Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

5 tahun hidu bau busuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
5 tahun hidu bau busuk
Cheng Hau mendengar masalah penduduk berhubung tapak pembuangan sampah di Kampung Air Putih Pekan Nenas.
PONTIAN - Kira-kira 200 penduduk taman perumahan berhampiran kawasan pembuangan sampah di Kampung Air Putih, Pekan Nenas, dekat sini, tidak tahan menghidu bau busuk yang didakwa berlarutan sejak lima tahun lalu.

Penduduk mendakwa terdapat tempat pembuangan sampah terletak 1 kilometer dari kawasan kediaman mereka.

Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya tujuh taman di situ antaranya Taman Impian, Taman Bunga, Taman Sentosa, Taman Teratai yang dikatakan kurang selesa kerana aktiviti pemprosesan sampah bermula sejak jam 8 pagi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pelbagai jenis sampah dibuang di lokasi berkenaan yang berkeluasan kira-kira 4 ekar (1.6 hektar).

Penduduk, Chang Kok Seng berkata, bau busuk sampah itu dapat dihidu sehingga ke rumahnya yang terletak di Taman Teratai.

“Apabila hujan turun bau sampah semakin kuat, menyebabkan saya terpaksa tutup tingkap dan pintu setiap hari.

“Saya bimbang pencemaran udara bau busuk dari sampah sarap akan menjejaskan kesihatan kami sekeluarga terutamanya anak-anak kecil,” katanya.

Bagi Goh Kian Hua, 56, dia berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menutup kawasan pembuangan sampah tersebut.

“Saya sudah tinggal lama di Taman Teratai, tiap-tiap hari saya sekeluarga terpaksa menahan bau busuk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau dan calon DAP bagi Parlimen Tanjung Piai, Mahzir Ibrahim serta  Dun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong yang mengadakan tinjauan bersama penduduk berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau difahamkan, penduduk telah membuat aduan kepada PBT mengenai cadangan untuk menutup kawasan pembuangan sampah itu.

Sindiket dadah tumpas



AZIZAN INCHE HARUN
23 April 2013
Sindiket dadah tumpas
Mohd Mokhtar (kanan) melihat pelbagai barangan yang dirampas bersama suspek yang ditahan.
JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan dadah tumpas selepas pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga Singapura di sebuah hotel, di sini kira-kira jam 4.30 petang, 16 April lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil penahanan lelaki berumur 50 tahun itu, membawa kepada penemuan dadah dipercayai jenis pil ecstacy dan ketamin dengan nilai keseluruhan RM250,000.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ke Singapura dan pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, semalam.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, pihak polis juga berjaya menyelesaikan 25 kes ragut dan samun di sekitar bandaraya ini hasil tangkapan 22 suspek utama sejak 5 April sehingga kelmarin.

Menurutnya, hasil tangkapan kesemua suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 49 tahun turut merampas sepucuk pistol, parang, kapak, telefon bimbit dan topeng.

“Hasil semakan mendapati 11 daripada 22 suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Pihak polis sedang mengesan saki-baki kumpulan berkenaan dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Ribut 10 minit, bumbung 15 rumah rosak



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Tiupan angin ribut 10 minit
Mohd Lukman menunjukkan hampir sebahagian bumbung rumahnya musnah.
SIMPANG RENGGAM - Hanya 10 minit tiupan angin ribut, mengakibatkan 15 rumah di kawasan Pekan Layang-Layang dekat sini, terjejas teruk.

Kejadian yang berlaku jam 12 tengah hari kelmarin, menyebabkan beberapa bumbung kediaman penduduk rosak diterbangkan angin.

Menurut mangsa ribut di Kampung Melayu, di sini, Sabtu Adang, 72, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen, dan tidak menyangka angin kencang secara tiba-tiba itu memberi petanda ribut melanda.

“Sewaktu angin kencang itu datang pada kali pertama, bumbung rumah saya seakan-akan mahu terangkat dan selepas itu angin beransur reda, tapi saya tak sangka angin ribut itu datang untuk kali kedua.

“Pada kali kedua bumbung rumah saya tidak boleh diselamatkan. Beberapa keping zink rumah diterbangkan bersama angin ribut dan garaj tempat letak kereta turut musnah tercabut diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, fenomena itu bukan pertama kali berlaku di kawasan tersebut, namun kali ini rumahnya terjejas teruk apabila mengalami kerugian hampir RM1,000 akibat kejadian itu.

Sementara itu, mangsa ribut, Mohd Lukman Hadi, 18, mengakui kejadian tersebut adalah pengamalan pertama dialaminya.

“Saya ingat hanya hujan biasa, tapi tak sangka ribut yang datang. Bagaimanapun, tiada barang yang rosak, hanya bumbung rumah sahaja.

“Saya juga bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku walaupun ada juga pokok di sekitar rumah yang tumbang,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, pasukan sukarelawan BN akan memberikan bantuan kepada penduduk terlibat.

“Dengan cara ini, penduduk tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dari segi tenaga kerja untuk membaiki kerosakan dialami mereka setelah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperoleh nanti.

“Apa yang perlu dilakukan oleh ketua masyarakat di sini adalah mengumpul maklumat kerosakan yang dialami penduduk dan seterusnya akan dilanjutkan kepada JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa ribut berkenaan bersama pasukan sukarelawan BN, dekat sini, semalam.

3 penganggur menyamar polis



ROSDALILAH ZAHARI
23 April 2013
Shaharon Anuar Abdul Latif
Shaharon Anuar Abdul Latif
BATU GAJAH - Tiga penganggur ‘kantoi’ selepas ditahan pada jam 5 petang Sabtu lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing terutamanya di sekitar Ipoh dan Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 24, 26 dan 35 tahun berasal dari Gopeng, Taman Canning serta Buntong ditahan di Ipoh hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Pengkalan akibat diugut dan disamun suspek berkenaan.

“Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Mac lalu kira-kira jam 10 pagi, mangsa  berusia 29 tahun bersama dua rakannya yang juga warga Nepal sedang berehat di asrama di Taman Sri Pengkalan dikejutkan dengan kedatangan suspek.

