Search This Blog

Thursday, April 25, 2013

Pengarang NST cedera diragut


 
Kuala Lumpur: Editor Pengurusan New Straits Times (NST), Datuk Nuraina Samad kerugian bernilai lebih RM9,000 apabila diragut tiga lelaki, yang menaiki sebuah kereta berhampiran Restoran Antonio di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, malam semalam.

Pada kejadian jam 10.30 malam itu, Nuraina, 57, yang ditemani anak perempuan dan anak saudara perempuannya, baru menikmati makan malam di restoran berkenaan.

Kenderaan cermin gelap

Ketika menuju ke kereta, saya nampak sebuah kereta jenis PERODUA Myvi berwarna kelabu dengan cermin gelap diletakkan di belakang kereta saya.

Tetapi, ketika itu, saya tidak rasa curiga, katanya ketika dihubungi BERNAMA, di sini, semalam.

Nuraina berkata, ketika membuka pintu keretanya, tiba-tiba kereta PERODUA Myvi terbabit bergerak menghampirinya dan seorang lelaki di kerusi penumpang hadapan, menarik tas tangannya tetapi gagal direntap.

Kereta itu kemudian bergerak ke hadapan dan seorang lagi penumpang menarik tas tangan saya sambil memegang sebilah pisau dan mengacu ke arah saya.
Tidak mampu bertahan

Saya terpaksa melepaskan tas tangan itu kerana tidak mampu bertahan, katanya.
Kejadian itu turut menyebabkan beliau mengalami calar dan lebam di lengan kiri serta kanannya.

Selain itu, Nuraina berkata, tas tangannya itu mengandungi dompet, telefon bimbit, buku cek dan pelbagai barangan peribadi.

Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada jam 11 malam.

Selepas kejadian, saya terus membuat laporan polis di balai polis berhampiran, katanya.

Nafi amal ajaran sesat

Nafi  amal ajaran sesat
Harun dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam. - Foto Mustaffa Kamal Kuantan: Lelaki yang menggelarkan dirinya, Tuhan Harun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengamalkan ajaran sesat di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.

Harun Mat Saat, 47, dituduh menyebarkan ajaran bercanggah dengan amalan Islam di tiga premis sekitar daerah ini dengan tujuan mengelirukan umat Islam selain mempengaruhi mereka supaya percaya dia adalah Tuhan 2013 sejak Februari lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie, Salehuddin Ab Manaf di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yusuf Ab Ghani.


Harun dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Pahang 1982, di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat sini antara Februari hingga 4 April lalu.

Harun yang juga bekas penasihat sebuah syarikat pelaburan, tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan.

Ikat jamin RM3,000

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin sementara menanti tarikh perbicaraan yang ditetapkan 2 hingga 4 Julai depan.
Ketika didakwa di Mahkamah Rendah Syariah, Harun juga dikenakan 10 tuduhan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku bagi tujuan sama.

Harun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Wahid Md Ali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin.

4 didakwa rompak peniaga



 
Kuala Lumpur: Empat lelaki, termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan, termasuk melarikan kereta milik lelaki itu, dua minggu lalu.

S Rajiv, 25, dan abangnya, S Vijaikanth, 28, serta A Vicneswaran, 24, dan R Muniandy, 44, didakwa dengan niat bersama merompak sebuah dompet mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, dua keping kad kredit, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan Toyota Camry, yang semuanya dianggarkan bernilai RM110,000 milik Fam Chee Ming, 46.
Guna parang

Mereka yang ditahan pada 11 April lalu, didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebilah parang di Jalan Gembira, Happy Garden, dekat sini pada jam 5.30 pagi, 10 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ikat jamin RM12,000

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh.
Namun peguam, Tharamjit Singh yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan RM5,000 dengan alasan jumlah yang dipohon pendakwaan adalah tinggi dan membebankan keluarga mereka.

Hakim Dazuki Ali membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan kes.
BERNAMA

100 terbunuh kilang pakaian runtuh

100 terbunuh kilang pakaian runtuh
ANGGOTA penyelamat dan orang awam berkerumun di kawasan bangunan lapan tingkat yang menempatkan kilang pakaian di pinggir Dhaka yang runtuh, semalam. - Foto AP Savar: Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh, manakala lebih 700 cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang pakaian runtuh berhampiran ibu negara Bangladesh pagi semalam, kata pegawai.

Seorang pekerja di bangunan Rana Plaza, Abdur Rahim berkata, kira-kira 2,000 pekerja berada di bangunan itu apabila tingkat atas bangunan terbabit runtuh dan menimpa tingkat di bawahnya dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Retakan berlaku sehari sebelum kejadian dan sudah dilaporkan oleh rangkaian berita tempatan. Mereka enggan memasuki bangunan itu, kata beliau yang bekerja di tingkat lima.


Bagaimanapun, Abdur Rahim berkata, pengurus kilang memberi jaminan bangunan itu tiada masalah, yang menyebabkan mereka memasukinya, katanya.

Kira-kira sejam selepas kami bekerja, bangunan runtuh tiba-tiba. Ia seperti gempa bumi, katanya yang menambah, ramai lagi mangsa masih terperangkap.

Kejadian itu mengingatkan semula tragedi kebakaran di kilang pakaian November lalu yang mengorbankan 112 orang dan membangkitkan desakan mengenai keselamatan dalam industri pakaian negara itu.

Sukarelawan cari mangsa
Berpuluh ribu orang berkumpul di tempat kejadian, sebahagian daripada mereka mangsa terselamat yang menangis, sebahagiannya mencari anggota keluarga. Pasukan bomba dan tentera mengguna mesin penggerudi dan kren bekerjasama dengan sukarelawan mencari mangsa daripada bangunan itu.

