Search This Blog

Sunday, April 28, 2013

Dipukul kerana pakai baju BN




SUNGAI PETANI: Hanya kerana memakai baju T berlogo Barisan Nasional (BN), seorang lelaki dibelasah sekumpulan orang dipercayai penyokong parti pembangkang di pekan Tanjung Dawai dekat sini malam tadi.

Sofian Abidin, 30, dari Bedong tidak jauh dari kawasan nelayan berkenaan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 malam sewaktu dia bersama anak dan rakannya berkereta menuju Tanjung Dawai.

"Kami sebelum itu berselisih dengan sekumpulan kira-kira 200 penyokong parti pembangkang yang menaiki kereta dan motosikal, sebelum kami ditahan sebahagian mereka ketika tiba di pekan Tanjung Dawai.

"Baju saya dicekak dan saya ditumbuk pada pipi kanan dan dada.

Rakan saya yang memakai baju BN ditarik dan ditanggalkan bajunya.

Kumpulan itu turut merosakkan lampu isyarat kereta dan menendang pintu kereta saya," katanya.

Sofian berkata keadaan itu bagaimanapun dileraikan para penyokong BN yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

13 rumah hangus kebakaran di Keningau



KOTA KINABALU: Tiga belas rumah di Kampung Toboh Laut, Keningau, dekat sini hangus dalam satu kebakaran tengah hari tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira 2.14 petang.

Beliau berkata anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama dua jentera dari Keningau dan Tambunan tiba di lokasi kira-kira sepuluh minit kemudian dan bomba masih mengawal kebakaran sehingga petang ini.

"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, mendapati kebakaran berlaku melibatkan beberapa rumah separuh kekal jenis kayu yang sudah hampir 80 peratus dijilat api," katanya di dalam satu kenyataan di sini, hari ini Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat.

28 pelajar terhidu gas beracun



ALOR SETAR: Kejadian terhidu gas beracun yang berlaku di Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini pada Selasa lepas, berulang lagi dan kali ini ia melibatkan 28 orang pelajar.

Insiden berlaku kira-kira pukul 8 pagi semasa perhimpunan apabila beberapa pelajar berasa pening dan loya sebelum ada yang pengsan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk pemeriksaan.

Pelajar tingkatan lima, Siti Nur Fatin Afiqah Azizan, 17, berkata semasa kejadian dia berasa pening dan loya secara tiba-tiba sebelum dia dan rakan-rakan yang lain diminta oleh guru untuk berkumpul di dewan.

"Semasa perhimpunan, saya tidak bau sebarang gas seperti kejadian pertama tapi saya lihat tiga orang rakan pengsan dan ada yang mula mengadu pening kepala dan loya sebelum kami dibawa ke hospital dengan ambulans," katanya semasa ditemui di HSB.

Ketua Jabatan dan Pakar Kecemasan dan Trauma HBS Dr Fatahul Laham Mohamad berkata semua pelajar yang dibawa ke hospital kira-kira pukul 9 pagi itu berada dalam keadaan stabil dan akan ditahan sekurang-kurangnya dua hari bagi menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan lanjutan.

Menggeletar dengar bunyi dentuman

Foto
SHAH Headan turut membantu membersihkan kawasan rumah Ramlah yang ditimpa pokok durian.
Georgetown: “Saya menggeletar seluruh badan sebaik mendengar dentuman kuat dari bumbung dan terdiam seketika,” kata wanita warga emas, Ramlah Hassan, 65, menceritakan detik cemas ketika rumahnya dihempap pokok durian di Kampung Sungai Pinang, awal pagi semalam.
Menurutnya, ketika itu dia tidur di ruang tamu rumahnya dan terdengar tiupan angin yang kuat dari belakang dapur sebelum mendengar pokok jatuh menimpa bumbung rumah.
“Saya hanya mampu berzikir serta berdiam diri. Selepas keadaan tenang, saya beranikan diri dan meninjau ke luar rumah melalui tingkap dan terkejut melihat pokok durian menimpa bumbung rumah.

