Search This Blog

Wednesday, April 24, 2013

Seorang penyokong parti politik cedera dipukul pihak lawan




24 April 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang penyokong parti politik cedera setelah diserang sekumpulan penyokong parti lawan dalam kejadian di Simpang 3 Pekan Dungun, malam tadi.
  
Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam sekumpulan pasukan pemantau pilihan raya menurunkan bendera salah sebuah parti yang dipasang di kawasan berkenaan kerana menghalang lalu lintas.
  
Koh berkata tindakan itu menyebabkan berlaku salah faham dan mencetuskan kemarahan penyokong parti berkenaan sebelum mereka turut menurunkan bendera parti lawan.
  
Katanya, berikutan itu berlaku pertelingkahan dan pertikaman lidah di antara petugas kedua-dua parti politik tersebut sebelum mereka bertindak agresif dan satu pihak menyerang dan memukul mangsa.
  
"Ekoran kejadian itu mangsa yang berusia 57 tahun itu cedera di bahagian kepala dan badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Koh meminta mereka yang terlibat dalam insiden pergaduhan ini dan saksi tampil di balai polis berdekatan dengan segera untuk membantu siasatan.
  
Kes disiasat di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.  - Bernama

Polis jumpa kanak-kanak setengah jam lepas dilarikan




24 April 2013
IPOH - Tindakan pantas polis telah berjaya menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun selepas setengah jam mangsa dibawa lari bersama kenderaan Toyota Vios milik ibu bapanya oleh tiga lelaki semalam.
  
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mangsa ditemui ditinggalkan oleh suspek di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan dalam keadaan selamat bersama kenderaan tersebut.
 
"Dalam pukul 9.30 malam, ibu bapa mangsa meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta yang enjinnya dihidupkan bagi mengemas restoran milik mereka di Jalan Tasik, Gopeng.
  
Sambil mengemas restoran, ibu mangsa meninjau-ninjau ke arah kereta dan kira-kira setengah jam kemudian, mangsa didapati hilang bersama kereta," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
  
Beliau berkata ibu kanak-kanak itu yang panik kemudian bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut sebelum pasukan 'Cantas' yang ditubuhkan khas untuk pilihan raya, membuat rondaan dan menemui mangsa di R&R itu.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang dipercayai warga tempatan itu meninggalkan mangsa bersama kereta sebelum melarikan diri.
  
"Hasil daripada keterangan mangsa, kanak-kanak itu hanya boleh mengecam warna kulit tetapi tidak dapat mengenal pasti mangsa namun kita akan buru mereka.
  
"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Akta Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda," katanya.
  
Dalam pada itu, jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen Perak Supt Maszely Minhad berkata polis menerima 17 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dan telah membuka satu kertas siasatan semalam.
  
"Semalam, dua remaja lelaki berusia 15 tahun telah ditahan atas kesalahan mencabut sebatang bendera parti di Sungai Siput namun dibebaskan atas jaminan polis setelah rakaman percakapan diambil," katanya.
  
Maszely berkata sebanyak 121 ceramah telah dijalankan di seluruh Perak semalam di mana 14 dari jumlah itu didapati tidak mempunyai permit.

Beliau turut mengingatkan parti bertanding agar tidak mengupah pekerja asing untuk memasang bendera kerana ia melanggar syarat kemasukan pekerja asing. - Bernama

Kaki digilis selepas dihimpit lori



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
24 April 2013
Anggota JPAM
Anggota JPAM daerah Kerian memasang alat penyokong pada kaki mangsa sebelum dihantar ke hospital.
BAGAN SERAI - “Saya terpaksa memanggil ambulans kerana bimbang selepas melihat kaki mangsa parah,” kata saksi kemalangan di Sungai Gedung di sini, Ahad lalu.

Saksi dikenali sebagai Ahmad berkata, dia melihat mangsa, P Rajagopal, 50-an, yang menunggang motosikal dikatakan bergesel dengan sebuah lori yang menuju ke arah Taiping dari Bagan Serai.

Menurutnya, akibat kejadian kira-kira jam 3.10 petang, Rajagopal mengalami patah paha dan betis kanan.

“Sejurus motosikal ditunggangi mangsa terjatuh selepas dihimpit lori berkenaan, kaki kanan mangsa digilis tayar belakang lori itu sehingga menyebabkannya terkulai.
“Lori yang mengilis kaki mangsa bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran orang awam ke lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, Ahad lalu.

Ahmad berkata, dia dan beberapa saksi kemalangan membantu mengalihkan tubuh mangsa, yang ketika itu meraung kesakitan ke bahu jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian, N B Sugumaran ketika dihubungi media menegaskan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang dan bergegas ke sana dengan menaiki ambulans jabatan berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami melihat mangsa berada dalam keadaan separuh sedar sambil meraung kesakitan, manakala kaki kanannya sudah terkulai dan parah.

“Kami segera memberi bantuan dengan membalut dan memasang alat penyokong kaki seterusnya menghantar mangsa berkenaan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan.

6 lelaki didakwa bergaduh di tempat awam



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Semua tertuduh
Semua tertuduh ketika hadir ke Mahkamah Majistrest Seremban, semalam.
SEREMBAN – Enam lelaki termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, atas tuduhan bergaduh di tempat awam.