Menteri Kesihatan, A F M Ruhal Haque berkata menjelang tengah hari semalam, 100 dipercayai mati dalam runtuhan bangunan di Savar, pinggir Dhaka. Brig Jeneral Mohammed Siddiqul Alam Shikder, berkata 600 lagi berjaya diselamatkan.

Kami menghantar dua orang ke dalam bangunan dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 20 orang hidup-hidup. Mereka juga memberitahu kami sekurang-kurangnya 100 hingga 150 orang cedera dan 50 mayat masih terperangkap, kata penyelia salah satu kilang pakaian itu, Mohammad Humayun.

Anggota bomba dan tentera bertungkus-lumus menggali di celah runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat.

Sebahagian besar struktur konkrit kelihatan mempunyai kesan pecah seperti ranting. Helaian kain berwarna-warni diikat dengan tingkat atas runtuhan, bagi membolehkan mereka yang terperangkap turun menyelamatkan diri.

Tangan terjulur

Sebelah tangan kelihatan terjulur dari runtuhan. Mayat seorang wanita diselaputi debu juga dapat dilihat di bahagian runtuhan lain. Seorang anggota bomba membawa mayat remaja daripada kawasan itu.

Rahim berkata, ibu dan bapanya, yang bekerja bersamanya di kilang itu, terperangkap.

Saya tidak tahu apa yang berlaku, katanya.

Antara premis perniagaan di bangunan berkenaan adalah Phantom Apparels Ltd, New Wave Style Ltd dan New Wave Brothers Ltd. Ia juga menempatkan bank dan kedai.

Kebakaran November lalu di kilang pakaian Tazreen menarik perhatian antarabangsa mengenai keadaan pekerja dalam industri tekstil di Bangladesh.
Negara itu mempunyai kira-kira 4,000 kilang pakaian dan pakaian eksport kepada peruncit utama Barat.

AP/REUTERS

4 lelaki dipercayai Geng Mamak kena tahan




 
Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menahan empat lelaki dipercayai saki-baki kumpulan Geng Mamak yang terbabit dalam kejadian samun dan rompak sejak awal tahun ini di ibu negara, petang kelmarin.

Suspek yang dikatakan ahli junior kumpulan penjenayah yang mula diperkatakan sejak sedekad lalu itu, ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hasil intipan dan risikan berpandu maklumat awam.
Sembunyi lima kereta mewah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun itu ditahan ketika sedang menyembunyikan lima buah kereta mewah yang disamun di ruang parkir pusat beli-belah di Sri Hartamas, di sini.

Siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan semua kereta mewah yang disamun untuk melakukan kegiatan jenayah lain dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Selepas berjaya dalam misi melakukan jenayah, semua kereta disembunyikan semula di lokasi sama sebelum mereka mengambilnya apabila ada perancangan atau sasaran melakukan samun atau rompakan lain, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua kereta jenis Audi Q7, BMW 5 siri, Toyota Harrier dan dua Toyota Camry yang disamun, polis menemui lima parang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa, peralatan pecah kenderaan, kapak dan sarung tangan yang digunakan oleh suspek.
Rekod jenayah lampau

Kita dapati dua daripada empat individu ini memiliki rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes rompakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Melaka. Mereka adalah anak kepada ahli Geng Mamak yang pernah ditahan polis, katanya.

Mohmad berkata, pihaknya yakin dengan penangkapan semua suspek berkenaan, pihaknya dapat menyelesaikan lima kes samun ke atas mangsa yang baru selesai berurusan dengan bank dan lapan kes curi serta samun kereta mewah.

Pemilik blog Dr. MiM cedera kemalangan di Slim River



IPOH 25 April - Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Dr. Novandri Hasan Basri, 45, terbabit dalam kemalangan di Kilometer 381.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Slim River awal pagi tadi.
Beliau yang terkenal dengan blog Dr. MiM dan seorang rakannya, Azlan Ali, 36, mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Slim River.
Menurut jurucakap polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika beliau dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke arah Selatan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130425/je_08/Pemilik-blog-iDr-MiMi-cedera-kemalangan-di-Slim-River#ixzz2RTiljyKx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 lelaki ditahan bantu siasatan kes letupan



PULAU PINANG 25 April - Tiga lelaki ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes letupan ketika ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal sedang berlangsung malam Rabu lalu.
Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, mereka bertiga masing-masing ditahan di Georgetown, Seberang Perai Selatan dan Bukit Mertajam. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130425/je_09/3-lelaki-ditahan-bantu-siasatan-kes-letupan#ixzz2RTic8EQ8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki maut ditembak ketika memandu



SEREMBAN 25 April - Seorang pemuda mati ditembak dua lelaki bermotosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta jenis Proton Perdana meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, insiden berlaku semasa mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran pejabat JPJ berkenaan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130425/je_10/Lelaki-maut-ditembak-ketika-memandu#ixzz2RTiWabMp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis cekup 4 lelaki menyamar anggota AADK, samun pemuda



