Search This Blog

Sunday, April 21, 2013

5 termasuk pemandu maut di Lebuh Raya Persekutuan



HASNIZA HUSSAIN
21 April 2013
kemalangan ngeri
Kemalangan ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan awal pagi ini. - Foto ihsan Facebook Harimau Malaya
SHAH ALAM - Lima lelaki termasuk seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan di Kilometer 10.5, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang, awal pagi tadi.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga daripada mangsa yang menunggang, berhenti di lorong kecemasan selepas motosikal seorang daripada mereka mengalami kerosakan.

Bagaimanapun katanya, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Honda City yang hilang kawalan terus merempuh mereka.

“Rempuhan itu menyebabkan tiga penunggang motosikal dan pemandu kereta itu maut di lokasi kejadian.

“Tidak lama selepas kejadian berlaku, terdapat seorang pemandu kereta lain berhenti di situ untuk menghulurkan bantuan, namun kenderaannya dirempuh pula oleh seorang penunggang motosikal lain,” katanya.

Menurutnya, penunggang  motosikal itu disahkan mati akibat rempuhan kuat.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, satu sidang akhbar berhubung kejadian akan diadakan petang nanti oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob.

Texas darurat




21 April 2013
kawasan letupan kilang baja
Kediaman sekitar berhampiran kawasan letupan kilang baja musnah teruk di West.
WASHINGTON - Presiden Barack Obama mengisytiharkan darurat di Texas dalam usaha membantu mangsa menghadapi kesan letupan kilang baja di West.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kaedah mengurangkan tekanan terhadap penduduk sekitar Texas selepas disahkan kebakaran itu membebaskan gas toksik yang boleh membawa kematian dan penyakit akut.

“Kami berusaha mengurangkan situasi cemas dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dan memberi penerangan tentang kesan penyebaran gas itu,” katanya.

Letupan kilang baja pada Rabu lalu, menyebabkan kira-kira 14 maut dan lebih 200 penduduk cedera.

Sementara itu, di Watertown, polis menahan suspek kedua pasangan adik beradik kelahiran Chechnya didakwa mempunyai kaitan dengan serangan bom ketika Maraton Boston minggu lalu.

Menurut laporan AP, Dzhokhar Tsarnaev, 19, ditemui berlumuran darah di tempat membaiki bot selepas melarikan diri daripada kepungan polis hingga menyebabkan kawasan Boston dikawal ketat manakala Khamis lalu, abangnya Tamerlan, 26, maut ditembak anggota polis di kediamannya.

Giliran Jerman terima surat, bahan letupan




21 April 2013
Giliran Jerman terima surat, bahan letupan
Sekumpulan unit pemusnah bom memusnahkan surat di Istana Presiden, Bellevue, Berlin.
BERLIN - Sekumpulan unit pemusnah bom bertindak memusnahkan objek disyaki bahan letupan di Istana Presiden di Bellevue, Berlin, Perancis.

Jurucakap kerajaan berkata, bahan letupan itu dihantar bersama surat yang di alamatkan kepada  Presiden Joachim Gauck.

“Surat itu tiba di pejabat presiden, ketika beliau berada di luar kawasan,” katanya.

Menurutnya, surat itu terpaksa dimusnahkan kerana kandungannya mencurigakan serta berada dalam kawasan istana presiden.

Laporan dipetik daripada Reuters menyatakan serangan surat beracun atau disertakan bahan mencurigakan menjadi trend terkini di beberapa negara antarabangsa selepas Amerika Syarikat dan Turki. 

Tidak bagi pasang bendera, peniaga ditetak




21 April 2013
KOTA BHARU - Akibat enggan membenarnya kedai makannya di pasang bendera parti politik, seorang peniaga menerima 18 jahitan akibat pahanya dilibas dengan parang oleh seorang lelaki di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat lepas.
  
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi Pilihan Raya Umum ke-13, Supt Che Mahazan Che Aik berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi ketika mangsa berada di kedai makannya di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor.
  