Tertuduh, R. Mogan Raj, 20, bersama bapanya, C Ravichandran, 47, dan empat orang lagi iaitu RA Raviberakas, 18; J Thanarajan, 22; G Mugilvaannan, 21 serta T Suseh, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan pergaduhan dengan memukul menggunakan kerusi plastik di tempat awam.

Kejadian itu berlaku kira-kira 6.30 petang 7 April lalu di No 63 Jalan Besar Pajam, Mantin.

Sehubungan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Raviberakas, Thanarajan, Mugilvaannan dan Suseh diwakili peguam, Philips Yeow, manakala Mogan serta bapanya tidak diwakili peguam.

Raviberakas dan Mugilvaannan juga merupakan pelajar sebuah kolej.

Semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah dan tarikh sebutan semula kes pada 23 Mei ini.

Berpantang maut sebelum ajal



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
bomba
Anggota bomba membantu mangsa kemalangan.
SHAH ALAM - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang pemandu yang terselamat apabila kereta dipandunya terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Sultan, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dipercayai berlaku apabila wanita berusia 24 tahun yang belum dikenal pasti identiti itu memandu bersendirian sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat, Jumari Hussin berkata, pihaknya terima panggilan daripada orang awam pada jam 8.33 pagi.Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam termasuk tiga Unit Gerak Cepat Bermotosikal (RIM) ke lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam setibanya kami ke lokasi kejadian.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kereta Proton Iswara yang dipandunya lalu melanggar tembok pembahagi jalan, sebelum terbalik,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa membantu menghantar mangsa yang mengalami cedera ringan ke pusat perubatan berhampiran untuk rawatan.

“Kami membantu mengalihkan kereta mangsa ke tepi jalan bagi melancarkan laluan trafik kerana kemalangan berlaku pada waktu puncak,” katanya.

Tukang kempen cedera kena pukul



SITI NOOR SEPEE
24 April 2013
Mangsa terbaring
Mangsa terbaring akibat cedera dipukul dua individu tidak dikenali.
SKUDAI – Ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) anjuran DAP di Taman Skudai Baru, dekat sini, malam kelmarin, dicemari dengan insiden tidak diingini apabila seorang ahli kempen parti itu cedera dipukul.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, Steven Tai, 18, berasal dari Kedah yang juga seorang ahli kempen kepada calon DAP kerusi Dun Senai, Wong Shu Qi, cedera.

Menurut Shu Qi, sejurus selesai menyampaikan ceramah yang turut membabitkan beberapa pemimpin DAP lain termasuk Ketua Publisiti parti itu, Tony Pua, dia dimaklumkan Steven terbaring akibat dipukul kira-kira 100 meter dari lokasi ceramah.

“Sebelum insiden Steven sempat memaklumkan dia mahu mengambil angin dan pergi ke sebuah kedai untuk membeli minuman bersendirian.

"Sebaik mendapat berita, saya terus bergegas ke lokasi tempat Steven dipukul kerana bimbang dia mengalami kecederaan serius.

“Ketika tiba di lokasi terbabit, Steven masih tidak berupaya untuk bangun kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, perut dan belakang.

"Daripada ceritanya, dua lelaki tiba-tiba datang menyerang dan terus mengheretnya ke tempat gelap,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan mangsa berjalan bersendirian selain lokasi kejadian agak gelap dan tersorok, tiada saksi yang dapat memberikan sebarang maklumat berhubung insiden menimpa Steven.

Mangsa juga mengakui tidak dapat mengecam identiti dua lelaki itu kerana terkejut tiba-tiba diserang.

Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, Steven dibenarkan pulang dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Saya tidak mahu membuat sebarang andaian untuk mengaitkan kejadian ini bermotifkan politik walaupun ia berlaku ketika kami sedang mengadakan ceramah. Saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan,”katanya.

Satu laporan dibuat mangsa berhubung kejadian itu di Balai Polis Skudai, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan menerima laporan itu dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pemandu teksi ditembak mati ketika makan di restoran




24 April 2013
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi ditembak mati dua lelaki ketika menikmati makan malam bersama isteri dan anak perempuannya di sebuah restoran di Batu 14, Kampung Baharu Puchong dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa, Seva Arumugan, 36, didatangi dua lelaki bertopeng yang melepas beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam kejadian 9.20 malam itu.
"Dua suspek tersebut berbadan gempal dan berusia lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira kelabu dengan nombor pendaftaran NBS 9119, yang dipercayai kenderaan curi.
Mangsa dibawa ke sebuah klinik tidak jauh dari tempat kejadian namun disahkan meninggal dunia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama

Seorang maut dalam pergaduhan di Kuching




23 April 2013
KUCHING - Seorang lelaki dari Kampung Bintawa Ulu, Petrajaya terbunuh dalam satu pergaduhan di hadapan bangunan Baitulmakmur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Roslan Bek berkata Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, ditemui dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah di atas konkrit.

"Pihak polis telah menerima maklumat berkaitan satu pergaduhan kira-kira 10.20 malam dan mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh pihak hospital yang juga tiba di tempat kejadian dengan ambulans," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Roslan berkata kira-kira enam jam kemudian, empat orang suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun telah ditangkap di kampung Bako dan Samariang Baru.

"Polis turut merampas barang kes seperti sebuah motosikal milik si mati, sebuah motosikal milik salah seorang daripada suspek, pakaian milik empat suspek dan serpihan topi keledar yang pecah.

