Search This Blog

Friday, April 26, 2013

Temui ajal di simpang jalan



WARTAWAN SINAR HARIAN
26 April 2013
Temui ajal di simpang jalan
WAN MUHAMMAD SHAFIEE
FELDA KERTEH SATU – Seorang remaja tidak sempat sampai ke rumah selepas membeli ayam dipesan ibunya di kedai berdekatan, apabila dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van keselamatan di persimpangan jalan, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Mangsa, Wan Muhammad Shafiee Wan Ismail, 18, yang menunggang motosikal dari arah Paka menghala ke Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dalam perjalanan ke rumah dikatakan gagal mengelak sebuah van syarikat keselamatan yang cuba membelok masuk ke simpang.

Remaja terbabit kemudiannya merempuh van yang dalam perjalanan menghantar wang dari bank di AMBS ke Ketengah Jaya menyebabkan dia tercampak dan mengalami cedera parah di kepala serta badan.
Mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Menurut bapa mangsa, Wan Ismail Bakar, 66, anak lelakinya itu sebelum ini memperoleh 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

“Ketika berada di rumah, saya diberitahu seorang kenalan mengatakan anak saya kemalangan.

“Sampai di tempat kejadian, saya lihat dia kaku berlumuran darah,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kemalangan di kilometer 17 Jalan Paka-AMBS itu masih dalam siasatan.

Pemandu maut lori dirempuh lori lain




26 April 2013
KUANTAN - Seorang pemandu lori maut setelah lori yang dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah lori yang lain di Km59, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis semalam.
  
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata mangsa Azam Ishak, 30, berasal dari Felda Ciku, Gua Musang, Kelantan mati di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu.
  
Pemandu lori yang dikatakan merempuh lori mangsa, Mohd Sidek Yusof, 51, dari Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan turut parah di kepala dan badan dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lipis.
  
"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu Mohd Sidek yang dalam perjalanan menuju Kelantan, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori mangsa.
  
"Akibat pelanggaran itu lori Azam terbabas ke kanan jalan sebelum terbalik melanggar tebing, manakala lori Mohd Sidek terbalik di tepi jalan," katanya
kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata polis akan mengambil keterangan dari Mohd Sidek mengenai kejadian itu dalam masa terdekat memandangkan dia masih belum sedarkan diri.
  
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.  - Bernama

38 maut hospital psikiatri terbakar - Sinar Harian

38 maut hospital psikiatri terbakar - Sinar Harian: "MOSCOW - Sekurang-kurangnya 38 orang dikhuatiri maut dalam insiden sebuah hospital psikiatri di sini terbakar awal pagi semalam.

Kebakaran berlaku selepas jam 2 pagi waktu tempatan dan kebanyakan mangsa maut merupakan pesakit tempatan.

Menurut pegawai tempatan, punca kebakaran masih disiasat tetapi ia mungkin disebabkan litar pintas.

Menurut agensi berita tempatan, kebakaran berlaku di bangunan di mana ramai pesakit ditempatkan."

'via Blog this'

Pembunuhan Shaharuddin mungkin ada kaitan dengan tugas kastam



26 April 2013
Pembunuhan Shaharuddin mungkin ada kaitan dengan tugas kastam
Anggota polis memeriksa tempat kejadian Datuk Shaharuddin Ibrahim maut selepas ditembak di persimpangan trafik di Lebuh Wawasan dari Lebuh Sentosa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, di Putrajaya hari ini, mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.
  
Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.
  
"Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya," katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
  
Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
  
Timbalan ketua pengarah kastam itu ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.
  
Roslan berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada Ahad lepas dan mereka berbual sambil minum bersama.
  
"Allahyarham mempunyai dua orang anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban," katanya. - Bernama

Remaja cedera dipanah petir bersama 5 rakan




25 April 2013
BALING - Seorang remaja cedera apabila dia dan lima rakannya disambar petir dalam kejadian di sebuah gua di kaki Gunung Pulai berdekatan Kampung Tok Bandar di sini petang tadi.
  
Dalam kejadian pukul 4.30 petang di gua yang dikenali sebagai Gua Ular, Mohd Ashraf Yusof, 17, mengalami kecederaan di kepala sementara lima rakannya yang turut berada di situ kebas seluruh badan.
  
Ketika kejadian, enam remaja berkenaan berteduh di kawasan itu kerana hujan lebat dan petir. Lima daripada mereka termasuk Mohd Ashraf adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar di sini.
  
Lima lagi mangsa adalah Mohd Bukhari Ramli, 17, (bukan pelajar) Mohd Azri Ahmad, 17, Mohd Amin Azman, 15, dan Mohd Azam Md Nor, 16 serta adiknya Mohd Nizam, 13.
   
Mohd Bukhari berkata mereka duduk di atas tanah ketika disambar petir dan masing-masing kebas seluruh badan.

Salah seorang rakan kami melaungkan azan selepas petir kuat berlaku dan kami segera membantu Mohd Ashraf yang rebah dengan seluruh badannya mengeletar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari hari.
  
Mohd Ashraf pengsan selepas kejadian itu.
  
"Saya dan rakan lain berusaha membantu Mohd Ashraf dengan menarik badannya beberapa kali sebelum dia sedar," kata Mohd Azri.
 
