Search This Blog

Monday, April 29, 2013

Banjir kilat di Singapura



Singapura: Satu kejadian banjir kilat melanda persimpangan Chai Chee Road dan New Upper Changi Road kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sebuah teksi limosin ditemui terperangkap dalam air banjir dengan separuh daripada bahagian kenderaan itu ditenggelami air. Seorang saksi berkata, pemandu teksi limo itu yang terpaksa berenang keluar basah kuyup.


Kebanyakan kenderaan membuat pusingan U di simpang itu tetapi sekurang-kurangnya tiga bas yang penuh dengan penumpang turut terperangkap kerana tidak dapat bergerak lebih lanjut.

Seorang penunggang mostosikal yang cuba memecut merentasi air banjir juga terperangkap apabila motosikalnya tenggelam.


Walaupun banjir kilat itu surut selepas satu jam tetapi teksi terbabit masih tidak dapat bergerak.


Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di stesen MRT Paya Lebar. - Straits Times

Guru rakam adegan seks dengan murid bawah umur dijel



Singapura: Seorang bekas guru drama yang melakukan hubungan seks dengan pelajarnya yang berusia 14 tahun dan merakam adegan itu dijatuhkan hukuman penjara setahun Khamis lalu.

Hakim daerah Siva Shanmugam berkata Aravind S Menon “telah menyalahgunakan kepercayaan dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai guru” apabila dia melakukan perbuatan itu pada 2009. Hakim menggelar perbuatannya merakam satu daripada aksi mereka sebagai “amat dikesali”. Menon, 25, mengaku bersalah pada 11 April lalu kerana melakukan seks dengan pasangannya yang berusia di bawah 16 tahun. Mahkamah kemudian diberitahu dia bekerja dua kali seminggu di sekolah itu sebagai sukarelawan ketika remaja terbabit menyertai persatuan dramanya pada Mac 2008. Remaja itu mula meluahkan kepada Menon yang berusia 20 tahun ketika itu mengenai masalahnya di rumah dan di sekolah. Mereka mula rapat dan melakukan hubungan seks buat kali pertama di kediaman Menon di Choa Chu Kang pada Mei 2009.


Bimbang hamil, remaja terbabit menggunakan alat ujian kehamilan pada 31 Mei di kediaman Menon. Keputusannya negatif tetapi Menon terus melakukan hubungan seks bersama remaja itu pada hari sama dan sekali lagi pada Julai. Dia turut merakam satu daripada aksi mereka di telefon bimbitnya dan menyimpannya di komputernya.

Pada akhir Julai, ibu bapa remaja itu membaca mesej Menon di telefon bimbit pelajar terbabit dan menyuruhnya memutuskan hubungan mereka. Bapanya turut memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai kecurigaannya dan Menon kemudian dipecat. Pada Ogos 2009, remaja itu menghantar mesej pesanan ringkas kepada Menon dan memberitahu dia mahu menamatkan hubungan mereka sebelum Menon mengancam akan mencederakan keluarganya. - AsiaOne

Banduan muat naik gambar ke Facebook

Foto
Mawin memuat naik fotonya dengan kaki
 bergari di laman sosial.
Bangkok: Seorang banduan penjara Phitsanulok yang memuat naik fotonya yang bergari di Facebook melalui telefon bimbit prosedur yang dilarang untuk tahanan akan dihukum bersama mereka yang membekalkan peralatan itu, kata Ketua Jabatan Salah Laku, Suchart Wong-anantachai.
Berikutan penjara Phitsanulok belum diisytihar sebagai ‘penjara putih’ bermaksud bebas daripada dadah dan bahan larangan lain tahanan di situ masih ada cara untuk mengakses Internet.

Ekoran kejadian itu Suchart menggesa pihak berkuasa penjara lebih tegas mengimbas dan memeriksa sel untuk mencari barang larangan.
Mengenai hukuman terhadap tahanan, dia berkata, panel akan dibentuk bagi menyiasat kes itu sebelum memutuskan sebarang hukuman jenayah atau disiplin. Ekoran kritikan terhadap pihak berkuasa penjara, laman Facebook berkenaan tidak dapat diakses semalam.

