Search This Blog

Friday, May 3, 2013

13 korban banjir Saudi




3 Mei 2013
13 korban banjir Saudi
Insiden banjir ini dianggap terburuk pernah melanda Arab Saudi.
RIYADH - Seramai 13 terbunuh dan empat dikhuatiri hilang dalam kejadian banjir yang melanda di beberapa kawasan di negara Teluk.
Agensi berita SPA melaporkan, Kolonel Abdullah al-Harethi sebagai berkata, mangsa maut termasuk di beberapa kawasan di Riyadh, Baha, Hail dan Oman.
“Kejadian ini disifatkan sebagai yang terburuk pernah berlaku di Saudi. Orang awam dinasihatkan supaya tidak berada di Lembah Wadi dan sentiasa peka terhadap amaran yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, lima meninggal dunia dan dua orang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi selepas dijangkiti virus menyerupai Sars.
Menurut laporan dipetik AFP, semua mangsa berasal dari wilayah Ahsaa yang merupakan lokasi pengeluaran minyak utama di rantau itu.
Tahun lalu, virus hCoVEMC mula dikesan di negara tersebut dan turut mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Tiga mayat pengganas Sulu dijumpai di Kampung Tanjung Batu




3 Mei 2013
KOTA KINABALU - Pasukan keselamatan menemui tiga rangka mayat pengganas dari selatan Filipina dalam kawasan semak di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dekat sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata rangka mayat itu ditemui pada pukul 2.05 petang Khamis semasa pasukan keselamatan membuat rondaan yang turut menyaksikan penemuan selaras senjata, beberapa butir peluru dan dokumen yang menunjukkan mereka adalah pengganas Sulu.

"Kami percaya mayat-mayat ini sama ada ditembak mati pada 6 Mac lepas atau semasa anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua rangka mayat itu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Dengan penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mayat yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan sehingga kini ialah 59 mayat manakala jumlah musuh yang ditembak mati ialah 73 orang.    

Hamza berkata sehingga kini 31 orang telah dituduh dimahkamah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2001 (Sosma) manakala jumlah tangkapan di bawah akta yang sama ialah 184 orang.

Sementara itu, Hamza memberi jaminan keselamatan di Sabah dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi Ahad ini.

"Sejak penamaan calon pada 20 April hingga semalam, polis menerima 322 laporan dan membuat lapan tangkapan berkaitan kesalahan membabitkan pilihan raya serta memantau lebih 2,500 ceramah," katanya. - Bernama

Suri rumah kena peluru sesat



Suri rumah kena peluru sesat
Harliah cedera di belakang badan akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan pemburu
Suri rumah kena peluru sesat
Polis menemui kesan empat lubang menembusi cermin tingkap dan lima kesan peluru pada dinding rumah.
ALOR GAJAH - Seorang suri rumah nyaris maut selepas terkena peluru penabur  yang dilepaskan sekumpulan pemburu di jalan Bukit Tinggi, Tanjung Bidara, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Harliah Bakar, 43,  sedang leka menjahit dalam bilik bahagian tepi rumah sebelum tersentak sebaik terasa ada objek tertusuk di bahagian belakang bahu sebelah kiri badannya.

Difahamkan, peluru penabur berkenaan terkena pada badan mangsa selepas tiga lelaki yang sedang memburu babi hutan melepaskan tembakan dan terkena pada cermin dan dinding bilik tempat mangsa sedang menjahit pakaian.

Suami mangsa, Helmi Manaf, 41, berkata, dia yang berada di luar rumah menyedari kehadiran tiga lelaki berusia antara 40-an dan 50-an yang mana dua daripada mereka memegang senapang dalam kedudukan yang berbeza.

“Saya berada di luar rumah terkejut bila dengar bunyi tembakan dan mendapati seorang lelaki berdiri berdekatan pagar rumah saya, seorang lagi berdiri pada jarak 25 meter menghadap rumah saya dan seorang lagi berkedudukan jauh.

“Ketika itu juga, seekor babi hutan keluar dari belukar menuju ke semak berdekatan rumah saya dan saya lihat lelaki yang menghadap rumah saya sedang leka menghala senapang ke mengekori pergerakan haiwan itu.

“Sebaik sahaja tembakan dilepaskan, saya dengar isteri menjerit dan saya terus berlari masuk mendapatkan isteri  dan mendapati belakang bajunya sudah terkoyak serta  dipenuhi darah,” katanya.

Helmi berkata,  dalam keadaan panik dia segera menjerit meminta pertolongan ke arah tiga lelaki berkenaan namun seorang daripada mereka seolah menafikan kegiatan dilakukan mereka dan memecut kereta melarikan diri.

“Isteri mengadu berasa panas dan terlalu sakit sebelum mendakwa mula terasa pedih dan bisa sebelum muncul dua lelaki tadi cuba menenangkan saya dan isteri dengan mendakwa isteri hanya terkena serpihan kaca sahaja.

“Saya gesa dua lelaki tadi bantu saya bawa isteri ke Hospital Kem Terendak. Isteri menjalani dua kali X-ray dan mendapati ada objek terbenam pada belakang sebelah kiri bahu,” katanya.

Menurutnya, berikutan kecederaan parah yang dialami, isterinya kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk menjalani pembedahan mengeluarkan butir peluru berkenaan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata,  tiga lelaki berumur 40 dan 50-an ditahan untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal pihak polis mendapati senapang patah yang digunakan oleh salah seorang lelaki terbabit dipercayai didaftarkan atas nama Relawan Ikatan Rakyat (Rela).

“Tiga lelaki terbabit ditahan dan direman selama lima hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Petugas BN maut selepas dua hari koma



3 Mei 2013
KULIM - Seorang petugas Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam kejadian langgar lari dua hari lepas meninggal dunia di Hospital Kulim hari ini.
   
Mohd Faiz Ismail, 17, yang koma sejak kemalangan meninggal kira-kira 2.30 pagi.
   
Jenazahnya dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur kira-kira 11.30 pagi tadi yang turut dihadiri calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kulim, Chua Theong Gee.
   
Mohd Faiz dan tiga rakannya dilapor dirempuh sebuah kereta di Jalan Mohd Asaad kira-kira 3.45 pagi.
  
"Sebelum itu kami berempat memasang bendera di sekitar kawasan Kulim dan kami habis kerja kira-kira tengah malam. Selepas selesai makan dan dalam perjalanan pulang, kami lihat beberapa lagi rakan kami sedang membetulkan bendera yang dipasang.
 