KUANTAN 25 April - Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum menyamun seorang pemuda di bandar Mentakab awal pagi tadi, berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di kawasan sama sejurus pihak polis menerima laporan kejadian itu.
"Tindakan pantas polis berjaya menahan empat suspek berkenaan selepas dua jam laporan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang pemuda berusia 20 tahun kerugian RM600 selepas disamun empat lelaki yang menyamar sebagai anggota AADK di bandar Mentakab, dekat Temerloh yang mengepungnya semasa berjalan kaki sendirian untuk pulang ke rumahnya pada pukul 1 pagi.
Bagaimanapun, kata Aziz, selepas menyamun mangsa terbabit, suspek melepaskan mangsa tanpa mencederakannya lalu mangsa pulang ke rumah dan bergegas membuat laporan polis.
"Keempat-empat suspek kini ditahan reman di Balai Polis Temerloh sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130425/je_11/Polis-cekup-4-lelaki-menyamar-anggota-AADK-samun-pemuda#ixzz2RTiFZb3W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

25 orang maut bangunan runtuh di Bangladesh



SEORANG lelaki yang terperangkap dalam runtuhan bangunan diselamatkan oleh orang ramai dalam kejadian yang berlaku di Savar, berdekatan Dhaka, Bangladesh hari ini. - AP
DHAKA 24 April - Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan maut dan lebih 500 lagi cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat runtuh di Savar, luar bandar Dhaka, Bangladesh hari ini.
Saluran berita Ntv melaporkan anggota bomba dan askar kini berusaha menyelamatkan mereka terperangkap dalam Plaza Rana yang menempatkan beberapa kilang pakaian dan sebuah pasar raya itu.
Seorang pegawai polis, Mohammad Asaduzzaman berkata, kejadian itu berlaku selepas pemilik tidak mengendahkan amaran supaya tidak membenarkan pekerja masuk bangunan tersebut selepas retakan dikesan semalam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_10/25-orang-maut-bangunan-runtuh-di-Bangladesh#ixzz2RThvuxnW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 didakwa sebar gambar separuh bogel Catherine William



PARIS 25 April - Sebuah mahkamah di sini semalam mendakwa dua individu atas kesalahan menyiarkan gambar separuh bogel isteri Putera William, Catherine yang mencetuskan kontroversi.
Menurut sumber mahkamah, kedua-dua individu terbabit merupakan Pengarah Mondadori Group yang bertanggungjawab menyiarkan gambar berkenaan dalam majalah Closer dan seorang jurugambar akhbar La Provence.
Hakim mahkamah mendakwa jurugambar berkenaan atas tuduhan mengganggu ketenteraman orang lain kerana mengambil gambar Catherine berpakaian renang ketika sedang bercuti bersama William di selatan Perancis.
Bagaimanapun identiti kedua-dua tertuduh tidak didedahkan.
Gambar kontroversi Catherine itu disiarkan dalam akhbar La Provence namun, kebanyakan gambar separuh bogel Duchess of Cambridge tersebut disiarkan dalam majalah Closer pada keluaran September lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_02/2-didakwa-sebar-gambar-separuh-bogel-Catherine-William#ixzz2RTgAPI3w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rusuhan bantah kahwin sejenis Perancis



PARIS 24 April - Satu rusuhan berlaku berdekatan bangunan Parlimen Perancis selepas beberapa jam negara ini meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis.
Penunjuk perasaan yang menentang perkahwinan sejenis, bertindak melemparkan botol kaca, tin minuman dan batang besi dalam rusuhan tersebut.
Polis pencegah rusuhan pula bertindak melepaskan gas pemedih mata di tugu memorial Invalides dan kompleks muzium.
Terdahulu, Dewan Nasional Perancis meluluskan rang undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis dengan 331 undi menyokong dan 225 undi menentang.
Menteri Kehakiman, Christiane Taubira berkata, perkahwinan pertama hasil daripada undang-undang itu boleh diadakan pada Jun ini.
Ketika Dewan Nasional bersidang berhubung rang undang-undang tersebut, beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan secara aman di luar bangunan Parlimen.
Seorang ibu kepada dua orang anak, Claire Baron, 41 berkata, dia akan terus menentang rang undang-undang tersebut.
''Saya tidak akan mengalah. Kami akan mempertahankan nilai-nilai kekeluargaan. Kanak-kanak perlukan seorang ibu dan seorang ayah,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_06/Rusuhan-bantah-kahwin-sejenis-Perancis#ixzz2RTg4YZTX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

India tuduh China ceroboh wilayahnya



Seorang askar India berkawal di atas sebuah kenderaan semasa pembukaan Genting Zojila, 110 kilometer ke utara Srinagar, India pada 6 April. Lebuh Raya Kebangsaan Srinagar-Leh menghubungkan Ladakh ke Lembah Kashmir dibuka pada Sabtu lalu selepas ditutup selama enam bulan. Lebuh Raya itu melalui Genting Zojila setinggi 3,510 meter di Banjaran Himalaya. - AGENSI
NEW DELHI 24 April - India menuduh askar China menceroboh wilayahnya di Pergunungan Himalaya dalam ketegangan terbaru antara kedua-dua negara tersebut berhubung perebutan kawasan sempadan di kawasan pergunungan berkenaan.
Seorang pegawai India semalam berkata, askar China memasuki kira-kira 10 kilometer ke dalam kawasan India pada 15 April lalu dan memasang khemah di lembah Depsang, wilayah Ladakh di timur Kashmir.
''Komander-komander tentera India bertembung sekurang-kurang dua kali dengan askar China, namun askar-askar China itu tidak berundir dari kawasan jajahan India itu,'' kata pentadbir awam Ladakh, Tsering Angcuk.
China menafikan dakwaan tersebut ketika media India melaporkan sempadan di wilayah tersebut berada dalam keadaan aman.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, kedua-dua pihak mengekalkan komunikasi baik dan kerjasama tentang isu sempadan.
Beliau kelmarin berkata, askar China menjalankan rondaan di garisan sempadan dan tidak menceroboh Garisan Kawalan Sebenar yang merupakan sempadan tidak rasmi antara kedua-dua negara.
India berkata, tentera China berulang kali menceroboh sempadan sejak beberapa tahun lalu dan meninggalkan sampah yang mempunyai tanda dalam bahasa Cina sebagai bukti kehadiran mereka.
Bagaimanapun, pegawai India mendakwa dalam kejadian terbaru, askar China memasuki lebih jauh dari garisan sempadan ke dalam wilayah India. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_05/India-tuduh-China-ceroboh-wilayahnya#ixzz2RTfx4wYt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan maut dalam letupan bom kereta di Baghdad