Mereka memapah Mohd Ashraf pulang ke rumahnya yang sejauh 500 meter sebelum penduduk kampung menghantar mereka untuk mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling.  - Bernama

15 pondok Madrasah Nurul Islah di Baling musnah terbakar



26 April 2013
BALING - Lima belas pondok yang dijadikan kediaman pelajar Madrasah Nurul Islah, Kampung Parit Panjang di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian 8.15 malam itu, seorang pelajar berusia 16 tahun luka akibat terkena kayu ketika membantu rakannya menyelamatkan kitab-kitab pengajian mereka.
Mudir Madrasah Nurul Islah Mohd Fadhil Abd Hamid, 34, berkata sewaktu kejadian pelajar yang mendiami pondok yang terbakar bersama pelajar lain seramai 90 orang sedang membaca surah Yasin di surau madrasah itu.
"Seorang pelajar yang terbatal wuduknya turun dari surau (untuk mengambil wuduk) dan terpandang api sedang marak membakar beberapa buah pondok," katanya.
Beliau berkata 15 pondok tidak dapat diselamatkan tetapi tindakan cepat pelajar itu dapat membantu menyelamatkan pondok-pondok berdekatan daripada turut musnah.
"Kami terpaksa mengunakan getah paip untuk menyalurkan air bagi memadamkan kebakaran sementara menunggu anggota Bomba Dan Penyelamat sampai," katanya.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Sik dengan 14 anggota tiba untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Seorang pelajar yang pondoknya musnah, Mohd Shahmil Mohd Ridzuan, 17, berkata dia terpaksa mengingatkan rakan-rakan lain supaya tidak masuk ke kawasan api yang sedang marak.
"Walaupun kami gagal menyelamatkan banyak kitab yang berharga serta pakaian dan kad pengenalan namun kami semua bersyukur kerana tiada seorang pun rakan kami yang cedera teruk," katanya.
Madrasah Nurul Islah yang mempunyai pelajar dari seluruh negara diasaskan pada 1968 dan masih mengekalkan sistem pondok untuk pelajarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau kewangan bagi meringankan beban pengurusan madrasah ini boleh membuat sumbangan melalui akaun Pondok Nurul Islah 02048010050907 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau menghubungi Mohd Fadhil di talian 019-4616368.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Baling ketika dihubungi berkata punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

Kerana mulut badan binasa


ROSDALILAH ZAHARI
26 April 2013
Kerana mulut badan binasa
Mohd Shukri (kanan) pada sidang media di IPK Perak, semalam.
IPOH - Kerana mulut badan binasa. Itulah yang terjadi pada seorang peniaga warga emas apabila ditumbuk seorang lelaki ketika sedang menikmati sarapan di sebuah kedai makan di Pekan Kuala Kurau, pagi kelmarin.

Warga emas berusia 63 tahun itu dipercayai ditumbuk suspek selepas berlaku pertikaman lidah antara mereka berdua berkaitan politik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa sedang bersarapan seorang diri sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba membuat provokasi berhubung parti politik yang disokong mangsa.

“Pertengkaran itu berlaku beberapa minit sebelum suspek bertindak menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di pipi sebelah kiri.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Hadir sama, Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszely Minhad.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Gerik, sekumpulan empat lelaki dipercayai ahli sebuah parti datang ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Kampung Kerunai dan didakwa bertindak memarahi petugas yang berada di bilik berkenaan.

Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan sebuah poster yang digantung sekitar kawasan berkenaan.

“Mereka didakwa menyerang petugas berusia 26 tahun itu dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, polis berjaya meleraikan pertengkaran tersebut bagi mengelakkan perkara lebih buruk daripada berlaku,” ujarnya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri berkata, sebanyak 17 kes dilaporkan dan empat kertas siasatan dibuka serta 144 ceramah diadakan di seluruh negeri sehingga jam 4 petang semalam.

“Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 193 kes sejak pembubaran Parlimen pada 3 April lalu,” katanya.

Jual cucu dalam Facebook




26 April 2013
PUNJAB - Seorang datuk di sebuah perkampungan Punjab, India, bertindak menjual cucu yang baru tiga hari dilahirkan oleh anak perempuannya menerusi laman sosial Facebook.

Menurut pegawai, Firoz yang dipercayai memerlukan wang, sebelum itu memaklumkan kepada anaknya, bayi berkenaan meninggal dunia sejurus dilahirkan di sebuah hospital dekat sini, awal April.

Bayi lelaki yang belum dinamakan, dibeli oleh seorang ahli perniagaan di New Delhi pada harga Rs80,000 (RM45,231) melalui rundingan jual beli di laman Facebook.

Firoz dipercayai ditawarkan Rs 45,000 (RM2,576) oleh seorang jururawat hospital bersama rakan sindiket pemerdagangan kanak-kanak.

Bagaimanapun menurut petikan daripada MailOnline, tindakan Firoz terbongkar selepas ibu bayi berkenaan, Noora membuat laporan polis kerana meragui wang yang diperoleh bapanya sekali gus membongkar jenayah itu di India.

Mati ditembak dalam kereta



SYAMILAH ZULKIFLI
26 April 2013
Mati ditembak dalam kereta
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Mati ditembak dalam kereta
Seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa meraung ketika tiba di tempat kejadian.
SEREMBAN – Seorang lelaki sempat memandu kereta sejauh kira-kira 40 meter sebaik saja ditembak dari jarak dekat oleh suspek bermotosikal, sebelum dia meninggal dunia apabila kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, di sini apabila mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta jenis Proton Perdana sedang memandu sendirian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa dalam perjalanan menghala ke bandar Seremban, sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran kompleks JPJ itu.