"Kami memberhentikan motosikal kami di bahu jalan untuk melihatnya, tetapi tidak sampai lima minit, tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari Taman Selasih menuju pekan Kulim merempuh kami hingga menyebabkan Mohd Faiz, saya dan seorang lagi rakan tercampak di atas jalan, manakala rakan yang membawa motosikal yang dibonceng Mohd Faiz terseret beberapa meter," kata salah seorang daripada mereka Ahmad Saberin Mohd Sabri, 21.
  
Mohd Faiz yang cedera di kepala dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sementara yang lain menerima rawatan sebagai pesakt luar.
  
Abdul Aziz berkata BN bahagian Kulim/Bandar Baharu membiayai urusan pengkebumian Mohd Faiz dan menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada keluarganya. - Bernama

Hukum mati jika bunuh ahli sihir



 
PNG cuba sekat pembunuhan penduduk dituduh amal ilmu hitam

CANBERRA: Kerajaan Papua New Guinea (PNG) mahu hukuman bunuh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah membunuh penduduk selepas dituduh menjadi ahli sihir.

Hukuman mati itu adalah sebahagian langkah keras dicadangkan pihak berkuasa bagi menyekat peningkatan jenayah ganas di negara miskin dengan tujuh juta penduduk itu, kebanyakannya petani.
Perdana Menteri, Peter O’Neill berkata peraturan baru akan diperkenalkan apabila Parlimen bersidang dua minggu lagi bagi membenarkan negara itu melaksanakan hukuman mati.

“Antara kaedah yang dibincangkan termasuk hukuman mati oleh skuad penembak, yang dianggap lebih berperikemanusiaan dan tidak mahal,” kata O’Neill dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet kelmarin.

Undang-undang PNG membenarkan hukuman mati dan ada 10 banduan lagi di Papua New Guinea. PNG ditadbir penjajah Australia apabila tahanan terakhir dihukum gantung pada 1954.

O’Neill berkata, sebuah ‘pusat pelaksanaan hukuman mati’ akan dibina sebelah penjara baru di sebuah lokasi terpencil.

Februari lalu, sekumpulan samseng membogel, menyeksa dan mengikat seorang wanita yang dituduh ahli sihir.
Mereka kemudian membakarnya hidup-hidup di hadapan beratus-ratus saksi yang tergamam di bandar Mount Hagan. O’Neill, polis dan diplomat asing mengutuk pembunuhan itu.

Julai lalu, polis menahan 29 orang yang dituduh menjadi sebahagian kumpulan ‘makan orang’ di kawasan hutan PNG dan menuduh mereka melakukan pembunuhan, tujuh daripadanya kerana disyaki ahli sihir.

Kanun Jenayah PNG menyatakan hukuman mati ‘dilaksanakan dengan menggantung pesalah sehingga mati.’

Pada 2009, Peguam Negara, Alan Marat memberitahu parlimen bahawa banduan tidak dihukum mati kerana undang-undang tidak memperincikan prosedur bagi menjalankan hukuman itu.

Ada penganalisis PNG berkata, sebahagian punca negara itu tidak menggantung tahanan ialah budaya membalas dendam. - AP

Arab Saudi tahan rakyat Australia



 
SYDNEY: Seorang rakyat Australia ditahan atas dakwaan berkaitan keganasan di Arab Saudi, kata Menteri Luar, Bob Carr.

Shayden Thorne, 25 ditahan di sebuah penjara di luar Riyadh hampir 18 bulan lalu.
Ia berikutan sebuah komputer riba dipinjam daripada sebuah masjid didapati ada bahan berunsur keganasan di dalamnya.

“Kami tahu, ia disebabkan kesalahan berkaitan keganasan tetapi kami hanya dimaklumkan setakat itu saja,” kata jurucakap Carr yang menggesa penyelesaian segera kepada kes terbabit.

“Kami mahu ia diselesaikan dengan lebih cepat. Ia sudah terlalu lama,” katanya pada satu sidang media, sambil menambah 50 wakil dilantik untuk mewakili Thorne kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Saya tidak mahu ulas beliau bersalah atau tidak, kita tidak boleh lakukannya, tetapi kita boleh mewakili beliau,” kata menteri terbabit.

Beliau bagaimanapun berkata: “Anda bergantung kepada undang-undang di negara mana anda berada. Shayden memilih untuk tinggal di sana selama 12 tahun dan undang-undang Arab Saudi adalah berhak ke atas beliau atau sesiapa saja dalam kedudukannya.” - AP

15 tahun kerja berat

15 tahun kerja berat
Berita televisyen menyiarkan berita mengenai Bae. - Foto Agensi

Pyongyang hukum rakyat AS mahu guling pemerintah

SEOUL: Seorang rakyat Amerika Syarikat yang ditahan hampir enam bulan di Korea Utara dihukum kerja berat 15 tahun selepas didapati bersalah melakukan tindakan menggugat negara itu.

Kenneth Bae juga dituduh mahu menggulingkan kerajaan Korea Utara, perkembangan yang merumitkan lagi hubungan tegang di antara Pyongyang dan Washington.
Hukuman ke atas Bae, penganut Kristian dan pengusaha pelancongan, muncul di tengah tanda diplomasi mungkin diadakan selepas beberapa minggu ketegangan meningkat di rantau itu sejak beberapa minggu lalu.


Korea Utara memberi amaran melancarkan perang nuklear dan serangan peluru berpandu, sebagai maklum balas terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana pelancaran roket jarak jauh Disember lalu dan satu ujian nuklear Februari lalu, selain latihan ketenteraan antara AS-Korea Selatan di sini.

Penganalisis berkata, Pyongyang mungkin menggunakan Bae untuk tawar menawar ketika menuntut dialog diadakan di Washington.

Ia bukan kali pertama seorang rakyat Amerika ditahan dan dihukum kerja berat ketika satu pertikaian nuklear.

Pada 2009, selepas Pyongyang melancarkan satu roket jarak jauh dan ujian nuklear kedua bawah tanah disusuli hukuman penjara terhadap dua wartawan Amerika dihukum penjara 12 tahun kerja berat selepas menyeberangi sempadan dari China.
Mereka kemudian diberi pengampunan atas alasan kemanusiaan dan dibebaskan kepada bekas Presiden Amerika Bill Clinton yang terbang ke Pyongyang atas misi menyelamat.

Clinton juga bertemu pemimpin ketika itu Kim Jong Il, yang memberi laluan untuk rundingan.

Perbicaraan Bae atas tuduhan “melakukan tindakan permusuhan” ke atas tempat di Korea Utara dalam Mahkamah Tinggi Selasa lalu, lapor Agensi Berita Tengah Korea (KCNA).

