Search This Blog

Wednesday, May 1, 2013

Gabenor Tokyo minta maaf selepas hina negara Islam



TOKYO 30 April - Gabenor Tokyo, Naoki Inose hari ini meminta maaf kepada dunia Islam selepas menyifatkan negara-negara Islam tidak mempunyai sebarang persamaan selain Allah dan `sering bergaduh antara satu sama lain’.
Beliau berkata, kenyataan tersebut boleh menimbulkan salah faham di kalangan penduduk beragama Islam.
"Justeru, saya meminta maaf, Jika terdapat kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham, ia berlaku kerana salah cara penyampaian kenyataan saya," katanya.
Inose yang mengetuai Tokyo untuk membina Sukan Olimpik 2020, mengeluarkan kenyataan menyatakan negara Islam sedang berperang dan terlalu bersifat hieraki kepada akhbar New York Times.
Kenyataan itu dilihat cuba menghina pesaing Tokyo, Istanbul yang cuba menjadi negara Islam pertama untuk menjadi tuan rumah sukan berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130430/lu_09/Gabenor-Tokyo-minta-maaf-selepas-hina-negara-Islam#ixzz2S3amZork
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 terbunuh, 4 hilang akibat banjir kilat di Arab Saudi



RIYADH 1 Mei - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala empat lagi masih hilang selepas hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan padang pasir di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan negara ini, hari ini.
Agensi berita SPA yang memetik kenyataan Kolonel Abdullah al-Harethi sebagai berkata, beberapa orang maut dalam kejadian di beberapa kawasan termasuk di Riyadh, di selatan Baha dan di kawasan utara dan barat Hail.
Sehubungan itu Abdullah menggesa orang ramai menghindari kawasan lembah wadi dan dataran yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terperangkap di tengah-tengah wadi dan mangsa memanjat sebatang pokok bagi menyelamatkan diri daripada banjir kilat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130501/lu_09/13-terbunuh-4-hilang-akibat-banjir-kilat-di-Arab-Saudi#ixzz2S3UyQzmv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Arab Saudi dihukum penjara 5 tahun hina Amir Kuwait



KUWAIT CITY 1 Mei - Seorang rakyat Arab Saudi dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh sebuah mahkamah rendah di sini hari ini kerana menghina Amir Kuwait di laman Twitter.
Pengarah Persatuan Hak Asasi Manusia Kuwait, Mohammad al-Humaidi berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdulaziz al-Mutairi yang tidak hadir pada perbicaraan tersebut ketika lokasi terkini lelaki itu masih tidak diketahui.
Mahkamah juga memutuskan Abdulaziz perlu dihantar pulang sejurus dia menamatkan hukuman penjara ke atasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130501/lu_10/Rakyat-Arab-Saudi-dihukum-penjara-5-tahun-hina-Amir-Kuwait#ixzz2S3Ukb0bw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki cedera ditembak berhampiran Pasar Borong Selayang




1 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera ditembak berhampiran Pasar Borong Selayang malam tadi.
  
Mangsa yang cedera di bibir dan pipi kiri kini dilaporkan dalam keadaan stabil di Hospital Selayang.
  
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam ketika mangsa yang berumur 21 tahun bersama dua rakannya sedang berada di dalam sebuah kereta selepas selesai makan malam di sebuah restoran.
  
Mereka kemudiannya didatangi tiga lelaki dalam sebuah kereta, yang salah seorang daripadanya melepaskan dua das tembakan kepada mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan, katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata rakan mangsa bertindak melanggar kereta yang dinaiki suspek, bagaimanapun suspek dan rakan-rakannya berjaya melarikan diri.
  
Abdul Rahim berkata polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah disebabkan membalas dendam.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Bernama

Bapa kesal guru tampar anak dua kali



Samad
Samad menunjukkan pipi kanan Siti Susanttie yang didakwa dua kali ditampar guru di sekolahnya.
PONTIAN - Seorang bapa mendakwa anak perempuannya ditampar seorang guru tanpa alasan munasabah.

Samad Saman, 51, kesal dengan tindakan guru terbabit yang didakwa menampar dua kali pipi kanan dan mengetuk kepala anaknya yang berusia 15 tahun dengan buku tebal di dalam kelas, kelmarin.