“Berdasarkan maklumat seorang saksi, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam.

“Pembonceng motosikal itu kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah cuba memandu untuk melarikan diri, bagaimanapun kira-kira 40 meter dari tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, tembakan suspek mengenai kepala dan badan mangsa.

"Selepas menembak mangsa, suspek dipercayai melarikan diri ke arah Rahang, di sini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hamdan berkata, polis masih menyiasat motif serangan serta sedang mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan maklumat saksi.

Katanya, polis percaya masih ada saksi lain yang melihat kejadian itu kerana ia berlaku pada waktu orang sedang ramai.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di daerah ini bekerja sebagai orang tengah bagi membantu orang ramai berurusan dengan JPJ," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang masih menyiasat sama ada serangan itu berkaitan dengan beberapa kes tembakan berlaku di bandar ini baru-baru ini.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Besar Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat. Kita minta saksi tampil kerana apa sahaja maklumat diperolehi boleh membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggu bas tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Tapi tiba-tiba saya nampak kereta mangsa yang berhenti ditepi jalan didatangi sebuah motosikal.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi tiba-tiba saya dengar bunyi tembakan dan nampak motosikal itu bergerak laju meninggalkan tempat itu," katanya.

Timbalan KP Kastam ditembak mati







26 April 2013




Timbalan KP Kastam ditembak mati
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah (dua, kanan) ketika melawat tempat kejadian tembak Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama


Shaharuddin Ibrahim
Shaharuddin Ibrahim. - Foto Ihsan Jabatan Kastam Diraja Malaysia


PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
  
Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang tinggal di Dengkil, Selangor, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.
  
"Tembakan itu mengenai bahagian leher ke atas dan Shaharuddin dikejarkan ke Hospital Putrajaya oleh pemandunya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kejadian.
  
Ku berkata siasatan polis mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik.
  
Polis akan meneliti kesemua bahan bukti termasuk kamera litar tertutup di kawasan itu, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama



Tipu: 2 beradik mengaku tak bersalah



KUALA LUMPUR 25 April - Seorang pengarah syarikat perkhidmatan pembaikan dan adiknya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan menipu pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan melibatkan kerugian RM888,000, enam tahun lalu.
Ab. Rahim Ghalim, 55, selaku pengarah ARG Sdn. Bhd. didakwa menipu pegawai-pegawai dan kakitangan Cawangan Urusan Bil, Unit Pertahanan Ruang Udara di Kementerian Pertahanan Malaysia.
Dia dituduh memperdayakan mereka untuk mempercayai syarikatnya telah melaksanakan enam pesanan kerajaan berhubung khidmat pembaikan alat ganti peralatan tentera iaitu Guide Missile Launcher yang setiap satunya berjumlah RM148,000.
Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa-mangsa membuat pembayaran keseluruhan RM888,000 ke dalam akaun Affin Bank milik syarikatnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Cawangan Urusan Bil, Unit Pertahanan Ruang Udara Kementerian Pertahanan, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini pada 5 Mac 2007.
Dakwaan terhadap Ab. Rahim nya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
Sementara adik Ab. Rahim, Baharuddin Ghalim, 54, yang juga bekas pekerja syarikatnya didakwa atas enam pertuduhan bersubahat melakukan penipuan itu bersama abangnya pada tarikh dan tempat yang sama.
Baharuddin didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman yang sama jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurshuhaida Zainal Azahar memaklumkan mahkamah, pihak pendakwaan dan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Lias Mohd. Marzuki bersetuju dengan jumlah jaminan RM25,000 untuk kedua-dua tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan jumlah tersebut terhadap kedua-dua tertuduh bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan, mereka perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130426/ma_03/Tipu-2-beradik-mengaku-tak-bersalah#ixzz2RWTI5ZjP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat pengawal keselamatan dijumpai dalam longkang



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat seorang lelaki yang dijumpai mati di Ayer Keroh Heights, Melaka, semalam.
MELAKA 25 April - Mayat seorang pengawal dengan kesan kecederaan di kepala dan badan dijumpai tersangkut dalam longkang di kawasan perindustrian Ayer Keroh Heights di sini hari ini.
Mayat tersebut ditemukan kira-kira pukul 7.15 pagi dalam keadaan tertiarap di longgokan sampah dalam longkang berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supritendan R. Gunarajan berkata, mayat itu ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
"Siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan akibat dipukul, manakala status kerakyatan mangsa masih disiasat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Gunarajan, mangsa mati dalam tempoh kurang 24 jam dan mayatnya dipercayai dicampak ke dalam longkang tersebut.
Beliau berkata, polis meminta mana-mana majikan yang kehilangan pekerja supaya menghubungi balai polis berhampiran kerana kawasan kejadian terletak berdekatan dengan beberapa kilang.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang menemukan mayat mangsa, Adnan Omar, 46, memberitahu, dia tidak menyangka objek yang pada mulanya disangka patung adalah mayat manusia.
"Saya sedang menjalankan tugas pemeriksaan di kawasan sekitar apabila melihat satu objek seakan-akan patung dalam longkang tersebut.
"Apabila diteliti, barulah saya terkejut kerana objek yang ditemukan itu sebenarnya mayat seorang lelaki," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130426/je_05/Mayat-pengawal-keselamatan-dijumpai-dalam-longkang#ixzz2RWSuvIEH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemuda maut kereta rempuh tiang kedai



