Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

45 mangsa runtuhan bangunan di Savar berjaya diselamatkan



SAVAR, Bangladesh 26 April - Pasukan penyelamat berjaya menemukan 45 mangsa yang masih hidup di sebalik sisa-sisa runtuhan sebuah kilang membuat pakaian, ketika polis mengesahkan angka kematian meningkat kepada 272.
Ketua Jabatan Bomba Kebangsaan, Ahmed Ali berkata, sebanyak 41 mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dari tingkat empat Plaza Rana setinggi lapan tingkat itu.
"Empat lagi mangsa terselamat ditemukan pada bahagian-bahagian lain bangunan yang runtuh, semalam," katanya.
Menurutnya, pihak bomba sudah mengenal pasti antara 20 hingga 25 lagi mangsa yang masih hidup dalam runtuhan itu, namun pihaknya berdepan kesukaran untuk menyelamatkan mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_13/45-mangsa-runtuhan-bangunan-di-Savar-berjaya-diselamatkan#ixzz2RfwWNwcu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja 13 tahun mangsa rogol terbaharu di India



MUMBAI 26 April - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, dilapor menjadi mangsa rogol beramai-ramai terbaharu di India apabila dia diperdaya rakan sendiri dalam satu kejadian di pekan Vakola, di sini.
Menurut polis, kejadian berlaku apabila seorang rakan perempuannya mengajak mangsa ke sebuah bilik di rumahnya sebelum memberi mangsa minum sejenis minuman.
Polis menjelaskan, rakan mangsa kemudian memanggil empat remaja lelaki lain yang kemudian merogol mangsa. Masih tiada tangkapan dibuat setakat ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_14/Remaja-13-tahun-mangsa-rogol-terbaharu-di-India#ixzz2RfwKkPnc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki Iran suspek kes letupan diplomat Israel di Thailand dibicara



BANGKOK 26 April - Seorang lelaki warga Iran yang menjadi suspek komplot serangan ke atas diplomat Israel di Thailand pada tahun lalu berkata, dia menemukan bahan letupan itu dan cuba mematikannya ketika ia meletup.
Saeid Moradi, 29, memberitahu mahkamah Bangkok, ketika kejadian dia mahu meninggalkan negara ini, tetapi menemui empat butir bom di dalam almari di rumah yang disewanya di bandar raya Bangkok.
"Dua daripada bahan letupan itu meletup ketika saya berlari ke jalan raya untuk membuangnya ke terusan berhampiran, dengan letupan kedua menyebabkan kaki saya putus," katanya dalam satu perbicaraan kes di sini hari ini.
Saeid dan Mohammad Khazaei, 42, adalah antara lima suspek rakyat Iran yang terlibat dalam letupan pada Februari tahun lalu itu yang berlaku selepas serangan sama ke atas India dan Georgia. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_15/Lelaki-Iran-suspek-kes-letupan-diplomat-Israel-di-Thailand-dibicara#ixzz2Rfw8DUs7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

45 penumpang bas terbunuh, 10 cedera kemalangan di Afghanistan



KANDAHAR 26 April - Sekurang-kurangnya 45 penumpang sebuah bas terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri membabitkan kenderaan itu dengan sebuah bangkai lori tangki yang diserang pemberontak Taliban dalam satu kejadian di selatan Afghanistan, awal pagi ini.
Kebanyakan mangsa rentung dalam kemalangan itu yang berlaku sejurus sebelum matahari terbit.
Ketua polis wilayah Kandahar, Abdul Razaq berkata, bas itu merempuh trak berkenaan yang ditinggalkan di tengah jalan sekali gus mengakibatkannya terbakar.
Katanya, bangkai lori itu ditinggalkan di tengah jalan sempit berhampiran sempadan wilayah Kandahar dan Helmand selama beberapa hari dan polis menyifatkan jalan itu amat berbahaya untuk dilalui.
"Sebanyak 45 orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan itu,"’ kata jurucakap bagi Gabenor Kandahar, Javeed Faisal.
Katanya, bas itu sedang dalam perjalanan dari Helmand ke Kabul dan dijadualkan berhenti di Kandahar sebelum ia terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Kebanyakan mangsa termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak sukar dikenalpasti kerana rentung dan dibawa ke Hospital Mirwais di Kandahar untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Sementara itu, pasukan keselamatan Afghanistan meningkatkan operasi membanteras pemberontak dengan menahan seramai 10 orang dalam operasi yang diadakan semalam dan hari ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_16/45-penumpang-bas-terbunuh-10-cedera-kemalangan-di-Afghanistan#ixzz2RfvsDIkE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek pengeboman Maraton Boston dipindah ke penjara


BOSTON 26 April - Suspek pengeboman Maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev dipindahkan ke sebuah penjara di Fort Devens, Massachusetts, selepas hampir seminggu menerima rawatan di sebuah hospital, kata Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Remaja berusia 19 tahun daripada keturunan etnik Chechen itu cedera parah dalam insiden berbalas tembak dengan polis minggu lalu dan dirawat di Pusat Perubatan Beth Israel Deaconess.
Bagaimanapun, abangnya, Tamerlan, 26, yang merupakan seorang lagi suspek, terbunuh dalam insiden berbalas tembak selama beberapa jam selepas polis mengedarkan gambar mereka. - REUTERS


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_17/Suspek-pengeboman-Maraton-Boston-dipindah-ke-penjara#ixzz2RfvW7bBs
© Utusan Melayu (M) Bhd 