“Salah seorang suspek memperkenalkan diri dan mendakwa mereka adalah polis sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum mengarahkan mangsa untuk mengikut mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

“Ketika dalam perjalanan, suspek memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan kad ATM dan nombor pin. Mangsa yang ketakutan menyerahkannya malah telefon bimbit mereka (mangsa) turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang suspek turut mengugut dan mengacukan pisau ke arah mangsa supaya berdiam diri manakala seorang lagi suspek bertindak mengeluarkan wang tunai RM1,800 dari sebuah bank menggunakan kad ATM mangsa.

“Suspek bersama rakannya kembali ke kereta dan meninggalkan mangsa di belakang bank berkenaan,” katanya.

Shaharon Anuar berkata, semua suspek yang ditahan kini direman mulai 21 hingga 23 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

Tukang kayu ditahan, terlibat 5 kes pecah rumah



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Tukang kayu ditahan, terlibat 5 kes pecah rumah
Tukiman (tengah) bersama Sarjan Mejar (SM), AVasu (kanan) dan Sarjan Harun Ali menunjukkan barang kes pecah rumah, semalam.
JEMPOL - Seorang tukang kayu tidak sempat dibuai mimpi berikutan dia dicekup sekumpulan anggota polis pada 20 April lalu kerana dipercayai terlibat lima kes pecah rumah membabitkan kawasan Bahau, di sini.

Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan, Tukiman Seriman berkata, suspek berumur 31 tahun ini dikatakan aktif melakukan aktiviti pecah rumah sekitar April dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu dilakukan pada waktu siang.

Menurutnya, pihak polis menerima lima laporan mengenai kejadian pecah rumah di beberapa buah taman perumahan sekitar Bahau.

“Hasil siasatan awal pihak polis, suspek akan memanjat tembok di bahagian belakang rumah mangsa. Kemudian membuka atap untuk masuk ke dalam dengan memecah siling.

“Sebelum melakukan pecah rumah suspek akan menekan loceng rumah mangsa, bagi memastikan pemilik ada atau tidak.

“Bagaimanapun, kita percaya suspek berkemungkinan melakukan kegiatan jenayah ini lebih daripada seorang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol (IPD), semalam.

Tukiman berkata, namun terdapat beberapa barang hasil pecah rumah itu dijual dan digadaikan di beberapa buah kedai yang kawasannya sudah dikenal pasti.

“Kita juga merampas sebuah mesin grinder, sebatang kuku kambing, dan segulung wayar sepanjang 15 meter yang digunakan sebagai peralatan pecah rumah.

“Manakala nilai kerugian bagi lima kes ini  lebih kurang RM70 000 yang mana separuh barang rampasan berkenaanditemui di kediaman suspekdekat pekan Bahau. Kes ini disiasat dibawah Sekyen 457 kanun keseksaan, ” katanya.

Untuk rekod, antara barang lain yang turut dirampas, wang tunai dari mata wang Australia, Singapura dan Hong Kong, masing-masing satu resit jual beli emas, gelang tangan, cincin, rantai dan beberapa barang berharga lain.

Suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau ini direman selama empat hari bermula 20 April sehingga hari ini.

Rumah terbakar, lima sekeluarga nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Rumah terbakar, lima sekeluarga nyaris maut
Keadaan bilik di tingkat atas rumah Azhari yang musnah dalam kejadian itu.
BANDAR SPRING HILL – Sebuah keluarga yang sedang nyenyak tidur nyaris maut apabila tingkat atas kediaman mereka di Jalan 9/1 Meranti Bandar Spring Hill terbakar dalam satu kejadian di sini, kira-kira jam 4 pagi awal pagi semalam.

Mangsa, Azhari Mustamam, 51, berkata, kejadian itu disedari isterinya yang tersedar dari tidur selepas terbau asap.

Menurutnya, selepas itu, isterinya memeriksa bilik di bahagian belakang dan mendapatinya sudah terbakar.

"Dalam keadaan kelam kabut, kami sekeluarga menyelamatkan diri di mana tiga anak saya tidur di ruang tamu di tingkat bawah,” katanya.

Azhari berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan ada beberapa kali bunyi letupan kecil.

“Semua barang di dalam bilik itu tidak dapat diselamatkan, namun bersyukur kerana kami sekeluarga selamat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Abu Samah Puteh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Seramai sembilan anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Kami mengambil masa lima minit untuk mengawal serta memadamkan api.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Telok Kemang, Datuk VS Mogan dan calon BN Dun Lukut, Vincent Yeong Seng Wong serta calon DAP Dun Lukut, Ean Yong Tin Sin turut hadir menziarahi mangsa.

Penjawat awam, cikgu dicekup



Penjawat awam, cikgu dicekup
Rumah didiami wanita terbabit menjadi tempat mereka memadu kasih.
ALOR GAJAH - Seorang penjawat awam bersama pasangannya seorang tenaga pengajar dicekup berdua-duaan di sebuah rumah di pekan ini, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, penjawat awam berusia 30 tahun yang bertugas di negeri sebelah utara dipercayai datang ke daerah ini untuk bertemu kekasih hatinya berusia 29 tahun yang mengajar di sebuah sekolah, dekat sini.

Difahamkan, pasangan terbabit dipercayai mengambil kesempatan memadu kasih di dalam rumah itu ketika rakan serumahnya keluar berhujung minggu.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, kira-kira 3.20 pagi, seramai 20 anggota Jaim, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan polis menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, sebaik tiba di perkarangan, rumah didapati bergelap dan mereka terpaksa menunggu hampir 15 minit selain berkali-kali memberi salam tetapi tidak bersahut.

"Penguat kuasa Jaim kemudian bertindak memanjat pagar rumah berkenaan dan mengetuk pintu utama rumah itu.

"Pasangan wanita terbabit kemudiannya keluar berbaju tidur dan membuka pintu," katanya.

Rahimin berkata, pemeriksaan menyeluruh di bahagian bawah rumah dua tingkat itu tidak menemui sesiapa sebelum anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di tingkat atas.

