Search This Blog

Tuesday, April 30, 2013

Kena patuk ular ketika pasang bendera



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2013
Abdul Manan
Abdul Manan melihat kesan patukan di bahagian tumit Afazi.
KUANTAN - Seorang ahli puteri Umno dipatuk seekor ular tedung ketika sedang memacak bendera Barisan Nasional (BN) di Perkampungan Orang Asli di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di sini, kira-kira jam 5 petang, Selasa lalu.

Kejadian itu menyebabkan Afazi Zarita Hamzah, 26, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapat rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Menceritakan detik cemas itu, Afazi berkata, sebelum kejadian, dia bersama suaminya Tan Hassan, 26, dan beberapa ahli puteri Umno sedang memacak bendera BN berhampiran paya di tepi jalan.

Menurutnya, ketika sedang gigih memacak bendera BN, dia secara tiba-tiba berasa pedih di tumit kaki kiri lalu rebah mengakibatkan suaminya bersama beberapa rakan panik sebelum dia menjerit meminta bantuan.

“Saya tak perasan tapi nampak darah mula mengalir serta terdapat dua kesan patuk,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Perkampungan Orang Asli, di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di sini, semalam.

Turut hadir melawat, Calon BN, Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut bersimpati dengan nasib malang mangsa.

Afazi berkata, berikutan kesan daripada patukan ular tedung itu, dia kehilangan banyak darah namun bersyukur kerana sempat dikejarkan ke HTAA sebelum diselamatkan doktor.

Katanya, walaupun kecederaan berkenaan dianggap serius, dia tetap tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangannya untuk menaikkan bendera BN sempena Pilihan raya Umum ke-13.

Tekong Vietnam terima padah beri suapan RM1,000



RUBIAH OMAR
29 April 2013
Tram
Tram dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang tekong warga Vietnam memberi suapan RM1,000 kepada pegawai Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris turut memerintahkan Tram Tai, 33, dipenjarakan tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tram mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang ejen iaitu Pegawai Pemerintah KM Redang, Ahmad Azli Mohamed Nor sebagai dorongan melepaskan diri bersama enam awak-awak bot PAF 4512 daripada ditahan kerana kesalahan tiada permit kerja yang sah.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu kirakira 87 batu nautika dari Kuala Terengganu, antara jam 5.45 hingga 6.08 petang pada 25 April lalu.

Berikutan itu, Tram didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Farah Yasmin  Salleh, manakala Tram tidak diwakili peguam.

Kereta jentera PKR disimbah cat



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2013
Tuan Zakaria
Tuan Zakaria menunjukkan kereta Proton Saga miliknya yang disimbah cat, kelmarin.
TANAH MERAH - Di sebalik kehangatan berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) yang berbaki seminggu sahaja lagi, sebuah kereta milik seorang jentera PKR Dun Kemahang disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pemilik kereta terbabit, Tuan Zakaria Tuan Mat berkata, keretanya diparkir di hadapan rumahnya dan beliau menyedari kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi di sini, kelmarin.

Menurutnya, kereta jenis Proton Saga itu digunakan beliau sebagai kenderaan utama untuk kegunaan harian dan sempena PRU13 ini, beliau kini sibuk membantu menyelesaikan kerja-kerja menaikkan bendera parti dan memasang sepanduk.

“Ketika pulang dari Kemahang 3 untuk menyelesaikan kerja parti, kereta masih dalam keadaan bersih pada jam 4 pagi, tetapi saya terkejut apabila membuka pintu dan melihat kereta sudah dipenuhi cat seawal jam 8 pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hasil daripada pemerhatian di sekitar kawasan berdekatan rumahnya, hanya Proton Saga miliknya sahaja yang disimbah cat dan ia adalah kes pertama di situ.

“Saya tidak ingin menuduh sesiapa, dan saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak polis melalui panggilan telefon dan akan membuat laporan di Balai Polis Batang Merbau, dalam masa terdekat,” katanya.