ABDULLAH (tiga dari kanan) melihat sebahagian daripada rokok yang dirampas daripada seorang lelaki di Depoh Kastam Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang tukang paip mengaut keuntungan dengan mengedar rokok seludup ke negeri ini tidak bertahan lama apabila dia ditahan bersama barangan itu yang bernilai lebih RM365,000.
Lelaki yang berusia 39 tahun dari Puchong, Selangor itu diberkas pada pukul 5 petang di persimpangan lampu isyarat dekat Kuala Ibai di sini ketika dalam perjalanan ke bandar Kuala Terengganu pada Selasa lalu.
Menurut Pengarah Kastam Terengganu, Abdullah Zawawi Abd. Latiff, penahanan terhadap suspek dibuat selepas pihaknya mengesan sebuah van yang dinaiki lelaki itu kira-kira tiga jam selepas melakukan intipan.
"Pemeriksaan lanjut, kita menemui beberapa kotak mengandungi 3,650 kartun rokok putih jenis John Merah yang dipercayai belum mendapat kelulusan pihak kastam.
"Kita percaya kesemua rokok yang bernilai RM365,146 (termasuk cukai) adalah untuk edaran sekitar kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2R8e1B8o0 
Hakcipta terpelihara 

Demonstrasi akibat bangunan runtuh



Orang ramai termasuk anggota penyelamat, pengamal media dan anggota tentera yang berada di lokasi kilang runtuh, bertempiaran lari apabila terdengar jeritan seseorang yang memberitahu sebuah lagi bangunan berhampiran Plaza Rana, runtuh di Savar, kira-kira 30 kilometer dari Dhaka, semalam. - REUTERS
DHAKA 26 April - Polis Bangladesh melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah hari ini ketika penunjuk perasaan menyerang kilang-kilang dan merosakkan kenderaan dalam satu demonstrasi besar-besaran oleh tukang-tukang jahit ekoran kematian hampir 300 orang rakan mereka dalam runtuhan bangunan, kelmarin.
Polis mengambil tindakan tersebut selepas penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh, menyekat laluan jalan raya sekali gus memaksa kilang-kilang di Gazipur ditutup.
"Keadaan tidak menentu. Beratus-ratus ribu pekerja menyertai tunjuk perasaan. Kami melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi tersebut,'' kata pegawai di bilik kawalan polis, M. Asaduzzaman.
Timbalan Ketua Polis Gazipur, Mustafizur Rahman berkata, penunjuk perasaan menyerang kilang-kilang, merosakkan kenderaan, membakar tayar di jalan raya dan cuba membakar beberapa kedai.
"Mereka mendesak penangkapan dan hukuman mati dikenakan terhadap pemilik kilang yang runtuh di Savar,'' katanya.
Hampir 300 orang maut apabila bangunan lapan tingkat yang menempatkan lima kilang, runtuh di Savar.
Para penyelamat menjangkakan angka kematian akan terus meningkat.
Saluran televisyen tempatan, Somoy melaporkan, tunjuk perasan tersebut turut berlaku di beberapa daerah di ibu negara ini termasuk Mirpur yang menemparkan kilang-kilang pakaian. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_09/Demonstrasi-akibat-bangunan-runtuh#ixzz2RfvLamrs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bumbung hospital runtuh, 15 terperangkap



BHOPAL, India 26 April - Sekurang-kurangnya 15 orang yang kebanyakannya pesakit di sebuah hospital dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan sebahagian bumbung bangunan itu di sini petang ini.
Jurucakap Hospital Kasturba, Vinodanand Jha berkata, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jentera berat bagi memotong serpihan bumbung yang menghempap wad pembedahan wanita kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan.
"Sekurang-kurangnya 15 pesakit dikhuatiri terperangkap dan operasi menyelamat masih diteruskan," katanya.
Beliau menambah, lima mangsa yang terselamat telah berjaya dikeluarkan setakat ini. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_18/Bumbung-hospital-runtuh-15-terperangkap#ixzz2Rfuvqzyr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hospital terbakar 38 maut



Kakitangan Kementerian Pengawalan Kecemasan dan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan sisa kebakaran di sebuah hospital psikiatrik di Ramensky, tenggara bandar raya Moscow, Rusia, semalam. - AGENSI
MOSCOW 26 April - Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh, kebanyakannya pesakit dalam kebakaran di sebuah hospital psikiatrik di Rusia, awal hari ini.
Sumber polis yang dipetik agensi berita Itar-Tass menyatakan, kebakaran berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) di hospital itu yang terletak Ramensky, tenggara bandar raya Moscow.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kebanyakan pesakit sedang nyenyak tidur.
“Beberapa mangsa cuba menyelamatkan diri, tetapi mereka lemas akibat terhidu asap tebal," kata sumber itu.
Kementerian Pengawalan Kecemasan menjelaskan, hanya tiga daripada 41 orang yang berada di dalam bangunan satu tingkat itu, berjaya menyelamatkan diri, termasuk dua pesakit.
Seorang pegawai kementerian yang enggan dikenali memberitahu agensi berita Interfax, hospital itu musnah akibat kebakaran tersebut dan anggota bomba telah menemukan sembilan mayat.
Menurut laporan Interfax, kebanyakan mangsa yang maut tidak dapat melarikan diri kerana telah diberi ubat, selain tingkap hospital dipasang dengan jeriji.
Ketua doktor di hospital berkenaan, Murat Shakhov berkata, selain pesakit psikiatri, mereka turut merawat penagih dadah dan kaki botol.
Punca kebakaran masih belum jelas, tetapi laporan awal menyatakan insiden berpunca daripada litar pintas. - dpa


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_08/Hospital-terbakar-38-maut#ixzz2RftnXY28
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 rakyat Britain dipenjara kerana rancang serangan bom