“Saya menerima panggilan daripada anak saya, Siti Susanttie, pada kira-kira jam 8.25 pagi, meminta saya  segera ke sekolah kerana guru memintanya menyediakan surat rayuan.

“Saya amat terkejut  dimaklumkan anak saya yang dia ditampar sebanyak dua  kali selepas memberikan jawapan kepada soalan  gurunya,” katanya.

Susulan kejadian itu, dia cuba mendapatkan pengetua sebab mengapa anaknya diperlakukan sebegitu namun tiada sebarang jawapan yang diberikan.

Jelasnya, ketika cuba mendapatkan penjelasan, pengetua sekolah hanya memaklumkan akan menyiasat perkara tersebut.

“Siti Susanttie mengadu dia pening kepala dan rasa kebas di pipi, saya terus membawanya ke klinik.

“Selepas itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Permas, dan anak saya diarahkan menjalani pemeriksaan di Hospital Pontian,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Bapa kepada tujuh anak ini berharap agar keadilan diberikan kepada anaknya.

Menurutnya, sebagai seorang guru banyak cara untuk mengajar tanpa menggunakan kekasaran.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Zaidi Ahmad berkata, pihaknya sudah dimaklumkan kejadian itu, dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut  prosedur yang ditetapkan.

291 laporan kes khianat sejak Parlimen bubar



Mohd Shukri
Mohd Shukri (kanan) menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Kelab Polis IPK Perak, semalam.
IPOH - Polis Perak menerima hampir 90 peratus laporan polis membabitkan kes khianat  terhadap poster dan bendera pelbagai parti politik di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kes itu dicatatkan sejak pembubaran Parlimen pada 3 April lalu.

Menurutnya, antara laporan yang diterima termasuk membakar dan mengoyak bendera serta mensabotaj poster parti politik.

“Selain itu, terdapat kes lain turut berlaku antaranya pertengkaran, perselisihan faham dan mengadakan ceramah tanpa permit," katanya.

Beliau berkata, semua penyelia atau ketua jentera parti politik pada pilihan raya kali ini diminta memantau pergerakan anggota mereka agar tiada yang terbabit dalam perbuatan khianat itu.

“Mereka (Anggota dan jentera parti politik) dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri agar tidak membahayakan diri ketika melakukan pemasangan bendera dan poster parti yang diwakili,” katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu, terdapat penambahan 36 laporan polis mengenai kes berkaitan pilihan raya sehingga semalam menjadikan jumlah keseluruhan 291 laporan polis diterima sejak 3 April lalu.

“Daripada jumlah itu, terdapat 12 tangkapan dan 23 kertas siasatan dibuka sejak pembubaran Parlimen manakala sebanyak 178 ceramah diadakan di seluruh negeri semalam dan 43 daripadanya diadakan tanpa permit,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Jelasnya, seramai 7,020 anggota polis dan pasangan didaftarkan sebagai pengundi awal di seluruh negeri ini.

"Bagi Perak, terdapat 76 pusat pengundian awal melibatkan IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) (60); Pasukan Gerakan Am (PGA) (3) dan Angkatan Tentera DiRaja Malaysia (ATM) (13).

"Pengundian awal di kontinjen Perak bermula sejak jam 8 pagi dan dijangka berakhir jam 7 petang," katanya.

Kata beliau, setakat ini, proses pengundian awal berjalan lancar dan semua pegawai kanan serta anggota pangkat rendah telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Sehingga jam 1 petang tadi (semalam) sebanyak 81.66 peratus anggota polis bersama pasangan mereka sudah membuang undi dan dijangkakan jumlahnya akan bertambah sehingga 90 peratus atau lebih sebelum pusat pembuangan undi ditutup,” katanya.

Lelaki nyaris maut ‘bilik gerakan’ runtuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2013
Eng Keat
Eng Keat menunjukkan keadaan ‘bilik gerakan’ sebuah parti politik yang runtuh dan hampir menimpa dirinya.
PARIT BUNTAR - Kelekaan seorang pemilik kedai peralatan mesin membuat kerja, nyaris mengundang padah apabila dia hampir dihempap sebuah khemah yang runtuh diterbangkan ribut dalam kejadian di hadapan premisnya di Pusat Bandar Fasa 2, di sini, semalam.