"Di tingkat atas, anggota menemui seorang lelaki berpakaian lengkap sedang menyorok di bahagian siling rumah.

"Lelaki itu pada mulanya enggan memberi kerjasama ketika diminta keluar dari persembunyiannya untuk diperiksa dan mereka terpaksa menunggu 15 minit sehingga lelaki itu turun," katanya.

Katanya, pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Alor Gajah untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke pejabat Jaim untuk tindakan lanjut.

Tidak pernah serik!



NUR FARHANA ABDUL MANAN
23 April 2013
Tidak pernah serik!
Antara tukang urut yang ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar MPSJ.
SUBANG JAYA - Pengusaha premis haram di sekitar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) masih meneruskan kegiatan mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) meskipun sudah banyak kali dikenakan tindakan.

Malah difahamkan, ada pusat siber pernah disita lebih lima kali kerana menawarkan aktiviti perjudian, namun pengusaha tidak serik untuk menjalankan operasi meskipun peralatan dirampas.

Sehubungan itu, bermula minggu lalu, Jabatan Penguat Kuasa MPSJ menjalankan beberapa operasi berasingan seterusnya mengenakan tindakan terhadap 20 premis membabitkan pusat siber, rumah urut dan pusat hiburan.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan anggota, pihaknya menjalankan serbuan ke semua premis yang terletak di Subang Jaya, Puchong dan Seri Kembangan itu.

Menurutnya, sebanyak 12 pusat siber disita dan 155 set komputer dirampas di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Malah katanya, dalam operasi berasingan, empat rumah urut turut disita dan dikenakan tindakan bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen sah.

"Tukang urut warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, manakala pengusaha premis pula berdepan denda maksimum sebanyak RM1,000," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rasip berkata, empat pusat hiburan dipercayai menjalankan operasi tanpa kebenaran sejak setahun lalu turut diserbu dan bakal dikenakan tindakan di bawah di Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001).

"Pengusaha terbabit bakal berdepan denda maksimum sebanyak RM25,000," katanya.

Buluh bendera terkena mata



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan lokasi buluh bendera yang tumbang mengenai matanya di Kuala Krau, kelmarin.
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan mata kanannya yang merah.
KUALA KRAU – Seorang kakitangan pejabat hutan Gunung Senyum cedera di mata kanan selepas terkena buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan dekat persimpangan ke Rumpun Makmur, petang kelmarin.

Mangsa, Asaari Hassan, 53, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.30 petang Ahad lalu ketika dia menunggang motosikal seorang diri dari pekan Kuala Krau menuju ke rumahnya.

Namun katanya, ketika dia cuba membelok di persimpangan itu, tiba-tiba sebatang buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan, tumbang lalu mengenai mata kanannya.

“Saya rasa sangat pedih dan terpaksa menghentikan motosikal. Nasib baik saya masih mampu mengawal motosikal daripada terjatuh,” katanya, di sini, semalam.

Asaari berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian dalam matanya merah dan pedih, selain kesan bengkak kelihatan di sekeliling mata sehingga kini.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat laporan polis pada malam kejadian.

“Sampai sekarang keadaan mata kanan saya masih pedih dan penglihatan pula jadi kabur,” katanya.

Dalam pada itu, Asaari juga menggesa semua parti politik bertanding berhati-hati ketika memasang bendera parti dan mengambil kira keselamatan orang lain.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bendera dan poster terutama di bahu serta simpang jalan juga perlu mengambil kira faktor keselamatan pengguna.

“Saya harap apa yang berlaku pada saya, tidak akan berulang lagi pada orang lain. Harap petugas yang memasang bendera parti lebih mengutamakan keselamatan orang lain selepas ini,” katanya.

Sekolah ditutup terima ancaman tembak




23 April 2013
Sekolah ditutup terima ancaman tembak
Sekolah ditutup sementara menanti siasatan berhubung ancaman serangan tembak di Leiden, The Hague.
THE HAGUE - Sebuah sekolah di tengah bandar berdekatan Universiti Dutch mengambil langkah awal menutup sekolah itu selepas menerima ancaman tembak di Leiden, Belanda.

Dipetik AFP, polis mendakwa, pihaknya menerima laporan itu sebagai ancaman serius melalui sebuah laman web.

“Kami percaya serangan itu terancang dan semua premis berdekatannya telah dikosongkan,” katanya,

Menurutnya, langkah awal itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Sehingga kini kami masih menyiasat siapa dan tujuannya berbuat demikian,” katanya.

Suspek kedua rogol budak diberkas




23 April 2013
Suspek kedua rogol budak diberkas
Pihak berkuasa cuba menyuraikan penunjuk perasaan yang mula bertindak luar kawalan di luar kediaman perdana menteri di ibu negara, kelmarin.
NEW DELHI - Pihak berkuasa, semalam mengesan suspek kedua kes rogol kanak-kanak di timur Bihar, kira-kira 1,000 kilometer dari New Delhi.

Hasil soal siasat bersama suspek pertama, Manoj Kumar, 24, yang diberkas dua hari lalu membawa kepada penahanan rakannya, Pradeep Kumar.

Menurut polis, kedua-dua suspek itu kini didakwa atas kesalahan menculik, merogol dan cuba membunuh budak perempuan berumur lima tahun yang dilaporkan hilang di New Delhi pada 15 April lalu.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan mengadakan protes dua hari berturut-turut di luar ibu pejabat polis di ibu negara sebagai membantah tindakan sambil lewa selepas menerima laporan kehilangan mangsa. - AP

Paderi ditahan




23 April 2013
MELBOURNE - Seorang paderi Roman Katolik ditahan, semalam atas dakwaan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Melbourne.

Dipetik AP, menurut polis, paderi berumur 67 tahun itu yang sebelum ini menetap di Vatican telah menyerah diri di ibu pejabat polis Victoria selepas dia setuju pulang semula ke negara tersebut.

Bagaimanapun, identitinya tidak didedahkan kepada umum.

