Search This Blog

Thursday, May 2, 2013

Penagih berang serang bapa guna pisau, penyapu



 
Kuala Terengganu: Seorang penagih dadah bertindak ganas menyerang bapanya dengan pisau dan penyapu kerana berang ditegah menjadikan rumah mereka di Kampung Losong Atap Zink, di sini sebagai ‘port’ melepaskan gian.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, Isnin lalu, suspek berusia 21 tahun bersama rakannya dikatakan sedang khayal selepas mengambil dadah di rumah mangsa.
Minta anak keluar rumah

Sumber memberitahu, disebabkan tidak puas hati dan geram dengan perbuatan suspek yang selalu menjadikan rumah mereka sebagai tempat melepaskan ketagihan, bapa suspek memberanikan diri menegur dan meminta anaknya itu keluar dari rumah berkenaan.

“Teguran mangsa mengundang kemarahan suspek yang bertindak gila dengan mengacukan pisau lipat sambil mengambil penyapu untuk memukul mangsa.

“Melihatkan keadaan suspek yang agresif, mangsa berusia 58 tahun segera melarikan diri kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, suspek dikatakan pernah beberapa kali mengugut mahu membakar rumah dan memecahkan cermin kereta bapanya jika permintaan untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi.

Pengirim surat Obama guna biji jarak buat racun



 
Jackson: Topeng debu dan barangan lain yang dirampas daripada studio seni mempertahankan diri seorang lelaki Mississippi yang didakwa menghantar surat dicemari racun kepada Presiden Barack Obama dan dua pegawai lain diuji positif mengandungi racun risin yang boleh membunuh.

“Dokumen mahkamah yang disiarkan kelmarin menyatakan rekod yang dirampas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) juga menunjukkan pengajar seni mempertahankan diri, Everett Dutscke, menempah benih pokok jarak (Castor), yang digunakan untuk menghasilkan risin, daripada eBay,” kata Ejen Khas FBI, Stephen Thomason, dalam afidavit setebal lapan muka surat.
Dutschke, yang dipenjarakan tanpa ikat jamin, dijangka hadir di mahkamah daerah di Oxford, Mississippi, untuk sesi keterangan penahanan hari ini. - REUTERS

Sambutan Hari Pekerja jadi ganas


Foto

Polis dan penunjuk perasan bergaduh ketika sambutan Hari Pekerja membawa kepada rusuhan di Istanbul, Turki, semalam.

Foto
Pekerja Indonesia mengecat muka dan badan menyertai perarakan Hari Pekerja di Jakarta, semalam.

Foto
Warga Singapura menyertai protes Hari Pekerja membantah kos hidup tinggi dan dasar imigresen dalam bantahan di Taman Hong Lim, semalam.

Protes tuntut hak buruh cetus ketegangan di Eropah, Asia

Athens: Kekacauan dan pertempuran meletus semalam antara polis dan penunjuk perasaan yang mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja di Eropah dan Asia.

Perkhidmatan kereta api dan feri terhenti manakala hospital tidak dapat memberi perkhidmatan selepas kakitangannya melakukan mogok di Greece.
Guna meriam air

Di Istanbul, polis pencegah rusuhan melepaskan meriam air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di tengah kota itu.

Beribu-ribu anggota polis berkawal di seluruh bandar bagi menyekat akses ke Dataran Taksim selepas penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi sebelum menyerbu sekatan anggota keselamatan.

Beribu-ribu lagi berarak di Sepanyol bagi membantah dasar kerajaan memperketat perbelanjaan.
Dua badan sekerja terbesar, CCOO dan UGT menggesa pekerja dan golongan penganggur menyertai 80 tunjuk perasaan di seluruh negara itu ketika kadar pengangguran semasa 27 peratus.
Ketika menulis dalam akhbar kewangan, El Economista, Setiausaha Agung CCOO, Igancio Fernandez Toxo mengkritik kerajaan yang dituduhnya tidak bertanggungjawab kerana membiarkan kadar pengangguran begitu tinggi - 6 juta.

Sementara itu, beribu-ribu pekerja bergaji rendah menyertai perarakan Hari Pekerja di Jakarta bagi menuntut kenaikan gaji, faedah pekerjaan dan keadaan sekitaran kerja lebih baik.

Buruh di Kemboja, Filipina, Singapura, Bangladesh, Taiwan dan Korea Selatan juga keluar beramai-ramai mendesak supaya hak pekerja dihormati.

8,000 berarak di Manila

Seramai 8,000 orang berarak di Manila sambil menuntut kenaikan gaji dan kerja tetap sambil menolak kontrak kerja sementara selain mendesak harga makanan dan barangan keperluan diturunkan.

Selain itu, 3,000 orang menyertai bantahan di Singapura bagi mendesak kerajaan peka kepada kadar pendapatan tidak seimbang, gaji menteri terlalu tinggi dan kehadiran ramai pekerja asing.

Beribu-ribu lagi pekerja turut melakukan bantahan di Hong Kong termasuk pekerja dermaga yang melakukan mogok lebih sebulan.

Mereka mendesak diberi kenaikan gaji selepas kadar upah beberapa kali dipotong beberapa tahun lalu.

Sementara itu, beribu-ribu lagi anggota lebih 30 kesatuan sekerja berarak di Taipei meminta hak mereka dilindungi. - Agensi

Maut badan digilis, kena seret 100m

Maut badan digilis,  kena seret 100m
Mayat Sharendran hancur digilir treler dengan kesan darah di sepanjang jalan di Simpang Lima, Parit Buntar, semalam. 

Parit Buntar: Seorang penunggang motosikal maut dengan tubuhnya hancur diseret sebuah treler sejauh 100 meter dalam kemalangan di Simpang Lima di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, M Sharendran, 22, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan tubuh masih tersepit di bawah tayar treler berkenaan.
Motosikal bergesel 


Saksi kejadian, Saiful Mua’zam, 21, berkata, dia nampak motosikal jenis Yamaha ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori ketika memberhentikan motosikalnya di tepi jalan berhampiran Balai Polis Parit Buntar.

“Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan keadaan jalan agak sibuk kerana waktu puncak.

“Saya tergamam apabila melihat motosikal mangsa bergesel hingga menyebabkan dia terjatuh di bawah tayar belakang lori. Berikutan digilis di bawah tayar, badannya hancur dan kesan tubuh mangsa diseret serta darah dapat dilihat jelas,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Ditembak selepas makan



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Mei 2013
Ditembak selepas makan
Kecederaan dialami Viswanathan selepas terkena tembakan.
SHAH ALAM – Seorang lelaki yang baru selesai makan malam ditembak penjenayah dalam kejadian berhampiran Pasar Borong Selayang, Selayang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Viswanathan, 21 tahun, bersama dua rakannya berada dalam kereta selepas makan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mereka didatangi tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta.

“Salah seorang daripada penjenayah itu melepaskan tembakan ke arah mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Dua das tembakan mengenai bibir dan pipi kiri mangsa,” katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian bertindak melanggar kereta yang dipandu penjenayah dalam usaha untuk menghalang tindakan penjenayah melepaskan tembakan.

Abdul Rahim berkata, usaha itu berjaya, namun penjenayah melarikan diri.

Katanya, mangsa dikejar ke Hospital Selayang dan kini dilaporkan stabil.

Kes disiasat  ikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ungkapan petanda maut



MOHD FIRDAUS YON
2 Mei 2013
Ungkapan petanda maut
Keadaan kereta mangsa yang remuk dan tersangkut pada tiang berkenaan. Foto: Ihsan PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya
Ungkapan petanda maut
Ahli keluarga yang berada di HSA tidak dapat menahan sebak.
KULAIJAYA - Salah seorang mangsa kemalangan maut R Gita, 42, pernah menghubungi adik ipar dan memberitahu Masai adalah destinasi terakhirnya, sebelum dia bersama empat lagi ahli keluarga kemalangan, semalam.

Dalam kejadian itu, lima sekeluarga maut, manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki enam beranak terbabas di Kilometer 17.9 Lebuhraya Utara-Selatan (menghala utara), kira-kira 750 meter dari susur keluar ke Kulaijaya, am 4 petang.

Mangsa yang maut dikenali P Pavai, 65; dua menantunya, R Selvamani, 46; dan dua cucu, G Vikneswaran, 19 dan A Akash, 7, manakala seorang lagi cucunya, G Vinithaa,16, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord yang dipandu Vikneswaran hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang papan tanda arah.

“Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Putri, di sini selepas mengunjungi rumah ibadat di Masai. Bagaimanapun, kenderaan mereka terbabas dan melanggar tiang papan tanda arah berhampiran susur masuk ke Kulaijaya.

“Akibat kemalangan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian sementara seorang lagi iaitu Pavai meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kulaijaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zulkefly berkata, kesemua yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

“Polis kini sedang melakukan siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau  hubungi cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya di talian 07-6632222,” katanya.

Sementara itu, G Vinesa, 18, yang kehilangannya ibunya (Gita) dan neneknya (Pavai) berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya kira-kira jam 10 pagi hari ini (semalam) di kediaman mereka di Jalan Kemuliaan, Taman Universiti, Skudai.

“Saya sepatutnya mengikut ibu dan abang (Vikneswaran) ke kuil di Masai kerana pada setiap 1 Mei, ibu akan bersembahyang di situ. Bagaimanapun, saya diajak oleh rakan untuk keluar bersiar sempena cuti umum.

“Ibu tak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi minta saya pulang ke rumah lebih awal sebelum mereka semua sampai ke rumah,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, adik perempuan kepada ayahnya, M Gunasegaran, 48, yang dikenali M Shanti berusia 40-an ada dihubungi ibunya, Gita yang mengatakan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah dan mengatakan Masai merupakan destinasi terakhirnya.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda dia bersama ahli yang keluarga pergi buat selama-lamanya dan saya begitu kerana kehilangan lima ahli keluarga serentak,” katanya.

Adik-beradik Jacko dilarang masuk mahkamah



Los Angeles: Hakim semalam melarang adik-beradik Michael Jackson hadir di mahkamah kerana bimbang kehadiran mereka akan mempengaruhi juri dalam kes saman kira-kira AS$40 bilion (RM120 bilion) keluarga itu.

Kesemua Janet, Jermaine, Jackie, Tito, La Toya, Rebbie dan Randy Jackson bersedia tampil sebagai saksi dalam perbicaraan yang dijangka berlangsung selama empat bulan itu. Namun pada hari kedua, peguam syarikat AEG, syarikat yang bertanggungjawab menganjurkan konsert ‘This Is It’ mempertikai terdapat ‘risiko’ membenarkan mereka berada dalam kamar mahkamah.


AEG disaman ibu Jacko, Katherine, 82, dan tiga anak raja pop itu - Prince, 16, Paris, 15, dan Blanket, 11.


Bagaimanapun, Katherine dibenarkan berada di mahkamah kerana dia adalah plaintif dan peguam keluarga Jackson Brian Panish menegaskan dia memerlukan seorang daripada anaknya menemaninya setiap hari. Randy, 51, menemaninya semalam. Hakim mahkamah agung Los Angeles Yvette Palazuelos berkata: “Randy boleh kekal di sini, tetapi kamu tidak boleh ditemani oleh kelima-lima anak anda dalam mahkamah.” Keluarga Jackson mendakwa AEG yang bertanggungjawab terhadap konsert ‘This Is It’ di Arena O2 London pada 2009 memberikan tekanan kepada penyanyi berusia 50 tahun itu hingga Michael ketagihan ubat, kesihatannya semakin buruk dan mengalami masalah untuk tidur. - The Sun

Penjenayah lari tinggal MPV Singapura



Johor Bahru: Kecekapan polis mengesan kenderaan mencurigakan menggagalkan usaha seorang suspek untuk melakukan jenayah di sekitar Seri Alam, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, suspek melarikan diri dan meninggalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Prairie.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, sebuah MPV polis mengesan Nissan Prairie yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura berlegar-legar di sekitar Seri Alam menuju Kangkar Pulai dalam keadaan mencurigakan.