"Serpihan topi keledar tersebut dipercayai senjata yang digunakan dalam pergaduhan berkenaan," katanya.

Mangsa sudah berkahwin dan bekerja sendiri manakala keempat-empat suspek masih bujang.

Roslan berkata seorang lagi suspek sedang diburu dan dia dipercayai masih berada di Kuching.

Beliau berkata suspek dan mangsa dipercayai mengenali antara satu sama lain dan motif pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman bunuh. Kempat-empat suspek ditahan reman dan pihak polis sedang mengkumpul bukti untuk melakukan pendakwaan," katanya.

Roslan juga berkata kes tidak mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya. - Bernama

Editor Pengurusan NST kerugian kerana diragut




24 April 2013
KUALA LUMPUR - Editor Pengurusan New Straits Times Datuk Nuraina Samad mengalami kerugian bernilai lebih RM9,000 apabila diragut tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berhampiran Restoran Antonio di Taman Tun Dr Ismail dekat sini malam tadi.
  
Ketika dihubungi Bernama, Nuraina, 57, berkata beliau bersama anak perempuan dan anak saudara perempuannya baru sahaja lepas makan apabila kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam.
  
"Masa dalam perjalanan menuju ke kereta, saya nampak sebuah Myvi kelabu yang bercermin gelap parkir di belakang kereta saya tetapi saya tak rasa curiga," katanya.
  
Beliau berkata ketika sedang membuka pintu keretanya, tiba-tiba kereta Myvi tersebut bergerak menghampiri kereta beliau dan seorang lelaki di kerusi penumpang hadapan menarik beg tangannya tetapi gagal berbuat demikian.
  
"Kereta berkenaan bergerak lagi ke hadapan dan seorang lagi penumpang menarik pula beg saya sambil memegang sebilah pisau dan mengacukan ke arah saya.

"Saya terpaksa melepaskan beg tangan saya kerana tidak mampu bertahan," katanya yang mengalami calar serta lebam di lengan kiri dan kanan.
  
Nuraina berkata dalam beg tangannya mengandungi dompet, telefon bimbit, buku cek dan pelbagai barangan peribadi.
  
Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada pukul 11 malam tadi. - Bernama

Terima bungkusan misteri




24 April 2013
SEOUL - Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Kwan Jin, semalam menerima bungkusan mengandungi surat ugutan dan serbuk putih misteri.

Dipetik AFP, bungkusan itu diterima sehari selepas ratusan risalah berunsur ancaman yang ditemui di luar pejabat menteri tersebut.

Difahamkan, kandungan risalah itu turut mengutuk pendirian tegas beliau terhadap Korea Utara yang didakwa menjadi punca utama peningkatan serangan propaganda ke atas Seoul.

Menurut jurucakap kementerian itu, satu siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pengirim bungkusan tersebut. 

Suami mati dalam bilik air



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Rizal
Mayat Rizal (gambar kecil) yang ditemui mati dalam bilik air oleh isterinya dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
DUNGUN – Seorang guru tidak menyangka panggilannya yang tidak bersahut sebaik tiba di rumah selepas pulang dari tempat kerja memberi khabar duka apabila suami tercinta ditemui mati di bilik air dalam bilik tidur rumahnya.

Guru terbabit, Zarina A Bakar, 43, yang memasuki rumah bersama seorang anak lelaki, Shahrinizam Mohd Rezal, 15, terkejut mendapati suaminya, Mohd Rizal Mohd Yusof, 53, kaku di dalam bilik air.

Menurutnya, dia meninggalkan arwah bersama tiga lagi anaknya kira-kira jam 7 pagi sebelum ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Nyior.

Zarina berkata, arwah selepas itu dikatakan turut keluar rumah untuk menghantar dua lagi anaknya, masing-masing Nurul Sofiah Mawardah, 8, dan Mohd Zulhusni, 7 ke Sekolah Islam Al-Amin Gong Pasir.

“Saya tak sangka dia pergi begitu cepat kerana sebelum ini dia tidak sakit, malam semalam pun dia sempat berbual dengan saya," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan polis masih lagi menyiasat kes berkenaan.

Parti liar dalam banglo, 26 ditahan



NORRIZAH BAHARUDIN
24 April 2013
Rahimin Bani
Rahimin Bani
ALOR GAJAH - Tindakan licik 26 individu menjadikan sebuah banglo kosong di sekitar Simpang Ampat, di sini, sebagai lokasi mengadakan parti liar terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu berjaya menahan 19 lelaki berusia antara 18 hingga 33 tahun bersama tujuh wanita berusia 18 hingga 22 tahun.

Mereka semua datang dari luar daerah ini dan ditahan di banglo berkenaan dalam keadaan gelap.

Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya menahan 29 individu termasuk lelaki dan wanita dalam keadaan separuh sedar.

Menurutnya, ketika serbuan itu, beberapa lelaki dan perempuan sedang mandi dalam kolam, manakala sebahagian lagi berada di dalam banglo berkenaan.

“Semasa menghampiri banglo berkenaan, sekumpulan lelaki dan perempuan sedang mandi dalam keadaan khayal serta terpinga-pinga setelah melihat kehadiran penguat kuasa. Apabila pintu hadapan dibuka, kami dapati suasana ruang utama banglo
berkenaan agak samar dan hanya kelihatan beberapa lelaki dalam keadaan separuh sedar,” katanya.
Rahimin berkata, semua individu terbabit datang dari luar Melaka dipercayai menyewa banglo berhampiran, namun mengambil kesempatan menggunakan banglo terbiar itu untuk berparti.