"Salah seorang daripada tiga suspek telah bertindak melibas parang yang terkena paha kiri mangsa. Motif dipercayai kerana mangsa enggan membenarkan premisnya dipasang bendera parti kerana dikatakan akan menjejaskan perniagaannya,"  katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
  
Che Mahazan berkata suspek tersebut yang berusia 28 tahun telah ditahabn sementara dua lagi yang telah dikenal pasti sedang diburu.
  
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 596 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu tiga laporan diterima di Pasir Puteh pada hari penamaan calon semalam.
  
Che Mahazan berkata salah satu kes melibatkan dua pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang berusia 23 dan 25 tahun yang menyamar sebagai pemantau pilihan raya dan memasuki kawasan penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
  
"Kedua-dua suspek memakai baju dan tag bertulisan pemantau pilihan raya yang tidak disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Bagaimanapun kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis.
  
Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia 37 tahun dilaporkan menggunakan kapal terbang kawalan jauh untuk mengibarkan sehelai bendera parti yang kapal terbang itu masuki kawasan pusat penamaan calon.
  
Beliau berkata pihaknya merampas alat kawalan serta kapal terbang itu dan juga bendera berkenaan.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
  
Che Mahazan berkata turut dilapor berlaku perbalahan di Selising apabila seorang suspek menyerang mangsanya dengan besi paip dan mengeluarkan kata-kata ugutan.
  
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan melakukan khianat.  - Bernama

Peniaga pengsan lihat rumah terbakar

21 April 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga makanan pengsan apabila melihat rumah sewa dan barangan niaganya musnah di jilat api dalam kebakaran di Jalan Sultan Sulaimann di sini malam tadi.

Ibrahim Fikri Abdul Rahman, 29, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Adiknya Siti Nurul Adibah, 22, memberitahu ketika kejadian kira-kira 10.25 malam itu, abangnya sedang berada di Kampung Laut.

Abangnya yang menerima panggilan telefon dari rakannya tentang kebakaran itu bergegas pulang ke rumah sewanya, dan tidak sedar diri akibat terlalu panik dengan kebakaran itu, katanya.

Pemilik rumah berkenaan Che Musa Yusof, 48, yang rumahnya juga terbakar berkata ketika kejadian dia bersama bersama empat ahli keluarganya tiada di rumah kerana mengunjungi rumah anaknya di Tepoh.

Punca kebakaran belum diketahui. - Bernama

Pengebom kedua Boston ditangkap



Watertown (Boston): Polis yang memburu suspek kedua dalam pengeboman Maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev akhirnya berjaya menangkap selepas seorang wanita melapor menemui longgokan baju berdarah di kawasan kediamannya.

Dzhokhar, 19, etnik Chechen yang belajar di sebuah kolej di Massachusetts, diburu selama lapan setengah jam selepas abangnya mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.
Dzhokhar dilapor cedera parah dan dibawa ke Hospital Massachusetts.

Polis memerangkap pemuda itu ketika dia bersembunyi di dalam bot di laman belakang kediaman wanita berkenaan di daerah Watertown.


Dzhokhar dikesan helikopter polis yang menggunakan kamera pengesan haba untuk mengesahkan lokasinya dan dikhuatiri memakai bom jaket.


Pegawai bergegas ke kediaman itu dan polis melepaskan kira-kira 30 das tembakan ke arah bot itu.

Seorang saksi berkata: “Kami melihat anggota SWAT mengepung rumah itu dan kemudian tembakan dilepaskan.”

Lapan letupan kedengaran, dipercayai untuk mengelirukan suspek.

Ambulans dikejar ke tempat kejadian dan robot skuad pemusnah bom kemudian dihantar ke kawasan itu untuk mengesan bahan letupan.

Tangkapan itu dilakukan tidak lama selepas Gabenor Massachusetts Deval Patrick menarik balik arahan tidak keluar rumah.

Beribu-ribu anggota polis, ejen FBI dan tentera sebelum itu dikerah memburu Dzhokhar sekelas seorang pengawal keselamatan terbunuh dan seorang lagi cedera parah. - Agensi

Percaya anak tak bersalah



Makhachkala: Ibu suspek pengebom Maraton Boston Tamerlan dan Dzhokhar Tsarnaev tak percaya anaknya bertanggungjawab dalam keganasan Isnin lalu.