LONDON 27 April - Sebanyak 11 rakyat Britain dipenjara hari ini kerana merancang apa yang didengar di mahkamah sebagai plot yang disokong militan al-Qaeda bagi melakukan serangan bom berangkai yang diharapkan lebih hebat daripada serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) dan serangan di ibu negara ini pada 2005.
Konspirasi itu membabitkan sekurang-kurangnya enam orang yang berkomplot dengan mendapatkan latihan di Pakistan bagi mencapai matlamat meletupkan lapan beg yang berisi bom di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
Ketua sindiket itu, Irfan Naseer dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan orang kanannya, Irfan Khalid dipenjara selama 18 tahun dan rakan komplot, Ashik Ali dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh hakim di Mahkamah Woolwich Crown di tenggara London.
Sebanyak lapan lagi ahli kumpulan itu dari Birmingham, tengah England juga dijatuhi hukuman hari ini. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_02/11-rakyat-Britain-dipenjara-kerana-rancang-serangan-bom#ixzz2RftNEkwC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Militan Kashmir bunuh 4 polis India



SRINAGAR, India 27 April - Militan Kashmir membunuh empat anggota polis India yang melakukan rondaan dalam satu serang hendap di bandar Sopore di wilayah Kashmir yang ditadbir India semalam.
Seorang pegawai kanan polis, Supritendan Imtiyaz Hussain berkata, kesemua anggota itu baru sahaja turun daripada kenderaan mereka bagi menjalankan rutin rondaan di kampung Hygam apabila mereka diserang lelaki bersenjata.
"Empat anggota kami terbunuh dalam serang hendap oleh kumpulan militan," katanya yang menambah, operasi menjejaki penyerang sedang dilakukan. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_03/Militan-Kashmir-bunuh-4-polis-India#ixzz2Rft98GRv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perkahwinan gay: Rusia semak perjanjian ambil anak angkat



MOSCOW 27 April - Rusia semalam memberi amaran bahawa mereka boleh mengubah perjanjian pengambilan anak angkat membabitkan kanak-kanak dari negara ini oleh Perancis dan beberapa negara Barat yang menghalalkan perkahwinan gay.
"Saya menganggap adalah betul untuk membuat perubahan ke atas dokumen-dokumen yang bersesuaian. Ia merupakan isu terkini dan kami perlu memikirkan tentangnya," kata Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam satu mesyuarat bersama ahli Parlimen.
"Kami perlu bertindak balas terhadap apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kami menghormati rakan-rakan kami tetapi meminta mereka menghormati tradisi kebudayaan dan etika serta norma-norma moral dan undang-undang Rusia," kata Putin yang dipetik agensi berita negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_04/Perkahwinan-gay-Rusia-semak-perjanjian-ambil-anak-angkat#ixzz2RfszkQST
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendakwa raya Bosnia sahkan Presiden Budimir ditahan



BELGRADE 27 April - Pegawai pendakwa raya Bosnia mengesahkan penahanan Presiden satu daripada wilayah autonomi di negara ini atas tuduhan rasuah semalam.
Zivko Budimir, Presiden Persekutuan Bosnia Herzegovina merupakan seorang suspek dalam kes rasuah, kata pendakwa raya itu.
Media tempatan membuat spekulasi bahawa Zivko merupakan seorang suspek yang menerima wang bagi memaafkan banduan yang disabitkan atas kesalahan tertentu. - DPA


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_06/Pendakwa-raya-Bosnia-sahkan-Presiden-Budimir-ditahan#ixzz2RfsW0E80
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3,000 pemberontak Sudan Selatan serah diri



JUBA 27 April - Kira-kira 3,000 pemberontak di Sudan Selatan menyerah diri semalam selepas mendapat pengampunan Presiden negara ini, kata jurucakap Unity, sebuah negeri mengeluarkan minyak yang bersempadan dengan Sudan.
Sekurang-kurangnya 100 buah trak menyeberangi sempadan dari Sudan ke negeri Unity di Sudan Selatan semalam ekoran satu dekri daripada Presiden yang memberikan pengampunan kepada enam komander pemberontak dan tentera mereka kelmarin.
"Mereka datang dari Khartoum dan terdapat kira-kira 3,000 daripada mereka yang kebanyakannya militia yang menentang Sudan Selatan," kata jurucakap negeri Unity, Joseph Arop Malual. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_07/3000-pemberontak-Sudan-Selatan-serah-diri#ixzz2RfsNrFS6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis Bangladesh tahan dua pengurus kilang



DHAKA 27 April - Polis Bangladesh hari menahan dua pengurus kilang berhubung insiden bangunan runtuh ketika angka korban meningkat kepada 332 orang.
Berita penahan itu dibuat selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina berikrar untuk memburu dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.
"Kami telah menahan Pengerusi, Bazlus Samad dan Pengarah Urusan, Mahmudur Rahaman Tapash yang kedua-duanya dari New Wave Buttons and New Wave Style," kata Timbalan Polis Dhaka, Shyaml Mukherjee.
Pasukan penyelamat dalam pada itu memberi amaran operasi mencari semakin sukar ketika masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan Rana Plaza di pinggir Dhaka itu. - AFP


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130427/lu_12/Polis-Bangladesh-tahan-dua-pengurus-kilang#ixzz2RfsBwIar
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kereta anak Exco Selangor dibakar



NURULFATIHA MUAH
27 April 2013
Kereta anak Dr Xavier dibakar
Ford Fiesta milik Sangetha musnah dipercayai akibat perbuatan khianat.
Sangetha Jeyakumar
Sangetha Jeyakumar
KLANG - Kereta milik anak perempuan calon PKR Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar musnah dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di rumahnya, di Taman Klang Jaya, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Sangetha Jeyakumar, 30, berkata, kejadian disedari jirannya apabila melihat dua lelaki memanjat tembok masuk ke pekarangan rumahnya sebelum memecahkan cermin kereta dan melempar tong petrol serta membakarnya.