Dia ditahan awal November lalu di Rason, zon khas ekonomi di rantau jauh timur laut Korea Utara bersempadan China dan Russia. Tuduhan sebenar ke atas Bae tidak didedahkan.

Rakan dan rakan sekerja mengatakan Bae yang tinggal di Washington, berpusat di bandar sempadan China di Dalian dan kerap berkunjung ke Korea Utara untuk memberi bantuan makanan kepada anak yatim.

Media tempatan merujuk Bae sebagai Pae Jun Ho, ejaan nama Korea di Korea Utara. - AP

Mayat reput tepi sungai



Mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel ditemui hampir reput di tepi Sungai Langat di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Taman Permata di sini, semalam.


Difahamkan, mayat lelaki malang itu ditemui beberapa penduduk jam 10.30 pagi selepas terhidu bau busuk ketika melalui kawasan berkenaan.


Penduduk yang ingin tahu punca bau itu membuat pemeriksaan sekitar kawasan sebelum menemui mayat separuh reput tanpa seurat benang dalam keadaan telentang.


Malah, kepala mayat lelaki terbabit turut terbenam di dalam lumpur.


Seorang penduduk kampung kemudian memaklumkan penemuan mayat itu kepada anggota polis di Balai Polis Dengkil.

Peluru berebut kasih

Akibat cinta tiga segi, seorang lelaki meninggal dunia selepas terkena tiga das tembakan di muka dan perutnya dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Kuala Selangor 3/1, di sini, semalam.
Shah Zuan Rashidi, 22, dipercayai terbabit dalam pergaduhan antara dia, teman wanitanya berusia 19 tahun serta seorang lagi lelaki di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy, di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, mangsa ke kelab berkenaan bersama teman wanitanya itu pada jam 11.30 malam kelmarin sebelum keluar sebentar untuk bertemu seorang rakannya.
“Bagaimanapun, sebaik mangsa masuk semula, dia berang selepas melihat teman wanitanya berbual mesra dengan seorang lelaki lain hingga mencetuskan pertengkaran di antara mereka.

‘Lemah lutut rumah hangus’



“Lemah lutut saya sebaik tiba di depan rumah kerana melihat api sedang marak dan ketika itu keadaan rumah sudah 90 peratus terbakar. Tiada apa mampu dilakukan selain melihat rumah diduduki keluarga sejak lebih 40 tahun menyembah bumi,” kata Mohd Saifulnizam Awang, 31.


Dalam kejadian jam 5.20 petang kelmarin di Kampung Kubang Kayu, dekat sini, sebuah rumah papan musnah dijilat api dalam kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas.


Mohd Saifulnizam berkata, kebakaran berlaku ketika dia dan ibunya tiada di rumah kerana keluar menyelesaikan beberapa urusan di pekan Changlun.


Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakannya yang memaklumkan rumahnya sedang terbakar.

Karan mangsa rompakan



Kuala Lumpur: Dua lelaki bertindak nekad merompak sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama, di sini, dengan bersenjatakan pistol dan alat renjatan elektrik sebelum berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM5,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pekerja lelaki berusia 20-an yang berada di kaunter khidmat pelanggan terkejut apabila dua lelaki terbabit meluru ke arahnya sambil mengacukan pistol.


Menurut sumber, kejadian berlaku terlalu pantas dan pekerja terbabit tidak sempat berbuat apa-apa kerana turut dikenakan alat renjatan elektrik menyebabkan dia terjatuh dan menggelupur beberapa minit.


“Seorang daripada lelaki itu kemudian memasukkan sejumlah wang tunai daripada laci di kaunter ke dalam beg dibawa mereka,” katanya.

16 korban banjir kilat di Arab Saudi



Riyadh: Hujan lebat dan banjir kilat di beberapa wilayah di Arab Saudi mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan tiga lagi mangsa masih hilang. Antara korban bencana itu ialah empat sekeluarga di Baha, dua orang di al-Kharj dan tiga di Aflaj.

Menteri Dalam Negeri, Muhammad Naif berkata, tiga mangsa yang belum dikesan ialah warga asing yang berada di Baha. Justeru, katanya, Raja Abdullah mengarahkan Majlis Pertahanan Awam melakukan apa saja yang terdaya untuk memastikan keselamatan orang ramai terjaga.


Pemerintah Arab Saudi itu juga mengarahkan semua agensi kerajaan menyediakan bantuan, termasuk kewangan, bagi meringankan beban mangsa banjir. “Abdullah memantau keadaan dari semasa ke semasa sejak hujan lebat turun,” katanya. Muhammad berkata, Abdullah menggesa ahli Majlis Pertahanan Awam untuk melaksanakan semua pelan darurat bagi menangani kemusnahan yang berpunca daripada bencana alam itu.


Katanya, mangsa banjir perlu diberikan bantuan, termasuk tempat berlindung jika kediaman mereka musnah.


Sementara itu, jurucakap Pejabat Pertahanan Awam Baha berkata, tiga mayat daripada satu keluarga ditemui malam kelmarin, manakala mangsa keempat ditemui pagi semalam.


“Mereka terbunuh selepas kenderaan yang dinaiki dihanyutkan arus deras di Wadi al-Lihyan, Aqiq,” katanya. Tiga mangsa yang belum ditemui ialah warga Yaman yang bekerja dengan syarikat pembinaan jalan di Aqiq.

Mereka disahkan hilang selepas penyelamat menemui trak yang dinaiki terbalik berhampiran empangan di Aqiq.

Datuk bandar digantung kerja, mangsa runtuhan meningkat



Dhaka: Datuk Bandar majlis perbandaran di Bangladesh tempat di mana bangunan kilang runtuh dan membunuh lebih 400 orang digantung kerja, kata seorang menteri kerajaan ketika petugas penyelamat masih berusaha mencari mayat yang tertimbus.

Jumlah korban yang semakin meningkat akibat bencana pada 24 April lalu itu menimbulkan kemarahan seluruh dunia mengenai tahap keselamatan dan bayaran yang rendah di kebanyakan kilang membuat pakaian untuk jenama Barat, apabila Pope Francis kelmarin menyamakan keadaan pekerja yang mati sebagai “hamba abdi”. Operasi menyelamat masih perlahan walaupun jentera berat kini digunakan bagi membersihkan sisa runtuhan Plaza Rana di pusat komersial Savar di pinggir Dhaka dengan lebih banyak mayat ditemui semalam menjadikan angka kematian meningkat kepada 430. “Kami bekerja di sini 24 jam sehari semalam,” kata jurucakap tentera Shahinul Islam.