Mangsa, Ooi Eng Keat, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, sebuah khemah yang dijadikan bilik gerakan sementara sebuah parti politik di sini secara tiba-tiba diterbangkan ribut sebelum mengenai kereta jenis Perodua Kenari miliknya dan runtuh.

Menurutnya, dia yang sedang melakukan kerja kimpalan besi ketika itu terkejut apabila ‘bilik gerakan’ runtuh itu hampir mengenai dirinya, sebelum dihalang kereta miliknya.

“Kesan kejadian itu menyebabkan keadaan kereta saya tercalar, manakala beberapa jentera mesin dikhuatiri rosak akibat dihempap khemah berkenaan.

“Nasib baik ada kereta yang menghalang khemah itu dari terus menghempap saya, jika tidak saya tidak tahu apa akan terjadi pada saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Ooi berkata, berikutan kejadian itu, laporan polis sudah dibuat dan pihaknya berharap parti politik lebih menitikberatkan soal keselamatan dalam memasang khemah sementara untuk dijadikan bilik gerakan.

“Saya juga berharap wakil parti itu tampil untuk membiayai kos ganti rugi dialami pihak kami disebabkan pemasangannya dibuat atas dasar cuai,” katanya.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Mengaku curi kenderaan mewah



NORSHIKIN MOHD SALLEH
1 Mei 2013
Nor Hashim
Nor Hashim (dua, kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dicuri.
NUSAJAYA – Tindakan licik seorang lelaki mencuri kenderaan mewah dengan menukar nombor pendaftaran negara asing bagi mengaburi pihak berkuasa, tidak berjaya apabila akhirnya dia dicekup.

Dalam kejadian 23 April lalu, seorang jurujual alat solek tergamam apabila kenderaan jenis BMW 320i miliknya dilarikan penjenayah ketika sedang memasukkan barang dalam kenderaannya itu di sebuah pasar raya di Bukit Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, hasil maklumat itu, sepasukan polis melakukan intipan di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai dan selepas 10 minit intipan, suspek berusia 27 tahun dicekup bersama kenderaan yang dilarikan.

“Hasil siasatan awal dan pengakuan suspek, dia terlibat dalam kes curi kenderaan mewah sebanyak lima kes di Nusajaya dan menjalankan kegiatan itu secara solo.

“Modus  operandi suspek ialah menukar nombor pendaftaran kenderaan ini dengan plat negara asing sebelum menjualnya kepada orang tengah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Nusajaya, di sini, semalam.

Nor Hashim berkata, ujian saringan mendapati suspek positif dadah dan ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (curi motokar).

“Kita percaya dengan tertangkapnya lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan mewah di Nusajaya.

“Suspek yang pernah ditahan atas kesalahan yang sama dipercayai melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, 11 lelaki ditahan terlibat dalam kejadian pergaduhan 21 April lalu dipercayai antara dua kumpulan kongsi gelap yang berpunca mengenai dadah.

Dalam kejadian 3.45 pagi di Kuil India di Taman Bukit Indah itu menyebabkan empat mangsa mengalami kecederaan dan seorang dimasukan ke wad ICU, Hospital Sultanah Aminah.

“Dalam pergaduhan ini dianggarkan 20 orang terlibat dan polis berjaya menahan 11 daripada mereka berusia antara 20 hingga 35 tahun di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya pergaduhan ini berlaku disebabkan perebutan kawasan tempat menjual dadah,” katanya.

Bas ‘sardin’ terbalik, 62 pelajar nyaris lemas



bas
Keadaan bas yang condong ke sebelah kanan sebelum terbalik.
bas
Keadaan bas yang membawa muatan pelajar sekolah yang terbabas dan memasuki parit.
bas
Beberapa pelajar sekolah sedang memeriksa buku dan peralatan sekolah mereka yang basah.
KUALA KURAU - “Tiba-tiba saya tengok sebuah bas sekolah condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit.”

Demikian pengakuan seorang saksi kejadian, Salbiah Hasan, 46, setelah melihat kejadian 62 pelajar sebuah sekolah agama di sini yang menaiki sebuah bas, nyaris lemas setelah kenderaan itu terbabas seterusnya terhumban ke dalam parti di Kampung Parit Abas, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 2.30 petang di Kampung Parit Abas Kuala Kurau setelah bas itu terbalik akibat keadaan permukaan jalan yang licin.