Difahamkan, suspek telah didakwa dengan 10 pertuduhan melibatkan penderaan ke atas kanak-kanak di pinggir Melbourne antara 1976 dan 1985.

74 pelajar pengsan hidu gas beracun




23 April 2013
74 pelajar Afghanistan pengsan hidu gas beracun
Beberapa pelajar masih menerima rawatan kecemasan di hospital Takhar, Kabul.
TALUQAN - Seramai 74 pelajar sekolah pengsan selepas dipercayai terhidu gas beracun di utara Afghanistan.

Dipetik AP, pegawai tempatan berkata, kejadian itu berlaku di Sekolah Tinggi Bibi Maryam di wilayah Takhar, Taluqan kira-kira 250 kilometer dari Kabul.

Jurucakap Gabenor Takhar, Sulaiman Moradi berkata, kejadian itu mempunyai unsur politik dengan menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Kami yakin ia dilakukan musuh kerajaan dalam usaha menghentikan kanak-kanak perempuan daripada pergi ke sekolah. Sehingga kini, tiada pihak bertanggungjawab terhadap kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, ketua hospital, Dr Jamil Froton berkata, sebahagian mereka mendapat rawatan pesakit luar manakala bakinya berada dalam keadaan kritikal.

“Kami menghantar sampel darah mereka kepada Kementerian Kesihatan Awam bagi mencari punca sebenar keracunan itu,” katanya.

Kejadian tersebut berlaku, tiga hari selepas lebih 20 pelajar perempuan memulakan persekolahan di sekolah elit itu.

Tahun lalu, kejadian sama turut berlaku di sekolah perempuan di daerah itu dengan keracunan turut dialami guru dan kakitangan sekolah.

Bekas penjaga kafe siber dihukum mati kerana membunuh




23 April 2013
KUALA LUMPUR - Bekas penjaga kafe siber dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakannya yang datang membawa kek, sehari sebelum hari jadi ke-19nya.
  
Dalam penghakimannya Hakim Amelia Tee Abdullah berkata pembelaan yang hanya memanggil tertuduh, Lee Weng Fatt sebagai saksi, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
Pendakwaan memanggil 19 saksi, termasuk seorang pekerja sosial gereja, yang membantu polis menahan Lee, sehari selepas kejadian itu.
  
Lee, 22, didakwa membunuh Tan Teng Lin, 22, di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di Jalan Awan Gelugur, Taman OUG, Off Jalan Klang Lama, antara 11 pagi 10 April, 2010 dan 5 pagi keesokkannya.
  
Menurut fakta kes, Lee dan Tan berkawan, namun mereka berselisih faham membabitkan hutang tertuduh kepada simati.

Pegawai penyiasat ASP Erwanshah Abdul Basir, semasa perbicaraan memberitahu mahkamah Lee bersetuju membayar hutang kepada Tan, dan Tan datang ke tempat kejadian dengan sebiji kek pada malam itu.
  
Bagaimanapun berlaku pertengkaran yang menyebabkan Lee menikam Tan dengan pisau di dada kiri dan meninggalkan mangsa dalam kenderaan.
  
Laporan bedah siasat menunjukkan Tan mati akibat pendarahan teruk.
  
Timbalan Pendakwaraya P.Viknesvaran mewakili pendakwaan manakala Lee diwakili peguam CW Chan. - Bernama

Termakan tulang lama punca terkena gangguan



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Termakan tulang lama punca terkena gangguan
Shamsuri dibantu Mokhtar dan Fauziah memberi minum air zam-zam yang dibacakan doa penawar kepada Muhammad Danish Shahlan.
Termakan tulang lama punca terkena gangguan
Shamsuri diiringi Surena dan Mokhtar (kanan) menyampaikan sumbangan produk Pusat Rawatan Islam At-Tobibi kepada Fauziah.
KUALA KRAI - Penderitaan sebuah keluarga tujuh beranak terutama seorang daripada mereka orang kurang upaya (OKU) di Guchil 3, dekat sini, dapat perhatian Pusat Rawatan Islam At-Tobibi yang menziarahi keluarga itu, kelmarin.

Kunjungan diketuai pengasas pusat rawatan itu, Shamsuri Shafie bersama tiga pembantunya, turut disertai Pengurus Sinar Harian cawangan Kelantan, Surena Mohd Noor serta Eksekutif Promosi dan Pembangunan Sinar Harian, Mokhtar Yassin.

Selain melakukan rawatan ke atas seorang ahli keluarga itu yang disahkan hiperaktif, Shamsuri turut menyampaikan sumbangan kewangan dan produk pusat rawatan berkenaan kepada keluarga terbabit.

Shamsuri berkata, kedatangannya itu bertujuan untuk membantu dan mengenal pasti punca hiperaktif dihidapi seorang ahli keluarga itu, Muhammad Danish Shahlan Mohamed Bashah, 7.

“Rawatan dilakukan untuk menenangkan jiwa kanak-kanak ini yang gundah gulana dan kusut. Selepas rawatan, kita dapati keadaan ini ada sebabnya iaitu terkena gangguan (makhluk halus),” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Shamsuri berkata, kanak-kanak itu dipercayai termakan tulang lama yang dikutip ketika berusia setahun ke atas sebagai punca gangguan hingga menyebabkan perlakuannya menjadi agresif.

“Untuk rawatan, kita beri air zam-zam yang dibacakan doa dan selepas seminggu, insya-Allah, kita akan tengok perubahan kerana kelahiran kanak-kanak ini asalnya normal.

“Kita juga sumbangkan produk Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, kopi penawar ruqyah dan kopi delima ruqyah yang baik untuk saraf serta dapat menguatkan jasmani dan rohani,” katanya.

Shamsuri turut menasihatkan ibu kanak-kanak itu, Fauziah Muhamad supaya menerima keadaan Muhammad Danish Shahlan sebagai dugaan dan percaya setiap penyakit, ada ubatnya.