“Operasi menyelamat mengambil masa kerana semuanya dilakukan dengan berhati-hati,” katanya.


Menteri untuk kerajaan tempatan, Jagangir Kabir Nanak memberitahu wartawan bahawa Datuk Bandar Savar, Mohammad Refat Ullah digantung kerana meluluskan pembinaan Plaza Rana.


Pegawai kanan dari Pihak Berkuasa Pembangunan milik kerajaan minggu lalu berkata, perbandaran Savar tidak mempunyai kuasa untuk memberikan permit yang dikeluarkan untuk pembinaan bangunan lima tingkat di lokasi itu dan tiga tingkat lagi ditambah di bangunan itu secara haram. -

3 rakan kolej pengebom maraton Boston ditahan



Boston: Tiga rakan kolej suspek pengeboman maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev kelmarin ditahan dan dituduh cuba melindunginya dengan pergi ke asrama suspek dan membuang beg galas yang berisi mercun tiga hari selepas insiden serangan itu.

Tiga pemuda berusia 19 tahun itu bagaimanapun tidak didakwa terbabit dalam insiden pengeboman itu. Namun, dalam nota di dokumen mahkamah yang menggariskan pertuduhan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata bahawa kira-kira sebulan sebelum tragedi itu, Dzhokhar memberitahu dua daripada tiga rakannya itu bahawa dia tahu bagaimana untuk membuat bom.


Azamat Tazhayakov dan Dias Kadyrbayev, kedua-duanya yang datang ke Amerika Syarikat dari Kazakhstan didakwa berkonspirasi menghalang keadilan dengan menyembunyi dan memusnahkan bukti. Robel Phillipos lulusan dari sekolah tinggi Cambridge, Massachusetts bersama Dzhokhar didakwa menipu penyiasat mengenai kunjungan ke bilik rakannya itu.


Menurut akaun FBI, hanya beberapa jam selepas foto kamera pengawasan mengenai suspek pengeboman maraton Boston disiarkan ke seluruh dunia pada 18 April lalu, rakan Dzhokhar mengesyaki dia adalah seorang daripada pengebom dan memindahkan beg galas miliknya bersama sebuah komputer riba dari bilik Dzhokhar di Universiti Massachusetts di Dartmouth. Seorang daripada mereka kemudian membuang beg galas itu di tong sampah sebelum ia diangkut ke pusat pelupusan, di mana ia ditemui oleh polis minggu lalu, kata pihak berkuasa.


Di dalam beg galas itu terdapat mercun yang sudah tiada serbuk letupannya. - AP

6 ditembak mati pejuang pemisah



Pejuang pemisah disyaki menembak mati enam orang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hanya dua hari selepas rundingan damai di Malaysia bertujuan untuk mengakhiri keganasan yang menemui kebuntuan.

Serangan itu berlaku kelmarin apabila empat lelaki bersenjata yang menunggang motosikal berhenti di sebuah kedai runcit di Pattani hanya 500 meter dari pusat pemeriksaan tentera. Lima mangsa ialah penduduk Buddha dan seorang beragama Islam. “Penyerang melepaskan tembakan ke arah kedai sebelum meluru masuk untuk membunuh mangsa. Mereka meninggalkan nota yang bertulis ‘balas dendam terhadap yang tidak bersalah’,” kata seorang pegawai polis di Pattani kepada media, semalam.


Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengadakan mesyuarat tergempar dengan agensi keselamatan bagi membincangkan mengenai insiden itu.


Pembunuhan itu berlaku hanya dua hari selepas pusingan kedua rundingan damai di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur antara kerajaan Thai dan pemimpin Barisan Revolusi Nasional (BRN), satu daripada kumpulan pemisah tertua yang beroperasi di selatan negara itu.

Suspek kes bunuh hubungi media lepas lari dari penjara



Manila: Seorang bekas anggota polis yang masih dibicarakan kerana membunuh di Filipina melarikan diri dari penjara semalam dan kemudiannya memalukan pihak berkuasa apabila bercakap melalui telefon kepada pihak media.

Bekas superintendan polis Cezar Mancao yang dituduh membunuh seorang publisis terkenal dan pemandunya pada tahun 2000 dengan bersahaja berjalan keluar dari pusat tahanan di Manila dengan bantuan warden penjara, kata pihak berkuasa.


“Tindakannya melarikan diri memberi tamparan besar terhadap biro,” kata Pengarah Biro Siasatan Nasional, Nonnatus Rojas kepada wartawan selepas mengesahkan insiden itu.


NBI adalah badan siasatan jabatan kehakiman yang sepatutnya melakukan kawalan ketat terhadap pusat tahanan di mana Mancao ditahan.


Rojas berkata, dua warden penjara yang membantu Mancao melarikan diri telah ditahan. Rakaman daripada kamera keselamatan menunjukkan Mancao dengan tenang beredar dari sel tahanan sebelum Subuh membawa beg mengandungi barang peribadinya. Mancao yang ditahan sejak 2009 kemudian bercakap dengan televisyen nasional dan stesen radio menjelaskan bahawa dia melarikan diri kerana bimbang akan dibunuh di pusat tahanan.


“Saya sudah sampai ke tahap tidak dapat bertahan lagi,” katanya berulang kali dalam wawancara itu. - AFP

Serang bapa lepas ditegur lepas gian dalam rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Mei 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang anak bersikap biadab menyerang bapanya dengan sebatang penyapu apabila bengang tindakannya menjadikan rumah mereka sebagai tempat melepaskan gian dadah ditegur mangsa.

Kejadian berlaku di Kampung Losong Atap Zin, Jalan Losong Feri, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, suspek berusia 21 tahun turut bertindak kejam mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa, 58.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikatakan menegur perbuatan anaknya kerana kerap menjadikan rumah mereka sebagai tempat dia dan rakan-rakan berkumpul untuk melepak serta menghisap dadah.

“Bagaimanapun, tindakan mangsa yang sudah tidak tahan melihat kerenah suspek itu mengundang kemarahan apabila secara tiba-tiba, suspek naik angin dengan mengacukan sebilah pisau lipat ke arahnya.

“Suspek turut bertindak gila dengan mengambil sebatang penyapu untuk menyerang mangsa,” katanya, semalam.

Sumber berkata, melihatkan keadaan suspek yang seperti dirasuk hantu, bapa malang yang dalam ketakutan itu segera melarikan diri kerana bimbang dicederakan suspek.