Tahanan terbabit dikenali sebagai pesalah rogol, Mawin Sompanwong, 28, yang ditahan di zon 5 penjara Phitsanulok.

Pengarah penjara Pongmit Prasertsakul berkata, Mawin yang dipenjara lima tahun pada 2008 bakal dibebaskan pada 1 November tahun ini. Pongmit berkata, sejak mengambil alih penjara berkenaan pada 4 April lalu dengan merujuk penjara terbabit sebagai penjara putih.

Pongmit berkata, dia sering melancarkan pemeriksaan mengejut sel penjara itu, tetapi masih terdapat tempat di mana tahanan menyembunyikan telefon bimbit dan peralatan isyarat telefon bimbit hanya berfungsi sekali-sekala di situ. - Bangkok Post

Ketua Puteri Umno Tenggara, rakan cedera kemalangan




29 April 2013
KOTA TINGGI - Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Anita Murad, yang juga kakak kepada pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Mamat Sepah, cedera dalam kemalangan di Kilometer 33.6 Jalan Kulaijaya - Kota Tinggi, petang semalam.

Anita, 36, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Mamat, kakaknya yang memandu kenderaan pacuan empat roda bersama dua rakannya, cedera di bahagian kepala dan bahu, namun keadaannya tidak membimbangkan.

Bagaimanapun seorang daripada rakannya yang juga setiausaha Pergerakan Puteri UMNO bahagian Tenggara, Nor Alohan Abd Ghani, 36, cedera parah di bahagian kepala manakala seorang lagi rakannya, Zaliza Mohd Dahan, 35, mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Syukur Alhamdulillah, kakak dan rakannya semuanya selamat, terima kasih kepada petugas Hospital Kota Tinggi (HKT) termasuk jentera BN Tenggara khususnya calon BN bagi Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang banyak membantu dan mengambil berat sepanjang kami berada di bilik kecemasan,” katanya ketika ditemui di HKT di sini, semalam.

Halimah yang tiba di HKT pada kira-kira pukul 6.30 petang meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Harapan saya semua pihak akan mendoakan kesejahteraan mangsa," katanya yang ditemui di HKT di sini.

Dalam nahas kira-kira pukul 6 petang itu, difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke Kulaijaya sebaik selesai membantu kempen pilihan raya umum di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd Nor Rasid yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Gen2 yang datang dari arah Kulaijaya cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pergeseran, kereta Gen2 itu berpusing dan terhenti di tengah jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang gagal mengelak dam melanggar penghadang jalan.

"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke HKT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Jalan Abdul Samad, Johor Bahru,” katanya. - Bernama

Polis tumpas sindiket 'parcel scam', 14 pelajar Afrika ditahan




29 April 2013
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan Internet atau 'Parcel Scam' dengan tertangkapnya 14 lelaki Afrika dalam serbuan di empat premis di Taman Mutiara Indah, Puchong, Khamis lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 33 tahun itu adalah penuntut kolej swasta di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata tangkapan itu dibuat berikutan Bukit Aman menerima laporan dari polis China Disember lepas mengenai dakwaan tiga wanita rakyat negara itu ditipu oleh kenalan di laman sosial.

Dua wanita masing-masing kerugian AS$1.5 juta manakala seorang lagi AS$70,000, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 27 unit telefon bimbit, 12 kad ATM dan tujuh komputer riba.

Syed Ismail berkata 'Parcel Scam' ialah jenayah penipuan pembelian barangan berharga seperti emas dan berlian melalui internet.

"Suspek menggunakan nama samaran di laman sosial dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tempatan di negara suspek berada, dan selepas mendapat wang, mangsa tidak lagi dapat menghubungi suspek," katanya.