“Mereka dipercayai menggunakan banglo kosong di kawasan berkenaan bagi menganjurkan pesta liar, selain dijadikan ‘port’ melepaskan ketagihan dadah.
“Anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan awal di dalam banglo berkenaan menemui empat botol arak berjenama, selain peralatan menghisap dadah. Hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka juga mendapati seorang daripadanya positif dadah,” katanya.

Katanya, semua individu ditahan dibawa ke Balai Polis Alor Gajah sebelum dirujuk ke Pejabat Agama Islam Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
“Mereka ditahan untuk dokumentasi dokumen mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka tahun 1991 bagi membantu siasatan,” katanya.
Serbuan disertai 20 anggota penguatkuasa Jaim, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan anggota polis.

Penganggur didakwa merogol



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Raja Muhammad Azrol
Raja Muhammad Azrol dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan merogol seorang gadis bawah umur, pada 7 April lalu.

Bagaimanapun, Raja Muhammad Azrol Raja Anuar, 19, dari Kampung Gong Kala, Pasir Puteh, Kelantan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Berdasarkan pertuduhan, Raja Muhammad Azrol didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 15 tahun empat bulan di rumah tidak bernombor di Kampung Gong Tengah, Merang, Penarik, kira-kira jam 2 hingga 3 petang, pada 7 April lalu.

Raja Muhammad Azrol didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala Raja Muhammad Azrol tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Raja Muhammad Azrol direkodkan, Rozianti menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen bagi melantik peguam dan membenarkan Raja Muhammad Azrol diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Rumah dipecah masuk ketika kemas kini data undi pos PRU13



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Sakinah
Sakinah menunjukkan bekas tempat menyimpan barang kemas miliknya kosong selepas rumahnya dipecah masuk penjenayah.
Mohd Rafi
Mohd Rafi menunjukan bahagian tingkap bilik utama yang diumpil pencuri.
MARANG – Seorang pembantu am di Pejabat Daerah dan Tanah di sini, kerugian kira-kira RM40,000 selepas rumahnya dipecah masuk ketika menjalankan tugas mengemas kini data undi pos Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam kelmarin.

Mangsa, Sakinah Othman, 37, yang keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam berkata, kejadian itu bagaimanapun hanya disedari olehnya dan suami, Mohd Rafi Kassim sebaik sahaja tiba di rumah, kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut Mohd Rafi, dia keluar dari rumah di Kampung Bukit Rhu Rendang untuk menghantar isterinya ke Pejabat Daerah dan Tanah Marang sebelum ke rumah mentua di Kampung Bukit Gasing sambil menunggu isterinya pulang.

“Apabila isteri selesai menjalankan tugasnya, saya menjemputnya untuk pulang bersama ke rumah kami di Kampung Bukit Rhu Rendang.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, kami terkejut mendapati bilik tidur utama digeledah dan selepas membuat pemeriksaan, didapati barang kemas lesap dilarikan pencuri," katanya.

Mohd Rafi berkata, pencuri terbabit mengumpil tingkap di bahagian bilik tidur utama sebelum berjaya memasuki rumah dan melarikan barang kemas berupa seutas rantai tangan, dua utas rantai leher dan tujuh bentuk cincin.

Menurutnya, turut dilarikan sebuah komputer riba, jam tangan dan dokumen penting seperti kad bank dan kad pengenalan termasuk tunai RM2,000.

"Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000 dan laporan polis dibuat di Balai Polis Marang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Kereta calon Pas diconteng



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Kenderaan Alias yang diconteng perkataan lucah.
Kenderaan Alias yang diconteng perkataan lucah.
DUNGUN – “Saya terima ujian Tuhan dengan sabar, ia sebahagian daripada perjuangan saya untuk menegakkan agama ALLAH SWT,” kata Alias Harun, pemilik kenderaan yang diconteng cat dengan perkataan lucah.

Kejadian disedari anak perempuannya, Sumaiyah, 25, ketika mahu mengundurkan kenderaan untuk menghantar dua adiknya ke sekolah setelah melihat ada tulisan putih di cermin belakang Toyota Unser milik bapanya itu yang diletakkan di garaj rumahnya dekat belakang Hospital Dungun.

Ketika kejadian, Alias yang juga calon Pas kerusi Dun Rantau Abang difahamkan bertemu pengundi di Kampung Padang Pulut selepas solat Subuh berjemaah di Masjid Serdang.

Alias berkata, ketika mahu bersarapan bersama penduduk kampung di warung, dia dihubungi anaknya memaklumkan kejadian.
Menurut Alias, dia tidak menyedari perkara itu kerana keluar awal pagi.

Menurut Alias, dia mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan niat khianat kerana dia adalah calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

Alias, Pengerusi Majlis Tindakan Dun Rantau Abang adalah calon yang diketengahkan Pas untuk menentang penyandang kerusi itu, Datuk Zaa’bar Mohd Adib yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Sumaiyah yang ditemui kesal kereta milik bapanya diconteng dengan perkataan lucah.

Menurutnya, sebagai seorang anak, dia beranggapan itulah sebahagian dugaan yang harus dilalui buat ahli keluarga yang terpilih untuk berjuang atas jalan ALLAH SWT.
“Saya syak ia ada kaitan dengan rancangan politik.