Katanya lagi, sebelum ini, suspek dikatakan beberapa kali mengugut mahu membakar rumah dan memecahkan cermin kereta milik mangsa setiap kali enggan memenuhi permintaan mendapatkan wang dipercayai hendak membeli dadah.

“Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, berikutan bimbangkan keselamatan dirinya dan keluarga serta dalam masa sama, sudah tidak tahan melayan kerenah suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Suspek mengaku saudara



2 Mei 2013
Suspek mengaku saudara
Che Embon menceritakan kejadian itu kepada Pengerusi JKKKP kampung berkenaan, Abdul Malik Ghazali.
KUPANG - Pelbagai taktik yang digunakan untuk menipu sehingga ada yang sanggup mengaku saudara demi mendapatkan wang secara mudah.

Itu yang terjadi pada seorang warga emas, Che Embon Othman, 64, dari Kampung Charuk Bemban, Rabu lalu.

Menceritakan pengalamannya, Che Embon berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 20an datang ke rumah kononnya untuk membantu golongan warga emas.

“Lelaki itu kata, ada skim bantuan bulanan. Makcik kena bayar RM60 sahaja. Kemudian, makcik akan dapat RM300 sebulan.

“Kalau dua orang iaitu termasuk suami makcik. Kena bayar RM120, dan makcik akan dapat RM600 sebulan. Itu yang dia cakap pada makcik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, wang itu  akan dimasukkan ke dalam akaun mak cik sebelum hari mengundi iaitu sebelum 5 Mei ini.

Ibu kepada 11 anak itu berkata, lelaki itu amat peramah malah turut mengaku bahawa terdapat pertalian saudara dengannya.

“Makcik pun tak tahu macam mana dia boleh ada hubungan saudara dengan makcik.

"Tapi, dia tetap kata dia adalah saudara dan akan bantu makcik,” katanya.

Ditanya adakah lelaki itu mendakwa dirinya mewakili dari agensi bantuan kerajaan, Che Embon berkata, tidak, tetapi hanya memaklumkan akan membantunya.

Katanya, lelaki itu berpakaian kemas, berbadan tinggi dan mempunyai kulit wajah yang gelap.

“Makcik pun tidak tahu mengapa makcik boleh percaya dengan dia. Selalunya, suami akan suruh makcik buat air kalau ada orang datang.

“Tapi, bila lelaki itu yang datang, suami tak suruh buat air pun. Seolah-olah macam ada sesuatu, makcik hanya dengar apa yang dia cakap. Latar belakang dia pun makcik tak tanya. Makcik dengar saja,” katanya.

Katanya, akibat terpedaya dengan kata-kata lelaki itu, dia menyerahkan RM120 dengan harapan bakal menerima manfaat pada setiap bulan.

Difahamkan, terdapat lebih dari tiga orang berhadapan dengan situasi sama. Sebelum ini, terdapat juga kes penipuan melibatkan warga emas di daerah ini yang memaksa warga emas menyerahkan barang kemas sebagai pengganti kepada produk kesihatan.

Nyaris maut kena tembak



Nyaris maut kena tembak
Anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan hadapan rumah mangsa.
TAIPING – Seorang peniaga barang lusuh yang berusia 26 tahun hampir maut terkena tembakan daripada individu tidak dikenali di hadapan rumahnya dekat Simpang, di sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Menurutnya, difahamkan ketika itu mangsa yang sedang berada di kawasan hadapan rumahnya secara tiba-tiba telah didatangi dua individu bermotosikal.

“Kedua-dua individu berkenaan yang tidak dikenali dipercayai memanggil mangsa, kemudian mangsa telah membenarkan kedua-dua mereka  masuk di perkarangan rumah.

“Secara tiba-tiba, penunggang motosikal berkenaan bertindak mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah beliau, tembakan yang dilepaskan tersasar dan dalam keadaan kelam-kabut kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan dipercayai kes berkenaan ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap,” katanya.

Badan hancur digilis treler



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
2 Mei 2013
Badan hancur digilis treler
Keadaan mayat mangsa yang hancur akibat digilis treler dan kesan darah akibat seretan sejauh 100 meter. Gambar kecil: Keadaan motosikal mangsa yang remuk.
ALOR PONGSU - Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis dan diseret sebuah treler bersama motosikal yang dinaikinya sejauh hampir 100 meter dari lokasi kejadian di Simpang Lima di sini, petang kelmarin.

Mangsa, M Sharendran, 22, dari Ladang Jin Seng, Bagan Serai, ditemui mati di tempat kejadian dengan keadaan tangannya terputus dan sebahagian tubuhnya hancur setelah digilis tayar belakang sebuah treler yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Kurau.

Saksi kejadian dikenali Saiful Mu’azam, 21, berkata, dalam kejadian 5.40 petang itu, dia sedang mengekori motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki mangsa sebelum terkejut apabila motosikal mangsa bergesel dengan bahagian belakang treler dan seterusnya terjatuh.

“Saya tergamam melihat mangsa jatuh betul-betul di bawah tayar belakang lori itu dan seterusnya digilis dan diseret sejauh 100 meter dari lokasi kejadian bertentangan Balai Polis Simpang Lima, di sini.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan kemalangan menyayat hati sebegini dan kesan geseran tayar dan darah dapat dilihat sepanjang seratus meter dari lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Saiful Mu’azam turut menegaskan kejadian kemalangan itu menyebabkan laluan jalan raya dari arah Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau mengalami kesesakan selama hampir satu jam.

Tambahnya, lalu lintas pada waktu itu agak sibuk kerana kebanyakan penduduk pulang dari tempat kerja ditambah dengan cuaca hujan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya.

Melutut di sisi mayat kekasih



MOHD ISKANDAR OTHMAN
2 Mei 2013
Melutut di sisi mayat kekasih
Teman lelaki tidak mahu berganjak di sisi mayat mangsa.
GEORGETOWN - Seorang kerani sebuah kilang di Bayan Lepas maut selepas tercampak dari tempat duduk penumpang apabila kereta yang dipandu teman lelakinya terbabas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Syafrina Aqmar Mohd Rafie, 24, maut serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seluruh anggota badan manakala teman lelakinya yang dikenali sebagai Zikri cedera ringan di bahagian kepala.

Difahamkan, Syafrina baru sahaja menerima gaji dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membeli belah di sebuah pasar raya di sini.

Dalam kemalangan itu, kereta yang dinaiki pasangan terbabit remuk hingga terkeluar enjin selepas melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing dan merempuh sebuah kereta lain.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila teman lelaki mangsa enggan berganjak dan menangis di samping mayat teman wanitanya.