Beliau berkata kesemua 14 lelaki itu kini ditahan reman dan polis kini mengesan semua akaun bank yang terlibat dalam kes itu.

"Saya menasihatkan pengguna internet perlu berwaspada dan jangan mudah percaya dengan individu di internet kerana terdapat akaun laman sosial yang menggunakan identiti palsu.

"Bagi pemilik akaun bank tempatan jangan sesekali memberi butir peribadi dan maklumat kepada kenalan baharu," katanya. - Bernama

Kereta terjunam dalam tali air



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
29 April 2013
Kereta terjunam dalam tali air
Keadaan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mangsa rosak teruk setelah terjunam dalam tali air.
SELINSING - Seorang pemuda yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah hampir lemas ditenggelami air setelah kereta yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam sebuah tali air di Kilometer 95, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, menghala ke utara, petang kelmarin.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 27 tahun dan enggan dikenali itu berjaya diselamatkan oleh salah seorang saksi kejadian sebelum keretanya tenggelam ke dalam air sepenuhnya.
Saksi kejadian hanya dikenali Kamal, 23, berkata, dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, dia bersama beberapa rakan sedang menikmati minum petang di sebuah kedai berhampiran yang terletak hanya 20 meter dari lokasi kejadian.

“Sedang asyik bersembang, tiba-tiba kami terdengar bunyi geseran kuat tayar kereta dan apabila melihat ke arah lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam terbabas dan terus terjunam ke dalam tali air berdekatan.

“Tanpa membuang masa, kami bergegas ke lokasi kejadian dan salah seorang rakan saya nekad terjun ke dalam tali air berkenaan untuk menyelamatkan pemandu berkenaan sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.
Kamal berkata, tindakan berani rakannya itu berjaya menyelamatkan nyawa pemandu itu daripada berkemungkinan lemas dan tenggelam bersama keretanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Mangsa seorang pemuda berbangsa cina yang berumur 27 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

13 orang dipercayai bekas pengikut Al-Aqram ditahan Jais




29 April 2013
13 orang dipercayai bekas pengikut Al-Aqram ditahan Jais
Sebahagian daripada 35 orang dipercayai bekas pengikut pergerakan Al-Arqam dari Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Arab.
SEPANG - Tiga belas individu dipercayai bekas pengikut Al-Arqam ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mereka adalah antara 35 rakyat Malaysia yang diusir oleh kerajaan Arab Saudi atas kesalahan membabitkan visa dan dokumen perjalanan.

"Mereka tiba di KLIA dari Jeddah kira-kira pukul 1 petang dan dibawa ke Jais, Shah Alam untuk diambil keterangan sebelum dibebas dengan syarat seorang penjamin bagi setiap orang," kata Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin ketika dihubungi.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita itu ditahan mengikut Enakmen Agama Islam Negeri Selangor kerana berdasarkan fatwa Mufti Selangor, Al-Arqam sudah terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ketika ditahan, kami turut menemui bahan berkaitan kumpulan Al-Arqam seperti buku, pamplet dan risalah bersama mereka," katanya. - Bernama