“Walau apa yang berlaku saya tetap beri sokongan pada ayah,” katanya.

Sumaiyah membuat laporan polis berkaitan kes terbabit dan polis mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Imam muda, penghulu didakwa



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
Mohd Quawes (kanan) dan Mohamad Zulkepli
Mohd Quawes (kanan) dan Mohamad Zulkepli menuju ke mahkamah untuk berdepan tuduhan, semalam.
KOTA BHARU - Gara-gara berselisih fahaman politik, seorang imam muda dan penghulu masyarakat di Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mereka dituduh atas dakwaan bergaduh dan mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian di kedai makan kampung berkenaan pada jam 5 petang, 20 April lalu.

Pada prosiding semalam, Imam Muda Masjid Kampung Permatang Gading, Mohd Quawes Al Khusrony,27, dan penghulu masyarakat, Mohamad Zulkepli Ismail, 51, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai enam bulan atau denda yang boleh sampai RM1,000, jika sabit kesalahan. Hakim, Mohd Yusuff Yunus bagaimanapun menangguhkan fakta dan hukuman 30 April ini di Mahkamah Majistret Pasir Puteh.

Guna tandatangan palsu Sultan



SITI FATIHAH AWANG
24 April 2013
Tengku Fadzilah
Tengku Fadzilah (tengah) bersama ahli persatuan di depan Balai Polis Pengkalan Chepa, semalam.
KOTA BHARU - Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia semalam tampil membuat laporan polis berhubung pemilik kenderaan yang didakwa menggunakan tandatangan palsu Sultan Kelantan untuk menyokong sebuah parti politik di sini.

Yang Dipertuanya, Tengku Syarifah Fadzillah Puteri berkata, kenderaan jenis Volvo 940 berwarna hijau tersebut didakwa dilihat di depan sebuah kedai buku di kawasan Pasir Putih jam 12 malam kelmarin.

“Kereta tersebut menampal poster wajah dan tandatangan palsu milik sultan Kelantan untuk tujuan mempromosikan atau berkempen kepada salah sebuah parti yang bertanding di sini.

“Perkara itu sangat dikesali dan kami bermohon kepada sesiapa sahaja, jangan sesekali melakukan aktiviti tidak sihat seperti itu terutamanya yang melibatkan sultan atau kerabat diraja Kelantan,” katanya kepada media di Balai Polis Pengkalan Chepa,
semalam.

Menurutnya, perkara tersebut boleh mendatangkan salah faham dan juga pemahaman yang tidak betul kepada masyarakat kerana ianya melibatkan pemerintah tertinggi sesebuah negeri.

Beliau turut berharap agar perkara tersebut diambil tindakan serius oleh pihak-pihak yang sepatutnya supaya ianya dapat dibendung daripada terus berleluasa.

“Kami sudah buat laporan dan kami berharap agar pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat mengesan kenderaan tersebut untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Kedaulatan sultan bukan boleh digunakan seperti itu. Kami sebagai ahli kerabat sangat kesal dengan perkara tersebut dan diharapkan agar ianya tidak akan berlaku lagi selepas ini terutamanya di musim demam pilihan raya ketika ini,” katanya.

Rogol anak kandung, bagi pil perancang elak hamil



WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2013
KUALA PILAH - Ibarat haruan makan anak, itu tindakan seorang lelaki yang tergamak melepaskan nafsu serakah ke atas anak kandungnya sejak 2011 hingga 4 April 2013.

Lebih menjijikkan bapa berusia 46 tahun itu dikatakan sanggup memberi mangsa ubat perancang kehamilan sebelum mangsa didatangi haid dan melakukan hubungan kelamin bagi mengelak mangsa hamil.

Bagaimanapun insiden itu terbongkar selepas mangsa, yang berusia 14 tahun menceritakan kejadian menimpanya itu kepada rakan sekolah sehingga sampai ke pengetahuan guru sekolah berkenaan.

Atas tindakan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah (IPD) pada 8 April  lalu ditemani oleh pihak sekolah.

Mangsa merupakan anak keempat dari tujuh beradik itu nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan perangai bapa kandung yang dipercayai merogolnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, remaja terbabit mendakwa dirogol sejak 2011 sehingga April lalu.

“Bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 46 tahun berjaya ditahan di rumah ibunya di Kampung Ibol pada 19 April 2013. Suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman tujuh hari sehingga 26 April ini.

“Polis difahamkan, suspek menetap di Kampung Ulu Bendul bersama isteri dan anak-anaknya. Kemudian melakukan perbuatan terkutuk di rumah ibunya di Kampung Ibol di bilik stor bawah rumah. Memilih tempat itu kerana tiada orang di situ dan ibu suspek  uzur,” katanya.

Azmi berkata, kes itu masih dalam siasatan pihak polis dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk menjalani pemeriksaan.

“Pihak polis masih lagi menjalani siasatan lebih terperinci dan mangsa bersekolah seperti biasa.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 , Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan,” katanya.

Difahamkan, suspek mempunyai memiliki lima anak perempuan dan dua lelaki.