Zubeidat Tsranaeva sebaliknya mendakwa kedua-dua beradik itu diperangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Zubeidat yang menetap di Russia ketika dihubungi semalam bertegas menyatakan anaknya tidak bersalah.

“Mereka tidak akan melakukan perkara seumpama itu,” katanya merujuk kepada serangan bom di Maraton Boston Isnin lalu yang meragut tiga nyawa dan mencederakan lebih 170 yang lain.


Menurutnya, anak sulungnya Tamerlan berubah menjadi lelaki warak sejak lima tahun lalu dan mengadu disyaki menjadi pemimpin sebuah pergerakan serta diawasi pihak berkuasa Amerika Syarikat.


“Kedua-dua anak saya tidak bersalah dan saya tahu mereka tidak pernah lakukan keganasan seperti yang didakwa seperti tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu, bapa kedua-dua suspek Anzor Tsamaev berkata, segala-galanya akan terbongkar jika anak keduanya Dzhokhar dibunuh.

“Jika mereka membunuhnya, perkara sebenar akan terbongkar,” katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen ABC.

Tamerlan ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Massachusetts kelmarin sementara adiknya, Dzhokhar ditangkap selepas gerakan memburunya selama lapan setengah jam. -DM

Dadah RM462,000 dalam kemaluan



Buenos Aires: Seorang wanita Britain ditangkap bersama-sama dengan kokain bernilai £100,000 (RM462,000) yang disembunyikan dalam kemaluannya ketika hendak berlepas dengan penerbangan ke London.

Jurucakap Kementerian Keselamatan Argentina berkata: “Kokain seberat 850 gram itu dibungkus padat dalam bentuk bergulung seperti sosej.’ Dia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza dan kini ditahan di penjara untuk banduan wanita di Buenos Aires.


Polis menangkap wanita berkenaan ketika dia hendak mendaftar masuk untuk penerbangan ke Britain selepas mengawasi gerak-geri wanita berkenaan beberapa hari sebelum ini.

Polis Argentina kini berusaha untuk mengenal pasti kumpulan yang mengupah wanita itu untuk menyeludup dadah ke Britain.


Menurut jurucakap berkenaan, ini bukan kali pertama pihaknya menangkap wanita membawa dadah dalam kemaluan mereka.


“Harga kokain yang dibawanya mungkin boleh mencecah kira-kira £100,000 (RM462,000) jika dijual secara runcit di Britain. - Daily Mail

Perogol ditahan di rumah bapa mentua



Patna: Polis India berkata, mereka menahan suspek kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berusia lima tahun yang kini tenat di hospital.

Suspek, Manoj Kumar, 25, ditahan di Bihar, timur India selepas dia berlindung di rumah bapa mentuanya di sebuah kampung kira-kira 70 kilometer dari ibu negeri, Patna.


Jurucakap polis berkata, Kumar didakwa mengunci mangsa terbabit dalam sebuah bilik dan merogolnya berkali-kali dalam tempoh 48 jam. “Mangsa diculik dari kawasan petempatan golongan kelas pertengahan rendah di New Delhi pada Isnin lalu,” katanya. Ketua Pengarah Polis, Ravindar Kumar berkata, perbuatan Kumar tidak dapat diterima sama sekali.

Kumar ditahan sekumpulan polis dari New Delhi yang bekerjasama dengan polis Bihar. Polis berkata, suspek tiba di Kampung Chiknouta kelmarin selepas melarikan diri dari New Delhi menaiki kereta api.


Kumar akan dihantar ke New Delhi untuk dibicarakan. Mangsa ditemui pengguna jalan raya yang terdengar dia menangis.


Budak terbabit dimasukkan ke hospital pada Rabu dan doktor menganggap keadaannya “kritikal.” Doktor berkata, budak perempuan itu cedera parah dan mengalami kecederaan dalaman serta jangkitan serius. - AFP

Empat hari terperangkap dalam lif



Vienna: Pengurus warga Sweden sebuah hotel Austria terperangkap dalam lif selama empat hari sebelum jeritannya meminta tolong didengar oleh seorang penghantar roti.