Suami parah ditetak, 4 termasuk isteri ditahan



KUALA LUMPUR 28 April - Gara-gara marah terhadap suami, seorang wanita dipercayai tergamak menjemput tiga lelaki datang ke rumahnya dan menetak teman hidupnya itu ketika sedang tidur di Subang Perdana Court 2, USJ 6/1 di Subang Jaya dekat sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, seorang pemandu lori, S. Gunasegaran, 40, diserang dengan senjata tajam semasa sedang tidur dan serangan itu dipercayai diketahui oleh isterinya yang membenarkan suspek masuk ke rumah berkenaan.
Difahamkan, suspek mempunyai hubungan dengan isteri mangsa dan kejadian itu dikatakan berpunca perselisihan yang sering timbul antara pasangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang cedera ditetak di leher, lengan, bahu kiri dan kanan serta ditikam di bahagian kiri rusuk belakang kini dilaporkan kritikal di hospital.
"Sebelum kejadian, mangsa yang mempunyai tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun keluar minum bersama saudaranya dan pulang ke rumah kira-kira pukul 2.30 pagi.
"Semasa sedang tidur, mangsa diserang dengan senjata tajam dipercayai parang. Pemeriksaan polis di lokasi kejadian tidak menemukan kesan pecah masuk di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Ramli, selepas menyerang mangsa, suspek cuba melarikan diri namun mereka dapat ditangkap oleh sekumpulan pemuda yang sedang memasang bendera berhampiran kediaman tersebut.
Beliau berkata, 10 pemuda berkenaan memberkas suspek yang menaiki dua motosikal setelah melihat mereka berkeadaan mencurigakan dan membawa parang.
Katanya, dua daripada mereka berjaya ditahan manakala seorang terlepas.
"Polis yang menjalankan siasatan terhadap suspek yang ditahan kemudian menangkap dua lagi individu termasuk seorang wanita. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130429/je_04/Suami-parah-ditetak-4-termasuk-isteri-ditahan#ixzz2Rrg3pXjA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik bangunan runtuh di Bangladesh ditahan



DHAKA 29 April - Polis Bangladesh semalam menahan pemilik bangunan lapan tingkat yang runtuh baru-baru ini ketika angka kematian meningkat kepada 372 orang.
Sumber keselamatan melaporkan, Sohel Rana, seorang ahli politik tempatan ditangkap berdekatan sempadan India dan dihantar ke Dhaka untuk menjalani siasatan.
Selain kes runtuhan tersebut, Rana turut berdepan tuduhan menggunakan bahan-bahan berkualiti rendah untuk pembinaan bangunan itu yang siap pada 2006. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_01/Pemilik-bangunan-runtuh-di-Bangladesh-ditahan#ixzz2RreEpvMs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kumpulan militan kepung Kementerian Luar Libya



TRIPOLI 29 April - Sekumpulan lelaki bersenjata mengepung bangunan Kementerian Luar Libya semalam bagi mendesak satu undang-undang diluluskan untuk melarang mana-mana pegawai yang pernah berkhidmat dengan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi daripada bertugas dalam kerajaan baharu negara ini.
Kira-kira 20 trak yang dilengkapi senjata antipesawat digunakan untuk menghalang jalan dan sekumpulan lelaki bersenjatakan rifel AK-47 mengawal trafik di sekitar bangunan itu.
Kementerian Luar Libya menjadi sasaran kumpulan militan tersebut disebabkan beberapa pegawai di kementerian itu pernah berkhidmat untuk Muammar. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_04/Kumpulan-militan-kepung-Kementerian-Luar-Libya#ixzz2RrdWfhX8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jambatan gantung runtuh di Thailand, lima terbunuh



BANGKOK 29 April - Sekurang-kurangnya lima orang maut dan 15 lagi cedera apabila sebuah jambatan gantung runtuh di wilayah tengah Thailand semalam.
Akhbar Bangkok Post melaporkan, punca kejadian yang berlaku di wilayah Ayutthaya, kira-kira 90 kilometer di utara Bangkok, dipercayai akibat tali yang menyokong jambatan tersebut terputus.
Insiden berkenaan turut menyebabkan sejumlah besar pejalan kaki dan penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai Pak Sak.
Jambatan itu yang dibina pada 1982, mempunyai ukuran empat meter lebar dan panjang 120 meter. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_03/Jambatan-gantung-runtuh-di-Thailand-lima-terbunuh#ixzz2RrdNTzmt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mahkamah tolak permintaan Mubarak agar dibebaskan



KAHERAH 29 April - Mahkamah Mesir hari ini menolak permintaan bekas Presiden Hosni Mubarak untuk dibebaskan daripada penjara bagi menjalani siasatan berhubung dakwaan rasuah.
Pihak pendakwa raya sebelum ini meminta pihak mahkamah untuk menahan Hosni selama 15 hari untuk menjalani siasatan tersebut.
Bekas Presiden berusia 84 tahun itu kini ditahan di hospital di penjara Tora di selatan Kaherah. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_05/Mahkamah-tolak-permintaan-Mubarak-agar-dibebaskan#ixzz2RrdFOl00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa terakhir runtuhan bangunan mati dalam kebakaran