KUALA LUMPUR 25 April - Seorang pemuda terbunuh setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tiang bangunan kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini awal pagi ini.
Dalam kemalangan pukul 3.40 pagi itu, V. Kabillan, 28, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu dalam perjalanan menghala ke Dataran Merdeka.
"Kenderaan mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang kedai berkenaan.
"Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaan dan mati ditempat kejadian.
"Mayat mangsa telah dihantar Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130426/je_04/Pemuda-maut-kereta-rempuh-tiang-kedai#ixzz2RWSP2XwY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Runtuhan kilang di Bangladesh, 40 berjaya diselamatkan



DHAKA 26 April - Seramai 40 orang yang terperangkap dalam insiden runtuhan kilang kain di Bangladesh, berjaya diselamatkan pasukan penyelamat semalam.
Operasi mengeluarkan mangsa yang terselamat itu turut disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen tempatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_03/Runtuhan-kilang-di-Bangladesh-40-berjaya-diselamatkan#ixzz2RWQyPP00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

40 dikhuatiri terkorban dalam kebakaran di Liberia



MONROVIA 26 April - Kira-kira 40 orang termasuk dua anggota bomba dikhuatiri terbunuh selepas sebuah bangunan terbakar dan runtuh di ibu negara Liberia, di sini semalam.
Kebakaran itu berlaku di tengah Monrovia lewat malam semalam sebelum ia runtuh tidak lama kemudian.
Saksi kejadian berkata, beberapa orang dilihat masuk ke dalam bangunan untuk mencuri barang ketika kebakaran berlaku, namun mereka terperangkap di dalamnya apabila bangunan tersebut runtuh.
Setakat ini, lima mayat telah ditemui di bawah runtuhan bangunan dan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_02/40-dikhuatiri-terkorban-dalam-kebakaran-di-Liberia#ixzz2RWQl1v00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ayam dan itik punca jangkitan H7N9 di China - Saintis



PARIS 26 April - Satu kajian saintis China yang disiarkan dalam jurnal sains, The Lancet hari ini mengesahkan virus H7N9 berpunca daripada ayam dan itik.
Laporan tersebut disiar berdasarkan siasatan terhadap empat kes kematian yang berpunca daripada H7N9 di wilayah Zhejiang, China.
Kesemua mangsa disahkan terdedah kepada ayam dan itik yang dijangkiti virus itu.
Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut sama ada virus berkenaan boleh tersebar dalam kalangan manusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_01/Ayam-dan-itik-punca-jangkitan-H7N9-di-China---Saintis#ixzz2RWQT81xD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek mati ditembak selepas bunuh 5 mangsa

RICK ODELL SMITH


CHICAGO 26 April - Seorang lelaki mati ditembak pasukan polis selepas dipercayai membunuh lima orang di sebuah pekan kecil di Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Suspek pembunuhan tersebut, Rick Odell Smith, 43, mati selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Manchester, Illinois.
Pegawai polis Illinois, Leftenan Kolonel Todd Kilby berkata, mangsa yang terbunuh merupakan Joanne Sinclair, 65; Brittany Luark, 22; Roy Ralston; Nolan Ralston, 5, dan Bradley Ralston, 1.
Katanya, kesemua mangsa ditemui mati dalam sebuah rumah kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin dan pihak polis mendapat maklumat saksi beberapa jam kemudian yang mengatakan Smith memandu sebuah kereta putih dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan rumah terbabit.
"Beberapa anggota polis dikerah mengejar suspek dan berlaku kejadian tembak-menembak menyebabkan Smith mengalami kecederaan.
"Suspek meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," jelasnya.
Menurut Kilby, motif pembunuhan masih disiasat namun beberapa jiran memaklumkan, suspek mengalami tekanan perasaan ekoran berdepan kes mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya.
Seorang kanak-kanak perempuan, Kassidy Ralston, 6, turut dicederakan oleh Smith dilaporkan terselamat dan kini dirawat di hospital berdekatan.
Serangan terbaharu kelmarin berlaku hanya beberapa hari selepas kes pengeboman di Boston dan insiden letupan di sebuah kilang baja di Texas.
Kes pembunuhan terbabit meningkatkan kebimbangan orang awam di AS tentang tahap keselamatan berhubung isu penggunaan senjata api ekoran beberapa kes tembakan rambang berlaku di negara ini.
Antaranya insiden di Sekolah Rendah Sandy Hook, Newtown, pada Disember lalu yang mengakibatkan 27 maut termasuk kanak-kanak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_06/Suspek-mati-ditembak-selepas-bunuh-5-mangsa#ixzz2RWPW70yg 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik ingkar arahan pindah

Pemilik ingkar arahan pindah
Anggota penyelamat mencari mangsa di celah bangunan Plaza Rana di pinggir Dhaka yang runtuh, semalam. - Foto AP 

Dhaka: Pemilik kilang pakaian di kompleks lapan tingkat yang runtuh di pinggir ibu negara Bangladesh semalam, mengingkari arahan polis agar menjauhi bangunan terbabit berikutan retakan besar pada strukturnya.

Sebaliknya mereka membenarkan kira-kira 3,000 orang kebanyakannya wanita, memasuki bangunan itu dan meneruskan kerja sebelum kompleks terbabit runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 230 orang setakat ini manakala lebih 1,000 lagi cedera.
Kerajaan Bangladesh mengisytiharkan tempoh berkabung selama sehari berikutan kejadian itu, manakala bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang di semua pejabat kerajaan.