Katanya, beliau tiada di rumah dan ada di Bilik Gerakan Dun Seri Andalas ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, manakala suami dan anak lelakinya sedang tidur.

“Jiran menjerit minta bantuan dan suami terjaga lalu menelefon saya. Sampai ke rumah api sudah dipadamkan bomba dan polis. Ford Fiesta saya dibakar tahap ‘total loss’.

“Jiran saya turut diugut simbah petrol ketika cuba bantu tapi tidak berjaya selepas rumah saya dikerumuni jiran lain,” katanya.

Sangetha yang juga Setiausaha AMK Cabang Kota Raja berkata, beliau kerugian hampir RM85,000 namun dokumen penting untuk pilihan raya yang diletakkan dalam bonet kereta terselamat.

“Keluarga saya trauma tetapi ia tidak akan membakar semangat kami untuk memperjuangkan dasar Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau mendakwa insiden itu hampir mencetuskan pergaduhan apabila terdapat kira-kira 100 pemuda memakai baju berlogo Barisan Nasional (BN) membuat provokasi di hadapan rumahnya selepas api dipadamkan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis menahan empat lelaki disyaki ada kaitan dengan kes.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan semua suspek, sebelum menahan mereka pada jam 5 pagi semalam.

"Kita turut rampas dua tong minyak, sebilah parang serta satu pemetik api dalam kereta Kia Sephia berwarna perak milik suspek," katanya.

Mohamad berkata, semua suspek sebenarnya tidak berpuas hati dengan individu lain yang mengganggu adik perempuan seorang daripada mereka.

"Namun mereka tersilap rumah dan melakukan serangan ke atas orang lain (mangsa)," katanya.

Mohamad berkata, polis percaya motif serangan tiada kaitan dengan isu politik.

Anak terbabit nahas ketika dalam perjalanan ambil ubat ibu



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 April 2013
kemalangan
Kenderaan mangsa remuk akibat rempuhan itu.
BANDAR TUN RAZAK - Hasrat seorang anak untuk mengambil ubat darah tinggi ibunya di Hospital Muadzam Shah tidak kesampaian, apabila maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 116.7 Jalan Kuantan-Segamat, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Ridhwan Mahat, 25, berasal dari Felda Keratong 1, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian jam 2.30 itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori membawa muatan tembikai dari arah Kuantan ke Segamat.

“Mangsa dari Keratong dipercayai ingin menuju ke Muadzam Shah tidak sempat mengelak sebuah lori yang dipercayai masuk ke laluannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, difahamkan lori terbabit terpaksa melintas jalan untuk memberhentikan kenderaan di tebing bukit di sebelah bahu kanan jalan bertentangan akibat kegagalan sistem brek berfungsi.

Katanya, belum sempat lori itu sampai ke tebing, kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Segamat tidak sempat mengelak lalu terus merempuh lori tersebut menyebabkan kedua-kedua kenderaan terseret hingga ke tebing bukit.

“Operasi mengeluarkan mayat mangsa oleh anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah berdepan kesukaran berikutan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Mayat hanya berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian dan dihantar ke Hospital
Muadzam Shah untuk bedah siasat," katanya.

Kakak mangsa, Zuraidah Mahat, 40, berkata, kebiasaannya arwah akan membawa ibunya, Kalsom Ahmad, 65, mengambil ubat di Hospital Muadzam Shah setiap bulan.

Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian, difahamkan adiknya tidak membawa ibu mereka ke hospital kerana kesihatannya tidak mengizinkan disebabkan penyakit strok dihidapinya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu adik ketujuh daripada lapan beradik itu ketika kesemua ahli keluarganya datang ke rumahnya di Johor Bahru, Ahad lalu.

“Arwah adalah satu-satunya harapan kami untuk menjaga emak di kampung dan tak sangka pula dia pergi meninggalkan kami dalam keadaan menyedihkan, tetapi saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Keratong 1, jam 10 malam kelmarin.

Pensyarah dituduh salah guna kuasa



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 April 2013
Pensyarah dituduh salah guna kuasa
Mohamad Nasir (dua, kanan) dibawa ke mahkamah sesyen atas 27 pertuduhan salah guna kuasa.
GEORGETOWN - Seorang pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas 27 tuduhan menyalah guna kuasa untuk mendapatkan suapan RM141,000 dengan memilih syarikat milik adiknya, di pejabat Desasiswa Saujana, universiti tersebut.

Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim, 42, yang menjawat jawatan Profesor Madya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Lelaki itu didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu penggawa Desasiswa Saujana, USM, telah menggunakan jawatannya untuk melakukan kesalahan menerima suapan dengan memilih syarikat Arena Mulia Enterprise untuk membekal dan memasang barang keperluan asrama Desasiswa USM.

Bapa kepada tiga anak itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara November 2009 hingga Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM40,000.

Bagaimanapun, selepas rayuan Mohamad Nasir, Zulhazmi membenarkan lelaki itu diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes 28 Mei.