Teman lelaki mangsa yang ketika itu baru diberikan bantuan awal dilihat berlutut di sisi mayat teman wanitanya.

Lebih memilukan lagi apabila ibu serta ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian dan mereka hanya mampu menangis dan saling berpelukan.

Dalam keadaan menahan kesakitan, teman lelaki mangsa enggan berganjak walaupun diminta ahli keluarga mengikut ambulans untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, selepas dipujuk, pemuda terbabit akhirnya dapat menerima hakikat dan kemudian dibawa menjalani rawatan di hospital.

Kereta bertembung, 4 parah



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Mei 2013
Kereta bertembung, 4 parah
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam van.
Kereta bertembung, 4 parah
Mangsa dalam Proton Iswara dikeluarkan anggota polis dan orang ramai.
ALOR GAJAH - Empat termasuk dua pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan bertembung di Kilometer 213.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 petang itu, van dipandu Khadijah Mohamad, 44, bersama suami, Amjad Javed Ghulam Hussain, 38, hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu Beatrice Lim Hui Lih, 23, dan rakannya, Yip Lilian, 24.

Van dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan dan memasuki kawasan tebing berumput di kiri jalan, namun secara tiba-tiba bergerak menghala ke kanan sebelum masuk ke lorong tengah.

Menurut sumber, kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan terhoyong hayang sebelum terbabit kemalangan.

“Van terbabit sudah hilang kawalan beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika van berkenaan meluncur masuk ke tengah lebuh raya, muncul kereta dinaiki dua pelajar kolej lalu bertembung," katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudian melantun dan terseret ke lorong kecemasan dalam keadaan remuk dan melintang.

“Van itu kemudian berpusing beberapa kali dan terbalik sebelum tersadai di lorong tengah," katanya.

Menurutnya, akibat pertembungan kuat itu, pemandu van berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala suami mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

“Dalam keadaan lalulintas mula perlahan, pemandu kereta dilihat keluar terhenjut-henjut dari kenderaan, bagaimanapun rakannya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dibantu keluar oleh orang ramai," katanya di sini semalam.

Menurut sumber, dua pelajar terbabit yang berada dalam keadaan sedar cuba menahan sakit, sementara  pemandu van terbabit yang masih tersepit dalam keadaan tergamam dibantu keluar oleh anggota bomba dan penyelamat.

Katanya, mangsa yang parah meraung kesakitan namun terpaksa menunggu ambulans yang tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Asraf Abdullah berkata, seramai 14 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah serta dua Unit Gerak Pantas Bermotosikal bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan terpaksa menanggalkan pintu van dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di tempat kejadian," katanya.

Dalam pada itu, mangsa, Beatrice Lim ketika ditemui berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke kolej di Kampar, Perak, selepas menghabiskan cuti hari pekerja di rumah keluarganya di Batu Pahat.

“Saya terkejut apabila van berkenaan dari tebing berumput dengan tiba-tiba pusing dan menghala ke arah kereta saya tanpa saya sempat tekan brek menyebabkan kenderaan kami bertembung secara berdepan,” katanya.

Beritahu ibu diri diculik



NUR FARHANA ABDUL MANAN
2 Mei 2013
Beritahu ibu diri diculik
Vijaya memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan anak perempuannya yang hilang sejak 24 April lalu. Gambar kecil: Sarmila Devi.
PUCHONG – “Sarmila ada hubungi saya selepas dua hari dia hilang, dia menangis minta tolong tetapi panggilan itu terputus dan sehingga kini saya gagal menghubunginya semula,” kata P Vijaya Barathy, 40, ibu kepada seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak 24 April lalu.

Kata Vijaya, kali terakhir dia bertemu anaknya C Sarmila Devi selepas menghantar remaja perempuan berusia 17 tahun itu ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Bandar Bukit Puchong.

Dakwanya, ketika hari anaknya dilaporkan hilang, pihak pasar raya ada menghubunginya dan memberitahu anaknya tidak masuk kerja kembali selepas rehat selama sejam.

Menurutnya, dia yang berasa tidak kena kemudian ke tempat anaknya bekerja dan mencari di sekitar kawasan namun gagal menemuinya.

Vijaya berkata, selepas dua hari hilang, Sarmila menghubunginya dan menceritakan apa yang terjadi sambil menangis teresak-esak.

Katanya, anak perempuannya memaklumkan dia ditarik masuk dua lelaki ke dalam sebuah kereta ketika berdiri di tepi tempat letak kereta pasar raya itu.

“Apabila saya tanya di mana dia berada, dia mendakwa tidak tahu sebelum panggilan telefon terputus secara tiba-tiba. Berulang kali saya cuba hubunginya selepas itu namun usaha berkenaan gagal kerana telefon bimbit dimatikan,” katanya.

Vijaya berkata, dalam perbualan tidak sampai empat minit itu dia tidak sempat bertanya keadaan anak keduanya daripada enam beradik itu.

Jelasnya, dia dan keluarga kini bimbang nasib dan keselamatan anak perempuannya itu selepas enam hari hilang.

Tambahnya lagi, Sarmila tidak pandai keluar bersendirian dan dia sendiri menghantar dan menjemput anaknya dari tempat kerja.

“Sarmila sepatutnya menyambung pelajaran di sebuah kolej September ini selepas menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sekarang saya bimbang keselamatannya dan dapat rasakan dia dalam keadaan ketakutan,” katanya ketika mengadukan perkara itu kepada Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mangsa diminta menghubungi Vijaya di talian 016-9745182 atau suaminya  019-9271948.

Sementara itu, Chee Heng berkata, beliau akan mengarahkan ahli Kepolisan Masyarakat (CP) dalam usaha membantu mencari mangsa.

Jurujual perdaya penjenayah



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Mei 2013
Jurujual perdaya penjenayah
Abdul Aziz (kiri) memegang parang yang dirampas bersama pegawai penyiasat kes, Inspektor Abd Hafiz Ab Rahim pada sidang media semalam.
TEMERLOH - Tindakan seorang jurujual yang tidak panik berjaya menggagalkan cubaan seorang penjenayah melakukan samun ke atasnya dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, Mentakab, jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku semasa wanita berusia 35 tahun itu memasuki kereta selepas selesai membeli makanan di Pasar Malam Mentakab.

Menurutnya, sebaik memasuki kereta, seorang lelaki mengacukan parang di lehernya dan memaksanya memandu ke satu kawasan sunyi sebelum tangannya diikat dan mata ditutup.