Polis berkata semalam, pengurus berusia 58 tahun itu berada dalam keadaan sihat walaupun selepas empat hari terperangkap di bandar Bad Gastein berhampiran Salzburg.


“Dia memberitahu polis bahawa dia pernah menjalani kursus memburu, termasuk latihan berdepan dengan masalah kesukaran di hutan di sebuah kem tentera.

“Pengalamannya itu membantu dia selama empat hari di dalam lif,” kata seorang jurucakap polis.


Penghantar roti berkenaan yang juga rakan pengurus itu menelefon pasukan penyelamat selepas memasuki hotel itu dengan mengguna kunci sendiri untuk memasukkan surat yang bertimbun di luar pintu hotel. - Reuters

Lima terkorban kemalangan membabitkan tiga motosikal dan dua kereta



21/04/2013 10:57am

SHAH ALAM - Lima terkorban dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga motosikal dan dua kereta di kilometer 10.6, Jalan Persekutuan-Shah Alam, pukul 3.20 pagi tadi.
Mereka antaranya, Mohd. Faridzuan Mohd. Aziz, Amirul Afiq Zainuddin, Syahmie Farid Izzat Samsuddin Shah dan M. Kalaychelven yang masing-masing berumur antara 21 hingga 50 tahun dari Klang dan Shah Alam.
Seorang lagi mangsa masih belum dikenalpasti.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayop ketika dihubungi Kosmo! pagi ini mengesahkan kejadian dan sidang akhbar mengenai kejadian itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pukul 2.30 petang ini. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_06.htm#ixzz2R3xa0cF3 
Hakcipta terpelihara 

Diberkas ketika cuba keluar negara



SEBAHAGIAN daripada 50 PATI yang diberkas ketika hendak meninggalkan negara di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang tekong dan dua pembantunya merupakan antara 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi semalam.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mereka ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini dengan menaiki sebuah bot pada pukul 3.50 pagi. Bot itu berada dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila dihampiri, bot tersebut terus memecut laju ke salah sebuah pantai berhampiran Tanjung Pengelih sebelum dipintas selepas dikejar selama 10 minit.
“Pemeriksaan menemui 50 orang termasuk seorang tekong bersama dua pembantu, 37 lelaki, 8 perempuan dan dua kanak-kanak lelaki PATI warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2R3wChuOn 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki diberkas disyaki rogol kekasih



HULU SELANGOR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah kosong di Bukit Beruntung di sini Khamis lalu.
Suspek berusia 26 tahun itu diberkas pada pukul 11 malam selepas polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dia telah dirogol lelaki itu.
Menurut sumber, tukang rumah itu dipercayai telah merogol mangsa sebanyak 10 kali. Kali terakhir pada 14 April lalu.
"Pasangan itu telah berkenalan sejak dua bulan lalu sebelum mereka menjadi pasangan kekasih.
"Mangsa bertindak membuat laporan polis selepas mendapat tahu lelaki itu ingin meninggalkannya dengan alasan mahu berpindah tempat kerja di Seremban," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2R3vcMvbg 
Hakcipta terpelihara 

Cermin tiga buah kereta kena pecah




CERMIN pemandu kereta Proton Wira milik seorang penyokong sebuah parti politik pecah angkara perbuatan khianat semalam.


GOMBAK - Cermin tiga buah kenderaan milik penyokong sebuah parti politik dipecahkan oleh pihak tidak bertangungjawab dalam kejadian di Batu 6, Jalan Gombak Lama di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian ketika proses penamaan calon sedang berjalan itu berlaku pada pukul 10.45 pagi. Ia melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi, Hyundai Matrix dan Proton Wira.
"Kereta yang dipecahkan itu diletakkan di bahagian tepi jalan berdekatan pusat penamaan calon.
"Bagaimanapun, tiada kehilangan barang dilaporkan. Hanya cermin kereta yang dipecahkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2R3vSZ9ep 
Hakcipta terpelihara 

Maut ditembak dari jarak dekat




ANGGOTA JPAM memegang seekor ular sawa jantan seberat 200 kilogram yang ditangkap di sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya semalam.