“Ketika itu, saya berada di luar rumah menunggu anak bongsu saya yang bersekolah rendah di sini kerana bimbang dengan keselamatannya yang belum tiba ditambah pula dengan keadaan hujan yang lebat.

“Sedang saya menunggu, saya terlihat bas yang sering membawa pelajar asrama berulang alik, itu seakan-akan condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, semalam.

Salbiah berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila kesemua pelajar itu dilihat cuba keluar melalui segenap ruang dari dalam bas untuk menyelamatkan diri.

“Keadaan menjadi kecoh kerana kesemua pelajar tersebut menjerit ketakutan sambil keluar melalui celah-celah tingkap bas tersebut.

“Mujurlah keadaan paras air dalam parit itu yang agak cetek memudahkan kesemua pelajar terbabit menyelamatkan diri.

“Tiada apa yang dapat saya lakukan kecuali menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau untuk segera ke tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, sewaktu kejadian berlaku, dia merasakan keadaan seolah-olah menjadi ‘gelap gelita’.

“Bila bas dinaiki kami ditenggelami air, kami terus berasak-asak untuk keluar dari bas disebabkan bimbang lemas di dalam air parit.

“Mujur paras air parit tidak tinggi dan kami semua berjaya keluar dengan selamat,” katanya.

Sementara itu Penolong Bomba Kanan (PBK) 2, Mohd Sarif Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan punca kejadian masih dalam siasatan.

Padah rompak warga emas



Mohd Nazro
Mohd Nazro dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang lelaki merompak beg duit milik seorang warga emas akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu selepas Mohd Nazro Abd Rahman, 34, dari Kampung Beladau Selat, di sini, mengaku bersalah merompak sebuah beg tangan milik warga emas, Saudah Ismail, 69.

Mohd Nazro mengaku bersalah merompak beg duit yang mengandungi tiga utas gelang emas; sebiji loket emas dan wang tunai RM200 di sebuah rumah di Kampung Gong Penaga, Jalan Pasir Panjang, di sini, pada 10 Mac lalu, kira-kira jam 11.30 pagi.

Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamed Nazri, manakala Mohd Nazro tidak diwakili peguam bela.

Warga Myanmar maut dipukul



AZMAN CHE MAN ADILA SHARINNI WAHID
1 Mei 2013
mayat warga Myanmar
Keadaan mayat warga Myanmar yang ditemui di Kampung Bukit Sireh, Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Seorang buruh warga Myanmar berusia 46 tahun ditemui mati dengan kesan luka di kepala di Simpang Tiga Bukit Sireh, di sini, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa, Ayub Hussin ditemui tertiarap dalam parit di tepi jalan oleh orang awam pada jam 9 pagi.

Katanya, mayat mangsa seorang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNCHR) itu ditemui masih memakai topi keledar dan lengkap berbaju lengan panjang serta seluar panjang.

“Ada kesan luka di kepala dan dadanya. Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dengan cara dipukul di kepala dengan senjata kerana topi keledar dipakainya pecah.

“Sebuah motosikal ditemui berhampiran mayat. Siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian juga menemui sebatang kayu dan sarung golok,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Yong Heng berkata, mangsa bekerja membaiki tangki air tidak jauh dari lokasi dia dibunuh dan mempunyai seorang isteri warga Myanmar serta tinggal di Jalan Guchil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Setakat ini, belum ada tangkapan dan polis meminta saksi kejadian supaya tampil membantu kami,” katanya.

Sementara itu, seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, Ayub sebelum itu singgah di sebuah warung roti canai di simpang tiga untuk bersarapan.

“Tidak sampai lima minit selepas dia keluar dari kedai berkenaan untuk ke tempat kerja, ada seseorang datang dan beritahu Ayub terbaring di tepi jalan,” katanya.