Berikutan itu, katanya, anggota polis mengarahkan pemandu terbabit berhenti untuk pemeriksaan namun dia terus memecut.


“Nissan Prairie terbabit kemudian ditemui di Jalan Pulai Bestari 4, Taman Bandar Baru, Kangkar Pulai.


“Suspek pula sudah melarikan diri. Pemeriksaan menemui dokumen pengenalan diri suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, semalam.


Menurut beliau, suspek dikenali sebagai Law Yong Kuang, 31, dan dipercayai masih berada di kawasan berhampiran.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek pernah ditahan atas beberapa kesalahan termasuk pecah masuk premis perniagaan dan narkotik.


“Kami menyita Nissan Prairie itu dan masih mengesan pemilik sebenar. Selain itu, pemeriksaan menemui tiga telefon bimbit digunakan suspek,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Law diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Sumbat stoking



“Kalau kau buka mulut, mulut kau aku gunting,” kata seorang pembuli selepas puas menggunting rambut serta menyumbat stoking ke dalam mulut mangsanya.

Mangsa yang juga pelajar perempuan sebuah sekolah di Semenchu, Kota Tinggi dibuli enam pelajar perempuan sekolah berkenaan dan seorang daripada pembulinya bertindak sebagai jurukamera untuk merakam adegan kejam selama 11 minit sembilan saat itu.


Sekurang-kurangnya enam rakaman video itu dengan pelbagai tajuk seperti ‘Lagi kes buli di sekolah’ dimuat naik beberapa individu di YouTube sejak semalam. Ketika dibuli, mulut mangsa turut ditekup serta disumbat dengan stoking milik pembuli. Mangsa yang ketakutan serta lemah pula tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menangis.


Pembuli pula tidak mengendahkan tangisan mangsa, malah mereka ketawa melihat keadaannya.


“Kau diam, kau pergi cium kasut aku cepat, kan sedap, kau rasa bau apa,” kata seorang daripada pembuli sambil mengangkat kaki dan menghalakan kasut dipakai ke muka mangsa.


“Aku nak tunjukkan pada Ima (nama seseorang),” kata seorang lagi pembuli. Seorang lagi pelajar itu kemudian bertanyakan mengapa rambut mangsa tidak berwarna perang.

“Kenapa rambut kau tak perang, kalau perang masuk Facebook (FB),” kata pembuli sambil memegang gunting dan menarik rambut mangsa.


Berdasarkan rakaman itu, pembuli pada mulanya menyelak baju dan seluar sukan dipakai mangsa seterusnya menarik rambut pelajar yang berusia 14 tahun itu.

Kumpulan pembuli terdiri daripada pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun itu turut menekup hidung mangsa, memukul serta menendang mangsa.


Apabila melihat keadaan mangsa lemah, seorang daripada pembuli memaksa mangsa mencium kasut serta stoking dipakainya sambil menyatakan ‘minta maaf kalau stoking aku bau bangkai’.


Pembuli kemudian meletakkan kaki di atas kepala mangsa sebelum menyumbat stoking ke dalam mulutnya.


Selepas puas mempermainkan mangsa, kumpulan pembuli kemudian menggunting rambut pelajar itu dengan alasan ia tidak kemas.


Pembuli kemudian mengelap kasut masing-masing dengan stoking sebelum ia dilap pada muka mangsa.


“Sekian terima kasih,” kata seorang daripada pembuli selepas memakaikan tudung mangsa sebelum rakaman terbabit dihentikan.


Jurucakap sekolah itu ketika dihubungi mengatakan kumpulan pembuli itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.


“Kes ini berlaku pada awal tahun ini dan ia sudah selesai,” katanya enggan mengulas lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Mohd Nor Rashid mengesahkan kejadian itu.


“Kejadian berlaku 5 Januari lalu dan kami menerima laporan berkaitan perkara terbabit pada hari sama.


“Enam pelajar perempuan yang terbabit dalam kes buli ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi sebelum dijatuhi hukuman pada 5 Februari lalu,” katanya, semalam.

Diseret treler 100 meter



Parit Buntar: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis dan diseret sebuah treler sejauh lebih 100 meter di Simpang Lima Parit Buntar, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, M Sharendran, 22, mati di lokasi kejadian dan tubuhnya tersepit di bawah tayar treler berkenaan.


Seorang saksi kejadian, Saiful Mua’zam, 21, berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersendirian bergesel dengan treler yang menuju Kuala Kurau.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa yang menaiki Yamaha 135L terjatuh sebelum digilis tayar belakang treler itu. “Saya tergamam melihat mangsa jatuh betul-betul di bawah tayar belakang lori itu sebelum digilis hampir 100 meter. Pemandu treler itu hanya berhenti selepas menyedari kenderaan berat dibawa melanggar mangsa dan motosikalnya,” katanya.


Dia berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan jalan sibuk dengan kenderaan.


“Inilah kali pertama saya menyaksikan kemalangan begitu dahsyat. Saya tidak sanggup melihat keadaan mayat mangsa yang hancur akibat kemalangan itu.

“Mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota polis sebelum dihantar ke Hospital Parit Buntar,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes kemalangan berkenaan yang membabitkan pemuda dari Ladang Jin Seng, Bagan Serai.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

3 anggota TUDM buat laporan polis



Kepala Batas: Tiga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Butterworth, dekat sini, membuat laporan polis berhubung isu dakwat kekal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Seberang Perai Utara (SPU), jam 10.30 pagi semalam.

Laporan itu dibuat bagi menyangkal dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, yang mendakwa dakwat yang dicalit di atas jari setiap pengundi dapat bertahan tujuh hari. Bagaimanapun, Mejar Zaidi Ahmad, 45, mendakwa dakwat itu tanggal sejurus dia mencuci jarinya yang dicalit dengan dakwat menggunakan sabun pencuci pinggan.


“Saya membuang undi pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin). Selepas beberapa jam, saya ingin mencuba sama ada dakwat ini kekal atau tidak. Saya terkejut apabila mencuci dengan sabun basuh pinggan, dakwat itu hilang dan jari yang dicalit dengan dakwat berwarna merah saga itu menjadi bersih,” katanya.