BAGHDAD 25 April - Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 23 lagi cedera apabila sebuah bom kereta meletup di sini, semalam.
Menurut kenyataan polis, letupan berkenaan berlaku di sebuah pasar jualan barangan telefon bimbit di Al-Husseiniyah, timur Baghdad.
Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_01/Lapan-maut-dalam-letupan-bom-kereta-di-Baghdad#ixzz2RTfqI4l5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

21 maut keganasan terbaru di Xinjiang



BEIJING 24 April - Sebanyak 21 orang termasuk pegawai polis dan pekerja sosial terbunuh dalam keganasan di barat wilayah Xinjiang, semalam.
''Sebanyak 21 orang terbunuh dalam kejadian itu, termasuk pekerja sosial dan pegawai polis,'' kata seorang pegawai yang menggunakan nama Cao ketika mengulas kejadian itu, hari ini.
Cao yang mengesahkan berita itu, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar korban yang membabitkan anggota polis.
Kejadian berbalas-balas tembakan berlaku di daerah Bachu di barat wilayah itu selepas polis memeriksa rumah suspek yang dipercayai memiliki senjata, lapor Tianshan Net, laman berita yang dikendalikan kerajaan.
Laporan itu menyifatkan pertempuran itu sebagai 'insiden keganasan yang menakutkan'.
Menurut Tianshan Net, sebanyak 15 orang yang terbunuh dalam kejadian itu adalah pegawai polis dan pekerja sosial dan 11 lagi merupakan etnik minoriti Uighur yang banyak menetap di Xinjiang.
Menurut laporan itu, sebanyak enam 'anggota kumpulan' tersebut ditembak mati dalam keganasan itu tanpa mendedahkan identiti mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_04/21-maut-keganasan-terbaru-di-Xinjiang#ixzz2RTfj4sht
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Angka korban runtuhan bangunan di Bangladesh meningkat



SAVAR 25 April - Angka korban akibat runtuhan bangunan di Bangladesh meningkat kepada 152 orang hari ini ketika pasukan penyelamat bekerja keras menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan.
Wali Asraf yang merupakan pegawai kanan di bilik kawalan bencana berkata, pasukan penyelamat berhati-hati menggali untuk menarik keluar mangsa yang terperangkap.
Lebih 1,000 orang turut cedera apabila bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang dan sebuah pasar raya di pinggir Dhaka itu runtuh, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_09/Angka-korban-runtuhan-bangunan-di-Bangladesh-meningkat#ixzz2RTewGEX9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pakatan dakwa wujud 28,593 pengundi warga asing



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
SHAH ALAM – Sementara pengundian akan diadakan dalam tempoh 10 hari, Pakatan Rakyat (PR) mendakwa terdapat 28,593 pengundi berdaftar terdiri daripada pekerja asing Indonesia, Filipina, Pakistan dan Bangladesh.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, daripada jumlah itu, Sabah sahaja mempunyai 15,907 pengundi berdaftar kebanyakannya kalangan warga  Filipina dan Indonesia manakala Selangor mencatatkan jumlah kedua terbesar dengan 4,324 pengundi asing.

“Kebanyakan pengundi asing ini akan mengundi di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur di mana kawasan pilihan raya parlimen dengan jumlah terbesar ini termasuklah di Silam, Kibaran, Kelabakan, Sepanggar dan Tawau.

“Apa yang lagi merisaukan ialah 16,589 dari pengundi asing ini diberikan kod negeri Sabah iaitu lahir di Sabah walaupun mereka adalah dari Indonesia atau Filipina.
“Malah terdapat 42 pengundi asing dari Filipina, Indonesia dan Pakistan yang didaftarkan sebagai pengundi pos di dalam tentera dan polis,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerangkan serta-merta berhubung beribu-ribu pengundi asing dalam Daftar Pengundi dan menjelaskan mengenai pemberian kod negeri tempatan dalam kad pengenalan pengundi tersebut.

Dakwa beliau lagi, pengundi Sabah khususnya dan Malaysia amnya telah tertipu ke atas hak demokrasi mereka.

“Barisan Nasional (BN) masih berlengah-lengah lagi tentang bagaimana hendak selesaikan masalah projek IC yang mereka sendiri wujudkan dan dengan ini PR mengarahkan SPR membersihkan Daftar Pengundi dalam masa 100 hari pertama dalam kerajaan.

“Saya menyeru semua pengundi yang sah agar keluar pada 5 Mei dan mengundi.

“Jangan biarkan mereka yang telah korupkan sistem demokrasi kita merampas demokrasi ini dari kita,” katanya lagi.