“Ketika itu saya teringatkan anak, menantu serta cucu yang tinggal berhampiran rumah saya kerana pokok durian terbabit turut terkena rumah anak,” katanya.


Menurutnya, dia bersyukur selepas mengetahui anaknya sekeluarga terselamat dalam kejadian itu kerana pokok durian berusia 15 tahun itu turut menghempap bilik air rumah anaknya.

Menggelupur terbakar

Foto
KERETA mangsa yang terbakar.
Banting: Sepasang suami isteri terkejut apabila melihat seorang lelaki sedang menggelupur terbakar dalam kereta tetapi gagal menyelamatkannya kerana kenderaan itu meletup.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang di kebun kelapa sawit di Jalan Sri Gambut di sini, Khamis lalu, pasangan suami isteri berkenaan curiga melihat asap di kebun berhampiran rumah mereka.
Apabila didekati mereka melihat seorang lelaki sedang menggelupur dalam keadaan terbakar dalam sebuah Perodua Kancil, namun sebaik menghampiri untuk membantu, kereta berkenaan meletup.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, sepasukan anggota polis peronda MPV dan unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kereta itu sudah hangus.


Katanya, hasil pemeriksaan awal juga mendapati terdapat satu rangka manusia yang rentung di bahagian pemandu.

Pembunuh serah diri selepas 14 tahun sembunyi



Oklahoma City: Selepas 14 tahun menjadi pelarian seorang lelaki yang dikehendaki kerana kesalahan membunuh, menyerah diri kepada pihak berkuasa, semalam.

David Lee Kemp dari Lawton, Oklahoma adalah satu-satunya banduan belum ditahan selepas dia bersama lapan tahanan lain melarikan diri pada 11 Mac 1999.


Mereka bertindak nekad ketika menunggu perbicaraan atas dua tuduhan membunuh tahap pertama ke atas bekas isteri Kemp serta teman lelaki wanita terbabit.

Sheriff Comanche, Kenny Stradley berkata, Kemp menyerah diri kerana penat menyembunyikan diri.


“Dia bosan dan penat menjadi buruan sehingga menjejaskan kesihatannya,” katanya. Rekod penjara daerah Comanche menunjukkan Kemp ditahan jam 1.40 pagi semalam atas kesalahan membunuh dan melarikan diri dari penjara. Untuk menyerah diri, Kemp terpaksa mendapatkan bantuan seorang pemandu lori yang sedang tidur di tepi lebuh raya.


Kemp kemudian meminta pemandu itu menghubung pihak berkuasa dan ingin bercakap dengan mereka. Dia didakwa membunuh Christina Cremer dan teman lelakinya, Robert Miller. - AP

3 banduan kritikal dalam pergaduhan



Jakarta: Tiga banduan berada dalam keadaan kritikal selepas tercetus pergaduhan di antara dua kumpulan tahanan di penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera Utara kelmarin.

Ketiga-tiga banduan terbabit dilaporkan cedera akibat ditikam.


Ketua Divisyen Hukuman di agensi hak asasi kemanusiaan dan pentadbiran undang-undang Sumatera Utara, Amran Silalahi berkata, pihak berkuasa memindahkan 17 tahanan dari penjara Tanjung Gusta bagi mengelak kejadian berulang. Selain itu, penjara itu turut ditutup kepada pelawat. “Kami sudah memindahkan 17 tahanan daripada kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan ke Binjai, Lubuk Pakam dan Permatang Siantar,” katanya. - AP

Mahu ‘bunuh’ lebih 200 kanak-kanak Amerika



London: Seorang bapa yang menghantar mesej di Facebook dari kediamannya di Britain berikrar untuk membunuh 200 kanak-kanak di Amerika berdepan dengan hukuman penjara.

Reece Elliot mendorong siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang menyebabkan 3,000 murid tidak ke sekolah ekoran ancaman untuk mencetuskan pembunuhan beramai-ramai di Tennessee.