Juruteknik TUDM, Jamal Ibrahim, 41, berkata, dia tidak takut membuat laporan polis itu kerana ia adalah tanggungjawabnya bagi memastikan proses PRU-13 berjalan lancar.


“Jika takut saya tidak datang membuat laporan polis tetapi atas dasar tanggungjawab seperti yang dipupuk dalam amalan tentera, saya beranikan diri tampil supaya proses PRU13 tidak dicemari.


“Tindakan saya ini kerana bimbang terdapat pengundi yang mengundi dua kali pada PRU13,” katanya.

Turut membuat laporan polis ialah Isteri Zaidi yang juga seorang anggota TUDM, Sharil Aida Sabu, 46, turut membuat laporan polis mahu SPR lebih peka terhadap penggunaan dakwat kekal itu.

Empat parah bertembung



Empat parah termasuk dua pelajar Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Kampar, Perak apabila dua kenderaan dinaiki mereka bertembung di Kilometer 213.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari, van Perodua Rusa dipandu Khadijah Mohamad, 44, bersama suami, Amjad Javed Ghulam Hussain, 38, bertembung dengan Proton Iswara dipandu Beatrice Lim Hui Lih, 23, dan rakannya, Yip Lilian, 24.


Difahamkan, van dinaiki pasangan suami isteri itu dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu memasuki kawasan tebing berumput di kiri jalan sebelum melencong ke kanan dan masuk ke lorong tengah.


Sumber berkata, van dinaiki pasangan suami isteri itu dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang di lorong sebelah kiri dan bergerak ke tebing rumput di sebelah kiri lebuh raya sebelum berpusing dan terus bergerak melawan arus di lorong tengah.


“Ketika van berkenaan meluncur masuk ke lorong tengah lebuh raya dalam keadaan menyongsang arus, muncul kereta dinaiki dua pelajar itu menyebabkan kereta mereka bertembung.


“Pertembungan kuat itu menyebabkan pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu manakala suaminya cedera parah tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu Proton Iswara yang cedera parah di kaki kanan dapat keluar dari kenderaannya yang remuk di bahagian hadapan bersama rakannya yang turut cedera di anggota badan. Sementara itu, Beatrice berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke kolejnya di Perak, selepas menghabiskan cuti hari pekerja di rumah keluarganya di Batu Pahat, Johor.


“Apabila tiba di lokasi, saya terkejut melihat van berkenaan dari tebing berumput tiba-tiba berpusing dan menghala ke arah kereta saya tanpa sempat menekan brek menyebabkan kenderaan kami bertembung,” katanya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh PBK 2 Mohd Asraf Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.37 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera serta 14 anggota.


“Setiba di lokasi didapati pemandu van tersepit pada stereng dan dihimpit bahagian hadapan van, namun berada dalam keadaan sedar sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.


“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menanggalkan pintu van dan diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Penagih bunuh nenek kerana tak diberi wang



Kaherah: Seorang penganggur membunuh neneknya di depan ibu dan adik beradiknya selepas wanita tua itu gagal memberinya wang untuk membeli dadah, semalam. Jenayah itu berlaku di daerah Al Haram di wilayah Giza.

Polis berkata, mereka menemui mayat mangsa di lantai rumah keluarga terbabit. Selain lehernya dikelar, wanita tua itu turut ditikam beberapa kali.


Ibu remaja berkenaan yang juga anak mangsa mengesahkan anaknya yang melakukan pembunuhan itu.


“Ibu datang ke rumah kami. “Ketika duduk bersembang di ruang tamu, anak saya meminta wang untuk membeli dadah. Ibu enggan memberi menyebabkan anak saya marah dan meluru ke dapur. Dia membawa pisau dan menikam ibu hingga mati.


“Saya dan anggota lain terkejut dan tidak dapat melindung ibu atau mengawal anak saya. Dia mengancam membunuh kami jika cuba mempertahankan ibu. Anak saya kemudian melarikan diri,” kata wanita berkenaan kepada polis.


Polis berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian. - AN

Anak tak sengaja tembak bapa



Onaizah (Arab Saudi): Seorang lelaki berusia 60-an kini tenat di sebuah hospital di sini selepas ditembak secara tidak sengaja oleh anak perempuannya ketika mereka berkelah di padang pasir.

Jurucakap polis daerah Qassim Kolonel Fahd Al-Habdan berkata, lelaki itu membersihkan pistolnya apabila si anak meminta untuk memegang senjata berkenaan.


Dia menanggalkan magazin berisi peluru dan menyerahkan senjata itu kepada anaknya. Si anak kemudian menarik picu pistol dan sebutir peluru yang masih ada di dalamnya mengena kepala si bapa. - AP

Pencuri kereta mewah dicekup



Nor Hashim Mohamad (dua kanan) menunjukkan kereta jenis BMW yang dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran plat Singapura yang palsu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU 30 April - Taktik seorang lelaki menukar nombor pendaftaran kereta mewah BMW 320I yang dicuri kepada nombor kenderaan Singapura bagi mengelak dikesan gagal kerana dia akhirnya dicekup polis di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai di sini semalam.
Suspek berusia 27 tahun dilaporkan melarikan kenderaan tersebut di sebuah pasar raya terkenal di Bukit Indah dekat sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Noor Hashim Mohamad berkata, suspek mengambil kesempatan melarikan kereta itu pada pukul 5.30 petang ketika pemiliknya sedang memasukkan barang ke dalam kenderaan tersebut.
Beliau berkata, penjenayah itu kemudian menukar nombor pendaftaran kereta tersebut dengan nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang lama bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Polis yang menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa bagaimanapun berjaya mengesan kereta terbabit dan memberkas suspek di Taman Tan Sri Yaakob pada pukul 1.05 petang semalam.
"Siasatan mendapati kereta yang dicuri itu akan dijual kepada orang tengah sebelum dijual pula kepada pihak ketiga," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya hari ini.
Beliau berkata, semasa disiasat, suspek mengaku terlibat dalam lima kes curi kenderaan di daerah Nusajaya dan menjalankan kegiatan itu secara bersendirian.
Noor Hashim berkata, suspek juga didapati positif dadah jenis metaphetamin dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.
Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, polis sedang memburu seorang lelaki berusia 31 tahun kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah Nusajaya.
"Dalam kejadian pukul 1.30 pagi Sabtu lalu, kami berjaya mengesan suspek dikenali sebagai Law Yong Kuang sedang memandu kereta Nissan Praire bernombor pendaftaran SFW 4237 R dari arah Seri Alam menuju Kangkar Pulai," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130501/je_03/Pencuri-kereta-mewah-dicekup#ixzz2S5RT01dU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga anggota keluarga polis maut