SAVAR, Bangladesh 29 April - Satu kebakaran yang berlaku di lokasi runtuhan bangunan lapan tingkat di sini, semalam menyebabkan seorang wanita terbunuh ketika mangsa cuba dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat, Ahmed Ali berkata, kebakaran yang berlaku secara tiba-tiba itu telah menggagalkan usaha mengeluarkan wanita berkenaan yang dipercayai sebagai mangsa terakhir yang masih hidup.
"Seorang anggota bomba turut mengalami kecederaan akibat kebakaran berkenaan," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_06/Mangsa-terakhir-runtuhan-bangunan-mati-dalam-kebakaran#ixzz2Rrd2rTbK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan disabit bersalah berkaitan keganasan di Saudi



RIYADH 29 April - Lapan lelaki disabit kesalahan atas dakwaan berkaitan keganasan termasuk komplot serangan ke atas sebuah kilang menapis minyak, lapor Saudi Press Agency semalam.
Menurut laporan agensi berita itu, defendan iaitu tujuh rakyat Arab Saudi dan seorang dari Yemen, dijatuhi hukuman penjara antara empat bulan hingga lapan tahun.
Selain hukuman itu, kelapan-lapan mereka juga dilarang ke luar negara sekurang-kurangnya setahun selepas dibebaskan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_12/Lapan-disabit-bersalah-berkaitan-keganasan-di-Saudi#ixzz2RrcpKUCO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut dalam bangunan runtuh di Perancis



PARIS 29 April - Tiga orang maut dan 14 lagi cedera apabila sebahagian daripada sebuah bangunan kediaman lima tingkat di bandar Reims, timur laut Perancis runtuh semalam.
Seorang pegawai wilayah, Michel Bernard memberitahu BFM-TV, punca runtuhan dipercayai akibat letupan gas.
Namun, angka korban dijangka tidak akan meningkat ekoran mangsa yang cedera tidak parah dan semua penghuni telah ditemui. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_13/Tiga-maut-dalam-bangunan-runtuh-di-Perancis#ixzz2RrcgxpRa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi suspek pertempuran Xinjiang ditahan



BEIJING 29 April - China hari ini menahan sekumpulan suspek dipercayai anggota kumpulan pemisah, berhubung pertempuran etnik yang mengakibatkan 21 maut di Xinjiang, minggu lalu.
Menurut saluran televisyen CCTV yang memetik kenyataan pegawai keselamatan, Meng Hongwei, polis turut merampas senjata dan bendera kumpulan tersebut.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut bilangan suspek yang ditahan.
Pihak berkuasa tempatan sebelum ini telah menahan lapan lelaki etnik Uighur berhubung kejadian sama. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_15/Lagi-suspek-pertempuran-Xinjiang-ditahan#ixzz2RrcNjbMi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

55 cedera dalam letupan gas



PRAGUE 29 April - Satu letupan gas disyaki berlaku di kawasan pelancongan di sini menyebabkan 55 orang cedera, lapor televisyen Czech, CT24 hari ini.
Letupan tersebut berlaku kira-kira pukul 10 pagi (waktu tempatan) di sebuah bangunan pejabat yang terletak di antara Akademi Filem Prague dan Akademi Sains.
Kebanyakan mangsa yang cedera terkena serpihan kaca dari bangunan berhampiran. Sebanyak 220 orang telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, lapor CT24 yang memetik kenyataan polis dan pasukan penyelamat. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_16/55-cedera-dalam-letupan-gas#ixzz2RrcEVVYO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat kargo terhempas di Bagram