Insiden itu berlaku beberapa minggu selepas 26 orang 20 daripadanya kanak-kanak dibunuh lelaki bersenjata berusia 20 tahun Adam Lanza di sekolah rendah Sandy Hook di Connecticut. Memuat naik di laman peringatan pelajar mangsa nahas kereta sekolah tinggi Tennessee, penganggur Elliott, 24, yang tinggal di South Shields, Tyne and Wear menulis: “Bapa saya mempunyai tiga pistol. Saya bercadang mahu membunuh dia dulu dan mencampaknya ke dalam tong sampah.

“Saya akan membawa motosikal ke sekolah. Saya harap dapat membunuh 200 orang sebelum membunuh diri. Kisah saya akan tersiar dalam CNN.” Pasukan antikeganasan bergegas ke beberapa sekolah di daerah Warren di Amerika Syarikat sebelum polis kemudian menjejaki bahawa ancaman itu datangnya dari kediaman Elliot di Britain lalu menahannya. - The Sun

Jurutera kilang pakaian ditahan



Savar: Polis Bangladesh berkata, dua jurutera yang meluluskan reka bentuk bangunan lapan tingkat menempatkan kilang pakaian yang runtuh Rabu lalu ditahan untuk disoal siasat.

Sumber polis berkata, Imtemam Hossain dan Alam Ali ditahan pihak berkuasa semalam.


Bagaimanapun, polis belum menyatakan peranan dimainkan Imtemam dan Alam ketika memberi kelulusan bangunan berkenaan.

Sebelum runtuh, bangunan itu menjalani proses ubah suai dengan untuk menempatkan tiga tingkat tambahan secara haram. Terdahulu, dua pemilik satu daripada beberapa kilang pakaian di bangunan itu ditahan.


Isteri seorang daripada mereka turut diberkas sebelum itu untuk memberi tekanan kepada suaminya supaya menyerah diri kepada polis. - AP

1,000 maut demi pakaian murah

Foto
WARIS seorang daripada mangsa runtuhan bangunan kilang pakaian berdoa tidak jauh dari lokasi bencana itu berlaku di Savar, semalam.
Foto
TANGAN satu daripada mayat yang belum dapat dikeluarkan dari bawah runtuhan.


London: Sikap warga Britain yang ketagih mendapatkan pakaian murah secara tidak langsung ‘mengorbankan’ kira-kira 1,000 nyawa pekerja Bangladesh sejak lapan tahun lalu.

Siasatan media menunjukkan, dalam tempoh sama, berpuluh-puluh ribu pekerja lagi cedera dalam banyak kilang yang menyediakan bekalan pakaian untuk rangkaian kedai di Britain.


Angka itu termasuk sekurang-kurangnya 330 orang yang terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh di sebuah bandar pinggir Dhaka pada Rabu lalu.

Kelmarin, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 50 mangsa yang masih hidup dari bawah runtuhan bangunan lapan tingkat menempatkan kilang yang membekalkan pakaian untuk jenama terkenal di Britain, Primark Menurut beberapa penganalisis, tragedi Plaza Rana itu sepatutnya boleh dielakkan jika pihak yang berkenaan mengambil langkah perlu.


Sumber pula berkata, beberapa firma Britain yang menggunakan produk kilang berkenaan enggan menandatangani perjanjian keselamatan tempat kerja yang baru.


Langkah itu sudah dilakukan syarikat pengeluar jenama Calvin Klein dan Timberland. Kata sumber, sejak 2005 lebih 1,000 pekerja kilang kain terbunuh dalam pelbagai bencana, termasuk kebakaran dan bangunan runtuh.


“Banyak insiden kecil yang berlaku dan kurang diberi perhatian,” katanya. Beberapa bulan lalu, kebakaran di kilang Tazreen Fashion membunuh 112 orang pekerjanya.


Sementara itu, Primark berkata, mereka tidak menandatangani pelan keselamatan untuk kilangnya kerana ada inisiatif lain diambil.

Kenyataan itu dibantah pengkritik kerana inisiatif berkenaan hanya meliputi bencana kebakaran, bukan keselamatan bangunan. Aktivis pertubuhan War On Want, John Hilary berkata pihak berkuasa wajar bertindak bagi menghalang kejadian sama berulang.