Lelaki amuk beri amaran - Saksi



PUTRAJAYA 23 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, lelaki yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun lalu pernah memberi amaran kepada pihak polis supaya jangan mencampuri urusan kedatangannya ke kompleks berkenaan jika mereka mahu hidup.
Koperal Ismail Ahmad, 31, berkata, lelaki tersebut marah selepas dihalang dengan kenderaan polis daripada memasuki pintu masuk B1 yang merupakan laluan awam ke kompleks tersebut.
Saksi yang merupakan anggota Unit Task Force Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menyatakan perkara itu seperti yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat berhubung kejadian tersebut.
Menurut Ismail, dia yang ketika itu melakukan tugas rondaan di Presint 3 bersama-sama dua lagi anggota polis kemudian bergegas ke JPM menaiki kenderaan polis sebaik sahaja mendapat maklumat.
Setibanya di situ, mereka melihat lelaki tersebut yang diiringi tertuduh, Muhdalena Ahmad, 28, menghala ke pintu masuk laluan awam sambil memegang parang panjang.
Ismail menyatakan, sebaik sahaja melihat kenderaan polis memasuki kawasan itu, lelaki berkenaan menghampiri mereka dan bertindak menghayun parang panjang ke bahagian cermin hadapan sebelah pemandu menyebabkannya retak dan pecah.
Ujar saksi, bagi mengalihkan perhatiannya daripada memasuki laluan awam, mereka memandunya ke kawasan pejalan kaki dan pada waktu yang sama pasukan Unit Kereta Peronda tiba.
Saksi itu memberitahu, kedua-duanya kemudian menghampiri kereta peronda dan mereka bertiga pun beredar dari situ untuk mencari tempat meletak kenderaan di Blok B yang jaraknya kira-kira satu kilometer.
''Ketika itu, saya mendengar tiga das tembakan dilepaskan menyebabkan kami bergegas ke tempat kejadian. Saya melihat lelaki berkenaan dan tertuduh sudah terkena tembakan,'' ujarnya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh pada pemeriksaan utama.
Dalam kejadian itu, lelaki yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi', Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari kini dan tangan kiri.
Menjawab soalan peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena, Ismail berkata, sepanjang tugasnya selama 13 tahun di IPD, kejadian mengamuk bersenjatakan parang panjang merupakan yang pertama berlaku di kompleks JPM.
Saksi bersetuju bahawa perlakuan lelaki terbabit tidak normal dan kedatangannya ke kompleks berkenaan atas motif tertentu.
Anggota polis itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhdalena yang didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.
Muhdalena turut didakwa atas tuduhan tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.
Dia turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Kamil Nizam bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130424/ma_01/Lelaki-amuk-beri-amaran---Saksi#ixzz2RMMqU9Pu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inkues William: Bapa cemas anak hilang



PETALING JAYA 23 April - Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, bapa William Yau Zhen Zhong, Yau Kok Kang kelihatan cemas dan pucat apabila mengetahui kehilangan anaknya itu pada malam kejadian.
Konstabel Nor Shahrir Zakaria berkata, Kok Kang, 32, berkeadaan sedemikian ketika dia bertemu dengan lelaki itu di hadapan sebuah kedai elektrik di Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini setelah dihubungi melalui telefon bimbitnya.
"Kok Kang telefon saya kira-kira pukul 8.30 malam ketika saya sedang membuat rondaan, dia memberitahu anaknya hilang di lokasi kedai tersebut," katanya.
Sewaktu tiba di tempat kejadian, dia melihat isteri Kok Kang, Goh Ying Ying, 26, sedang menangis sambil mendukung anak perempuannya.
"Saya telah meminta Kok Kang membuat laporan polis di Balai Polis Putra Heights, selepas itu saya dan rakan setugas meneruskan usaha mencari William di sekitar kawasan tersebut termasuk di kawasan Putra Mahkota," katanya.
Menurut Nor Shahrir, keadaan di kawasan tersebut gelap kecuali di hadapan kedai elektrik berkenaan menyebabkan dia terpaksa menggunakan lampu suluh untuk mencari kanak-kanak itu terutama di kawasan longkang.
Katanya lagi, keadaan longkang di kawasan tersebut termasuk di kawasan padang berhampiran tempat kejadian kering namun tidak menolak kemungkinan ia mampu menghanyutkan objek berat jika hujan lebat.
Nor Shahrir, 26, berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt yang membantu prosiding inkues siasatan kematian kanak-kanak tersebut.
Saksi itu juga memberitahu, sebanyak lima anggota polis turut tiba di lokasi kejadian dalam usaha mencari William.
Ditanya mengenai hubungan anggota polis itu dan keluarga Kok Kang, Nor Shahrir berkata, dia mengenali semua anggota keluarga tersebut termasuk William namun tidak rapat dengan mereka.
"Saya pernah beberapa kali menyapa William dan bertanya khabar tetapi dia tidak pernah menjawab sapaan saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130424/ma_03/Inkues-William-Bapa-cemas-anak-hilang#ixzz2RMMcexFc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja stesen minyak cemas cermin kaunter ditembak



KLANG 24 April - Dua pekerja sebuah stesen minyak di Taman Chi Liung, Pandamaran di sini berdepan dengan detik cemas apabila cermin kaunter pembayarannya ditembak dari arah luar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 pagi itu, kedua-dua pekerja berkenaan yang sedang melakukan kerja berhampiran kaunter di stesen minyak itu tiba-tiba terdengar bunyi letupan dari arah luar dan mendapati cermin kaunter telah retak.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Mohamad Md. Yusof berkata, sejurus menerima laporan daripada Balai Polis Pandamaran, sepasukan pegawai penyiasat dan pasukan forensik bergegas ke lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130424/je_07/Pekerja-stesen-minyak-cemas-cermin-kaunter-ditembak#ixzz2RMMX8zmN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cabul: Mahkamah kekalkan hukuman penjara 2 beradik