AJK Veteran Umno maut nahas



NORIZZAH BAHARUDIN
27 April 2013
AJK Veteran Umno maut nahas
Seorang penduduk menunjukkan lokasi mangsa dan suaminya dirempuh motosikal. Gambar kecil: Awa Ali
ALOR GAJAH - Seorang Ahli Jawatankuasa Veteran Umno wanita maut selepas dirempuh motosikal di Jalan Kampung Panchor, Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, Awa Ali, 62, bersama suami, Adam Khamis, 65, sedang melintas jalan untuk menghadiri ceramah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sebuah taman sebelum dirempuh motosikal ditunggang seorang lelaki lingkungan usia 20-an.

Difahamkan, mangsa dan suami yang sudah melintas separuh jalan dirempuh motosikal berkenaan mengakibatkan mangsa tercampak dan terseret manakala suaminya melambung ke tengah jalan.

Menurut Adam, dia meletakkan kenderaan di kiri jalan sebelum melintas seiring dengan isterinya, malah menyedari kehadiran motosikal ditunggang lelaki berkenaan dari arah Durian Tunggal.

“Arwah minta saya jalan lebih cepat, namun motosikal tadi terus rempuh kami sehingga tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Adam berkata, dalam keadaan kakinya yang sakit, dia segera menerpa ke arah isterinya yang tersembam atas jalan lalu memangku atas riba.

“Saya panggil nama arwah berulang kali namun tiada perkataan lain yang keluar dari mulut arwah selain ‘sakit..sakit...’ Saya lihat penunggang motosikal tadi juga terjatuh dari motosikal,” katanya.

Adam yang juga bilal Masjid Kampung Panchor berkata, dalam keadaan panik dia dan arwah dibantu orang awam yang menghadiri ceramah berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah.

“Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam semalam,” katanya.

Allahyarham Awa juga merupakan bekas Ketua Penerangan BN Bahagian Selandar dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Umno kawasan Panchor, Durian Tunggal, selama 24 tahun sebelum terlibat dalam Persatuan Veteran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dilanggar motosikal yang cuba mengelak sebuah kereta membelok masuk ke taman itu.

“Kereta terbabit sehala dengan motosikal itu  dari arah Durian Tunggal membelok masuk ke taman terbabit menyebabkan motosikal tadi cuba mengelak namun terlanggar mangsa dan suami yang melintas.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam sementara suaminya patah rusuk kiri.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan dirawat di Hospital Melaka. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dinding masjid diconteng perkataan kesat kutuk parti politik



MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
27 April 2013
Dinding Masjid diconteng perkataan kesat kutuk parti politik
Mohd Basri (dua, kiri) bersama jemaah masjid menunjukkan perkataan kesat ditulis di dinding beranda masjid.
BANDAR TUN RAZAK - Jemaah Masjid Assyakirin Felda Keratong 5 yang ingin menunaikan solat Subuh gempar apabila dinding beranda masjid itu diconteng dengan tulisan tidak sepatutnya menggunakan penyembur cat berwarna merah, semalam.
Calon Pas Dun Bukit Ibam, Syukri Ahmad berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan pihak yang ‘taasub’ berpolitik hingga sanggup mencemar kesucian Islam.
Menurutnya, perbuatan itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati masjid yang menjadi tempat umat Islam menunaikan solat, menuntut ilmu dan mengeratkan perpaduan.
“Kami mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan pihak yang mungkin ekstrem politik hingga lupa masjid adalah rumah ALLAH SWT yang perlu dimuliakan,” katanya.
Syukri berkata, perkara itu dianggap serius memandangkan masjid bukanlah ‘gelanggang’ untuk mana-mana pihak meluahkan perasaan tidak puas hati.

“Kita sepatutnya menghormati sistem demokrasi sedang berjalan, tetapi biarlah dengan cara yang betul dan bukannya bertindak dengan fikiran tidak waras hingga menyebabkan kita tidak menghormati rumah ibadah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pas diketuai Ketua Penerangan Kawasan Rompin, Suhaimi Ahmad membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Razak pada jam 11 pagi semalam.

“Bagi melahirkan perasaan kesal, kami turut mengajak jemaah masjid menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat supaya diberikan petunjuk kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Pengerusi Masjid Keratong 5, Mohd Basri Abd Rahim pula berkata, semua jawatankuasa masjid tanpa mengira fahaman politik mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut sambil menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, jawatankuasa masjid juga melarang dan tidak membenarkan sama sekali mana-mana pihak untuk berpolitik di dalam masjid.
“Kami kesal dengan perbuatan tersebut dan meminta polis menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam," katanya.

Sinar Harian 19 April lalu melaporkan, seramai 20 ahli Pas membuat laporan polis di Bandar Tun Razak selepas bendera parti itu dipatahkan dan diconteng dengan pelbagai lakaran menggunakan cat berwarna hitam di sekitar Bandar Tun Razak, Keratong 3 dan Keratong 5.
Bagaimanapun, keesokannya, Barisan Nasional (BN) pula tampil membuat laporan sama apabila mendakwa dua bendera parti itu turut dibakar.
Perbuatan khianat itu mendorong kira-kira 50 pengundi muda BN diketuai Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Keratong 5, Yahya Darus membuat laporan di balai polis sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, polis sudah menyiasat kes itu dan mengklasifikasikan ia sebagai perbuatan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Lelaki mati ditembak



HASNIZA HUSSAIN
27 April 2013
 Datuk Ku Chin Wah
Datuk Ku Chin Wah
SHAH ALAM - Seorang pemilik kedai gunting rambut maut, manakala ibunya cedera selepas ditembak 10 das oleh dua lelaki bermotosikal di bulatan Taman Billion, Cheras, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa R Karikaalan, 29, serta ibunya berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah mereka di Taman Puchong Hartamas.

Bagaimanapun katanya, ketika mangsa yang memandu kereta Nissan Livina berhenti di lampu isyarat, datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh serta berwarna hitam.