Sarjan Tajuddin Mohd. Noor memeriksa MPV Toyota Innova milik Ghazali Daud yang remuk teruk selepas terbabas dalam kemalangan yang mengorbankan isteri dan dua anaknya di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 30 April - Perjalanan pulang seorang pegawai polis Bukit Aman untuk mengundi awal di Batalion 9 Polis Gerakan Am Kubang Badak dekat sini berakhir dengan tragedi selepas isteri dan dua anaknya meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Wakaf Tapai, Marang apabila kenderaan pelbagai guna dipandu Supritendan Ghazali Daud, 49, yang membawa isteri serta tujuh anaknya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang.
Akibat kemalangan berkenaan, isteri Ghazali, Haniza Abdul Rahman, 40, dan dua anak mereka, Ahmad Firdaus Izzudin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10, maut.
Ghazali yang bertugas di Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) bersama dua anaknya, Nur Aliah Afifah, 7, Nur Aliah Atikah, 5, dan Aina Yusra, 2, pula cedera parah sementara Ahmad Fahmi Izzudin, 12, dan Akilah Husna, tujuh bulan cedera ringan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa memberitahu, mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dekat sini untuk rawatan lanjut.
"Jenazah mereka yang maut dihantar ke Hospital Kuala Berang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan dikebumikan di Kampung Gong Pak Jin, Gong Badak," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, anak sulung Ghazali, Ahmad Fahmi Izzudin memberitahu, ibunya memaklumkan mereka akan pulang ke kampung di sini untuk mengundi petang semalam.
"Mak kata ayah nak balik mengundi dan kami bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 malam," katanya yang cedera di tapak kaki kanan akibat nahas berkenaan.
Jelas beliau, selepas bertolak dari rumah mereka, dia banyak tidur tetapi tersedar apabila terdengar bunyi geseran yang sangat kuat.
"Apabila kereta dah berhenti saya dengar ayah kata sakit lepas itu saya pengsan," katanya yang masih trauma dengan insiden berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama Jamshah turut meluangkan masa melawat Ghazali dan anak-anak di hospital.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130501/je_01/Tiga-anggota-keluarga-polis-maut#ixzz2S5RLU928
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjaga kafe siber ditembak



KUALA LUMPUR 1 Mei - Seorang penjaga kafe siber nyaris maut akibat terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki bertopeng di Pasar Borong Selayang dekat sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam ketika mangsa berusia 21 tahun dan dua rakannya memasuki kereta selepas selesai makan malam di sebuah restoran berhampiran.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penjenayah bertopeng itu dilihat keluar dari sebuah kereta Toyota Vios dan terus melepaskan tembakan ke arah mangsa yang berada di kerusi penumpang bahagian hadapan kenderaan.
"Tembakan tersebut mencederakan bibir dan pipi kiri mangsa dan dia dikejarkan ke Hospital Selayang oleh rakannya.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa ditembak oleh seorang lelaki bertopeng manakala dua lagi rakan suspek menunggu dalam kereta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130502/je_04/Penjaga-kafe-siber-ditembak#ixzz2S5QuiOh8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis bantuan maut rempuh belakang van



KUALA LUMPUR 1 Mei - Seorang anggota polis bantuan terbunuh setelah motosikal ditunggangnya merempuh sebuah van yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 295.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kajang dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Mohd. Huzairi Mohd. Razali, 29, kemungkinan tidak menyedari terdapat sebuah van berhenti di laluan tersebut lalu merempuh belakang kenderaan itu.
Beliau berkata, van jenis Toyota Unser yang dinaiki enam sekeluarga itu berhenti akibat tayar pancit dan sedang menunggu bantuan daripada peronda lebuh raya.
"Mangsa yang merempuh belakang van itu kemudian tercampak masuk ke dalam kenderaan terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ab. Rashid berkata, semasa kejadian, mangsa yang bertugas di HP Tower, Damansara, Petaling Jaya dekat sini dalam perjalanan dari Sendayan, Negeri Sembilan ke Damansara.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130502/je_03/Polis-bantuan-maut-rempuh-belakang-van#ixzz2S5Qky0rY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima sekeluarga maut



Anggota Bomba dan Penyelamat Kulaijaya bekerja keras cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima penumpang termasuk seorang kanak-kanak di Kilometer 17.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara, semalam.
KULAIJAYA 1 Mei - Lima sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan dan merempuh tiang papan tanda di Kilometer 17.9, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara di sini, petang ini.
Kemalangan ngeri tersebut berlaku pukul 4 petang ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Puteri di sini, selepas mengunjungi sebuah rumah ibadat di Masai dekat sini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai P. Pavai, 65, R. Gita, 42, R. Selvamani, 46, G. Vikneswaran, 19, dan A. Akash, 7, manakala G. Vinithaa, 16, mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkifly Yahya berkata, empat mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan ke hospital.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian, percaya kemalangan berlaku apabila kereta Honda Accord dinaiki keluarga itu terbabas lalu merempuh tiang papan tanda di bahu kiri jalan.
"Rempuhan itu menyebabkan empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua wanita maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi iaitu Pavai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulaijaya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Zulkifly berkata, mayat kesemua yang terkorban dibawa Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baharu untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehubungan itu, saksi atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya di talian 07-6632222," katanya.
Sementara itu, G. Vinesa, 18, yang kematian ibunya, Gita dan neneknya, Pavai dalam insiden itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ialah kira-kira pukul 10 pagi ini.
Menurut Vinesa, dia sepatutnya mengikut ibunya pergi ke kuil tersebut untuk bersembahyang namun membatalkan hasrat itu selepas diajak seorang rakan untuk keluar bersiar-siar sempena cuti umum Hari Pekerja.
"Ibu memang selalu pergi ke kuil di Masai pada setiap 1 Mei. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan melainkan berpesan kepada saya supaya segera pulang ke rumah nanti.
"Tapi ibu pernah cakap kepada seorang makcik saya yang dia tidak akan pulang ke rumah dan Masai merupakan destinasi terakhirnya," kata Vinesa dalam nada sebak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130502/je_02/Lima-sekeluarga-maut#ixzz2S5QRF1EN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 terbunuh, 4 hilang akibat banjir kilat di Arab Saudi