Selain daripada kejadian itu, beliau juga pernah diberi amaran supaya tidak membawa calon yang bertanding kerusi parlimen untuk berceramah di kawasan itu.

“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dengan harapan ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Didakwa serang pemasang bendera



ADILA SHARINNI WAHID
30 April 2013
Didakwa serang pemasang bendera
Tertuduh (kanan) dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dengan melibas parang ke arah pemasang bendera.

Tertuduh, Salahuddin Mohd Amin, 61, dari Jalan Kuala Krai di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan ke atas Abdul Muizz Abd Aziz, 24, menggunakan sebilah parang di Lorong Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini, pada jam 10.30 pagi, 26 April.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Kes bersambung 27 Mei depan, sementara tertuduh dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Nik Habri sempat menasihatkan tertuduh supaya menjalankan kempen dengan berhemat.

“Jalan salah faham nasihat saya. Saya bercakap secara umum dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Mahkamah anti keganasan. Kalau hendak berkempen jangan bergaduh sana-sini,” katanya.

Akhbar sebelum ini, melaporkan seorang warga emas ditahan selepas melibas parang ke atas pemasang bendera menyebabkan mangsa lari menyelamatkan diri. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Pemandu mabuk rempuh rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 April 2013
Pemandu mabuk rempuh rumah
Keadaan rumah di Taman Perumahan Awam Kuala Kangsar, Jalan Manong, di sini, yang rosak selepas dirempuh sebuah kereta tengah hari semalam.
KUALA KANGSAR – Dua warga emas berdepan detik cemas apabila rumah mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai mabuk dalam kejadian di Taman Perumahan Awam Kuala Kangsar, Jalan Manong, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari dan mangsa yang sedang menjamu selera ketika itu bernasib baik kerana rempuhan berkenaan tidak mengorbankan nyawa mereka.

Sumber polis memaklumkan pemandu kereta yang berusia 50-an itu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol kerana baru sahaja minum dua botol minuman keras sebelum pulang ke rumah.

Menurutnya, lelaki itu hilang kawalan ke atas keretanya lalu terbabas dan melanggar jeriji besi serta pintu gelongsor di hadapan rumah mangsa sehingga pecah.

"Rempuhan kuat menyebabkan kaca pintu gelongsor rumah mangsa pecah dan bertaburan. Bagaimanapun, dua warga emas  berkenaan terselamat.

"Lelaki berkenaan cuba melarikan diri namun sempat ditangkap oleh orang ramai termasuk jiran mangsa yang melihat kejadian," jelasnya.

Tambahnya, selepas ditangkap lelaki berkenaan cuba memberi alasan kononnya dia cuba mengelak sebuah kereta lain yang berhenti mendadak di hadapannya.

"Bagaimanapun, percubaannya melarikan diri menyebabkan penduduk sangsi dengan alasan yang diberi. Lelaki itu minta maaf berulang kali dan berjanji membayar ganti rugi kepada pemilik rumah.

"Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar. Dia akan disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)
1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Warga emas bergelut dengan harimau



MUHAYUDIN SALLEH
30 April 2013
Warga emas tendang harimau
Manap menerima jahitan di dada dan ibu jarinya yang putus di Hospital Kuala Lipis sambil ditemani anaknya.
KUALA LIPIS – Tindakan berani. Seorang warga emas nekad menendang harimau sekuat hati setelah haiwan itu cuba mengheretnya ke hutan sebelum lari menyelamatkan diri.

Kejadian itu menyebabkan Manap Busu, 77 nyaris maut setelah putus ibu jari tangan kanan akibat diserang ketika masuk hutan di Kampung Ganding, dekat sini untuk melihat ternakan kerbau miliknya.

Mangsa yang merupakan pesara polis zaman British berkata, dia mendapat tahu daripada seorang rakannya bahawa ada kerbau miliknya hilang dipercayai dibaham harimau.