“Mangsa kemudian diarahkan memandu ke bandar Temerloh dan dipaksa mengeluarkan RM2,000,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata, mangsa yang tidak panik kemudian memaklumkan wang miliknya tidak cukup dan perlu menghubungi suami untuk mendapatkan sejumlah wang yang diminta.

Beliau berkata, semasa menghubungi suaminya, mangsa berjaya memaklumkan kejadian itu dalam bahasa Kantonis, lalu membolehkan suami mangsa memaklumkan kepada polis.

“Penjenayah terbabit kemudian bersama mangsa memandu ke sebuah stesen minyak di Batu 3, Songsang dan setibanya di situ pasukan polis berjaya menahan suspek,” katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati suspek seorang lelaki berusia 23 tahun, bekerja sebagai kelindan lori beralamat di Kelantan, tetapi  tinggal bersama keluarganya di Temerloh.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman hingga 7 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan sebat.

Abdul Aziz memuji tindakan jurujual terbabit yang tidak panik dan mampu merancang cara untuk melepaskan diri walaupun berada dalam keadaan bahaya selepas diacu parang.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sama ada ketika mahu memasuki kenderaan atau sebagainya kerana jenayah boleh berlaku di mana-mana,” katanya.

Helah beli ais krim, taktik mencuri



RUBIAH OMAR
2 Mei 2013
Helah beli ais krim, taktik mencuri
Suspek lelaki sedang melarikan tiga guni bawang di dalam stor
Helah beli ais krim, taktik mencuri
Suspek wanita sedang mencuri milo dan dimasukkan ke dalam beg digalasnya.
KUALA TERENGGANU - Taktik licik seorang lelaki yang menggunakan helah membeli ais krim manakala dalam masa sama isterinya mencuri dua paket minuman coklat gagal mengelirukan seorang pembantu kedai.

Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kelmarin.

Pembantu kedai itu, Norharizan Yusof, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, hanya dia berseorangan di kedai sedang melayan seorang pelanggan sebelum didatangi pasangan berkenaan yang berusia lingkungan 30-an.

“Semasa mereka berdua masuk ke dalam kedai, saya sedang sibuk melayan pelanggan yang membeli barang dalam kuantiti agak banyak. Tetapi pada masa sama, saya cuba juga memerhati gerak geri mereka.

“Mereka berdua berpura-pura memilih barang-barang yang ada di atas rak dan semasa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah terpandang di dalam kamera litar tertutup (cctv) lelaki itu masuk ke dalam stor mengambil tiga guni bawang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Norharizan berkata, terkejut melihat tindakan itu, dia berlari keluar dari kedai memanggil lelaki berkenaan agar memulangkan semula kesemua bawang yang diambil, sambil menjerit memanggil pemilik kedai yang secara kebetulan berada di situ meminta bantuan.

“Mungkin dia terkejut melihat saya menjerit menyebut pencuri, lalu dia bergegas memulangkan semula bawang yang bernilai kira-kira RM40 itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai.

“Ketika itu, saya ternampak kelibat isterinya ada di sebelah tempat duduk penumpang di bahagian hadapan dan saya tidak pasti, bila isterinya masuk ke dalam kereta itu,” katanya.

Jelasnya lagi, sejurus pasangan itu pergi, dia bersama pemilik kedai melihat semula rakaman cctv dan ketika itulah, baru mengetahui pasangan berkenaan sempat melarikan dua bungkus minuman coklat bernilai kira-kira RM40.

“Dalam rakaman itu, rupa-rupanya semasa lelaki itu berpura-pura memilih barang, si isteri mengambil kesempatan mencuri dua paket milo dan dimasukkan ke dalam beg galas dibawanya.

“Selepas itu, isterinya terus keluar sebelum lelaki itu membayar harga lima batang ais krim di kaunter pembayaran dan semasa keluar dari kedai, dia masuk ke dalam stor mengambil bawang tersebut,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai, Abu Bakar Mamat, 60, berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun tetap bersyukur kerana dia dan pekerjanya tidak diapa-apakan.


Caption:
1.    Suspek wanita sedang mencuri milo dan dimasukkan ke dalam beg digalasnya.
2.    Suspek lelaki sedang berpura-pura memilih barang bagi mengaburi mata pembantu kedai, Norharizan Yusof, 37.
3.    Suspek wanita hendak keluar dari kedai selepas mencuri dua paket milo
4.    Pasangan suami isteri ini berpura-pura hendak membeli ais krim
5.    Suspek wanita sedang mencuri milo di rak
6.    Suspek lelaki sedang melarikan tiga guni bawang di dalam stor





Tamat...

Pekerja melecur muka, anggota badan



ADILA SHARINNI WAHID
2 Mei 2013
Pekerja melecur muka, anggota badan
Mohd Badrul Izzat (kiri) bersama sepupunya menunjukkan cebisan belon yang meletup bersama tong berisi sisa belerang.
KOTA BHARU - Kegembiraan seorang lelaki menyemarakkan suasana kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bertukar tragedi apabila belon gergasi yang di pam meletup menyebabkan dia melecur di muka dan sebahagian anggota badannya.

Kejadian berlaku di Kampung Siti Manis, Kedai Buloh di sini, pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Mangsa, pekerja kedai komputer, Mohd Badrul Hisham Mohd Abd Ghani, 30, cedera di muka, kedua-dua tangan dan kaki hingga paras lulut akibat terkena serbuk belerang yang dimasukkan ke dalam belon itu.

Adik mangsa, Mohd Badrul Izzat, 28, berkata, ketika itu, abang bersama neneknya, Mariam Daud, 65, berada di rumah.

“Dia mengepam belon itu menggunakan pam tayar basikal yang disambung menggunakan kuasa bateri kereta. Tidak sampai tiga minit, belon yang selesai dipamkan bersama belerang itu meletup seperti bom.

“Nenek yang terkejut mendengar letupan itu, pengsan serta-merta tetapi mangsa masih sedarkan diri dan merasa panas di muka, lengan dan kaki sebelum masuk ke dalam rumah serta mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Buloh di sini, semalam.

Menurutnya, akibat tidak tahan rasa panas, abangnya meminta pertolongan jiran untuk dihantar ke hospital.

“Dia kemudian terus dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II. Kata doktor keadaannya stabil tetapi masih memerlukan bantuan mesin pernafasan. Kulit mukanya menjadi hitam seperti terbakar sementara tangan dan kakinya berbalut,” katanya.