Kanak-kanak 5 tahun ditemui selepas sejam dilarikan



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Kanak-kanak lima tahun ditemui selepas sejam dilarikan
Mohd Shukri bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (depan kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (kanan) sempena lawatan kerja.
IPOH - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang dilarikan bersama kereta Toyota Vios oleh tiga lelaki tidak dikenali ditemui selamat hanya dalam masa satu jam selepas dilaporkan hilang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah Selatan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, ibu bapa kanak-kanak lelaki terbabit yang juga pengusaha restoran di Taman Tasek, Gopeng sedang sibuk melakukan kerja mencuci dan mengemas sebelum menutup premis berkenaan.

Ketika kerja tersebut dijalankan, mangsa ditinggalkan di dalam kereta yang diletakkan di hadapan restoran dalam keadaan enjin dihidupkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, ibu mangsa turut meninjau keadaan ke arah kenderaan mereka walaupun pada ketika itu dia sedang sibuk menyelesaikan kerjanya.

“Bagaimanapun, lebih kurang 10 malam, ibu mangsa mendapati kereta bersama anak lelakinya hilang dan bergegas memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.

“Selepas menerima maklumat, kami segera membuat hebahan bagi mengesan mangsa dan kereta yang dilaporkan hilang,” katanya.

Menurutnya, hasil ketangkasan Pasukan Cantas yang sedang melakukan rondaan di sekitar lebuh raya sempena pilihan raya berjaya menemui mangsa bersama kereta milik ibu bapanya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dilarikan tiga lelaki tidak dikenali sebelum ditinggalkan di kawasan tersebut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda.

“Kami masih mengesan suspek yang melakukan perbuatan tersebut dan menyiasat motif sebenar kejadian itu,” ujarnya.

Rakaman lelaki Islam dibakar tersebar




24 April 2013
Rakaman lelaki Islam dibakar tersebar
Mangsa yang dibakar hidup-hidup dibiarkan menderita dan orang ramai hanya menyaksikan kejadian itu di tengah bandar Meiktila.
YANGON - Pertubuhan hak asasi kemanusiaan, semalam, mendedahkan satu rakaman video amatur anggota polis yang memaparkan tindakan sekumpulan penduduk tempatan membakar seorang lelaki Islam semasa rusuhan etnik di bandar Meiktila, Myanmar, bulan lalu.

Dipetik MailOnline, lapor pegawai, video berkenaan membabitkan pertempuran sekumpulan lelaki dikenali sebagai Skuad 969 dengan masyarakat Islam yang menjadi punca kepada kematian 43 orang.

Satu rakaman yang didedahkan ke dalam internet menunjukkan mangsa seorang Islam berguling di sekitar jalan raya selepas keseluruhan anggota badannya dibakar oleh kumpulan perusuh.

Sementara itu, sebilangan anggota polis turut dilihat memerhati mangsa mati secara terseksa di tengah-tengah jalan raya.

"Kumpulan Skuad 969 itu memberi amaran kepada semua orang agar tidak memberi air kepada mangsa dan membiarkan mangsa mati," katanya.

Rakaman video berkenaan turut dijadikan sebagai bukti membabitkan pihak berkuasa Myanmar dan anggota Arakanese sebagai penjenayah kemanusiaan dalam kempen penghapusan etnik Rohingya.

Sejak tercetusnya keganasan menghapus etnik Rohingya di Rakhine, selatan Myanmar, sekurang-kurangnya 110 orang terbunuh serta lebih 120,000 masyarakat Islam melarikan diri ke negara jiran. 

Lelaki dipercayai dibunuh sebelum dicampak dalam sungai di Melaka




25 April 2013
MELAKA - Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh, ditemui di sebatang sungai berhampiran tapak meletak kenderaan berat di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini hari ini.
  
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata mangsa berusia lingkungan 40-an itu dijumpai tersangkut di celah pokok tumbang dan sampah di sungai berkenaan oleh seorang pengawal keselamatan kira-kira 7.15 pagi ini.
  
"Pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu mempunyai kesan kecederaan di kepala dan tangan kirinya dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul," katanya kepada pemberita di sini.
  
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai berkenaan dalam tempoh 24 jam.
  
Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
  
Sehubungan itu, Gunarajan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.  - Bernama

Pemandu teksi ditembak mati ketika makan di restoran




24 April 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi ditembak mati dua lelaki ketika menikmati makan malam bersama isteri dan anak perempuannya di sebuah restoran di Batu 14, Kampung Baharu Puchong dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa, Seva Arumugan, 36, didatangi dua lelaki bertopeng yang melepas beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam kejadian 9.20 malam itu.
"Dua suspek tersebut berbadan gempal dan berusia lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira kelabu dengan nombor pendaftaran NBS 9119, yang dipercayai kenderaan curi.
Mangsa dibawa ke sebuah klinik tidak jauh dari tempat kejadian namun disahkan meninggal dunia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama

Pemandu teksi maut ditembak depan isteri, anak



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Pemandu teksi maut ditembak depan isteri, anak
Polis melakukan pemeriksaan di tempat kejadian. Gambar kecil: SIVA.
PUCHONG - Seorang pemandu teksi ditembak dengan jarak dekat di depan isteri dan anak perempuannya berusia 8 tahun ketika mereka menikmati makanan di sebuah restoran di Batu 14, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa, A Siva, 36, dan keluarganya ke restoran itu kira-kira jam 9 malam sebelum dua lelaki memakai topi ski meluru masuk ke dalam kedai dan terus mendekatinya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, seorang daripada suspek melepaskan empat das tembakan, salah satu mengenai dada mangsa.

Isteri mangsa kemudian membawa suaminya ke Klinik Kesihatan Batu 14 yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, namun mangsa disahkan meninggal dunia.
Yahaya berkata, kedua-dua lelaki tersebut berbadan gempal, berusia lingkungan 30-an dan sukar dicam kerana memakai topeng ski.