Merangkak cari mangsa

Beratus-ratus pekerja penyelamat dan penduduk tempatan bertungkus-lumus sepanjang hari, sebilangannya terpaksa merangkak di celah runtuhan untuk mencari mangsa yang masih hidup.

Pegawai jabatan bomba, Mizanur Rahman, berkata ramai pekerja masih terperangkap dan pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mereka masih hidup.

Harapan untuk menyelamatkan mereka semakin tipis dan jumlah yang terbunuh dijangka meningkat, katanya.
Seorang jurugambar Associated Press yang berada di tempat kejadian menemui seorang lelaki masih hidup tersepit di celah runtuhan dengan dua mayat di kiri dan kannya.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Mohammad Altab merayu pertolongan tetapi penyelamat tidak berjaya menariknya keluar.

Tolong selamatkan saya. Saya masih mahu hidup. Saya rasa amat sakit. Saya ada dua anak yang masih kecil, katanya.

Mangsa terselamat dari runtuhan berkata, mereka mendengar bunyi retakan kuat sebelum bangunan itu menyembah bumi hanya dalam tempoh beberapa saat.

Saya sedang bekerja di tingkat tiga apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat yang memekakkan telinga tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya segera berlari keluar dan sesuatu tiba-tiba terkena kepala saya, kata salah seorang pekerja, Zohra Begum yang sempat menyelamatkan diri.

3,122 sedang bekerja

Presiden Persatuan pengeluar dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA), Mohammad Atiqul Islam, berkata seramai 3,122 orang sedang bekerja di dalam kilang ketika kejadian.

Saya diberitahu, pihak berkuasa sudah memaklumkan mengenai kewujudan retakan besar di bangunan Plaza Rana terbabit sehari sebelum bangunan itu runtuh, katanya.

AP/Reuters

Tweet palsu penggodam

Tweet palsu penggodam
Foto akaun Twitter ‘60 Minutes’ menunjukkan bagaimana penggodam menyiarkan tweet palsu menyebabkan program itu digantung. - Foto AP 

San Francisco: Kewibawaan Twitter, media sosial yang digunakan berjuta-juta orang di seluruh dunia, kini diragui selepas diceroboh sekumpulan penggodam.

Selasa lalu, tindakan penggodam menyiarkan tweet palsu menggunakan akaun Associated Press (AP) menyebabkan bursa saham Dow Jones hilang 145 mata.
Media sosial dikritik


Ia berlaku seminggu selepas banyak media sosial termasuk Twitter dikritik kerana mengedarkan berita tidak benar mengenai identiti pengebom Maraton Boston.
Isu dari segi keselamatan itu diungkitkan selepas akaun AP itu digunakan untuk menyatakan beberapa letupan berlaku di Rumah Putih yang mencederakan Presiden Barack Obama.

Selain AP, akaun Twitter yang digodam termasuk Radio Awam Nasional, program 60 Minutes CBS dan Reuters News Tweet mengenai kecederaan Obama menyebabkan kerugian AS$136.5 bilion (RM410 bilion) bursa saham berkenaan.

Penyiaran mesej palsu semakin kerap. Ia menyebabkan kita makin khuatir. Pertubuhan media perlu desak Twitter pertingkat sistem keselamatan webnya, kata Robert Quigley, pensyarah kewartawanan mengenai media sosial di Universiti Texas.
Twitter enggan ulas

Twitter enggan memberi ulasan kepada laporan AP ini.

Meskipun agensi berita itu mendedahkan seorang pekerjanya mungkin secara tidak sengaja memberi kod laluan kepada penggodam, pakar menyalahkan Twitter kerana tidak melaksanakan teknik dua kali pengesahan.

Pendekatan itu diamalkan Google dan Microsoft bagi menyekat pencerobohan.
Profesor kewartawanan di Universiti Arizona State, Dan Gillmor, berkata kes godam itu menjejaskan laman web berita.
REUTERS

Dua laporan polis dibuat terhadap 'Milo Suam'



 
Kuala Lumpur: Dua laporan polis dibuat berhubung dakwaan laman blog Milo Suam kononnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundi lebih awal dari tarikh sepatutnya.

Laporan itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). JSJK membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, manakala SPR di Putrajaya.
Dakwaan fitnah

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dakwaan blog itu adalah satu bentuk fitnah kerana boleh menyebabkan orang awam berasa takut dan gentar untuk keluar mengundi pada PRU-13, 5 Mei ini.

Ingin ditegaskan di sini, bahawa proses undi pos dan pengundian awal adalah dua bentuk proses pengundian berbeza.

Undi pos membabitkan pegawai dan anggota yang bertugas jauh dari kawasan alamat kediaman mereka, manakala undi awal adalah untuk pegawai dan anggota yang akan bertugas ketika hari mengundi, katanya dalam taklimat PRU-13 di Bukit Aman, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan penulis blog itu menyebarkan maklumat dan berita tidak tepat selain tanpa pengesahan SPR atau PDRM seolah-olah mempunyai niat tidak baik untuk memburukkan proses demokrasi di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 274 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung pelbagai kesalahan ketika kempen PRU-13, sehingga kelmarin.