Khalwat: Gelora asmara lepas undi awal



Khalwat: Gelora asmara lepas undi
Pegawai penguatkuasa Jaij mengambil keterangan daripada pasangan berkenaan untuk tindakan lanjut.
BATU PAHAT - Seorang penjawat awam wanita  ditahan bersama pasangannya di salah sebuah hotel bajet  sekitar daerah ini dalam  operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang  bekerja di utara tanah air merayu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat supaya tidak ditahan  dalam serbuan itu.

Dia turut mengaku baru sahaja selesai melaksanakan undian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan memberi alasan bimbang untuk pulang sekaligus mendorongnya mendaftar masuk hotel bajet berkenaan bersama teman lelakinya.
“Kes ini akan melibatkan kerjaya saya. Tak bolehkah kita 'settle' tepi bang,” katanya.

Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, wanita berusia 20an itu  didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan bersama pasangannya.

Menurutnya, anggota dan pegawai penguatkuasa juga terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pasangan berkenaan membuka pintu bilik hotel bajet tersebut.

“Semasa pintu bilik berkenaan dibuka, kami menemui seorang lelaki hanya memakai tuala, manakala pasangannya memakai pakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut  mendapati, mereka ini tidak mempunyai hubungan yang sah dan turut menyatakan baru sahaja berkenalan sekitar enam bulan lalu serta berhasrat  untuk bernikah.

“Pada awalnya, pelbagai alasan diberikan pasangan itu terutama wanita terbabit  kerana bimbang penahanan itu akan memberi kesan  kepada kerjayanya sebagai  penjawat awam,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya kerana berada dalam keadaan berkurung di dalam bilik hotel dan melakukan perkara yang mencurigakan.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.

“Pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut sebagai pengajaran kepada mereka.

“Semua pihak dinasihatkan tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan. JAIJ akan terus mengadakan lebih banyak serbuan dan pemeriksaan bagi memastikan daerah ini bebas  daripada maksiat,” katanya.

Suami bekas CEO IIB didenda RM50,000



JOHOR BAHRU 2 Mei - Suami bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Bhd. (IIB) didenda RM50,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana bersubahat menipu sebuah syarikat swasta untuk mendapat tender membina dan menyiapkan sekolah berasrama penuh, tiga tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Amin Suhaimi, 54, yang merupakan pengarah sebuah syarikat swasta setelah tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mengikut pertuduhan tersebut, Mohd. Amin didakwa bersubahat dengan Mohd. Iskandar Fahmi Abdullah, 54, memperdaya Pengarah syarikat Detect Engineering Sdn. Bhd., Mohd. Hassan Madon, 50, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM816,900.
Pemberian wang tunai itu kononnya sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapat tender membina dan menyiapkan sekolah menengah berasrama penuh bernilai RM40.8 juta atas sebahagian Lot PTD 154971, Mukim Pulai di sini daripada IIB.
Mohd. Amin didakwa melakukan kesalahan itu di Cafe Para-Para, Hotel Grand Paragon di Jalan Harimau, Taman Century, di sini kira-kira pukul 5 petang, 22 April 2010.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela tertuduh, Datuk Shukri Mohamed dan Shamsul Sulaiman menyatakan, pengakuan itu dibuat atas dasar kesedaran tertuduh dan tidak dibuat dalam keadaan terdesak.
Syukri berkata, kes itu menyebabkan kontrak isteri tertuduh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IIB ditamatkan, selain tawaran untuk jawatan di sebuah syarikat lain turut ditarik balik.
''Tertuduh sebelum ini turut memberikan kerjasama baik dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan tertuduh juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah,'' katanya.
Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latiff pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130503/ma_05/Suami-bekas-CEO-IIB-didenda-RM50000#ixzz2SBIyvzq4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki mengaku tak salah ganggu peti undi



TELOK KEMANG 2 Mei - Seorang wakil calon Pas kerusi Parlimen Telok Kemang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini atas tuduhan mengunci sembilan peti undi di Pusat Mengundi Dewan Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Selasa lalu.
Azahari Ismail, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret M. Mageshwary.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengganggu dengan mengunci sembilan peti undi menggunakan sembilan unit mangga (mengunci) jenama Yunxian di Pusat Mengundi Dewan Hangar, Pusasda antara pukul 7 petang dan 7.10 petang, 30 April lalu.
Dakwaan terhadap Azahari dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pilihan Raya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa dan Hazwan Mohd. Nor.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 15 Jun ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wakil Pas bagi kawasan Parlimen Telok Kemang bertindak mengunci sembilan peti undi selepas proses pengundian awal di Pusasda.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kawasan Parlimen Telok Kemang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk VS Mogan dicabar penyandang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Kamarul Baharin Abbas dan seorang calon Bebas iaitu Datuk Kamarudin Kumaravel Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130503/ma_02/Lelaki-mengaku-tak-salah-ganggu-peti-undi#ixzz2SBI0FBGp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua suspek godam laman web kerajaan ditahan



KUALA LUMPUR 2 Mei - Polis telah menahan dua individu kerana dipercayai bertanggungjawab menggodam dua laman web milik kerajaan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dua laman web yang digodam suspek itu adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Penerangan, masing-masing pada 27 Disember 2012 dan 18 Februari lalu.
"Suspek pertama berusia 33 tahun merupakan seorang usahawan manakala rakannya berusia 28 adalah pakar komputer.
"Kedua-dua mereka berjaya dikesan selepas menggunakan alamat e-mel jessica95@live.com bagi menghantar surat arahan palsu kepada beberapa cawangan JPN supaya menyerahkan MyKad dan MyKid yang tidak dituntut selepas 18 bulan untuk perhatian satu alamat di Keningau, Sabah.
"Sebelum itu, mereka menyebarkan surat palsu di laman web Jabatan Penerangan berhubung peletakan jawatan Perdana Menteri," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana hari ini.
Tambah Syed Ismail, penghantaran surat arahan palsu di laman web JPN telah disedari oleh seorang pegawai dari cawangan jabatan itu di Presint 7, Putrajaya dekat sini lalu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
"Bertindak atas laporan itu, polis membuat serbuan dan menahan suspek serta merampas empat unit komputer riba, tiga telefon bimbit, telefon tanpa wayar, cakera RAM, cakera keras luaran, pemacu pena, set pemancar, beberapa keping cakera padat (CD), kad memori dan kad mikro.
"Polis juga masih menyiasat tujuan penyebaran surat berkenaan dan penyerahan kad terbabit di alamat yang dinyatakan termasuk sekiranya membabitkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130503/je_02/Dua-suspek-godam-laman-web-kerajaan-ditahan#ixzz2SBHQ73mb
© Utusan Melayu (M) Bhd