Pelajar dicekup berkhalwat bersama tukang masak



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2013
Pasangan lelaki
Pasangan lelaki yang bekerja sebagai tukang masak ditahan kerana berkhalwat di sebuah bilik hotel, di bandar Dungun, petang kelmarin.
Pelajar tingkatan empat
Pelajar tingkatan empat dibawa ke Pejabat Agama Dungun selepas disyaki melakukan perbuatan tidak bermoral bersama teman lelakinya.
DUNGUN – Seorang pelajar tingkatan empat bersama teman lelakinya, seorang tukang masak di sebuah kedai makan ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah kerana berkhalwat di sebuah bilik hotel, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, pegawai syariah bersama polis terpaksa memecahkan pintu bilik kerana pasangan terbabit enggan bekerjasama sebelum berjaya memasuki bilik disewa pasangan lelaki terbabit, sejak dua hari lalu.

Soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan muhrim dan bilik itu disewa pasangan lelaki yang berasal dari Balai Besar, dipercayai untuk melakukan hubungan seks.

Menurut pelajar terbabit, dia masuk ke bilik tersebut kira-kira jam 5 petang dan sempat melakukan seks bersama teman lelakinya yang telah berkahwin serta mempunyai seorang anak.

Pelajar terbabit yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Dungun itu juga turut mengakui pernah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan pasangan berlainan dan menghadapi tindakan undang-undang kerana melakukan perbuatan tidak bermoral.

Lebih memeranjatkan, selepas ujian saringan air kencing dilakukan mendapati pasangan itu turut positif dadah jenis methapethamine.

Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah atas kesalahan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pasangan terbabit juga turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengambil dadah.

Lelaki maut langgar tiang elektrik




1 Mei 2013
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Km 18 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di sini, awal hari ini.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian 3.30 pagi itu, Yee Teng Loke, 54, dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Sungai Lembing.

"Tiba di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil telah terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik," katanya di sini hari ini.

Katanya akibat kejadian, Yee mengalami kecederaan parah pada badan dan kepala, dan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan ketika menerima rawatan pada 5.30 pagi tadi. - Bernama

Lelaki nyaris maut ditembak



IPOH - Seorang lelaki nyaris maut apabila dua lelaki menaiki motosikal secara tiba-tiba melepaskan satu das tembakan ke arahnya yang ketika itu berada dalam kawasan pagar rumahnya di Simpang dekat Taiping malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata, nasib baik tembakan itu tidak terkena lelaki 26 tahun itu.

Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam apabila dua lelaki tidak dikenali lingkungan umur 20-an dan 30-an yang menaiki motosikal tiba-tiba menghampiri lelaki itu dan memanggilnya.

"Mangsa membenarkan mereka masuk dalam kawasan pagar rumah. Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan ke arahnya tetapi tidak mengenai mangsa. Kedua-duanya kemudian melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap dan polis giat memburu suspek.- Bernama

Ayam gulai masakan terakhir isteri sebelum maut




1 Mei 2013
Superitendan Ghazali Daud di Hospital Sultanah Nur Zahirah
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kanan) meluangkan masa melawat Superitendan Ghazali Daud di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU - Ayam gulai dan nasi putih merupakan  masakan terakhir isteri kepada Supt Ghazali Daud, sebelum maut dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan dua anak mereka di Km 27 Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu semalam.
  
Ghazali berkata sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu, mereka sekeluarga menikmati masakan isterinya Haniza Abd Rahman, 40.
  
Sepatutnya saya hanya pulang seorang diri, namun kemudian turut mengajak arwah isteri pulang bersama tujuh anak kami, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
  
Sebelum itu, beliau yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah menerima ziarah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja sehari ke Terengganu.
  
Ghazali, 49,  yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman turut mengakui agak mengantuk sebelum kemalangan itu berlaku.
  
Dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu, Haniza dan dua anak mereka iaitu Ahmad Firdaus Izuddin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10, maut di tempat kejadian manakala tiga lagi anak mereka parah dan dua cedera ringan. - Bernama

Susulan tragedi: Tidak sempat mengundi awal



Susulan tragedi: Tidak sempat mengundi awal
Kenderaan mangsa remuk selepas terbabas di Wakaf Tapai, Marang.
MARANG - "Saya lihat mangsa bergelimpangan, ada yang di bawah longkang, ada di bawah kenderaan dan ada cedera parah," kata seorang pengguna jalan raya, Faizul Zakaria, 35.
Faizul adalah saksi terawal yang melihat kejadian menyayat hati itu membabitkan keluarga Superintendan Ghazali Daud, 49, di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Tapai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi semalam, tiga terbunuh iaitu isteri Ghazali, Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya, Ahmad Firdaus Izzudin, 11, dan Nur Aliah Adibah, 10.