Mayat mangsa bunuh ditemui terapung



 
Ayer Keroh: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di sebatang sungai di kawasan perindustrian Ayer Keroh, di sini, semalam, dipercayai dibunuh sebelum dicampak di situ.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan P R Gunarajan, berkata siasatan awal mendapati individu itu dipercayai warga tempatan dan berusia lingkungan 40-an.
Katanya, kehadiran mayat itu disedari seorang pengawal keselamatan ketika sedang melakukan rondaan tidak jauh dari kawasan berkenaan pada jam 7.15 pagi sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada polis.

Mayat lengkap berpakaian

Ketika ditemui, mayat lelaki itu masih dalam keadaan lengkap berpakaian, selain mempunyai kesan kecederaan di kepala dan tangan kiri.

Mangsa disyaki dipukul dengan menggunakan objek tumpul. Dia dipercayai meninggal dunia kurang daripada 24 jam, sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap.

Kita tidak menolak kemungkinan dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.
Tiada dokumen pengenalan diri

Gunarajan berkata, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti identiti lelaki terbabit berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tak mengaku salah tipu pegawai pertahanan



 
Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat kontraktor dan bekas pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas enam pertuduhan menipu pegawai Kementerian Pertahanan berhubung pembaikan pelancar peluru berpandu, enam tahun lalu.

Tertuduh, Ab Rahim Ghalim, 55, Pengarah Syarikat RG Sdn Bhd meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norsharidah Awang.

Ab Rahim didakwa menipu pegawai dan kakitangan Cawangan Urusan Bil, Unit Pertahanan Ruang Udara untuk menyerahkan wang tunai RM888,000 bagi khidmat pembaikan enam pelancar peluru berpandu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kementerian Pertahanan Malaysia, Cawangan Urusan Bil, Unit Pertahanan Ruang Udara, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, pada 5 Mei 2007.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Baharuddin Ghalim, 54, didakwa atas enam pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen sama, yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Benar diikat jamin RM25,000
Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar, manakala peguam Mohd Lias Mohd Marzuki mewakili tertuduh

Polis buru empat remaja



 
Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi, memburu empat remaja termasuk seorang perempuan yang dipercayai melakukan ugutan menggunakan senjata api serta mencederakan anak seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pahang, di Jalan Changkat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, perselisihan faham bermula ketika kereta Proton Satria dipandu mangsa, Mohamad Noor Ikmal Ibrahim, 19, yang juga seorang pelajar jurusan pendidikan Universiti Selangor (UNISEL) bersama tiga rakannya terhimpit dengan kereta dinaiki suspek ketika keadaan jalan kawasan berkenaan sesak.

Tarik mangsa keluar

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata suspek dilaporkan menarik keluar mangsa dan seorang rakannya sebelum menampar, memijak dan menendang mangsa di kawasan berkenaan dengan disaksikan orang ramai.

Selepas mencederakan mangsa, suspek kembali ke kereta BMW berwarna hitam menggunakan nombor pendaftaran WTV5338 dan mengambil sepucuk pistol serta menghalakannya ke arah mangsa namun tidak melepaskan sebarang tembakan.

Suspek kemudiannya bertindak merempuh bahagian belakang kereta mangsa hingga mengakibatkan mangsa berasa takut dan memecut keretanya untuk menyelamatkan diri sebelum menyedari keretanya diekori suspek sejauh tiga kilometer dari tempat kejadian, katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, akibat bimbang dengan keselamatan mereka, mangsa dan rakannya yang turut mengalami kecederaan akibat dipukul suspek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.
Siasatan awal yang dijalankan mendapati nombor pendaftaran kereta dipandu suspek adalah nombor palsu selepas semakan polis mendapati nombor berkenaan didaftarkan ke atas sebuah kereta Proton Saga.

Siasat rakaman

Sehingga kini polis sedang menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi mengesan semua suspek mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 kanun yang sama atas kesalahan mendatangkan ugutan jenayah.

Saksi kejadian ini diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 atau Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi di talian 03-26002391.

'Runner' JPJ maut kena tiga tembakan

'Runner' JPJ maut kena tiga tembakan
Anggota forensik memeriksa mayat Ragunathan yang ditembak di luar pejabat JPJ Jalan Seremban-Tampin, semalam. - Foto Hazreen Mohamad Seremban: Seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah atau runner bagi mengendalikan pelbagai urusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Seremban-Tampin, di sini, maut ditembak dalam keretanya, semalam.

Dalam kejadian di luar kawasan pejabat JPJ itu, kira-kira jam 9.30 pagi, N Ragunathan, 39, dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal Yamaha 125Z sebelum pembonceng mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata dalam keadaan parah, mangsa cuba memandu untuk mendapatkan bantuan, namun terbabas kira-kira 40 meter dari tempat kejadian dan mati di situ.


Tembak kepala, badan

Siasatan mendapati suspek melepaskan tiga das tembakan yang terkena pada kepala dan badan mangsa, katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Hamdan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang ahli perniagaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini, 12 April lalu.

Modus operandi digunakan suspek dalam kedua-dua kejadian itu mempunyai persamaan dan dipercayai bermotifkan dendam.
Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya menerima laporan 130 kes pergaduhan membabitkan penyokong parti politik di negeri ini akibat perselisihan faham berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sejak 28 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, katanya polis membuka 46 kertas siasatan dan setakat ini sudah mendakwa tujuh lelaki di Mahkamah Majistret Seremban di sini, Selasa lalu, atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

Jenazah 3 beranak selamat dikebumi

Jenazah 3 beranak selamat dikebumi
Jenazah guru bersama dua anaknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mersing, semalam. - Foto Mohd Sah Muda Mersing: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Mersing, di sini, apabila jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan petang kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad, pagi semalam.