BUKIT MERTAJAM - Seorang ahli perniagaan warga Myanmar maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya berhenti di lampu isyarat di Jalan Permatang Batu, Bandar Perda di sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Aung Kyam Chein, 43, yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama isteri, seorang anak dan pekerja ditembak sebanyak empat das oleh seorang suspek tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.
Mangsa mati pada pukul 8 malam tadi ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki tidak dikenali berhenti di lampu isyarat bersebelahan kenderaan mangsa sebelum dia keluar dan melepaskan tembakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2R3vInLJS 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mati ditikam ketika berjoging di Bukit Gasing



PETALING JAYA 21 April - Seorang lelaki maut ditikam ketika berjoging bersama keluarganya di Bukit Gasing di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa Ong Ai Sam mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan, dada dan paha.
Menurut jurucakap polis, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan telah meninggal dunia.
"Mangsa mengalami pendarahan yang banyak serta mengalami kecederaan di badan, bahu dan paha. Paru-paru mangsa juga didapati bocor dipercayai akibat tikaman senjata tajam," katanya.
Menurut jurucakap itu, Unit Forensik, Unit Jenayah Berat (D9) dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dihantar ke tempat kejadian bagi membuat siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130421/je_01/Lelaki-mati-ditikam-ketika-berjoging-di-Bukit-Gasing#ixzz2R3FZeAaQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek kedua pengeboman Boston ditahan



Seorang anggota polis mendukung seorang kanak-kanak perempuan semasa pasukan polis menyerbu seorang suspek pengeboman Maraton Boston yang bersembunyi di Franklin St., Watertown, Massachusetts, semalam. - AFP
BOSTON 20 April - Polis Boston berjaya menahan seorang lagi suspek pengeboman Maraton Baston selepas dia melarikan diri, semalam, sekali gus menamatkan kebimbangan penduduk di negara ini selama beberapa hari.
Dzhokhar Tsarnaev, 19, yang cedera parah ditahan lewat malam tadi selepas abangnya turut ditangkap polis awal semalam, tetapi motif dua adik-beradik etnik Chechnya disyaki melancarkan pengeboman itu masih tidak diketahui.
Dzhokhar ditemui bersembunyi di sebuah bot dalam keadaan lemah ekoran kecederaan akibat terkena tembakan selepas melarikan diri dalam insiden berbalas-balas tembakan dengan polis, semalam.
Dzhokhar kini sedang dirawat di hospital akibat cedera parah dan tidak boleh di soal siasat.
Polis Boston mengumumkan penahannya melalui Twitter dan kemudiannya menulis 'Ditahan!!! Pemburuan telah berakhir. Pencarian telah selesai. Keganasan telah tamat dan Keadilan telah menang. Suspek kini dalam tahanan polis.'
Awal semalam, seorang lagi suspek pengebom yang juga abang kepada Dzhokhar, Tamerlan Tsarnaev, 26, ditangkap polis, tetapi meninggal dunia di hospital akibat cedera parah terkena tembakan polis.
Kedua-dua suspek dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan ahli keluarga sebagai etnik Chechnya dari selatan Rusia yang menetap di Amerika Syarikat selama sedekad dan dipercayai tinggal di Cambridge, Massachusetts.
Penahanan suspek itu dibuat empat hari selepas insiden pengeboman di kawasan berhampiran garis penamat Maraton Boston yang menyebabkan tiga orang maut dan lebih 180 lagi cedera.
Sementara itu, Presiden Barack Obama berikrar penyiasat akan merungkai misteri pengeboman Boston.
"Keluarga mangsa yang terbunuh berhak untuk mengetahui jawapannya," katanya sambil menganggap suspek sebagai 'pengganas'.
Beliau turut menyifatkan penahanan itu sebagai menutup 'bab penting dalam tragedi itu', tetapi menyatakan masih banyak persoalan yang tidak terjawab tentang pengeboman Boston, termasuk sama ada kedua-dua lelaki itu mendapat bantuan orang lain. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130421/lu_08/Suspek-kedua-pengeboman-Boston-ditahan#ixzz2R3Cfst24
© Utusan Melayu (M) Bhd