Bagi mendapatkan kepastian katanya, dia mengambil keputusan untuk ke hutan sendirian kira-kira jam 3 petang, 27 April lalu.

“Sehari sebelum kejadian (Jumaat), seorang kawan beritahu ada kerbau yang hilang dibaham harimau.

“Esoknya (Sabtu) pakcik ke hutan seorang diri dan tak bawa apa-apa senjata,” katanya.

Manap berkata, tanpa diduga dia diserang seekor harimau yang muncul secara tiba-tiba dari arah hadapan.

“Harimau itu terkam pakcik dari arah depan dan cakar dada serta tangan kiri pakcik. Pakcik cuba tolak harimau tu dan tumbuk beberapa kali tapi hujung ibu jari tangan kanan pakcik digigit hingga putus.

“Pakcik tidak mampu buat apa-apa sebab tak bawa senjata, tapi dengan kudrat yang ada, pakcik bergelut untuk lepaskan diri,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai kekuatan yang luar biasa akibat terlalu panik sehingga bertindak menendang haiwan terbabit.

“Nasib baik harimau itu lari selepas kena tendang, kalau tidak pakcik tak tahulah apa akan jadi.

"Pakcik selepas itu cepat-cepat selamatkan diri dan pecut motosikal pulang ke rumah,” katanya.

Akibat kejadian itu Manap menerima beberapa jahitan di bahagian dada dan ibu jari tangan kanannya yang putus.

Mangsa kini ditempatkan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan stabil.

Pengebom berani mati nekad rempuh bas



PESHAWAR, Pakistan 30 April - Seorang pengebom berani mati bertindak nekad merempuh sebuah bas di bandar ini menyebabkan lapan orang mati dan 45 yang lain cedera.
Dua kakitangan pejabat konsulat Afghanistan antara mangsa dalam serangan tersebut, yang menjadikan kakitangan kerajaan sebagai sasaran utama.
Keganasan berdarah tersebut berlaku menjelang pilihan raya yang dijangka diadakan 11 Mei ini.
Sejak 11 April lalu, seramai 58 calon terbunuh dalam serangan ke atas ahli-ahli dan parti politik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130430/lu_03/Pengebom-berani-mati-nekad-rempuh-bas#ixzz2Rtift0Eh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

26 terbunuh



Lima bom kereta meletup semalam di kawasan awam yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah di tengah dan selatan Iraq, menyebabkan 26 orang terbunuh.

Letupan itu berlaku ketika keganasan berpunca daripada perbezaan fahaman agama semakin memuncak. Ia turut menyebabkan puluhan penduduk cedera.


Sehingga ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi serangan seumpama itu biasanya dilakukan oleh kumpulan al-Qaeda di Iraq.

Dua bom kereta yang diparkir meletup serentak pada awal pagi di bandar raya Amarah dekat tempat pekerja binaan berkumpul dan di sebuah pasar, menyebabkan 13 orang maut dan 42 lagi cedera.


Seorang pegawai polis berkata, bom kereta ketiga meletup dekat sebuah restoran di bandar raya Diwaniyah membunuh lapan orang. Amarah, kira-kira 320 kilometer ke tenggara Baghdad dan Diwaniyah, 30 kilometer ke selatan ibu negara itu adalah kawasan utama Syiah dan biasanya amat tenang.


Beberapa jam kemudian, satu lagi bom kereta meledak di luar bandar raya Syiah di Karbala, menyebabkan dua orang terbunuh.

Sebuah lagi bom kereta meletup di Mahmoudiya kira-kira 30 kilometer ke selatan Baghdad membunuh tiga orang.

Cubaan bunuh Wael gagal



Perdana Menteri Syria Wael al-Halqi terselamat daripada cubaan membunuhnya semalam apabila sebutir bom meledak dekat konvoinya di ibu negara Syria, Damsyik, lapor media kerajaan.