KABUL 29 April - Sebuah pesawat kargo terhempas di pangkalan Bagram di sini, kira-kira 60 kilometer di utara bandar Kabul, hari ini.
Menurut jurucakap polis di wilayah Parwan, pesawat kargo itu kemungkinan dimiliki tentera Amerika Syarikat (AS).
"Kami nampak ada kepulan asap dan serpihan pesawat tetapi tentera AS tidak membenarkan kami ke tempat kejadian," katanya lagi. -dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_17/Pesawat-kargo-terhempas-di-Bagram#ixzz2Rrc3lsYh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami dibunuh, isteri ditahan



SUBANG JAYA – Seorang pemandu lori maut selepas ditikam ketika sedang nyenyak tidur di dalam bilik rumahnya dalam kes pembunuhan yang disyaki dirancang oleh isterinya sendiri di Subang Perdana Court 2, USJ 6/1 di sini semalam.
Rancangan jahat wanita berusia 30-an itu terbongkar apabila polis menyoal siasatan dua lelaki yang diberkas terlebih dahulu sebaik menerima laporan mengenai kejadian bunuh yang berlaku pada pukul 4.45 pagi itu.
Dalam kejadian itu, S. Gunasegaran, 40, mati selepas ditikam di rusuk kiri selain cedera di leher, lengan dan bahu.
Difahamkan, si isteri disyaki sanggup bersekongkol untuk membunuh suaminya selepas tidak tahan kerana mendakwa sering dipukul lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan awal mendapati salah seorang lelaki yang diberkas itu merupakan kekasih gelap wanita tersebut.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa baru sahaja pulang selepas keluar minum bersama rakan-rakannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2RpnKycEh
Hakcipta terpelihara 

Tekong nelayan Vietnam dijel lapan bulan, denda akibat rasuah



KUALA TERENGGANU – Seorang tekong nelayan warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM10,000 selepas dia mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai Maritim Malaysia (APMM).
Hukuman dijatuhkan selepas Tram Tai, (gambar) 33, mengaku bersalah di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor Wan Idris di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tram Thai didakwa memberi suapan RM1,000 kepada seorang pegawai APMM antara pukul 5.45 hingga 6.08 petang kira-kira 87 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Tindakan itu dilakukan sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh dengan awak-awak bot yang mereka naiki daripada ditahan kerana tiada permit kerja yang sah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2RpmW3rky
Hakcipta terpelihara 

Dua sahabat edar ganja dihukum gantung




REVI (kanan) dan Hatitan diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam selepas dijatuhi hukuman gantung kerana mengedar ganja dua tahun lalu.


ALOR SETAR – Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 18.19 kilogram di Taman Tuanku Haminah, Sungai Petani dekat sini dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati keterangan pembelaan T. Revi, 46, dan R. Hatitan, 36, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut di hadapan kedai Fiber Optik, Concept Store, No. 21, Jalan Tuanku Haminah 1, Taman Tuanku Haminah, pada pukul 9 malam, 6 Mei 2011.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Rpm4hBBt 
Hakcipta terpelihara 

Sambutan Hari Pekerja di Turki ganas


Istanbul: Pertempuran sengit meletus antara polis dengan penunjuk perasaan di sini semalam apabila ratusan orang cuba merempuh sekatan jalan raya untuk berhimpun di dataran di utara bandar raya itu bagi meraikan Hari Pekerja walaupun diharamkan oleh kerajaan.

Sebahagian penunjuk perasaan melontar batu, bom minyak dan mercun ke arah polis pencegah rusuhan yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata ketika pertempuran meletus di jalan raya menuju ke Dataran Taksim.


Dataran berkenaan ialah hub utama Istanbul dan dalam proses pembaikan. Kerajaan Turki mengharamkan sambutan Hari Pekerja diadakan di dataran itu tahun ini dengan alasan ia akan menjejaskan kerja menaik taraf.


Kesatuan Sekerja bagaimanapun berdegil dan mahukan sambutan itu tetap diadakan di Taksim yang menjadi simbol kepentingan kepada pekerja dan kumpulan berhaluan kiri.