Jenazah guru, Abd Razak Pid, 44, bersama dua anak perempuannya, Adibah Taqqirah, 14 dan Afiqah Ihsanniah, 11, dikebumikan kira-kira jam 9 pagi, dalam suasana pilu dengan kehadiran sanak-saudara, guru, pelajar dan kenalan mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi, petang kelmarin, mangsa bersama dua anaknya itu terbunuh selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah trak tunda.


Seorang lagi anak mangsa, Alimul Helmi, 9, yang cedera parah kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru selepas dipindahkan dari Hospital Mersing.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di Masjid Taman Sri Mersing dengan kehadiran lebih 700 orang, termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu dan kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah serta penduduk setempat.

Reda dengan tragedi

Abang mangsa, Sadon Pid, 47, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menziarahi dan membantu sehingga jenazah adiknya dan dua anak saudaranya selamat dikebumikan.
Meskipun bersedih, keluarga kami reda dengan tragedi yang menimpa. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu sehingga jenazah selamat dikebumikan pagi ini (semalam), katanya.

Treler bergegar

Foto
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat pemandu van yang tersepit selepas terbabit dalam kemalangan.
Jasin: “Tiba-tiba treler yang saya pandu bergegar kuat dipercayai dirempuh dari belakang,” kata Mohd Fadil Isa, 38, pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van yang turut mengorbankan tiga lelaki di Kilometer 192.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu mengorbankan tiga lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Bosinmai, 45, Aditiawarman, 37, dan Poniman, 26.
Menurut Mohd Fadil, selepas berasa trelernya bergegar, dia memberhentikan kenderaannya sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian berikutan kawasan itu agak gelap.

“Ketika itu, saya bimbang muatan bahan kimia yang dibawa tumpah. Saya kemudian berhenti untuk melakukan pemeriksaan dan terkejut selepas mendapati belakang treler dilanggar kenderaan lain.


“Saya bersama seorang penunggang motosikal yang berhenti kemudian pergi ke arah van yang merempuh belakang treler saya itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

‘Bom jangka’ profesional

Foto
ABDUL Rahim (dua dari kiri) melihat tempat kejadian letupan di Nibong Tebal, semalam.
Nibong Tebal: “Ini perbuatan seorang profesional dan mahir menghasilkan bahan letupan,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengenai kejadian letupan di majlis kempen Barisan Nasional (BN) di Taman Jawi Jaya, di sini, kelmarin, menyebabkan seorang petugas parti itu cedera di kaki.
Kejadian itu berlaku jam 10.15 malam ketika Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan memberi ucapan di depan lebih 3,000 orang sebelum dikejutkan bunyi letupan kuat dari arah belakang pentas.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati bunyi itu berpunca daripada bahan letupan yang disembunyikan dalam longgokan sampah di belakang pentas.


Menurutnya, bahan letupan itu diisi dalam bekas sebesar kotak rokok dan mempunyai penetap masa.


“Siasatan mendapati bahan letupan itu dihasilkan semata-mata untuk menghasilkan bunyi dan juga gelombang kuat.

Guru, 2 anak maut

Foto
NORIYAH (berkerusi roda) tidak dapat menahan kesedihan ditenangkan ahli keluarga.
Mersing: “Kali terakhir saya bertemu empat mangsa tiga hari lalu, apabila arwah anak membawakan nasi dan tomyam untuk makan malam bersama sebelum memberitahu mereka semua akan ke Johor Bahru.
“Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu kali terakhir saya menemui arwah anak dan dua daripada tiga anaknya sebelum mereka terbunuh dalam kemalangan,” kata Noriyah Imman, 79, ibu Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu Abd Razak Pid, 44, yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, Proton Iswara dipandu Abd Razak bersama tiga anaknya, Adibah Taqqiah, 14, Afiqah Ihsanniah, 11 dan Alimul Helmi, 9, dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Mersing sebelum dipercayai hilang kawalan lalu bertembung sebuah trak tunda.

Akibat pertembungan itu, Abd Razak yang juga duda, Adibah dan Afiqah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Alimul Helmi patah tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


“Saya tidak sangka itu makan malam terakhir kami ketika dia datang ke rumah saya di Taman Sri Pantai, dekat sini, sebelum mereka maut dalam kemalangan itu. Ketika itu, arwah anak hanya memaklumkan akan ke Johor Bahru untuk menghadiri kursus ditemani tiga anaknya itu.

Madrasah musnah sekelip mata




KUALA KETIL: Lime belas pelajar Madrasah Nurul Islah, Pondok Ustaz Bakar, Parit Panjang, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas pondok mereka musnah dalam kebakaran, kira-kira 8.15 malam tadi.

Kejadian dikatakan berlaku ketika semua pelajar terbabit sedang membaca Yasin di surau madrasah berkenaan.


Pengetuanya, Mohamad Fadzil Abd Hamid, 34, berkata kebanyakan pelajar yang mendiami pondok itu adalah mereka yang berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Menurutnya, wang tabungan RM3,000 yang disimpan dalam pondok bendahari madrasah berkenaan turut hangus selain kitab mengaji.