Wael bagaimanapun tidak cedera dalam serangan di kawasan kejiranan Mazzeh di barat Damsyik, lapor televisyen kerajaan. Televisyen itu menyiarkan rakaman menunjukkan kereta yang musnah teruk di kawasan itu akibat serangan berkenaan.


Seorang pegawai kerajaan memberitahu media bahawa satu bahan letupan buatan sendiri diletakkan di bawah sebuah kereta yang diparkir di kawasan itu dan meletup sebaik kereta Wael melaluinya. Stesen Al-Ikhbariya milik kerajaan berkata, Wael dalam perjalanan menghadiri mesyuarat jawatankuasa ekonomi apabila serangan berlaku.


Serangan itu bukan yang pertama menyasarkan pegawai tinggi di ibu negara Syria. Pada 18 Julai tahun lalu, satu letupan di bangunan keselamatan kebangsaan di Damsyik berlaku ketika mesyuarat menteri Kabinet, menyebabkan menteri pertahanan dan timbalannya yang juga adik ipar Presiden Bashar al-Assad terbunuh.


Serangan itu turut mencederakan menteri dalam negeri ketika itu, Pada Disember lalu, sebuah bom kereta yang menyasarkan Kementerian Dalam Negeri di Damsyik membunuh beberapa orang dan mencederakan lebih 20 yang lain, termasuk Menteri Dalam Negeri, Mohammed al-Shaar. Sebelum itu, media kerajaan Syria berkata, Mohammed tidak cedera dalam letupan pada 12 Disember itu.

Polis buru suspek rogol warga Australia



Bali: Polis memburu seorang lelaki yang didakwa memperkosa seorang wanita Australia selepas mengancamnya dengan pisau dalam vilanya di sini.

Ketua polis tempatan, Kapten Reinhard Habonaran Nainggolan berkata, wanita berusia 28 tahun itu diserang Sabtu lalu ketika bercuti bersama-sama keluarganya dekat pantai Kuta. Reinhard berkata, seorang lelaki memecah masuk ke bilik mangsa ketika dia tidur, memaksanya membuka peti keselamatan. Selepas mendapati ia kosong, suspek merogol mangsa dan mencuri tiga iPad, dua telefon bimbit dan wang tunai AS$154 (RM467). Serangan terhadap warga asing jarang berlaku di Bali. Bagaimanapun, dua wanita Jepun dibunuh dan seorang diperkosa pada 2009. Serangan terbaru berlaku selepas dua kes rogol berprofil tinggi di India, seorang membabitkan pelancong Switzerland mencetuskan kemarahan dan meningkatkan kebimbangan di kalangan pelancong wanita. - AP

Paksa anak angkat jadi ibu tumpang



Seorang remaja dipaksa ibu angkatnya menjadi ibu tumpang kepada sperma lelaki lain bagi mendapatkan anak, lapor media semalam.

Wanita itu dilaporkan tergamak memaksa anak angkatnya kerana dia dilarang untuk mengambil anak angkat lain.


Remaja terbabit dipercayai mengalami keguguran ketika berusia 14 tahun, tetapi beberapa kali cuba hamil semula menggunakan sperma dibeli ibunya melalui Internet.


Akhirnya remaja terbabit melahirkan anak ketika berusia 16 tahun. Penghakiman mahkamah sebelum diklasifikasikan sebagai sulit mendedahkan butiran insiden itu yang mencetuskan kebimbangan terhadap peraturan membeli benih melalui Internet. Ibu terbabit mempunyai tiga anak angkat yang diambilnya dari negara lain.


Atas sabitan kesalahan memaksa anak angkatnya itu, wanita terbabit dihukum penjara lima tahun selepas mengaku salah menzalimi kanak-kanak.


Hakim berkata, tindakan wanita itu “jahat dan mementingkan diri sendiri.” Akhbar Guardian melaporkan, ibu tunggal itu tidak dapat hamil sendiri kerana masalah kesihatan.

Selepas gagal mengambil anak angkat keempat, dia memaksa anak angkat sedia ada supaya mengandungkan anaknya.