"Kedua-dua lelaki itu terus melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa dan ibunya, dipercayai dengan menggunakan senjata api jenis semi automatik.

"Dua daripada tembakan itu mengenai badan mangsa, manakala dua lagi mengenai lengan kanan ibunya," katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan, sebelum disahkan mati.

Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan dendam dan dipercayai ada kaitan dengan pergaduhan kumpulan di Puchong, Subang Jaya, sebelum ini.

"Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu sedang dijalankan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Rakan Cop Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 bagi membantu siasatan.

Maut ditembak tepat di leher



AHMAD ISMADI ISMAIL
27 April 2013
Maut ditembak tepat di leher
Ahli keluarga Allahyarham ketika menunggu di luar bilik mayat di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Maut ditembak tepat di leher
Ilustrasi kejadian tembak Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim.
Shaharuddin Ibrahim
Shaharuddin Ibrahim. - Foto Ihsan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabatnya di Putrajaya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa parah selepas salah seorang daripada suspek yang merupakan pembonceng motosikal melepaskan tiga das tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang, ketika keretanya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa dikejarkan pemandunya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.

"Penjenayah dipercayai menggunakan pistol jenis automatik berikutan tembakan tepat mengenai leher mangsa," katanya.

“Kami masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.

“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat.

Roslan berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Ahad lalu dan mereka berbual sambil minum bersama.

“Allahyarham mempunyai lima anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban,” katanya.


KRONOLOGI

7.55 pagi – Kereta Nissan Murano dinaiki Datuk Shaharuddin Ibrahim bergerak dari rumahnya
di Kondominium Intan, Dengkil untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

8.15 pagi – Kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan ke Presint 2, Putrajaya. Seorang pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang. Pemandu terus bawa mangsa ke Hospital Putrajaya.

9.20 pagi - Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 20, Putrajaya.

Polis nafi lelaki mati ditembak berkait kematian TKP Kastam




27 April 2013
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menafikan beberapa berita di Internet yang mendakwa seorang lelaki ditembak mati berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya semalam.
  
Berikutan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tentang motif pembunuhan itu kerana ia masih dalam siasatan polis.
 
"Berita yang mengatakan suspek kejadian telah berjaya dikesan dan ditembak mati manakala rakannya berjaya melarikan diri adalah tidak benar sama sekali," katanya dalamn kenyataan akhbar yang disiarkan di laman Facebook Polis Kuala Lumpur hari ini.
   
Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan, kira-kira 8.15 pagi.
  
Mohmad berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi DSP Hamzah Buman (ketua bahagian siasatan jenayah IPD Putrajaya) di talian 012-2342122, ASP Irwan Saimi (pegawai penyiasat kanan IPD Puyrajaya) di 019-6007772.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Supt Yahya Abd.Rahman (pegawai turus siasatan khas D9 IPKKL) di talian 019-4708946 dan ASP Ng Man Fatt (ASP D9 IPKKL) di talian 012-2348802," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi Bernama berkata siasatan masih dijalankan.
  
"Setakat ini tiada tangkapan dibuat," katanya sambil menafikan insiden berkenaan ada kaitan dengan satu lagi kes tembak yang berlaku di Taman Billion Cheras, semalam.
  
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, R. Karikaalan, 29, yang dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Puchong Hartamas maut ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dia yang menaiki kereta Nissan Livina berwarna hitam berhenti di lampu isyarat di Bulatan Taman Billion.  - Bernama

Rangka manusia dalam kereta terbakar



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 April 2013
Rangka manusia dalam kereta terbakar
Rangka manusia yang ditemui dalam sebuah kereta terbakar di Jalan Gambut, Olak Lempit, petang kelmarin.
KUALA LANGAT - Sepasang suami isteri terkejut apabila menemui mayat rentung dalam sebuah kereta yang terbakar, dalam sebuah ladang kelapa sawit tidak jauh dari rumah mereka, di Jalan Sri Gambut, Olak Lempit,  kelmarin.

Mayat ditemui kira-kira jam 6.15 petang, ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum melihat sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di lokasi kejadian.

Seorang penduduk enggan dikenali berkata, dia tidak sangka kepulan asap tebal dari arah sebuah kebun, di sini, rupanya kenderaan yang sedang terbakar dan tambah mengejutkan terdapat rangka manusia di bahagian pemandu.

Menurutnya, semasa cuba mendekati kenderaan terbabit, dia nyaris terkena serpihan besi akibat letupan yang berlaku sejurus api marak.

“Ketika kejadian tiada aktiviti mencurigakan berlaku termasuk tiada suspek yang dilihat berada di kawasan tersebut.

“Saya segera telefon pihak polis minta mereka datang ke tempat kejadian,” katanya.

Tinjauan forensik mendapati, terdapat empat tin berhampiran kenderaan itu dipercayai bahan mudah terbakar, selain satu botol kaca berwarna coklat.

Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang aktiviti jenayah berlaku berikutan tiada senjata ditemui dalam kenderaan terbabit dan di kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan penemuan mayat rentung dalam sebuah kenderaan di ladang berkenaan.

Katanya, buat masa ini, jantina mayat masih belum diketahui berikutan keadaannya yang terbakar 80 peratus dan pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat.

“Polis masih menyiasat kejadian dan meminta Unit Forensik dan Unit Anjing (K9) membantu siasatan.