Lima lagi anak mangsa dilaporkan cedera ialah Ahmad Fahmi Izudin, 12; Nur Aliah Afifah, 7; Nur Aliah Atikah, 6; Aina Yusro, 3, dan Akilah Husna yang baru berusia tujuh bulan.

Ghazali yang turut cedera parah, bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman, dikatakan pulang ke kampung untuk mengundi awal di Batalion 9, Seberang Takir.

Mangsa bersama keluarga dari Kuala Lumpur menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Inova sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan.

Sementara itu, Faizul berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah kedai dan mengetahui kemalangan itu selepas dia dan rakannya, Mohd Saiful Anuar, 22, melihat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai melalui jalan berkenaan.

“Saya dan rakan segera mengekori jentera bomba itu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, saya lihat keadaan mangsa amat menyayat hati," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang mengesahkan kejadian itu berkata, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.

Difahamkan, Ghazali beralamat dari Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payung, Marang, sementara arwah isterinya pula berasal dari Gong Pak Jin, Mengabang Telipot.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mangsa yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman juga salah seorang anggota dari Bukit Aman yang ditugaskan membantu Kontinjen Terengganu pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Ahad ini.

“Saya difahamkan, selain pulang mengundi, mangsa turut pulang untuk bertugas pada PRU13 bagi bantu Kontinjen Terengganu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Kanak-kanak mangsa buli siber meninggal dunia




30 April 2013
ENGLAND - Hanya kerana sering dibuli melalui laman sosial seorang kanak-kanak nekad menggantung diri di rumahnya di Evesham, Worcestershire, Britain.

Menurut laporan diperik DailyOnline, Katie Webb, 12, bertindak sedemikian selepas sering dikritik oleh rakan siber tentang pakaian dan fesyen rambutnya.

Jurucakap polis West Mercia berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Birmingham dengan pesawat ambulans.

“Kematian beliau sedang disiasat dan kami yakin ianya bukan berpunca daripada perbuatan jenayah,” katanya.

7 maut nahas pesawat di pangkalan udara Afghan



BAGRAM - Sebuah pesawat kargo Amerika Syarikat (AS) terhempas di pangkalan udara di Afghanistan dan membunuh tujuh anak kapal.

Difahamkan, Bagram merupakan lapangan terbang asas terbesar bagi tentera AS di negara itu.

“Saksi mendakwa semasa pesawat itu berada kira-kira 1,312 kaki  (400 meter) sebelum tiba-tiba terjunam dari udara,” kata Gabenor Bagram, Abdul Shukor kepada Reuters.

“Kami  telah kehilangan semua tujuh anak kapal,” kata jurucakap firma yang berpangkalan di Florida.

Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Nato (ISAF) berkata, tidak ada sebarang laporan tentang aktiviti militan di sekitar kawasan kemalangan.

Budak mangsa rogol meninggal




1 Mei 2013
Budak mangsa rogol meninggal
Golongan kanakkanak turut menyertai demonstrasi membantah keganasan seksual yang semakin meningkat di India, 23 April lalu.
MUMBAI - Mangsa rogol berumur empat tahun di India yang bertarung nyawa hampir dua minggu di hospital dilaporkan meninggal dunia, menurut kaki tangan hospital, semalam.

Laporan yang dipetik AFP,P A Sriram berkata, pihak hospital telah berusaha untuk menyelamatkan mangsa, namun keadaannya semakin kritikal dan tekanan darahnya juga menurun secara mendadak hingga menyebabkan jantungnya terhenti, malam kelmarin.

Pada 18 April lalu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah ladang oleh ibu bapanya sehari selepas dirogol lelaki berumur 35 tahun di bandar Ghansour.

Susulan daripada itu, seorang suspek ditahan di utara Bihar untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian berasingan pada 15 April lalu, seorang kanak-kanak berumur lima tahun di New Delhi turut menjadi mangsa rogol kejam hingga mencetuskan protes di ibu negara.