Ketika itu remaja yang dipaksa itu berusia 13 tahun.

Apabila dia bersalin, bidan yang datang sangat terkejut melihat usianya yang masih muda.

Budak 9 tahun dibenar pandu Ferrari sempena hari jadi



New Delhi: Dakwaan difailkan ke atas seorang lelaki yang membenarkan anak lelakinya - berusia sembilan tahun - memandu kereta Ferrari, kata polis semalam.

Mohammed Nisham didakwa membahayakan nyawa dengan membiarkan anaknya itu memandu.


Jurucakap polis berkata, kejadian itu dirakam isteri Nisham ketika mereka meraikan ulang tahun kelahiran kesembilan budak terbabit.


Ketika budak itu memandu, seorang lagi anak Nisham berusia tujuh tahun duduk di tempat penumpang.


Klip video itu mendapat perhatian meluas di YouTube dan mencetuskan kemarahan di seluruh India, memaksa polis bertindak mengheret Nisham ke mahkamah. Jurucakap polis berkata, Nisham terbabit dalam perniagaan tembakau dan hartanah serta memiliki 18 buah kereta bernilai lebih RM12 juta. - AP

Ditumbuk bertubi-tubi



Ipoh: Seorang ahli politik berusia 30 tahun bersama tiga pengikutnya cedera apabila ‘diserang hendap’ enam suspek tidak dikenali yang menumbuk muka mangsa di hadapan sebuah bank di Bidor, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, semua mangsa sempat menyelamatkan diri.


Jurucakap Media Polis Kontinjen Perak bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Superintendan Maszley Minhad berkata, berdasarkan siasatan, mangsa mendakwa diekori dua kereta sebelum memintas mereka di hadapan sebuah bank.


Menurutnya, mangsa memberanikan diri keluar dari kenderaan itu sebelum ditumbuk bertubi-tubi di muka dan badan menyebabkan semua mereka mengalami kecederaan serius.


“Susulan itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah sebelum pasukan khas ‘Ops Cantas’ dikerah untuk memburu penjenayah.


“Kumpulan penyerang itu diberkas dalam tempoh hanya 30 minit. Suspek terdiri daripada tiga rakyat tempatan berbangsa India, dua warga negara Sri Lanka dan seorang lagi rakyat India berusia 20 hingga 60 tahun,” katanya.

Terbalik rempuh tiang



“Saya tidak sedap hati dan curiga apabila mendapati kereta dipandu bapa mangsa tiada di belakang lalu berpatah balik untuk mencarinya.

“Ketika menoleh ke kanan dan kiri, saya terkejut melihat sebatang tiang elektrik patah manakala wayarnya hampir jejak ke tanah sebelum menemui kereta dipandu bapa mangsa terbalik,” kata Shaafdillah Jaludin, 39, rakan karib Nik Faizal Nik Mat, 32, yang cedera ringan selepas kereta Perodua Myvi dipandunya merempuh tiang elektrik di Kilometer 26, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 4 petang itu, anak Nik Faizal iaitu Nik Muqri Danish, 3, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala kerana terhentak pada cermin depan.


Menceritakan semula kejadian itu, Shaafdillah berkata, selepas menemui kereta mangsa, dia menuruni jurang untuk membantu mengeluarkan mangsa namun gagal kerana mangsa bersama keluarganya tersepit.

Mak andam curi lembu



Seorang wanita yang mendakwa bekerja sebagai mak andam ditahan apabila didapati mencuri lembu di Tanjung Tualang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, suspek bersama tiga rakannya menggunakan ubat pelali membuatkan lembu yang dicuri pengsan sebelum dipunggah ke dalam van.


Kegiatan suspek terbongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai polis diketuai Ketua Balai Polis Tanjung Tualang, Sarjan Sharudain Said, menahan suspek bersama tiga lelaki ketika mereka melakukan rondaan cegah jenayah.


Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kelibat mencurigakan empat suspek yang berada di kawasan perkampungan berhampiran lombong menyebabkan anggota polis mengejar sebelum menahan suspek yang menaiki van.

Mati hempap teksi



“Saya sangka ada kemalangan di seberang jalan, namun sebaik keluar dari lobi hotel saya terkejut apabila melihat sekujur tubuh berhampiran teksi saya,” kata Yaacob Ali, 60, saksi yang melihat kejadian seorang wanita yang maut selepas terjun dari tingkat tujuh sebuah hotel di Jalan Penang, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu dia berada di lobi hotel berkenaan kerana menunggu penumpang sebelum terdengar dentuman kuat yang disangka kemalangan di seberang jalan.


“Saya keluar dan meninjau di seberang jalan, namun tiada apa-apa yang berlaku dan sebaik menoleh ke arah teksi saya yang diletakkan di depan hotel, saya terkejut apabila melihat tubuh seorang wanita dengan kakinya berlipat sedang merintih.

Perisa tekstil


pix_topright
Gula-gula murah menggunakan pewarna tiruan yang boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak dikesan semakin banyak dijual terutama oleh penjaja haram di luar kawasan sekolah.
Gula-gula itu yang mudah menarik perhatian kanak-kanak kerana berwarna-warni diibaratkan ‘manisan maut’ kerana bahan kimia yang digunakan sebagai pewarna dikatakan boleh menyebabkan emosi kanak-kanak tidak terkawal. Naib Presiden Persatuan Pengguna Perak (PCA) Paul Raj berkata kajian pihaknya mendapati gula-gula itu yang dijual dengan harga serendah 10 sen hingga 50 sen dikhuatiri memberi kesan buruk jangka panjang kepada pengguna, terutama kanak-kanak.

“Gula-gula itu mengandungi kadar gula dan pewarna tinggi. Ia bukan hanya menggalakkan pembentukan karies gigi, malah jika diambil secara kerap ini boleh meningkatkan paras adrenalin kanak-kanak hingga menjadi hiperaktif, gelisah dan agresif.

Empat pencuri lembu guna besi dart tumpas




SHAHARON menunjukkan alatan yang digunakan untuk menembak ubat pelali kepada lembu yang dicuri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Perak semalam.


BATU GAJAH – Polis berjaya menumpas satu sindiket mencuri lembu menggunakan besi dart mengandungi pelali yang didalangi empat individu termasuk seorang wanita di Batu 10, Jalan Malim Nawar, Tanjung Tualang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, kesemua suspek berusia 17 hingga 37 tahun itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah van berwarna putih sewaktu keluar dari persimpangan jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pemeriksaan polis ke atas van dinaiki empat suspek itu menemui dua ekor lembu yang turut dimasukkan ke dalam van tersebut.
Menurut beliau, seekor daripada lembu itu telah mati manakala seekor lagi masih hidup dengan keempat-empat kaki kedua-dua haiwan itu diikat dengan tali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2RtcdA1Ht 
Hakcipta terpelihara 

Cinta beracun warga Afrika




SYED ISMAIL (kiri) menunjukkan barangan rampasan daripada sindiket Love Scam yang tumpas pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan internet Love Scam yang dikendalikan 14 lelaki warga Afrika selepas tiga wanita warga China kerugian hampir RM9.5 juta selepas masing-masing terjerat dengan ayat-ayat cinta ahli sindiket itu pada Disember tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kesemua suspek yang berumur antara 25 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di empat buah premis di Taman Mutiara Indah, Puchong pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa yang menetap di China itu mendakwa, mereka berkenalan dengan ahli sindiket itu melalui laman sosial Yahoo Messenger yang menggunakan nama samaran Goodman.
"Setiap mangsa terpedaya dengan ayat-ayat cinta suspek-suspek itu yang kemudian turut berjanji akan memberi emas atau berlian kepada mangsa-mangsanya.
"Salah seorang mangsa membuat transaksi sebanyak RM4.5 juta ke dalam akaun bank tempatan milik seorang warga tempatan manakala dua lagi mangsa turut membuat transaksi wang masing-masing kepada ahli sindiket yang menggoda mereka," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2RtcR133w 
Hakcipta terpelihara 

Cedera ditembak




DI kawasan inilah Thanasegaran diserang oleh dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol sebelum dia sempat melarikan diri dalam kejadian di Hulu Selangor semalam.