RIYADH 1 Mei - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala empat lagi masih hilang selepas hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan padang pasir di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan negara ini, hari ini.
Agensi berita SPA yang memetik kenyataan Kolonel Abdullah al-Harethi sebagai berkata, beberapa orang maut dalam kejadian di beberapa kawasan termasuk di Riyadh, di selatan Baha dan di kawasan utara dan barat Hail.
Sehubungan itu Abdullah menggesa orang ramai menghindari kawasan lembah wadi dan dataran yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terperangkap di tengah-tengah wadi dan mangsa memanjat sebatang pokok bagi menyelamatkan diri daripada banjir kilat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130501/lu_09/13-terbunuh-4-hilang-akibat-banjir-kilat-di-Arab-Saudi#ixzz2S5ONpBt3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak 5 tahun guna raifal tertembak adik 2 tahun



CHICAGO 1 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang bermain menggunakan selaras raifal .22 kaliber yang diberikan kepadanya sebagai hadiah, secara tidak sengaja telah melepaskan tembakan yang membunuh adik perempuannya yang baru berusia dua tahun, semalam.
Mangsa, Caroline Starks disahkan maut sejurus tiba di hospital dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di daerah Cumberland, di Kentucky, Amerika Syarikat (AS).
Koroner daerah Cumberland, Gary White berkata, ketika kejadian itu berlaku, ibu kepada kanak-kanak tersebut sedang mengemas rumah dan berada di anjung.
"Menurut wanita itu, tidak sampai tiga minit dia di luar, dia terdengar bunyi letupan lalu berpatah balik dan menemui anak perempuannya itu," kata White kepada portal berita KWYT.
Raifal itu diberikan kepada kanak-kanak itu tahun lalu dan disimpan di penjuru sebuah bilik namun ibu bapa berkenaan tidak sedar akan sebutir peluru yang masih berada di dalam senjata tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130501/lu_12/Kanak-kanak-5-tahun-guna-raifal-tertembak-adik-2-tahun#ixzz2S5Nv827d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja tuntut pemilik kilang dihukum mati



DHAKA 1 Mei - Beribu-ribu penunjuk perasaan hari ini mengadakan bantahan bagi menuntut hukuman mati dikenakan terhadap pemilik kilang yang bertanggungjawab atas kematian lebih 400 orang dalam kes runtuhan kilang pada minggu lalu.
Bantahan itu diadakan sempena sambutan Hari Pekerja yang berlangsung hari ini, bagi menunjukkan kemarahan mereka terhadap insiden tersebut.
Meskipun Perdana Menteri Sheikh Hasina meminta agar semua pihak bertenang, ketegangan yang semakin meningkat menunjukkan kemungkinan berlakunya kekecohan yang lebih ganas .
Dalam demonstrasi hari ini, beribu-ribu pekerja memegang kain rentang merah yang tertulis 'Gantung Si Pembunuh, Gantung Pemilik Kilang' ketika mereka membanjiri jalan-jalan di Dhaka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_09/Pekerja-tuntut-pemilik-kilang-dihukum-mati#ixzz2S5NjPNAs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki rogol, bunuh bayi 6 bulan digukum mati suntikan maut



WASHINGTON 2 Mei - Seorang lelaki dari Ohio yang disabitkan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang bayi berusia enam bulan semalam menjalani hukuman mati dengan suntikan maut selepas rayuan terakhirnya berkaitan kes itu ditolak.
Pihak penjara di Lucasville, di selatan Ohio mengesahkan kematian Steven Smith, 46, pada pukul 10.29 pagi waktu tempatan, sejurus pelaksanaan hukuman itu.
Smith dijatuhi hukuman mati pada Mac 1999 kerana pembunuhan kejam ke atas Autumn Carter, anak perempuan kepada teman wanitanya, pada September 1998.
Bayi itu meninggal dunia akibat trauma dan lemas akibat kejadian tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_02/Lelaki-rogol-bunuh-bayi-6-bulan-digukum-mati-suntikan-maut#ixzz2S5M0MOuh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 lagi suspek ditahan insiden pengeboman Maraton Boston



WASHINGTON 2 Mei - Sebanyak tiga lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan insiden pengeboman Maraton Boston, kata Jabatan Polis Boston menerusi akaun rasmi Twitter mereka, hari ini.
Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut berhubung penahanan suspek terbaharu itu.
Pasukan penyiasat sebelum ini mengenalpasti dua suspek iaitu lelaki etnik Chechen dengan seorang daripada mereka, Tamerlan Tsarnaev, 26, terbunuh dalam insiden berbalas tembak dengan polis manakala saudaranya, Dzhokhar Tsarnaev, 19, terselamat.
Sebanyak tiga orang terbunuh manakala 264 lagi cedera dalam kejadian pada 15 April lalu itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_03/3-lagi-suspek-ditahan-insiden-pengeboman-Maraton-Boston#ixzz2S5LenOnO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi: 2 terbunuh, 70 lagi cedera di India