“Ini dugaan masa dia kecil, mungkin bila besar nanti keadaannya akan lebih baik. Kita kena selalu ingat, ALLAH beri sesuatu ujian mengikut kemampuan kita. Sebagai hamba, kita kena berusaha dan banyakkan berdoa,” katanya.

Sementara itu, Shamsuri berkata, orang ramai yang memerlukan bantuan Pusat Rawatan Islam At-Tobibi boleh menghubunginya di 013-2898296 atau 013-9609268 atau layari laman sesawang www.at-tobibi.bogspot.com.

Bau busuk disangka bangkai



WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Bau busuk disangka bangkai
Mayat Ismail (gambar kecil) dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
KERTEH – Bau busuk dihidu seorang jiran yang disangka bau bangkai ayam membawa kepada penemuan mayat seorang warga emas yang sudah berulat di Taman Wan Adnan, dekat sini, petang tiga hari lalu.

Ismail Hassan, 70, dipercayai mati sejak empat hari sebelum dia ditemui dalam keadaan reput namun masih lengkap berpakaian dan terbaring atas katil dalam bilik tidurnya.

Jiran mangsa, Zurimi Wahab, 44, berkata, pada mulanya dia menyangka bau busuk yang datang dari rumah jiran sebelahnya itu mungkin bau bangkai ayam atau kucing yang mati di kawasan rumah jirannya itu.

“Saya sangkakan bau busuk itu mungkin kerana ayam atau kucing mati.

“Namun, selepas meninjau sekitar kawasan rumah Pak Ismail, saya dapati tiada ayam atau kucing yang mati, jadi saya syak sesuatu terjadi kepadanya,” katanya kelmarin.
Ismail yang menghidap asma dan mempunyai tiga anak, tinggal bersendirian di rumahnya kerana kesemua anaknya tidak lagi tinggal bersamanya.

Berikutan itu, Zurimi memberitahu adik iparnya, Kamarudin Abd Manat, 60, mengenai bau busuk yang datang dari rumah Ismail itu.

Sejurus itu, mereka berdua membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang sebelum dua anggota polis dari Balai Polis Kerteh datang ke rumah terbabit.
Apabila melakukan pemeriksaan, polis menemui mayat Ismail yang merupakan bapa tunggal di tepi katilnya dan terdapat senaskhah akhbar berbahasa Mandarin bersamanya kerana arwah pandai membaca dalam bahasa Mandarin.

Mayat Ismail kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Kemaman kira-kira jam jam 4.30 petang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kes kematian Ismail tidak melibatkan unsur jenayah dan hasil bedah siasat mendapati si mati meninggal dunia disebabkan serangan asma.

Lalok mandi kolam




Alor Gajah: Sekumpulan 19 lelaki dan tujuh wanita, sebahagiannya sedang mandi bersama-sama dalam kolam dan ada sebahagian daripada mereka yang mabuk, dicekup ketika asyik berpesta liar di sebuah banglo di Simpang Ampat, di sini, kelmarin.

Mereka yang berusia 18 hingga 33 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh 20 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis pada jam 1 pagi.


Lelaki dan wanita terbabit yang dipercayai berasal dari luar negeri ini bertandang ke banglo itu dengan beberapa kenderaan semata-mata untuk melakukan aktiviti tidak bermoral. Ketua Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa lelaki dan wanita mandi dalam kolam, manakala sebahagian lagi mabuk di dalam rumah.

“Apabila pintu depan dibuka, suasana ruang utama banglo itu agak samar dan beberapa lelaki ditemui dalam keadaan separuh sedar sedang meneguk minuman keras.


“Sekumpulan lelaki dan perempuan pula sedang mandi di kolam dan mereka yang juga dalam keadaan khayal terpinga-pinga selepas melihat kehadiran kami,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan awal awal mendapati kumpulan lelaki dan wanita terbabit menyewa sebuah banglo lain, namun mengambil kesempatan menggunakan banglo berdekatan yang tidak disewa untuk mereka mengadakan pesta liar.

Rahimin berkata, selepas pemeriksaan dilakukan di dalam kawasan banglo, pihak penguat kuasa menemui empat botol arak berjenama mahal selain peralatan menghisap dadah.


“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan kemudian mendapati seorang daripada mereka positif dadah, namun semua individu terbabit dibawa ke Balai Polis Alor Gajah diambil keterangan kes dirujuk ke Pejabat Agama Islam Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Bayar RM15 masuk parti liar pangsapuri



Bentong: Ketika orang ramai sibuk mengikuti perkembangan penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Sabtu lalu, sekumpulan belia ‘kaki lalok’ mengambil kesempatan mengadakan parti liar yang menghidangkan dadah dan arak di dua pangsapuri bersebelahan, di sini.

Kumpulan 58 orang termasuk 19 perempuan berusia 19 hingga 29 tahun terbabit berhibur dengan dadah dan arak dalam pesta berkenaan sebelum diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong diketuai Inspektor Ng Tee Yian, jam 1 pagi Ahad lalu.


Difahamkan, peserta perlu membayar RM15 seorang untuk masuk ke dalam pangsapuri berkenaan sebagai tiket menyertai parti liar itu.

Ketika serbuan, polis mendapati ada peserta yang terbaring di atas lantai dipercayai khayal akibat pengambilan dadah selain menemui beberapa jenis dadah seperti ketamin, eramin 5, pil serta serbuk Ectasy, ganja dan arak.


Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati keadaan dalam dua unit pangsapuri berkenaan bingit dengan muzik. “Kami sudah memerhatikan gerak-geri kumpulan itu ketika mereka mendaftar masuk pangsapuri berkenaan sebelum menyerbu.


“Polis percaya penganjur parti liar itu antara mereka yang ditahan namun siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Mohamad Mansor berkata, siasatan awal mendapati nilai dadah dirampas dianggarkan lebih RM7,000 dan pihaknya percaya ia dibawa peserta.

Amukan awal pagi




Kuala Lumpur: Amukan awal pagi. Itu yang berlaku membabitkan sekumpulan 30 lelaki berusia 20-an hingga 30-an apabila mengejar dan menyerang seorang lelaki warga asing dan seorang pengawal keselamatan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, seorang lelaki warga Yaman berusia 20-an dilihat melarikan diri melalui tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di ibu kota, di sini.