Puluhan penunjuk perasaan mati di situ pada 1977 apabila sekumpulan lelaki melepaskan tembakan ke arah penduduk yang meraikan Hari Pekerja.


Semalam, 22,000 anggota keselamatan dikerah untuk mengawal Istanbul. Penunjuk perasaan yang berarak sambil mengibar bendera dan melaungkan slogan antikerajaan cuba menuju ke dataran itu.

Pejabat gabenor Istanbul berkata, 20 penunjuk perasaan ditangkap dan sekurang-kurangnya dua anggota polis cedera dalam pertempuran berkenaan.

Penceramah PKR maut dalam nahas di Shah Alam


SHAH ALAM 29 April - Seorang penceramah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Senangin 17/2, Seksyen 17 di sini malam tadi.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam ketika mangsa, Suhaimi Hassan, 59, yang memandu sebuah Proton Wira, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seksyen 19 selepas selesai menyampaikan ceramah di Seksyen 17 di sini.
"Siasatan mendapati mangsa di serang sakit jantung ketika sedang memandu. Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan jenazah telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk di bedah siasat,'' katanya.
Tambahnya, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130429/je_01/Penceramah-PKR-maut-dalam-nahas-di-Shah-Alam#ixzz2S5RlIrT1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasangan maut dirempuh lori



BEGINILAH keadaan kereta Proton Savvy yang terlibat nahas hingga mengorbankan Hassan dan Aliana (gambar kecil) di Mersing semalam.


MERSING – Hasrat tiga beranak untuk menghadiri majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut manakala seorang lagi parah selepas kereta jenis Proton Savvy yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Mersing-Kota Tinggi di sini semalam.
Kejadian yang melibatkan lima buah kenderaan pada pukul 9.45 pagi itu mengorbankan Hassan Ahmad, 38, dan isterinya, Azliana Mohd. Shari, 30, manakala anak mereka, Nuri Yasmin, 9, parah.
Azliana meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya maut ketika menerima rawatan di Hospital Mersing. Nuri Yasmin yang cedera di kepala kini stabil selepas dirawat di hospital yang sama.
Difahamkan, keluarga mangsa tertinggal dari konvoi yang dalam perjalanan dari Felda Sungai Mas, Kota Tinggi ke Felda Tenggaroh di sini untuk menghadiri satu majlis perkahwinan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori lima tan yang datang dari arah Mersing ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat buah kereta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Rnkepdrf 
Hakcipta terpelihara 

Suami ditahan selepas isteri maut kemalangan



Kuala Terengganu: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan selekoh berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang sehingga mengorbankan nyawa isterinya pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, lelaki berusia 26 tahun dari Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang bekerja sebagai buruh kontrak ditahan selepas abang iparnya berusia 36 tahun membuat laporan polis di IPD Marang sebaik dimaklumkan berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu.


Katanya, sebelum kemalangan itu, pengadu yang berada di rumahnya di Kampung Raja Chendering, di sini menerima panggilan kira-kira jam 5 petang daripada seorang adiknya yang memaklumkan mangsa berusia 22 tahun terbabit dalam kemalangan dan berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum disahkan meninggal dunia akibat cedera di kepala.

“Sebelum kejadian itu, pengadu dimaklumkan rakan adiknya yang melihat mangsa dipukul dan ditarik suaminya masuk ke dalam kereta Proton Saga sebelum terbabit dalam kemalangan jalan raya.


“Pertengkaran antara suami isteri itu berlaku ketika suspek menjemput mangsa yang bekerja di kedai serbaneka di Rhu Muda, Marang kira-kira jam 3.45 petang dan hilang kawalan sebelum terbabas.


“Walaupun kematian mangsa kerana kemalangan tetapi polis menahan suspek bagi menjalankan siasatan kerana ada saksi yang melihat mangsa dan suspek bergaduh sebelum kemalangan itu” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.