“Berikutan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

300 korban runtuhan kilang tekstil




27 April 2013
300 korban runtuhan kilang tekstil
Keadaan Plaza Rana yang ranap akibat runtuhan.
300 korban runtuhan kilang tekstil
Ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan selepas anak perempuannya maut dalam runtuhan itu.
SAVAR - Operasi mencari dan menyelamat mangsa hidup yang masih terperangkap di bawah runtuhan kilang pakaian di Savar, pinggir Dhaka, Bangladesh, diteruskan selepas angka korban mencecah 300 orang, semalam.

Menurut pegawai, Jeneral Mohammed Siddiqul Alam Shikder, seramai 3,122 pekerja  berada di dalam premis berkenaan sebelum runtuhan berlaku.

"Pasukan mencari dan menyelamat yang turut dibantu para sukarelawan berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 2,000 mangsa manakala hampir 300 mayat ditemui di bawah runtuhan konkrit," katanya dipetik dari laporan Al-Jazeera.

Menteri Kerajaan Tempatan, Jahangir Kabir Nanak memberitahu, insiden itu berlaku selepas tingkat empat bangunan Plaza Rana itu runtuh secara tiba-tiba.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, pengusaha kilang telah dimaklumkan mengenai kesan retakan pada bangunan tersebut tetapi, mereka masih enggan mengosongkan premis.

Runtuhan itu adalah insiden ketiga dalam tempoh lima bulan, sekali gus bakal merosakkan reputasi negara itu sebagai pengeluar tekstil kedua terbesar dunia. 

Wanita diculik along sempat SMS suami


 
Johor Bahru: Tindakan pantas seorang suri rumah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suami menyelamatkannya daripada dilarikan along.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata polis juga berjaya menahan penjenayah terbabit.
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, wanita berusia lingkungan 30-an itu didatangi empat lelaki dipercayai along menuntut hutang suaminya di Kampung Suria Muafakat, di sini.

Ugut bawa lari ke KL

Mereka juga meminta mangsa membayar sekurang-kurangnya RM500 dan jika gagal, dia akan dibawa ke Kuala Lumpur, katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Zainuddin berkata, akibat gagal menjelaskan bayaran itu, kumpulan terbabit memaksa wanita berkenaan masuk ke dalam sebuah kereta.

Bagaimanapun, wanita itu sempat menghantar SMS kepada suaminya termasuk memaklumkan jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya. Suami mangsa yang bekerja di Larkin segera menghubungi polis.
Polis berjaya mengesan kereta suspek di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah di sini,jam 6.45 petang, katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di lokap IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Polis menemui beberapa senjata seperti kayu panjang, dua rotan dan satu buku lima dalam kereta suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan kekerasan ketika menuntut hutang, katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 384 kerana menculik dan melakukan ugutan serta pemerasan.

Tiga lelaki direman empat hari

Tiga lelaki direman empat hari
Tiga lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret di Nibong Tebal, semalam bagi membantu siasatan kes letupan di belakang pentas bilik gerakan BN Nibong Tebal. Nibong Tebal: Polis mendapatkan perintah reman empat hari bermula semalam ke atas tiga lelaki bagi membantu siasatan kes letupan di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal di Taman Jawi Jaya, Selasa lalu.

Lelaki terbabit berusia 25 tahun hingga 41 tahun, tiba di pekarangan mahkamah dengan van polis kira-kira jam 2.45 petang, sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Siti Salwa Jaafar.


Ada rekod jenayah

Lelaki terbabit, masing-masing ditahan di Georgetown, Bukit Mertajam dan di sini, Rabu lalu dan kelmarin, hasil risikan dan keterangan saksi.

Seorang daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes bahan letupan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian pada jam 10.15 malam Selasa lalu, seorang petugas keselamatan BN menerima tujuh jahitan di betis kanan selepas terkena serpihan objek dalam kejadian letupan di belakang pentas ketika ceramah perdana sedang berlangsung.

Kejadian itu berlaku ketika Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 2,000 orang.

Siasatan polis mendapati letupan berpunca daripada bom buatan sendiri jenis alat letupan rekaan (IED) dan ia dilakukan oleh pihak yang mahir mengendalikan bahan letupan. 

Ditembak ketika bersama ibu

Ditembak ketika bersama ibu
Anggota forensik polis melakukan siasatan bagi mencari bahan bukti kejadian tembakan di bulatan Taman Billion, Cheras. Kuala Lumpur: Seorang tukang gunting rambut maut selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal ketika berada dalam kereta bersama ibunya di Taman Billion, Cheras, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Karikaalan Rajakuru, 29, dari Taman Puchong Hartamas, Puchong, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dihampiri suspek ketika berhenti di lampu isyarat bulatan Taman Billion.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang berhenti di sebelah kanan kereta jenis Nissan Grand Livina milik mangsa melepaskan antara lapan hingga 10 das tembakan di cermin sisi hadapan bahagian pemandu.


Dua das kena dada

Hasil pemeriksaan, dua das tembakan mengena dada dan kepala Karikaalan manakala dua das mengena kaki ibu mangsa yang duduk di sebelahnya.

Siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan pistol semi-auto berikutan penemuan peluru 9mm dalam kereta mangsa dan kawasan berhampiran, katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, mangsa yang dikejarkan ke hospital oleh orang awam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari manakala ibunya yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) .
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat nombor pendaftaran, jenis dan warna motosikal dinaiki suspek, menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

38 terbunuh hospital terbakar



Moscow: Kebakaran yang berlaku di sebuah hospital psikiatri di luar ibu negara Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 38 orang ketika kebanyakan mangsa sedang tidur.

Pegawai Kementerian Kesihatan berkata, hospital satu tingkat itu menempatkan pesakit yang mengalami masalah mental teruk.
Pegawai Kementerian Kecemasan memberitahu agensi berita Itar-TASS, ada dua jalan menyelamatkan diri dari hospital berkenaan.