Suspek ke tempat kejadian menaiki sebuah Proton Waja berwarna kelabu metalik yang diletakkan di tepi jalan besar.

“Kita percaya ada seorang lagi rakan suspek menunggu dalam kereta, nombor pendaftaran kereta wujud dan didaftarkan atas nama seorang lelaki di Melaka,” katanya.

Yahaya berkata, pihaknya akan siasat sama ada wujud kaitan kejadian kelmarin dengan satu kes melepaskan tembakan di Bukit Puchong, baru-baru ini.

Tidak sempat sampai rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Tidak sempat sampai rumah
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Tidak sempat sampai rumah
Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk.
LUNAS - Hasrat seorang lelaki untuk pulang ke rumah selepas bekerja tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Seluang dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa yang berusia 39 tahun merupakan seorang pekerja industri di Perai, Pulau Pinang dan menunggang motosikal berseorangan ketika kemalangan berlaku.

Menurutnya, mangsa dipercayai datang dari arah Sungai Seluang menghala ke Padang Serai sebelum terlibat kemalangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal lain ditunggang seorang lelaki berusia 24 tahun dikatakan sedang memotong kenderaan di hadapannya sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh mangsa.

"Kedua-dua motosikal ini bertembung dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Dari pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa terbunuh kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Ghuzlan turut menasihatkan kepada penunggang motosikal terutama golongan remaja supaya tidak menunggang motosikal secara melulu di kawasan terlibat kerana kemalangan maut sering dilaporkan berlaku.

Katanya, sehingga kini, lapan kemalangan maut dilaporkan berlaku sepanjang 2013 dan jumlah ini dapat dikurangkan sekiranya penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

“Apa dapat saya lihat, jalan Sungai Seluang gelap dan jalannya tidak lurus. Ini mengakibatkan banyak kenderaan yang menggunakan jalan itu terbabas atau termasuk ke lorong bertentangan.

"Masalah ini dapat diatasi sekiranya pengguna jalan raya memandu serta menunggang motosikal mereka dengan lebih berhemah selain dipandu secara perlahan. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kematian,” katanya.

Ular satu meter 'lawat' bilik gerakan



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Ular satu meter 'lawat' bilik gerakan
Ular yang berjaya ditangkap selepas dicederakan.
MARANG - Tiga petugas pilihan raya yang sedang melaksanakan tugas mereka di bilik gerakan Parlimen Marang di sini terkejut, apabila seekor ular muncul tiba-tiba sebelum dikesan berada di belakang sebuah beg di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, salah seorang daripada mereka, Mohd Zafri Daud, 33, segera bertindak menangkap ular tersebut selepas mencederakan haiwan reptilia itu kerana bimbang mengancam keselamatan mereka dan petugas lain.

Menurutnya, dia percaya kejadian itu berlaku secara kebetulan dan tiada unsur-unsur sabotaj atau sengaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan menakut-nakutkan petugas yang menjalankan tugas mereka di bilik gerakan tersebut.
“Kami mengesyaki ular berwarna garang dan tidak diketahui jenisnya itu tersesat sebelum memasuki bilik gerakan ini. Mujurlah ketika kejadian orang tidak ramai, kerana kebiasaannya kira-kira 20 orang petugas berada di bilik gerakan ini.

“Ular sepanjang kira-kira satu meter itu akhirnya dapat ditangkap selepas dicederakan dan dilepaskan semula di kawasan semak di luar bangunan Umno Bahagian Marang ini yang juga dijadikan bilik gerakan pilihan raya pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Tiga bersaudara maut nahas



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Tiga bersaudara maut nahas
Tiga bersaudara maut setelah van dinaiki rempuh belakang treler.
Tiga bersaudara maut nahas
Aditiawarman
Tiga bersaudara maut nahas
Poniman
JASIN - Tiga bersaudara maut selepas van muatan tudung pelbagai corak yang dinaiki hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 192.2 Lebuhraya Plus arah selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.10 pagi itu, van Toyota Hiace dipandu penduduk tetap (PR) bersama dua lagi rakan sekerja yang merupakan warganegara Indonesia, Aditiawarman, 37, dan Poniman, 26, dari Gombak, Selangor ke Ayer Hitam, Johor.

Van dinaiki ketiga-tiga mangsa merempuh bahagian belakang treler muatan bahan kimia dipandu Mohd Fadil Isa, 38, di lorong kiri.

Jurucakap polis berkata, van yang dinaiki mereka dalam perjalanan untuk memulakan perniagaan awal pagi di pasar awam merempuh besi pembahagi lebuh raya.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu van tersepit pada stereng kereta manakala penumpang sebalah terperosok di bawah sementara penumpang belakang tertimbus dengan muatan kain tudung yang dibawa," katanya.

Sementara Mohd Fadil berkata, dia memandu sendirian sebelum tersentak dengan dentuman kuat.

Menurutnya, secara tiba-tiba treler bergegar kuat dan bimbang jika berlaku kebocoran pada muatan yang mengandungi bahan kimia.

"Disebabkan laluan gelap tanpa lampu jalan, saya memberhentikan treler satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Dalam keadaan samar-samar saya terpandangkan sebelah kaki mangsa penumpang di bahagian hadapan sudah terjuntai keluar,” katanya.

Katanya, dia memandu dari Cheras, Kuala Lumpur menuju ke Senai, Johor, segera menghubungi Plus untuk mendapatkan bantuan awal sebelum anggota bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK 2 Mohd Asraf Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.25 pagi bergegas ke tempat kejadian dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

“Bomba menggunakan peralatan khas kecemasan untuk mengeluarkan mangsa dan mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya.
Manakala, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mohd Nor Hisamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan badihantar ke Bilik Mayat Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya.