Belon panas terhempas di laut




1 Mei 2013
Belon panas terhempas di laut
Dua pelancong asing yang ditemui terapung dan berpaut pada bakul belon udara panas berkenaan.
Belon panas terhempas di laut
Wanita ini dikejarkan ke hospital sejurus diselamatkan pihak berkuasa.
LIMA - Seramai lima pelancong wanita diselamatkan oleh pihak berkuasa Peru selepas terperangkap di Lautan Pasifik selama lapan jam berikutan belon panas yang dinaiki mereka terhempas ke laut berhampiran Canete, kira-kira 97 kilometer, selatan Lima, kelmarin.

Jurucakap pasukan bomba dan menyelamat Lima berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berpaut pada bakul belon panas itu.

"Lima mangsa berkenaan dibawa ke hospital selain polis menggunakan helikopter dan bot tentera laut bagi mencari pengemudi belon itu dan seorang penumpang lelaki," katanya kepada MailOnline.

Siasatan awal mendapati kesemua penumpang termasuk pengemudi belon udara panas tersebut tidak memakai jaket keselamatan dan dipercayai tersasar daripada laluan asal sebelum terjatuh ke dalam laut.

Pemiliknya, Globos Peru SAC didakwa selepas gagal menyediakan peralatan keselamatan dan peranti sistem kedudukan global (GPS).

Februari lalu, seramai 19 pelancong maut di Luxor, Mesir membabitkan kemalangan serupa.

Operasi cari mangsa semakin sukar




1 Mei 2013
Operasi cari mangsa semakin sukar
Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi susulan masih banyak yang terperangkap di bawah runtuhan.
SAVAR - Operasi mencari dan menyelamat mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan Plaza Rana di pinggir Bangladesh pada minggu kedua, semalam, dilaporkan semakin sukar.

Menurut pegawai, setakat ini seramai 386 mangsa korban berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selain percaya jumlah kematian bakal meningkat kepada 1,400 orang.

"Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan alat penggerudi dan pemotong konkrit bagi memudahkan operasi mengeluarkan mayat yang masih terperangkap di bawah sisa runtuhan," katanya.

Bangunan lapan tingkat yang dibina secara haram itu runtuh, serta meranapkan lima kilang pakaian yang dipercayai menempatkan 3,122 pekerja, Rabu lalu.

"Majoriti mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga kecuali 49 mayat masih disimpan kerana terpaksa menjalani proses mengenal pasti di Hospital Kolej Perubatan Dhaka," katanya kepada AP.

Runtuhan bangunan Plaza Rana adalah insiden ketiga membabitkan kemalangan terbesar dalam industri tekstil Bangladesh bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion) selain pembekal pakaian global.

Sementara itu, ratusan orang terdiri daripada saudara-mara mangsa yang masih belum ditemui memenuhi pekarangan lokasi kejadian dengan membawa gambar serta kad pengenalan mangsa.

Dalam perkembangan lain, pemilik Plaza Rana, Mohammed Sohel Rana yang ditahan dua hari lalu telah disoal siasat pihak berkuasa selain direman selama dua minggu.

Dengki punca lelaki diserang



KUALA LUMPUR - Persaingan dalam perniagaan dan dengki melihat kejayaan mangsa mengendalikan perniagaan cuci kereta disyaki menjadi punca seorang tauke kedai besi buruk diserang dua lelaki bersenjatakan pistol kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang juga bekas tahanan Ordinan Darurat mempunyai beberapa perniagaan termasuk premis cuci kereta di Tanjung Malim, Perak.
Katanya, siasatan awal mendapati terdapat pihak yang tidak berpuas hati melihat perniagaan mangsa selain persaingan dalam perniagaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2RzoVvgzG 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Myanmar ditemui mati dibunuh




ORANG ramai melihat mayat Ayub yang ditemui di tepi Jalan Simpang Tanah di Bukit Sireh, Kuala Krai semalam.


KOTA BHARU - Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dibunuh dengan kesan kecederaan di kepala dan dada di dalam parit di tepi Jalan Simpang Tanah di Bukit Sireh, Kuala Krai semalam.
Mayat Ayub Husin, 46, ditemui oleh orang awam dalam keadaan memakai topi keledar yang sudah retak pada pukul 9 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pemeriksaan awal di tempat kejadian menemui kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian milik mangsa selain sebuah motosikal.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Rznu67Sx 
Hakcipta terpelihara 

Tiga sahabat berdepan hukuman mati




TIGA tertuduh kes bunuh diiring keluar dari Mahkamah Majistret Kuching semalam.