Lintar pintas punca kebakaran

Pegawai Jawatankuasa Siasatan Russia berkata, mereka meneliti faktor tidak mematuhi peraturan kebakaran dan litar pintas sebagai punca kebakaran hospital di Ramenskoye, pagi semalam.

Menjelang pagi semalam, penyiasat menyenaraikan 38 orang 36 pesakit dan dua doktor sebagai mangsa yang maut.

Cuma seorang jururawat dan dua pesakit berjaya menyelamatkan diri, menurut Kementerian Kesihatan.
Perkhidmatan kecemasan juga menyiarkan senarai pesakit menunjukkan mereka dalam lingkungan usia daripada 20 hingga 76 tahun.

Belovoshin juga berkata, pasukan bomba mengambil masa sejam untuk tiba di hospital berikutan panggilan kecemasan kerana feri untuk menyeberangi terusan ditutup dan pasukan bomba terpaksa mengambil jalan jauh.

Gabenor Moscow, Andrei Vorobyev, memberitahu televisyen penggera kebakaran berfungsi tetapi api merebak pantas.

Jurucakap Jawatankuasa Siasatan memberitahu agensi berita Russia kebanyakan mangsa yang maut berada di katil masing-masing dan tidak cuba menyelamatkan diri.

Kebakaran perkara biasa di Russia kerana kegagalan mematuhi peraturan keselamatan.
AP

Rampasan dadah dipercayai motif pembunuhan

Foto
ISTERI Datuk Shaharudin Ibrahim (gambar kecil), Rahimah bersama anak, Mohd Akhtar menyiram air mawar selepas pengkebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail


   
Foto
Lakaran kenderaan mangsa ditembak ditempat kejadian.
 

Foto
KESAN tembakan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut akibat terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

ISTERI Datuk Shaharudin Ibrahim (gambar kecil), Rahimah bersama anak, Mohd Akhtar menyiram air mawar selepas pengkebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail


KESAN tembakan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut akibat terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Pekastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di sini, jam 8.15 pagi semalam.

Mangsa yang duduk di bahagian depan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di sini.
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa yang dibawa pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa yang cedera parah di leher dan kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) jam 9.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik melihat mangsa cedera parah ditembak, pemandunya membawanya terus ke Unit Kecemasan HPJ tetapi disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Chin Wah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah anaknya di Dengkil menuju ke pejabat beliau di Putrajaya.

Beliau berkata, siasatan mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik dan polis masih menyiasat punca dan motif sebenar kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasat.
Sementara itu, sumber memberitahu BH, pembunuhan Shaharuddin dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes rampasan dadah oleh KDRM sejak awal tahun ini antaranya 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India pada 15 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang disifatkan pegawai yang jujur, amanah dan beretika dianggap ancaman besar oleh sindiket penyeludupan bahan larangan ke negara ini.

Menurutnya, sebaik mengetuai Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) import/eksport dalam Perkhidmatan Teknik (PERTEK), Shaharuddin menerima pelbagai ancaman termasuk ugutan bunuh.

“Berikutan penguatkuasaan undang-undang yang begitu ketat, kumpulan atau sindiket tempatan dan antarabangsa yang menyeludup dadah, rokok, mercun, minuman keras dan senjata api mulai berasa terancam.

“Bukan hanya ancaman daripada sindiket, kumpulan yang cuba menyeludup masuk barang yang tidak diisytiharkan atau lari dari cukai turut mengancam nyawa setiap kakitangan KDRM,” katanya semalam.

Sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah KDRM pada 18 Ogos 2011, Allahyarham yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan adalah Pengarah KDRM Kelantan.

Pondok Ustaz Bakar hangus




 
Baling: Lebih 90 pelajar Madrasah Nurul Islah atau lebih dikenali Pondok Ustaz Bakar di Parit Panjang, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas premis terbabit musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 15 pondok yang menjadi kediaman pelajar madrasah itu hangus dalam kebakaran yang dipercayai ber-punca daripada lampu minyak tanah digunakan pelajar.
Ketika kejadian, semua pelajar berada di surau kerana menghadiri majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib, jam 8.15 malam.

Ambil wuduk

Kejadian disedari seorang pelajar yang kebetulan terpandang api sedang marak di sebuah pondok ketika keluar mengambil wuduk dan memaklumkannya kepada pihak pengurusan madrasah.

Pengetua madrasah, Mohamad Fadhil Abd Hamid, 34, mengakui api marak dari pondok yang didiami pelajar berusia 13 hingga 18 tahun.

Kami tidak sempat menghabiskan bacaan Yasin lalu bergegas turun untuk memadamkan api menggunakan air paip dan kolah, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.
Keadaan juga kelam-kabut kerana kebakaran itu berlaku pada waktu malam. Kami bimbang berlaku kemalangan terutama kepada pelajar, tetapi syukur semuanya selamat walaupun pondok kediaman banyak yang musnah, katanya.

Mohamad Fadhil berkata, 90 pelajar lelaki yang menuntut ilmu agama di madrasah itu dibuka sejak 45 tahun lalu dan tempat tinggal pelajar dibina menggunakan papan.

Tiga kali terbakar

Beliau berkata, ini kali ketiga pondok di madrasah itu terbakar, tetapi ini paling teruk.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Baling berkata, 13 anggota dengan dua jentera dari Baling dan Sik mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan api dan punca kejadian sedang disiasat.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya memberi bantuan tilam, selimut dan barangan makanan bagi meringankan bebanan mangsa.