“Tiba masa untuk kerajaan meminta syarikat terbabit bertanggungjawab atas kejadian runtuhan itu,” katanya ketika ditemui, semalam. - The Sun

Badan digilis lori lebih 10 tan



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 April 2013
Badan digilis lori lebih 10 tan
Anak sulung Chong Yow Sang dan anak bongsu Chong Ah Lek meratapi mayat bapa mereka yang terbabit kemalangan di persimpangan tiga Batang Melaka-Air Kuning Selatan, semalam.
TAMPIN - Dua beradik tidak dapat menahan sebak sebaik melihat mayat bapa mereka yang maut selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran persimpangan tiga Batang Melaka-Air Kuning Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa, Chong Kou, 73, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh  sebuah lori membawa muatan lebih 10 tan dari arah Pekan Air Kuning, ketika membelok ke sebelah kanan jalan.

Saksi kejadian, M Kumar, 32, berkata,  ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Jalor ke Pekan Air Kuning Selatan dan tidak menyangka melihat sendiri detik-detik kemalangan berkenaan.

“Masa itu, mangsa baru sahaja keluar dari simpang dan lori dari arah pekan cuba mengelak ke arah kanan jalan, namun merempuh motosikal mangsa dan mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari lokasi sebelum badannya di gilis lori berkenaan.

“Hingga ke saat ini saya masih lagi menggigil dan gementar kerana melihat sendiri apa yang berlaku.

"Bagaimanapun, jika diikutkan lokasi ini sememangnya sangat berbahaya dan sudah banyak berlaku kemalangan sejak jalan baru ini dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di Air Kuning Selatan, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan punca kejadian masih lagi dalam siasa-tan.  Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah, sementara pemandu lori berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222, " katanya.

Maut ditikam sahabat



WARTAWAN SINAR HARIAN
28 April 2013
Maut ditikam sahabat
Polis forensik memeriksa pisau yang ditemui berhampiran tempat kejadian.
Maut ditikam sahabat
Polis memburu suspek warga Myanmar memegang kad UNHCR yang dikenali sebagai Tin Than Maung.
SUBANG JAYA – Hanya kerana enggan mengikut jejaknya berhenti kerja, seorang lelaki tergamak menikam sahabatnya sendiri selepas berlaku pertengkaran di bilik sewa mereka, di SS15/4B, dekat sini petang kelmarin.

Difahamkan, mangsa dan suspek baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan penghawa dingin yang terletak berhampiran rumah dihuni mereka.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, Balai Polis Subang Jaya menerima panggilan kira-kira jam 2.10 petang daripada pemilik rumah berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan polis kemudian dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki Myanmar terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Jelasnya, kejadian berlaku di tingkat satu bangunan tiga tingkat yang mempunyai lapan bilik. Premis terbabit diubahsuai dan disewakan kepada 13 pekerja warga asing lain termasuk mangsa dan suspek.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa Aye Chan Aung, 24 pemegang kad UNHCR ditikam di dada sebelah kanan.

Tiada kesan pergelutan ditemui di tempat mayat mangsa ditemui.

Namun katanya, sebilah pisau bersaiz enam inci dipercayai digunakan ketika kejadian ditemui di longkang berdekatan tangga premis terbabit. Masih terdapat kesan darah dan kesan luka mangsa didapati sama dengan lebar mata pisau itu.

Polis percaya suspek adalah rakan sebilik mangsa tetapi melarikan diri selepas menikam rakannya.

“Mereka berdua baru tiga hari bekerja di syarikat itu, suspek dikatakan mengajak mangsa berhenti kerja tetapi mangsa enggan.

“Mangsa mungkin dibunuh selepas berlaku pertelingkahan awal pagi kelmarin berdasarkan keadaan mayat dan darah yang sudah kering,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat bersama suspek petang Khamis lalu ketika kedua-duanya mengambil gaji daripada majikan mereka.