KUCHING - Tiga sahabat berdepan hukuman mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang bekas banduan menggunakan topi keledar minggu lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Yusman Abu Talip, 22, Muhammad Osman Usup, 23, dan Awang Mustaffar Awang Mohammad, 25, di hadapan Majistret Shafiza Abdul Razak Tready.
Kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mereka didakwa membunuh Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, dalam satu pergaduhan di tepi tasik di hadapan Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini antara pukul 10 malam hingga 10.28 malam pada 22 April lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2RznIIOwK 
Hakcipta terpelihara 

Polis yakin dapat petunjuk




GAMBAR fail menunjukkan anggota dan pegawai polis mencari bukti-bukti di kawasan Shaharuddin ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di Putrajaya Jumaat lalu.


KUALA LUMPUR - Polis yakin akan menemui beberapa petunjuk baharu bagi menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) selepas mengambil keterangan 35 individu bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin memberitahu, melalui keterangan itu juga, pihaknya yakin dapat mengenal pasti motif pembunuhan yang disifatkan sebagai berprofil tinggi tersebut.
"Kami akan mendapat petunjuk melalui keterangan yang diambil daripada 35 orang itu. Kita sedang berusaha untuk menyelesaikan kes ini dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bagaimanapun, Mohd. Bakri enggan mendedahkan identiti kesemua individu tersebut namun Kosmo! difahamkan mereka terdiri daripada kenalan rapat, kakitangan dan pegawai kastam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2RzmvJnkk 
Hakcipta terpelihara 

13 murid cirit-birit, muntah




SEBAHAGIAN daripada 13 pelajar SK Seberang Perak Baru, Alor Setar kelihatan lega selepas mendapatkan rawatan di HSB selepas mengalami keracunan makanan semalam.


ALOR SETAR - Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru di sini terganggu seketika apabila 13 muridnya terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas diserang sakit perut, cirit-birit dan muntah akibat keracunan makanan semalam.
Kesemua murid berusia antara tujuh hingga sembilan tahun itu dikatakan telah makan nasi berlauk ayam, laksa dan mihun goreng yang dipercayai disediakan oleh kantin sekolah pada pukul 11 pagi.
Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, pemeriksaan awal pihaknya mendapati kejadian itu telah mengakibatkan kesemua murid-murid itu mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah.
"Saya difahamkan mereka telah makan nasi berlauk ayam dan laksa di kantin sekolah pada waktu pagi. Kesemua murid itu kini stabil selepas dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Rzm2RIR2 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi hiba keluarga polis



SEORANG anggota polis melihat keadaan MPV Toyota Innova yang dinaiki keluarga Ghazali selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Marang, Terengganu.



KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai polis tidak menyangka akan kehilangan isteri dan dua anaknya secara serentak apabila ketiga-tiga insan yang dicintanya itu maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 27 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Sungai Mali, Wakaf Tapai, Marang semalam.
Superintendan Ghazali Daud, 49, yang bertugas sebagai Urusetia di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman kehilangan isterinya, Haniza Abdul Rahman, 40, serta dua anak, Ahmad Firdaus Izzudin, 10, dan Nur Aliah Adibah, 9, dalam kemalangan pada pukul 3.45 pagi itu.
Ketiga-tiga mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dipandu Ghazali.
Kejadian itu turut mengakibatkan Ghazali yang juga imam Masjid Bukit Aman patah paha kiri. Turut berada dalam MPV itu ialah lima lagi anak pasangan itu.
Nur Aliah Afifah, 6, dan Nur Aliah Atikah, 5, dilaporkan kritikal kerana cedera parah di kepala. Aina Yusra, 2, patah paha kiri manakala Ahmad Fahmi Izzudin, 12, dan Akilah Husna, tujuh bulan pula cedera ringan.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga Haniza di Kampung Gong Pak Jin, Gong Badak dari Kuala Lumpur.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Rzkrn841 
Hakcipta terpelihara