Sumber berkata, lelaki terbabit dikejar lebih 10 lelaki yang tidak berpuas hati dengannya selepas berlaku pergaduhan kecil dengan seorang rakan kumpulan lelaki terbabit.

“Sebaik tiba di tingkat lima tempat letak kenderaan, mangsa diberkas kumpulan terbabit sebelum dia dibelasah dan disepak beramai-ramai.


“Seorang pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan itu. Bagaimanapun, tiba-tiba hampir 20 lelaki lain dipercayai ahli kumpulan sama datang menyerang mereka,” katanya.


Bimbang kejadian lebih teruk, pengawal keselamatan itu yang turut dipukul menarik mangsa ke pejabatnya.

“Mangsa dibawa melarikan diri dengan masuk ke dalam pejabat pengawal keselamatan berkenaan yang terletak berhampiran kawasan letak kenderaan itu,” katanya.


Beliau berkata, kumpulan terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan itu menyerang pejabat berkenaan dengan menendang dan menumbuk serta mengugut pengawal itu supaya menyerahkan mangsa kepada mereka.

Katanya, pengawal itu menghubungi polis meminta bantuan sebelum satu unit peronda tiba di tempat kejadian.


“Kumpulan lelaki terbabit yang menyedari kehadiran polis melarikan diri menaiki beberapa kereta mewah,” katanya.


Mangsa dan pengawal keselamatan itu yang cedera di kepala dan badan dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Kerusi melayang dipukul ribut




SEREMBAN: "Ketika hujan lebat, siulan angin begitu kuat sebelum melihat besi, kerusi, cawan dan payung gerai melayang. Saya terlalu takut sebelum suami menasihatkan supaya berlindung di dalam gerai," kata Habsah Ujang, 42, seorang daripada lapan pengusaha gerai di Medan Selera Gelanggang Paroi, di sini, yang menjadi mangsa ribut, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Habsah yang berniaga nasi ayam dan kuey teow goreng berkata, seorang pelanggan lelaki yang baru datang ke gerainya turut cedera di tangan kanan terkena zink melayang hingga terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan menerima tujuh jahitan. Menurutnya, ketika kejadian dia bersama suami, Badar Hisham Mat Nor, 51, menjalani rutin biasa melayan pelanggan di gerai apabila tiba-tiba hujan lebat sebelum disusuli angin kencang.


"Sebelum ini pernah berlaku ribut tapi tak teruk sangat. Saya begitu takut apabila seorang pelanggan yang baru saja masuk gerai cedera apabila zink melayang mengenai tangannya.

“Seorang rakannya yang membantu kemudian memberitahu saya mangsa menerima tujuh jahitan," katanya.


Gerai tambahan itu turut roboh.


Seorang lagi mangsa, Jamilah Mat Sit, 43, berkata, ketika kejadian dia di rumahnya di Pancur apabila rakan memberitahu mengenai kejadian itu.

Menurutnya, dia bergegas ke gerai sebab bimbangkan keselamatan ibunya, Patimah Alias, 72, yang disangka berada di gerai.


"Nasib baik ibu tak ke gerai. Saya benar-benar takut. Rupa-rupanya ibu berada di rumah abang di Gedung Lalang Lama. Masa saya sampai, saya terkejut melihat gerai rosak, besi dan bumbung bertaburan.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada datang untuk menutup suis besar. Saya baru lagi menyambung perniagaan ibu selepas dia disahkan menghidap kencing manis, Januari lalu," katanya yang menjual nasi lemak.


Sementara itu, calon UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza bergegas ke lokasi kira-kira jam 7 malam sebelum berjanji berusaha membawa masalah itu kepada pihak berkenaan untuk bantuan segera.

Jual dadah di bawah jenama sendiri



Bangkok: Seorang lelaki yang mengakui menjual dadah di jalanan di bawah jenamanya sendiri semalam ditahan di kediamannya di Jalan Rama 9, kata polis.

Kamsan Collin, 50, memiliki peralatan untuk mencampur dadah, bahan kimia, sepucuk pistol, 241 pil ecstasy, 76 botol cecair ketamin dan enam gram serbuk methamphetamine.


Collin memberitahu polis dia berasal dari Hong Kong dan berpindah ke Thailand sejak 20 tahun lalu.

Dia mengakui mampu menghasilkan dadah sendiri dengan mencampurkan pelbagai bahan kimia dengan ecstasy. Produknya kemudian dijual kepada golongan muda oleh pengedar mengikut jenamanya sendiri.


Collin berkata, dia membeli mesin dari kawasan Klong Thom di daerah Samphantawong dan menyesuaikannya untuk kegunaan menghasilkan dadah buatan sendiri.


Timbalan Ketua Polis Bangkok, Mejar Jeneral Prinya Chansuriya berkata, seorang pengedar dadah yang ditahan pada 20 April lalu memberi maklumat kepada polis hingga membawa kepada penahanan Collin. - Bangkok Post

Penyampai radio ditembak mati



Zamboanga: Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang penyampai radio di selatan Filipina semalam, kata polis ketika kebimbangan mengenai keganasan yang kian memuncak menjelang pilihan raya umum bulan depan.

Mario Baylosis Vendiola, 33, pengacara DXLM, ditembak mati oleh dua lelaki bermotosikal di bandar Kabasalan di Pulau Mindanao, kata ketua polis bandar itu, Inspektor Kanan Rico Pondol.


Mangsa baru pulang daripada mengacarakan rancangan radionya ketika dia dibunuh, kata Pondol. Polis berkata, Vendiola mengacarakan rancangan hiburan dan mereka masih tidak tahu motif di sebalik serangan itu. Tetapi mangsa sebelum ini telah beberapa kali melaporkan mengenai ancaman terhadap nyawanya itu.

Ketua Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina, Rowena Paraan berkata, kesatuan masih menyiasat mengenai insiden itu.