PUTRAJAYA 23 April - Dua beradik perempuan diperintah oleh Mahkamah Rayuan hari ini menjalani hukuman penjara lima tahun lapan bulan terhadap dua tuduhan mencederakan dan dua tuduhan mencabul kehormatan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia, sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian selepas menolak permohonan Wong Choy Ling, 42, dan adiknya, Wong Choy Kin, 40, bagi mendapat kebenaran merayu.
Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan mencabul kehormatan dan lapan bulan terhadap kesalahan mencederakan mangsa.
Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan balas pendakwa raya dengan menambah hukuman daripada dua tahun kepada lima tahun bagi kesalahan mencabul.
Mahkamah mengekalkan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan mencederakan mangsa. Hukuman diperintah berjalan berturut-turut.
Pada 13 Oktober dua tahun lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan mencederakan dan dua tahun bagi kesalahan mencabul. Hukuman diperintah berjalan serentak.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dua beradik itu didakwa secara berasingan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun.
Kejadian berlaku di rumah No. 38, Jalan BS 5/17A, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada pukul 9 malam, masing-masing pada November 2003 dan September 2004.
Choy Ling dan Choy Kin juga menghadapi tuduhan bersama mencabul mangsa dengan memasukkan pisang dan hujung botol minuman 100 plus ke dalam kemaluannya di rumah yang sama pada waktu siang, sekitar Julai 2004.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130424/ma_02/Cabul-Mahkamah-kekalkan-hukuman-penjara-2-beradik#ixzz2RMMRLY6d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat remaja lelaki ditahan



Hui Ying Chin bersama ibunya, Ong Ai Sam.
SHAH ALAM 23 April - Polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang maut ditikam dalam cubaan samun semasa menyertai larian amal bersama keluarganya di Bukit Gasing, Petaling Jaya dekat sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di Flat Sri Medan dan Flat Bukit Gasing Indah di Petaling Jaya pada awal pagi ini.
Beliau berkata, keempat-empat suspek yang tidak bekerja itu ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan, Ong Ai Sam, 52.
“Pasukan khas dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menangkap suspek pertama iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah rumah di Flat Sri Medan pada pukul 1.30 pagi ini.
“Selepas 10 minit kemudian, seorang lagi remaja berusia 18 tahun ditangkap di flat sama, manakala dua lagi suspek berusia 17 dan 18 tahun diberkas di Flat Bukit Gasing pada pukul 3.30 pagi," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Ai Sam, mati ditikam dua suspek menaiki motosikal jenis Honda EX5 ketika membuat laluan meredah denai untuk satu program peserta Kelab Kiwanis bersama anaknya di Bukit Gasing.
Mangsa ditikam semasa cuba menyelamatkan anak perempuannya, Hui Ying Chin, 17, yang membawa sebuah beg silang mengandungi wang tunai RM60 dan sebuah telefon bimbit daripada disamun dua penjenayah berkenaan.
Ai Sam disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.
Menurut Tun Hisan, kesemua suspek yang ditahan kini direman selama empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis dari IPD Petaling Jaya telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk di kawasan berkenaan semalam dan akan membuat perjumpaan kali kedua pada pukul 2 petang esok, bagi membincangkan soal keselamatan di situ.
“Kita menyarankan supaya penduduk di kawasan sekitar dapat hadir untuk berbincang terutama berkaitan aspek keselamatan memandangkan lokasi kejadian sunyi dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat berjoging.
“Polis turut nasihatkan penduduk supaya bergerak secara berkumpulan agar lebih selamat dan jangan mengambil risiko bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130424/je_02/Empat-remaja-lelaki-ditahan#ixzz2RMMGO4Hv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanada tahan 2 rakyat asing cuba serang kereta api



OTTAWA 23 April - Dua rakyat asing ditahan di Kanada, dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Al-Qaeda dan merancang untuk menggagalkan laluan kereta api penumpang di kawasan Toronto.
Polis Kanada, semalam berkata, Chiheb Esseghaier, 30, dan Raed Jaser, 35, dituduh merancang serangan ke atas kereta api Via Rail.
Perbicaraan ikat jamin bagi kes tersebut dijadualkan berlangsung hari ini.
Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam, Vic Toews memberi amaran penahanan semalam menunjukkan kegiatan keganasan masih berterusan memberi ancaman kepada negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130423/lu_09/Kanada-tahan-2-rakyat-asing-cuba-serang-kereta-api#ixzz2RMLhKHr9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima maut lelaki mengamuk di Belgord, Rusia



MOSCOW 23 April - Seorang lelaki bersenjata menembak mati lima orang termasuk seorang remaja perempuan sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
Kejadian yang berlaku di bandar Belgord, di barat negara ini, semalam, turut menyebabkan enam lagi cedera.
Gambar kejadian berdasarkan rakaman amatur yang disebarkan secara dalam talian menunjukkan mayat remaja tersebut dibalut dengan plastik biru di tepi jalan dan dikerumuni orang ramai berdekatan sebuah sekolah. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130423/lu_02/Lima-maut-lelaki-mengamuk-di-Belgord-Rusia#ixzz2RMLbXft5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga Belanda dipenjara tiga tahun kerana raba budak