Dipenjara miliki peluru hidup



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Dipenjara miliki peluru hidup
Mohd Fizree (kiri) dan Juhari ketika dihadapkan ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Dua lelaki dipercayai anggota geng Zawa dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki sembilan peluru hidup di hadapan sebuah bengkel motosikal di sini, tahun lalu.

Hukuman dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan terhadap Mohd Fizree Mat Saufi, 26, dari Kampung Bemban Kelar, Pasir Mas dan Juhari Mat Jusoh, 23, dari Felcra Sungai Temau Kuala Lipis, Pahang.
Mereka didakwa memiliki peluru hidup bertulis S&B 38 Special tanpa permit dan lesen sah pada jam 9.25 malam, 15 Oktober.
Pada prosiding semalam, Majistret, Nik Habri Muhamad turut mengenakan denda RM10,000 terhadap Mat Juhari kerana tertuduh mempunyai rekod lampau membabitkan dadah. Jika gagal dijelaskan, dia boleh dihukum penjara selama enam bulan.

Dalam kejadian lalu, anggota polis menerima maklumat berhubung kejadian tembak di Stesen Minyak Shell di Jalan Kebun Sultan di sini, sebelum berkejar ke lokasi itu.

Dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu berjaya ditahan dan polis menjumpai peluru yang dibalut dalam tisu dalam beg pinggang pada tempat duduk pemandu.

Mengaku tidak bersalah cabul adik ipar



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 April 2013
Mengaku tidak bersalah cabul adik ipar
Tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah selepas didakwa, semalam.
KOTA BHARU - Seorang juru kimpal tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul adik iparnya yang berusia 17 tahun di bilik tidur rumahnya, Jumaat lalu.

Mohd Shuhada Mat Ali, 38, dari Kampung Sungai Sok, Kuala Krai di sini didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas remaja itu dengan niat mencabul kehormatannya di alamat Jalan Kuala Krai, Kedai Mulong, di sini.
Kejadian dikatakan berlaku pada jam 12 tengah hari, 19 April lalu.

Tuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Mad Zukri di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Pada prosiding semalam tertuduh bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Dia kemudiannya tidak dibenarkan jamin kerana bimbang akan mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan mengikut peruntukkan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes bersambung 22 Mei depan.

Ganja mainan kanak-kanak Kanada




25 April 2013
Kanak-kanak Kanada
Kanak-kanak Kanada lebih terdorong untuk mengambil ganja.
OTTAWA -  Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) melaporkan, kanak-kanak di Kanada muncul sebagai golongan paling ramai mengambil ganja.

Mengikut laporan, Kanada berada di tangga pertama mendahului 29 negara-negara maju mencatatkan pengambilan dadah jenis ganja yang digunakan melalui kaedah merokok.

Tinjauan menunjukkan, sebanyak 28 peratus kanak-kanak berumur antara 11 dan 15 tahun pernah dilaporkan mengambil ganja sekali setahun pada tahun lalu.

Penyelidikan Unicef juga mendapati, negara mempunyai undang-undang lebih ketat mencatatkan kadar lebih tinggi sekali gus mendorong kanak-kanak untuk cuba mengambilnya.

Namun secara keseluruhan, Kanada menduduki tempat ke-17 dalam senarai dunia 'kanak-kanak tidak bermasalah' berbanding Amerika Syarikat yang menduduki tangga ke-26 selepas Lithuania, Latvia dan Romania yang mempunyai persekitaran kanak-kanak paling teruk untuk membesar.

Kajian Unicef ini turut memberi tumpuan kepada lima dimensi berbeza iaitu tahap kesejahteraan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, tingkah laku dan keadaan  rumah serta faktor persekitaran.

Masalah kekurangan pendidikan, kos penjagaan kesihatan yang tinggi dan kehamilan kalangan remaja merupakan punca dan menyumbang kepada peningkatan masalah ini.

Malah menurut petikan MailOnline, AS yang muncul sebagai negara ketujuh terkaya di dunia, juga turut dipengaruhi masalah tersebut.

Kilang runtuh ragut lebih 82 nyawa




25 April 2013
orang awam
Ratusan orang awam membantu pihak berkuasa mencari mangsa runtuhan di Dhaka.
DHAKA - Sekurang-kurangnya 82 maut dan lebih 500 cedera (sehingga jam 10 malam)  apabila bangunan lapan tingkat di luar Dhaka yang menempatkan kilang pakaian dan pusat beli-belah runtuh di pinggir ibu kota Bangladesh, semalam.

Pegawai penyelamat, Mohammad Asaduzzaman berkata, Plaza Rana terletak di bandar Savar, di luar ibu kota negara itu runtuh kira-kira jam 9 pagi tadi (waktu tempatan) dan hanya tingkat bawahnya masih kekal setakat ini.

“Masih ramai lagi mangsa terperangkap di dalam runtuhan dan jumlah korban dijangka meningkat. Bangunan sekitar juga didapati retak dan arahan mengosongkan bangunan berkenaan dikeluarkan berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika premis perniagaan memulakan operasi dengan sebahagian lagi kedai masih tutup.

Sementara itu, seorang pekerja mendakwa, pemilik kilang berkenaan tidak membenarkan pekerja meninggalkan bangunan itu selepas kesan retak dikesan di dalam blok berkenaan beberapa hari sebelum kejadian.