HULU SELANGOR – Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat cedera selepas terkena dua daripada tujuh das tembakan yang dilepaskan oleh dua lelaki bermotosikal bersenjatakan sepucuk pistol ketika mangsa hendak mencuci kereta di Kampung Keliang, Kalumpang di sini semalam.
Kejadian pukul 9 pagi itu berlaku ketika P. Thanasegaran, 37, sedang duduk di sofa sambil menunggu pekerja kedai mencuci kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra miliknya.
Difahamkan, mangsa terselamat selepas menyorok di belakang kedai selepas melarikan diri kira-kira 20 meter dari tempat dia diserang. Mangsa merupakan tauke kedai besi buruk.
Ketika kejadian, terdapat sebuah MPV jenis Toyota Estima di hadapan bengkel kereta yang terletak bersebelahan dengan premis cuci kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, sebaik sampai di tempat kejadian, suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh terus mengacukan pistol ke arah mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2RtcCOfvt 
Hakcipta terpelihara 

Syarikat terbakar, pekerja selamat




API marak memusnahkan sebuah syarikat pembinaan di Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Orang ramai yang melalui Jalan Lapangan Terbang di sini semalam tergamam selepas ternampak kepulan asap tebal dari jarak lima kilometer sebuah syarikat pembinaan yang terbakar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang, kesemua 10 pekerja yang berada di pejabat tersebut selamat selepas mereka sempat keluar dari pejabat yang bangunannya dibina dengan struktur kayu.
Kebakaran tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang nampak asap berkepul-kepul keluar dari bumbung bangunan setingkat itu.
Asap tersebut itu juga boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, asap tebal itu tidak mengganggu penerbangan di lapangan terbang tersebut.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dihantar ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2RtbZOeXs 
Hakcipta terpelihara 

Buruh berdepan hukuman penjara seumur hidup



KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memiliki heroin dan syabu dua minggu lalu.
Mohd. Rozlam Salleh, 42, dari Tanjung Stan, Kubang Kerian, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Rozlam didakwa memiliki lima botol berisi heroin seberat 7 gram di sebuah rumah di Kubang Kerian pada pukul 6.30 pagi 19 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) dengan penjara seumur hidup atau lima tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2RtbKL0xf 
Hakcipta terpelihara 

Budak tiga tahun maut nahas, ahli keluarga cedera




ORANG ramai melihat keadaan kereta Perodua Myvi yang terbalik hingga mengorbankan Nik Muqri Danish di Kuantan kelmarin.


KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki terbunuh apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu bapanya terbabas lalu merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 26, Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini kelmarin.
Kemalangan pukul 4 petang itu mengakibatkan Nik Muqri Danish Nik Faiza, 3, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala bapanya, Nik Faiza Nik Mat, 32, bersama lima lagi penumpang lain hanya cedera ringan.
Difahamkan, sebelum kejadian mereka sekeluarga baru pulang dari berkelah di Sungai Mas dekat Sungai Lembing dan dalam perjalanan pulang ke sini.
Menurut Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, sebelum kejadian mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Sungai Lembing ke Kuantan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Rtb3tDfs 
Hakcipta terpelihara 

Dibebaskan selepas disoal



TIGA daripada 35 ahli Al-Arqam menolak bagasi masing-masing sebaik mendarat di KLIA dari Jeddah semalam selepas diusir kerajaan Arab Saudi kelmarin.