Samun ala Geng Mamak tumpas

Foto
MOHMAD menunjukkan antara kereta mewah yang digunakan suspek untuk menyamun.
Kuala Lumpur: Empat lelaki menggunakan taktik sama dengan Geng Mamak iaitu mencuri kenderaan mewah dan menyamun pelanggan bank ditahan petang kelmarin.
Mereka yang aktif menyamun sejak awal tahun ini ditahan dalam serbuan di Sri Hartamas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, mereka ditahan jam 4 petang di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah.

“Hasil serbuan terhadap empat suspek berusia 22 hingga 40 tahun itu membawa kepada penemuan lima kereta mewah iaitu Audi Q7, BMW, Toyota Harrier dan dua Toyota Camry yang diletakkan di tempat letak kenderaan pusat beli-belah berkenaan.


“Pemeriksaan mendapati semua kereta mewah itu dilaporkan hilang di Kuala Lumpur, Johor dan Melaka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Budak dipukul kerana suka BN




MOHAMAD ISMADINEL cedera akibat dipukul oleh penyokong sebuah parti pembangkang di Baling semalam.


ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera selepas dipukul oleh penyokong sebuah parti pembangkang gara-gara mengaku menyokong Barisan Nasional (BN) di Felda Teloi Timur, Baling pada Isnin lalu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 9.37 malam itu, mangsa, Mohamad Ismadinel Ar. Samsudin berjalan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Isyak di Masjid Felda Teloi Timur.
Apabila tiba di sebuah pondok parti pembangkang, dia ditahan sekumpulan lelaki bermotosikal lalu ditanya mengenai parti yang disukainya.
Mohamad Ismadinel yang menjawab bahawa dia menyokong BN terus dipukul dan disepak salah seorang lelaki itu sehingga terjatuh ke dalam parit.
Mangsa dilaporkan cedera di bahagian kaki dan kini demam ekoran kejadian itu.
Difahamkan, kumpulan lelaki tersebut merupakan sebahagian daripada peserta konvoi motosikal pembangkang sempena Pilihan Raya Umum ke-13.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim ketika dihubungi berkata, mangsa tidak mengenali kumpulan lelaki terbabit dan polis masih menyiasat identiti mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2RWG0RwXt 
Hakcipta terpelihara 

Lima pelajar ditahan belasah rakan sekolah



MIRI – Lima pelajar lelaki tingkatan 5 sebuah sekolah menengah di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes pukul melibatkan seorang pelajar di sekolah sama sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua lima pelajar yang berusia 17 tahun itu ditahan sama ada di sekolah berkenaan atau rumah masing-masing sejurus selepas kejadian tersebut.
“Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang Selasa lalu, mangsa sedang menunggu van di luar sekolah sebelum dihampiri lima rakan sekolahnya.
“Berlaku pertelingkahan antara mangsa dan kumpulan suspek itu sebelum suspek-suspek itu kemudian membelasah mangsa termasuk ada antara suspek menggunakan topi keledar,” kata beliau pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2RWFVaMbD 
Hakcipta terpelihara 

Mati ditembak dalam Perdana



MAYAT Ragunathan yang mati ditembak ketika berhenti di Jalan Seremban-Tampin, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki mati selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ negeri tetapi tidak diketahui tujuannya berhenti di situ.
Menurut beliau, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.
“Semasa terkena tembakan, mangsa yang cedera parah cuba memandu kereta untuk melarikan diri tetapi tidak sampai 40 meter kenderaan dipandunya terbabas ke tepi jalan. Mangsa kemudian ditemui mati di tempat kejadian,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2RWFNL2y3 
Hakcipta terpelihara 

Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9




RAMAI memakai penutup muka di sebuah stesen kereta api di Taipei, Taiwan semalam.


BEIJING - Pihak berkuasa di beberapa negara Asia mengetatkan saringan terhadap pelancong dari China dalam usaha mengekang penyebaran virus selesema burung H7N9 di negara masing-masing.
Sehingga kini, H7N9 telah menjangkiti 109 orang di China sejak virus itu mula dikesan pada Mac lalu dengan 23 orang maut.
Terkini, penyakit maut itu telah menjangkiti seorang warga Taiwan.
Susulan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, mereka akan melakukan ujian kesihatan ke atas pelancong di pintu masuk lapangan terbang yang menunjukkan simptom seperti panas badan atau demam.
Pihak berkuasa Vietnam mula menyaring suhu badan penumpang di lapangan terbang negara itu manakala kerajaan Jepun akan membenarkan pihak berkuasa lapangan terbang dan pelabuhan memeriksa suhu badan pelawat dari China bermula bulan depan.
Di Thailand, Menteri Kesihatan Pradit Sintawanarong berkata, negara itu perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga dengan pelan menangani wabak itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tidak lama lagi.
"Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat risiko virus H7N9 merebak ke Thailand," kata Sintawanarong.
Dalam pada itu, di Singapura, institusi-institusi kesihatan di pulau tersebut kini diletakkan dalam keadaan siapsiaga berhubung penularan wabak H7N9.
Langkah tersebut dilaksanakan sehari selepas seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, virus H7N9 merupakan virus selesema burung yang paling berisiko membawa maut kepada manusia.
Setakat ini, jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan berpunca daripada unggas yang sakit manakala saintis-saintis semakin hampir untuk mengesahkan sama ada H7N9 turut merebak daripada manusia kepada manusia. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2RWF3R8jB 
Hakcipta terpelihara