NEW DELHI 2 Mei - Satu gempa bumi sederhana menggegarkan kawasan utara India semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala lebih 70 lagi cedera termasuk lebih 30 orang pelajar.
Gempa sederhana berukuran pada 5.8 skala Richter melanda sepanjang sempadan negeri Jammu dan Kashmir serta Himachal Pradesh, kata seorang jurucakap kerajaan India.
Dua terbunuh akibat tanah runtuh yang berpunca akibat gempa yang diikuti beberapa gempa susulan, lapor akhbar Press Trust of India.
Sebanyak 69 lagi cedera termasuk 32 pelajar ketika sekolah-sekolah dan bangunan-bangunan lain musnah di daerah berkembar Kishtwar dan Doda di Jammmu, Kashmir.
Gegaran yang turut dirasai di Punjab dan Haryana itu mengakibatkan penduduk di utara India melarikan diri ke jalan raya dalam keadaan panik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130502/lu_04/Gempa-bumi-2-terbunuh-70-lagi-cedera-di-India#ixzz2S5LUIkEM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis wanita Indonesia tenangkan penunjuk perasaan dengan tarian kuda



02/05/2013 12:49am

SURABAYA, Indonesia - Sekumpulan anggota polis wanita mengambil pendekatan luar biasa dengan mempersembah tarian kuda Gangnam Style bagi mengawal penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan sempena Hari Buruh semalam.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan bersorak gembira ketika 80 anggota polis wanita mempersembahkan tarian yang dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy.
Malah ada dalam kalangan penunjuk perasaan itu turut serta menari bersama-sama anggota polis berkenaan.
“Para penunjuk perasaan menjadi begitu teruja. Mereka gembira dan ia merupakan satu penghormatan untuk menggembirakan mereka,” kata salah seorang anggota polis kepada agensi berita AFP. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_23.htm#ixzz2S5JrxhVf 
Hakcipta terpelihara 

Budak lima tahun tertembak adik sendiri



02/05/2013 12:26am

CHICAGO - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang sedang bermain dengan sepucuk raifal .22 kaliber dengan tidak sengaja menembak adik perempuannya yang berusia dua tahun di kediaman mereka di Cumberland, Kentucky, kata beberapa pegawai.
Polis negeri berkata, kejadian itu berlaku pada Selasa lalu dan kanak-kanak malang itu telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia
Koroner Daerah Cumberland, Gary White berkata, nama kanak-kanak malang itu ialah Caroline Starks.
Ketika kejadian ibu mangsa sedang membersihkan anjung rumah mereka.
Raifal itu diberikan sebagai hadiah pada tahun lepas kepada anak lelakinya dan mereka tidak menyangka senapang berkenaan mengandungi peluru di dalamnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2S5JcVIO1 
Hakcipta terpelihara 

Dua remaja terbunuh dalam letupan bom di Rusia



02/05/2013 12:30am

MOSCOW - Sebutir bom yang ditinggalkan di dalam beg plastik meletup berhampiran sebuah pusat beli-belah di bandar Makhachkala, Dagestan semalam menyebabkan dua remaja terbunuh, kata Kementerian Dalam Negeri.
“Dua remaja terbunuh dan dua lelaki dimasukkan ke hospital dalam keadaan parah tetapi stabil,” kata seorang jurucakap kementerian itu di sini.
Jawatankuasa Anti-Keganasan dalam satu kenyataan berkata, bahan letupan itu diletakkan berhampiran sebuah kedai menjual bahan binaan dan meletup beberapa minit kemudian. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_21.htm#ixzz2S5JIUL5o 
Hakcipta terpelihara 

Guru cakar, tampar murid bergaduh



KUCHING – Seorang murid lelaki darjah 6 sebuah sekolah di Petra Jaya di sini kelmarin cedera pada mata dan bahu akibat dipukul, ditampar dan dicakar oleh seorang guru wanita yang mendakwa hilang pertimbangan selepas kanak-kanak itu bergaduh dengan rakan sekelasnya.
Semasa kejadian, pelajar itu bukan sahaja mengalami luka di mata kanan dan bahu kanan malah baju sekolah yang dipakai mangsa terkoyak gara-gara ditarik oleh guru berusia 30-an itu.
Ekoran insiden itu, bapa mangsa yang berusia 47 tahun membuat laporan polis pada pukul 1 petang semalam.
Pengadu mendakwa, tindakan cikgu wanita itu mengasari anaknya merupakan kali kedua malah didakwa beberapa murid lain juga pernah mengalami nasib sama dengan anaknya itu sebelum ini.
Mengimbas kejadian kelmarin, pengadu yang enggan dikenali berkata, anaknya diperlakukan demikian selepas dia dikatakan berselisih faham dengan seorang rakan sedarjahnya berhubung satu perkara yang belum jelas puncanya.
“Cikgu wanita yang ketika itu sedang mengajar bahasa Inggeris telah memukul, menampar dan mencakar anak saya menggunakan tangan sebelum anak saya kemudian ditarik dari kelasnya ke pejabat guru oleh guru berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2S5Ic0X3F 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki parah tertembak gara-gara samseng dendam anak



AMPANG – Dendam dengan anak, bapa jadi sasaran.
Demikian yang berlaku ke atas seorang pekerja kedai besi buruk yang cedera selepas ditembak sebanyak dua kali di bahu oleh dua samseng yang menyimpan dendam terhadap dua anaknya di sebuah rumah flat di Jalan Mawar 17, Taman Mawar Cheras di sini semalam.
Kejadian pukul 7 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 44 tahun parah selepas satu peluru telah menembusi bahunya manakala sebutir lagi masih tertanam di dalam badannya.
Sebelum kejadian, mangsa sedang mengecat rumah jirannya di tingkat empat flat tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati penyerang merupakan dua lelaki berusia awal 20-an yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
“Salah seorang suspek kemudian telah naik ke tingkat tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Dia kemudian melarikan diri sebelum membonceng sebuah motosikal yang ditunggang rakannya,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2S5ITZNh5 
Hakcipta terpelihara 

Gadis maut kereta dipandu kekasih terbabas




ANGGOTA bomba melihat mayat Nur Syafrina Aqmar selepas terlibat dalam kemalangan di George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Seorang gadis terbunuh apabila kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu teman lelakinya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini semalam.
Kejadian berhadapan pencawang Tenaga Nasional Berhad pada pukul 1 pagi itu mengakibatkan Nur Syafrina Aqmar Mohd. Rafie, 24, mati di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di muka dan badan.
Teman lelakinya hanya mengalami cedera ringan di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang.
Sebuah lagi kenderaan yang dirempuh mangsa membabitkan kereta Proton Satria Neo. Pemandu kereta itu dan rakan wanita cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng memberitahu, mangsa dan kekasihnya dalam perjalanan dari pusat bandar ke Bayan Lepas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2S5IF6uNh 
Hakcipta terpelihara 

Lima mati kemalangan ngeri




BEGINILAH keadaan kereta Honda Accord yang remuk selepas merempuh tiang papan tanda hingga mengorbankan lima sekeluarga di Kulaijaya, Johor semalam.