DENPASAR, Indonesia 23 April - Seorang lelaki warga Belanda dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun semalam, kerana melakukan jenayah seksual terhadap empat remaja di Pulau Peranginan Bali, dekat sini.
Jan Jacobus Vogel, 55, didapati bersalah oleh mahkamah daerah Singaraja kerana kesalahan meraba empat budak perempuan yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun, dan memberikan mereka hadiah atau bayaran sebagai balasan.
Menurut hakim Sri Haryani, kesalahan yang dilakukan oleh defenden telah menyebabkan trauma kepada mangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130423/lu_12/Warga-Belanda-dipenjara-tiga-tahun-kerana-raba-budak#ixzz2RMLVnzAb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua pencuri paling bodoh ditahan



Satu daripada bukti menunjukkan Holmes (kiri) dan Leadbeater, bergambar di dalam sebuah daripada kereta yang dicuri mereka. - AGENSI
LONDON 23 April - Dua orang rakan dari London Selatan digelar pencuri paling bodoh kerana berjaya mencuri lebih 35 buah kereta bernilai 500,000 pound (RM2.33 juta), namun meninggalkan bukti perbuatan jenayah mereka itu dalam telefon bimbit mereka.
Sam Holmes, 22, dan David Leadbeater, 23, dari Eltham, selatan London dilaporkan mencuri kereta-kereta tersebut termasuk jenis BMW dan Audi di Kent dan Surrey dalam tempoh 40 hari.
Walaupun menukar nombor plat kenderaan terbabit untuk mengelak dikesan, kedua-dua pencuri itu mengambil gambar kereta-kereta berkenaan menggunakan telefon bimbit mereka.
Holmes dan Leadbeater turut mengambil gambar duduk dalam sebuah daripada kereta tersebut.
Polis berkata, kedua-dua lelaki tersebut mungkin menganggap diri mereka pencuri hebat, namun mereka meninggalkan banyak bukti.
''Leadbeater ditahan oleh polis ketika memandu sebuah kereta Mini Cooper yang dicuri di Southend, Essex pada Julai lalu.
''Selepas polis memeriksa telefon bimbitnya, mereka menemui sejumlah gambar dia dengan kereta-kereta yang dicuri,'' katanya.
Polis berkata, Holmes ditahan selepas polis menemui gambarnya dalam sebuah kereta Mini Cooper yang dicuri, di telefon bimbitnya.
''Kebanyakan kereta yang mereka curi berjaya ditemui semula selepas penangkapan mereka,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_06/Dua-pencuri-paling-bodoh-ditahan#ixzz2RMKsvzhj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kedutaan Perancis dibom



Orang ramai memerhatikan kerosakan di luar bangunan Kedutaan Perancis selepas serangan bom di Tripoli, semalam. - REUTERS
TRIPOLI 23 April - Kedutaan Perancis di Libya dikejutkan dengan satu letupan bom hari ini, menyebabkan dua pengawal keselamatan cedera dalam serangan pertama di ibu negara sejak tamatnya pemberontakan menyingkirkan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi pada 2011.
Menurut keterangan penduduk berdekatan kedutaan itu, mereka mendengar dua letupan berlaku kira-kira pukul 7 pagi (3 petang waktu Malaysia hari ini).
Seorang saksi yang tinggal kurang 100 meter dari kedutaan itu berkata, tingkap rumahnya bergegar apabila letupan pertama berlaku.
"Saya terdengar dua letupan. Letupan pertama sangat kuat, disusuli letupan kecil yang kedua," katanya.
Seorang pegawai Kedutaan Perancis yang enggan dikenali berkata, serangan tersebut menyebabkan kerosakan teruk dan dua pengawal keselamatan dilaporkan cedera.
Sementara itu di Paris, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengutuk serangan itu yang disifatkan sebagai kejam dan berjanji akan mengambil tindakan wajar terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Diplomatik asing di Libya sering menjadi sasaran serangan, dan kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS), Christopher Stevens dan tiga lagi rakyat negara itu di Benghazi pada September lalu, merupakan serangan terburuk.
Insiden serangan hari ini merupakan yang pertama berlaku terhadap kedutaan atau misi asing di Tripoli memandangkan tahap keselamatan di bandar itu lebih baik daripada Benghazi. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_03/Kedutaan-Perancis-dibom#ixzz2RMKQ2tFJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

25 orang maut bangunan runtuh di Bangladesh


DHAKA 24 April - Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan maut dan lebih 500 lagi cedera apabila sebuah bangunan lapan tingkat runtuh di Savar, luar bandar Dhaka, hari ini.
Saluran berita Ntv melaporkan anggota bomba dan askar kini berusaha menyelamatkan mereka terperangkap dalam Plaza Rana yang menempatkan beberapa kilang pakaian dan sebuah pasar raya itu.
Seorang pegawai polis, Mohammad Asaduzzaman berkata, kejadian itu berlaku selepas pemilik tidak mengendahkan amaran supaya tidak membenarkan pekerja masuk bangunan tersebut selepas retakan dikesan semalam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_10/25-orang-maut-bangunan-runtuh-di-Bangladesh#ixzz2RMIS7TSL
© Utusan Melayu (M) Bhd