“Kami mahu mengesahkan dengan teliti jika kejadian itu berkaitan dengan pekerjaannya. Kami masih menyiasat jika mangsa mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik atau menyokong sebarang calon dalam pilihan raya 13 Mei depan,” katanya.


Jika pembunuhan Vendiola berkaitan dengan pekerjaannya sebagai penyampai radio, ia menjadi pembunuhan pertama yang mempunyai kaitan dengan pekerjaan sebagai wartawan tahun ini dan yang keenam sejak pilihan raya Presiden Benigno Aquino pada 2010, menurut perkiraan kesatuan itu.

Vendiola juga akan menjadi wartawan ke-155 yang dibunuh ekoran pekerjaannya sejak demokrasi dikembalikan di Filipina pada 1986. - Manila Times

4 tentera maut dalam letupan



Bangkok: Empat anggota tentera terbunuh dan enam lagi cedera parah dalam satu letupan bom di pangkalan tentera Briged 32 Narathiwat di daerah Bacho, Narathiwat tengah hari semalam.

Bom seberat 25 kilogram dalam silinder gas itu dibawa ke pangkalan tentera berkenaan untuk dilupuskan oleh unit pemusnah bahan letupan.


Ia ditemui awal pagi sebelumnya oleh unit terbabit dekat jambatan di Ban Champako di tambon Kayomati, di mana sepanduk dengan mesej membantah rundingan damai antara kerajaan dan pejuang pemisah ditemui tergantung pada sebatang pokok besar.

Bom terbabit meletup dalam pangkalan tentera berkenaan ketika diperiksa.


Empat anggota tentera terbunuh akibat letupan kuat itu. Dua daripada mereka mati di tempat kejadian, manakala dua lagi maut di Hospital Ratchanakarin, Narathiwat. Enam yang lain pula cedera parah. Dipercayai bom itu disasarkan kepada anggota polis atau tentera yang dihantar ke kawasan terbabit untuk memeriksa sepanduk yang digantung itu.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Krisda Kaewchandee berkata, sepanduk sama turut ditemui di lebih 60 lokasi di 11 daerah kecuali di Tak Bai dan Sungai Golok.

Dua butir bom ditemui bersama sepanduk, satu di tambun Todeng di daerah Sungai Padi dan sebutir lagi di daerah Bacho, Ban Champako. - Bangkok Post

Anak itik dibakar untuk cegah H7N9



Beijing: Penternak terpaksa membunuh semua anak itik peliharaan mereka ketika wabak selesema burung kembali merebak di China.

Setakat ini seramai 20 orang disahkan terbunuh dan 70 lagi dirawat di hospital kerana dijangkiti virus baru selesema burung, dikenali sebagai virus H7N9.


Bagi mengelak virus itu merebak, pekerja ladang ternakan itik di wilayah Fujian membunuh beribu-ribu anak itik yang baru menetas. Dengan menutup hidung, mereka menggunakan penyodok untuk mengangkat anak itik itu dan mencampaknya ke relau bagi memastikan tiada virus yang terselamat.

Beberapa hari lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran, lebih ramai manusia akan dijangkiti virus H7N9. - The Sun

Pergi 13, balik jadi 11




Georgetown: Perjalanan pulang 13 sekeluarga selepas menghadiri upacara keagamaan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam satu kemalangan di Nakhon, Selatan Thailand, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, van yang dinaiki ahli keluarga terbabit dikatakan dirempuh kereta menyebabkan pemandu dan penumpang van terbunuh.

Difahamkan, penumpang yang terbunuh itu adalah seorang wanita warga emas, Tan Sai Choo, 60-an, dan berasal dari Bagan Ajam, Butterworth, manakala pemandu pula masih tidak diketahui identiti dan dikatakan berasal dari Parit Buntar, Perak.

Dalam kemalangan ngeri itu, enam daripada mereka mengalami kecederaan dengan tiga daripadanya parah dan ditempatkan di Unit Rawatan Kritikal (CCU) di sebuah pusat perubatan swasta di Georgetown.
Foto

Foto
Mangsa yang mengalami kecederaan ialah Chn’g Geat Foon, 41, Chn’g Hock Leong,

35, Chn’g Yong Sheng Johnson, 8, Hew Yi Jing, 15 dan Hew Yi En, 13 serta seorang
lagi yang tidak diketahui identiti.

Dua jam terperangkap banjir

Foto
PETUGAS NPE mengawal lalu lintas di laluan yang ditenggelami air, semalam.
Petaling Jaya: Ribuan pengguna Lebuhraya Pantai Baru (NPE) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama dua jam apabila banjir kilat di persimpangan ke Taman Datuk Haron, di sini, semalam.
Banjir kilat akibat longkang yang tidak diselenggara itu kerap berlaku apabila hujan lebat melanda kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Jurucakap New Pantai Expressway Sdn Bhd berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat bermula jam 4.37 petang ketika hujan lebat dan air mula surut jam 6.25 petang.


“Keadaan itu mengakibatkan ribuan pengguna NPE terperangkap dan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka berikutan air naik hingga 0.2 meter.


“Bagaimanapun, trafik kembali lancar selepas hujan reda dan banjir mulai surut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sindiket curi kabel tumpas



NUR FARHANA ABDUL MANAN
22 April 2013
Sindiket curi kabel tumpas
Abd Razak (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Chee Boon atas kejayaan menyelesaikan kes curi kabel berkenaan.
SERI KEMBANGAN – Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kabel bawah tanah milik syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) dengan penahanan tiga lelaki sekitar Seri Kembangan, Rabu lalu.

Difahamkan, sindiket terbabit menggunakan kaedah penyamaran sebagai pekerja TM untuk mengaburi mata orang awam dan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, teknik itu tidak bertahan lama apabila ‘operasi’ haram mereka berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, bertindak atas maklumat, Ketua Polis Balai Seri Kembangan, Inspektor Chai Chee Boon dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah dihuni suspek berusia 31 tahun itu menemukan polis dengan empat pas kerja TM, sebuah kotak besi suis utama, komponen elektronik yang dileraikan, satu beg plastik berisi salur wayar dipotong dan satu pemotong wayar.