SEPANG – Sekumpulan 13 pengikut Al-Arqam yang diusir kerajaan Arab Saudi kelmarin diberkas sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini petang semalam.
Sembilan lelaki dan empat wanita itu ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik mendarat pada pukul 1 petang dari Lapangan Terbang Jeddah bersama 22 lagi pengikut Al-Arqam. Bagaimanapun mereka yang turut diusir itu tidak ditahan.
Kesemua 13 pengikut Al-Arqam dibebaskan selepas diambil keterangan dengan syarat setiap orang mempunyai seorang penjamin.
Difahamkan, kesemua mereka terpaksa membeli tiket sendiri untuk pulang ke Malaysia selepas mendapat pengampunan dari kerajaan Arab Saudi atas kesalahan visa dan dokumen perjalanan. Mereka tidak diiring pihak berkuasa ketika penerbangan.
Menurut sumber, pengikut ajaran yang difatwakan sesat berusia antara 20 hingga 60 tahun itu ditahan selepas didapati memiliki bahan-bahan yang boleh mengaitkan diri mereka dengan ajaran tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2RtarDA4u 
Hakcipta terpelihara 

40 cedera dalam letupan di Prague




ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi letupan di bandar bersejarah Prague semalam.


PRAGUE - Satu letupan kuat memusnahkan sebuah bangunan di kawasan bersejarah di bandar ini semalam, mencederakan kira-kira 40 orang dengan beberapa orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.
Pihak polis telah menutup lokasi pelancongan popular itu selain memindahkan lebih 220 orang dari beberapa buah bangunan berhampiran.
Letupan sebuah bangunan berhampiran bangunan Teater Kebangsaan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
"Kira-kira 40 orang telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan daripada mereka mengalami cedera ringan. Namun kami tidak menolak kemungkinan ada yang mengalami kecederaan serius," kata jurucakap polis Prague, Tomas Hulan.
Wujud kebimbangan bahawa mungkin tiga orang mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dijadikan ruang pejabat.
"Letupan ini cukup kuat dan menyebabkan tingkap-tingkap cermin pecah," tambah Hulan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2RtZhMSDM 
Hakcipta terpelihara 

Pelagak ngeri maut ketika seberangi sungai



ORANG ramai menyaksikan aksi berani Sailendra Nath Roy bergantung pada seutas tali untuk menyeberangi Sungai Teesta. Dia kemudian maut kerana terkena serangan jantung.



KOLKATA - Seorang pelagak ngeri di India yang memegang rekod Guiness World Records untuk aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut meninggal dunia ketika melakukan aksi berbahaya itu.
Sailendra Nath Roy, 49, yang juga merupakan seorang pegawai polis cuba menyeberangi Sungai Teesta sejauh 180 meter pada Ahad lalu.
Selepas menyimpulkan rambut sepanjang paras bahunya pada takal di atas wayar, Roy sempat menghabiskan separuh perjalanan. Malangnya, dia tiba-tiba tersekat dan tidak dapat bergerak, lapor jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian.
Beratus-ratus penonton yang pada mulanya bersorak memberi sokongan, kemudian menjerit ketakutan apabila melihat keadaan Roy.
"Pada ketika itu Roy kelihatan sangat panik dan cuba mencapai tali kedua untuk sampai ke garisan penamat," kata seorang pegawai kanan polis tempatan, K. Jayaraman.
Selepas 20 minit, pelagak ngeri itu tidak lagi bergerak sebelum diselamatkan oleh penduduk tempatan. Tiada doktor atau ambulans disediakan semasa persembahan itu dibuat yang turut ditonton oleh ahli keluarga Roy.
Selepas dibawa ke hospital di Siliguri, 450 kilometer dari tempat kejadian, dia disahkan mati oleh doktor akibat serangan jantung.
Terdahulu, Roy pernah menggunakan rambut untuk menarik sebuah enjin dan empat gerabak kereta api warisan Darjeeling Himalayan Railway. - AFP.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2RtYWmdhM 
Hakcipta terpelihara