah terbakar.
"Kami cuba memadamkan api namun gagal sebelum kami keluar membawa barang berharga termasuk dokumen penting," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2SHS870YT 
Hakcipta terpelihara 

Kebas barang kemas dalam tempoh 3 minit




EMPAT penjenayah mengambil masa hanya tiga minit untuk merompak sebuah kedai emas dan melarikan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM100,000 di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Empat perompak bersenjatakan tukul, kapak dan pistol berjoli sakan selepas melarikan sejumlah barangan kemas bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh tiga minit dari sebuah kedai emas di Jalan Othman di sini semalam.
Kejadian pada pukul 10 pagi itu berlaku apabila perompak melepaskan tembakan amaran di dalam premis yang ketika itu mempunyai seorang pelanggan dan enam pekerja sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan tukul dan kapak.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh tersebut menaiki dua buah motosikal.
"Polis akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup. Nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya yang memberitahu penjenayah mengambil masa selama tiga minit untuk melakukan rompakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2SHRtcHhy 
Hakcipta terpelihara 

Jumpa rangka pengganas Sulu di dalam semak



KOTA KINABALU - Pasukan keselamatan kelmarin menemui tiga rangka dipercayai mayat pengganas Sulu yang mati ditembak dalam pertempuran ketika Ops Daulat di dalam semak di Kampung Tanjung Batu di sini.
Kesemua rangka yang belum diketahui jantina dan umur itu ditemui pada pukul 2.05 petang hasil operasi penggeledahan berterusan oleh pasukan keselamatan meskipun Ops Daulat telah tamat hampir tiga minggu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, ketika ditemui kesemua rangka itu memakai pakaian celoreng tentera Sulu berserta dokumen pengenalan yang mengesahkan mereka sebagai tentera pengganas tersebut.
"Kita turut menemui selaras senjata jenis Garant dan beberapa butir peluru berdekatan mayat-mayat itu.
"Penemuan kesemua barangan itu menguatkan lagi dakwaan yang mereka merupakan pengganas Sulu yang mati ditembak ketika bertempur pada 6 Mac atau sewaktu operasi membersih dan menggeledah yang dilakukan pasukan keselamatan di Tanjung Batu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2SHRi5rTA 
Hakcipta terpelihara 

Halangan berdarah



SEPASUKAN anggota polis menjalankan siasatan di sebuah kedai runcit yang cuba dirompak oleh dua lelaki di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir, Melaka semalam.


MELAKA - Seorang tauke kedai runcit cedera di lengan kanan selepas terkena dua das tembakan ketika cuba menghalang premis itu daripada dirompak oleh dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dalam kejadian di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir di sini semalam.
Kejadian pada pukul 6.45 pagi itu berlaku ketika Lee Khong Fook, 43, hendak memulakan perniagaan sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar. Seorang lagi rakan suspek menunggu di luar premis di atas sebuah motosikal.
Mengimbau semula kejadian itu, isteri mangsa, Yap Siew Hui, 32, berkata, sebelum kejadian dia berada di tingkat atas rumah kedai dua tingkat tersebut manakala suaminya yang berada di tingkat bawah sedang bersiap-siap untuk memulakan perniagaan.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan lalu bergegas ke bawah dan mendapati tangan kanan suami telah cedera ditembak manakala perompak melarikan diri.
"Saya kemudian menghubungi polis yang tiba tidak lama selepas itu," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2SHRV2Hv4 
Hakcipta terpelihara 

Dua ditahan kerana racun murid tadika




IBU (kiri) dan nenek kanak-kanak perempuan yang mati termakan dadih beracun menangis di rumah mereka di Pingshan, wilayah Hebei, China.


BEIJING - Polis China menangkap ketua sebuah tadika dan rakan sekerjanya berhubung kematian dua kanak-kanak sebuah tadika pesaing kerana termakan dadih yang disuntik racun tikus, lapor media pemerintah semalam
Mangsa yang merupakan budak perempuan berusia lima dan enam tahun dari wilayah Hubei, utara China, maut selepas termakan dadih yang ditemui di dalam sebuah beg di tepi jalan.
Ketika kejadian, adik-beradik itu sedang berjalan kaki untuk ke tadika bersama nenek mereka.
Ketua tadika tersebut, Shi Haixia dan rakan sekerjanya mengaku menyuntik racun ke dalam dadih tersebut dan meninggalkan makanan itu di tepi jalan.
"Niat mereka adalah untuk merosakkan reputasi tadika yang menjadi pesaing mereka," menurut akhbar China Daily yang memetik kenyataan seorang pegawai tempatan.
Kedua-dua suspek itu ditangkap Rabu lepas iaitu pada hari yang sama si adik meninggal dunia selepas seminggu dirawat di hospital.
Kakaknya pula maut beberapa jam selepas memakan dadih tersebut pada 24 April lalu.
Akhbar China Daily memetik seorang profesor pendidikan rendah sebagai berkata, pembunuhan itu mendedahkan masalah ketiadaan undang-undang bagi mengawal selia tadika persendirian, susulan kekurangan tadika awam terutama di pedalaman negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2SHRCqaDg 
Hakcipta terpelihara