Katanya, penahanan lelaki terbabit kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Bandar Baru Bangi sebelum menahan rakan suspek berusia 23 tahun.

“Kedua-dua suspek kemudian menunjukkan tempat penyimpanan beberapa gulung wayar kabel dipotong sebelum ini.

“Penjaga sebuah premis yang menyimpan dua guni wayar kabel turut ditahan di  Desa Serdang,”katanya sebelum menyampaikan surat penghargaan kepada Chee Boon atas kejayaan menyelesaikan kes curi kabel berkenaan.

Beliau berkata, akibat kegiatan sindiket itu, TM mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM20,000.

30 keluarga hilang tempat tinggal



WARTAWAN SINAR HARIAN
22 April 2013
30 keluarga hilang tempat tinggal
Api marak memusnahkan 12 rumah di Jalan Kuching semalam.
SHAH ALAM – Sebanyak 30 keluarga di Lorong Arfah 3, Kampung Segambut Luar, Jalan Kuching, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang selepas 12 rumah musnah dalam kebakaran jam 3 pagi, semalam.

Penolong Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, anggota bomba dari Balai Bomba Sentul, Sri Hartamas, Jinjang, Jalan Hang Tuah dan Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke tempat kejadian dengan lima jentera dan berjaya memadam api sepenuhnya kira-kira jam 5 pagi.

Menurutnya, kebanyakan rumah yang hangus dibina dengan kayu dan bahan mudah terbakar menyebabkan api cepat merebak.

"Bomba turut mengalami masalah disebabkan tekanan air yang rendah di kawasan itu

"Masalah tekanan air rendah itu diselesaikan selepas Syabas dihubungi untuk membantu meningkatkan tekanan air," katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Difahamkan kesemua keluarga terlibat ditempatkan di dewan orang ramai kampung berkenaan untuk sementara.

Polis syaki insiden di Boston dirancang




23 April 2013
Polis syaki insiden di Boston dirancang
Dzhokhar berada dalam keadaan parah dan masih menerima rawatan di Hospital Boston.
BOSTON - Pesuruhjaya Polis Boston sifatkan serangan Maraton Boston suatu tindakan dirancang berikutan penemuan pelbagai senjata dari kedua-dua suspek adik beradik itu.

Dipetik AFP, Ed Davis berkata, pihaknya mendapati banyak bom buatan sendiri meletup termasuk 250 butir peluru di tempat kejadian.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai fakta itu  berdasarkan bukti ditemui di tempat kejadian. Pemilikan peluru sebanyak itu tidak masuk akal kerana menjadi kesalahan memiliki jumlah peluru sebanyak itu di kawasan bandar," katanya.

Menurutnya, suspek juga mempunyai niat menyerang individu lain berdasarkan penemuan senjata di rumah mereka.

“Kami masih belum dapat melakukan siasatan terperinci terhadap suspek, Dzhokhar Tsarnaev, 19, kerana beliau kini masih dirawat selepas cedera parah di tekak akibat ditembak ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah bot di belakang rumahnya,” katanya.

Kejadian Maraton Boston minggu lalu, suspek bersama abangnya Tamerlan Tsarnaev, 26 dipercayai melakukan serangan bom di garisan penamat perlumbaan hingga menyebabkan tiga maut manakala lebih 180 cedera.

Tamerlan bagaimanapun, ditembak mati ketika diburu polis dua hari selepas insiden itu.

Remaja maut terbabas masuk longkang




22 April 2013
KUANTAN - Seorang remaja lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang sedalam satu meter di Jalan Tengku Ismail, Temerloh awal hari ini.

Dalam kejadian 3.10 pagi itu, Muhamad Sofi Uyub, 19, dari Kampung Baru Belenggu, Temerloh meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Aziz Salleh, mangsa bersama sekumpulan rakannya dipercayai menunggang secara bersaing menuju ke Bulatan Bukit Rangin dari arah bandar Temerloh sebelum mangsa cuba memotong seorang rakannya di satu selekoh.

"Siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kanan sebelum jatuh ke dalam longkang kecil pembahagi jalan.

"Remaja terbabit mati dalam perjalanan ke hospital berkenaan akibat kecederaan dalaman dan parah di bahagian badan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama

6 lelaki bersenjata ditahan turunkan bendera 1Malaysia



Roslee Chik menunjukkan gambar parang yang dirampas polis daripada enam lelaki bersenjata di Persiaran Bayan Indah, Queensbay, Bayan Baru, semalam.
PULAU PINANG 22 April - Polis menahan enam lelaki bersenjata kerana menurunkan bendera yang mempunyai logo 1Malaysia di Persiaran Bayan Indah, Queensbay, Bayan Baru di sini awal pagi ini.
Mereka yang berusia di antara 18 dan 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 4.30 pagi.
Jurucakap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, ketika disoal siasat, mereka mengaku diupah pihak tertentu untuk menurunkan bendera 1Malaysia.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki mereka turut menemui sebilah kapak, tiga bilah parang pelbagai saiz dan lebih 20 bendera sebuah parti pembangkang.
"Mereka yang ditahan berasal dari Georgetown serta Nibong Tebal dan polis telah mengambil keterangan mereka.
"Kita juga masih menyiasat siapa yang mengupah mereka dan motif kumpulan berkenaan membawa senjata," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Roslee memberitahu, polis turut menahan lima lelaki kerana memiliki pelbagai senjata merbahaya ketika memasang bendera sebuah parti politik di Jalan Kampung Benggali, Butterworth awal pagi ini.
Jelasnya, mereka yang ditahan berusia 18 hingga 24 tahun dan mendakwa diupah sebanyak RM80 sehari.
"Polis berjaya merampas enam bilah parang panjang yang disorokkan dalam but kereta dinaiki mereka," ujarnya.
Kata beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130423/je_01/6-lelaki-bersenjata-ditahan-turunkan-bendera-1Malaysia#ixzz2REu5XAjA
© Utusan Melayu (M) Bhd