“Kami ada memaklumkan kepada pihak pengurusan namun mereka tidak mengendahkan teguran kami dan meminta meneruskan operasi perniagaan seperti biasa,” katanya.

Kejadian bangunan runtuh di Bangladesh bukan perkara hal baru kerana banyak bangunan didirikan tanpa mengikut peraturan sah, menurut laporan Reuters.

Isu foto Kate: Penerbit, jurugambar disiasat




25 April 2013
William dan Kate mahu saman majalah Perancis
Closer, yang diterbitkan di Perancis, majalah pertama mendedahkan foto kontroversi Kate.
PARIS - Penerbit dan jurugambar majalah Closer kini berhadapan siasatan kerana dipercayai menyiarkan gambar percutian pasangan diraja Duchess of Cambridge.

Gambar separuh bogel Kate Middleton diambil semasa pasangan diraja itu mengadakan percutian peribadi di negara itu dan disiarkan majalah berkenaan September lalu.

Gambar itu dirakamkan ketika Middleton sedang memakai pakaian mandi.

Penerbit majalah, Ernesto Mauri dan jurugambar, La Provence Valerie sedang disiasat kerana telah menceroboh hak peribadi pasangan diraja itu.

Jurugambar itu mengaku mengambil gambar Middleton dengan pakaian renang beliau tetapi menafikan telah menangkap gambar isteri Putera William itu ketika sedang bogel.

Mahkamah kemudian mengarahkan mereka menyerahkan salinan asal gambar dalam masa 24 jam dan denda sebanyak 10,000 euro (RM39,670).

Pasangan itu turut memfailkan kes berasingan di bawah undang-undang privasi di Perancis.

Stesen minyak kena khianat



HASNIZA HUSSAIN
25 April 2013
Stesen minyak kena khianat
Keadaan cermin kaunter stesen minyak yang retak selepas terkena bola besi (bearing) yang dilepaskan individu tidak dikenali semalam.
KLANG - Dua pekerja stesen minyak terkejut apabila terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati cermin kaunter retak serta berlubang dalam kejadian di Taman Chi Liung, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 pagi ketika kedua-dua pekerja warga Bangladesh itu sedang bertugas di kaunter.

Beliau berkata, ketika kejadian, tiada pelanggan yang mengisi minyak di stesen terbabit.

"Dua pekerja itu hanya mendengar bunyi letupan dari dalam dan menoleh untuk melihat apa yang berlaku.

"Mereka dapati cermin kaunter sudah retak dan terdapat satu lubang berukuran setengah inci pada bahagian atas kaunter bayaran," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan menemui sebiji bola besi (bearing) atas lantai di luar kaunter stesen terbabit.

Katanya, kedua-dua pekerja itu tidak mengetahui siapa yang memecahkan cermin berkenaan termasuk senjata yang digunakan.

"Kita (polis) bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada peluru bearing ditemui di lokasi kejadian dilepaskan melalui tembakan ataupun menggunakan lastik," katanya.

Mohamad berkata, pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman, terdapat sebuah kereta berwarna hitam yang tidak dapat dipastikan jenis serta nombor pendaftarannya, lalu di hadapan kaunter stesen sebelum kejadian berlaku.

"Motif kejadian belum dikenal pasti dan usaha mengesan individu yang terlibat sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, dua pekerja terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Remaja maut ditimpa traktor



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
25 April 2013
Remaja maut ditimpa traktor
Remaja maut ditimpa traktor
Keadaan mangsa yang maut akibat dihempap traktor.
ALOR PONGSU - Tindakan seorang remaja berusia 15 tahun menggunakan ‘laluan pintas’ untuk pergi ke ladang kelapa sawit milik bapa saudaranya dengan menaiki traktor memakan diri setelah maut ditimpa jentera terbabit di kawasan projek pembinaan persimpangan jalan bertingkat di sini, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Safuan Shahrudin, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, ditemui maut di lokasi kejadian kira-kira jam 10.15 pagi setelah ditimpa jentera traktor pengangkut buah kelapa sawit yang terbalik.

Jentera traktor dinaiki mangsa dikatakan terbalik dan menimpa kepala mangsa setelah mangsa dikatakan cuba mendaki lereng bukit yang terbentuk akibat tambakan tanah projek pembinaan setinggi lima meter.

Bapa saudara mangsa, Shahrom Mat Kassim, 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, dia sedang membeli minyak untuk kegunaan jentera itu sebelum menerima panggilan telefon daripada salah seorang pekerja kontraktor yang menyaksikan kejadian kemalangan membabitkan anak saudaranya itu.

“Setiba di lokasi kejadian, saya mendapati keadaan mangsa begitu menyedihkan dengan tayar hadapan traktor betul-betul berada di atas kepalanya.

“Kecederaan parah di kepala menyebabkan anak saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kehilangannya amat dirasai memandangkan arwah rapat dengan saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Shahrom berkata, dia turut terkilan menyuruh anak saudaranya pergi ke ladang kelapa sawit di Matang Pasir terlebih dahulu, memandangkan keputusan itu menyebabkan arwah mengambil laluan di luar kebiasaan secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun, saya menganggap segala-galanya sudah suratan takdir dan kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

“Kini tiada lagi panggilan ‘ayah’ yang sering digunakan untuk memanggil saya dan kami sekeluarga akan merindui kelibat arwah,” katanya.

Kejadian ini turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan calon PKR, Rosli Ibrahim apabila kedua-duanya sempat meluangkan masa hadir ke lokasi kejadian untuk menziarahi mangsa dan keluarganya.