KULAIJAYA – Lima sekeluarga maut manakala seorang lagi parah selepas kereta jenis Honda Accord yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 17.9 menghala ke utara Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira semalam.
Mereka yang terkorban dalam kejadian pukul 4 petang itu ialah P. Pavai, 65, serta dua anaknya, R. Selvarani, 46, dan R. Gita, 43.
Dua cucu Pavai iaitu G. Viknes, 19, dan A. Akash, 7, pula mati ketika dikejarkan ke Hospital Temenggung Ibrahim, Kulaijaya. Viknes merupakan pemandu kereta itu.
Anak Gita, G. Vinithaa, 16, pula kritikal dan kini dirawat di Hospital Pakar Johor.
Kosmo! difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke bandar Kulai setelah bersembahyang di salah sebuah kuil di Masai pada pukul 11 pagi.
Ketua Polis Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila kereta itu terbabas lalu merempuh tiang penunjuk jalan di bahu kiri jalan.
“Akibat rempuhan itu, tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan terbabit. Dua lagi maut ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2S5HsV6CF 
Hakcipta terpelihara 

Badan pemuda melecur redah api




NOOR ZAHIDI melihat kecederaan di belakang badan Faizal yang melecur selepas terkena api dalam kebakaran di Tumpat, Kelantan semalam.


TUMPAT – Seorang pemuda melecur di belakang badan selepas meredah api semata-mata untuk menyelamatkan anak saudaranya yang terperangkap apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor dekat sini semalam.
Faizal Razali, 30, mengalami kecederaan tersebut ketika hendak menyelamatkan Mohd. Arfan Nabil Mohd. Zainul, 5, dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu.
Namun, apa yang disangka Faizal nyata meleset apabila anak saudaranya itu sebenarnya telah keluar terlebih dulu.
Mengimbau semula kejadian itu, Faizal memberitahu, dia terus melulu masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan asap tebal kerana bimbangkan nasib anak saudaranya yang dikhuatiri terperangkap di dalam bilik tidur.
“Mula-mula saya telah membawa keluar adik saya, Fazian Kamil, 26, yang turut berada di dalam rumah sebelum masuk semula untuk menyelamatkan Mohd. Arfan pula.
“Ketika itulah belakang badan saya disambar api sebelum saya keluar selepas mendapati api semakin marak. Saya tidak putus asa apabila menendang pula dinding belakang rumah kerana menyangka Mohd. Arfan Nabil masih terperangkap,” ceritanya ketika ditemui di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2S5Hbqk2W 
Hakcipta terpelihara 

Diserang selepas makan malam



BEBERAPA lubang jelas kelihatan pada kereta Proton Waja yang dinaiki Visva Nathan dan dua rakannya selepas ditembak seorang lelaki di Gombak kelmarin.


GOMBAK – Seorang lelaki yang mendakwa tidak mempunyai musuh kebingungan apabila menjadi mangsa serangan dua penjenayah bersenjatakan pistol hingga mengakibatkannya cedera di pipi dan tangan kiri setelah terkena dua das tembakan kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam di Jalan Selayang Lama berhampiran dengan Pasar Borong Selayang di sini itu berlaku ketika C. Visva Nathan, 21, baru sahaja masuk ke dalam kereta jenis Proton Waja bersama dua lagi rakannya selepas selesai makan malam di sebuah kedai.
Mengimbau semula kejadian itu, Visva Nathan memberitahu, kejadian tersebut berlaku begitu pantas hinggakan dia dan dua rakannya tidak sempat mencatat nombor pendaftaran penuh kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki penjenayah tersebut.
Mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kini dirawat di Hospital Selayang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2S5HK2Fza 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 20,000 orang sertai protes Hari Pekerja



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berarak di jalan raya di Dhaka semalam kerana menuntut hukuman mati ke atas pemilik kilang pakaian yang runtuh di Savar, dekat Dhaka pada 24 April lalu.-AGENSI


DHAKA – Lebih 20,000 orang menyertai protes Hari Pekerja di Bangladesh semalam bagi menuntut pemilik kilang-kilang tekstil yang runtuh dikenakan hukuman setimpal.
Bantahan itu diadakan selepas pasukan penyelamat memberi amaran angka kematian tragedi tersebut dijangka melebihi 500 orang.
Pekerja-pekerja kilang membawa bendera dan sepanduk sambil melaungkan slogan “Gantung pemilik-pemilik kilang itu” ketika berarak di ibu kota Bangladesh, di sini.
Ketua Liga Pekerja Kilang Pakaian dan Tekstil Bangladesh, Kamrul Anam berkata, penunjuk perasaan itu berang dengan ‘pembunuhan’ rakan-rakan sekerja mereka dalam insiden bangunan runtuh di Savar, pada 24 April lalu.
“Kami mahu mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman paling berat,” katanya.
Sementara itu, ketika operasi menyelamat di celah-celah runtuhan bangunan lapan tingkat itu diteruskan, jurucakap tentera, Mir Rabbi memberitahu, angka kematian rasmi setakat ini adalah 402 orang. Jeneral tersebut turut menyatakan terdapat 149 mangsa yang masih hilang dalam kemalangan tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2S5G4Fr4F 
Hakcipta terpelihara